Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda City 1.0L Turbo Thailand dipanggil semula, penghantaran kepada pelanggan juga ditangguh

    Honda City 1.0L Turbo Thailand dipanggil semula, penghantaran kepada pelanggan juga ditangguh

    Walaupun baru diperkenalkan tidak sampai dua bulan, Honda City generasi baharu yang dijana enjin 1.0 liter VTEC Turbo untuk pasaran Thailand dilaporkan mempunyai masalah dan perlu dipanggil semula, manakala unit-unit yang ditempah pelanggan perlu ditangguh penghantarannya terlebih dahulu sehingga diberitahu.

    Perkara ini dilaporkan oleh laman IndianAutosBlog dengan memetik sumber dari dokumen Honda Thai yang dihantar kepada pengedar-pengedar Honda di negara tersebut. Masalah yang dimaksudkan adalah pada getah door run channel, atau dalam bahasa mudah adalah getah cermin tingkap yang menjadi laluan turun dan naik kesemua tingkap pintu.

    Laman tersebut tidak menyebut dengan jelas apa masalah sebenar yang berlaku pada getah berkenaan. Tetapi kebiasaannya masalah pada getah ini akan menyebabkan tingkap berkuasa sukar untuk berfungsi dengan baik dan tersekat-sekat terutamanya ketika mahu ditutup semula.

    Honda City 1.0L Turbo Thailand dipanggil semula, penghantaran kepada pelanggan juga ditangguh

    Thailand merupakan negara pertama di dunia yang menerima Honda City generasi baharu ini, dilancarkan pada 25 November tahun lalu. Ia diasaskan dari Honda Jazz/Fit generasi terkini yang juga baru didedahkan pada Tokyo Motor Show pada Oktober 2019.

    Bagi membolehkan City dijual dalam segmen kereta Eco Thai Fasa 2 yang menawarkan lebih insentif potongan cukai, Honda Thailand memadankan enjin P10A2 1.0L tiga-silinder VTEC Turbo, bersama kotak gear CVT automatik untuk semua varian. Ia adalah enjin yang sama menjana Honda Civic 1.0L pasaran Eropah, tetapi talaan kuasanya sedikit kurang iaitu hanya 122 PS/173 Nm.

    Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand

     
     
  • TAS2020: Kebangkitan semula Nissan Skyline V37 empat-pintu 400R dalam arena modifikasi JDM

    TAS2020: Kebangkitan semula Nissan Skyline V37 empat-pintu 400R dalam arena modifikasi JDM

    Nissan Skyline sering dikaitkan dengan badan coupe dua-pintu. Tetapi kerana nama ‘Skyline’ itu sendiri sentiasa berkait rapat dengan GT-R, mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa Skyline juga wujud dalam bentuk sedan empat pintu.

    Namun sebenarnya asal-usul Skyline sememangnya bermula dari model sedan empat-pintu. Malah versi pertama GT-R untuk casis Hakosuka C10 juga sebenarnya bermula dari badan empat pintu pada tahun 1969, manakala versi coupe KPGC10 GT-R pula hanya muncul dua tahun selepas itu.

    Secara keseluruhan, hanya dua generasi Skyline ditawarkan dengan versi GT-R empat pintu iaitu C10 dan R33 (Autech Version). Untuk generasi lain, walaupun tidak hadir dalam bentuk GT-R, ia masih datang dengan enjin yang agak sporty misalnya untuk generasi R32, R33, R34 ditawarkan dengan enjin dari siri RB enam-silinder.

    TAS2020: Kebangkitan semula Nissan Skyline V37 empat-pintu 400R dalam arena modifikasi JDM

    Walau bagaimanapun, selepas dari model R34, Nissan telah memisahkan Skyline dan GT-R bagi membolehkan R35 GT-R tampil sebagai kereta sport sebenar, berbanding sebuah model yang diasaskan dari sebuah sedan keluarga seperti model-model sebelumnya.

    Strategi ini membuatkan nama Skyline itu sendiri agak tenggelam kerana model-model V35, V36 dan V37 dijual di luar Jepun dengan jenama mewah mereka iaitu Infiniti – Nissan Skyline V37 ini sendiri dikenali dengan nama Infiniti Q50 di Malaysia, menyebabkan ramai yang tidak sedar bahawa kita boleh membeli sebuah Skyline yang diedarkan sendiri oleh Tan Chong Motor.

    Tetapi tahun lalu, Nissan seakan mahu mendekatkan kembali jurang antara Skyline dan GT-R dengan memperkenalkan V37 facelift dengan muka seakan R35, menjadikan ia seolah-olah “GT-R empat pintu”. Model ini juga hadir dengan pilihan varian paling berkuasa Skyline 400R yang dijana oleh VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo, menghasilkan kuasa 405 PS/400 Nm dalam keadaan standard, yang nampaknya menggantikan tempat ER34 GT-T empat-pintu.

    Blitz Skyline V37 400R

    Tahun lalu ketika berkunjung ke Tokyo Auto Salon 2019, rasanya tiada sebuah pun Skyline V37 yang kelihatan. Tetapi dengan muka baharu pada V37 facelift ini, penala-penala Jepun mula membawa kembali Skyline ke persada modifikasi, dan buktinya mungkin ada lebih kurang 10 buah 400R kami temui di Tokyo Auto Salon 2020 minggu lalu. Gambar-gambar yang kami sajikan ini antara unit yang sempat kami rakamkan imejnya.

    Blitz, antara penala yang begitu popular dengan Skyline GT-T ER34 empat-pintu satu ketika dahulu, terutamanya jentera drift yang dihasilkan untuk Nomura Ken. Di TAS 2020, Blitz hadir dengan V37 400R versi mereka – ia bukan sahaja tampil dengan kit badan Aero Speed dan rim 20-inci yang begitu sporty, malah ia turut diberikan sistem kemasukan udara Carbon Power dan juga sistem ekzos Nur-Spec Carbon Black yang dihasilkan khas untuk Skyline empat-pintu ini.

    Dah tengok 400R sentuhan Nissan sendiri yang digelar 400R Sprint Concept yang kami naikkan artikelnya tempoh hari? Nissan sebenarnya membawa dua unit V37 ke TAS 2020 ini, dan sebuah lagi digelar sebagai Deluxe Advance Concept yang dihasilkan dari varian hibrid GT Type SP, dikuasakan oleh janakuasa hibrid terdiri dari VR35HR 3.5 liter V6 tanpa pengecas turbo, digandingkan bersama motor elektrik HM34 berkuasa 68 PS/290 Nm, bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 306 PS dan tork maksima 350 Nm.

    Berbanding 400R Sprint Concept yang agresif sesuai dengan kuasanya, Deluxe Advance ini menampilkan rupa yang lebih mewah. Ia hanya diberikan kit badan ringkas terdiri dari spoiler bawah pada bampar hadapan dan belakang serta skirt sisi, kemudian diserikan dengan warna badan dua tona putih dan gangsa matte. Rupa luarannya dilengkapkan dengan pemadanan rim dua-tona 20-inci, bersama tayar Michelin Pilot Sport 4 245/35R20.

    Di dalam, kabin Skyline Deluxe Advance ini masih nampak standard, tetapi menerima balutan upholsteri istimewa tan-putih pada roda stereng, gaiter tuil penukar gear, panel pintu, karpet kaki, perehat tangan dan sebagainya. Manakala pada tempat duduk, selain dari tema balutan yang sama, ia juga diberikan jahitan corak quilt.

    Pembuat kit badan perlumbaan, Varis turut tidak ketinggalan untuk menunjukkan seni mereka menerusi badan Skyline empat-pintu ini. Mereka membawakan kit badan Magnum Opus, iaitu siri yang turut dihasilkan untuk Nissan GT-R R35. Selain dari set-set spilter udara di sekeliling kereta, Varis turut memberikan bonet hadapan dengan liang udara yang cukup menyerlah pada Magnum Opus V37 ini.

    Skyline V37 terakhir yang menarik perhatian kami di TAS2020 ini adalah hasil rekaan Busou. Nama penala ini agak kurang dikenali di Malaysia, tetapi Busou agak aktif menghasilkan pelbagai produk aftermarket untuk jenama Nissan dalam pasaran Jepun.

    400R dari Busou ini hadir dengan rekaan diffuser belakang yang cukup agresif, menampilkan rekaan splitter tambahan di bawahnya yang kelihatan seperti sayap. Manakala jalur merah pada spoiler hadapan bukanlah pelekat, tetapi sebenarnya jalur lampu LED. Dua buah V37 di bawa oleh Busou ke TAS 2020, yang berwarna putih nampak lebih sporty dengan rim Volks Racing TE37, manakala yang berwarna hitam nampak lebih mewah dengan rim pelbagai jejari.

    Sekarang macam mana? Ada yang dah gatal nak tengok harga V37 recond ni berapa?

