Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Subaru WRX S4 STI Sports – pengendalian lebih baik dengan suspensi Bilstein, sentuhan semula STI

    Subaru WRX S4 STI Sports – pengendalian lebih baik dengan suspensi Bilstein, sentuhan semula STI

    Subaru telahpun mendedahkan Subaru WRX S4 STI Sports yang bakal menerjah pasaran Jepun pada 21 September ini. Namun jangan terkeliru, ini bukanlah salah satu edisi atau varian dari model paling berkuasa WRX STI, tetapi model WRX yang lebih rendah dari versi S4 tetapi menerima sentuhan Subaru Technica International seperti BRZ dan Levorg STI Sports.

    Menurut Subaru, WRX S4 STI Sports ini menggabungkan keselesaan pemanduan, ketangkasan pengendalian dan juga kestabilan yang tinggi. Ia dicapai dengan melengkapkan kereta ini bersama suspensi DampMatic II dari Bilstein untuk bahagian hadapan dan juga penyerap hentak pasif di belakang serta set spring baharu, kemudian kesemuanya ditala semula oleh STI.

    STI turut memadankan pengapit khas pada cagak rak stereng, bagi membolehkan pemasangannya lebih tegar seterusnya meningkatkan respon stereng itu sendiri.

    Bagi membezakan rupa model tertinggi ini dengan WRX S4 biasa, ia diberikan lencana STI pada gril hadapan, fender hadapan dan bahagian belakang serta kemasan hitam berkilat pada spoiler dagu hadapan, spoiler pada but belakang, antena sirip yu dan juga penutup cermin sisi. Penampilan sedan sport ini dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi 18-inci pelbagai jejari berwarna kelabu, dibaluti tayar 245/40R18.

    Masuk ke kabin, model ini menerima pelbagai lagi lencana STI seperti pada bendul sisi, paparan pelbagai info dan roda stereng. Pemandu dan penumpang hadapan pula dapat menikmati tempat duduk dari Recaro dengan balutan kulit “Bordeaux” dan baldu, manakala upholsteri pada bahagian lain seperti roda stereng, tombol dan gaiter gear, panel dalaman pintu turut menerima material kulit dengan serlahan jahitan berwarna merah.

    Subaru WRX S4 STI Sports – pengendalian lebih baik dengan suspensi Bilstein, sentuhan semula STI

    Tiada peningkatan kuasa dinyatakan, jadi model ini masih dijana oleh enjin boxer FA20 2.0 liter empat-silinder suntikan bahan terus dengan pengecas turbo berkuasa 300 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,000 hingga 4,800 rpm. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem Symmetrical AWD Subaru, dan sebelum itu diterima oleh kotak gear automatik Sport Lineartronic CVT.

    Model JDM ini ditawarkan dalam lima warna – perak, putih, kelabu, merah dan biru WR – dan bakal dijual pada harga 4,093,200 yen termasuk cukai-cukai yang telah ditetapkan pada pasaran negara matahari terbit tersebut.

     
     
  • Daihatsu Malaysia perkenalkan van panel Gran Max 1.5L dengan transmisi automatik secara rasmi

    Daihatsu Malaysia perkenalkan van panel Gran Max 1.5L dengan transmisi automatik secara rasmi

    Daihatsu Malaysia kini telah memperkenalkan model van panel Gran Max 1.5 dengan transmisi automatik untuk pasaran tempatan. Model ini juga sudah dibuka untuk tempahan bermula pertengan Ogos lalu. Merupakan sebuah kenderaan komersial ringan untuk kegunaan perniagaan, ini merupakan model pertama Daihatsu bagi segmen berkenaan yang dilengkapi dengan transmisi automatik (AT).

    Sejak mula bertapak di Malaysia pada 1980, Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd telah menjual sejumlah 67,254 unit kenderaan komersial ringan (LCV) di sini. Direka untuk memenuhi keperluan perniagaan kecil dan sederhana (SME), penawaran van panel terbaru ini mampu menampung berat keseluruhan sebanyak dua tan, termasuk beban.

    Daihatsu Gran Max ini menggunakan enjin 1.5 liter DVVT DOHC yang menghasilkan kuasa maksimum 71kW pada 6,000 rpm manakala tork 134 Nm pada 4,400 rpm – dengan sistem suntikan minyak elektrik (EFI). Van ini juga menggunakan sistem pacuan roda belakang, dan dipadankan dengan sistem transmisi automatik empat-kelajuan.

    “Walaupun produk ini dipasang di kilang ADM Jakarta, ketiga-tiga cabang Daihatsu di Jepun, Indonesia dan Malaysia telah bekerja sama untuk menjalankan kajian terhadap faktor tempatan masing-masing. Cara pemanduan kenderaan komersial berbeza dengan kereta biasa, jadi kami ingin memudahkan lagi urusan pelanggan dengan menawarkan versi automatik ini,” jelas Pengarah Urusan Daihatsu Malaysia dan Pemangku Presiden & CEO MBM Resources, Dr. Iqbal Shaharom.

    Sebagai langkah untuk meningkatkan ciri keselamatan model ini, Daihatsu turut melengkapinya dengan ciri ABS serta dua beg udara SRS untuk pemandu dan penumpang.

    Daihatsu Gran Max Panel Van (AT) terbaru ini dijual pada harga RM69,888, tidak termasuk insurans. Ia juga didatangkan dengan jaminan tiga tahun atau 100,000 km. Bagi pelanggan yang menempah awal sebelum 30 September ini, mereka akan menikmati pakej penyelenggaraan percuma selama setahun.

