Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mazda CX-9 2.5T 2017 kini di Malaysia, dari RM317k

    Mazda CX-9 2.5T 2017 kini di Malaysia, dari RM317k

    Mazda CX-9 baharu yang dipertontonkan pada November lalu, pada mulanya dijangka bakal dilancarkan di pasaran pada Jun ini. Namun begitu, disebabkan banyak permintaan, Bermaz kini menawarkan SUV tujuh-tempat duduk ini dijual, dalam unit yang terhad dan mengikut spesifikasi Australia.

    Walau bagaumana pun, harganya tidak begitu murah, ia ditawarkan pada RM316,788 untuk model pacuan dua-roda dan RM323,849 untuk pacuan-semua roda, semuanya adalah harga atas jalan termasuk insurans, waranti baharu lima-tahun/100,000 km dan pakej servis percuma tiga-tahun. Sebagai perbandingan, model generasi sebelumnya dijual pada harga RM296,646 untuk model pacuan dua-roda dan RM337,748 bagi pacuan semua-roda.

    Ia ditawarkan dengan varian GT dan yang tertinggi, Azami. Kit standard ditampilkan dengan lampu utama bi-LED (dengan lampu nyalaan siang halogen), lampu kabus LED, lampu belakang LED, bumbung matahari berkuasa dan rim aloi 20-inci.

    Lain-lain elemen termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengelap cermin auto, kawalan kelajuan, kawalan suhu auto tiga-zon, balutan kulit upholstery, tempat duduk pemandu berkuasa dengan tatapan memori, paparan unit utama berwarna-sepenuhnya, cermin pandang belakang auto-penggelam, tirai cermin sisi, pintu tailgate berkuasa, sistem infotainment MZD Connect dengan skrin sesentuh lapan-inci, navigasi, kamera undur dan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara.

    Bagi elemen keselamatan pula, CX-9 dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, Trailer Stability Assist (TSA) dan dua cagak ISOFIX. Malah ia juga didatangkan dengan bantuan pemandu i-ActivSense, termasuk Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) hadapan dan belakang, Pemantauan Titik Buta(BSM) dan Bantuan Trafik Lintasan Belakang (RCTA).

    CX-9 ini dijanakan oleh enjin petrol 2.5 liter SkyActiv-G dengan i-stop automatic start/stop dan i-ELOOP, yang mampu menghasilkan kuasa 228 hp pada 5,000 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Penggunaan bahan apinya sekitar 8.4 liter untuk setiap 100 km bagi model pacuan dua-roda dan 8.8L/100 km untuk pacuan semua-roda.

     
     
  • Yamaha MT-10 Tourer 2017 diperkenalkan di Eropah

    Yamaha MT-10 Tourer 2017 diperkenalkan di Eropah

    MT-09 mempunyai versi yang lebih tinggi dan kuasa lebih lembut dikenali sebagai Tracer, dan kini, Yamaha memperkenalkan pula versi hampir sama bagi MT-10, dikenali sebagai MT-10 Tourer, dengan jualan akan bermula di Eropah pada bulan Mac.

    Motosikal ini datang dengan ABS, beg sisi jenis lembut dan cermin penghadang udara lebih tinggi secara standard, dan akan mengisi ruang antara model MT-10 dan tourer dual-purpose Tenere di dalam barisan produk Yamaha. Kelengkapan lain yang mengubah motosikal ini kepada sebuah tourer adalah pelindung tangan dan tempat duduk yang lebih selesa.

    Enjin yang digunakan pada MT-10 Tourer masih adalah unit Crossplane 998 cc yang diambil daripada model R1, dan ia dikata mampu menghasilkan 158 hp pada 11,500 rpm dan 111 Nm tork pada 9,000 rpm. Jumlah kuasa ini adalah sedikit kurang daripada R1, di mana R1 mampu menghasilkan 200 hp pada 13,500 rpm dan 112 Nm pada 11,500 rpm.

    MT-10 Tourer turut didatangkan dengan mod tunggangan Yamaha D-MODE, dengan tiga pilihan mod dan setiap satunya mempunyai pelarasan pendikit, pemasaan ignition dan jumlah suntikan minyak yang berbeza. Dalam pakej elektroniknya pula terdapat kawalan cengkaman dan quickshifter untuk menaikkan gear tanpa menggunakan klac.

    Turut dilengkapkan pada MT-10 Tourer adalah cruise control serta klac jenis slipper yang boleh mengurangkan daya pada tuil klac dan mengelakkan tayar belakang daripada daripada melompat apabila menukar gear rendah secara agresif. Sama seperti MT-10 standard, versi Tourer ini juga datang dengan suspensi boleh laras hadapan dan belakang, manakala fork hadapan adalah daripada jenis terbalik (upside down).

    TIga warna disediakan untuk MT-10 Tourer iaitu Tech Black, Race Blu dan Night FLuo. Pilihan aksesori yang meluas juga disediakan untuk motosikal ini dalam katalog rasmi Yamaha.

    Yamaha MT-10 Tourer 2017 diperkenalkan di Eropah

    Setakat ini, masih belum ada harga yang dikeluarkan untuk Yamaha MT-10 Tourer 2017, tetapi model MT-10 dijual di United Kingdom pada harga 10,799 pound sterling (RM59,626). Pengedar rasmi motosikal Yamaha di Malaysia iaitu Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) tidak membawa masuk secara rasmi MT-10 ke Malaysia dan kemungkinan besar model Tourer ini juga akan mengalami nasib sama.

    Apa yang disediakan oleh (HLYM) adalah MT-09 dan MT-09 Tracer, yang dikuasakan oleh enjin tiga silinder 849 cc, mampu menghasilkan 113 hp pada 10,000 rp dan 93 Nm tork pada 8,500 rpm. Tracer dijual pada harga RM59,900.

     
     
  • Volvo siar teaser XC60 untuk Geneva Motor Show 2017

    Volvo siar teaser XC60 untuk Geneva Motor Show 2017

    Volvo telah menyiarkan imej teaser di laman Facebook global mereka, memaparkan SUV XC60 dan menyatakan ia akan didedahkan sepenuhnya pada 7 Mac 2017. Selain dari muka hadapan yang telah disiarkan minggu lalu, imej tambahan kali ini turut memaparkan imej sisi SUV tersebut (tetapi diselubung dengan kain) dan juga imej lampu hadapan pada jarak dekat.

