Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Vito Tourer facelift dilancar di Malaysia – enjin 2.0L turbo petrol, 10 tempat duduk, RM342k

    Mercedes-Benz Vito Tourer facelift dilancar di Malaysia – enjin 2.0L turbo petrol, 10 tempat duduk, RM342k

    Mercedes-Benz Vito Tourer kini sudah pun tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam satu varian sahaja, iaitu Select 121, dengan harga jualan RM342,036.40 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Boleh dianggap sebagai V-Class versi komersial, Vito Tourer ini dijual oleh Hap Seng Star (HSS), yang sudah mengambil alih perniagaan kenderaan komersial Mercdes-Benz Malaysia (MBM) sejak tahun 2018. Berikutan itu, semua penjualan serta khidmat selepas jualan bagi Vito Tourer ini dikendalikan oleh pusat pameran dan servis HSS.

    Vito Tourer tiba di Malaysia dalam versi facelift terkini, di mana bahagian luarnya menggunakan gril baru. Selain daripada itu, penampilannya masih sama seperti model sebelumnya, dan mempunyai ukuran 5,370 mm panjang, 2,244 mm lebar dan 1,958 mm tinggi – lebih panjang berbanding V-Class.

    Meskipun model ini memberikan fokus kepada penumpang, ia masih mempunyai beberapa tanda sebagai sebuah kenderaan komersial, seperti bampar yang tidak mempunyai lampu kabus (tetapi perumahnya masih ada), serta cermin sisi dan pemegang pintu berwarna hitam.

    Mercedes-Benz Vito Tourer facelift dilancar di Malaysia – enjin 2.0L turbo petrol, 10 tempat duduk, RM342k

    Dengan catatan jarak roda 3,430 mm, Vito Tourer menyediakan tempat duduk untuk sehingga 10 orang, yang disusun melalui tetapan 2-3-2-3. Hasil daripada penggunaan sistem tel dan cagak mudah cabut, tempat duduk baris keempat boleh dicabut untuk memberikan susunan tujuh tempat duduk dan boleh disusun mengikut kesesuaian pengguna.

    Jika dibandingkan dengan V-Class, Vito Tourer ini menggunakan rekaan papan pemuka tersendiri dan bahagian dalamnya dilengkapi tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dan fungsi memori, balutan kulit, panel kawalan di atas, pengawal suhu Thermotronic, pengawal suhu Tempmatic separa automatik di belakang, serta skrin sesentuh tujuh inci Audio 30 dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Selain daripada itu, ia juga mendapat rim 17 inci, pintu gelungsur belakang bukaan kuasa (kiri dan kanan), LED Intelligent Light System dengan High Beam Assist Plus, pengelap cermin automatik, kamera undur dan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Sistem keselamatan dan bantuan pemandu juga agak lengkap, dengan ciri seperti Active Brake Assist (AEB), Active Distance Assist Distronic (Active Cruise Control), Attention Assist, Blind Spot Assist, Crosswind Assist, Hill-Start Assist, Lane Keeping Assist, Lane Tracking Package dan Parktronic yang diberikan secara standard.

    Di bawah bonetnya terdapat enjin petrol empat silinder 2.0L turbo M274 yang dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan untuk menghasilkan kuasa 211 PS (208 hp) pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork dari 1,300 hingga 4,000 rpm – dihantar ke roda belakang (RWD).

    Empat warna disediakan sebagai pilihan, termasuk Obsidian Black Metallic, Rock Crystal White Metallic, Graphite Grey Metallic dan Cavansite Blue Metallic. Kenderaan ini datang dengan jaminan pengeluar selama dua tahun dan jaminan insurans tambahan Allianz selama dua tahun. Tempoh selang servis Vito Tourer adalah 10,000 km/satu tahun, dan berbeza berbanding 12,000 km/satu tahun untuk kenderaan penumpang biasa Mercedes-Benz.

     
     
  • Mitsubishi buka pusat 3S baharu di Kota Damansara

    Mitsubishi buka pusat 3S baharu di Kota Damansara

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan pembukaan pusat 3S baharu di Kota Damansara yang dikendalikan oleh pengedar bertauliah Millennium Autohaus. Dengan penambahan ini, MMM kini mempunyai 15 pusat pengedaran di sekitar Lembah Klang.

    Terletak di 2A-E, Jalan Teknologi 3/1, Pusat Teknologi Sunsuria, pusat pengedaran baharu di Kota Damansara ini mudah untuk diakses kerana berhampiran dengan Lebuhraya. NKVE. Dengan kawasan fasiliti seluas 12,370 kaki persegi, ia juga menampilkan identiti jenama terkini Mitsubishi Motors Corporation (MMC) dan menempatkan ruang lounge pelanggan dan juga lima petak penyelenggaraan. Manakala bilik pamerannya mampu mempamerkan tiga unit kenderaan dalam satu sama.

    “Memandangkan operasi perniagaan telah kembali pulih di seluruh negara, Mitsubishi Motors memberikan penekanan untuk meningkatkan pembangunan rangkaian kami termasuk menubuhkan lebih banyak wakil pengedar dan menaik taraf kemudahan kami, serta memajukan lagi platform digital kami untuk memberikan pengalaman membeli-belah terbaik buat pelanggan,” kata Shinya Ikeda, CEO baharu MMM.

    MMM juga telah mencapai jualan bulanan tertinggi setakat ini dengan menjual sebanyak 2,041 unit pada Oktober lalu. Momentum ini dijangka berterusan hasil daripada lanjutan pengecualian cukai jualan sehingga Jun 2022.

    “Langkah ini turut membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk membeli kereta dengan lebih penjimatan dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan lagi ekonomi negara menerusi sektor automotif. Kami juga mahu merakamkan ucapan terima kasih buat para pelanggan atas sokongan yang diberikan terhadap jenama Mitsubishi. Kami juga mahu terus memberikan perkhidmatan tang terbaik kepada para pelanggan,” tambah Ikeda.