     
     
  • Audi A1 Sportsback varian paling asas di Jerman – rim besi dan penutup plastik, tiada radio, bermula RM104k

    Audi A1 Sportsback varian paling asas di Jerman – rim besi dan penutup plastik, tiada radio, bermula RM104k

    Di Malaysia, Audi dilihat sebagai jenama premium, perkara ini sebenarnya sama seperti di negara asalnya di mana kedudukannya adalah lebih tinggi dari Volkswagen dan sebaris dengan BMW serta Mercedes-Benz. Namun dengan situasi pasaran yang semakin mencabar, jenama-jenama ini mula untuk memperkenalkan model-model ‘entry level’ bagi memperluaskan bahagian pasaran, contohnya Mercedes-benz A-Class, BMW 1 Series serta Audi A1.

    Nampaknya Audi sudah mula memecahkan satu lagi tradisi, dengan memperkenalkan model entry level dengan kelengkapan paling asas Audi A1 Sportback yang sekitar RM15k lebih murah dari varian S line.

    Pada bahagian luaran, model asas ini hanya diberikan lampu hadapan halogen, rekaan bampar hadapan lebih ringkas dan juga rim besi berdiameter 15-inci dengan penutup plastik sembilan-jejari. Namun pembeli masih lagi ditawarkan dengan opsyen lampu LED dan juga rim aloi bersaiz 15- dan 16-inci jika sudi untuk membayar lebih.

    Masuk ke kabin, hatchback ini diberikan tempat duduk biasa dengan balutan fabrik, manakala pada papan pemuka tiada suis digital diberikan untuk sistem penghawa dingin manual. Paling ketara, kereta ini bukan sahaja tiada skrin infotainmen, malah ia langsung tiada radio dan juga pembesar suara.

    Walau bagaimanapun, papan instrumen masih kekal dengan skrin digital tanpa pilihan meter-meter analog. Audi juga menawarkan kelengkapan opsyen pada bahagian dalaman – pilihan tempat duduk sports serta pelbagai upholsteri kulit dan fabrik serta roda stereng rata di bawah – dengan bayaran tambahan.

    Model paling asas ini juga dijana dengan enjin paling asas iaitu unit petrol turbo 1.0 liter tiga silinder dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 116 PS/200 Nm, digandingkan bersama kotak gear manual enam-kelajuan. Ini membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 203 km/j. Versi automatik dengan kotak gear DCT enam-kelajuan turut disediakan namun dengan harga yang lebih mahal.

    Di Jerman, Audi A1 Sportsback ‘kosong’ ini dijual pada harga 21,700 Euro atau sekitar RM104k. Agak-agak kalau model ini ditawarkan di Malaysia, ada ke yang sanggup beli kereta tanpa radio dengan harga lebih RM100k?

     
     
  • Toyota Corolla Touring Sports – wagon generasi baru

    Toyota Corolla Touring Sports – wagon generasi baru

    Selepas model Corolla Hatchback generasi baharu diperkenalkan awal tahun ini, Toyota kini memperkenalkan pula satu lagi versi model ikonik tersebut – bukan sedan, tetapi wagon yang diberi nama Toyota Corolla Sports Touring.

    Menurut Toyota, model ini direka di studio Pusat Rekaan Toyota Eropah yang terletak di Zaventem, Belgium dan turut dibangunkan di benua berkenaan, disasarkan untuk mereka yang “inginkan praktikaliti dan gaya tanpa kompromi.” Jenama tersebut turut mendakwa bahawa wagon ini bukan variasi dari model hatchback, sebaliknya adalah model yang dibangunkan secara tersendiri.

    Walau bagaimanapun, jika diamati dari muka hingga ke pintu hadapan, rekaan wagon ini adalah seiras dengan versi hatchback. Namun berbanding hatchback yang mempunyai dua garis bahu – garis utama naik ke tiang-C, manakala satu lagi bermula dari pintu belakang hingga lampu belakang – model Touring Sports ini hanya mempunyai satu garis bahu yang bermula dari fender hadapan hingga lampu belakang.

    Toyota Corolla Touring Sports – wagon generasi baru

    Seperti juga model-model wagon baharu dalam pasaran, bahagian belakang kereta ini tidak direka petak, tetapi menerapkan rekaan shooting brake dengan garis bumbung tirus kebelakang, bersama cermin belakang yang lebih leper. Toyota belum lagi mendedahkan rekaan belakang sepenuhnya wagon ini, namun menerusi imej sedia ada dapat dilihat lampu LED belakang yang tirus mungkin menerima rupa yang hampir seiras dengan versi hatchback.

    Bagi menyerlahkan lagi penampilan sebuah kenderaan utiliti, Corolla Touring Sports diberikan kemasan seperti rel bumbung berwarna perak, kemasan hitam disekeliling gril hadapan, serta pilihan warna badan dua-tona dengan bumbung dan tiang menerima cat berwarna hitam.

    Bukan sekadar bahagian storan belakang yang ditambah dengan kapasiti muatan 598 liter berbanding 507 pada model hatch standard, malah model wagon ini juga sebenarnya mempunyai jarak roda lebih panjang dengan dimensi 2,700 mm, berbanding 2,640 mm pada model hatchback. Menurut Toyota, ini membolehkan kereta berkenaan mempunyai ruang kelegaan lutut yang paling luas dalam kelasnya.

