Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Toyota Corolla generasi seterusnya sedang diuji, tampil binaan dari platform TNGA baharu

    SPYSHOT: Toyota Corolla generasi seterusnya sedang diuji, tampil binaan dari platform TNGA baharu

    Generasi ke-11 Toyota Corolla (dikenali sebagai Corolla Altis di Malaysia) telah pun berada lebih dari empat tahun dalam pasaran, dan sudah sepatutnya model gantiannya muncul tidak lama lagi. Tidak hairan juga imej spyshot untuk model baharu tersebut akan muncul buat masa sekarang.

    Imej yang dijumpai oleh jurugambar intipan kali ini dikatakan unit ujian versi produksi Corolla generasi baharu yang bakal diperkenalkan sebagai model konsep dan akan didedahkan pada hujung tahun ini. Model baharu berkenaan juga dikatakan bakal diperkenalkan sebagai model global, berbanding model sedia ada ditawarkan dengan variasi dan nama berbeza pada pasaran berbeza.

    Ia juga akan dibina berasaskan platform modular terbaharu Toyota iaitu platform TNGA, yang juga menjadi asas kepada Prius generasi baharu. Laporan juga mengatakan platform baharu Toyota ini tidak semestinya bakal menjadikan ia lebih ringan, tetapi yang pasti casis berkenaan akan dibina lebih tegar, bagi memberikan aspek NVH serta pemanduan dan pengendalian yang lebih baik. Ia juga bakal diberikan sistem suspensi yang lebih keras yang disasarkan untuk mendapatkan “pengalaman pemanduan yang lebih baik”.

    SPYSHOT: Toyota Corolla generasi seterusnya sedang diuji, tampil binaan dari platform TNGA baharu

    Dimensi Corolla baharu ini juga masih samar, tetapi ia dijangka bakal dibina lebih besar dari model sedia ada, dengan jarak roda lebih panjang bagi memberikan ruang kabin yang lebih luas. Untuk enjin pula, model generasi seterusnya ini dijangka akan menggunakan unit januakuasa global, dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder bakal diberikan pada model paling asas. Enjin dengan suapan turbo juga dijangka bakal ditawarkan.

    Bagi enjin 1.5 liter tiga-silinder yang disebutkan tadi, ia dijangka bakal menghasilkan kuasa 100 hp, manakala enjin berkuasa 180 hp dengan bantuan pengecas turbo bakal diberikan pada model pasaran Amerika Syarikat, menurut sumber pelbagai laporan.

    Untuk model pasaran Eropah dan lain-lain pula, enjin 1.4 liter diesel dengan peningkatan dilakukan pada kepala silinder bagi memberikan kecekapan bahan api dilaporkan bakal ditawarkan. Perbezaan model antara pasaran pula dikatakan akan dilakukan menerusi penawaran sistem transmisi yang akan diberikan pada kesemua jenis enjin tersebut.

     
     
  • Toyota bakal hasilkan MR2 generasi baharu?

    Toyota bakal hasilkan MR2 generasi baharu?

    Toyota MR2 AW11

    Sebelum ini, ketua jurutera Bahagian Pengurusan Kenderaan Sport Toyota dan juga bos yang menerajui Gazoo Racing, Tetsuya Tada pernah mengatakan syarikatnya bakal menampilkan “tiga beradik” dalam keluarga kereta sport mereka. Perkara ini sekali lagi diulang oleh ketua jurutera yang turut digelar “Godfather of 86“(atas tugasnya sebagai ketua jurutera kereta sport tersebut) dalam temuramah terbaharu bersama Evo di Geneva Motor Show.

    Barisan “tiga beradik” asal pada era 90’an dahulu disertai oleh Supra, MR-2 dan Celica, manakala untuk generasi baharu ini bakal diketuai oleh abang sulung Supra (yang kini dalam pembinaan), abang nombor 2 iaitu 86 telah mengambil tempat Celica, serta sebuah lagi jentera lebih kecil yang masih lagi samar yang bakal mengambil tempat MR2. Menurut Tada, ketiga-tiga beradik ini bakal membuat penampilan “secepat yang mungkin”.

    Pada Tokyo Motorshow 2015, sebuah kereta sport pacuan roda belakang yang lebih kecil dari 86 telah membuat penampilan. Coupe ringan, 2+2, enjin hadapan pacuan roda belakang tersebut digelar S-FR itu kelihatan bersedia untuk mencabar Mazda MX-5. Tiada perincian spesifikasi berkenaan model tersebut, tetapi menurut satu laporan dari media Jepun, ia dilengkapi dengan enjin 1.5 liter empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 130 PS/148 Nm, kotak gear manual enam-kelajuan dan berat bersih hanya 980 kg.

    Walau bagaimanapun, idea FR-S tersebut terpaksa diubah kerana undang-undang emisi akan datang dan Toyota sedang berusaha untuk menggunakan teknologi hibrid dari jentera perlumbaan LMP mereka. Tada menjelaskan pihaknya kini “sedang berusaha keras” untuk menjadikan kereta sport tersebut realiti.

    Toyota bakal hasilkan MR2 generasi baharu?

    Toyota S-FR

    Oleh itu, bleh ditafsirkan Toyota sedang membina sebuah kereta sport dengan bentangan enjin tengah yang lebih sesuai untuk memuatkan unit janakuasa tersebut, Evo menyifatkan ia sebagai sebuah model gantian MR2.

    Toyota MR2 merupakan kereta sport ringan Toyota yang diberikan enjin yang ditempatkan di bahagian tengah (antara belakang pemandu dan hadapan tayar belakang). Nama MR2 itu sendiri berasal dari ‘Mid-engine, Rear-wheel drive, 2 seater’, membuat kemunculan sulungnya pada tahun 1984 menerusi model generasi pertama AW11.

    Semasa diperkenalkan, ia dijana enjin 1.6 liter DOHC tanpa bantuan induksi paksaan 4A-GE sama seperti AE86, kemudian diberikan suapan supercharger menerusi enjin 4A-GZE pada tahun 1986. Evolusi MR2 diteruskan pada model generasi kedua SW20 pada tahun 1989, dijana enjin 3S-GE (untuk NA) dan 3S-GTE (untuk turbo) yang lebih berkuasa serta menjadikan ia lebih berat dari sebelum ini.

    Walau bagaimanapun, generasi ketiga ZZW30 yang diberi yang diberi nama baharu – MR-S – pada tahun 1999, kembali dibina dengan konsep asalnya iaitu sebuah jentera MR ringan, dijana enjin 1ZZ-FE 1.8 liter NA VVT-i.

     
     
  • Naza Premira letakkan khidmat 3S Aprilia, Vespa dan Piaggio bawah satu bumbung di Piaggio Motoplex

    Naza Premira letakkan khidmat 3S Aprilia, Vespa dan Piaggio bawah satu bumbung di Piaggio Motoplex

    Naza Premira Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi untuk produk Piaggio, Vespa dan Aprilia di Malaysia membuka satu ruang khas untuk tiga jenama ini di dalam Naza Automall Petaling Jaya, digelar sebagai Piaggio Motoplex Concept Showroom.

