Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bentley Continental GT Convertible – 6.0 liter, 626 hp

    Bentley Continental GT Convertible – 6.0 liter, 626 hp

    Bentley telah menunjukkan Continental GT Convertible baru, iaitu satu pilihan bentuk badan alternatif bagi model coupe generasi ketiga yang ditampilkan kali pertama tahun lepas. Sama seperti model hardtop (bumbung penuh), GTC ini dikuasakan oleh enjin W12 6.0 liter twin-turbo yang mampu menghasilkan 626 hp dan 900 Nm tork.

    Dengan pakej kuasa tersebut, Bentley memberitahu, GTC boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, dan ini cuma kurang 1/10 berbanding model coupe. Laju maksimum kedua-duanya masih sama iaitu 33 km/j tetapi GTC mempunyai berat lebih 160 kg disebabkan mekanisme bumbung boleh lipat yang digunakan.

    Bumbung ini juga dikatakan sebagai satu peningkatan jelas berbanding GTC generasi sebelum ini, dalam aspek pakej dan kekemasan. Selain daripada itu, bumbung baru ini juga memberikan tahap kebisingan tiga decibel lebih rendah berbanding generasi sebelumnya, pada kelajuan biasa.

    Masa yang diperlukan untuk membuka dan menutup kembali bumbung ini cuma 19 saat, dan anda boleh melakukannya pada kelajuan sehingga 50 km/j. Memandangkan pelanggan mempunyai cita rasa yang berlainan, Bentley turut menawarkan tujuh pilihan warna fabrik untuk bumbung tersebut.

    Struktur badan GTC baru ini adalah 5% lebih tegar dan 20% lebih ringan berbanding model sebelum ini, hasil daripada penggunaan aluminium dan juga besi berketegangan tinggi pada platformnya. Ia juga mendapat sistem sama seperti Continuous Damping Control (CDC), Bentley Dynamic Ride, Electric Power-Assisted Steering (EPAS), angkup brek 10 piston di hadapan dan angkup empat piston di belakang.

    Walaupun jumlah kuasa yang mampu dihasilkan oleh GTC ini agak tinggi, ia bukanlah satu-satunya fokus pada kenderaan tersebut. Bahagian dalam juga dipenuhi dengan pelbagai kelengkapan mewah seperti kulit berkualiti tinggi, kayu veneer dan kemasan krom lain.

    Bentley Continental GT Convertible – 6.0 liter, 626 hp

    Untuk kesenangan pengguna, GTC ini dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan, termasuk Bentley Rotating Display, di mana skrin sesentuh 12.3 incinya boleh disembunyikan masuk ke dalam papan pemuka dan digantikan dengan panel kayu panuh ataupun tolok analog. Anda juga boleh menikmati tempat duduk Comfort Seats yang boleh dilaras 20 cara dan mempunyai liang pengudaraan serta fungsi mengurut dan memanas.

    Sebagai tambahan, pemilik boleh memilih tiga sistem audio, dengan yang datang secara standard adalah pakej 10 pembesar suara 650 watt, dan ia boleh dinaik taraf kepada sistem Bang Olufsen 16 pembesar suara 1,500 watt ataupun Naim 18 pembesar suara 2,200 watt.

    Sudah tentu, sebagai sebuah kenderaan mewah, pembeli boleh mendapatkan pelbagai pilihan yang disediakan oleh Bentley termasuk 17 warna untuk bahagian luar, 15 pilihan alas kaki mewah, lapan jenis kemasan kayu berbeza dan 15 pilihan jenis kulit untuk trim dalaman. Ini belum termasuk lagi perincian lain seperti jahitan, plet nama dan rim yang dimahukan (standard datang dengan unit 21 inci).

     
     
  • Mitsubishi gugurkan jawatan pengerusi Carlos Ghosn

    Mitsubishi gugurkan jawatan pengerusi Carlos Ghosn

    Selepas dipecat sebagai pengerusi Nissan, kini Carlos Ghosn digugurkan pula dari jawatan yang sama di Mitsubishi setelah beliau ditahan oleh pihak berkuasa Jepun atas kesalahan kes jenayah yang disyaki melanggar undang-undang Instrumen Kewangan dan Tukaran Jepun. Walau bagaimanapun, Mitsubishi menyatakakan bahawa Ghosn masih lagi kekal di dalam ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.

    Ghosn ditangkap minggu lalu kerana didakwa telah melakukan penyelewengan terhadap kewangan syarikat dengan amaun yang dilaporkan mencecah lima bilion yen dalam masa lima tahun, sehingga Mac 2015, manakala ada juga laporan yang menyebut ia mencecah hampir 10 bilion yen.

    Dalam kenyataan rasmi, Mitsubishi mengesahkan bahawa CEO syarikat iaitu Osamu Masuko akan menggalas tugas sebagai pengerusi buat sementara waktu sehingga mesyuarat agong ahli lembaga seterusnya.

