Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kereta nasional 3.0 bakal muncul pada 2020 – Menteri

    Kereta nasional 3.0 bakal muncul pada 2020 – Menteri

    Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof, kerajaan bersedia melancarkan projek kereta nasional 3.0 menjelang 2020 sebagaimana dibayangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, lapor Bernama.

    Menurutnya, kerajaan sekarang percaya bahawa langkah berkenaan akan mencergaskan kembali industri automotif negara. “Kami mencuba untuk mencergaskan dan mengembangkan industri ini memandangkan potensinya yang besar, Selain itu, pengeluar komponen kenderaan juga adalah antara sektor yang memacu perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya ketika Majlis Konvokesyen Kolej Automotif TOC semalam.

    Sebelum itu ketika berucap di majlis tersebut Mohd Redzuan menyatakan bahawa kerajaan memerlukan sokongan bagi industri ini, begitu juga dengan pengetahuan, kemahiran dan graduan berkemahiran untuk menjayakan cita-cita ini.

    “Pada masa lalu, kita cuba mengembangkan industri ini dengan mewujudkan kereta kita sendiri, tetapi jelas, kita perlu bekerja seiring dengan masa. Ini memberikan banyak cabaran sebagaimana yang kita saksikan hari ini dimana Proton perlu berkompromi,” katanya dan menjelaskan kerajaan akan menyempurnakan dan memperbaiki daripada ‘apa dan di mana yang salah (terhadap Proton)’.

    Menurut menteri berkenaan lagi, kerajaan boleh menjadi fasilitator kepada graduan automotif untuk menjalankan latihan kerja di Jepun. “Kami lebih dari gembira untuk melaksanakannya dan kita juga mempunyai rakan di Jepun yang sanggup menerima graduan kita untuk latihan kerja di sana,” katanya dan menambah bahawa langkah itu akan membantu industri automitif tempatan berkembang maju dan menjadi lebih berdaya tahan, terutama dalam sektor pengeluaran komponen kenderaan.

    Ketika satu persidangan di Jepun Jun lalu, Tun Mahathir menyuarakan hasrat untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga selepas Proton kini tidak lagi sebuah jenama kereta nasional Malaysia.

    Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad juga pernah menyatakan bahawa negara ini tidak memerlukan satu lagi jenama kereta nasional yang baru. Menurut beliau, ketika ini indsutri automotif negara sudah berkembang maju (kini dengan lebih 500 vendor), walaupun skala ekonomi pasaran tempatan adalah kecil.

    “Jika dibandingkan dengan negara ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia, ia tidak mempunyai kereta nasional, tetapi industri automotif negara berkenaan berkembang kukuh,” katanya.

     
     
  • Vios Challenge musim kedua bermula sengit – aksi menarik, Diana Danielle ungguli kelas Promotional

    <em>Vios Challenge</em> musim kedua bermula sengit – aksi menarik, Diana Danielle ungguli kelas Promotional

    Perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, pada Jumaat dipenuhi oleh kehadiran orang-ramai bagi acara Festival Toyota Gazoo Racing (TGR). Di litar, bermula sejak jam 3 petang, perlumbaan pertama bagi musim kedua Vios Challenge musim kedua yang berlangsung mencuri paling banyak tumpuan.

    Paling menarik, perlumbaan pembuka bagi kategori Promotional oleh barisan selebriti menyaksikan begitu banyak drama dan aksi menarik dari awal hingga akhir pelumbaan. Buat pertama kalinya, Diana Danielle menjadi pelumba wanita yang dapat memulakan perlumbaan di petak pertama.

    Perlumbaan berkenaan juga berlangsung dengan penuh aksi mendebarkan; dengan pengalaman yang dikumpul dari musim pertama, Diana berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu itu sehingga tamat perlumbaan, tetapi bukanlah dengan jalan mudah tanpa sebarang cabaran sengit yang diberikan oleh pelumba-pelumba lain.

    <em>Vios Challenge</em> musim kedua bermula sengit – aksi menarik, Diana Danielle ungguli kelas Promotional

    Dalam kategori selebriti ini sahaja, empat pelumba – Nabila Razali, Khai Bahar, Aiman Tino dan Nabil Ahmad – tidak menamatkan perlumbaan kerana terlibat dalam kemalangan berasingan. Sebahagian besarnya kerana gagal mengawal kenderaan di selekoh dan melanggar penghadang litar.

    Kereta keselamatan juga terpaksa keluar selepas untuk memperlahankan perlumbaan bagi memberi ruang petugas membawa keluar kereta Nabil yang tidak lagi dapat bergerak selepas perlanggaran.