    Dengan langkah penyelarasan tersebut, orang ramai akan lebih mudah untuk mendekati tiga jenama dari Itali ini, di bawah satu bumbung, dan ia bukan sekadar ruang pameran, malah juga lengkap dengan bahagian servis, aksesori dan ruang istirehat.

    Selain itu, Naza Premira juga berjaya meningkatkan khidmat selepas jualan, dengan kini memegang alat ganti dan aksesori berjumlah lebih RM2 juta manakala pada pengedarnya pula terdapat alat ganti berjumlah RM300,000. Selain datang terus ke Piaggio Motoplex ini untuk khidmat pembaikan dan servis, pemilik motosikal tiga jenama ini juga boleh pergi ke 24 pusat servis berdaftar lain di seluruh negara.

    Setiap pusat servis ini telah menerima latihan teknikal lengkap oleh wakil Piaggio Asia Pacific di Hanoi, Vietnam dan mereka boleh menjalankan pelbagai kerja pembaikan dan analisis menggunakan peralatan canggih seperti Piaggio Advance Diagnostic System (P.A.D.S) untuk melaras kembali ECU.

     
     
  • PDAM setuju kaedah baharu harga siling bahan api

    PDAM setuju kaedah baharu harga siling bahan api

    Beberapa hari lalu, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keputusan kerajaan yang bakal melaksanakan penetapan harga siling bahan api secara mingguan mulai April ini. Menurut PDAM, perkara ini tidak akan menguntungkan pengguna dalam tempoh waktu yang panjang. Malahan ia akan memberikan kesan buruk terhadap pengusaha stesen minyak kerana mempunyai kebarangkalian terpaksa gulung tikar.

    Walau bagaimana pun, setelah mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dua hari yang lalu, PDAM akhirnya bersetuju dengan kaedah baru penetapan harga siling bahan api yang diputuskan, laporan Harian Metro.

    “Dalam pertemuan itu, kita sudah berbincang dengan PDAM dan hari ini kita akan berjumpa dengan syarikat pengeluar minyak di negara ini untuk memberi penjelasan kepada mereka.

    “Selepas pertemuan antara kementerian dengan syarikat minyak, kita akan mengumumkan harga siling bahan api mengikut kaedah yang lebih jelas kepada mereka termasuk pengguna,” ujar Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Namun, Hamzah tidak mendedahkan perincian mengenai perbincangan antara pihak KPDNKK dengan PDAM.

    Awal bulan ini, Hamzah mengumumkan pihak kerajaan memutuskan untuk mengumumkan harga siling bahan api pada setiap minggu, berbanding yang dilakukan sebelum ini pada hujung bulan. Katanya, ia akan dilaksanakan mulai April ini bagi memastikan pengguna mengetahuinya serta mengelak daripada berlaku keraguan.

    Kemungkinan, harga siling bahan api akan diumumkan pada Isnin atau Sabtu setiap minggu berbanding dilakukan sebulan sekali ketika ini.

     
     
  • Hesketh Valiant SC – enjin 2,100 cc supercas, 210 hp

    Hesketh Valiant SC – enjin 2,100 cc supercas, 210 hp

    Syarikat pengeluar motosikal prestasi dari United Kingdom, Hesketh, cukup terkenal di dalam dunia perlumbaan, seawal tahun 70-an. Dulunya, bukan setakat motosikal, syarikat ini juga pernah mempunyai pasukan sendiri dalam perlumbaan F1. Tapi sekarang, Hesketh Motorcycles lebih fokus kepada penghasilan motosikal edisi terhad buatan tangan.

    Hasil terbaru syarikat ini yang dibuka untuk jualan adalah Hesketh Valiant SC, yang menggunakan enjin V-Twin ‘X-Wedge’ S&S 2,100 cc, serta padanan sistem pengurusan enjin closed-loop dan supercharger Rotrex. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan oleh motosikal ini adalah 210 hp pada 5,500 rpm dan 295 Nm pada 3,000 rpm.

    Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, klac hidraulik King Kong dan kuasa disampaikan ke tayar belakang melalui rantai. Memandangkan ia adalah sebuah motosikal binaan tangan, banyak bahagiannya dimesinkan khas, termasuk rim three-piece 17 inci gaya Astralite.

    Tugas membrek pula dijalankan oleh angkup Pretech – enam piston berkembar di hadapan dan empat piston tunggal di belakang. Suspensi Valiant SC menggunakan barangan daripada Ohlins dan K-Tech di hadapan dan monoshock K-Tech Razor di belakang.

    Menurut Hesketh, motosikal ini mempunyai berat siap dengan bendalir 230 kg, dan beberapa bahagian lain turut menggunakan khidmat jenama seperti Rizoma, Magura, Smiths, Domino dan Moto Gadget. Tempahan kini sudah dibuka untuk Valiant SC, pada harga sekitar 50,000 pound sterling (RM272,000) dan pelanggan dijangka boleh menerimanya pada tahun hadapan.

     
     
  • Larangan berbasikal di lebuhraya dikuatkuasa – Liow

    Larangan berbasikal di lebuhraya dikuatkuasa – Liow

    Kerajaan telah menguatkuasakan larangan aktiviti berbasikal berkumpulan di lebuhraya terutama laluan yang mempunyai tiga lorong.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, larangan berkenaan bertujuan mengelakkan kemalangan melibatkan penunggang basikal berikutan perbezaan kelajuan yang amat ketara antara basikal dan kenderaan lain, laporan Bernama.

    “Kementerian Pengangkutan sentiasa tingkatkan kempen keselamatan jalan raya dan berusaha dengan agensi lain termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), polis dan penguat kuasa tempatan.”

    “Kami juga akan pastikan jalan raya yang sepatutnya untuk kenderaan bermotor lebih selamat dengan tidak membenarkan basikal, termasuk yang diubah suai, menggunakan laluan lebuh raya kerana laluan ini tiga lorong dan menyebabkan kenderaan laju serta meningkatkan risiko kemalangan,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat, semalam.

    Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang ingin tahu langkah kementerian bagi mengurangkan risiko kemalangan penunggang basikal selepas insiden lapan remaja maut dilanggar di Johor Bahru, bulan lepas.

    Katanya lagi, sekiranya kumpulan berbasikal ingin menggunakan lebuh raya, mereka perlu mendapatkan permohonan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis untuk memantau keselamatan konvoi berkenaan. Penunggang basikal juga hendaklah memakai pakaian keselamatan semasa menunggang. Bagi penunggang basikal bawak umur, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak mereka semasa menyertai aktiviti berbasikal.

     
     
  • Volkswagen bakal jalin kerjasama dengan Tata Motors bagi menghasilkan produk lebih kompetitif di India

    Volkswagen bakal jalin kerjasama dengan Tata Motors bagi menghasilkan produk lebih kompetitif di India

    Volkswagen Group sah dinobatkan sebagai pengeluar automotif paling laris tahun lalu, walaupun sedang dilanda skandal Dieselgate yang masih belum berkesudahan. Faktor kejayaan berkenaan disumbangkan oleh penguasaan mereka terhadap pasaran di China. Namun jenama berkenaan agak sukar untuk menyerlah di pasaran India kerana pasaran tersebut merupakan pasaran yang agak sensitif dengan harga.

