Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Seramai 4,459 pesalah trafik DBKL disenaraihitam JPJ

    Seramai 4,459 pesalah trafik DBKL disenaraihitam JPJ

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan kenyataan, sehingga 19 Februari lalu, seramai 4,459 pesalah trafik yang gagal membayar kompaun tertunggak kesalahan lalu lintas telah disenaraihitamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Menurut Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khalid Zakaria, kegagalan menjelaskan kompaun berkenaan menyebabkan tindakan mahkamah diambil terhadap pesalah terbabit termasuk mengeluarkan waran tangkap.

    Dalam masa yang sama, DBKL berjaya mengutip sejumlah RM2.84 juta (setakat Ahad lepas), setelah kompaun lalu lintas khas diberi diskaun pada 1 Disember tahun lepas. Di mana jumlah tersebut melibatkan bayaran sebanyak 130,927 notis kompaun, laporan Bernama.

    Katanya, DBKL merekodkan sejumlah 3.2 juta notis kesalahan tertunggak pada tahun lepas serta menyarankan orang ramai mengambil kesempatan terhadap tawaran kompaun lalu lintas khas itu.

    “Kegagalan menjelaskan kompaun ini akan menyebabkan tindakan mahkamah diambil dan diteruskan sehingga ke peringkat waran tangkap bagi tujuan disenaraihitamkan,” katanya.

    DBKL menawarkan kadar kompaun lalu lintas khas serendah RM10 bagi membantu warga kota menyelesaikan kompaun mereka bermula 1 Disember 2016 sehingga 28 Februari ini.

    Kadar kompaun lalu lintas bagi kesalahan pada tahun 2007 hingga 2011 ditawarkan dengan kadar RM10, RM20 bagi kesalahan tahun 2012 hingga 2014 dan RM30 bagi kesalahan tahun 2016 sehingga sekarang.

     
     
  • Beberapa jalan di George Town ditutup sehingga 25 Feb ini sempena Perayaan Pelancongan CNY 2017

    Beberapa jalan di George Town ditutup sehingga 25 Feb ini sempena Perayaan Pelancongan CNY 2017

    Bermula semalam sehingga 25 Februari ini, terdapat beberapa jalan di sekitar George Town, Pulau Pinang, ditutup untuk lalu lintas, bagi memberikan laluan penganjuran majlis Perayaan Pelancongan Tahun Baharu Cina (CNY) 2017 yang akan diadakan di Jalan Padang Kota Lama pada Jumaat ini.

    Menurut Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Pulau Pinang, Nooramanina Mohd Idris, penutupan jalan itu melibatkan Jalan Tun Syed Sheh Barakbah yang ditutup mulai 23 hingga 25 Feb ini, Lebuh Duke (ditutup pada 24-25 Feb) serta Jalan Padang Kota Lama dari Isnin (semalam) hingga Sabtu ini, laporan Bernama.
    abtu ini.

    Sehubungan itu, pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan trafik yang disediakan oleh penguatkuasa tempatan dan polis bagi kelancaran lalu lintas di kawasan yang terlibat.

     
     
  • VIDEO: BMW Motorrad berganding dengan Lego Technic bina model konsep R 1200 GS boleh terbang

    VIDEO: BMW Motorrad berganding dengan Lego Technic bina model konsep R 1200 GS boleh terbang

    Sebelum ini, BMW Motorrad dan Lego pernah bekerjasama untuk penghasilan kit mainan model R 1200 GS Technic, dan terbaru, Lego menggunakan model tersebut sebagai asas untuk penghasilan sebuah model konsep boleh terbang.

    Model yang digelar sebagai LEGO Technic Hover Ride ini dihasilkan bersama oleh pekerja bahagian rekaan kedua-dua syarikat dan ia mempunyai bentuk dan DNA rekaan asas R 1200 GS termasuk enjin jenis boxer, cuma tiada tayar dan berkonsepkan boleh terapung.

    Kerjasama antara dua pasukan ini dioacu oleh semangat dan hormat kepada DNA jenama masing-masing. Sangat menakjubkan untuk melihat betapa khusyuk dan berinspirasi individu dalam kedua-dua pasukan bekerja sekali. Saya tidak rasa ada seorang pun antara kami pada yang awalnya boleh membayangkan bagaimana rupa akhirnya. Ia juga membuktikan anda boleh mencipta apa sahaja dengan Lego Technic, termasuk masa hadapan,” kata Pengurus Kanan Rekaan Lego Technic, Andy Woodman.

    VIDEO: BMW Motorrad berganding dengan Lego Technic bina model konsep R 1200 GS boleh terbang

    Bukan setakat itu, satu model bersaiz sebenar juga akan dihasilkan dan dipamerkan semasa acara Lego World di Copenhagen dan seterusnya dibawa ke lokasi lain seperti Denmark dan BMW Welt di Jerman. Harga dan keputusan untuk menghasilkan model Hover Ride untuk jualan umum masih belum diberitahu, tetapi sebagai rujukan, Lego Technic BMW R1200 GS dijual pada harga EUR4.99 (RM235)

    Dalam video di bawah, anda boleh melihat, Lego bukan sahaja setakat menghasilkan mainan bersaiz kecil, malah juga satu model konsep saiz sebenar menggunakan barangan daripada motosikal R 1200 GS itu sendiri. Juga boleh disaksikan adalah bagaimana bersemangatnya setiap pekerja yang terlibat dalam projek ini.

     
     
  • Honda Civic Hatchback 2017 – lagi teaser untuk Thailand disiar, jangka dilancarkan seawal Mac nanti

    Honda Thailand mengeluarkan satu lagi teaser bagi model Civic Hatchback, sebelum pelancarannya di sana yang dijangka akan dilakukan seawal Mac nanti. Seperti yang dapat dilihat, teaser ini mempamerkan rupa bentuk unik Civic versi berkenaan, yang bukan lagi terlalu asing kini kerasa sudah kerap dilihat.

    Sekadar makluman, Civic Hatchback hadir dengan penampilan yang berbeza sedikit; bahagian belakang yang nampak lebar, dengan tambahan spoiler, lampu belakang bentuk C serta ekzos yang berada di tengah, seperti model yang dipasarkan di Eropah.

