Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Daihatsu Rocky Hybrid akan guna sistem range extender, bakal muncul pada November ini?

    Daihatsu Rocky Hybrid akan guna sistem <em>range extender</em>, bakal muncul pada November ini?

    Februari lalu ada berita mengatakan bahawa Daihatsu bakal memperkenalkan SUV kompak Rocky dalam versi rangkaian kuasa hibrid yang akan dilancarkan di Jepun pada tahun ini. Khabar terbaharu dari negara matahari terbit berkenaan, Rocky Hybrid tersebut akan didedahkan pada November nanti, bersama model facelift untuk versi 1.0L Turbo biasa.

    Perkara ini didedahkan oleh portal creative311 yang memetik laporan dari majalah berbahasa Jepun, Mag-X. Tiada sebarang perincian rasmi diumumkan oleh Daihatsu ketika ini, namun laporan dari Mag-X berkenaan menyebut bahawa Rocky mungkin akan menerima sistem rangkaian baharu e-Smart Hybrid yang dihasilkan sendiri oleh pakar pembuat kereta kompak tersebut.

    Sistem e-Smart Hybrid ini bukanlah seperti sistem hibrid konvensional yang digunakan oleh Toyota mahupun sistem-sistem hibrid ringkas yang lain. Ia adalah sistem hibrid jenis range extender, sama seperti sistem e-Power yang digunakan oleh Nissan buat masa sekarang.

    Menerusi sistem range extender ini, enjin petrol pada kereta tersebut tidak akan memacu tayar, tetapi ia berfungsi hanya untuk mengecas bateri hibrid yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik. Jadi tayar pada kenderaan yang diberikan sistem e-Smart Hybrid ini hanya akan dipacu oleh motor elektrik sepenuhnya. Secara ringkasnya, enjin petrol yang diberikan hanya berfungsi seperti ‘generator pasar malam’.

    Daihatsu Rocky Hybrid akan guna sistem <em>range extender</em>, bakal muncul pada November ini?

    Menurut Mag-X lagi, sistem ini bukan hanya diberikan pada Rocky sahaja, malah ia juga akan ditampilkan pada kembarnya, Toyota Raize. Kedua-dua model ini akan mula diproduksi bermula Oktober ini sebelum diperkenalkan pada bulan seterusnya.

    Bagi model 1.0L Turbo facelift pula, ia dijangka akan menampilkan perubahan rekaan kecil pada bahagian luaran dan dalaman, dan bakal didedahkan serentak dengan Rocky/Raize Hybrid.

    Buat masa sekarang, kembar Rocky dan Raize untuk pasaran Malaysia iaitu Perodua Ativa diberikan kelengkapan tertinggi yang setaraf dengan model-model JDM berkenaan, kecuali penawaran sistem pacuan semua roda. Adakah Perodua turut akan memperkenalkan versi e-Smart Hybrid yang sama untuk Ativa kelak?

     
     
  • Porsche Renndienst pamer rekaan dalaman futuristik

    Porsche Renndienst pamer rekaan dalaman futuristik

    November tahun lalu, sebuah model konsep Porsche Renndienst, sebuah MPV keluarga enam-tempat duduk yang dibangungkan senyap-senyap oleh Porsche. Kini, model tersebut muncul lagi, tetapi untuk memperlihatkan pula rekaan dalamannya.

    Di bahagian kokpit, kelihatan kerusi tunggal untuk pemandu di tengah, dengan dua paparan untuk penumpang di sisinya. Seperti juga kereta konsep futuristik yang lain, kerus pemandu ini boleh di pusing 180 darjah dengan satu langkah mudah, mengubah ruang kabin itu kepada sebuah ruang lebih luas untuk keluarga. Porsche memanggil ini sebagai kabin modular.

    Tiga individu utama di Porsche — pengarah rekaan pengalaman pengguna Ivo van Hulten, ketua pereka Michael Mauer dan ketua pereka dalaman Markus Auerbach — bergabung tenaga untuk menghasilkan sebuah ruang yang penuh dengan fungsi untuk kegunaan masa hadapan.

    Porsche Renndienst pamer rekaan dalaman futuristik

    Bahagian sisi Renndienst adalah tidak simetrikal. Sebelah tertutup, sementara sebelah lagi diletakkan bukaan tingkap luas untuk melihat ke luar. Penumpang di barisan tengah duduk dalam kerusi semi-bucket yang ergonomik, dan mempunyai pandangan hadapan yang jelas. Barisan kerusi terakhir pula menampilkan perehat kepala apungan.

    Auerback menambah bahawa kerusi dalam rekaan ini telah direka untuk bergerak, dan keseluruhan ruang yang ada menyerupai sebuah lounge. “Kerusi panjang membolehkan sudut duduk yang berbeza disebabkan oleh bahagian tepinya yang melengkung. Kita boleh duduk bertentangan sesama sendiri. Ia sebuah ruang dengan idea komunikatif yang menenangkan, menawarkan posisi duduk untuk berbual, bekerja dan berehat.”

    Material dari bahan diperbaharui akan digunakan secara meluas dalam kabin ini, seperti kayu, logam dan plastik yang di kitar semula. Material pintar yang bereaksi “dengan faktor luaran dan bersinar tanpa perlu pencahayaan secara langsung” serta “yang berterusan menukar bentuk agar ergonomik untuk penumpang” juga akan digunakan untuk ruang dalamannya.

     
     
  • Volvo akan guna nama “beremosi” untuk kereta elektrik generasi baru, tiada lagi abjad dan angka

    Volvo akan guna nama “beremosi” untuk kereta elektrik generasi baru, tiada lagi abjad dan angka

    Setelah sekian lama menggunakan konsep abjad dan nombor untuk nama model bagi menggantikan konsep nombor sepenuhnya, Volvo selepas ini akan menggunakan nama “sebenar” untuk model-model generasi seterusnya, atau lebih spesifik kereta-kereta berkuasa elektrik penuh seperti yang diberitahu ketika pembentangan Volvo Tech Moment bulan lalu.

    Menerusi laporan Autocar, presiden dan CEO Volvo, Håkan Samuelsson memperincikan lagi berkenaan perkara ini dan menyatakan bahawa Volvo tidak akan menggunakan lagi terma-terma kejuruteraan yang tidak beremosi seperti sekarang selepas masuk ke era baru nanti dimana mereka hanya akan menjual kereta elektrik pada 2030.

    “Jika anda lihat kereta-kereta sekarang, kesemuanya dinamakan secara ‘kejuruteraan’: XC, T8, all-wheel drive, double overhead cams. Kesemuanya spesifkasi pada bahagian belakang kereta,” kata Samuelsson.

