Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua lancar perkhidmatan langganan EZ MOBi di M’sia – buat masa ini hanya di Lembah Klang sahaja

    Perodua lancar perkhidmatan langganan EZ MOBi di M’sia – buat masa ini hanya di Lembah Klang sahaja

    Selain melancarkan barisan Myvi 2022 malam tadi, Perodua turut memperkenalkan satu lagi perkhidmatan langganan kenderaan merangkumi semua nilai tambah. Dinamakan sebagai Perodua EZ MOBi, ia merupakan perkhidmatan yang akan membantu syarikat-syarikat menguruskan fleet kenderaan mereka dari perolehan, servis dan penggantian fleet.

    “Pada dasarnya, EZ MOBi ini mewakili sumbangan nilai Perodua terhadap keperluan mobiliti para pelanggannya yang semakin meningkat. Pakej keseluruhan termasuk pendaftaran kenderaan, pembaharuan insuran, kos servis, kos penggantian alat ganti, kereta ihsan, pelupusan kenderaan dan penggantian di bawah satu pelan langganan,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Tambahnya lagi, “Tawaran nilai perkhidmatan ini ialah Perodua EZ MOBi menyediakan kemudahan berbentuk hujung ke hujung (end-to-end) kepada para pelanggan kami kerana pelbagai pakej tersedia untuk memenuhi keperluan mobiliti setiap daripada mereka,” tambah Dato’ Zainal.

    Salah satu keunikan Perodua EZ MOBi ialah pelan langganannya memfaktorkan semua kos untuk milikan dan pengendalian kenderaan kecuali penggunaan bahan api. Walau bagaimanapun, buat masa ini, perkhidmatan baharu tersebut hanya tersedia di Lembah Klang dan untuk entiti-entiti perniagaan dan agensi-agensi kerajaan.

     
     
  • Lada Vesta Sport TCR buat penampilan sulung dalam WTCR sebagai peserta wild card di pusingan Rusia

    Lada Vesta Sport TCR buat penampilan sulung dalam WTCR sebagai peserta <em>wild card</em> di pusingan Rusia

    Jenama automotif dari Rusia, Lada diumumkan akan beraksi di pentas kejuaraan tertinggi Touring Car dunia dalam kelas TCR FIA, iaitu World Touring Car Cup (WTCR) buat pertama kali menerusi pusingan terakhir musim ini, di mana Rusia menjadi tuan rumah. Perlumbaan tersebut bakal dilangsungkan pada 26 hingga 28 November di Litar Sochi Autodrom.

    Walau bagaimanapun, penyertaan Lada kali ini hanyalah sebagai peserta wild card yang bukan sahaja memerlukan mereka membawa beban lebih 10 kg, malah tidak berpeluang untuk mengutip sebarang mata dalam kejuaraan musim ini. Jenama tersebut bakal diwakili oleh pasukan Lada Sport Rosneft dengan jentera Lada Vesta Sport TCR, dipandu oleh dua pemandu Rusia iaitu Kirill Ladygin dan Mikhail Mityaev.

    Lada Vesta Sport TCR berkenaan sudahpun membuat kemunculan sulung pada 2017 dengan berlumba di Kejohanan TCR Rusia sehingga kini. Ia diasaskan dari model jalan raya Vesta sedan dalam varian paling sporty iaitu Vesta Sport, dibangunkan oleh Lada Sport Rosneft bagi menerima homologasi sebuah jentera TCR oleh FIA.

    Berbanding model produksi yang dijana oleh enjin 1.8 liter NA berkuasa 145 hp/184 Nm, Lada Vesta Sport TCR ini dilengkapi enjin 2.0 liter turbo berkuasa 340 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 410 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Sama seperti jentera-jentera TCR lain, Lada Vesta Sport TCR ini juga menerima kotak gear perlumbaan sequential enam-kelajuan dari Sadev untuk memacu roda hadapan. Transmisi tersebut turut digandingkan bersama dengan klac plat berkembar dari AP Racing dan juga LSD.

    Jentera ini menampilkan prestasi memberangsangkan pada kejohanan TCR Rusia di mana Kirill Ladygin telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi musim 2021, dan Mikhail Mityaev menduduki tangga ketiga.

    Lada Vesta Sport TCR buat penampilan sulung dalam WTCR sebagai peserta <em>wild card</em> di pusingan Rusia

    Walaupun ini kali pertama Lada beraksi di pentas WTCR, jenama tersebut sebelum ini sebenarnya sudah pun pernah bertanding di FIA World Touring Car Championship (WTCC) pada musim 2008 dengan Lada 110 2.0 kemudian beralih ke jentera Lada Priora pada 2009 – kedua-duanya dipandu oleh Kirill Ladygin.

    “Kami gembira kerana mendapat peluang untuk mengambil bahagian pusingan di Rusia pada WTCR ? FIA World Touring Car Cup. Jelas, ini merupakan berita baik buat kami dan peminat tempatan. Penonton akan mendapat peluang bagi bersorak untuk pemandu Rusia, yang bertarung dengan pelumba-pelumba terbaik dalam dunia touring car, dengan memandu kereta Rusia,” kata ketua pasukan Lada Sport Rosneft, Vladislav Nezvankin.

    “Untuk pasukan kami, penyertaan dalam pusingan terakhir WTCR merupakan latihan terbaik pada peringkat antarabangsa. Ia membolehkan pemandu-pemandu touring car kami dan juga seluruh pasukan untuk menimba pengalaman baharu yang berharga dan menjadi lebih kuat,” katanya lagi.

     
     
  • VIDEO: Pusing keliling, perincian Perodua Myvi 2022

    Sedar tak sedar, dah empat tahun Myvi generasi ketiga ada dalam pasaran sejak dilancarkan pada 2017. Dan kini, muncul pula versi facelift terbaru untuk pertengahan hayatnya. Walaupun sekadar model facelift, ada banyak peningkatan yang dilakukan sebenarnya. Gril utama kini lebih besar, menjadikan wajah depan lebih menonjol dan tampil seiras dengan wajah depan SUV Ativa. Kalau diletak sebelah model lama, pasti ketara perbezaan penampilannya.

    Boleh juga dilihat elemen rekaan X pada bampar depan, yang agak mirip sebenarnya dengan model X-Concept yang pernah dipamer di KLIMS 2018 dulu. Warna baru Cranberry Red yang dilihat ini pun sama macam kereta konsep tersebut. Ditawarkan eksklusif untuk Myvi AV (gambar), warna baru ini lebih gelap berbanding Pearl Delima Red pada Ativa, dan nampak lebih eksklusif berbanding Lava Red pada varian Myvi yang lebih rendah.

    Rekaan lampu utama serba baru. Ada juga lanjutan jalur krom yang menyambungkannya dengan gril. Perincian yang lebih gelap juga digunakan pada bahagian dalam lampu ini untuk jadikannya kelihatan lebih nipis berbanding sebelumnya. Lampu nyalaan siang atau DRL LED serba baru pula ditawarkan standard buat pertama kali bagi model Perodua. Betul, Ativa pun ada ciri berkenaan, tapi ia ditawarkan sebagai sebahagian daripada bodykit Blaze GearUp.

    Tapi kedudukannya adalah dalam jalur menegak, menggantikan kedudukan lampu kabus sepenuhnya, dan bukan disekalikan dalam lampu utama LED yang ada. Bawah sekali adalah skirting baru, dalam kemasan hitam berkilat dan perincian warna perak — nampak macam skid plate SUV pun ada. Bagaimanapun, sekali dengan DRL, ini hanya didatangkan untuk varian 1.5H dan 1.5AV.

    VIDEO: Pusing keliling, perincian Perodua Myvi 2022

    Dari sisi, disebabkan rekaan rim sebelum ini memang siap sedia nampak menarik, Myvi baru ini kekal gunakan rim yang sama seperti sebelumnya, dengan saiz 14 inci bagi varian rendah dan 15-inci bagi varian tinggi (H dan AV). Satu lagi pembaharuan kecil yang dilakukan ialah perumah cermin sisi hitam kini standard untuk semua varian, sama seperti Ativa. Keseluruhannya, rupa baru luaran yang diberikan agak ketara juga. Kalau nak versi yang lebih sporty macam Myvi GT atau SE, itu kena tunggu lagilah.

    Kemaskini ruang dalaman

    Di dalam, disebabkan kemasan merah pada Ativa mendapat sambutan baik, pendekatan sama dilakukan untuk ruang dalaman Myvi baru ni. Kerusi misalnya, kini lebih banyak bahagian merah berbanding hitam, dan merahnya pun lebih cerah. Kerusi juga balutan kulit sepenuhnya untuk Myvi AV. Untuk varian lain yang lebih rendah, balutan fabrik yang digunakan pun dari jenis yang baru.

    Bahagian corong pendingin hawa pun ada kemasan merah yang menggantikan kemasan krom sebelum ini — ia akan kurang menyilaukan pandangan akibat pantulan matahari waktu siang. Jadi sekarang tiada lagi perincian krom digunakan pada bahagian ini; kemasan merah untuk AV dan varian lain dengan warna perak.

    Kluster meter merah terbaru ini juga hanya untuk AV, agak mirip dengan versi Myvi SE 2011. Paparan multi-info berwarna juga unik untuk AV sahaja, dengan kawalan tambahan untuk ciri seperti peninjau titik buta dan lampu isyarat. Varian lain dapat meter putih dengan skrin monokrom, sama macam Ativa X yang paling asas. Apapun, kluster meter ini semua dalam gaya Optitron — akan padam sepenuhnya sampailah dihidupkan. Bagaimanapun, masih tak ada meter suhu enjin disediakan.