    GALERI: Nissan Skyline V37 400R Sprint Concept

    GALERI: Nissan Skyline V37 Hybrid GT Type SP Deluxe Advance Concept

    GALERI: Nissan Skyline V37 400R Busou

    GALERI: Nissan Skyline V37 400R Varis Magnum Opus

     
     
  • PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti CNY

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti CNY

    Seperti kebiasaan sewaktu musim perayaan utama di Malaysia, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu orang ramai merancang perjalanan mereka. Untuk perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) yang bakal disambut hujung minggu ini, PLUS menjangkakan peningkatan trafik daripada 1.7 juta kenderaan pada hari-hari biasa kepada 2 juta kenderaan setiap hari.

    Berdasarkan TTA sempena CNY 2020 yang dikeluarkan, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya lebih awal sebelum jam 9 pagi. Manakala, pengguna yang menuju ke lain-lain destinasi seperti Ipoh, Negeri Sembilan dan Melaka disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 12 tengah hari.

    Bagi perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur, PLUS menasihatkan semua pengguna memasuki lebuh raya lebih awal sebelum jam 9 pagi bagi memastikan aliran trafik secara berperingkat bergerak daripada semua lokasi ke Lembah Klang.

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti CNY

    Berdasarkan trend perjalanan pelanggan lebuhraya pada musim perayaan yang lalu serta analisa PLUS, pelanggan yang mengikuti TTA menikmati perjalanan yang lebih lancar. Analisa PLUS itu juga menunjukkan bahawa tempoh perjalanan bagi pengguna lebuhraya yang memulakan perjalanan mereka lebih lewat dari yang disyorkan oleh TTA akan menghadapi pertambahan tempoh perjalanan di antara 30% hingga 80%. Ini bermaksud, pengguna yang tidak mematuhi TTA berkemungkinan akan mengambil masa yang lebih lama untuk perjalanan mereka.

    “Oleh itu, bagi mengurangkan kesesakan disebabkan ‘pertembungan’ trafik di satu-satu lokasi kritikal di lebuhraya, PLUS mengeluarkan TTA untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan ‘pertembungan’ tersebut. Justeru, kami menyeru agar pengguna merancang perjalanan mereka di musim perayaan yang akan datang berpandukan kepada TTA untuk menikmati perjalanan yang lebih selesa,” jelas Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

    Dalam masa yang sama, PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di lebuh raya di antara 22 Januari hingga 2 Februari ini serta menyediakan kren dan trak tunda di lokasi strategik di lebuh raya.

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti CNY

    Selain itu, bagi memastikan keselamatan pengguna terutama pada waktu puncak ini, PLUS akan mempertingkatkan kolaborasi bersama pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia, pasukan bomba dan penyelamat, ambulans, Jabatan Pertahanan Awam dan pasukan RELA di samping meningkatkan jumlah kakitangan PLUS untuk bersiap sedia memberikan bantuan kecemasan sepanjang musim perayaan tersebut.

    Lebih banyak tandas awam tambahan dan tangki air bergerak akan disediakan di beberapa lokasi di lebuh raya, termasuk menyediakan 70 kiosk tambah nilai layan diri (mesin SSK) bagi menampung jumlah trafik yang meningkat.

    Pengguna lebuh raya PLUS juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Aplikasi PLUS (boleh dimuat turun menerusi Apple App Store atau Google Play Store), Twitter PLUSTrafik, papan tanda elektronik lebuh raya atau menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000. Anda juga disarankan supaya menggunakan aplikasi perjalanan Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan sebelum memulakan perjalanan.

     
     
  • K’jaan umum kadar tol lebuhraya PLUS dikurangkan 18% mulai 1 Feb 2020, tiada kenaikan hingga 2058

    K’jaan umum kadar tol lebuhraya PLUS dikurangkan 18% mulai 1 Feb 2020, tiada kenaikan hingga 2058

    Susulan pengesahan mengenai PLUS Malaysia Bhd (PLUS) kekal milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kerajaan turut mengumumkan kadar tol bagi pengguna kenderaan persendirian di semua lebuh raya syarikat konsesi terbabit dikurangkan 18 peratus bermula seawal 1 Feb 2020 Malahan tiada kenaikan kadar tol akan berlaku sehingga tahun 2058.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), tempoh konsesi untuk semua lebuh raya PLUS dilanjutkan selama 20 tahun dari 2038 ke 2058 bagi memastikan PLUS mampu menjalankan kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuh raya mereka tanpa bergantung kepada kerajaan, menurut kenyataan itu.

    Lebuh raya yang terlibat adalah Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).

    Dengan pengurangan sebanyak 18 peratus, kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan sebagai contoh akan berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km, dan apabila ia dilaksanakan, kadar tol baharu itu lebih rendah daripada kadar tol pada 1999 iaitu 11.24 sen/km.

    K’jaan umum kadar tol lebuhraya PLUS dikurangkan 18% mulai 1 Feb 2020, tiada kenaikan hingga 2058

    Sebagai contoh, kadar tol baharu Jalan Duta ke Alor Setar akan ditetapkan pada RM45.50 berbanding RM55.50, manakala kadar tol Jalan Duta ke Skudai menurun kepada RM38.50 daripada RM47 sekarang.

    Menurut PMO, walaupun perjanjian konsesi sebelum ini memperuntukkan kenaikan kadar tol secara berperingkat namun keputusan terbaru itu akan memastikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi tamat selama 38 tahun iaitu dari 2020 sehingga 2058.

    Walau bagaimana pun, PMO turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS, dan kerajaan bakal mendapat penjimatan yang dianggarkan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi tersebut. Di mana penjimatan RM42 bilion kini boleh digunakan oleh kerajaan untuk inisiatif-inisiatif yang menguntungkan rakyat.

    K’jaan umum kadar tol lebuhraya PLUS dikurangkan 18% mulai 1 Feb 2020, tiada kenaikan hingga 2058

    Dalam masa yang sama, PLUS kekal sebagai pengendali dan akan terus memegang aset dan liabiliti syarikat serta mengurus pembiayaan kos operasi dan penyelenggaraan.

    Mengenai keputusan Khazanah dan KWSP kekal sebagai pemegang saham PLUS, PMO berkata ia dibuat berdasarkan kajian lebih setahun dan pertimbangan menyeluruh pelbagai pihak termasuk Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

    Selain itu, kerajaan yakin keputusan tersebut akan memberi banyak manfaat kepada rakyat melalui pengurangan beban kadar tol, dan dalam masa yang sama, membolehkan PLUS untuk terus beroperasi dengan kedudukan kewangan yang baik. Pelaksanaan pengurangan kadar tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham PLUS.

     
     
  • TAS2020: Demam GR Supra landa Makuhari Messe!

    TAS2020: Demam GR Supra landa Makuhari Messe!

    Tahun lepas adalah tahun pertama saya sampai ke Tokyo Auto Salon (TAS) – acara yang wajib anda pergi jika anda seorang mat kereta yang berkiblatkan JDM. Saya pasti bukan saya sahaja, anda yang membaca artikel ini juga beranggapan TAS akan sentiasa dipenuhi dengan Nissan Skyline R32, R33, R34, Silvia S13, S14, S15, Toyota AE86, Supra JAZ80, atau Mitsubishi Lancer Evo kan?

    Tak, anggapan bergini adalah salah sama sekali. Tidak seperti negara luar yang masih ‘tersangkut’ dengan mesin-mesin JDM dari era 90’an, dalam Jepun sendiri sebenarnya sangat up to date. Ketika kami sampai ke Makuhari Messe (dewan di mana berlangsungnya TAS saban tahun), ia dipenuhi dengan jentera-jentera terbaharu seperti Honda Civic Type R FK8, Toyota 86, Honda Fit (Jazz) GK, Suzuki Swift Sport dan yang paling hot adalah model yang paling baru dilancarkan ketika itu – Suzuki Jimny – Ya, macam semua orang mahu modified Jimny ketika TAS 2019!

    Dengan trend yang kami lihat tahun lalu, jadi tahun ini kami agak model yang paling banyak akan diubahsuai tentulah Toyota GR Supra, kerana bukan sahaja model paling baharu dilancarkan, malah ia sudah tentu kereta sport paling ditunggu-tunggu kerana mereka sudah lama tiada sebuah model dua-pintu pacuan belakang yang berkuasa sejak sekian lama.

    TAS2020: Demam GR Supra landa Makuhari Messe!

    Adakah orang Jepun sibuk dengan stigma “GR Supra ni BMW, bukan Toyota”? Tuan-tuan, orang Jepun ini semangat nasionalisma mereka tinggi. Mereka faham tentang prinsip kejuruteraan dan betapa payahnya jenama-jenama tempatan mereka untuk menghasilkan model-model sebegini dengan pelbagai kekangan yang ada. Justeru, jika ada kereta seperti Supra ini dihasilkan kembali, sudah tentu ia menjadi rahmat buat mereka.

    Saya ingat lagi ketika Toyota memperkenalkan Toyota 86 pada tahun 2012 dahulu, ia menerima pelbagai kritikan yang kononnya ‘purist‘ dari luar Jepun yang mengatakan ia bukan “cucu” terus kepada AE86, ia adalah model rebadge Subaru dan pelbagai lagi.