    Begitu juga dengan bahagian depan; rekaan bampar baru yang membezakannya dengan bahagian bukaan udara yang luas serta kedudukan lampu kabus yang disekalikan. Bahagian bonet depan versi ini kekal sama seperti versi sedannya, begitu juga dengan bahagian ruang dalaman yang dikongsi antara keduanya.

    Sebagai penawaran di Thailand, enjin 1.5 liter VTEC Turbo (173 PS/220 Nm) dari model sedan juga dikekalkan. Enjin 1.8 liter biasa turut akan ditawarkan sebagai pilihan. Transmisi CVT kekal sebagai gandingan – kotak gear manual enam-kelajuan yang dipasarkan di Eropah mungkin tidak akan ditawarkan.

    Bagaimana pula di Malaysia? Biasanya, jika sesebuah model diperkenalkan di Thailand, tidak lama kemudian ia akan turut tiba di sini. Namun, Honda Malaysia sebelum ini pernah menyatakan mereka belum ada apa-apa perancangan untuk itu, setakat ini.

    GALERI: Honda Civic Hatchback 2017 pasaran Eropah

     
     
  • SPYSHOT: BMW Z5 dijumpai jalani ujian musim sejuk dengan kembarnya Toyota Supra generasi baharu

    SPYSHOT: BMW Z5 dijumpai jalani ujian musim sejuk dengan kembarnya Toyota Supra generasi baharu

    Sudah agak lama BMW Z5 tidak kelihatan melakukan ujian sejak pertama kali jurugambar pengintip kami menemuinya setahun lalu. Lenyap cerita Z5, kereta sport dari Toyota yang dibina dengan platform yang sama iaitu Toyota Supra generasi baharu selepas itu pula sering dikesan membuat ujian, di jalan raya dan juga di litar Nurburgring.

    Namun, perkembangan terbaharu menunjukkan roadster generasi terkini dari BMW tersebut dilihat sedang menjalani ujian musim sejuk di Sweden, bersama Supra.

    Z5 masih lagi mengenakan penyamaran berat yang menyembunyikan muka sebenarnya. Apa yang menarik lagi, kali ini Z5 dipandu dengan keadaan bumbung terbuka, memberikan gambaran sebenar rupa roadster dengan bumbung boleh buka ini. Ia juga mendedahkan sepasang bar yang akan melindungi kepala pemandu jika kereta ini terbalik, diletakkan dibelakang tempat duduk, sama seperti roadster Z4 sebelum ini.

    Model baharu ini juga dilihat menerima lampu belakang yang diinspirasikan dari Z4. Walaupun Z5 dan Supra diberikan unit janakuasa yang sama, Z5 kelihatan diberikan dua tip ekzos berbentuk trapezoid, berbanding bulat pada Supra.Bagi Supra pula, lampu belakangnya dilihat turut direka dengan elemen sebaris lampu bulat, seperti rekaan pada Supra generasi sebelum ini (JZA80), dan bahagian belakangnya turut direka lebih tinggi berbanding BMW.

    SPYSHOT: BMW Z5 dijumpai jalani ujian musim sejuk dengan kembarnya Toyota Supra generasi baharu

    BMW Z5 dan Toyota Supra dibina oleh kedua-dua pengeluar berkenaan di atas platform kereta sport terbaharu yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z5 dan Supra dilakukan secara berasingan. Namun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z5 yang tampil dengan bentuk badan roadster.

    Supra dan Z5 dijangka akan dikuasakan dengan enjin empat silinder sebaris dan enam silinder sebaris bersama pengecas turbo dari BMW dan varian paling berkuasa kedua-duanya bakal diberikan unit janakuasa hibrid dilengkapi kapasitor serta sistem pacuan empat roda.

    Tiada gambar dalaman pada set imej kali ini. Tetapi berdasarkan gambar spyshot sebelum ini, kedua-duanya dilihat direka dengan aspek rekaan dalaman hampir sama. Walau bagaimanapun, rekaan dalaman tersebut mungkin masih lagi dalam peringkat permulaan dan tidak mustahil pada model sebenar produksi nanti, Toyota bakal menggunakan rekaannya yang tersendiri.

    Baru-baru ini, Toyota telah mengumumkan model prototaip Supra yang hampir ke bentuk produksi akan didedahkan pada Tokyo Motor Show Oktober ini, manakala model produksi sebenar dijangka akan muncul setahun selepas itu. Tiada lagi pengumuman rasmi dari BMW, tetapi berdasarkan kenyataan mereka sebelum ini yang menjelaskan Z5 dan Supra dibina dalam ruang masa yang sama, serta dijumpai diuji bersama seperti kali ini, kedua-duanya berkemungkinan besar bakal diperkenalkan pada waktu yang hampir sama.

     
     
  • Aston Martin V8/V12 Vantage Red Bull Racing Edition

    Aston Martin V8/V12 Vantage Red Bull Racing Edition

    Dengan musim perlumbaan Formula 1 2017 akan bermula dalam masa satu bulan sahaja lagi, Aston Martin memperkenalkan dua model Vantage edisi khas iaitu V8 dan V12 Vantage S Red Bull Racing Edition.

    Aston Martin memanggil keduanya sebagai kenderaan untuk pengumpul tegar, dan ia dibuat sendiri oleh cabang modifikasi personal dalam syarikat itu sendiri iaitu Q by Aston Martin. Ia meraikan ‘kerjasama inovasi’ dua jenama ini dan boleh dilengkapi dengan pilihan tanda tangan salah satu dariada dua pelumba Red Bull Racing (RBR), iaitu Daniel Ricciardo atau Max Verstappen. Piihan enjin juga diberi sama ada V8 atau V12.

    Penampilan kenderaan ini mendapat inspirasi daripada kenderaan lumba RBR, dengan warna Deep Mariana Blue secara standard. Bagi yang mahukan kelainan, mereka boleh memilih warna Gloss Tungsten Silver atau Satin Mariana Blue.