    VIDEO: Pusing keliling, perincian Perodua Myvi 2022

    Stereng baru ini pula dipinjam dari Ativa, dan nampak lagi menarik berbanding yang lama. Tapi ada banyak ruang kosong untuk butang, walaupun bagi varian AV, yang membuatkannya nampak ada kurang sikit. Skrin sentuh head unit pun dipinjam dari Ativa, kini dengan saiz paparan lebih besar, 6.9-inci serta sistem kawalan terbaru. Tapi masih tak ada Apple CarPlay atau Android Auto, walaupun masih boleh mirroring Android melalui SmartLink. Kuncinya juga baru, sama macam Ativa.

    Kawalan pendingin hawa pun ada pembaharuan. Kini ada butang OFF baru, sekali tekan dah boleh tutup pendingin hawa terus, tak perlu lagi turunkan kelajuan kipas lagi sampai 0. Dua tetapan memori masih ada, tapi perlu dikendalikan melalui butang tunggal. Satu lagi tambahan terbaru ialah dashcam untuk varian lebih tinggi. Sekali dengan filem penapis haba yang siap dipasang, Myvi keluar kilang sahaja sudah siap untuk digunakan terus — tak perlu belanjakan wang untuk tambahan ciri aksesori lain. Myvi baru ini juga diperkenalkan tanpa pakej GearUp — itu akan hadir kemudian.

    Selebihnya, kelengkapan dalaman sama macam sebelum ini. Ada pengimbas kad tol binaan dalam tersedia, begitu juga dengan cangkuk anti-ragut dan juga cangkuk teh tarik di kerusi. Ruang bukan masalah untuk Myvi, ruang kaki di belakang malah lagi besar berbanding Ativa. Orang dewasa boleh duduk selesa, dan sudut penyandar pun condong.

    Tapi kekurangan lama masih ada. Saiz kerusi agak kecil, larasan stereng hanya atas-bawah dan tiada larasan rapat ke pemandu, perehat lengan di tengah pun masih tak ada, serta tak ada corong pendingin udara di belakang. Kapasiti but masih sama, 277 liter. Agak ok untuk kelasnya, dengan ambil kira ada tayar ganti saiz penuh kat belakang.

    VIDEO: Pusing keliling, perincian Perodua Myvi 2022

    Peningkatan mekanikal

    Aspek mekanikal, Myvi 2022 ni guna enjin yang sama, 1.3 liter dan 1.5 liter Dual VVT-i empat-silinder. Tak ada turbo. Angka janaan pun sama, 94 hp dan 121 Nm untuk enjin 1.3 liter, dan 102 dan 136 Nm untuk enjin 1.5 liter. Tapi kotak gear baru. Pertama, tak ada lagi kotak gear manual ditawarkan untuk Myvi. Kedua, transmisi automatik 4-kelajuan sebelum ini dah digantikan oleh D-CVT dari Ativa. Ini transmisi terbaru oleh Daihatsu, dan merupakan sistem seumpamanya yang pertama di dunia dan merupakan kali pertama juga ia digunakan untuk platform bukan-DNGA.

    Perodua mendakwa dengan D-CVT, Myvi kini 5% lebih cekap bahan api berbanding sebelum ini, dengan 1.3L didakwa mencatatkan hingga 22.2 km/l, dan 1.5L hingga 21.1 km/l — kedua-duanya naik 1 km/l. Tempoh pecutan juga hampir 20% lebih baik dengan D-CVT, itu yang penting. Pecutan 0-100 km/j ialah 11.5 saat utk 1.3L, dan 10.2 saat bagi 1.5L. Sama seperti Ativa, ada juga butang “Power” di stereng yang akan memberi lonjakan pecutan bila perlu.

    D-CVT juga dikatakan mempunyai nisbah gear yang setanding dengan automatik lapan-kelajuan. Perubahan minor lain ialah mod S dan B pada tombol gear, yang menggantikan gear 3 dan 2 sebelum ini. S adalah untuk Sport, sementara B untuk Braking ketika menuruni curam.

    VIDEO: Pusing keliling, perincian Perodua Myvi 2022

    Aspek keselamatan pun dinaiktaraf kepada teknologi sama yang ada pada Ativa. Kini Myvi dilengkapi ASA 3.0. Tambahan ciri terbaru termasuklah kawalan melayar adaptif (ACC), bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang untuk varian AV. Ini pemanduan semi-autonomous Tahap 2, dan ada pada Myvi! Cuma, sama seperti Ativa, ACC hanya berfungsi antara kelajuan 30 dan 125 km/j, jadi masih belum ada low speed follow atau bantuan dalam kesesakan.

    Varian lain, kecuali model paling asas, turut menerima ASA 3.0. Fungsi AEB kini berkesan hingga 120 km/j, dan boleh juga mengesan motosikal dan basikal. Kameranya boleh mengesan kereta pada waktu malam juga. Ciri baru lain untuk Myvi ialah lampu tinggi automatik yang dijadikan standard untuk semua varian kecuali yang paling asas. Pengingat tali keledar juga disediakan untuk semua tempat duduk. Beg udara sama seperti sebelum ini — empat untuk varian rendah, dan enam untuk varian lebih tinggi. Kawalan kestabilan elektronik adalah standard.

    Akhir sekali, harga. Dengan semua penambahbaikan ini, boleh dijangkakan harga akan naik sedikit. Kini ada lima varian, dan bermula dari RM46k bagi 1.3G. Tambah ASA 3.0 untuk 1.3G+, dan harganya jadi RM48k. Varian baru, 1.5X dijual pada harga RM50k. 1.5H pula RM54k. Varian paling tinggi, 1.5AV dijual pada harga RM59k. Varian kedua teratas menyaksikan harga masing-masing naik sebanyak RM4k dan RM6k—kenaikan yang agak banyak juga untuk kelas kenderaan ini. Perlu diingat, ini harga dengan pengecualian SST. Jadi, masuk Julai 2022 nanti, Myvi akan lebih daripada RM60k. Tapi ini bukanlah Myvi yang paling mahal pernah ada; 2011 dulu ada Myvi Extreme yang dijual RM62k.

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 X facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.3 G PSDA facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi aksesori Gear Up untuk Perodua Myvi facelift 2022

     
     
  • Perodua Myvi 2022 cecah 4,303 unit tempahan dalam tempoh 9 hari – sasar 6,000 unit pendaftaran sebulan

    Perodua Myvi 2022 cecah 4,303 unit tempahan dalam tempoh 9 hari – sasar 6,000 unit pendaftaran sebulan

    Sejak tempahannya mula dibuka pada 9 November lalu, Perodua Myvi 2022 yang baru dilancarkan sebentar tadi, telah pun menerima tempahan sebanyak 4,303 unit dan penghantarannya akan bermula esok.

    Sebanyak RM50 juta telah dibelanjakan untuk pembangunan barisan Myvi 2021 ini yang diberikan pelbagai teknologi canggih, ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan, penjimatan bahan api yang lebih baik, penampilan baharu yang sporty serta warna baharu.

    “Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia terutama para pelanggan kami atas sokongan yang diberikan kepada Perodua dan Myvi baharu. Kami menjangkakan sebanyak 6,000 unit Myvi baharu akan didaftarkan setiap bulan, yang mana ini membolehkan kami mengekalkan kecenderungan jualan Myvi pada masa akan datang,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua Myvi 2022 cecah 4,303 unit tempahan dalam tempoh 9 hari – sasar 6,000 unit pendaftaran sebulan

    Tambahnya lagi, “Myvi telah menarik perhatian rakyat Malaysia dan telah diterima secara meluas oleh masyarakat. Tawaran baharu ini adalah untuk memastikan para pelanggan kami yang dihargai memperolehi nilai yang terbaik.”

    Pelancaran varian baharu ini adalah dalam tempoh minggu yang sama dengan pelancaran Myvi generasi ketiga iaitu pada 16 November 2017. Myvi yang mula diperkenalkan pada Mei 2005 telah menjual kira-kira 1.3 juta unit setakat ini dan daripada jumlah tersebut, Myvi generasi ketiga terjual sebanyak 277,329 unit.

    Myvi 2022 dibarisi varian 1.3L G (model asas tanpa Perodua Smart Drive Assist) yang berharga RM47,500, 1.3L G (RM47,700), 1.5L X (RM49,900), 1.5L H (RM53,900) dan spesifikasi tertinggi 1.5L AV (RM58,800). Harga tersebut adalah untuk Semenanjung Malaysia, tanpa insurans dan dengan pengecualian cukai jualan yang berlangsung sehingga 30 Jun 2022. Ia juga didatangkan dengan waranti lima-tahun/150,000 km.

    Perodua Myvi 2022 cecah 4,303 unit tempahan dalam tempoh 9 hari – sasar 6,000 unit pendaftaran sebulan

    Untuk empat varian tertinggi Myvi 2022, kini ia diberikan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA), yang merangkumi Advance Safety Assist versi 3.0, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist (LKS), Blind Spot Monitoring System (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Ini bermakna semua varian Myvi baharu kini dilengkapi teknologi Autonomi Tahap 2 (kecuali varian G tanpa PSDA).

