Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tokyo Auto Salon 2021 diteruskan dalam pandemik Covid-19 – acara hibrid bersama siaran langsung

    Tokyo Auto Salon 2021 diteruskan dalam pandemik Covid-19 – acara hibrid bersama siaran langsung

    Tak seperti SEMA Show di Amerika Syarikat, kita di Malaysia lebih ‘dekat’ dengan acara tahunan Tokyo Auto Salon (TAS) kerana budaya JDM adalah lebih dominan disini – kunjungan kami dua tahun kebelakangan ini mengesahkan bahawa untuk berselisih dengan orang Malaysia di dalam dewan Makuhari Messe berkenaan adalah sesuatu yang biasa.

    Disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum reda diperingkat dunia, pasti ramai yang hampa kerana tidak dapat berkunjung ke acara ini awal tahun hadapan bukan? Menerusi kenyataan yang baru sahaja kami terima, pihak penganjur Tokyo Auto Salon tetap akan meneruskan acara tersebut untuk tahun 2021, dengan format hibrid baharu yang turut membawakan “Online Auto Salon” iaitu siaran langsung atas talian menerusi Auto Salon TV, dan juga dewan-dewan pameran maya (Virtual Auto Salon).

    TAS 2021 akan dilangsungkan pada lokasi sama, Makuhari Messe International Convention Complex dan berlangsung dari 15 hingga 17 Januari 2021. Menurut penganjur, TAS merupakan acara pertama di dunia yang dilangsungkan dalam format hibrid sedemikian. Untuk Auto Salon TV, ia bukan sahaja disiarkan dalam bahasa Jepun, saluran dengan bahasa Inggeris dan Cina juga akan disediakan.

    Oleh itu, jumlah tiket-tiket yang dijual juga berkemungkinan akan dikurangkan, bagi memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berkenaan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19. Untuk yang mahu membeli tiket secara online, pembeliannya akan dibuka bermula 1 Disember nanti.

    GALERI: Tokyo Auto Salon 2019

     
     
  • Porsche Cayenne Premium Package di M’sia – RM680k

    Porsche Cayenne Premium Package di M’sia – RM680k

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) baru sahaja memperkenalkan Premium Package untuk Porsche Cayenne E3. Melaluinya, pembeli akan menerima suspensi udara dengan Porsche Active Suspension Management, rim RS Spyder 21 inci, Park Assist dengan Surround View System serta Comfort Access.

    Turut diberi adalah sistem bunyi Bose Surround, pengawal pendingin hawa empat zon dan Porsche Dynamic Light System. Tiada perubahan pada bahagian enjin, dan ia masih digerakkan oleh unit V6 turbo 3.0 liter petrol yang mampu menghasilkan 340 PS pada 5,300 hingga 6,400 rpm dan 450 Nm dari 1,340 hingga 5,300 rpm.

    Transmisi automatik Tiptronic S lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda diberikan secara standard. SUV ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 245 km/j. Brek menggunakan cakera 350 mm dan angkup empat piston di hadapan, sementara di belakang menggunakan angkup dua piston.

    Cayenne Premium Package dijual pada harga RM680,000 dan setiap pembelian datang dengan jaminan empat tahun dan servis serta penyelenggaraan percuma empat tahun. Tempahan sudah pun dibuka oleh SDAP dan penghantaran kepada pelanggan dijangka berlaku pada tahun 2021.

    “Segmen SUV terus meningkat popular di Malaysia dan sebagai kenderaan yang paling sporty dalam segmen ini, Cayenne diletakkan secara unik untuk menawan hati pelanggan yang mahukan pengalaman jenama serta kereta sports kami,” kata ketua pegawai eksekutif SDAP, Christopher Hunter.

     
     
  • Ducati Multistrada V4 akan diperkenal 4 November ini – motosikal pertama guna radar depan dan belakang

    Ducati Multistrada V4 akan diperkenal 4 November ini – motosikal pertama guna radar depan dan belakang

    Selepas model Panigale dan Streetfighter, Ducati akan memperkenalkan satu lagi model yang menggunakan enjin empat silinder V Desmosedici Stradale, iaitu Multistrada V4. Ia akan diperkenalkan secara rasmi 4 November ini, dan juga akan menjadi motosikal produksi pertama yang menggunakan radar depan dan belakang.

    Sistem radar ini dibangunkan bersama jabatan elektronik, informasi dan biokejuruteraan Universiti Politecnico di Milano, dan menjadi sebahagian daripada sistem bantuan penunggang terkini (ADAS) Ducati untuk meningkatkan ciri keselamatan. Ia menampilkan dua radar, di hadapan dan bealakang, dengan setiap satunya mempunyai berat 190 gram dan berukuran 70 x 60 x 20 mm.

    Radar hadapan disambungkan kepada sistem Adaptive Cruise Control (ACC), untuk mengawal pecutan dan brek bagi melaras jarak dengan kenderaan di hadapan. Empat tahap jarak disediakan dan ia boleh diguna pada kelajuan antara 30 hingga 160 km/j.

    Menggunakan asas daripada sistem ACC kereta, sistem pada Multistrada V4 ini telah diubah suai untuk memadankan ia dengan penggunaan pada motosikal, terutamanya bagi menambah dan mengurangkan kelajuan. Parameter yang digunakan adalah terhad, supaya penunggang masih dapat mengawal kembali motosikal bila-bila masa.

    Radar yang berada di belakang pula memerhati titik buta motosikal, terutamanya bahagian belakang dan sudut-sudut yang tidak kelihatan dalam cermin sisi. Sistem ini akan mengeluarkan amaran sekiranya ada kenderaan di dalam titik buta ataupun bila ada kenderaan yang mendekati dalam kelajuan yang tinggi.

     
     
  • BMW 128ti F40 – lawan terus kepada VW Golf GTI, 265 PS/400 Nm, pacuan hadapan, 0-100 km/j dalam 6.1 saat

    BMW 128ti F40 – lawan terus kepada VW Golf GTI, 265 PS/400 Nm, pacuan hadapan, 0-100 km/j dalam 6.1 saat

    Julai lalu, kita di Malaysia sudahpun menerima BMW 1 Series generasi F40 terbaharu, ditawarkan dalam versi paling berkuasa M135i xDrive. Namun di negara asalnya, Jerman, 1 Series ini diperkenalkan dalam versi prestasi tinggi satu tangga di bawah M135i, digelar sebagai BMW 128ti. Ia akan mula dijual pada November nanti dengan harga bermula 41,575 euro (RM202,835).

    Lencana “ti” berkenaan (sebelum ini “TI”) adalah antara lencana ikonik dari BMW, bermaksud “Turismo Internazionale”. Mula diperkenalkan pada BMW 1800 TI pada tahun 1963, kemudian diteruskan pada BMW 2002 TI, seterusnya diberikan pada model-model hatchback 3 Series Compact (323ti dan 325ti) pada era 90’an.