    Aston Martin V8/V12 Vantage Red Bull Racing Edition

    Melengkapi warna ini adalah ciri aerodinamik inspirasi kereta lumba seperti pembelah angin gentian karbon, diffuser, gril dan plet tepi. Turut diberikan adalah kemasan merah pada gril gentian karbon dan angkup brek berwarna kuning.

    Pada bahagian dalam, anda akan dapat melihat tempat duduk dengan sulaman nama RBR pada penyandarnya, kemasan gentian karbon, jahitan berbentuk berlian dan roda stereng yang dibalut dengan Alcantara, bersama penanda tengah.

    “Sukan permotoran sentiasa adalah kunci utama DNA Aston Martin, dan kedua-dua V8 dan V12 Vantage S Red Bull Racing Edition ini membawa semangat ini kepada pelanggan,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Aston Martin, Dr Andy Palmer.

     
     
  • Toyota panggil balik semua kereta sel bahan api hidrogen Mirai – ada masalah pengeluaran voltan

    Toyota panggil balik semua kereta sel bahan api hidrogen Mirai – ada masalah pengeluaran voltan

    Toyota telah mengumumkan panggilan balik untuk semua kereta sel bahan api hidrogen Mirai yang telah terjual. Ia adalah disebabkan masalah pengeluaran voltan yang dihasilkan oleh sistem cel bahan api tersebut.

    Menurut laporan yang disiarkan Reuters, terdapat lebih kurang 2,840 unit Mirai dijual di Jepun, Amerika Syarikat dan sesetengah pasaran di Eropah, termasuk Arab Saudi yang terlibat dengan panggilan balik ini. Walau bagaimana pun, Toyota tidak mendedahkan jika terdapat sebarang insiden di jalan raya yang disebabkan oleh masalah ini.

    Toyota turut berkata, dalam keadaan pemanduan yang spesifik, termasuk sekiranya pedal pendikit dikerah sepenuhnya selepas memandu menurun cerun menggunakan kawalan kelajuan, ada kemungkinan voltan yang dihasilkan oleh sel bahan api ini mengeluarkan hasil yang maksimum.

    Justeru, perisian sistem bahan api ini perlu diperbaiki dan dipertingkatkan, dan proses ini mengambil masa sekitar setengah jam sahaja. Toyota akan menghubungi semua pemilik MIrai yang terlibat untuk membuat temujanji dengan pengedar bertauliah yang berhampiran untuk mengatasi masalah ini.

    Mirai mula dijual di Jepun pada Disember 2014, diikuti oleh Amerika Syarikat pada Ogos 2015. Pada Jun 2016, pemenang bagi Kereta Hijau Tahunan Dunia 2016 ini dijual pula di pasaran United Kingdom, Denmark, Germany, Belgium, dan Norway.

     
     
  • Honda NSX NA1 1990 – bukti revolusi automotif Jepun

    Honda NSX NA1 1990 – bukti revolusi automotif Jepun

    Selepas Perang Dunia kedua, industri automotif Jepun mula berubah dari menghasilkan kenderaan perang dan perdagangan, kepada penghasilan kereta penumpang untuk kegunaan jalan raya. Pada era 60’an berkenaan juga, selain dari menghasilkan kereta untuk menggerakkan keluarga-keluarga di negara matahari terbit berkenaan, kereta-kereta sport juga mula dihasilkan.

    Datsun Sports/Fairlady muncul seawal 1959 bagi memberikan alternatif kepada roadster Inggeris dari MG, dan roadster Honda S600 pula menyusul kemudian pada 1964. Tahun 1967, muncul lagi kereta-kereta sport yang lebih hebat seperti Mazda Cosmo (kereta sport rotari wankel pertama dari Mazda) dan Toyota 2000GT. Manakala pada tahun 1969 muncul pula Nissan Skyline GT-R KPGC10, GT-R pertama dalam sejarah.

    Era 70’an menyaksikan banyak lagi kereta sport dihasilkan seperti Datsun Fairlady 240Z, Toyota Celica dan Mitsubishi GTO serta generasi kedua Skyline GT-R KPGC110. Era 80’an, Jepun seakan ‘gila’ menghasilkan kereta berprestasi tinggi, sehinggakan hatchback sekecil Mitsubishi Colt dan Nissan March turut diberikan versi yang disuap pengecas turbo (March K10 dibekalkan supercharger dan turbo!).

    Kereta-kereta sport dari Jepun mula muncul dalam bentuk paling sempurna pada era kemuncaknya iaitu pada era 90’an. Era tersebut menyaksikan model-model berprestasi Jepun mula menakluk dunia. Dalam kejohanan Rali Dunia, jenama Jepun mula mendominasi menerusi Subaru Impreza WRX, Mitsubishi Lancer Evolution dan juga Toyota Celica GT-4. Mereka juga pakar menghasilkan kereta sport mampu milik pacuan belakang seperti Nissan Silvia, Toyota MR-2 dan juga Mazda RX-7.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Penunggang motosikal ke Singapura diingatkan supaya berdisiplin, patuhi peraturan – Jab. Imigresen

    Penunggang motosikal ke Singapura diingatkan supaya berdisiplin, patuhi peraturan – Jab. Imigresen

    Pagi semalam, ribuan penunggang motosikal terkandas di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) akibat masalah yang dihadapi oleh sistem M-Bike, hingga ada yang bertindak merempuh dan merosakkan lapan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di BSI.

    Ekoran kejadian tersebut, pihak Jabatan Imigresen menggesa supaya penunggang motosikal ke Singapura menerusi KIK, BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) supaya menjaga tingkah laku serta mematuhi peraturan ditetapkan, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali, M-BIKE yang berkuatkuasa pada 30 Nov lepas masih lagi asing kepada penunggang motosikal dan berharap mereka dapat bersabar.

    “Kenapa kalau di Singapura, pengguna-pengguna ini boleh mematuhi undang-undang tetapi bertindak sebaliknya di dalam negara kita. Kalau di seberang sana, pengguna terpaksa mematikan enjin motosikal dan menolak kenderaan mereka, sesiapa yang membunyikan hon juga akan didenda.

