Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Nissan jalankan demonstrasi sebenar sistem pemanduan automatik pada jalan raya awam di Eropah

    Nissan jalankan demonstrasi sebenar sistem pemanduan automatik pada jalan raya awam di Eropah

    Mengotakan apa yang telah dinyatakan sebelum ini, Nissan telah menjalankan demonstrasi teknologi pemanduan automatiknya pada jalan raya awam di Eropah buat pertama kali. Demo berkenaan telah dijalankan di timur London setelah sebelum ini demo yang sama diadakan pada jalan raya awam di Jepun dan Amerika Syarikat.

    Kenderaan yang menggunakan teknologi ini dilengkapi dengan radar gelombang dengan ketepatan milimeter, pengimbas laser, kamera, cip komputer berkelajuan tinggi, Human Machine Interface istmewa serta banyak lagi kelengkapan lain. Peserta yang menyertai demo ini bakal menyaksikan sendiri teknologi ini berfungsi dari tempat duduk penumpang di dalam kereta.

    Teknologi berkenaan membolehkan kenderaan tersebut bergerak sendiri tanpa bantuan pemandu pada lebuhraya dan juga jalan bandar, termasuk bulatan. Ia akan bergerak sendiri ke destinasi setelah ditetapkan pada sistem navigasi.

    Nissan jalankan demonstrasi sebenar sistem pemanduan automatik pada jalan raya awam di Eropah

    Ujian di London ini adalah susulan dari pengumuman bahawa Qashqai dan Leaf generasi baharu yang bakal dilancarkan pada masa hadapan bakal diberikan teknologi pemanduan sendiri ProPILOT dari Nissan yang mampu bergerak sendiri pada satu lorong di lebuh raya. Ianya merupakan langkah pertama Nissan dari empat peringkat yang dirangka untuk teknologi pemanduan sendiri mereka.

    Nissan juga telah melancarkan MPV Serena generasi kelima di Jepun pada Julai tahun lalu, dan merupakan model pertama dilengkapi sistem ProPILOT. Setelah itu, ProPILOT telah memenangi Japan Car of the Year Innovation Award untuk tahun 2016-2017.

    Jenama dari Jepun ini juga merancang untuk melebarkan teknologinya pada lebih banyak model di Eropah, Jepun, China dan Amerika, dengan 10 model akan dilancarkan pada 2020 oleh Pakatan Renault Nissan. Teknologi pemanduan automatik pada pelbagai lorong bakal membolehkan sistem ini memotong kenderaan hadapan secara automatik dan ia dirancang untuk diperkenalkan pada tahun 2018, manakala teknologi pemanduan sendiri sepenuhnya pada jalan raya moden dan pada persimpangan disasarkan akan diperkenalkan pada 2020.

     
     
  • Fasa kedua Jalan Anak Kurau-Kamunting, Perak, dijangka siap pada Nov 2019 – kos hampir RM90j

    Fasa kedua Jalan Anak Kurau-Kamunting, Perak, dijangka siap pada Nov 2019 – kos hampir RM90j

    Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengesahkan fasa kedua projek jalan raya menghubungkan Jalan Anak Kurau-Kamunting akan bermula November ini. Ia melibatkan kos pembinaan hampir RM90 juta dan dijangka siap pada November 2019.

    Katanya lagi, projek jalan raya sejauh 6.4 kilometer itu akan melibatkan dua pembinaan jambatan yang masing-masing terletak di Sungai Kuning dan Sungai Patin, laporan Bernama.

    Fasa pertama projek berkenaan membabitkan Jalan Anak Kurau ke Bukit Jana sejauh 2.5km telah pun siap pada 2013 dengan kos RM9 juta.

    “Tempoh perjalanan penduduk ke Kamunting juga dapat disingkatkan kepada 10 minit (8.9km) sahaja berbanding 45 minit (22km) ketika ini apabila Jalan Anak Kurau-Kamunting siap kelak,” katanya kepada pihak pemberita.

    Menurut beliau, kerja-kerja memulakan fasa kedua bermula agak lewat kerana pelan perlu dirangka dengan teliti kerana keadaan jalan itu yang melalui gaung dan bukit.

    Mohammad Zahir berkata projek jalan raya ini juga merupakan sebahagian daripada rancangan pelan ‘Greater Kamunting’ di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang akan dapat memberikan impak menyeluruh serta manfaat secara terus kepada penduduk di kawasan Bukit Jana, Kamunting malah di seluruh Perak Utara.

    Katanya, projek ini juga akan manjadi satu daripada pemangkin katalis kepada pembangunan di Perak Utara terutama di Semenanjung Malaysia dan negara.

     
     
  • BMW 1 Series sedan dihasilkan eksklusif untuk China

    BMW 1 Series sedan dihasilkan eksklusif untuk China

    China merupakan pasaran yang sangat luas dalam industri automotif. Ini membolehkan kebanyakkan pengeluar automotif menunaikan apa sahaja permintaan pelanggan pasaran tersebut kerana ianya pasti memberikan keuntungan. Model yang anda lihat ini merupakan model BMW 1 Series yang dihasilkan dalam bentuk sedan (hatchback untuk pasaran lain termasuk Malaysia), yang bina khas untuk China, atas permintaan pasaran republik tersebut.

    “Kami menjual lebih dari setengah juta kereta di China tahun lalu, dan ini merupakan pasaran terbesar kami, terus menawarkan potensi besar. Pelanggan kami di China meminta model yang lebih kecil bagi memenuhi penggunaan tertentu mereka dan kami berusaha keras bersama rakan kami di sini untuk memastikan kereta ini bukan hanya memenuhi malah melangkaui kemahuan tersebut,” kata Ian Robertson, ahli lembaga pengurusan BMW yang bertanggungjawab untuk jualan dan pemasaran.

    BMW 1 Series sedan merupakan sedan paling kecil dalam barisan model BMW. Walaupun dibuat khas untuk pasaran China sahaja, ia telah dibina di Munich dengan sokongan jurutera dari China. Semasa pembangunannya, 1 Series sedan turut diuji di Nurburgring serta ujian luas merangkumi aspek cuaca dan jalan raya yang boleh dijumpai di China, bagi memastikan ia memberikan prestasi terbaik pada pasaran yang bakal diterjah masuk. Walau bagaimanapun F52 1 Series ini diproduksi di kilang Tiexi usahasama BMW dan Brilliance di Shenyang.

    Dimensi model ini diukur dengan 4,456 mm panjang, 1,803 mm lebar dan 1,446 mm tinggi serta jarak roda 2,670 mm. Berbanding dengan versi hatchback, sedan ini 132 mm lebih panjang, 38 mm lebih lebar dan 33 mm lebih tinggi. Kabin bahagian depan diambil terus dari hatchback, tetapi tempat duduk belakangnya direka semula di mana kontur pada perehat belakang dan juga upholsteri menawarkan lebih keselesaan, dakwa BMW.