    Tetapi pelumba profesional Jepun, Nobuteru Taniguchi keluar dan berkata: “Sudah lama kita tidak kereta sport dalam pasaran, saya pasti ramai yang tunggu kereta ini (86). Kami perlu ingatkan orang ramai betapa seronoknya kereta sebegini, pelumba seperti saya bertanggungjawab untuk menjadikan kereta sport popular semula. Jadi bila HKS menawarkan saya sebuah 86 untuk berlumba di dalam D1GP, saya tiada sebab untuk menolak.

    “Pada masa sekarang dalam pasaran hanya ada kereta mesra alam dan kereta keluarga yang dijual. Saya pasti dalam Toyota sendiri ramai yang membantah penghasilan 86 tersebut. Ini adalah langkah berani yang diambil oleh Toyota, untuk melancarkan 86 dalam situasi sukar seperti ini. Jadi untuk menyokong orang-orang yang berusaha membawa 86 ini ke pasaran, saya sendiri telah membeli kereta tersebut.”

    Nampak, dah boleh bayang macam mana semangat mereka terhadap kereta-kereta sport keluaran tempatan seperti 86 dan Abang Longnya, GR Supra? Telahan kami agak tepat, dan sempena Tokyo Auto Salon 2020, Makuhari Messe penuh dengan Supra A90 yang diubahsuai!

    Masuk sahaja dewan pertama, demam Supra dengan mudah sudah kelihatan. Di sini, booth pembuat rim terkenal, Work mempamerkan GR Supra pertama di dunia yang diubahsuai untuk kegunaan perlumbaan drift, dan pertama di dunia disumbatkan dengan enjin 2JZ-GTE dari Supra A80 sebelumnya iaitu GR Supra milik bekas juara D1 GP dan Formula D USA, Daigo Saito.

    Sebelah Work adalah sayap perlumbaan rasmi Toyota iaitu Gazoo Racing dan ia dipenuhi dengan jentera-jentera litar GR Supra GT4 dan pelbagai lagi. Penala otai Toyota, Tachi Oiwa Motor Sports atau TOM’S turut hadir dengan GR Supra versi mereka; ini agak istimewa kerana Supra dengan kit badan lebar serta enjin yang lebih berkuasa tersebut bukan sekadar konsep, tetapi adalah model produksi yang dihasilkan dalam jumlah terhad yang boleh anda beli! Perincian TOM’S GR Supra ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Di booth HKS, ada tiga kereta yang dipamerkan, dan kesemua kereta tersebut adalah GR Supra; GR Supra 2JZ-GTE D1 GP untuk Taniguchi, GR Supra Aero dan GR Supra Street – perincian ketiga-tiga kereta tersebut boleh anda baca PADA PAUTAN INI.

    HKS bukan hanya sekadar membawa tiga GR Supra ini, tetapi ada satu lagi GR Supra yang telah mendapat sentuhan mereka iaitu milik seorang lagi bintang drift, Manabu ‘Max’ Orido, dipamerkan di booth pengeluar tayar Yokohama. Supra milik Orido ini diubahsuai seperti Supra JZA80 miliknya sebelum ini dengan mengenakan livery belang Advan. Ia menerima kit badan lebar dan spoiler gergasi seperti GR Supra Taniguchi, tetapi kami difahamkan ini adalah GR Supra yang masih boleh digunakan di jalan raya.


    Pengeluar kit badan yang sinonim dengan perlumbaan Time Attack, Varis turut tidak ketinggalan untuk berkarya dengan GR Supra baharu ini. Mereka hadir dengan dua buah GR Supra iaitu versi tanpa widebody, dan satu lagi dengan kit badan lebar digelar Supreme 90.

    Kit Supreme 90 ini dihasilkan dari inspirasi satu lagi kit ikonik yang dihasilkan untuk Supra JZA80 yang digelar Varis Supreme, yang mana model asal tersebut turut di bawa dan diletakkan sebelah menyebelah. Supreme 90 ini diberikan liang bonet enjin yang sama seperti Supreme JZA80. Dan seperti kit Varis lain, pelbagai splitter dan spoiler yang sememangnya berfungsi untuk menghasilkan cengkaman terhadap permukaan jalan diberikan pada kereta ini.

    Tak cukup dengan GR Supra drift, litar mahupun untuk kegunaan jalan raya, TAS 2020 kali ini juga menerima kunjungan GR Supra yang lahir di Amerika Syarikat iaitu GR Supra NASCAR, dipamerkan di booth Goodyear. Jentera ini mengambil bahagian dalam kejohanan NASCAR Xfinity Series (NXS), dan ia dibina oleh Toyota Racing Development (TRD) USA dan Calty Design Research.

    Kesemua gambar GR Supra yang kami ambil ini hanyalah sebahagian kecil dari jumlah keseluruhan GR Supra yang berada dalam 11 dewan Makuhari Messe ini. Nak ambil semua memang tak larat, dan kami rasa paling sikit pun mungkin ada 50-60 buah Supra yang di bawa ke TAS 2020.

    GALERI: Max Orido Advan GR Supra

    GALERI: Daigo Saito Monster GR Supra

    GALERI: Varis GR Supra

    GALERI: HKS Nobuteru Taniguchi D1, Aero dan Street GR Supra

    GALERI: TOM’S GR Supra

    GALERI: Pelbagai Supra lain di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Peraturan baru eksais duti Malaysia 2020 bakal jadikan harga kenderaan CKD meningkat “sehingga 15%”

    Peraturan baru eksais duti Malaysia 2020 bakal jadikan harga kenderaan CKD meningkat “sehingga 15%”

    Disember lalu, sebuah laporan berita memberi petunjuk bahawa kemungkinan kereta pemasangan tempatan akan naik harga bermula tahun ini kesan daripada langkah penstrukturan semula kadar duti kenderaan oleh kerajaan.

    Nampaknya ini semakin menjadi kenyataan, berdasarkan apa yang termaktub di dalam Excise (Determination of Value of Locally Manufactured Goods for the Purpose of Levying Excise Duty) Regulations 2019, yang disediakan oleh kementerian kewangan dan telah digazetkan pada 31 Disember 2019, sekiranya perkara berkenaan ditafsir dengan betul.

    Terma di bawah peraturan baru ini, yang secara teknikalnya telah berkuatkuasa, kenderaan pemasangan tempatan (CKD) akan dikenakan lebih banyak cukai. Ini adalah disebabkan kaedah pengiraan nilai pasaran terbuka (open market value, OMV) bagi kenderaan telah berubah.

    Apa sebenarnya OMV? Ia adalah nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya. Terdapat beberapa komponen yang menentukan OMV, dan ini termasuk kos bagi pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta caj pemasangan dan pentadbiran.

    Peraturan baru eksais duti Malaysia 2020 bakal jadikan harga kenderaan CKD meningkat “sehingga 15%”

    Ini berbeza daripada kenderaan import sepenuhnya (CBU), dengan penetapan harganya berdasarkan Cost, Insurance and Freight (CIF), yang mana duti import dan eksais dikenakan. Duti eksais berada di antara 60% hingga 105% (tidak kira untuk kenderaan CKD atau CBU), dikira berdasarkan kenderaan dan kapasiti enjinnya. Sementara duti import pula boleh mencecah 30%, bergantung dari mana kenderaan itu dikilangkan. Kenderaan dari negara-negara ASEAN tidak dikenakan duti import.

    Gazet berkenaan menambah komponen-komponen baru ke dalam pengiraan OMV. Di bawah peraturan baru ini, nilai yang dimasukkan untuk mengenalpasti duti-duti terlibat akan mengambil kira bukan hanya keuntungan dan perbelanjaan umum yang terlibat di dalam pengilangan sesebuah kenderaan, tetapi juga jualannya.

    Menurut sumber yang rapat dengan perkara ini, cara baru mengira OMV, yang memperkenalkan duti ke atas jualan barangan menimbulkan persoalan-persoalan baru dan menyebabkan kekeliruan kepada OEM dan pengedar-pengedar.

    Sebelum ini, OMV hanya mengambil kira kos pengilangan barang, tetapi bahagian “jualan” berkenaan kini turut merangkumi perkara-perkara lain seperti kejuruteraan, kerja-kerja pembangunan, kerja seni, kerja rekaan, pelan dan lakaran, bayaran royalti dan yuran lesen (paten, tanda dagang, hakcipta).

    Peraturan baru eksais duti Malaysia 2020 bakal jadikan harga kenderaan CKD meningkat “sehingga 15%”

    Klausa 4.2 (d) meluaskan lagi perkara ini dengan memasukkan “kos-kos langsung dan tidak langsung yang dikenakan di dalam pengilangan dan jualan barangan yang boleh dikenakan duti.” Perkara ini, menurut sumber tadi, adalah “menakutkan”, kerana Kementerian Kewangan/Kastam tidak melibatkankan industri automotif ketika perbincangan yang dilakukan sebelum gazet ini dikeluarkan.

    Kemasukan “kos pejabat” (berbanding hanya “kos kilang” sebelum ini) berpotensi untuk meluaskan skop dengan agak ketara memandangkan ia akan mengambil kira kos-kos jualan dan pemasaran sesebuah model diperingkat pengedar. Dengan duti eksais (yang kadarnya masih tidak berubah) di “levi” ke atas OMV kenderaan, kenaikan harga asas akan turut memberi kesan kepada duti eksais yang boleh dicaj – dan harga akhir kenderaan juga – akan meningkat sama.