    Ghosn dilantik sebagai pengerusi Mitsubishi setelah melengkapkan pembelian 34% saham Mitsubishi oleh Nissan pada Oktober 2016. Atas pembelian berkenaan, jawatan CEO Nissan yang disandang oleh Ghosn ketika itu diserahkan kepada Hiroto Saikawa.

    Sehingga kini, satu lagi jenama dibawah pakatan berkenaan iaitu Renault masih belum mengambil apa-apa tindakan terhadapan Ghosn, dan beliau masih lagi kekal sebagai pengerusi dan CEO syarikat pembuat kereta Perancis tersebut. Walau bagaimanapun, COO Thierry Bolloré kini dilantik untuk menggalas tugas CEO Renault buat sementara waktu ketika siasatan terhadap Ghosn berlangsung.

    Awal tahun ini, Nissan dan Renault dilaporkan sedang berbincang untuk bergabung dan mewujudkan syarikat yang akan melakukan urus niaga sebagai badan tunggal, namun mendapat bantahan dari ahli lembaga Nissan. Renault kini mempunyai kepentingan 43.4% dalam Nissan, manakala Nissan hanya memegang 15% kepentingan dalam Renault – yang dilihat sebagai kerjasama yang tidak sama rata.

    Dalam aspek jualan pula, Nissan berjaya menjual 2.8 juta unit pada separuh pertama 2018, berbanding 2.1 juta oleh Renault pada tempoh yang sama. Secara keseluruhan, Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi telah menjual 5.1% lebih banyak kereta pada separuh pertama 2018 dan ia merupakan rekod baharu dengan jumlah 5,538,530 buah kenderaan.

     
     
  • Kenaikan tambang bas ekspres sehingga 30% sedang dalam pertimbangan – Timb. Menteri Pengangkutan

    Kenaikan tambang bas ekspres sehingga 30% sedang dalam pertimbangan – Timb. Menteri Pengangkutan

    Atas permintaan pengusaha bas ekspres, kerajaan akan mempertimbangkan kenaikan tambang bagi perkhidmatan tersebut. Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, kali terakhir tambang bas ekspres dinaikkan ialah pada 2009 dan sekiranya dipersetujui, kerajaan akan memastikan peningkatan kali ini adalah pada kadar munasabah untuk membantu pengusaha bas ekspres menampung peningkatan kos operasi, tanpa membebankan pengguna, lapor Bernama.

    “Daripada perbincangan dan rundingan dengan pengusaha-pengusaha bas ekspres, memang terdapat permintaan dan desakan yang kuat daripada mereka terhadap kerajaan supaya dibenarkan menaikkan kadar tambang dalam lingkungan 10% hingga 30%.

    “Dalam situasi rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup, sebarang keputusan harus dibuat secara teliti dan kementerian akan mengutarakan syor kepada jemaah menteri dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Sivarraajh Chandran (BN-Cameron Highlands) mengenai gesaan syarikat bas untuk menaikkan tambang sehingga 30% bagi menampung kos operasi yang tinggi. Semakan tambang yang dilaksanakan pada 2009 menetapkan kenaikan sebanyak 31% daripada 6.5 sen setiap kilometer kepada 8.5 sen setiap kilometer.

    Manakala kadar surcaj ditetapkan pada kadar 0.8 sen setiap kilometer pula dikenakan sejak 2015, menjadikan kadar tambang dinaikkan kepada 9.3 sen setiap kilometer sehingga kini.

     
     
  • Toyota C-HR raih Kereta Tahunan Thailand 2018

    Toyota C-HR raih Kereta Tahunan Thailand 2018

    Toyota C-HR telah dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Thailand 2018 (Thai COTY 2018), selepas berjaya mencatatkan 382 mata, menewaskan pencabar terdekatnya iaitu Mazda CX-5 (307 mata) dan Suzuki Swift (260 mata). SUV ini menerima pujian ramai kerana reka bentuknya yang sangat menyerlah, miliki penjana kuasa hibrid yang efektif dan menggunakan platform baharu yang memberikan kelebihan pada pengendaliannya.

    Di Thailand, C-HR ditawarkan dengan dua pilihan penjana kuasa, bermula enjin petrol 1.8 liter naturally-aspirated empat-silinder dan juga 1.8 liter hibrid. Malahan C-HR Hybrid juga merupakan penerima pertama yang mendapat keistimewaan daripada Board of Investment bagi kereta hibrid di negara itu.

    Thai COTY kini memasuki tahun ke-empat, dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Automotif Thailand. Para hakim terdiri daripada wartawan automotif dengan pengalaman menguji kereta sekurang-kurangnya tiga tahun.

    Dari segi kelayakan, semua kereta yang mengambil bahagian haruslah model baharu untuk pasaran Thailand dan telah dilancarkan antara 1 Oktober 2017 dan 30 September 2018. Pemenang bagi anugerah yang sama sebelum ini ialah Honda CR-V, Mazda CX-3 dan Ford Everest.