    Imej muka XC60 ini hanya mendedahkan sepasang lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang signatur “Tukul Thor” dan juga gril hadapan yang menempatkan emblem Iron Mark Volvo – dilengkapi pelbagai penderia untuk pelbagai sistem keselamatan dan bantuan pemanduan.

    Pada bahagian sisi, XC60 dilihat bakal menampilkan rupa seperti abangnya XC90, tetapi pada skala sedikit kecil. Selain dari lampu hadapan, rekaan lampu belakang juga dilihat bakal direka sama seperti XC90, menampilkan lampu LED sepenuhnya yang direka menegak. Bahagian dalaman XC60 juga turut dijangka bakal seiras dengan XC90, menampilkan skrin besar di konsol tengah serta paparan instrumen digital.

    XC60 generasi baharu ini turut diibina berdasarkan platform Scalable Product Architecture (SPA) sama seperti XC90. Platform yang boleh diubah skala berkenaan bakal memberikan saiz XC60 yang sedikit kecil berbanding XC90, tetapi lebih besar dari model terdahulu.

    SUV generasi baharu ini dijangka bakal dijana oleh enjin petrol dan diesel dengan kapasiti 2.0 liter. Unit janakuasa hibrid T5 Twin Engine 1.5 liter tiga-silinder juga mungkin bakal ditawarkan.

    Selain dari XC60, sebelum ini Volvo turut mengumumkan bakal memperkenalkan SUV lebih kecil iaitu XC40, untuk melengkapkan barisan SUV mereka. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, teruskan mengikuti kami sehingga Volvo mendedahkannya pada Geneva Motor Show 2017 nanti.

    GALERI: Imej spyshot Volvo XC60

     
     
  • Perodua umum pemenang hadiah utama MYPerodua Nation – Axia 1.0L Advance jadi milik penuntut kolej

    Pada akhir Januari lalu, Perodua telah menganjurkan MYPerodua Nation yang berlangsung di Shah Alam dengan menyajikan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah untuk para pengunjung. Antara pengunjung yang paling bertuah ialah Ahmad Irfan Ismail, yang merupakan penuntut Management and Science University (MSU), di mana dia telah berjaya membawa pulang hadiah utama yang berupa seunit Axia 1.0L Advance.

    Menurut Dato’ Dr. Zahari Husin, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, karnival terbesar yang pernah dianjurkan oleh Perodua ini telah menerima lebih 20,000 penyertaan.

    “Malah ia telah memberi peluang untuk kami lebih dekat dengan para pelanggan. Melihat akan kejayaan acara tersebut, kami akan menganjurkan karnival kedua yang dijangka berlangsung pada suku ketiga tahun ini. Ia akan berlangsung pada satu tarikh yang akan ditetapkan dan memilih negeri lain sebagai lokasi,” ujar Dr.Zahari.

    Dalam majlis yang sama, Perodua turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah buat lima ahli UFirst menerusi pertandingan Cabutan Bertuah Ulangtahun UFirst yang berlangsung pada hujung 2016 lalu. Pelbagai hadiah menarik telah ditawarkan menerusi acara tersebut termasuklah perkakasan rumah dan elektrik, telefon pintar, baucer melancong dan servis bernilai RM2,600.

     
     
  • ‘Bypass’ Kuala Terengganu bakal pendekkan tempoh perjalanan bila siap tahun 2019 nanti – kos 321 juta

    ‘Bypass’ Kuala Terengganu bakal pendekkan tempoh perjalanan bila siap tahun 2019 nanti – kos 321 juta

    Satu projek yang dinamakan sebagai Bypass Kuala Terengganu sudah dimulakan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia sejak bulan Julai 2016 dan ia melibatkan pembinaan laluan sepanjang 5.875 km, bermula dari persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) hingga ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bharu – Kuala Terengganu.

    Untuk melengkapkan laluan baru ini, turut akan dibina adalah empat jambatan, dua Vehicular Box Culvert (VBC), ataupun laluan bawah, menaik taraf persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku kepada jenis bertingkat, sistem perparitan, pembentungan, lampu jalan, lampu isyarat dan kelangkapan jalan lain.

    Secara keseluruhannya, projek ini memakan belanja sebanyak RM321 juta, dan daripada jumlah itu, RM167 juta adalah merupakan kos kontrak manakala RM154 juta pula adalah untuk kos pengambilan tanah. Berkenaan soal pengambilan tanah ini, ia melibatkan 293 lot dan baki lot yang masih belum diambil adalah 22.

    ‘Bypass’ Kuala Terengganu bakal pendekkan tempoh perjalanan bila siap tahun 2019 nanti – kos 321 juta

    Sehingga masa ini, projek Bypass Kuala Terengganu ini sudah mencapai tahap kemajuan 18.04 peratus dan ini adalah 1.03 peratus lebih ke hadapan berbanding jadual sebenarnya. Ia dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2019, dan akan memberi manfaat kepada 70,000 orang penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan pembangunan Bandar Baru Bukit Besar.

    Dari aspek penjimatan masa, jika sekarang, masa yang diambil untuk bergerak dari Kuala Ibai ke Durian Burung pada waktu puncak adalah 30 minit, tetapi bila siap laluan ini, ia akan memendekkannya kepada 10 minit. Selain itu, ia juga akan dapat membantu meningkatkan ekonomi kawasan setempat.

     
     
  • Amaran rampas motosikal Dego Ride zalim, perlu tumpu tingkatkan keselamatan penunggang – ADUN

    Amaran rampas motosikal Dego Ride zalim, perlu tumpu tingkatkan keselamatan penunggang – ADUN

    Memberi respon kepada amaran yang dikeluarkan oleh JPJ sebelum ini berhubung tindakan rampasan motosikal bakal dikenakan kepada pengusaha perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride, ADUN Bukit Gasing R Rajiv menyifatkannya sebagai kejam dan zalim, menurut laporan Sinar Harian.