    Tiga enjin turbo berbeza ditawarkan untuk model ini. Varian paling rendah 118i dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder berkuasa 136 hp dan tork maksima 220 Nm bermula 1,250 rpm. Dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan automatik, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 212 km/j.

    Varian pertengahan 120i pula dijana enjin 2.0 liter empat-silinder berkuasa 192 hp/280 Nm. Diberikan kotak gear lapan-kelajuan automatik, pecutan 0-100 km/j dicatatkan pada 7.5 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum 235 km/j. Varian paling tinggi pada sedan pacuan hadapan ini adalah model 125i, berkuasa 231 hp/350 Nm. Pecutan 0-100 km/j dicatatkan pada 6.8 saat manakala kelajuan maksima dicatat pada 250 km/j.

    Keselesaan merupakan aspek yang penting untuk model keluaran China. Menurut BMW, suspensi 1 Series sedan ini direka bagi memastikan penumpang mendapat keselesaan yang paling optimum pada semua keadaan permukaan jalan. Turut menyumbang untuk aspek ini termasuk panel penuh pada bahagian bawah badan serta tayar dengan kadar rintangan golekan yang rendah. Model 118i diberikan rim 16- dan 17-inci, manakala model dengan enjin 2.0 liter diberikan roda aloi 18-inci.

    Antara ciri unik lain pada model khas pasaran China ini adalah pada sistem pemanas/aliran udaranya, menampilkan “fungsi tapisan udara yang sangat efektif” bagi menapis udara kotor pada negara berkenaan.

    Pembeli ditawarkan dengan tiga pilihan kemasan iaitu Basic, Luxury line dan Sport Line. Ia turut ditawarkan secara opsyen dengan sistem bantuan pemanduan termasuk Amaran Pelanggaran dan sistem brek kecemasan automatik City Brake serta Bantuan Parkir. Ia turut ditawarkan dengan sistem BMW Connected bersama Open Mobility Cloud bagi membolehkan hubungan antara telefon pintar, tablet atau jam pintar dengan kereta.

     
     
  • Puspakom tidak menjual pelekat pemantul cahaya

    Puspakom tidak menjual pelekat pemantul cahaya

    Baru-baru ini, terdapat kekeliruan mengenai fakta berhubung pelekat pemantul cahaya untuk kenderaan perdagangan berat dengan BDM 3,500kg ke atas yang semakin tular di media. Di mana ramai pengusaha syarikat logistik dan pemilik lori mendakwa bekalan pelekat tersebut sukar diperolehi dan hanya boleh didapati di kaunter sebuah agensi sahaja.

    Sehubungan itu, Puspakom telah mengeluarkan kenyataan media bagi menjelaskan keadaan yang sebenar, sekaligus mengelakkan kekeliruan ini bertambah sulit.

    Menganggap isu ini telah menyebabkan imej Puspakom tercalar, agensi terbabit ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak terperdaya dengan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mempengaruhi harga pelekat pemantul cahaya dan cuba memutarbelitkan fakta mengenai pemasangan dan penjualan pelekat pemantul cahaya ini.

    Puspakom tidak menjual pelekat pemantul cahaya

    “Puspakom ingin menegaskan di sini bahawa, pihak kami tidak menjual pelekat pemantul cahaya tetapi hanya menyediakan ruang di beberapa pusat pemeriksaan Puspakom untuk aksesori ini dijual kepada pelanggan kami. Dua pengeluar, iaitu 3M Malaysia dan Orafol Reflective Solutions telah diberikan ruang tersebut, kerana pelekat pemantul cahaya mereka menepati standard SIRIM MS 828:2011. Ruang ini diberikan kepada mereka demi kemudahan pelanggan Puspakom,” ujar kenyataan terbabit.

    Puspakom turut menambah pihaknya tidak pernah mengiktiraf mana-mana pengeluar pemantul cahaya kerana ia adalah di luar bidang kuasa mereka. Di mana Pengiktirafan ini diberi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada bulan Oktober 2016, atas dasar produk mereka menepati pensijilan MS 828:2011 daripada SIRIM.

    Bagi pengusaha syarikat logistik dan pemilik lori yang ingin membeli pelekat keluaran sama ada 3M Malaysia atau Orafol Reflective Solutions, ia boleh dibeli di mana-mana pengedar mereka. Walau bagaimana pun, kaunter-kaunter jualan pelekat pemantul cahaya dua pengeluar tersebut turut ditempatkan di Puspakom sebagai inisiatif untuk memudahkan orang ramai mendapatkannya.

    Puspakom tidak menjual pelekat pemantul cahaya

    Dalam masa yang sama, Puspakom turut menegaskan 3M Malaysia dan Orafol Reflective Solutions menetapkan harga jualan pelekat pemantul cahaya mereka. Justeru, Puspakom tidak terlibat dalam penentuan harga, cara promosi atau taktik pemasaran mereka dan tidak mengambil komisen ataupun margin daripada penjualan produk tersebut.

    Menurut Puspakom lagi, pihaknya hanya mempunyai mandat memeriksa pelekat pemantul cahaya yang dipasang pada kenderaan komersil, berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh JPJ. Garis panduan piawaian reflektor boleh didapati di laman web Puspakom di www.puspakom.com.my.

    Mulai 1 Januari lalu, semua kenderaan perdagangan berat dengan BDM 3,500kg ke atas telah diwajibkan untuk memasang pelekat pemantul cahaya (reflektor) yang mempunyai standard SIRIM MS 828:2011 oleh Kementerian Pengangkutan. Di mana kenderaan terbabit diwajibkan memasang reflektor yang perlu dilekatkan pada side marking kiri dan kanan, serta di belakang kenderaan. Manakala untuk van dan bas pula, reflektor tersebut hanya perlu dipasang di bahagian belakang kenderaan sahaja.

     
     
  • UMW Toyota Motor memperkenalkan Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah sebagai pengerusi baharu

    UMW Toyota Motor memperkenalkan Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah sebagai pengerusi baharu

    Selepas mengumumkan perlantikan Ravindran Kurusamy sebagai presiden baharu pada hujung Disember lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) telah memperkenalkan pula pengerusi baharunya iaitu Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

    Dengan memiliki pengalaman lebih dari 30 tahun dalam bidang pengurusan unit amanah, pelaburan dan kewangan korporat, beliau pernah menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai Presiden kumpulan dan CEO.

    Menurut Akio Takeyama, Timbalan Pengerusi UMWT, pihaknya sangat berkeyakinan terhadap kredibiliti Pengerusi baharu syarikat ini dan mampu menerajui kepimpinan pengurusan sedia ada.