    Seperti juga model hatchback, Touring Sports ini juga hadir dengan tiga pilihan janakuasa. Enjin konvensional hanya ditawarkan dengan pilihan unit petrol turbo 1.2 liter berkuasa 116 hp, manakala untuk versi 1.8 liter dan 2.0 liter tanpa induksi paksaan, ia hadir bersama padanan sistem hibrid elektrik masing-masing berkuasa 122 hp dan 180 hp.

    Dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C, unit janakuasa diletakkan serendah mungkin manakala bateri hibrid pula berada pada bahagian tempat duduk belakang, memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan. Menurut Toyota lagi, buat pertama kali penyerap hentak dengan teknologi Suspensi Adaptif Bervariasi (AVS) diperkenalkan menerusi Corolla Touring Sports ini.

    Ciri-ciri lain yang turut ditampilkan pada model ini termasuk meter pemandu 3-D, paparan Head-up premium, sistem bunyi premium JBL GreenEdge dan Toyota Touch Multimedia System yang memberikan fungsi pengecas telefon pintar tanpa wayar.

     
     
  • Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Bermula semalam, pemasangan pelekat bagi program tempoh percubaan bagi sistem RFID Touch ‘n Go telah dimulakan. Ini sistem pembayaran elektronik terbaru yang akan digunakan di plaza tol, sebagai tambahan kepada kad Touch ‘n Go dan SmartTag.

    Jadi, kami telah pun membuat pemasangan pelekat tersebut semalam. Dan ini perkara yang anda perlu tahu tentangnya. Perantinya adalah dalam bentuk pelekat yang nampak ringkas dan kecil, tentunya bersekali dengan cip elektronik khas yang akan memancarkan gelombang. Satu tag atau pelekat hanya untuk kegunaan satu kereta. Kalau anda ada lebih dari satu kereta, semuanya perlukan pelekat RFID berasingan.

    Peranti pelekat ini akan dihubungkan kepada aplikasi Touch ‘n Go eWallet pemiliknya – yang menyimpan kadar nilai wang semasa untuk kegunaan bayaran tol. Ketika kereta dengan kit RFID ini melalui plaza tol, pengimbas yang terletak di bahagian atas akan membawa gelombang frekuensi daripada pelekat berkenaan dan akan menolak nilai tol yang dikenakan dari eWallet yang dihubungkan padanya.

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Untuk memudahkan anda, bayangkan eWallet ini adalah versi elektronik atas talian bagi kad Touch ‘n Go anda. Ia tidak dihubungkan kepada kad kredit atau akaun bank anda; sebaliknya anda perlu menambah nilai dalam eWallet berkenaan. Berapa yang anda “topup”, banyak itulah nilai yang akan ada. Untuk tambah nilai, mudah saja. Boleh gunakan kad kredit atau perkhidmatan perbankan atas talian (CIMB Clicks, Maybank2U dll) dan tiada kos tambahan dikenakan.

    Selepas pendaftaran untuk tempoh percubaan ini dibuka bulan lalu (pelaksanaannya akan bermula Januari 2019), kereta Hafriz Shah dari editorial Bahasa Inggeris kami telah terpilih untuk menjadi antara yang terawal dipanggil untuk pemasangan pelekat RFID berkenaan. Tempoh percubaan ini hanya terbuka kepada pengguna lebuhraya di Lembah Klang sahaja, bagi kenderaan dari Kelas 1.

    Tiada bayaran yang dikenakan bagi mereka yang terpilih bagi pelekat berkenaan, bagaimanapun mereka perlu menambah nilai eWallet sendiri. Bagi yang terpilih, anda perlu membuat temujanji untuk pemasangan pelekat itu, yang mengambil masa tak sampai 15 minit.

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Dan, anda perlu ke lokasi pemasangan yang ditetapkan; pemasangan akan dilakukan oleh petugas TnG. Anda tak boleh datang sekadar untuk mengambil pelekat berkenaan dan ingin memasangnya sendiri di rumah.

    Ini kerana, pelekar RFID itu perlu diuji terlebih dahulu dilokasi pemasangan. Daripada maklumat yang diperoleh ketika sesi pemasangan semalam, TnG menerima kira-kira 100,000 pendaftaran daripada mereka yang berminat untuk program ini. Bagaimanapun hanya 10,000 pengguna bertuah akan terpilih untuk tempoh percubaan ini.

    Ketika ini, setiap lokasi pemasangan menampung 60 kereta sehari, dan akan dinaikkan kepada 100 kereta sehari selepas ini. Selain pejabat NPE Pantai Dalam, empat lokasi lain untuk tujuan ini ialah di Customer Experience Centre di Bangsar South, R&R Awan Besar Kesas, tol Loke Yew Besraya dan Salak Selatan di MEX.

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Setakat ini, 16 lebuhraya sudah mempunyai lorong untuk RFID; jumlahnya akan bertambah nanti. Untuk mengenal pasti lorong yang betul, anda hanya perlu lihat logo “RFID Tag”. Ada lorong yang akan berkongsi juga dengan bayaran TnG dan SmartTag.

    Bagaimana sekiranya anda terlupa dan tetap menggunakan SmartTag di lorong yang membaca kedua-dua peranti ini? Jangan risau, pemotongan terhadap RFID akan diberi keutamaan, dan bukan ke atas kedua-duanya sekali gus. Pelekat RFID ini akan dilekatkan pada bahagian lampu utama atau pun pada cermin besar kereta anda. Tetapi, jika untuk cermin besar hadapan, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

    Ia tidak boleh dilekatkan di bahagian dalam, kerana pengimbas sukar menembusi filem penapis haba yang digunakan. Ia juga tidak boleh dilekatkan berhampiran bahagian besi pada kerangka badan kereta di keliling cermin utama berkenaan. Dan kalau hendak dilekatkan di luar, pastikan ia dilekatkan di luar “zon oeprasi” pengilap cermin kereta anda.