    Oleh itu, VW Group yang diwakili CEO Matthias Muller dan Tata Motors yang diwakili pengarah urusan Guenter Butschek bakal menandatangi MoU kerjasama di Geneva Motor Show yang kini sedang berlangsung, bagi meneroka kemungkinan berkerjasama untuk membina barisan produk-produk baharu yang boleh dikongsi bersama jenama Volkswagen, Skoda dan juga Tata, menurut laporan Autocar India.

    “MoU ini akan membolehkan kami mempunyai perbincangan yang lebih luas dan bertukar lebih banyak informasi serta data untuk memahami sinergi yang wujud antara kedua-dua syarikat kami,” kata sumber yang rapat dengan pembangunan ini tetapi tidak mahu dikenali kepada Autocar India.

    Kedua-dua syarikat telah menjalankan rundingan struktur kerjasama ini lebih dari setahun sehingga sekarang. Pada peringkat awal, VW mahukan platform MQB-A miliknya untuk digunakan untuk projek ini, tetapi ia akan melibatkan kos yang tinggi dan bakal menghasilkan produk dengan harga yang tidak kompetitif pada pasaran India.

    Volkswagen bakal jalin kerjasama dengan Tata Motors bagi menghasilkan produk lebih kompetitif di India

    Selepas itu, Tata Motors pula menawarkan untuk menggunakan Advanced Modular Platform (AMP) yang telah dibina untuk model-model mereka untuk masa hadapan, yang lebih efektif dari segi kos serta lebih fleksibel untuk menghasilkan produk yang lebih pelbagai. VW agak skeptikal dengan tawaran ini pada awalnya, tetapi bersetuju setelah hasil ujian terhadap platform berkenaan yang memberangsangkan oleh firma kejuruteraan bebas Jerman, EDAG.

    Tata bersetuju untuk menggunakan teknologi elektrikal VW untuk produk-produk yang bakal dihasilkan dari platform AMP ini kerana ia jauh lebih baik berbanding sistem elektrikal mereka dan ia masih lagi efektif dari segi kos. Tata juga akan mengetuai pembangunan enjin kerana unit janakuasa VW agak sukar untuk dihasilkan dengan menggunakan kandungan komponen tempatan yang banyak, dan bakal meningkatkan kos serta menjadikan harganya tidak kompetitif di India.

    Walau bagaimanapun, masih lagi belum jelas secara spesifik model-model yang bakal dibangunkan menerusi kerjasama ini. Tetapi untuk VW dan Skoda, kerjasama dengan Tata ini merupakan satu-satunya harapan mereka untuk memberikan hasil yang lebih baik pada pasaran India, berbanding ketika ini produk-produk mereka yang mempunyai struktur kos yang tinggi dan tidak kompetitif di pasaran tersebut.

    Isu terbesar yang dilihat berpotensi untuk menggagalkan kerjasama ini adalah isu budaya, di mana kedua-dua syarikat mempunyai budaya yang jauh berbeza. Volkswagen sebenarnya pernah gagal dalam kerjasamanya dengan Suzuki Motor Co sebelum ini atas sebab yang sama, tetapi untuk kerjasama kali ini, berberapa eksekutif VW menyatakan syarikat tersebut tekad untuk menjayakannya.

     
     
  • VIDEO: G30 BMW 5 Series dikesan di Cyberjaya

    Awal bulan ini, G30 BMW 5 Series telah pun dikesan berada di Malaysia dan ini memberikan petanda ia bakal dilancarkan di sini tidak lama lagi. Model 5 Series generasi ketujuh yang diperkenalkan di peringkat global pada Oktober lalu, turut dikesan oleh seorang pembaca Prabakar Naidu yang sempat merakamkan video, dengan balutan penyamaran sedang diuji di sekitar Cyberjaya.

    Foto yang dikesan menerusi spyshot sebelum ini, ia merupakan varian 530i, dengan pakej M Sport dan roda aloi M double-spoke 664M 19-inci, memungkinkan ia sebagai model tertinggi, mungkin bakal ditawarkan dalam kuantiti yang terhad. Kelihatan juga lampu utama LED adaptif, yang turut ditawarkan secara standard bagi model semasa F10 5 Series.

    Di Thailand, ia juga telah dipasarkan dengan dua varian iaitu 530i M Sport dan 520d Luxury. Kedua-duanya adalah unit import sepenuhnya (CBU), dan ia bakal diproduksi dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD) tidak lama lagi.

    VIDEO: G30 BMW 5 Series dikesan di Cyberjaya

    530i dijanakan enjin B48 2.0 liter turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan output 252 hp pada 5,200 rpm dan tork 350 Nm dari 1,450 hingga 4,800 rpm. Turut ditawarkan enjin yang sama bagi 520i dengan 180 hp/290 Nm, begitu juga dengan 520d yang masih menggunakan enjin 2.0 liter turbodiesel (190 hp/400 Nm) seperti sebelum ini. Ia dipadankan dengan kotak gear ZF automatik lapan-kelajuan untuk semua model.

    Ia turut dilengkapi dengan banyak teknologi baharu, termasuklah skrin sesentuh 10.25-inci baharu, kawalan gerakan dan kawalan parkir, serta pemanduan semi-sendiri seperti kawalan kelajuan aktif dan bantuan kekal lorong.

    Selain itu, ia turut menampilkan bumbung kaca panorama, kamera pandangan 360 darjah, pedal penukar gear, sistem bunyi sekeliling Harman Kardon dan pengecas tanpa wayar bagi telefon bimbit. Walau bagaimana pun, tidak diketahui spesifikasi untuk pasaran Malaysia.

     
     
  • Nissan Qashqai facelift – kini dengan ciri ProPILOT

    Nissan Qashqai facelift – kini dengan ciri ProPILOT

    Nissan Qashqai mula membuat kemunculan pada tahun 2007 dengan generasi pertama J10. Ia kemudiannya diikuti oleh generasi kedua J11, dan mencecah jualan sehingga 2.3 juta unit di Eropah berada di 99 pasaran seluruh dunia. Kini masa untuk ia diberi facelift, dan model barunya muncul di Geneva Motor Show yang sedang berlangsung. Pembaharuan yang diberi meliputi pada bahagian casis dan kelengkapan teknologi lain.

    Pada bahagian luar, depannya kini mempunyai gril jenis V-Motion terbaru Nissan dan diapit dengan lampu utama berbentuk tajam, bersama lampu siang LED. Pemilik juga mempunyai pilihan untuk menambah sistem lampu hadapan adaptif pada Qashqai.

    Bampar baru yang digunakan juga melihatkan kehadiran salur udara hiasa bersama pengesan jarak yang diletakkan di dalamnya, manakala pada bahagian bawah terdapat lampu kabus dan kemasan berwarna hitam. Dari tepi, Qashqai facelift ini mengekalkan profail sebelum ini, dan terdapat pilihan rim aloi antara 17 hingga 19 inci (bergantung pada varian).

    Nissan Qashqai facelift – kini dengan ciri ProPILOT

    Pada bahagian belakang, lampu belakang Qashqai kini datang dengan grafik baru, sementara motif berbentuk boomerang yang digunakan dipanjangkan pada keseluruhan lampu tersebut. Ia juga datang dengan kesan lensa 3D yang menyerlahkan lagi bentuk lampu tersebut. Pada bahagian bawah bampar, terdapat bahagian yang dicat warna perak dan pemantul cahayanya diletakkan sedikit ke atas.

