Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Perdana Menteri puas hati SPAD, KTMB dapat selesaikan masalah pembelian e-tiket ETS

    Perdana Menteri puas hati SPAD, KTMB dapat selesaikan masalah pembelian e-tiket ETS

    Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan teguran terhadap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi laman media sosial selepas menerima banyak aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) dan sistem pembelian tiket dalam talian di bawah kendalian KTMB.

    Justeru, KTMB dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) telah mengembleng tenaga untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan masalah ini bertambah meruncing. Malahan SPAD telah pun menyerahkan kertas laporan kepada Najib, laporan Bernama.

    Najib berkata antara langkah penyelesaian yang dikenal pasti ialah meningkatkan kapasiti kemudahan akses internet khas untuk e-tiket.

    “Ini akan membolehkan perkhidmatan e-tiket yang disediakan lebih cekap bagi kegunaan pelanggan. Ini akan dilaksanakan sebelum 9 Mac 2017,” ujar Najib menerusi catatan di laman blog rasmi beliau.

    Najib berkata pihak KTMB juga menambah bilangan kakitangan khidmat pelanggan terlatih serta merta untuk meningkatkan mutu khidmat pelanggan KTMB itu.

    “Laman sesawang portal e-tiket akan direka semula menjadikan ia laman utama atau landing page, termasuk membangunkan semula portal e-tiket KTMB menjadi lebih mesra pengguna dan berorientasikan jualan,” kata Najib.

    Beliau berkata mekanisme pemulangan bayaran bagi transaksi yang gagal kepada pelanggan juga ditambah baik dengan kerjasama pihak bank, termasuk notifikasi kepada pelanggan melalui e-mel dan SMS. Usaha ini akan dilaksanakan sebelum 21 Mac 2017.

    Najib berkata setiap cadangan yang dikemukakan akan dapat memanfaatkan rakyat yang dapat melihat perubahan dan penambahbaikannya tidak lama lagi.

    “Pada masa sama, kesemua cadangan ini juga akan dipantau sehingga terlaksana dan mencapai objektif memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat,” kata beliau.

     
     
  • Populasi rakyat M’sia terhad, Proton perlu bersaing di pasaran global dengan rakan strategik asing – laporan

    Populasi rakyat M’sia terhad, Proton perlu bersaing di pasaran global dengan rakan strategik asing – laporan

    Proton tidak mempunyai pilihan selain melakukan satu anjakan paradigma dari segi pengurusan syarikat memandangkan populasi negara yang terhad kepada 30 juta orang, tidak dapat memberi skala ekonomi untuk Proton bersaing di peringkat antarabangsa, menurut Pengarah Institut Penyelidikan Perbankan dan Kewangan Asia Dr Irwan Shah Zainal Abidin dalam laporan Bernama.

    Oleh itu, usaha sama dengan rakan strategik asing (FSP) sememangnya diperlukan kerana menurut beliau, Proton bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran dan jumlah jualan, malah turut mampu mengembangkan bahagian pasarannya. Perkongsian tersebut juga akan membolehkan Proton bersaing dengan pengeluar kereta terkemuka seperti Honda, Toyota dan sebagainya.

    “Sudah tiba masanya Proton perlu mencari rakan kongsi supaya mereka boleh bersama-sama membina kapasiti dan tidak bergantung kepada kerajaan pada masa hadapan,” kata Irwan dan menurutnya lagi bahagian pasaran Proton jatuh mendadak kepada hanya 14 peratus kini berbanding 63-64 peratus pada tahun 1990-an.

    Populasi rakyat M’sia terhad, Proton perlu bersaing di pasaran global dengan rakan strategik asing – laporan

    Usaha sama tersebut juga memberikan kelebihan kepada FSP yang berhasrat untuk menjadikan kilang Proton sebagai pangkalan bagi menembusi pasaran ASEAN dan sebagai pulangan Proton bakal menerima pemindahan teknologi yang memberi nilai tambah kepada vendor-vendor tempatan dari segi kepakaran pengurusan jurutera tempatan.

    “Kita mungkin boleh mempelajari kemahiran pengurusan dan budaya kerja mereka. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti Proton pada masa hadapan,” katanya.

    Jelas Irwan lagi, untuk jangka masa panjang, usaha sama Proton-FSP dilihat mampu menyelamatkan ekosistem vendor Proton memandangkan permintaan bagi komponen kenderaan syarikat itu susut dengan ketara, susulan jumlah jualan yang terlalu rendah berbanding sasaran.

    Populasi rakyat M’sia terhad, Proton perlu bersaing di pasaran global dengan rakan strategik asing – laporan

    “Jadi, kalau kita tidak ada usaha sama dengan FSP, kemungkinan operasi vendor ini akan terhenti kerana sasaran jualan yang telah pun ditetapkan tidak tercapai,” jelas Irwan dan menambah langkah berkenaan akan menambah pelaburan dalam Proton, meningkatkan aktiviti vendor-vendor Proton, serta menjana pekerjaan.

    Kerjasama Proton dengan FSP ini juga dilihat mampu memaksimumkan kapasiti pembuatan di kedua-dua kilangnya. Menurut Irwan, sekiranya kapasiti kilang Proton di Tanjung Malim dan Shah Alam disatukan, pengeluaran akan meningkat kepada 400,000 unit.

    Ini sekali gus membolehkan Proton meneroka pasaran yang lebih luas seperti yang terdapat dalam Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang melibatkan jumlah penduduk lebih daripada tiga bilion.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz CLA200 facelift – prestasi sederhana, imej mempesona dan serlahan jiwa muda

    PANDU UJI: Mercedes-Benz CLA200 facelift – prestasi sederhana, imej mempesona dan serlahan jiwa muda

    Mercedes-Benz telah banyak melakukan transformasi bagi penggayaan barisan modelnya, tidak kira apa jua segmentasi. Begitu juga dengan prestasi dan kuasanya, yang banyak menerima pengolahan bagi memberikan impak yang lebih setanding dengan imej dan jenama ini.

    Disebabkan itulah, jenama ini kian mendapat tempat di kebanyakan negara termasuklah Malaysia. Malahan di negara ini, Mercedes-Benz telah mengungguli jenama premium mewah sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan jumlah jualannya sentiasa berada dalam angka yang memberangsangkan.

    Malahan apa yang telah dilakukan oleh Mercedes-Benz ini turut menarik lebih ramai golongan muda berusia antara 25-40 tahun, yang berkemampuan, untuk memiliki mana-mana model yang berkenan di hati. Tidak seperti dahulu, jenama ini lebih dekat di hati golongan di atas 40 tahun, namun kini tidak lagi.

    Ini termasuklah dengan barisan model CLA yang diberikan suntikan lebih segar pada September tahun lalu. Ia dibarisi tiga model iaitu CLA 200, CLA 250 Sport 4Matic, dan Mercedes-AMG CLA 45 4Matic. Setiap satu daripadanya memiliki perbezaan karakter yang tersendiri. Kami berkesempatan memandu uji CLA 200 bagi membongkarkan karakter yang didampinginya.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Tamo Racemo, Racemo+ – kereta sport keluaran Tata

    Tamo Racemo, Racemo+ – kereta sport keluaran Tata

    Di Malaysia, jika disebut jenama Tata, pastinya ramai yang terbayang bas atau lori lama buatan India yang diasaskan dari model-model Mercedes-Benz, atau mungkin ramai yang mengenali trak pikap Tata Xenon. Bagi mereka yang belum mengetahui, Tata kini sebenarnya merupakan pemilik kepada jenama mewah dari British – Jaguar Land Rover.

    Sebelum ini, Tata Motors memperkenalkan satu lagi jenama kenderaan iaitu Tamo yang akan bertindak sebagai pusat inovasi ke arah teknologi baharu, model perniagaan dan kerjasama bagi menetapkan penyelesaian mobiliti masa hadapan. Menerusi Geneva Motor Show tahun ini, Tamo sudah mula menunjukkan hasil kerja mereka dengan memperkenalkan Tamo Racemo dan Racemo+.

    Racemo merupakan coupe dua pintu, dua tempat duduk yang disifatkan sebagai “diinspirasikan dari kereta lumba” oleh Tamo, manakala model Racemo+ pula merupakan versi perlumbaan sebenar. Kedua-dua model ini direka di Tata Motors Design Studio yang terletak di Turin, Itali.

    Kedua-dua model ini hadir dengan reka bentuk asas yang sama menampilkan bumbung dengan rekaan dua buih, bonet yang panjang dengan ruang kemasukan udara lebar pada bahagian hadapan, tip ekzos pada bahagian tengah serta pintu yang dibuka seperti kepak rama-rama.

    Tamo Racemo, Racemo+ – kereta sport keluaran Tata

    Untuk membezakan antara keduanya, Racemo+ menerima pelbagai ciri seperti kereta lumba sebenar dengan kit aero pada hadapan dan belakang, splitter hadapan boleh laras dan diffuser serta spoiler pada bahagian belakang.

    Masuk ke kabin, kedua-dua Racemo ini diberi imej seperti kereta lumba dengan tempat duduk bucket bersama tali pinggang keledar perlumbaan (opsyen untuk Racemo) dan juga kemasan dan suis-suis dengan warna terang. Tiga skrin LCD diletakkan di hadapan pemandu, berfungsi sebagai paparan instrumen.