    Diana kekal di depan dan menamatkan perlumbaan ditempat pertama dengan kelebihan 2.4 saat di depan Akim Ahmad, dan diikut di tempat ketiga oleh Janna Nick.

    Kategori Sporting juga tidak kurang menarik. Shawn Lee dan Shukri Yahaya yang beralih ke kategori ini untuk musim kedua masing-masing bermula dari petak pertama dan kedua. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Shukri kerana tak lama selepas memulakan perlumbaan, satu dari tayar depan keretanya tercabut ketika sedang bergerak akibat bahagian dalam rim yang pecah, selepas terlanggar penghadang ketika masih dalam lap pertama.

    Perlumbaan kategori ini disudahi dengan prestasi menarik ditunjukkan oleh Shawn untuk muncul juara, sementara tempat kedua menjadi milik Brendon Lim, diikuti oleh Kenneth Koh.

    <em>Vios Challenge</em> musim kedua bermula sengit – aksi menarik, Diana Danielle ungguli kelas Promotional

    Saingan lebih sengit dipamerkan dalam kategori Super Sporting. Tiga kedudukan utama menjadi rebutan tiga pelumba yang terpisah dalam jarak yang sangat sedikit antara William Ho, Boy Wong dan Kenny Lee. Kenny yang bermula di petak pertama telah dihukum oleh rakan sepasukannya, William Ho yang berjaya memulakan perlumbaan dengan lebih baik dan merampas kedudukan berkenaan.

    Perlumbaan pertama ini akan diteruskan lagi hari ini, dengan setiap pusingan perlu mengharungi 22 pusingan, meliputi jarak litar 1.65 km di litar jalanan Kuala Terengganu ini.

     
     
  • Yamaha Exciter 150 atau Y15ZR 2019 ditunjuk secara rasmi – enjin masih 150 cc, banyak kelengkapan baru

    Yamaha Exciter 150 atau Y15ZR 2019 ditunjuk secara rasmi – enjin masih 150 cc, banyak kelengkapan baru

    Beberapa hari yang lalu, kami telah menyiarkan satu spyshot, berserta gambar risalah jualan sebuah model yang dikatakan sebagai Yamaha Exciter (atau dikenali sebagai Y15ZR di Malaysia) baru. Ternyata, ia sekarang sudah dipertontonkan secara rasmi kepada wakil media dalam satu majlis di Vietnam.

    Cumanya, ia masih dipanggil sebagai Exciter 150, dan enjin serta asas motosikal ini masih lagi sama. Ia menggunakan enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc, bersama padanan kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Jumlah ini masih sama seperti Y15ZR yang dipasarkan di Malaysia.

    Melalui pendedahan ini, ia sekaligus menyangkal berita sebelum ini yang menyatakan Exciter baru akan dilengkapi dengan enjin dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) 155 cc seperti YZF-R15 dan juga NVX155. Cumanya, walaupun masih menggunakan enjin 150 cc sama, Exciter baru ini telah diberi pelbagai peningkatan kelengkapan lain.

    Ini termasuk paling utama adalah penampilannya, di mana pada bahagian hadapan, lampunya berbentuk baru dan kini menggunakan sistem LED, fender baru bagi menempatkan tayar hadapan lebih besar (saiz 90/80 R17), meter LCD satu warna, butang lampu tinggi (passing light), butang mematikan enjin (kill switch) serta penggera yang boleh ditekan untuk mengeluarkan bunyi.

    Selain daripada itu, dimensi motosikal ini turut berubah sedikit di mana panjang dan tingginya bertambah masing-masing 15 mm dan 20 mm, tinggi tempat duduk bertambah 15 mm, manakala berat juga bertambah 2 kg. Berkemungkinan ini adalah kesan daripada penggunaan tayar hadapan lebih besar, dan suspensi belakang juga ditala semula kerana dalam risalah, gambar monoshock belakangnya terpapar bersama kelengkapan baru lain.

    Bahagian lain pada motosikal ini masih lagi sama iaitu ia masih dilengkapi dengan brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api 4.2 liter, lampu belakang LED serta tayar belakang saiz 120/70R17. Harga yang dikeluarkan untuk model baru ini pula adalah 47 juta dong, bersamaan sekitar RM8,200.

     
     
  • Proton lancar pusat 4S Chan Sow Lin yang dinaiktaraf

    Proton lancar pusat 4S Chan Sow Lin yang dinaiktaraf

    Proton kian agresif dalam menaiktaraf mutu rangkaiannya termasuklah perkhidmatan selepas jualan. Terkini, Proton telah melancarkan cawangan Chan Sow Lin, yang sebenarnya merupakan pusat 4S pertama yang dikendalikan sendiri oleh Proton Edar.