    Sumber yang sama juga berkata, kaedah pengiraan nilai sebelum ini – selepas dikilangkan – adalah pendekatan yang lebih adil. Mengenakan levi terhadap sesebuah produk sepatutnya hanya itu; levi ke atas produk. Timbul juga persoalan berkaitan cukai berganda yang dikenakan, memandangkan syarikat-syarikat kenderaan membayar cukai pendapatan korporat ke atas keuntungan mereka juga, sama seperti perniagaan lain.

    Perkara lain yang berkait pula ialah kenderaan-kenderaan import sepenuhnya atau CBU akan terus dicukai dengan cara yang sama – ke atas kenderaan itu sendiri dan tiada tambahan lain – yang cenderung menyebabkan ketaksamaan berlaku. “Ini tidak adil bagi mereka yang telah melabur di dalam operasi CKD di negara ini,” ujar sumber berkenaan.

    Peraturan baru eksais duti Malaysia 2020 bakal jadikan harga kenderaan CKD meningkat “sehingga 15%”

    Agak jelas, langkah ini bertujuan untuk meraih lebih banyak pendapatan daripada perniagaan penjualan kenderaan, tetapi dengan penstrukturan semula duti ini, harga kos kenderaan akan menjadi lebih tinggi, dan sudah tentu pengeluar akan memindahkan beban berkenaan kepada pengguna. Ditanya mengenai anggaran kadar yang mungkin berlaku, sumber berkenaan menjelaskan; “Untuk kereta CKD, angka kasar kenaikan harga berkemungkinan sekitar 12%-15% jika mengikut pengiraan baru bagi OMV ini.”

    Melihat kepada gambaran yang lebih besar daripada kesan secara langsung itu – iaitu pendapatan tambahan untuk kerajaan dan kemungkinan harga kenderaan yang lebih tinggi – akan ada kesan sampingan lain, selain daripada ia bukanlah keputusan popular untuk khalayak umum.

    “Harga yang lebih mahal akan menyebabkan jumlah jualan/pengeluaran yang lebih rendah bagi pengeluar di Malaysia, yang mana akan memberi kesan pula kepada aspek peluang pekerjaan sekiranya mereka memutuskan untuk mengecilkan operasi,” tambah sumber yang sama.

    “Sekiranya itu berlaku, kerajaan akan mengutip kurang cukai koporat, dan Malaysia akan kehilangan pelaburannya kepada negara-negara jiran. Tidak akan ada pendapatan tambahan untuk kerajaan,” tambah beliau, yang menyuarakan keraguan terhadap keberkesanan keseluruhan langkah ini dan membayangkannya sebagai situasi yang merugikan kepada pengguna (sebab harga kenderaan lebih tinggi) dan juga pengeluar (jumlah jualan/pengeluaran berkurangan).

    Peraturan baru eksais duti Malaysia 2020 bakal jadikan harga kenderaan CKD meningkat “sehingga 15%”

    Semua ini adalah bertentangan dengan hasrat yang disuarakan oleh MITI tahun lalu, ketika memaklumkan kementerian berkenaan sedang mempertimbangkan pengurangan di dalam duti eksais sebagai satu langkah untuk mengurangkan harga kenderaan. Timbalan Menteri MITI, Ong Kian Ming pernah mengatakan, walaupun dengan pengurangan duti eksais akan bermaksud mengurangkan pendapatan kerajaan, itu akan diimbangkan dengan kutipan keseluruhan disebabkan jumlah jualan kenderaan yang meningkat.

    Dengan semua ini, termasuk ketidak-tentuan perubahan dasar-dasar berkaitan (Dasar Automotif Kebangsaan masih ditangguhkan entah berapa banyak kali), syarikat pengeluar kenderaan di Malaysia seperti akan berdepan dengan kesukaran untuk merancang operasi mereka, terutama yang melibatkan pemasangan tempatan. Bagaimana mereka ingin merancang pelaburan sekiranya tiada penetapan yang kukuh dan meyakinkan, dan boleh berubah bila-bila masa tanpa makluman awal terlebih dahulu?

    Khabar angin juga kedengaran beberapa jenama telah mempertimbangkan untuk menarik balik pelaburan yang berpotensi sebelum ini, misalnya untuk menaiktaraf kilang CKD, sekiranya ini berlaku. Membawa masuk dan menjual kenderaan CBU kelihatan seperti satu jalan yang lebih mudah, walaupun kenyataannya bukan begitu kerana Approved Permit (AP) untuk kenderaan import tidak boleh melebihi 10% daripada keseluruhan jumlah industri (TIV) bagi kenderaan CKD.

    Para pemerhati sebelum ini menyatakan yang struktur cukai telah dinilai semula kerana pengeluar kenderaan CKD “sangat diketahui” kerap mengisytiharkan nilai yang lebih rendah bagi kandungan dari luar negara pada kenderaan yang dikeluarkan dan “berjaya terlepas dengan keuntungan yang besar”. Pemerhati industri yang lain pula menyatakan, kenaikan harga kenderaan akan memberi manfaat kepada jenama tempatan disebabkan harga jualan mereka yang rendah, walaupun ia juga akan mengurangkan pelaburan langsung asing ke dalam industri.

    Dalam perkembangan baru berkenaan isu ini, pada 22 Januari 2020, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad memaklumkan bahawa tiada sebarang kenaikan harga bagi kereta pemasangan CKD akan dilakukan sehingga 31 Dis 2020 kerana apa juga kenaikan bagi harga atas jalan bagi model-model yang terkesan dengan kaedah pengiraan baru OMV ini akan diserapkan atau dikecualikan sepenuhnya oleh kerajaan.

     
     
  • MRT 2: Projek dilaporkan siap 70% setakat ini, dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 2023

    MRT 2: Projek dilaporkan siap 70% setakat ini, dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 2023

    Ini ada perkembangan terkini mengenai pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) atau MRT 2. Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan projek berkenaan telah siap sebanyak 70% dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 2023.

    Jelasnya, MRT 2 yang dijangka siap pada 2022 itu turut membabitkan penjimatan kos sebanyak RM8.82 bilion kepada RM30.53 bilion daripada kos asal pembinaan yang mencecah RM39.35 bilion.

    “Tarikh mula operasi bagi fasa pertama MRT 2 iaitu antara stesen Kwasa Damansara dan Kampung Baru kekal sama pada Julai 2021 manakala untuk fasa kedua antara Kampung Batu dan Putrajaya Sentral adalah Januari 2023,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Mengenai pemeteraian perjanjian tambahan bagi MRT 2 antara Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, Lim berkata, ia bagi membolehkan perubahan ke atas perjanjian rakan pelaksana projek asal yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 2015 dan merangkumi pelantikan MMC-Gamuda sebagai rakan pelaksana projek (PDP) bagi pembinaan MRT 2.

    MRT 2: Projek dilaporkan siap 70% setakat ini, dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 2023

    “Ini adalah hasil daripada inisiatif rasionalisasi kos oleh kerajaan bagi projek-projek mega yang berjaya mengurangkan kos pembinaan. Malah, perjanjian itu turut memuktamadkan proses rasionalisasi dan berjaya mengurangkan kos pembinaan MRT2 kepada RM30.53 bilion daripada kos asal RM39.35 bilion,” katanya.

    Tambahnya lagi, ini merupakan penjimatan terbesar 22.4 peratus berbanding kos pembinaan asal MRT 2 seperti yang dirundingkan antara kerajaan dan MMC-Gamuda pada Oktober 2018.

    Antara penyumbang utama kepada penjimatan kos itu adalah penangguhan dan rasionalisasi skop kerja bawah tanah dan bertingkat seperti penundaan pembukaan stesen bawah tanah di Bandar Malaysia, serta penyederhanaan kemasan seni bina stesen.

    Ini termasuk perubahan struktur projek dari model rakan pelaksana projek kepada model turnkey yang menghasilkan penjimatan yuran rakan pelaksana projek, dan rasionalisasi peruntukan bayaran balik, kontingensi dan ´wang provisional.

    Ditanya sama ada stesen di Bandar Malaysia akan diteruskan seperti dalam perancangan asal, beliau berkata ia bergantung kepada aspek volum dan kapasiti. Menurutnya, walaupun kerangka stesen bagi Bandar Malaysia telah wujud, namun langkah untuk meneruskan rancangan asal adalah bergantung kepada permintaan di kawasan berkenaan.

     
     
  • Harga minyak 18-24 Jan 2020: RON97 turun 9 sen

    Harga minyak 18-24 Jan 2020: RON97 turun 9 sen

    Minggu ketiga bulan Januari 2020, bertarikh 18 hingga 24 Jan, sekali lagi menyaksikan penurunan harga runcit bagi petrol RON 97 sebanyak 9 sen seliter, iaitu daripada RM2.62 seliter menjadi RM2.53 seliter. Harga baharu ini efektif mulai 12 tengahmalam ini sehingga 24 Jan hadapan.

    Manakala harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak masing-masing RM2.23 seliter dan RM2.33 seliter. Ini menunjukkan penurunan berbanding minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.32 seliter, manakala diesel yang berada pada paras RM2.46 seliter.