    “Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah dan Ravindran memiliki pengalaman yang luas dalam industri ini dan kami yakin mereka berdua mampu memimpin pasukan pengurusan dengan idea dan pendekatan baharu yang berkeupayaan memberikan lebih faedah terhadap syarikat,” ujarnya sewaktu majlis memperkenalkan kedua-dua pemimpin baharu UMWT berkenaan.

    Dalam masa yang sama, Akio mewakili pihak pengurusan UMWT turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat pengerusi terdahulu Tan Sri Asmat Kamaludin di atas sumbangan beliau sepanjang menerajui syarikat ini. Tan Sri Asmat telah menyertai UMW Group dan UMWT sejak tahun 2001 selepas bersara dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Begitu juga dengan Datuk Ismet Suki yang pernah memegang jawatan sebagai Presiden UMWT sebelum ini, “Datuk Ismet memiliki banyak perancangan yang terbaik untuk syarikat, malah turut menyumbangkan pelbagai idea yang bernas bagi memantapkan lagi kedudukan UMWT,” ujar Akio lagi.

    Turut hadir sama dalam majlis memperkenalkan kedua-dua pemimpian baharu UMWT dan penghargaan buat pemimpin sebelumnya ialah Hiroyuki Fukui, Pegawai Pengurusan Toyota Motor Corporation (TMC), Badrul Feisal Abdul Rahim, Presiden & CEO Kumpulan UMW Holdings Bhd serta tetamu-tetamu lain dari TMC, Toyota Motor Asia Pacific, wakil-wakil Toyota dari Rantau Asia Pasifik, wakil Kedutaan Jepun, dan rakan kongsi lain.

     
     
  • Transmisi Klac Berkembar (DCT) lapan-kelajuan baharu rekaan Porsche dan ZF didedahkan

    Transmisi Klac Berkembar (DCT) lapan-kelajuan baharu rekaan Porsche dan ZF didedahkan

    Pembuat transmisi dari Jerman – ZF – kini telah mendedahkan kotak gear klac berkembar (DCT) automatik lapan-kelajuan baharu yang dibina bersama Porsche untuk kegunaan model pacuan belakang dan pacuan semua roda. Transmisi baharu ini diproduksi oleh ZF di kilang Brandenburg, Jerman, dan mula digunakan pada model Panamera baharu.

    Transmisi DCT baharu yang digelar ‘Modular Hybrid Transmision Kit’, menawarkan penukaran gear yang lebih pantas berbanding transmisi sebelum ini, berpotensi untuk ekonomi yang lebih baik, dengan pemadanan sistem elektrik yang lebih bagus.

    Set gear pada transmisi baharu ini boleh memuatkan modul hibrid bersepadu 100 kW tanpa memanjangkan lagi dimensi kotak gear ini. Ia juga mampu menahan tork siling sehingga 1000 Nm. Reka bentuk kotak gear ini juga membolehkan sistem pacuan semua roda dipadankan, dengan memacu gandar hadapan menerusi klac ‘hang on‘ basah pelbagai lapis

    Transmisi Klac Berkembar (DCT) lapan-kelajuan baharu rekaan Porsche dan ZF didedahkan

    Dengan nisbah gear yang lebih lebar dengan tamabahan dua gear overdrive, kehilangan kuasa dapat dikurangkan sehingga 28%, yang turut dibantu sistem pelinciran yang berfungsi hanya ketika diperlukan, serta unit pengurusan transmisi baharu yang diletakkan pada bahagian luar.

    Kotak gear yang dibina untuk bentangan menegak ini dihasilkan dengan empat varian (standard, pacuan semua roda, hibrid dan hibrid semua roda), dalam tiga kelas tork berbeza, dengan maksimum 1000 Nm. Asas transmisi dan set gear untuk semua varian adalah sama, di mana kelas tork dibezakan dengan konfigurasi modul klac-berkembar yang pelbagai.

    Bagi membolehkan transmisi ini dihasilkan dengan saiz paling kompak, dua syaf lawan (countershaft) dan satu syaf bersepadu dibina. Gear kekal yang ditempatkan pada syaf input, boleh digunakan pada berberapa situasi, membolehkan ia dibina lebih pendek secara keseluruhan.

    Transmisi Klac Berkembar (DCT) lapan-kelajuan baharu rekaan Porsche dan ZF didedahkan

    Rekabentuk set gear baharu ini juga menawarkan kelebihan lain. Berdasarkan dari konsep modular, ia bukan sahaja sesuai untuk penggunaan pada bentangan secara menegak, tetapi juga mampu dipadankan pada konfigurasi pacuan lain. ZF turut membina modul hibrid untuk varian opsyen, termasuk penyerap kilas, klac berasingan bersama actuator serta motor elektrik. Ia boleh padankan terus pada perumah klac.

    Kesemua peralatan tambahan ini langsung tidak melibatkan tambahan dimensi. Dengan kuasa puncak 100 kW, kuasa berterusan 55 kW dan tork 400 Nm, kenderaan yang dilengkapi transmisi ini mampu mencapai kelajuan 140 km/j dengan hanya menggunakan elektrik. Unit jankuasa ini turut boleh mengadapatasi fungsi hibrid lain, dari caj semula tenaga hingga ke mod boost.

     
     
  • Volkswagen Sg Besi dilancarkan secara rasmi

    Volkswagen Sg Besi dilancarkan secara rasmi

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) bersama Wearnes Automotive telah melancarkan pusat sehenti terbaharunya, Volkswagen Sg Besi. Ia telah beroperasi sejak tiga bulan lalu, mampu memenuhi segala keperluan para pemilik kenderaan Volkswagen termasuk dari segi aspek selepas jualan, servis, penyelenggaraan, alat ganti, badan dan cat, penjajaran, tayar serta servis pendingin hawa.

    Volkswagen Sg Besi ini berkeluasan lebih 75,181 kaki persegi dengan bangunan setinggi dua tingkat, yang terdiri daripada ruang pameran yang boleh menempatkan sehingga sembilan buah kenderaan, selain pelbagai kemudahan selepas jualan. Dengan pelaburan sebanyak RM6 juta, ia juga menempatkan ruang pameran yang boleh mempamerkan sehingga sembilan buah kenderaan, selain pelbagai kemudahan selepas jualan.

    Malah terdapat 34 ruang penyelenggaraan yang dikendalikan oleh 34 orang juruteknik bertauliah dan berpengalaman bagi memenuhi apa jua keperluan pelanggan. Bukan itu sahaja, semua peralatan dan kelengkapan selepas jualan turut telah dinaiktaraf. Demi kemudahan pelanggan, ruang parkir bertutup juga telah ditambah. Ruang menunggu moden yang lengkap dengan TV kabel dan Wi-Fi turut disediakan.