    Model-model ini dibina berasaskan struktur yang digelar MOFlex Multi-Material Sandwich (MMS) oleh Tamo, dengan menampilkan suspensi double wishbone pada keempat-empat sudut. Ia direka dengan dimensi 3,835 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,208 mm tinggi, bersama jarak roda 2,430 mm.

    Tiada perincian berkenaan berat keseluruhan diberikan, namun berdasarkan dimensinya dilihat agak kompak, boleh dijangka ia merupakan sebuah jentera yang agak ringan. Racemo dijana oleh enjin tiga-silinder 1.2 liter turbo berkuasa 190 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 210 Nm pada takat 2,500 rpm.

    Tamo Racemo, Racemo+ – kereta sport keluaran Tata

    Enjin aluminium berkenaan diletakkan pada bahagian tengah dan digandingkan bersama transmisi manual automated bersama pedal penukar gear. Tamo mendakwa gabungan ini membolehkan Racemo memecut dari kedudukan pegun hingga 96 km/j (0-60 bs/j) dalam masa kurang enam saat.

    Racemo diberikan roda berlainan saiz pada hadapan dan belakang iaitu rim 17-inci dengan tayar 205/50R17 dihadapan dan rim 18-inci dengan tayar 235/45R18 di belakang. Dilaporkan hanya 250 unit Racemo yang akan dihasilkan. Tetapi jika anda tidak berjaya mendapatkan pada dunia realiti, model ini boleh dimuat turun secara percuma untuk digunakan dalam permainan video Forza Horizon 3.

    Disebabkan ia wujud dalam dunia sebenar dan dunia digital, Tamo menyifatkan Racemo ini sebagai “kereta sport global pertama yang dibangunkan sebagai kereta ‘phygital'” oleh mereka.



    GALERI: Tamo Racemo+

    GALERI: Tamo Racemo

     
     
  • Vendor auto M’sia dan Jepun ada potensi bekerjasama

    Vendor auto M’sia dan Jepun ada potensi bekerjasama

    Malaysia kini dalam usaha untuk memastikan vendor automotif di negara ini dapat bekerjasama dengan pihak sama di Jepun dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran komuniti ekonomik ASEAN yang semakin berkembang. Langkah ini mensasarkan jalinan kerjasama strategik atau bantuan teknikal dalam bahagian alat ganti plastik, besi, peralatan, elektrikal dan aksesori.

    Langkah pertama sudahpun dijalankan, di mana semalam, 44 vendor automotif Jepun bertemu dengan 25 vendor Malaysia di bandar Tsu City, wilayah Mei, Jepun untuk berbincang bagaimana kerjasama tersebut dapat dijalankan.

    Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAI), dibantu oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Organisasi Perdagangan Jepun (JETRO), dan disokong oleh Perodua.

    Vendor auto M’sia dan Jepun ada potensi bekerjasama

    Menurut ketua pegawai operasi MAI, Nizma Mohd Nazar, acara ini diadakan sebagai platform untuk vendor Malaysia mengenal pasti usaha sama yang berpotensi dan bersesuaian dengan syarikat automotif Jepun, serta untuk membantu mempromosikan pakatan strategik dalam pelbagai bahagian perniagaan, termasuk kolaborasi teknologi, peluang perkembangan perniagaan, penembusan pasaran eksport serta perkongsian maklumat.

    Beliau juga memberitahu bahawa Jepun sudah lama menjadi rakan perdagangan Malaysia, dan untuk produk automotif, Jepun adalah rakan perdagangan kedua terbesar bagi Malaysia, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah RM6.8 bilion pada tahun 2015.

    “Eksport komponen dan alat ganti automotif Malaysia ke Jepun tahun lepas mencatatkan peningkatan sebanyak 27% kepada RM301.5 juta, daripada RM237.5 juta pada tahun 2014. Lihat pada Perodua, dan itu adalah bukti kepada apa yang boleh dilakukan oleh kerjasama Jepun-Malaysia ini,” kata Nizma.

    Vendor auto M’sia dan Jepun ada potensi bekerjasama

    Presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh memberitahu bahawa sesi pertemuan perniagaan ini adalah satu peluang untuk meneroka lagi perjanjian perdagangan bebas antara Jepun dan Malaysia. “Saya percaya bahawa masih terdapat banyak bahagian untuk dua pihak ini bekerjasama, dan memberi manfaat kepada masing-masing untuk mengambil peluang dalam pasaran ASEAN yang berpotensi,” katanya.

    Aminar juga menambah bahawa acara ini adalah satu perkara yang bersejarah untuk industri automotif Malaysia, terutama sekali bagi Perodua, memandangkan semua 25 vendor Malaysia yang hadir adalah yang terbaik dalam bidang masing-masing dan bersedia untuk pergi secara global dengan perniagaan mereka.

     
     
  • Toyota Yaris GRMN – 1.8 liter supercharge, 205 hp

    Toyota Yaris GRMN – 1.8 liter supercharge, 205 hp

    Toyota telah mendedahkan lebih perincian terhadap hot-hatch terbaharu di bawah jenama Gazoo Racing Masters of Nürburgring (GRMN) iaitu Toyota Yaris GRMN. Menurut Toyota, model yang dihasilkan sempena pembabitan semula mereka dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) ini “menjanjikan ganjaran kelajuan, seimbang dan kaya kepada pemandu.”

    Model yang mengisi semula legasi yang ditinggalkan oleh model-model Starlet Turbo pada era 90’an ini diberikan enjin petrol 1.8 liter disuap dengan supercharger berkuasa 205 hp, berbeza dengan saingan-saingan rapatnya seperti Ford Fiesta ST dan Peugeot 208 GTi yang menggunakan pengecas turbo. Enjin berkenaan hanya dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, memacu roda hadapan, tanpa opsyen transmisi automatik.

    Tiada perincian prestasi didedahkan di mana Toyota hanya menyatakan pecutan 0-100 km/j Yaris GRMN ini merupakan yang terbaik dalam kelasnya, dan pecutan 80km/j ke 120 km/j hanya memerlukan gear empat. Mungkin pecutan 0-100 km/j Fiesta ST dengan catatan 6.7 saat boleh dijadikan penanda aras bagi membayangkan prestasi sebenar Yaris GRMN ini.

    Toyota Yaris GRMN – 1.8 liter supercharge, 205 hp

    Bagi mendapatkan pengendalian yang lebih baik serta untuk menampung jumlah kuasa lebih besar yang dihasilkan, Yaris GRMN menerima pengukuhan casis dengan memberikan pendakap tambahan termasuk tower bar pada suspensi hadapan yang hadir sebagai ciri standard.

    Yaris GRMN diberikan spring yang lebih pendek bagi merendahkan kereta ini secara keseluruhan, dan turut dipadankan dengan penyerap hentak dari Sachs. Ia turut diberikan dengan bar anti-oleng berdiameter lebih besar pada bahagian hadapan, serta turut diberikan LSD jenis Torsen bagi pengendalian lebih baik.

    Cakera brek dengan diameter lebih besar diberikan pada bahagian hadapan bersama angkup brek empat-omboh. Nama GMRN itu sendiri juga tidak diberi sewenang-wenangnya, di mana Yaris ini sememangnya ditala oleh Gazoo Racing (yang kini merupakan divisi perlumbaan rasmi Toyota) di litar ‘The Green Hell’ Nurburgring, Jerman.

    Toyota Yaris GRMN – 1.8 liter supercharge, 205 hp

    Untuk membezakan model berprestasi tinggi dengan versi standard ini, Yaris GRMN yang hadir dengan bentuk badan tiga-pintu berkenaan diberikan bampar hadapan dan belakang lebih agresif. Ia turut diberikan spoiler belakang lebih besar serta diffuser yang menempatkan tip ekzos di bahagian tengah.

    Rim aloi BBS berdiameter 17-inci dan tema warna badan putih bersama merah dan hitam (sama seperti tema pasukan WRC Toyota ketika ini) diberikan untuk melengkapkan rupanya.

    Pada bahagian dalaman, Yaris GRMN diberikan tempat duduk yang lebih sporty pada bahagian hadapan, direka oleh Toyota Boshoku bagi memberikan pegangan badan dan sokongan lebih baik. Ia juga diberikan stereng sport dengan balutan kulit diambil terus dari Toyota GT86. Papan instrumen juga diberi sentuhan semula untuk menyerlahkan imej lebih sporty dan turut disokong dengan pemadanan set pedal aluminium.

     
     
  • Fittipaldi EF7 Vision Gran Turismo by Pininfarina – supercar edisi terhad dengan kuasa 600 hp, 510 Nm

    Fittipaldi EF7 Vision Gran Turismo by Pininfarina – supercar edisi terhad dengan kuasa 600 hp, 510 Nm

    Sebuah lagi kereta berprestasi yang membuat penampilan di Geneva Motor Show 2017 adalah Fittipaldi EF7 Vision Gran Turismo by Pininfarina. Ia adalah supercar yang dibina atas casis gentian karbon dan dihasilkan dengan kerjasama tiga nama terkenal – bekas juara F1 dunia, Emerson Fittipaldi, syarikat rekaan Itali, Pinifarina dan syarikat kejuruteraan berasaskan perlumbaan dari Jerman, HWA.

