Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo lantik Jim Rowan sebagai CEO baru – bekas bos besar Dyson bakal ganti tugas Håkan Samuelsson

    Volvo lantik Jim Rowan sebagai CEO baru – bekas bos besar Dyson bakal ganti tugas Håkan Samuelsson

    Volvo Cars telah mengumumkan bahawa bekas CEO Dyson iaitu Jim Rowan akan menggalas jawatan sebagai CEO dan presiden jenama automotif Sweden berkenaan bermula 21 Mac 2022, bagi menggantikan tempat Håkan Samuelsson.

    Sebelum ini Rowan pernah memegang jawatan COO untuk Blackberry, serta pernah memegang jawatan yang sama di Dyson sejak 2012 sehingga 2017. Beliau kemudiannya dilantik sebagai CEO Dyson Group pada 2017 dan berkhidmat sehingga 2020.

    Ketika bertugas dengan pengeluar kelengkapan elektrik rumah berkenaan, Rowen berjaya memacu strategi e-perdagangan serta melancarkan beberapa produk dan meningkatkan pegangan pasaran Dyson. Buat masa sekarang, Rowen masih bertugas sebagai CEO dan ahli lembaga Ember Technologies sejak Februari 2021.

    Oleh itu, Rowan bakal memulakan tugasnya di Volvo dengan berbekalkan pengalaman global selama tiga tahun dalam sektor konsumer dan teknologi. Pengetahuannya dalam bekerja dengan digitalisasi, gangguan, inovasi, kejuruteraan dan rangkaian pembekalan bakal digunakan oleh Volvo bagi “merealisasikan cita-cita strategik” mereka.

    “Saya sangat gembira untuk mengalu-alukan Jim Rowen sebagai CEO baru Volvo Cars. Volvo Cars kini sedang melalui transformasi pantas terhadap digitalisasi yang menjadi sebab mengapa kami mahu membawa seseorang yang mempunyai pengalaman sebagai CEO global dari luar industri automotif,” kata pengerusi lembaga Volvo Cars, Eric Li.

    “Jim merupakan orang yang tepat bagi memacu Volvo Cars ke arah masa hadapan – membolehkan ia menjadi pengubah terpantas dalam lapangan dan syarikat elektrik sepenuhnya dengan berjuta-juta hubungan terus terhadap konsumer,” tambah Li lagi.

    Tugas Håkan Samuelsson akan digantikan oleh Rowen pada Mac ini kerana kontraknya yang bakal tamat pada penghujung 2022. Walaupun Samuelsson akan meninggalkan lembaga Volvo Car AB, beliau masih akan bertugas sebagai pengerusi Polestar untuk memantau proses de-SPAC sebagai salah satu inisiatif bagi disenaraikan awamkan di Nasdaq.

    Håkan Samuelsson mula dilantik sebagai ahli lembaga pada 2010, dan dilantik sebagai CEO dan presiden Volvo Cars sejak Oktober 2012. Beliau bakal meninggalkan legasi yang kuat di Volvo kerana sepanjang tempohnya menggalas jawatan penting tersebut, Volvo dilihat berkembang dengan pantas dari segi angka jualan dan juga pertambahan model dalam portfolio.

    Volvo lantik Jim Rowan sebagai CEO baru – bekas bos besar Dyson bakal ganti tugas Håkan Samuelsson

    Beliau juga merupakan individu penting dalam memacu Volvo kearah masa hadapan teknologi elektrifikasi dan hasrat untuk disenarai awamkan.

    “Saya mahu mengambil kesempatan ini bagi dengan ikhlas mengucapkan terima kasih kepada Håkan Samuelsson untuk komitmen dan kesungguhannya dalam tempoh lebih sepuluh tahun ini di Volvo Cars. Håkan telah, bersama dengan pasukan pentadbirannya, mewujudkan barisan produk yang diperbaharui dan kuat, memperkenalkan semula Volvo sebagai jenama premium pada tempat yang baik pada masa hadapan, dan membolehkan Volvo Cars disenarai awamkan,” tambah Li lagi.

    “Saya gembira untuk menyertai Volvo Cars pada detik yang begitu menarik untuk syarikat dan pada tempoh transformasi untuk kedua-dua industri dan pengguna. Rekod prestasi Volvo Cars yang kukuh merentasi inovasi, keselamatan dan kualiti, ditambah dengan bakat bertaraf dunia dan kemampanan serta keupayaan teknologi yang memberi inspirasi, meletakkannya ia sebagai peneraju hala tuju,” kata Rowan

    “Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan Jim ke jawatan baharunya bagi meneruskan perjalanan hebat Volvo Cars. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja Volvo Cars atas kemajuan luar biasa yang telah kami capai bersama dalam 10 tahun yang lalu – kerana bukan sahaja menjadikan Volvo sebagai salah satu jenama automotif premium yang paling pesat berkembang dan paling dipercayai, tetapi untuk sentiasa berinovasi dan menerajui dengan tujuan. Saya mendoakan yang terbaik untuk tahun-tahun mendatang,” kata Samuelsson.

     
     
  • Perodua Axia, Bezza – 85,778 unit dijual pada 2021, 45% bagi jualan P2; dominasi segmen-A di M’sia

    Perodua Axia, Bezza – 85,778 unit dijual pada 2021, 45% bagi jualan P2; dominasi segmen-A di M’sia

    Perodua telah pun mengumumkan prestasi jualan untuk 2021, di mana tahun lalu menyaksikan sejumlah 190,291 unit kenderaan telah dihantar kepada pelanggan. Walau bagaimana pun, jumlah tersebut tidak menepati sasaran iaitu 200,000 unit, tetapi Perodua masih mengekalkan kedudukannya di tangga teratas biar pun berhadapan dengan impak Covid-19, bekalan cip semikonduktor yang bermasalah dan juga banjir kilat yang menjejaskan produksi.

    Sementara Myvi masih kekal menjadi model terlaris syarikat itu pada tahun lalu dengan jualan sebanyak 47,525 unit, model Axia dan Bezza juga mencatatkan jumlah jualan yang memberangsangkan dan mendominasi segmen-A. Jualan bagi kedua-dua model sedan dan hatchback mencecah 85,778 unit, merangkumi 45% bagi keseluruhan jualan Perodua pada 2021.

    Perodua Axia, Bezza – 85,778 unit dijual pada 2021, 45% bagi jualan P2; dominasi segmen-A di M’sia

    Secara individualnya, sebanyak 43,080 unit Axia telah terjual pada tahun lalu, menjadikannya sebagai model kedua terlaris dalam portfolio Perodua pada tahun lalu. Buat masa ini, Axia tiada pencabar terdekat dan ia masih kekal tiada perubahan sejak dipertingkatkan pada September 2019.

