Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tuntutan insurans kenderaan di M’sia cecah RM5.02 bilion pada 2016, purata RM13.8 juta sehari – PIAM

    Tuntutan insurans kenderaan di M’sia cecah RM5.02 bilion pada 2016, purata RM13.8 juta sehari – PIAM

    Walaupun mencatatkan penurunan sebanyak 5% berbanding tahun 2015, tuntutan insurans kenderaan sepanjang tahun 2016 kekal tinggi, iaitu mencecah RM5.02 bilion keseluruhannya. Ini secara purata bersamaan dengan pelunasan bayaran sebanyak RM13.8 juta sehari, merangkumi tuntutan terhadap kerosakan harta benda, kecederaan tubuh badan serta kecurian kenderaan.

    Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Anthony Lee menyatakan, walaupun merangkumi 46.2% daripada keseluruhan industri insurans di Malaysia, dan mencatatkan pertumbuhan marginal 0.8% pada 2016, ia pada masa yang sama menjadi elemen yang paling merugikan bagi syarikat insurans disebabkan angka tuntutan yang begitu tinggi – juga mengambilkira kecederaan akibat kemalangan dan kematian.

    Nilai keseluruhan yang terkumpul bagi insurans kenderaan pada 2016 ialah RM8.17 bilion, berbanding RM8.09 bilion pada 2015. Pertumbuhan yang kecil sebanyak 0.8% yang direkodkan tahun lalu adalah disebabkan oleh suasana pasaran automotif tempatan yang perlahan – angka jualan kenderaan bagi 2016 menguncup sebanyak 13% dengan hanya 580,000 unit, angka terendah sejak 2009.

    Tuntutan insurans kenderaan di M’sia cecah RM5.02 bilion pada 2016, purata RM13.8 juta sehari – PIAM

    Bagaimana untuk mengatasi tuntutan insurans yang tinggi saban tahun? Menurut PIAM, industri insurans kini sedang melihat kepada aktiviti nyah-tarif atau keterbukaan terhadap industri yang kini sedang berlangsung secara berperingkat. Namun, apa maksudnya dan kesannya kepada pengguna?

    Sekiranya ia dilaksanakan kelak, kadar premium atau bayaran yang dikenakan untuk insurans kenderaan tidak lagi disandarkan pada satu faktor sahaja, iaitu nilai kenderaan yang diinsuranskan. Dengan perkembangan terbaru itu kelak, banyak lagi faktor yang akan dipertimbangkan. Misalnya, risiko-risiko lain pemandu seperti usia, kekerapan terlibat dalam kemalangan sebelumnya, serta kesalahan lain lalu lintas yang pernah di lalukan.

    Bagi terakhir yang dinyatakan, sistem mata demerit yang pernah dicadangkan oleh pihak berkuasa dilihat sebagai satu kaedah penting bagi tujuan ini. Ringkasnya, jika risiko anda sebagai pemandu adalah tinggi (kerana kerap terlibat dalam kemalangan), kadar premium yang akan dikenakan mungkin lebih tinggi, atau sebaliknya bergantung kepada pelanggan dan pakej perlindungan yang dipilih.

    Tuntutan insurans kenderaan di M’sia cecah RM5.02 bilion pada 2016, purata RM13.8 juta sehari – PIAM

    Hal ini menurut PIAM akan mendidik pengguna untuk menjadi pemandu yang lebih berhemat dijalan raya sekiranya tidak ingin membayar premium yang mahal, dan secara tidak langsung jalanraya akan menjadi lebih selamat.

    Secara keseluruhannya, industri insurans am di Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.1% pada 2016, dengan pendapatan sekitar RM17.67 bilion. Ini kadar pertumbuhan terendah, dengan trend menurun yang dicatatkan berturut-turut sejak 2013. Selain insurans kenderaan yang menyumbang kepada bahagian terbesar insurans am di Malaysia, insuran kebakaran pula berada ditempat kedua dengan pegangan pasaran sebanyak 18.5%, dengan pertumbuhan 5% atau sebanyak RM3.27 bilion.

     
     
  • Toyota C-HR dilancarkan di Australia – produksi dari Jepun, enjin 1.2 liter turbo, harga bermula RM92k

    Toyota C-HR dilancarkan di Australia – produksi dari Jepun,  enjin 1.2 liter turbo, harga bermula RM92k

    2017 Toyota C-HR Koba with optional black roof

    Selepas Eropah, Jepun dan Singapura, kini pencabar Honda HR-V dalam segmen SUV crossover segmen-B – Toyota C-HR – telah pun secara rasmi mendarat di pasaran Australia. Untuk pasaran berkenaan, CH-R diimport sepenuhnya dari Jepun, ditawarkan dengan dua varian iaitu standard dan varian tertinggi Koba (sempena nama ketua jurutera SUV ini, Hiroyuki Koba).

    Untuk Australia, C-HR dijual dengan harga bermula $26,990 (RM92,200) untuk model asas manual, meningkat kepada $28,990 (RM99,000) untuk standard CVT serta $33,290 (RM113,700) untuk Koba CVT. Bagi versi pacuan semua roda pula, standard CVT dijual pada harga $30,990 (RM105,800), manakala untuk Koba CVT pula berharga $35,290 (RM120,500).

    Berbanding HR-V di pasaran sama, model standard C-HR CVT dilihat dijual sekitar $4,000 lebih mahal. HR-V untuk pasaran Australia tidak ditawarkan dengan transmisi manual dan pacuan semua roda, serta mempunyai kuasa enjin lebih besar dari C-HR. HR-V dijual pada harga bermula $24,990 (RM85,300) untuk model asas 1.8 VTi, manakala varian tertinggi 1.8 VTi-L yang dilengkapi sistem bantuan pemanduan ADAS dijual pada harga $33,990 (RM116,065), sedikit lebih mahal berbanding C-HR Koba 2WD.

    Kesemua varian pasaran Australia menerima lampu nyalaan siang LED secara standard, manakala untuk Koba, ia turut diberikan lampu hadapan LED sepenuhnya bersama 12 LED isyarat sequential. Bahagian belakang pula, varian standard menerima lampu kombinasi LED, manakala Koba diberikan lampu LED sepenuhnya.

    Toyota C-HR dilancarkan di Australia – produksi dari Jepun,  enjin 1.2 liter turbo, harga bermula RM92k

    2017 Toyota C-HR Koba

    Lapan warna badan ditawarkan termasuk Atomic Rush (merah), Bionic Bronze, Electric Teal dan Shadow Platinum (perak) yang merupakan warna baharu untuk pasaran berkenaan. Varian Koba turut ditawarkan dengan pilihan warna dua ton iaitu bumbung putih untuk warna badan perang, biru, kuning atau teal, manakala bumbung hitam bagi warna badan putih, kuning atau perak.

    Aerodinamik turut telah dioptimakan menerusi penggunaan panel di bawah badan untuk mengurangkan turbulens udara bersama dengan pelindung ruang roda hadapan serta lengan suspensi yang direka bagi mengurangkan rintangan udara. Sayap belakang pada pintu tailgate SUV ini juga direka dengan fungsi dan bukan sekadar untuk elemen estetika. Spoiler berkenaan mampu mengurangkan geseran udara atau CoD (0.34 untuk standard, 0.35 untuk Koba) dan meningkatkan kestabilan ketika kelajuan tinggi.

    Pada bahagian dalaman, papan pemuka C-HR direka berorentasikan pemandu. Ia diberikan skrin sesentuh 6.1 inci yang memberikan fungsi sistem navigasi dan servis atas talian Toyota Link. Untuk membezakan varian, Koba diberikan tema warna dalaman mocha bersama kemasan-kemasan berwarna perak.

    Varian standard juga turut diberikan roda aloi 17-inci, lampu puddle memancarkan logo C-HR, penderia parkir hadapan dan belakang, penggilap cermin automatik, penghawa dingin dua-zon automatik, paparan pelbagai-info berwarna 4.2-inci, roda stereng pelbagai fungsi dengan larasan tinggi-rendah dan teleskopik, sistem navigasi, kamera undur dan juga enam-pembesar suara.

