Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Harga siling bahan api bakal diumumkan pada setiap minggu mulai April ini bagi elak keraguan – KPDNKK

    Harga siling bahan api bakal diumumkan pada setiap minggu mulai April ini bagi elak keraguan – KPDNKK

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin, telah mengesahkan, pihak kerajaan memutuskan untuk mengumumkan harga siling bahan api pada setiap minggu, berbanding yang dilakukan sebelum ini pada hujung bulan. Katanya, ia akan dilaksanakan mulai April ini bagi memastikan pengguna mengetahuinya serta mengelak daripada berlaku keraguan.

    Kemungkinan, harga siling bahan api akan diumumkan pada Isnin atau Sabtu setiap minggu berbanding dilakukan sebulan sekali ketika ini, laporan Bernama.

    “Sebenarnya apa yang saya dan Menteri Kewangan Kedua (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) lakukan adalah untuk memastikan rakyat mengetahui apa yang ditentukan oleh Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Katanya, terpulang kepada syarikat minyak untuk bekerjasama dengan persatuan bagi memastikan tiada sesiapa ketinggalan daripada mengetahui harga siling semasa melalui pendekatan yang ditetapkan kerajaan itu.

    Harga siling bahan api bakal diumumkan pada setiap minggu mulai April ini bagi elak keraguan – KPDNKK

    Beliau turut berkata penetapan harga siling bahan api oleh kerajaan adalah bertujuan mengelak bahan api itu dijual melebihi harga yang sepatutnya di pasaran. Bukan itu sahaja, papan tanda harga siling bahan bakar akan diletakkan di semua stesen minyak di seluruh negara.

    Idea untuk menetapkan harga siling bahan api ini pertama kali diumumkan pada Februari lalu, apabila Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata di beberapa negara maju, kerajaan akan membiarkan harga minyak terapung, dan penggiat industri minyak dan gas akan menentukannya. Pada ketika itu, harga bahan api RON 95 naik dua bulan berturut-turut, iaitu sehingga 40 sen berbanding Disember 2016 (RM2.30 vs RM1.90 seliter).

    “Bila kita letak harga siling, terpulanglah kepada stesen minyak sama ada mahu menurunkan harga, atau bagaimana cara mereka nak (laksanakan) kempen (promosi) supaya orang datang (membeli) di stesen minyak mereka, termasuk menawarkan insentif,” kata Hamzah lagi.

    Persatuan Pengedar Petroleum Malaysia sebenarnya telah lama menyarankan supaya harga siling bagi bahan api ditetapkan secara mingguan. Ia menyatakan sistem bulanan tersebut menyebabkan mereka (para peruncit bahan api) menanggung kerugian yang besar dan harga mingguan yang bakal dilaksanakan itu tidak akan ‘begitu dirasai’ oleh para pengguna.

     
     
  • Lexus IS facelift kini di M’sia – 4 varian, dari RM298k, varian hibrid IS 300h kini hingga RM40k lebih murah

    Lexus IS facelift kini di M’sia – 4 varian, dari RM298k, varian hibrid IS 300h kini hingga RM40k lebih murah

    Setelah muncul di laman web Lexus Malaysia bulan lalu, Lexus IS versi facelift akhirnya secara rasmi menerjah masuk pasaran tempatan. Model versi dipertingkat ini membuat kemunculan sulungnya di Beijing, April 2016 dan mula dijual pada pasaran Jepun pada Oktober tahun lalu.

    Untuk pasaran Malaysia, IS masih lagi ditawarkan dengan empat varian iaitu IS 200t Premium, IS 200t Luxury, IS 200t F SPORT dan varian tertinggi juga dari versi hibrid – IS 300h. Pada bahagian muka, Lexus IS facelift kini menerima rekaan yang lebih agresif, dengan bampar baru dan liang kemasukan udara pada setiap sisi yang lebih besar.

    Bahagian grilnya juga diberikan pembaharuan, begitu juga dengan lampu utamanya; ia diberi sentuhan yang menjadikannya lebih menonjol berbanding versi sebelum ini, dengan lampu nyalaan siang LED yang lebih jelas dan ketara. Gril baharunya pula lebih tinggi, berubah antaranya pada bahagian atas serta bawahnya.

    Untuk menserasikannya dengan wajah keseluruhan bahagian depan, rekaan pada hud enjin juga direka semula. Gril F Sport kini memiliki corak 3D unik, dengan lapisan warna hitam metalik untuk disepadankan dengan saluran udara pada brek – yang juga menyumbang kepada aerodinamik.

    Lexus IS facelift kini di M’sia – 4 varian, dari RM298k, varian hibrid IS 300h kini hingga RM40k lebih murah

    Di bahagian belakang, bampar IS telah mendapat sentuhan semula manakala lampu LED dengan bentuk-L juga kelihatan lebih jelas; ia kini diberikan lampu LED panduan tiga lapisan (sebelum ini hanya dua). Tip ekzos pula kini direka berbentuk empat segi, berbanding bulat pada model sebelum ini.

    Tujuh warna badan baharu ditawarkan (bergantung pada varian), dengan warna Heat Blue yang dihasilkan dari empat lapisan cat hanya diberikan eksklusif untuk 200t F Sport. Tujuh warna juga ditawarkan bagi kemasan dalaman (bergantung pada varian, tetapi F Sport hanya ditawarkan dengan pilihan warna hitam atau Dark Rose bersama kemasan bahagian dalaman Wedge Metal.

    Bagi bahagian roda, IS 200t Premium dan IS 300h dilengkapi dengan rim 17 inci rekaan baru – warna cerah dan tayar run flat ditawarkan sebagai ciri standard. Untuk IS 200t Luxury dan IS 200t F SPORT yang dipadankan dengan rim 18-inci, kedua-duanya kini menerima tayar belakang yang lebih lebar bagi memberikan cengkaman yang lebih kuat.

    Masuk ke bahagian kabin, model facelift ini diberikan skrin infotainmen EMVN 10.3-inci, berbanding 7-inci pada model sebelum ini. Skrin berkenaan memberikan paparan yang lebih jelas serta boleh dibahagikan kepada dua bahagian, membolehkan dua informasi berbeza dipaparkan pada satu-satu masa. Khas untuk F Sport, ia turut diberikan meter daya-G pada paparan pelbagai informasi.

    Lexus IS facelift kini di M’sia – 4 varian, dari RM298k, varian hibrid IS 300h kini hingga RM40k lebih murah

    Untuk varian IS 200t Premium and IS 200t Luxury, ia diberikan sistem audio dengan 10-pembesar suara serta pemain DVD. Manakala untuk varian IS 200t F SPORT dan IS 300h yang lebih tinggi, ia didatangkan standard bersama sistem audio 15-pembesar suara Mark Levinson Premium, menghasilkan bunyi digital sekeliling saluran-5.1.

    Butang-butang kawalan pada roda stereng telah diolah semula bagi memberikan penggunaan lebih mudah, manakala Remote Touch Interface (RTI) untuk kawalan larasan sistem infotainmen dan sistem lain pada konsol tengah kini diberikan butang ‘Enter’ dan ‘Back’ bagi memudahkan lagi operasinya.