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Jadi, pilihan terbaik adalah untuk melekatkannya pada bahagian lampu utama, kerana isyarat dan gelombangnya boleh dibaca dengan jelas. Pelekatnya pula lutsinar; namun dapat dilihat jalur dan cip elektronik yang ada padanya.

    Beri perhatian juga sekiranya kereta anda menggunakan sistem lampu LED kerana ia mungkin akan mengganggu pancaran cahayanya. Kami sempat melihat sebuah Audi A4 dengan lampu Matrix LED kembali semula untuk mengalih kedudukan pelekat berkenaan.

    Selepas pemasangannya, TnG akan menghantar SMS dalam tempoh 24 jam untuk memaklumkan RFID anda telah diaktifkan. Sepanjang yang sempat dicuba, kami dapati sistem berkenaan berfungsi dengan baik. Anda boleh memandu sekitar 50 km/j ketika melalui lorong RFID dan ia akan membacanya tanpa sebarang masalah.

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    RFID ini dapat dikesan dalam jarak 2 meter berbanding hanya 1.5 meter bagi SmartTag. Tiada bunyi beep selepas anda melalui, begitu juga tiada paparan jumlah baki eWallet anda akan kelihatan. Anda akan melalui gerbang tol dengan lebih cepat. Dan pelekat ini tidak memerlukan sumber kuasa seperti bateri untuk beroperasi.

    Jadi, inilah perkara yang anda perlu tahu tentang cara RFID ini berfungsi. Jika anda antara 10,000 pengguna yang terlibat dengan tempoh percubaan ini, jangan lupa untuk biasakan diri dengan senario-senario yang kami nyatakan ini. Kongsikan juga penagalaman anda nanti.

     
     
  • JPJ sedia senarai 45 kamera AWAS yang beroperasi

    JPJ sedia senarai 45 kamera AWAS yang beroperasi

    Seperti yang kita sedia maklum, bermula 1 September 2018, keseluruha aspek operasi bagi Automated Enforcement System (AES) dan Automated Awareness Safety System (AWAS) telah diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Untuk itu, jabatan berkenaan telah mengeluarkan senarai lokasi yang menempatkan semua 45 kamera AWAS yang aktif beroperasi; 29 daripadanya adalah untuk memantau kesalahan had laju, sementara baki 16 laki adalah untuk mengesan perlanggaran lampu isyarat.

    Pengguna jalan raya yang menghampiri kawasan kamera berkenaan akan dimaklumkan dengan papan tanda yang dipasang, dua dan tiga kilometer sebelum tiba dilokasi tepat. Bagi kamera untuk lampu isyarat pula, papan tanda akan dipasang antara 50 hingga 1,000 meter dari kedudukan kamera.

    Di bawah sistem AWAS, yang turut merangkumi sistem mata demerit Kejara, pengguna yang melakukan kesalahan trafik (melanggar had laju atau lampu merah) akan dikenakan saman RM300 yang mesti dilunaskan dalam masa 60 hari. Mereka juga akan mengumpul mata demerit bergantung kepada kesalahan yang dilakukan, dengan 20 mata pertama akan menyebabkan mereka dikenakan amaran oleh JPJ.

    20 mata demerit seterusnya akan menyebabkan lesen pengguna digantung selama enam hingga lapan bulan. Dalam peringkat berikutnya – ketiga dan keempat – kesalahan 20 mata bagi setiap peringkat itu masing-masing boleh menyebabkan lesen digantung antara lapan hingga 10 bulan, dan sepuluh bulan hingga setahun.

    Lesen anda juga berhak dibatalkan sekiranya ia telah digantung tiga kali dalam tempoh lima tahun. Mereka dengan lesen percubaan juga tidak terkecuali; 20 mata pertama akan menyebabkan lesen ditarik balik.

    Dalam sebuah laporan The Star, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata; “pesalah yang tidak menjelaskan saman akan dipanggil ke mahkamah. Jika gagal hadir, mereka akan disenarai hitam daripada sebarang urusan dengan JPJ sehinggalah kes berkenaan selesai. Ini termasuk untuk mendapatkan cukai jalan, atau mendapat/memperbaharui lesen.”

    “Saya ingin tekankan, sebab utama pelaksanaan kamera AWAS ini adalah untuk mendidik dan melindungi pemandu, terutama ketika melalui zon-zon operasi ini,” tambah beliau.

     
     
  • SST: Harga MINI – semua model JCW naik RM7,000 manakala varian Countryman pula turun RM5,000

    SST: Harga MINI – semua model JCW naik RM7,000 manakala varian Countryman pula turun RM5,000

    Selain harga kenderaan BMW, BMW Malaysia turut menyiarkan senarai harga baru dengan SST untuk barisan model MINI yang mula dikuat kuasakan bermula 1 September. Seperti yang boleh disaksikan di bawah, barisan model F54 Clubman iaitu Cooper Clubman, Cooper S Clubman dan John Cooper Works Clubman semuanya naik masing-masing RM4,000, RM5,000 dan RM7,000

    Bagi model F60 Countryman pula, dua model yang berada dalam barisan model tersebut telah menyaksikan penurunan harga sebanyak RM5,000 berbanding harga waktu pelaksanaan GST, iaitu Countryman Sports dan varian plug-in hybrid. Model JCW Countryman pula kini dijual pada harga RM7,000 lebih mahal.

