Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW 3 Series facelift 2022 – gambar sedan elektrik i3 di China beri petunjuk perubahan yang akan diberi

    BMW 3 Series facelift 2022 – gambar sedan elektrik i3 di China beri petunjuk perubahan yang akan diberi

    Di China, BMW telah melancarkan i3 serba baru, yang merupakan versi elektrik penuh bagi 3 Series G20 yang berada dalam pasaran sekarang. Menariknya tentang kereta ini, selain penggeraknya, ia juga menjadi petunjuk awal kepada perubahan yang akan diberi kepada 3 Series G20 nanti kerana rekaan dalam dan luarnya melibatkan banyak beza.

    Paling utama adalah lampu hadapan yang kini lebih nipis dan mempunyai DRL berbentuk C, sementara bahagian bawah lampu itu pula kini bergaris lurus sahaja dan tidak mempunyai lekuk seperti sekarang. Gril juga mempunyai bentuk lain yang lebih berpetak dan tegak, tetapi masih tidak menjadi lebih besar.

    Perubahan pada bampar melibatkan garis-garis yang lebih licin serta bukaan udara tepi yang lebih ringkas, manakala di tepi pula terdapat tambahan sirip udara Air Breather. Bampar belakang juga kini mempunyai lekuk yang berbeza, dan sudah tentu pada i3 yang merupakan kereta elektrik, ia tidak mempunyai muncung ekzos.

    Masuk ke dalam, perkara pertama yang dapat diilhat adalah skrin besar di tengah yang bersambung dengan panel instrumen, serta menggunakan BMW Operating System 8 seperti i4. Malahan sebenarnya, keseluruhan papan pemuka ini nampak sama seperti sedan elektrik BMW yang lain, termasuklah panel bawah corong pendingin hawa serta butang kawalan media.

    Ada beberapa butang yang sudah tiada pada papan pemuka i3 baru ini, termasuk skrin kecil untuk paparan sistem pendingin hawa di antara dua corong di tengah, dan fungsinya dimasukkan terus ke dalam skrin sesentuh. Bahagian lain seperti konsol tengah serta stereng masih lagi sama seperti G20 sekarang.

    BMW mungkin boleh menjadikan panel skrin lebar ini hanya eksklusif untuk model i3, bagi membezakannya dengan 3 Series biasa (seperti yang dilakukan pada 4 Series Gran Coupe dan i4), tetapi perubahan lain pada papan pemuka mungkin akan dibawa kepada 3 Series facelift nanti.

     
     
  • Perodua jual 61,624 kereta pada Q1 tahun 2022, naik 6.4% – sasaran keseluruhan 247,800 unit dikekalkan

    Perodua jual 61,624 kereta pada Q1 tahun 2022, naik 6.4%  – sasaran keseluruhan 247,800 unit dikekalkan

    Walau pun berhadapan dengan cabaran termasuk impak Covid-19 dan isu bekalan rantaian, Perodua masih mencatatkan rekod jualan yang memberangsangkan untuk suku pertama (Q1) tahun 2022 dengan sejumlah
    61,624 kenderaan telah didaftar, meningkat sehingga 6.4% berbanding 57,909 kenderaan yang dijual dari Januari dan Mac 2021.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, “Kesan daripada Covid-19 dan isu bekalan komponen masih ada, namun kami telah bekerjasama dengan para pembekal dan pengedar kami untuk mengurangkan impak tersebut. Fokus kami kini adalah untuk mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada para pelanggan kami sebelum berakhirnya tarikh pengecualian cukai jualan pada 30 Jun 2022.

    “Perodua turut bersama MAA (Persatuan Automotif Malaysia) dalam rayuan bagi melanjutkan tarikh pengecualian cukai jualan kerana faktor seperti gangguan bekalan semikonduktor global dan kes Covid-19 masih memberi kesan kepada industri.”

    Peneraju pasaran automotif ini telah mendaftarkan sebanyak 26,759 kenderaan pada Mac 2022, meningkat sebanyak 9.5% berbanding 24,433 unit yang dijual pada bulan yang sama tahun lalu. Berbanding Februari 2022, jualan meningkat sebanyak 53.2% dari 17,421 unit. Angka jualan bulan lalu tidak jauh bezanya dengan yang dicatatkan pada Oktober 2021 iaitu sebanyak 27,858 unit yang disifatkan sebagai rekod jualan bulanan tertinggi bagi Perodua.

    Perodua jual 61,624 kereta pada Q1 tahun 2022, naik 6.4%  – sasaran keseluruhan 247,800 unit dikekalkan

    “Kami menjangka suku kedua 2022 akan menjadi kemuncak bagi industri automotif di mana jenama-jenama lain juga akan menghantar seberapa banyak kenderaan yang mereka mampu dalam tempoh tiga bulan tersebut.

    “Walaupun bekalan cip semikonduktor dan Covid-19 masih mampu mempengaruhi pengeluaran, kami menjangkakan pengeluaran dan pendaftaran akan bertambahbaik. Kami tidak melihat faktor lain seperti konflik antara Rusia dan Ukraine akan memberi kesan yang besar kepada pengeluaran Perodua pada masa akan datang,”katanya lagi sambil menambah sasaran jualan 247,000 unit untuk tahun ini akan dikekalkan.

    Jika Perodua berjaya mencapai sasaran tersebut, ini bermakna syarikat tersebut bakal mencatatkan lonjakan jualan sebanyak 30.2% berbanding 190,291 unit yang dihantar pada tahun lalu. Pastinya model MPV Alza D27A yang bakal dilancarkan tidak lama lagi mampu membantu melonjakkan lagi jualan Perodua.

     
     
  • BMW iX3 M Sport Impressive 2022 di M’sia naik harga sehingga RM3k – EV dari RM319k dengan rebat SST

    BMW iX3 M Sport Impressive 2022 di M’sia naik harga sehingga RM3k – EV dari RM319k dengan rebat SST

    Harga bagi BMW iX3 di Malaysia juga telah dikemaskini, dengan varian spesifikasi tertinggi kini lebih mahal sebanyak RM3,000 berbanding yang dilaporkan pada pertengahan bulan lalu. Buat masa ini, pra-tempahan secara dalam talian bagi SUV elektrik ini telah pun dibuka dengan yuran sebanyak RM5,000, dan sesiapa yang berminat bolehlah menempahnya.