    Pusat 4S sedia ada yang telah dinaiktaraf ini, meliputi keluasan 14,875 kaki persegi, telah diberikan suntikan yang lebih segar dengan imej baharu yang menjadi standard bagi cawangan kategori 4S. Ia turut menampilkan warna biru muda baharu yang menjadi sebahagian daripada identiti korporat yang diperkenalkan pada Jun. Di dalamnya, menampakkan lebih ciri “gaya hidup” pada bahagian dinding dan skim warna yang lebih menarik yang melambangkan kemodenan.

    Ia turut menempatkan ruang menunggu bagi pelanggan yang telah diluaskan, sudut permainan kanak-kanak, surau, mini kafe dan juga perkhidmatan WiFi secara percuma turut disediakan. Selain itu, ia turut menyediakan 18 petak servis, dua petak perhantaran kereta dengan 53 ruang parkir untuk penonton.

    Proton berkata, dengan fasiliti yang telah dipertingkatkan, cawangan Chan Sow Lin yang terletak di kawasan komersial yang sibuk ini, disasarkan mampu meningkatkan jualan dan servis sebanyak 30%. Sehingga akhir Julai, sebanyak 93 cawangan telah dinaiktaraf menjadi pusat 3S dan 4S, iaitu merangkumi 85% daripada sasaran 109 cawangan pada hujung Oktober.

    Pusat 45 Proton Edar baharu ini akan beroperasi dalam tujuh hari seminggu untuk jualan (8 pagi hingga 7 malam – Isnin hingga Sabtu, 10 pagi hingga 5 petang pada Ahad dan cuti umum) dan servis (8 pagi hingga 5.15 petang pada Isnin hingga Ahad, dan tutup pada cuti umum).

     
     
  • Kerajaan lihat kemungkinan buka servis pemeriksaan kenderaan kepada syarikat selain daripada Puspakom

    Kerajaan lihat kemungkinan buka servis pemeriksaan kenderaan kepada syarikat selain daripada Puspakom

    Menurut satu laporan dari Bernama, kerajaan sedang melihat kepada kemungkinan untuk membuka servis pemeriksaan kenderaan kepada syarikat lain dan bukan sahaja Puspakom seperti sekarang ini yang merupakan satu-satunya penyedia perkhidmatan tersebut.

    Perkara ini diberitahu oleh timbalan menteri pengangkutan, Kamaruddin Jaffar yang menjawab soalan wakil rakyat Labis, Pang Hok Liong sama ada kerajaan sudah bersedia untuk memberikan lesen kepada syarikat lain untuk bersaing dengan Puspakom.

    Tambah Kamaruddin, keputusan tentang perkara itu akan dibuat menjelang akhir tahun ini dan kerajaan juga sedang meneliti perjanjian konsesi Puspakom, yang akan berakhir pada 31 Ogos 2024.

    “Jika rancangan ini dilaksana, syarikat servis pemeriksaan kenderaan perlu mematuhi standard tinggi serta peraturan yang telah digunakan oleh Puspakom. Mereka juga perlu mengambil kira faktor seperti pasaran yang kecil serta kadar bayaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” kata Kamaruddin dalam Dewan Rakyat.

    Kerajaan lihat kemungkinan buka servis pemeriksaan kenderaan kepada syarikat selain daripada Puspakom

    Keuntungan juga akan menjadi satu isu yang diambil kira. Kamaruddin berkata, pasaran untuk pelanggan atau kenderaan yang memerlukan servis pemeriksaan ini adalah rendah, dan ia dianggarkan cuma 8% daripada jumlah keseluruhan kenderaan empat roda yang berada dalam negara.

    “Selain daripada pasaran yang kecil, pemeriksaan kenderaan yang dijalankan oleh Puspakom memerlukan pembangunan yang serta kos operasi yang tinggi, dan untuk tahun 2018, Puspakom telah membelanjakan RM2 bilion untuk pembiayaan operasi dan RM550 juta untuk pembangunan,” kata beliau.

    Purata perbelanjaan operasi Puspakom untuk lima tahun dari 2013 hingga 2017 membawa kepada RM9.7 juta sebulan, manakala pendapatan purata pula adalah RM9.9 juta sebulan. Daripada ini, keuntungan yang diperoleh adalah sekitar RM200,000 sebulan.