    Selain itu, perubahan pada kabin turut meliputi rekaan semula pada dua pemegang cawan antara kedua-dua tempat duduk hadapan dan juga pad lutut yang dibesarkan bagi memberikan lebih keselesaan. Jam analog turut diberikan rekaan nombor baharu, manakala cermin pandang belakang anti-silau kini diberikan rekaan tanpa bingkai.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan pada model facelift ini dimana semua varian IS 200t dijana enjin 8AR-FTS 2.0 liter dengan pengecas turbo twin-scroll bersama sistem Dual VVT-iW (Variable Valve Timing-intelligent Wide) menghasilkan kuasa maksima 241 hp pada 5,800 rpm dan 350 Nm tork maksima bermula 1,650 hingga 4,400 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan memacu roda belakang.

    Lexus IS facelift kini di M’sia – 4 varian, dari RM298k, varian hibrid IS 300h kini hingga RM40k lebih murah

    Bagi model hibrid IS 300h pula, ia diberikan unit janakuasa Lexus Hybrid Drive yang menggabungkan motor elektrik dan juga enjin petrol 2AR-FSE 2.5 liter empat-silinder kitaran Atkinson berkuasa 178 hp. Kuasa keseluruhan yang dihasilkan unit janakuasa ini adalah 220 hp dengan tork maksima 221 Nm bermula 4,200 hingga 5,400 rpm.

    Untuk keselamatan, kesemua varian diberikan 10-unit beg udara serta sistem keselamatan aktif Traction Control (TRAC), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) yang kesemua ini dikawal oleh Lexus Vehicle Dynamics Integrated Management (VDIM). Lexus IS juga diberikan Sistem Amaran Tekanan Angin Tayar, Bantuan Parkir dan juga kamera undur yang memberikan paparan sudut luas. Selain dari varian IS 200t Premium, varian lain yang lebih tinggi turut diberikan Sistem Pemantau Titik Buta dan juga Amaran Lintasan Trafik.

    Varian asas Lexus IS 200t Premium dijual pada harga bermula RM297,800 dan meningkat kepada RM332,000 untuk varian Luxury. Varian IS 200t F Sport pula dijual pada harga RM366,000, manakala varian tertinggi IS 300h dijual pada harga RM412,000. Berbading versi terdahulu, tiada perubahan harga untuk semua varian IS 200t, tetapi untuk model hibrid, ia kini sehingga RM40k lebih murah.

    Pembelian bagi kesemua model ini juga turut diberikan perlindugan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, manakala untuk model hibrid IS 300h, program insuran pek bateri selama lapan-tahun turut ditawarkan.

     
     
  • Geely mungkin tarik diri dari bidaan ke atas Proton

    Geely mungkin tarik diri dari bidaan ke atas Proton

    Dalam perkembangan terbaru berkaitan rakan strategik Proton, Geely dilaporkan berkemungkinan menarik diri daripada menjadi rakan strategik Proton, lapor The Star.

    Khabarnya, jutawan Li Shufu berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk menarik Zhejiang Geely Holding Group Co. keluar daripada bidaan terhadap Proton Holdings Bhd. Bloomberg pula melaporkan Li berkata demikian disebabkan Proton kerap menukar rancangan dan pendirian mereka.

    “Mereka kerap menukar pendirian. Hari ini lain, esok lain,” ujar Li di dalam satu wawancara dengan Beijing Friday. “Mereka sendiri belum membuat keputusan tentang apa yang mereka mahu,” tambahnya. Bloomberg juga melaporkan masih belum ada komen daripada Proton berkaitan perkara ini.

    Disebabkan kenyataan daripada Li itu, saham DRB-Hicom dilaporkan jatuh hari ini; pada 4.50pm sahamnya jatuh enam sen kepada RM1.39.

    Kumpulan PSA dari Perancis dan Geely dari China merupakan dua pihak yang berminat dengan tawaran Proton yang ingin mencari rakan strategik luar, dan sudah menghantar kertas cadangan masing-masing. Proton perlu mencari rakan strategik luar sebagai sebahagian daripada syarat pinjaman mudah RM1.5 bilion yang diberikan oleh kerajaan tahun lalu.

     
     
  • Lexus NX 200t Edisi Istimewa kini di Malaysia – lebih sporty, kekemasan hitam, harga dari RM312k

    Lexus NX 200t Edisi Istimewa kini di Malaysia –  lebih sporty, kekemasan hitam, harga dari RM312k

    UMW Toyota Motor telah pun mengumumkan penambahan varian bagi model SUV mewah Lexus NX bagi pasaran Malaysia. Dilancarkan sejak tahun 2015 lalu, kini NX telah pun mempunyai enam varian iaitu NX 200t, NX 200t Premium, NX 200t Luxury, NX 200t F Sport, NX 300h dan yang terbaharu NX 200t Edisi Terhad.

    Beberapa ciri tambahan telah ditampilkan bagi varian NX Edisi Istimewa ini, termasuklah bahagian hadapannya yang menampilkan sedikit kelainan dengan padanan lampu utama dan lampu kabus LED baharu bagi pencahayaan yang lebih baik. Malah ia turut didatangkan dengan pintu belakang berkuasa, bumbung matahari panoramik dan juga kad kunci pintar.

    Untuk menampakkan kelainan berbanding varian lain, NX Edisi Istimewa ini turut menampilkan tema hitam bagi memberikan imej yang lebih agresif termasuklah kekemasan lapisan filem gelap, rim aloi 18-inci berwarna hitam dengan rekaan baharu, gril spindle dan perumah cermin sisi yang juga dilatari warna hitam.

    Bagi barisan NX 2017, turut menerima beberapa peningkatan termasuklah lampu utama LED berbentuk-L yang menggantikan unit pencahayaan kombinasi LED/halogen. Manakala lampu kabus LED juga telah dipasang di bahagian sudut bawah dan ia secara automatik turut bertindak menghala ke arah suluhan kenderaan bagi tambahan jarak penglihatan. Ia juga dipadankan dengan roda rekaan baharu lima-jejari bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 225/60R18.

    Selain itu, pengesan hujan, pintu belakang berkuasa dan kad kunci pintar turut ditambah pada model versi 2017. Seperti mana varian NX 200t Edisi Istimewa, varian NX 200t, dan F Sport turut dilengkapi dengan bumbung matahari.

    Lexus NX 200t Edisi Istimewa kini di Malaysia –  lebih sporty, kekemasan hitam, harga dari RM312k

    Seperti mana varian NX 200t yang lain, NX 200t Edisi Istimewa ini turut dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder VVT dengan padanan kotak gear automatik enam-kelajuan. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 235 hp pada takat 4,800 rpm dan tork 350 Nm pada takat 1,650 rpm.

    Semua varian NX (termasuk NX 200t Edisi Istimewa) kini boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu Sonic Quartz, Platinum Silver, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake, dan Red Mica Crystal Shine. Dan tambahan warna Lava Orange Crystal Shine dan Heat Blue hanya untuk NX 200t F Sport.