    Senarai harga terkini (efektif 14 Mac 2022), varian Impressive berharga RM318,608.94 atas jalan tanpa insurans, termasuk waranti asas dua-tahun, tanpa had perbatuan dengan rebat jualan dan perkhidmatan (SST) yang masih berlangsung sehingga 30 Jun 2022 – pengecualian sebanyak 50% memandangkan iX adalah model import sepenuhnya (CBU).

    Sebelum ini, harganya adalah RM315,608.94, dan jika anda inginkan waranti lanjutan lima-tahun dan pakej servis lima-tahun/100,000 km, harganya akan meningkat menjadi RM334,248.94 (sebelum ini RM331,248.94).

    Manakala bagi varian Inspiring, harganya dikekalkan pada RM298,354.69 dengan pakej waranti asas, atau
    RM313,994.69 dengan waranti lanjutan dan pakej servis. Kedua-dua varian turut ditawarkan dengan Power Package (22 kW AC home wallbox dan kabel pengecas Type 2) yang melibatkan kos tambahan sebanyak RM5,000.

    Risalah spesifikasi BMW iX3 M Sport Impressive

    Harga tersebut adalah selepas mendapat pengecualian cukai import, duti eksais dan cukai jalan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia untuk kenderaan elektrik (EV), yang membuatkan iX3 lebih murah – kurang RM10,200 untuk Inspiring dan RM8,200 bagi Impressive.

    Kedua-dua varian menampilkan motor elektrik yang diletakkan di belakang, yang mampu memberikan 210 kW (286 PS) dan tork 400 Nm, yang membolehkannya dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 6.8 saat dan kelajuan maksimum cecah 180 km/j.

    E-Motor itu dijanakan oleh bateri lithium-ion 73.8 kWh yang mampu memberikan jarak antara 453 dan 461 km mengikut kitaran WLTP. Pengecasan mengambil masa sekitar tujuh jam 30. init dengan menggunakan kuasa pengecasan AC secara maksimum pada kadar 11 kW, tetapi jika menggunakan pengecasa pantas DC sehingga 150 kW, kadar 0-80% pengecasan dapat dicapai dalam 32 minit.

    Model asas Inspiring didatangkan dengan pakej M Sport, lampu utama LED adaptif, roda aloi aero dinamik Style 842 19-inci, upholstery kulit Vernasca, papan pemuka balutan kulit tiruan Sensatec, kemasan dalaman aluminium dengan Pearl Chrome dan switchgear perak.

    Risalah spesifikasi BMW iX3 M Sport Inspiring

    Turut diberikan ciri kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, peredam adaptif, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas dan memori untuk bahagian pemandu, kawalan suhu automatik tiga-zon, pengecas tanpa wayar Qi, bumbung suria panoramik, bantuan parkir dengan Bantuan Mengundur, 12-pembesar suara, sistem bunyi 205-watt, kamera undur dan tailgate bukaan bebas-tangan.

    Mankala model Impressive pula diberikan ciri tambahan berbanding Inspiring, seperti lampu utama Laserlight, roda aloi Style 890 M 20-inci, paparan utama, kaca akustik untuk cermin sisi hadapan, kawalan pergerakan, 16-pembesar suara, sistem bunyi Harmon Kardon, sistem kamera 360-darjah dan bunyi pemanduan sintetik IconicSounds Electric.

    Kedua-dua varian juga datang dengan pakej Driving Assistant Professional, yang memberikan pelbagai ciri keselamatan seperti Autonomous Emergency Braking, Evasive Steering Assist, Adaptive Cruise Control with Stop and Go, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Traffic Sign Recognition, Emergency Stop Assist serta Adaptive High Beam.

    Model iX3 ini juga didatangkan dengan ciri standard amaran bunyi untuk pejalan kaki dan Active Protection, iaitu satu sistem yang mengetatkan tali pinggang serta mengunci semua tingkap sekiranya mengesan sebarang risiko perlanggaran (seperti Pre-Safe Mercedes-Benz).

    GALERI: BMW iX3 M Sport Impressive di Malaysia

     
     
  • Lebih banyak penstrukturan semula konsesi lebuhraya selepas perjanjian swasta antara ALR dan Gamuda

    Lebih banyak penstrukturan semula konsesi lebuhraya selepas perjanjian swasta antara ALR dan Gamuda

    Susulan pengumuman yang dibuat semalam berkaitan Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) yang menawarkan untuk membeli saham empat konsesi lebuhraya berkait Gamuda, Menteri Kanan Kerjaraya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata lebih banyak penstrukturan semula dengan pengendali lebuhraya sedang dirancang.

    “Kerajaan mengalu-alukan sektor swasta untuk tampil dengan terma seperti ini, yang mana syarikat konsesi akan menyerahkan semula lebuhraya kepada kerajaan sebaik sahaja mereka melangsaikan hutang. Ini akan meringankan beban rakyat. Akan ada rundingan berkaitan penstrukturan semula melibatkan konsesi lebuhraya lain selepas ini,” kata beliau, seperti dilaporkan Bernama.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kadar tol lebuhraya yang dikendalikan oleh empat konsesi — Kesas, Smart Tunnel, Sprint dan LDP — tidak akan dinaikkan sehingga tempoh konsesi mereka tamat, dan ini akan dilakukan dengan cara menstruktur semula empat syarikat berkenaan.

    Lebih banyak penstrukturan semula konsesi lebuhraya selepas perjanjian swasta antara ALR dan Gamuda

    Penstrukturan ini melibatkan ALR — disifatkan sebagai syarikat swasta, tidak berasaskan keuntungan dengan mandat untuk membantu kerajaan dengan urusan berkenaan — yang menawarkan untuk mengambilalih saham kesemua empat konsesi berkenaan, ang melibatkan nilai keseluruhan RM5.48 bilion menurut Gamuda.

    Langkah ini disifatkan akan membolehkan kerajaan jimat sekurang-kurangnya RM4.3 bilion dalam bentuk subsidi, yang sepatutnya dibayar bermula 1 Januari tahun ini hingga berakhirnya tempoh konsesi, yang akan dilanjutkan disebabkan urusan ini (semua kecuali bagi Smart Tunnel, yang tempohnya akan dipendekkan).