    Untuk Koba pula, ia dipadankan dengan rim aloi kemasan digilap 18-inci dan ditambah dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit, pemanas tempat duduk, larasan lumbar bahagian pemandu, cermin privasi, lampu suasana kabin dan juga ioniser udara nano-e. Untuk keselamatan pula, kesemua model dilengkapi Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Active Cruise Control (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDA), High Beam automatik (AHB), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik (RCTA).

    C-HR pasaran Australia dijana oleh enjin 1.2 liter turbo empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus D-4T dan VVT-iW yang membolehkan kitaran Otto konvensional berubah kepada kitaran Atkinson. Enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa puncak 114 hp pada 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork maksima 185 Nm bermula 1,500 hingga 4,000 rpm.

    Untuk varian manual 2WD, penggunaan bahan api dicatatkan pada 6.3 liter untuk setiap 100 km, manakala CVT mencatatkan 6.4 liter untuk setiap 100 km. Bagi varian CVT AWD pula, ia mencatatkan penggunaan bahan api 6.5 liter setiap 100 km.

     
     
  • Carlos Ghosn bakal letak jawatan presiden dan CEO Nissan, digantikan oleh Hiroto Saikawa bermula 1 April

    Carlos Ghosn bakal letak jawatan presiden dan CEO Nissan, digantikan oleh Hiroto Saikawa bermula 1 April

    Bos Pakatan Renault-Nissan, Carlos Ghosn bakal melepaskan jawatannya sebagai presiden dan CEO Nissan bermula 1 April ini, menurut laporan Automotive News. Walau bagaimanapun, Ghosn akan kekal sebagai pengerusi Nissan dan masih menyandang jawatan sebagai pengerusi dan CEO Renault, Pakatan Renault-Nissan dan Mitsubishi, dalam usahanya untuk lebih fokus terhadap kepimpinan terhadap kumpulan automotif berkenaan.

    CEO bersama Nissan sedia ada, Hiroto Saikawa, akan menyandang jawatan tersebut bersendirian kelak; tanggungjawabnya di Mitsubishi memerlukan tugas tersebut diserahkan sepenuhnya kepada Saikawa,kata Ghosn.

    “Sebagai Pengerusi Nissan, saya akan terus memantau dan memimpin syarikat ini, kedua-duanya bebas dan di dalam Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi,” kata Ghosn. “Perubahan perancangan ini turut membolehkan saya untuk menumpukan lebih masa dan tenaga bagi menguruskan evolusi strategik dan operasi serta pengembangan Pakatan dan memastikan bahawa semua ahli mendapat faedah dari kelebihan kompetitif yang akan diberikan skala tersebut,” tambahnya.

    Perlantikan Saikawa ini selari dengan matlamat Ghosn yang mahu kepimpinan dari rakyat Jepun sendiri untuk jenama tersebut. “Saya mahu apabila tiba masa nanti pengganti dari Jepun akan mengetuai Nissan. Ia adalah simbolik, dan kita ada ramai bakat dari Jepun. Saya mahu Nissan terus dilihat sebagai syarikat Jepun,” kata Ghosn kepada Automotive News dalam satu temuramah tiga tahun lalu. Saikawa kini telah berusia 63 tahun, setahun lebih tua daripada Ghosn.

    Saikawa mula menyertai Nissan pada tahun 1977, dan kemudian dilantik sebagai pengerusi komiti pengurusan Amerika dan Eropah serta sebagai naib presiden eksekutif untuk pembelian. Selepas itu, Saikawa berkhidmat sebagai ketua pegawai kompetitif Nissan dari 2013 hingga 2016, dan juga turut dilantik sebagai ahli lembaga Renault dari 2006 hingga 2016.

     
     
  • Jika Proton sah terima Geely sebagai rakan strategik, teknologi Geely berikut mungkin akan diterima Proton

    Jika Proton sah terima Geely sebagai rakan strategik, teknologi Geely berikut mungkin akan diterima Proton

    Laporan sebelum ini menyebut Zhejiang Geely dijangka bakal memulakan bidaan untuk tempat sebagai rakan strategik asing Proton, pada awal minggu ini. Proton ketika ini sedang memberi fokus untuk memilih rakan strategiknya, dan ada laporan mengatakan Geely kini sedang bersaing sengit dengan Groupe PSA (pemilik Peugeot dan Citroen) untuk tempat tersebut.

    Menurut sumber yang rapat dengan proses tersebut, Geely bakal menawarkan Proton teknologi kenderaan terbaharunya yang dibina bersama Volvo sebagai sebahagian tawaran berkenaan. Ini termasuk teknologi yang digunakan untuk membina sedan GC9 dan SUV Boyue keluaran jenama berkenaan, dan juga teknologi kenderaan kompak yang dibangunkan bersama Volvo, dedah sumber berkenaan.

    Teknologi yang dimaksudkan berkemungkinan besar termasuk platform baharu Compact Modular Architecture (CMA) yang dijadikan asas bagi pembinaan model siri-40 Volvo seperti Volvo XC40 yang bakal diperkenalkan tahun ini, dan juga model-model Geely yang lain. Platform baharu berkenaan direka bagi membolehkan unit janakuasa elektrik dipadankan padanya, di mana unit janakuasa hibrid T5 Twin Engine memang dibina khas untuknya.

    Sumber tersebut turut menambah, dengan menawarkan Proton berberapa teknologinya, Geely mensasarkan untuk menerjah masuk ke pasaran kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD), menerusi Proton. Kerjasama yang signifikant bersama Proton ini bakal memberikan syarikat China tersebut asas yang kukuh untuk masuk ke pasaran RHD global, yang setakat ini mereka belum lagi menjual walau sebuah model RHD sedangkan pasaran global menunjukkan sejumlah lapan juta kenderaan RHD dijual di seluruh dunia setiap tahun.

    Jika kerjasama Proton-Geely ini benar-benar terjadi, apakah teknologi yang bakal Proton terima? Kami tampilkan apa yang Geely ada dalam barisan model mereka, yang agak komprehensif, pada galeri di bawah.

    Selain dari GC9 dan Boyue yang dipetik sebagai model yang berkemungkinan, model baharu seperti GL, GS dan juga Emgrand EC7 mungkin juga akan dipilih. Kami juga tampilkan semua model yang ditawarkan oleh Geely pada laman sesawang versi Bahasa Inggeris jenama berkenaan bagi memberikan gambaran penuh keseluruhan falsafah pembinaan mereka.

    Model Boyue yang mula diperkenalkan akhir tahun lalu menampilkan rekaan agak berbeza dengan model-model sebelumnya, melambangakan signatur rekaan terkini dari jenama China berkenaan. SUV tersebut menampilkan pelbagai rekaan baharu hasil bekas pereka Volvo, Peter Horbury yang kini mengetuai empat studio rekaan Geely iaitu di Gothenburg (Sweden), Shanghai (China), Barcelona (Sepanyol), dan Los Angeles (Amerika Syarikat), dioperasikan oleh sekitar 300 pereka.

    Berdasarkan gambar, bahagian dalaman Boyue ini cukup premium, dan kelengkapan yang diberikan juga agak banyak seperti skrin infotaimen lapan-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem keselamatan termasuk Amaran Keluar Laluan dan adaptive cruise control (ACC).

    Jika Proton sah terima Geely sebagai rakan strategik, teknologi Geely berikut mungkin akan diterima Proton

    Untuk pasaran China, Boyue yang berdimensi 4.5 meter panjang ini diberikan dua pilihan enjin. Varian asas menerima enjin 2.0 liter NA berkuasa 140 hp/178 Nm dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala untuk varian lebih tinggi diberikan enjin 1.8 liter turbo suntikan bahan api terus (TGDI), menawarkan dua pilihan kuasa, berdasarkan pilihan transmisi.

    Enjin 4G18TD yang diiktiraf memenuhi spesifikasi Euro-5 dengan padanan kotak gear manual, ditala bagi memberikan kuasa 160 hp/250 Nm. Manakala untuk versi transmisi klac-berkembar automatik pula, enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa 181 hp/285 Nm. Kotak gear klac-berkembar enam-kelajuan berkenaan dibina oleh Drivetrain System International (DSI), yang juga merupakan subsidiari Geely dari Australia.