     
     
  • Honda ZR-V – SUV saiz-Ativa muncul di GIIAS 11/11 ini

    Honda ZR-V – SUV saiz-Ativa muncul di GIIAS 11/11 ini

    Sempena dengan penganjuran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS), Honda bakal memperkenalkan SUV lima-tempat duduk bersaiz kecil pada 11 November ini. SUV ini adalah berasaskan BR-V baharu, dan ia dinamakan sebagai ZR-V, akan memberikan persaingan sengit buat Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, atau pun Perodua Ativa jika di pasaran kita.

    Imej teaser yang telah disebarkan menunjukkan badan crossover kompak ini agak bergaya dengan garisan tingkap sedikit bengkok seperti Proton X50 dan juga tiang-D gelap serta gaya ‘bumbung terapung’, bersama lampu belakang lebar sepenuhnya. Honda turut menunjukkan teaser untuk ZR-V ketika melancarkan Civic baharu di Indonesia, mendedahkan lampu utama yang tajam, paten gril chequered, grafik bertitik pada lampu belakang dan lencana RS.

    Mungkin sesetengah perinciasn untuk model yang bakal dipamerkan di GIIAS mungkin sekadar konsep berbanding ciri sebenar untuk versi produksi. Sehingga kini, Honda masih belum mendedahkan sebarang perincian mengenai model ini tetapi kami jangkakan ZR-V ini bakal berkongsi elemen dengan BR-V iaitu enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC dengan 121. PS/145 NM dan CVT (mungkin juga seperti model City pasaran Thailand dengan unit 1.0. liter pengecas turbo tiga-silinder 122 PS/173 Nm, seperti juga penjana kuasa e:VEV hybrid).

    Turut dijangkakan model ini mungkin akan didatangkan dengan ciri keselamatan aktif Honda Sensing, termasuk brek kecemasan sendiri dan kawalan kelajuan adaptif. Di India, ZR-V dikatakan bakal menggantikan WR-V yang berasaskan Jazz. Adakah Honda Malaysia patut membawa masuk ZR-V baharu ini ke pasaran tempatan bagi bersaing dengan Ativa? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • Toyota Hilux 2021 di Malaysia – 2.4V dan 2.8 Rogue kini dengan kawalan suhu dua-zon; harga tetap sama

    Toyota Hilux 2021 di Malaysia – 2.4V dan 2.8 Rogue kini dengan kawalan suhu dua-zon; harga tetap sama

    Sama seperti Toyota Innova, Hilux untuk pasaran Malaysia turut menerima sedikit naik taraf, dengan kedua-dua varian 2.4V AT 4×4 dan 2.8 Rogue AT 4×4 kini didatangkan dengan kawalan suhu dwi-zon secara standard berbanding sistem satu-zon pada penawaran sebelum ini.

    Selain daripada peningkatan tersebut, spesifikasi yang lain masih dikekalkan untuk semua varian. Hilux 2021 kini dibarisi varian Single Cab 2.4 MT 4×4 (RM92,880), sementara yang lain adalah versi double cabs termasuklah 2.4E AT 4×4 (RM108,880), 2.4G MT 4×4 (RM111,880), 2.4V AT 4×4 (RM133,880) dan model spesifikasi tertinggi 2.8 Rogue AT 4×4 (RM146,880).

    Ia adalah harga atas jalan tanpa insurans dan tidak berubah sejak Hilux facelift ini diperkenalkan pada Oktober lalu. Walau bagaimana pun harga ini termasuk cukai jalan (SST), memandangkan trak pikap tidak termasuk di dalam pengecualian cukai kenderaan yang diumumkan kerajaan yang sedang dilaksanakan sehingga 30 Jun 2022.

    Toyota Hilux 2021 di Malaysia – 2.4V dan 2.8 Rogue kini dengan kawalan suhu dua-zon; harga tetap sama

    Klik untuk besarkan

    2.8 Rogue merupakan varian tunggal yang diberikan enjin 1G-FTV 2.8 liter empat-silinder turbodiesel dengan hamburan kuasa 204 PS dan tork 500 Nm. Varian lain pula dilengkapi dengan unit 2GD-FTV 2.4 liter dengan. 150 PS dan 400 Nm. Semua varian dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan – automatik dengan Sequential Shift (dengan mode Power/Eco) atau manual bagi yang single cab.

    Sterengnya juga kini telah dilengkapi sistem Variable Flow Control (kecuali pada Single Cab) yang mengurangkan beban pada pam stereng, dan menyumbang kepada penjimatan bahan api. Varian Rogue dan 2.4L V pula menerima Auto LSD untuk cengkaman yang lebih baik. Semua varian diberikan sistem pacuan 4×4.

     
     
  • JPJ keluarkan 14,677 notis menerusi Ops Merah sejak 8 Okt; 2,710 saman melibatkan penunggang e-hailing

    JPJ keluarkan 14,677 notis menerusi Ops Merah sejak 8 Okt; 2,710 saman melibatkan penunggang e-hailing

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 14,677 notis kompaun menerusi Ops Merah yang dilaksanakan bermula 8 Oktober sehingga 6 November 2021. Notis yang dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tidak mematuhi lampu isyarat, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, melawan arus, menggunakan telefon bimbit ketika menunggang dan mengubah suai kenderaan.

    Operasi Khas ini bertujuan memantau tahap pematuhan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987) dan mengadakan program advokasi dengan memberi fokus utama kepada kenderaan motosikal yang menjalankan perkhidmatan penghantaran p-hailing.

    Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, menerusi operasi khas tersebut, sebanyak 88,365 kenderaan diperiksa di seluruh negara dan turut mengesan 2,710 kesalahan dilakukan penunggang p-hailing. Malahan kesalahan paling tinggi membabitkan penunggang p-hailing adalah melanggar isyarat lampu merah dengan 902 kesalahan, diikuti tidak mempunyai lesen memandu (602) dan tiada perlindungan insurans (256).

    JPJ keluarkan 14,677 notis menerusi Ops Merah sejak 8 Okt; 2,710 saman melibatkan penunggang e-hailing

    “Statistik JPJ mendapati 60% kematian dalam kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal dan operasi ini menumpukan kepada motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing. Operasi ini juga sebagai maklum balas terhadap aduan orang ramai berhubung kesalahan dilakukan pemandu dan penunggang motosikal terutama perkhidmatan p-hailing.

    “Hasil semakan statistik yang dikumpul bermula 8 Oktober sehingga 5 November 2021 mendapati, daripada 11,762 kenderaan yang diperiksa sebanyak 2,058 kesalahan telah diambil tindakan yang membabitkan motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing. Manakala, sebanyak 7,808 kesalahan telah diambil tindakan hasil daripada pemeriksaan 76,603 buah kenderaan lain-lain,” katanya.

    Tambah beliau lagi, pelaksanaan penguatkuasaan Ops Merah ini akan diteruskan oleh pihak JPJ secara berkala dalam memantau dan memastikan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang di jalan raya. Tindakan ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada semua pengguna jalan raya khususnya yang melibatkan penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing tentang kepentingan untuk memastikan persekitaran jalan raya di negara ini sentiasa selamat untuk semua.

     
     
  • Harley-Davidson Sportster S 2021 di M’sia – RM92,900

    Harley-Davidson Sportster S 2021 di M’sia – RM92,900

    Harley-Davidson Sportster S 2021, yang baru sahaja diperkenalkan kepada dunia Julai lalu kini sudah tiba di Malaysia. Dijual pada harga RM92,900, model ini menawarkan pelbagai pembaharuan untuk memberikan lebih kepuasan kepada penunggang.

    Paling utama adalah di bahagian enjin, di mana Sportster S 2021 menggunakan unit v-twin Revolution Max 1250T, sama seperti Pan America, yang berkapasiti 1,250 cc dan mampu menghasilkan 121 hp pada 7,500 rpm dan 127 Nm tork pada 9,000 rpm. Kuasa ini dihantar kepada roda belakang menggunakan sistem tali sawat.

    Penunggang mempunyai beberapa pilihan mod tunggangan, dengan tiga sudah ditetapkan dan satu lagi boleh dilaras mengikut kesesuaian sendiri. Apabila ditukar, ia memberikan maklum balas yang berbeza pada kuasa, sensitiviti pendikit, Cornering Enhanced Antilock Braking System (C-ABS) dan Cornering Enhanced Traction Control System (C-TCS).

    Kedua-dua bahagian suspensi Sportster S 2021 menggunakan unit yang boleh dilaras sepenuhnya, dan ia terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock di belakang. Tayar menggunakan saiz 17 inci di hadapan dan 16 inci di belakang, dengan masing-masing dibalut tayar 160/70 dan 180/70.

    Berat keseluruhan model ini adalah 221 kg (dalam keadaan standard berserta minyak), dan kelengkapan lain padanya adalah termasuk tangki bahan api 11.8 liter, semua lampu jenis LED, panel meter TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar, kotak gear enam kelajuan, angkup brek empat piston berkembar di hadapan dan satu piston di belakang, serta cruise control.

     
     
  • Toyota Innova 2021 dipertingkatkan di M’sia – semua varian dapat pad pengecas tanpa wayar; dari RM116k

    Toyota Innova 2021 dipertingkatkan di M’sia – semua varian dapat pad pengecas tanpa wayar; dari RM116k

    Toyota Innova telah diberikan sedikit peningkatan untuk pasaran Malaysia, kini ketiga-tiga varian (2.0E, 2.0G dan 2.0X) diberikan pad pengecasan tanpa wayar secara standard – yang sebelum ini ditawarkan secara pilihan dengan kos. Harganya kini juga telah meningkat berbanding pertama kali dilancarkan pada Februari lalu, dengan model asas 2.0E kini berharga RM115,553.

    Sementara model pertengahan 2.0G pula ditawarkan pada harga RM125,232, dan varian tertinggi 2.0X pula berharga RM133,355. Kesemua harga atas jalan tanpa insurans tetapi dengan pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022 (Innova adalah 100% model CKD).

    Kesemua varian Innova dijanakan oleh enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat silinder NA berkuasa 139 PS dan tork maksima 183 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan dan turut disertakan dengan penukar mod manual. Ia turut diberikan tiga mod pemanduan (Normal, Eco dan Power).

    Untuk kelengkapannya, 2.0E didatangkan dengan roda aloi 16-inci, lampu utama halogen automatik, gril hadapan perak/hitam, cermin sisi dan pemegang pintu sama dengan warna badan, panel meter biasa, unit utama asas, pendingin hawa manual dengan corong di belakanng, roda stereng urethane dengan kawalan media dan tombol gear urethane.

    Toyota Innova 2021 dipertingkatkan di M’sia – semua varian dapat pad pengecas tanpa wayar; dari RM116k

    Ia turut diberikan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholstery fabrik hitam, tempat duduk manual dengan barisan kedua boleh dipisahkan 60:40 dan 50:50 untuk barisan ketiga, kotak glove atas dengan penyejuk, VSC, ABS, EBD, bantuan brek dan tujuh beg udara.