    GALERI: Toyota C-HR di Malaysia

     
     
  • General Motors akan tutup tujuh kilang pada 2019

    General Motors akan tutup tujuh kilang pada 2019

    General Motors (GM) telah umumkan bakal tutup tujuh kilang dan memperkecilkan kadar tenaga kerjanya sebanyak 15% sebagai sebahagian program penstrukturan semula syarikat itu. Selain itu, pelaburan untuk masa hadapan juga akan dialihkan kepada pembangunan teknologi autonomous dan kenderaan elektrik, lapor Autocar.

    Syarikat automotif besar dari AS ini bergelut dengan penurunan jualan bagi beberapa tahun kebelakangan ini, yang menyebabkan langkah pemulihan ini perlu diambil segera. Sebahagian daripada langkah ini turut melibatkan penjualan jenama Vauxhall dan Opel kepada Kumpulan PSA. GM juga telah menyerahkan semua operasinya di Vietnam kepada Vingroup JSC, yang kini merupakan pengedar eksklusif kenderaan Chevrolet di sana.

    Untuk pasaran Amerika Utara, jualan GM terkesan dengan teruk berikutan menyusutnya permintaan terhadap kereta sedan. Ford juga menyedari perkara sama, dan kini memberi lebih tumpuan terhadap pembangunan model-model SUV dan trak pikap, dan memberhentikan pengeluaran beberapa model sedan. Menurut laporan, Chevrolet Cruze, Impala, Cadillac CT6, Buick LaCrosse dan Chevrolet Volt hibrid akan diberhentikan pengeluarannya.

    General Motors akan tutup tujuh kilang pada 2019

    Langkah seterusnya, GM akan menutup lima kilang menjelang penghujung 2019. Kilang pemasangan di Detroit, Ohio dan Ontario, Kanada akan ditamatkan operasi, begitu juga dengan kilang transmisi di Michigan dan Maryland. Dua lagi kilang yang tidak dinamakan di Amerika Utara turut akan menerima nasib sama – selepas kilang di Korea juga ditutup kerana syarikat itu tidak lagi berada dalam pasaran di sana.

    Tenaga kerja juga akan dikurangkan sehingga 15%, melibatkan kira-kira 18,000 pekerjaan. Staf eksekutif juga akan dikurangkan sebanyak 25% untuk langkah yang dijangka berjaya menjimatkan kos sehingga £3.5 bilion (RM18.8 bilion).

    Untuk kekal relevan di masa hadapan, GM akan memberi tumpuan kepada penghasilan platform baru bagu kenderaan, dan pelaburan juga aka dihalakan kepada kenderaan elektrik untuk masa akan datang. Syarikat itu juga telah mendedahkan rancangan untuk membangunkan sistem 400 kW Extreme Fast Charger, yang memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 290 km dengan tempoh mengecas hanya 10 minit.

     
     
  • TOM’S Corolla Sport dipamerkan di Toyota Gazoo Racing Festival, Fuji Speedway – didedahkan Jan 2019

    TOM’S Corolla Sport dipamerkan di Toyota Gazoo Racing Festival, Fuji Speedway – didedahkan Jan 2019

    Julai lalu kami ada melaporkan bahawa satu lagi jenama penala yang sinonim dengan Toyota iaitu TOM’S telah mendedahkan imej render untuk TOM’S Corolla Sport. Pada acara Toyota Gazoo Racing Festival 2018 yang berlangsung di litar Fuji Speedway, Jepun, hujung minggu lalu, versi sebenar Corolla berkenaan telah dipamerkan kepada orang ramai.

    Berbanding Corolla hatchback standard, versi TOM’S ini diberikan splitter udara dari bampar hadapan hingga ke skirt sisi. Manakala pada bampar belakang, ia diberikan diffusser yang lebih radikal dan turut menempatkan empat tip ekzos berbentuk oval. Badan Corolla ini direndahkan lagi, manakala rim asal ditukar kepada rim pelbagai jejari berdiameter lebih besar dan juga lebih lebar.

    Walau bagaimanapun, perincian lanjut berkenaan kit ini masih lagi belum diumumkan, begitu juga perlatan-peralatan mekanikal yang diberikan pada versi tingkat taraf tersebut. Tetapi TOMS’S ada menyebut bahawa ia akan mula dipasarkan bermula Januari tahun hadapan – mungkin pada Tokyo Auto Salon 2019?

    Toyota Corolla Hatchback generasi baharu ini mula diumumkan di Jepun Jun lalu di mana pasaran berkenaan menerima dua pilihan janakuasa iaitu 1.8 liter hibrid THS II dengan kuasa keseluruhan 122 PS dan juga versi 1.2 liter turbo berkuasa 116 PS/185 Nm. Model ini turut telah diperkenalkan pada pasaran UK (Auris) dengan tambahan versi janaan enjin M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force, manakala di Amerika Syarikat ia hanya hadir dalam versi 2.0 liter.