    Waktu operasi bagi bilik pameran di Volkswagen Sg Besi ialah setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 7 malam, manakala Sabtu pula sehingga jam 6 petang, manakala Ahad dan cuti umum bermula 10 pagi hingga 5 petang. Bagi perkhidmatan servis dan selepas jualan pula, dari Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 8 malam, 8.30 pagi hingga 5 petang (setiap Sabtu) tetapi ditutup pada Ahad dan cuti umum. Manakala perkhidmatan badan dan cat pula, operasi bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat, manakala pada hari Sabtu pula, waktu operasinya hanya sehingga 5 petang dan tutup pada setiap Ahad serta cuti umum.

     
     
  • Hyundai sebar lakaran pertama rekaan Sonata 2018

    Hyundai sebar lakaran pertama rekaan Sonata 2018

    Laman Facebook rasmi Hyundai telah menyiarkan lakaran rekaan pertama bagi Sonata 2018. Model facelift ini telah pun dikesan diuji beberapa kali dan dikatakan telah bersedia untuk diperkenalkan pada tahun ini. Lakaran rekaan yang disebarkan ini menunjukkan versi biasa dan sporty di samping dua generasi sebelumnya.

    Seperti yang dijangka, Sonata 2018 ini menampilkan rekaan yang lebih agresif, tetapi garisan tajamnya mungkin digantikan dengan bentuk yang lebih konservatif bagi versi produksi. Manakala sistem ekzos segiempat pada model sporty mungkin dikekalkan seperti Sonata sedia ada bersama enjin 1.6 dan 2.0 turbo dengan bentangan ekzos yang sama.

    Pada bahagian hadapannya, Hyundai memberikan Sonata 2018 ini gril radiator “cascading”, disambung pada lampu utama yang lebih berkilat berbanding model semasa. Seperti model i30 generasi terkini, sedan yang diperbaharui ini turut didatangkan dengan lampu nyalaan siang LED yang disambungkan pada bampar.

    Hyundai sebar lakaran pertama rekaan Sonata 2018

    Buat masa ini, enjin yang paling berkuasa bagi barisan Sonata ialah 2.0 liter turbo, yang memberikan output sehingga 245 hp, dengan kuasa yang disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik tujuh-kelajuan bersama dua klac.

    Terdapat laporan sebelumini yang menyebut, kemungkinan unit tersebut akan digantikan dengan penjana kuasa 2.0 turbo yang bagaru yang digunakan pada model i30 N. Ia didakwa mampu menghasilkan kuasa sekurang-kurangnya 260 hp, menjadikan Sonata 2.0T lebih pantas.

    Walau bagaimana pun, untuk perincian yang lebih sahih, kena nantikan pengumuman dari Hyundai sendir, namun ada juga yang menyatakan Sonata 2018 bakal dipertontonkan buat pertama kalinya di New York Auto Show pada April ini.

     
     
  • Volvo siar lagi teaser XC60 – tunjuk lampu belakang

    Volvo siar lagi teaser XC60 – tunjuk lampu belakang

    Menjelang pendedahan sepenuhnya pada Geneva Motor Show 7 Mac ini, Volvo menyiarkan lagi imej teaser tambahan bagi model SUV terbaharunya iaitu XC60. Untuk kali ini, Volvo menunjukkan lampu belakang LED sepenuhnya dan juga close-up pada logo Iron Mark pada logo hadapan model baharu ini.

    Berbanding lampu belakang XC90 yang hanya direka secara menegak, lampu belakang XC60 ini nampaknya turut bersambung pada pintu tailgate, seperti rekaan wagon V90.

    Sebelum ini, pembuat kereta dari Sweden ini telah pun menyiarkan gambar jarak dekat lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang “Tukul Thor”, gril keseluruhan yang diapit lampu utama, dan juga imej sisi keseluruhan tetapi diselubungi kain.

    Volvo siar lagi teaser XC60 – tunjuk lampu belakang

    XC60 generasi baharu ini turut diibina berdasarkan platform Scalable Product Architecture (SPA) sama seperti XC90. Platform yang boleh diubah skala berkenaan bakal memberikan saiz XC60 yang sedikit kecil berbanding XC90, tetapi lebih besar dari model terdahulu.

    SUV generasi baharu ini dijangka bakal dijana oleh enjin petrol dan diesel dengan kapasiti 2.0 liter. Unit janakuasa hibrid T5 Twin Engine 1.5 liter tiga-silinder juga mungkin bakal ditawarkan.

    Selain dari XC60, sebelum ini Volvo turut mengumumkan bakal memperkenalkan SUV lebih kecil iaitu XC40, untuk melengkapkan barisan SUV mereka. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, teruskan mengikuti kami sehingga Volvo mendedahkannya pada Geneva Motor Show 2017 nanti.

    GALERI: Imej spyshot Volvo XC60

     
     
  • Polis nafi tutup jalan kononnya Jong-un akan ke HKL

    Polis nafi tutup jalan kononnya Jong-un akan ke HKL

    Polis menafikan mesej suara (voice note) yang tersebar menerusi WhatsApp yang mendakwa beberapa jalan dan lebuhraya utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup kononnya Presiden Korea Utara Kim Jong-un akan tiba ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Nota suara berdurasi satu minit empat saat itu mendakwa laluan daripada Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur ditutup sepenuhnya. Begitu juga dengan Lebuhraya Maju (MEX) dari Seri Kembangan turun ke Kuchai Lama terus ditutup. Malah ia mendakwa jalan di sepanjang Seri Kembangan hingga Kuchai Lama menuju Lebuhraya Maju (MEX) juga ditutup dan menyebabkan kesesakan teruk di Seri Kembangan dan Seri Serdang.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya pasti akan membuat hebahan media jika terdapat sebarang penutupan jalan, laporan The Star.

    “Jika kita hendak menutup sebarang laluan untuk apa juga acara, perkara itu akan terlebih dulu dimaklumkan kepada orang ramai menerusi hebahan media beberapa hari sebelum acara itu serta mencadangkan laluan alternatif. Ini kerana tidak adil kepada pengguna jalan raya sekiranya kita tiba-tiba menutup laluan tanpa pemberitahuan awal. Apa yang disebarkan itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

    Menurut Mohd Nadzri, orang ramai diminta jangan mudah percaya dengan perkara yang viral seperti itu dan boleh merujuk dengan pihak polis atau polis trafik untuk kepastian.

