Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Grab hentikan 360 kakitangannya akibat COVID-19

    Grab hentikan 360 kakitangannya akibat COVID-19

    Satu berita yang tak sedap untuk didengari, berkenaan dengan syarikat yang terpaksa menamatkan perkhidmatan kakitangannya akibat kemelesetan ekonomi susulan pandemik COVID-19. Terkini, Grab terpaksa mengambil langkah yang sama bagi mengecilkan bilangan kakitangannya dengan terpaksa menamatkan lebih kurang 360 petugasnya atau di bawah lima peratus dalam masa terdekat ini.

    Menurut CEO Grab, Anthony Tan, pihaknya yakin Grab adalah syarikat terakhir yang melaksanakan pembuangan pekerja secara besar-besaran pada tahun ini.

    “Sejak Februari lalu, Grab antara perniagaan di seluruh dunia yang terjejas akibat COVID-19. Sejak beberapa bulan lepas, kami telah menyemak semua kos, mengurangkan perbelanjaan dan melaksanakan potongan gaji ke atas pengurusan kanan.

    “Bagaimanapun, kami menyedari kami masih perlu membuat langkah jimat cermat bagi menangani cabaran-cabaran ekonomi pasca-pandemik,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Grab hentikan 360 kakitangannya akibat COVID-19

    Beliau turut berkata, sudah jelas sekarang, bahawa pandemik itu mungkin akan mengakibatkan kemelesetan yang berpanjangan dan Grab perlu bersedia bagi tempoh pemulihan yang agak lama.

    Justeru, bagi mencapai matlamat ini, Grab terpaksa menghentikan beberapa projek bukan teras, menggabungkan beberapa fungsi bagi kecekapan yang lebih besar dan membentuk semula pasukan agar ianya lebih sesuai dengan keperluan perniagaan yang sentiasa berubah berdasarkan kepada persekitaran luaran.

    “Kami juga akan memperkukuhkan perkhidmatan penghantaran kami dan menugaskan sebahagian besar kakitangan untuk memenuhi permintaan penghantaran yang semakin meningkat. Kami mampu menyelamatkan seberapa banyak pekerjaan melalui langkah ini dan membantu mengehadkan skop pengurangan pekerja kepada hanya di bawah lima peratus,” katanya.

    Tan percaya jika pelan ini memenuhi sasaran, Grab tidak perlu lagi melaksanakan langkah pengurangan kakitangan.

     
     
  • Hampir semua pemandu perkhidmatan e-hailing di Semenanjung telah menerima bayaran RM500 Prihatin

    Hampir semua pemandu perkhidmatan e-hailing di Semenanjung telah menerima bayaran RM500 Prihatin

    Di dalam pakej rangsangan ekonomi Prihatin yang diumumkan oleh kerajaan pada Mac lalu, antara inisiatif yang terkandung di dalamnya ialah peruntukan RM60 juta untuk membantu 120,000 pemandu perkhidmatan e-hailing di negara ini, dengan setiap daripada mereka akan menerima RM500 seorang, untuk sekali sahaja.

    Kemudian, pertengahan April lalu, dilaporkan kira-kira 90,000 pemandu e-hailing sepenuh masa di seluruh negara dijangka akan menerima bantuan berkenaan, yang diagihkan bermula 20 April.
    Di dalam perkembangan terbaru, Kementerian Pengangkutan mendedahkan setakat 11 Jun 2020, seramai 68,103 atau 99.8% daripada 68,227 orang pemandu e-hailing di Semenanjung yang layak menerima bantuan ini telah menerima bayaran mereka.

    Bayaran berkenaan dibuat terus oleh syarikat-syarikat perkhidmatan e-hailing kepada pemandu-pemandu selepas saringan butiran peribadi dilakukan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), ujar Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu kenyataan.

    Beliau menambah, bagi pemandu yang belum menerima bayaran berkenaan disebabkan masalah teknikal, APAD sedang mendapatkan maklumat berkaitan daripada syarikat-syarikat e-hailing yangt terlibat untuk memastikan bayaran diselesaikan secepat mungkin.

    Bantuan RM500 berkenaan diberikan kepada pemandu-pemandu e-hailing yang memenuhi beberapa kriteria, antaranya termasuk memiliki lesen PSV sah, warga negara Malaysia, dan berpendapatan melebihi RM1,200 setiap bulan – berasarkan pendapatan yang mereka perolehi sama ada pada November 2019, Disember 2019 atau Januari 2020.

     
     
  • Malaysia Autoshow 2020 ditunda ke April tahun depan

    <em>Malaysia Autoshow 2020</em> ditunda ke April tahun depan

    Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) telah mengumumkan Malaysia Autoshow ditunda ke tahun 2021 akibat penularan wabak COVID-19. Sepatutnya pertunjukan bagi edisi 2020 dianjurkan pada 9-12 April lalu di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

    Walau bagaimana pun, pada awal Mac lalu, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak penganjur telah memaklumkan acara berkenaan dijadualkan semula pada 2-5 Julai bertempat di lokasi yang sama. Namun demikian, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini, maka keputusan untuk membatalkan acara automotif bagi tahun ini terpaksa dibatalkan.