    Pada pasaran luar tertentu, Boyue ditawarkan dengan enjin NA 2.4 liter, menggantikan enjin 1.8 liter TGDI. Kedua-dua enjin 1.8 TGDI dan 2.4 NA tersebut turut menjana sedan GC9, yang diperkenalkan dua tahun lalu. Sedan berkenaan dikenali sebagai Borui di China manakala untuk pasaran luar tertentu, ia dikenali sebagai Emgrand GT.

    Sedan mewah dengan dimensi 4,596 mm panjang, 1,861 mm lebar dan 1,513 mm tinggi ini turut hadir dengan versi flagship 3.5 liter. Kesemua enjin pada barisan model GC9 dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Seperti juga Boyue, GC9 dilihat begitu premium di dalam gambar, disertakan dengan lampu hadapan LED, paparan Head-Up, sistem audio Infinity dengan 13-pembesar suara, kamera 360 darjah serta ACC.

    Untuk model lain iaitu sedan GL, SUV GS (ditawarkan dalam versi Elegant dan Sport) dan Emgrand EC7 diberikan enjin NA 1.8 liter dan 1.5 liter, serta enjin 1.3 liter turbo baharu dari jenama China berkenaan.

    Enjin 1.3 liter turbo tersebut diberikan berberapa talaan dengan kuasa bermula 127 hp hingga 131 hp, manakala tork untuk kesemua versi kekal pada 185 Nm. Tiga pilihan transmisi ditawarkan untuk enjin ini iaitu enam-kelajuan manual, enam-kelajuan klac berkembar dan juga CVT.

    Untuk barisan model Emgrand, ia terdiri dari empat model. Manakala barisan standard pula, Geely menghasilkan sembilan jenis model, kesemuanya dijana enjn NA 2.0 liter, 1.8 liter dan 1.5 liter.

    Secara keseluruhan, apa pendapat anda berkenaan model-model dari Geely ini? Adakah Geely akan memasarkan sebahagiannya pada rantau ini dalam versi RHD sekiranya kerjasama bersama Proton ini benar-benar berlaku? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

    Galeri penuh disini

     
     
  • Jual Proton kepada pihak luar akan akibatkan banyak pekerjaan hilang, vendor tutup kedai – Tun M

    Jual Proton kepada pihak luar akan akibatkan banyak pekerjaan hilang, vendor tutup kedai – Tun M

    Semua orang mempunyai pandangan tersendiri terhadap Proton. Sebagai pengeluar kereta nasional, Proton merupakan kepentingan bersama diperingkat kebangsaan. Untuk itu, setiap dasar yang ditentukan oleh kerajaan akan memberi kesan kepada ramai orang juga. Geran dan pinjaman yang diterima daripada kerajaan juga sudah tentu daripada wang hasil dari pembayar cukai.

    Pasaran automotif Malaysia tidak pernah terlalu terbuka. Proton bersaingan tidak hanya dengan pendahulu pasaran, Perodua tetapi turut dengan model-model dari pengeluar lain. Tanpa skala ekonomi yang luas diperingkat global, memang sukar untuk mana-mana jenama untuk kekal berdaya saing secara cekap. Di Malaysia sahaja pun, Proton sudah lama tidak lagi menjadi satu-satunya jenama yang dekat dengan rakyat Malaysia – Perodua, dengan sokongan Daihatsu, menjadi antara faktor.

    Situasi tidak menyebelahi Proton kini. Pada 2016, syarikat milik DRB-Hicom itu hanya menjual sejumlah 72,290 unit kenderaan sahaja (jatuh 29.2% berbanding 2015). Jualan 70,000 unit kenderaan tidak mencukupi untuk mengekalkan syarikat dalam keadaan yang “sihat”, membawa kepada pemberian pinjaman RM1.5 bilion tahun lalu untuk membolehkan Proton menjelaskan hutangnya. Pinjaman itu datang dengan satu syarat; Proton perlu mencari rakan strategik asing.

    Jual Proton kepada pihak luar akan akibatkan banyak pekerjaan hilang, vendor tutup kedai – Tun M

    Terakhir, dua pihak dikatakan sangat berminat untuk menjadi rakan strategik asing itu – PSA Group dari Perancis (pengeluar Peugeot dan Citroen) dan Geely dari China, yang kini merupakan pemilik Volvo. Menurut DRB-Hicom, keputusan berkaitan rakan strategik Proton itu akan diumumkan pada separuh pertama tahun 2017. Namun, itu tidak dapat menghindarkan spekulasi yang bertiup hampir setiap hari berkaitan hal ini – baik dari media dan juga pegawai kerajaan.

    Ada dua perbincangan utama yang lahir daripada situasi ini. Paling mudah dijangka ialah sama ada Proton patut dijual kepada pihak asing. Perlu diingat, tiada pihak berminat yang inginkan pertukaran teknologi dan dana hanya dengan jumlah pegangan yang rendah dalam syarikat itu.

    Untuk lebih mudah difahami; disatu pihak ingin mempertahankan “maruah nasional” sementara di pihak lain adalah mereka yang inginkan pengakhiran kepada perlindungan yang sangat mahal terhadap Proton. Kata mereka, apa yang boleh dibanggakan, misalnya jika dibandingkan pencapaian Proton dengan Hyundai?

    Jual Proton kepada pihak luar akan akibatkan banyak pekerjaan hilang, vendor tutup kedai – Tun M

    Antara perbincangan lain yang turut mengambil tempat ialah, jika Proton akan dijual, adakah ia patut berbuat demikian kepada syarikat Perancis atau China? Walaupun pemilikan Geely terhadap Volvo memberikan kesan positif (dengan sokongan kewangan yang kukuh serta rekaan dan R&D Sweden), serta pemilikan India terhadap jenama Jaguar Land Rover juga telah membolehkan jenama itu meningkatkan jualan yang belum pernah dicapai sebelum ini, Proton adalah kisah yang lain.

    Bagi kebanyakan kita di sini, Proton melambangkan kebanggaan nasional, dan untuk itu, hal seperti ini kerap dilihat dari sudut pandang yang tidak objektif. Dalam situasi sekarang, negara asal Geely menjadi antara kerisauan utama.

    Tetapi, apa yang difikirkan oleh pengasas Proton terhadap situasi syarikat itu sekarang? Tun Mahathir Mohamad menyatakan pandangannya dilaman blog beliau, seperti yang disertakan di sini. Tidak mengejutkan kerana beliau menentang pemilikan asing terhadap Proton. Berikut pandangannya:

    1. Saya sangat sedih kerana Proton akan dijual kepada syarikat asing. Mempunyai rakan strategik ok. Tetapi sebaik sahaja Proton dijual kepada orang luar, ia tidak lagi akan menjadi kereta kebangsaan. Ia hanya akan menjadi pengeluar kenderaan asing di Malaysia. Itu yang sudah kita lakukan sejak 1970an.

    2. Proton mungkin tidak menguntungkan buat masa ini. Tetapi ia sangat menguntungkan dahulu. Mungkin sebab ia dilindungi. Tetapi selepas perlindungan itu ditamatkan, ia tetap mencatatkan untung. Semua negara melindungi industri automotifnya. Ia mungkin bukan melalui duti import yang tinggi. Tetapi ada banyak cara lain untuk menghalang kenderaan import mencabar kenderaan keluaran tempatan. Cara-cara lain ini sebenarnya lebih berkesan dan tidak melibatkan keluaran asing sepenuhnya. Ini antara sebab mengapa Proton sukar dieksport ke negara-negara berkenaan. Kita sangat bermurah hati. Sesiapa saja boleh mengeksport kereta mereka ke negara ini. Kereta dengan kualiti yang lebih rendah juga boleh dibawa masuk.

    3. Saya tidak lagi di dalam Proton sekarang. Sejak itu saya tidak dibenarkan walaupun untuk berjumpa dan bercakap atau menelefon staf Proton.