    Menurut R Rajiv, pihaknya mengecam amaran yang seolah-olah mengugut pengusaha Dego Ride supaya tidak meneruskan perkhidmatan tersebut kerana sebahagian besar daripada mereka yang menjalankan aktiviti itu berpendapatan rendah. Beliau berpendapat rampasan motosikal bukan sahaja menjejaskan keupayaan menjana pendapatan lebih malah memberi kesan kepada pemilik untuk bekerja di tempat lain.

    “Ini kerana mereka juga memerlukan motosikal sebagai pengangkutan ke tempat kerja jika tak dapat tawar khidmat tersebut,” kata Rajiv dan menegaskan ketika Kabinet masih belum memberi kata putus berhubung nasib Dego Ride, menteri berkaitan sepatutnya memberi tumpuan lain khusus meningkatkan keselamatan penunggang motosikal secara keseluruhan.

    “Bukankah ini lebih baik daripada memburu 6,000 penunggang Dego Ride yang tidak bersalah dan merampas motosikal mereka? Daripada memburu mereka, lebih baik kementerian tangani masalah penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar,” jelasnya dan menambah 35 peratus daripada kemalangan maut membabitkan motosikal adalah disebabkan penunggang yang tidak memakai topi keledar.

    Menurut Rajiv lagi, berdasarkan statistik lebih 80 peratus kemalangan membabitkan penunggang, kurang 20 peratus daripada kecederaan melibatkan pembonceng. Ini menunjukkan bahawa penumpang Dego Ride hanya berisiko rendah terbabit kemalangan.

    Sebelum ini Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya tidak akan memberikan lesen operasi kepada pengendali perkhidmatan tersebut buat masa ini kerana menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah.

    Beliau juga meminta agar Dego Ride dihentikan serta merta dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta SPAD akan melancarkan operasi penyamaran bagi membanteras perkhidmatan teksi motosikal itu dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih lagi beroperasi.

    Walau bagaimanapun, baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan masih belum ada keputusan pengharaman oleh kerajaan terhadap perkhidmatan teksi motosikal itu. Menurutnya, belum ada keputusan rasmi yang dicapai oleh Kabinet dan masih belum ada undang-undang untuk menyelia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian setakat ini.

     
     
  • Geely bakal lancar Lynk & Co April ini di Shanghai

    Geely bakal lancar Lynk & Co April ini di Shanghai

    Geely Automobile telah mengesahkan bakal melancarkan model baharu kenderaan pintar Lynk & Co April ini di Shanghai. Kenderaan pintar ini mensasarkan golongan muda untuk memilikinya.

    Menurut laporan Nikkei Asian Review, ia akan berada di pasaran China pada suku terakhir tahun ini, sebelum memasuki pasaran Eropah dan Amerika Syarikat pada suku pertama 2019.

    Lynk & Co bakal diproduksi di China tetapi menggunakan kepakaran rekaan daripada Volvo, sama seperti yang diadaptasikan pada model kompak SUV 01.

    Mula didedahkan di Berlin pada Oktober lalu, menurut Geely, Lynk & Co akan ditawarkan dengan harga tetap tanpa memerlukan bayaran pendahuluan.

    Geely bakal lancar Lynk & Co April ini di Shanghai

    Geely berkata perbezaan antara Lynk & Co dengan model lain ialah disebabkan “kelahiran digital”. Di mana ia disambungkan dengan Internet yang membolehkan kenderaan antara kenderaan berkomunikasi.

    Malah model ini juga akan mengadaptasikan fungsi perkongsian dengan butang terbina dalam. Malahan tiga syarikat teknologi terbesar iaitu Alibaba Group Holdings, Ericsson dan Microsoft telah bertanggungjawab dalam menyediakan infrastruktur sokongan yang diperlukan bagi model ini.

    “Industri automotif kini berusaha untuk mendapatkan lebih banyak sambungan supaya menjadi lebih mudah alih,” ujar Timbalan presiden kanan, Alain Visser.

    Katanya lagi, sebagai contoh, apabila pengeluar iPhone, Apple memasuki industri automotif, namun ia dilaporkan menangguhkan rancangan untuk membina kereta kerana ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan.

    “Walau bagaimana pun, industri automotif memerlukan kepakaran dalam perkara ini dan penambahan ketersambungan bagi kereta adalag lebih mudah berbanding menambah mobiliti dalam telefon,” sambungnya lagi.

    GALERI: Model konsep Lynk & Co

     
     
  • Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid – 680 hp/850 Nm

    Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid – 680 hp/850 Nm

    Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid baharu ini dijangka bakal dipertontonkan di Geneva Motor Show 2017 bulan hadapan. Diletakkan di tangga teratas dalam barisan Panamera, Turbo S E-Hybrid ini didapati dengan dua jarak roda – biasa (2,950 mm) dan Executive yang lebih panjang (3,100 mm).

    Jika Panamera 4 E-Hybrid dipadankan dengan enjin 2.9 liter V6, untuk Panamera Turbo S E-Hybrid ini pula didatangkan dengan penjana kuasa 4.0 liter biturbo V8 (550 hp/770 Nm). Ia juga digandingkan bersama motor elektrik 136 hp, dengan jumlah keseluruhan sistem output mencecah 680 hp dan 850 Nm, di mana ia adalah melebihi kebanyakan model hibrid yang lain dengan 462 hp dan 700 Nm.

    Ia juga dipadankan dengan transmisi PDK dwi-klac lapan-kelajuan dan juga sistem pacuan semua-roda Porsche Traction Management (PTM) yang memastikan semua kuasa digunakan sebaik mungkin. Pacuan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 3.4 saat dan kelajuan maksimum pula sehingga 310 km/j, menjadikannya lebih pantas berbanding Panamera Turbo dengan Sport Chrono Package (3.6 saat/306 km/j).

    Malahan Turbo S E-Hybrid juga boleh dipandu dengan kuasa elektrik sepenuhnya sehingga 50 km, hasil padanan bateri14.1 lithium-ion yang menyalurkan kuasa ke motor elektrik.