    Kereta yang anda lihat dalam gambar ini menggunakan salah satu warna badan yang ditawarkan oleh Nissan untuk Qashqai, dinamakan sebagai Vivid Blue, manakala satu lagi pilihan adalah Chestnut Bronze. Di sebalik badannya yang bergaya itu, Qashqai juga menggunakan suspensi penyerap dan sistem stereng yang dipertingkat supaya dapat memberikan rasa pemanduan lebih baik.

    Bahagian kabinnya kini mendapat manfaat daripada bahan berkualiti, dan pada varian yang lebih tinggi, Qashqai akan menerima kemasan kulit Nappa dan jahitan 3D. Peningkatan lain yang diberikan termasuk roda stereng pelbagai fungsi berbentuk D bersama kemasan krom satin dan paparan baru pada sistem informasi dan hiburan NissanConnect yang digunakan.

    Nissan Qashqai facelift – kini dengan ciri ProPILOT

    Bagi pengguna yang mahukan pengalaman audio lebih baik, mereka boleh memilih sistem bunyi premium tujuh pembesar suara Bose. Selain itu, bagi meningkatkan lagi pengalaman dengan casis baru ini, Nissan meletakkan bahan penyerap bunyi tambahan dan cermin belakang yang lebih tebal pada Qashqai.

    Selari dengan visi Intelligent Mobility Nissan, crossover ini juga mendapat sistem pemanduan separa automatik ProPILOT, serta beberapa ciri bantuan pemandu lain. Ini termasuk Intelligent Emergency Braking with Pedestrian Recognition, Rear Cross Traffic Alert (pertama kali bagi Qashqai), Traffic Sign Recognition, Driver Attention Alert, Intelligent Park Assist, Intelligent Around View Monitor, Blind Spot Warning, dan Lane Departure Warning.

    Tiada perubahan pada bahagian enjin Qashqai, di mana ia ditawarkan dengan variasi enjin petrol dan diesel. Bagi enjin petrol terdapat pilihan unit 1.2 liter DIG-T (115 PS/ 190 Nm), 1.6 liter DIG-T ( 163 PS/ 240 Nm), manakala bagi enjin diesel terdapat pilihan 1.5 liter dCi 110 (110 PS/ 260 Nm) dan 1.6 liter dCi 130 (130 PS/ 320 Nm). Semua enjin ini dipadankan dengan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau CVT Xtronic, bergantung pada varian. Sistem pacuan All Mode 4×4 juga diberikan sebagai pilihan.

     
     
  • Honda Civic Hatchback terjah pasaran Thai secara rasmi – 1.5 liter VTEC Turbo, CVT, dari RM148k

    Honda Civic Hatchback terjah pasaran Thai secara rasmi – 1.5 liter VTEC Turbo, CVT, dari RM148k

    Setelah sekian lama Honda Civic versi hatchback dibina eksklusif hanya untuk pasaran Eropah (Civic EK merupakan hatchback terakhir ditawarkan secara global), akhirnya varian berkenaan kini ditawarkan untuk pasaran global dan terbaharu, ia secara rasmi menerjah masuk pasaran Thailand.

    Setelah berberapa teaser model tersebut disiarkan, Civic Hatchback secara rasminya dilancarkan di negara Gajah Putih berkenaan, hanya ditawarkan varian 1.5 liter VTEC Turbo dipadankan dengan kotak gear CVT, dijual pada harga 1,169,000 baht (RM147,514).

    Enjin yang menjana versi hatchback ini masih lagi merupakan enjin yang sama pada versi sedan iaitu L15B7 1.5 liter turbo empat silinder berkuasa 173 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima bermula 1,700 hingga 5,500 rpm. Begitu juga dengan transmisi, ia hanya ditawarkan dengan kotak gear CVT automatik Earth Dreams Honda.

    Honda Civic Hatchback terjah pasaran Thai secara rasmi – 1.5 liter VTEC Turbo, CVT, dari RM148k

    Walaupun mukanya kelihatan sama dengan versi sedan, hatchback ini sebenarnya diberikan sentuhan lebih agresif menampilkan kemasan seperti liang kemasukan udara sisi (yang turut menempatkan lampu kabus) yang lebih besar pada bampar hadapan.

    Bagi menyeragamkan rekaan, bampar belakang turut menerima kemasan dengan konsep sama. Walaupun ekor Civic ini lebih pendek, ia masih diberikan lampu ‘boomerang’ yang kelihatan hampir sama seperti model sedan. Sebagai sebuah hatchback, but belakang direka sebagai pintu tailgate, lengkap dengan spoiler yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang, dan sebuah lagi pada bahagian bumbung.

    Civic Hatchback spesifikasi Thailand ini diberikan rim aloi berdiameter 17-inci dibaluti tayar 215/50R17, lampu hadapan LED penuh (dengan lampu nyalaan siang LED serta fungsi on/off automatik), lampu kabus LED, cermin sisi dan pembuka pintu dengan warna badan serta antena sirip yu.

    Honda Civic Hatchback terjah pasaran Thai secara rasmi – 1.5 liter VTEC Turbo, CVT, dari RM148k

    Bahagian dalaman model hatchback ini menampilkan rekaan seiras dengan versi sedan dan turut diberikan penghawa dingin dua-zon, paparan instrumen TFT-LCD, skrin sesentuh infotaimen bersaiz 7-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, pedal penukar gear, roda stereng pelbagai fungsi dan juga upholsteri hitam.

    Ciri lain seperti Sistem Kunci Pintar Honda, butang penghidup enjin, cruise control, tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40 dan juga tempat duduk hadapan larasan berkuasa antara ciri yang diberikan secara standard.

    Bagi ciri keselamatan pula ,ia dibekalkan dengan enam-beg udara (dua hadapan, sisi dan tirai), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS lengkap dengan EBD serta auto brake hold.

    Lima warna ditawarkan bagi Civic Hatchback pasaran Thailand iaitu Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Orchid White Pearl (tambahan 10,000 baht/RM1,262), Crystal Black Pearl (tambahan 6,000 baht/RM 757), dan Black Burgundy Night Pearl (warna baharu dengan tambahan 6,000 baht/RM757).

    Bagi mereka yang sekarang ini sedang menelan air liur melihat Civic ini, maklumat untuk anda, sebelum ini Honda Malaysia menyatakan mereka belum lagi ada perancangan untuk membawa versi hatchback berkenaan ke pasaran Malaysia kerana kurang permintaan dari pasaran tempatan. Walau bagaimanapun, mereka tidak menolak kemungkinan untuk membawanya sekiranya permintaan terhadapnya semakin meningkat.

     
     
  • Ketua pegawai operasi baharu Mitsubishi Motors dari Nissan mahu budaya asal syarikat berkenaan diubah

    Ketua pegawai operasi baharu Mitsubishi Motors dari Nissan mahu budaya asal syarikat berkenaan diubah

    Ketua pegawai operasi (COO) Mitsubishi yang baharu, Trevor Mann, mahu budaya asal yang diamalkan syarikatnya itu diubah bagi membolehkan ia bergerak kehadapan dan keluar dari situasinya sekarang, menurut laporan CarAdvice.