    Harga minyak 18-24 Jan 2020: RON97 turun 9 sen

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 4 hingga 10 Januari adalah berjumlah RM74.70 juta.

    Sepatutnya Program Subsidi Petrol (PSP) untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dilaksanakan mulai Januari 2020. Namun demikian, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan bahawa perlaksanaannya akan ditangguhkan sehingga ke tarikh baharu yang bakal diumumkan nanti.

    Untuk makluman lain, mulai 1 Januari 2020 juga, petrol RON 95 di seluruh negara telah dipertingkatkan dari gred Euro 2M kepada Euro 4M. Stesen minyak termasuk Shell, Petronas, Petron, Caltex dan BH Petrol telah pun mengumumkan penjualan petrol RON 95 Euro 4M itu.

     
     
  • Nissan Z generasi seterusnya akan guna rekaan seperti model lama termasuk 240Z dan 300ZX

    Nissan Z generasi seterusnya akan guna rekaan seperti model lama termasuk 240Z dan 300ZX

    Model Z generasi seterusnya oleh Nissan akan menggunakan kembali konsep rekaan seperti model Z lama. Perkara ini diberitahu oleh satu sumber kepada Autoblog, di mana sumber itu sendiri sudah menyaksikan kereta versi awal kereta tersebut. Bentuk keseluruhannya masih lagi hampir sama seperti Fairlady 370Z – seperti dalam gambar spyshot di bawah – tetapi bahagian lampu dan belakangnya akan diubah.

    Bahagian depan Z generasi baru dikatakan mempunyai bukaan udara pada bahagian bawah bampar yang lebih petak dan lampu hadapan yang hampir bulat seperti model 240Z. Lampu belakang pula menyerupai rekaan pada 300ZX tahun 90-an. Satu lagi persamaannya dengan 300ZX adalah ia bakal menggunakan enjin turbo – tapi sekarang lebih kepada untuk menepati tahap emisi dan bukannya prestasi atau kuasa maksimum.

    Sumber itu juga memberitahu enjin digunakan adalah unit V6 biturbo 3.0 liter, yang sekarang sudah pun digunakan pada Infiniti Q50 dan Q60 Sport. Sementara enjin tersebut ditawarkan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan pada model Infiniti, apabila digunakan pada Z generasi baru ini pula, juga akan terdapat versi manual. Sebenarnya, Nissan pernah memasang padanan enjin V6 3.0 liter biturbo bersama kotak gear manual pada 370Z sebelum ini, tapi ia sekadar untuk pameran waktu acara SEMA pada tahun 2018.

    Nissan Z generasi seterusnya akan guna rekaan seperti model lama termasuk 240Z dan 300ZX

    Satu lagi perkara yang diberitahu oleh sumber itu kepada Autoblog adalah model prestasi Nismo turut akan diperkenalkan untuk Z baru ini, dengan kuasa sekitar 500 hp. Bahagian dalam pula akan mengalami perubahan yang lebih jelas, dengan mengenakan rekaan yang lebih moden seperti kereta terbaru pengeluar tersebut dan sistem infotainmen terkini.

    Nissan Fairlady 370Z diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2009, dan ini sebenarnya sudah agak lama dan memang sepatutnya diberikan pembaharuan. Walaubagaimanapun, menurut Autoblog, penggemar model ini masih perlu menunggu lagi kerana model baru tidak dirancang untuk pelancaran sehingga satu tahun setengah atau dua tahun lagi.

     
     
  • Haval H2 facelift 2020 bakal dilancarkan di Malaysia – dua varian tersenarai; enjin 1.5L turbo; dari RM87k

    Haval Malaysia telah pun menguar-uarkan di laman Facebook mereka tentang Haval H2 facelift yang bakal dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi. Model facelift ini pertama kali didedahkan di peringkat global pada tahun 2016, bakal memperagakan penggayaan yang disemak semula termasuklah senarai kit yang dipertingkatkan.

    Bagi perubahan luaran, H2 facelift kini ditampilkan dengan gril berbentuk haksagon yang disambungkan ke lampu utama yang dibentukkan semula. Ia turut menampilkan lampu kabus dan lampu nyalaan siang dengan “inlet” pada sudut bampar hadapan yang digayakan semula. Untuk bahagian belakangnya, grafik baharu diberikan pada lampunya, sementara bamparnya ditampilkan dengan seksyen berwarna hitam yang lebih besar termasuk menempatkan perumah bagi reflektor, bersama diffuser yang lebih menyerlah dan juga corong ekzos yang lebih besar.

    Walau pun Go Auto masih belum mengeluarkan sebarang spesifikasi rasmi mengenai H2 baharu ini, namun pada pengedarnya telah mula giat mempromosikannya di media sosial, memudahkan kami untuk menjangka ciri yang ditampilkan. Malah sewaktu menghubungi mereka, kami dimaklumkan terdapat dua varian pemasangan tempatan (CKD) – Comfort dan Premium – yang akan ditawarkan.

    Dikhabarkan, model asas akan ditawarkan dengan harga atas jalan RM87,246 tanpa insurans, sementara varian tertinggi Premium pula berharga RM90,163. Malah dimaklumkan pelancaran rasminya bakal berlangsung selepas sambutan Tahun Baharu Cina ini.

    Haval H2 facelift 2020 bakal dilancarkan di Malaysia – dua varian tersenarai; enjin 1.5L turbo; dari RM87k

    Klik untuk besarkan

    Kedua-dua varian dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 141 hp dan tork 202 Nm – angka ini kurang berbanding yang ditawarkan oleh model pre-facelift (147 hp/210 Nm) yang diperkenalkan pada September 2017. Seperti sebelum ini, pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan.

    Sementara itu, ciri lain yang ditampilkan termasuklah roda 18-inci, enam beg udara, ESP, kawalan cengkaman, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera undur, kawalan kelajuan, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kulit upholsteri, tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa enam-hala, dan unit utama baharu bersama sokongan untuk Apple CarPlay.

    Turut ditawarkan secara pilihan termasuklah sistem infotainmen berasaskan Android yang disambungkan dengan fungsi media serta sistem kawalan suhu menerusi skrin sesentuh 12-inci dengan kos tambahan RM3,139.50 (untuk semua varian). SUV ini didatangkan dengan empat pilihan warna – Crystal Black, Mars Red, Hamilton White dan Cocoa Brown – kesemua varian didatangkan dengan waranti lima-tahun/150,000 km secara standard,

    GALERI: Haval H2 facelift (spesifikasi Australia)

     
     
  • Petron umum tiada lagi caj pra-kebenaran jika bayar guna kad ATM MyDebit bila isi minyak di stesennya

    Petron umum tiada lagi caj pra-kebenaran jika bayar guna kad ATM MyDebit bila isi minyak di stesennya

    Zaman sekarang ni, pembayaran menggunakan kad ATM MyDebit, mahu pun aplikasi e-pembayaran memang lebih memudahkan. Namun kalau gunakan kad terbabit untuk mengisi minyak di stesen minyak, mesti ada yang merungut sebab caj pra-kebenaran sebanyak RM200 akan ditolak menerusi baki nilai akaun anda dan ia akan dipulangkan dalam masa 48 jam selepas transaksi. Tapi bagi golongan berpendapatan rendah mahu pun sederhana, jumlah yang ditolak itu mungkin sedikit ‘menggusarkan’ lebih-lebih lagi dah nak masuk hujung bulan.

    Walau bagaimana pun, perkara ini tidak lagi dialami jika anda mengisi minyak di stesen Petron di seluruh negara mulai sekarang. Petron telah pun mengumumkan kerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dengan pelancaran “FUEL-YoooH MyDebit Je with your ATM Card!”.

    Pengarah Urusan Petron, Faridah Ali berkata, “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan PayNet dalam memberikan pilihan pembayaran baharu untuk pelanggan yang menggunakan kad ATM MyDebit untuk mengisi minyak di stesen Petron. Di mana setiap kali pelanggan menggunakan kad ATM MyDebit sebagai pilihan pembayaran untuk mengisi minyak, tiada lagi caj pra-kebenaran yang akan dikenakan.

    Petron umum tiada lagi caj pra-kebenaran jika bayar guna kad ATM MyDebit bila isi minyak di stesennya

    “Dalam masa yang sama, ia memberikan kemudahan kepada pelanggan dalam membuat pembayaran secara lebih pantas. Ini merupakan salah satu komitmen kami dalam memberikan produk dan perkhidmatan yang inovatif kepada para pelanggan.”

    Pelancaran “FUEL-YoooH MyDebit Je with your ATM Card!” telah diadakan baru-baru ini di Petron Bandar Baru Kulim, dengan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang diiringi CEO Kumpulan PayNet Peter Schiesser dan Faridah sendiri.

    “Dengan skim kad debit nasional ini, keutamaan kami adalah rakyat. MyDebit satu-satunya pengendali skim kad MyDebit di Malaysia yang tidak mengenakan caj pra-kebenaran RM200 di stesen minyak. Apabila pengguna mahu mengisi minyak, mereka perlu memasukkan jumlah amaun yang diingini. Namun sekiranya jumlah pengisian minyak kurang daripada amaun yang dimasukkan, ia akan dikreditkan semula ke akaun bank pelanggan serta merta selepas sesi mengisi minyak selesai,” ujar Schiesser.