    Ciri tambahan untuk 2.0G pula termasuklah cermin sisi dan pemegang pintu krom, panel meter Optitron dengan paparan pelbagai-info 4.2-inci, unit utama Display Audio. sembilan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, kamera undur, paparan pandangan panoramik, pendingin hawa automatik, Sistem Telematik Kenderaan (VTS), roda stereng dan tombol gear balutan kulit, tailgate yang mudah ditutup, sistem pencahayaan ambien, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang.

    Untuk varian tertinggi 2.0X pula, ia diberikan ciri tambahah termasuk aloi 17-inci, lampu utama projektor LED automatik, tempat duduk kulit kombinasi, tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa lapan-hala, barisan kedua dengan tempat duduk kapten. Varian. ini juga menerima kit penggayaan luaran termasuk spoiler bampar hadapan dan belakang, overfender, bodyside moulding baharu dan rekaan semula skirt sisi.

    Klik untuk besarkan

    Selain itu, varian 2.0G dan 2.0X turut diberikan ciri tambahan yang lebih spesifik dengan tambahan kos. Ini termasuk perakam video digital hadapan dan belakang (dashcam) untuk pakej Tech-Up dengan kos RM1,100, dengan lain-lain aksesori keselamatan yang lebih premium dan filem solar dengan harga RM2,120.

    Untuk 2.0E, anda boleh menambah ciri seperti DVR hadapan dan belakang (RM1,100), pemantauan titik buta (RM2,000), VTS (RM2,000) serta sistem DVD-AVX dengan kamera undur untuk RM3,990, atau pemantauan pandangan panoramik berharga RM6,590.

    Toyota Innova facelift 2021 ditawarkan dalam enam warna badan iaitu Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown, Silver Metallic, Super White II dan Bronze Mica Metallic. Model tertinggi 2.0X turut ditawarkan dengan warna istimewa Crimson Spark Red Metallic. Setiap pembelian MPV ini disertakan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    GALERI: Toyota Innova 2.0X 2021 (pra-peningkatan)

     
     
  • Mitsubishi Xpander facelift 2022 – rupa sebenar didedah dalam laporan kewangan suku ke-2 TK2021

    Mitsubishi Xpander facelift 2022 – rupa sebenar didedah dalam laporan kewangan suku ke-2 TK2021

    Baru-baru ini Mitsubishi Indonesia ada menyiarkan imej teaser untuk Xpander facelift 2022 yang bakal didedahkan sepenuhnya pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 10 November nanti.

    Teaser berkenaan walaubagaimana pun hanya mendedahkan rupa lampu-lampu LED yang telah direka semula pada MPV berkenaan, tanpa memperlihatkan muka dan rupa penuh model kemaskini tersebut. Namun dalam satu laporan kewangan suku kedua untuk tahun fiskal 2021 yang disiarkan laman sesawang rasmi Mitsubishi Motors Corporation semalam, gambar penuh bagi model facelift berkenaan sudah pun terdedah.

    Tak tahulah sama ada imej itu sengaja atau tidak sengaja diletakkan pada laporan tersebut, ia turut disertakan dengan kapsyen “akan datang” di bawahnya. Walau bagaimanapun, hanya satu gambar disertakan pada halaman ke-19 laporan berkenaan, di bawah tajuk model baharu MMC yang akan dilancarkan selepas ini.

    Mitsubishi Xpander facelift 2022 – rupa sebenar didedah dalam laporan kewangan suku ke-2 TK2021

    Seperti yang sudah diketahui sebelum ini, perubahan terbesar dibuat pada bahagian muka Xpander facelift ini adalah pada lampunya. Lampu nyalaan siang LED yang diletakkan di atas masih kekal dengan bentuk tirus, tetapi dilihat diberikan grafik baharu serta bersaiz lebih panjang.

    Manakala lampu utama yang diletakkan pada bampar pula menerima perubahan drastik dengan kluster berbentuk-T, berbanding hanya berbentuk segi empat tidak sama sisi pada model sedia ada. Lampu isyarat membelok juga nampaknya telah dialihkan dari lampu utama kepada hujung lampu nyalaan siang di atas.

    Imej ini juga mendedahkan bahawa Xpander facelift tersebut menerima gril baharu yang direka lebih ringkas, menampilkan dua bar tebal disusun melintang bersama logo tiga berlian di tengahnya. Gril bampar juga kini direka lebih besar dengan liang kemasukan udara lebih luas, serta ruang plat pendaftaran kini telah dipindahkan lebih rendah.

    Gambar intipan Mitsubishi Xpander facelift 2022 di Indonesia yang dirakam bulan lalu

    Kemasan krom yang menghasilkan huruf-X pada muka Xpander facelift ini juga lebih tebal dari sebelum ini, bersama kemasan bawah yang juga perumah kepada lampu kabus di bawah bampar kini telah direka semula.

    Gambar ini tidak mendedahkan bahagian belakang Xpander facelift berkenaan. Tetapi dalam satu gambar intipan Xpander facelift yang sedang menjalani penggambaran iklan di Indonesia sebelum ini mendedahkan bahawa ia turut menerima rekaan rim dua-tona baharu, serta bampar belakang yang disentuh semula dan nampak lebih agresif.

    Sama seperti Toyota Avanza dan juga Honda BR-V, Mitsubishi Xpander turut dibangunkan di Indonesia. Sebelum model produksinya didedahkan di GIIAS 2017, model konsepnya yang digelar XM Concept terlebih dahulu membuat penampilan sulung global di GIIAS 2016.

    Model sedia ada Mitsubishi Xpander pasaran Malaysia

    Xpander menerima sedikit tingkat taraf dan penyegaran bagi pasaran Indonesia pada awal 2020, dan akhirnya MPV ini tiba ke pasaran Malaysia pada November 2020, terus dalam versi baharu berkenaan serta dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.