    Pengecasan bateri dengan sambungan 10 A/230 V mengambil masa lebih kurang enam jam, tetapi ia boleh menjadi lebih pantas dengan menggunakan sama ada pengecas 7.2 kW atau sambungan 32 A/230, yang mengurangkan masa selama 2.4 jam

    Jentera ini dihidupkan dengan mod ‘E-Power’ tetapi pedal pendikit perlu ditekan sedikit atau apabila apabila bateri dicas sehingga tahap tertentu, barulah ia bertukar ke mod ‘Hybrid Auto’. Dalam mod ini, kuasa V8 dan motor elektrik berjalan serentak. Porsche berkata Turbo S E-Hybrid ini mempunyai anggaran penggunaan bahan api yang diiktiraf NEDC iaitu sekitar 2.9L/100 km.

    Bagi keupayaan prestasinya, model baharu Panamera ini mampu meledakkan kuasa yang cukup menguna. Malah ia turut didatangkan dengan tiga-kebuk suspensi udara termasuk Porsche Active Suspension Management (PASM), membantu aliran penyaman udara apabila bateri dicas, selain turut ditampilkan dengan balutan kulit upholstery, tempat duduk dengan fungsi urut dan banyak lagi.

    Elemen standard yang turut didatangkan termasuklah Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB), Porsche Dynamic Chassis Control Sport (PDCC Sport) bersama Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus), Power Steering Plus dan rim aloi 21-inci dengan 911 Turbo Design. Sementara versi Ececutive pula turut dilengkapi dengan stereng gandar belakang.

     
     
  • Jabatan Standard M’sia lulus MS filem penapis haba

    Jabatan Standard M’sia lulus MS filem penapis haba

    Menyedari hakikat filem penapis haba kenderaan kini telah menjadi keperluan untuk mengurangkan kepanasan ketika memandu dan bukan hanya sebagai aksesori biasa, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Jabatan Standard Malaysia sudah meluluskan Standard Malaysia (MS) baharu berkaitan filem penapis haba, menurut laporan Harian Metro.

    Menterinya Datuk Seri Madius Tangau berkata, MS berkaitan filem penapis haba tersebut telah diluluskan bersama sembilan MS lain bagi memberi panduan kepada pihak industri dan orang awam berkenaan spesifikasi yang menepati spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Jabatan Standard M’sia lulus MS filem penapis haba

    “Menerusi standard ini, orang ramai akan lebih mudah memahami spesifikasi yang ditetapkan JPJ dan mengurangkan kekeliruan antara penjual filem berkenaan dengan pemilik kenderaan,” ujarnya dan menambah ia akan turut memberi panduan kepada individu yang membawa masuk kenderaan import ke dalam negara khususnya bagi kenderaan yang menggunakan cermin gelap.

    Menurut Madius lagi, MS itu menyokong Kaedah 5(1) dan Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000 di bawah JPJ untuk membantu mengawal selia dan mentadbir piawaian keselamatan kenderaan bermotor dengan cekap serta berintegriti. MS baharu ini juga bagi memenuhi keperluan pengguna, alam sekitar serta industri automotif negara, tambahnya lagi.

     
     
  • Ford GT Competition Series – versi litar, lebih ringan

    Ford GT Competition Series – versi litar, lebih ringan

    Ford GT Competition Series, shown in Daytona for first time weeks after winning Rolex 24, offers weight-saving innovations, such as lightweight, race-inspired Perspex® acrylic engine hatch cover and bulkhead Gorilla Glass®

    Setelah versi jalan rayanya diperkenalkan, kini versi perlumbaan Ford GT pula didedahkan, diberi nama Ford GT Competition Series. Seperti juga model-model versi litar lain, Competition Series ini dibina lebih ringan berbanding model standard, tetapi Ford masih belum mendedahkan berapa berat yang dapat dikurangkan.

    Bahagian luaran, tiada perubahan ketara dapat dilihat pada versi perlumbaan ini. Tetapi jika diteliti lebih terperinci, dapat diperhatikan jalur perlumbaan hitam merentasi badan kereta ini sebenarnya merupakan kemasan gentian-karbon, begitu juga pada cermin sisi, tiang-A dan juga kemasan bahagian bawah badan.

    Cermin Gorilla Glass yang terletak pada bahagian belakang kabin juga separuh lebih nipis (dan juga lebih ringan) berbanding model standard. Tiada peredam gas dipadankan untuk menahan penutup enjin acrylic ketika ia dibuka, dan ia kini digantikan dengan penahan gentian-karbon, bagi merendahkan lagi berat keseluruhan serta pusat graviti kereta ini.

    Ford GT Competition Series – versi litar, lebih ringan

    Ford GT Competition Series, shown in Daytona for first time weeks after winning Rolex 24, offers weight-saving innovations, such as lightweight, race-inspired Perspex® acrylic engine hatch cover and bulkhead Gorilla Glass®

    Kelengkapan seperti rim gentian karbon serta nat roda dan ekzos titanium yang ditawarkan sebagai opsyen untuk model biasa, diberikan secara standard untuk Competition Series ini. Enam warna badan ditawarkan iaitu Shadow Black, Frozen White, Ingot Silver, Liquid Blue, Liquid Grey dan Triple Yellow.

    Pada bahagian kokpit, GT Competition Series dilengkapi roll cage spesifikasi FIA serta upholtsteri Alcantara pada tempat duduk, panel instrumen, serta kemasan bumbung. Ia turut diberikan roda stereng ala-F1 sama seperti model standard. Sebagai sebuah model yang dibina untuk litar, model istimewa ini tidak dilengkapi penghawa dingin, sistem audio, dan juga pemegang cawan, bagi mengurangkan lagi beratnya.

    Ford GT Competition Series masih dijana oleh enjin V6 3.5 liter EcoBoost yang berupaya menjana 647 hp dan tork maksima 746 Nm.

     
     
  • Toyota Vellfire merupakan kenderaan paling kerap dicuri di M’sia – diikuti Mitsubishi Pajero, Toyota Hilux

    Toyota Vellfire merupakan kenderaan paling kerap dicuri di M’sia – diikuti Mitsubishi Pajero, Toyota Hilux

    Dalam taklimat tahunan untuk media oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) semalam, yang telah mendedahkan kadar pertumbuhan terendah pada tahun lalu, namun tuntutan insurans kekal tinggi sehingga menjangkau RM5.02 bilion. Ini didorong oleh peningkatan kadar kemalangan termasuk kos perubatan yang kian meningkat.