    Harga yang ditawarkan bagi NX 200t Edisi Istimewa ini ialah RM311,900. Manakala barisan lain NX 2017 pula ialah RM309,900 (NX 200t), RM340,800 (NX 200t Premium), RM361,900 (NX 200t Luxury), RM387,900 (NX 200t F SPORT) dan RM397,800 (NX 300h). Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Ia juga dilengkapi dengan waranti pengeluar komprehensif selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad. Manakala varian NX 300h menerima tambahan bagi program waranti lapan-tahun untuk pek bateri hibrid.

     
     
  • Dendrobium – hypercar EV Singapura didedah lagi

    Vanda Electrics telah mengeluarkan sebuah video teaser kereta konsep elektrik yang bakal diperkenalkan – Dendrobium – sedikit awal daripada penampilan sulungnya yang dijangka akan dilakukan di Pameran Permotoran Geneva nanti. Ia menerima jolokan sebagai hypercar elektrik Singapura yang pertama, dibangun melalui kerjasama Williams Advanced Engineering.

    Seperti yang dapat dilihat melalui video berkenaan, penggayaan kereta ini menampilkan banyak garis-garis tajam dan agresif, baik untuk rekaan luar mahupun dalaman. Menurut pengeluarnya, binaan badan kereta berkenaan terdiri daripada aluminium, gentian karbon dan kaca, termasuk bagi bahagian tengah kereta dua tempat duduk ini.

    Dendrodium – yang namanya diambil dari sejenis bunga – turut mewakilkan setiap gerak-geri padanya, termasuk bukaan bumbung dan pintunya daripada bunga yang khusus kepada Singpaura itu. Masih belum ada apa-apa maklumat terperinci yang rasmi mengenai jentera ini.

    Apa yang dinyatakan hanyalah Dendrobium akan menampilkan pembangunan sistem pacuan elektrik termaju setakat ini. Dengan gelar hypercar yang digunakan, prestasinya dijangka akan berada pada tahap tersendiri, mungkin juga melebihi apa yang pernah diberikan oleh Tesla Model S.

    Perincian lanjut tentang kereta ini akan diperoleh sebaik sahaja ia membuat penampilan sulung di Geneva dalam masa terdekat ini. Sekadar tambahan, produk lain yang dihasilkan oleh Vanda Electrics termasuk trak mini elektrik yang digelar Ant Truck dan sebuah motosikal elektrik, dikenali dengan nama Motochimp.

     
     
  • SPYSHOT: G30 BMW 5 Series dikesan di Malaysia!

    SPYSHOT: G30 BMW 5 Series dikesan di Malaysia!

    Hampir lima bulan lalu, G30 BMW 5 Series telah pun diperkenalkan di peringkat dunia, namun menerusi foto spyshot yang dirakam oleh Kelvin Low dari laman Facebook F10 Crew Malaysia, model tersebut telah dikesan di atas sebuah trailer, di negara kita. Ternyata ia bakal memasuki bilik pameran tidak lama lagi.

    Menerusi foto ini, kelihatan 530i dengan pakej M Sport dan roda aloi M double-spoke 664M 19-inci, memungkinkan ia sebagai model tertinggi, mungkin bakal ditawarkan dalam kuantiti yang terhad. Kelihatan juga lampu utama LED adaptif, yang turut ditawarkan secara standard bagi model semasa F10 5 Series.

    Kuasanya didatangkan dari enjin B48 2.0 liter turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan output 252 hp pada 5,200 rpm dan tork 350 Nm dari 1,450 hingga 4,800 rpm. Turut ditawarkan enjin yang sama bagi 520i dengan 180 hp/290 Nm, begitu juga dengan 520d yang masih menggunakan enjin 2.0 liter turbodiesel (190 hp/400 Nm) seperti sebelum ini. Ia dipadankan dengan kotak gear ZF automatik lapan-kelajuan untuk semua model.

    SPYSHOT: G30 BMW 5 Series dikesan di Malaysia!

    Lebih besar dan lebih ringan (dikurangkan sebanyak 100 kg) berbanding model sebelumnya, G30 ini bakal dilengkapi dengan banyak teknologi baharu, termasuklah skrin sesentuh 10.25-inci baharu, kawalan gerakan dan kawalan parkir, serta pemanduan semi-sendiri seperti kawalan kelajuan aktif, bantuan kekal lorong dan penukaran kosong sendiri. Seperti biasa, jangan mengharapkan semua elemen ini ada pada model spesifikasi Malaysia.

    Seperti mana pesaingnya, W213 Mercedes-Benz E-Class, G30 BMW 5 Series ini akan sampai dalam versi import-sepenuhnya (CBU) trlebih dahulu sebelum pemasangan-tempatan (CKD) dimulakan kemudian. Dijangkakan harganya di antara pertengahan RM300,000 dan RM400,000, seperti model E-Class.

     
     
  • Imej Hyundai Sonata 2018 dibocorkan lagi

    Imej Hyundai Sonata 2018 dibocorkan lagi

    Baru-baru ini, Hyundai telah menyebarkan foto lakaran pertama bagi model Sonata 2018 facelift menerusi Facebook. Kali ini, sekali lagi imejnya dibocorkan, menerusi Hyundai-Blog.com pula.

    Kalau melihat lakaran yang disebarkan lebih awal, imej Sonata 2018 ini kelihatan lebih agresif. Namun berdasarkan gambar di atas pula, ia kelihatan seperti tidak nampak seperti sebenar, jadi ada sedikit kesangsian di sini.

    Wajah baharu Sonata 2018 ini kelihatan mirip dengan i30 baharu. Ini termasuklah gril radiator “cascading”, disambung pada lampu utama yang lebih berkilat berbanding model semasa. Imej sedan yang diperbaharui ini turut didatangkan dengan lampu nyalaan siang LED yang disambungkan pada bampar.

    Imej Hyundai Sonata 2018 dibocorkan lagi
    Imej Hyundai Sonata 2018 dibocorkan lagi

    Malahan lakaran tersebut menunjukkan rekaan bahagian belakang sedan segmen-D ini. Kelihatan lampu belakang yang lebih nipis, plat nombor yang diposisikan ke bampar dan permukaan yang lebih lebar bagi menampakknya lebih berketerampilan. Varian turbo dikatakan bakal menerima peresap belakang dengan paip ekzos berkembar.

    Ia merupakan perubahan yang agak besar dilakukan untuk Sonata FL, dan ia mungkin disebabkan penerimaan yang kurang bagi model semasa. Walau bagaimana pun, perubahan yang dilakukan diharap mampu memberikan kesan terhadap jualannya, pastinya inginkan sambutan yang lebih memberangsangkan berbanding model sebelumnya.

    Bukan sahaja imej luaran dan elemen dalaman yang dipertingkatkan, bahagian mekanikal juga dijangka ada perubahannya. Mungkin juga digantikan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan untuk meningkatkan prestasi dan penjimatan bahan apinya, bersama enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder untuk model Sport, seperti mana yang ditampilkan pada model hot hatch i30 akan datang. Malah dijangkakan penjana kuasa tersebut mampu menghasilkan lebih 260 hp, sedikit pertambahn berbanding model semasa dengan enjin Theta II turbo GDI (245 hp/352 Nm).