    Untuk Bezza pula, ia menjadi model ketiga terlaris syarikat ini dengan sejumlah 42,698 unit telah dihantar kepada pelanggan pada 2021. Sedan ini menerima peningkatan pada Januari 2020 dan pesaing terdekatnya ialah Proton Saga. Dengan angka jualan yang dicatatkan pada 2021, menjadikan Bezza berada di tempat teratas dalam segmen-A iaitu di tangga kedua di belakang Saga.

     
     
  • Perodua Alza – 14,828 unit terjual pada 2021, hampir sama dengan jualan Aruz walaupun sudah berusia

    Perodua Alza – 14,828 unit terjual pada 2021, hampir sama dengan jualan Aruz walaupun sudah berusia

    Perodua Alza sudah berada selama 12-tahun dalam pasaran tanpa sebarang model gantian generasi baharu dalam tempoh tersebut. Namun seperti yang dinyatakan oleh presiden dan dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad sebelum ini, MPV berkenaan sentiasa mendapat jumlah tempahan yang memberangsangkan sehingga kini.

    Apa yang disebut oleh bos besar Perodua berkenaan bukan sekadar cakap kosong – buktinya dalam pengumuman prestasi jualan 2021 Perodua semalam, Alza mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 14,828 unit sepanjang tahun lalu!

    Apa yang mengejutkan lagi, angka tersebut hanya kurang sekitar 500 unit berbanding satu lagi model tujuh-tempat duduk dari Perodua yang jauh lebih moden iaitu SUV segmen-B, iaitu Aruz. Data berkenaan juga menunjukkan bahawa walaupun trend kini nampak beralih kepada SUV, sebenarnya MPV praktikal dan mampu milik seperti Alza ini masih diperlukan dalam pasaran Malaysia.

    Perodua Alza – 14,828 unit terjual pada 2021, hampir sama dengan jualan Aruz walaupun sudah berusia

    Walau bagaimanapun seperti yang kami laporkan sebelum ini, produksi Alza perlu dihentikan oleh Perodua menjelang akhir Januari ini. Menurut Perodua dalam satu notis yang diedarkan kepada pengedar-pengedarnya November lalu, pengeluaran Alza akan dihentikan pada Februari ini adalah kerana undang-undang emisi ekzos yang ditetapkan oleh kerajaan yang akan beralih dari Euro 2 kepada Euro 4 menjelang 1 Januari 2022 (ia pada asalnya dijadualkan akan beralih pada 1 Oktober 2021).

    Perodua mengatakan bahawa mereka berjaya memohon untuk meneruskan produksi Alza sehingga ke hujung Januari 2022. Hanya 1,100 unit terakhir akan dipasang sehingga hujung bulan ini dan Perodua masih dibenarkan untuk menjual stok-stok akhir berkenaan sehingga habis.

    Perodua Alza diperkenalkan buat pertama kali pada November 2009. Ia dihasilkan berasaskan kembar Daihatsu Boon Luminas dan Toyota Passo Sette di Jepun, dijana oleh enjin 3SZ-VE 1.5 liter yang sama seperti Myvi ‘Lagi Best’, berkuasa 103 hp dan tork maksima 136 Nm. Sepanjang dijual dalam pasaran, tiada sebarang kemaskini mekanikal diberikan pada MPV ini, kecuali penyegaran rupa yang dibuat menerusi versi facelift 2014 dan facelift 2018.

    Perodua Alza – 14,828 unit terjual pada 2021, hampir sama dengan jualan Aruz walaupun sudah berusia

    Walaupun produksinya bakal berakhir, tempat yang ditinggalkan oleh Alza tidak akan dibiarkan kosong – Perodua sebelum ini telah mengesahkan bahawa MPV generasi baharu yang akan menggantikan Alza bakal dilancarkan secara rasmi pada tahun ini.

    Namun masih tiada sebarang perincian rasmi disebut oleh Perodua berkenaan Alza generasi baharu tersebut. Tetapi berdasarkan pelbagai dengan pelbagai laporan dan petunjuk sebelum ini, projek yang dikenali dengan kod D27A berkenaan merupakan kembar kepada Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza generasi baharu yang telah pun dilancarkan di Indonesia lewat tahun lalu.

    Kedua-dua MPV segmen-B generasi baharu tersebut diasaskan dari platform baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu asas yang sama seperti kembar Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa. Di Indonesia, Xenia dan Avanza menerima unit janakuasa yang sama seperti Perodua Myvi facelift 2022 iaitu pilihan enjin 1.3L 1NR-VE dan 1.5L 2NR-FE bersama kotak gear D-CVT.

    Toyota Avanza (atas kiri) dan Daihatsu Xenia (atas kanan) generasi baharu pasaran Indonesia serta imej bayangan Perodua Alza generasi baharu (bawah)

    Boleh dijangkakan, Alza generasi baharu pasaran Malaysia ini nanti mungkin hanya ditawarkan dengan enjin 2NR-FE. Unit 1.5 liter empat-silinder DOHC Dual VVT-i berkenaan mampu untuk menjana 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Seperti model-model terkini Perodua yang lain, model gantian Alza ini turut dijangka bakal menerima enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem bantuan pemanduan termaju Perodua Smart Drive Assist (PSDA). Sistem berkenaan menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dan juga bantuan kekal tengah lorong.

    Macam mana? Teruja dengan model generasi baharu Alza tersebut? Tapi kalau anda rasa lebih berminat dengan model generasi sedia ada yang lebih ringkas, jangan lengah untuk ke bilik pameran Perodua segera untuk menempah unit-unit terakhir Perodua Alza sebelum ia dihentikan produksi pada hujung bulan ini!

    GALERI: Perodua Alza Advance facelift 2018

     
     
  • Pas Mutiara My50 – perjalanan percuma untuk 2022

    Pas Mutiara My50 – perjalanan percuma untuk 2022

    Berita baik untuk warga Pulau Pinang. Anda kini berpeluang untuk menaiki bas Rapid Penang secara percuma sepanjang tahun 2022 ini dengan hanya memiliki Pas Mutiara my50, yang sebelum ini dikenali sebagai Pas Mutiara My30. Pas perjalanan 30-hari tanpa had percuma ini adalah terhad untuk 7,500 permohonan pertama sahaja, jadi siapa cepat dia dapat.

    Pas Mutiara My50 ini boleh dibeli di Ibu Pejabat Rapid Penang (Lorong Kulit), Terminal Bas Weld Quay, Terminal Bas Komtar, Hab bas Bukit Jambul, Terminal Bas Balik Pulau, Terminal Bas Bukit Mertajam, Hab bas Kompleks Dato’ Kailan Kepala Batas dan Penang Sentral.

    Pas Mutiara ini hanya untuk kegunaan perkhidmatan bas Rapid Penang di sekitar Pulau Pinang sahaja, dan tidak termasuk dengan perkhidmatan feri, yang bukan dikendalikan oleh Prasarana.