    Buat masa sekarang, Xpander merupakan MPV bukan-nasional terlaris di Malaysia dengan mencatatkan sejumlah hampir 13,000 unit tempahan sejak ia dilancarkan. Sehingga September 2021, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menghantar 5,756 unit Xpander kepada pelanggan yang sudah menempahnya.

    Sejak ia diperkenalkan, Xpander dijana oleh enjin petrol NA 4A91 1.5 liter MIVEC, menghasilkan 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik empat kelajuan, hanya memacu roda hadapan.

    Antara kelengkapan yang ditelah diberikan pada model pasaran Malaysia sedia ada termasuk lampu hadapan reflektor bi-LED, rim aloi 16-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tempat duduk balutan kulit dengan elemen quilted, sisitem infotainmen dengan skrin sesentuh 9.0-inci bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kamera perakam digital (dashcam) 360-darjah.

    GALERI: Mitsubishi Xpander di Malaysia

     
     
  • Hyundai Kona Electric bakal tiba di Malaysia — tiga varian bebas cukai, harga bermula bawah RM150k

    Hyundai Kona Electric bakal tiba di Malaysia — tiga varian bebas cukai, harga bermula bawah RM150k

    Sudah rasmi, Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) mengesahkan akan melancarkan Kona Electric hujung November ini. SUV berkenaan akan menjadi model elektrik sepenuhnya yang pertama untuk Hyundai yang diperkenalkan di Malaysia.

    Tiga varian telah disahkan. Paling asas ialah model 39.2 kWh — dengan jarak pemanduan 305 km (WLTP cycle) — boleh didapati dalam versi e-lite atau e-plus, sementara penawaran yang paling tinggi e-max 64 kWh memberikan 484 km jarak perjalanan.

    Harga dijangka berada di bawah RM150k, menjadikannya model EV paling mampu milik dalam pasaran tempatan ketika ini. Ambil maklum harga berkenaan sudah termasuk pengecualian duti import dan eksais, seperti yang dinyatakan oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022.

    Motor elektrik model paling asas merupakan unit 136 PS sementara model 64 kWh menerima motor lebih berkuasa dengan 204 PS. Kedua-duanya mempunyai 395 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 9.9 saat bagi versi 39.2 kWh dan 7.9 saat bagi versi 64 kWh. Kelajuan maksimum masing-masing adalah 155 km/j dan 167 km/j.

    Hyundai Kona Electric bakal tiba di Malaysia — tiga varian bebas cukai, harga bermula bawah RM150k

    Bagi pengecasan, pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dengan pengecas 50 kW memerlukan masa 48 minit bagi model 39.2 kWh, atau 64 minit bagi versi 64 kWh. Dengan pengecas 100 kW pula, ia memerlukan masa 47 saat bagi kedua-dua bateri, jelas Hyundai.

    Pengecasan AC biasa dengan pengecas 7.2 kW onboard fasa-tunggal dari 10% hingga 80% memerlukan masa enam jam bagi model paling asas, dan sembilan jam 15 minit bagi versi 64 kWh. Tempoh mengecas masing-masing akan jadi empat jam 20 minit dan enam jam 50 minit dengan pengecas onboard tiga-fasa 11 kW.

    Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung memaklumkan: “Pengecualian duti import yang diumumkan itu bagi kami akan menggalakkan lagi minat terhadap EV di Malaysia. Ketibaan Kona Electric tepat pada masanya dan akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang mahukan kenderaan mesra alam untuk mengurangkan jejak karbon.”

    Jika berminat, tempahan sudah mula dibuka kini, dan anda boleh menempah dengan hanya RM1,000 sahaja. Klik pautan ini untuk pengalaman kereta elektrik anda.

     
     
  • Honda HR-V 2022 kini di Thailand — RS e:HEV paling tinggi, hanya hibrid dahulu, harga bawah RM125k

    Honda HR-V 2022 kini di Thailand — RS e:HEV paling tinggi, hanya hibrid dahulu, harga bawah RM125k

    Honda HR-V 2022 telah didedahkan di Thailand, dengan penawarannya dalam varian e:HEV hybrid. Tiga tingkat kemasan disediakan — E pada harga 9xx,000 baht, EL pada harga 1,0xx,000 baht dan RS 1,1xx,000 baht, seperti dilaporkan oleh Headlightmag — yang juga menyediakan gambar live yang ada ini.

    Ini HR-V generasi ketiga pernah ada. SUV segmen B yang terbaru ini pertama kali diperkenalkan Februari lalu, sebelum dilancarkan di Jepun dua bulan kemudiannya. Thailand menjadi negara ASEAN pertama yang menerima model baru ini, yang diperkenalkan dalam bentuk e:HEV hibrid.

    Nadi utama sistem i-MMD adalah enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson dengan 105 hp dan 127 Nm tork dari 4,500 rpm hingga 5,000 rpm. Enjin ini digandingkan bersama transmisi automatik e-CVT, bateri lithium-ion dan dua motor elektrik. Digabungkan semuanya, janaan maksimum adalah 131 hp dan 253 Nm tork dari 0 hingga 3,500 rpm.

    Honda HR-V 2022 kini di Thailand — RS e:HEV paling tinggi, hanya hibrid dahulu, harga bawah RM125k

    Berbanding City e:HEV, enjin ini menghasilkan lebih 7 hp, sementara motor elektriknya menghasilkan tambahan 22 hp. Di Thailand, jaminan bagi HR-V e:HEV adalah tiga tahun atau 100,000 km, tetapi sistem hibridnya menerima jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, sementara bateri pula diberi jaminan 10-tahun tanpa had perbatuan.

    Ini kali pertama diperlihatkan penggayaan RS bagi HR-V terkini, dengan kemasan lebih sporty melibatkan tambahan gril kemasan krom dengan logo RS, bahagian bawah gril dengan jalur melintang serta lip hitam berkilat. Kemasan hitam berkilat diteruskan pada bahagian lengkuk tayar, skirt sisi dan bampar belakang.