     
     
  • Proton perlukan rakan kongsi untuk terokai teknologi baharu dan meraih pasaran lebih luas – Najib

    Proton perlukan rakan kongsi untuk terokai teknologi baharu dan meraih pasaran lebih luas – Najib

    Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) telah meluahkan pendapat peribadinya sendiri mengenai situasi yang sedang dilalui oleh Proton. Ia berhubung dengan pencarian rakan kongsi asing, di mana terdapat dua pengeluar kenderaan besar dunia iaitu Geely dari China dan PSA Group dari Perancis berminat untuk membida.

    Malahan Tun M yang juga bekas pengerusi Proton tidak bersetuju dengan idea pencarian rakan kongsi ini, malah turut menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam situasi sukar yang dihadapi Proton ini.

    Ekoran kenyataan yang dilemparkan itu, Najib telah mempertahankan cadangan kerajaan untuk Proton mempunyai rakan kongsi asing ini. Biar pun harus mempunyai rakan kongsi, namun ini tidak bermakna Proton akan dijual kepada pihak asing, ujarnya, menerusi laporan The Star.

    “Tujuan Proton memerlukan rakan kongsi asing ini adalah untuk menerokai teknologi baharu dan meraih pasaran yang lebih luas. Apabila jumlah jualan lebih meluas, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Pekan dan Tanjung Malim. Malahan rakyat kita juga menerima faedahnya,” ujar Najib yang ditemui pihak media sewaktu majlis Negaraku: Komuniti 1Malaysia baru-baru ini.

    Tambahnya lagi, “Kita tidak melayan sebarang berita penuh emosi dan palsu. Tapi apa yang kita lakukan ini adalah yang terbaik untuk masyarakat kita.” Beliau turut berkata, bekas pemimpin itu telah melakukan banyak kesilapan ketika mengendalikan Proton. “Saya tidak mahu berkata mengenai perkara ini, tetapi kita akan memperbaikinya,” ujarnya lagi.

     
     
  • Bas elektrik pertama akan beroperasi di Taiping Okt ini

    Bas elektrik pertama akan beroperasi di Taiping Okt ini

    Contoh bas elektrik

    Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bakal menjadi pihak berkuasa tempatan pertama di negara ini menggunakan bas elektrik yang dijangka beroperasi mulai Oktober ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, sebuah bas elektrik yang bernilai RM1.8 juta sumbangan Kerajaan Jepun itu akan beroperasi di sekitar bandar Taiping ke kawasan laluan Jejak Warisan di sini sejauh 11.5 kilometer, laporan Bernama.

    Katanya lagi, bas tersebut menggunakan teknologi hijau mesra alam sekitar itu boleh memuatkan 60 orang penumpang.

    “Bas berkenaan akan menjadi ikon dalam usaha menarik kemasukan pelancong ke bandar ini. Kadar tambang bas tersebut akan ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Darat Malaysia (SPAD) nanti,” katanya dalam sidang media selepas majlis Penyerahan Perjanjian Persefahaman bas berkenaan antara MPT, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan PUES Corporation Japan baru-baru ini.

    Tambah Mohamad Zahir, dua buah stesen iaitu di Zoo Taiping & Night Safari dan MPT akan menjadi stesen pengecas elektrik bas berkenaan.

     
     
  • Kawasaki Ninja 650 ABS – harga disahkan RM37,189

    Kawasaki Ninja 650 ABS – harga disahkan RM37,189

    Setelah pengesahan harga oleh Kawasaki Malaysia bagi model Z650 minggu lalu, kini tiba pula giliran model versi fairing bagi jentera berkenaan, iaitu Kawasaki Ninja 650 ABS 2017 yang disahkan akan dijual pada harga RM37,189 termasuk GST. Turut diumumkan ialah harga bagi versi Special Edition model berkenaan, yang dijual pada harga RM38,189 juga termasuk GST.

    Ia menggunakan enjin yang sama, 649 cc berkembar selari dengan sejukan cecair yang menghasilkan 67.3 hp pada 8,000 rpm dan 65.7 Nm tork pada 6,500 rpm. Ninja 650 menjadi penawaran jentera supersport kelas pertengahan oleh pengeluarnya.

    Antara lain, sama seperti model Z650, ia dilengkapi dengan brek ABS Bosch 9.1M sebagai penawaran standard. Ketinggian tempat duduknya yang agak rendah, dengan jarak 790 mm membolehkan ia ditunggang dengan selesa tidak kira tinggi fizikal penunggang.

    Model ini dilengkapi dengan kapasiti tangki petrol 15 liter, dengan berat keseluruhan 193 kg. Menggunakan kerangka trellis, jarak antara rodanya ialah 1,410 mm; menjadikan tunggangan lebih mantap dan responsif.

    Bagi versi Special Edition, dengan tambahan RM1,000 berbanding versi biasanya, ia akan dilengkapi dengan pelapik tempat duduk, penghadang angin gelap, pelindung radiator dan jalur pada rim. Pilihan warna pula terdiri daripada Candy Burnt Orange bagi model biasa, sementara versi Special Edition datang dengan warna Kawasaki Green.

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class Cabriolet – bumbung dibuka

    Mercedes-Benz telah mengeluarkan satu teaser untuk E-Class Cabriolet terbaru, sebelum penampilan rasmi di Geneva, yang menunjukkan pergerakan membuka bumbung fabriknya. Seperti juga model coupe yang baru dilancarkan, modl cabriolet ini dijangka menggunakan barisan enjin yang sama termasuk petrol dan diesel, serta model prestasi tinggi AMG – pertama kali untuk E-Class dua pintu.

    Bumbung fabrik E-Class Cabriolet dikatakan boleh dibuka dan masuk ke bahagian simpanan di belakang dalam masa 20 saat sahaja, dan apabila terdedah sebegitu, pengguna akan disediakan dengan pemanas tengkuk Airscarf dan sistem penghadang angin Aircap.

    Mercedes-Benz E-Class Cabriolet – bumbung dibuka

    Apabila tampil buat pertama kali nanti, E-Class Cabriolet ini akan melengkapkan barisan kenderaan E-Class baru, sebagai tambahan kepada model sedan, sedan long-wheelbase, wagon, All-Terrain dan coupe yang sudah dilancarkan.

    Pada tahun lepas di Jerman, Mercedes-Benz terlibat dalam konflik hak paten sistem Airscarf, yang menyaksikan sistem itu tidak lagi digunakan dan segala bahan pemasaran berkenaannya ditarik semula. Kekangan ini berakhir Disember lalu, dan bermakna, Airscarf kini boleh digunakan kembali oleh Mercedes-Benz.