    TOM’S Corolla Sport dipamerkan di Toyota Gazoo Racing Festival, Fuji Speedway – didedahkan Jan 2019

    Dengan rupa yang lebih agresif serta pembangunannya di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang mempunyai titik graviti rendah, sayap perlumbaan rasmi Toyota, Gazoo Racing juga dilaporkan berminat untuk membangunkan model berprestasi tinggi berdasarkan Corolla Hatchback ini. Hot-hatch berkenaan berkemungkinan akan membuat kemunculannya pada tahun 2020.

    Bagi mereka yang tidak mengenali TOM’S (Tachi Oiwa Motor Sports), syarikat ini merupakan penala persendirian yang ditubuhkan di Jepun oleh Nobuhide Tachi dan Kiyoshi Oiwa pada tahun 1974.

    Syarikat tersebut kemudiannya dilantik sebagai salah satu badan perlumbaan dan penala rasmi Toyota bagi menghasilkan pelbagai produk berpretasi tinggi. TOM’S juga terkenal dengan menghasilkan model-model talaan khasnya seperti T020 (diasaskan dari Toyota MR-2) dan T111 (dari Toyota Corolla Sprinter Trueno AE111) serta kereta lumba ikonik Castrol TOM’S Supra yang berlumba di JGTC.

     
     
  • Adiva AD3-400 tiba di Malaysia dengan harga bermula RM39k – skuter tiga tayar 400 cc, bumbung boleh lipat

    Adiva AD3-400 tiba di Malaysia dengan harga bermula RM39k – skuter tiga tayar 400 cc, bumbung boleh lipat

    Bagi mereka yang mahukan kelainan, kini ada model skuter baru yang tiba di pasaran Malaysia iaitu Adiva AD3-400, yang baru dilancarkan dengan harga pasaran RM38,800 bagi model standard dan RM38,800 untuk yang dilengkapi dengan rim sports (tidak termasuk insurans).

    Keistimewaan skuter ini yang paling jelas dapat dilihat adalah ia mempunyai dua tayar di hadapan, satu di belakang dan bumbung yang boleh dilipat masuk ke bahagian simpanan belakang apabila perlu. Bagi memegang dua tayar hadapan ini, ia menggunakan tetapan suspensi ‘Independent Quattro-Wishbone Suspension’ yang menggunakan asas seperti tetapan double wishbone kereta, manakala di belakang pula terdapat dua penyerap hentak.

    Menambahkan lagi keselesaan bagi pengguna skuter ini, ia dilengkapi dengan penghadang angin penuh di bahagian hadapan, siap bersama pengelap cermin, manakala tempat duduk juga cukup lebar untuk dua orang. Bagi penumpang belakang, mereka bukan sahaja boleh bersandar, malah ‘dipegang’ pada bahagian tepi seperti tempat duduk bucket.

    Menggerakkan skuter ini adalah unit enjin empat strok, suntikan bahan api, penyejukan cecair OHC satu silinder 399 cc, yang mampu menghasilkan kuasa 36.7 hp pada 7,250 rpm dan 38.1 Nm tork pada 5,500 rpm. Bagi menyampaikan kuasa ke roda belakang, ia dipadankan bersama transmisi jenis CVT.

    Kelengkapan lain yang ada pada skuter ini adalah termasuk tangki bahan api 11 liter, rim 13 inci (tayar 130/60) di hadapan dengan set brek cakera 220 mm bagi setiap tayar, rim 14 inci dengan tayar 140/70 di belakang, meter gabungan tolok analog dan skrin LCD di tengah serta ruang simpanan barang kecil di bawah pemegang. Untuk bahagian simpanan di belakang, jika bumbungnya tidak dimasukkan ke dalam, ia boleh menempatkan dua helmet, bagasi ataupun barangan lain.

    Mereka yang berminat dengan skuter jenama yang berasal dari Itali ini boleh mendapatkannya melalui 15 pengedar rasmi Adiva di seluruh Malaysia dan ia ditawarkan dalam empat warna iaitu merah, putih, biru dan hitam.

     
     
  • KLIMS18: Yamaha Y15ZR ubah suai gaya superbike

    KLIMS18: Yamaha Y15ZR ubah suai gaya superbike

    Dunia modifikasi motosikal di negara kita semakin berkembang dan kapcai juga tidak terkecuali. Ada yang sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan kepuasan dan Yamaha Y15ZR yang kami temui di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 ini salah satu contohnya.

    Kami percaya kos ubah suai sahaja sudah memakan belanja berkali ganda daripada harga motosikal itu sendiri kerana ia banyak menggunakan barangan daripada superbike. Bermula pada rim, unit 17 inci yang digunakan sebenarnya datang daripada BMW S1000RR, dan dibalut dengan tayar slick Pirelli bersaiz 120/70 di hadapan dan 200/60 di belakang.

    Sudah tentu, bagi memuatkan tayar yang besar ini, suspensi juga perlu diubah suai, dan pembina motosikal ini yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng Tayar Besar telah menggunakan fork daripada Kawasaki ZX-10R di hadapan manakala di belakang, lengan ayunnya datang daripada BMW S1000RR.