     
     
  • Toyota Corolla Cross Hybrid bakal dilancarkan di Malaysia 14 Januari ini — versi CKD, jangkaan RM137k

    Toyota Corolla Cross Hybrid bakal dilancarkan di Malaysia 14 Januari ini — versi CKD, jangkaan RM137k

    UMW Toyota Motor (UMWT) bakal melancarkan Toyota Corolla Cross Hybrid di Malaysia pada 14 Januari 2022. Tarikh berkenaan diumumkan menerusi satu hantaran teaser di laman Facebook rasmi Toyota Malaysia.

    Seperti dimaklumkan ketika tempahannya dibuka Oktober lalu, harga jangkaan bagi varian hibrid ini ialah RM137,000, atas jalan tidak termasuk insurans dan termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Ini akan menjadikan model hibrid ini — yang dijangka tiba sebagai unit pemasangan tempatan — sebagai varian paling tinggi daripada tiga yang sedia ada ketika pelancarannya.

    Toyota Corolla Cross Hybrid yang bakal dijual di sini menggunakan enjin 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson, empat-silinder petrol, yang menghasilkan 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm tork pada 3,600 rpm. Dengan bantuan motor elektrik 53 kW (72 PS) dan 163 Nm, keseluruhan sistem berkenaan menghasilkan 122 PS, dengan kuasa dihantar ke roda depan melalui e-CVT.

    Bateri nickel-metal hydride 6.5 Ah membekalkan tenaga kepada motor elektrik berkenaan, dan unit tersebut — yang ditempatkan di bawah kerusi belakang untuk menyediakan kapasiti but yang sama seperti model enjin biasa — datang dengan jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan. Jaminan bagi bateri hibrid berkenaan juga boleh dilanjutkan dua tahun lagi, dengan tambahan RM2,950.

    Dari segi kelengkapan, Corolla Cross Hybrid datang dengan paparan multi-maklumat tujuh-inci di kluster instrumen, lebih besar daripada unit 4.2-inci untuk varian 1.8G dan 1.8V, serta peninjau pandangan panoramik 3D (PVM), peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) dan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense.

    Bagi warna luaran, lima pilihan tersedia untuk versi hibrid. Empat daripadanya dikongsi dengan versi petrol; Silver Metallic, Red Mica Metallic, Nebula Blue Metallic dan Platinum White Pearl (pilihan dengan tambahan RM800). Manakala warna Celestite Grey Metallic unik untuk hibrid.

     
     
  • Program Bantuan Banjir Perodua – 1,675 pemilik beri respon; diskaun alat ganti 50%, kos upah percuma

    Program Bantuan Banjir Perodua – 1,675 pemilik beri respon; diskaun alat ganti 50%, kos upah percuma

    Perodua mengumumkan bahawa sehingga kini, sebanyak 1,675 pemilik kenderaan jenama tersebut telah pun memberikan respon terhadap Program Bantuan Banjir yang diperkenalkan pada 20 Disember lalu. Program tersebut dirangka bagi meringankankan beban pemilik-pemilik Perodua bagi memperbaiki kereta mereka yang terjejas akibat banjir besar yang berlaku di beberapa tempat dalam negara baru-baru ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan, kesemua pemilik yang telah memberi respon berkenaan telahpun menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa di pusat-pusat servis Perodua seluruh negara. Menurut presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad, program ini telah menarik banyak minat dari orang awam.

    “Keutamaan kami sekarang adalah untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat insuran serta rakan-rakan kerjasama kami yang lain bagi mempercepatkan sebarang proses kelulusan yang diperlukan untuk memperbaiki dan merestorasi kenderaan yang rosak akibat banjir,” katanya.

    “Kami faham bahawa kebanyakkan pelanggan kami bergantung kepada kenderaan Perodua mereka untuk aktiviti harian dan kami akan buat yang terbaik untuk membantu,” tambahnya lagi

    Program ini pada awalnya hanya menawarkan diskaun 20% untuk alat ganti terpilih serta subsidi perkhidmatan tunda sehingga RM100. Namun pada 26 Disember, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa program tersebut ditambah baik dengan memberikan diskaun 50% untuk alat ganti bersama kos upah percuma.

    Bagi pemilik Perodua yang mahu menyertai Program Bantuan Banjir Perodua ini, anda boleh menghubungi pengedar Perodua terdekat bagi mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan terma dan syarat yang ditetapkan serta anggaran pembaikan yang perlu dilakukan.

     
     
  • Perodua catat jualan 190,291 unit bagi 2021, tak capai sasaran 200k — kesan Covid-19, bekalan dan banjir

    Perodua catat jualan 190,291 unit bagi 2021, tak capai sasaran 200k — kesan Covid-19, bekalan dan banjir

    Perodua mencatatkan jualan sebanyak 22,940 unit pada bulan Disember 2021, dengan peningkatan 11.5% lebih tinggi berbanding 20,299 unit yang direkodkan pada November. Ini disebabkan oleh langkah yang diambil sebagai tindak balas terhadap gangguan bekalan akibat Covid-19.

    Bagaimanapun, jualan bulan lalu itu kurang 30,000 daripada pendaftaran yang diperlukan untuk membolehkan syarikat itu mencapai angka sasaran keseluruhan melepasi 200,000 unit dan apa yang pernah dicapai pada 2020. Jika itu berlaku, ia akan menjadi jualan bulanan paling tinggi dalam sejarah Perodua, melangkaui angka 27,858 unit bagi Oktober 2021.

    Keseluruhannya untuk tahun lalu, Perodua menjual sebanyak 190,291 kenderaan, mencatatkan penurunan 29.8% berbanding 220,154 unit yang dicatat pada 2020.

    Perodua catat jualan 190,291 unit bagi 2021, tak capai sasaran 200k — kesan Covid-19, bekalan dan banjir

    “Ini di bawah sasaran 200,000 unit bagi 2021 memandangkan cabaran yang dihadapi lebih besar daripada jangkaan kami,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, yang menyatakan bahawa kesan Covid-19, gangguan bekalan cip semikonduktor dan musibah banjir adalah sebab utama yang memberi kesan kepada pengeluaran Perodua.

    Pada November 2021, Perodua mengumumkan syarikat itu tidak akan mencapai sasaran jualan 214,000 unit yang ditetapkan untuk 2021, dan jika berjaya melangkaui angka 200,000 unit sahaja sudah cukup baik disebalik cabaran yang dihadapi tahun lalu. Angka 214,000 unit itu juga telah diubah daripada angka asal 240,000 unit, yang diumumkan pada September.

    Perodua bagaimanapun tidak mendedahkan pecahan jualan mengikut model, namun menyatakan Myvi terus mendahului industri kereta tempatan keseluruhannya dengan 47,525 unit terjual, diikuti Axia dan Bezza yang menpelopori pasaran segmen A tempatan.