    “Kita mahu mendidik masyarakat terutamanya pengguna motosikal ini supaya mematuhi undang-undang kerana sistem M-BIKE adalah satu daripada cara kita melindungi kedaulatan negara,” katanya kepada pihak media.

    Bagaimana pun, Mustafar mengakui masih terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilihat Jabatan Imigresen dalam memastikan kelancaran di kedua-dua pintu masuk negara itu.

    Penunggang motosikal ke Singapura diingatkan supaya berdisiplin, patuhi peraturan – Jab. Imigresen

    “Kami telah membuat tinjauan di kedua-dua puntu masuk berkenaan seawal jam 5 pagi tadi dan mendapati memang sistem ini telah mengakibatkan kesesakan. Namnun sistem sebelum ini pula mempunyai banyak ruang kelemahan sehingga berlakunya pembolosan. Satu daripada punca yang kita kenal pasti adalah kelewatan palang terbuka selepas pengguna selesai mengimbas pasport mereka. M-BIKE adalah jalan keluar untuk mengelakkan pembolosan daripada terus berlarutan, ini yang pengguna perlu faham,” jelasnya.

    Katanya lagi, pihaknya sudah berhubung dengan pihak pembekal bagi menangani masalah berkenaan secepat mungkin.

    Menurut Mustafar, Jabatan Imigresen sudah membuka maksimum semua kaunter laluan M-BIKE iaitu 50 kaunter masuk dan keluar di KSAB manakala 100 kaunter keluar masuk di BSI yang mampu menampung jumlah lebih 90,000 pengguna motosikal sehari.

    “Dari segi jumlah kaunter yang dibuka, kita perlu melihat struktur bangunan dan buat masa ini, inilah jumlah kaunter yang mampu disediakan dan sekiranya ada penambahan ia akan bergantung kepada peruntukan yang diterima oleh Jabatan Imigren,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna.

    Melalui sistem ini, pemeriksaan dokumen perjalanan melalui pintu masuk Malaysia-Singapura akan dilaksanakan secara automatik. Pemeriksaan dokumen akan mengambil masa lapan hingga 10 saat sahaja bagi setiap individu dengan 100 laluan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI dan 50 laluan di CIQ KSAB.

    Ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura sehingga 50 %. Ia sama seperti sistem autogate lain yang digunakan di pintu masuk dan keluar seluruh Malaysia.

    Sistem M-Bike menggunakan peranti pengesanan gelombang radio (RFID) yang dilekatkan pada passport pengguna, dan memerlukan mereka untuk meletakkan ibu jari pada pengimbas sebelum palang terbuka untuk dilalui.

     
     
  • Shell Helix High Mileage 15W-50 – benarkah pelincir khusus ini boleh beri kesan positif kepada enjin lama?

    Shell Helix High Mileage 15W-50 – benarkah pelincir khusus ini boleh beri kesan positif kepada enjin lama?

    Sepanjang kira-kira sembilan tahun lalu, saya hanya memiliki sebuah sahaja kereta, Toyota SEG 1.3 Manual tahun 1992, yang dipandu hampir pada kebanyakan masa dalam tempoh berkenaan. Jarak perbatuan pada meter yang dipaparkan pula kini sudah menjangkau 267,000 km. Ia sebuah kereta yang sudah berusia 25 tahun dan jauh berjalan – dan mungkin sudah “keletihan”.

    Dua bulan sebelum pelancaran minyak pelincir Shell Helix High Mileage 15W-50 minggu lalu, kami diberi peluang untuk mencuba minyak enjin berkenaan – yang direka untuk manfaat bagi enjin dengan jarak 100,000 km ke atas – bagi tempoh lapan minggu. Tujuannya? Untuk membuat pemerhatian ringkas terhadap penggunaan sebenar di luar makmal terhadap produk akhir.

    Menurut Shell, ia menggunakan rumusan semi-sintetik, dengan ciri baru penting yang melengkapinya ialah teknologi Flexi Molecule yang digunakan. Apa kelebihannya? Flexi Molecule memberikan perlindungan yang lebih kepada enjin – molekul-molekulnya akan diaktifkan dalam situasi tekanan yang meningkat pada bahagian enjin.

    Shell Helix High Mileage 15W-50 – benarkah pelincir khusus ini boleh beri kesan positif kepada enjin lama?

    Ini membolehkan tahap perlindungan terhadap kehausan komponen enjin dipertingkatkan sehingga 40% lebih baik berbanding pelincir Shell yang lain. Enjin juga didakwa akan lebih bersih; enapan dalam enjin akan dibersihkan secara purata sehingga 34% seawal pertukaran minyak yang pertama. Ini mengambil kira faktor yang satu ini; kereta-kereta lama biasanya akan menggunakan minyak pelincir enjin jenis mineral.

    Jadi, adakah Shell Helix High Mileage 15W-50 benar-benar dapat memberi kesan yang positif terhadap enjin? Sepanjang lapan minggu mencubanya, ada beberapa perkara yang dapat dikesan dan dirasai, berdasarkan pengalaman pemanduan seharian.

    Pertama, kebocoran minyak enjin berkurangan. Bukan tak ada langsung kebocoran, tetapi ia semakin berkurangan. Sebelum ini, pasti ada kesan titisan minyak yang kelihatan setiap kali kereta diletak semalaman, dan jumlah titis dari kebocoran enjin itu agak ketara dari sehari ke sehari.

    Tetapi sebaik sahaja menggunakan Shell Helix High Mileage, kadar kebocoran yang masih berlaku seperti yang dapat dilihat pada lantai di bahagian bawah ruang enjin sangat minimal. Kedua, timing enjin dalam keadaan pegun juga saya rasakan lebih stabil berbanding sebelumnya. Dengan enjin yang menggunakan karburetor, faktor ini banyak membantu dalam memberikan keyakinan ketika memandu kereta lama seperti ini.

    Shell Helix High Mileage 15W-50 – benarkah pelincir khusus ini boleh beri kesan positif kepada enjin lama?