    Menurut MARii, Malaysia Autoshow 2021 dijadual akan dianjurkan pada April tahun hadapan, bergantung pada perkembangan COVID-19.

    Ekoran penangguhan tersebut, MARii sedang mencari beberapa teknologi berpotensi untuk menjadi tuan rumah versi digital bagi pertunjukan jualan dan pendidikan automotif, ujar CEO Datuk Madani Sahari. “Walau pun edisi tahun ini tidak ada, tapi ini adalah masa yang tepat untuk berinovasi dan berfikir semula bagaimana cara kita untuk mengumpulkan komuniti automotif dengan cara yang selamat dan terjamin,” katanya.

    Tambahnya lagi, “Kami berharap situasi ini akan menjadi lebih baik pada tahun ini, jadi kita sudah boleh merancang penganjuran pertunjukan auto yang lebih besar pada tahun hadapan, mempamerkan teknologi mobiliti terkini dan mencipa pengalaman baharu dalam automotif.”

     
     
  • Honda Jazz masuk pasaran China dengan muka baru

    Honda Jazz masuk pasaran China dengan muka baru

    Honda Jazz generasi keempat, yang pertama kali didedahkan semasa Tokyo Motor Show 2019 kini telah pun memasuki pasaran China, selepas dipasarkan di Jepun dan Eropah. Jualan awal model ini di China akan bermula Julai ini, sebelum tiba di pusat pameran pada bulan Ogos.

    Untuk pasaran China, Jazz akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Sport dan Crosstar, dengan kedua-duanya dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter berkuasa 131 PS (129 hp), dipadankan bersama transmisi CVT untuk menyampaikan kuasa ke roda hadapan.

    Pada aspek penampilan, Crosstar yang mempunyai gaya seperti crossover masih kelihatan sama seperti model yang dijual di Jepun dan Eropah, dengan antara keistimewaannya adalah seperti kedudukan lebih tinggi, kemasan plastik pada lengkung roda, rel bumbung bersepadu, gril khas serta rim 16 inci.

    Versi yang lebih menarik adalah Sport, di mana ia menggunakan muka hadapan yang lain berbanding Jazz versi Basic, Home, Ness serta Luxe yang dijual di pasaran lain. Rekaan khas untuk pasaran China ini mempunyai gril yang lebih menyerlah serta bampar yang lebih agresif.

    Melalui gambar yang diteruma daripada Autohome ini, anda boleh menyaksikan gril versi Sport ini turut datang dengan bahagian dalam bercorak honeycomb. Kalau dibandingkan dengan gril Jazz versi Modulo, rekaan pada versi Sport China ini adalah lebih menonjol.

    Satu lagi perbezaan adalah pada bahagian belakang, di mana bamparnya mempunyai kemasan seakan bukaan udara menegak dan diletakkan dengan pemantul cahaya. Bahagian lain termasuk dalam masih lagi kelihatan sama seperti versi panduan sebelah kiri Eropah dan dipasang dengan sistem infotainmen skrin sesentuh, panel instrumen serta pilihan warna yang bersesuaian dengan pasaran itu.

     
     
  • Lexus IS 2021 banyak peningkatan untuk prestasi

    Lexus IS 2021 banyak peningkatan untuk prestasi

    Lexus telah mendedahkan IS 2021, yang diberikan banyak peningkatan untuk menjadikan pemanduan lebih berprestasi, berserta rekaan luar lebih agresif. Walaupun nampak seperti sama dengan model sebelumnya, model baru ini sebenarnya melibatkan rekaan lampu, gril dan garis badan diubah sedikit.

    Untuk saiz, ia kini lebih besar, dengan ukuran panjang 4,710 mm, lebar 1,840 mm, tingi 1,435 mm dan jarak roda 2,800 mm. Ini bersamaan dengan 30 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 5 mm lebih tinggi manakala jarak roda pula masih sama seperti sebelumnya.

    Varian IS 2021 ini dimulakan dengan IS 300, yang dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo 2.0 liter VVT-iW berkemampuan 241 hp dan 350 Nm tork, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dengan G-force Artificial Intelligence (G-AI) untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

    Lexus IS 2021 banyak peningkatan untuk prestasi

    Satu lagi pilihan untuk IS 300 adalah yang menggunakan pacuan semua roda, dan ia digerakkan oleh enjin V6 NA 3.5 liter serta transmisi automatik enam kelajuan, untuk menghasilkan 260 hp dan 320 Nm tork. Sistem pacuan semua roda yang digunakan boleh mengubah jumlah tork yang dihantar kepada roda dengan maksimum 70% kepada roda belakang apabila jalan kering dan hingga 50% kepada roda hadapan apabila perlu.