    Fadillah juga berkata tiada sebarang perbelanjaan akan ditanggung oleh kerajaan dalam urusan ini, serta kerajaan juga tidak memberikan jaminan pembiayaan oleh ALR untuk mengambilalih konsesi berkaitan. Beliau menambah, dengan kaedah penstrukturan ini, tiada lagi pemegang saham yang berorientasikan keuntungan yang hanya mementingkan pulangan dan dividen. ALR juga dikehendaki untuk menyerap dan mengekalkan semua pekerja daripada empat konsesi berkenaan.

    Siapa pihak ALR ini? Pada Mei 2021, The Edge melaporkan yang Gamuda sedang dalam perbincangan untuk menjual empat konsesi lebuhrayanya kepada sebuah amanah lebuhraya swasta, sebuah entiti mandiri yang didanai sepenuhnya oleh pasaran kapital hutang swasta.

    Lebih banyak penstrukturan semula konsesi lebuhraya selepas perjanjian swasta antara ALR dan Gamuda

    “Kami juga menekankan bahawa cadangan berkenaan melibatkan pengekalan kadar tol semasa tanpa ada sebarang kenaikan di masa hadpaan, dengan lanjutan singkat konsesi untuk mengelakkan kerajaan daripada membayar sebarang pampasan (yang diperlukan secara undang-undang menurut perjanjian konsesi sedia ada) kerana mengekalkan kadar tol seperti sedia ada, sepanjang tempoh cadangan itu,” jelas Gamuda.

    “Dalam kertas cadangan kami, kerajaan tidak memiliki sebarang kepentingan dalam pembelian entiti berkenaan, dan untuk itu tidak perlu membelanjakan sebarang wang dalam pengambilalihan itu, serta tidak juga perlu memberikan jaminan kerajaan,” tambah kenyataan itu.

    Jika semua ini macam pernah didengar, ini kerana pada tahun 2019, kerajaan Pakatan Harapan menawarkan RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat konsesi tol yang sama berkait dengan Gamuda. Bezanya kini adalah kerajaan telah berhasil untuk tidak membelanjakan sebarang wang untuk perjanjian itu, serta tidak perlu menyelenggara dan mengendali semua lebuhraya berkenaan.

     
     
  • Honda HR-V 2023 pasaran AS didedahkan – platform Civic, model global saingan Toyota Corolla Cross

    Honda HR-V 2023 pasaran AS didedahkan – platform Civic, model global saingan Toyota Corolla Cross

    Setelah pelbagai teaser disiarkan sebelum ini, Honda akhirnya mendedahkan beberapa imej penuh dan juga informasi awalan untuk HR-V 2023 pasaran Amerika Syarikat, yang tampil dengan rupa berbeza berbanding HR-V generasi ketiga pasaran lain di seluruh dunia.

    Pertama sekali, HR-V pasaran Amerika Syarikat ini adalah lebih besar kerana ia bukan lagi SUV segmen-B, sebaliknya ia adalah model segmen-C dihasilkan dari platform yang sama seperti Honda Civic generasi ke-11, dan Honda sendiri mengesahkan bahawa ia menampilkan jarak roda dan lebih lebar berbanding model sebelumnya.

    Jadi bukan sahaja saiznya lebih besar, malah model ini turut menerima sistem suspensi jenis bebas di belakang (kemungkinan besar menggunakan sistem multilink yang sama dengan Civic) berbanding HR-V pasaran lain yang hanya menggunakan torsion beam.

    HR-V baharu untuk AS ini juga menampilkan rupa yang jauh berbeza. Ia diberikan muka ‘gaya Amerika’ yang tidak sama seperti model-model terkini Honda yang lain dengan menampilkan gril oktagon bersaiz besar, bersama lampu hadapan LED yang nipis, lengkap dengan lampu nyalaan siang LED bina-dalam berbentuk-L.

    Honda HR-V 2023 pasaran AS didedahkan – platform Civic, model global saingan Toyota Corolla Cross

    Bahagian bawah gril turut diberikan liang udara berbentuk trapezoid yang bersambung kemasan berbentuk-C pada kedua-dua sisi, menyerlahkan imej lasak SUV ini. Berbanding HR-V pasaran lain yang tampil dengan bentuk bersegi, HR-V di AS ini diberikan garis-garis badan sisi yang lebih beralun.

    Cermin sisi diletakkan pada bahagian pintu tanpa menggangu cermin tingkap seperti Civic bagi memberikan padangan lebih baik. Dengan saiz yang lebih besar juga HR-V ini menampilkan bonet hadapan yang lebih panjang serta tambahan satu lagi cermin tingkap suku di belakang pintu.

    Bahagian belakang model ini tidak menampilkan lampu yang merentangi sepenuhnya, sebaliknya diberikan lampu jenis ‘two-piece’ yang juga tidak bersegi, bersama perumah nombor pendaftaran yang diletak tinggi. Tiada imej bahagian kabin ditunjukkan kali ini. Namun boleh diagak ia bakal menerima papan pemuka ringkas yang seiras dengan Civic.

    Juga tiada sebarang perincian unit rangkaian kuasa dinyatakan, dan sekali lagi ia berkemungkinan besar berkongsi sistem mekanikal yang sama dengan Civic. Di AS, Civic ditawarkan dengan pilihan enjin NA 2.0 liter i-VTEC DOHC berkuasa berkuasa 158/187 Nm dan juga 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 180 hp/240 Nm – kedua-duanya digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Berminat dengan HR-V pasaran AS ini berbanding HR-V generasi ketiga yang bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi? Ini mungkin berita baik untuk anda – Honda sebelum ini sudahpun mengesahkan bahawa HR-V pasaran AS ini sebenarnya adalah model global yang akan turut dipasarkan ke seluruh dunia, dan tidak mustahil ia akan ke Asia Tenggara termasuk Malaysia.

    Namun untuk pasaran luar Amerika Syarikat, ia tidak akan menggunakan nama HR-V, tetapi akan diberikan nama lain kelak. Ini bermakna model ini akan diletakkan di antara HR-V segmen-B dan juga CR-V – atau dalam kata lainnya ia adalah lawan terus kepada Toyota Corolla Cross yang dihasilkan dengan konsep dan saiz yang lebih kurang sama.