    Jika M135i dengan sistem AWD dilihat lawan terus kepada VW Golf R dan Mercedes-AMG A35, 128ti ini pula dihasilkan untuk berhadapan terus dengan hot hatch pacuan roda hadapan seperti VW Golf GTi dan juga Hyundai i30 N. Model ini masih dijana enjin 2.0L petrol turbo empat silinder B48, namun diberikan talaan kuasa 265 PS (261 hp) dihasilkan antara 4,740 hingga 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,750 hingga 4,500 rpm.

    Kuasa hanya dihantar ke roda hadapan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Steptronic Sport, membolehkan ia memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 6.1 saat, manakala kelajuan maksimanya pula dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    BMW 128ti F40 – lawan terus kepada VW Golf GTI, 265 PS/400 Nm, pacuan hadapan, 0-100 km/j dalam 6.1 saat

    Sebagai perbandingan, abangnya M135i xDrive yang dibekalkan dengan kuasa 306 PS/450 Nm mampu untuk melakukan pecutan yang sama dalam masa 4.8 saat, manakala saingan terdekatnya, VW Golf GTI Mk8 hanya dibekalkan dengan enjin berkuasa 245 PS dan tork maksima 370 Nm.

    BMW 128ti ini turut menerima berberapa peralatan prestasi yang diambil dari M135i bagi membolehkan ia menangani kuasa besar yang dibekalkan. Antaranya bar anti-oleng lebih keras, cagak bar anti-oleng dengan pra-beban tinggi, serta pakej suspensi M Sport yang memberikan spring dan penyerap hentak lebih keras serta 10 mm lebih rendah dari standard.

    LSD jenis Torsen dari M135i juga diberikan pada 128ti ini, memberikan kesan lock pada kedua-dua roda hadapan dengan kadar 31% ketika memecut (M135i:36%) dan 26% ketika nyah pecut. Selain itu, aspek elastokinematics pada gandar hadapan juga dioptimakan bersama talaan unik pada stereng membolehkan torque steer dikurangkan.

    Ia juga menerima sistem sokongan lain seperti BMW Performance Control dan juga teknologi actuator contiguous wheel slip limitation (ARB), yang diberikan standard untuk semua vatian 1 Series. Untuk brek pula, 128ti ini dibekalkan dengan pakej M Sport, terdiri dari cakera 360 mm bersama angkup empat omboh di hadapan, dan juga cakera 300 mm bersama angkup omboh tunggal di belakang.

    BMW 128ti F40 – lawan terus kepada VW Golf GTI, 265 PS/400 Nm, pacuan hadapan, 0-100 km/j dalam 6.1 saat

    Untuk penggayaan, 128ti ini menerima kit luaran M Sport dengan rekaan bampar hadapan dan belakang sama seperti M135i. Namun untuk membezakan antara kedua model tersebut, versi dengan kuasa lebih rendah ini diberikan “tirai udara” pada bampar hadapan, liang udara belakang dan skirt sisi dengan lencana “ti” dengan serlahan merah.

    Namun serlahan-serlahan merah ini hanya diberikan pada warna badan Storm Bay, Mineral Grey, Sapphire Black atau Alpine White sahaja. Manakala untuk warna badan Melbourne Red atau Misano Blue ia akan digantikan dengan serlahan hitam.

    Ciri unik standard lain untuk penggayaan model ini termasuk rim aloi ringan 18-inci jejari-Y style 553 dua-tona dan juga lencana “128ti” dalam kemasan krom diletakkan di belakang, bersama dua tip ekzos berdiameter 90 mm. Varian ini turut diberikan kemasan Extended Shadowline yang memberikan kemasan hitam berkilat pada gril kidney, penutup cermin sisi serta lampu hadapan yang digelapkan.

    Lencana “ti” turut diserlahkan pada bahagian dalaman dengan sulaman yang dibuat pada perehat tangan tengah. Elemen sporty lain pada kabin termasuk serlahan-serlahan Red Race pada tempat duduk dan benang-benang jahitan upholsteri lain. Namun untuk pelanggan yang tidak gemar dengan serlahan merah ini, mereka boleh memilih untuk tidak memilihnya.

    BMW 128ti F40 – lawan terus kepada VW Golf GTI, 265 PS/400 Nm, pacuan hadapan, 0-100 km/j dalam 6.1 saat

    Model ini didatangkan standard dengan perehat kaki dan set pedal logam tahan karat M, jalur bendul pintu M dan juga tali keledar M. Manakala ciri opsyen yang ditawarkan pula adalah upholsteri kulit Dakota dan Trigon/Sensatec pada tempat duduk dan juga perehat kepala bersepadu bersama bahagian bawah yang boleh dipanjangkan.

    Antara teknologi yang diterapkan pada kabin 128ti ini pula adalah sistem BMW Live Cockpit Professional dengan dua skrin paparan 10.25-inci, BMW Operating System 7.0 dan juga pelbagai fungsi terhubung. Pembeli turut ditawarkan dengan opsyen paparan head-up bersaiz 9.2-inci.

    Untuk anda yang masih merasakan 128ti ini kurang sporty, pelbagai aksesori dan kelengkapan sudah pun tersedia dalam katalog peralatan M Performance. Antara yang boleh dipilih adalah peralatan penggayaan luaran seperti splitter udara hadapan, spoiler bumbung, aero flic, diffuser belakang dan juga penutup cermini sisi dalam kemasan gentian karbon atau hitam berkilat.

    Katalog tersebut turut menyenaraikan lebih pilihan rim aloi, terdiri dari rim forged jejari-Y 18-inci style 711 M dalam kemasan Ferric Grey dan juga rim M Performance 19-inci jejari berkembar style 555 M dalam kemasasan digilap.

    Aksesori dalaman yang ditawarkan pula adalah pedal penukar gear gentian karbon, dan juga roda stereng M Performance dengan pilihan balutan Alcantara atau kulit bersama penanda pukul 12 dalam kemasan merah, dan juga pilihan kemasan gentian karbon.

     
     
  • Audi A5 Sportback 2020 kini di M’sia – 12V mild hybrid, RM350,900 untuk 2.0 TFSI, RM377,900 bagi quattro

    Audi A5 Sportback 2020 kini di M’sia – 12V mild hybrid, RM350,900 untuk 2.0 TFSI, RM377,900 bagi quattro

    Audi mula mempamerkan model facelift bagi A5 Sportback di Malaysia sejak dua minggu yang lalu. Jentera fastback lima-pintu yang diberikan suntikan lebih segar adalah bagi menggantikan model terdahulu yang diperkenalkan pada tahun lalu.