    Menjadikan bahagian bawah motosikal ini lengkap seperti sebuah superbike, brek juga dipertingkat dengan set cakera berkembar dan angkup Brembo empat piston di hadapan, dan cakera tunggal bersama angkup Brembo satu piston yang diambil daripada BMW S1000RR di belakang.

    Bahagian enjin juga tidak diketepikan. Walaupun masih menggunakan asas daripada enjin yang sama dengan model standard, ia telah dinaik taraf dengan blok 65 mm, head dan klac Uma Racing, ECU daripada EcuShop, cam King Drag dan ekzos buatan khas. Melengkapkan penampilannya, motosikal ini dipasang dengan panel badan buatan khas serta meter daripada Uma Racing.

     
     
  • Biodiesel B10 akan mula masuk pasaran 1 Dis ini

    Biodiesel B10 akan mula masuk pasaran 1 Dis ini

    Kabinet telah meluluskan penjualan biodiesel B10 (yang mengandungi 10% minyak kelapa sawit) bagi menggantikan biodiesel B7 bermula 1 Disember 2018. Pengumuman berkenaan diumumkan oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok dalam temubual di radio Bernama.

    “Kabinet telah meluluskan penggunaan B10 dan ia akan diimplementasi bermula 1 Disember. Kami juga mempunyai persetujuan dengan Persatuan Pengeluar Malaysia (FMM) bahawa sektor industri akan kekal menggunakan B7,” katanya yang turut menjelaskan bahawa penggunaan B10 ini akan membolehkan penggunaan minyak kelapa sawit tempatan akan meningkat sekali ganda.

    Menurut Bernama, program biodiesel B10 ini akan diimplementasi pada sektor pengangkutan manakala sektor bersubsidi lain akan dijalankan berperingkat, dan akan dijadikan mandatori bermula Februari 2019. Agensi berita tersebut memetik Bloomberg yang mengambil sumber dari surat oleh kementerian industri utama yang diedarkan kepada syarikat-syarikat petroleum.

    Persatuan Pemilik Lori Pan-Malaysia 1987 (PMLOA) dan Persatuan Haulier Malaysia (AMH) sebelum ini pula telah menyatakan bantahan mereka terhadap implementasi biodiesel B10 ini dengan menyatakan bahawa mereka terpaksa memasang kit tambahan pada lori-lori mereka untuk menggunakan bahan bakar tersebut, yang tentunya akan melibatkan pertambahan kos.

    Biodiesel B10 akan mula masuk pasaran 1 Dis ini

    Ramai yang ragu-ragu adakah bahan bakar baharu ini selamat untuk digunakan? Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membuktikan bahawa tiada masalah bagi menggunakan biodiesel B10 dalam operasi mereka, di mana menerusi kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), satu ujian pada lapangan sebenar telah berjaya dilengkapkan.

    Ujian berkenaan menggunakan 50 kenderaan DBKL dari pelbagai saiz dan kapasiti enjin dari trak pikap, lori lima-tan, van serta jentera berat. Lebih dari tiga juta kilometer perjalanan dicatatkan dalam ujian selama tiga setengah tahun – tanpa satu pun kerosakan dilaporkan.

    Laporan sebelum ini juga menyatakan bahawa sekiranya biodiesel B10 ini diperkenalkan kelak, hanya diesel Euro 2M terlibat, manakala diesel Euro 5 dan juga diesel-diesel yang dijual di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highland dan Genting Highland masih dengan formulasi B7.

    Mahu tahu dengan lebih mendalam berkenaan perlaksaan penggunaan biodiesel B10 ini? Baca temuramah kami bersama ketua penyelidik MPOB, Dr Harrison Lau pada ARTIKEL INI.

     
     
  • VIDEO: Sunway Pyramid uji sistem parkir tanpa tiket

    Pengunjung Sunway Pyramid selepas ini tidak lagi perlu risau tentang tiket parkir dan sistem sedia ada untuk itu. Ini kerana, pengurusan bangunan berkenaan sedang menjalankan ujian awal sistem baru yang hanya akan mengimbas nombor plat kereta anda secara automatik- tiada lagi penggunaan tiket parkir.

    Masih belum ada banyak maklumat berkaitan sistem berkenaan. Bagaimanapun pihak berkenaan ada kongsikan sebuah video bagaimana kereta hanya perlu dipandu masuk seperti biasa tanpa perlu berhenti untuk menekan butang atau mengambil tiket.

    Dari video berkenaan, nampaknya proses berkenaan memang sangat memudahkan pengguna; kereta tak perlu berhenti sepenuhnya untuk tujuan itu, dan palang akan terus dibuka.

    Ketika ini, belum dapat dipastikan sama ada sistem ini memerlukan aplikasi pintar sebagai antaramuka untuk membuat bayaran caj parkir yang dikenakan. Mungkin sama seperti apa yang kita pernah lihat dengan aplikasi Touch ‘n Go eWallet bagi pembayaran tol RFID.