    4. Itu tak menjadi masalah.

    5. Ketakutan saya ialah jika kita tidak lagi memiliki Proton, industri automotif Malaysia akan rugi besar.

    6. Vendor dan pembekal akan tutup kedai. Ramai pekerja akan hilang pekerjaan mereka. Dan keupayaan serta kapasiti kejuruteraan Malaysia akan dikurangkan. Ia tidak akan menjadi negara maju pada 2020 atau selepas itu. Malaysia akan kekal menjadi negara dunia ketiga.

    7. Suatu masa dulu, Malaysia digelar sebagai Harimau Asia. Hari ini Malaysia bahkan bukan seekor kucing. Kita telah menjadi satu daripada 10 negara paling korup di dunia.

    Syabas! Najib.

    Apa pula pandangan anda? Tinggalkan aspek politik ditepi, adakah langkah yang akan diambil untuk Proton selepas ini akan memberi manfaat kepada kita atau sebaliknya?

     
     
  • Pemuda BN beri petrol percuma untuk motosikal di semua Wilayah Persekutuan pada setiap awal bulan

    Pemuda BN beri petrol percuma untuk motosikal di semua Wilayah Persekutuan pada setiap awal bulan

    Ketua Pemuda BN Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Mohammad Rafii berkata pihaknya akan memberi bantuan petrol percuma kepada penunggang motosikal di setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya setiap awal bulan bermula April ini, lapor Bernama.

    Menurut beliau usaha ini bertujuan membantu meringankan beban rakyat terutama penunggang motosikal dan seramai 117,000 penunggang motosikal disasar menerima bantuan berkenaan sepanjang program itu berlangsung.

    “Kita akan beri kepada semua tanpa mengira latar belakang dan parti politik,” katanya kepada pemberita pada Program Isi Minyak Motor Percuma anjuran Pergerakan Pemuda MyPPP Wilayah Persekutuan.

    “Kita faham bahawa orang yang bermotor ini ramai yang kurang berkemampuan dan kerajaan yang sedia ada ini prihatin terhadap rakyat,” tambah beliau lagi dan menyatakan Pemuda BN Wilayah Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM250,000 untuk menjayakan program itu.

     
     
  • Isuzu jangka jumlah eksport Thai tahun ini mendatar

    Isuzu jangka jumlah eksport Thai tahun ini mendatar

    Jumlah eksport kenderaan Isuzu dari Thailand dijangka mendatar tahun ini memandangkan permintaan dari pasaran utama Timur Tengah dijangka kekal perlahan, lapor Bangkok Post.

    Tahun lalu, penghantaran kenderaan Isuzu dari Thailand jatuh 11% kepada 160,000 unit. Presiden Tri Petch Isuzu Sales, selaku pengedar trak Isuzu di sana berkata, syarikat itu menjangkakan jumlah eksport akan berada sekitar 160,000 hingga 170,000 unit tahun ini, bagi kedua-dua unit CBU dan CKD.

    “Keadaan yang tidak menyebelahi di Timur Tengah, di mana prospek ekonomi kekal kelam dan harga minyak masih rendah, akan menyebabkan kesukaran bagi Isuzu untuk mengembangkan jumlah eksport. Isuzu perlu bergantung kepada pasaran Timur Tengah, terutamanya Arab Saudi di mana jenama ini mempunyai 80% pegangan pasaran,” ujarnya.

    “Terdapat juga risiko-risiko daripada negara lain yang boleh memberi kesan terhadap eksport berkenaan, misalnya polisi ekonomi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, konflik antarabangsa antara Amerika Syarikat dan China, serta Amerika Syarikat dengan Israel, juga keadaan ekonomi yang lemah di Jepun,” tambah Maekawa.

    Bagi perkembangan Isuzu di pasaran domestik di Malaysia pula, Isuzu Malaysia mensasarkan peningkatan sebanyak 2% tahun ini, kepada 146,000 unit. Isuzu menjangkakan jualan dalam sektor automotif Thailand berkembang sebanyak 5.5% kepada 810,000 unit. Jumlah pengeluaran keseluruhan juga diramal akan tumbuh 2.6% tahun ini kepada dua juta unit, termasuk 800,000 unit untuk kegunaan domestik.

    Isuzu mengendalikan dua kilangnya di Thailand yang bertempat di Samut Prakan dan Chachoengsao. Jika digabungkan, jumlah kapasiti pengeluaran tahunan syarikat itu ialah 366,000 – untuk memenuhi pasaran tempatan di sana serta pasaran eksport ke 110 negara. Terbaru, model dipertingkat bagi MU-X akan dikeluarkan di sana bulan hadapan.

     
     
  • Shell FuelSave Diesel Euro 5 mula ditawarkan di Sabah

    Shell FuelSave Diesel Euro 5 mula ditawarkan di Sabah

    Shell menjadi jenama pertama yang memperkenalkan diesel Euro 5 di Malaysia Timur, dengan pelancaran bahan api Shell FuelSave Euro 5 di Sabah. Diesel dengan kandungan sulfur rendah kini ditawarkan di lapan stesen setakat ini, dan akan dilanjutkan kepada 16 stesen nanti.

    Selain kandungan sulfur rendah pada kadar 10 ppm (parts per million), berbanding 500 ppm bagi diesel Euro 2M, FuelSave Diesel Euro 5 ini turut diformulasikan dengan bahan kecekapan aktif, menjanjikan kecekapan enjin dan jarak perjalanan yang dipertingkat. Turut ada sebagai kandungan ialah elemen pembersih yang menghindarkan enapan pada bahagian penyuntik.

    Shell FuelSave Diesel Euro 5 mula ditawarkan di Sabah

    “Dengan pelancaran Shell FuelSave Euro 5, kami memberi pelanggan yang berada di Pantai Barat Sabah untuk mengalami sendiri bahan api ini dan segala manfaat yang ditawarkannya,” jelas pengarah urusan Shell Timur, Shairan Huzaini Husain.

    Setakat Jun tahun lalu, sebanyak 85 stesen Shell mula menawarkan diesel Euro 5 ini. Shell mensasarkan akan dapat mencapai angka 100 stesen merangkumi laluan sepanjang Johor ke Pulau Pinang, serta Pantai Timur di Terengganu. Bagi mendapatkan senarai penuh stesen-stesen yang dimaksudkan, sila layari www.shell.com.my/dieseleuro5.

     
     
  • VIDEO: Honda City facelift – sebelah model semasa

    Honda Malaysia kini sedang membina momentum untuk model City facelift, dengan ia dipertontonkan kepada media minggu lalu dan kemudiannya dibawa ke pameran jelajah seluruh negara. Terbaru, syarikat itu menyiarkan pula sebuah video yang menunjukkan perbezaan di antara City facelift ini dengan model yang sedang dipasarkan sekarang. Tempahan untuk City facelift juga sudah dibuka.

    Melalui video sebelah-menyebelah ini, lebih mudah untuk orang ramai melihat perbezaan rekaan antara keduanya seperti lampu LED bagi varian V paling tinggi dan bentuknya yang berbeza. Plet krom di hadapan bagi model facelift ini juga lebih panjang dan nipis, sehingga ke lampu hadapan seperti Civic manakala bahagian gril pula mempunyai rekaan honeycomb dan kemasan krom. Bampar juga menerima sedikit perubahan.

    Pada bahagian belakang pula, model V mendapat lampu jenis LED seperti yang boleh dilihat pada Grace Hybrid pasaran Jepun, dan juga terdapat bampar baru serta spoiler jenis ducktail yang dilengkapi bersama lampu brek ketiga. Melengkapkan penampilannya adalah rim aloi dua tona baru berukuran 16 inci untuk varian V.

    Seperti yang dilakukan pada BR-V sebelum ini, Honda juga tidak menunjukkan bahagian dalam City facelift, namun kita dijangka mendapat kemasan yang lebih gelap, fabrik tempat duduk yang direka semula (dengan jalur tengah seperti Civic) dan lampu dalam seperti model Thailand dan India. Kesemua varian City facelift akan mendapat sistem pemasukan tanpa kunci dan butang pemula enjin, manakala varian V ditambah dengan kamera undur pelbagai sudut dan cermin sisi yang boleh dilipat secara eletronik.