     
     
  • GIIAS 2018: Daihatsu Sirion 1.3L pasaran Indonesia – buatan Rawang, harga bermula RM51k hingga RM55k

    GIIAS 2018: Daihatsu Sirion 1.3L pasaran Indonesia –  buatan Rawang, harga bermula RM51k hingga RM55k

    Awal tahun ini, Perodua Myvi generasi ketiga telah pun masuk ke pasaran Indonesia secara rasmi, dan ramai yang sudah mengetahui bahawa ia tidak dijual dengan logo Perodua di republik berkenaan, sebaliknya diberikan lencana Daihatsu Sirion.

    Pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini, Sirion turut memeriahkan suasana di kawasan pameran Daihatsu. Model berkenaan sememangnya model yang dihasilkan dan diproduksi di Rawang, cuma diberikan jenama yang berbeza.

    Di Indonesia, Sirion bukanlah model yang bersaing pada pasaran hatchback Low Cost Green Car atau kereta segmen-A dengan enjin di bawah 1.2 liter, sebaliknya merupakan pilihan model yang lebih premium daripada itu.

    Walau bagaimanapun, Daihatsu Sirion untuk pasaran Indonesia ini hanya ditawarkan dalam versi 1.3L, tanpa pilihan enjin 1.5 liter. Seperti juga Myvi, model berkenaan dijana enjin 1NR-VE bersama pilihan kotak gear sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik. Ia juga di hadir dengan hanya satu varian.

    Sekali tengok, Sirion 1.3L ini nampak macam model Myvi 1.5L, ini kerana ia diberikan rim 15-inci dua-tona sama dengan model tertinggi di Malaysia berkenaan. Ia juga menerma sistem infotainmen dengan skrin sesentuh, manakala ciri lain adalah seiras dengan Myvi 1.3 Premium X di sini, terdiri dari lampu LED, lampu kabus, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin.

    Sirion juga turut diberikan roda stereng dengan balutan kulit dan butang pelbagai fungsi, perehat kepala belakang boleh laras, kawalan penghawa dingin digital dan pengecas USB pada bahagian sisi pemandu.

    Untuk keselamatan, model ini menerima sistem ABS, EBD, VSC, pengingat pemakaian tali keledar belakang dan empat beg udara (dua hadapan, dua sisi). Talaan kuasa bagi enjin masih kekal sama dengan Myvi iaitu 95 PS/121 Nm, namun Sirion tidak diberikan sistem start-stop enjin automatik eco-idle.

    Dengan kesemua kelengkapan ini, Daihatsu Sirion dijual pada harga bermula Rp 182.5 juta (RM51,384) untuk model manual manakala versi automatik pula dijual pada harga Rp 193.5 juta (RM54,484). Sebagai perbandingan, Perodua Myvi 1.3L dijual pada harga bermula RM44,300 hingga RM48,300 tanpa GST, di Malaysia.

     
     
  • GIIAS 2018: Suzuki Jimny generasi baharu akan di pasang di Indonesia, turut akan dieksport ke Thailand

    GIIAS 2018: Suzuki Jimny generasi baharu akan di pasang di Indonesia, turut akan dieksport ke Thailand

    Kita di Malaysia memang sah lah tidak akan menerima Suzuki Jimny generasi baharu yang telah didedahkan baru-baru ini kerana jenama tersebut tidak lagi bertapak di sini. Namun lain pula ceritanya di Indonesia kerana republik berkenaan bukan sahaja terus akan memasarkan Jimny, malah turut dirancang akan memproduksi SUV kompak ini di salah satu kilang Suzuki dalam negara tersebut.

    Perkara ini telah diumumkan oleh Subrono Laras, Presiden Pesuruhjaya PT Indomobil Sukses International di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018 ketika mendedahkan SUV kecil tersebut untuk dipamerkan kepada umum. Menurut wakil kami ke GIIAS, Danny Tan dari paultan.org Bahasa Inggeris, Jimny menjadi antara model yang paling mendapat tumpuan pengunjung, termasuk presiden Indonesia, Joko Widodo walaupun dipamerkan tanpa pentas khas.

    Bulan lalu juga ada dilaporkan bahawa Indonesia akan menjadi pembekal Jimny untuk ke pasaran Thailand, selain dari Jepun. Republik berkenaan akan menghasilkan Jimny dalam varian “Sierra”, iaitu model yang diberikan bampar lebih agresif, over-fender pada setiap perumah roda, dijana enjin 1.5 liter digabungkan dengan kotak gear lima kelajuan manual atau empat-kelajuan auto.