    Tema rekaan berkonsepkan ikan jerung membawa hala penggayaan kereta EF7 berenjin di tengah ini, dan ia keseluruhannya berukuran 4,600 mm panjang, 1,980 mm lebar dan 1,125 mm tinggi, dengan jarak roda 2,700 mm. Antara teknologi kejuruteraan yang diguna pada monocoque gentian karbonnya adalah kapsul keselamatan rekaan khas untuk kedua-dua pemandu dan penumpang.

    Kereta ini mempunyai berat hanya 1,000 kg, dan dikuasakan oleh enjin V8 4.8 liter N/A, menawarkan kuasa sebanyak 600 hp pada 8,250 rpm dan 510 Nm tork pada 6,000 rpm. Enjin ini dipadankan bersama kotak gear sequential bersepadu enam kelajuan, bersama limited-slip differential mekanikal dua hala. Tiada catatan prestasi yang dikeluarkan untuk kereta ini, tetapi ia diberitahu mempunyai pembahagian berat 48 peratus di hadapan dan 52 peratus di belakang, dengan jarak kelegaan tanah 60 mm.

    Pelanggan mempunyai pilihan luas aksesori untuk memadankan EF7 ini dengan kemahuan mereka, dan ini termasuk pilihan kemasan luar dan dalam, rim, warna Pantone, nombor perlumbaan dan tempat tandatangan Emerson Fittipaldi.

    Kereta ini sudah bersedia untuk pengeluaran jumlah terhad dan setiap pemilik barunya akan mendapat peluang untuk menyertai sesi latihan oleh Fittipaldi dan menaikkan kedudukan mereka dalam tahap pemanduan yang direka oleh bekas juara itu. Pemilik juga dapat menyertai Fittipaldi Racing Club, yang akan menyediakan sesi pemanduan prestasi tinggi dan perlumbaan eksklusif di beberapa litar terkenal dunia.

    Bagi yang tidak dapat membeli kenderaan sebenar, mereka boleh mendapatkannya dalam dunia virtual kerana EF7 juga akan disediakan sebagai pilihan dalam permainan video Gran Turismo Sport di platform PlayStation 4. Kereta di dalam permainan video ini juga mempunyai ciri yang sama seperti sebenar.

     
     
  • Renault Zoe e-Sport Concept – Zoe lebih liar dengan kuasa 462 hp/640 Nm; 0-100 km/j hanya 3.2 saat!

    Renault Zoe e-Sport Concept – Zoe lebih liar dengan kuasa 462 hp/640 Nm; 0-100 km/j hanya 3.2 saat!

    Sebelum ini, Renault Zoe dikenali sebagai sebuah kereta elektrik kecil yang direka bagi kegunaan dalam bandar. Bagaimana sekiranya kereta comel ini diberikan tambahan kuasa bagi menjadikannya sebuah hot-hatch berprestasi tinggi? Anda tidak perlu membayangkannya kerana Renault telah membina sebuah Zoe yang lebih agresif bagi meraikan kejayaan Renault e.dams dalam kejohanan Formula E, serta bagi menaikkan imej kereta elektrik mereka pada masa akan datang.

    Digelar Renault Zoe e-Sport Concept, hatchback EV ini diberikan warna biru matte dengan serlahan kuning – sama seperti livery perlumbaan jentera Formula E Renault. Ia turut menerima kit badan yang lebih lebar bersama liang udara sisi, bampar dengan ruang kemasukan udara lebih agresif serta kemasan-kemasan gentian karbon termasuk spoiler belakangnya.

    Dengan badan yang lebih lebar, hatchback kecil ini menerima rim perlumbaan dengan nat tunggal berdiameter 20-inci, dibaluti tayar 245/35R20. Disebalik rim-rim gergasi berkenaan, set brek lebih besar diberikan, manakala bampar belakang diberikan diffuser yang agak agresif.

    Renault Zoe e-Sport Concept – Zoe lebih liar dengan kuasa 462 hp/640 Nm; 0-100 km/j hanya 3.2 saat!

    Imej jentera perlumbaan juga diberikan pada bahagian dalaman dengan pemadanan tempat duduk bucket Recaro lengkap dengan tali pinggang perlumbaan. Pemandu bakal diberikan pelbagai informasi dari panel instrumen digital seperti jentera perlumbaan sebenar dan turut diberikan stereng berbentuk segi-empat, suis-suis aluminium serta upholsteri Alcantara.

    Zoe e-Sport Concept dijana oleh motor elektrik yang sama diambil dari jentera perlumbaan Formula E sebenar, malah bukan hanya satu, tetapi dua buah di mana kedua-dua gandar hadapan dan belakang menerima motor berkenaan menjadikan kereta ini sebuah jentera berprestasi tinggi pacuan semua roda.

    Sebuah motor berkenaan mampu memberikan kuasa 268 hp kepada sebuah jentera Formula E; jadi dua buah motor ini menjadikan Zoe e-Sport sebuah hot-hatch berkuasa 462 hp dan tork maksima 640 Nm, berbanding Zoe standard yang hanya berkuasa 92 hp/220 Nm. Empat mod pemanduan diberikan, termasuk satu daripadanya yang mampu memulihkan kuasa bateri dengan melaras aliran kuasa dan pengagihan tork.

    Renault Zoe e-Sport Concept – Zoe lebih liar dengan kuasa 462 hp/640 Nm; 0-100 km/j hanya 3.2 saat!

    Bagi memastikan bekalan kuasa cukup untuk motor-motor elektrik berkenaan, Zoe diberikan bateri yang besar seberat 450 kg, iaitu satu pertiga dari berat keseluruhannya yang ditimbang pada 1,400 kg, dan juga 160 kg lebih berat dari bateri Zoe standard. Walau bagaimanapun, berat keseluruhan Zoe e-Sport Concept sebenarnya 68 kg lebih ringan berbanding Zoe biasa.

    Berat tersebut dapat dicapai dengan penggunaan struktur tiub keluli yang menggantikan struktur asal casis Zoe ini. Keseluruhan badan Zoe e-Sport ini juga kebanyakkannya dibina menggunakan material gentian karbon dan juga Kevlar. Ini membolehkan model konsep berkenaan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat – 10.3 saat lebih laju dari Zoe standard. Ia juga mampu untuk mencatatkan kelajuan maksima 209 km/j.

    Selain dari disebabkan perubahan struktur, untuk memastikan Zoe dengan kuasa yang lebih liar ini mudah dikendali, sistem suspensi asal topang McPherson pada bahagian hadapan dan torsion beam di belakang telah diubah kepada sistem double wishbone pada keempat-empat sudut. Sistem berkenaan turut diberikan penyerap hentak boleh laras empat-hala dari Ohlins.

     
     
  • McLaren 720S – model generasi kedua Super Series; 0-100 km/j dalam 2.9 saat, laju maksimum 341km/j

    McLaren 720S – model generasi kedua Super Series; 0-100 km/j dalam 2.9 saat, laju maksimum 341km/j

    McLaren telah memperkenalkan model gantian kepada 650S, dikenali sebagai 720S sewaktu Geneva Motor Show 2017. Kereta ini menampilkan penggunaan struktur gentian karbon baru pengeluar tersebut, iaitu Monocage II. Menurut McLaren, teknologi ini dapat memberikan kekuatan dan ketegaran ekstrem, sementara kerangka aluminium angkasa pula memegang suspensi dual wishbone di hadapan dan belakangnya. Tetapan ini adalah kunci kepada berat hanya 1,283 kg pada 720S – 18 kg lebih ringan berbanding sebelum ini.

    Selain platform baru, penggayaan 720S juga bukan sekadar dijadikan menarik, malah mengutamakan ciri aerodinamik. Pada bahagian hadapan, perumah lampunya, selain menempatkan lampu utama dan lampu siang LED, turut mempunyai laluan udara ke bahagian tepi kereta. Bahagian bawah di depannya juga mempunyai penepis udara anti-lift untuk menjadikan kereta lebih stabil semasa kelajuan tinggi.

    Bahagian dalam 720S datang dengan pintu jenis dihedral dan menampilkan binaan ‘double skin‘. Dengan ini, ia tidak lagi memerlukan salur udara sisi yang menonjol, kerana bahagian atas sudah dapat menyampaikan udara ke bahagian radiator. Bahagian bawah pula dapat mengendalikan kitaran angin yang datang daripada bahagian depan roda.

    McLaren 720S – model generasi kedua Super Series; 0-100 km/j dalam 2.9 saat, laju maksimum 341km/j

    Rekaan pintu baru pada kereta ini boleh dibuka lebih luas (80 darjah), seterusnya memberikan akses lebih mudah kepada pengguna. Ia juga 150 mm lebih dekat dengan badan kenderaan, supaya tidak menjadi satu masalah untuk membukanya di kawasan sempit seperti tempat letak kereta.

    Di dalam, walaupun mempunyai pelbagai fungsi, suasananya nampak ringkas, dengan kebanyakan butang kawalan terarah kepada pemandu. Tumpuan utama di sini adalah McLaren Driver Interface, yang terdiri daripada Folding Driver Display dan Central Infotainment Screen.

    Pada Folding Driver Display, terdapat dua mod yang boleh dipilih – Full Display dan Slim Display. Mod pertama adalah skrin digital bersaiz penuh yang memaparkan informasi pemanduan biasa dengan grafik yang terang, manakala mod kedua lebih kecil dan hanya memaparkan informasi penting secara ringkas.