    Volvo akan guna nama “beremosi” untuk kereta elektrik generasi baru, tiada lagi abjad dan angka

    “Kami bercakap berkenaan seni bina teknologi baharu sepenuhnya, model elektrik generasi baharu, kereta elektrik sepenuhnya dengan kawalan komputer berpusat. Ia adalah titik yang bagus dan jelas bahawa ini adalah permulaan baru, dan sebab itu kami tidak akan menggunakan nombor dan abjad, nama jenis kejuruteraan. Kami akan memberikan mereka nama anak yang baru dilahirkan,” jelas Samuelsson.

    Apa yang dikatakan olehnya kali ini mengulangi sekali lagi apa yang diucapkannya pada penghujung pembentangan Jun lalu, di mana beliau menyatakan kereta Volvo akan datang “akan mempunyai nama, lebih seperti anak yang baru lahir.” Beliau turut memberitahu Autocar bahawa nama pertama untuk kereta generasi seterusnya, iaitu model pengganti XC90 yang diprebiu sebagai Concept Recharged pada acara tersebut, masih belum dimuktamadkan, dan menambah “kami mempunyai perbincangan yang sangat menarik dan kreatif yang sedang berjalan.”

    Volvo memang menggunakan kaedah abjad dan nombor sejak model pertama mereka, Volvo ÖV 4 bermaksud “Öppen Vagn 4 cylindrar” (bumbung boleh buka/open carriage, 4-silinder), namun ia turut dikenali dengan nama ‘Jakob’. Volvo juga pernah menggunakan nama Duett untuk versi wagon yang dihasilkan dari model PV444, manakala Volvo 122 yang dikenali secara global diberi nama sebagai Amazon di Sweden.

    Nama-nama untuk model Volvo era 70’an hingga awal 90’an ini juga memudahkan anda mengetahui spesifikasinya seperti Volvo 245, yang bermaksud siri 200, 4-silinder dan 5 pintu (wagon). Susun atur nombor dan abjad model-model Volvo sekali lagi bertukar apabila masuk ke era Re’Volvo’lution dengan model S60 – dimana S bermaksud sedan dan nombor di belakang adalah siri model. Jika S ditukar kepada V, ia bermaksud wagon (van), manakala XC pula merujuk kepada SUV.

    Selain dari nama baru, model-model elektrik generasi seterusnya Volvo juga akan tampil dengan rekaan yang lebih ringkas seperti ditunjuk pada Concept Recharge. Dengan asas platform kereta elektrik yang lebih ringkas tanpa enjin pembakaran dalaman, Volvo menjanjikan rekaan yang lebih anggun bagi memberikan kesan aerodinamik lebih baik serta ruang kabin lebih luas.

    Ia juga akan dibekalkan dengan teknologi keselamatan dan dalam kereta terkini, termasuk memnggunakan penderia lidar pada bumbung yang diberikan secara standard, serta sistem operasi baharu yang dibangunkan dengan kerjasama Google.

     
     
  • Hyundai Grand Starex dapat sistem telematik di M’sia – standard dari 1 Mei; RM1,998 jika ingin memasangnya

    Hyundai Grand Starex dapat sistem telematik di M’sia –  standard dari 1 Mei; RM1,998 jika ingin memasangnya

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengumumkan sedikit penaiktarafan untuk Hyundai Grand Starex, yang kini didatangkan dengan sistem telematik secara standard. Ia adalah untuk unit yang didaftarkan mulai 1 Mei 2021, walau bagaimana pun bagi pengguna sedia ada yang inginkan sistem terbabit, juga boleh memasangnya dengan kos yang tertentu (akan dihuraikan lebih lanjut di bawah).

    Sistem telematik baharu ini didatangkan dengan beberapa servis, termasuklah eCall dengan pengesan kemalangan automatik. Di mana pengguna hanya perlu menekan butang SOS yang dipasang pada konsol peta untuk meminta bantuan secara manual dari pusat operasi keselamatan HSDM, termasuk ambulans, polis dan trak tunda.

    Selain itu, impak kemalangan juga akan dikesan dan maklumatnya akan diaktifkan secara automatik tanpa perlu menekan butang SOS. SOC akan menghubungi pemilik kenderaan, dan sekiranya tidak sebarang respons, perkhidmatan kecemasan akan terus dihantar secara automatik berdasarkan lokasi yang dikesan menerusi peranti pengesan kenderaan.

    Lain-lain servis termasuk bCall yang juga boleh dimohon secara terus, di mana pasukan bantuan akan digerakkan. ke lokasi kenderaan tersebut tersadai (breakdown) apabila ia diaktifkan. Pemilik juga boleh mengaksesnya menerusi aplikasi dalam mobil bagi membolehkan pasukan terbabit mengesan lokasi kenderaan, serta ia juga dapat mengaktifkan penggera, melaporkan kenderaan yang hilang,membuat laporan dan pertanyaan bukan kecemasan serta merakam perjalanan yang dibuat oleh kenderaan terbabit.

    Hyundai Grand Starex dapat sistem telematik di M’sia –  standard dari 1 Mei; RM1,998 jika ingin memasangnya

    Sementara itu, bantuan servis turut menampilkan penyelenggaraan kenderaan yang lebih menyenangkan, termasuk sistem pengesan perbatuan kenderaan dan juga pusat servis Hyundai bertauliah akan membantu menjadualkan temujanji penyelenggaraan dengan pemilik apabila diminta. Ia juga termasuk dengan makluman pengingatan berhubung pembaharuan cukai jalan dan insurans.

    Perkhidmatan yang didatangkan dengan sistem telematik ini adalah percuma untuk tiga tahun pertama selepas kenderaan tersebut dihantar kepada pelanggan, tetapi selepas tempoh tersebut, pemilik boleh memilih untuk memperbaharui langganan dengan harga RM380 setahun. Seperti yang disebut lebih awal, pemilik sedia ada yang ingin memasang sistem telematik ini akan dikenakan kos sebanyak RM1,998.

    Grand Starex di Malaysia didatangkan dengan dua varian – Executive Plus dan Executive Prime – dengan kedua-duanya dijanakan oleh enjin 2.5 liter empat-silinder turbodiesel dengan hamburan kuasa 170 PS dan tork 441 Nm -pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lima-kelajuan.

    Untuk harganya, Executive Plus ditawarkan pada harga atas jalan RM165,888 tanpa insurans, iaitu lebih RM2,000 berbanding harga yang diumumkan pada Mei lalu. Namun tiada perubahan harga pada model spesikasi tinggi Executive Prime, yang ditawarkan pada RM173,888. MPV ini diletakkan di bawah kategori kenderaan komersil – sama seperti trak pikap – jadi ia tidak mendapat manfaat pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sedang berlangsung.