    Tetapi sekiranya model ini dijual di Asia Tenggara dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo serta menampilkan suspensi multilink di belakang (berbanding hanya torsion beam pada Corolla Cross), mungkin ia akan memberi ancaman terhadap SUV dari Toyota berkenaan.

     
     
  • Geely Coolray GT Limited Edition 2022 diperkenal di Filipina – 200 hp, pelbagai komponen aftermarket!

    Geely Coolray GT Limited Edition 2022 diperkenal di Filipina – 200 hp, pelbagai komponen <em>aftermarket</em>!

    Geely Filipina baru sahaja mendedahkan model varian edisi terhad untuk kembar Proton X50 di pasaran berkenaan iaitu Coolray, digelar sebagai Geely Coolray GT Limited Edition. Model berkenaan bukan sahaja tampil dengan rupa lebih agresif dengan pelbagai peralatan aftermarket diberikan, malah turut menghasilkan jumlah kuasa yang lebih besar!

    Menurut laporan CarGuide.ph, model ini sebenarnya belum lagi dilancarkan secara rasmi, sebaliknya hanya diprebiu terlebih dahulu. Ia turut akan dipamerkan di Geely pavilion di Manila International Auto Show 2022 bermula 7 hingga 10 April nanti.

    Model ini diasaskan dari varian Coolray Premium, dan unit yang dipamerkan ini diberikan warna badan istimewa yang digelar sebagai Cloud Blue. Apa yang boleh dilihat pada bahagian luaran, Coolray GT Limited Edition ini menampilkan spoiler bawah bampar hadapan dan diffuser bampar belakang yang diperbuat dari bahan gentian karbon.

    Geely Coolray GT Limited Edition 2022 diperkenal di Filipina – 200 hp, pelbagai komponen <em>aftermarket</em>!

    Ia juga dilihat datang dengan pemijak sisi, bumbung hitam serta diberikan set rim aloi aftermarket dari XXR bersaiz 19-inci yang dibalut dengan tayar bersaiz 245/45R19. Sistem brek pada model edisi terhad ini juga dilihat menampilkan cakera lebih besar bersama angkup dalam kemasan merah di hadapan.

    CarGuide.ph turut menyatakan bahawa Coolray GT Limited Edition ini menerima tingkat taraf bahagian enjin dengan menampilkan penuras udara prestasi dari K&N dan sistem ekzos dari Drift Xaust bersama tip kemasan gentian karbon.

    Tingkat taraf cip komputer enjin turut ditawarkan sebagai opsyen, membolehkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan terus yang pada asalnya menghasilkan kuasa 175 hp/255 Nm berkenaan kini diekstrak untuk menjana 200 hp!

    Geely Coolray GT Limited Edition ini hanya akan dijual di pasaran Filipina menerusi pengedar Geely Fairview sahaja, dijual pada harga 200,000 peso (RM16k) lebih mahal berbanding Coolray Premium. Ketika dilancarkan di negara tersebut pada September 2019, Geely Coolray dijual pada harga bermula 978,000 peso (RM80k) hingga 1,198,000 peso (RM98k).

     
     
  • SPYSHOT: smart #1 dilihat diuji buat pertama kali – binaan Geely, akan dijual oleh Proton Edar di M’sia

    SPYSHOT: smart #1 dilihat diuji buat pertama kali – binaan Geely, akan dijual oleh Proton Edar di M’sia

    Januari lalu, jenama kereta kompak milik Mercedes-Benz yang kini telah berubah menjadi jenama elektrik sepenuhnya iaitu smart diumumkan akan kembali ke Malaysia, sempena pengecualian cukai untuk kereta elektrik (EV) yang diberikan oleh kerajaan bermula tahun ini.

    Dan apa yang menarik, smart akan dijual di Malaysia dan juga Thailand melalui pengedar baharunya iaitu Proton Edar. Ini kerana smart kini adalah sebahagian dari keluarga besar Geely, dan model generasi baharunya iaitu smart #1 dibangunkan dan akan diproduksi oleh Geely, manakala rekaannya masih menjadi tanggungjawab Mercedes-Benz.

    Sebelum ini, smart #1 hanya tampil dalam bentuk model konsep, dan unit prototaip yang sedang diuji seperti yang anda lihat ini merupakan penampilan pertama crossover elektrik berkenaan dalam bentuk produksi sebenar. Sama seperti imej paten yang bocor sebelum ini, rupa produksi sebenar smart #1 nampaknya memang hampir seiras dengan versi konsepnya sebelum ini.

    SPYSHOT: smart #1 dilihat diuji buat pertama kali – binaan Geely, akan dijual oleh Proton Edar di M’sia

    Walaupun masih diberikan pelekat penyamaran, dapat dilihat keseluruhan badan smart #1 direka seakan gula-gula jelly bean. Perincian lain yang dibawa dari model konsep termasuk lampu hadapan dan belakang yang merentangi keseluruhan lebarnya, liang udara bawah hadapan berbentuk trapezoid, pembuka pintu yang tenggelam, tiang-C yang tebal dan kesemua pintu dengan cermin tingkap tanpa bingkai.

    Kesemua perincian ini sebenarnya adalah berasal dari konsep rekaan “Sensual Purity” Mercedes-Benz. Dan dengan liang udara hadapan aktif serta set rim yang direka turut mengambil kira aspek aerodinamik, secara keseluruhan smart #1 menghasilkan kadar pekali seretan hanya 0.29.

    Bahagian dalaman smart #1 ini turut menerima rekaan minalis. Ia diberikan papan pemuka ringkas yang bersambung dengan konsol terowong yang agak tinggi tanpa suis-suis kawalan fizikal. Paparan instrumen nampak seperti direka dengan saiz kecil bersama skrin infotainmen yang agak besar berdiri sendiri pada bahagian tengah papan pemuka.

    SPYSHOT: smart #1 dilihat diuji buat pertama kali – binaan Geely, akan dijual oleh Proton Edar di M’sia

    Tanpa kehadiran suis-suis fizikal, mungkin kebanyakkan fungsi-fungsi kereta ini seperti kawalan sistem pendingin hawa dan lain-lain akan diletakkan pada skrin infotainmen dan boleh diaktifkan menerusi arahan suara serta gestur.