    Enjin yang digunakan pada City facelift masih lagi sama, iaitu unit empat silinder 1.5 liter i-VTEC, dipadankan dengan transmisi CVT Earth Dreams. Walaupun jumlah kuasanya tidak disiarkan, ia boleh dijangka menghasilkan jumlah sama iaitu 120 PS dan 145 Nm tork. Untuk aspek keselamatan, semua varian City facelift dilengkapi dengan Vehicle Stability Assist (VSA), dan varian V ditambah dengan enam beg udara. Jumlah varian juga dikurangkan menjadi tiga (S, E dan V), daripada empat sebelum ini.

     
     
  • Lamborghini Aventador S masuk pasaran Malaysia – enjin 6.5L V12, 740 hp kuasa, harga bermula RM1.8 juta

    Lamborghini Aventador S masuk pasaran Malaysia – enjin 6.5L V12, 740 hp kuasa, harga bermula RM1.8 juta

    Selepas diperkenalkan diperingkat global serta pengenalan versi-versi dipertingkat selepas itu dan terakhir pada Disember tahun lalu, Lamborghini Aventador S akhirnya tiba secara rasmi untuk pasaran Malaysia, hari ini. Secara visualnya, ia mewarisi beberapa ciri penggayaan dari versi SV, termasuk rupa bahagian dengan dan belakang yang baru. Harganya untuk pasaran Malaysia? Bermula RM1.8 juta, tidak termasuk cukai dan pilihan pakej aksesori.

    Penggunaan bampar baru dengan rekaan yang lebih agresif dan bahagian splitter yang lebih panjang – berfungsi untuk memperbaiki kecekapan penyejukan serta aerodinamik kereta ini. Dua corong udara pada bahagian sisi bampar depannya juga menyumbang kepada pengurangan gangguan aerodinamik dari tayar depan serta mengoptimumkan udara pada radiator.

    Bahagian sisi pula, walaupun nampak sama dengan model sebelumnya, sebenarnya ada sedikit perubahan. Ciri sayap penyejukan naikan automatik yang ada dulu kini digantikan dengan rekaan kekal. Sementara itu, di bahagian belakang, model terbaru ini hadir dengan rekaan diffuser yang lebih menonjol dalam warna hitam (ditawarkan dengan gentian karbon), menyumbang menjana downforce, dalam masa sama mengurangkan rintangan pada kenderaan serta membaik pulih tekanan. Empat ekzos yang ada dulu kini telah dikurangkan kepada tiga ekzos sahaja.

    Lamborghini Aventador S masuk pasaran Malaysia – enjin 6.5L V12, 740 hp kuasa, harga bermula RM1.8 juta

    Bahagian enjin dan prestasi juga menerima peningkatan. Enjin V12 6.5 liter kini hadir sama dengan ciri VVT (Variable Valve Timing) dan VIS (Variable Intake System). Had rev juga dinaikkan ke 8,500 rpm, daripada 8,350 rpm sebelumnya. Ia kini menghasilkan kuasa sebanyak 740 hp pada 8,400 rpm dan 690 Nm tork pada 5,500 rpm – 40 hp lebih kuasa berbanding model terdahulu.

    Sistem ekzos juga baru, kini 20% lebih ringan, dan digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan Independent Shifting Rod (ISR). Ia turut dilengkapi sistem pacuan Haldex Generation IV 4WD. Dari segi prestasi, pecutan 0-100 km/j kini adalah dalam masa 2.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum 350 km/j, sama seperti pada Aventador.

    Aventador S merupakan siri pertama kenderaan Lamborghini yang dikeluarkan dengan kelengkapan four-wheel steering (pertama kali dilihat pada Centenario), yang akan membolehkan aspek pengendaliannya lebih baik daripada model terdahulu. Lamborghini menyifatkan versi baru ini lebih lincah dalam kelajuan rendah dan sederhana, tetapi lebih stabil dalam kelajuan tinggi.

    Ia turut dilengkapi dengan sistem suspensi khusus yang dibangunkan Lamborghini (pushrod and magneto-rheological suspension), pakej ESC yang diperkemas, spring dan penyerap hentak baru di bahagian belakang, serta penggunaan tayar Pirelli P Zero. Brek seramik karbon pada kereta ini membolehkan kereta berhenti dari kelajuan 100 km/j dalam jarak hanya 31 meter.

    Sistem komputer khusus yang digunakan – Lamborghini Dinamica Veicolo Attiva – akan mengumpulkan data dari semua sensor pada kereta ini sebelum mempersiapkan maklum balasnya berdasarkan situasi semasa. Pemandu juga boleh memilih daripada empat pilihan mod pemanduan – Strada, Sport, Corsa dan tambahan terbaru, Ego. Mod terakhir berkenaan boleh disesuaikan mengikut kemaahuan pemandu; termasuk kawalan cengkaman, stereng serta sistem suspensi.

     
     
  • Triumph umum harga untuk model 2017 di Malaysia

    Triumph umum harga untuk model 2017 di Malaysia

    Selain ketibaan model Street Cup 2017 di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd selaku pengedar rasmi motosikal Triumph di Malaysia turut mengumumkan harga bagi model 2017 lain yang akan tiba di negara kita dalam masa terdekat.

    Paling menjadi tumpuan adalah model Street Triple 765, iaitu penyambung generasi kepada Street Twin 675, yang sudah diiktiraf pelbagai anugerah terbaik dalam kelasnya. Model tertingginya, iaitu Street Triple RS, yang datang dengan antaranya suspensi Showa di hadapan dan Ohlins di belakang ditawarkan pada harga RM66,900, manakala versi yang lebih rendah, dikenali sebagai Street Triple 765 R LRH ditetapkan pada RM58,900.

    Fast Bikes juga akan menawarkan satu lagi varian bagi Street Triple 765 ini, iaitu varian asas S, dengan harga yang dijangka akan berada bawah pada RM50,000. Jika benar ia berlaku, ini akan memberi saingan sengit kepada motosikal lain di dalam kelasnya seperti Yamaha MT-09, Ducati Monster 821 dan MV Agusta Brutale.

    Bagi model klasik moden pula, Bonneville Bobber, sebuah motosikal satu tempat duduk yang dikuasakan oleh enjin 1,200 cc sama seperti Bonneville T120 ditawarkan kepada pasaran Malaysia dengan harga RM74,900 bagi yang menggunakan warna monochrome manakala bagi yang mengunakan dua tona warna, pembeli harus menambah RM1,000 lagi, menjadikannya RM75,900.

    Seterusnya bagi Bonneville T100 dan T100 Dark, harga yang ditetapkan adalah RM63,900 untuk model berwarna Jet Black dan RM65,900 untuk yang menggunakan warna dua tona. Model ini mengekalkan gaya klasik seperti motosikal Triumph tahun 50-an, namun dikuasakan oleh enjin moden suntikan bahan api 900 cc.

    Kesemua harga ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan. Fast Bikes Sdn Bhd sudah membuka tempahan untuk semua model ini dan mereka yang berminat boleh menghubungi atau pergi terus ke pusat pameran Triumph di Petaling Jaya, Johor Bharu, Bukit Mertajam, Kuching dan Kota Kinabalu.

     
     
  • Triumph Street Cup kini di M’sia – harga RM65,900

    Triumph Street Cup kini di M’sia – harga RM65,900

    Satu lagi model yang terletak dalam barisan motosikal klasik moden diperkenalkan oleh pengedar rasmi Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd iaitu Street Cup 2017. Model ini mempunyai gaya seperti Thruxton R, tetapi dibina daripada asas model Street Twin. Harga yang ditetapkan untuk Street Cup 2017 adalah RM65,900, termasuk GST.

    Enjin yang digunakan pada Street Cup 2017 adalah unit 900 cc SOHC High Torque dua silinder selari, sama seperti Street Twin dan ia mampu menghasilkan 54 hp pada 5,900 rpm dan 80 Nm pada 3,250 rpm. Walaupun mempunyai sistem bahan api yang kelihatan seperti karburetor, ia sebenarnya menggunakan sistem suntikan dan kuasa dihantar ke tayar belakang melalui kotak gear lima kelajuan.