    Pilihan enjin seterusnya yang disediakan adalah unit V6 NA 3.5 liter berkuasa 311 hp dan 380 Nm tork, pada varian IS 350. Ia ditawarkan sama ada dengan transmisi automatik lapan kelajuan untuk pacuan roda belakang atau automatik enam kelajuan untuk pacuan semua roda.

    Bahagian rangka model ini turut diusik untuk menjadikannya lebih tegap, dengan penambahan besi penyokong pada tepi radiator, tambahan titik kimpalan pada bahagian depan, serta struktur penguat pada penyambung antara C-pillar ke bumbung. Menurut Lexus, penambahan ini bukan sahaja dapat mengurangkan bunyi dan gegaran, tetapi juga meningkatkan kualiti keselesaan serta prestasi pemanduan.

    Pada bahagian suspensi pula, spring yang digunakan adalah 20% lebih ringan manakala control arm kini dibuat daripada aluminium untuk menggantikan unit besi sebelum ini – 18% lebih ringan. Stabiliser bar juga menggunakan bahan baru dan 17% lebih ringan. Bahagian dalaman penyerap turut diubah, dengan piston yang mempunyai injap minyak untuk memberikan kuasa serapan bersesuaian sepanjang bergerak.

    Sekiranya penampilan asal masih kurang memuaskan, pelanggan diberi pilihan pakej F Sport, tetapi untuk varian IS 350 sahaja. Ia datang dengan rekaan bampar khas, kemasan keliling gril, spoiler kecil atas but, rocker panel, diffuser belakang, ekzos F Sport serta rim 19 inci yang dibalut dengan tayar 265/35R19.

    Untuk maklum balas pemanduan yang lebih tepat, pakej F Sport ini juga boleh ditambah dengan Dynamic Handling Package (DHP) yang memberikan suspensi adaptif serta rim BBS 19 inci yang 2 kg lebih ringan berbanding rim 19 inci F Sport.

    Lexus IS 2021 banyak peningkatan untuk prestasi

    Selain daripada itu, model F Sport DHP turut diberi dengan limited-slip differential Torsen, serta tambahan mod pemanduan Sport S+ dan Custom. Bukan setakat memberikan maklum balas yang lebih agresif, mod ini juga membenarkan tahap bantuan stereng kuasa serta suspensi diubah.

    Pada bahagian keselamatan, pakej Lexus Safety System+ dipertingkat dengan versi LSS+ 2.5, di mana ia termasuk Pre-Collision System (PCS) berserta Frontal Collision Warning (FCW), Automatic Emergency Braking (AEB), Pedestrian Detection, Bicyclist Detection, Dane departure Warning, Lane Keeping Assist, Intelligent High Beam, Road Sign Assist, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert.

    IS 2021 turut dilengkapi dengan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) yang boleh diaktifkan pada kelajuan atas 48 km/j. Ia boleh mengawal jarak dengan kereta hadapan sehinggalah kelajuan berkurang kepada 0 km/j dan boleh sambung semula bergerak sekiranya telah berhenti. Sistem ini juga membenarkan pemintasan kereta lain secara lancar.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Harga Citroen dan DS diumumkan – lebih murah hingga RM10,315

    Naza Euro Motors telah mengumumkan semakan harga baharu bagi model Citroen di pasaran Malaysia, susulan pengecualian cukai jualan bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sebanyak 100% dan pengurangan 50% untuk model import sepenuhnya (CKD) sehingga 31 Disember ini.

    Buat masa ini, hanya ada dua model sahaja di dalam barisan pasaran tempatan iaitu Grand C4 SpaceTourer 1.6 THP dan C3 Aircross 1.2 PureTech.

    Bagi Grand C4 SpaceTourer yang diperkenalkan pada November 2018, kini harga atas jalan (tanpa insurans) dikemaskini dari RM149,888 menjadi RM144,980. Ini menyaksikan penurunan harga sebanyak RM4,908 atau 3.27%.

    Pengecualian SST 2020: Harga Citroen dan DS diumumkan – lebih murah hingga RM10,315

    Klik untuk besarkan

    Bagi C3 Aircross, harga yang ditetapkan semasa pelancarannya iaitu RM115,888, kini menjadi RM110,141 sehingga hujung tahun ini. Di mana ia melibatkan pengurangan sebanyak RM5,747 atau 4.96%. SUV segmen-B ini diperkenalkan di pasaran tempatan pada April 2019.