    Semalam harganya baru saja didedahkan, bagi varian asas 2.0 TFSI, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM350,900 tanpa insurans. Ini bermakna ia RM11,000 lebih mahal berbanding harga model sebelumnya. Bagi versi quattro pula, ia berharga RM377,900. Ini termasuklah pengurangan cukai jualan (SST) sebanyak 50% sehingga 31 Disember 2020. Kedua-dua model berkenaan juga didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Kedua-dua varian juga menggunakan enjin yang sama iaitu unit EA888 2.0 liter pengecas turbo petrol empat-silinder, namun dengan talaan yang berbeza. Bagi model asas, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 190 PS dari 4,200 hingga 6,000 rpm dan tork 32o Nm antara 1,450 dan 4,200 rpm. Ia mampu dipecut dari sifar hingga 100 km/j dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai sehingga 241 km/j.

    Audi A5 Sportback 2020 kini di M’sia – 12V mild hybrid, RM350,900 untuk 2.0 TFSI, RM377,900 bagi quattro

    Bagi model pacuan semua-roda quattro, angka prestasinya mampu melonjak sehingga 249 PS dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 370 Nm antara 1,600 dan 4,500 rpm, di mana ia sedikit kurang berkuasa berbanding model semasa. Dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.2 saat dan kereta ini mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 250 km/j.

    Kedua-dua model dilengkapi transmisi dwi-klac basah S tronic tujuh-kelajuan.Bukan itu sahaja, ia turut menerima sistem mild hybrid 12-voltan yang membolehkan kereta terus dipandu dengan enjin dimatikan dan mengoperasikan sistem start-stop apabila dipacu dari 22 km/j.

    A5 ini ditampilkan dengan rekaan terkini Audi dengan beberapa perubahan demi memantapkan lagi gayanya. Pada bahagian hadapan, ia diberikan gril bingkai tunggal dan bampar yang direka semula dengan rekaan corong pengambilan udara kelebaran penuh, di samping kemasan perak. Ia turut digandingkan dengan lampu utama matrix LED yang gelap di dalam dengan lampu nyalaan siang segmentasi.

    Bahagian sisi juga diberikan perubahan, di mana ia melibatkan rekaan skirt sisi yang lebih tajam dan padanan roda aloi pelbagai-jejari dua-tona 19-inci baharu melengkapkan lagi gayanya, Manakala di belakangnya, padanan lampu baharu diberikan, bersama rekaan yang hampir sama dengan lampu nyalaan siang hadapan. Bampar belakangnya juga direka semula dengan sambungan corong ekzos trapezoidal.

    Audi A5 Sportback 2020 kini di M’sia – 12V mild hybrid, RM350,900 untuk 2.0 TFSI, RM377,900 bagi quattro

    Untuk bahagian kabinnya pula, ia dipadankan dengan roda stereng dengan rekaan baharu, serta paparan tengah 10.1-inci yang diposisikan di bahagian tengah papan pemuka dengan skrin sesentuh bagi menggantikan rotary dial lama.

    Paparan baharu ini adalah versi terkini bagi Multi Media Interface (MMI), dengan rekaan yang lebih minimalis, gerakan pelbagai-sentuhan seperti telefon pintar dan juga sistem kawalan suara baharu dengan pengesan bahasa. Model ini juga didatangkan dengan MMI navigation plus berserta paparan instrumen kokpit maya 12.3-inci.

    Ciri standard lain termasuklah termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu tiga-zon, tempat duduk sport untuk pemandu dengan larasan kuasa dan fungsi memori, balutan upholstery kulit asli dan tiruan, kemasan Silver Aluminium Ellipse, 10-pembesar suara, sistem bunyi 180-watt, kamera undur dan tailgate berkuasa bebas-tangan. Suspensi sport juga didatangkan secara standard bagi kedua-dua varian, dengan peredam pasif. Walau bagaimana pun, peredam adaptif tidak juga diberikan pada model facelift ini.

    Bagi aspek keselamatan, A5 Sportback dilengkapi dengan bantuan kekal lorong, tetapi malangnya ciri brek kecemasan sendiri tidak juga disertakan. Dengan harga yang setinggi ini, nampak gayanya Audi masih tidak mampu menandingi apa yang yang ditawarkan oleh BMW bagi model pesaingnya iaitu 330i.

    GALERI: Audi A5 Sportback advanced 2.0 TFSI quattro facelift 2020

     
     
  • K’jaan digesa lanjut pengecualian SST ke Jun 2021

    K’jaan digesa lanjut pengecualian SST ke Jun 2021

    Kerajaan perlu mempertimbangkan lanjutan tempoh pengeculian cukai jualan kenderaan baru di Malaysia hingga Jun 2021, kerana langkah itu akan menjadi pemangkin kepada proses pemulihan ekonomi akibat kesan pandemik Covid-19.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Proton Edar, Roslan Abdullah, lanjutan tempoh pengecualian SST itu adalah langkah yang paling wajar diambil untuk merancakkan jualan kenderaan serta memacu pertumbuhan positif bagi jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk tahun depan. Pengecualian SST, yang diumumkan di bawah program rangsangan ekonomi Penjana, akan berakhir 31 Disember nanti.

    “Kami di dalam industri automotif sangat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan tempoh lanjutan itu bagi enam bulan lagi, atau sekurang-kurangnya hingga bulan Mac tahun depan,” ujar beliau dalam satu wawancara bersama Berita Harian. Roslan menjelaskan, pengecualian cukai SST kenderaan itu memberikan kesan yang sangat menggalakkan terhadap angka jualan dalam tiga bulan terawal, membolehkan industri berkenaan untuk menampung kerugian ketika tempoh Perintah Larangan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

    “Bahkan, industri automotif telah meminimumkan pemberhentian pekerja dan sebahagiannya masih membayar gaji yang sama seperti sebelum tempoh pandemik. Lanjutan tempoh pengecualian SST ini akan dapat memperbaiki lagi operasi serta memastikan tenaga kerja dapat dikekalkan,” tambah beliau dan menjelaskan langkah itu turut akan menyokong keseluruhan rantaian bekalan industri, bukan hanya pengeluar.

    Pengecualian 100% cukai jualan bagi kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan juga 50% bagi model import CBU yang diumumkan sebelum ini akan berakhir pada 31 Disember. Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), hal itu menyumbang kepada peningkatan jualan kenderaan sebanyak 70k bagi tempoh separuh kedua tahun ini.

     
     
  • Hyundai Sonata di Malaysia akan dijual dari RM20xk

    Hyundai Sonata di Malaysia akan dijual dari RM20xk

    Minggu lalu, kita telah dimaklumkan bahawa Hyundai Sonata 2020 akan dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia. Dalam perkembangan terbaru pula, Hyundai Sime-Darby Motors (HSDM) mula memberi petunjuk kepada sedan segmen D generasi kelapan itu, sempena pembukaan untuk ambilan tempahan model berkenaan.