    Ia bukanlah tahun yang cemerlang buat syarikat insurans di Malaysia. Namun dengan penguasaan sebanyak 46.2%, insurans kenderaan merupakan penyumbang terbesar dalam bidang ini, diikuti dengan insurans kebakaran iaitu sebanyak 18.5%. Jualan kenderaan yang merosot buat pertama kalinya pada tahun 2016 selepas enam tahun berturut-turut meningkat, iaitu di bawah 600,000 unit.

    Faktor penyumbang kemerosotan dalam industri insurans ialah peningkatan kadar kecurian kenderaan. Dalam pembentangan yang dilaksanakan oleh CEO PIAM Mark Lim, pihak polis dan kastam telah melakukan pelbagai usaha untuk membanteras sindiket curi kenderaan, hasil kerjasa dengan Vehicle Theft Reduction Council (VTREC), sebuah badan organisasi yang diwujudkan oleh PIAM. Di mana jumlah kenderaan yang dicuri pada tahun lalu menurun sebanyak 20% iaitu 19,307 unit.

    Dengan pecahan tersebut iaitu sebanyak 20% (19,307 kecurian vs 24,154 pada 2015), menyaksikan penurukan kadar kecurian kenderaan bagi semua kelas – kenderaan persendirian (-16%), motosikal (-24%) dan kenderaan komersil (-9%). Statistik ini tidak mengambil kira ganti rugi bagi kes kecurian kenderaan.

    Toyota Vellfire merupakan kenderaan paling kerap dicuri di M’sia – diikuti Mitsubishi Pajero, Toyota Hilux

    Klik untuk besarkan

    Apa yang paling menarik ialah senarai “paling dikehendaki”. Menurut carta di atas, seperti yang dijangka, ia didominasi oleh model kereta nasinal yang memang banyak terdapat di jalan raya negara kita iaitu Proton dan Perodua. Sekali lagi, Proton Wira menjadi kenderaan yang paling banyak dicuri di Malaysia, seperti mana tahun 2015.

    Manakala Toyota Hilux di tempat kedua, juga seperti tahun 2015. Tetapi tidak seperto Wira dan 10 model kenderaan yang berada di dalam senarai teratas, jumlah Hilux yang dicuri meningkat pada tahun 2016, membuktikan trak pikap Toyota ini memang cukup popular di kalangan pencuri. Malahan Toyota Vios juga memasuki senarai di tangga 10 ini, menggantikan Honda City.

    Namun apa yang mengejutkan, model yang paling banyak kerap dicuri di Malaysia pada tahun lalu ialah Toyota Vellfire, iaitu sebanyak 114 berbanding 55,000 unit berada di atas jalan raya. Diikuti dengan Hilux di tangga kedua serta ketiga, Mitsubishi Pajero. Sementara SsangYong Rexton menduduki tangga kelapan. Malahan Rexton juga menerima permintaan yang tinggi di negara jiran, maka tidak mustahil ia turut menjadi sasaran. Bukan itu sahaja, Proton Putra yang telah lama ditamatkan pengeluarannya turut menjadi sasaran. Dan agak menghairankan apabila Peugeot 508 turut menjadi sasaran pencuri dan menduduki tangga keempat dalam carta.

    Jadi bagi pemilik Vellfire dan Hilux, sila lebih berhati-hati agar tidak menjadi sasaran pencuri kenderaan!

     
     
  • PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E – kembali dengan prestasi lebih menyengat bersama nilai lebih hebat

    PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E – kembali dengan prestasi lebih menyengat bersama nilai lebih hebat

    Volvo V40 diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global pada 2012, dan tiba di Malaysia setahun selepas itu. Berbeza dengan model Volvo paling kecil generasi sebelumnya, ia tidak dibintangi oleh versi ‘S’ (sedan), manakala versi ‘V’ kali ini tidak berbentuk wagon, digantikan dengan hatchback lima-pintu.

    Ketika mula menerjah masuk kepasaran Malaysia, ia ditawarkan dengan dua pilihan unit janakuasa iaitu T4 dan T5. Untuk T4 ia didatangkan dengan enjin 1.6 liter empat silinder turbo (180 hp/240 Nm), yang dikaitkan dengan enjin EcoBoost Ford, digandingkan dengan transmisi klac berkembar enam-kelajuan PowerShift juga dari The Blue Oval. Manakala untuk T5, ia diberikan enjin 2.0 liter lima-silinder turbo berkuasa 213 hp/300 Nm digandingkan dengan transmisi automatik torque converter enam-kelajuan.

    Walau bagaimanapun pada tahun lalu, Volvo Cars Malaysia telah membawa V40 versi dipertingkat. Kali ini tiada lagi pilihan varian T4, manakala untuk varian tunggal T5, ia diberikan enjin baharu Drive-E Volvo dengan kapasiti 2.0 liter, empat silinder turbo. Ia turut digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik baharu dari Aisin, dan tetap memacu roda hadapan.

    Tiada perbezaan pada bahagian luaran model ini berbanding versi sebelumnya, di mana ia tampil sama seperti V40 pre-facelift. Sepasang lampu utama LED diberikan, mengapit gril utama yang agak lebar. Gril bahagian bampar direka nipis, bersambung dengan lampu nyalaan siang pada setiap sisi, memberikan imej seperti misai. Tiada liang udara sisi diberikan, tetapi bampar berkenaan diberikan garisan yang agak berotot. Bonet berbentuk-V turut dipadankan untuk melengkapkan imej gagah pada muka hatchback ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Sita motosikal jika Dego Ride masih beroperasi – JPJ

    Sita motosikal jika Dego Ride masih beroperasi – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan amaran kepada sesiapa yang bergiat dalam perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride. Tindakan tegas akan diambil dengan menyita motosikal sekiranya masih aktif beroperasi.

    Menurut Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ Datuk Valluvan Veloo, pihaknya difahamkan pengusaha motosikal teksi tersebut akan kembali beroperasi meskipun amaran dan saman telah dikeluarkan, laporan Bernama.