    Versi bukan RS menerima kemasan ala skid-plate warna perak di depan dan belakang. Varian paling tinggi ini juga mengenakan rim 18-inci lima-jejari aloi kelabu (tayar 225/50), satu saiz lebih besar daripada saiz versi standard (tayar 215/60). HR-V ini juga dapat perumah lampu belakang yang gelap.

    Honda HR-V 2022 kini di Thailand — RS e:HEV paling tinggi, hanya hibrid dahulu, harga bawah RM125k

    Juga unik untuk RS adalah warna Ignite Red Metallic dengan bumbung hitam. Dua tona warna ini hanya untuk RS sahaja. Empat warna lainnya — Platinum White Pearl, Premium Sunlight White Pearl, Meteoroid Gray Metallic and Crystal Black Pearl — ditawarkan untuk semua tingkat kemasan. Di dalam, RS menerima balutan kulit hitam dengan jahitan benang merah.

    Enam beg udara dan Honda Sensing adalah standard untuk semua. Pek keselamatan itu termasuk sekali ciri seperti Collision Mitigation Braking System (CMBS atau AEB), Lane Keeping Assist System (LKAS), Adaptive Cruise Control dengan Low Speed Follow (ACC with LSF), lampu tinggi automatik, Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning (RDM dengan LDW) dan Lead Car Departure Notification System (LCDN). Versi EL dan RS ada tambahan Honda LaneWatch.

    Honda HR-V 2022 kini di Thailand — RS e:HEV paling tinggi, hanya hibrid dahulu, harga bawah RM125k

    Kelengkapan utama lain termasuklah lampu utama LED dengan DRL LED dan lampu isyarat sequential, lampu belakang LED dengan kelebaran penuh, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, sistem kitaran udara, lampu bacaan LED di belakang yang sensitif sentuhan, bumbung kaca panoramik, corong pendingin di belakang dan USB part, pengecas tanpa wayar, skrin sentuh lapan-inci dengan Apple CarPlay/Android Auto dan lapan pembesar suara dan panel meter 7-inci digital.

    Ciri menarik lain termasuk pintu ruangan belakang bebas kendalian tangan, serta cermin sisi yang akan terlipat sendiri ketika kereta diparkir serta cermin condong sendiri dalam gear undur. HR-V ini juga datang dengan “ultra seat” yang dipopularkan oleh Jazz. Dengan Utility Mode, Long Mode dan Tall Mode dengan bahagian dasar kerusi belakang yang boleh dilipat ke atas, ia sangat praktikal. Tiada tayar gantian disediakan, hanya ada repair kit sahaja.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class – model sedan dipilih untuk CKD kerana permintaan lebih tinggi dari hatchback

    Mercedes-Benz A-Class – model sedan dipilih untuk CKD kerana permintaan lebih tinggi dari hatchback

    Minggu lalu Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan model paling mampu milik dalam barisan modelnya iaitu A-Class Sedan generasi terkini, dalam versi lebih mampu milik kerana telah dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.

    Namun selepas pelancaran berkenaan, A-Class kini dijual di bilik-bilik pameran hanya dalam versi sedan, manakala A-Class hatchback kini telah digugurkan (pembeli masih boleh menempah model hatchback tersebut, tetapi ia akan diimport dengan harga lebih mahal dari sebelum ini).

    Dalam satu temu ramah bersama ketua jualan dan pemasaran MBM, Micheal Jopp selepas pelancaran A-Class Sedan CKD berkenaan minggu lalu, kami sempat bertanya kepada beliau mengapa model sedan ini dipilih untuk dipasang di sini dan bukan hatchback.

    “Saya rasa agak mudah ketika kami mahu buat keputusan ini. Dengan hanya apa yang kami lihat kepada permintaan tipikal pelanggan di Malaysia, masih ada permintaan yang lebih kuat terhadap sedan,” kata Jopp.

    Mercedes-Benz A-Class – model sedan dipilih untuk CKD kerana permintaan lebih tinggi dari hatchback

    “Apabila sudah jelas portfolio kereta kompak akan dibuka, saya rasa ia adalah pilihan yang mudah untuk mengatakan bahawa ini menjadi yang pertama untuk dilokalisasikan kerana kami lihat potensi yang paling besar dari perspektif jangka masa panjang, dari perspektif pelanggan dan juga melihat kepada pakej yang kami ada. Ia merupakan kereta yang sangat menarik, ada ruang dalaman yang baik dan jadi, ia adalah pilihan yang mudah,” tambahnya.

    Jopp turut menyatakan bahawa ketika kedua-dua A-Class sedan dan hatchback dijual dalam versi CBU, permintaan terhadap sedan adalah lebih tinggi dari hatchback selepas ia diperkenalkan. Ini membuatkan MBM mendapat kesimpulan mudah terhadap hala tuju untuk diambil selepas itu.

    Selain dari sedan, A-Class juga sebenarnya mempunyai satu lagi versi bentuk badan yang diberikan but belakang iaitu CLA. Buat masa sekarang, CLA dijual dalam pasaran Malaysia hanya dalam versi prestasi penuh AMG CLA45S, dan diimport sepenuhnya. Jadi kami turut bertanya kepada Jopp adakah CLA turut akan ditawarkan dalam varian biasa, dan dipasang di di sini?

    “Tidak, kerana dari perspektif kami, jika anda lihat kepada pakej, saya rasa A-Class Sedan menawarkan pakej yang lebih praktikal. Ia dilihat, boleh saya katakan, sangat sporty jika mengambil kira cabaran untuk menghasilkan sedan kecil dengan rekaan yang cantik.