    SST: Harga MINI – semua model JCW naik RM7,000 manakala varian Countryman pula turun RM5,000

    Sementara itu, beberapa model yang dilancarkan waktu ‘cuti cukai’ sebelum ini iaitu F56 3 pintu, F55 5 pintu dan JCW 3 pintu, semuanya menyaksikan peningkatan harga kerana sekarang dikenakan cukai SST berbanding waktu pelancaran, tiada cukai SST atau GST.

    Senarai harga baru MINI ini juga dimasukkan sekalil dengan barangan pilihan tambahan. Sebagai contoh, terdapat piihan tempat duduk kulit Dinamica untuk Cooper S 5 pintu, yang akan memerlukan tambahan RM5,000 kepada harga jualan kereta. Untuk tiga model JCW iaitu model 3 pintu, Clubman dan Countryman pula didatangkan dengan piilhan bumbung panoramik, yang memerlukan tambahan RM9,000.

     
     
  • LPT3 tetap diberi keutamaan – Tim. Men. Kerja Raya

    LPT3 tetap diberi keutamaan – Tim. Men. Kerja Raya

    Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir mengesahkan kerajaan akan memberi keutamaan kepada pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) berbanding projek mega lain untuk kemudahan penduduk di Terengganu dan Kelantan, laporan Bernama.

    Menurutnya, sebarang keputusan untuk melaksanakan projek lebuh raya sepanjang 147 kilometer dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan itu turut mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan.

    “Kerajaan akan mengambil perhatian serius berkenaan isu ini, malah menghargai YB dari Terengganu dan Kelantan yang memperjuangkan isu LPT3 ini. Saya berharap kalau keadaan fiskal dan kewangan boleh diperbaiki dalam masa terdekat, isu ini akan diberi keutamaan, bukannya projek mega lain,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Engku Naimah Engku Taib yang ingin mengetahui status LPT3 selain berharap kerajaan dapat meneruskan projek itu.

    Mohd Anuar berkata, kementerian akan berbincang dan mendapatkan nasihat daripada kementerian dan agensi pusat lain seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara sebelum membuat sebarang keputusan lanjut mengenai projek itu.

    Menurutnya, Kajian Kemungkinan Awalan projek LPT3 yang siap pada 2009 mendapati tiga daerah di Terengganu akan terbabit dalam projek berkenaan iaitu Kuala Terengganu, Setiu dan Besut manakala di Kelantan lima daerah iaitu Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat

     
     
  • SPYSHOT: Porsche 911 generasi baharu terdedah, sedang diuji tanpa sebarang pelekat penyamaran

    SPYSHOT: Porsche 911 generasi baharu terdedah, sedang diuji tanpa sebarang pelekat penyamaran

    Generasi seterusnya untuk kereta sport ikonik Porsche 911 atau dikenali sebagai generasi 992 telah pun dilihat diuji tanpa apa-apa pelekat penyamaran. Sebelum ini, 911 tersebut telah pun dilihat berkeliaran dan dilihat mempunyai empat tip ekzos (model berwarna merah), manakala gambar terbaharu (unit berwarna biru) pula dilihat hanya mempunyai dua tip ekzos.

    Ini mungkin kerana kedua-duanya adalah dari versi berlainan – versi lebih berkuasa dengan empat tip ekzos, sementara versi Carrera bagi unit yang berwarna biru.

    Generasi 992 ini masih mengekalkan muka tradisi 911 dengan lampu berbentuk oval. Namun model terbaharu ini menampilkan bampar hadapan dengan liang udara yang lebih bersegi. Perubahan drastik dapat dilihat pada bahagian belakang di mana kluster lampu konvensional kini digantikan dengan lampu berbentuk jalur bersaiz penuh.

    Porsche juga masih belum mengeluarkan apa-apa pengesahan berkenaan unit janakuasa untuk model generasi seterusnya tersebut, tetapi berkemungkinan versi Carrera akan terus dikuasakan dengan enjin boxer enam-silinder 3.0 liter petrol turbo seperti model sedia ada. Pilihan kotak gear manual dan klac berkembar automotik turut terus akan ditawarkan, bersama pilihan pacuan belakang atau semua roda.

    Sehingga kini, tiada lagi rekaan dalaman untuk kereta sport baharu ini terdedah. Namun boleh dijangka ia mungkin tidak akan lari jauh dari rekaan pada SUV Cayenne dan model empat pintu Panamera – menampilkan rekaan Advanced Cockpit terdiri dari instrumen dengan takometer bersaiz besar pada bahagian tengah diapit dengan sepasang skrin digital.

     
     
  • Malaysia dan Singapura sepakat tangguh pembinaan HSR bagi tempoh dua tahun, tiada bayaran pampasan

    Malaysia dan Singapura sepakat tangguh pembinaan HSR bagi tempoh dua tahun, tiada bayaran pampasan

    Malaysia dan Singapura telah bersepakat untuk menangguhkan pembinaan projek keretapi laju HSR KL-Singapura, tanpa melibatkan sebarang bayaran pampasan. Ia akan disambung kembali selepas dua tahun, iaitu pada 31 Mei 2020, dan persetujuan ini dicapai dalam “semangat kejiranan” yang baik antara kedua-dua negara, lapor The Edge.