    Harganya akan bermula pada RM20X,XXX bagi Sonata terbaru ini nanti, yang merupakan model CBU yang diimport dari Korea Selatan. Ini bukanlah murah, tetapi perkembangan dalam tahun-tahun kebelakangan ini dalam segmen D sedan menyaksikan tanda harga di bawah RM150k untuk segmen berkenaan sudah lama ditinggalkan. Pada 2018, Toyota Camry terbaru mula diperkenalkan pada harga RM190k, antara pemula bagi harga tertinggi bagi segmen berkenaan ketika itu.

    Honda Accord terbaru pula yang dilancarkan awal tahun ini kemudiannya melangkaui angka tersebut dengan harga jualan RM196k. Toyota Camry 2.5L tersebut merupakan unit CBU dari Thailand, sementara Honca Accord 1.5T adalah unit CKD tempatan. Sepanjang tempoh pengecualian SST hingga 31 Disember nanti, masing-masing kini dijual pada harga RM188,763 dan RM187,360.

    Hyundai Sonata DN8 di Malaysia dijanakan oleh enjin baharu 2.5 liter Smartstream MPI empat-silinder petrol. Unit ini memberikan kuasa hingga 180 hp pada 6,000 rpm dan tork 232 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan. Angka ini setara dengan Camry 2.5L NA; cuma kurang 4 PS dan 3 Nm.

    Penampilan Sonata baru ini juga kelihatan lebih matang dan menarik berbanding model sebelumnya. Ia merupakan model pertama yang mengetengahkan pendekatan rekaan Sensuous Sportiness oleh Hyundai, ibarat gaya ala coupe empat-pintu YF generasi ke-enam.

    Di depan, gril Cascading yang lebih lebar dan agresif menjadi wajah utamanya, disambungkan dengan lampu utama LED trapezoidal yang nipis melunjur ke atas sehingga gerbang roda hadapan. Jalur bonet krom yang lebih berkarakteristik ini juga mempunyai fungsi baharu untuk menyembunyikan lampu nyalaan siang LED.

    Hyundai Sonata di Malaysia akan dijual dari RM20xk

    Dari segi ukuran dimensi, Sonata terbaru ini lebih besar berbanding model sebelumnya. Ia berukuran 4,900 mm panjang dan 1,890 mm lebar, iaitu 45 mm lebih panjang dan 25 mm lebih lebar. Malah jarak antara rodanya juga lebih panjang sebanyak 35 mm, kini 2,840 mm. Bagaimana pun, ia lebih rendah sebanyak 30 mm iaitu pada 1,445 mm.

    Di dalam, Sonata baru ini dibentangi papan pemuka yang lebih nipis, dengan konsol tengah yang agak tinggi dan skrin sesentuh infotainmen apungan. Unit paparan kelihatan lebih menarik dengan skim warna dua tona, dengan papan pemuka dan tempat duduk balutan kulit berona perang. Skrin sesentuh lebih kecil, bersaiz lapan-inci ditampilkan berbanding unit paparan 10.25 inci untuk pasaran lain, tetapi masih menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

     
     
  • 5 varian Proton yang anda tak patut beli – ini sebabnya

    5 varian Proton yang anda tak patut beli – ini sebabnya

    Okeh, jika anda rasa tajuk yang kami di atas ini sekadar clickbait, mungkin anda silap. Ini juga bukan artikel untuk ‘mengecam’ Proton, tetapi lebih kepada panduan untuk anda sebagai pengguna untuk memilih varian mana yang patut anda pilih ketika membeli kereta.

    Dalam artikel ini, lima varian Proton yang kami senaraikan ini bukan bermaksud ia tidak bagus, tetapi ada varian lain untuk model yang sama yang memberikan nilai yang setimpal untuk jumlah wang yang anda bayar. Panduan yang kami sediakan ini adalah berdasarkan harga, nilai, kelengkapan dan yang paling kami tekankan adalah dari segi aspek keselamatan.

    Walaupun masih belum boleh menandingi Perodua dari segi angka jualan, Proton kini dilihat sedang berusaha keras untuk kembali menjadi jenama automotif terlaris seperti apa yang pernah mereka capai satu ketika dahulu. Jadi selain dari menghasilkan model-model lebih premium seperti X70 dan X50, Proton kini menawarkan model-model mampu milik mereka dengan pelbagai kelengkapan, rupa lebih segar, serta dengan harga lebih rendah.

    Namun, bukan semua yang ditawarkan dengan harga rendah bermaksud ia pemilihan yang berbaloi, lebih-lebih lagi jika ia dilihat dari angka bayaran ansuran bulanan. Jadi, senarai di bawah adalah 5 varian Proton yang kami rasa anda perlu abaikan, dan pilih varian lain dalam barisan model yang sama.

    5 varian Proton yang anda tak patut beli – ini sebabnya

    Harga untuk setiap model Proton, dengan pengecualian cukai jualan 2020. Klik untuk besarkan

    Proton Saga Standard AT

    5 varian Proton yang anda tak patut beli – ini sebabnya

    Proton Saga dalam versi yang paling baharu diperkenalkan pada Ogos 2019, menampilkan pelbagai perubahan yang signifikant dari versi sebelumnya, antaranya adalah unit kotak gear automatik CVT ditukar kepada transmisi 4AT yang dibekalkan Hyundai, dan juga rombakan pada papan pemuka.

    Varian untuk Saga baharu ini juga diatur semula di mana versi pertengahan Executive yang ditawarkan sebelum ini telah digugurkan, dan pilihan untuk pengguna hanyalah varian asas Standard (MT dan AT) serta varian tertinggi Premium (hanya AT).

    Model paling rendah Standard MT dijual pada harga RM32,400 (lengkap dengan pengecualian cukai jualan 2020), manakala varian yang sama tetapi dengan kotak gear 4AT, dijual pada harga RM35,300. Dengan bayaran RM2,900 lebih mahal ini, pembeli untuk varian Standard AT ini juga akan menerima tambahan rim aloi, lampu peta LED, port USB kabin belakang dan juga pemegang tangan dengan penyerap kejutan.

    Namun beza harga antara varian Standard AT dengan varian Premium hanyalah RM4,000 (beza bayaran bulanan pula tak sampai RM100). Dengan bayaran tambahan ini, Saga Premium ditambah dengan rim aloi 15-inci dua-tona, lampu nyalaan siang LED, cermin sisi dan pembuka pintu mengikut warna badan, dan juga kemasan hitam pada tiang-B.

    Pada bahagian dalaman pula, model Premium ini menerima tempat duduk fabrik yang lebih baik, butang audio/telefon pada roda stereng, dan juga skrin android (model standard diberikan pemain utama tanpa skrin sesentuh yang diletakkan pada kluster ‘terapung’ yang nampak pelik), yang turut memaparkan visual dari kamera undur, serta penderian parkir hadapan.