    GALERI: Hyundai Grand Starex 2020 (pasaran Malaysia)

     
     
  • Perbezaan TIV jualan kenderaan di M’sia bagi separuh pertama 2021 vs 2020 — prestasi waktu pandemik

    Perbezaan TIV jualan kenderaan di M’sia bagi separuh pertama 2021 vs 2020 — prestasi waktu pandemik

    Pandemik Covid-19 telah mengubah banyak hal dalam hidup kita sepanjang tahun lalu dan masih berlangsung sehingga kini. Bagi sektor automotif, satu cara untuk melihatnya adalah melalui data jualan kenderaan di Malaysia bagi tempoh separuh pertama 2020 dan bandingkannya dengan tahun ini, seperti yang dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) — dan sekaligus memperlihatkan kesannya terhadap industri.

    Tiada siapa dapat meramalkan keadaan kita hari ini ketika melalui awal tahu 2020, atau sejauh mana kesan pandemik ini. Dengan angka 42,942 unit, jualan pada Januari 2020 bermula agak perlahan berbanding penghujung 2019, walaupun tidak terlalu jauh beza. Pada Februari pula, walaupun dengan jumlah hari bekerja lebih pendek dan kes Covid-19 sudah mula muncul, angkanya jualannya masih ada.

    Namun, dengan Perintah Kawalan Pergerakan pertama yang mula dilaksanakan pada 18 Mac, momentum jualan pada separuh pertama bulan itu tetap membolehkan 21,243 unit terjual. Dengan semua bilik pameran ditutup akibat PKP, jualan bulan April menjunam sebanyak 99.2% kepada hanya 152 unit, bulan dengan prestasi jualan paling buruk pernah disaksikan oleh industri ini.

    Bulan Mei, jualan disambung semula, walaupun dengan tempoh pendaftarak kenderaan yang lebih singkat (JPJ hanya menyambung semula pendaftaran kenderaan penumpang pada 13 Mei), sebanyak 23,366 unit kenderaan terjual bulan itu, dengan peningkatan 15,272% berbanding jualan bulan April.

    Perbezaan TIV jualan kenderaan di M’sia bagi separuh pertama 2021 vs 2020 — prestasi waktu pandemik

    Pengumuman kerajaan berkaitan pengecualian SST pada awal Mei tahun lalu — yang kini dilanjutkan hingga penghujung 2021, ternyata membantu untuk merancakkan semula jualan. Bulan Jun, sejumlah 44,755 kenderaan terjual, hampir dua kali ganda (91.5%) jualan bulan Mei.

    Sebagai perbandingan, 2021 bermula agak perlahan dengan 33,389 unit. Ini tidak mengejutkan, mengambil kira pelaksanaan semula PKP pada 13 Januari serta jualan juga telah berlangsung lebih awal kerana pelanggan ingin memanfaat pengecualian SST yang awalnya berakhir pada penghujung 2020.

    Ini melibatkan pengurangan 22% (berbanding Januari 2020) yang kemudiannya diimbangi dengan pertumbuhan kukuh pada Februari (43,444 unit; +5.74% berbanding Januari 2020)) dan lonjakan pada bulan Mac (64,875 unit, +205.3%). Ini menjadikan TIV suku pertama 2021 (141,708 unit) mengatasi suku pertama 2020 (105,272 unit) sebanyak 36,436 unit, atau 34.6%, dan meletakkan sasaran ramalan TIV 2021 MAA sebanyak 570,000 unit yang diumumkan pada Januari lalu, di landasan yang betul.

    Perbezaan TIV jualan kenderaan di M’sia bagi separuh pertama 2021 vs 2020 — prestasi waktu pandemik

    Pertengahan jalan, semua itu berubah. Angka suku kedua (107,421 unit terjual, -24.2% berbanding suku pertama) dan dengan perkembangan yang menyusul selepas itu telah membuatkan MAA menilai semula ramalam TIV itu kepada 500,000 unit (dengan andaian sektor ini dibuka semula pada Ogos 2021), lebih rendah berbanding TIV 2020 dengan 529,434 unit. TIV bagi separuh pertama 2021 ialah 249,129 unit, jauh mengatasi jumlah tahun lalu dengan 173,545 unit bagi tempoh sama. Jadi, sasaran 500k unit nampak seperti boleh dicapai.

    Bagaimanapun, situasi sebenar berbeza. 1 Jun 2021 menyaksikan sektor automotif ditutup akibat PKP penuh yang dilaksanakan. Jualan bulan Jun pula menjunam kepada hanya 1,921 unit, dan Julai juga hampir ke penghujungnya dan bilik pameran masih ditutup, dan bulan ini mungkin boleh digugurkan saja daripada harapan untuk sumbangan angka jualan.

    Lebih teruk, penutupan kilang pengeluaran juga sehingga Fasa 3 Rancangan Pemulihan Negara (RPN) — kini mungkin masih jauh lagi perjalanan ke arah itu memandangkan kes harian Covid-19 semakin naik — bermakna walaupun jualan disambung semula, untuk memenuhi permintaan mungkin akan memerlukan masa yang lama.

     
     
  • Toyota Vios baru dibayangkan dengan asas rekaan daripada Prius C dan Yaris JDM – mana lebih menarik?

    Toyota Vios baru dibayangkan dengan asas rekaan daripada Prius C dan Yaris JDM – mana lebih menarik?

    Minggu lepas, Toyota telah melancarkan Aqua (juga dikenali sebagai Prius C) generasi baru di Jepun. Model baru ini mendapat enjin tiga silinder hibrid yang lebih berkuasa, bateri bipolar kapasiti lebih tinggi serta platform TNGA-B terbaru.

    Dalam barisan model yang ditawarkan oleh Toyota, Aqua duduk sebaris dengan Yaris yang mempunyai saiz hampir sama. Ini membuatkan pakar lukisan digital, Theophilus Chin tertanya, bagaimana agaknya kalau Vios menggunakan konsep rekaan seperti Aqua dan bukannya berasaskan Yaris pasaran ASEAN seperti sekarang?

    Hasilnya adalah seperti yang anda boleh lihat dalam gambar, di mana hatchback terbaru Toyota tersebut diubah menjadi sebuah sedan. Rupa unik bahagian depan dikekalkan, dengan lampu LED yang nipis serta gril bawah dengan kemasan U berwarna perak. Persamaannya diteruskan lagi pada bahagian b-pillar tetapi pada c-pillar, garis yang menaik ke atas ditukar kepada yang lebih rata supaya bersesuaian dengan bentuk belakang sebuah sedan biasa.