    Sempena pelancaran “FUEL-YoooH MyDebit Je with your ATM Card!”, Petron dan PayNet juga turut melancarkan kempen untuk memberikan ganjaran kepada pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan kad ATM untuk mengisi minyak. Setiap pembayaran untuk mana-mana jenis bahan api di stesen Petron yang menggunakan kad ATM yang dikeluarkan oleh mana-mana bank di Malaysia dengan jumlah perbelanjaan minima RM5 layak untuk menyertai kempen ini. Ia berlangsung sehingga 13 Mac 2020 dan sebanyak 84 hadiah disediakan termasuklah dua unit Proton X70 sebagai hadiah utama. Manakala empat pemenang mingguan pula bakal menerima Petron Gift Card bernilai RM500.

     
     
  • Kerusi keselamatan kanak-kanak: Penjualan perlu ikut piawaian, ibu bapa digalak beli yang berkualiti – Loke

    Kerusi keselamatan kanak-kanak: Penjualan perlu ikut piawaian, ibu bapa digalak beli yang berkualiti – Loke

    Produk kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang kurang berkualiti dan dijual dengan harga yang murah memang melambak di pasaran. Ramai juga ibu bapa yang membelinya terutamanya yang berpendapatan rendah, atas alasan “asal adalah, kalau tak nanti kena saman.” Itulah yang dijawab oleh segelintir kawan-kawan penulis.

    Terkini, Kementerian Pengangkutan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna (KPDNHEP) untuk memantau dan memastikan penjualan CRS adalah memenuhi piawaian selepas ia dikuatkuasakan pada 1 Januari lepas.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata KPDNHEP akan mengambil tindakan kepada syarikat-syarikat pembekal yang menjual CRS tidak mengikut piawaian di bawah Akta Perihal Perdagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

    “Selepas 1 Januari, produk-produk yang masuk pasaran mesti memenuhi piawaian sebab kebanyakan CRS telah diimport,” katanya seperti yang disiarkan oleh Bernama.

    Kerusi keselamatan kanak-kanak: Penjualan perlu ikut piawaian, ibu bapa digalak beli yang berkualiti – Loke

    Tambahnya, kementeriannya mengambil pendekatan praktikal dengan membenarkan ibu bapa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak yang telah dibeli sebelum penguatkuasaan penggunaan kerusi tersebut awal tahun ini.

    “Apa yang kita lakukan sekarang adalah penguatkuasaan dari segi pemakaian sahaja, jadi kita nak jelaskan kepada orang ramai bahawa jangan bimbang sebab banyak persoalan telah ditimbulkan ibu bapa ada yang sudah beli CRS tidak mengikut piawaian jadi mereka boleh gunakan.

    “Sebab kita tidak mahu memaksa pengguna tetapi kita menasihatkan supaya mereka periksa dulu sebelum membeli dan ikut garis panduan. Ada pelekat dan kod QR yang dipaparkan pada kerusi,” katanya.

     
     
  • Damon Hypersport dijana kuasa elektrik, kuasa lebih 200 hp, laju maksimum 321 km/j, harga cuma RM101k

    Damon Hypersport dijana kuasa elektrik, kuasa lebih 200 hp, laju maksimum 321 km/j, harga cuma RM101k

    Satu lagi pengeluar motosikal elektrik muncul, dan kali ini dari Canada iaitu Damon Motorcycles. Mereka telah memperkenalkan model produksi untuk jualan awam, dikenali sebagai Hypersport. 25 unit terhad Hypersport Premier telah habis dijual sementara tempahan Hypersport HS masih lagi dibuka dengan harga USD 25,000 (RM101,713).

    Hypersport digerakkan oleh motor elektrik 160 kW yang mendapat kuasa daripada bateri 21.5 kWh, dan ia dikatakan dapat memberikan kuasa maksimum lebih 200 hp. Pecutan 0-96 km/j (0-60 bsj) boleh dilakukan dalam masa bawah 3.0 saat, sementara laju maksimum pula boleh mencecah 321 km/j.

    Bukan sekadar untuk nikmat kuasa, Hypersport juga boleh memberi jarak gerak sehingga 321 km (perjalanan bercampur antara lebuh raya dan bandar), dan baterinya boleh dicas penuh semula dalam masa bawah tiga jam menggunakan sambungan Level 2.

    Damon Motorcycles turut menjadikan motosikal ini istimewa dengan meletakkan sistem amaran 360 darjah yang dipanggil sebagai CoPilot. Sistem yang menggunakan kamera ini boleh mengesan keadaan sekeliling dan memberikan amaran melalui getaran pada pemegang, lampu LED pada penghadang angin serta memaparkan pandangan belakang pada skrin berhampiran meter.

    Satu lagi ciri menarik, pengguna Hypersport boleh mengubah posisi tunggangan daripada mod sport kepada mod yang lebih selesa untuk kegunaan bandar dengan hanya menekan satu butang sahaja. Ciri yang dipanggil Shift ini akan melaras tempat duduk, peletak kaki, pemegang serta penghadang angin apabila ditekan.

     
     
  • Toyota labur RM1.6b untuk projek teksi terbang

    Toyota labur RM1.6b untuk projek teksi terbang

    Toyota Motor Co melangkah ke gelanggang baharu untuk mobiliti menerusi kerjasama dengan Joby Aviantion (Joby), syarikat aeroangkasa, yang membangunkan teksi elektrik udara untuk kegunaan orang ramai di lebuh raya dan jalan bandar.

    Dengan kos pelaburan sebanyak AS$394 juta (RM1.6 bilion), Toyota menjadi pelabur utama bagi dana projek Siri C tersebut yang menelan belanja keseluruhan sebanyak AS$590 juta dengan pelaburan turut melibatkan syarikat lain termasuk Baillie Gifford dan Global Oryx, selain Intel Capital, Capricorn Investment Group, JetBlue Technology Ventures, SPARX Group serta unit pelaburan Toyota, Toyota AI Ventures.

    “Pengangkutan udara menjadi matlamat jangka panjang Toyota. Walaupun kami akan meneruskan usaha dalam perniagaan automotif, perjanjian ini menetapkan wawasan kami lebih jauh.Dengan kami menyahut cabaran dalam pengangkutan udara bersama Joby iaitu penginovasi dalam sektor all-electric vertical take-off and landing (eVTOL), kami memanfaatkan potensi untuk merevolusikan pengangkutan dan kehidupan masa depan,” kata Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Toyota, Akio Toyoda.

    Selain Toyota, syarikat automotif lain yang turut bakal mengeluarkan teksi udara termasuklah Hyundai yang bekerjasama dengan Uber Technologies Inc, dan usahasama antara Volocopter-Zhejiang Geely Holding Group Co.

     
     
  • TAS2020: Liberty Walk Nissan Skyline R34 Super Silhouette – jelmaan semula R30 Masahiro Hasemi

    TAS2020: Liberty Walk Nissan Skyline R34 Super Silhouette – jelmaan semula R30 Masahiro Hasemi

    Setiap tahun Liberty Walk akan hadir ke Tokyo Auto Salon (TAS) dengan sama ada Supercar dan kereta sport terkini Jepun yang diberikan kit badan super lebar serta suspensi ultra rendah, atau kereta-kereta klasik JDM dari era 70’an yang diberi penampilan Kyusha-kai dan Bosozoku – apa yang akan dilakukan, semuanya hampir boleh di agak.

    Tetapi dalam TAS tahun ini, Liberty Walk nampaknya hadir dengan idea yang sangat segar dan tak terfikir lagi oleh mana-mana badan penala atau bengkel custom – mereka datang dengan sebuah Nissan Skyline R34 yang diberi imej seakan jentera lumba ikonik Nissan Skyline R30 Super Silhouette Group 5 yang dipandu lagenda Nissan, Masahiro Hasemi ketika era Japan GP 80’an dahulu!

    Sebelum bercerita berkenaan R34 Liberty Walk ini, saya rasa elok kita bercerita sedikit berkenaan Skyline R30 asal. Jentera tersebut dihasilkan oleh Hasemi Motorsport, diasaskan dari model produksi Skyline generasi keenam (bukan GT-R dan dikira sejak Prince Skyline ALSI). Di bina untuk perlumbaan Japan Grand Prix, bermaksud ia perlu berlandaskan undang-undang FIA Group 5 yang membenarkan ia menerima ubahsuai yang sangat besar.

    TAS2020: Liberty Walk Nissan Skyline R34 Super Silhouette – jelmaan semula R30 Masahiro Hasemi

    Kereta tersebut diberikan kelengkapan aerodinamik Super Silhouette yang sangat ekstrem terdiri spoiler hadapan dan belakang yang sangat besar, dan juga bahagian sisi badan yang sangat lebar – kereta-kereta dari perlumbaan Super Silhouette inilah yang menjadi inspirasi kepada geng-geng Bosozoku di Jepun. R31 tersebut juga menerima livery ikonik Tomica dengan warna merah di atas dan hitam di bawah badan.