    Kelengkapan tambahan yang disebutkan ini sahaja nampak sudah setimpal dengan jumlah RM4,000 tersebut, tetapi anda jangan lupa, model Premium juga hadir dengan sistem keselamatan seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan bantuan mula mendaki (HHA). Mungkin anda boleh pasang kelengkapan-kelengkapan kosmetik disebutkan tadi di kedai-kedai aksesori, namun untuk sistem ESC dan HHA, ini hanya ditawarkan di kilang dan tidak boleh dipasang kemudian di mana-mana.

    Proton Iriz dan Persona Standard CVT

    5 varian Proton yang anda tak patut beli – ini sebabnya

    Kami sarankan, kalau anda mahukan varian paling rendah ini, pastikan sebab utamanya adalah anda mahukan kotak gear manual. Jika sebabnya anda mahukan varian yang paling murah, ia sekali lagi tidak berbaloi.

    Buat masa sekarang, Proton dan Perodua antara pengeluar yang masih menawarkan kotak gear manual untuk kereta penumpang biasa. Manakala antara Proton dan Perodua, sistem transmisi manual Proton adalah jauh lebih baik dan menawarkan tukaran gear yang memberikan keseronokan memandu.

    Tukaran gear pada kotak gear manual Iriz 1.3 Standard dan juga Persona 1.6 Standard memberikan rasa tukaran yang baik setiap kali kedudukan gear diubah, bersama pedal klac yang juga mudah untuk dioperasikan. Jadi rugi sekiranya anda membayar lebih RM2k hingga RM3k bagi mendapatkan kereta dengan kotak gear CVT yang nyata mengurangkan keseronokan memandu (Iriz Standard 1.3 CVT dan Persona 1.6 Standard CVT masing-masing dijual pada harga RM39,200 dan RM44,000).

    5 varian Proton yang anda tak patut beli – ini sebabnya

    Walau bagaimanapun, ini bukanlah bermaksud kotak gear CVT pada Proton ini teruk. Untuk model versi pertama Iriz yang diperkenalkan pada tahun 2015, ya, ia membuatkan enjinnya mengaum tak tentu hala. Namun masalah ini telah pun diatasi pada versi-versi terkini dan ia kini ditala jauh lebih baik dan memberikan respon yang lebih terus.

    Jika anda mahukan Iriz dan Persona dengan kotak gear CVT ini, kami sarankan anda membeli varian Executive CVT, dengan Iriz 1.3 Executive dijual pada harga RM44,100 dan Persona 1.6 Executive dijual pada harga RM48,900. Dengan harga RM5k lebih mahal, Iriz menerima rim aloi lebih besar dan juga lampu hadapan automatik; dan kedua-duanya menerima lampu nyalaan siang LED, pembuka but kawalan jauh, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kamera undur dan juga skrin sesentuh untuk sistem audio.

    Sekali lagi kami ingatkan, perbezaan RM5k itu mungkin nampak besar, tetapi jika ia dibahagikan menerusi bayaran bulanan, perbezaannya tidak begitu ketara. Jika anda mahu menambah aksesori-aksesori tersebut selepas kereta berkenaan keluar dari bilik pameran, anda sudah tentu memerlukan tunai yang banyak ketika berkunjung ke kedai aksesori.

    Proton Exora Executive

    5 varian Proton yang anda tak patut beli – ini sebabnya

    Proton Exora antara model lama yang masih bertahan dalam pasaran. Ia dilancarkan lebih satu dekad lalu, dan kini masih bertahan sebagai antara MPV segmen-C paling laris. Sebabnya? Ia tiada saingan terus dalam segmennya, malah pencabar terdekat jika dibandingkan harga iaitu Alza, model keluaran Perodua itu juga kini berusia hampir sama dengan Exora.

    Buat masa sekarang, Exora dipasarkan hanya dalam dua varian iaitu versi tertinggi Premium dijual pada harga RM64,800, manakala model lebih rendah Exora Excutive dijual pada harga RM7,500 lebih murah dengan harga RM57,300. Apa yang membuatkan kami tidak sarankan anda untuk membeli versi lebih murah pada Exora ini adalah kerana ia tidak dilengkapi dengan ESC, yang pada kami ia amat diperlukan oleh sebuah MPV keluarga.

    Perincian tambahan lain yang diterima pada model Premium tersebut termasuk lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, cermin sisi boleh lipat elektrik, skirt sisi, spoiler belakang, bumbung dan kemasan belakang hitam, roda stereng kulit bersama butang kawalan, cruise control, tempat duduk separa kulit, cermin solek untuk pemandu, perehat tangan boleh lipat baris depan, kamera undur, dan juga skrin infotaimen tujuh-inci “Hi, Proton”.

    Lagi satu yang kami agak kecewa, semua varian Exora kini tidak lagi ditawarkan dengan beg udara sisi sejak 2017, menjadikan keseluruhannya hanya dua-beg udara diberikan. Ini jelas adalah langkah untuk menjimatkan kos bagi membolehkan Exora dijual pada harga lebih murah.

    Proton X50 1.5T Standard

    5 varian Proton yang anda tak patut beli – ini sebabnya

    Proton X50 masih lagi belum dilancarkan, namun segala perinciannya boleh dikata telah disiarkan hampir kesemuanya, termasuk perbezaan kelengkapan setiap varian. Apa yang belum diumumkan secara rasmi hanyalah harga jualannya.

    SUV segmen-B ini akan dipasarkan dalam empat varian – Standard, Executive, Premium dan Flagship – dan dua jenis enjin 1.5 liter tiga-selinder. Model Flagship diberikan enjin dengan sistem suntikan terus menjana 177 PS/255 Nm, manakala varian lain diberikan sistem suntikan pelbagai titik ditala bagi menghasilkan 150 PS/226 Nm.

    Ketika kami menerima spesifikasi untuk semua varian ini tempoh hari, apa yang kami rasa tak patut pada tahun 2020 pada sebuah model yang dihasilkan sarat dengan teknologi ini adalah varian Standard yang hanya dilengkapi empat beg udara, berbanding enam pada varian lain.

    5 varian Proton yang anda tak patut beli – ini sebabnya

    Kita masih perlu menunggu untuk melihat sejauh mana perbezaan harga antara Standard dan Executive, namun kami rasa tentang keselamatan ini harga perlu diketepikan kerana X50 bukanlah model yang dikategorikan sebagai mampu milik. Malah Perodua Aruz yang berada pada segmen yang lebih disasarkan pada pasaran lebih rendah turut dilengkapi dengan enam-beg udara bagi semua varian.

    Kami anggarkan perbezaan harga antara varian Premium dan Flagship tidak besar, paling kurang pun sekitar RM10k dan kami rasa ia tidak begitu signifikan, di mana model tertinggi tersebut bukan sahaja menerima enjin lebih berkuasa, malah turut menjadi satu-satunya varian yang diberikan sistem bantuan pemanduan (ADAS) penuh.