    “Saya beri amaran, kali ini kita tak akan saman tapi kita akan sita motosikal mereka (pengusaha). Sekarang ini kita kenal pasti lebih 6,000 pengusaha yang berdaftar dan saya difahamkan mereka nak beroperasi kembali, jadi saya beri amaran, anggota JPJ sentiasa bersedia untuk mengambil tindakan. Kalau dua minggu lepas kita hanya keluarkan saman, tapi kali ini kita akan terus sita motosikal,” katanya.

    Beliau turut mengesahkan pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung operasi tersebut dan keterangan daripada ketua pegawai eksekutif Dego Ride juga telah diambil Selasa lalu.

    “CEO Dego Ride dah datang untuk beri keterangan dua hari lepas dan kita akan siasat di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan. Setakat ini kita dah keluarkan tiga saman dan kita kenal pasti operasi Dego Ride ini aktif di sekitar Lembah Klang dan mereka mendapatkan pengguna menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.

    Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya berkuasa untuk mengharamkan Dego Ride dan perkhidmatan ini telah pun diarah dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan dan lesen operasi untuk pengendali perkhidmatan tersebut tidak dikeluarkan buat masa ini.

    “Ketika ini, 62.7% kematian akibat kemalangan jalan raya adalah disumbangkan oleh pengguna motosikal dan ia sangat serius. Jika Dego Ride dibenarkan beroperasi, ia akan meningkatkan kadar kematian,” ujar Liow sambil menambah di bawah Akta Jalan Raya, motosikal tidak boleh digunakan bagi tujuan komersil.

     
     
  • Honda CR-V 2017 – Thai bakal terima diesel 1.6 i-DTEC

    Honda CR-V 2017 – Thai bakal terima diesel 1.6 i-DTEC

    Perincian pertama mengenai Honda CR-V 2017 spesifikasi Thailand telah pun dipaparkan di laman forum Headlight Magazine. Jika informasi ini betul, generasi kelima SUV ini, yang dikesan diuji di Thailand, dijangka bakal diperkenalkan pada hujung Mac ini di Bangkok International Motor Show 2017.

    Bukan itu sahaja, CR-V 2017 ini dikhabarkan bakal ditawarkan dengan enjin turbodiesel buat pertama kalinya – enjin 1.6 liter i-DTEC empat-silinder yang pernah diperkenalkan bagi model facelift generasi terdahulu, mampu menghasilkan kuasa sehingga 160 PS pada 4,000 rpm dan tork 350 Nm pada 2,000 rpm. Tidak seperti enjin CR-V yang lain, yang menggunakan CVT, penjana kuasa diesel ini akan dipadankan bersama transmisi automatik sembilan-kelajuan seperti sebelumnya.

    Selain diesel, CR-V baharu di Thailand juga akan menawarkan enjin petrol yang sama seperti di Amerika Syarikat. Ini termasuklah 1.5 liter turbo, yang ditawarkan buat pertama kalinya pada CR-V; sedikit tinggi berbanding Civic FC. Dengan ciri suntikan terus DOHC ia menghasilkan kuasa sehingga 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 NM antara 2,000 hingga 5,000 rpm. Turut ditawarkan ialah enjin 2.4 liter i-VTEC suntikan terus, dengan kuasa 184 hp pada 6,400 rpm dan tork 244 Nm pada 3,900 rpm.

    Honda CR-V 2017 – Thai bakal terima diesel 1.6 i-DTEC

    Ia turut direka semula untuk bahagian luaran dan dalaman, CR-V baharu ini lebih praktikal berbanding sebelum ini, dengan jarak roda yang lebih panjang – 2,660 mm vs 2,620 mm – memberikannya ruang kabin yang lebih besar. Selain itu, ia ditampilkan dengan gril krom yang lebih besar pada bahagian hadapan (dengan Automatic Shutter Grille System pertama dari Honda), yang bersambung pada lampu utama LED sepenuhnya, serta mengetengahkan pendekatan gaya Solid Wing Face yang sama dimiliki oleh model-model terbaharu Honda, seperti Civic.

    Ruang dalamannya juga diberikan ciri yang lebih premium; panel instrumen dengan skrin berwarna, sistem audio dengan paparan skrin sentuh 7.0-inci berasaskan Android, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga dilengkapi penghawa dingin dwi-zon, pencahayaan ambien LED, brek parkir elektronik dan port bagi USB di belakang sebagai beberapa ciri tambahan.

    Ia turut menerima ciri keselamatan termaju Honda Sensing dan bantuan pemanduan. Ciri ini merangkumi fungsi-fungsi seperti berikut; Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation, Lane Departure Warning (LDW) dan Adaptive Cruise Control (ACC). Walaubagaimana pun, tidak dipastikan adakah kesemua elemen terbabit turut ditawarkan untuk pasaran ASEAN.

    GALERI : Honda CR-V 2017

     
     
  • PSA Group sahkan sedang bida tempat sebagai rakan strategik Proton – sasar kembangkan pasaran ASEAN

    PSA Group sahkan sedang bida tempat sebagai rakan strategik Proton – sasar kembangkan pasaran ASEAN

    Ketika DRB-Hicom enggan mendedahkan syarikat-syarikat yang disenarai pendekkan bagi membida tempat sebagai rakan strategik Proton, salah sebuah syarikat yang dikatakan termasuk dalam senarai iaitu PSA Group dari Perancis mengesahkan mereka kini sedang bersaing untuk mendapatkan tempat tersebut.

    Perkara ini dilaporkan oleh Automotive News Europe, yang menyatakan PSA Group mengesahkan mereka telah menghantar bidaan bagi mendapatkan tawaran perjanjian sebagai rakan strategik asing untuk pengeluar automotif nasional Malaysia berkenaan. Turut dilaporkan, mereka kini sedang bersaing dengan Zhejiang Geely dari China, yang dikatakan sedang mendahului bidaan tersebut.

    “PSA Group membuat tawaran dan sanggup untuk mara kehadapan. Kami tiada komen tambahan pada peringkat ini,” kata jurucakap PSA menerusi email. Selain dari berusaha mendapatkan tawaran perjanjian kerjasama dengan Proton, PSA baru-baru ini disahkan telah mengambil alih jenama India – Ambassador – dari Hindustan Motors, serta sedang berunding dengan General Motors bagi mengambil alih jenama Opel-Vauxhall.