    “Ini adalah pertama kali dalam sejarah Malaysia, syarikat kereta menawarkan teknologi Autonomi Tahap 2 kepada model di bawah harga RM60,000,” kata Dato’ Zainal.

    Selain itu, Myvi 2022 turut diberikan transmisi baharu iaitu Dwi-mod CVT (Continuous Variable Transmission) bagi menggantikan transmisi empat-kelajuan.

    Dato’ Zainal turut berkata, dengan penambahbaikan ini, Myvi 2022 mampu mencatatkan peningkatan sebanyak 5% atau tambahan satu kilometer bagi setiap liter bahan api serta 20% pecutan yang ditambahbaik.

    “Peningkatan kecekapan bahan api Myvi 2022 adalah komitmen kami ke arah mengurangkan impak kepada alam sekitar dan usaha kami ke arah matlamat untuk menjadi sebuah organisasi karbon neutral.

    “Selain itu Dwi-mod CVT ini akan meningkatkan lagi kecekapan transmisi, ringan dan bersaiz kompak, memberikan lebih kuasa pecutan dan lancar pada kelajuan rendah serta menjadikan kenderaan lebih senyap selain meningkatkan kecekapan bahan api,” kata Dato’ Zainal.

    Tiada perubahan diberikan pada enjin-enjin yang menjana Perodua Myvi facelift 2022 ini. Model 1.3L dijana oleh enjin 1NR-VE berkuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm. Model 1.5L juga masih digerakkan oleh enjin 2NR-VE berkuasa 102 hp dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm.

    Myvi 2022 juga menampilkan warna baharu iaitu Cranberry Red eksklusif untuk varian AV sahaja. Warna lain termasuk Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak tersedia untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue.

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 X facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.3 G PSDA facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi aksesori Gear Up untuk Perodua Myvi facelift 2022

     
     
  • Perodua Myvi 2022 — tawaran bagi aksesori GearUp

    Perodua Myvi 2022 — tawaran bagi aksesori GearUp

    Seperti biasa, Perodua kalau lancarkan mana-mana model, mesti akan disertakan sekali dengan aksesori GearUp. Kadang-kadang, rekaannya terlalu melebih-lebih, misalnya seperti yang dapat kita lihat pada Ativa. Mujur, untuk Myvi facelift terbaru ini rekaannya agak santai dan tidak terlalu menonjol, tetapi kemas.

    Tiada bodykit atau tambahan kemasan krom diberikan setakat ini, dengan varian AV memiliki panampilan paling sporty untuk Myvi baru ini. Aksesori GearUp untuk Myvi yang ditawarkan awal ini hanya ada beberapa, terdiri misalnya door visors luaran (pada harga RM150), nut pengunci roda (RM200), penghadang matahari magnetik (RM140), lapik kaki gelung dengan alas mesh (RM180) dan talam barangan (RM100).

    Ada juga beberapa pilihan kosmetik, tentunya, seperti scuff plate pelapik pintu dengan pencahayaan (RM260) dan lampu merah untuk ruang kaki pemandu (RM240) untuk disepadanan dengan kemasan merah dalam kabin. Katalog GearUp seperti biasa akan datang sekali dengan pembalut kerusi.

    Tidak ketinggalan, sistem peninjau tekanan tayar (RM430) turut disediakan, dan ada juga kerusi keselamatan kanak-kanak Perodua (RM680). Dashcam depan juga ada dengan harga RM500, tapi untuk AV ciri ini sudah didatangkan sebagai standard.

    Jika anda ingin tahu lanjut berkaitan peningkatan dan pembaharuan yang dilakukan terhadap Myvi 2022, rujuk laporan pelancaran yang kami sediakan di sini.

    GALERI: Gambar rasmi aksesori Gear Up untuk Perodua Myvi facelift 2022

     
     
  • Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Selepas pelbagai teaser yang meriah disiarkan seminggu dua ini, akhirnya Perodua Myvi facelift 2022 telahpun dilancarkan secara rasmi malam ini. Seperti yang disebutkan ketika ia sudah mula ditempah lebih seminggu lalu, Myvi yang dikemaskini ini hadir dengan lima varian yang boleh dipilih.

    Kalau tengok pada perubahan rupa, macam tak banyak beza dari model sebelum ini. Tapi rata-rata setiap varian Myvi facelift ini dijual pada harga yang agak tinggi berbanding versi sebelumnya, mengapa? Untuk pengetahuan anda, versi kemaskini ini bukan hanya melibatkan ‘kejuruteraan bampar’ semata-mata, tetapi ia menerima tingkap taraf teknologi dan mekanikal yang agak besar dan anda akan mengetahuinya pada artikel ini.

    Walaupun model facelift ini hanya muncul selepas empat tahun pelancaran Myvi generasi ketiga tersebut, projek pembangunan dengan kod D51A ini sebenarnya telah bermula pada Februari 2019, iaitu kira-kira hanya selepas setahun model “G3” ini diperkenalkan dalam pasaran.

    Sejak itu, sebanyak 137,000 jam telah digunakan untuk menyiapkan Myvi facelift ini, dengan kos pembangunan mencecah RM50 juta – kos yang agak tinggi untuk sebuah model facelift, dan anda akan ketahui mengapa kos ini begitu tinggi selepas ini.

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Seperti yang kita tahu, Perodua seringkali menawarkan teknologi dari kereta-kereta lebih mahal untuk disumbatkan pada model-model mampu milik mereka. Kita pernah saksikan bagaimana jenama tersebut memberikan fungsi-fungsi seperti butang penghidup enjin dan Eco Idle auto start & stop pada Bezza di mana ketika itu ia masih hanya ada pada model yang jauh lebih mahal.

    Begitu juga Perodua Ativa, di mana SUV segmen-B dengan harga sekitar RM72k berkenaan menampilkan fungsi seperti lampu hadapan adaptif seperti Audi dan juga sistem bantuan pemanduan yang biasanya ada pada kereta-kereta melebihi RM100k. Menurut Perodua, “Myvi tak boleh ketinggalan dalam aspek peningkatan teknologi” berbanding Ativa kerana ia adalah model utama mereka yang menjadi model paling laris sejak sekian lama.

    Penggayaan luaran

    Kalau anda perasan, walaupun secanggih mana pun sesebuah model Perodua itu sebelum ini, masih tiada lagi model yang diberikan lampu nyalaan siang LED. Perincian tersebut sebenarnya hanya diperkenalkan buat pertama kali oleh Perodua menerusi model Myvi facelift 2022 ini.

    Lampu nyalaan siang tersebut dipadankan secara menegak pada setiap sisi bampar hadapan bagi menggantikan lampu kabus halogen sebelum ini. Bagi pengguna Perodua sedia ada yang mahu bertukar kepada Myvi facelift ini, ingin diingatkan bahawa lampu nyalaan siang LED ini akan menyala secara automatik setiap kali enjin dihidupkan. Tiada suis untuk mematikan lampu berkenaan, kecuali pemandu mula menghidupkan lampu utama hadapan dan lampu nyalaan siang LED ini akan dimatikan secara automatik.

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Walau bagaimanapun, lampu nyalaan siang LED ini hanya diberikan pada model 1.5 H dan 1.5 AV sahaja. Sebagai tambahan, kesemua model dengan enjin 1.5L diberikan fungsi lampu hadapan automatik yang akan menyala sendiri apabila mengesan keadaan gelap diluar.

    Secara keseluruhan, muka Myvi facelift 2022 disegarkan menerusi rekaan gril dan juga bampar baharu yang mula mengikut rupa Ativa, sambil mengekalkan bentuk kluster lampu utama. Gril hadapan dihasilkan lebih besar tanpa pemisah dengan lampu hadapan, manakala gril bawah pula dihasilkan lebih nipis.

    Jika perhatikan betul-betul, muka baharu ini seolah-olah menampilkan huruf X yang besar. Tiada lagi bahagian dagu yang berwarna hitam tetapi bahagian tersebut menerima kemasan perak yang lebih tebal seakan skid plate SUV (untuk H dan AV).

    Rekaan belakang juga disegarkan dengan konsep yang sama dengan mengekalkan lampu utama, manakala rekaan bampar diubah dengan menampilkan imej X yang sama, dan diberikan kemasan hitam menegak pada setiap sisi yang seiring dengan rekaan jalur lampu nyalaan siang hadapan.

    Tiada perubahan dapat dilihat pada bahagian sisi di mana Myvi facelift ini masih menerima rim rekaan yang sama seperti sebelumnya. Sama seperti Ativa, semua varian Myvi 2022 ini diberikan penutup cermin sisi dengan kemasan warna badan.

    Penyegaran bahagian dalaman

    Untuk varian tertinggi AV, kabin Myvi ini penuh dengan serlahan merah (malah macam lebih banyak dari warna hitam!), tak kira apa warna luaran yang anda pilih. Ia termasuk pada bahagian sekeliling liang pendingin hawa, tempat duduk (yang dibalut kulit), dan juga pada tema panel instrumen yang telah direka semula.

    Bagi varian Myvi yang lain, ia diberikan upholsteri fabrik dan tema gelap sepenuhnya. Untuk varian H, tempat duduknya diberikan corak seakan kulit ular. Selain hitam, bahagian kabin untuk semua varian lain selain AV diberikan berwarna perak. Kemasan sekeliling liang pendingin hawa juga kini tiada yang krom, digantikan dengan warna perak.