    Tiada sebarang perincian teknikal smart#1 ini didedahkan buat masa sekarang. Namun sebelum ini SUV elektrik berkenaan sah dibangunkan menggunakan platform Sustainable Electric Architecture (SEA), iaitu platform yang dihasilkan oleh Geely khas untuk kereta elektrik penuh, untuk digunakan untuk jenama-jenamanya yang lain termasuk Geometry dan Zeekr.

    Menurut sumber, smart #1 kini sedang menjalani ujian-ujian terakhirnya dan hampir bersedia untuk masuk ke pasaran. Model ini bakal didedahkan sepenuhnya di Berlin, Jerman pada 7 April ini.

    Jurucakap dari smart berkata: “Kombinasi rekaan Mercedes-Benz dan kejuruteraan pintar mewujudkan hasil yang menarik. Rekaan luaran yang asli dan elegen memberikan keseimbangan yang sempurna antara estetika dan aerodinamik yang diasaskan dari kejuruteraan mendalam serta kualiti premium. smart #1 kini telah pun melengkapkan ujian pra-produksi yang ekstensif di utara China, dengan sistem bateri dan teknologi telah menjalani ujian hebat dalam suhu -40°C.”

     
     
  • JPJ tambah 100 kios layan diri menjelang akhir tahun ini – sasar keuntungan RM4.12 bilion untuk 2022

    JPJ tambah 100 kios layan diri menjelang akhir tahun ini – sasar keuntungan RM4.12 bilion untuk 2022

    Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan akan menambah sekitar 100 unit kios baharu di semua cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, laporan Bernama. Ia bagi membolehkan orang ramai melakukan transaksi bagi urusan yang berkaitan tanpa perlu berkunjung ke kaunter perkhidmatan.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, kementeriannya akan menempatkan kios layan diri itu di beberapa lokasi strategik seperti di pejabat kerajaan di beberapa kementerian, di stesen LRT dan MRT di sekitar Lembah Klang.

    Antara urusan transaksi yang boleh dilakukan di kios JPJ ini termasuklah memperbaharui dan mencetak cukai jalan (LKM), mencetak salinan sijil pemilikan kenderaan (VOC) serta membayar saman trafik. Kios ini juga boleh memberikan maklumat yang diperlukan berkaitan dengan lesen memandu, insurans kenderaan dan lain-lain.

    JPJ tambah 100 kios layan diri menjelang akhir tahun ini – sasar keuntungan RM4.12 bilion untuk 2022

    Selain itu, Dr Wee turut menambah, pihak kementerian akan terus menggunakan platform perkhidmatan bergerak dengan memperuntukkan 20 van JPJ untuk digunakan petugas di seluruh negara bagi menepati aspirasi JPJ ‘reach-out’ kepada pelanggan.

    “Dengan adanya kemudahan dan bajet tambahan berkenaan, maka saya yakin dan percaya hasrat jabatan untuk mencapai sasaran kutipan hasil RM4.12 billion bagi tahun 2022 akan mampu dicapai,” katanya.

     
     
  • Toyota GR Corolla – bukan model edisi terhad, tapi akan dihasilkan tidak banyak untuk kekal eksklusif

    Toyota GR Corolla – bukan model edisi terhad, tapi akan dihasilkan tidak banyak untuk kekal eksklusif

    Ketika Toyota GR Yaris diperkenalkan pada 2020 dahulu, Toyota awal-awal sudah menyatakan bahawa model homologasi istimewa untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) berkenaan hanya akan dihasilkan sebanyak 25,000 unit untuk pasaran seluruh dunia. Namun ketika ‘abangnya’ iaitu GR Corolla didedahkan minggu lalu, tiada sebarang kenyataan dari Toyota yang menyatakan sama ada ia juga akan dihasilkan secara terhad atau lebih banyak.

    Portal Road&Track mendedahkan bahawa nampaknya GR Corolla tidak terhad hanya 25,000 unit walaupun ia dihasilkan di fasiliti GR Factory di kilang Motomachi sama seperti GR Yaris. Namun jumlah pengeluarannya tidak akan benar-benar banyak kerana nilai eksklusif model berkenaan turut akan dijaga.

    “Saya tidak kata bahawa model ini akan dihasilkan tidak banyak kerana kemampuan kami untuk memproduksinya. Ia perlu berhati-hati kerana kami mahu kekalkan kredibiliti status nic model ini,” kata naib presiden Toyota untuk pemasaran, Mike Tripp kepada R&T.

    Menurut laporan R&T lagi, strategi yang digunakan oleh Toyota ini adalah sama seperti langkah yang diambil oleh pengeluar lebih premium. Porsche misalnya, kapasiti produksi untuk model-model yang paling mengujakan biasanya akan ditetapkan agar tidak melebihi permintaan.

    Toyota GR Corolla – bukan model edisi terhad, tapi akan dihasilkan tidak banyak untuk kekal eksklusif

    Dalam laporan tersebut, Tripp turut menyatakan bahawa bagi memastikan produk tersebut sentiasa segar dalam pasaran, GR Corolla akan ditawarkan dalam pelbagai model edisi terhad; model yang pertama adalah GR Corolla Circuit Edition yang diperkenalkan serentak dengan kemunculan sulung minggu lalu.

    Tripp menganggarkan sejumlah 6,000 hingga 8,000 unit GR Corolla akan terjual di Amerika Syarikat setiap tahun, dimana sekitar 1,250 daripadanya adalah model edisi terhad. Beliau turut menjelaskan setiap pengedar Toyota di negara berkenaan berpeluang untuk menjual model edisi terhad berkenaan.

    Berita ini sebenarnya mencerahkan lagi peluang untuk Malaysia menerima GR Corolla untuk di bawa ke sini. Bagi yang belum mengetahui, walaupun GR Yaris merupakan model dengan jumlah pengeluaran yang terhad, UMWT masih mampu memasarkan model berkenaan disini.

    UMW Toyota Motors menerima 127-unit GR Yaris untuk dijual di sini (kesemuanya habis ditempah dalam masa yang singkat) – antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Mungkin dengan status GR Corolla yang bukan model edisi terhad, Malaysia bakal menerima lebih banyak unit untuk dijual pada pasaran tempatan?