    Penganalisa berpendapat, jika PSA Group berjaya mendapatkan kerjasama ini, mereka bakal mempunyai akses kepada fasiliti Proton di Tanjung Malim yang kini tidak digunakan sepenuhnya sebagai pangkalan produksi dan eksportnya. Ini bakal membolehkan sasaran PSA untuk mengembangkan pasarannya di Asia Tenggara (Thailand dan Indonesia) serta pasaran penting lain dapat dicapai.

    Manakala Geely pula sebelum ini dilaporkan menawarkan DRB-Hicom dengan berberapa teknologi baharunya yang dibina bersama Volvo yang bakal disalurkan kepada Proton sebagai sebahagian dari perjanjian. Syarikat automatif China tersebut mensasarkan untuk masuk ke pasaran kereta pemanduan sebelah kanan (RHD) global menerusi Proton dan juga akses kepada teknologi Lotus melalui kerjasama ini.

    DRB-Hicom sebelum ini menegaskan bahawa rakan strategik Proton hanya akan diumumkan pada penghujung separuh pertama tahun ini. Setelah menerima bidaan, DRB-HICOM akan memulakan rundingan terperinci dengan pembida-pembida untuk memastikan semua perkara utama yang akan dipertimbangkan ada di dalam bidaan bakal rakan strategik tersebut. Ini merangkumi keserasian strategik, operasi dan budaya. DRB-Hicom juga menegaskan mereka akan kekal sebagai pemegang ekuiti utama di dalam Proton, yang merupakan jenama automotif nasional pertama di Malaysia serta satu-satunya pengeluar automotif ASEAN.

     
     
  • Kementerian Kerja Raya sedang uji sistem ‘weigh-in-motion’ untuk banteras kenderaan lebih muatan

    Kementerian Kerja Raya sedang uji sistem ‘weigh-in-motion’ untuk banteras kenderaan lebih muatan

    Semasa melakukan lawatan tapak projek jejambat Jalan Bukit Ubi, Kuantan, menteri kerja raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu bahawa kementeriannya sedang menguji satu sistem baru bernama ‘weigh-in-motion‘ (WIM) yang bertujuan mengesan kenderaan lebih muatan, seterusnya menghindarkan mereka daripada meneruskan perjalanan.

    Beza antara WIM ini dan stesen timbang berat yang digunakan sekarang adalah ia dapat mengesan berat sesuatu kenderaan meskipun waktu sedang bergerak, seterusnya tidak akan memberi kesan kepada lalu lintas dan pergerakan kenderaan lain.

    Menurut Fadillah lagi, langkah menghalang kenderaan lebih muatan ini adalah penting bagi melindungi infrastruktur yang telah dibina dan mengelakkan sebarang bencana berlaku. Paling dirisaukan adalah jejambat dan struktur yang sudah wujud untuk tempoh yang lama.

    Kementerian Kerja Raya sedang uji sistem ‘weigh-in-motion’ untuk banteras kenderaan lebih muatan

    “Untuk sistem ini, kami bekerja sama dengan pelbagai agensi termasuk kementerian pengangkutan (MOT) dan ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Selain itu, kami juga akan mencadangkan penggunaan sistem ini kepada syarikat konsesi lebuh raya,” tambah Fadillah.

    WIM sudah banyak digunakan di negara lain termasuk Eropah dan Amerika Syarikat, dan ia bukan setakat untuk jalan raya biasa, malah juga digunakan untuk keretapi dan juga kapal terbang.

     
     
  • Kawasaki Z650 di M’sia dijual pada harga RM35,605

    Kawasaki Z650 di M’sia dijual pada harga RM35,605

    Dikenalkan untuk pasaran Malaysia bulan lalu, harga bagi Kawasaki Z650 ABS kini telah disahkan; RM35,605, termasuk GST. Ia sama seperti harga anggaran yang dinyatakan oleh Pengurus Besar dan Pengarah Kawasaki Malaysia, Datuk Jeffrey Lim sebelum ini, yang menjangkakan harganya akan berada di bawah RM37,000.

    Ini bermaksud, versi fairing, Ninja 650, yang sebelum ini dijangka akan dijual pada harga RM38,000, tidak akan berada jauh dari harga Z650 ini. Dengan pengesahan harga ini, ia membolehkan penawaran motosikal ini hadir degan pakej yang sangat menarik dan berbaloi. Pesaing terdekatnya, Yamaha MT-07 tanpa ABS dijual pada harga RM36,795.

    Menggunakan enjin berkembar selari, 649 cc sejukan cecair, ia menghasilkan kuasa 67.3 hp pada 8,000 rpm dan 65.7 Nm tork pada 6,500 rpm. Brek Bosch 9.1M ABS ditawarkan sebagai standard bagi Z650 dan Ninja 650. Antara ciri baru pada Kawasaki Z650 2017 ini ialah kluster instrumen LCD. Tangki minyak pula berkapasiti 15 liter. Beratnya 187 kg, dengan ketinggian tempat duduk 790 mm.

    Kawasaki Z650 ABS ini ditawarkan dalam dua pilihan warna, Lime Green atau Titanium, dan boleh didapati bermula hujung Februari ini menerusi pengedar premium Kawasaki yang sah.

     
     
  • Honda Malaysia umum stesen Petronas terpilih turut dijadikan pusat penukaran inflator beg udara Takata

    Honda Malaysia umum stesen Petronas terpilih turut dijadikan pusat penukaran inflator beg udara Takata

    Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan pihak mereka akan menambah lokasi untuk proses penukaran inflator beg udara Takata bagi kenderaan jenamanya yang terjejas dengan panggilan semula tersebut. Usaha yang dilakukan untuk mempercepatkan proses panggilan semula berkenaan termasuk kerjasama yang dilakukan bersama Petronas Dagangan Berhad (PDB), bagi membolehkan pusat penukaran tambahan diwujudkan pada stesen-stesen Petronas terpilih.

    Selain itu, Hab Bergerak yang ditempatkan pada pusat-pusat membeli belah terpilih masih lagi kekal beroperasi. Pemilik yang terlibat juga masih boleh melakukan penukaran ini di semua 84 pusat servis Honda bertauliah diseluruh Malaysia. Pusat penukaran yang diwujudkan pada setiap Honda Family Road Trip (HFRT) juga masih diteruskan.