    Pemandu menerima roda stereng yang diambil terus dari Perodua Ativa yang penuh dengan butang kawalan termasuk untuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS). Walau bagaimanapun, masih ada ruang butang yang dibiarkan kosong kerana ia menerima sistem yang sedikit kurang berbanding Ativa, walaupun pada model tertinggi AV.

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Kini panel suis di bawah liang pendingin hawa sebelah kanan juga telah penuh, dengan menerima butang untuk sistem Lampu Tinggi Automatik dan juga panel kawalan cermin sisi yang turut diambil dari Ativa.

    Kesemua varian Myvi facelift ini diberikan panel instrumen rekaan baharu, namun hanya Myvi AV yang diberikan panel dengan tema merah. Grafik lebih garang berkenaan mengingatkan kami kepada Myvi SE dan Myvi Extreme 1.5 2011 (atau turut dipanggil “Myvi Lagi Best”), yang ketika itu merupakan Myvi pertama yang menerima enjin 1.5 liter.

    Satu skrin paparan pelbagai info (MID) TFT bersaiz besar diletakkan pada bahagian tengah panel instrumen baharu ini yang turut memaparkan grafik animasi selamat datang. Meter baharu ini sebenarnya meter dengan gaya Optitron iaitu kelihatan sentiasa bercahaya tetapi gelap sepenuhnya apabila enjin dimatikan.

    Bagi model-model selain AV, paparan meter tersebut nampak lebih ringkas dengan pencahayaan grafik berwarna putih, serta skrin MID jenis LCD dan bersaiz lebih kecil. Paparan tersebut sebenarnya dikongsi bersama Ativa X, iaitu satu-satunya varian Ativa yang diberikan paparan meter analog.

    Untuk sistem infotainmen, Myvi facelift hadir dengan skrin sesentuh yang lebih besar bersaiz 6.9-inci (untuk H dan AV) berbanding 6.2-inci sebelum ini. Skrin berkenaan memaparkan antara muka utama yang sama dengan skrin infotainmen pada Ativa.

    Sekali tengok, panel kawalan pendingin hawa Myvi facelift ini nampak sama seperti Myvi sebelum ini. Tetapi jika anda tengok dengan lebih teliti, butang memorinya kini hanya tinggal satu, manakala slot satu lagi digantikan dengan butang “Off”.

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Ini kerana sebelum ini pengguna perlu menekan butang untuk memperlahankan motor penghembus berulang kali bagi mematikan kipas pendingin hawa berkenaan, berbanding dengan hanya sentuhan pada sistem baharu ini. Namun sistem ini masih memberikan dua slot memori yang oleh dibuat menerusi hanya satu butang “MEM” tersebut.

    Slot-slot butang di atas panel kawalan pendingin hawa juga kini sudah penuh, di mana sebahagian besar daripadanya adalah pengingat pemakaian tali pinggan keledar untuk semua tempat duduk. Myvi juga kini telah diberikan sistem kunci automatik, yang membolehkan kesemua pintu terkunci sendiri apabila kelajuan mula mencecah 20 km/j.

    Perincian-perincian khas Myvi yang dihasilkan oleh jurutera tempatan bagi memenuhi keperluan tempatan masih dikekalkan. Antaranya termasuk pembaca tol bersepadu (SmartTag bina dalam), port pengecas USB pada sisi tempat duduk hadapan lengkap dengan poket untuk telefon, dan juga cangkuk keselamatan untuk beg tangan wanita (dan juga menyangkut teh tarik ikat tepi) di belakang perehat badan tempat duduk hadapan.

    Unit rangkaian kuasa – enjin sama, kotak gear 4AT ditukar kepada CVT

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Tiada perubahan diberikan pada enjin-enjin yang menjana Perodua Myvi facelift 2022 ini. Model 1.3L dijana oleh enjin 1NR-VE berkuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm. Model 1.5L juga masih digerakkan oleh enjin 2NR-VE berkuasa 102 hp dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm.

    Kedua-dua enjin berkenaan adalah enjin dari siri NR Toyota/Daihatsu, yang turut digunakan pada model lain seperti Toyota Vios, Yaris dan juga Avanza (pasaran Malaysia) sedia ada. Ia menampilkan kepala enjin DOHC bersama teknologi Dual VVTi dan juga sistem Eco Idle (auto start-stop).

    Namun Perodua kini telah menyertai model-model segmen-B lain termasuk Honda Jazz/City sedan dan hatchback, Toyota Vios dan Yaris, Proton Persona dan Iriz serta Nissan Almera yang menggunakan kotak gear CVT bagi menggantikan transmisi automatik konvensional 4AT sebelum ini.

    Tetapi, CVT yang digunakan pada Myvi ini bukanlah CVT biasa seperti model-model yang disebutkan tadi. Sebaliknya Myvi menerima kotak gear Dual Mode CVT (atau dipanggil D-CVT) yang sama seperti Perodua Ativa. Apa yang menarik, Myvi merupakan model pertama dalam keluarga Daihatsu/Toyota menggunakan kotak gear tersebut, yang bukan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Bukan itu sahaja, malah apa yang menarik keseluruhan seni bina sistem elektrikal turut diambil dari DNGA (berasaskan Perodua Ativa) bagi memastikan keseluruhan fungsi teknologi termaju pada Myvi ini dapat berfungsi.

    Kotak gear D-CVT ini merupakan antara teknologi terkini dari Daihatsu yang pada awalnya dihasilkan untuk model-model yang akan dibina dari platform DNGA. Penghantaran kuasa dalam kotak gear berkenaan bukan hanya dibuat menerusi pulley dan belting seperti CVT biasa, malah ia turut menggunakan split-gear, pertama seumpamanya di dunia.

    Secara asasnya, apabila kereta mula bergerak, transmisi D-CVT ini akan beroperasi sama seperti kotak gear CVT tradisional. Namun selepas fasa memecut sudah habis dan lebih kelajuan perlu diberikan (overdrive diperlukan), pemindahan kuasa dari enjin ke roda tidak lagi dibuat menerusi set pulley dan tali sawat, sebaliknya dipindahkan menerusi set split gear yang berada di sebelahnya.

    Dengan menggunakan gear, kesemua tenaga dari enjin dapat dipindahkan lebih terus tanpa kehilangan kuasa yang terjadi pada tali sawat dan pulley CVT biasa. Ini secara tidak langsung turut menghilangkan bunyi berdengung ketika kotak gear ini berfungsi dalam kelajuan tinggi. Pertukaran dari penggunaan tali sawat kepada split gear berkenaan dibuat menerusi set pek klac yang diletakkan antara kedua-dua mekanisma tersebut.

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Pada Ativa, kotak gear D-CVT turut diberikan mod manual dengan tujuh nisbah maya, yang boleh pemandu gunakan menerusi mod + – pada tuil gear. Namun fungsi berkenaan tidak diberikan pada Myvi. Walau bagaimanapun, Myvi masih menerima butang Power pada roda stereng. Dengan menekan butang ini, kesemua kuasa enjin akan dilepaskan dan ia berfungsi tidak kira sama ada pada posisi gear D atau S.

    Oh ya, kini tiada lagi posisi 3 dan 2 pada tuil penukar gear (kerana tiada lagi nisbah gear sebenar pada kotak gear D-CVT), tetapi digantikan dengan posisi S dan B. Untuk S, ia akan memberikan mod Sport, manakala B pula adalah untuk memberikan engine braking maksimum bagi digunakan pada situasi seperti sedang menurun bukit.

    Perodua mendakwa bahawa Myvi facelift ini mampu mencapai penggunaan bahan api 5% lebih baik dengan kotak gear D-CVT ini. Model dengan enjin kini didakwa mampu mencapai penggunaan bahan api gabungan 22.2 km/l (dari 21.1 km/l sebelum ini) manakala model 1.5L pula mencapai penggunaan bahan api 21.1 km/l (berbanding 20.1 km/l sebelum ini). Kotak gear baharu ini juga membolehkan Myvi bergerak dalam kelajuan cruising dengan kelajuan rpm lebih rendah, sekaligus memberikan pemanduan yang lebih jimat, relaks dan senyap.

    Bukan itu sahaja, transmisi D-CVT ini juga didakwa memberikan prestasi yang lebih baik dengan mencatatkan pecutan 0-100 km/j 20% lebih pantas dari sebelum ini. Model 1.3L mampu memecut dari kedudukan pegun ke 100 km/j dalam masa 11.5 saat, manakala versi 1.5L yang lebih berkuasa pula mencatatkan masa 10.2 saat untuk pecutan yang sama.

    Sistem keselamatan canggih dengan pemanduan autonomi Tahap 2

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Ketika Myvi G3 ini dilancarkan pada November 2017, sistem keselamatan yang diberikan oleh Perodua ketika itu sudah cukup mengejutkan ramai pihak. Manakan tidak, siapa sangka sebuah model dengan harga bawah RM60k diberikan sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik (AEB) dan lain-lain menerusi pakej Advanced Safety Assist (ASA)?

    Bagi Myvi facelift 2022, sistem bantuan pemanduan yang diberikan adalah melangkaui sistem kemaskini ASA 2.0 (pada Aruz), dan ia diperkenalkan dengan terus dengan sistem ASA 3.0 (diperkenalkan pertama kali pada Ativa) di mana sistem bantuan pemanduan termaju berkenaan diletakkan di bawah payung Perodua Smart Drive Assist (PSDA).