    Mann yang sebelum ini merupakan eksekutif berpengalaman dari Nissan diberikan tanggungjawab baharu ini tahun lalu, setelah Pakatan Renault-Nissan memiliki Mitsubishi Motors setelah mengambilalih 34% kepentingan syarikat automotif Jepun berkenaan.

    Bercakap kepada media semasa berlangsungnya Geneva Motor Show 2017, COO baharu itu menegaskan asas budaya dalam Mitsubishi perlu diubah dan menjelaskan ini merupakan sebab utama mengapa Mitsubishi mahu mendapatkan bantuan dari Nissan. Walau bagaimanapun, Mann mengatakan perniagaan asas Mitsubishi setakat ini masih dalam keadaan baik.

    Ketua pegawai operasi baharu Mitsubishi Motors dari Nissan mahu budaya asal syarikat berkenaan diubah

    “Mitsubishi tidak dipenuhi oleh orang yang tidak baik, jauh daripada itu, mereka merupakan orang-orang yang sangat baik, jurutera yang kompeten yang mahu lebih maju dan membuat kerja yang baik. Mengapa berberapa perkara terjadi sebelum ini? Kami perlu melihatnya semula dan membuat perubahan.”

    Jelas Mann lagi, buat masa sekarang Nissan sedang dalam usaha untuk mengubah berberapa isu-isu yang sangat penting berkenaan syarikat tersebut. “Berberapa asas yang perlu kami ‘berikan kejuruteraan semula menggunakan kejuruteraan kami’, dalam proses yang kami lalui untuk membina teknologi dan platform dan kenderaan kami – untuk memastikan semuanya kukuh dan jelas, serta jelas mengikut arah yang betul,” katanya.

    “Kami sedang memperkukuhkan organisasi kami supaya kami memperolehi tadbir urus yang baik serta etika perniagaan yang sangat kuat, membolehkan kami bersifat sangat terbuka. Jadi jika seseorang melihat sesuatu yang tidak betul, mereka tidak takut untuk mengangkat tangan dan berkata ‘tolong lihat perkara ini’,” tambah Mann lagi.

    Ketua pegawai operasi baharu Mitsubishi Motors dari Nissan mahu budaya asal syarikat berkenaan diubah

    Beliau menjelaskan ia bukan bermaksud syarikat tersebut teruk tetapi sudah jelas sebelum ini memang sesuatu yang teruk telah terjadi dan ia disebabkan pelbagai faktor, jadi mereka perlu memastikan ia perlu dirujuk setiap satu daripadanya.

    “Jadi berkenaan organisasi syarikat, berkenaan struktur, fungsi bersilang, ketelusan dan etika perniagaan, kami sedang menilainya semula bagi memastikan kami sebuah syarikat yang kukuh dan pada arah yang betul,” jelas Mann lagi.

    Pelbagai perancangan produk telah dilakukan diumumkan oleh Pakatan Renault-Nissan untuk Mitsubishi sebelum ini termasuk membina platform kenderaan elektrik bersama dan juga akan menggugurkan berberapa modelnya seperti Lancer bagi memberi laluan kepada pembinaan barisan model SUV dan kenderaan perdagangan ringan yang dilihat lebih berpotensi.

     
     
  • John Deere dan BMW hasilkan ‘backhoe’ hibrid

    John Deere dan BMW hasilkan ‘backhoe’ hibrid

    Pembuat jentera untuk industri pertanian dan pembinaan dari Amerika Syarikat, John Deere, bersama subsidiari BMW – Designwork – tampil ke pameran ConExpo-CON/AGG tahun ini dengan rekaan digelar Fixstern, iaitu sebuah jentera backhoe dengan unit janakuasa hibrid.

    Fixstern merupakan perkataan bahasa Jerman yang bermaksud “fixed star”, merupakan terma yang diadaptasikan oleh BMW untuk penyelidikan perintis holistik dan proses merekabentuk. Jadi, hasil yang diperolehi dari backhoe yang direka ini merupakan satu pandangan jauh dan menjadi tumpuan semua pihak berkepentingan dalam projek serta boleh dikongsi, dan dijajarkan untuk bergerak lebih kehadapan.

    Selain dari menggunakan unit janakuasa hibrid sebagai sumber utama untuk mengoperasikannya, ia turut direka dengan pelbagai komponen yang lebih ringan. Jarak roda backhoe ini direka lebih panjang dari jentera konvensional bagi memberikan ruang kabin yang lebih besar, serta lebih banyak bahagian yang boleh dibuka bagi memudahkan pemandu keluar-masuk ke bahagian berkenaan.

    John Deere dan BMW hasilkan ‘backhoe’ hibrid

    Tempat duduk dan juga panel-panel kawalan juga tidak dihubungkan terus pada bahagian perlindungan golekan, bagi mengurangkan getaran padanya. Tayar jentera ini direka untuk tidak menggunakan angin, yang membolehkan ia direka lebih kecil dan juga mengurangkan risiko untuk pecah atau bocor.

    Keempat-empat tayar berkenaan dihubungkan dengan sistem stereng yang dikawal secara elektronik bagi memudahkan pengendalian serta pergerakkannya. Keseluruhan sistem elektronik backhoe ini direka bagi membolehkan pelbagai hubungan dibuat, yang membolehkan ia memberitahu lebih awal berkenaan komponen alat ganti yang perlu ditukar mahupun servis dan selenggara yang perlu dilakukan.

    Walau bagaimanapun, tiada pengumuman berkenaan bagi menjelmakan backhoe ini dalam bentuk produksi sebenar. Tetapi, dengan mengambil proses rekabentuk yang dinyatakan sebelumnya, sebahagian teknologi yang ditampilkan berkemungkinan besar akan digunakan pada rekaan-rekaan jentera keluaran John Deere pada masa hadapan.

     
     
  • Artega Scalo Superelletra – kereta elektrik sepenuhnya berkuasa 1,020 hp, 3 tempat duduk, jarak gerak 500 km

    Artega Scalo Superelletra – kereta elektrik sepenuhnya berkuasa 1,020 hp, 3 tempat duduk, jarak gerak 500 km

    Pengeluar kenderaan sports dari Jerman iaitu Artega baru mengeluarkan perincian berkenaan supercar elektrik sepenuhnya bernama Scalo Superelletra. Jika anda pengikut setia kenderaan supercar Eropah, anda akan dapat melihat persamaannya dengan model ‘Superleggera’ (membawa maksud super lightweight dalam bahasa Itali). Malah, nama ini adalah gabungan kepada ‘superleggera’ dan ‘elettrica’, yang mana dalam bahasa Itali bermaksud elektrik.

    Scalo Superelletra melihatkan penggunaan bampar yang lebih ringkas berbanding Scalo pada tahun 2015, lampu hadapan dan pemegang pintu yang direka semula dan mempunyai salur udara di bahagian flank belakang. Cermin sisinya juga diganti dengan ‘sesungut’ yang menempatkan kamera untuk pandangan ke belakang.