    McLaren 720S – model generasi kedua Super Series; 0-100 km/j dalam 2.9 saat, laju maksimum 341km/j

    Bagi Central Infotainment Screen, ia diletakkan di bahagian tengah papan pemuka, dan menyediakan kawalan ciri utama kenderaan seperti sistem pendingin hawa dan fungsi telefon. Di sebelahnya pula terdapat barisan tombol dan butang yang mengawal sistem baru Proactive Chassis Control.

    Sistem ini membolehkan pemandu memilih beberapa mod pemanduan – Comfort, Sport dan Track – dan satu mod istimewa yang membiarkan anda menentukan berapa banyak anda mahu menggelungsur ke tepi sebelum kereta itu sendiri menarik anda ke arah sepatutnya (seperti mod drift).

    Pada bahagian belakang kenderaan, kabin jenis menjunam di belakang bertemu dengan spoiler aktif di belakang, dan ia boleh naik dan turun seperti model McLaren yang lain termasuk P1 dan 675 LT. Dari belakang juga anda akan dapat melihat ruang enjin, yang diterangi lampu apabila malam supaya lebih jelas kelihatan.

    McLaren 720S – model generasi kedua Super Series; 0-100 km/j dalam 2.9 saat, laju maksimum 341km/j

    Enjin yang digunakan pada 720S adalah unit M840T 4.0 liter twin-turbo V8 berkuasa 720 PS pada 7,500 rpm dan 770 Nm tork pada 5,500 rpm. McLaren bukan setakat membesarkan silinder daripada 3.8 liter M838T, malah 41% bahagian dalam enjin juga adalah baru.

    Semua kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan SSG, yang seterusnya membolehkan kenderaan ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.9 saat dan berhenti dari 100-0 km.j dalam masa 2.8 saat. Prestasi lain 720S adalah 0-200 km/j dalam masa 7.8 saat, 0-300 km/j dalam 21.4 saat dan kelajuan maksimum 341 km/j.

    McLaren sudah membuka tempahan untuk model ini, dan ia dipasarkan pada harga 208,600 pound (RM1,133,174) di United Kingdom. Tiga varian disediakan untuk 720S iaitu Standard, Performance dan Luxury – dan boleh ditambah dengan pelbagai lagi kelengkapan pilihan.

     
     
  • Alpine A110 – kuasa 252 PS, saingan Porsche Cayman

    Alpine A110 – kuasa 252 PS, saingan Porsche Cayman

    Satu tahun selepas pengenalan kenderaan konsep Alpine Vision, model yang kelihatan bersedia untuk produksi pula diperkenalkan di Geneva Motor Show 2017, dikenali sebagai Alpine A110. Kereta dua tempat duduk dan mempunyai enjin yang terletak di tengah ini akan dibina di kilang Alpine di Dieppe, Perancis dan harga yang ditetapkan adalah 58,500 Euro (RM275,197), dengan penghantaran untuk pelanggan di Eropah dijangka juga berlaku pada akhir tahun ini.

    Enjin yang akan digunakan pada Alpine A110 telah disahkan, iaitu unit empat silinder 1.8 liter turbo yang dibangunkan oleh perikatan Renault-Nissan. Walaubagaimanapun, salur udara, pengecas turbo, sistem ekzos dan talaan enjin A110 adalah unik untuknya, dan ia membawa kepada kuasa sebanyak 252 PS dan 320 Nm tork. Penggunaan bahan api bercampur dalam kitaran NEDC adalah 6.2 L/100 km, dengan pengeluaran CO2 140 g/km.

    Enjin ini dipadankan bersama kotak gear tujuh kelajuan klac berkembar Getrag, dan dipasang dengan nisbah gear spesifik untuknya. Secara standard, berat Alpine A110 hanya 1,080 kg, seterusnya menghasilkan nisbah kuasa dan berat 233 PS per tan, dan masa pecutan 0-100 km/j 4.5 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 250 km/j.

    Tiga mod pemanduan disediakan pada kereta ini iaitu Road, Sport dan Track, di mana bagi setiap tetapan itu, tindak balas enjin, transmisi, stereng, suspensi, ESC serta paparan meter boleh diubah mengikut kesesuaian.

    Bagi memastikan kuasa tersebut dapat dinikmati secara optimum, Alpine A110 menggunakan tetapan suspensi double wishbone di hadapan dan belakang, manakala kuasa membrek datang daripada kit Brembo; cakera 320 mm di depan dan belakang manakala angkup yang digunakan pula adalah empat piston di hadapan dan satu piston di belakang. Rim 18 inci serba ringan dipasang pada keempat-empat bahagian dengan dua di hadapan menggunakan tayar 205/40R18 dan belakang 235/40R18.

    Pada bahagian bawah kenderaan terdapat penutup yang rata untuk membantu ciri aerodinamik, bersama diffuser di belakang, yang mana menurut Alpine, membolehkan A110 menggabungkan “seretan rendah bersama tekanan ke bawah yang signifikan.” Salur udara pada bampar hadapan memperbaiki laluan udara sekitar roda hadapan, seterusnya mengurangkan seretan udara. Alpine mendakwa nilai drag coefficient A110 adalah pada 0.32 dan ia antara yang paling rendah dalam segmen kenderaan sports.

    Model terhad Première Edition ini boleh didapati dalam warna Alpine Blue, Noir Profond (hitam) atau Blanc Solaire (putih), sementara rim 18 inci padanya akan mendapat warna permata khas Première Edition. Sistem ekzos aktif serba ringan pada kenderaan ini juga menampilkan sistem bunyi Focal.

     
     
  • Dendrobium – hypercar EV konsep dari Singapura didedahkan di Geneva; 0-96 km/j hanya 2.7 saat

    Dendrobium – hypercar EV konsep dari Singapura didedahkan di Geneva; 0-96 km/j hanya 2.7 saat

    Setelah pengumuman dan teaser disiarkan sebelum ini, akhirnya hypercar konsep elektrik sepenuhnya (EV) yang dihasilkan oleh Vanda Electric dari Singapura digelar Dendrobium didedahkan sepenuhnya di Geneva Motor Show 2017.

    Hypercar elektrik dua tempat duduk yang diberi nama sempena bunga orkid yang berasal dari republik berkenaan ini turut dibina dengan kerjasama teknikal dari Williams Advanced Engineering, dan didakwa mampu mencapai kelajuan 322 km/j.

    Nama Dendrobium ini juga dipilih sempena pintu dan bumbung hypercar tersebut yang direka agar boleh dibuka “secara serentak, seperti teater” menggambarkan bunga denbrobium yang mengembang. Menurut Vanda Electrics lagi, rekaan ini bukan sekadar untuk aspek estetika, kokpit dengan bentuk air mata ini direka bagi memudahkan keluar masuk penumpang kedalamnya, lebih mudah dari hypercar lain.

    Dendrobium – hypercar EV konsep dari Singapura didedahkan di Geneva; 0-96 km/j hanya 2.7 saat

    Keseluruhan bentuk Dendrobium ini direka seakan jentera perlumbaan LMP dengan ciri seperti lantai aerodinamik, diffuser belakang, splitter hadapan, serta rim aloi (20-inci di hadapan dan 21-inci di belakang) dibaluti tayar Michelin Pilot Super Sport.

    Pada bahagian belakang, sebuah bar lampu diberikan yang dibina menghubungkan ruang roda kiri dan kanan, berperanan sebagai lampu belakang. Dari belakang juga, komponen binaan sistem suspensi double wishbone kereta ini jelas kelihatan. Kereta ini juga dibina dengan pelbagai komponen dari material ringan seperti casis monocoque komposit, panel badan gentian karbon serta cakera brek karbon seramik bersama angkup aloi ringan, membolehkan berat keseluruhannya ditimbang pada 1,750 kg.

    Lebih banyak komponen gentian-karbon digunakan pada bahagian dalaman hypercar ini, dengan rekaan yang agak bersegi. Satu perkara yang menarik, Dendrobium menampilkan dua buah tempat duduk berlainan warna dimana pemandu menerima tempat duduk berwarna merah, sementara penumpang menerima tempat duduk berwarna hitam.

    Dendrobium – hypercar EV konsep dari Singapura didedahkan di Geneva; 0-96 km/j hanya 2.7 saat

    Kedua-dua tempat duduk berkenaan menerima upholsteri kulit Bridge of Weir Leather Company dari Scotland, menampilkan jahitan dan motif yang diinspirasikan dari gentian otot. Tiada cermin sisi diberikan dimana dua buah kamera diletakkan pada fender hadapan dan paparannya diberikan pada dua skrin dipapan pemuka, yang mengapit papan instrumen digital utama.

    Dendrobium disasarkan boleh memecut dari 0-96 km/j dalam masa hanya 2.7 saat. Tiada perincian berkenaan unit janakuasa hypercar ini tetapi syarikat berkenaan mendakwa projek ini akan “menampilkan bateri lithium-ion dan teknologi janakuasa elektrik terkini.”

    Vanda turut mengatakan jika model ini dijelmakan dalam bentuk produksi, ia akan menampilkan dua motor elektrik; satu untuk gandar hadapan dan satu lagi di belakang. Motor bahagian hadapan bakal menerima kotak gear satu kelajuan dan juga karbeda (differential), manakala bahagian belakang pula diberikan kotak gear pelbagai gear juga dengan karbeda. Model produksi pertama dijangka bakal muncul pada tahun 2020, bergantung pada respon yang diterima di Geneva Motor Show ini.