    Adakah surcaj akan turut dikenakan? Bagaimana pula dengan kenderaan yang menggunakan tulisan nomnor plat yang tidak mengikut piawaian, adakah sistem ini mampu untuk imbas juga? Semua ini masih belum dapat disahkan.

     
     
  • Pemandu perkhidmatan e-hailing perlu mendapatkan lesen PSV seperti teksi menjelang Julai 2019 – Loke

    Pemandu perkhidmatan <em>e-hailing</em> perlu mendapatkan lesen PSV seperti teksi menjelang Julai 2019 – Loke

    Bermula Julai 2019 nanti, pemandu-pemandu Grab dan perkhidmatan e-hailing yang lain perlu menduduki kursus dan memperoleh lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (Public Service Vehicle, PSV) sama seperti yang diwajibkan ke atas pemandu teksi.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tempoh untuk mereka berbuat demikian ialah dari Januari hingga Julai 2019 nanti, lapor Bernama. “Peraturan untuk perkhidmatan e-hailing sudah pun diwartakan. Pendaftaran pemandu akan dimulakan pada Januari hingga Julai 2019.

    “Selepas 12 Julai 2019, kerajaan akan mula menguatkuasakan peraturan baru yang mewajibkan semuak pemandu e-hailing perli mendaftarkan diri, serta mempunyai lesen dan insurans untuk PSV. Kenderaan yang berusia lebih daripada tiga tahun pula perlu menjalani pemeriksaan,” ujar beliau.

    Pemandu perkhidmatan <em>e-hailing</em> perlu mendapatkan lesen PSV seperti teksi menjelang Julai 2019 – Loke

    Ini sebahagian langkah kerajaan untuk mengawal selia industri perkhidmatan e-hailing dan mewujudkan persekitaran yang sama rata seperti perkhidmatan teksi, yang sejak beberapa waktu sebelum ini kerap membangkitkan hal berkaitan.

    Semalam, Menteri Pengangkutan bertemu dengan penasihat Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail yang menjadi antara individu paling lantang mendesak perkara ini.

    Loke juga menasihatkan agar pemandu-pemandu perkhidmatan e-hailing tidak menunggu hingga ke saat akhir untuk mendaftarkan diri bagi mendapatkan lesen PSV berkenaan. “Ini juga terbuka kepada mana-mana syarikat yang berminat. Kita tidak mahu perkhidmatan e-hailing ini hanya dimonopoli oleh sebuah penyedia perkhidmatan atau syarikat sahaja,” tambah beliau.

     
     
  • Proton Iriz R3, Farique Hairuman dan Syafiq Ali juara S1K 2018 – R3 kekal gelaran 2 tahun berturut-turut!

    Hanya berpuas hati di tempat kelima tahun lepas, nampaknya tahun ini serba menjadi bagi pasangan pemandu dari Johor – Farique Hairuman a.k.a Wak Tempe dan Syafiq Ali, yang memandu Proton Iriz untuk pasukan Proton R3 dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) yang berlangsung hujung minggu lalu.

    Proton Iriz R3 berkenaan yang bermula di grid kedua berjaya mendahului perlumbaan dan menjadi juara setelah mengharungi perlumbaan dengan 181-lap di Litar Antarabangsa Sepang, meninggalkan Proton Satria Neo dari pasukan Dream Chaser 2 minit 10 saat di belakang. Toyota Vios dari pasukan Wing Hin Motorsport yang di pandu oleh Boy Wong dan William Ho pula menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, namun ketinggalan tiga lap berbanding dua kereta teratas.

    Walau bagaimanapun, rakan pasangan sepasukan yang juga juara S1K tahun lalu iaitu Admi Shahrul dan James Verrapan tidak bernasib baik kerana terpaksa menarik diri pada lap-lap terakhir kerana masalah teknikal pada Proton Saga R3 mereka walaupun ketika itu sedang bertarung dalam kedudukan podium.

    Dengan kemenangan tersebut, ini bermakna satu lagi sejarah dilakar oleh Proton dalam sukan permotoran. Proton R3 bukan sahaja juara bertahan untuk musim 2017 dan 2018, malah pasukan tersebut sebenarnya telah merangkul gelaran juara S1K sebanyak empat kali (Satria Neo pada 2012, Preve pada 2014 dan Suprima S pada 2017), sekaligus dinobatkan sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah perlumbaan berkenaan. Syafiq Ali juga diiktiraf sebagai pelumba paling berjaya dalam S1K setelah telah tiga kali menjuari perlumbaan ini.

    “S1K 2018 merupakan perlumbaan yang sukar dan mengujakan dalam cuaca yang panas pada kelajuan yang pantas. Pendahulu perlumbaan banyak bertukar dan safety car yang keluar berberapa kali juga menambahkan kesulitan dalam strategi perlumbaan kami. Kami berjaya mendahului dalam 40 lap terakhir dan syukur kami mampu untuk menjarakkan kelebihan kami lebih dari dua minit pada akhir perlumbaan,” kata prinsipal Pasukan R3, Gary Lee.