     
     
  • Malaysia Speed Festival Pusingan 1 – Keifli Othman dominasi Race Car Open, Boy Wong ungguli Saga Cup

    Malaysia Speed Festival Pusingan 1 – Keifli Othman dominasi Race Car Open, Boy Wong ungguli Saga Cup

    Pemandu pasukan Mayhem-Fast Autoworks MaxxOil, Keifli Othman mendominasi perlumbaan pusingan pertama Malaysia Speed Festival (MSF) 2017 untuk kategori Race Car Open dengan memenangi kedua-dua perlumbaan kategori tersebut hujung minggu lalu. Ini membolehkan bekas juara Formula Asia tersebut mendahului pungutan mata MSF musim ini di hadapan Faidzil Alang dari Fast Lap Autoworks dan juga Mark Darwin yang berlumba untuk pasukan SITTY-DNT.

    “Ini merupakan keputusan yang menakjubkan untuk pasukan dan untuk menebus kegagalan musim lalu,” kata Keifli. “Kejuaraan ini masih lagi diperingkat permulaan dan saya tidak akan menjangkakan pihak lawan berpuas hati dengan keputusan mereka hari ini. Kami jangkakan mereka akan membuat peningkatan pada perlumbaan seterusnya, bermaksud kami perlu lebih berkerja keras untuk mengekalkan momentum ini dan diharapkan akan memberikan kami gelaran yang terlepas pada musim lalu.”

    Satu lagi kategori yang menjadi tumpuan – Saga Cup Expert – menyaksikan Boy Wong dari pasukan ST Wangan memenangi kedua-dua perlumbaan pada hari tersebut.

    Malaysia Speed Festival Pusingan 1 – Keifli Othman dominasi Race Car Open, Boy Wong ungguli Saga Cup

    Dengan ketiadaan Tengku Djan Ley dan pelumba GT Farique Hairuman pada perlumbaan kali ini mungkin sedikit memudahkan tugas Wong, tetapi masih perlu memberikan tumpuan kepada pelumba cabaran World Time Attack, Aliff Hamdan dari pasukan JNA Racing yang menamatkan perlumbaan ini ditempat kedua. Wong turut dapat mengekalkan jaraknya dengan jentera-jentera lebih laju dalam kategori Super 1,500 NA pada perlumbaan pertama.

    “Saya telah membuat permulaan yang baik dan ini memberikan kelebihan kerana saya tahu kesesakan bakal berlaku pada selekoh pertama, terutamanya pada grid yang besar,” kata Wong. “Mengelakkan dari masalah merupakan aspek paling penting dan saya dapat rasakan pelumba di belakang saya menghadapi masalah dan membuatkan tugas saya agak mudah. Untuk perlumbaan seterusnya, saya jangka pihak lawan akan kembali dengan lebih kuat tetapi saya telah bersedia untuknya dan tidak sabar untuk pertarungan yang sengit.”

    Malaysia Speed Festival akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk pusingan kedua pada 16 April ini. Tiket untuk padok dijual pada harga RM20 sebelum pukul 11 pagi pada hari perlumbaan, dan RM35 selepas waktu tersebut. Untuk maklumat lanjut da keputusan penuh perlumbaan, layari laman sesawang rasmi MSF Racing atau laman Facebook rasmi mereka.

     
     
  • Abarth 595 Pista bakal ke Geneva Motor Show – 1.4 liter, 160 hp/230 Nm, dilengkapi sistem telemetri litar

    Abarth 595 Pista bakal ke Geneva Motor Show – 1.4 liter, 160 hp/230 Nm, dilengkapi sistem telemetri litar

    Syarikat talaan yang sentiasa dikaitkan dengan Fiat, Abarth, bakal ke Geneva Motor Show tahun ini bagi mendedahkan model terbaharunya – Abarth 595 Pista – yang diasaskan dari model ikonik jelmaan semula Fiat 500.

    Ditawarkan dengan versi hatchback dan convertible dengan bukaan bumbung berkuasa, 596 Pista dijana enjin 1.4 liter turbo T-Jet berkuasa 160 hp dengan tork maksima 230 Nm. Enjin berkenaan turut diberikan sistem ekzos sporty diakhiri dengan empat tip pada bahagian belakang.

    Ini membolehkan jentera comel ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 216 km/j. Kuasa dari enjin disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear manual lima-kelajuan. Abarth turut menawarkan opsyen transmisi sequential bersama pedal penukar gear yang ditempatkan di belakang roda stereng.

    Abarth 595 Pista bakal ke Geneva Motor Show – 1.4 liter, 160 hp/230 Nm, dilengkapi sistem telemetri litar

    Pista bermaksud ‘litar’ dalam bahasa Itali. Jadi untuk membezakan model baharu ini dengan Abarth 595 pelbagai edisi sebelumnya, ia dilengkapi dengan sistem Telemetri Abarth yang membolehkan pemiliknya memuat turun perincian litar-litar terkenal dari seluruh dunia ke skrin sesentuh tujuh-inci sistem infotainmen Uconnect, bagi membolehkan mereka mendapatkan tips dari data telemetri untuk mendapatkan catatan masa terpantas pada litar-litar berkenaan.

    Untuk pengendalian, 595 Pista diberikan set suspensi dari Koni untuk bahagian belakang, cakera brek berliang dan ditebuk bersaiz 284×22 mm pada bahagian hadapan serta 240×11 mm pada bahagian belakang. Model ini diberikan rim aloi berdiameter 17-inci, disaluti tayar bersaiz 205/45R17.

    Ciri standard lain yang dibekalkan termasuk kemasan warna berbeza pada bampar hadapan dan belakang, dan juga pilihan kemasan akhir berwarna hitam, merah atau kuning pada angkup brek dan juga penutup cermin sisi. Emblem “595 Pista” dan juga pembuka pintu kemasan titanium turut diberikan.

    Bagi ciri opsyen pula, Abarth menawarkan lampu hadapan xenon, filem penapis haba pada cermin belakang, bumbung suria berkuasa elektrik (untuk versi hatchback), sistem penghawa dingin automatik serta cermin pandang belakang elektrokromik. Abarth 595 Pista ini bakal membuat kemunculannya di Geneva nanti ditemani motosikal edisi khas Abarth iaitu Yamaha XSR 900 Abarth.

     
     
  • Honda CR-V 2017 sah terima enjin 1.6L i-DTEC Turbo diesel, transmisi 9-kelajuan untuk pasaran Thailand

    Honda CR-V 2017 sah terima enjin 1.6L i-DTEC Turbo diesel, transmisi 9-kelajuan untuk pasaran Thailand

    2017 Honda CR-V

    Nampaknya perkembangan automotif di Thailand jauh lebih menarik berbanding negara-negara jiran dan serantaunya. Terbaru, setelah desas-desus dan spekulasinya kedengaran sebelum ini, Honda kini mengesahkan model CR-V 2017 untuk pasaran Thailand akan ditawarkan dengan enjin 1.6L i-DTEC Turbo buat pertama kali, dipadankan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan.