     
     
  • Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad ambil alih KESAS, LDP, SPRINT & SMART – tidak berasaskan keuntungan

    Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad ambil alih KESAS, LDP, SPRINT & SMART – tidak berasaskan keuntungan

    Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkenaan kadar tol bagi Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP) tidak dinaikkan dan kekal hingga tamat tempoh konsesi, Menteri Kanan Kementerian Kerja Raya (KKR) Fadillah Yusof pula mengesahkan syarikat swasta Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) akan mengambil alih keempat-empat lebuhraya berkenaan.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Fadillah berkata, lanjutan tempoh konsesi bukan hak eksklusif syarikat konsesi, dan ia adalah tertakluk pemantauan kerajaan dari semasa ke semasa.

    “Syarikat ALR yang dipengerusikan oleh Tan Sri Azlan Mohd Zainol telah pun menawarkan untuk membeli 100% pegangan saham di kesemua lebuhraya terbabit. Walau bagaimana pun kesemua pemegang saham ALR adalah tidak berasaskan keuntungan (not for profit). Melalui kaedah penstrukturan semula ini, tiada lagi pemegang saham yang berasaskan keuntungan. Di mana pemegang saham sebelum ini iaitu KWSP, KWAP, PNBM, dan Lembaga Tabung Haji akan mendapat pulangan daripada pelaburan lebih awal daripada sepatutnya.

    Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad ambil alih KESAS, LDP, SPRINT & SMART – tidak berasaskan keuntungan

    “Kerajaan juga akan memastikan syarikat ALR menyerap semua kakitangan sedia ada yang sedang berkhidmat di keempat-empat syarikat konsesi terbabit. Dengan itu, tiada isu pembuangan pekerja susulan cadangan penstrukturan ini. Justeru, status semua pekerja sedia ada ini adalah terjamin,” jelasnya.

    Tambah beliau lagi, dengan cadangan penstrukturan semula ini, tiada kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi bagi keempat-empat lebuhraya terlibat dibandingkan dengan peruntukan penjanjian konsesi asal yang memperuntukan kenaikan kadar tol bagi lebuhraya berkenaan secara berkala di antara lima ke tujuh tahun mengikut penjanjian konsesi masing-masing.

    “Kerajaan juga tidak mengeluarkan sebarang pembelanjaan bagi transaksi ini, malahan tidak memberikan sebarang jaminan untuk pembiayaan ALR. Ini termasuk kos penyelenggaraan dan operasi. Justeru, kerajaan mengesyorkan syarikat ALR untuk mengekalkan kadar tol melalui Penjanjian Konsesi Tambahan bagi melibatkan semua kelas kenderaan untuk kesemua konsesi terbabit,” ujar beliau lagi.

    Beliau turut menambah lebih banyak syarikat konsesi lebuh raya akan terlibat dengan penstrukturan semula bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat. Walau bagaimana pun, perkara ini belum diperincikan sepenuhnya.

     
     
  • Perodua Myvi gaya GR Corolla – widebody, tiga ekzos

    Perodua Myvi gaya GR Corolla – widebody, tiga ekzos

    Semasa Toyota GR Yaris keluar dulu Theophilus Chin telah mengambil gaya hot hatch itu dan menerapkannya pada pelbagai kereta Perodua termasuk Axia, Bezza, Ativa dan Myvi. Malah dalam dunia sebenar juga sudah ada yang mengeluarkan bampar gaya GR Yaris ini untuk Myvi, tapi nampaknya ia masih belum begitu popular.

    Sekarang, keluar pula satu lagi kereta yang sama mengujakan dari Toyota, iaitu GR Corolla, untuk pasaran Amerika Syarikat. Hatchback lima pintu ini menggunakan asas daripada model Corolla di sana, dan dipasang dengan enjin GR Yaris, iaitu unit tiga silinder 1.6 liter turbo berkemampuan 304 PS dan 370 Nm tork, bersama transmisi manual enam kelajuan serta sistem pacuan semua roda GR Four.

    Kereta GR terbaru ini mempunyai pelbagai ciri rekaan unik yang menonjol, antaranya tiga muncung ekzos (dua berbentuk bulat di tepi dan satu yang lebih besar di tengah), tambahan panel lebih lebar di keliling roda (widebody), skirting dengan tulisan GR-Four serta lubang udara pada fender. Semua ini diambil oleh Theo untuk diletakkan pada “king” kita, Myvi.

    Perodua Myvi gaya GR Corolla – widebody, tiga ekzos

    Di depan, bampar GR Corolla yang mempunyai bukaan besar berserta kemasan honeycomb dan lampu kabus kecil dipadankan bersama lampu LED serta hud Myvi. Masih terdapat gril nipis pada Myvi rekaan Theo ini, dan logo di tengahnya masih menggunakan logo Myvi.

    Elemen lain yang dimasukkan oleh Theo kepada Myvi ini adalah termasuk rim warna hitam dengan banyak cabang, angkup brek GR warna merah, lencana GR di beberapa bahagian serta bampar belakang dengan diffuser. Walaubagaimanapun, tiada lubang udara di atas hud atau spoiler belakang yang besar diletakkan pada Myvi ini.

     
     
  • Proton Iriz RX didedahkan – jentera rallycross 600 hp yang akan bertanding di UK dan seluruh Eropah!

    Proton Iriz RX didedahkan – jentera rallycross 600 hp yang akan bertanding di UK dan seluruh Eropah!

    Selepas pertama kali diumumkan pada Disember 2020 – ini dia tuan-tuan dan puan puan, Proton Iriz paling berkuasa di dunia iaitu Proton Iriz RX secara rasminya telah didedahkan! Seperti yang diketahui sebelum ini, jentera ini diasaskan jentera rali Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM), dan menerima kejuruteraan semula untuk memenuhi spesifikasi FIA RX1 (sebelum ini dikenali sebagai RX Supercar) oleh Tony Bardy Motorsport (TBM).

    Pembangunan jentera ini dibuat di fasiliti MEM yang terletak di Derbyshire, UK. Ia bakal dipandu oleh juara British Rallycross Championship 2007, Ollie O’Donovan dalam kejohanan 5 Nation British Rallycross dengan pasukan Team RX Racing. Bukan itu sahaja, Ollie O’Donovan turut akan bertanding semula dalam kejohanan European Rallycross Championship tahun ini dengan Proton Iriz RX berkenaan!