    Kemudiannya, Theo telah memasukkan lampu jenis yang bersambung penuh pada bahagian belakang, di mana ini adalah satu rekaan yang sedang popular bagi kebanyakan pengeluar. Warna Aqua yang sama masih dikekalkan dan bahagian diffuser mempunyai kemasan berwarna hitam. Untuk pemerhatian anda, kami juga meletakkan sekali di sini Vios berasaskan Yaris yang pernah dihasilkan oleh Theo sebelum ini.

    Persoalannya sekarang versi mana yang lebih anda gemari dan yang mana pula berkemungkinan menjadi realiti? Bagi yang berminat dengan rekaan berasaskan Aqua, dukacita kami maklumkan kemungkinannya sangat nipis dan gambar ini setakat imaginasi Theo sahaja.

    Ini kerana Aqua adalah satu produk yang eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja dan ia dijangka tidak masuk ke pasaran lain kerana sekarang Toyota sudah mempunyai versi hibrid untuk banyak model mereka yang lebih penting.

     
     
  • Lorong Touch ‘n Go RFID di WCE Perak kini dibuka

    Lorong Touch ‘n Go RFID di WCE Perak kini dibuka

    Touch ‘n Go telah umumkan perluasan penggunaan sistem bayaran RFID ke Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Perak, dan kini mula beroperasi di tujuh plaza tol.

    Ini melibatkan lokasi di Hutan Melintang, Teluk Intan, Kampong Lekir, Sitiawan, Sitiawan Utara, Changkat Cermin dan Beruas, seperti dinyatakan dalam hantaran Facebook syarikat tersebut.

    Touch ‘n Go juga memaklumkan sedang berkerjasama dengan PLUS untuk melaksanakan sistem RFID ini di semua lebuhraya seliaannya, yang akan dilakukan secara berperingkat. Laman rasmi Touch ‘n Go RFID juga ada menyenaraikan lokasi di mana sistem ini sudahpun mula dilaksanakan dan aktif, seperti berikut:

    • Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH)
    • Besraya Expressway
    • Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE)
    • Guthrie Corridor Expressway (GCE)
    • Cheras-Kajang Expressway (Grand Saga)
    • Lebuh Raya Grand Sepadu
    • Shah Alam Expressway (KESAS)
    • Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway (LATAR)
    • Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)
    • Damansara-Puchong Expressway (LDP)
    • Kemuning-Shah Alam Expressway (LKSA)
    • Kuala Lumpur-Karak Expressway(KLK)
    • Maju Expressway(MEX)
    • New Pantai Expressway (NPE)
    • Kajang Dispersal Link Expressway (SILK)
    • Smart Tunnel
    • Sprint
    • South Klang Valley Expressway (SUKE)
    • West Coast Expressway (WCE)

    Lorong Touch ‘n Go RFID di WCE Perak kini dibuka

    Lebuhraya di kawasan Utara yang kini tersedia sistem RFID termasuk:

    • Butterworth Outer Ring Road (BORR)
    • Jambatan Kedua Sdn Bhd (Second Penang Bridge)
    • Penang Bridge Sdn Bhd
    • Butterworth-Kulim Expressway BKE
    • North-South Expressway (jajaran Jitra, Hutan Kampung – Sungai Dua)

    Lebuhraya di kawasan Selatan yang tersedia sistem RFID ini termasuk Senai-Desaru Expressway (SDE), serta di sepanjang lebuhraya PLUS di plaza tol berikut:

    • Mambau
    • Lukut
    • Kempas
    • Lima Kedai
    • Perling
    • Tanjung Kupang
    • Bangunan Sultan Iskandar

    Kit pemasangan sendiri bagi Touch ‘n Go RFID boleh dibeli dengan harga RM35 melalui laman web Touch ‘n Go, atau dirangkaian rakan runcit seperti Shell Select, BHPetrol, Lazada, Shopee, Watsons dan banyak lagi.

     
     
  • BMW 4 Series, M3, M4 dapat harga potongan SST di M’sia hingga akhir 2021 – cecah RM25,443 lebih murah

    BMW 4 Series, M3, M4 dapat harga potongan SST di M’sia hingga akhir 2021 – cecah RM25,443 lebih murah

    BMW Malaysia telah mengumumkan harga potongan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk 4 Series G22, M3 Competition G80 dan M4 Competition G82, efektif hingga hujung tahun ini, seperti mana pelan Pemerkasa+ yang diumumkan pada Mei lalu. Disebabkan kesemua model ini adalah model import sepenuhnya (CBU), maka potongan SST hanya melibatkan 50% sahaja.

    Bermula dengan 4 Series, 430i M Sport kini ditawarkan pada harga atas jalan RM390,033 dengan potongan SST, berbanding RM405,680 dengan SST, menjadikannya lebih murah sebanyak RM15,647. Manakala M3 Competition pula kini RM639,664 berbanding RM664,800 (pengurangan sehingga RM25,136) dan M4 Competition pula ditawarkan pada harga RM659,357 berbanding RM684,800 (pengurangan sebanyak RM25,443).

    Walau bagaimana, semua harga yang diumumkan ini adalah harga asas iaitu tanpa insurans dan hanya termasuk dengan waranti dua-tahun/tanpa had perbatuan. Jika dengan waranti lanjutan (lima-tahun/tanpa had perbatuan) dan pakej servis (lima-tahun/100,000 km) harga bagi 430i menjadi RM403,153.

    BMW 4 Series, M3, M4 dapat harga potongan SST di M’sia hingga akhir 2021 – cecah RM25,443 lebih murah

    Bagi M3 Competition, jika ditambah dengan waranti lanjutan dan pakej servis, harganya meningkat sehingga RM664,904, sementara peningkatan harga bagi M4 Competition pula sebanyak RM685,597 untuk perkara yang sama. Walau bagaimanapun, ada beberapa pilihan yang ditawarkan – contohnya, Pakej Inovasi – di mana anda boleh memilih konfigurator dalam talian untuk model ini, dan kos tambahan akan dimasukkan ke dalam harga akhir.

    Tiada perubahan bagi spesifikasi untuk model ini, dengan 430iu masih mengekalkan enjin B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 258 PS (255 hp) dan tork 400 N,. Ia turut diberikan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda belakang, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat dan kelajuan tertinggi cecah 250 km/j.

    Bagi M3 Competition dan M4 Competiton pula, ia diberikan unit S58 3.0 liter turbo berkembar enam-silinder sebaris dengan kuasa 510 PS (503 hp) dan 650 N,. Kedua-duanya adalah pacuan roda-belakang dan turut diberikan transmisi automatik M Steptronic lapan-kelajuan dengan Drivelogic, yang turut berkongsi masa pecutan yang sama iaitu 0-100 km/j dalam 3.9 saat dan kelajuan tertinggi cecah 250 km/j.