    “Singapura telah bersetuju dengan cadangan kerajaan Malaysia untuk menangguhkan pelaksanaan projek ini sehingga keadaan ekonomi bertambah baik,” jelas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali seperti dilaporkan oleh Channel NewsAsia.

    Di dalam laporan berkenaan, sumber menyatakan bahawa Singapura memahami keadaan Malaysia yang ketika ini sedang menilai semula kedudukan kewangannya, dan pembinaan HSR ketika ini akan menjadi beban. Sebelum ini dilaporkan bahawa Malaysia akan dikenakan pampasan RM500 juta kepada Singapura sekiranya projek itu dibatalkan.

    “Tiada pampasan yang perlu dibayar dalam tempoh penangguhan ini. Jika tamat tempoh berkenaan dan sekiranya projek itu dibatalkan, maka ketika itu kita perlu membayarnya. Kami ingin meneruskan projek ini kerana ia akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua negara. Bagaimanapun, dengan penangguhan ini kami akan berbincang tentang cara untuk mengurangkan kos yang terlibat,” jelas Azmin.

    Dengan perkembangan ini, maka lebih jelaskan hala tuju berkaitan projek HSR ini. Ia akan ditangguh dengan persetujuan kedua-dua negara bagi tempoh dua tahun dan akan disambung semula selepas itu. Di awal pembentukan kerajaan Pakatan Harapan, Dr. Mahathir menyatakan bahawa projek HSR akan dibatalkan atas faktor kos yang telalu tinggi, sebelum memaklumkan semula tidak lama selepas itu bahawa ia hanya akan ditangguhkan buat sementara.

     
     
  • SST: BMW Malaysia siar harga – CKD turun, CBU naik

    BMW Malaysia telah mengeluarkan senarai harga terbaru untuk kenderaan jenama itu yang dijual di Malaysia selepas pelaksanaan semula cukai SST yang bermula 1 September lalu. Cukai jualan yang berjumlah 10% ini mengambil alih cukai barangan dan servis (GST) sebanyak 6% serta tempoh tanpa cukai yang berlangsung pada bulan Jun, Julai dan Ogos.

    Sama seperti syarikat lain yang telah mengumumkan senarai harga termasuk SST ini, model yang dipasang dalam negara (CKD) kini dijual pada harga yang lebih rendah berbanding semasa cukai GST dilaksanakan sebelum ini.

    Model 118i M Sport, 318i Luxury dan X1 SDrive20i Sport semuanya diletakkan pada harga RM3,000 kurang berbanding harga dengan GST, manakala 530i M Sport dan 530e plug-in hybrid mencatat penurunan harga paling banyak iaitu masing-masing RM9,000 dan RM15,000.

    SST: BMW Malaysia siar harga – CKD turun, CBU naik

    Sedikit menimbulkan pertanyaan, model X5 xDrive40e M Sport pula dilihat mempunyai harga baru yang lebih tinggi selepas pelaksanaan SST iaitu RM390,888, bersamaan dengan peningkatan sebanyak RM2,000 berbanding harga dengan GST. Untuk model import seperti X2 sDrive20i M Sport, M4 Coupe dan M5, semuanya naik antara RM8,000 ke RM12,000.

    Bagi model yang dilancarkan semasa ‘cuti cukai’ dulu, harganya telah meningkat apabila SST diperkenalkan, dan ini termasuk X3 sDrive30i Luxury dengan harga sekarang antara RM302,000 hingga RM313,800 (peningkatan RM11,800), manakala i8 Coupe telah menjadi RM1,408,800 (naik 98,000) dengan SST, berbanding RM1,310,800 semasa ‘cuti cukai’ waktu ia dilancarkan bulan lalu.

     
     
  • SST: Harga motosikal BMW naik sehingga RM3,000

    SST: Harga motosikal BMW naik sehingga RM3,000

    Dengan pengumuman cukai SST yang sudah pun bermula, BMW Malaysia bukan sahaja mengumumkan harga terbaru untuk kenderaan empat roda mereka, malah harga motosikal juga turut disiarkan. Di bawah, kami telah kumpulkan harga barisan motosikal jenama ini dengan SST, dan diletakkan bersama harga tanpa cukai dan harga dengan GST untuk perbandingan.

    Seperti yang anda boleh lihat, peningkatan harga model motosikal BMW ini berbeza mengikut model dan tidak semestinya model paling mahal yang menerima peratusan peningkatan paling tinggi. Melihat kepada senarai harga terbaru ini, peningkatan paling tinggi dicatat oleh model S1000R, iaitu sehingga 2.3% (bersamaan dengan RM2,000) manakala model R1200R naik 2.04% menjadi RM99,900 (+RM2,000).

    SST: Harga motosikal BMW naik sehingga RM3,000

     

    Kebanyakan model lain juga mencatat peningkatan harga, tetapi cuma di antara 0.92% hingga 2.3%, manakala model G310GS, G310R dan R nineT Pure masih dijual pada harga sama dengan harga seperti waktu cukai GST dikenakan sebelum ini iaitu masing-masing RM29,900, RM26,900 dan RM83,900.

    Melihat kepada model sports popular S1000RR, harganya cuma naik RM1,000 sahaja, sama seperti R nineT, R nineT Scrambler, R nineT Urban GS, S1000XR serta skuter C650 Sport dan C650 GT. Dalam senarai ini juga, anda boleh melihat harga terbaru untuk beberapa model sudah tiada, yang membawa maksud BMW Motorrad sekarang tidak lagi menjualnya.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    Teruja dengan pengenalan versi sedan untuk Mercedes-Benz A-Class generasi baharu Julai lalu? Ini ada lagi laporan untuk menyambung keterujaan anda terhadap model berkenaan – Mercedes-Benz telah mendedahkan lebih lagi perincian terhadap sedan pacuan hadapan generasi baharu tersebut.