     
     
  • Hyundai FE Fuel Cell Concept – jarak gerak 800 km

    Hyundai FE Fuel Cell Concept – jarak gerak 800 km

    Tampil membuat kemunculan bersama dengan Hyundai i30 Tourer di Geneva Motor Show 2017 adalah model FE Fuel Cell Concept, yang dikatakan oleh pengeluar Korea tersebut sebagai komitmen mereka terhadap pembangunan kenderaan kuasa hidrogen. Hyundai juga mendakwa SUV konsep ini sebagai sebahagian daripada program kenderaan mesra alam yang akan menyaksikan pengenalan 14 atau juga lebih model baru menjelang tahun 2020.

    Rekaan kenderaan konsep ini mendapat inspirasi daripada alam semula jadi dan satu-satunya bahan yang dikeluarkan daripadanya, iaitu air. Ini boleh dilihat daripada garisan yang mengalir pada lampu hadapan, salur udara dan lampu belakangnya. Terdapat juga penepis udara di bahagian tepi D-pillar kenderaan ini, serta salur udara bersepadu di sekitar badannya untuk meningkatkan ciri aerodinamik. Bahagian dalam yang berwarna biru juga mengetengahkan konsep ringkas dan minimalis, bersama skrin digital seperti kenderaan Mercedes-Benz.

    Sumber kuasa fuel cell baru oleh Hyundai yang digunakan pada FE ini adalah generasi yang keempat – dibandingkan dengan unit yang ada pada Tucson Fuel Cell, ia adalah 20 peratus lebih ringan dan 10 peratus lebih cekap; ketumpatan kuasanya juga dipertingkat sebanyak 30 peratus, seterusnya menambah jarak perjalanan yang boleh didapati menjadi 800 km (sebelum ini hanya 594 km).

    Juga ditampilkan pada FE adalah powerbank untuk peranti personal seperti telefon pintar, yang dicas menggunakan kuasa daripada kereta itu sendiri. Pada bahagian belakang, terdapat ruang untuk menempatkan dan mengecas skuter elektrik boleh lipat, yang pernah ditunjukkan oleh Hyundai semasa Consumer Electronics Show (CES) bulan Januari lalu.

    Hyundai menyatakan bahawa sebuah SUV kuasa hidrogen yang mendapat inspirasi daripada FE akan mula dijual pada tahun 2018 dan bakal menampilkan jarak pergerakan yang jauh serta teknologi bantuan pemandu “Hyundai Smart Sense“.

     
     
  • Audi Q8 Sport tunjuk kemampuan teknologi di Geneva

    Audi Q8 Sport tunjuk kemampuan teknologi di Geneva

    Pada bulan Januari, Audi menampilkan buat pertama kali kenderaan konsep bernama Q8 di Detroit, yang dikata bakal memberi gambaran kepada model SUV perdana masa hadapan mereka. Dua bulan berikutnya, satu model yang membawa perspektif baru diperkenalkan, dengan nama Q8 Sport di Geneva Motor Show.

    Kebanyakan dimensi bahagian luar kenderaan ini masih lagi sama, dengan panjang 5.02 meter dan tinggi 1.7 meter. Bezanya cuma lebar – bila dibandingkan dengan Q8, lengkung roda pada Q8 Sport ini dilebarkan sehingga 12 mm, menjadi 2.05 meter.

    Q8 Sport diserikan dengan warna Krypton Orange, bagi unit pameran ini, sambil mengekalkan gril Singleframe oktagon seperti Q8, tetapi kemasan yang berbeza. Unit ini mempunyai struktur honeycomb bersama aluminium dan disudahi dengan warna yang kontras. Bahagian dalam juga sama, cuma Q8 Sport dilihat mempunyai lebih banyak kemasan aluminium.

    Audi Q8 Sport tunjuk kemampuan teknologi di Geneva

    Sementara itu, pada bahagian tempat duduk, ia dihiasi dengan kemasan gabungan kulit Fine Nappa dan Nubuck, kedua-duanya dalam warna pastel dan perak. Turut disertakan adalah Audi Virtual Cockpit, skrin paparan 12.3 inci TFT beresolusi 1920 x 720 dengan beberapa mod, dan ia boleh ditukar menggunakan butang di stereng.

    Q8 Sport dikuasakan oleh enjin 3.0 liter TFSI enam silinder turbo, digabungkan dengan compressor kuasa elektrik dan sistem mild hybrid yang dikatakan sebagai yang pertama oleh Audi. Starter generator untuk sistem kuasa ini terletak di antara crankshaft dan transmisi – dan ia mengendalikan proses pemulihan kuasa. Jika perlu, ia boleh beroperasi pada arah bertentangan sebagai motor elektrik tambahan.

    Untuk compressor kuasa elektrik pula, ia terletak di laluan pintasan bawah intercooler, dan sebagai ganti kepada roda turbin, ia menggunakan motor elektrik yang kompak, mampu mempercepat roda compressor enjin sehingga 70,000 rpm dalam masa kurang daripada 250 milisaat.

    Audi Q8 Sport tunjuk kemampuan teknologi di Geneva

    Ini memberikan tolakan tambahan bagi Q8 Sport, dengan memberikan enjin ini lebih banyak udara bersih dan menyokong sistem pengecas turbo apabila gas ekzos tidak cukup untuk menghasilkan kitaran kuasa dengan pantas. Apabila tidak dipaksa untuk pecutan tambahan, sistem ini akan membantu mengelakkan penukaran kepada gear rendah sekiranya tidak perlu.

    Jumlah kuasa daripada sistem ini adalah sedikit tinggi berbanding sistem plug-in hybrid yang ada pada Q8, iaitu 476 hp, berbanding 448 hp pada Q8. Tork pula masih sama iaitu 700 Nm. Ia digabungkan dengan transmisi Tiptronic lapan kelajuan, dan kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui sistem AWD Quattro tetap.

    Catatan prestasi juga lebih baik berbanding Q8, di mana Q8 Sport mampu memecut ke kelajuan 100 km/j dalam masa 4.7 saat (5.4 saat pada Q8), manakala laju maksimum pula adalah 275 km/j (250 km/j pada Q8). Jarak operasi juga meningkat menjadi 1,200 kilometer, iaitu 200 km lebih berbanding Q8.

    Q8 Sport yang menggunakan rim 23 inci dan tayar 305/35 ini dilengkapi dengan suspensi udara sport dan ia boleh dilaras dalam pilihan lima jarak kelegaan dari tanah dan mempunyai beza tinggi sehingga 90 mm.

     
     
  • Volvo XC60 2018 didedahkan – T8 Twin Engine, 407 hp, tampil teknologi bantuan stereng elak kemalangan

    Volvo XC60 2018 didedahkan – T8 Twin Engine, 407 hp, tampil teknologi bantuan stereng elak kemalangan

    The new Volvo XC60

    Setelah diperkenalkan buat pertama kali lapan tahun lalu, kini Volvo telah mendedahkan model generasi terbaharu SUV XC60 di Geneva Motor Show 2017. XC60 2018 dibina berasaskan platform yang sama dengan barisan siri-90 baharu (XC90, V90 dan S90) iaitu platform Scalable Product Architecture (SPA). Model ini bakal diproduksi bermula pertengahan April ini, dan diberikan teknologi generasi terbaharu Volvo.

    Seperti yang dapat dilihat pada imej-imej teaser rasmi yang disiarkan sebelum ini, XC60 direka seakan abangnya XC90 tetapi pada skala sedikit kecil dan diberikan berberapa perincian unik. Pada bahagian muka, SUV ini diberikan sepasang lampu hadapan “Thor Hammer” dengan bahagian ‘hulu’ lampu nyalaan siang LED tersebut bertemu dengan gril signatur “Iron Mark” Volvo.

    Garis bahu SUV ini tidak diserlahkan dengan garis bersegi, tetapi terhasil dari ‘otot’ yang direka pada bahagian atas setiap ruang roda, dan ia lebih jelas pada bahagian belakang. Lampu belakang berbentuk-L diberikan pada tiang-D, dan sedikit berbeza dari XC90, lampu ini direka sebagai unit ‘two piece’ dengan sambungannya pada pintu tailgate, seperti rekaan pada wagon V90.

    Volvo XC60 2018 didedahkan – T8 Twin Engine, 407 hp, tampil teknologi bantuan stereng elak kemalangan

    The new Volvo XC60

    Bahagian dalaman XC60 ini direka seperti kabin siri-90, dengan reka bentuk ringkas menampilkan skrin besar pada bahagian tengah papan pemuka, diapit liang penghawa dingin menegak. Skrin untuk sistem infotaimen Sensus Volvo berkenaan turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Hanya suis kawalan penghawa dingin ringkas diletakkan di bawah skrin untuk mengawal sistem penghawa dingin Cleanzone empat-zon.

    XC60 dijana barisan enjin 2.0 liter Drive-E turbo petrol dan diesel Volvo. Bagi model diesel, pilihan enjin D4 berkuasa 190 hp dan D5 dengan teknologi PowerPulse berkuasa 245 hp ditawarkan. Untuk petrol pula, tiga varian enjin diberikan bermula dengan T5 berkuasa 254 hp, diikuti T6 yang disuap dengan turbo dan supercharge sekaligus menghasilkan 320 hp.

    Varian tertinggi XC60 diberikan unit janakuasa T8 Twin Engine Plug-In Hybrid yang menggabungkan enjin petrol T6 dan juga motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm bersama motor penghidup pengecas yang diletakkan pada aci engkol (CISG) berkuasa 34 kW. Keseluruhan gabungan unit janakuasa ini menghasilkan kuasa 407 hp/640 Nm dan membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.3 saat.