    Semua varian Myvi 2022, kecuali model asas 1.3 G, datang dengan pakej asas ASA yang merangkumi sistem Amaran Pra Pelanggaran (PCW), Brek Pra-pelanggaran (PCB atau AEB), Amaran Mula Gerak Hadapan (FDA) dan juga Kawalan Salah Operasi Pedal (PMC). Walau bagaimanapun, pembeli 1.3 G masih boleh mendapatkan sistem ASA, Lampu Tinggi Automatik dan juga Amaran/Pengelak Keluar Lorong dengan pek opsyen yang perlu ditambah wang.

    Manakala untuk sistem ASA 3.0, ia ditambah dengan pengesan kenderaan dua roda (motosikal/basikal, manakala pengesan pejalan kaki telah ditambah pada ASA 2.0) pada PCW dan PCB, serta PCB kini boleh beroperasi dari 4 hingga 120 km/j (naik 20 km/j).

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Malah PCB dan AEB juga kini boleh digunakan tanpa sebarang had, di mana sebelum ini sistem brek automatik tersebut hanya boleh berfungsi sebanyak tiga kali, dan enjin perlu dimatikan dan dihidupkan semula bagi memulakan semula sistem berkenaan. ASA juga kini boleh beroperasi pada waktu malam, tetapi hanya berkesan untuk mengesan kereta yang mempunyai lampu belakang beroperasi.

    Kesemua model yang dilengkapi ASA juga datang dengan Amaran Keluar Laluan (LDW) dan Pengelak Keluar Lorong (LDP). Sistem LDW akan mengesan garisan di atas permukaan jalan raya dan memberikan amaran secara audio dan visual pada pemandu jika ia terkeluar dari lorong. Manakala sistem LDP pula akan membantu ‘menarik’ stereng agar anda kembali ke lorong yang betul.

    Dengan sistem Kawalan Kekal Lorong (LKC) dan juga cruise control adaptif (ACC) membolehkan Myvi diiktiraf mempunyai kebolehan pemanduan berautonomi Tahap 2. Seperti pada Ativa, ACC berfungsi pada kelajuan 30 hingga 125 km/j sambil pemandu boleh menetapkan jarak antara kereta hadapan dengan tiga tahap jarak.

    Sistem ini tidak akan berfungsi pada kelajuan 0 hingga 30 km/j seperti sistem Low Speed Follow, jadi ia tidak akan membantu anda ketika merangkak dalam kesesakan trafik. Model tertinggi Myvi AV turut dibekalkan dengan Pemantau Titik Buta (BSM, dengan amaran bunyi dari buzzer sekiranya lampu isyarat membelok diaktifkan, atau hanya lampu sekiranya tidak) serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Manakala untuk sistem Lampu Tinggi Automatik (AHB), ia juga turut diberikan kepada semua varian kecuali pada model asas 1.3 G tanpa ASA. Seperti sebelum ini, semua varian Myvi menerima lampu hadapan LED reflektor, dan sistem AHB berkenaan akan berfungsi pada kelajuan lebih 30 km/j atau keadaan sekitar terlalu gelap.

    Dengan sistem AHB, pemandu tidak perlu menurunkan lampu tinggi sekiranya berselisih dengan kereta dari lorong bertentangan, di mana ia akan dibuat secara automatik menerusi sistem ini. Lampu tinggi berkenaan juga akan kembali dipasang sekiranya tiada lagi kereta yang lalu pada lorong bertentangan. Namun sistem lampu adaptif pada Ativa H dan AV tidak disertakan pada Myvi facelift ini.

    Penderia parkir untuk sudut hadapan diberikan pada model 1.5 H dan ke atas, namun kamera undur dan kamera perakam digital (dashcam) hanya khas untuk varian AV. Manakala untuk beg udara, empat untuk model-model 1.3L dan enam untuk semua model 1.5L. Sistem Kestabilan Kenderaan (VSA) pula seperti biasa standard untuk semua varian.

    Pengenalan warna hero baharu

    Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

    Perodua telah memperkenalkan warna hero baharu iaitu Cranberry Red, tetapi ia hanya eksklusif pada model 1.5 AV (sesuai dengan serlahan merah pada bahagian dalaman). Namun model tertinggi ini tidak boleh dipilih dengan warna solid Lava Red seperti yang ditawarkan pada varian lain yang lebih rendah.

    Warna-warna sedia ada lain seperti Electric Blue, Lava Red, Granite Grey, Glittering Silver dan Ivory White turut masih ditawarkan. Namun bagi model asas 1.3 G tidak ditawarkan dengan warna Granite Grey.

    Harga dan pecahan varian

    Bagi harga, ia dimulakan dengan varian asas 1.3 G tanpa ASA/LDW/LDP/AHB dijual pada harga RM45,700, diikuti 1.3 G dengan ASA/LDW/LDP/AHB menampilkan tambahan harga RM2,000 kepada harga RM47,700. Manakala model yang dijana enjin 1.5 liter pula dimulakan dengan model 1.5 X berharga RM49,900. Bagi varian ini ia hadir dengan ASA/LDW/LDP/AHB, mod Power, lamou hadapan automatik, cermin sisi auto-lipat (ketika kereta dikunci/buka kunci) dan juga Bluetooth pada sistem audio tanpa skrin. Kesemua model 1.5L menerima rim 15-inci berbanding 14-inci pada model-model 1.3L.

    Kemudian ia diikuti model 1.5 H berharga RM53,900. Seperti yang anda boleh lihat pada model 1.5 H berwarna putih di sini, ia menampilkan rupa yang sama seperti 1.5 AV bersama ciri seperti lampu nyalaan siang LED, gril hitam berkilat, lip bawah bampar, pembuka pintu krom, skirt sisi dua tona, bampar belakang dua tona dan juga spoiler belakang.

    Pada bahagian dalaman, model 1.5 H ini merupakan satu-satunya varian Myvi yang menerima tempat duduk fabrik dengan corak sarang lebah, Ia juga menerima skrin sesentuh lebih besar (bersama USB, Bluetooth, SmartLink, HDMI dan kawalan suara), pembaca tol, roda stereng balutan kulit, pemegang pintu krom, perehat kepala boleh laras/cabut di belakang, dan juga filem penapis haba.

    Spesifikasi dan juga senarai harga Perodua Myvi facelift 2022. Klik untuk besarkan

    Akhir sekali varian tertinggi 1.5 AV pula dijual pada harga RM58,800, di mana ia menerima tambahan ciri termasuk kabin merah-hitam dan perincian-perincian yang disebut di atas, kamera undur, kamera perakam serta ACC/LKC/BSM/RCTA. Seperti yang disebut tadi, Myvi 1.5 AV ini juga telah menetapkan satu aras baharu dimana sebuah kereta dengan sistem ADAS yang cukup lengkap dijual pada harga bawah RM60k!

    Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022. Dan kalau anda perasan, Perodua sudah tidak lagi menawarkan Myvi dengan kotak gear manual kerana kurang permintaan – Perodua menyatakan bahawa hanya 1% dari keseluruhan pembeli Myvi G3 sebelum ini memilih kotak gear manual tersebut.

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 X facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 X facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.3 G PSDA facelift 2022

    GALERI: Gambar rasmi aksesori Gear Up untuk Perodua Myvi facelift 2022

     
     
  • Volkswagen T-Roc facelift diperkenal – penampilan diperbaharui, panel infotainmen lebih seperti tablet

    Volkswagen T-Roc facelift diperkenal – penampilan diperbaharui, panel infotainmen lebih seperti tablet

    Selepas lebih sedikit daripada empat tahun dijual dalam pasaran, Volkswagen T-Roc akhirnya diberikan facelift. Pembaharuan yang diberikan kepada model crossover kompak ini meliputi semua varian termasuklah R dan Cabriolet.

    Perubahan yang diberi pada bahagian luar adalah termasuk lampu DRL baru, sementara lampu belakang pula digelapkan sedikit dan pencahayaannya diubah. Model yang datang dengan lampu LED matriks IQ.Light juga akan menerima jalur lampu sepanjang gril, bersama lampu penunjuk arah dinamik.

    Skid plate hadapan dijadikan lebih tegap manakala model pakej R-Line juga diberikan dengan lampu kabus menegak. Bampar belakang juga telah diubah dengan kini mempunyai pemantul cahaya petak, kemasan hitam di tengah, diffuser lebih tinggi serta muncung ekzos hiasan.

    Pakej R-Line memberikan penampilan yang berbeza, dengan bampar belakang yang mempunyai kemasan hitam panjang di tengah, empat muncung ekzos serta pemantul cahaya menegak. Turut ditambah bagi model baru ini adalah lima warna luaran baru serta pilihan rim dari 17 inci hingga 19 inci.

    Masuk ke dalam, panel paparan infotainmen yang boleh didapati dalam saiz 6.5, 8.0 atau 9.5 inci kini direka lebih tegak dan tinggi, sekaligus membuatkan corong pendingin hawa dibawahnya direka semula. Sistem infotainmen menggunakan asas daripada Modular Infotainment Toolkit (MIB3) generasi ketiga, mempunyai sistem servis ketersambungan dan boleh berfungsi bersama Android Auto dan Apple CarPlay.

    Perubahan ketara lain adalah seperti papan pemuka dengan permukaan lembut, panel kawalan suhu jenis sesentuh dan roda stereng yang diambil daripada Golf. Panel instrumen digital lapan inci datang secara standard, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada unit 10.25 inci dengan pilihan Digital Cockpit Pro.