    Pengenalan CR-V 2017 dijangka akan berlangsung seawal penghujung bulan ini, mungkin sebelum Pameran Permotoran Antarabangsa Bangkok 2017. Berita ini juga sekaligus mengesahkan laporan awal bahawa enjin berkenaan akan mula digunakan pada generasi kelima SUV popular berkenaan.

    Enjin i-DTEC ini menampilkan sistem turbocaj dua peringkat, yang dengan pintar akan mewujudkan tork dan kelajuan tinggi untuk kebanyakan keadaan pemanduan. Menurut Honda, enjin berkenaan menghasilkan 160 hp pada 4,000 rpm dan 350 Nm tork pada 2,000 rpm.

    Honda CR-V 2017 sah terima enjin 1.6L i-DTEC Turbo diesel, transmisi 9-kelajuan untuk pasaran Thailand

    Dengan transmisi sembilan-kelajuan automatik, penggunaan petrol didakwa mampu mencapai 18.9 km/l, sementara pembebasan karbon dioksida ialah 141 g/km. Untuk pasaran Amerika Syarikat, CR-V 2017 ditawarkan dengan dua pilihan enjin yang lain.

    Pertama, enjin 2.4 liter suntikan terus empat-silinder DOHC i-VTEC petrol (184 hp/244 Nm) dan kedua, enjin 1.5 liter turbocaj suntikan terus, empat-silinder DOHC VTC (190 hp/243 Nm). Bagi pilihan enjin petrol ini, kedua-duanya menggunakan transmisi CVT.

    GALERI : Honda CR-V 2017

     
     
  • Toyota C-HR terima penarafan 5-bintang dari ANCAP

    Toyota C-HR terima penarafan 5-bintang dari ANCAP

    Dengan ketibaan model yang ditunggu-tunggu, Toyota C-HR ke pasaran Australia, Australasian New Car Assessment Program (ANCAP) telah mengeluarkan laporan keselamatan bagi crossover segmen-B itu. Menariknya, C-HR telah menerima penarafan lima-bintang (berdasarkan ujian Euro NCAP), yang boleh diguna pakai bagi semua varian model di Australia dan New Zealand.

    Bagi ujian perlindungan penumpang dewasa (AOP), C-HR menerima markah sebanyak 33.18 daripada 38 mata penuh, sementara perlindungan penumpang kanak-kanak (COP) pula memperolehi pematuhan sebanyak 77%, dengan 38.03 dari 49 mata.

    Manakala bagi ujian bantuan keselamatan pula menerima pematuhan sebanyak 68% (8.18 daripada 12 mata), dengan C-HR memperoleh markah dari semua aspek termasuk pengingatan pemakaian tali pinggang keledar, sistem sokongan lorong dan brek kecemasan sendiri (AEB), kecuali sistem bantuan kelajuan.

    Untuk kit keselamatan bagi C-HR spesifikasi Australia, kesemua model dilengkapi dengan tujuh beg udara, Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Active Cruise Control (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDA), High Beam automatik (AHB), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik (RCTA). Walau bagaimana pun, ia tidak dilengkapi dengan pengesan pejalan kaki seperti mana model spesifikasi Eropah.

    “C-HR adalah contoh bagi model mampu milik yang lengkap dengan keselamatan tahap tinggi bagi semua aspek penilaian. Sebagai model baharu dalam segmen SUV Kompak, kelayakan keselamatan adalah penting bagi menawan hati para pelanggan, malah ciri-ciri utamanya diberikan secara standard,” ujar CEO bagi ANCAP, James Goodwin.

    C-HR pasaran Australia dijana oleh enjin 1.2 liter turbo empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus D-4T dan VVT-iW yang membolehkan kitaran Otto konvensional berubah kepada kitaran Atkinson. Enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa puncak 114 hp pada 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork maksima 185 Nm bermula 1,500 hingga 4,000 rpm.

     
     
  • Renault Captur facelift hadir dengan dua warna baharu

    Renault Captur facelift hadir dengan dua warna baharu

    Renault Captur kini sudah menjengah usia empat tahun dalam pasaran global, dan perlukan sentuhan yang lebih segar untuk kelangsungannya. Untuk itu, Renault memperkenalkan versi facelift bagi model crossover segmen B ini – walaupun sangat sedikit.

    Di bahagian depan, grilnya diberikan rekaan semula dengan elemen palang krom pada logonya. Lampu utama LED Pure Vision juga diberikan sebagai pilihan. Lampu kabus LED dalam bentuk C pula terletak pada bahagian sudut bamparnya. Pendekatan reka bentuk pencahayaan ini turut dilanjutkan ke bahagian belakang – lampu belakang dengan lampu panduan LED.

    Selain itu, skid plate pada bahagian depan dan belakang juga diberi kemasan baru. Bagi pilihan warna, Renault Captur facelift ini diberikan dua warna baru, Atacama Orange dan Ocean Blue, serta warna bumbung baru Platinum Grey bagi versi dwi-tona.

    Renault Captur facelift hadir dengan dua warna baharu

    Ruang dalaman pula, pemilik boleh pilih daripada enam warna yang ditawarkan; Ivory, Ocean Blue, Caramel, Red, Satin Chrome dan Patina Chrome. Sebagai tambahan, ruang luaran hadir dalam lima pilihan warna; Ivory, Oceam Blue, Cappuccino, Red dan Atacama Orange.

    Bagi spesifikasi peringkat ketiga ke atas, bumbung kaca panoramik disertakan, sekali dengan rim 17 inci dan dua rim 18 inci aloi rekaan baru. Bagaimanapun, tiada apa-apa perubahan pada enjin dan transmisi. Ia masih menggunakan tiga pilihan enjin terdahulu.

    Yang dimaksudkan ialah enjin TCe 898 cc turbo tiga-silinder petrol (90 hp/135 Nm), enjin 1.2 liter TCe 120 turbo empat-silinder (116 hp/190 Nm) seperti yang ada di Malaysia dan enjin 1.5 liter dCi 90 empat-silinder turbodiesel (90 hp/220 Nm). Bagi transmisi, pilihan yang ada ialah manual lima-kelajuan dan kotak gear Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan.

     
     
  • JPJ nafi kadar denda dinaikkan seperti yang ditular

    JPJ nafi kadar denda dinaikkan seperti yang ditular

    Sejak beberapa hari ini, terdapat penularan menerusi laman media sosial dan Whatsapp mengenai kenaikan kadar kompaun bagi penguatkuasaan trafik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula 1 Mac lalu.

    Antara kesalahan yang didakwa dinaikkan denda ialah kesalahan meriba kanak-kanak ketika memandu, memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan telefon ketika memandu, merokok ketika memandu, dan tidak memakai tali pinggang keledar.

    Walau bagaimana pun, dakwaan ini disangkal oleh Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron ketika dihubungi Bernama. Menurutnya mesej ditularkan sejak beberapa hari lepas itu adalah tidak benar.