    Perodua catat jualan 190,291 unit bagi 2021, tak capai sasaran 200k — kesan Covid-19, bekalan dan banjir

    Beliau menambah bahawa TIV Malaysia bagi 2021 turut akan menyaksikan kesan sama dengan jangkaan penurunan 23.6% kepada 504,536 unit, daripada 528,172 unit terjual pada 2020.

    “Walaupun prestasi lebih rendah ditunjukkan bagi 2021, langkah yang kami ambil untuk menangani kesan Covid-19 terbukti berhasil setakat ini memandangkan kami dan pembekal saling bekerjasama dengan dinamik dan menyusun usaha untuk memastikan kesan terhadap gangguan adalah minimum.”

    “Usaha ini termasuk mempunyai pasukan yang bersedia untuk untuk mengambil langkah aktif di lokasi berbeza sekiranya pengedar berada di bawah larangan pergerakan dan juga meletakkan staf Perodua sekiranya pembekal memerlukan tenaga kerja tambahan sementara,” jelas Zainal.

    Perodua catat jualan 190,291 unit bagi 2021, tak capai sasaran 200k — kesan Covid-19, bekalan dan banjir

    Untuk tahun ini, Perodua kembali meletakkan sasaran 240,000 unit jualan bagi 2022, tetapi ini akan dinilai hujung bulan ini. “Pada Disember, kami menjangkakan sasaran jualan 240,000 unit untuk 2022. Bagaimanapun, kami mungkin perlu menilai semula angka tersebut hujung bulan ini sebaik mengambil kira perkembangan semasa terkini,” tambah beliau.

    “Rantaian bekalan industri automotif tempatan telah terkesan dengan teruk sejak beberapa tahun ini. Apa pun, ada rahmat tersendiri memandangkan jumlah tempahan kenderaan Perodua kekal sihat dan pelanggan masih memberi sambutan yang baik terhadap pengecualian cukai jualan oleh kerajaan,” tambah beliau lagi.

    Dalam pembentangan Belanjawan 2022, kerajaan melanjutkan lagi pengecualian berkenaan hingga 30 Jun 2022, dari tempoh akhir asal pada 31 Disember 2021.

     
     
  • Proton kini terajui pasaran eksport automotif Malaysia – 3,018 unit dieksport sepanjang 2021, naik 100%!

    Proton kini terajui pasaran eksport automotif Malaysia – 3,018 unit dieksport sepanjang 2021, naik 100%!

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berhubung prestasi jualannya untuk 2021, Proton mengumumkan bahawa mereka telah mengeksport keluar sebanyak 3,108 unit kenderaan sepanjang tahun lalu. Angka ini bukan sahaja menunjukkan peningkatan lebih 100% berbanding tahun sebelumnya, malah Proton turut mendakwa bahawa mereka kini merupakan “jenama automotif yang terlaris dari segi eksport” dalam negara.

    Menurut Proton lagi, model paling laris mereka iaitu Proton Saga berjaya dijual sebanyak 42,627 unit dari jumlah 114,708 unit kenderaan yang dijual sepanjang tahun lalu, dan jumlah tersebut termasuk unit Saga yang dihantar sebagai pek CKD ke luar negara.

    Pada penghujung tahun lalu, Proton mensasarkan untuk mengembangkan lagi pasaran eksport mereka dengan pengenalan pelbagai model pada pasaran luar. Tempahan untuk Proton X50 telah dibuka di Brunei pada November 2020, diikuti dengan eksport berterusan Saga dan Exora ke Mesir, serta eksport pek CKD Saga untuk dipasang dan dijual di Kenya.

    “2021 agak sukar bagi industri automotif secara keseluruhan dan ini jelas dilihat dalam penurunan TIV. Dari krisis bekalan cip diperingkat global sehingga kenaikkan kes Covid-19 yang menyebabkan PKP dan penambahan kos penghantaran, ada banyak cabaran yang perlu diatasi. Oleh sebab itu, pencapaian Proton bagi meningkatkan jualan berbanding tahun lalu adalah amat signifikan kerana ia disebabkan oleh perancangan rapi dan penggunaan sumber sedia ada.

    “Kami bangga sebagai jenama automotif dengan jualan eksport terbanyak pada 2021 kerana ia membuktikan usaha sama bahagian jualan antarabangsa dan rakan luar negara amat berkesan. Walaupun pertambahan kos pengangkutan agak membimbangkan, rancangan yang telah dibuat untuk 2022 membolehkan kami menjangkakan pertambahan jualan eksport akan dipacu pada tahun akan datang,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

     
     
  • Proton X50 – 28,774 unit terjual pada 2021, produksi kini lebih 4k unit sebulan; tertinggi bagi SUV di M’sia

    Proton X50 – 28,774 unit terjual pada 2021, produksi kini lebih 4k unit sebulan; tertinggi bagi SUV di M’sia

    Ingat lagi betapa ‘hype’nya Proton X50 ketika ia dilancarkan pada lewat 2020? Ya, SUV segmen-B dari Proton ini telah merekodkan lebih 20,000 unit tempahan kira-kira tiga minggu sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada 27 Oktober 2020. Tahun 2021 merupakan tahun penuh pertama X50 berada dalam pasaran, dan menurut Proton mereka telah berjaya menghantar 28,774 unit model berkenaan kepada pelanggan sepanjang tahun lalu!

    Angka berkenaan sekaligus menjadikan X50 sebagai SUV paling popular di Malaysia. Dalam carta jualan keseluruhan Proton, X50 menjadi model kedua paling laris selepas model paling mampu milik mereka iaitu sedan segmen-A Proton Saga yang berjaya dijual sebanyak 42,627 unit sepanjang 2021.

    Walaupun produksi tahun lalu terganggu dengan sekatan pergerakan bagi membendung penularan virus Covid-19, kilang Proton di Tanjung Malim masih berjaya menjadikan X50 sebagai SUV dengan jumlah produksi tertinggi di Malaysia. Jumlah tertinggi penghantaran bulanan kepada pelanggan adalah 4,310 unit, direkodkan pada Disember 2021 yang juga merupakan bulan kedua berturut-turut jualan bulanan melebihi 4,000-unit direkodkan.

    Proton X50 – 28,774 unit terjual pada 2021, produksi kini lebih 4k unit sebulan; tertinggi bagi SUV di M’sia

    Secara keseluruhan, Proton berjaya menjual sebanyak 45,149 unit SUV (termasuk model segmen-C Proton X70 yang dijual sebanyak 16,375 unit, menjadikan ia sebagai model terlaris dalam kelasnya) sepanjang 2021, membolehkan ia dinobat sebagai jenama yang paling banyak menjual SUV di Malaysia sepanjang tahun lalu.

    Ketika dilancarkan, Proton X50 ditawarkan dalam empat varian berbeza iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship, dijual pada harga bermula RM79,200 hingga RM103,300. Kesemua varian X50 diberikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, namun tiga versi paling rendah hadir dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), manakala varian Flagship menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI).