    Di Jepun, Jimny masih menggunakan badan standard yang kurang lebar, bersama enjin 660 cc tiga silinder bagi mengekalkannya sebagai sebuah model di bawah undang-undang Kei-Car. SUV ini juga sebenarnya masih kekal dibina menggunakan asas ladder frame; tiga sudut bersama gandar hidup tiga hubungan dan spring gegelung. Digandingkan dengan sistem 4WD separa masa bersama gear peralihan (2H, 4H, 4L), Jimny masih kekal sebagai jentera off-road sebenar, bukan crossover seperti Suzuki Vitara.

    ‘Pajero kecil’ ini juga turut diberikan dua cross member tambahan bagi memperkuatkan lagi casis serta meningkatkan ketegaran torsi. Ia direka bagi mendapatkan sudut approach 37 darjah, sudut ramp breakover 28 darjah, dan sudut berlepas 49 darjah, bagi membolehkannya ‘memanjat’ pelbagai permukaan bumi tanpa merosakkan bahagian bawah badan.

    Walau bagaimanapun, Subroto menyatakan Jimny yang akan diproduksi di Indonesia masih belum ditentukan sama ada hanya diberikan sistem pacuan 4×2 atau 4×4. Syarikat berkenaan masih lagi dalam proses perancangan produk dan menyasarkan harga yang kompetitif dimana sistem 4WD pastinya akan menambah lagi kos.

     
     
  • GALERI: Sorotan kemeriahan acara Art of Speed 2018

    GALERI: Sorotan kemeriahan acara Art of Speed 2018

    Perkarangan MAEPS Serdang hujung minggu lalu menjadi tumpuan peminat-peminat hal-hal automotif, khususnya penggemar dunia binaan khas, kustom dan juga hobi-hobi lain selingkarnya yang berhimpun untuk meraikan berlangsungnya acara tahunan yang memasuki penganjurannya kali ke-7, Art of Speed 2018.

    Terlalu banyak pengisian yang dihidangkan kali ini, dan itu membuatkan ramai peminat dan pemerhati membanjiri lokasi itu, yang turut menghimpunkan penggiat bukan sahaja dari Malaysia sendiri, tetapi juga dari arena antarabangsa.

    Selain itu, seorang pengunjung bertuah, Mohamad Nasruddin Abdullah, berjaya menjadi satu-satunya pemenang dan penerima sebuah motosikal kustom C600R “Papa Jahat” yang dibina khusus untuk dijadikan hadiah cabutan bertuah.

    Bagi pertandingan Motosikal Binaan Khas Jemputan pula, Muhammad Khalid Musa dari Rusty Factory, Ipoh sekali lagi dipilih sebagai pemenang. Jika tahun lalu beliau hadir dengan rekaan radikal sebuah Honda CX500 “Fire Ant”, tahun ini untuk kali kedua berturut-turut kehalusan kerja tangannya sekali lagi menarik perhatian juri dan pengunjung, melalui binaan sebuah motosikal BMW R75/6 “White Angel”.

    Jika anda tak berkesempatan meluangkan masa ke acara berkenaan, jangan risau. Sorotan kemeriahan acara terbabit boleh diikuti melalui galeri gambar yang kami sediakan ini.

     
     
  • Suzuki GSX 150 Bandit dipertonton di GIIAS, Indonesia

    Suzuki GSX 150 Bandit dipertonton di GIIAS, Indonesia

    Satu lagi motosikal baru yang diperkenalkan di acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018 adalah Suzuki GSX 150 Bandit ini. Ia sebenarnya mempunyai persamaan besar dengan model GSX-S150 yang sudah berada di pasaran di sana, tetapi masih memiliki sedikit perbezaan.

    Paling jelas, selain warna dan grafik adalah GSX 150 Bandit menggunakan tempat duduk bersambung untuk penunggang serta penumpang, dan lampu hadapan yang berbentuk semakin mirip kepada pesaingnya, iaitu Yamaha Vixion (dikenali di negara kita sebagai Yamaha FZ150i).

    Perincian penuh tentang motosikal ini, berserta harganya masih belum disiarkan oleh pengedar motosikal Suzuki di sana, tapi berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh media, ia mempunyai tangki, meter digital, rim (17 inci) serta brek cakera yang sama dengan GSX-S150, tetapi ekzos serta subframe belakangnya adalah berlainan.

    Kalau melihat kepada GSX-S150, enjin yang digunakan adalah unit satu silinder DOHC penyejukan cecair 147.3 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan, dan boleh menghasilkan kuasa sebanyak 18.9 hp dan 14 Nm tork. Ini adalah enjin dengan sistem suntikan bahan api, dan didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 11 liter.