    Super Silhouette asli tersebut dijana oleh enjin LZ20B 2.0 liter empat sebaris turbo yang mampu menghasilkan lebih 570 PS dan tork setinggi 540 Nm. Masahiro Hasemi memandu kereta berkenaan pada Japan GP untuk musim 1982 dengan dua kemenangan dan juga musim 1983 dengan lima kemenangan.

    Okeh, sekarang kita mulakan pula dengan R34 Liberty Walk ini. Ia diasaskan dari Skyline R34 BUKAN DARI VERSI GT-R sebenar. Kenapa Liberty Walk menggunakan asas ini? Sekejap lagi anda akan tahu, dan baca artikel ini dengan penuh kesabaran.

    Seperti jentera Super Silhouette sebenar, R34 ini diberikan overfender berkotak pada semua ruang roda. Spoiler ‘penyodok’ di hadapan dan spoiler gergasi di belakang turut diberikan. Bagi menjadikan ia lebih mirip, Liberty Walk juga meniru bahagian bonet penutup enjin dengan liang yang sama, lengkap dengan sepasang sirip menegak pada kedua-dua hujung sisi.

    Berbanding R30 Super Silhouette asli yang diberikan rim turbin rekaan SSR, R34 Liberty Walk ini hadir dengan rim perlumbaan Advan Racing GT 18-inci, dibalut dengan tayar perlumbaan sebenar Yokohama Advan. Seperti kereta-kereta Liberty Walk lain, sebahagian sebelah atas tayar tersebut wajib tenggelam di dalam fender.

    Kabin R34 ini pula dihasilkan dengan formula mudah – ia ditogelkan, kemudian diberikan set roll cage penuh bersama sepasang tempat duduk bucket pelumbaan Bride bagi memberikan rupa seakan kereta lumba sebenar.

    Cukup terkejut dengan rupa R34 ini? Tunggu dulu, ada satu lagi kejutan yang diberikan oleh Liberty Walk pada kereta ini iaitu enjin – ia tidak dijana oleh enjin RB26, RB25 mahupun pun RB20, sebaliknya LBWK memilih enjin ‘purba’ enam silinder Nissan dari siri-L yang terdapat dalam perut kereta-kereta klasik Nissan seperti Cedric, Gloria dan Fairlady pada era 70’an!

    Atau secara spesifik, enjin tersebut adalah dari versi L28 iaitu varian 2.8 liter yang boleh dijumpai pada model seperti Nissan Laurel dan 280ZX. Ini lah sebab mengapa model GT-R tidak dipilih; enjin RB26 dan sistem pacuan semua roda tidak diperlukan dalam ubahsuai ini.

    Enjin tersebut juga tidak dibiar standard. LB Performance melakukan ubasuai yang biasa dilakukan terhadap enjin L-series 2.8 liter ini, antaranya kapasitinya ditingkatkan hingga 3.1 liter, kepala enjin diubahsuai dengan penggunaan komponen seperti aci sesondol berdurasi lebih tinggi, serta dipadankan dengan karburator perlumbaan jenis side draf.

    Ok, sekarang kita teka pula untuk TAS tahun depan, adakah penala lain atau LBWK sendiri akan membina pula sebuah Nissan Silvia S15 berdasarkan Super Silhouette Racer Nissan Gazelle S110/Silvia S12 pula?

     
     
  • Honda Beat serba baharu diperkenalkan di Indonesia

    Pengedar rasmi motosikal Honda di Indonesia baru sahaja melancarkan skuter Beat serba baharu untuk pasaran sana. Untuk model Beat, ia boleh didapati dalam versi CBS (Combined Brake System) dan CBS-ISS (Idle Smart Stop), manakala untuk Beat Street, ia cuma ditawarkan dalam versi CBS sahaja.

    Sudah tentu, penampilan Beat ini disegarkan kembali dengan keseluruhan panel badan yang baru, sementara peningkatan utama lain adalah penggunaan kerangka eSAF (Enhance Smart Architecture Frame) yang lebih ringan tetapi kuat, lampu hadapan yang kini menggunakan unit LED serta pengecas 12V (untuk versi CBS-ISS sahaja).

    Enjin asasnya masih lagi sama, tetapi merupakan versi yang dipertingkat dengan kapasiti 109.5 cc, sistem suntikan bahan api PGM-FI, kuasa 9.0 PS pada 7,500 rpm, tork 9.3 Nm pada 5,500 rpm serta fungsi ISS. Berat keseluruhan Beat baru ini adalah 89 kg untuk versi CBS dan 90 kg untuk versi CBS-ISS.

    Di bawah tempat duduknya terdapat ruang simpanan 12 liter manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter. Kelengkapan lainnya adalah termasuk rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, fork teleskopik dan satu penyerap hentak di belakang.

    Untuk Beat Street, kebanyakan bahagiannya adalah sama sahaja seperti Beat biasa, tetapi bahagian pemegangnya adalah terdedah dan menggunakan meter jenis digital sepenuhnya. Beat biasa menggunakan meter kombinasi digital dan analog.

    GALERI: Honda Beat 2020 Indonesia

    GALERI: Honda Beat Street 2020 Indonesia

     
     
  • Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah baru capai 22%, mendahului jadual yang disasarkan – Baru Bian

    Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah baru capai 22%, mendahului jadual yang disasarkan – Baru Bian

    Walau pun ada yang beranggapan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah terbengkalai selepas pengambilalihan kuasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, namun hakikatnya projek tersebut masih diteruskan.

    Malahan Menteri Kerja Raya, Baru Bian, mengesahkan, pelaksanaan projek lebuhraya bagi Sabah itu biar pun baru mencapai 22% buat masa ini, namun beberapa pakej pembinaan projek itu sebenarnya mencatat peratus siap yang tinggi dan mendahului jadual.

    “Pakej Donggongon-Papar mencatat 61.65% siap, diikuti pakej Batu 32-Lot M, Sandakan dengan 57%. Manakala pakej laluan Lahad Datu Bypass kini mencatat 34% siap, serta pakej laluan di antara Sindumin dan Kampung Melalia, Sipitang sebanyak 31”.

    “Pakej laluan Bongawan-Papar yang dilaksanakan kontraktor Pembinaan Kekal Mewah pula mendahului jadual sebanyak 0.55% walaupun pencapaian fizikal sebenar baru 20.22%. Saya sendiri akan memantau perkembangannya kerana setiap bulan saya akan melalui kawasan ini dari Kota Kinabalu ke Lawas untuk balik ke kawasan saya,” katanya seperti yang disiarkan oleh Harian Metro.

    Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah baru capai 22%, mendahului jadual yang disasarkan – Baru Bian

    Laluan sepanjang 22.6 kilometer yang bermula dari Bongawan ke Kimanis dan Benoni, Papar itu adalah sebahagian pakej laluan Pan Borneo Sabah di pantai barat dengan kos pembinaan sebanyak RM560 juta.

    Dalam hal lain, Baru juga berkata Sabah turut terbabit dalam projek laluan Lebuhraya Trans Borneo yang menghubungkan Serudong di Kalabakan dengan Simanggaris di Kalimantan yang dihubungkan terus dengan wilayah Sarawak sebelum ke Long Pasia, di Sipitang.

    “Fasa pertama projek itu dimulakan pada tahun ini dengan peruntukan RM600 juta bagi pembinaan Jalan Kalabakan-Serudong, termasuk kompleks kastam, kuarantin dan imigresen (CIQ),” katanya.

     
     
  • TAS2020: Honda S2000 20th Anniversary Prototype

    TAS2020: Honda S2000 20th Anniversary Prototype

    Sedar tak sedar, masuk tahun ini, sudah 20-tahun usia Honda S2000 yang pertama diperkenalkan kepada dunia. Tapi rupa roadster pacuan roda belakang terakhir Honda ini masih segar dan macam baru dilancarkan dua bulan lepas bukan? Evergreen betul, macam Mazda RX-7 FD3S.

    Untuk menyambut ulangtahun ke-20 S2000, divisi aksesori asli Honda yang mengeluarkan jenama Modulo, Honda Access hadir dengan sebuah S2000 istimewa ke Tokyo Auto Salon (TAS) tahun ini, yang digelar sebagai Honda S2000 20th Anniversary Prototype.

    Konsep yang ditunjukkan oleh Modulo terhadap kereta ini mungkin mahu menunjukkan macam mana rupa facelift terkini S2000 sekiranya ia masih dijual di bilik pameran.

    TAS2020: Honda S2000 20th Anniversary Prototype

    Diasaskan dari model pre-facelift dengan kod casis AP1, S2000 20th Anniversary Prototype menampilkan bampar hadapan berbeza – dengan muncung yang lebih panjang, bersama liang udara yang direka dengan bentuk trapezoid. Bahagian lain masih lagi sama, kecuali satu lip spoiler berwarna hitam dipasang pada penutup but belakang.

    Badan ‘prototaip’ dilayangkan dengan warna putih Grand Prix White, kemudian set rim asal S2000 berkenaan ditukarkan dengan set aftermarket Advan RZ2 17-inci berwarna hitam.