    Dalam keadaan asal, panel pintu dibalut dengan fabrik, tetapi bagi varian Style dan R-Line, ia menggunakan balutan kulit serta jahitan kontras. Model Style Line juga mendapat panel tengah dan tempat duduk dibalut ArtVelours manakala model R-Line ditawarkan dengan pilihan balutan kulit Nappa.

    Satu lagi peningkatan yang diberi untuk model facelift ini adalah pada bahagian sistem bantuan pemandu, di mana T-Roc sekarang mendapat IQ.Drive Travel Assist yang boleh memberikan fungsi Predictive Cruise Control (sehingga kelajuan 210 km/j), menyertai fungsi Front Assist dan Lane Assist yang sedia ada.

    Tiada perubahan pada sistem penggerak, dengan model permulaan dipacu enjin tiga silinder 1.0 liter turbo 109 hp, diikuti enjin empat silinder 1.5 liter TSI 148 hp dan 2.0 liter TSI 188 hp. Model R yang paling tinggi menggunakan enjin 2.0 liter turbo 296 hp.

    Terdapat juga varian yang menggunakan enjin diesel turbo 2.0 liter, dengan pilihan talaan kuasa 114 hp atau 148 hp. Bergantung kepada enjin, transmisi yang disediakan adalah termasuk manual enam kelajuan atau automatik DSG klac berkembar tujuh kelajuan – pacuan empat roda 4Motion disediakan sebagai pilihan, berbanding pacuan dua roda hadapan secara standard.

    GALERI: Volkswagen T-Roc Style dan R-Line 2022

    GALERI: Volkswagen T-Roc Cabriolet R-Line 2022

    GALERI: Volkswagen T-Roc R 2022

     
     
  • Mitsubishi Motors tawar pilihan pandu uji tanpa diiringi konsultan jualan untuk pelanggan di Lembah Klang

    Mitsubishi Motors tawar pilihan pandu uji tanpa diiringi konsultan jualan untuk pelanggan di Lembah Klang

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menawarkan pilihan untuk sesi pandu uji tanpa diiringi oleh konsultan jualannya kepada para pelanggan di sekitar Lembah Klang. Menurut MMM, tawaran terbabit hanya diberikan untuk pelanggan di Lembah Klang memandangkan pihaknya menerima permintaan yang menggalakkan dari pelanggan di kawasan terbabit untuk trak pikap Triton Athlete dan crossover tujuh-tempat duduk XPander.

    Walau bagaimanpun, MMM berkata, disebabkan kes Covid-19 masih aktif, MMM membuat keputusan untuk menawarkan pilihan kepada para pelanggan untuk merasai keseronokan memandu uji mana-mana model Mitsubishi sama ada diiringi konsultan jualan atau pun tidak.

    Untuk pelanggan yang berminat memandu uji mana-mana model Mitsubishi bolehlah melayari laman web rasmi MMM (https://www.mitsubishi-motors.com.my/testdrive2u/) dan menghantar permohonan untuk sesi pandu uji tersebut. Kemudian kakitangan MMM akan menghubungi pelanggan terbabit untuk pengesahan dan temujanji untuk menghantar kenderaan pandu uji ke lokasi yang pelanggan pilih.

    Mitsubishi Motors tawar pilihan pandu uji tanpa diiringi konsultan jualan untuk pelanggan di Lembah Klang

    Sebelum menyerahkan kenderaan pandu uji kepada pelanggan, kakitangan MMM akan sanitasi semua titik sentuhan kenderaan terbabit dan memberikan informasi produk. Kemudian pelanggan terbabit boleh terus memandu uji kenderaan tersebut selama sejam sebelum mengembalikannya ke lokasi yang sama.

    “Ketika negara menuju ke era endemik, hidup dengan COVID-19 dan SOP adalah cabaran norma baharu yang perlu kita biasakan. Sebagai sebuah syarikat, kami menyesuaikan perniagaan kami terutamanya untuk memastikan pelanggan kami selamat. Oleh itu, kami menawarkan pilihan pandu uji tanpa diiringi untuk pengalaman membeli-belah yang tenang,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

    Ikeda menambah, “Membeli kereta baharu pada masa kini adalah agak berbeza dengan cara ketika sebelum pandemik. Di Mitsubishi Motors, kami melihat peluang ini untuk meningkatkan pengalaman dan kemudahan para pelanggan. Menerusi Bilik Pameran Dalam Talian Mitsubishi, pelanggan boleh menimba pengalaman mengenai kenderaan Mitsubishi. Caranya mudah, dengan mengisi borang jadual temujanji dengan pengedar bertauliah kami. Malahan kami akan menguruskan semua proses termasuk penghantaran kenderaan Mitsubishi hingga ke depan pintu pelanggan.”

     
     
  • Kia Concept EV9 diperkenal di Los Angeles – SUV elektrik dengan jarak gerak 480 km, pengecas 350 kW

    Kia Concept EV9 diperkenal di Los Angeles – SUV elektrik dengan jarak gerak 480 km, pengecas 350 kW

    Kia telah mendedahkan model SUV elektrik konsep terbaru mereka, yang digelar sebagai Concept EV9 di Los Angeles Auto Show. Ia memberikan petunjuk kepada model elektrik produksi seterusnya yang bakal diperkenalkan kepada pasaran, selepas EV6.

    Dibina atas platform Electric Global Modular Platform (E-GMP), model ini menggunakan teknologi pengecasan pantas sama seperti EV6, yang mana apabila disambungkan kepada pengecas pantas 350 kW, boleh menaikkan tahap bateri dari 10% ke 80% dalam masa 20 hingga 30 minit. Menurut Kia, jarak gerak dengan bateri penuh boleh mencapai sehingga 480 km.

    Melihat kepada dimensi, Concept EV9 ini mencatat panjang 4,930 mm dengan jarak roda 3,100 mm, lebar 2,055 mm dan tinggi 1,790 mm. Sebagai perbandingan, EV6 pula mencatat panjang 4,680 mm dengan jarak roda 2,900 mm, lebar 1,890 mm dan tinggi 1,550 mm. Rim bersaiz 22 inci.

    Kia Concept EV9 diperkenal di Los Angeles – SUV elektrik dengan jarak gerak 480 km, pengecas 350 kW

    Rekaan “Tiger Face” yang sinonim dengan jenama itu masih lagi digunakan, tetapi telah berevolusi menjadi lebih moden dan dipanggil sebagai “Digital Tiger Face.” Dengan bahagian gril yang tertutup sepenuhnya, bukaan udara di bawah dapat direka semula dan mempunyai panel solar untuk membantu memberikan sedikit kuasa tambahan apabila bateri memerlukannya.

    Bahagian bumbung nampak licin, tetapi sebenarnya mempunyai rel bumbung yang boleh tenggelam dan dikeluarkan apabila perlu dengan hanya menekan satu butang. Banyak garis-garis tajam pada badan kenderaan ini, dan cermin sisinya adalah kecil sahaja kerana menggunakan sistem kamera.

    Kia mahu mewujudkan suasana lapang di dalam kenderaan ini, dan disebabkan itu anda boleh lihat bumbungnya mempunyai cermin panoramik besar, sementara bahagian tepi pula tidak mempunyai tiang tengah dan pintu dibuka secara suicide.

    Masih ada papan pemuka di dalam model konsep ini, tetapi ia lebih ringkas seperti meja dan di depan pemandu terdapat stereng serta skrin 27 inci yang boleh memparkan pelbagai informasi termasuk input media. Beberapa bahagian seperti alas kaki dan balutan tempat duduk menggunakan bahan kitar semula.

    Bagi susunan tempat duduk, terdapat tiga mod yang disediakan, bermula dengan Active, di mana ia terletak seperti kereta biasa dengan memandang ke hadapan. Apabila masuk dalam mod Pause pula, tempat duduk baris kedua akan dilipat rata, sementara tempat duduk hadapan akan menghadap ke belakang seperti ruang rehat. Dalam mod Enjoy pula, semua tiga baris tempat duduk akan dipusingkan untuk mewujudkan suasana seperti di panggung.

     
     
  • Hyundai Seven Concept didedah di LA – petunjuk kepada SUV Ioniq 7 yang bakal tiba pada tahun 2024

    Hyundai Seven Concept didedah di LA – petunjuk kepada SUV Ioniq 7 yang bakal tiba pada tahun 2024

    Hyundai telah mendedahkan model konsep Seven di LA Auto Show, dan ia merupakan petunjuk awal kepada model SUV baru Ioniq 7. Jenama sub Ioniq yang kini digunakan untuk kenderaan elektrik di bawah Hyundai dilancarkan pada Ogos tahun lalu dan dua model lain iaitu Ioniq 5 dan Ioniq 6 sudah diperkenalkan sebelum ini, sementara Ioniq 7 pula akan diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2024.

    Ioniq 7 dipanggil sebagai sebuah Sport Utility Electric Vehicle (SUEV), dan menggunakan asas Hyundai Motor Group’s Electric-Global Modular Platform (E-GMP). Perincian penggeraknya masih lagi kabur, tetapi kami diberitahu, model konsep ini dibangunkan untuk mencapai sasaran jarak gerak lebih 483 km. Hyundai juga menambah bahawa dengan pengecas 350 kW, tahap bateri Seven boleh naik dari 10% ke 80% dalam masa 20 minit.