    Membantu lagi kepuasan kepada penunggang, motosikal ini dilengkapi dengan torque assist clutch, dan sebagai keselamatan, sistem ride-by-wire yang digunakan membolehkan ia dilengkapi dengan kawalan cengkaman (Traction Control) yang boleh ditutup apabila perlu dan brek ABS.

    Bahagian yang paling jelas berbeza jika dibandingkan dengan Street Twin adalah tempat duduk berpenutup di belakang (boleh dicabut), fly-screen, pemegang jenis drop-bar, cermin sisi di hujung pemegang, warna dua tona serta ekzos stainless steel yang lebih pendek dan mendongak ke atas.

    Triumph Street Cup kini di M’sia – harga RM65,900

    Selain itu, suspensi belakang Street Cup juga lebih tinggi, tetapi jarak pergerakannya masih sama seperti Street Twin iaitu 120 mm. Ini seterusnya menjadikan Street Cup lebih lincah. Turut tidak ketinggalan adalah bahagian brek baru – angkup Nissin sliding axial dua piston dan cakera terapung, manakala tempat letak kaki pula menggunakan rekaan seperti Thruxton.

    Satu sentuhan menarik yang diberi pada Street Cup, sesuai dengan keperluan penunggang moden sekarang adalah soket pengecas USB di bawah tempat duduk dan boleh digunakan untuk memberi kuasa kepada alat elektronik seperti telefon dan unit GPS. Bagi mereka yang mencari sesuatu yang lebih istimewa, Triumph juga menawarkan lebih 120 aksesori untuk Street Cup.

    Dua pilihan warna disediakan kepada orang ramai untuk Triumph Street Cup 2017 iaitu Racing Yellow/Silver Ice dan Jet Black/Silver Ice. Harga RM65,900 yang ditetapkan untuk Street Cup ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insurans. Ia kini sudah berada di pusat pameran Triumph di Petaling Jaya.

     
     
  • ‘Kill switch’ pada motosikal – ada cara guna tertentu?

    ‘Kill switch’ pada motosikal – ada cara guna tertentu?

    Butang ‘kill switch‘ ini sebenarnya adalah satu kelengkapan asas yang sudah ada pada kebanyakan motosikal. Selain kapcai atau motosikal berkapasiti enjin rendah, pada bahagian kanan pemegang, anda pasti akan dapat melihat butang merah yang boleh mematikan enjin, tetapi kelengkapan lain yang menggunakan kuasa elektrik seperti lampu masih lagi berfungsi. Walaubagaimanapun, kini sudah ada semakin banyak kapcai yang mempunyai ciri ini.

    Tetapi, dalam dunia motosikal terdapat percanggahan pendapat tentang bila ia sepatutnya digunakan. Kita sendiri boleh melihat, ada penunggang motosikal, yang setiap kali ingin berhenti, akan menggunakan butang ini, dan bukannya memutarkan kunci. Ada yang dari jauh lagi, sudah menarik klac dan menekan butang ini, seterusnya membiarkan saja motosikal meluncur sehingga berhenti.

    Dalam pandangan yang berlainan, ada pengguna motosikal yang mengatakan bahawa penggunaan kill switch secara kerap adalah tidak elok, tetapi tidak ada bukti atau penjelasan kukuh untuk menyokong pendapat ini. Sebab yang diberi adalah ‘takut ia akan rosak’. Memikirkan secara logik, ada benarnya kerana suis ini mempunyai ‘contact point‘ yang halus di dalamnya, dan apabila kerap digunakan, ia mungkin akan menyebabkan kehausan.

    Kill switch direka sebagai pilihan untuk mematikan enjin dengan sebab tertentu. Ia adalah ciri keselamatan yang boleh membantu penunggang mengelakkan kecelakaan dalam keadaan tertentu. Disebabkan itu, ia berwarna terang (kebanyakannya merah) dan terletak di tempat yang sangat mudah dicapai tanpa perlu mengalihkan tangan daripada pemegang.

    ‘Kill switch’ pada motosikal – ada cara guna tertentu?

    Salah satu keadaannya, adalah apabila terdapat kerosakan pada pendikit dan motosikal masih memecut walaupun sudah dilepaskan. Dalam keadaan ini, suis kill switch dapat membantu mematikan enjin seterusnya penunggang akan dapat mengawal kembali motosikal.

    Dalam keadaan lain, mengambil motosikal offroad sebagai contoh, apabila terjatuh dan enjin masih lagi hidup dan tayar berpusing, suis ini adalah benda pertama yang perlu dicapai supaya tayar yang berpusing itu tidak akan menyebabkan masalah lain selepas itu seperti terkena anggota badan penunggang atau motosikal jadi berpusing di atas tanah.

    Ada antara sekolah menunggang di luar negara menggalakkan penggunaan kill switch secara kerap supaya apabila perlu digunakan dalam waktu kecemasan, penunggang boleh mencapainya dengan pantas kerana sudah biasa dan anda tahu ia berfungsi. Namun seperti yang dikatakan tadi, pendapat ini ditentang sebahagian pemilik motosikal kerana penggunaan kerap dikhuatiri akan merosakkan suis tersebut dan tidak dapat digunakan apabila perlu.

    Daripada pandangan penulis, tidak kisahlah bagaimana pun anda menggunakan suis ini, asalkan anda tahu ia sentiasa berfungsi dan boleh digunakan apabila tiba waktunya. Ini adalah penting dan mungkin boleh menyelamatkan nyawa anda. Bagi yang lebih gemar mematikan enjin dengan memutarkan kunci, sekali sekala periksalah suis ini supaya bahagian contact point tadi tidak teroksida dan masih boleh digunakan.

    Bagaimana pula dengan anda? Apa pendapat, bila dan kenapa anda menggunakan butang kill switch ini?

     
     
  • Kementerian ada kuasa haramkan Dego Ride – Liow

    Kementerian ada kuasa haramkan Dego Ride – Liow

    Kementerian Pengangkutan mempunyai kuasa untuk mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride, ujar menterinya Datuk Seri LIow Tiong Lai, laporan The Star.

    “Melainkan Kabinet mengarahkan kami untuk mengendalikan kajian dan mengemukakan kertas kerja mengenainya, kementerian mempunyai kuasa untuk menentukan keputusan,” ujar Liow bagi memberikan maklumbalas berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri yang menyatakan keputusan untuk mengharamkan Dego Ride belum dimuktamadkan lagi.

    Baru-baru ini, Nancy berkata, “Kerajaan tidak berhasrat untuk terus sampai kepada kesimpulan mengharamkan perkhidmatan berkenaan, kerena ia melibatkan banyak pihak. Untuk itu, sebelum tiba kepada keputusan akhir, kajian mendalam terhadap pasaran perkhidmatan ini perlu dijalankan dahulu.”

    Malah katanya lagi, buat masa ini tiada undang-undang berkaitan dengan perkhidmatan e-hailing ini.

    Liow pula berkata beliau telah menyatakan sebab-sebab yang diperlukan untuk keputusan tersebut sewaktu menghadiri mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

    “Jika ada kementerian lain yang mempunyai sebarang cadangan, mereka perlu menyatakannya ketika mesyuarat Kabinet. Jika tiada sebarang usul, saya menganggap tiada sebarang pandangan mengenainya. Kabinet adalah platform terbaik untuk membincangkan pelbagai isu.

    “Tetapi kami telah pun membuat pendirian yang jelas mengenai perkara ini, ketika dalam mesyuarat dalaman atau Kabinet,” katanya, sambil menambah pihak kementerian tidak akan mengakui perkhidmatan terbabit.

    Kata Liow lagi, pihaknya sangat mengambil berat mengenai kemalangan trafik.