    Jadi, untuk model Turbo-GDI, kuasa yang dihasilkan adalah 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala untuk tiga varian lebih rendah dengan enjin Turbo-MPI pula, ia menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS dan tork maksima 226 Nm. Walau bagaimanapun, kesemua pilihan enjin ini digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Untuk lebih perincian lebih lengkap berkenaan perbezaan setiap varian Proton X50, anda boleh baca artikel berkaitan pada PAUTAN INI, mahupun dilaman Carbase.my.

    GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

     
     
  • Proton catat jualan 114,708 unit untuk tahun 2021 – paling tinggi sejak 2014, perkongsian pasaran 22.7%

    Proton catat jualan 114,708 unit untuk tahun 2021 – paling tinggi sejak 2014, perkongsian pasaran 22.7%

    Proton telah membuat pengumuman bahawa untuk bulan Disember 2021, mereka berjaya menjual 14,147 unit kenderaan, iaitu rendah sedikit berbanding 14,187 unit yang dicatat pada bulan sebelumnya. Jumlah ini juga sekaligus menunjukkan pengeluar kenderaan nasional itu menutup tahun 2021 dengan jualan keseluruhan 114,708 unit kenderaan dengan 3,108 unit daripadanya adalah untuk eksport. Ini adalah jumlah tertinggi yang dicatat sejak tahun 2014.

    Jumlah jualan yang dicatat pada tahun 2021 ini juga menandakan peningkatan 4.5% berbanding 109,716 unit yang dicatat pada tahun 2020, seterusnya menjadikan 2021 sebagai tahun ketiga berturut-turut Proton berjaya melepasi tahap jumlah jualan lebih 100,000 unit.

    Menurut Proton, perkongsian pasaran mereka pada bulan Disember 2021 dijangka berada pada 20.6%, tetapi untuk keseluruhan tahun 2021, ia dikatakan masih berada pada 22.7%. Melihat kepada data yang dikeluarkan oleh MAA, ini adalah peningkatan sekitar 2% berbanding tahun 2020.

    Proton catat jualan 114,708 unit untuk tahun 2021 – paling tinggi sejak 2014, perkongsian pasaran 22.7%

    “Tahun 2021 adalah sukar bagi industri automotif secara keseluruhannya dan ini dapat dilihat melalui pengurangan TIV berbanding tahun sebelumnya. Daripada kekurangan stok cip global hingga peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 yang membawa kepada perintah kawalan pergerakan dan kos pengangkutan yang meningkat, banyak cabaran yang terpaksa dilalui oleh pemain industri,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

    “Sebab itulah peningkatan jumlah jualan Proton dalam tahun yang pasarannya menguncup nampak jelas, kerana ia adalah hasil daripada perancangan yang rapi dan mempergunakan sebaik mungkin sumber yang ada,” tambah Roslan.

    Melihat kepada model, Saga adalah model Proton paling laris, dengan jumlah jualan 42,267 unit, diikuti X50 (28,774 unit), X70 (16,375 unit), Persona (16,153 unit), Iriz (6,708 unit) akhir sekali, Exora (4,035 unit). Turut perlu diambil kira adalah model lain yang tidak dimasukkan dalam siaran akhbar Proton, dan masih menjadi penyumbang kepada jumlah jualan keseluruhan.

     
     
  • Proton X50, X70 – 45,149 unit dijual pada 2021, jenama SUV terlaris di M’sia, 40% keseluruhan jumlah jualan

    Proton X50, X70 – 45,149 unit dijual pada 2021, jenama SUV terlaris di M’sia, 40% keseluruhan jumlah jualan

    Proton telah mengumumkan sebanyak 45,149 unit unit SUV sepanjang tahun 2021, sekaligus menjadikan ia sebagai jenama SUV paling laris di Malaysia. Malahan angka tersebut menghampiri 40% bagi keseluruhan jualan Proton untuk tahun lalu.

    Daripada keseluruhan jumlah itu, X50 telah terjual sebanyak 28,774 unit, menjadikannya sebagai SUV paling laris di Malaysia untuk 2021. Ia menerima permintaan yang memberangsangkan dan berterusan, malah pada Disember lalu, ia merekodkan jualan sebanyak 4,310 unit. Ia merupakan dua bulan berturut-turut jualan X50 mencecah angka 4,000 unit. Malahan ia juga merupakan model kedua Proton paling laris selepas Saga (42,627 unit).

    Sementara itu, sebanyak 16,375 unit X70 telah terjual pada tahun lalu, dengan mencatatkan jualan sebanyak 1,616 unit pada bulan terakhir 2021. X70 masih kekal sebagai SUV ketiga paling laris, tetapi tetap mengungguli carta bagi SUV segmen-C sejak ia dilancarkan pada Disember 2018.

    Proton X50, X70 – 45,149 unit dijual pada 2021, jenama SUV terlaris di M’sia, 40% keseluruhan jumlah jualan

    Bagi jumlah keseluruhan jualan tahunan Proton, syarikat pengeluar kereta nasional ini telah menjual sebanyak 114,708 unit pada 2021, rekod kedua tertinggi selepas 2014. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 20% berbanding 2020, cukup mengekalkan kedudukannya di tangga kedua dengan perkongsian pasaran sebanyak 22.7%.

    Jika berminat untuk memiliki sama ada X70 atau X50, anda boleh meneliti perincian spesifikasinya menerusi CarBase.my, atau bandingkannya dengan model pesaing yang dipilih.

    GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

    GALERI: Proton X70 Premium 2WD

     
     
  • Opel Vivaro-e di M’sia – van EV bakal masuk pasaran?

    Opel Vivaro-e di M’sia – van EV bakal masuk pasaran?

    Opel Vivaro yang pernah dijumpai di Subang Jaya bulan lalu kini ditemui sekali lagi. Kali ini ia berada di Vision Motorsports, Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, dan berkemungkinan ia adalah unit yang sama dan nombor plet perniagaan yang digunakan juga adalah sama.

    Gambar yang didapati ini menunjukkan kenderaan tersebut bukan setakat Vivaro generasi ketiga biasa (turut dijenamakan semula sebagai Vauxhall di beberapa pasaran dan ada kaitan dengan Citroen Jumpy, Peugeot Expert dan Toyota ProAce), tetapi adalah model elektrik kerana ia sedang menggunakan pengecas pantas DC milik Vision Motorsports di tempat itu.

    Jika melihat kepada pasaran luar, Vivaro-e dikuasakan oleh motor elektrik 136 PS/260 Nm, dan boleh didapati dalam dua kapasiti bateri iaitu 50 kWh dengan jarak gerak sehingga 200 km dan 75 kWh dengan jarak gerak sehingga 300 km.

    Opel Vivaro-e di M’sia – van EV bakal masuk pasaran?