    Proton Iriz R3, Farique Hairuman dan Syafiq Ali juara S1K 2018 – R3 kekal gelaran 2 tahun berturut-turut!

    Jika anda mengikuti dunia perlumbaan tempatan, anda pasti tahu bahawa Sepang 1000KM ini adalah kesinambungan dari perlumbaan Merdeka Millenium Endurance (MME) iaitu perlumbaan 12-jam diadakan pada Ambang Merdeka setiap tahun bermula pada tahun 2000.

    Edisi pertama perlumbaan tersebut itu sendiri telah dimenangi oleh pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) dengan jentera Proton Waja PERT (dijana enjin turbo 2.0 liter bersama sistem 4WD dari Mitsubihi Lancer Evo 5!) dipandu oleh tiga lagenda – Tommy Lee, Jimmy Low dan Karamjit Singh. Proton R3 yang dikemudi oleh Tengku Djan Ley kemudiannya pula berjaya memenangi perlumbaan yang sama untuk musim 2005 dan 2006 dengan jentera Lotus Exige 300RR.

     
     
  • Toyota Sienta facelift turut ditawarkan dengan pilihan lima-tempat duduk di Jepun – digelar Funbase

    Toyota Sienta facelift turut ditawarkan dengan pilihan lima-tempat duduk di Jepun – digelar Funbase

    MPV mini keluaran Toyota, Sienta, kini telah diberikan peningkatan bagi pasaran Jepun, malah ditampilkan beberapa ciri untuk meningkatkan kegunaannya.

    Malahan Sienta turut ditawarkan dengan versi lima-tempat duduk, digelar Funbase. Bagi varian ini, barisan kedua boleh dibaringkan bagi memberikan ruang kargo yang rata dengan berukuran sehingga 2,065 mm panjang, di mana Toyota menyatakan ia cukup untuk memuatkan dua buah basikal bersaiz 26-inci tanpa mengeluarkan roda hadapannya.

    Mengeluarkan barisan ketiga juga membolehkan ia menempatkan alasan besar di bawah lantai, dan juga enam “lubang utiliti” pada setia sisi bahagian but. Menggunakan palang dan cangkuk, ia membolehkan pengguna menggunakan beberapa aksesori daripada pengedar termasuk meja, penutup kargo atau net barangan. Model standard tiga-barisan – masih boleh didapati dengan bentangan enam- dan tujuh-tempat duduk.

    Toyota Sienta facelift turut ditawarkan dengan pilihan lima-tempat duduk di Jepun – digelar Funbase

    Selain itu, perubahan yang paling estetik melibatkan rekaan semula bampar hadapan yang disambungkan dengan gril paten-pemuka baharu, grafik lampu utama dan lampu belakang yang disemak semula serta penutup roda baharu. Malah ia juga didatangkan dengan pilihan warna dua tona baharu sama ada hitam atau coklat untuk bumbung, dengan warna baharu beige menjadikannya warna badan sebanyak 10 pilihan.

    Lain-lain ciri baharu termasuklah fungsi baharu untuk sistem kemasukan tanpa kunci, jika butang kunci ditekan sementara pintu gelangsar akan ditutup, pintu akan automatik terkunci apabila ia ditutup. Malah terdapat juga amaran untuk bagasi yang akan mengingatkan pemandu sewaktu mematikan enjin bahawa bagasi (atau kanak-kanak) masih berada di tempat duduk belakang.

    Akhir sekali, Toyota turut menambah pengesan pejalan kaki waktu siang kepada brek kecemasan sendiri Sistem Pra-Pelanggaran, sonar pelepasan pintar untuk melindungi penyalahgunaan pedal dan sistem kamera 360-sudut sebagai pilihan.

    Pilihan enjin masih kekal dan termasuk enjin petrol 1.5 liter 109 PS/136 Nm yang dipadankan dengan CVT, serta model hibrid dengan enjin 74 PS/111 Nm, yang memberikan sistem kuasa keseluruhan sebanyak 101 PS.

     
     
  • KLIMS18: Benelli RFS150iLE Concept bertayar besar

    KLIMS18: Benelli RFS150iLE Concept bertayar besar

    Bagi yang berkunjung ke Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 dan singgah di kawasan pameran motosikal Benelli, anda pasti ada terlihat sebuah kapcai mantap yang diletakkan di tengah. Ini sebenarnya bukanlah model produksi yang dijual kepada umum, tetapi hanya sebuah konsep ubah suai yang menggunakan RFS150iLE sebagai asas.