    Disebabkan subframe yang berbeza, GSX 150 Bandit menjadi lebih rendah, dan mengikut dimensi yang diberi Honda Indonesia, ia lebih rendah 5 mm dan lebih pendek 20 mm. Pilihan warna yang disediakan untuk GSX 150 Bandit pula terdiri daripada Metallic Matte Titanium Silver, Brilliant White / Aura Yellow, Stronger Red / Titanium Black dan Titanium Black.

    GALERI: Suzuki GSX 150 Bandit


    GALERI: Suzuki GSX-S 150

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo akan dinilai semula

    Lebuhraya Pan Borneo akan dinilai semula

    Mekanisme dan hala tuju projek mega Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak dijangka akan dimuktamad dan diputuskan selewat-lewatnya awal September ini, lapor Bernama.

    Menurut Menteri Kerja Raya Baru Bian, kementeriannya akan melantik jurutera perunding bebas bagi menilai semula pelaksanaan projek melibatkan pakej-pakej kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor projek berkenaan berdasarkan amalan kejuruteraan terbaik.

    “Pada 24 Julai lalu kementerian telah diarahkan Kementerian Kewangan untuk meneliti dan menilai semula kos dan skop projek Pan Borneo Sabah dan Sarawak. Kementerian telah mengemukakan cadangan melantik jurutera perunding bebas untuk melaksanakan penilaian tersebut,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

    Baru turut berkata anggaran kos keseluruhan projek di Sabah ialah RM12.86 bilion yang dibahagikan kepada 35 pakej kerja, manakala kadar yuran yang akan dibayar oleh kerajaan kepada PDP adalah 5.5 peratus daripada kos keseluruhan pembinaan.

    Lebuhraya Pan Borneo akan dinilai semula

    Tambahnya lagi, setakat ini sebanyak 12 daripada 35 pakej kerja projek Pan Borneo Sabah telah dilaksana manakala baki 23 pakej kerja lagi belum dimulakan kerana sama ada masih di peringkat perolehan, makmal pengurusan nilai atau perancangan reka bentuk.

    Secara keseluruhan, Lebuhraya Pan Borneo ini dirancang akan dibina sejauh 2,325 km meliputi Sarawak dan Sabah, di mana fasa pertamanya yang kini sedang dibina dijangka siap pada tahun 2021. Fasa pertama tersebut dibahagikan kepada 11 pakej, kebanyakkan pembinaannya berlangsung di Sarawak.

    Mei lalu, ada laporan menyatakan bahawa projek bahagian Sabah dengan jarak 1,236 km mungkin akan dibatalkan. Buat masa sekarang, dilaporkan juga kebanyakkan kawasan pembinaan Lebuh Raya ini masih belum bermula dan ini akan lebih memudahkan pembatalan tersebut.

    Tujuh pakej telah dirancang untuk kawasan Sabah, keseluruhannya bernilai RM3.2 bilion. Lima pakej daripadanya telah pun dimulakan, ada sumber mendedahkan ia kini menghadapi masalah “kos berlebihan yang besar” dan kerajaan sebelum ini sudahpun menghadapi masalah bagi menetapkan kos.

     
     
  • Honda Cub C125 dan Forza 250 masuk pasaran Indonesia – harga masing-masing RM15.5k, RM19.7k

    Honda Cub C125 dan Forza 250 masuk pasaran Indonesia – harga masing-masing RM15.5k, RM19.7k

    Bersempena dengan acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung sekarang di Jakarta, Indonesia, pengedar motosikal Honda di sana, PT Astra Honda Motor (AHM) telah melancarkan dua model baru iaitu Cub C125 dan Forza 250.

    Bagi model Cub C125, ia diperkenalkan buat pertama kali di Jepun Oktober tahun lalu, dan Boon Siew Honda juga baru mempertontonkannya minggu lepas di acara Art Of Speed. Model yang dilancarkan di Indonesia ini adalah menggunakan enjin satu silinder SOHC penyejukan udara 124.89 cc, dengan sistem suntikan bahan api serta transmisi empat kelajuan, mampu menghasilkan 9 hp dan 9.79 Nm tork.

    Antara kelengkapan lain yang ada pada model ini adalah semua lampu jenis LED, panel meter gabungan digital, rim aloi tanpa tiub 17 inci, sistem kunci pintar, satu tempat duduk yang boleh dibuka secara elektrik, brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang. Harga untuk Cub C125 ini di Indonesia adalah 55,000,000 rupiah (RM15,488).

    Melihat kepada Forza pula, ia baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran Eropah Mac yang lalu, tapi dalam versi 279 cc yang dipanggil sebagai Forza 300. Model yang dilancarkan di Indonesia pula adalah model Forza 250 yang menggunakan enjin satu silinder penyejukan cecair 249.01 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan kuasa 23.19 hp dan 24 Nm. Ini menjadikan ia 1.61 hp dan 3.2 Nm tork kurang daripada Forza 300.