    Dalam kabin, ia masih lagi kelihatan standard. Tempat duduk asal S2000 ini dibalut semula dengan kulit merah bersama logo 20th Anniversary. Logo yang sama turut kelihatan pada karpet kaki, penutup pemain audio kaset (kaset tahu?kaset!), dan juga cermin deflektor kecil di belakang tempat duduk.

    Honda S2000 AP1 mula diproduksi dan masuk ke pasaran domestik Jepun pada penghujung tahun 1999, dijana oleh enjin F20C 2.0 liter DOHC i-VTEC empat-slinder yang boleh menjerit sehingga 9,000 rpm dalam keadaan standard. Versi JDM ditala bagi menghasilkan 250 PS/218 Nm, manakala model yang dieksport keluar hanya menjana 240 PS.

    Lain dari kebiasaan model-model Honda yang terkenal dengan pacuan hadapan, S2000 adalah model kedua yang direka dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang, di mana kuasa dari enjin tersebut dialirkan ke gandar belakang menerusi kotak gear short shift enam-kelajuan manual yang mampu membuatkan anda termimpi-mimpi walaupun hanya bermain dengannya ketika kereta tidak bergerak.

    Honda memperkenalkan versi facelift S2000 pada tahun 2004, dikenali dengan kod casis AP2 dijana enjin F22C 2.2 liter DOHC i-VTEC yang mnghasilkan tork lebih besar. Ada khabar angin bahawa Honda akan mnghasilkan semula generasi baharu untuk S2000 ini, tetapi ia masih samar dan bersandarkan sumber-sumber yang lemah.

    Selain S2000, Modulo turut menghasilkan satu lagi kereta konsep berdasarkan model lama Honda ke TAS tahun ini iaitu Civic EK9 Cyber Night Japan Cruiser 2020.

     
     
  • TAS2020: TOM’S GR Supra A90 – 460 PS/579 Nm, dibina terhad hanya 99 unit, harga bermula RM570k

    TAS2020: TOM’S GR Supra A90 – 460 PS/579 Nm, dibina terhad hanya 99 unit, harga bermula RM570k

    Tahun lepas TOM’S cuma dapat bawa Corolla Sport ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2019. Tahun ini disebabkan Toyota secara rasmi telah menjual GR Supra A90 secara rasmi, jadi mereka mempunyai sesuatu yang lebih menarik untuk ‘bermain’; mempersembahkan, TOM’S GR Supra – bukan model konsep, tetapi dihasilkan secara terhad hanya 99 unit, dan anda boleh belinya dengan harga bermula 14.23 juta yen (RM570k)!

    TOM Supra ini bukan model yang diberikan tingkat taraf pada rupa semata-mata, di mana ia juga hadir dengan jumlah kuasa lebih besar dan prestasi lebih baik dari GR Supra standard. Tiada enjin 2JZ dalam perut Supra ini, sebaliknya enjin 3.0 liter enam-silinder turbo BMW B58 asal masih digunakan.

    Tetapi dengan penukaran pengecas turbo, unit intercooler dan sistem ekzos aliran lebih tinggi serta talaan semula pada kotak komputer, TOM’S Supra ini bernafas dengan 460 PS dan tork maksima 579 Nm, atau 120 PS/79 Nm lebih berkuasa dari asal.

    TAS2020: TOM’S GR Supra A90 – 460 PS/579 Nm, dibina terhad hanya 99 unit, harga bermula RM570k

    Pengedalian dan juga prestasi membrek juga diambil perhatian oleh TOM’S untuk versi edisi terhad ini. Kesemua penyerap hentak asal GR Supra berkenaan digantikan dengan set suspensi boleh laras sepenuhnya TOM’S Advox. Manakala brek hadapan Brembo asli Supra juga telah ditanggalkan bagi digantikan dengan angkup enam-silinder bersama cakera 380 mm, juga dibekalkan oleh Brembo.

    Seperti yang anda boleh lihat, rupa luaran TOM’S Supra ini juga jauh lebih ganas dari Supra A90 standard. Kesemua fender kereta ini kelihatan lebih gemuk dari biasa menerusi pemandanan kit badan lebih lebar. Bampar hadapan menerima kemasan tambahan pada sisi untuk diserasikan dengan overfender tersebut, bersama spoiler bawah gentian karbon yang jauh lebih besar.

    Udara yang ‘dikaut’ dari hadapan, kelihatan seperti terus ‘disambut’ oleh splitter udara gentian karbon pada skirt sisi. Di belakang, punggung Supra yang sudah sedia menghairahkan ini diberikan diffuser gentian karbon yang jauh lebih agresif bersama empat tip ekzos oval bersaiz besar yang datang dari muffler sistem ekzos lengkap dari TOM’S berkenaan.

    TOM’S turut memberikan spoiler belakang dengan sayap yang besar, diletakkan bertenggek di atas ‘ekor itik’ asal GR Supra ini. Berbeza dengan model-model TOM’S sebelum ini yang sinonim dengan rim-rim JDM seperti Volk Racing, TOM’S GR Supra dibekalkan dengan rim yang agak BMW iaitu Vossen – mungkin atas faktor lubang PCD dan offset yang lebih mudah.

    Unit yang di pamerkan di Makuhari Messe ini hadir dalam warna hijau satin. Tapi mengikut brosur yang kami terima, anda turut boleh memilih lima warna lain iaitu putih, kelabu, hitam, merah dan kuning – kami tak faham dengan tulisan Jepun yang tertulis, tapi mungkin kesemua warna tersebut adalah warna yang sama dengan GR Supra standard.

    Kesemua warna ini akan diberikan serlahan jalur hijau fluoroscent pada spoiler hadapan, sirip udara skirt sisi, diffuser belakang dan sekeliling rim. Pada bahagian dalaman pula, TOM’S GR Supra ini hadir dengan tempat duduk bucket TOM’S yang dihasilkan oleh Esqueleto.

    Bagi mereka yang tidak mengenali TOM’S (Tachi Oiwa Motor Sports), syarikat ini merupakan penala persendirian yang ditubuhkan di Jepun oleh Nobuhide Tachi dan Kiyoshi Oiwa pada tahun 1974.

    Syarikat tersebut kemudiannya dilantik sebagai salah satu badan perlumbaan dan penala rasmi Toyota bagi menghasilkan pelbagai produk berpretasi tinggi. TOM’S juga terkenal dengan menghasilkan model-model talaan khasnya seperti T020 (diasaskan dari Toyota MR-2) dan T111 (dari Toyota Corolla Sprinter Trueno AE111) serta kereta lumba ikonik Castrol TOM’S Supra yang berlumba di JGTC.

     
     
  • Lebuhraya Pantai Barat bakal mulakan kutipan tol

    Lebuhraya Pantai Barat bakal mulakan kutipan tol

    Kerajaan telah pun memberikan kebenaran kepada West Coast Expressway Holdings Berhad (WCEHB) yang mengendalikan Lebuhraya Pantai Timur (WCE) sepanjang 233 km untuk memulakan kutipan tol, berkuat kuasa serta merta, menurut warta kerajaan persekutuan. Warta tersebut memaklumkan kutipan tol untuk lebuhraya terbabit adalah bagi tempoh 44 tahun, bermula 15 Januari 2020 hingga 19 Disember 2063.

    Dibina dengan kos bernilai RM5.044 bilion, WCE yang menghubungkan Banting, Selangor dengan Taiping, Perak, mempunyai 21 persimpangan, iaitu 11 di Perak dan 10 lagi di Selangor. Plaza tol bagi WCE ini terletak di Hutan Melintang, Teluk Intan, Kg Lekir, Sitiawan, Utara Sitiawan, Changkat Chermin dan Beruas.

    Sehingga Disember 2019, WCE telah pun siap sebanyak 71% dengan jajarannya yang telah dibuka di Seksyen 5 dari Persimpangan Bertingkat Lebuh Raya Pintasan Selat Klang Utara Baru (NNKSB) ke Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja.


    Kadar tol bagi WSE – Klik untuk besarkan

    WCE ini dibina bagi menghubungkannya terus dengan Lebuhraya Utara-Selatan kendalian PLUS, dan dijangka mampu mengurangkan kesesakan trafik di bahagian pantai barat. Pada mulanya, pembinaan WCE ini dijangka selesai pada hujung 2019, namun beberapa kali ia tertangguh ekoran melibatkan prosedur untuk pengambilalihan tanah dan rancangan jajaran laluan yang ditentukan oleh kerajaan terdahulu.

    “Pengambilalihan tanah telah pun 95% selesai dan kini kami perlu meneruskan kerja-kerja pembinaan untuk Seksyen 7 dan 11 – dua seksyen terakhir – yang dijangka selesai sepenuhnya pada 2022,” ujar CEO WCEHB Datuk Neoh Soon Hiong seperti yang dilaporkan oleh The Star.

    Seksyen 4 untuk WCE ini dijangka akan dibuka pada separuh pertama tahun ini, disusuli dengan Seksyen 1,2,3 dan 6 pada 2021, manakala dua seksyen terakhir iaitu Seksyen 7 dan 11 pula pada tahun 2022.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026