    RFS150iLE adalah sebuah model edisi terhad, yang dilancarkan pada Oktober lalu dengan harga jualan RM7,488, dan beza paling jelas jika dibandingkan dengan model standard adalah ia menggunakan grafik Tri-colore berwarna seperti bendera Itali dan dilengkapi dengan beberapa aksesori seperti tuil brek dan klac sports aluminium, serta suspensi monoshock belakang Kayaba dengan spring berwarna kuning

    Untuk model konsep ini pula, ia diubah suai lagi untuk menjadi lebih mantap. Anda boleh melihat tayarnya kini lebih besar, atau lebih tepat, bersaiz 180/55 di belakang, dan 120/70 di hadapan. Rim pula adalah bersaiz 17 inci.

    Dari pemerhatian kami, banyak bahagian ubah suai model ini diambil daripada model naked Benelli 899, dan ini termasuk lengan ayun (binaan besi bulat dan tertulis TNT) dan rim. Penghadang lumpur depan pula kelihatan seperti daripada model TRE1130K manakala ekzos daripada model sport 302R.

    Selain daripada itu, motosikal ini juga menggunakan fork yang lebih besar, berwarna emas manakala di hadapan, bahagian breknya diubah suai dengan tetapan cakera berkembar lebih besar bersama angkup empat piston. Enjin masih kelihatan sama, yang bermakna adalah unit satu silinder 149 cc yang mampu menghasilkan 15.5 hp dan 13 Nm tork.

     
     
  • AD: Tayar ‘run-flat’ Bridgestone S001 RFT dengan NanoPro-Tech – prestasi maksima, kompromi minima

    AD: Tayar ‘run-flat’ Bridgestone S001 RFT dengan NanoPro-Tech – prestasi maksima, kompromi minima

    Dalam setiap langkah kita, memang kita tidak dapat mengagak apakah yang akan berlaku di hadapan. Walau bagaimana pun, sikap berhati-hati dan peka itu harus sentiasa disemat dalam diri, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan risiko yang lebih besar, Ini termasuklah dalam pemanduan, dalam penuh berhati-hati kita memandu, tak tersedar pula sebutir paku tercucuk pada tayar mengakibatkannya ia bocor dan pancit.

    Bila perkara ini terjadi, pasti membuatkan perjalanan anda terganggu. Jadi bagaimana cara untuk mengelakkannya? Ada apa-apa tayar yang boleh membuatkan kita meneruskan perjalanan dengan selamat tanpa hilang kawalan? Jawapannya, ada! Ia digelar tayar ‘run-flat’.

    Jika anda tidak pernah mendengar jenis tayar seumpama ini, ia menampilkan sidewall yang utuh apabila pancit, jadi kenderaan anda masih boleh bergerak. Walau bagaimana pun, tidak semua tayar ‘run-flat’ boleh berfungsi dengan baik, dan sesetengahnya memberikan kesan terhadap pengendalian, keselesaan dan jangka hayatnya.

    Bridgestone tidak asing lagi dalam teknologi ‘run-flat’ ini, dan telah mencipta produk terkini S001 RFT untuk memastikan anda diberi jaminan bahawa tayar ‘run-flat’ boleh mengurangkan kompromi untuk banyak perkara. S001 RFT ini ditawarkan untuk pelbagai jenis kenderaan, termasuk sedan, coupe, wagon, crossover, SUV dan juga menepati piawaian oleh pengeluar OEM.

    AD: Tayar ‘run-flat’ Bridgestone S001 RFT dengan NanoPro-Tech – prestasi maksima, kompromi minima

    Apabila tayar ‘run-flat’ kehilangan udara, contohnya ketika pancit, ia bergantung kepada sisi kedalamannya (sidewall) untuk membawa berat kenderaan anda, yang boleh menyebabkan haba terhasil bagi komponen tayar.

    Menyedari masalah ini, S001 RFT menggunakan Bridgestone NanoPro-Tech, yang merupakan getah bertetulang baharu dengan penyebaran karbon yang lebih baik untuk mengurangkan geseran yang berlaku di antara molekul karbon apabila tayar dimuatkan. Bahan tahan utuh dan tahan panas membantu menurunkan penjanaan haba yang berlaku semasa memandu laju, rata-rata sebanyak 50% jika dibandingkan dengan tayar ‘run-flat’ generasi baharu Bridgestone (Potenza RE050 RFT).

    Bagi memastikan sidewall tidak mengalami panas melampau, S001 RFT turut menampilkan teknologi Bridgestone Cooling Fin, di mana protrusion pada sidewall luaran mengganggu aliran udara dan membantu menyejukkan tayar semasa memandu berikutan kehilangan tekanan udara.

    Lebih mengagumkan, S001 RFT masih boleh memberikan prestasi yang hampir sama dengan S001 biasa, tanpa mengurangkan keselesaan pemanduan. Ini bermakna, anda masih boleh memandu sehingga 80 km dengan kelajuan sehingga 80 km/j, memberikan keyakinan untuk terus memandu hinggalah dapat menemui pusat servis Bridgestone yang sah. Untuk lebih informasi mengenai Bridgestone S001 RFT, sila layari laman web rasmi Bridgestone Malaysia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025