    Jadi, untuk tiga model lebih rendah dalam barisan model X50 ini juga nampaknya tidaklah menerima sistem keselamatan yang benar-benar canggih kerana ia tidak mempunyai sistem brek kecemasan automatik (AEB) dan juga pemantau titik buta.

    5 varian Proton yang anda tak patut beli – ini sebabnya

    Sebagai perbandingan, X70 nampaknya diberikan pecahan spesifikasi yang lebih baik. Terdapat banyak perbezaan visual antara varian asas Standard dan juga varian pertengahan Executive, sesuai dengan perbezaan harga, namun kesemua varian X70 diberikan enam-beg udara.

    Mungkin ada yang berpendapat X70 Premium X turut perlu dimasukkan dalam senarai yang kami buat ini. Tapi kami rasa perbezaan harga RM3k hanya untuk seunit sunroof pada bumbung adalah harga patut untuk mereka yang mahukan ciri tersebut. Sekurang-kurangnya pembeli X70 diberikan pilihan untuk ciri yang tidak penting ini, seperti apa yang dibuat pada X50 di mana semua ciri paling bagus hanya diberikan pada model Flagship.

    Jadi, inilah dia senarai lima varian Proton yang kami rasa tak patut anda beli. Namun kami tetap akui setiap varian dihasilkan ada sebabnya, antaranya bagi memudahkan kelulusan pembiayaan bank kepada lebih ramai pembeli di mana faktor ini kadang kala memainkan peranan walaupun beza RM100.

    Namun jika anda mampu, kami sarankan anda pilihlah varian dengan sistem keselamatan penuh kerana ia antara ciri penting untuk lebih selamat berada di atas jalan raya, dan ia juga tidak boleh ditambah di kemudian hari.

     
     
  • DBKL tambah JomParking sebagai aplikasi bayar parkir tanpa tunai di tempat letak kereta di bahu jalan

    DBKL tambah JomParking sebagai aplikasi bayar parkir tanpa tunai di tempat letak kereta di bahu jalan

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menambah satu lagi aplikasi iaitu JomParking, untuk warga kota membuat pembayaran caj tempat letak kereta bahu jalan sekitar ibu negara mulai esok, bagi menggantikan penggunaan mesin yang ditamatkan pada 30 September lalu, laporan Bernama.

    Sebelum ini, DBKL telah mengumumkan empat aplikasi mudah alih e-dompet iaitu EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking dan M-Cash sebagai kaedah pembayaran caj parkir tanpa tunai, yang mula dilaksanakan sejak 1 Oktober lepas.

    DBKL tambah JomParking sebagai aplikasi bayar parkir tanpa tunai di tempat letak kereta di bahu jalan

    Selain itu, DBKL juga memaklumkan pas harian dan pas bulanan untuk parkir buat masa ini masih belum beroperasi. “Kemudahan ini hanya akan diaktifkan setelah naiktaraf sistem dilaksanakan. Walau bagaimana pun, permohonan bagi petak khas parkir masih beroperasi seperti biasa dan kadar caj TLK masih kekal seperti sedia ada,” ujar DBKL.

    Susulan dengan pengumuman ini, DBKL menasihati orang ramai agar menyesuaikan diri untuk menggunakan kaedah baharu ini bagi membuat pembayaran caj parkir di tempat letak kereta di bahu jalan sekitar Kuala Lumpur.

     
     
  • Bentley Bentayga facelift kini di pasaran Malaysia – 550 PS V8; dari RM744k; First Edition dari RM935k

    Bentley Bentayga facelift kini di pasaran Malaysia – 550 PS V8; dari RM744k; First Edition dari RM935k

    Pada Julai lalu, Bentley telah mendedahkan model facelift bagi Bentayga, dan kini SUV yang dipertingkatkan itu telah dilancarkan di Malaysia. Bentley Kuala Lumpur telah menawarkan model dengan versi standard dan satu lagi, First Edition.

    Bagi harganya, Bentayga versi biasa akan dijual pada harga RM743,900 yang dikira sebelum cukai, insurans dan pendaftaran. Manakala versi First Edition pula, dengan harga bermula dari RM935,000, dengan beberapa pilihan sebagai standard, yang bakal kita terima tidak lama lagi. Bentley berkata beberapa unit untuk dipamerkan di bilik pameran bakal tiba tidak lama lagi, dengan unit terhad akan dihantar mulai suku ke-empat tahun ini.

    Kedua-dua versi dijanakan oleh enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8 petrol, dengan hamburan kuasa 550 PS (542 hp) dan tork 770 Nm, Dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda, membolehkan pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam hanya 4.5 saat dan kelajuan maksimum cecah 290 km/j.

    Berkenaan dengan perubahan bahagian luaran, setiap panel di bahagian hadapan SUV ini telah direka semula, dengan gril matrix yang lebih besar dan lebih tegak. Lampu utama LED matrix yang disambungkan ke gril telah diposisikan 30 mm lebih tinggi berbanding sebelum ini dan rekaan signitur Bentley diinspirasikan dari potongan kaca kristal, seperti mana yang dipaparkan pada model terkini Continental GT dan Flying Spur.

    Corak gril juga telah ditiru pada beberapa bahagian bampar hadapan yang nampak lebih agresif, sementara pada bahagian sisi pula menampilkan corong baharu yang lebih panjang. Cetakan pintu bawah dengan lencana V8 juga telah disemak semula, bersama dengan spoiler bumbung yang lebih panjang.

    Lain-lain perubahan turut melibatkan bahagian belakang, termasuk pintu tailgate yang direka semula bagi menyesuaipadankan dengan lampu elliptical dengan gaya-Continental GT dan tulisan Bentley, bersama plat lesen yang telah diposisikan di bawah bampar, hampir dengan corong ekzos yang terpisah dan lebar.

    Untuk kabinnya pula, Bentayga menerima roda stereng, kluster instrumen digital dan kemasan baharu, yang banyak mengikut gaya Flying Spur. Manakala corong udara bulatnya kini digantikan dengan corong tunggal sculpture bersama bezel krom dan juga jam Bentley, yang diposisikan di atas skrin sesentuh infotainmen 10.9-inci.

    Bentley Bentayga facelift kini di pasaran Malaysia – 550 PS V8; dari RM744k; First Edition dari RM935k

    Sebelum ini, Bentayga diolah dengan konfigurasi empat-tempat duduk, tapi kini model mewah ini hadir dengan konfigurasi lima-tempat duduk dengan turut menampilkan pengaliran udara untuk tempat duduk belakang. Perubahan konfigurasi ini adalah hasil peningkatan ruang kaki dalam kedudukan tegak sebanyak 30 mm, dengan peningkatan hampir 100 mm bagi posisi kedudukan baring.