    Malah ada juga pihak yang membangkitkan semula isu penguatkuasaan cermin gelap, dan menyatakan denda sebanyak RM2,000 atau enam bulan penjara bakal menanti pesalah. Hal ini pernah dinafikan oleh JPJ pada setahun yang lalu, walau pun ia pernah disahkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, beberapa hari sebelum itu.

    Kata JPJ, terdapat kekeliruan di atas kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri berkenaan. Di mana kompaun maksimum yang dikenakan oleh JPJ bagi kesalahan berkenaan adalah sebanyak RM300.

     
     
  • Isuzu D-Max 3.0L 4×4 Single Cab kini di Malaysia – 177 PS dan 380 Nm, satu varian dan harga dari RM88k

    Isuzu D-Max 3.0L 4×4 Single Cab kini di Malaysia – 177 PS dan 380 Nm, satu varian dan harga dari RM88k

    Isuzu Malaysia kini memperkenalkan trak pikap D-Max 3.0L 4×4 Single Cab untuk pasaran tempatan – menjadi satu-satunya trak Single Cab dengan kapasiti enjin 3.0 liter turbodiesel dalam pasaran Malaysia kini. Ia tambahan terbaru kepada model Single Cab 2.5L yang ada sebelum ini.

    Enjin 4JJ1-TCX 3.0 liter turbodiesel yang digunakan adalah sama dengan enjin yang digunakan pada versi Double Cab – memberikan 177 PS pada 3,600 rpm dan 380 Nm dari 1,800 hingga 2,800 rpm bagi kuasa dan tork. Bagaimanapun, ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan, serta sistem pacuan 4×4.

    Antara perkara yang diberi penambah baikan ialah suspensi belakang dari jenis leaf spring yang digunakan; kini lebih tahan lasak untuk membawa beban yang berat pada permukaan laluan yang pelbagai. Suspensi depan kekal menggunakan jenis double wishbone dengan coil spring.

    Hanya satu warna ditawarkan untuk versi ini, iaitu Magnum White. Bampar hitam menghiasi bahagian luarannya, rim besi 16 inci (dengan tayar bersaiz 245/70), lampu utama halogen serta cermin sisi hitam kuasa elektrik.

    Pada papan pemuka, ia turut dilengkapi unit radio single-DIN dengan pemain CD dan MP3, termasuk AUX dan USB. Model ini tetap datang dengan ciri tingkap kuasa, sistem kunci sentral dan tombol 4×4 juga antara ciri standard pada ruang berkenaan.

    Bagi ciri-ciri keselamatan, D-Max Single Cab ini datang dengan ABS, EBD, brake assist, hill-start assist (HSA), kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan elektronik (ESC). Model ini dijual pada harga RM87,530.40 (atas jalan tanp insurans) dan disertakan dengan jaminan lima tahun/150,000 km dan Isuzu Doctor Mobile Service. Pelapik bahagian belakang ditawarkan sebagai aksesori tambahan, dengan nilai RM1,060.

     
     
  • Porsche Panamera Sport Turismo – wagon berprestasi tinggi didedahkan sebelum muncul di Geneva 2017

    Porsche Panamera Sport Turismo – wagon berprestasi tinggi didedahkan sebelum muncul di Geneva 2017

    Porsche wagon? jangan salahkan mata anda dan ini juga bukan imej render, Porsche memang benar-benar menghasilkan sebuah wagon berasaskan model sedan Panamera, digelar Porsche Panamera Sport Turismo.

    Selain dari bentuk badan wagon, model ini juga merupakan Porsche pertama yang diberikan tiga tempat duduk di bahagian belakang dan bakal membuat kemunculan sulungnya pada Geneva Motor Show yang bakal berlangsung pada bulan ini.

    Versi produksi Panamera Sport Turismo ini dibina sama dengan model konsepnya yang didedahkan pada 2012, menampilkan rupa yang seiras dengan versi sedannya pada bahagian hadapan, serta bumbung belakang yang ditarik lebih panjang, menjadikan rupa wagon ini seolah-olah sebuah model coupe.

    Porsche Panamera Sport Turismo – wagon berprestasi tinggi didedahkan sebelum muncul di Geneva 2017

    Model wagon ini turut diberikan spoiler belakang aktif, yang boleh dilaras kepada tiga peringkat untuk menghasilkan daya tekanan kebawah tambahan sebanyak 50 kg pada gandar belakang. Apabila kereta ini mencapai kelajuan 170 km/j, spoiler berkenaan akan dilaras secara automatik pada ‘posisi prestasi’ dengan sudut tambahan satu darjah.

    Fungsi spoiler berkenaan turut akan diaktifkan pada kelajuan 90 km/j sekiranya pemandu memilih mod pemanduan Sport atau Sport Plus. Hanya ketinggian pada Sport Turismo ini tidak sama dengan versi sedan; 5 mm lebih tinggi (1428 mm), manakala dimensi lain yang diukur dengan 5049 mm panjang, 1937 lebar serta jarak roda 2,950 mm adalah sama seperti Panamera sedan.

    Seperti yang disebutkan tadi, Sport Turismo diberikan tempat duduk belakang untuk tiga orang, yang menurut Porsche ia sebenarnya merupakan konfigurasi 2+1, yang mana kedua-dua tempat duduk bahagian sisi direka sebagai tempat duduk individual, bagi memastikan keselesaan maksimum untuk penumpang. Walau bagaimanapun, tempat duduk belakang yang direka hanya untuk dua orang seperti pada model sedan masih ditawarkan sebagai opsyen.

    Sebagai sebuah wagon, Panamera Sport Turismo menawarkan ruang but dengan kapasiti 520 liter (425 liter untuk varian E-Hybrid), 20 liter lebih besar berbanding pada versi sedan. Sekiranya tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya (boleh lipat dengan nisbah 40:20:40), ruang kargo keseluruhannya dapat diperbesarkan hingga 1,390 liter (1,295 liter untuk E-Hybrid), sekitar 50 liter lebih besar berbanding sedan.

    Panamera Sport Turismo ditawarkan dengan lima varian iaitu Panamera 4, Panamera 4S, Panamera 4S Diesel, Panamera Turbo, dan Panamera 4 E-Hybrid – kesemua varian ini menggunakan enjin yang sama pada versi sedan.

    Panamera 4 Sport Turismo menampilkan enjin 2.9 liter V6 turbo berkembar berkuasa 330 PS/450 Nm, manakala model Panamera 4S Sport Turismo dengan enjin yang sama diberi talaan untuk menghasilkan 440 PS/550 Nm.

    Porsche Panamera Sport Turismo – wagon berprestasi tinggi didedahkan sebelum muncul di Geneva 2017

    Bagi model diesel pula, Panamera 4S Diesel Sport Turismo dijana oleh enjin diesel 4.0 liter V8 dilengkapi dua unit pengecas turbo geometri bervariasi (VTG) menjana 422 PS pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 850 Nm bermula 1,000 hingga 3,250 rpm,

    Untuk varian tertinggi Panamera Turbo Sport Turismo, ia dijana enjin petrol V8 4.0 liter dengan turbo berkembar yang berkuasa 550 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 770 Nm dicapai antara 1,960 dan 4,500 rpm.