    Tiada sebarang perincian teknikal diumumkan ketika jentera ini didedahkan. Namun menurut spesifikasi RX1 yang telah ditetapkan oleh FIA, jentera-jentera yang bertanding dalam kelas berkenaan perlu dijana oleh enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan sekitar 600 hp, digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan, sistem pacuan semua roda serta ditimbang sekitar 1,300 kg.

    Proton Iriz RX didedahkan – jentera rallycross 600 hp yang akan bertanding di UK dan seluruh Eropah!

    Dilihat dari bahagian luar, Iriz RX ini menampilkan kelengkapan aerodinamik yang hampir sama dengan Iriz R5, khususnya pada bampar hadapan dan belakang, serta panel wide body pada keempat-empat ruang roda. Namun apa yang berbeza, Iriz RX ini diberikan lampu ‘dummy’ di hadapan bersama liang udara yang lebih banyak pada gril bawah dan perumah lampu kabus, overfender belakang yang lebih lebar serta spoiler dua tingkat di belakang yang lebih besar diperbuat dari karbon.

    Jika anda perasan juga, terdapat liang udara besar pada kedua-dua belah pintu belakang, dan juga penutup but belakang yang telah ditebuk juga untuk aliran udara. Ini sebenarnya adalah untuk sistem penyejukkan enjin jentera lumba berkenaan, kerana radiator kereta rallycross lazimnya dialihkan ke bahagian belakang, bagi mengelakkan ia rosak ketika ‘dog fight’ yang lebih agresif berlaku setiap kali dalam disiplin perlumbaan tersebut.

    Menurut Team RX Racing lagi, walaupun Iriz RX ini diasaskan dari Iriz R5, pembinaannya dibuat secara spesifik untuk kegunaan perlumbaan rallycross, bermula dengan kerangka kosong sebuah Iriz produksi. Kereta ini telah pun menjalani ujian-ujian awal, dan bakal muncul buat pertama kali dikhalayak ramai di hari media dan ujian 5 Nations BRX yang bakal berlangsung pada 14 April di Lydden Hill.

    Proton Iriz RX didedahkan – jentera rallycross 600 hp yang akan bertanding di UK dan seluruh Eropah!

    Lydden Hill juga akan menjadi medan pertarungan pusingan pertama dan kedua 5 Nations BRX 2022 yang akan bermula pada 16 hingga 18 April ini. Kejohanan berkenaan akan berlangsung sebanyak 10-pusingan tahun ini, dengan pusingan seterusnya akan dibuat di Pembrey (Wales), Mondello Park (Ireland), dan Dreux (Perancis).

    Manakala untuk European Rallycross Championship musim ini, ia akan bermula di Nyirad, Hungary bulan hadapan, diikuti pusingan di Norway, Sweden, Portugal, Latvia, Portugal dan Belgium.

    “Melihat Iriz RX ini turun dari treler untuk buat pertama kali baru-baru ini merupakan saat yang penting untuk diri saya dan pasukan. Kemudian masuk ke dalamnya dan memuatkan saya dengan sempurna merupakan perasaan yang istimewa. Banyak kerja keras telah dicurahkan untuk projek ini, dan ujian awal telah dijalankan dengan cemerlang. Iriz RX telah pun memberikan rasa peningkatan yang jauh lebih tinggi berbanding di mana kami sebelum ini, dan ujian shakedown pertama ini adalah jauh dari potensi penuhnya yang boleh dicapai,” kata Ollie O’Donovan, yang juga prinsipal pasukan Team RX Racing.

    Proton Iriz RX didedahkan – jentera rallycross 600 hp yang akan bertanding di UK dan seluruh Eropah!

    “Untuk kembali ke Kejohanan Eropah turut menjadi sasaran utama untuk projek ini, dan saya tak sabar untuk memandu di Nyirad, Hungary untuk pertama kali bulan hadapan, dan membuat penampilan antarabangsa pertama untuk Iriz RX ini!” kata O’Donovan lagi.

    Apa yang menarik, anak Ollie iaitu Patrick O’Donovan turut akan menyertai 5 Nation BRX untuk musim ini, memandu satu lagi jentera pasukan Team RX Racing iaitu Ford Fiesta RX, bekas jentera yang digunakan Ollie untuk musim-musim sebelum ini.

    “Ollie [O’Donovan] mahukan kereta yang orang lain tiada, dan dalam versi R5 Iriz telah pun menang banyak perlumbaan rali dengan dipandu oleh Ollie Mellors. Sebab itulah kami memilih jalan ini,” kata ketua jurutera Team RX Racing dan juga pemilik Tony Bardy Motorsport, Tony Bardy.

    Proton Iriz RX didedahkan – jentera rallycross 600 hp yang akan bertanding di UK dan seluruh Eropah!

    “Kereta ini berkongsi asas dengan Iriz R5, tetapi turut menampilkan banyak perincian yang unik, dan konsep berkenaan dikembangkan lagi bagi diadaptasi untuk rallycross lebih dari semua kemungkinan yang difikirkan sejak dari mula. Tetapi selepas kereta ini menjalani ujian pertama, ia ada kelajuan. Kereta ini mempunyai cengakaman yang banyak, dan lebih banyak potensi belum didedahkan. Kami semua tak sabar untuk perlumbaan pertama!” kata Tony Bardy lagi.

    Prinsipal pasukan MEM Proton Motorsport, Chris Mellors pula berkata: “Ini merupakan, dan terus menjadi, projek yang menarik untuk kami di MEM. Seronok dapat mengusahakan program yang berbeza dengan orang yang berbeza, dan meneroka dunia rallycross. Kami berpuas hati dengan hasil kereta ini, dan kami sangat gembira dengan shakedown di Pembrey. Kami mempunyai beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum pusingan pembukaan musim ini, tetapi kami sangat teruja untuk melihat prestasi kereta itu dalam persekitaran yang kompetitif, sama ada di Kejohanan British dan di pentas Eropah.”

     
     
  • Kadar tol di empat lebuhraya di Lembah Klang tidak akan dinaikkan sehingga tamat tempoh konsesi – PM

    Kadar tol di empat lebuhraya di Lembah Klang tidak akan dinaikkan sehingga tamat tempoh konsesi – PM

    Perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengesahkan kadar tol empat lebuh raya di Lembah Klang tidak dinaikkan dan kekal hingga tamat tempoh konsesi. Ia membabitkan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP), laporan Bernama

    Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu.