     
     
  • Audi RS Q e-tron – jentera offroad pacuan dua motor elektrik, 680 PS, bakal beraksi dalam Rali Dakar 2022

    Audi RS Q e-tron – jentera offroad pacuan dua motor elektrik, 680 PS, bakal beraksi dalam Rali Dakar 2022

    Audi Sport secara rasminya telah memulakan ujian terhadap Audi RS Q e-tron sebelum ia membuat penampilan pertama semasa musim Rali Dakar terbaru yang akan bermula Januari 2022. Melalui jentera ini, Audi meletakkan sasaran untuk menjadi pengeluar pertama yang bertanding untuk kejuaraan keseluruhan menggunakan penggerak kuasa elektrik, menentang jentera enjin biasa yang lain.

    Rali Dakar adalah satu perlumbaan yang cukup sukar, dengan ia boleh berlangsung selama dua minggu dan setiap perlumbaan harian boleh melibatkan jarak sehingga 800 km (atau lebih). “Itu adalah satu jarak yang cukup jauh. Apa yang kami buat tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia adalah satu cabaran muktamad bagi penggerak elektrik, kata Andreas Roos yang bertanggungjawab untuk projek Dakar bagi Audi Sport.

    Ya, RS Q e-tron adalah sebuah jentera offroad elektrik. Tetapi disebabkan tiada tempat mengecas di padang pasir tempat mereka berlumba, Audi telah memasang enjin TFSI pada jentera ini untuk mengecas bateri 50 kWh (berat 370 kg) yang digunakan. Perincian enjin pembakaran dalaman ini tidak didedah tetapi ia diberitahu boleh beroperasi dengan cekap pada tahap rpm antara 4,500 hingga 6,000 rpm.

    Audi RS Q e-tron – jentera offroad pacuan dua motor elektrik, 680 PS, bakal beraksi dalam Rali Dakar 2022

    Sistem pemacu elektrik pada jentera ini menggunakan dua unit motor-generator (MGU) yang diambil daripada kereta lumba Audi e-tron FE07 Formula E. Setiap satunya diletakkan pada setiap gandar dan menurut Audi, ubah suai yang dibuat hanyalah sedikit sahaja. Kuasa maksimum adalah 500 kW (680 PS), tetapi ia boleh dilaras mengikut peraturan.

    Menurut ketua bahagian pembangunan sukan permotoran Audi Sport, Stefan Dreyer, pek bateri yang digunakan adalah rekaan sendiri bersama satu rakan kongsi. “Sebagai jurutera, kami melihat potensi pembangunan setiap komponen. Tetapi bagi sistem penggerak, kami telah mencapai kecekapan sistem sehingga 97% di dalam Formula E. Tidak banyak lagi yang boleh dipertingkat,” kata beliau.

    “Keadaan adalah berbeza dengan pengurusan bateri dan tenaga. Di sinilah terdapat potensi pembangunan lebih besar untuk kenderaan elektrik secara umumnya. Apa yang kami pelajari daripada projek Dakar yang mencabar ini akan disalurkan kepada model produksi masa hadapan. Seperti biasa, kami juga bekerjasama secara rapat dengan rakan di bahagian pembangunan kereta jalanan biasa untuk projek ini,” tambah Dreyer.

    Menurut Audi, RS Q e-tron cuma memerlukan satu gear ke hadapan dan mereka sedang membangunkan perisian sendiri untuk pengagihan tork. Melaluinya, mereka dapat mengubah tetapan differential tengah secara bebas, seterusnya membuang tetapan differential mekanikal biasa berserta propeller shaft, dan menjimatkan ruang serta berat kenderaan.

    Roos berkata: “Jadual projek ini sangat padat dan mencabar. Sejak dimulakan, ia sudah mengambil masa 12 bulan. Kami terpaksa memulakan pembangunan meskipun peraturan untuk kenderaan pacuan tenaga alternatif masih belum ditetapkan lagi. Semua pembangunan ini juga berlangsung waktu pandemik. Apa yang telah dicapai oleh pasukan sekarang adalah unik. Kemunculannya nanti satu waktu yang istimewa bagi semua.”

    Pengarah urusan sukan permotoran Audi Sport, Julius Seebach pula berkata: “Audi adalah jenama pertama yang memenangi perlumbaan Le Mans 24 Hours dengan penggerak elektrik. Sekarang, kami mahu masuk pula dalam era baru dengan Rali Dakar, sambil menguji dan terus membangunkan teknologi e-tron di dalam keadaan ekstrem.”

     
     
  • Banyak pengedar kenderaan akan gulung tikar — MAA

    Banyak pengedar kenderaan akan gulung tikar — MAA

    Industri automotif Malaysia terkesan teruk akibat protokol PKP yang dikenakan oleh kerajaan dalam usahanya untuk mengekang penularan Covid-19. Sektor automotif telah ditutup sejak PKP terbaru ini dilaksanakan bermula Mei lalu, sebelum ia diperketat pada Jun 2021.

    Lebih parah, semua bilik pameran kenderaan kekal ditutup di bawah Rancangan Pemulihan Negara (RPN) Fasa 1. Namun, oleh kerana industri ini tidak dikira sebagai “essential”, maka operasi kilang pengeluaran juga digantung, menyebabkan kedua-dua gangguan terhadap pengeluaran dan juga jualan sekaligus. Tidak lupa kepada vendor dan pembekal, jadi keseluruhan eko-sistemnya tidak berfungsi ketika ini.

    Ketika keseluruhan rantaian ini terkesan, pengedar menanggung kesan yang paling besar. Sangat mudah untuk difahami. Mereka bergantung kepada jualan dan komisen, dan bila kenderaan tidak boleh dijual, itu bermaksud tiada pendapatan bagi penasihat jualan dan pengedar. Jika mereka boleh beroperasi pun, tidak ada kenderaan untuk dijual kerana kilang pengeluaran tempatan turut sama tidak beroperasi, sementara kereta import sangkut di pelabuhan. Sangat malang situasi ini.

    “Semua ahli kami sangat risaukan situasi ketika ini. Kami tak tahu bila bilik pameran boleh dibuka, dan bila kilang boleh kembali beroperasi untuk pemasangan kereta CKD. Ini keresahan kami; banyak pengedar kecil ketika ini sudah tersepit oleh aliran tunai yang ketat dan jika ini berterusan, akan berlaku pembuangan pekerja,” ujar Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad.