    Sepasang motor pada setiap gandar Scalo Superelettra dapat menyediakan kuasa elektrik keseluruhannya sebanyak 1,020 hp, dan walaupun pengesahan rasmi tidak diberi, tork empat motor ini diketahui adalah sebanyak 1,620 Nm, mengikut laporan Auto Express.

    Artega Scalo Superelletra – kereta elektrik sepenuhnya berkuasa 1,020 hp, 3 tempat duduk, jarak gerak 500 km

    Berat supercar ini juga tidak diberitahu, tetapi ia mampu mencecah kelajuan sehingga 300 km/j dan boleh mencapai laju 100 km/j dari kedudukan pegun dalam masa hanya 2.7 saat. Casis kenderaan ini dibina daripada polimer gentian karbon yang diperkuat, manakala kerangka hadapan dan sub-frame pula daripada besi.

    Bateri lithium-ion Superelletra mempunyai kapasiti 120 kWh, menjanjikan jarak pergerakan 500 km mengikut kitara NEDC apabila dicas penuh. Kereta ini juga didakwa boleh dicas daripada kosong, untuk mencapai tahap 80% dalam masa hanya 17 minit, sementara jika dicas dalam masa satu minit, ia boleh memberi jarak pergerakan sejauh 100 km.

    Penggayaan kereta ini adalah hasil daripada Carrozzeria Touring Superleggera, dan ia mempunyai tiga tempat duduk, di mana pemandu duduk di tengah, dan di belakang sedikit pada kedua sisinya terdapat tempat duduk untuk penumpang. Pengeluaran Artega Scalo Superelletra dijangka bermula pada tahun 2019.

     
     
  • Infiniti Q50 2018 tampil di Geneva, varian dirombak

    Infiniti Q50 2018 tampil di Geneva, varian dirombak

    Selain Q60 Project S, Infiniti juga memperkenalkan Q50 2018 semasa Geneva Motor Show 2017 yang kini sedang berlangsung. Pembaharuan yang diberikan pada pertengahan kitaran kenderaan ini termasuk di bahagian luar dan dalam, serta beberapa penambahan teknologi. Varian GT dan Premium telah dihapuskan untuk model baru ini, dan ia diganti dengan struktur varian yang bermula dengan Pure, diikuti Luxe, Sport dan paling tinggi, Red Sport 400.

    Q50 2018 masih lagi mengekalkan profail yang sama tetapi mendapat bampar hadapan dan belakang baru, dengan bahagian salur udara mempunyai bentuk baru dan gril yang lebih teperinci. Perubahan lain adalah termasuk lampu utama LED baru, dan lampu kabus yang diletakkan dalam perumah baru.

    Pada bahagian belakang, Q50 mendapat lampu baru yang lebih nipis berbanding sebelum ini, manakala bahagian bawah bampar tersebut diletakkan dengan elemen diffuser serta muncung ekzos berkembar. Varian prestasi Q50 2018 iaitu Sport dan Red Sport 400 akan mendapat beberapa kemasan unik lain untuk membezakannya dengan yang lain.

    Infiniti Q50 2018 tampil di Geneva, varian dirombak

    Antaranya, kedua-dua varian ini mempunyai bampar lebih bersegi, yang diserlahkan lagi dengan salur kemasukan udara pelbagai saiz di bahagian bawahnya, tautan berbentuk berlian serta lip hadapan. Bahagian belakang juga dijadikan berlainan dengan muncung ekzos yang lebih kompleks.

    Pergi ke bahagian dalam, Q50 2018 datang dengan roda stereng dan penukar gear baru, yang mempunyai bentuk sama seperti pada Q60 Coupe. Pada bahagian lain, panel meternya kini menerima balutan kulit hiasan jahitan berkembar dan tempat duduk “spinal support seats.”

    Sebagai varian paling tinggi, Red Sport 400 mendapat beberapa ciri tambahan lain, termasuk jahitan benang merah di kebanyakan bahagian di dalamnya, tambahan kapas pada bahagian dalam tempat duduk dan kemasan krom pada keliling panel meter. Turut diberikan adalah sistem informasi dan hiburan InTouch, bersama tetapan dua skrin.

    Q50 2018 juga datang dengan teknologi pemanduan separa automatik ProPILOT, yang termasuk steer-by-wire, active lane keeping assistance, active blind spot monitoring, adaptive cruise control, dan automated emergency braking systems. Infiniti memberitahu bahawa teknologi ini akan menjadi “platform kepada semua kenderaan panduan automatik masa depan jenama itu.”

    Pilihan enjin petrol yang disediakan untuk Q50 2018 adalah termasuk empat silinder 2.0 L turbo (208 hp/ 350 Nm), V6 3.0 liter twin-turbo dengan dua talaan kuasa (400 hp/ 475 Nm dan 300 hp/ 400 Nm), dan V6 hibrid 3.5 liter (360 hp). Bagi enjin diesel pula terdapat unit 2.2 liter dengan kuasa 168 hp dan 400 Nm tork. Pilihan transmisi bergantung pada enjin, sama ada manual enam kelajuan ataupun automatik tujuh kelajuan, serta pilihan pacuan empat roda (pacuan dua roda belakang adalah standard).

     
     
  • Nissan March Bose Personal Edition tampil di Geneva

    Nissan March Bose Personal Edition tampil di Geneva

    Nissan unveils premium new Micra BOSE® Personal® Edition at Geneva Motor Show

    Nissan telah menghasilkan edisi istimewa bagi Nissan March (atau Micra di Eropah), digelar Micra Bose Personal Edition, diperkenalkan pada Geneva Motor Show yang kini sedang belangsung. Hanya 3,000 unit dihasilkan, edisi istimewa ini dibina berasaskan varian tertinggi Tekna.

    Seperti yang tertera pada namanya, model istimewa ini dihasilkan dengan kerjasama pembuat sistem audio ternama, Bose, dan diberikan pelbagai perlalatan premium dari jenama berkenaan.

    Pada bahagian dalaman, Micra ini diberikan sistem audio Bose Personal dengan enam pembesar suara, yang juga sebenarnya ciri standard untuk varian Tekna. Ia menampilkan dua pembesar suara Bose UltraNearfield yang dibina di dalam perehat kepala tempat duduk pemandu.

    Pemadanan sedemikian membolehkan pengalaman mendengar yang lebih mendalam, yang turut boleh dilaras mengikut kemahuan pemandu menerusi kawalan Bose PersonalSpace yang disepadukan pada tetapan infotaimen.

    Bagi membezakan model istimewa ini dengan March biasa, bahagian luaran model berkenaan diberikan dua warna pilihan iaitu Enigma Black atau Gunmetal Grey, kedua-duanya diberikan serlahan warna Energy Orange pada bampar, pintu, cermin sisi dan juga pada rim aloi 17-inci kereta ini.

    Pembeli boleh memilih untuk mendapatkan model Micra Bose Personal Edition ini sama ada dengan versi 900 cc tiga-silinder petrol turbo berkuasa 90 PS, ataupun versi 1.5 liter turbo diesel yang juga berkuasa 90 PS. Ciri lain seperti lampu hadapan LED, sistem kunci pintar Nissan, Safety Pack, dan juga pemanas kerusi hadapan turut diberikan secara standard.