    DS Automobiles Malaysia juga tidak ketinggalan memperkenalkan harga baharu bagi model
    DS7 Crossback 1.6 THP – walau pun sebenarnya harganya pernah dikemaskini pada April lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) – dan sekali lagi harganya berubah. Sehingga 31 Disember ini, SUV tersebut berharga RM249,572, berbanding sebelum ini RM259,888, melibatkan penurunan sebanyak RM10,315 atau 3.97%.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan cadang beri diskaun saman tertunggak, disenaraihitamkan Ogos ini

    Kementerian Pengangkutan cadang beri diskaun saman tertunggak, disenaraihitamkan Ogos ini

    Sempena bulan kemerdekaan pada Ogos ini,Kementerian Pengangkutan bercadang memberi tawaran diskaun untuk saman tertunggak dan individu yang disenaraihitamkan, yang menyebabkan mereka tidak boleh berdaftar dengan perkhidmatan e-hailing, termasuk untuk perkhidmatan menghantar makanan.

    Menurut menterinya Datuk Seri Wee Ka Siong, ia adalah sebagai kaedah untuk membantu rakyat setelah menerima banyak rayuan mengenai tunggakan saman dan tindakan senarai hitam, yang mengakibatkan mereka tidak boleh mencari pendapatan melalui perkhidmatan e-hailing terutama ketika tempoh sukar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19.

    “Kita tahu tahun ini orang susah.. kita berbincang.. bulan kemerdekaan ini kita bagi diskaun yang akan diumumkan nanti. Kita bagi tawaran supaya mereka dapat selesaikan (tunggakan saman) dan keluar daripada senarai hitam yang menyebabkan lesen tidak boleh diperbaharui.

    “Kita bukan batalkan terus (saman) tetapi beri tawaran (diskaun) dalam keadaan susah kerana berdepan dengan COVID-19,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Pada Mei lalu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah pun memberikan diskaun sehingga 50% bagi saman-saman terpilih bagi orang ramai yang membuat pembayaran secara dalam talian melalui dua portal yang ditetapkan JSPT.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Peugeot kurangkan harga sehingga RM7k atau 3.87% sampai 31 Disember

    Pengecualian SST 2020: Peugeot kurangkan harga sehingga RM7k atau 3.87% sampai 31 Disember

    Pengedar kenderaan Peugeot di Malaysia juga telah mengemas kini harga model yang dijual untuk mengikut pengecualian cukai jualan diberi kerajaan sebanyak 100% untuk kenderaan CKD dan 50% untuk kenderaan CBU sehingga 31 Disember ini.

    Sekarang hanya terdapat dua model Peugeot yang dijual di Malaysia, dan kedua-duanya adalah SUV yang dipasang dalam negara (CKD), iaitu 3008 Plus dan 5008 Plus. Dua model ini diperkenalkan kepada pasaran pada bulan Ogos tahun lepas.

    Pengecualian SST 2020: Peugeot kurangkan harga sehingga RM7k atau 3.87% sampai 31 Disember

    Bagi 3008, varian permulaan 1.6 THP Active Plus kini dijual pada harga RM145,573.52, iaitu RM5,314.48 atau 3.52% lebih murah manakala varian 1.6 THP Allure Plus dijual pada harga RM158,236.66 (-RM5,651.34 atau 3.45%).

    Model 5008 yang mempunyai lebih besar juga ditawarkan dalam dua varian. Varian 1.6 THP Active Plus kini dijual pada harga RM6,079.40 atau 3.64% lebih murah, menjadi RM160,808.60 manakala varian 1.6 THP Allure dijual pada harga RM6,956.10 atau 3.87% lebih murah, iaitu RM172,931.90.

     
     
  • Nissan X-Trail 2021 didedah – rekaan serba baru untuk generasi keempat, kelengkapan dipertingkat, enjin 2.5L

    Nissan X-Trail 2021 didedah – rekaan serba baru untuk generasi keempat, kelengkapan dipertingkat, enjin 2.5L

    Model generasi keempat Nissan X-Trail, yang juga dikenali sebagai Rogue di Amerika Syarikat telah pun didedahkan buat pertama kali di negara itu. Ia kini dibina atas platform CMF-C/D yang dipertingkat, dengan menampilkan rekaan serba baru serta pelbagai lagi penambahan kelengkapan lain.

    Bahagian paling jelas diubah adalah lampu, di mana untuk bahagian hadapan, unit bertingkat itu terdiri daripada lampu DRL serta penunjuk arah di bahagian atas manakala di bawah adalah lampu utama. Gril pula dilengkapi dengan pengatup aktif untuk mengawal aerodinamik dan menghalakan angin ke bahagian dalam enjin. Turut membantu melancarkan peredaran angin adalah penutup di bahagian bawah kenderaan.

    Pergi kepada bahagian belakang, lampu barunya adalah lebih nipis dan mempunyai sambungan yang lebih panjang ke bahagian tepi manakala lekuk-lekuk pada penutup but pula menjadikannya nampak lebih tegap, berserta kemasan bampar plastik warna hitam dan skid plate yang besar.