    Banyak pengedar kenderaan akan gulung tikar — MAA

    “Rangkaian pengedar merupakan pengedar independen dan aliran tunai mereka terhad. Jika tiada jualan, mereka masih ada tanggungan untuk dilangsaikan — sewa, gaji dan sebagainya — tetapi masih tiada sumber pendapatan dalam masa yang sama. Hanya bengkel saja yang boleh beroperasi, itu pun dengan jumlah staf yang terhad. Disebabkan itu, banyak pengedar telah memberikan bayangan sekiranya PKP dilanjutkan, mereka terpaksa gulung tikar daripada industri ini kerana tidak lagi mampu untuk bertahan,” ujarnya.

    Kesannya lebih ketara terhadap jurujual. Tidak seperti pekerja dengan gaji bulanan, sebahagian pendapatan besar jurujual adalah dari komisen, dengan gaji asas yang rendah. Selain komisen, insentif dan bonus dari jualan kenderaan, jurujual juga bergantung kepada komisen daripada insurans, aksesori, filem penapis haba dan banyak lagi.

    Aishah mendedahkan bahawa MAA, sama seperti industri yang lain, telah menghantar beberapa permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan kebenaran menjalankan operasi jualan dan pemasangan dengan SOP ketat, dengan sekitar 60% kapasiti staf di bilik pameran dan kilang. Beliau juga merasakan rancangan untuk membolehkan perniagaan beroperasi semula selepas pekerja divaksin adalah sesuatu yang ditunggu.

    Tentang bagaimana syarikat automotif boleh membantu pengedar mereka yang sedang terhimpit, Aishah memaklumkan selain memberi kelonggaran dari aspek pembayaran, tidak banyak yang boleh mereka lakukan, memandangkan mereka sendiri berada dalam keadaan sukar.

    Banyak pengedar kenderaan akan gulung tikar — MAA

    “Tidak ada apa yang diperoleh oleh pengedar sekarang — kami tak boleh serahkan kenderaan dari kilang dan unit CBU juga tersangkut — pengeluar sendiri dalam keadaan yang tersepit. Pesanan yang kami buat sejak empat bulan lalu masih di pelabuhan, dan kelulusannya sangat perlahan.

    “Dari segi bayaran, sebahagian pemegang francais dan OEM cuba memudahkan keadaan pengedar; mereka tidak memaksa pengedar untuk membayar dalam masa segera. Tetapi untuk memerikan bantuan kewangan, saya fikir pengeluar juga sedang berada dalam keadaan sukar ketika ini.

    “Jadi kami berharap kerajaan dapat melonggarkan peraturan PKP untuk membolehkan kami terus bernafas, dan boleh mula menjual kenderaan semula agar kami mampu menjana pendapatan. Sebaik sahaja OEM dapat beroperasi, pengedar juga boleh beroperasi. Hal baik yang tersisa ialah pengecualian SST masih diberikan, dan tempahan terus diterima — tetapi kami tak boleh membuat serahan lagi, itu masalahnya,” ujar beliau.

    “Perlu diingat, ini tahun kedua kita berdepan dengan situasi seperti sekarang. Tahun pertama, mungkin ramai yang masih boleh bergantung dengan simpanan, tetapi kini itu semua mungkin sudah berkurangan atau habis sama sekali,” jelas Aishah mengulas tentang pengedar yang sedang berdepan dilema untuk menutup perniagaan mereka ketika ini.

     
     
  • Proton Motorsport tarik diri pada pusingan ketiga BRC 2021 selepas kemalangan besar di Nicky Grist Stages

    Proton Motorsport tarik diri pada pusingan ketiga BRC 2021 selepas kemalangan besar di Nicky Grist Stages

    Selepas mengalami kemalangan yang agak dahsyat di pusingan kedua Kejuaraan Rali British (BRC) 2021, Nicky Grist Stages yang berlangsung di Builth Wells, Wales, UK hampir dua minggu lalu, Oliver Mellors dari pasukan Proton Motorsport yang memandu Proton Iriz R5 mengumumkan bahawa dia akan menarik diri buat sementara waktu pada pusingan ketiga nanti.

    Menurut Ollie dalam laporan Motorsport News, dia dan pasukannya akan kembali ke BRC pada pusingan keempat nanti iaitu di Trackrod Rally pada 24 hingga 25 September, tetapi sementara itu mereka akan ke Hills Ford Three Shires Stages yang akan berlangsung pada 5 September bagi tujuan menyelesakan diri pada rali permukaan tar.

    Mengulas berkenaan kemalangan yang disifatkan paling besar pernah berlaku dalam kariernya itu, Ollie memberitahu ia adalah disebabkan kesilapannya dalam membuat pacenote (nota yang dibaca oleh juruarah) ketika sesi recce, kerana mereka sendiri tidak pasti adakah perlu untuk memecut sepenuhnya atau memperlahankan kereta pada bukit tersebut.

    “Saya ragu-ragu sama ada perlu memecut sepenuhnya di situ atau tidak, dan saya terus pecut dan berada di sebelah kanan jalan dan melompat pada sebelah kanan. Kami dah tengok berberapa (video) dari dalam kereta dan pelbagai dan nampaknya mereka tak melompat setinggi ini. Saya rasa ‘ia’ akan okey,” kata Ollie.

    “Saya tak angkat kaki dari pendikit, terus tekan habis sepanjang jalan dari mula dengan gear lima kemudian mula melompat, satu lagi salah saya, saya angkat pendikit (masa mula melompat) menyebabkan muncung kereta menjunam dan disebabkan kelajuan lompatan yang agak tinggi ia mula mengangkat bahagian belakang. Dan selepas itu apa yang saya nampak adalah permukaan tanah dan terasa lambat betul nak mendarat,” jelas Ollie lagi.

    Menerusi video yang dirakam oleh Sideways Media, muncung Iriz R5 tersebut terlalu menjunam dan kemudian mendarat dengan tayar hadapan sebelah kiri terlebih dahulu yang mencecah permukaan tanah. Ini menyebabkan kereta tersebut bergolek dan kemudian berpusing di udara berberapa kali menyebabkan kerosakan yang teruk termasuk pintu hadapan sebelah kanan tercabut.

    Ollie tidak mengalami sebarang kecederaan, namun juruarahnya, Max Freeman dilaporkan patah pergelangan kaki dan terpaksa bermalam di hospital. Selepas berlakunya kemalangan berkenaan, kereta tersebut terus dibawa ke Mellors Elliot Motorsport (MEM, firma yang mengendalikan Proton Motorsport di UK dan membangunkan Iriz R5 serta Satria Neo S2000 sebelum ini) untuk dileraikan dan dipindahkan ke kerangka baharu.