    “Di pasaran lain, kami pernah melokalisasikan CLA; ia dibuat di banyak tempat di dunia, tetapi ia kini sudah digantikan dengan A-Class Sedan,” jawab Jopp.

    Menurut Jopp, proses lokalisasi CLA di negara lain telah dihentikan dan digantikan dengan A-Class Sedan kerana model tersebut mempunyai pakej praktikaliti yang jauh lebih baik. Buat masa sekarang, CLA generasi kedua berkenaan hanya diproduksi di kilang Mercedes-Benz Manufacturing Hungary, tetapi sebelum itu ia turut dipasang di kilang Mercedes-Bnez India dan juga di Thonburi Automotive Assembly Plant (TAAP) di Thailand.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD masih ditawarkan dalam dua varian iaitu A 200 Progresive Line serta A 250 AMG Line, tetapi ia dijual pada harga lebih rendah. Bagi A 200 Progresive Line CKD, sedan ini dijual pada harga RRM210,903, Manakala A 250 AMG Line pula dijual pada harga RM239,858. Angka-angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran serta termasuk pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi model CKD yang diberikan oleh kerajaan sehingga 30 Jun 2022.

    GALERI: Mercedes Benz A 200 Progresive Line CKD 2021

    GALERI: Mercedes Benz A 250 AMG Line CKD 2021

     
     
  • Program Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (KLCFM) kembali diaktifkan bermula 7 Nov ini – DBKL

    Program Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (KLCFM) kembali diaktifkan bermula 7 Nov ini – DBKL

    Selepas tertangguh seketika akibat pandemik COVID-19, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan bakal mengaktifkan semula Program Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (KLCFM) bermula Ahad ini, 7 November 2021. Menurut DBKL, sebagai permulaan, program dwimingguan itu akan dijadikan program simulasi sesuai dengan SOP baharu yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Jalan-jalan yang terlibat dengan program ini adalah Jalan Raja, Jalan P Ramlee, Jalan Dang Wangi dan sebahagian Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

    “KLCFM adalah program yang dapat mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan warga kota di samping medan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, mesra keluarga dan membudayakan penjagaan alam sekitar.

    “Ia membabitkan aktiviti berjalan, berlari, meluncur atau berbasikal selama dua jam mulai 7 pagi hingga 9 pagi dan sepanjang tempoh itu, jalan-jalan yang terbabit akan ditutup kepada kenderaan awam dan persendirian,” kata DBKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Mereka yang ingin menyertai KLCFM perlu membuat prapendaftaran terlebih dahulu menerusi laman sesawang KL Car Free Morning (www.klcarfreemorning.my) dan laman Facebook KL Car Free Morning yang dibuka sejak 2 November lalu. Peserta yang berjaya mendaftar akan dimaklumkan melalui e-mel selepas tarikh pendaftaran.

    Selain itu, mereka yang ingin menyertai program ini perlu lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan melepasi tempoh 14 hari. Peraturan kesihatan dan keselamatan yang diarah MKN akan dilaksanakan secara ketat dalam melaksanakan program ini demi keselamatan peserta.

    Malah sehari sebelum acara, para peserta akan diberikan Kod QR menerusi e-mel dan SMS yang perlu diimbas di meja pendaftaran pada hari program terbabit iaitu di Dataran Merdeka dan Dataran DKBL. Pendaftaran di lokasi program akan bermula pada 6.30 pagi pada Ahad ini.

     
     
  • Model CKD Mercedes-Benz di Pekan tampil kualiti sama dengan versi CBU – ketua pemasaran MBM

    Model CKD Mercedes-Benz di Pekan tampil kualiti sama dengan versi CBU – ketua pemasaran MBM

    Sudah menjadi seakan satu corak pemikiran dalam kepala orang kita bahawa barang yang dibawa dari luar, khususnya dari negara-negara lebih maju adalah lebih baik berbanding yang dibuat atau dipasang sendiri dalam negara bukan? Tak kiralah apa produk sekalipun termasuk kereta – jangan kata jenama nasional, malah kereta jenama luar tetapi dipasang secara tempatan di Malaysia juga sentiasa dirasakan kurang berkualiti berbanding unit yang diimport dari negara asal.

    Namun bagi Mercedes-Benz Malaysia (MBM), mereka menegaskan bahawa setiap produk mereka tak kira di pasang di negara mana, kualitinya adalah sama kerana barisan produksi mereka dikawal oleh sistem kawalan kualiti yang sama.

    “Saya tak tahu dari mana perkara ini timbul, tapi tidak, ia adalah sangat jelas. Sistem kawalan kualiti adalah sama tidak kira di kilang induk dan juga kilang-kilang CKD,” kata ketua jualan dan pemasaran MBM, Micheal Jopp kepada media pada majlis pelancaran model A-Class sedan dan GLA dalam versi CKD minggu lalu.

    “Saya tahu bahawa rakan-rakan sekerja kami melakukan yang terbaik bagi memastikan pelanggan tidak merasa sebarang perbezaan antara kereta CKD dan kereta CBU, ” kata Jopp lagi dan menambah bahawa prosedur, toleransi spesifikasi serta komponen yang digunakan bagi kereta yang dipasang di Malaysia adalah sama seperti di Jerman.

    Model CKD Mercedes-Benz di Pekan tampil kualiti sama dengan versi CBU – ketua pemasaran MBM

    Jopp juga menegaskan bahawa walaupun pemasangan yang dibuat di Pekan, Pahang adalah dikendalikan oleh DRB-Hicom, garis panduan untuk memasang model-model Mercedes-Benz adalah sama dari mula hingga akhir. “Secara dalaman, ini juga dikongsikan secara sangat terbuka dan telus antara kilang,” tambah Jopp.