    Akhir sekali bagi model hibrid iaitu Panamera 4 E-Hybrid diberikan unit janakuasa hibrid plug-in, menggabungkan enjin 2.9 liter V6 dari varian Panamera 4, digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 136 PS/400 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 462 PS/700 Nm.

    Kesemua enjin ini dipadankan dengan kotak gear klac berkembar lapan-kelajuan PDK, mengalirkan kuasa ke keempat-empat roda dengan sistem pacuan semua roda aktif. Porsche masih lagi belum mengeluarkan data prestasi jentera ini, tetapi boleh dijangka ia hampir sama dengan versi sedan.

     
     
  • Honda Malaysia capai pegangan pasaran 19.2% pada Januari 2017 – tertinggi bagi operasi global

    Honda Malaysia capai pegangan pasaran 19.2% pada Januari 2017 – tertinggi bagi operasi global

    Turut diumumkan ketika majlis pelancaran Honda City 2017 hari ini ialah angka jualan kenderaan bagi bulan Januari-Februari 2017 oleh Honda Malaysia. Syarikat itu telah berjaya menjual sebanyak 16,287 unit keseluruhannya, dengan pecahan 8,594 unit pada bulan Januari dan 7,693 unit pada bulan Februari.

    Pencapaian ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tempoh sama tahun lalu, yang menyaksikan Honda Malaysia hanya berjaya menjual 11,360 unit (5,744 unit pada Jan dan 5,616 unit pada Feb). Honda juga menyatakan bahawa syarikat itu yakin dapat mencapai angka jualan sasaran 100,000 unit tahun ini.

    Januari 2017 juga menyaksikan Honda Malaysia mencapai tahap tertinggi diperingkat domestik dengan pegangan pasaran sebanyak 19.2%. Lebih menarik, peratusan itu adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan prestasi Honda di pasaran dan operasi globalnya yang lain.

    Syarikat itu mencatatkan jualan sebanyak 91,830 unit sepanjang tahun lalu, dengan pegangan pasaran domestik 15.8% – di kedudukan kedua pasaran dengan perkongsian pasaran tertinggi bagi operasi globalnya.

     
     
  • Honda BR-V – tempahan kini cecah angka 8,500 unit

    Honda BR-V – tempahan kini cecah angka 8,500 unit

    Pengguna di Malaysia nampaknya memberikan sambutan yang begitu hangat bagi model Honda BR-V. Honda Malaysia mengumumkan hari ini bahawa jumlah tempahan terhadap model itu kini mencecah angka 8,500 unit, setakat 2 Mac 2017.

    Angka terbaru ini, yang dikongsi ketika majlis pelancaran Honda City 2017 hari ini, menyaksikan peningkatan 1,500 unit berbanding angka terakhir yang dimaklumkan pada 16 Februari lalu, iaitu 7,000 unit tempahan. Sebelum itu, pada Januari, Honda Malaysia mendedahkan tempahan BR-V pada bulan Januari ialah 4,000 unit – dalam masa hanya tiga minggu selepas dilancarkan.

    BR-V ditawarkan dalam dua varian – E dan V – dengan harga masing-masing RM85,800 unit dan RM92,800 (atas jalan termasuk insurans). Kedua-duanya menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC (120 PS/145 Nm), dan padanan transmisi CVT Earth Dreams.

    Dengan tempahan yang semakin bertambah ini, Honda Malaysia menjangkakan akan selesai menyerahkan semua tempahan yang ada setakat ini menjelang April nanti, dan memohon maaf di atas kelewatan berkenaan. Ikuti laporan pandu uji kami di Thailand bersama BR-V, dan rujuk juga CarBase.my untuk perincian lanjut.

     
     
  • Haas VF-17 – jentera F1 baharu pasukan dari Amerika

    Haas VF-17 – jentera F1 baharu pasukan dari Amerika

    Pasukan Formula 1 dari Amerika Syarikat, Haas akan kembali musim ini dengan sebuah jentera baru – VF-17, yang akan dipandu oleh Romain Grosjean dan Kevin Magnussen. Dari segi luaran, ia hampir sama dengan jentera VF-16 yang digunakan pada musim lalu – tetapi dengan skim warna yang berbeza.

    Sebahagian besar jentera tahun ini menerima warna kelabu gelap sebagai warna utama, dengan padanan kemasan merah, hitam dan putih sebagai dekorasi tambahan. Seperti jentara F1 2017 yang lain, ia turut dilengkapi dengan sirip besar sebagai pakej aerodinamiknya.

    Haas VF-17 – jentera F1 baharu pasukan dari Amerika

    Ia turut mengikuti aturan baru perlumbaan ini; dengan ‘sayap’ depan dan belakang yang lebih besar, tayar lagi lebar adalah antara pembaharuan yang dilakukan untuk mendapatkan penampilan yang lebih agresif untuk musim baru tahun ini.

    Menjana kuasanya ialah enjin 062 binaan Ferrari – 1.6 liter turbo yang mampu mencapai tahap 15,000 rpm. Lagi peralatan yang dipinjam dari jenama Itali itu ialah sterengnya, transmisi serta instrumen kokpit. Dalam penampilan sulung pasukan Haas tahun lalu, pasukan itu mampu mendapatkan 29 mata – di kedudukan kelapan bagi Kejuaraan Dunia Pengeluar dan mendahului Renault, tetapi berada di belakang Toro Rosso-Ferrari.

     
     
  • MINI Seven Edition baharu kini di pasaran Malaysia – eksklusif hanya 30 unit, harga anggaran RM254k

    MINI Seven Edition baharu kini di pasaran Malaysia – eksklusif hanya 30 unit, harga anggaran RM254k

    MINI Malaysia telah memperkenalkan MINI Seven Edition Baharu, model reka bentuk pertama daripada generasi terkini MINI 5-pintu. Menjadi ekspresi kepada karekteristik premium dan gaya tersediri, MINI Seven Edition direka sebagai penghormatan kepada model asal Austin Seven.

    Kemasan cat yang diperoleh secara eksklusif jelas kontras dengan bumbung berwarna perak (Melting Silver) dan perumah cermin sisi MINI Seven Edition. Jalur pada bonet MINI Seven Edition baharu kemudian direka diharmonikan dengan warna bumbung dan perumah cermin sisi. Rim aloi ringan bersaiz 17-inci berwarna kelabu (Spectre Grey) daripada MINI Yours juga direka khas untuk reka bentuk model ini bersama rekaan dua-jejari.

    Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED. Malah ia juga ditampilkan dengan kekatup sisi yang dilekatkan dengan logo model ini. Dihasilkan daripada perkataan “Seven” dan nombor tujuh, logo MINI Seven juga boleh didapati pada kemasan ambang pintu di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

    MINI Seven Edition baharu kini di pasaran Malaysia – eksklusif hanya 30 unit, harga anggaran RM254k

    Bagi ruang kabinnya, ia menampilkan permukaan acuan tiga dimensi, kombinasi material dan warna berkualiti tinggi yang menyerlahkan paparan moden serta konsep operasinya. Fungsi dan ergonomik dioptimumkan oleh papan pemuka baharu pada kolum stereng dan butang kawalan yang berada di posisi baru.