     
     
  • Pemilik-pemilik lori anggap harga pelekat pemantul cahaya tidak munasabah, sukar diperolehi – laporan

    Pemilik-pemilik lori anggap harga pelekat pemantul cahaya tidak munasabah, sukar diperolehi – laporan

    Mulai 1 Januari lalu, semua kenderaan perdagangan berat dengan BDM 3,500kg ke atas telah diwajibkan untuk memasang pelekat pemantul cahaya (reflektor) yang mempunyai standard SIRIM MS 828:2011 oleh Kementerian Pengangkutan. Namun, kini sebahagian pengusaha syarikat logistik dan pemilik lori di Johor Bahru mendakwa bekalan pelekat tersebut sukar diperolehi dan hanya boleh didapati di kaunter sebuah agensi sahaja, lapor Sinar Harian.

    Menurut salah seorang pengusaha syarikat logistik, Andrew Sai, selain dari susah untuk mendapatkannya, malah harganya juga meningkat sehingga enam kali ganda.

    “Jika sebelum ini pelekat pantulan cahaya ini dijual dengan harga RM40 setiap set namun apa yang mengejutkan harganya kini mencecah RM263. Ia sudah tentu menyebabkan kos pengendalian bagi 30 lori milik kami meningkat,” kata Sai dan mendakwa beberapa lori milik syarikatnya tidak dapat menjalani pemeriksaan kerana masalah ini.

    Nasib yang sama menimpa pembuat perabot, Ng Ah You yang menyatakan dia turut menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pelekat berkenaan, sekali gus menyebabkan kenderaan miliknya tidak dapat menjalani pemeriksaan. “Peniaga telah menghadapi pelbagai peningkatan kos pengeluaran dan kini pelekat pantulan cahaya juga telah naik harga,” katanya.

    AppleMark

    AppleMark

    Memberi respon kepada isu ini, Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau berkata, pihaknya telah memaklumkan isu berkenaan kepada agensi berkaitan untuk menyelesaikan masalah dihadapi pengusaha dan pemilik kenderaan perdagangan.

    “Kami berharap isu ini dapat diselesaikan secara menyeluruh kerana telah membebankan orang ramai kerana harganya yang naik mendadak malah sukar didapati sehingga mengganggu operasi mereka,” katanya dan berharap konsesi yang membekalkan pelekat pantulan cahaya ini tidak di monopoli kerana ia kini sukar untuk didapati dan hanya boleh didapati di kaunter agensi terlibat sahaja.

    Sebelum ia diwajibkan, PUSPAKOM Sdn Bhd (Puspakom) telah menyediakan garis panduan piawaian pemeriksaan reflektor yang dijalankan di Puspakom, sebagai rujukan untuk pemilik kenderaan berkenaan. Menurut Puspakom lagi, seperti yang diumumkan oleh JPJ, buat masa ini, hanya reflektor yang dikeluarkan oleh 3M Malaysia dan Orafol Reflective Solutions mendapat pensijilan MS 828:2011 daripada SIRIM.

    “Untuk kemudahan para pelanggan, kedua-dua pengeluar reflektor tersebut akan membuka kaunter penjualan di 21 cawangan Puspakom mulai 1 Januari 2017. Pemilik kenderaan boleh membeli reflektor tersebut di cawangan-cawangan tersebut,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail dalam laporan sebelum ini.

     
     
  • Peugeot Instinct Concept – kebebasan untuk pemandu

    Peugeot Instinct Concept – kebebasan untuk pemandu

    Peugeot telah mengeluarkan gambar awal sebuah kenderaan konsep dikenali sebagai Instinct Concept, yang akan membuat penampilan rasmi semasa Geneva Motor Show nanti. Ia dikatakan sebagai sebuah kenderaan yang mempunyai ‘vibe‘ tersendiri dan satu perkataan yang sinonim dengannya adalah kebebasan – bebas untuk memilih mod pemanduan, bergerak dalam kenderaan serta sambungan teknologi yang disediakan.

    Ia dikuasakan oleh enjin plug-in-hybrid (PHEV) berkuasa 300 PS dan disediakan dengan dua mod iaitu Drive dan Autonomous. Dalam mod Drive itu pula, terdapat lagi pilihan Drive Boost atau Drive Relax, manakala dalam mod Autonomous, terdapat pilihan Autonomous Soft ataupun Autonomous Sharp, mengimbangkan antara keselesaan dan masa perjalanan.

    Satu teknologi maju yang diletakkan pada Instinct Concept adalah Samsung Artik Cloud, yang boleh disekatakan dengan peranti lain milik pemandu. Apabila sudah bersambung, ia boleh belajar tetapan yang digemari oleh pemandu, termasuk untuk tempat duduk, mod pemanduan, lampu suasana, paparan skrin dan audio. Sebagai contoh, jika sistem ini mengesan pemandu baru tamat sesi di gim, ia akan menetapkan mod pemanduan supaya lebih santai.

    Peugeot Instinct Concept – kebebasan untuk pemandu

    Pada bahagian luar, bentuk yang aerodinamik ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada penggunaan bahan api yang lebih cekap, malah juga tampil menarik. Gaya ini disepadukan dengan teknologi moden antaranya kamera dalam setiap lampu LED hadapannya, untuk mengimbas keadaan jalan dan disambung dengan sistem bantuan pemandu yang lain.

    Bahagian dalam pula menggunakan teknologi Peugeot i-Cockpit – yang boleh berubah mengikut kesesuaian. Apabila dalam mod Drive, semuanya seperti biasa, tetapi apabila menggunakan mod Autonomous, stereng serta pedalnya akan masuk ke dalam manakala tempat duduk juga boleh diubah pelbagai kedudukan. Walaupun stereng dan pedal sudah disembunyikan, pemandu masih boleh mengawal kenderaan atau kembali kepada mod Drive melalui skrin 9.7 inci yang terdapat di tengah papan pemuka.

    “Dengan Peugeot Instinct Concept dan ciri Responsive i-Cockpit, kami dapat membina faktor yang boleh menjadikan model kenderaan kami berjaya. Kami membina satu bentuk baru dalam kepuasan pemanduan. Ini boleh datang daripada sambungan, bentuk atau gayanya. Tiada sebab kenapa kenderaan yang boleh bergerak sendiri patut kelihatan membosankan,” kata ketua kereta konsep Peugeot, Matthias Hossann.

     
     
  • PSA Group sasar Malaysia sebagai hab pengeluaran di Asia jika jadi rakan kongsi Proton – penganalisis

    PSA Group sasar Malaysia sebagai hab pengeluaran di Asia jika jadi rakan kongsi Proton – penganalisis

    PSA Group yang turut sama membida bagi mendapatkan tawaran perjanjian sebagai rakan strategik asing Proton, pengeluar kereta terkenal dari Perancis itu turut mensasarkan Malaysia sebagai pangkalan strategik dan hab pengeluaran di rantau Asia. Ini termasuklah bagi membangun dan mengeluarkan kenderaan baharu bagi pasaran global.