    “Ketika ini, 62.7% kematian akibat kemalangan jalan raya adalah disumbangkan oleh pengguna motosikal dan ia sangat serius. Jika Dego Ride dibenarkan beroperasi, ia akan meningkatkan kadar kematian,” ujarnya sambil menambah di bawah Akta Jalan Raya, motosikal tidak boleh digunakan bagi tujuan komersil.

     
     
  • Renault R.S.17 – jentera F1 musim 2017 diperkenalkan

    Renault R.S.17 – jentera F1 musim 2017 diperkenalkan

    Renault telah mempersembahkan jentera lumba Formula 1 pasukan itu bagi musim 2017, dikenali dengan nama R.S.17 di London. Ini adalah sejurus selepas pasukan Sauber memperkenalkan jentera pesaing, C36-Ferrari, serta jentera pasukan Williams FW40 2017.

    Musim baru ini Renault menampilkan jentera yang kekal dengan warna yang sinonim dengannya, kuning tetapi dengan lebih banyak dekorasi hitam. Bahagian depan dan sayap belakangnya mirip elemen yang ada pada jentera pasukan Williams dan Sauber; bahagian “sirip” pada R.S.17 ini juga dijangka akan digunakan pada kebanyakan jentera lain bagi musim 2017.

    Enjin baru, yang digelar RE17 akan menjadi nadi utama, yang menampilkan rekaan baru berbanding enjin yang digunakan pada musim lalu; Renault merasakan rekaan enjin lama itu telah mencapai potensi maksimumnya, seperti dilaporkan Motorsport.com. Prestasi enjin baru ini disifatkan tiga saat lebih pantas bagi setiap pusingan.

    Renault R.S.17 – jentera F1 musim 2017 diperkenalkan

    Casis jentera baru ini dibangunkan di Enstone, UK sementara enjin pula dibuat di Viry-Châtillon, Perancis. Jentera itu kini hadir dalam dimensi 2,000 mm lebar serta track bahagian depan dan belakang masing-masing 1,600 mm dan 1,550 mm. Tayar yang lebih besar juga digunakan.

    “Jentera ini jauh lebih pantas, dengan rekaan luaran yang lebih menarik yang akan menjadikan perlumbaan ini semakin ditunggu-tunggu. Dari segi prestasi, peningkatan dijangkakan 5% bagi tahun ini. Maksudnya, kita akan lihat masa bagi satu pusingan menjadi tiga atau empat saat lebih pendek,” jelas pengarah teknikal, Bob Bell. “Jentera ini juga akan memiliki cengaman yang lebih baik diselekoh. Kami mengharapkan perkara ini akan menjadikan perlumbaan itu lebih baik,” tambahnya.

     
     
  • Hyundai i30 Tourer – wagon segmen-C baharu didedah

    Hyundai i30 Tourer – wagon segmen-C baharu didedah

    Hyundai i30 Tourer telah pun didedahkan menjelang penampilan perdananya yang bakal berlangsung di Geneva Motor Show 2017. Versi wagon bagi i30 ini akan menyertai hatch lima pintu generasi ketiga tersebut yang turut bersaing dengan Volkswagen Golf, Ford Focus dan Opel Astra, yang diperkenalkan pada September 2016.

    “i30 Tourer baharu ini melambangkan rekaan yang dibawakan dalam barisan i30 dan turut membawakan identiti model Hyundai baharu – Cascading Grille. Garisan bumbungnya lebih tirus menampakkan Tourer ini seperti bebayang coupe. Profil yang dinamik dan berkilat disumbangkan oleh bingkai krom di sekeliling tingkap sisi,” ujar Thomas Burkle, ketua pereka di Pusat Rekaan Hyundai Eropah.

    i30 Tourer ini 245 mm lebih panjang berbanding hatch iaitu mencapai 4,585 mm. Manakala lebar dan jarak rodanya sama dengan hatch iaitu masing-masing 1,795 mm dan 2,650 mm. Ia turut memiliki ruang kargo berkapasiti 602 liter dan mampu mencapai 1,650 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan, iaitu lebih 309 liter berbanding hatch dan mengatasi Golf dan Focus wagon. Malah terdapat juga ruang storan di bawah lantai but dengan beberapa tempat penyimpanan barang.

    Hyundai i30 Tourer – wagon segmen-C baharu didedah

    Di bawah hudnya, pelanggan Eropah boleh memilih dua pilihan enjin petrol dan satu 1.6 liter turbodiesel dengan 110 PS. Tourer juga boleh didapati dengan enjin petrol turbo baharu Hyundai – 1.4 T-GDI dengan 140 PS/242 Nm dan 1.0 T-GDI tiga-silider bersama 120 PS/170 Nm. Pilihan kotak gear manual enam-kelajuan dan automatik dwi-klac tujuh-kelajuan turut ditawarkan.

    i30 diproduksikan di Eropah (di Nošovice, Republik Czech) untuk masyarakat di sana (sebanyak 800,000 unit i30 telah dijual di benua tersebut sejak 2008), di mana ia mengetengahkan pemanduan dinamik, dibangunkan oleh Pusat Teknikal Hyundai Motor Eropah di Nürburgring. Kerangkanya menggunakan 53% Keluli Ketahanan Tinggi Termaju untuk ketegarannya dan 10% lebih sudut stereng. Hasilnya, ia didakwa memiliki karakter pengendalian dan kawalan yang lebih mantap.

    Bahagian dalamannya turut menerima elemen seperti hatch, termasuklah skrin sesentuh lapan-inci bersama Apple CarPlay, Android Auto dan LIVE Services, pengecas Qi tanpa wayar dan bumbung panoramik. Juga dikekalkan adalah sistem keselamatan seperti Brek Kecemasan Sendiri, Kepekaan Perhatian Pemandu, Bantuan Lampu Tinggi dan Sistem Bantuan Kekal Lorong secara standard. Malah ia turut menampilkan Kawalan Kelajuan Pintar Termasju, Pengesan Titik Buta dan Kepekaan Trafik Lintasan-Belakang.

    GALERI: Hyundai i30 hatchback generasi ketiga

     
     
  • Range Rover Velar akan buat penampilan pertama Mac ini – isi ruang antara Evoque dan Range Rover Sport

    Range Rover Velar akan buat penampilan pertama Mac ini – isi ruang antara Evoque dan Range Rover Sport

    Pada tahun 1970, Land Rover memperkenalkan SUV mewah pertama dengan pelancaran model Range Rover. Kini, setelah hampir 50 tahun, model keempat dalam barisan SUV Range Rover akan diperkenalkan, dengan membawa nama Velar, dan akan diletakkan di antara Evoque dan Range Rover Sport.

    Nama Velar ini sebenarnya pernah digunakan pada model prototaip Range Rover yang dipertontonkan pada tahun 1969, dan kini ia digunakan kembali pada sebuah model yang akan ditawarkan kepada orang ramai. Tapi sebelum itu, Velar baru akan membuat penampilan pertamanya 1 Mac ini.

    Range Rover Velar akan buat penampilan pertama Mac ini – isi ruang antara Evoque dan Range Rover Sport

    Land Rover walaubagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang maklumat berkenaan SUV terbaru mereka ini, kecuali satu gambar pandangan tinggi dari belakang, dan dari situ, boleh dilihat ia mempunyai bumbung panoramik penuh, empat pintu dan skrin yang lebar pada bahagian tengah papan pemukanya. Turut boleh dijangka, sudah tentu adalah ciri yang dapat membantu kenderaan ini menghadapi cabaran offroad kerana ia dikatakan sesuai untuk pelbagai kegunaan, dan pelbagai jenis permukaan jalan.

    “Kami memanggil Velar sebagai Range Rover ‘avantgarde‘. Ia membawa dimensi baru kepada glamor, kemodenan dan elegan pada jenama ini. Range Rover Velar akan mengubah segalanya,” kata ketua bahagian rekaan Land Rover, Gerry McGovern.

     
     
  • Ford Fiesta ST dalam teaser terbaru, diperkenal 24 Feb

    Ford Fiesta ST terbaru direncanakan bakal diperkenalkan pada 24 Februari ini, sedikit lebih awal sebelum Geneva Motorshow 2017. Kini, syarikat itu telah menyiarkan video teaser model berkenaan, yang turut menampilkan aksi berlumba dengan basikal, di dalam kilang Ford di Cologne, Jerman.