    Malah ambien premium ruang kabin diserlahkan melalui pilihan warna dan material untuk tempat duduk dan permukaan ruang dalaman yang kemudiannya dipadankan secara harmoni. Kemasan itu termasuklah tempat duduk sports yang menggunakan fabrik/kulit bersama kemasan Diamond Malt Brown yang eksklusif.

    Warna Malt Brown juga merupakan elemen yang direka khas untuk model ini. Ia dapat disesuaikan dengan sempurna untuk warna-warna lain yang digunakan pada MINI Seven Edition baharu, seperti permukaan ruang kabin yang dipasang dengan kemasan Piano Black.

    MINI Seven Edition baharu kini di pasaran Malaysia – eksklusif hanya 30 unit, harga anggaran RM254k

    Satu lagi ciri reka bentuk model ini ialah stereng MINI Yours yang dibalut dengan kulit berkualiti tinggi “Walknappa” bersama jahitan tangan dan diperkuatkan dengan benang bersalut aluminium. Stereng menggunakan kemasan dengan corak union jack. Perehat tangan yang ergonomik itu boleh dilipat dalam pelbagai posisi bersama ruang penyimpanan barang bersepadu.

    Selain itu, ia juga dilengkapi dengan Navigation System Professional beresolusi tinggi bersaiz 8.8-inci, MINI Controller, Snap In Adapter iaitu fungsi pengecasan bersepadu untuk kebanyakan telefon pintar dan sistem bunyi Harmon Kardon HiFi bersama 12-pembesar suara.

    Ciri-ciri lain termasuklah MINI Seven Entry Strips dan MINI Seven Centre Instrument Ring Badging. MINI Seven turut menampilkan ciri Comfort Access dengan fungsi bukaan yang lebih mudah. Ini sekali gus membolehkan urusan membuka pintu, but dan menghidupkan enjin tanpa perlu menggunakan kunci kereta.

    MINI Seven Edition baharu dikuasakan oleh generasi enjin terkini bersama Teknologi MINI TwinPower Turbo. Ia dipadankan dengan transmisi yang dibangunkan dan Teknologi MINIMALISM ekstensif yang membantu mencapai keseimbangan di antara keseronokan memandu dan penjimatan bahan api luar biasa.

    MINI Seven Edition baharu kini di pasaran Malaysia – eksklusif hanya 30 unit, harga anggaran RM254k

    Enjin 2.0 liter empat-silinder ini mampu menghasilkan 192 hp dan tork puncak 280 Nm yang membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat. Biarpun begitu, penggunaan purata bahan api ialah 5.5 liter bagi setiap 100km. Ia dipadankan dengan transmisi sports Steptronic enam-kelajuan.

    Mod Pemanduan MINI diaktifkan melalui satu suis rotari di bahagian bawah tuil gear. Sebagai tambahan kepada mode MID standard, terdapat juga pilihan mode SPORT dan GREEN. Mod-mod itu akan mempengaruhi lengkok karekter pendikit, stereng dan penukaran kotak gear Steptronic.

    Rangkaian ciri keselamatan dan sistem bantuan pemandu moden termasuklah Dynamic Stability Control dengan Dynamic Traction Control dan Electronic Differential Lock Control. MINI Seven Edition baharu juga dilengkapi Performance Control, satu sistem yang menghalang sebarang masalah understeer sebelum ia berlaku.

    MINI Seven Edition baharu hadir bersama jaminan perbatuan tanpa had selama empat-tahun dan servis berjadual secara percuma. Harga anggaran jentera ini (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans) ialah RM253,888.

     
     
  • Pemandu teksi Johor Bahru-Singapura desak SPAD selaraskan tambang sama seperti Singapura-JB

    Pemandu teksi Johor Bahru-Singapura desak SPAD selaraskan tambang sama seperti Singapura-JB

    Tidak tahan dengan pelbagai kos operasi yang kini terpaksa ditanggung, Terminal Teksi Johor Bahru-Singapura meminta kerajaan mempertimbangkan kadar tambang SGD$12 (RM38) untuk setiap penumpang dari Terminal Pengangkutan Awam Larkin ke Perhentian Teksi Singapura-Johor di Rochor, Singapura, menurut laporan Sinar Harian.

    Menurut Pengerusinya, Muhamad Najib Abd Rahman, kadar baharu menggunakan mata wang negara itu sepatutnya bermula semalam, bagaimanapun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Beliau juga menyatakan, pihaknya sudah dua kali mengemukakan memorandum kepada SPAD supaya harga tambang berkenaan diselaraskan dengan tambang teksi dari Singapura ke Johor Bahru iaitu SGD$12 namun masih tidak dibenarkan berbuat demikian.

    Najib menjelaskan setiap penumpang dari Rochor ke Johor Bahru dikenakan kadar SGD$12 seorang sejak dua tahun lalu, manakala dari Johor Bahru ke Rochor tambangnya RM20 seorang sejak lima tahun lalu dan harga itu tidak sesuai lagi dengan keadaan sekarang.

    “Jadi, kami mahu kadar tambang kedua-dua perjalanan diselaraskan,” katanya dan menegaskan kadar tambang baharu dikenakan itu bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya adalah mahu menampung kos operasi mereka termasuk membayar pelbagai caj semasa berada di Singapura.

    “Sebagai contoh, setiap kali masuk Singapura perlu membayar tol SGD$3.30 (RM10.45), bayaran elektronik lalu lintas (ERP) SGD$4 (12.65) dan bayaran parkir di Rochor SGD$5.70 (RM18.03),” jelas Najib dan menambah kadar tambang baharu ini juga pada masa yang sama juga dapat menanggung kenaikan harga minyak dan kos penyelenggaraan kenderaan.

    Menurut beliau lagi, terminal berkenaan mampu memberikan perkhidmatan teksi ke Singapura sebanyak 200 perjalanan dalam masa 24 jam. Ia melibatkan antara 800 hingga 1,000 penumpang yang mana majoritinya adalah rakyat republik berkenaan.

    Seorang pemandu teksi Johor Bahru-Singapura, Wahab Hashim, 57 pula berkata, ketika ini dengan caj RM20 dari Johor Bahru ke Rochor untuk setiap penumpang atau RM120 untuk harga carter sebuah teksi tidak dapat menampung kos operasi mereka. Lebih teruk, mereka juga terpaksa bersaing dengan teksi sapu dan uber selain terpaksa menunggu hingga empat jam untuk mendapatkan cukup penumpang ke Singapura.

    “Apabila sudah menghantar penumpang di Singapura, kami juga terpaksa menunggu sehingga 12 jam ke atas untuk mendapatkan penumpang ke Johor Bahru. Jika tidak, kos operasi tidak dapat ditampung dan kami terpaksa melakukan tindakan sedemikian,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026