    Masuk ke dalam, anda boleh menyaksikan skrin sesentuh 9.0 inci di bahagian tengah papan pemuka untuk sistem infotainmen manakala di bawahnya terdapat butang kawalan pendingin hawa. Bagi pemandu pula, mereka boleh melihat informasi penting melalui head-up display bersaiz 10.8 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci (varian lebih rendah menggunakan unit 7.0 inci).

    Konsol tengah X-Trail baru ini juga lebih kemas dengan penggunaan tombol gear shift by wire yang pendek sementara di bawahnya terdapat butang brek parkir serta satu lagi tombol untuk pilihan mod pemanduan. Ruang selebihnya digunakan untuk tempat meletak cawan. Untuk perehat tangan, ia boleh dibuka dengan pisahan di tengah, memberikan akses kepada ruang letak barangan kecil.

    Menurut Nissan, badan X-Trail ini adalah kurang 38 mm berbanding model sebelum ini, tetapi jarak rodanya masih lagi sama iaitu 2,705 mm. Ruang simpanan di belakang pula mempunyai kapasiti 1,158 mm dan mempunyai penutup untuk melindungi barangan daripada penglihatan.

    Nissan X-Trail 2021 didedah – rekaan serba baru untuk generasi keempat, kelengkapan dipertingkat, enjin 2.5L

    Barangan lain yang dapat memberi keselesaan kepada penumpang adalah seperti penghadang cahaya untuk tingkap tepi, pengecas tanpa wayar, pengawal pendingin hawa tiga zon, tempat duduk Zero Gravity serta pintu yang boleh dibuka 90 darjah untuk memudahkan masuk dan keluar. Pemandu juga boleh menggunakan fungsi hidupkan enjin serta pendingin hawa dari jauh.

    Pada bahagian keselamatan, pakej ProPILOT diberikan secara standard untuk semua varian (S, SV, SL dan Platinum), yang termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist dengan kawalan stereng, pemerhati keliling kenderaan, Rear Cross Traffic Alert, Autonomous Emergency Brake serta Blind Spot Monitor.

    Di sebalik semua peningkatan ini, bahagian enjin pula masih lagi dikekalkan dengan unit empat silinder 2.5 liter QR25DE yang kini mampu menghasilkan kuasa 181 hp (+11 hp) dan 245 Nm tork (+8 Nm). Ia dipadankan bersama transmisi CVT dan didatangkan dengan pilihan pacuan roda hadapan atau kesemua empat roda. Versi hibrid juga mungkin diperkenalkan pada masa akan datang.

     
     
  • Pas perjalanan tanpa had My30 rekod lebih 10,000 langganan pada hari pertama dilancarkan – Prasarana

    Pas perjalanan tanpa had My30 rekod lebih 10,000 langganan pada hari pertama dilancarkan – Prasarana

    Semalam telah pun dilancarkan pas perjalanan tanpa had My30, di mana rakyat Malaysia khususnya warga kota boleh menggunakan pas berkenaan ketika menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel, Bas Rapid Transit – Laluan Sunway, bas henti-henti Rapid KL di Lembah Klang dan Selangor dan bas perantara Jom Naik MRT tanpa had untuk tempoh 30 hari.

    Menurut pengendali perkhidmatan terbabit, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), dalam hari pertama pelancaran pas terbabit, lebih 10,000 langganan telah dicatatkan.

    Kini, para pengguna boleh melanggan pakej baharu My30 itu di semua 122 buah stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan juga 5 hab bas Rapid KL di Pasar Seni, Seksyen 2, Shah Alam; Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.

    Pas perjalanan tanpa had My30 rekod lebih 10,000 langganan pada hari pertama dilancarkan – Prasarana

    Terbuka hanya kepada warga negara Malaysia dengan urusan yang hanya menggunakan kad pengenalan MyKad dan MyTentera, pakej My30 menggantikan sementara pas perjalanan tanpa had My100, yang dijual dengan harga RM100 untuk tempoh 30 hari perjalanan tanpa had dalam semua perkhidmatan rel dan bas Rapid KL.

    Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Abdul Hadi Amran menerangkan, bagi pengguna pertama kali mereka perlu membuat pendaftaran dan mengaktifkan pas berkenaan terlebih dahulu di kaunter sebelum menggunakannya.

    “Pertama kali, pengguna harus membayar RM35 untuk pas My30 kerana ia (RM35) merupakan jumlah minimum pas. Ini hanya untuk pertama kali sahaja, untuk pembaharuan tidak perlu. RM5 ini diperlukan bagi mengaktifkan fungsi pas.