    Hantaran yang dimuat naik dalam Facebook berkenaan Vivaro-e ini datang dengan ayat “satu jenama baru bakal tiba,” sekaligus menunjukkan kemungkinan Opel akan membuat kemunculan semula dalam pasaran Malaysia. Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Stellantis telah mendapat pemilikan penuh terhadap kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Gurun, Kedah, dan Vivaro-e mungkin akan dipasang di sana (CKD).

    Model yang dilihat dalam gambar ini juga bukanlah van panel untuk barangan sahaja, tetapi mungkin boleh dipasang dengan kerusi penumpang kerana ia mempunyai tingkap di belakang. Versi penumpang bagi van elektrik ini juga ada dijual di luar, iaitu Zafira-e Life, dan ia datang dengan penggerak serta kapasiti bateri yang sama, tetapi jarak geraknya lebih jauh. Adakah mungkin kita akan melihat ketibaan model ini dalam pasaran tidak lama lagi?

     
     
  • Toyota Hilux GR Sport 2022 untuk Eropah didedah – LSD, suspensi ditala semula, berkuasa 204 hp/500 Nm

    Toyota Hilux GR Sport 2022 untuk Eropah didedah – LSD, suspensi ditala semula, berkuasa 204 hp/500 Nm

    Selepas Jepun dan Thailand, kini trak pikap Toyota Hilux dalam versi paling sporty iaitu dengan lencana GR Sport tiba pula di pasaran Eropah. Sebelum ini kita telah lihat bahawa Jepun dan Thailand masing-masing menerima Hilux GR Sport dengan spesifikasi berbezakan? Model bagi pasaran Eropah ini juga tidak sama dengan dua versi dari Asia tadi, kerana ia diberikan talaan suspensi, kelengkapan mekanikal dan rupa yang lebih unik.

    Gril Hilux GR Sport Eropah ini menampilkan rekaan berbentuk heksagon, dengan diberikan pembahagi tengah kemasan seakan gentian karbon bersama skrip klasik Toyota dan juga logo GR. Ia juga menerima perumah lampu kabus yang lebih besar dan tinggi pada sisi bampar berbanding model JDM yang menampilkan perumah lebih kecil. Model ini juga diberikan lampu hadapan LED, bergantung pada pasaran.

    Overfender pada setiap ruang roda masih kelihatan sama seperti Hilux GR Sport pasaran Jepun, tetapi versi Eropah ini tidak diberikan kemasan warna badan dan plastik tersebut dibiar hitam. Kemasan hitam berkilat pula diberikan pada perincian seperti pembuka pintu dan pintu tailgate, penutup cermin sisi dan juga pemijak sisi.

    Toyota Hilux GR Sport 2022 untuk Eropah didedah – LSD, suspensi ditala semula, berkuasa 204 hp/500 Nm

    Rupa luaran Hilux GR Sport pasaran Eropah ini dilengkapkan dengan set roda yang terdiri dari rim aloi 17-inci dua tona dengan rekaan berbeza dari model JDM, dibalut dengan tayar jenis all-terain.

    Versi GR Sport ini hadir dengan pilihan enjin paling berkuasa untuk Hilux Eropah, iaitu enjin 2.8 liter empat silinder turbodiesel, berkuasa 204 hp dan tork maksima 500 Nm. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, dan model GR Sport ini turut dibekalkan dengan unit LSD pada gandar belakang. Padanan ini membolehkan trak pikap berkenaan menawarkan kapasiti membawa beban satu tan bersama kadar menunda treler seberat 3.5 tan.

    Selain itu, Hilux GR Sport ini turut menerima talaan istimewa pada suspensi. Ia diberikan penyerap hentak monotube dengan omboh yang lebih besar untuk kesemua bahagian, bersama spring gegelung hadapan yang lebih baik. Menurut Toyota, penyerap hentak baharu tersebut memberikan prestasi menyerap hentakan dan memberikan respon bersama penyisihan haba lebih baik, serta berupaya untuk mengekalkan kualiti minyak di dalamnya walaupun ia dipandu dalam laluan yang lasak.

    Toyota Hilux GR Sport 2022 untuk Eropah didedah – LSD, suspensi ditala semula, berkuasa 204 hp/500 Nm

    Talaan spring gegelung hadapan dan juga penyerap hentak berkenaan turut diserasikan dengan talaan spring dedaun di belakang dan juga set bushing baharu. Hasilnya, ia memberikan respon stereng, prestasi jalan lurus, serta memberikan olengan dan rasa cengkaman bahagian belakang yang lebih baik. “Respon terhadap getaran berfrekuensi tinggi dan penyerapan hentakan yang lebih baik juga membantu kawalan badan,” tambah Toyota lagi.

    Pada bahagian kabin, model GR Sport ini diberikan tempat duduk hadapan GR yang lebih sporty, yang dibalut dengan gabungan kulit hitam dan sued sintetik berlubang bersama serlahan benang merah. Logo-logo GR turut boleh dilihat pada karpet kaki, butang penghidup enjin, dan juga pada grafik paparan instrumen.

    Selain itu trak pikap GR Sport ini juga diberikan kemasan gaya gentian karbon dan juga kemasan-kemasan merah pada panel-penel tertentu. Ia turut menerima kit kelengkapan yang sama seperti varian tertinggi Hilux pasaran Eropah dengan perincian termasuk sistem pendingin hawa dua zon. Toyota Hilux GR Sport pasaran Eropah ini akan mula dijual di benua berkenaan bermula musim panas 2022.

     
     
  • Kepuasan pelanggan Volkswagen bertambah baik 80%, kes baik pulih berulang turun 86% sejak 2016

    Kepuasan pelanggan Volkswagen bertambah baik 80%, kes baik pulih berulang turun 86% sejak 2016

    Daripada pelbagai barisan produk yang ada di Malaysia, Volkswagen mempunyai penawaran yang mewakili semua lapisan pelanggan. Kehadiran jenama berkenaan di sini banyak cabarannya, bagaimanapun dengan orang baru yang memikul tanggungjawab terhadap jenama ini, pelbagai cara telah diterapkan untuk mengatasi setiap satu daripada masalah yang pernah timbul.

    Kami bertanya kepada Pengarah Lepas Jualan, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Deenan Nadar untuk mendapatkan gambaran penambahbaikan yang telah dilakukan di belakang tabir.

    Soalan: Ada penambahbaikan yang penting dari sudut lepas jualan sejak VPCM mengambil alih jenama ini sejak 2016?

    Deenan Nadar: Ya, sudah tentu. Kami telah saksikan banyak penambahbaikan, dan satu daripada kayu ukurnya adalah kepuasan pelanggan, yang telah meningkat sebanyak 80%; ini telah dinilai oleh syarikat luar tanpa pengaruh daripada kami.