    Selain kuasa ini, kelengkapan lain untuk Forza 250 masih sama dengan Forza 300, termasuk peningkatan paling penting bagi model baru ini iaitu penampilan serta Honda Selectable Torque Control (HSTC), satu sistem keselamatan seperti kawalan cengkaman yang juga boleh ditutup melalui suis kawalan di bahagian kiri pemegang.

    Kelengkapan lain yang ada pada Forza 250 pasaran Indonesia ini adalah sistem kunci pintar, lampu LED, penghadang angin yang boleh dilaras secara elektrik, rim 15 inci dengan tayar 120/70 di hadapan, 14 inci dengan tayar 140/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang, sistem ABS, tangki bahan api 11.5 liter dan berat keseluruhan 182 kg. Ia ditawarkan dalam tiga warna, dengan harga sekitar 70,000,000 rupiah (RM19,712).

    GALERI: Honda Cub C125


    GALERI: Honda Forza 250

     
     
  • Perodua Alza akan dipertingkatkan sebelum digantikan

    Perodua Alza akan dipertingkatkan sebelum digantikan

    Dengan pengenalan Perodua Myvi baharu pada November lalu, Alza kini menjadi model paling seinor dalam barisan kenderaan keluaran Perodua – yang pertama kali diperkenalkan pada hujung 2009. MPV tujuh-tempat duduk ini pernah dipertingkatkan pada tahun 2014, namun sejak itu perkhabaran untuk menggantikannya dengan model baharu atau pun model semasa yang dipertingkatkan masih samar-samar.

    Kini, akhirnya, Perodua telah membuka mulut mengenai model yang dipertingkatkan. Walaun masih berahsia mengenai detik pelancarannya, mahu pun ciri yang dipertingkatkan, pengarah urusan Perodua Sales, Datuk Zaharu Husin, dalam sidang media selepas mengumumkan prestasi jualan separuh pertama 2018 jenama ini semalam, berkata, model semasa Alza akan menerima peningkatan dalam waktu terdekat ini.

    “Kita tahu bahawa Alza merupakan model paling lama (dalam barisan), tetapi permintaannya masih tinggi. Kami akan menggantikannya dengan model baharu, tetapi buat masa ini biarlah ia menjadi rahsia. Tetapi model semasa akan dipertingkatkan dan diperkenalkan nanti,” ujarnya.

    Buat masa ini, tiada perincian didedahkan, namun kami jangka Alza akan menerima enjin baharu 1.5 liter Dual VVT-i yang sama dengan Myvi – dengan kuasa 102 hp dan tork 136 Nm – serta dengan beberapa ciri baharu termasuk kemasukan tanpa kunci dan butang push-start. Peningkatan ini mungkin lebih kurang sama dengan model Axia 2017 yang dilancarkan awal tahun lalu yang turut menerima enjin baharu.

     
     
  • Kerajaan bakal hadapi krisis kewangan jika hapuskan tol serentak, kos keseluruhan RM400b – Baru Bian

    Kerajaan bakal hadapi krisis kewangan jika hapuskan tol serentak, kos keseluruhan RM400b – Baru Bian

    Kerajaan Persekutuan tidak boleh menghapuskan tol secara serentak, jika berbuat demikian, negara kita bakal menghadapi krisis kewangan, ujar Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

    Katanya, kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol dianggar RM400 bilion, laporan Berita Harian.

    “Penghapusan tol secara serentak akan memberi kesan kepada kewangan kerajaan kerana kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol mencecah RM400 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, semalam.

    Menurut Baru lagi, kerajaan akan membuat kajian dan penelitian sebelum membuat keputusan mengenai penghapusan tol ini.

    Kerajaan bakal hadapi krisis kewangan jika hapuskan tol serentak, kos keseluruhan RM400b – Baru Bian

    “Kerajaan perlu menjaga kepentingan semua pihak termasuk pemegang konsensi, pelabur dan pemberi pinjaman. Justeru, semua isu berkaitan penghapusan tol dan implikasi serta jumlah tol akan dimuktamadkan selepas kita berbincang dan mendapat nasihat daripada agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

    Menjawab celahan Datuk Ahmad Maslan (BN-UMNO Pontian) supaya kerajaan menyenaraikan tol yang akan dihapuskan, Baru berkata, ia perlu dikaji.

    “Itu (bilangan tol dimansuhkan) akan dikaji dan keputusannya akan dibuat kelak,” katanya.