    Pelanggan juga boleh memilih versi First Edition (model seperti dalam foto) yang dilengkapi sistem kawalan olengan aktif Bentley Dynamic Ride bersama Touring Specification dan Mulliner Driving Specification. Di mana ciri terakhir itu termasuk dengan roda hitam rekaan baharu bersaiz 22-inci serta pedal sport.

    Lain-lain sentuhan untuk First Edition termasuklah perkataan “First Edition” atau sayap Bentley yang disulam pada tempat duduk, dengan pilihan yang lebih banyak bagi material kulit dan veneer. Sistem bunyi Naim spesifikasi tinggi didatangkan secara standard untuk First Edition, dan berkeupayaan menghantar kuasa sebanyak 1,780 wat dan juga didatangkan dengan tidak lebih 20-pembesar suara dan juga lapan mod bunyi untuk mengoptimakan suasana.

     
     
  • Jaguar XF facelift 2021 – enjin hibrid ringkas 204 PS baru, kelengkapan dan sistem keselamatan canggih

    Jaguar XF facelift 2021 – enjin hibrid ringkas 204 PS baru, kelengkapan dan sistem keselamatan canggih

    Jaguar XF generasi kedua sudah diperkenalkan sejak tahun 2015 dan kini ia diberikan facelift. Masih lagi boleh didapati dalam bentuk sedan dan Sportbrake, model eksekutif premium ini dipertingkat dengan bampar yang mempunyai bukaan udara lebih besar, gril lebih lebar, lampu LED baru (unit Pixel LED dan penunjuk arah dinamik disediakan sebagai pilihan tambahan) serta lencana Leaper di fender.

    Pada bahagian belakang, XF facelift ini mendapat rekaan bampar baru serta lampu LED yang gelap, sementara varian R-Dynamic yang lebih sporty menggunakan kemasan hitam di beberapa bahagian serta rim 19 inci. Model biasa menggunakan rim 18 inci.

    Perubahan bahagian dalam adalah lebih jelas, dengan konsol yang direka semula sepenuhnya dan diletakkan dengan skrin 11.4 inci untuk sistem infotainmen Pivi Pro terkini. Sama seperti XE facelift, sistem ini mempunyai sambungan Apple CarPlay, Android Auto, kemas kini atas talian, dua slot kad SIM serta Bluetooth dua telefon serentak. Pengecas telefon tanpa wayar 15W disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Jaguar XF facelift 2021 – enjin hibrid ringkas 204 PS baru, kelengkapan dan sistem keselamatan canggih

    Model ini juga menggunakan panel instrumen digital penuh 12.3 inci, rekaan roda stereng baru, pandangan belakang digital ClearSight, kemasan kayu, tombol JaguarDrive Control metalik, Active Road Noise Cancellation serta beberapa pilihan balutan tempat duduk.

    Pilihan enjin adalah sama seperti XE dan baru bagi XF adalah unit empat silinder 2.0 liter Ingenium diesel yang menggunakan sistem hibrid ringkas MHEV 48 volt berkemampuan 204 PS dan 430 Nm tork. Melaluinya, model ini boleh memecut 0-96 km/ (0-60 bsj) dalam masa 7.1 saat (7.5 saat untuk varian AWD Sportbrake yang lebih berat), dan mencatat penggunaan bahan api 4.9 l/100 km.

    Belt integrated Starter Generator (BiSG) membantu mengecas semula bateri lithium ion 48V pada kenderaan ini waktu mengurangkan kelajuan, dan ia juga boleh membantu memberikan pecutan tambahan di waktu awal. Menurut Jaguar, enjin diesel MHEV ini adalah 24 PS lebih berkuasa dan 14% lebih cekap.

    Pilihan untuk enjin petrol pula terdiri daripada unit 2.0 liter turbo yang ditala untuk menghasilkan kuasa 250 PS/365 Nm atau 300 PS/400 Nm. Enjin 250 PS membolehkan XF memecut 0-96 km/j dalam masa 6.5 saat sementara enjin 300 PS melakukannya dalam masa 5.8 saat. Transmisi automatik lapan kelajuan adalah standard, dan bergantung kepada varian, ia boleh menggunakan pacuan dua roda belakang sahaja atau semua empat tayar.

    Barangan lain yang diberi adlaah Activity Key, teknologi bantuan pemandu terkini, sistem kamera 3D, Clear Exit Monitor serta Adaptive Cruise Control. Demi meringkaskan produksi serta memperbaiki kecekapan kos, Jaguar telah mengurangkan jumlah varian yang ditawarkan daripada 64 menjadi 28 sahaja. Harga untuk XF ini bermula £32,585 (RM176k).

     
     
  • Subaru BRZ generasi baharu sah diperkenal tahun ini

    Subaru BRZ generasi baharu sah diperkenal tahun ini

    Sejak baru-baru ini semakin banyak pula model sports yang dihidupkan semula. Toyota telah memperkenalkan Supra dan tidak lama lagi, Nissan Fairlady Z generasi baru juga sudah ditunjuk. Kini, satu lagi berita menarik, kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ juga akan diperbaharui.

    Dua model ini diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2012, dan kali terakhir ia diberikan peningkatan adalah awal tahun ini. Kewujudan model generasi kedua sudah diberitahu sejak hujung tahun lepas tetapi kini Subaru mengumumkan mereka bersedia untuk mendedahkannya secara rasmi dalam tahun ini.

    Setakat ini, cuma satu sahaja gambar teaser rasmi yang dikeluarkan, iaitu seperti yang anda boleh lihat di atas, di mana ia cuma menunjukkan bahagian rim 10 cabang serta sirip udara di belakangnya. Walaubagaimanapun, mereka yang berkunjung ke acara 2020 Subiefest World Record Attempt and Charity Drive di Costa Mesa, California dihidangkan dengan sesuatu yang istimewa.

    Mereka dapat melihat bentuk sebenar BRZ 2022 (sebalik tirai berjaring) dan gambarnya mula bertebaran dalam internet, termasuk yang dimuat naik oleh stinicktuned ini. Dari apa yang boleh dilihat, lampu hadapan model ini lebih lonjong, seperti Fairlady Z baru ataupun Porsche Cayman.

    Sirip udara seperti dalam gambar teaser juga boleh dilihat pada model yang dipamerkan ini, bersama lampu belakang yang lebih tajam sehingga ke tepi. Di atas bahagian but terdapat sedikit lengkungan seperti ducktail yang menjadikan penampilannya masih nampak menarik tanpa spoiler tambahan.