    Bagaimana pula dari sudut pengalaman pemanduan? Antara perubahan yang dapat dirasakan ialah enjin semacam mempunyai lebih bertenaga dan lebih ‘berat’; mungkin juga ini disumbangkan oleh tahap kelikatan minyak pelincir berkenaan yang lebih tinggi berbanding yang saya gunakan sebelumnya. Dari aspek ini, kelainan memang dapat dirasa.

    Tetapi, jika menyentuh prestasi keseluruhan enjin, atau adakan pelincir ini akan memberikan daya pecutan yang lebih baik, itu mungkin agak sukar untuk dicapai. Kerana, ia dirumus terutamanya untuk memberi perlindungan tambahan khusus untuk kegunaan enjin dengan jarak perjalanan yang sudah tinggi. Dalam konteks kereta lama seperti itu, prestasi umumnya mungkin dapat dirasakan sedikit meningkat.

    Bagi kenderaan yang lebih baru, dan ingin menggunakan pelincir ini, tentunya tiada masalah. Tetapi manfaat penuhnya hanya dapat dinikmati oleh kereta dengan enjin-enjin lama – bahan aditif dan rumusan yang digunakan adalah bagi mendepani masalah yang kerap dihadapi oleh kereta lama, dan bukannya pada enjin moden.

    Shell Helix High Mileage 15W-50 – benarkah pelincir khusus ini boleh beri kesan positif kepada enjin lama?

    Dengan operasi enjin yang lebih cekap dan bertenaga, serta tahap kebocoran yang dapat dikurangkan, penggunaan minyak petrolnya juga ada peningkatan. Jika menyentuh soal jimat, setidak-tidaknya anda tidak perlu lagi untuk kerap menambah tahap minyak pelincir enjin – kerana kebocoran kini lebih minimal dengan penggunaan Shell Helix High Mileage.

    Untuk kereta lama, peningkatan dari hal-hal yang dinyatakan ini akan memberi kesan yang cukup baik. Adakah saya akan terus menggunakan pelincir ini nanti? Sekiranya saya ingin mengekalkan ‘tenaga’ kereta ini seperti yang dapat dirasakan sekarang, saya akan kekal menggunakannya. Tambahan pula, setakat ini, kereta saya jarang mendapatkan tenaga dari enjin pada tahap yang sama seperti apa yang mampu diberikan kini.

    Walaupun awalnya saya agak ragu-ragu dengan produk seperti ini – kerena kebiasaannya ia hanya akan dirasakan berkesan pada peringkat awal penggunaannya sahaja – selepas tempoh dua bulan berlalu, saya beranggapan bahawa memang ada beberapa peningkatan yang mampu diberikan oleh Shell Helix High Mileage 15W-50, setidak-tidaknya untuk kereta yang saya gunakan ini.

     
     
  • SsangYong XAVL Concept akan muncul di Geneva

    SsangYong XAVL Concept akan muncul di Geneva

    SsangYong telah keluar dengan pelbagai model SUV konsep sebelum ini, dan Geneva Motor Show 2017 akan menyaksikan penampilan sebuah lagi yang dinamakan sebagai SsangYong XAVL (eXciting Authentic Vehicle Long). Ia mendapat inspirasi daripada model Korando yang dikeluarkan pada tahun 90-an dan mempunyai penampilan seperti kereta konsep XAV-Adventure.

    Gambar teaser rasmi yang dikeluarkan menunjukkan kenderaan tersebut masih menggunakan bentuk biasa sebuah 4×4, tetapi dengan gaya yang lebih moden berbanding XAV-Adventure. Lampu hadapan dan belakangnya juga nampak lebih futuristik.

    Bahagian dalam pula menggunakan papan pemuka lebih kontemporari, dengan pemilih gear jenis tombol yang dipusing seperti Jaguar dan skrin paparan informasi dan hiburan ‘terapung’ seperti BMW. XAVL boleh menempatkan tujuh orang, seterusnya memberi petunjuk bahawa model produksi akan ditawarkan dalam dua saiz, seperti model Tivoli dan Tivoli XLV.

    Tiada enjin hibrid pacuan empat roda untuk model ini, dan ia akan dikuasakan oleh pilihan enjin petrol dan diesel – berkemungkinan unit 1.6 liter Euro 6 daripada model Tivoli, digabungkan dengan sama ada transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan daripada Aisin.

    GALERI: SsangYong LIV-2 Concept

     
     
  • Toyota Yaris GRMN – hot hatch terima enjin 1.8 S/C

    Toyota Yaris GRMN – hot hatch terima enjin 1.8 S/C

    Menerusi sebaran media mengenai perincian pertama bagi i-TRIL Concept yang diedarkan semalam, Toyota turut menyelitkan nama rasmi bagi Yaris hot hatch iaitu Gazoo Racing Masters of Nürburgring, atau ringkasnya GRMN.

    Mungkin nama ini macam pernah kedengaran, ya disebabkan ia pernah digunakan oleh beberapa model konsep Toyota dan talaan istimewa untuk Jepun, termasuklah Vitz GRMN Turbo. Namun bagi Yaris GRMN ini, ia bakal dipadankan dengan enjin 1.8 liter supercharged, dengan kuasa yang didakwa melebihi 210 hp.

    Toyota Yaris GRMN – hot hatch terima enjin 1.8 S/C

    Seperti mana model hot hatch pesaingnya, seperti Ford Fiesta ST dan Peugeot 208 GTi, kuasanya turut disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi manual enam-kelajuan. Beberapa elemen termasuk brek yang besar dan direndahkan, sistem suspensi yang dipertingkatkan juga sepatutnya ditampilkan.

    Dikatakan diinspirasi dari Yaris WRC, jentera baharu ini juga menerima keunikan elemen yang berbeza berbanding Yaris standard. Ini termasuklah tailgate spoiler berwarna hitam, peresap belakang yang lebih besar, tip ekzos di bahagian tengah, perumah cermin sisi hitam dan rim aloi 17-inci, bersama jaluran hitam dan merah pada badan kereta menampakkan gaya seperti jentera rali.