    “Semuanya nampak boleh diperbaiki semula selain dari panel-panel. Enjin nampak ok, transmisi nampak ok, semua penyerap hentak dan semuanya masih baik. Depan kiri sudah hancur jadi ia perlukan panel depan kiri yang baru, tetapi selain dari itu boleh diselamatkan. Rollcage menerima impak yang kuat tetapi ia telah berfungsi seperti yang diharap, ia hanya bengkok pada satu bahagian,” jelas pelumba berumur 26 tahun berkenaan.

    Menurut Ollie lagi, pasukannya mengambil keputusan untuk tidak menyertai pusingan ketiga BRC iaitu di Grampian Forrest Rally pada 14 Ogos nanti adalah kerana mereka tidak mahu terburu-buru bagi membuat persiapan.

    “Kejuaraan ini bagi kami adalah sangat penting jadi rancangan saya adalah untuk tidak menyertai Grampian, dan sertai Three Shires Stages dan selepas itu saya akan mencuba kembali di Trackrod kerana ia merupakan peluang terbaik saya untuk memberikan keputusan terbaik. Kami akan mula dari situ dan ambil keputusan apa yang akan kami lakukan,” katanya lagi.

    Proton Motorsport tarik diri pada pusingan ketiga BRC 2021 selepas kemalangan besar di Nicky Grist Stages

    Ollie Mellors masih belum berpeluang untuk menyerlahkan prestasi terbaiknya untuk BRC musim ini. Ketika pusingan pertama Neil Howard Stages yang belangsung di Oulton Park Race Circuit 31 Mei lalu, Ollie hanya mengutip 4 mata dengan menghabiskan perlumbaan berkenaan di tempat ke-8 kerana kecederaan kaki yang di alami sebelum perlumbaan.

    Ollie dan MEM mula bertanding dalam BRC dengan Satria Neo S2000 pada musim 2016, dan kemudian menarik diri pada musim berikutnya. Dengan jentera Iriz R5 yang lebih kompetitif siap dibangunkan, Proton Motorsport mula kembali ke BRC pada tahun lalu, tetapi kejohanan tersebut hanya sempat berlangsung dalam satu pusingan sebelum dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

    Dalam satu-satunya pusingan BRC musim 2020 iaitu di Cambrian Rally, Oliver Mellors berjaya menamatkan pelumbaan di tempat keempat dan mengutip 14-mata, diikuti seorang lagi pelumba muda yang baru berpeluang berlumba dalam kategori tertinggi dengan memandu Iriz R5, James William merangkul tempat kelima.

     
     
  • Pengguna MRT Laluan Kajang, LRT Laluan Ampang, Bas MRT T459 pada 21 Julai disaran buat swab test

    Pengguna MRT Laluan Kajang, LRT Laluan Ampang, Bas MRT T459 pada 21 Julai disaran buat <em>swab test</em>

    Rapid KL telah mengesahkan terdapat satu lagi laporan berkenaan kes positif Covid-19 yang melibatkan seorang penumpang MRT Laluan Kajang, LRT Laluan Ampang dan Bas Perantara MRT T459 pada waktu puncak petang 21 Julai 2021.

    Menurut pengumuman yang dibuat menerusi Facebook rasminya, pengendali pengangkutan awam berkenaan berkata, mesej diterima daripada waris penumpang tersebut dan mengatakan individu terbabit menaiki Bas Perantara MRT T459 (VH2494) lebih kurang pukul 4.30 petang dari Hospital Kajang menuju ke Stesen MRT Stadium Kajang.

    Kemudian beliau menggunakan perkhidmatan MRT pada pukul 5.30 petang dari Stesen MRT Stadium Kajang dan turun di Stesen Maluri sebelum menyambung perjalanan menggunakan LRT. Beliau disahkan positif Covid-19 pada Jumaat, 23 Julai.

    Justeru, Rapid KL menyarankan agar penumpang pada tarikh berkenaan supaya membuat ujian saringan kesihatan atau swab test jika mempunyai gejala.

    Dalam masa yang sama, Rapid KL terus mengingatkan para pengguna perkhidmatannya agar sentiasa memakai pelitup muka dan mematuhi SOP sepanjang masa untuk membantu mencegah penularan pandemik Covid-19.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia untuk Jun 2021 ikut jenama – Perodua catat 1,009 unit, Proton hanya 488 unit

    Jualan kenderaan di M’sia untuk Jun 2021 ikut jenama – Perodua catat 1,009 unit, Proton hanya 488 unit

    Dengan penutupan bilik pameran sejak 1 Jun 2021 ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, bukanlah suatu kejutan mengapa jualan kenderaan baharu merundum pada bulan lalu. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan hanya 1,921 kenderaan dihantar sepanjang Jun, menyaksikan penyusutan sebanyak 45,283 unit – atau 96% – berbanding 47,204 unit yang terjual pada bulan Mei.

    Walau pun masih ada penjualan, namun MAA berkata ia adalah baki pendaftaran dari bulan sebelumnya, seperti apa yang berlaku pada April, dengan hanya 152 kenderaan (pada asalnya dilaporkan sebanyak 141 unit) yang didaftarkan selepas pelaksanaan PKP pertama pada Mac.

    Pada dasarnya, pendaftaran pada bulan Jun tidak boleh dinyatakan tepat dengan penghantaran sebenar, tetapi untuk pembelian kenderaan di mana pinjaman yang telah diluluskan dan yang telah dikeluarkan Surat Perjanjian (LoU), dengan selesainya pendaftaran jadi perjanjian tidak akan luput.

    Jualan kenderaan di M’sia untuk Jun 2021 ikut jenama – Perodua catat 1,009 unit, Proton hanya 488 unit

    Bagi pendaftaran pula, Perodua merekodkan sejumlah 1,009 unit, sementara Proton pula sekadar 488 unit. Manakala Mitsubishi pula di tangga ketiga. Diikuti dengan Toyota, Mazda, Honda, Nissan, Isuzu dan BMW yang sekadar mencatatkan dua digit sahaja.

    Bercakap mengenai BMW, jenama ini dan MINI melaporkan angka jualan untuk suku kedua dan keseluruhan untuk pertengahan tahun, di mana BMW dengan jualan mencecah 3,044 unit, sementara MINI pula sekitar 370 unit. Prestasi sukuan sebenar ialah 1,113 unit untuk BMW (1,931 unit untuk suku pertama) dan 156 unit bagi MINI (214 unit untuk suku pertama).

    Sementara itu, Mercedes sudah tidak tersenarai dalam carta yang dikeluarkan oleh MAA, namun disahkan masih kekal sebagai ahli persatuan ini – cuma jenama ini tidak melaporkan angka prestasi, dan terus memberikan alasan yang sama untuk tidak berbuat demikian.