    Pas perjalanan tanpa had My30 rekod lebih 10,000 langganan pada hari pertama dilancarkan – Prasarana

    “My30 boleh diaktifkan sebaik sahaja disentuh pada ‘gate’ masuk setiap stesen. Pembaharuannya pula boleh dibuat tujuh hari sebelum atau selepas tarikh tamat. Ia (My30) tidak akan mengganggu Touch ‘n Go sedia ada di kad pengenalan kerana kod yang digunakan adalah berlainan. Kaunter stesen boleh semak MyKad ada kad Touch ‘n Go atau tidak,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau berkata selepas 31 Disember nanti, Prasarana akan mengkaji semula My30 sama ada mahu meneruskannya atau tidak.

    “Mereka yang melanggan pas pada hari terakhir iaitu pada 31 Dis, tidak akan mendapat bayaran balik sebaliknya mereka boleh menggunakan kad itu selama 30 hari iaitu sehingga hujung Januari 2021,” katanya.

    Tanpa kad My30, atau My100 sebelum ini, perjalanan satu hala sahaja untuk perkhidmatan MRT dari Kajang ke Sungai Buloh sudah berharga RM6.40 sekiranya menggunakan token. Perjalanan satu hala daripada Putra Heights ke Gombak dengan LRT Laluan Kelana Jaya berharga RM6.10 pada kadar biasa, manakala perjalanan satu hala menaiki monorel dari KL Sentral ke stesen terakhir di Titiwangsa adalah RM4.10.

    Jika menggunakan perkhidmatan BRT pula, harga tambang biasa untuk perkhidmatan BRT boleh mencapai sehingga RM4.30 untuk perjalanan satu hala daripada Stesen USJ7 ke Stesen Setiajaya. Kalau menggunakan perkhidmatan bas Rapid KL pula, tambang perjalanan adalah bergantung kepada jumlah zon; dengan perjalanan untuk zon pertama ditetapkan pada 80 sen.

    Jadi, kalau untuk perjalanan menggunakan Laluan 750 daripada Pasar Seni ke Shah Alam, tambang perjalanan melalui empat zon dengan kadar tambang RM2.50 untuk perjalanan satu hala tanpa menggunakan kad My30.

    “Jika kad perjalanan tanpa had #My100 dijulang sebagai pakej menjimatkan dan berbaloi, My30 ini adalah ‘super jimat’ untuk warga kota Lembah Klang,” kata Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman.

    Tajuddin turut menyuarakan keyakinan bahawa dengan pengenalan pakej My30 ini, jumlah pengguna perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL bukan saja akan segera mencapai kembali kepada angka sebelum pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira satu juta penumpang sehari; tetapi meningkat dengan lebih banyak lagi daripada jumlah berkenaan.

    Sebelum PKP yang bermula pada 18 Mac lepas, purata jumlah penumpang sehari untuk perkhidmatan rel Rapid KL, yang meliputi LRT, MRT dan monorel, adalah lebih 750,000 penumpang, manakala untuk perkhidmatan bas Rapid KL termasuk bas adalah kira-kira 300,000 termasuk pengguna perkhidmatan bas perantara Jom Naik MRT dan perkhidmatan BRT–Laluan Sunway.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Kia turun harga hingga RM15k

    Pengecualian SST 2020: Kia turun harga hingga RM15k

    Pengedar kenderaan Kia di Malaysia, Naza Automotive Group telah mendedahkan harga jualan model-model mereka setelah dilaras mengikut pengecualian cukai yang diberi oleh kerajaan sebagai perangsang sehingga 31 Disember tahun ini.

    Picanto yang merupakan model Kia paling mampu milik kini dijual pada harga bermula RM43,170.30, iaitu untuk varian 1.2L KX, dengan penurunan sebanyak RM1,717.70 atau 3.83%. Varian 1.2L EX dijual pada harga RM47,950.36, iaitu RM2,048.64 atau 4.10% lebih rendah berbanding sebelum ini manakala varian paling tinggi, 1.2L GT Line dijual pada harga RM57,531.80 (RM2,356.20 atau 3.93% lebih murah).

    Seterusnya untuk Rio, harga varian 1.4L EX diturunkan sebanyak RM2,656.45 atau 3.33%, menjadi RM77,231.55 manakala Cerato 1.6L SX turun RM4,133.94 atau 3.98% menjadi RM99,754.06. Model segmen D Optima 2.0L EX mendapat pengurangan harga RM9,370.19 atau 6.70%, menjadi RM130,517.81 sementara model premium Stinger 3.3L GT kini dijual pada harga RM369,120.70 (turun RM14,767.30 atau 3.85%).

    Pengecualian SST 2020: Kia turun harga hingga RM15k

    Pergi pula kepada model SUV, Sportage 2.0L EX telah dikurangkan harganya sebanyak RM3,407.73 atau 2.69% untuk menjadi RM123,480.27 manakala varian 2.0D GT Line pula kini dijual pada harga RM135,229.52, turun RM4,658.48 atau 3.33%. Bagi Sorento, harga varian 2.4L EX kini menjadi RM165,047.08 (turun RM4,840.92 atau 2.85%) manakala varian 2.2D SX dijual pada harga RM178,865.52, turun RM5,022.97 atau 2.73%.