    GALERI: Toyota Yaris facelift

     
     
  • BMW i3S – model facelift akan dapat versi lebih sporty

    BMW i3S – model facelift akan dapat versi lebih sporty

    BMW i3 pertama kali diperkenalkan kepada pasaran tiga tahun dulu, dan kini sudah masa untuk ia diberi facelift. Untuk tahun 2018, barisan kenderaan elektrik ini akan menerima model yang diperbaharui dan ia akan muncul membuat penampilan semasa acara IAA di Frankfurt bulan September ini.

    Satu kejutan yang akan diberi, menurut laporan Autocar adalah akan keluar model paling tinggi dinamakan sebagai i3S, dengan karekter lebih sporty dan prestasi pecutan yang dipertingkat. Laporan itu juga mengatakan bahawa model ini akan menetapkan tahap sendiri yang unik sebagai sebuah kenderaan elektrik hot hatch.

    BMW i3 yang dijual sekarang dikuasakan oleh motor elektrik yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan, dengan kuasa sebanyak 170 hp dan 250 Nm. Untuk pecutan 0-100 km/j pula, ia mampu mencatat 7.3 saat. Jadi, untuk meletakkannya dalam kategori hot hatch, tidak banyak yang perlu dilakukan.

    BMW i3S – model facelift akan dapat versi lebih sporty

    Menurut pemahaman majalah British tersebut, peningkatan pada enjin barisan model i3 facelift tidak akan menjadi begitu ketara kerana tahun lepas ia sudah diberi peningkatan tahun lepas. Kereta terkini menggunakan bateri 33 kWh (daripada 22 kWh) dan ketumpatan bateri 93 Ah (daripada 60 Ah), dan jarak penggunaannya dicatat pada lebih 300 km dalam ujian New European Driving Cycle (NEDC). Sebelum ini hanya 190 km.

    Penampilan hatchback elektrik ini akan kekal sama, dengan sedikit perubahan pada bahagian-bahagian kecil. Berdasarkan gambar spyshot terbaru, bahagian yang akan menerima sentuhan adalah lampu hadapan, bampar, bahagian bawah bampar serta lampu belakang. Autocar juga memberitahu sistem informasi dan hiburan akan dinaik taraf, dan akan terdapat pelbagai pilihan warna serta aksesori pilihan yang lain.

     
     
  • Proton bukan untuk dijual, rakan strategik asing diperlukan bagi bersaing di peringkat global – Menteri

    Proton bukan untuk dijual, rakan strategik asing diperlukan bagi bersaing di peringkat global – Menteri

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan, menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa Proton Holdings Bhd akan menjual 51% sahamnya kepada syarikat asing dan menyebabkan kekayaan negara tergadai.

    “Kerajaan bukannya gadai hak negara tetapi mencari peluang untuk membantu Proton membangun secara lebih cekap dan setanding jenama besar dalam industri automobil dunia,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, buat masa ini, tiada sebarang keputusan muktamad dan kini Proton sedang dalam proses mengenal pasti rakan kongsi strategik asing sesuai dan kenyataan mengenainya akan dibuat serentak dengan pengumuman gabungan kilang pengeluaran di Tanjung Malim, Perak dengan Shah Alam, Selangor.

    “Kerajaan juga tidak akan membuat pengumuman bagi pihak Proton dan saya minta agar semua pihak bersabar,” katanya sambil menambah kerajaan hanya memberi galakan kepada Proton untuk mencari rakan kongsi strategik asing bagi meningkatkan keupayaan pengeluar kereta nasional itu bersaing di pasaran antarabangsa.

    Proton bukan untuk dijual, rakan strategik asing diperlukan bagi bersaing di peringkat global – Menteri

    “Proton bebas memilih rakan kongsi strategik yang mempunyai berkemampuan besar sama ada dari Amerika Syarikat, Jepun, China ataupun negara Eropah. Kita harap selepas ini Proton dapat membangunkan hab automobil yang membolehkan Malaysia menjual kenderaan nasional bermutu tinggi sehingga menembusi pasaran antarabangsa terutama di negara-negara ASEAN,” sambungnya lagi.

    Ong turut berkata, kerjasama itu juga diharap mampu mempertingkatkan tahap piawaian antarabangsa pengeluaran kereta nasional negara, sekaligus menyuntik keupayaan Proton untuk bertahan dalam industri ini.

    “Ini akan membantu meningkatkan jualan ke peringkat antarabangsa kerana pasaran ketika ini tidak besar (iaitu) hanya 600,000 kenderaan setahun berbanding Amerika Syarikat sebanyak 17 juta kenderaan dan China (25 juta kenderaan) setahun,” katanya.

    Menurut Ong, bagi mencapai kemajuan secara berterusan, Proton tidak boleh bergantung kepada pasaran tempatan yang tidak cukup bagi menampung kos penyelidikan pengeluaran kereta berkualiti selain bersaing dengan jenama lain.

     
     
  • GALERI: Toyota Hilux 2.4G Edisi Terhad lebih bergaya

    GALERI: Toyota Hilux 2.4G Edisi Terhad lebih bergaya

    Minggu lalu, UMW Toyota Motor telah mengumumkan Toyota Hilux 2.4G AT Edisi Terhad kini berada di pasaran Malaysia. Lihat sahaja foto-foto di bawah ini, ternyata penambahan aksesori luaran bagi trak pikap yang menggunakan asas Hilux 2.4G AT, kelihatan lebih garang dan bergaya.

    Hanya didapati dalam warna Super White II, model edisi terhad menerima kit luaran yang agak kontras, termasuk pakej grafik yang merangkumi jaluran hitam pada bonet, tailgate dan sisinya. Juga bersama pelekat dengan efek gentian karbon dan bumbung berwarna hitam untuk tiang-B.

    Perumah cermin sisi juga berwarna hitam, sementara gril dicat dengan warna kelabu metalik berkilat. Ia turut dipadankan dengan bumper guard, bahagian pelindung lampu kabus, kemasan akhir pada bonet dan di sekeliling lampu kabus, dengan tona warna kelabu gelap. Begitu juga dengan sambungan dapra hitam, serta rim bersaiz 17-inci dengan warna kelabu.