     
     
  • Kia Niro PHEV – akan mula dijual di Eropah Q3 2017

    Kia Niro PHEV – akan mula dijual di Eropah Q3 2017

    Satu tahun selepas Kia memperkenalkan Niro Hybrid untuk jualan umum, kini syarikat itu memperkenalkan pula Niro Plug-in Hybrid, yang membuat penampilan rasmi di Geneva. Untuk membezakan model PHEV ini dengan Niro Hybrid yang ada sekarang, rekaan luar dan dalamnya diberikan perubahan seperti gril berwarna krom satin, serta kemasan krom istimewa – dengan selingan bahagian yang berwarna biru metalik – pada perumbah kabux di bampar hadapan dan bampar belakang.

    Untuk bahagian dalam, Kia menyediakan pilihan kemasan kulit warna hitam ataupun kulit dua tona hitam/kelabu – diserikan dengan jahitan yang berwarna biru. Keliling corong pendingin hawa juga mempunyai kemasan plastik berwarna biru.

    Kereta baru ini menampilkan penggunaan panel meter digital Full-TFT 7.0 inci yang memaparkan informasi penting tentang enjinnya, dan satu lagi skrin sesentuh 8.0 inci untuk sistem navigasi, informasi dan hiburan. Ia juga boleh menunjukkan jarak pergerakan menggunakan elektrik sahaja dan lokasi stesen mengecas yang terdekat.

    Niro PHEV dikuasakan oleh enjin 1.6 liter Kappa GDI sama seperti model Niro Hybrid, dan jumlah kuasanya juga sama iaitu 105 PS dan 147 Nm. Walaupun begitu, model PHEV ini mempunyai motor elektrik 44.5 kW yang lebih berkuasa – 32 kW lebih berbanding model hibrid dan bateri lithium-polymer berkapasiti tingginya juga lebih besar – 8.9 kWh (model hibrid menggunakan bateri 1.56 kWh).

    Secara keseluruhannya, enjin PHEV ini mempunyai jumlah kuasa yang sama dengan model, iaitu 141 PS dan 265 Nm, disampaikan kepada roda hadapan melalui transmisi klac berkembar enam kelajuan. Model PHEV ini juga 0.7 saat lebih pantas berbanding hibrid, dengan catatan 0-100 km/j dalam masa 10.8 saat.

    Untuk aspek keselamatan, selain sistem pengurusan stabiliti kenderaan dan kawalan stabiliti elektronik, PHEV juga dilengkapi dengan pelbagai teknologi pengelak bahaya aktif yang lain. Ini termasuk autonomous emergency braking dengan forward collision avoidance assist, lane keeping assist dan driver attention warning. Sistem lain yang disediakan sebagai piihan adalah cruise control, blind-spot detection dan rear cross traffic alert.

    Kia Niro PHEV akan dibina di kilang syarikat itu di Hwasung, Korea dan akan mula dijual di Eropah menjelang suku ketiga tahun ini.

    GALERI: Kia Niro Hybrid di Singapore Auto Show 2016

     
     
  • 66 buah stesen ChargEV bakal dibangunkan di luar Lembah Klang dengan kerjasama kerajaan, Petronas

    66 buah stesen ChargEV bakal dibangunkan di luar Lembah Klang dengan kerjasama kerajaan, Petronas

    Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (keTTHA) dengan kerjasama Petronas hari ini telah melancarkan stesen pengecas kenderaan elektrik (ChargEV) yang pertama di stesen Petronas, Solaris, Serdang, Selangor. ChargEV ini adalah satu kemudahan baharu yang ditawarkan oleh Petronas dengan kerjasama Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) yang merupakan sebuah agensi di bawah KeTTHA.

    Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri KeTTHA Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, turut mengesahkan sebanyak 66 stesen ChargEV akan dibangunkan di stesen-stesen Petronas di lebuhraya utama di Semenanjung Malaysia. Ia adalah bagi membolehkan pengguna kenderaan EV memandu lebih jauh sehingga luar Lembah Klang.

    Kemudahan stesen ChargEV ditawarkan secara percuma sebagai usaha untuk mempromosikan pemilikan EV di Malaysia. Malah usaha Petronas ini turut menerima pujian KeTTHA dalam menyokong agenda hijau negara yang menggalakkan pengangkutan lestari. Kerajaan memberi tumpuan kepada pengangkutan lestari bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada sektor pengangkutan.

    Sokongan Petronas bagi memperluaskan stesen ChargEV ini dilihat bakal mengukuhkan lagi ekosistem EV di Malaysia serta menggalakkan rakyat negara ini menggunakan EV. Dalam masa yang sama, kerajaan juga menyeru lebih banyak syarikat di Malaysia agar mengikut langkah Petronas dalam memainkan peranan yang lebih besar bagi menyokong usaha Kerajaan ini, sekaligus selari dengan Pelan Mobiliti Elektrik dan Pelan Induk Teknologi Hijau KeTTHA yang disasarkan menjelang tahun 2030, iaitu mencapai 100% pendaftaran baharu bagi kenderaan hakmilik persendirian adalah terdiri daripada kenderaan EV dan hibrid.

    Sasaran pengurangan pelebasan karbon bagi sektor pengangkutan melalui penggunaan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) adalah sebanyak 199.7 ktCOeq menjelang tahun 2020.

    Setakat ini, sebanyak 10 stesen ChargeEV telah pun beroperasi di sekitar Lembah Klang iaitu di Petronas Solaris Serdang, Petronas Solaris Putra, Petronas NKVE Damansara, Petronas Elite Bukit Jelutong, Petronas NKVE Subang, Petronas Kesas Timur, Petronas Kesas Barat, Petronas Genting Sempah, Petronas Ayer Keroh arah Selatan dan Petronas Lebuhraya Persekutuan Batu Tiga.

     
     
  • Maserati GranTurismo, GranCabrio edisi istimewa diperkenalkan – diproduksi terhad 400 unit sahaja

    Maserati GranTurismo, GranCabrio edisi istimewa diperkenalkan – diproduksi terhad 400 unit sahaja

    Sebelum ini Maserati dilaporkan bakal menamatkan produksi bagi GranTurismo dan GranCabrio daripada barisan model 2017. Namun sebelum ia dilaksanakan, Maserati telah memperkenalkan unit edisi istimewa bagi kedua-dua model berkenaan dan ia telah ditampilkan buat pertama kali di Geneva Motor Show yang sedang rancak berlangsung.

    Objektif utama Maserati memperkenalkan GranTurismo dan GranCabrio edisi istimewa ini adalah bagi meraikan ulang tahun ke-60 bagi 1957 3500 GT. Diproduksikan terhad sebanyak 400 unit sahaja, kedua-dua model ini menerima beberapa elemen istimewa termasuk hid gentian karbon, splitter hadapan, pemegang pintu, perumah cermin sisi dan lip spoiler belakang juga dengan kekemasan gentian karbon yang tidak dicat.

    Malahan bahagian luarannya juga diwarnakan seperti jentera lumba Juan Manuel Fangio, 1957 250F Formula One, bersama tiga lapisan rona merah New Rosso Italiano. Bukan itu sahaja, pembeli juga boleh memilih warna putih Bianco Birdcage dan kelabu Grigio Lava, sebagai tambahan pada rona normal. Menyerlahkan lagi gayanya, jentera ini turut dipadankan dengan roda kekemasan hitam berkilat bersaiz 20-inci bersama penutup tengah dengan logo “1957-2017”.