    Volvo XC60 2018 didedahkan – T8 Twin Engine, 407 hp, tampil teknologi bantuan stereng elak kemalangan

    Tidak lengkap jika sebuah Volvo tidak dilengkapi sistem keselamatan termaju. Seperti juga model-model siri-90, XC60 diberikan Pengesan Haiwan Besar, Run-off Road Mitigation (untuk mengelakkan ia terbabas ke sisi jalan) dan juga sistem pemanduan separa automatik. XC60 juga menampilkan teknologi yang memberikan bantuan kepada stereng ketika pemandu cuba mengelakkan kemalangan – teknologi pertama seumpanya diperkenalkan oleh Volvo.

    Sistem City Safety yang juga meliputi sistem brek automatik, disepadukan dengan sistem bantuan stereng berkenaan. Sistem ini akan berfungsi sebaik sahaja ia mengesan situasi dimana kemalangan tersebut tidak akan dapat dielakkan dengan hanya membrek. Semasa beroperasi, ia akan memberikan bantuan untuk mengalih arah kenderaan menerusi stereng bagi mengelakkan halangan seperti kenderaan lain, pejalan kaki mahupun haiwan besar, pada kelajuan 50 hingga 100 km/j.

    Sistem Oncoming Lane Mitigation turut diperkenalkan yang akan memutarkan semula stereng bagi mengembalikan ia ke lorong asal sekiranya pemandu mengubah arah ke lorong bertentangan arah, dan ia aktif pada kelajuan 60 km/j dan 140 km/j. Sistem Pemantauan Titik Buta (BLIS) turut dihubungkan pada sistem bantuan stereng baharu ini untuk membantu pemandu mengalih semula arah ke lorong asal sekiranya mengesan sesuatu pada titik buta yang tidak dapat dilihat oleh pemandu.

     
     
  • Porsche 911 GT3 kini dengan 500 hp, transmisi manual

    Porsche 911 GT3 kini dengan 500 hp, transmisi manual

    Selain Panamera Sport Turismo, Porsche juga telah menggunakan Geneva Motor Show 2017 untuk memperkenalkan Porsche 911 GT3 baru. Kereta sports yang membawa banyak teknologi litar ini sekarang menggunakan badan 991 facelift dan dinaik taraf untuk menghasilkan lebih kuasa dan pilihan yang menggembirakan pemandu tegar.

    Ini kerana selain transmisi klac berkembar PDK tujuh kelajuan standard, GT3 baru juga ditawarkan dengan kotak gear manual enam kelajuan, diambil daripada model edisi terhad 911 R.

    Enjin yang dipadankan padanya juga adalah baru – 4.0 liter (sebelum ini 3.8 liter) N/A enam silinder yang diambil daripada model GT3 RS dan 911 R. Ia mampu menghasilkan 500 hp pada 8,250 rpm dan 460 Nm tork pada 6,000 rpm. Bahagian dalam yang diperbaik juga membolehkan GT3 baru ini mencapai kitaran (rpm) lebih tinggi – sehingga 9,000 rpm.

    Porsche 911 GT3 kini dengan 500 hp, transmisi manual

    Apabila dilengkapi kotak gear PDK, kereta ini mencatat berat 1,430 kg dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat – 0.1 saat lebih pantas berbanding model sebelum ini – sebelum mencapai kelajuan maksimum 318 km/j. Jika menggunakan kotak gear manual pula, beratnya turun menjadi 1,413 kg, tetapi lambat sekitar setengah saat untuk mencapai 100 kmj, pada 3.9 saat, tetapi mempunyai laju maksimum lebih tinggi – 319km/j.

    Bahagian casis juga mendapat naik taraf untuk dinamik pemanduan yang lebih baik – ia duduk 25 mm lebih rendah berbanding Carrera S, dan seperti sebelum ini, terdapat active rear steering, tapak enjin dinamik dan locking rear differential.

    Seperti juga 991 facelift yang alin, GT3 menerima beberapa perubahan pada bahagian luar, termasuk rekaan lampu hadapan baru dengan lampu siang LED empat penjuru, pemegang pintu bersepadu dan lampu belakang baru. Muka hadapan spesifik untuk GT3 ini juga diberikan sentuhan baru bagi menjadikannya lebih bersegi – sama juga dengan diffuser belakang – manakala salur udara juga ditambah pada penutup enjin di belakang. Sayap belakang gentian karbon juga adalah baru.

    Porsche 911 GT3 kini dengan 500 hp, transmisi manual

    Di dalam pula, GT3 dilihat menggunakan stereng gaya 918 Spyder yang lebih kecil, serta sistem informasi dan hiburan Porsche Communication Management (PCM), dan Connect Plus Module dengan sambungan Apple CarPlay. Turut diberikan adalah aplikasi Porsche Track App yang membolehkan pemandu merekod data pemanduan mereka.

    GT3 baru juga datang secara standard dengan tempat duduk Sport Seats Plus bersama bonjolan untuk sokongan tambahan. Pembeli juga boleh memilih Adaptive Sport Seats Plus yang mempunyai pelarasan elektronik 18 tahap, kolum stereng kuasa dan fungsi simpanan memori, ataupun tempat duduk bucket gentian karbon yang tetap, tidak boleh dilaras.

     
     
  • Subaru XV 2018 dipertontonkan di Geneva – banyak elemen baharu, enjin dan transmisi dipertingkatkan

    Subaru XV 2018 dipertontonkan di Geneva – banyak elemen baharu, enjin dan transmisi dipertingkatkan

    Subaru XV serba baharu telah pun dipertontonkan buat pertama kali bagi khalayak umum di Geneva International Motor Show 2017 hari ini. Ia hadir dengan imej yang lebih bergaya dan menawarkan versatiliti bagi pemanduan bandar mahu pun luar bandar.

    Ia akan dibina dengan menggunakan senibina Subaru Global Platform yang telah diperbaharui sepenuhnya yang dikatakan mempunyai peningkatan prestasi keseluruhan yang ketara berbanding platform sebelum ini. Model ini juga merupakan strategik pertama di Eropah bagi ‘Prominence 2020’ iaitu visi syarikat bagi memberikan “keseronokan dan ketenangan fikiran untuk para pelanggan”.

    Melihat imej yang tampak unik, sporty dan bergaya, Subaru XV 2018 ini ditampilkan dengan rekaan falsafah DYNAMIX x SOLID ilham Subaru sendiri. Ia bagi mempertingkatkan kualiti yang tinggi bagi kekemasan luaran dan dalaman Subaru XV 2018 ini.

    Subaru XV 2018 dipertontonkan di Geneva – banyak elemen baharu, enjin dan transmisi dipertingkatkan

    Bahagian hadapan XV 2018 ini menampilkan imej baharu dengan padanan gril haksogan dengan lapisan hitam pada bampar menampakkan sifat bergaya SUV ini. Gril tersebut turut disambungkan pada lampu utama ‘mata-helang’. Garisan berkarakter terserlah dari gerbang roda hadapan bersambung ke bahagian belakang, secara tidak langsung mewujudkan profil sisi yang lebih dinamik.

    Ia juga digandingkan dengan rekaan baharu bagi rim aloi yang nampak lebih sporty dan kasual. Lampu belakang kombinasi bersama spoiler bumbung berwarna hitam dengan bampar belakang disalut lapisan hitam kusam turut menampakkan sifat rugged XV 2018 ini.

    XV 2018 ini juga ditambah dengan pilihan warna baharu iaitu Cool Grey Khaki dan Sunshine Orange dengan kontras lapisan hitam kusam.

    Subaru XV 2018 dipertontonkan di Geneva – banyak elemen baharu, enjin dan transmisi dipertingkatkan

    Bahagian kabinnya juga dipertingkatkan termasuk menampilkan rekaan tempat duduk yang direka semula dan kekemasan kelabu telah menjadi pilihan bagi menyerlahkan lagi karakter XV ini. Selain itu, ia turut menampilkan papan pemuka serba baharu termasuk panel instrumen di bahagian tengah dengan paparan skrin sesentuh 8.0-inci untuk sistem infotainmen, bersama sambungan telefon pintar. Perincian jahitan berwarna jingga turut menghiasi panel instrumen sebagai pelengkap gaya bahagian kabin XV 2018 ini.

    Brek parkir elektronik juga telah ditampilkan bagi menggantikan unit brek tangan pada model XV sebelumnya. Malahan saiz roda stereng juga dikurangkan bagi memberikan keselesaan yang lebih jitu, serta menambahkan nisbah pengendalian stereng (dari 14:1 ke 13:1). XV 2018 turut menawarkan Penvektoran Tork Aktif bagi menambahkan pemanduan dinamik, bersama sistem Symmetrical AWD. Malahan kini ia juga dilengkapi dengan X-Mode untuk kawalan yang lebih baik terutamanya ketika merentasi permukaan jalan yang kurang rata.

    Di bawah hudnya, engin dan kotak gearnya juga telah dipertingkatkan. Enjinnya dikekalkan dengan unit 2.0 liter N/A empat-silinder, namun Subaru mengesahkan sebanyak 80% peralatannya telah dipertingkatkan. Penjana kuasa ini mampu memberikan output sehingga 156 PS dan tork 196 Nm, dan Subaru turut mengesahkan XV 2018 ini adalah 12 kg lebih ringan berbanding model sebelum ini.