    GALERI: Toyota Hilux 2.4G Edisi Terhad lebih bergaya

    Tiada perubahan bagi bahagian dalaman, jadi elemennya masih sama dengan model standard 2.4G AT, termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lapisan cermin Premium Security & Solar Film, lampu dan bilah pengelap cermin auto, tempat duduk pemandu dengan laman-cara pelarasan, kulit upholstery, perakam video digital, sistem infotainmen skrin sesentuh 6.1-inci, kamera undur dan enam-pembesar suara.

    Ia juga masih mengekalkan enjin yang sama dengan model standard iaitu 2.4 liter 2GD-FTV baharu yang digunakan menjana kuasa sehingga 150 PS pada 3,400 rpm dan tork 400 Nm antara 1,600 dan 2,000 rpm. Turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke sistem pacuan empat-roda. Bagi keselamatan, ia dilengkapi dengan tiga beg udara ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan dan cagak ISOFIX.

    Ia kini dibuka untuk tempahan pada harga RM126,000 dan mula berada di bilik pameran Toyota seluruh negara sejak 17 Februari lalu.

     
     
  • Empat kilang Opel Jerman dikekalkan jika PSA sah ambil alih, kilang Vauxhall UK berisiko untuk ditutup

    Empat kilang Opel Jerman dikekalkan jika PSA sah ambil alih, kilang Vauxhall UK berisiko untuk ditutup

    Perkembangan terbaharu berkaitan perbincangan PSA untuk mengambil alih Opel-Vauxhall dari General Motors sebelum ini, kumpulan automotif dari Perancis tersebut dikhabarkan bakal menutup sebahagian kilang milik Opel-Vauxhall sebaik sahaja proses tersebut berjaya kerana kapasiti yang berlebihan jenama itu merupakan salah satu masalah utamanya di Eropah.

    Menurut laporan akhbar Jerman Bild am Sonntag, PSA yang juga pemilik jenama Peugeot dan Citroen telah menyatakan akan meneruskan operasi empat kilang Opel di Jerman.

    Peguam am PSA Oliver Burges dikatakan telah memberitahu dua timbalan menteri dan penasihat kepada Canselor Angela Merkel bahawa Opel akan terus beroperasi sebagai entiti berasingan di dalam kumpulan PSA dan tiada kilang di Jerman akan ditutup. Akhbar tersebut turut menambah, perjanjian pengambilalihan ini berkemungkinan besar akan ditandatangani pada 9 Mac, semasa berlangsungnya Geneva Motor Show 2017.

    Walau bagaimanapun, ‘adik’ kepada Opel iaitu Vauxhall yang berpangkalan di UK mungkin berisiko untuk ditutup. Dua sumber yang rapat dengan PSA telah memberitahu Reuters bahawa pengurangan tenaga kerja dan juga penutupan kilang merupakan antara intipati dalam perbincangan PSA dan GM. Dua kilang Vauxhall di UK ini dilihat sebagai pilihan utama untuk ditutup atas kelemahannya berhubung isu Brexit. CEO PSA bakal bertemu dengan Perdana Menteri Britain Theresa May untuk membincangkan isu ini.

    Menurut Reuters, sekitar separuh dari staf GM Eropah adalah dari Jerman iaitu sebanyak 38,000 orang, manakala di Britain mereka mempunyai seramai 4,500 staf. Sepanyol dan Poland turut mempunyai kilang milik Opel. Jurucakap PSA mengesahkan bahawa satu mensyuarat antara pihaknya dan pegawai rasmi Jerman telah dijalankan minggu lalu, manakala Opel pula enggan untuk memberikan sebarang komen.

    Selain dari perbincangan pengambilalihan ini, PSA Group kini sedang bersaing untuk menjadi rakan strategik Proton bagi membolehkannya mendapatkan kepentingan 51% pada kilang milik jenama automotif nasional Malaysia berkenaan. Dalam perkembangan lain, kumpulan jenama Perancis ini juga telah sah mengambil alih jenama Ambassador dari Hindustan Motors baru-baru ini.

     
     
  • Pengharaman Dego Ride belum muktamad – Nancy

    Pengharaman Dego Ride belum muktamad – Nancy

    Perkhidmatan Dego Ride diharamkan atau tidak? Di dalam perkembangan terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan masih belum ada keputusan pengharaman oleh kerajaan terhada perkhidmatan teksi motosikal itu.

    Dalam sebuah laporan oleh The Sun Daily, beliau menyatakan belum ada keputusan rasmi yang dicapai oleh Kabinet dan masih belum ada undang-undang untuk menyelia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian setakat ini.

    “Kerajaan tidak berhasrat untuk terus sampai kepada kesimpulan mengharamkan perkhidmatan berkenaan, kerena ia melibatkan banyak pihak. Untuk itu, sebelum tiba kepada keputusan akhir, kajian mendalam terhadap pasaran perkhidmatan ini perlu dijalankan dahulu,” tambah beliau.

    “Ini bertujuan untuk memastikan keputusan yang akan diambil oleh kerajaan tidak terlihat mengabaikan kreativiti dan inovasi golongan B40,” jelas beliau.

    Tambah beliau lagi, sekiranya ada permintaan berterusan untuk perkhidmatan itu, maka kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memasukkannya ke dalam undang-undang sedia ada, seperti yang dilakukan terhadap Gran dan Uber.

    Beliau menekankan, adalah terlalu awal bagi kerajaan untuk menyatakan pendiriannya ketika ini berkaitan hal berkenaan. Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai minggu lalu memaklumkan bahawa Kabinet bersetuju dengan kementerian untuk mengharamkan perkhidmatan Dego Ride atas sebab-sebab keselamatan.

     
     
  • Roborace – perlumbaan kereta tanpa pemandu, demo penuh berjaya, jentera bakal didedahkan 27 Feb ini

    Roborace, siri pertunjukan perlumbaan kereta tanpa pemandu yang diadakan bersama kejuaraan Formula E telah berjaya melengkapkan demonstrasi secara langsung yang pertamanya, menggunakan dua buah kereta tanpa pemandu berlumba di litar.