    “Setelah penelitian terperinci daripada semua aspek yang meliputi bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan kerajaan, kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya.

    “Ia melibatkan Kesas Sdn Bhd yang menguruskan KESAS, Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan SMART, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan SPRINT dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan LDP,” katanya.

    Kadar tol di empat lebuhraya di Lembah Klang tidak akan dinaikkan sehingga tamat tempoh konsesi – PM

    Tambahnya, melalui penstrukturan itu, kadar tol tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat konsesi serta akan dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi.

    “Penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya terbabit adalah dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion. Ini usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol seperti mana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

    “Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

    Ismail Sabri berkata penstrukturan dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak membabitkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

    “Perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula ini akan dimaklumkan Menteri Kanan Kerja Raya,” katanya.

     
     
  • Proton Saga catat jualan 6,422 unit untuk Mac 2022, tertinggi bagi tempoh sembilan tahun sejak 2013

    Proton Saga catat jualan 6,422 unit untuk Mac 2022, tertinggi bagi tempoh sembilan tahun sejak 2013

    Proton hari ini mengumumkan jumlah jualan kenderaannya bagi bulan Mac, yang menyaksikan 13,028 unit terjual (domestik dan eksport), naik 41.2% berbanding bulan Februari. Walaupun jualan untuk suku pertama tahun ini menurun 13% berbanding tempoh sama pada 2021, Proton tetap ada berita positif untuk dikongsi.

    Yang dimaksudkan ialah berkaitan Proton Saga facelift. Sedan yang menjadi model paling laris tahun lalu (dengan 42,267 unit) terus menjadi pelopor untuk jenama ini. Bagi bulan Mac sahaja, sebanyak 6,422 unit telah terjual dan itu menjadi jumlah tertinggi yang pernah dicapai oleh Saga dalam tempoh sembilan tahun terakhir. Kali terakhir angkanya lebih tinggi adalah pada November 2013, melalui Saga SV yang dijual ketika itu.

    Syarikat itu juga mendakwa dengan angka jualan Mac berkenaan, Saga menjadi pendahulu bagi segmen A di Malaysia secara keseluruhannya. Jumlah jualan keseluruhan Saga bagi suku pertama tahun ini adalah sebanyak 9.449 unit.

    Pada Disember 2021, Proton mendedahkan jualan keseluruhan bagi Saga facelift telah melangkaui angka 100,000 unit, kurang daripada 30 bulan sejak dilancarkan pada Ogos 2019.

     
     
  • Volvo XC40 Electric 2022 dijual pada harga RM262k di Malaysia — CKD, jarak 418 km, 408 PS dan 660 Nm

    Volvo XC40 Electric 2022 dijual pada harga RM262k di Malaysia — CKD, jarak 418 km, 408 PS dan 660 Nm

    Volvo Cars Malaysia (VCM) secara rasminya mengumumkan harga bagi XC40 Recharge Pure Electric P8 untuk pasaran Malaysia ialah RM262,460 (termasuk pengecualian SST). Ini menjadikannya RM14k lebih murah berbanding Hyundai Ioniq 5 paling lengkap dan RM16k lebih murah berbanding Mercedes-Benz EQA 250 AMG Line CBU. Ia bagaimanapun RM20k lebih mahal daripada XC40 PHEV.

    XC40 EV ini merupakan kereta elektrik sepenuhnya yang pertama dipasang di negara ini, serta merupakan varian CKD ketiga XC40. Sebagai sebahagian daripada ikrar syarikat itu untuk menjadi iklim-neutral sepenuhnya menjelang 2040, mereka mengalihkan proses pengambilan tempahan ke dalam talian melalui laman web. Pilih warna dan pengedar yang diinginkan, dan penasihat jualan akan menghubungi anda dalam tempoh 24 jam.

    Termasuk dengan harga yang diumumkan itu adalah jaminan pengeluar selama lima-tahun dengan pakej servis lima-tahun juga, serta bantuan tepi jalan lima-tahun dan jaminan bateri selama lapan-tahun. Serahan dijangka akan mula dilakukan hujung bulan ini, dan turut akan dieksport untuk pasaran ASEAN.

    Volvo XC40 Electric 2022 dijual pada harga RM262k di Malaysia — CKD, jarak 418 km, 408 PS dan 660 Nm

    XC40 EV ini dikuasakan oleh dua motor elektrik, menghasilkan output keseluruhan 408 PS dan 660 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dalam 4.9 saat, menjadikannya SUV Volvo yang paling pantas ketika ini.

    Bateri lithium-ion 78 kWh menyediakan jarak sehingga 418 km (kitaran WLTP), dan kereta ini boleh memanfaatkan kadar pengecasan maksimum AC 11 kW (sambungan Type 2; kabel disediakan sekali). Cara ini memerlukan masa 7.5 jam (atau 50 ke 60 km sejam) untuk mengecas bateri sepenuhnya. Bagi pengecasan DC, kadar maksimum 150 kW (CCS2) akan mengecas bateri dari 0-80% dalam masa 33 minit.

    Ciri yang ada padanya termasuk lampu LED penuh dengan DRL LED “Thor’s Hammer”, lampu kabus depan dengan fungsi belokan, lampu belakang LED, rim 19-inci dengan tayar Pirelli P Zero Elect, landasan bumbung hitam berkilat, sistem infotainmen Android Automotive OS terbaru, pengecas tanpa wayar, balutan kulit Nubuck serta sistem bunyi Harman Kardon dengan 14-pembesar suara.

    Volvo XC40 Electric 2022 dijual pada harga RM262k di Malaysia — CKD, jarak 418 km, 408 PS dan 660 Nm

    Kelengkapan keselamatan dan bantuan pemandu juga menarik: ciri City Safety (penghindaran perlanggaran & pengesanan pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan besar), amaran perlanggaran di depan dan belakang, Driver Alert Control, Lane Keeping Aid serta banyak lagi ciri lain antaranya Run-Off Road Mitigation dengan Road Edge Detection, Oncoming Lane Mitigation, Blind Spot Information System (BLIS) dengan Steer Assist dan Cross Traffic Alert (CTA) dengan Autobrake.

    Terdapat lima warna sebagai pilihan — Crystal White Pearl, Denim Blue Metallic, Black Stone (solid paint), Sage Green Metallic dan Glacier Silver Metallic.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025