    Model 86/BRZ ini mungkin akan terus menggunakan enjin boxer NA daripada Subaru namun ada peminat yang hadir di acara itu percaya ia adalah unit empat silinder 2.4 liter 217 hp (220 PS) dan 240 Nm tork. Jika benar, ini adalah peningkatan sebanyak 400 cc bagi enjin tersebut, berbanding model yang ada sekarang dan transmisi manual juga sepatutnya disediakan sebagai pilihan.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Mk8 dikesan di Malaysia – CKD

    Volkswagen Golf GTI Mk8 dikesan di Malaysia – CKD

    Baru-baru ini, Volkswagen Golf GTI Mk8 telah dikesan di Malaysia, tanpa dibaluti lapisan penyamaran, dan kelihatannya ia adalah model pemasangan tempatan (CKD). Foto GTI Mk8 dengan rona biru ini dirakamkan oleh Akmal Azmi di Putrajaya.

    Tanpa sebarang makluman rasmi daripada Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), kelihatan pelekat model CKD pada cermin hadapan kereta ini, dengan tertera ayat “dipasang dan diperiksa oleh Hicom”, yang turut menyebut Pekan, Pahang.

    Fasiliti Pekan bertanggungjawab memasang model CKD Volkswagen termasuk Vento, Passat, Tiguan, Tiguan Allspace dan Arteon. Walau bagaimana pun, buat setakat ini, Golf merupakan model import sepenuhnya (CBU), tetapi nampak gayanya model hatchback generasi ke-lapan dipasang di sini.

    Bagi spesifikasinya, apa yang dilihat menerusi model pada foto ini, ia dilengkapi lampu utama dan lampu belakang LED, serta roda aloi “Richmond” 18-inci. Sementara untuk bahagian kabinnya, kelihatan upholstery kulit dan larasan dwi-skrin yang bersaiz 10.25-inci bagi paparan kluster instrumen Digital Cockpit dan juga skrin sesentuh untuk sistem infotainmen pula bersaiz 10-inci. Apa pun, pelitup hidung dan mulut yang tergantung itu bukanlah aksesori pilihan mahupun ciri standard. Itu pemandu kereta yang punya agaknya.

    Di bawah bonetnya, hot hatch ini dijanakan oleh enjin EA888 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol, yang mampu menghamburkan kuasa hingga 245 PS dan tork 370 Nm – lebih 15 PS dan 20 Nm berbanding model terdahulu Mk 7.5 CBU. Walau bagaimana pun, tidak dipadankan dengan transmisi manual, dan kelihatan pemilih gear ala-Porsche, jadi jentera ini digandingkan dengan transmisi dwi-klac DSG tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Memandangkan Golf GTI baharu ini adalah model CKD, tiada kebarangkalian untuk varian yang lebih rendah bagi menyertai barisan model ini. Walau bagaimana pun, masih belum lagi terdengar ura-ura perancangan VPCM untuk melancarkan Mk8 dalam masa terdekat ini. Apa pun, kita nantikan perkhabaran selanjutnya nanti.

     
     
  • Honda CR-V facelift kini dibuka untuk tempahan – “handsfree tailgate”, LaneWatch standard, lancar Q4

    Honda CR-V <em>facelift</em> kini dibuka untuk tempahan – “handsfree tailgate”, LaneWatch standard, lancar Q4

    Nampak gayanya bukan model City sahaja yang akan dilancarkan oleh Honda Malaysia tahun ini. Syarikat itu kini turut mengumumkan pengampilan tempahan bagi model CR-V facelift, yang dijangka akan diperkenalkan pada suku keempat tahun ini. Dah tak lama lagi.

    Dari segi kelengkapan, CR-V baru ini akan menerima power tailgate bebas kendalian tangan, sementara kamera LaneWatch untuk titik buta akan dipasangkan sebagai ciri standard untuk semua varian. SUV ini kekal hadir dengan penawaran Honda Sensing, yang termasuk di dalamnya sistem seperti brek kemasan autonomous, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan mengekalkan lorong serta lampu tinggi automatik.

    Honda CR-V akan terus menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder, menghasilkan sebanyak 193 PS dan 243 Nm tork dan dipadankan dengan transmisi CVT. Honda Malaysia juga mengesahkan bahawa versi pacuan semua roda akan tetap ditawarkan kepada pelanggan – berbeza dengan Proton X70 yang tidak lagi ditawarkan dalam versi AWD. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada enjin 2.0 liter NA i-VTEC masih akan ditawarkan atau sebaliknya.

     
     
  • Jaguar XE 2021 dapat enjin MHEV 204 PS baharu

    Jaguar XE 2021 dapat enjin MHEV 204 PS baharu

    Jaguar XE telah diberikan peningkatan untuk 2021, di mana ia kini ditawarkan dengan enjin hibrid ringkas 48 volt yang menggunakan unit empat silinder 2.0 liter turbodiesel Ingenium. Kuasa keseluruhan yang mampu terhasil adalah 204 PS, dan boleh membawa sedan ini memecut 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa 6.9 saat.

    Enjin ini menampilkan penggunaan turbo variable vane geometry, piston besi serta sistem suntikan piezo commonrail 2.500 bar yang baru. Jaguar mendakwa model ini boleh memberikan kadar penggunaan bahan api 4.8 liter bagi setiap 100 km (WLTP). Komponen hibrid yang digunakan terdiri daripada Belt-integrated Starter Generator (BiSG) untuk mengecas semula bateri lithium ion 48V di bawah lantai, membantu pecutan serta meningkatkan fungsi start/stop.

    Bagi enjin petrol yang ditawarkan, tiada perubahan dibuat dan pelanggan masih boleh memilih antara enjin 2.0 liter Ingenium berkuasa 250 PS/365 Nm atau 300 PS/400 Nm. Versi 250 PS boleh menghasilkan pecutan 0-96 km/j dalam masa 6.4 saat sementara versi 300 PS mengambil masa 5.6 saat. Semua versi XE menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan, dengan pacuan sama ada dua roda belakang atau semua roda.

    Satu lagi pembaharuan yang dibuat untuk model 2021 ini adalah sistem infotainmen Pivi Pro yang menggunakan asas Electronic Vehicle Architecture (EVA 2.0) baru. Ia termasuk dengan skrin sesentuh 10 inci di tengah papan pemuka yang boleh disambung dengan dua telefon serentak menggunakan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto. Pemilik juga boleh menambah satu lagi skrin sesentuh 5.5 inci di bawah.

    Sistem Pivi Pro ini mempunyai sumber kuasa sendiri, jadi ia boleh terus digunakan apabila pemilik masuk ke dalam kereta dan turut menawarkan kemas kini atas talian serta tempat mengecas tanpa wayar. Sistem ini juga boleh dimasukkan dengan dua kad sim sekaligus menghasilkan sambungan yang lebih stabil.

    Bahagian luar tidak melibatkan sebarang perubahan (kerana sudah menggunakan asas daripada model facelift), tetapi Jaguar telah mengurangkan varian XE dari 24 menjadi 13 bagi menjimatkan kos. Harga permulaan bagi XE di United Kingdom juga telah diturunkan dari £34,600 (RM186k) ke £29,365 (RM158k).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025