    Daripada aspek rekaan, model konsep ini mempunyai bentuk biasa sebuah SUV, dengan garis badan yang licin, sementara lampu LED gabungan petak-petak kecil yang dipanggil sebagai Parametric Pixel menjadikan rupanya lebih moden dan unik. Di bahagian tengah bampar juga terdapat kelopak udara yang boleh terbuka dan tertutup bergantung kepada angin yang diperlukan untuk menyejukkan komponen tertentu.

    Hyundai Seven Concept didedah di LA – petunjuk kepada SUV Ioniq 7 yang bakal tiba pada tahun 2024

    Bahagian belakang juga menggunakan rekaan lampu yang sama, dan diletakkan di sekeliling cermin yang besar. Bukaan udara berhampiran roda belakang bukan sekadar hiasan, dan ia digunakan untuk mengeluarkan angin dan mewujudkan kitaran lebih bersih untuk dalam kabin.

    Pada model konsep yang mempunyai jarak roda 3.2 meter ini, ia menyediakan tiga baris tempat duduk, dan menurut Hyundai, penggunaan platform E-GMP juga memberikan lantai yang rata, dan memberi peluang kepada mereka untuk menyusun suasana di dalam seperti satu ruang rehat.

    Memandangkan ini adalah sebuah model konsep, bahagian dalamnya menampilkan rekaan yang luar dari kebiasaan, berserta pintu yang terbuka secara suicide dan tiada tiang tengah. Hyundai memberitahu, Seven diterapkan dengan visi kenderaan autonomous, jadi ia tidak memerlukan kelengkapan pemanduan seperti kereta biasa.

    Hyundai Seven Concept didedah di LA – petunjuk kepada SUV Ioniq 7 yang bakal tiba pada tahun 2024

    Susunan tempat duduk juga luar dari kebiasaan, di mana anda boleh melihat di bahagian belakang sekali ia dipasang dengan kusyen berbentuk L seperti sofa di rumah dan dua tempat duduk di hadapannya boleh berpusing. Di hadapan tempat pemandu masih terdapat pengawal kenderaan, dan ia boleh masuk ke dalam papan pemuka apabila tidak diperlukan.

    Turut disediakan di dalam SUV ini adalah konsol Universal Islang, yang direka untuk perkakas seperti peti sejuk mini atau rak kasut. Bahagian bumbungnya mempunyai skrin panoramik OLED, yang boleh memaparkan pelbagai bahan mengubah suasana di dalam kabin.

    Kenderaan ini juga mengambil penting aspek lestari, di mana bahan boleh kitar semula digunakan termasuk pada cat, dan bahagian dalam seperti lantai dan karpet. Tambah Hyundai, mereka juga menggunakan fabrik khas dengan kemampuan antibakteria, dan ia ditambah lagi dengan sistem UVC Sterilisation yang menggunakan lampu UVC untuk menghapuskan bakteria dan virus.

     
     
  • Stesen multi-bahan api Petros hampir siap di Sarawak

    Stesen multi-bahan api Petros hampir siap di Sarawak

    Malaysia akan ada mempunyai stesen minyak bersepadu yang pertama dengan pengenalan stesen oleh Petroleum Sarawak (Petros) di negeri itu. Diumumkan tahun lalu, kerja-kerja untuk membina kemudahan pelbagai bahan api dalam satu stesen — yang akan memenuhi keperluan kenderaan bahan api fosil, elektrik atau hidrogen — nampaknya sudah semakin hampir untuk selesai. Ini seperti yang dapat dilihat dalam gambar yang dikongsi di Facebook oleh Jonathan Ding.

    Stesen berkenaan, yang terletak di Darul Hana, Kuching, merupakan yang pertama daripada enam stesen yang dirancang untuk negeri itu. Ia akan di bina oleh SEDC Energy, sebuah anak syarikat Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) dan akan dikendalikan oleh Petros milik kerajaan negeri.

    Seperti dilaporkan sebelum ini, stesen kedua juga akan terletak di Kuching, di Bandar Baru Batu Kawah, sementara empat lagi stesen akan dibuka di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.

    Stesen multi-bahan api itu akan menawarkan petrol dan diesel biasa serta hidrogen berasaskan air, dan tidak lupa juga pengecas elektrik untuk EV — kelihatan seperti mereka akan menggunakan versi daripada ChargeEV. Stesen berkenaan direka untuk membolehkannya diubah menjadi tempat isian semula hidrogen dan EV di masa hadapan, ketika penggunaan kenderaan bateri dan fuel cell bertambah.

    Menurut SEDC, stesen Petros ini dijangka akan meminimumkan tenaga buruh dan akan dipacu oleh teknologi, dengan sistem Internet of Things (IoT), sensor automatik, big data analytics dan bayaran tanpa tunai yang bersepadu dengan platform sedia ada seperti Sarawak Pay yang dijangka akan digunakan secara meluas.

     
     
  • Porsche 718 Cayman GT4 RS didedahkan – 4.0L NA dari 911 GT3, 500 PS/450 Nm, 0-100km/h dalam 3.4s

    Porsche 718 Cayman GT4 RS didedahkan – 4.0L NA dari 911 GT3, 500 PS/450 Nm, 0-100km/h dalam 3.4s

    Porsche 718 Cayman dan Boxster sering dianggap sebagai model untuk mereka yang tidak mampu untuk memiliki 911. Namun menerusi versi terbaharu ini, pandangan skeptikal tersebut mungkin boleh diubah – ini dia, Porsche 718 Cayman GT4 RS!

    Model ini akan membuat penampilan sulungnya di Los Angeles Auto Show yang akan berlangsung pada hujung minggu ini. Ia juga merupakan model pertama Porsche yang menerima lencana RS selain dari 911. Kemampuan model 718 Cayman paling hardcore ini juga telah dibuktikan di Litar Nürburgring Nordschleife (laluan lebih pendek, 20.6 km) dengan mencatatkan masa 7 minit 4.511 saat, atau 23.6 saat lebih pantas berbanding 718 Cayman GT4.

    Bagi menjadikan model ini sebuah RS sebenar, Porsche telah menyumbatkan enjin 4.0 liter NA enam-silinder boxer yang sama dengan 911 GT3 terkini. Oleh itu, Cayman GT4 RS ini bernafas dengan 500 PS (493 hp) dan tork maksima 450 Nm, serta mampu menjerit sehingga 9,000 rpm tanpa masalah.

    Walau bagaimanapun, kuasa yang dihasilkan tersebut sebenarnya sedikit lebih rendah berbanding 911 GT3. Menurut laporan dari Road & Track, ini adalah kerana perbezaan kedudukan enjin antara 911 dan 718 Cayman – 911 adalah model dengan enjin yang diletakkan di belakang (selepas gandar belakang), manakala Cayman pula adalah model dengan pakej enjin tengah (berada betul-betul di belakang pemandu, sebelum gandar belakang) menyebabkan sistem ekzosnya perlu direka lebih panjang sekaligus menyebabkan kuasa tersebut berkurangan kerana back pressure.

    Porsche 718 Cayman GT4 RS didedahkan – 4.0L NA dari 911 GT3, 500 PS/450 Nm, 0-100km/h dalam 3.4s

    Namun kuasa yang dihasilkan ini sebenarnya sudah cukup besar, dengan jumlah 80 PS (79 hp) dan 20-30 Nm lebih berkuasa dari Cayman GT4 biasa. Tiada kotak gear manual ditawarkan untuk Cayman GT4 RS ini di mana ia hanya hadir dengan transmisi klac berkembar automatik PDK tujuh-kelajuan yang menampilkan nisbah lebih rapat bagi memberikan pecutan lebih baik.

    Ini membolehkan Cayman GT4 RS ini memecut dari kedudukan pegun sehingga 100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat, dan mencapai kelajuan maksima 315 km/j. Sebagai perbandingan, Porsche 718 Cayman GT4 biasa bersama kotak gear PDK hanya mampu mencatatkan kelajuan maksima 302 km/j, manakala pecutan 0-100 km/j pula mengambil masa 3.9 saat.

    Selain dari unit penjana yang kini lebih berkuasa, GT4 RS ini juga diberikan pelbagai talaan semula pada casis dan suspensi. Ia termasuk badan yang kini 30 mm lebih rendah, cagak suspensi menggunakan galas bebola, spring dan bar anti oleng lebih keras, serta dilengkapi penyerap hentak adaptif dari Bilstein.

    Porsche turut menghasilkan suspensi GT4 RS ini dengan sudut camber dan toe yang boleh dilaras lebih banyak, bagi membolehkan pemiliknya membuat talaan sendiri yang lebih sesuai dengan gaya pemanduan masing-masing.

    Untuk roda, model ini menerima rim aluminium forged 20-inci dengan sistem nat tunggal di tengah seperti kereta lumba sebenar. Secara standard ia datang dengan cakera brek logam tuang, namun pelanggan boleh memilih opsyen cakera karbon-seramik menerusi pilihan Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB).

    Porsche 718 Cayman GT4 RS ini turut menerima kit aerodinamik lebih agresif berbanding GT4, mahupun model-model lebih rendah lain. Menurut Porsche, secara keseluruhan splitter hadapan yang lebih besar bersama diffuser hadapan boleh laras dan juga spoiler belakang GT3 ‘leher angsa’ pada model RS ini mampu untuk menghasilkan sekitar 25% lebih downforce.