    Dua enjin petrol ditawarkan untuk model ini iaitu enjin 1.33 liter untuk A 200 dan 2.0 liter bagi A 220 4Matic, A 250 dan A 250 4Matic. Model diesel pula hadir dengan satu enjin iaitu 1.5 liter untuk model A 180.

    Enjin M282 1.33 liter empat silinder dengan pengecas turbo yang diberikan pada A 200 berkenaan adalah produk usahasama Mercedes-Benz dan Renault, menghasilakan kuasa 161 hp (163 PS) dan tork maksima 250 Nm. Ia hadir dengan dua pilihan transmisi iaitu enam-kelajuan manual atau klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7G-DCT.

    Model dengan kotak gear manual berupaya memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 8.3 saat, manakala versi yang dilengkapi sistem DCT automatik mampu mencatatkan masa 8.1 saat untuk pecutan sama. Kedua-dua model berkenaan walau bagaimanapun mempunyai kelajuan maksima yang sama iaitu 230 km/j.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    Bagi enjin M260 2.0 liter empat silinder turbo pula, ia hanya menerima kotak gear 7G-DCT tanpa pilihan manual. Enjin untuk versi A 220, ia ditala bagi menghasilkan kuasa 188 hp (190 PS) dan tork maksima 300 Nm. Manakala versi A 250, talaan yang diberikan membolehkan enjin berkenaan mengerah 221 hp (224 PS) dan tork maksima 350 Nm.

    Ini membolehkan A 220 4Matic memecut dari 0-100 km/j dalam masa tujuh saat sebelum mencapai kelajuan maksima 237 km/j. Sementara untuk model A 250 sama ada dengan sistem 4Matic atau tidak, boleh memecut pada jarak sama dalam masa 6.3 saat dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 250 km/j.

    Beralih ke versi diesel, enjin OM608 1.5 liter turbo empat silinder pada model A 180 mampu untuk menjana 114 hp (116 PS) pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 260 Nm bermula 1,750 rpm hingga 2,750 rpm. Model ini tidak sepantas model-model petrol dengan pecutan 0-100 km/j dicatatkan pada 10.6 saat dan kelajuan maksimanya hanya 206 km/j.

    Walau bagaimanapun, versi 1.5 liter diesel ini mempunyai catatan penggunaan bahan api paling baik iaitu serendah 4.1 l/100 km, berbanding versi-versi petrol turbo yang mencatatkan bacaan sekitar 5.2 hingga 6.5 l/100 km.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    A Class sedan akan dijual dalam tiga kemasan iaitu Style, Progressive dan AMG Line. Untuk versi Style, ia menampilkan gril diamond radiator dengan pin-pin kemasan hitam bersama jalur perak dan krom, skirt sisi dengan warna badan serta jalur-jalur krom. Bahagian dalaman pula menerima pakej Seat Comfort yang dibekalkan dengan tempat duduk Luxury, balutan upholsteri kulit Artico/fabrik Bertrix dan juga pakej Light and Visibility.

    Untuk Progressive pula, kelengkapannya turut termasuk jalur krom pada tingkap, kemasan serlahan pada tip ekzos, apron belakang dengan kemasan krom, upholsteri kulit Artico/fabrik Fléron, roda stereng sport balutan kulit, jahitan dekorasi hitam, bersama kemasan-kemasan gentian karbon palsu terang dan gelap serta perak.

    Bagi versi AMG Line, ia menerima apron hadapan AMG dengan spiltter udara krom, panel bendul sisi AMG dan juga apron belakang AMG bersama kemasan krom dan kemasan serlahan tip ekzos. Ciri lain yang turut diberikan termasuk gril diamond radiator dengan pin krom, suspensi selesa lebih rendah dan sistem stereng-terus dengan nisbah bervariasi. AMG Line A 220 turut menerima cakera brek hadapan yang ditebuk.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    Bahagian dalam untuk model lebih sporty ini pula menerima tempat duduk sports bersama pakej Seat Comfort dan juga perehat kepala boleh laras, pedal kemasan brushed stainless steel AMG, karpet kaki istimewa, roda stereng rata di bawah balutan kulit Nappa dengan jahitan serlahan dan kemasan krom perak.

    Uphlosteri untuk versi ini boleh dipilih sama ada dengan kulit Artico/gentian mikro Dinamica, atau kulit Artico dan kemasan aluminium. Manakala untuk jahitan serlahan pada kabin, warna merah atau hitam akan diberikan bergantung pada pilihan warna utama upholsteri.

    Pakej Leather opsyenal juga ditawarkan untuk Progressive dan AMG Line, yang turut termasuk jahitan dekoratif serta jalur pada panel instrumen. Pakej Night pula turut disediakan bagi mereka yang mahukan penutup cermin sisi, jalur pada gril hadapan, kemasan pada apron belakang dan garis tingkap yang berwarna hitam.

    Mercedes menawarkan pilihan rim dengan saiz bermula 16-inci hingga 19-inci untuk A-Class sedan, diberikan berdasarkan kemasan yang dipilih. Bagi model istimewa Edition 1, rim 19-inci akan dibekalkan secara standard.