    Menurut seorang penganalisis industri automotif global, PSA Group yang mengeluarkan kereta Peugeot dan Citroen, merancang untuk membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Asia. Ini bermakna jika mereka dapat bekerjasama dengan Proton, Malaysia sudah pasti akan mendapat manfaat dengan menjadi pusat R&D Asia PSA, laporan Bernama.

    Oleh itu, usaha sama dengan rakan kongsi stategik asing akan membolehkan pengeluar kereta nasional itu berkembang ke peringkat global. Ketika ini, sebagai syarikat yang berdiri sendiri dan tidak menggunakan sepenuhnya kapasiti pengeluaran bagi dua kilangnya, adalah mustahil untuk Proton mencapai ekonomi skala besar bagi bersaing dalam pasaran global.

    PSA Group sasar Malaysia sebagai hab pengeluaran di Asia jika jadi rakan kongsi Proton – penganalisis

    Dalam masa yang sama, Proton memerlukan kepakaran serta dana untuk program R&D bagi membolehkannya bersaing dengan jenama kereta global sama ada di dalam negara atau seberang laut kerana ia masih berada di peringkat bawah dalam teknologi automotif tempatan. Ini kerana kos R&D boleh mencecah berbilion ringgit dan Proton tidak mampu untuk melaksanakannya secara sendirian.

    Sebagai contoh, kos pembangunan hanya satu model, Proton Iriz bernilai RM600 juta dan ini tidak termasuk pemasaran, pengedaran dan kos lain yang berkaitan. Untuk mendapatkan kembali kos pembangunan sebanyak RM600 juta itu, iaitu kira-kira RM60,000 seunit, Proton perlu menjual 10,000 kereta Iriz, kata sumber tersebut.

    Penggiat lain dalam industri seperti Honda dan Toyota, mampu untuk menyebarkan kos mereka kepada berjuta-juta kereta kerana kereta mereka dijual di seluruh dunia. “Oleh itu, kos berkenaan disebarkan dengan volum yang tinggi di banyak negara,” kata sumber berkenaan.

    Minggu lalu, Geely juga dikatakan bakal menawarkan Proton teknologi kenderaan terbaharunya yang dibina bersama Volvo sebagai sebahagian tawaran berkenaan. Ini termasuk teknologi yang digunakan untuk membina sedan GC9 dan SUV Boyue keluaran jenama berkenaan, dan juga teknologi kenderaan kompak yang dibangunkan bersama Volvo.

    PSA Group sasar Malaysia sebagai hab pengeluaran di Asia jika jadi rakan kongsi Proton – penganalisis

    Teknologi yang dimaksudkan berkemungkinan besar termasuk platform baharu Compact Modular Architecture (CMA) yang dijadikan asas bagi pembinaan model siri-40 Volvo seperti Volvo XC40 yang bakal diperkenalkan tahun ini, dan juga model-model Geely yang lain. Platform baharu berkenaan direka bagi membolehkan unit janakuasa elektrik dipadankan padanya, di mana unit janakuasa hibrid T5 Twin Engine memang dibina khas untuknya.

    Kata sumber terbabit itu lagi, adalah jelas untuk Proton menjalin usaha sama dengan rakan kongsi strategik asing jika ia ingin berjaya.

    “Satu cara untuk melakukannya ialah dengan bekerjasama dengan syarikat auto besar, di mana setakat 15 Februari lepas, satu daripadanya telah menyerahkan bidaan mereka kepada Proton untuk menjalin hubungan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, katanya.

     
     
  • Bermaz perkenal waranti baharu lima-tahun/100,000 km untuk semua model Mazda kecuali trak pikap BT-50

    Bermaz perkenal waranti baharu lima-tahun/100,000 km untuk semua model Mazda kecuali trak pikap BT-50

    Di samping Mazda CX-9 baharu, pengedar rasmi Bermaz dalam diam telah memperkenalkan waranti baharu iaitu lima-tahun/100,000 km, berbanding yang sebelum ini dengan perlindungan tiga-tahun, had perbatuan kekal sama. Ia diaplikasikan untuk semua model Mazda kecuali trak pikap BT-50, yang masih kekal dengan waranti sama seperti sebelum ini.

    Ia meletakkan Mazda sebaris dengan pengeluar kenderaan arus perdana yang lain dalam penawaran waranti, walau pun seharusnya ia meletakkan had perbatuan sama seperti Perodua dan Proton iaitu 150,000 km. Honda, Toyota dan Nissan, pula menawarkan waranti perbatuan tanpa had, manakala Nissan mendahului kelasnya dengan penawaran perlindungan selama tujuh-tahun.

    Selain melanjutkan waranti ini, Bermaz turut menawarkan pakej servis percuma tiga-tahun/60,000 km untuk semua modelnya (kecuali BT-50), sama seperti sebelum ini.

     
     
  • Ford Fiesta ST 2018 didedahkan, tampil enjin lebih kecil – 1.5 liter turbo, tiga-silinder, 200 PS/290 Nm!

    Ford Fiesta ST 2018 didedahkan, tampil enjin lebih kecil – 1.5 liter turbo, tiga-silinder, 200 PS/290 Nm!

    Setelah Fiesta generasi terkini diperkenalkan pada peringkat global pada November tahun lalu, kini varian berprestasi tinggi hatchback berkenaan – Fiesta ST – pula mula didedahkan. Berbanding model generasi sebelum ini yang diberikan enjin EcoBoost 1.6 liter turbo empat silinder (182 PS/240 Nm), model baharu ini hanya diberikan enjin EcoBoost 1.5 liter turbo tiga-silinder.

    Walau bagaimanapun, kuasa yang dihasilkan oleh enjin baharu berkenaan jauh lebih besar iaitu 200 PS dan tork maksima 290 Nm, sama dengan model istimewa generasi sebelum ini – ST200. Ini membolehan Fiesta ST baharu ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.7 saat, disamping penghasilan emisi C02 lebih rendah iaitu pada kadar 114 g/km.

    Enjin yang dibina keselurhannya dari aluminium ini menampilkan manifold ekzos yang bersepadu dengan kepala silinder, membolehkan enjin mencapai suhu berkerja dengan cepat, sekaligus menambahkan kecekapannya. Manifold berkenaan juga membantu meningkatkan penghantaran tork dengan memendekkan jarak pergerakan gas ekzos ke pengecas turbo. Bagi merendahkan lagi tahap emisi, teknologi penapis gas ekzos turut dipadankan.

    Ford Fiesta ST 2018 didedahkan, tampil enjin lebih kecil – 1.5 liter turbo, tiga-silinder, 200 PS/290 Nm!