    Dua varian Grand Carnival lapan tempat duduk, iaitu 2.2D KX dan 2.2D SX menunjukkan penurunan masing-masing RM3,850.48 (2.42%) dan RM6,121.09 (atau 3.22%) untuk menjadi RM155,148.52 dan RM183,766.91 manakala varian 11 tempat duduk masih dijual pada harga sama iaitu RM179,888.

     
     
  • Isuzu Malaysia memperkenalkan moratorium pinjaman bagi kemudahan pelanggan mulai 1 Jun-31 Ogos 2020

    Isuzu Malaysia memperkenalkan moratorium pinjaman bagi kemudahan pelanggan mulai 1 Jun-31 Ogos 2020

    Isuzu Malaysia telah membuka peluang untuk para pelanggannya memiliki D-Max baharu dengan menawarkan moratorium bagi bayaran ansuran pembiayaan trak pikap berkenaan yang dibeli mulai 1 Jun hingga 31 Ogos 2020.

    Melalui Kempen Penangguhan Ansuran Isuzu yang merupakan program pertama seumpamanya bagi segmen trak pikap, syarikat ini berharap para pelanggan dapat menjana pendapatan mereka dengan mengoptimumkan penggunaan D-Max sepanjang tempoh penangguhan tiga atau enam bulan berkenaan, sebelum mereka perlu memikirkan tentang bayaran ansuran kenderaan terbabit.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan, Masayuki Suzuki, matlamat moratorium berkenaan ialah untuk membantu rakyat Malaysia menyambung dan meneruskan kehidupan mereka sepanjang tempoh pemulihan ini dengan memanfaatkan khidmat Isuzu D-Max yang cekap dan pelbagai guna.

    “Kenderaan yang berkemampuan, boleh diharap serta tahan lasak adalah aset berharga dan sebuah trak pikap memenuhi keperluan ekonomi seperti itu bagi kegunaan individu atau organisasi. Dengan menawarkan moratorium ini, Isuzu berharap pelanggan akan mampu untuk kembali kepada keadaan normal mereka seperti sebelum ini secepat mungkin,” tambah Suzuki.

    Kempen berkenaan merupakan kerjasama dengan Public Bank Berhad, merangkumi hampir semua model dalam barisan D-Max sedia ada dengan jumlah pinjaman sehingga 90% bagi tempoh maksimum 84 bulan. Jumlah minimum pinjaman yang layak untuk kempen ini ialah RM20,000.

    Barisan D-Max terbaharu kini dilengkapi enjin 1.9 liter Blue Power, unit berteknologi maju dengan kapasiti paling kecil bagi trak pikap setakat ini. Untuk itu, ia menikmati cukai jalan yang paling murah bagi kenderaan dalam kelas sama. Enjin ini memberikan prestasi dan kecekapan penggunaan bahan api yang lebih baik berbanding unit 2.5 liter yang digantikannya.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Kenderaan Nissan turun harga sehingga RM7,625 atau 5.99%, turut diberi rebat

    Pengecualian SST 2020: Kenderaan Nissan turun harga sehingga RM7,625 atau 5.99%, turut diberi rebat

    Pengedar kenderaan Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah menyiarkan senarai harga mereka setelah dilaras mengikut pengecualian cukai yang diberi kerajaan sehingga 31 Disember ini. Pengurangan yang dilihat adalah antara 1.46% hingga 5.99%.

    Almera yang merupakan model Nissan paling mampu milik kini ditawarkan pada harga bermula RM65,699, iaitu RM4,189 lebih murah berbanding sebelum ini, dengan catatan peratusan pengurangan yang paling tinggi iaitu 5.99%. Varian paling tinggi dijual pada harga RM83,919 (-4,469).

    Melihat kepada model MPV, iaitu Serena S-Hybrid, ia ditawarkan dalam tiga varian dengan harga antara RM127,524 hingga RM139,524 (turun 3.7 hingga 4.04%). Turut menunjukkan penurunan adalah model elektrik Leaf yang kini dijual pada harga RM181,263 (turun RM7,625 atau 4.04%).

    Pengecualian SST 2020: Kenderaan Nissan turun harga sehingga RM7,625 atau 5.99%, turut diberi rebat

    X-Trail, yang ditawarkan dalam 12 varian menunjukkan penurunan harga antara RM2,437 hingga RM7,157 atau bersamaan 1.46% hingga 4.65%. Varian paling murah adalah 2.0L 2WD, yang dijual pada harga RM128,630 (-RM5,258) manakala varian paling tinggi adalah 2.0L Hybrid Extremer pada harga RM164,451 (RM2,437).