    Bagi mereka yang mahu menukar inflator beg udara tersebut di stesen Petronas terpilih (rujuk jadual di bawah untuk lokasi dan waktu operasi) dan juga pusat servis Honda bertauliah, anda terlebih dahulu perlu membuat temu janji bagi mengelakkan kelewatan berlaku untuk proses penukaran. Manakala untuk mereka memilih untuk menukarnya di hab-hab bergerak pusat membeli-belah dan HFRT, tiada sebarang temu janji perlu dilakukan.


    Klik untuk besarkan

    Honda Malaysia juga kini berkerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menghubungi kesemua pemilik kenderaan terlibat yang tidak lagi berhubung dengan pihak mereka.

    Setakat Febuari 2017, stok alat ganti untuk inflator beg udara Takata bahagian pemandu berada pada tahap 100%, manakala segala usaha yang dilakukan oleh Honda Malaysia untuk memanggil semula semua kenderaan yang terlibat menyaksikan 75% dari jumlah keseluruhan telah berjaya ditukar.

    Untuk inflator beg udara Takata bahagian penumpang hadapan pula, stok alat ganti kini mencapai 75%. Honda Malaysia kini sedang berusaha keras untuk mendapatkan stok alat ganti tersebut ke tahap 100%. Mereka juga kini komited untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi menambah baik nisbah lengkap untuk penukaran inflator antara bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

    Jika anda ragu-ragu sama ada kenderaan Honda anda terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini, anda boleh lawati laman web khas yang disediakan DI SINI, dan masukkkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) atau dikenali juga sebagai nombor casis kereta anda DI LAMAN TERSEBUT. Anda juga boleh memeriksa status kereta anda atau untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan apa-apa juga tentang isu ini dengan menghubungi talian 1800-88-2020 atau kunjungi mana-mana pengedar sah Honda.

     
     
  • Jejambat Jalan Bukit Ubi, Kuantan dijangka siap 2 April ini – buka kepada pengguna sebulan kemudian

    Jejambat Jalan Bukit Ubi, Kuantan dijangka siap 2 April ini – buka kepada pengguna sebulan kemudian

    Penduduk sekitar Kuantan tidak lama lagi akan berasa lebih lega dengan kesesakan trafik yang berlaku sekarang di tengah bandar apabila projek jejambat Jalan Bukit Ubi dijangka siap 2 April ini. Sehingga masa ini, projek yang memakan belanja RM40 juta ini secara fizikalnya sudah siap 91.19 peratus.

    Apabila siap nanti, jejambat ini akan memberi impak positif kepada lebih 100,000 penduduk sekitar kerana ia akan menjadi laluan tambahan kepada jalan sedia ada iaitu Jalan Bukit Ubi, Persimpangan Jalan Lim Hoe Lek – Jalan Bukit Ubi dan juga Persimpangan Jalan Bukit Ubi – Jalan Haji Juned.

    Jejambat Jalan Bukit Ubi, Kuantan dijangka siap 2 April ini – buka kepada pengguna sebulan kemudian

    Jejambat Bukit Ubi adalah sebuah laluan bertingkat berukuran 650 meter, dan mempunyai empat lorong  dua hala, iaitu dua lorong keluar dan dua lorong masuk, lengkap dengan lampu jalan dan lampu isyarat. Jalan dan persimpangan yang ada berhampiran jejambat ini juga dinaik taraf.

    “Peratus kelewatan projek ini adalah minimal, iaitu hanya 1.31 peratus, dan ini bukanlah datang daripada kontraktror. Ia dijangka siap pada 2 April 2017 dan selepas itu, kami akan menjalankan sesi audit, yang boleh mengambil masa sehingga satu bulan untuk memastikan segalanya mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak,” kata menteri kerja raya, Datuk Seri Fadillah Yusof semasa melawat tapak projek hari ini.

     
     
  • Jumlah jualan kenderaan di Malaysia bagi Januari 2017 mengikut jenama – Perodua teratas, Honda kedua

    Jumlah jualan kenderaan di Malaysia bagi Januari 2017 mengikut jenama – Perodua teratas, Honda kedua

    Januari 2017 tidak mencatatkan angka jualan yang menggalakkan bagi keseluruhan indsutri automotif, dengan jumlah jualan menurun 31% berbanding Disember, dengan sentimen yang sama seperti dapat dilihat bagi bulan Disember 2015/Januari 2016 sebelum ini.

    Walaupun begitu, jumlah keseluruhan kenderaan yang terjual meningkat kepada 44,667 unit, berbanding 44,589 unit pada bulan yang sama tahun lalu. Data yang dikeluarkan oleh MAA ini memberi gambaran yang jelas terhadap prestasi jualan berdasarkan jenama-jenama pengeluar untuk pasaran tempatan.

    Kekal ditempat pertama masih lagi Perodua, dengan 14,203 unit terjual, mewakili 42.3% penurunan jika dibandingkan dengan bulan Disember 2016. Sementara itu, Proton pula mengalaman penurunan 0.2% dalam jualan, dengan 7,207 unit kenderaannya terjual bagi Januari 2017, berbanding 7,223 unit pada Disember 2016.

    Bagi jenama pengluar bukan nasional, Honda mengekalkan tempat di kedudukan kedua dengan 8,594 unit kenderaan terjual, jatuh 25% berbanding bulan Disember 2016, yang mencatatkan 11,461 unit terjual. Jenama lain yang turut mencatatkan penurunan angka jualan termasuk Toyota (-20.9%), Nissan (-67.6%), Lexus (-64%) dan Volvo (-82.4%).

    Sementara itu, lain pula ceritanya bagi beberapa jenama lagi. Mercedes-Benz misalnya mencatatkan peningkatan 4.6% dengan 928 unit terjual. Mazda juga sama, dengan 804 unit terjual (+33.3%). Peratusan peningkatan jualan paling tinggi pula dicatatkan oleh Hyundai, dengan 582 unit terjual (+93.4%) – disebabkan oleh pengenalan model Ioniq dengan tanda harga yang menarik. Volkswagen juga positif, dengan 327 unit terjual (+58%).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026