    Enjin EcoBoost baharu ini turut diberikan teknologi nyah-aktif silinder sama seperti enjin EcoBoost 1.0 liter bagi meningkatkan kecekapannya. Sistem berkenaan mampu ‘mematikan’ salah satu silinder dari berfungsi dengan tidak menghantar bahan api dan menghentikan operasi injap ketika enjin beroperasi dengan beban rendah seperti sedang cruising pada kadar pendikit rendah. Menurut Ford, nyah-aktif/aktif semula berkenaan boleh berlaku dalam masa hanya 14 milisaat.

    Kuasa dari enjin disampaikan ke kedua-dua roda hadapan menerusi kotak gear manual enam kelajuan. Ford juga telah memadankan Fiesta ST dengan torque vectoring kawalan brek bagi mengurangkan torque steer yang berlaku ketika hatchback ini memecut, juga mengurangkan understeer ketika meredah selekoh dengan kelajuan tinggi.

    Tiga mod pemanduan diberikan iaitu Normal, Sport dan Track. Untuk mod Normal, ia akan “memberikan kadar responsif semulajadi dan perasaan dihubungkan” dengan talaan yang diberikan pada traction control, ESC, electronic sound enhancement (ESE), bunyi ekzos dan juga stereng berkuasa, menurut Ford.

    Talaan pada enjin dan pendikit akan ditajamkan sekiranya pemandu memilih mod Sport. Menurut Ford, Mod ini juga akan memberikan tindak balas stereng yang lebih bagus serta kawalan yang lebih baik, manakala ESE juga memberikan bunyi yang lebih agresif dengan bukaan injap bunyi aktif.

    Bagi mod Track pula, dinamik pemanduan Fiesta ST “ditala bagi memberikan rekod lap sepantas yang mungkin,” dengan traction control yang dimatikan serta ESC yang dilaras kepada ‘wide-slip’ untuk pemanduan yang agresif. ESC pada Fiesta ST ini juga dapat dilaras pada tiga tahap iaitu aktif sepenuhnya, mod ‘wide-slip’ dengan sedikit campur tangan komputer pada ESC, dan dimatikan sepenuhnya.

    Fiesta generasi terbaharu ini ditawarkan dengan versi tiga-pintu dan lima-pintu. “Model ST kami direka bagi memberikan pengalaman pemanduan Ford Performance dapat dinikmati semua pelanggan tanpa mengira gaya hidup,” kata Matthias Tonn, ketua jurutera program untuk Fiesta ST.

    Fieta ST turut diberikan sistem infotaimen Ford SYNC 3, yang boleh menyokong Apple CarPlay dan juga Android Auto. Sistem berkenaan turut menampilkan pemain utama dengan skrin sesentuh lapan-inci yang menyokong gestur picit dan sapu, dan dihubungkan pada sistem audio B&O Play.

     
     
  • Chevrolet Camaro ZL1 1LE 2018 – sedia untuk litar

    Chevrolet Camaro ZL1 1LE 2018 – sedia untuk litar

    Ini adalah Chevrolet Camaro ZL1 1LE 2018. Rupanya sahaja sudah cukup ganas, dan menurut pengeluarnya iaitu Chevrolet, di sebalik rupa ini tersembunyi Camaro yang paling dekat dengan spesifikasi litar, seterusnya meletakkan satu tahap prestasi yang baru.

    Ia juga adalah Camaro paling pantas, dinaik taraf menggunakan formula 1LE yang fokus kepada pemanduan di litar. Ini boleh dilihat dengan penggunaan suspensi jenis perlumbaan, panel-panel aerodinamik dan tayar Goodyear Eagle F1 Supercar 3R (untuk musim panas sahaja) pada ZL1 1LE. Enjin pula masih lagi menggunakan unit 6.2 L V8 supercharged LT4 650 hp dan kotak gear manual enam kelajuan.

    “Pakej 1LE yang fokus kepada pemanduan litar ini menawarkan tahap prestasi progresif pada barisan kenderaan Camaro, daripada V6 1LE kepada SS 1LE. Walaubagaimanapun, dengan ZL1 1LE ini, anjakannya lebih besar – ini adalah Camaro paling hebat untuk pemanduan di litar,” kata ketua jurutera Camaro, Al Oppenheiser.

    Menurut General Motors, semasa dalam ujian, Camaro ZL1 1LE baru ini mencatat masa tiga saat lebih pantas daripada ZL1 Coupe standard dalam litar ujian Milford mereka sepanjang 4.7 km dan mempunyai 18 selekoh. Prestasi litar kenderaan ini juga diperbaiki, hasil daripada empat aspek utama iaitu aerodinamik, suspensi boleh laras, roda/tayar dan pengurangan berat.

    Kelengkapan aerodinamik baru yang pada kenderaan ini adalah termasuk sayap belakang gentian karbon, deflector dan dive plane khas pada bahagian hadapan untuk menghasilkan daya tolakan ke bawah, seterusnya menjadikan kenderaan lebih melekat di atas jalan dan lebih laju.

    Camaro ZL1 1LE menampilkan penggunaan penyerap Multimatic DSSV (Dynamic Suspension Spool Valve) serba ringan daripada kenderaan lumba. Ketinggian bahagian hadapan boleh dilaras dengan penyerap ini, dan ia digunakan bersama plet camber boleh laras baru. Stabiliser bar belakang juga menyediakan pelarasan tiga tahap. Semua komponen direka supaya boleh ditukar dengan pantas di atas litar dan boleh ditukar kepada tetapan jalan biasa apabila habis sesi di litar.

    Chevrolet Camaro ZL1 1LE 2018 – sedia untuk litar

    Rim aluminium diperkuat serba ringan pada ZL1 1LE adalah satu inci lebih lebar tetapi diameternya berkurang satu inci, hadapan dan belakang berbanding rim standard ZL1. Ia dipadankan dengan tayar Goodyear Eagle F1 Supercar 3R yang mampu memberikan cengkaman lateral 1.10g dan boleh panas dengan lebih cepat. Lebar permukaan yang mencengkam jalan meningkat 10 peratus daripada ZL1 standard tetapi padanan rim dan tayarnya lebih 3.3 kg pada setiap penjuru.

    Turut menyumbang kepada pengurangan berat adalah cermin belakang lebih nipis dan tempat duduk belakang tidak boleh dilaras, menjadikan keseluruhannya 27 kg lebih ringan berbanding ZL1 Coupe standard. Turut diberi adalah brek Brembo angkup berwarna merah dengan logo 1LE. Kelengkapan standard lain pada ZL1 1LE adalah pengawal suhu dua zon, sistem audio Bose serta pemanas pada tempat duduk hadapan dan stereng.

    GALERI: Chevrolet Camaro ZL1

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026