    Demonstrasi tersebut berlangsung di litar jalan raya di Buenos Aires, lokasi yang sama berlangsungnya perlumbaan pusingan ketiga untuk musim 2016-17, menggunakan dua kereta yang dibangunkan oleh Roborace iaitu DevBot 1 dan 2. Kereta-kereta ini bakal didedahkan pada Mobile World Congress yang akan berlangsung di Barcelona 27 Februari ini.

    Kedua-dua buah DevBots tersebut diberikan livery perlumbaan menggunakan tema kelab bola sepak tempatan iaitu River Plate dan Boca Juniors, berlumba bersama pada litar berkenaan tanpa langsung dipandu oleh manusia, sebaliknya menggunakan pelbagai penderia pada sekeliling badan kereta berkenaan, bagi memberikan panduan dalam litar tersebut.

    Siri perlumbaan kereta elektrik tanpa pemandu ini bakal menjadi lapangan ujian untuk teknologi pemanduan sendiri dan juga kepada jurutera perisian bagi membangunkan dan memperhalusi hasil kerja mereka. Kesemua pasukan bakal diberikan kereta yang sama, dan juga kelengkapan yang sama, tetapi dibenarkan untuk membuat perisian mereka sendiri.

    Asas kepada perlumbaan ini adalah interaksi, dengan kebolehan perisian AI untuk menerima dan beriteraksi terhadap persekitaran dinamik, yang menjadi elemen utama bagi teknologi ini.

     
     
  • Chevrolet Trax 2017 – SUV kompak dijumpai di M’sia

    Chevrolet Trax 2017 – SUV kompak dijumpai di M’sia

    Nampak gayanya, sebuah SUV kompak baru akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. Gambar yang dihantar oleh pembaca kami iaitu Mohd Faizul menunjukkan dua buah SUV, dengan jenamanya ditutup rapi sedang diangkut atas treler di Lebuh Raya Kesas. Walaupun begitu, nama model tersebut boleh dilihat di tepinya, iaitu Chevrolet Trax.

    Model ini adalah sebuah crossover kompak global yang akan masuk dalam segmen sama seperti Honda HR-V, Mazda CX-3, Ford EcoSport dan juga Toyota C-HR. Bagi negara kita, Trax mungkin dianggap baru, tetapi sebenarnya ia sudah berada di pasaran antarabangsa sejak tahun 2012, dan model yang dilihat ini adalah versi facelift terkini yang tampil pertama kali tahun lalu.

    Dalam negara Asean, Chevrolet Trax facelift ini sudah berada di pasaran Vietnam, manakala di Indonesia pula, model yang dipasarkan kini adalah model sebelum facelift yang diperkenalkan semasa IIMS 2016.

    Chevrolet Trax 2017 – SUV kompak dijumpai di M’sia

    Panjang Chevrolet Trax adalah 4,248 mm, iaitu 47 mm lebih pendek berbanding Mitsubishi ASX, tetapi ukuran lain antara keduanya adalah hampir sama. Jarak roda Trax adalah 2,555 mm dan menurut Chevrolet, ia cukup untuk memuatkan lima orang dalam keadaan selesa. Tempat duduk belakangnya boleh dilipat 60:40 dan mempunyai luas ruang barangan 1,370 liter.

    Di Vietnam dan Indonesia, Trax ditawarkan dengan versi yang dikuasakan enjin 1.4 liter Ecotec Turbo, mampu menghasilkan 140 PS dan 200 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan Tiptronic dan spesifikasi ini dijangka digunakan juga untuk model pasaran Malaysia.

    Gambar ini menunjukkan dua varian berbeza, di mana kereta berwarna biru mempunyai spesifikasi lebih tinggi, kerana ia menggunakan rim yang lebih besar dan panel bawah bampar yang berwarna kelabu. Kedua-dua kenderaan ini mempunyai lampu siang LED, lampu utama projector dan lampu kabus.

    GALERI: Chevrolet Trax 2016 spesifikasi Indonesia

     
     
  • VIDEO: Teaser Lamborghini Huracan Performante di litar Nurburgring sebelum diperkenalkan di Geneva

    Sebelum didedahkan sepenuhnya di Geneva Motor Show yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Lamborghini terlebih dahulu menyiarkan teaser berbentuk video untuk Huracan versi yang lebih buas, digelar Huracan Performante. Video berkenaan menunjukkan supercar versi lebih hardcore ini diuji dan beraksi dengan masih lagi menggunakan pelekat penyamaran di litar ‘The Green Hell’ Nurburgring, Jerman.

    Menerusi video ini juga, Lamborghini menyebut “bersedia untuk memahami pretasi terunggul pada 23 Februari,” membayangkan segalanya bakal didedahkan pada tarikh tersebut.

    Huracan Performante bakal menerima berberapa komponen badan berlainan dari versi standard yang bakal memberikan prestasi aerodinamik yang lebih baik. Unit yang membintangi video ini juga kelihatan seiras dengan imej spyshot yang dijumpai sedang diuji sebelum ini, menampilkan bampar hadapan baharu yang direka diinspirasikan dari bampar Aventador S.

    Pada bahagian belakang, Huracan Performante diberikan tip ekzos berkembar dari jentera Huracan GT3, dan diletakkan pada posisi lebih tinggi. Model ini juga diberikan sayap belakang lebih besar dan juga penutup enjin dengan rekaan baharu sepenuhnya.

    Pemadanan komponen-komponen baharu ini pastinya bakal meringankan lagi berat keseluruhan versi tingkat taraf ini. Sebagai panduan, Lamborghini Gallardo Superleggera LP570-4 dibina 70 kg lebih ringan, serta menerima kuasa kuda 10% lebih kuat berbanding model standardnya. Jadi, kuasa 610 hp/560 Nm pada enjin V10 5.2 liter NA pada Huracan standard pastinya akan diekstrak lagi untuk Performante.

    Huracan versi Spyder (bumbung boleh buka) turut dilihat diuji sekali pada set imej spyshot sebelum ini. Model berkenaan dilihat turut menerima kelengkapan yang hampir sama dan dijangka bakal muncul serentak, serta akan diberikan lencana Huracan Spyder Performante.

    GALERI: Spyshot Lamborghini Huracan Performante

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026