    Dari rupa luaran, ia nampak mirip dengan versi Ford Fiesta dari versi ST bagi model standard sedia ada. Mungkin yang berbeza ialah penggunaan rim aloi multi-spoke dan paip ekzos berkembar. Bagaimanapun, penggayaan ruang dalaman model baru ini yang dikeluarkan kelak dijangka akan lebih agresif untuk menepati imej sporty yang dibawa.

    Video berkenaan juga menunjukkan model lima-pintu; ini memberi isyarat bahawa Ford Fiesta ST selepas ini tidak hanya terhad kepada model tiga-pintu seperti yang ditawarkan sebelum ini. Fiesta ST lima-pintu sebelum ini hanya ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat, dan baru saja masuk pasaran Eropah tahun lalu.

    Menurut beberapa laporan, Fiesta ST baru ini tidak akan lagi menggunakan enjin 1.6 liter EcoBoost empat-silinder dan akan beralih kepada enjin 1.0 liter tiga-silinder yang digunakan pada Fiesta Ecoboost. Apa pun enjin yang digunakan, janaan kuasanya dijangka akan melebihi daripada unit pada versi semasa – ketika ini dengan angka 182 PS dan 240 Nm. Ford sudah menjadikannya 200 PS dan 290 Nm pada model ST200. Kotak gear enam-kelajuan seperti sebelum ini mungkin kekal.

    Versi terbaru ini nanti perlu melangkaui banyak jangkaan. Model ST semasa, yang diperkenalkan pada 2013, mendapat banyak pujian dan perhatian terhadap penawaran dan prestasinya dari peminatnya di seluruh dunia.

     
     
  • UMWT memperkenalkan aplikasi Toyota Drive Mobile – tempahan servis, bantuan tepi jalan, senarai Topmark

    Toyota Drive Mobile Application

    You're just a click away from quick assistance with the Toyota Drive app!Download it now on App Store or Google Play!App Store: tyt.my/ToyotaDrive-AppStoreGoogle Play: tyt.my/ToyotaDrive-GooglePlay

    Posted by Toyota Malaysia on Monday, 6 February 2017

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), telah memperkenalkan aplikasi baharu khas untuk para pelanggannya iaitu Toyota Drive Mobile. Di mana menerusi aplikasi ini, para pelanggan boleh membuat temujanji untuk servis, memerlukan perkhidmatan bantuan tepi jalan 24 jam, mengetahui pakej servis dan cawangan berhampiran serta mengikuti perkembangan bagi tawaran terkini, semuanya melalui telefon pintar.

    Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store secara percuma. Selain elemen utama yang disebut di atas yang mana boleh diakses menerusi aplikasi Toyota Drive Mobile ini, para pengguna juga boleh menyemak senarai dan harga bagi kenderaan pre-owned Toyota dari Topmark, yang kini memiliki enam cawangan di Semenanjung Malaysia.

    Di samping itu, pemilik kenderaan yang telah mendaftar juga boleh mengakses sejarah servis kenderaan mereka, mengetahui tip penjagaan kenderaan dan menonton saluran media sosial Toyota menerusi aplikasi ini. Sila tonton video di atas untuk mengetahui bagaimana aplikasi ini berfungsi.

     
     
  • Geely tawar teknologi yang dibangun bersama Volvo jika dipilih sebagai rakan strategik Proton – laporan

    Geely tawar teknologi yang dibangun bersama Volvo jika dipilih sebagai rakan strategik Proton – laporan

    Zhejiang Geely, pengeluar automotif dari China dijangka akan memulakan bidaan seawal minggu ini bagi mendapatkan tempat sebagai rakan strategik luar untuk Proton, lapor Reuters. Perkara ini diberitahu kepada agensi berita berkenaan oleh berberapa sumber dalaman yang mengikuti proses bidaan berkenaan.

    Sumber berkenaan turut memberitahu Geely bakal menawarkan Proton teknologi kenderaan terbaharunya yang dibina bersama Volvo sebagai sebahagian tawaran tersebut.

    Ini termasuk teknologi yang digunakan untuk membina sedan GC9 dan SUV Boyue keluaran jenama berkenaan, dan juga teknologi kenderaan kompak yang dibangunkan bersama Volvo, jelas sumber tersebut. Tambah sumber itu lagi, dengan menawarkan Proton berberapa teknologinya, Geely mensasarkan untuk menerjah masuk ke pasaran kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD), menerusi Proton.

    Kerjasama yang signifikant bersama Proton ini bakal memberikan syarikat China tersebut asas yang kukuh untuk masuk ke pasaran RHD global. “Sejumlah lapan juta kenderaan RHD dijual di seluruh dunia setiap tahun. Geely tidak pernah menjual walau seunit pun kereta RHD, jadi kereta Geely akan dijual di bawah Proton, jika tidak Geely perlu membuat bayaran lesen yang besar,” jelas salah seorang sumber berkenaan kepada Reuters.

    Geely tawar teknologi yang dibangun bersama Volvo jika dipilih sebagai rakan strategik Proton – laporan

    Menurut sumber berkenaan lagi, pelaburan dari Geely akan membantu Proton untuk mengembangkan pasaran eksportnya dan mengambil semula bahagian pasarannya yang hilang pada berberapa tahun kebelakangan ini. “Rancangan sepenuhnya pada asasnya untuk melabur di dalam Proton bagi mengembalikannya pada tahap global (untuk jualan) yang dicapai pada era 90’an,” tambah sumber itu lagi.

    Walau bagaimanapun tiada petunjuk tawaran yang bakal diberikan pada Geely – yang menurut sumber tersebut ia merupakan bahagian terakhir untuk proses bidaan ini – termasuk tawaran kepentingan di dalam Proton. Tambah mereka, Geely berminat untuk mengambil sekurang-kurangnya 51% kepentingan Proton.

    Reuters seterusnya menghubungi DRB-Hicom namun menurut syarikat berkenaan tiada apa perkara baharu yang boleh dinyatakan. “Kami sedang menilai bidaan yang diterima. Tiada pendedahan akan diumumkan sehingga rakan strategik luar ini dipilih,” ujar jurucakapnya. Sementara itu Geely turut enggan untuk mengulas spekulasi ini.

    Laporan turut menyebut Geely dan PSA Groupe dari Perancis sedang mendahului bidaan untuk menjadi rakan strategik Proton. Minggu lalu, DRB-Hicom sekali lagi menegaskan mereka kini sedang menumpukan pada proses kritikal untuk mengenal pasti rakan yang paling ideal untuk Proton.

    Geely tawar teknologi yang dibangun bersama Volvo jika dipilih sebagai rakan strategik Proton – laporan

    Syarikat berkenaan akan mengumumkan secara formal keputusan pencarian rakan strategik ini – yang turut termasuk penyatuan kedua-dua kilang syarikat tersebut yang terletak di Tanjung Malim, Perak dan Shah Alam, Selangor – pada penghujung separuh pertama 2017, dan bakal dilengkapkan secepat mungkin.

    Hari ini juga kerajaan menafikan khabar angin bahawa Proton akan menjual 51% sahamnya kepada rakan asing, serta menyatakan tidak akan masuk campur terhadap urusan pemilihan rakan strategik ini kerana Proton kini bukan milik kerajaan, tetapi DRB-Hicom.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata keputusan akhir masih lagi belum dicapai. “Kerajaan bukannya gadai hak negara tetapi mencari peluang untuk membantu Proton membangun secara lebih cekap dan setanding jenama besar dalam industri automobil dunia,” jelas Ong.

    Sebelum ini, kerajaan turut mengatakan pihak mereka tidak mempunyai masalah sekiranya DRB-Hicom mahu menjual kepentingan di dalam Proton. Sementara itu, DRB-Hicom sebelum ini mengatakan Proton akan kekal sebagai pembuat automotif nasional negara, dan menegaskan mereka akan kekal sebagai pemegang ekuiti majoriti di dalam Proton.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026