    Subaru XV 2018 dipertontonkan di Geneva – banyak elemen baharu, enjin dan transmisi dipertingkatkan

    Ia turut dipadankan dengan kotak gear Lineartronic XVT seperti model sebelum ini, namun nisbahnya telah diperluaskan (dari 6.28 ke 7.03) untuk kuasa pendikitan yang lebih bagus dan penjimatan bahan api yang lebih efisien, malah juga lebih ringan sebanyak 7.8 kg. Transmisi baharu ini turut menggunakan kawalan penukaran auto, di samping mod manual tujuh-kelajuan.

    Bagi aspek keselamatannya, ia juga dilengkapi dengan Subaru EyeSight (Kawalan Brek Pra-Perlanggaran, Kawalan Kelajuan Adaptif, dan Bantuan Kekal Lorong). Selain itu, ia juga dilengkapi dengan Bantuan Lampu Tinggi, Lampu Utama Responsif Stereng dan Pengesan Kenderaan Belakang Subaru.

    Subaru turut mendakwa, sistem suspensinya juga telah ditambah baik dan turut menampilkan pusat graviti yang lebih rendah, di mana XV 2018 ini menawarkan hazard avoidance performance bertaraf dunia, yang dikatakan setanding dengan kereta sport prestasi tinggi yang lain. Malahan turut menggunakan lebih banyak plat keluli tegangan tinggi serta material yang dibentuk dengan proses ‘hot press‘. Secara tidak langsung ia telah meningkatkan ketegaran kerangkanya sebanyak 70% hingga 100% berbanding model terdahulu.

    Perincian bagi pasaran spesifik akan diumumkan tidak lama lagi, dengan Jepun dan Amerika Syarikat (akan terus menggelarkannya sebagai Crosstrek) akan menerima kehadirannya terlebih dahulu. Ia juga dijangka akan tiba di pasaran Malaysia sebelum tahun 2018 berakhir.

     
     
  • Audi RS5 Coupe muncul di Geneva – 450 hp, 600 Nm

    Audi RS5 Coupe muncul di Geneva – 450 hp, 600 Nm

    Audi Sport telah pun menampilkan buat pertama kalinya model RS5 Coupe di pentas Geneva Motor Show 2017. Jentera prestasi tinggi ini dijanakan oleh enjin serba baharu 2.9 liter biturbo TFSI V6 dengan hamburan kuasa 450 hp dna tork 600 Nm, iaitu lebih berkuasa berbanding Panamera 4S dengan enjin 4.2L V8 (444 hp/430 Nm).

    Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik tiptronic lapan-kelajuan dengan pacuan semua-roda quatro yang menyalurkan kuasa lebih ke roda belakang dengan pembahagian 40:60. Sekiranya model S5 Coupe mampu mencapai 4.7 saat bagi pacuan dari 0-100 km/j, RS5 ini hanya memerlukan 3.9 saat bagi melakukan perkara yang sama. Malah ia juga boleh mencecah kelajuan maksimum sehingga 280 km/j, dengan pilihan pakej dinamik.

    Bukan itu sahaja, RS5 ini juga menggunakan bahan api dengan anggaran 8.7 liter bagi setiap 100 km, menurut ujian kitaran NEDC. Ia juga mencatatkan kadar emisi lebih kurang 197 gram bagi CO2 per km, iaitu mencapai 17% penjimatan berbanding model sebelumnya.

    Audi RS5 Coupe muncul di Geneva – 450 hp, 600 Nm

    Hamburan kuasa dan penjimatan yang ditawarkan ini turut dipadankan dengan kerangka yang lebih ringan, sekitar 1,655 kg, pengurangan sebanyak 60 kg. Casis model ini turut menampilkan suspensi five-link pada bahagian hadapan dan belakang, bagi menggantikan elemen pada model sebelum ini yang menggunakan pelarasan trapezoidal-link. Suspensi standard RS sport telah menawarkan pengendalian yang lebih mantap dan ia boleh dipertingkatkan dengan pilihan tambahan.

    Ini termasuklah Kawalan Pengendalian Dinamik (DRC), brek seramik, stereng dinamik dengan talaan spesifik-RS, yang membolehkan pemandu memilih mod pemanduan menerusi sistem pemilihan pemanduan Audi. Audi Sport turut menawarkan pilihan rear sport differential.

    Menurut jenama ini, jentera lumba Audi 90 quattro IMSA GTO banyak memberikan ilham bagi penggayaan RS5 ini. Di bahagian hadapannya, perubahan utama yang dilakukan termasuklah menampilkan bampar baharu, gril bingkai tunggal sarang lebah, corong pengambilan udara yang lebih besar dan lampu utama Matrix LED. Jika dilihat secara lebih dekat, kelihatan corong yang lebih kecil di bahagian tersebut.

    Audi RS5 Coupe muncul di Geneva – 450 hp, 600 Nm

    Model ini turut menerima gerbang roda yang lebih lebar, dengan peningkatan sehingga 15 mm, dipadankan bersama roda standard 19-inci (dengan pilihan 20-inci). Di belakangnya pula, RS5 dipadankan dengan paip ekzos berbentuk bulat, yang merupakan trademark bagi RS. Lain-lain perincian termasuklah peresap gentian karbon dan lip spoiler yang dipasang di bahagian trunk lid.

    Untuk bahagian kabinnya, kekemasan hitam membentangi segenap ruang, ditemani dengan sentuhan gentian karbon pada pintu, papan pemuka dna konsol tengah. Kit spesifik-RS turut ditampilkan termasuklah tempat duduk sport (dengan pilihan jahitan berlian pada kulit Nappa), stereng rata di bawah, logo RS, dan paparan istimewa bagi sistem kokpit maya Audi.

    RS5 turut didatangkan dengan pakej rekaan RS dengan menampilkan keemasan merah sebagai kontras pada roda stereng, tuil gear, permukaan pintu dan tali pinggang keledar. Bagi pilihan warna, Audi Sport menawarkan Sonomo green metallic sebagai kekemasan cat eksklusif bagi RS5 Coupe.

     
     
  • Hennessey VelociRaptor 600 Twin Turbo – trak gergasi berkuasa 613 hp/830 Nm, 0-96 km/j hanya 4.2 saat!

    Hennessey VelociRaptor 600 Twin Turbo – trak gergasi berkuasa 613 hp/830 Nm, 0-96 km/j hanya 4.2 saat!

    Penala kenderaan ubahsuai dari Texas, Amerika Syarikat -Hennessey- kini mendedahkan karya terbaharu mereka, digelar VelociRaptor 600 Twin Turbo – trak pikap berprestasi tinggi dibina berasaskan Ford Raptor 2017.

    Hennessey hanya menghasilkan sebanyak 100 unit VelociRaptor 600 untuk tahun 2017 ini, dan setiap daripadanya bakal diberikan dua plak untuk nombor turutan produksi – diletakkan pada bahagian dalaman dan juga pada ruang enjin. Selain itu, emblem-emblem yang berbeza dari Raptor standard turut diberikan dan diletakkan pada tempat yang sepatutnya.

    Selain itu, pembeli turut ditawarkan dengan pakej off-road istimewa, yang meliputi bampar rekaan khas, lift-kit untuk mengangkat badan trak ini 76 mm lebih tinggi, rim 10-jejari berdiameter 20-inci dibaluti tayar off-road Toyo 35-inci serta lampu-lampu LED tambahan.

    Hennessey mengolah semula enjin 3.5 liter EcoBoost V6 asal Raptor berkenaan dengan pemadanan sistem kemasukan aliran tinggi baharu, menukar pengecas turbo, menggunakan unit intercooler baharu yang diletakkan pada bahagian hadapan, pemadanan sistem ekzos keluli tahan karat cat-back baharu, serta talaan semula dilakukan pada unit ECU enjin.

    Ubahsuai ini telah melonjakkan jumlah kuasa asal 450 hp/691 Nm kepada 613 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 830 Nm pada takat 4,000 rpm. Hasilnya, trak gergasi ini mampu memecut dari 0-96 km/j (0-60 bs/j) dalam masa hanya 4.2 saat, serta mampu memecut dalam jarak suku batu (0-400 meter) dalam masa hanya 12.9, pada kelajuan 177 km/j.

    Bagi mereka dengan bajet lebih rendah atau mahukan sesuatu yang tidak terlalu ekstrem, Hennessey turut menawarkan pakej tingkat taraf VelociRaptor 500, hadir dengan kuasa 500 hp. Kuasa tersebut dapat diekstrak menerusi pemadanan sistem kemasukan aliran tinggi baharu dan juga pemadanan sistem ekzos keluli tahan karat cat-back. Komponen lain pada VelociRaptor 600 turut boleh dibeli secara berasingan untuk dipadankan pada model dengan kuasa yang lebih rendah.

     
     
  • Honda Electric Vision – menjelang 2025, 2/3 kenderaan yang dijual di Eropah adalah hibrid, PHEV, EV dan FCV

    Honda Electric Vision – menjelang 2025, 2/3 kenderaan yang dijual di Eropah adalah hibrid, PHEV, EV dan FCV

    Semasa pameran permotoran Geneva yang sedang berlangsung, Honda telah mendedahkan strategi ‘Electric Vision‘ baru mereka untuk Eropah. Mengikut strategi tersebut, Honda mensasarkan dua per tiga daripada barisan model yang dijual di Eropah menjelang tahun 2025 akan terdiri daripada model hibrid, plug-in hybrid, elektrik bateri dan fuel cell.