    Seperti yang anda boleh lihat dalam jadual, model trak pikap Navara tidak diberikan sebarang potongan harga kerana diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial, tetapi pembeli masih dapat menikmati rebat yang menjadikan harga kenderaan lebih berbaloi. Navara 2.5L SE AT contohnya, diberikan rebat RM12,000, menjadikan harganya RM91,888.

    Selain daripada pelarasan harga akibat daripada pengecualian ini, ETCM turut memberikan rebat kepada model lain sebagai tambahan, iaitu RM6,000 untuk Almera 1.5L E AT dan 1.5L VL AT, RM7,000 untuk Serena S-Hybrid 2.0L Highway Star, RM7,000 untuk X-Trail 2.0L 2WD dan 2.0L Mid, RM4,000 untuk X-Trail 2.5L 4WD dan RM13,000 untuk X-Trail 2.0L Hybrid.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Mitsubishi umum harga ASX dan Outlander kini lebih murah hingga RM8,154

    Pengecualian SST 2020: Mitsubishi umum harga ASX dan Outlander kini lebih murah hingga RM8,154

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengemaskini struktur harga susulan pengecualian/pengurangan cukai jualan (SST) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Pengecualian 100% cukai jualan adalah untuk model pemasangan tempatan (CKD) dan pengurangan 50% cukai pula untuk model import sepenuhnya (CBU) – bermula hari ini sehingga 31 Disember 2020.

    Hanya dua model Mitsubishi yang dijual di pasaran tempatan terlibat dengan semakan harga baharu ini – ASX dan Outlander. Manakala harga Triton tidak perubahan kerana trak pikap diklasifikasikan sebagai kenderaan komersil. Seperti trak pikap lain, Triton akan terus dijual dengan harga SST seperti sebelum ini.

    Pengecualian SST 2020: Mitsubishi umum harga ASX dan Outlander kini lebih murah hingga RM8,154

    Bermula hari ini, ASX 2.0 2WD pemasangan tempatan akan dijual pada harga RM111,628, iaitu turun RM7,238 atau 6.09% berbanding harga sebelumnya RM118,866. Manakala varian 4WD pula dijual pada harga RM125,182, turun sebanyak RM8,154 atau 6.12%.

    Manakala bagi SUV tujuh-tempat duduk Outlander, varian 2.0L ditawarkan pada harga RM133,491, turun sebanyak RM4,397 atau 3.19%. Sementara itu, bagi varian tertinggi 2.4L pula kini ditawarkan pada harga RM147,762, melibatkan pengurangan sebanyak RM5,126 atau 3.35%.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: senarai harga kenderaan Proton – lebih murah sehingga RM7,000 atau 5.7%

    Pengecualian SST 2020: senarai harga kenderaan Proton – lebih murah sehingga RM7,000 atau 5.7%

    Proton adalah syarikat berikutnya yang mendedahkan pulangan balik untuk pelanggan berikutan pengecualian cukai jualan yang diberi sehingga 31 Disember 2020. Berbeza berbanding pengeluar lain, Proton tidak menyediakan potongan cukai secara terus, dan jumlah yang anda lihat ini turut termasuk dengan diskaun tambahan.

    Sebagai jenama tempatan, semua model Proton adalah dibuat atau dipasang dalam negara, sekaligus melayakkan mereka mendapat pengecualian penuh. Model Saga mendapat rebat RM500 atau 1.4% manakala Iriz dipasarkan sehingga RM800 lebih murah atau 1.58%. Persona pula mendapat diskaun sehingga RM900 atau 1.65%.

    Seterusnya dalam senarai adalah MPV Exora, di mana ia kini lebih murah sehingga RM2,500 atau 4.18% (ini adalah untuk varian rendah Executive CVT sementara varian Premium CVT cuma mendapat rebat RM2,000). Model yang mendapat manfaat paling besar daripada pengecualian cukai ini adalah X70, yang diberikan rebat RM7,000 atau 5.7%. Secara keseluruhannya, SUV ini dijual pada harga antara RM90k hingga RM116k.

    Pengecualian SST 2020: senarai harga kenderaan Proton – lebih murah sehingga RM7,000 atau 5.7%

    Ada di antara anda mungkin tertanya kenapa Saga, Iriz dan Persona menerima rebat rendah, iaitu bawah dua peratus sedangkan Perodua Axia yang paling murah pun dikurangkan sebanyak tiga peratus. Proton tidak memberitahu sebab sebenar tapi ia berkemungkinan kerana sebelum ini Proton telah menyerap kos SST sejak cukai itu diperkenalkan semula pada September 2018.

    Harga waktu “cuti cukai” dari Jun hingga Ogos 2018 itu telah dikekalkan sehingga kini, termasuklah untuk model facelift yang diperkenalkan kemudiannya (tahun lepas). X70 adalah satu-satunya kereta baru yang dilancar selepas pengenalan semula SST, dan mungkin sebab itu ia menunjukkan pengurangan harga paling banyak.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025