    Mengenai pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) yang inginkan jaminan bahawa kerajaan tidak akan memperkenalkan tol baharu, Baru menjawab, “Kalau itu (tol) adalah yang baharu atau yang belum bina, saya beri jaminan kita tidak akan teruskan (buka tol di lebuhraya baharu),” katanya.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz C300 Cabriolet AMG Line bukan sportcar, tapi masih terserlah prestasi menguja

    PANDU UJI: Mercedes-Benz C300 Cabriolet AMG Line bukan sportcar, tapi masih terserlah prestasi menguja

    Kelibatnya meraih perhatian ramai. Bukan setakat deruman enjinnya, bahkan penampilan luarannya membuatkan orang di sekeliling lekas-lekas memerhatikannya. Itulah keistimewaan paling nyata bagi Mercedes-Benz C 300 Cabriolet yang cukup bergaya dan serba sporty penampilannya. Ibarat jejaka maskulin, macho, dan hensem; mungkin boleh kalah ‘abah’ YB Khairy Jamaluddin, si ‘tall, dark and handsome’ mahu pun YB Syed Saddiq yang cute itu.

    Tetapi adakah gaya yang diserlahkan seiring sejalan dengan prestasinya? Mari kita bongkarkan selanjutnya mengenai C 300 Cabriolet ini.

    Redakan dulu keterujaan sebelum kita bercerita bab prestasi. Mari jamu mata melihat penampilan serba bergaya, mewah, elegan, sofistikated dan sporty yang diserlahkan menerusi bahagian luaran dan dalamannya.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • SUV Proton – Imej bocor lebih jelas disiarkan di China

    SUV Proton – Imej bocor lebih jelas disiarkan di China

    Semalam akaun Facebook Proton Boyue X7 Community (Malaysia) telah menyiarkan imej bocor di mana Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir bersama Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton bergambar di hadapan SUV pertama Proton yang diasaskan dari Geely Boyue dan menampakkan ‘muka sebenar’ model tersebut. Hari ini kami mendapat gambaran yang lebih jelas apabila portal permotoran China, autohome.com.cn menyiarkan satu set foto SUV berkenaan yang telah bocor.

    Tidak hairan mengapa mereka menerima imej ini kerana kumpulan pertama SUV Proton berkenaan sememangnya akan dihasilkan secara CBU di China, manakala model pemasangan tempatan akan mula masuk ke pasaran tahun hadapan.

    Menerusi foto ini kita dapat melihat dengan jelas bagaimana rupa sebenar gril hadapan SUV berkenaan – bukan sahaja menampilkan elemen tiga jalur melintang, malah turut diberikan perincian berbentuk trapezoid. Jika anda lihat lagi dengan teliti, sebuah penderia turut ditempatkan dibawah logo 3D Proton.

    SUV Proton – Imej bocor lebih jelas disiarkan di China

    Beralih ke bahagian belakang, SUV ini diberikan kemasan nombor pendaftaran baharu pada pintu tailgate yang diberikan abjad ‘PROTON’ mengingatkan kita kepada model hatchback segmen-C sedia ada, Proton Suprima S.

    Ciri lain, SUV ini masih lagi sama dengan unit yang bocor sebelum ini, menampilkan rekaan bampar dengan apron yang lebih agresif sama seperti pada Boyue facelift dan dipadankan dengan rim 18-inci lima jejari berkembar dari model Boyue terdahulu.

    April lalu, Proton telah mendedahkan ciri-ciri yang bakal dilengkapi pada Boyue versi mereka yang nampaknya diambil terus dari versi facelift terbaharu. Antara ciri-ciri berkenaan termasuk enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus, sistem pemantau titik buta, brek kecemasan automatik (AEB), cruise control adaptif, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik.

    SUV Proton – Imej bocor lebih jelas disiarkan di China

    SUV ini turut akan didatangkan dengan pembersih udara pintar, sistem pemantau angin tayar, kamera 360-darjah dan juga sistem infotaimen bersama skrin sesentuh lapan-inci lengkap dengan hubungan internet 4G dan juga aplikasi mudah alih serta fungsi kawalan jauh menerusi telefon pintar. Sebelum ini juga telah tersiar video bagaimana Tun M menguji sistem kawalan menggunakan suara bagi mengaktifkan pelbagai fungsi pada SUV ini.

    Proton sudah pun membuka peluang orang ramai untuk menamakan SUV ini menerusi pertandingan yang telah diumumkan lebih tiga bulan lalu, dan model ini dijangka akan membuat pra-penampilannya bulan ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025