    Semasa membentangkan strategi tersebut, presiden dan ketua pegawai operasi Honda Motor Europe, Katsushi Inoue memberitahu bahawa syarikatnya akan mengambil guna sumber penyelidikan dan pembangunan global bagi mempercepatkan pengenalan model lebih maju dan enjin elektrik ini kepada pelanggan di Eropah.

    Fokus kepada penggunaan sumber elektrik pada kenderaan ini akan dipacu oleh kemasukan teknologi hibrid pada barisan kenderaannya, dan model hibrid pertama yang akan menggunakan sistem hibrid dua motor oleh Honda akan mula dijual pada tahun 2018.

    Syarikat itu juga memberitahu bahawa dalam strategi ini kenderaan jenis plug-in hybrid, elektrik bateri dan hydrogen fuel cell turut akah dilahirkan, untuk pelanggan di Eropah. Clarity Fuel Cell adalah antara modelnya, yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif HyFIVE (Hydrogen For Innovative Vehicles) di seluruh Eropah.

    GALERI: Honda Clarity Fuel Cell di Tokyo Motorshow 2015

     
     
  • Honda Civic Type-R 2017 akhirnya didedahkan – 2.0 liter VTEC Turbo, 320 PS/400 Nm, suspensi lebih jitu

    Honda Civic Type-R 2017 akhirnya didedahkan – 2.0 liter VTEC Turbo, 320 PS/400 Nm, suspensi lebih jitu

    Akhirnya varian paling ditunggu-tunggu dan paling pantas dalam barisan “Civic terbaik pernah di bina” – Honda Civic Type-R generasi baharu – didedahkan secara rasmi di Geneva Motor Show. Seperti yang terpapar pada imej yang bocor sebelum ini, Civic Type-R generasi baharu berkenaan tampil hampir sepenuhnya serupa dengan model prototaip yang didedahkan di Paris tahun lalu.

    Diasaskan dan dibina bersama Honda Civic generasi kesepuluh versi hatchback lima-pintu, Civic Type-R 2017 menampilkan sistem suspensi hadapan dua-paksi bersama lengan bawah dan knuckle stereng aluminium bagi menambah baik had ketika meredah selekoh serta mengurangkan torque steer. Ia turut diberikan LSD heliks bersama sistem stereng berkuasa elektrik dua-pinan dengan nisbah pelbagai.

    Berbanding Type-R FK2 sebelum ini yang hanya diberikan suspensi jenis torsion beam, Civic Type-R baharu ini menampilkan suspensi multilink pada bahagian belakang, seterusnya meningkatkan lagi had pengendaliannya. Kesemua suspensi pada model baharu ini juga menerima Sistem Suspensi Adaptif dengan penyerap hentak tiga-chamber, penderia strok individu dan tiga penderia daya-G pada kenderaan bagi menawarkan kadar variasi lebih luas antara keselesaan dan juga respon pengendalian yang dinamik. Ia turut menerima talaan eksklusif pada spring, penyerap hentak dan pada bushing yang berkaitan di litar Nurburgring, Jerman.

    Civic Type-R 2017 dipadankan dengan rim aluminium berdiameter 20-inci, di baluti tayar berprestasi tinggi Continental ContiSportContact 6 bersaiz 245/30R20. Sistem brek Brembo ditempatkan disebalik rim-rim gergasi ini dengan cakera berliang serta ditebuk berdiameter 350 mm bersama angkup brek empat-omboh dihadapan, manakala cakera solid berdiameter 305 mm di belakang.

    Honda Civic Type-R 2017 akhirnya didedahkan – 2.0 liter VTEC Turbo, 320 PS/400 Nm, suspensi lebih jitu

    Kerangka Type-R ini juga dibina lebih kukuh berbanding model hatchback standard, dengan 38% peningkatan pada ketegaran kilas serta 45% peningkatan pada ketegaran lentur berbanding Civic Type-R terdahulu. Ini membolehkan respon stereng lebih baik dapat dicapai selain dari melenyapkan getaran badan serta bunyi pada kabin.

    Proses ini dilakukan dengan aplikasi pelekat struktur pada seluruh badan. Keluli berkekuatan ultra-tinggi digunakan sebanyak 14% dari keseluruhan badan, bersama bonet enjin aluminium menjadikan Type-R 7 kg lebih ringan dari versi standard, serta 16 kg lebih ringan berbanding Civic Type-R generasi sebelumnya.

    Honda Civic Type-R generasi baharu ini masih dijana oleh yang sama pada model sebelumnya iaitu enjin K20C 2.0 liter i-VTEC Turbo dengan suntikan bahan api terus. Ia turut menghasilkan 320 PS (10 PS lebih dari FK2R) pada takat 6,500 rpm serta tork maksima 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm.

    Enjin berkenaan turut diberikan sentuhan yang diperhalusi, antaranya, roda tenaga (flywheel) beban-tunggal pada enjin baharu ini dapat mengurangkan inersia klac sebanyak 25%. Model baharu ini juga sah menggunakan transmisi manual enam-kelajuan dengan nisbah gear akhir lebih rendah dari sebelum ini bagi menambah baik respon pecutan – menidakkan khabar angin sebelum ini yang mengatakan Type-R akan diberikan transmisi CVT.

    Honda Civic Type-R 2017 akhirnya didedahkan – 2.0 liter VTEC Turbo, 320 PS/400 Nm, suspensi lebih jitu

    Unit janakuasa baharu ini juga menampilkan sistem auto-blip untuk menurunkan gear secara agresif (dengan memberikan throttle-blip secara automatik ketika gear diturunkan), membolehkan pemandu tanpa kemahiran heel and toe menurunkan gear dengan lancar secara drastik.

    Honda turut memberikan tiga mod pemanduan pada Civic Type-R 2017 iaitu Comfort, Sport dan +R. Mod pemanduan ini akan melaras semula respon stereng dan pedal pendikit, rev-match (auto-blip) transmisi, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) serta talaan pada Sistem Suspensi Adaptif.

    Pada bahagian luaran, Type-R diberikan liang kemasukan udara bersaiz besar pada setiap sisi bampar hadapan dan ditambah dengan liang melintang pada bahagian hujung serta lampu kabus juga dialihkan sedikit berbanding hatchback standard. Pada bahagian bawah bampar pula, Type-R dilengkapi dengan spoiler penuh. Ia turut diberikan lampu hadapan LED seiras dengan model standard, namun penutup hud Type-R ini diberikan liang udara pada bahagian tengah.

    Keempat-empat ruang roda turut dilebarkan, menyaksikan fender hadapan dapat diberikan liang sisi atas kerja pelebaran berkenaan. Lampu boomerang pada bahagian belakang masih lagi kelihatan sama seperti model hatchback standard, namun seperti juga Civic Type-R sebelum ini khususnya bermula dari generasi FD, ia dipadankan dengan spoiler belakang bersaiz besar. Honda turut memadankan dua bilah pada bahagian atas pintu tailgate belakang yang bermula dari bumbung.

    Berbanding model biasa yang hanya dilengkapkan dengan tip ekzos berkembar, versi Type-R ini dilengkapi dengan tiga-tip ekzos pada bahagian tengah. Berbeza dari model prototaip sebelum ini yang diwarnakan dengan warna hitam matte, versi produksi ini diserlahkan dengan warna rasmi Type-R – Championship White – dan ia turut menerima perincian Type-R lain seperti lencana, dan yang paling penting – logo H dengan latar belakang merah.

    Bahagian dalaman versi Type-R ini masih mengekalkan asas rekaan pada model sedan dan hatchback standard. Sama seperti barisan model Type-R yang lain, ia menerima paparan meter dengan latar belakang merah, serta kemasan-kemasan merah lain seperti jalur serlahan pada papan pemuka dan pintu serta jahitan benang merah pada bahagian tertentu, selain dari kemasan-kemasan dengan elemen gentian karbon.

    Tempat duduk bucket berwarna merah di berikan bersama roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit (dengan elemen merah), sarung tuil gear kulit, tombol dan set pedal aluminium serta plat nombor siri Type-R ditempatkan pada konsol tengah, bagi melengkapkan identiti sebuah Type-R sebenar.

    Skrin sesentuh 7-inci diberikan pada sistem infotaimen dan navigasi yang turut menyokong Apple CarPlay serta Android Auto. Sistem berkenaan dihubungkan kepada sistem audio 540-watt bersama 12-pembesar suara dengan SiriusXM 2.0, Radio HD dan juga sokongan Pandora, kesemuanya diberikan secara standard.

    Civic Type-R akan diproduksi di kilang Honda Swindon, UK, kilang yang sama memproduksi model generasi sebelum ini dan juga hatchback versi standard, bermula pada musim panas 2017. Walau bagaimanapun, enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkenaan akan dihasilkan di kilang Honda Anna, Ohio, Amerika Syarikat.

    Model generasi baharu ini akan dimport ke seluruh Eropah dan juga pasaran-pasaran lain termasuk Jepun dan Amerika Syarikat. Bagi pasaran Amerika Syarikat juga, ini merupakan kali pertama Civic Type-R dijual secara rasmi pada pasaran berkenaan dan bakal menerjah pasaran pada lewat musim bunga tahun ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026