    Untuk kabinnya, pelanggan boleh memilih sama ada material kulit Poltrona Frau atau campuran dengan Alcantara. Malah kekemasan gentian karbon juga digunakan pada konsol tengah, pedal penukar gear, sekeliling kluster instrumen dan beberapa bahagian pada panel pintunya. Material yang agak ringan juga digunakan untuk plat ambang pintu dan plak bagi menandakan ia sebagai model edisi istimewa.

    Model edisi istimewa GranTurismo dan GranCabrio ini dipadankan dengan enjin 4.7 liter V8 dengan kuasa 460 hp yang disalurkan ke roda belakang. Ia turut ditawarkan dengan kotak gear MC Shift electro-acuated enam-kelajuan atau automatik MC Auto Shift enam-kelajuan. Bukan itu sahaja, pembeli juga bakal menerima droptop automatik.

     
     
  • Bentley EXP 12 Speed 6e – kereta mewah elektrik

    Bentley EXP 12 Speed 6e – kereta mewah elektrik

    Tahun lepas, Bentley telah membawa sebuah model konsep EXP 10 Speed 6 ke Geneva Motor Show, dan tahun ini, syarikat itu memperkenalkan model tanpa bumbung daripada kenderaan sama, dan memanggilnya sebagai Bentley EXP 12 Speed 6e.

    Huruf ‘e’ tersebut membawa makna elektrik, dan model konsep ini bertindak sebagai satu alat untuk mengumpul maklum balas daripada pelanggan dan orang ramai. Bentley tidak mendedahkan banyak perkara teknikal berkenaan kereta ini, tetapi dalam salah satu gambarnya dapat dilihat ia mempunyai jarak pergerakan sehingga 413 km.

    Menurut syarikat itu, sebuah Bentley elektrik boleh membawa penggunanya bergerak dari London ke Paris atau Milan dalam hanya satu cas penuh. Pengecas induktif pantas juga akan menjadi satu kriteria penting dalam memastikan “pengalaman pemilikan serba mudah”, tetapi jika itu tiada, kenderaan konsep ini masih boleh dicas dengan disambungkan kepada sumber kuasa AC dan soket yang terdapat belakang tempat nombor plet belakang.

    Selain penukaran badan menjadi tiada bumbung, kenderaan konsep ini juga datang dengan kamera menggantikan cermin sisi, dan logo ‘6e’ yang terdapat padanya akan menyala dengan lampu putih apabila beroperasi. Dua skup udara di atas bonetnya juga bertindak sebagai penyejuk untuk bateri dan enjinnya.

    Kereta ini juga dilihat tiada muncung ekzos, sekaligus menandakan ia adalah sebuah kenderaan tanpa emisi. Bahagian dalamnya juga sedikit berlainan dengan model konsep tahun 2015, dengan kulit berkualiti tinggi dan kemasan tembaga di kebanyakan bahagian. Tumpuan utama diberikan kepada konsol tengah, yang dipasangkan pada kaca mampat untuk menutupi skrin sesentuh definisi tinggi OLED. Memandangkan kereta ini tidak menggunakan enjin biasa, tombol gear juga tiada di tempatnya.

    satu lagi ciri yang menarik adalah roda stereng potongan separuh, yang menggunakan elemen kaca, berserta pelbagai butang kawalan. Lihat dengan teliti dan anda dapat menyaksikan dua butang dengan motif roket di bahagian atas stereng tersebut. Ia menawarkan boost segera, manakala satu lagi adalah seperti pengehad kelajuan.

     
     
  • Hyundai Sonata facelift dilancarkan di Korea

    Hyundai Sonata facelift dilancarkan di Korea

    Setelah teaser rasminya disiarkan, serta gambar penuhnya yang telah pun bocor, Hyundai Sonata generasi ketujuh versi facelift akhirnya dilancarkan secara rasmi di Korea Selatan. Model versi dipertingkat ini bakal dilancarkan pula pada pasaran global selepas diperkenalkan di negara asalnya.

    Untuk pasaran Korea, Sonata facelift ditawarkan dengan empat pilihan enjin berbeza iaitu 1.7 liter VGT diesel (141 PS/340 Nm), 1.6 liter Gamma T-GDI petrol (180 PS/265 Nm), 2.0 liter Nu petrol (163 PS/196 Nm) dan enjin paling berkuasa 2.0 liter Theta T-GDI petrol dengan 245 PS/353 Nm.

    Enjin dengan kapasiti bawah 2.0 liter akan dipadankan dengan transmisi tujuh-kelajuan klac berkembar DCT, enjin 2.0 liter NA dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, manakala 2.0 liter turbo diberikan kotak gear lapan-kelajuan automatik.

    Hyundai Sonata facelift dilancarkan di Korea

    Bahagian luaran pada Sonata ini disegarkan semula dengan rekaan yang lebih tajam dan lebih agresif dari sebelum ini, dengan inspirasi diambil dari model i30. Pada bahagian hadapan, lampu utama yang lebih tirus diberikan, mengapit gril ‘cascading’ yang lebih bersegi.

    Jalur lampu nyalaan siang LED pada kereta ini disekalikan dengan elemen jalur kemasan lain pada perumah lampu kabus. Khas untuk varian 2.0 liter turbo, lampu nyalaan siang dengan rekaan berbeza diberikan bersama lebih banyak elemen hitam.

    Dari sisi, model facelift ini masih lagi kelihatan agak seiras dengan model sebelumnya, tetapi diberikan rim berdiameter 17- dan 18- inci baharu, bergantung pada varian. Bahagian belakang, Hyundai menampilkan lampu jenis ‘two-piece’ dan rekaan but lebih ringkas dengan perumah nombor pendaftaran kini dialihkan ke bampar. Reflektor pada bampar juga kini lebih tirus bagi menyeragamkan rekaan keseluruhan.

    Hyundai Sonata facelift dilancarkan di Korea

    Masuk ke kabin, keseluruhan papan pemuka model facelift ini masih kelihatan serupa seperti model asal dengan sedikit perubahan dilakukan pada suis-suis penghawa dingin dan sistem infotaimen. Kesemua varian kini diberikan skrin sesentuh 7-inci secara standard, manakala skrin lebih besar bersaiz 8-inci ditawarkan sebagai opsyen. Ia turut menyokong hubungan Apple CarPlay dan juga Android Auto.

    Kesemua varian turut menerima roda stereng tiga-jejari rekaan baharu. Khas untuk varian 2.0 liter, ia menerima roda stereng dengan bentuk rata di bawah, bersama tempat duduk hadapan lebih sporty. Pengecas telefon pintar tanpa wayar turut diperkenalkan buat pertama kali, manakala ciri lain seperti tombol gear dan port USB pada konsol tengah diberikan sentuhan semula.

    Hyundai Sonata facelift turut dilengkapi dengan pelbagai ciri bantuan pemanduan, antaranya Amaran Keluar Lorong, Pengesan Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik, Bantuan Lampu Tinggi, Lampu Selekoh Dinamik, dan juga fungsi Bantuan Kekal Lorong.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026