    Ukuran lain yang kami nilai adalah pengulangan baik pulih, yang mana pelanggan mungkin kembali kepada pengedar untuk baik pulih lebih daripada sekali, yang telah dapat dikurangkan sebanyak 86%. Kami telah mencapai ini dengan melatih petugas kami untuk mampu membaik pulih kenderaan dengan betul pada kali pertama.

    Kepuasan pelanggan Volkswagen bertambah baik 80%, kes baik pulih berulang turun 86% sejak 2016

    Hal ketiga adalah keterlibatan pelanggan. Kami telah mendigitalkan urusan lepas jualan sebanyak mungkin. Satu daripadanya melalui aplikasi Volkswagen Cares yang menawarkan hubungan interaktif dengan pelanggan, yang menjadi sangat berguna kepada pengedar kami.

    Soalan: Apa langkah-langkah tambahan yang telah diambil oleh Volkswagen Malaysia untuk menambahbaik pengalaman lepas jualan di sini?

    DN: Kepuasan dan pengalaman pelanggan kami ada tumpuan utama. Perkara pertama yang ingin kami lakukan ketika itu adalah untuk menubuhkan akademi latihan kami sendiri untuk staf pengedar — jualan, lepas jualan, barisan depan, barisan belakang dan banyak lagi — yang mana semua petugas di premis pengedar kami melalui proses kelayakan yang sepatutnya. Kami mengikut cadangan dan kelayakan Volkswagen AG agar petugas kami berada di tahap yang betul.

    Sebagai tambahan, kami memulakan platform baru yang dipanggil Car Advisor untuk berhubung dengan pelanggan kami bagi mendengar pengalaman mereka. Kini, anda boleh membuat carian Google Car Advisor dan lihat sendiri apa yang pelanggan katakan terhadap kami. Sejak permulaan 2021, kami mempunyai lebih daripada 6,000 orang yang sudah memberi maklum balas, dan kami berada di skor sekitar 4.7 daripada 5 ketika ini, yang diterjemahkan kepada 80% penambahbaikan sejak 2016.

    Kepuasan pelanggan Volkswagen bertambah baik 80%, kes baik pulih berulang turun 86% sejak 2016

    Kami juga telah mendigitalkan aspek lepas jualan, dan dengan beberapa peringkat PKP sebelum ini, kami perlu beradaptasi dengan pantas. Cara kami lakukannya adalah dengan memperkenalkan Service Cam, yang digunakan untuk memeriksa keadaan kenderaan dan menghantar rakaman video (pemeriksaan itu) kepada pelanggan.

    Sebagai contoh, ketika kenderaan masuk bengkel dan ia perlukan gantian pad brek, pelanggan memang boleh membayangkan situasi itu, tapi anda tidak melihatnya. Dengan rakaman video yang dihantar dari Service Cam, kami boleh menunjukkan pad brek lama yang telah haus itu dan alat ganti barunya dengan sebut harga, dan pelanggan boleh membuat keputusan sama ada mahu meneruskan gantian itu atau tidak.

    Selesai baik pulih, kami juga boleh menggunakan Service Cam untuk menghuraikan kerja yang telah dibuat, menyatakan invois dan kemudiannya serahkan kenderaan kembali kepada pelanggan. Apa yang perlu pelanggan lakukan adalah untuk meninggalkan kunci mereka atau kami pergi mengambil kenderaan mereka, dan pelanggan membuat bayaran dalam talian. Selesai semua itu, sama ada kami menghantar semula kereta mereka atau mereka datang untuk mengambilnya sendiri.

    Juga di dalam aplikasi Volkswagen Cares, kami mempunyai pelbagai usaha dan program untuk pelanggan, jadi saya sarankan pelanggan memuat turun aplikasi berkenaan (dari Google Play bagi Android atau App Store untuk Apple iOS) dan semak sendiri mata ganjaran yang kami sediakan untuk anda.

    Kepuasan pelanggan Volkswagen bertambah baik 80%, kes baik pulih berulang turun 86% sejak 2016

    Soalan: Pelanggan biasanya was-was dengan servis lepas jualan Volkswagen. Mereka sering bangkitkan tentang masalah yang dihadapi oleh DSG (transmisi klac berkembar). Adakah hal ini sudah diselesaikan?

    DN: Saya dengan yakin boleh mengesahkan bahawa masalah sudah diselesaikan. Ini juga satu kejayaan bagi kami; mekatronik, klac dan masalah lain yang berkaitan dengannya telah kami depani dengan serius. Untuk itu, transmisi DSG dan klac berkenaan telah dibaik pulih secara spesifik mengikut keperluan pasaran tempatan di sini. Kami tidak lagi berdepan dengan masalah ini.

    Sudah tentu, akan ada kereta lama (dari jenis berkenaan) di luar sana, dan kami tetap akan memberi sokongan kepada pelanggan tersebut. Kami mempunyai jaminan dan timbang rasa bagi kes-kes seperti ini, jadi pelanggan dialu-alukan untuk berkunjung ke pengedarkan bagi melakukan baik pulih. Walaupun begitu, kami kini bergerak ke depan dengan teknologi baru bagi semua kereta yang kini dijual dalam pasaran. Kami kini menggunakan kotak gear yang berbeza sama sekali, seperti DQ380 pada sedan dan DQ500 pada Tiguan. Pada pendapat saya, pelanggan akan berdepan dengan pengalaman menyenangkan bersama DSG di masa hadapan.

    Soalan: Dikatakan kenderaan Volkswagen adalah untuk kegunaan di Eropah, dan tidak sesuai dipandu di Malaysia berbanding kenderaan Jepun. Adakah ini masih menjadi hal?

    DN: Tidak, itu tidak benar sama sekali. Kereta kami dipasang oleh warga Malaysia untuk pengguna Malaysia. Model yang ditawarkan ketika ini merupakan model pemasangan tempatan, dan ia diuji dan diadaptasi kepada keadaan setempat. Walaupun begitu, kami sangat berbangga dengan teknologi dan perincian kejuruteraan Jerman, yang telah disesuaikan dengan keadaan setempat di sini. Ini dilakukan bahkan terhadap model flagship Arteon R-Line 4Motion.

    Kepuasan pelanggan Volkswagen bertambah baik 80%, kes baik pulih berulang turun 86% sejak 2016

    Soalan: Kereta continental seperti Volkswagen mempunyai reputasi seperti agak mahal untuk dimiliki dan untuk diselenggara berbanding kereta Jepun. Apa komen anda tentang ini?

    DN: Saya tak fikir itu benar. Pertama, senggang servis kami adalah setiap 15,000 km atau sekali setahun, yang dengan sendirinya telah menurunkan kos pemilikan. Semua sekali, kami ada banyak program untuk berhubung dengan pelanggan. Jadi, dari sudut harga kami sangat kompetitif.