    Enjin Cayman ini berada di tengah, kenapa ada liang pada bonet depan? Ia bukan sekadar kosmetik ya, kerana liang tersebut terus berhubung dengan liang NACA untuk menyejukkan brek. Liang yang terletak di atas kedua-dua fender hadapan pula adalah untuk mengurangkan tekanan udara yang berada dalam ruang roda berkenaan.

    Manakala liang yang diletakkan bagi menggantikan cermin tingkap quarter sisi Cayman GT4 RS ini pula mempunyai dua fungsi menurut Porsche iaitu “mengalirkan udara lebih baik ke ruang pengambilan udara enjin, dalam masa yang sama menghasilkan bunyi pengambilan udara lebih mengujakan betul-betul di tepi telinga pemandu/penumpang dalam kabin.”

    Porsche 718 Cayman GT4 RS didedahkan – 4.0L NA dari 911 GT3, 500 PS/450 Nm, 0-100km/h dalam 3.4s

    Satu lagi liang udara sisi lebih besar yang terletak di belakang pintu pula menjalankan tugas klasik iaitu membantu untuk menyejukkan enjin.

    Versi RS ini juga menerima ‘program diet’ yang lebih ekstensif bagi mengurangkan beratnya. Antara perkara yang dibuat termasuk menggunakan material plastik yang diperkuat gentian karbon (CFRP) digunakan untuk menghasilkan bonet dan fender hadapan, manakala cermin belakang pula diperbuat dari kaca ringan.

    Dalam kabin, model RS ini menggunakan ‘resipi diet’ yang sama seperti Cayman GT4 menerusi pemadanan karpet lebih ringan, kurang menggunakan bahan-bahan penebat, panel pintu lebih ringan dengan pembuka pintu yang diperbuat dari fabrik (seperti tali pinggang) serta hanya menggunakan jaring sebagai ruang storan.

    Secara keseluruhan, berat Porsche Cayman GT4 RS berjaya dikurangkan sebanyak 34 kg berbanding model GT4 biasa dengan kotak gear PDK, iaitu pada 1,415 kg.

    Kalau rasa GT4 RS ini tidak cukup hardcore, pembeli turut ditawarkan dengan pakej Weissach. Pakej opsyen ini akan memberikan kemasan karbon pada penutup ruang kargo hadapan, liang pengambilan udara proses, liang udara penyejuk, penutup kotak udara, kemasan atas cermin sisi dan juga pada sayap belakang.

    Pakej ini juga hadir sekali dengan tip ekzos titanium denga rupa seakan tip dari Porsche 935, roll cage titanium, rim forged magnesium, balutan Race-Tex pada bahagian atas papan pemuka, dan juga skrip ‘Porsche’ bersaiz besar yang bersepadu pada cermin belakang.

    Kalau masih lagi banyak duit, pembeli boleh menambah jam tangan eksklusif Porsche Design Chronograph 718 Cayman GT4 RS. Jam ini hanya boleh dibeli oleh pemilik GT4 RS ketika menempah kereta mereka, dan ia akan menampilkan nombor siri yang sama seperti pada nombor casis (VIN) kereta berkenaan.

    Pelanggan yang menempah GT4 RS ini akan menerima kereta mereka pada Disember ini. Di Jerman, model ini dijual pada harga 141,338 euro (RM667,762) termasuk cukai, menjadikan ia sebuah Cayman produksi jalan raya paling mahal pernah dijual. Sebagai perbandingan, model paling asas Cayman dijual pada harga 58,038 euros (RM274,144), manakala model GT4 biasa pula dijual pada harga bermula 101,235 euro (RM478,140).

     
     
  • Haval H6 Plug-in Hybrid ditayang untuk global di Thai Dis ini – sama enjin seperti Hybrid, bateri lebih besar

    Haval H6 Plug-in Hybrid ditayang untuk global di Thai Dis ini –  sama enjin seperti Hybrid, bateri lebih besar

    Haval H6 Hybrid dilaporkan sebagai SUV segmen-C paling laris di Thailand, dan awal tahun ini Great Walls Motors (GWM) mengesahkan bakal memperkenalkan varian plug-in hybrid baharu. Menurut Headlight Magazine, model tersebut akan dipertontonkan di peringkat global di Thai Motor Expo pada 1 Disember ini.

    Walau bagaimana pun tiada perincian yang didedah, namun penerbitan terbabit melaporkan PHEV baharu itu akan dipadankan dengan penjana kuasa seperti Hybrid. Ia adalah enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder yang menghasilkan kuasa sehingga 150 hp dari 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork 230 Nm antara 1,500 dan 4,000 rpm.

    Ia turut dipadankan dengan motor elektrik 177 hp/300 Nm dan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan, yang mampu menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 243 hp dan tork 530 Nm. Bateri ini dijangka lebih besar sedikit berbanding unit lithium-ion 1.6. kWh yang digunakan pada Hybrid, membolehkan PHEV berkenaan dipacu dalam mod elektrik-penuh dengan tempoh yang lebih panjang.

    Selain bateri yang lebih besar, H6 Plug-in Hybrid ini juga dijangka berkongsi banyak ciri yang lebihkurang sama dengan abangnya, termasuk rekaan luaran yang menawan, dalaman minimalis, dan pelbagai teknologi menarik (termasuk paparan instrumen 10.25-inci dan skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci) dan ciri keselamatan aktif termasuk keupayaan pemanduan semi-autonomous Tahap 2.

    GALERI: Haval H6 Hybrid

     
     
  • Harga minyak 18-24 Nov – Semuanya tidak berubah

    Harga minyak 18-24 Nov – Semuanya tidak berubah

    Bagi minggu bertarikh 18 hingga 24 November 2021, Kementerian Kewangan (MOF) telah memaklumkan, harga runcit bagi semua bahan api iaitu petrol dan diesel tiada perubahan. Bagi petrol RON 97, harganya dikekalkan pada RM3.08 seliter.

    Manakala harga runcit bagi petrol RON 95 juga dikekalkan iaitu RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 24 November 2021.

     
     
  • Chery jenama China pertama berjaya eksport lebih 200,000 kenderaan setahun — 212,959 unit Jan-Okt

    Chery jenama China pertama berjaya eksport lebih 200,000 kenderaan setahun — 212,959 unit Jan-Okt

    Chery telah mengeluarkan data jualan terbaru jenama itu bagi bulan Oktober 2021, dengan mencatatkan 88,342 kenderaan di China, mewakili 16.7% peningkatan berbanding September. Ini menjadikan jualan terkumpul syarikat itu bagi 10 bulan pertama 2021 kini berada pada angka 739,730 unit, 44.3% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Apa yang lebih menarik adalah prestasi eksport Chery, yang berjaya mencapai sasaran tahunannya dengan sejumlah 200,000 kenderaan yang telah ditetapkan, lebih awal dengan masih berbaki dua bulan. Angka sebenar eksportnya bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini adalah 212,959 unit, mewakili peningkatan 145.7% bagi tempoh sama tahun lalu.

    Ini menjadikan Chery sebagai jenama China pertama untuk mengeksport lebih daripada 200,000 kenderaan ke pasaran luar setahun, mengukuhkan lagi posisinya sebagai pengeluar kenderaan yang mengeksport sejak 2003. Bulan lalu sahaja, Chery mengeksport 25,049 kenderaan — peningkatan tempoh sama tahun lalu 92.7% — menjadikannya kali keenam tahun ini syarikat itu berhasil mengeksport bulanan melebihi 20,000 kenderaan.

    Di Rusia, data daripada Association of European Businesses (AEB) menunjukkan jualan model Chery telah meningkat sebanyak 266% tempoh sama tahunan dari Januari hingga Oktober, mendahului jenama kenderaan lain di negara tersebut. Tiggo 7 Pro menjadi model paling popularnya di Russia bagi Oktober.

    Chery jenama China pertama berjaya eksport lebih 200,000 kenderaan setahun — 212,959 unit Jan-Okt

    Di Chile, Association National Automotive Riz de Chile A.G. meletakkan Chery di tempat keempat daripada semua jenama lain pada Oktober, melangkaui jenama seperti Toyota, Kia dan Volkswagen. Jualan Chery pada Oktober meningkat 101.4% bagi tempoh sama tahunan, melibatkan perkongsian pasaran sebanyak 6.3%. Dalam segmen SUV pula, model Chery mempunyai perkongsian pasaran sebanyak 15.3% bulan lalu, meletakkan jenama itu di tempat pertama dalam kategori itu bagi 10 bulan berturut-turut, dengan Tiggo 2 sebagai model paling laris.

    Di Brazil, National Federation of Automotive Vehicles Distribution meletakkan Chery di kedudukan kesembilan bagi jualan kenderaan penumpang, dengan peningkatan 127% tempoh sama tahunan dan membolehkannya mendahului Nissan. Jualan dipacu oleh Tiggo 8, Tiggo 3X dan model lain, Chery mencatat pencapaian terbaik dengan perkongsian pasaran 3.97% di sana.

    Chery mengeksport kenderaannya ke lebih daripada 80 negara ketika ini, dan telah mendirikan 10 kilang seberang laut dengan 1,500 pengedar dan cawangan servis di luar China. Jenama itu juga dikhabarkan bakal kembali ke pasaran Indonesia tahun ini, dan kelibat Tiggo 5x yang dilihat di Malaysia Mac lalu juga mencadangkan hal sama untuk pasaran tempatan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025