    Jualan kenderaan di M’sia untuk Jun 2021 ikut jenama – Perodua catat 1,009 unit, Proton hanya 488 unit

     
     
  • Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

    Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

    Mercedes-Benz baru sahaja mendedahkan strategi masa hadapan, yang akan melihatkan syarikat Jerman itu bersiap untuk beralih kepada elektrik secara penuh menjelang akhir dekad ini. Ya, syarikat itu mahu menghentikan penggunaan enjin pembakaran dalaman, tetapi ia tidak akan dibuat secara mengejut dan akan bergantung kepada keadaan pasaran.

    Strategi baru ini sebenarnya adalah pengembangan kepada strategi Electric First yang dibentangkan Oktober lalu. Pada masa itu, mereka telah mengesahkan pelancaran empat kenderaan elektrik baru menggunakan asas Electric Vehicle Architecture (EVA), iaitu EQS, EQE, SUV EQS dan SUV EQE. Jenama AMG, Maybach dan G-Class di bawahnya juga akan ditukar kepada penggerak elektrik.

    Pada tahun 2024, Mercedes-Benz akan memperkenalkan satu lagi platform khas EV, dipanggil sebagai Mercedes-Benz Modular Architecture (MMA), dan akan digunakan untuk model bersaiz kompak dan sederhana. Itu sekadar satu ulangan, tetapi apakah rancangan terbaru mereka?

    Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

    Sebagai permulaan, syarikat itu akan menawarkan pilihan versi elektrik bateri dalam semua segmen bermula 2022. Inisiatif ini sudah pun bermula, dengan model seperti EQA, EQB, EQC, EQS dan EQV ditawarkan kepada pasaran tertentu.

    Pada tahun 2025, peralihan kepada EV-sahaja akan diperkuatkan lagi dengan semua platform yang akan diperkenalkan adalah untuk kenderaan elektrik sahaja. Malahan, platform baru itu nanti tidak akan dipadankan dengan enjin pembakaran dalaman langsung dan hanya untuk elektrik dan bateri sahaja.

    “Sekarang kami percaya keutamaan pelanggan akan bertukar dengan lebih cepat. Kereta elektrik penuh akan mendominasi pasaran mewah menjelang tahun 2030,” kata Britta Seeger yang bertanggungjawab untuk jualan dan pemasaran kenderaan di Mercedes-Benz.

    Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

    Semasa pembentangan, Mercedes-Benz mengesahkan tiga platform baru, termasuk MB.EA (Mercedes-Benz Electric Architecture) untuk kereta bersaiz sederhana dan besar. Ini adalah satu sistem modular yang akan menjadi pendokong utama untuk portfolio EV masa hadapan. Kemudiannya ia akan ditambah dengan AMG.EA untuk kenderaan prestasi dan VAN.EA untuk van serta kenderaan komersial ringan.

    Setakat ini syarikat itu masih belum memberikan kata putus bila enjin pembakaran dalaman akan dihapuskan terus daripada barisan model mereka, tetapi ia tidak akan mengambil masa yang lama lagi kerana pelaburan untuk pembangunan enjin itu akan berkurang semasa peralihan ini. “Sudah tentu, tiada siapa dapat menjangka bila penjualan enjin pembakaran dalaman akan dihentikan, kerana itu bergantung kepada pelangan serta keadaan pasaran masing-masing,” kata Seeger.

    Mercedes-Benz memberitahu, mereka melabur lebih 40 bilion euro untuk kenderaan elektrik antara tahun 2022 hingga 2030 untuk mempercepatkan rancangan EV mereka. Dengan portfolio elektrik lebih besar sedang diusahakan, mereka mensasarkan 50% penjualan kenderaan baru adalah daripada model dengan kuasa elektrik (hibrid, plug-in hybrid dan EV) menjelang 2025. Menjelang 2030, dengan keadaan pasaran yang bersesuaian dengan peralihan kepada EV yang menyeluruh, 100% jualan adalah daripada kenderaan elektrik.

     
     
  • Toyota gantung sementara operasi kilang produksi di Thailand ekoran kekurangan bekalan komponen

    Toyota gantung sementara operasi kilang produksi di Thailand ekoran kekurangan bekalan komponen

    Toyota telah menghentikan operasi di tiga kilang pemasangannya di Thailand akibat kekurangan bekalan komponen. Kilang terbabit yang terletak di Ban Pho, Samrong dan Gateway digantung operasinya bermula Rabu lalu dan dijangka berlangsung sehingga 28 Julai ini. Menurut Toyota, pihaknya akan menilai keadaan dan memutuskan sama ada operasi akan disambung semula mulai 29 Julai, laporan Nikkei Asia.

    Punca utama gangguan bekalan komponen ini adalah disebabkan wabak Covid-19. Sebuah kilang pembekal yang membekalkan kabel wayar untuk menyambungkan komponen elektrik, baru-baru ini terpaksa ditutup sementara kerana virus tersebut dikesan telah merebak di kilang terbabit.

    Negara berkenaan mengalami lonjakan kes positif Covid-19 beberapa minggu kebelakangan ini, dengan rekod sebanyak 13,655 kes dilaporkan kelmarin. Antara langkah yang diambil oleh kerajaan negara berkenaan untuk mengatasi lonjakan tersebut termasuklah menutup sebilangan perniagaan di wilayah-wilayah yang terjejas. Walau bagaimana pun, kilang-kilang Toyota yang berada di kawasan tersebut tidak tersenarai dalam aktiviti yang dilarang.

    Kilang-kilang itu pada awalnya dijadualkan ditutup dari 24 hingga 28 Julai kerana cuti tempatan, jadi jika syarikat tersebut dapat mengatasi masalah sumber sebelum 29 Julai, syarikat itu dapat mengurangkan pergantungan pengeluaran hanya tiga hari. “Operasi produksi untuk minggu depan akan ditentukan pada tahap selanjutnya,” kata syarikat itu melalui satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Ini merupakan kali kedua produksi kilang syarikat terbabit di Thailand terjejas akibat pandemik, di mana pertama kali ia berlaku pada tahun lalu, apabila operasi kilang terpaksa digantung ketika gelombang pertama pada Mac. Kapasiti pengeluaran untuk kilang-kilang berkenaan adalah sebanyak 760,000 unit setahun, namun pada tahun lalu, produksi hanya berjaya menghasilkan 440,000 unit sahaja. Separuh daripada kenderaan yang dipasang itu adalah untuk pasaran domestik, dan selebihnya dieksport ke pasaran global.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025