    Dari aspek kereta pelanggan yang sudah berusia lima tahun ke atas, kami mempunyai program Volkswagen Car Plus, yang membolehkan pelanggan menikmati diskaun 20% bagi servis kenderaan mereka bagi tahun kelima dan ke seterusnya. Program ini percuma, dan bergantung kepada usia kenderaan, pelanggan boleh mendapatkan potongan 20% bagi bil keseluruhan.

    Di sini, program berkenaan juga menawarkan bantuan tepi jalan selama dua tahun, serta sokongan bateri di lokasi. Dari satu sudut, ini bertujuan untuk menjadikan kos pemilikan lebih rendah, dan dari sudut yang lain program ini memberikan kelegaan fikiran kepada pelanggan.

    Kami juga telah memperkenalkan pakej baik pulih Volkswagen Cares, untuk pemilik kenderaan yang telah berusia lima tahun ke atas, melibatkan barangan gantian umum (wear-and-tear). Dengan pakej berkenaan, pelanggan akan menikmati potongan 30% daripada bil keseluruhan, yang juga menjadikan kos pemilikan lebih rendah.

    Turut disediakan ialah pelan bayaran mudah yang mana pelanggan boleh membayar bil mereka dalam tempoh enam atau 12 bulan, tanpa kadar faedah dikenakan terhadap kad kredit Visa mereka.

     
     
  • GAC GS3 pasaran Malaysia adalah model pemanduan kanan pertama syarikat, 130 perubahan, CKD akan tiba

    GAC GS3 pasaran Malaysia adalah model pemanduan kanan pertama syarikat, 130 perubahan, CKD akan tiba

    Model GAC GS3 yang dilancarkan minggu lepas – tanda ketibaan pertama GAC Motor di Malaysia – sebenarnya adalah kereta pemanduan sebelah kanan (RHD) pertama jenama itu dan merupakan langkah penting mereka untuk masuk ke pasaran antarabangsa.

    “Dalam memenuhi pelan lima tahun ke-13 China, GAC Group telah memperkenalkan strategi “1513” yang memberikan banyak penekanan kepada pasaran antarabangsa. Pelancaran GS3 RHD adalah satu pelaksanaan penting strategi ini, membantu meningkatkan lagi perniagaan antarabangsa dan mempromosi pembangunan kualiti tinggi,” kata GAC Motor.

    Meskipun GS3 sekarang diimport sepenuhnya (CBU) dari China, GAC memberitahu bahawa mereka mempunyai perancangan untuk “menggunakan kelebihan lima kilang yang dimiliki oleh Tan Chong Group di lima negara dalam ASEAN untuk mempercepatkan pengeluaran tempatan.” Ini adalah satu tanda jelas pengeluaran tempatan (CKD) kini berada dalam perancangan.

    Kerjasama antara Tan Chong dengan Guangzhou Group bermula secara rasmi pada Disember 2020, apabila kedua-dua pihak menandatangani perjanjian persefahaman untuk potensi jualan dan pemasangan kenderaan GAC di Malaysia dan Vietnam.

    GS3 RHD pasaran Malaysia mungkin nampak sama seperti GAC Trumpchi GS3 facelift di China, tetapi GAC Motor memberitahu, terdapat banyak “perubahan perincian pada kereta yang sama ini” berbanding versi pemanduan sebelah kiri yang asal. Secara keseluruhannya, ia melibatkan 130 perubahan.

    Selain bahagian yang boleh jelas dilihat seperti stereng dan pedal, perubahan lain adalah pada mekanisme penukar gear, mekanisme parkir, serta sistem brek dan stereng. Ciri ESP SUV itu juga telah dilaras semula dan tapak gearnya telah dioptimakan untuk pemanduan sebelah kanan.

    GAC GS3 pasaran Malaysia adalah model pemanduan kanan pertama syarikat, 130 perubahan, CKD akan tiba

    GAC memberitahu, sistem infotainmen kereta ini juga telah dinaik taraf, membenarkan sambungan kepada telefon bimbit yang lebih lancar dan pantas. Kemudiannya, pelbagai sistem amaran keselamatan elektronik serta ukuran kelengkapan telah dilaras semula untuk mematuhi peraturan serta undang-undang tempatan.

    “Langkah ini telah menambah pengkalan data produk serta penyelidikan peraturan keselamatan, yang sangat berguna untuk pembangunan model masa hadapan, serta rekaan yang telah terbukti. Pada masa hadapan, GAC Group berharap dapat mengeluarkan lebih banyak model untuk pasaran antarabangsa dan membawa kekuatan pengeluaran China kepada lebih banyak pelanggan,” kata GAC.

    Dijual pada harga RM88,800 untuk varian Standard dan RM96,800 untuk Premium (tidak termasuk insurans), GS3 digerakkan oleh enjin 1.5 liter empat silinder NA (tanpa pengecas turbo) yang menjana 114 PS (113 hp) pada 6,000 rpm dan 150 Nm pada 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dari Aisin (FWD). Ini membolehkan ia mencapai pengunaan bahan api 6.9 l/100 km (14.5 km/l) mengikut kitaran NEDC.

    Ia adalah sebuah SUV segmen B yang bersaiz hampir seperti Proton X50/Honda HR-V. Jika dibandingkan dengan kembar X50 jenama Geely, GS3 ini 28 mm lebih panjang dan 25 mm lebih lebar, tetapi jarak rodanya lebih pendek 40 mm. Ruang simpanan di belakang adalah 356 liter, dan boleh bertambah menjadi 780 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Varian Standard diberikan rim aloi 17-inci bersama tayar 215/60R17, lampu hadapan halogen, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, upholsteri gabungan fabrik dan leatherette, mod pemanduan Eco, sistem pendingin hawa manual (dengan penapis udara kabin RM2.5), tempat duduk hadapan larasan manual serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan phone mirroring.

    Pada bahagian keselamatan pula, ia menerima empat-beg udara, sistem brek ABS, EBD dan BA, sistem kestabilan elektronik (ESP), bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau titik buta, kamera undur dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

    GAC GS3 pasaran Malaysia adalah model pemanduan kanan pertama syarikat, 130 perubahan, CKD akan tiba

    Varian Premium pula menerima kelengkapan tambahan seperti lampu kabus hadapan, cermin sisi lipatan berkuasa, antena sirip yu, kemasan hitam pada bumbung, rel bumbung dan cermin sisi, paparan instrumen dengan skrin LCD 3.5-inci, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholsteri leatherette penuh, perehat kepala untuk tempat duduk baris kedua serta enam beg udara.

    Warisan Tan Chong Automotif memberikan jaminan lima tahun atau 150,000 km untuk GS3 ini dan ia datang sekali bersama upah servis percuma lima kali dalam masa tiga tahun atau 100,000 km. Anda boleh melihat kereta GAC di pusat pameran Tan Chong di Jalan Ipoh.

    GALERI : GAC GS3 1.5L Premium

    GALERI : GAC GS3 1.5L Standard

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025