    Edition 1 turut akan menerima serlahan kemasan tembaga pada bahagian luaran seperti pada bahagian pin-pin gril dan juga kesemua rim, serta ciri standard lain termasuk lampu hadapan LED High Performance, tempat duduk sport dengan perehat kepala boleh laras serta lampu suasana.

    Pilihan lampu hadapan Multibeam LED dengan 18 LED individu untuk setiap sebelah lampu juga ditawarkan sebagai ciri opsyenal. Manakala untuk ciri keselamatan, sebahagian sistem pakej bantuan pemanduan dari S-Class diturunkan pada model sedan paling kecil ini, termasuk sistem Active Distance Control Distronic, Active Steering Assist, Active Speed Limit Assist; Active Brake Assist, Evasive Steering Assist, Active Blind Spot Assist dan Pre-Safe Plus. Sistem paparan Heads-up turut disediakan sebagai satu lagi ciri pilihan.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    Mercedes-Benz A-Class generasi baharu diberikan sistem multimedia terkini digelar Mercedes-Benz User Experience (MBUX), menampilkan kawalan pintar menggunakan suara. Pada versi sedan ini, ia diberikan pilihan untuk sistem paling asas (Basic Navigation Package) yang diberikan dua skrin setiap satunya bersiaz tujuh-inci, butang Touch Control dan pad sesentuh.

    Manakala untuk pakej sistem Premium Navigation, ia dilengkapkan dengan dua skrin lebih besar bersaiz 10.25-inci. Ia juga dibekalkan dengan fungsi Traffic Sign Assist serta turut boleh menerima sokongan navigasi mengunakan kecerdasan buatan (A.I). Servis Mercedes me Connect pula menambahkan lagi fungsi berkenaan dengan servis concierge dan juga servis navigasi selanjutnya.

    Ciri opsyenal lain yang ditawarkan untuk model sedan ini termasuk sistem bunyi Burmester, lampu suasana kabin dengan 64-warna, tempat duduk dengan liang dan pemanas, pakej Multicontour Seat dengan fungsi pengurut serta bumbung panaromik gelangsar. Berberapa ciri ini ada dirangkumkan dalam pakej Business.

    Untuk pasaran Jerman, A-Class sedan akan dijual pada harga bermula (termasuk cukai VAT) 30,916 euro (RM148,202) untuk model A 200, manakala model tertinggi A 250 4Matic dijual dengan harga bermula 39,526 euro (RM189,476). Model ini akan menerjah pasaran terpilih bermula awal tahun hadapan, manakala Mercedes-Benz Malaysia masih lagi belum mengesahkan sama ada ia akan dibawa ke pasaran tempatan.

     
     
  • Pan Borneo tidak akan rentasi Brunei – Tun Mahathir

    Pan Borneo tidak akan rentasi Brunei – Tun Mahathir

    Malaysia dan Brunei telah bersetuju bahawa Projek Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tidak akan dibina merentasi negara ini.

    Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Hassanal Bolkiah yang berlangsung di Istana Nurul Iman, sempena lawatan rasminya ke Brunei Darussalam, laporan Berita Harian

    Menurut Tun Mahathir, persetujuan itu bersandarkan beberapa faktor berkaitan, khususnya kekangan kos, selain isu imigresen sekiranya lebuh raya itu dibina merentasi negara ini.

    Pan Borneo tidak akan rentasi Brunei – Tun Mahathir

    “Memang rancangannya kita meneruskan pembinaan lebuh raya ini kerana kepentingannya kepada Sabah dan Sarawak, namun tidak akan merentasi Brunei Darussalam seperti perancangan asalnya. Pendirian Malaysia berhubung perkara itu cukup difahami oleh Sultan Brunei selepas mengambil kira kekangan yang kita hadapi. Baginda tiada masalah jika ia mahu dibina merentasi negaranya, namun baginda memahami kesukaran kita,” katanya.

    Katanya lagi, keputusan itu juga bagi memudahkan perjalanan, termasuk menjimatkan masa kerana tidak perlu melalui sekurang-kurangnya 12 kali pemeriksaan imigresen dari Sarawak ke Sabah merentasi Brunei.

    Walau bagaimana pun, pihak berkaitan sedang meneliti jajaran alternatif bagi pelaksanaan projek lebuh raya itu yang diperlukan oleh rakyat di kedua-dua negeri berkenaan, selain mampu merangsang pembangunan serta sosio ekonomi di sana.

     
     
  • Kerajaan diminta utamakan projek lebuhraya berbanding ECRL; LPT3 lebih penting – senator

    Kerajaan diminta utamakan projek lebuhraya berbanding ECRL;  LPT3 lebih penting – senator

    Anggota Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris, menggesa kerajaan untuk mengutamakan projek pembinaan lebuh raya berbanding Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
    Katanya, keputusan kerajaan untuk mengkaji semula pembinaan ECRL adalah tepat memandangkan ia bukanlah keperluan mendesak bagi negeri di Pantai Timur, laporan Bernama.

    “Sebenarnya keperluan mendesak pada masa ini adalah menyiapkan projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) sepanjang 165 kilometer yang menghubungkan sambungan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.

    “Tindakan kerajaan menangguhkan pembinaan ECRL disebabkan perbelanjaan besar adalah tepat dan yang kita terdesak adalah projek-projek telah sedia ada jaringan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, semalam.

    Razali juga meminta kerajaan menyelesaikan pembinaan projek jalan raya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang-Kuala Berang untuk kemudahan penduduk.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024