    Operasi pemasangan tempatan bagi model-model Mercedes-Benz di Malaysia sudah bermula sejak 2004. Sehingga kini lebih dari 100,000 unit kereta penumpang dari jenama premium Jerman tersebut sudah dihasilkan secara CKD di sini, dengan dana sekitar RM300 juta telah dilaburkan pada kilang berkenaan.

    Buat masa sekarang, sejumlah 15 model Mercedes-Benz CKD sedang dijual di Malaysia, termasuk A-Class Sedan V177, GLA H247, C-Class W205 (termasuk model AMG C 43), E-Class W213, S-Class W222, GLC X253 (termasuk model GLC AMG 43 4Matic Coupe) dan GLE V167.

     
     
  • Jualan Proton naik 28.7% pada Oktober 2021 — 13,362 unit diserahkan; X50, X70 dan Exora dahului segmen

    Jualan Proton naik 28.7% pada Oktober 2021 — 13,362 unit diserahkan; X50, X70 dan Exora dahului segmen

    Bagi bulan Oktober 2021, Proton mengumumkan telah menjual sebanyak 13,362 unit (termasuk eksport) kenderaan, yang mewakili peningkatan 28.7% berbanding September, dan melangkaui juga angka jualan bulan sama tahun lalu (11,392 unit).

    Menurut syarikat itu lagi, jualan tahunan setakat ini yang telah dicapai adalah sebanyak 86,739 unit — naik 1.6% berbanding 84,999 unit yang direkodkan bagi 10 bulan pertama 2020. Sementara itu Proton meramalkan perkongsian pasaran bulan lalu sekitar 20.5%, lebih rendah berbanding 21.3% yang dicatatkan pada Oktober 2020. Bagi jualan semasa setakat ini, Proton memaklumkan perkongsian pasarannya adalah 22.7%.

    Sama seperti sebelumnya, Saga menjadi model paling laris jualannya dengan 5,107 unit diserahkan sepanjang Oktober lalu. Ini kali ketiga model berkenaan melepasi angka 5,000 unit dalam tahun ini, walaupun bukanlah model paling laris jualannya di negara ini buat masa sekarang.

    SUV Proton juga terus mendahului dalam segmen masing-masing, dengan X50 berhasil mencapai jualan terbaiknya bulan lalu sejak dilancarkan dengan 3,839 unit. X70 juga menyaksikan sejumlah 2,165 unit diserahkan pada Oktober, jualan terbaik sejak Mac tahun ini.

    Jualan Proton naik 28.7% pada Oktober 2021 — 13,362 unit diserahkan; X50, X70 dan Exora dahului segmen

    Bagi model lain, Exora terus mendahulu MPV segmen C dengan 359 unit terjual. Persona dan Iriz pula terkesan akibat kekurangan cip — masing-masing hanya mencatatkan 1,393 unit dan 492 unit sahaja yang diserahkan kepada pelanggan.

    “Jualan Proton pada Oktober disumbangkan oleh permintaan tinggi daripada pembeli. Walaupun kami gembira dengan populariti berterusan Saga dan dua SUV terbaru, kami juga agak terkesan dengan kekurangan bekalan komponen bagi beberapa model. Permintaan pasaran dijangka akan terus kukuh hingga hujung tahun, jadi kami sedang berusaha keras menuju penutup 2021 ini,” ujar CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

    Keputusan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian SST hingga 30 June 2021 juga sangat dialu-alukan oleh Proton; pembeli yang sabar menunggu kenderaan mereka tidak lagi perlu bimbang terlepas peluang untuk penjimatan SST ini sekiranya kereta mereka diserahkan tahun depan.

    “Proton ingin berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana melanjutkan tempoh pengecualian SST ini. Ia memberi peluang kepada kami untuk memenuhi tempahan yang telah diterima dan tidak akan membebankan pelanggan yang inginkan penjimatan itu yang terpaksa menunggu lama akibat situasi di luar kawalan mereka. Lanjutan tempoh itu juga kami percaya akan merancakkan lagi jualan kenderaan pada separuh pertama tahun lalu, di mana mungkin ada model baru yang akan diperkenalkan,” tambah beliau.

     
     
  • Guna plat nombor fancy bakal dikenakan tindakan; orang awam disaran rakam foto dan buat laporan- JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali lagi mengingatkan pengguna kenderaan bahawa penggunaan plat nombor pendaftaran kenderaan yang mengelirukan, kabur atau fancy adalah menyalahi undang-undang.

    JPJ turut berkongsikan contoh-contoh gambar kenderaan yang tular di media sosial dan tidak mematuhi spesifikan yang ditetapkan. Jelasnya, pemilik kenderaan yang berbuat demikian bakal dikenakan tindakan termasuk disoal siasat dan disaman oleh JPJ.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi peraturan bagi memasang nombor pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Jika didapati melanggar peraturan tersebut, boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM3,000 di bawah Seksyen 14 (4) APJ 1987,”ujar JPJ menerusi laman Facebook rasminya.

    Guna plat nombor fancy bakal dikenakan tindakan; orang awam disaran rakam foto dan buat laporan-  JPJ

    Selain daripada permukaan plat dan juga rekaan huruf yang tidak sah atau tidak dibenarkan, tindakan sesetengah orang untuk menyambung atau mengubahsuai huruf atau nombor yang membolehkannya dibaca sebagai satu perkataan juga adalah salah.

    Walau bagaimana pun, bagi nombor plat khas yang dikeluarkan secara sah oleh JPJ seperti SYG, PERFECT, PATRIOT dan sebagainya adalah tidak termasuk dengan kesalahan yang disebutkan ini.

    “Orang ramai adalah disarankan untuk melaporkan mana-mana kenderaan yang memasang nombor pendaftran yang mengelirukan, kabur atau ‘fancy’ ke e-mel [email protected] bersama gambar kenderaan dan butiran lain yang berkaitan,” kata JPJ lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025