Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Mercedes-Benz A-Class generasi terkini ditemui – guna skrin informasi lebar seperti E-Class

    SPYSHOT: Mercedes-Benz A-Class generasi terkini ditemui – guna skrin informasi lebar seperti E-Class

    Kali pertama Mercedes-Benz A-Class generasi seterusnya ditemui, ia ditutup rapi dengan pelekat camouflage, bersama pelindung badan yang tidak menampakkan bentuk sebenarnya. Kali ini, sekali lagi ia ditemui membuat ujian musim sejuk, dan bentuk badannya sudah boleh dilihat. Walaubagaimanapun, ia masih ditutup dengan pelekat.

    Bahagian hadapan A-Class ini lebih rendah dan rapi, dengan lampu utama juga lebih nipis. Di belakang pula, lampu yang kelihatan bersedia untuk kegunaan kenderaan produksi sudah dipasang pada unit ujian ini. Seperti yang boleh dilihat pada unit ujian sebelum ini, lampu belakangnya lebih lebar, dan mempunyai bentuk seperti lampu GLA.

    Dalam gambar spyshot kali ini juga, bahagian dalam A-Class baru ini dapat ditangkap, meskipun ia masih ditutup dengan fabrik serba hitam. Namun, ada bahagian yang terkeluar, menampakkan skrin paparan informasi LCD baru, yang lebar dan hampir sama seperti E-Class.

    SPYSHOT: Mercedes-Benz A-Class generasi terkini ditemui – guna skrin informasi lebar seperti E-Class

    A-Class unit ujian ini juga dilihat menggunakan roda stereng baru, dengan bahagian tengahnya lebih kecil manakala cabang-cabangnya dipenuhi dengan butang kawalan, juga seperti E-Class W213. Bahagian konsol tengah pula, walaupun tertutup nampak seperti lebih membonjol keluar.

    Platform MFA2 yang digunakan untuk A-Class generasi seterusnya ini mempunyai kegunaan yang lebih pelbagai berbanding sebelum ini. Selain boleh dipakai untuk pelbagai model, ia juga lebih ringan. Lampu belakang terasing pada model ini juga menunjukkan bahawa A-Class baru akan mempunyai ruang simpanan lebih besar, sementara bagi penumpang, ia akan menjadi lebih luas.

     
     
  • Honda HR-V bakal terima enjin 1.0 liter turbo di China?

    Honda HR-V bakal terima enjin 1.0 liter turbo di China?

    Honda HR-V dilaporkan bakal menerima padanan enjin 1.0 liter pengecas turbo tiga-silinder di China tidak lama lagi, menurut Autohome.

    Varian baharu ini dikatakan akan diperkenalkan oleh Guangqi Honda, menampilkan enjin 1.0 liter turbo/CVT yang sama pada Civic 180Turbo yang dijual oleh Dongfeng Honda. Untuk sedan tersebut, penjana kuasa ini menawarkan output sehingga 123 hp pada 5,500 rpm dan tork 173 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm, pacuan roda hadapan.

    Buat setakat ini, HR-V didapati dengan dua pilihan enjin petrol naturally-aspirated empat-silinder 1.5 liter (118 hp/145 Nm) dan 1.8 liter (140 hp/172 Nm), dengan pilihan diesel dan hibrid. Di Malaysia, hanya satu pilihan enjin sahaja iaitu 1.8 liter. Enjin pengecas turbo memiliki ledakan tork yang sama dengan penjana kuasa petrol 1.8 liter, walau pun jumlah kuasa kudanya kurang.

    Guangqi Honda dilaporkan akan melancarkan HR-V versi turbo pada 29 Mac tahun ini, bersama beberapa varian yang bakal ditawarkan untuk pelanggan di China.

     
     
  • Honda Civic Type-R generasi baharu bakal dilancarkan untuk peringkat global di Geneva Motor Show 2017

    honda-civic-type-r-prototype-1-bm

    Akhirnya, Honda mengesahkan generasi baharu Civic Type-R dalam bentuk produksi sebenar bakal membuat kemunculan sulungnya di Geneva Motor Show tahun ini, yang akan berlangsung pada bulan hadapan.

    Honda juga telah mengumumkan model generasi baharu ini akan menggunakan enjin 2.0 liter petrol VTEC Turbo yang diambil dari Type-R FK2 sebelum ini (306 hp/400 Nm) tetapi diperkemaskinikan dan Honda mendakwa ia “dibina untuk memberikan pemanduan yang paling mengujakan dalam segmen hot-hatch“. Walau bagaimanapun angka sebenar kuasa yang dihasilkan belum lagi didedahkan, manakala kotak gear enam-kelajuan manual sah digunakan untuk model baharu ini.

    Civic Type-R ini juga sah akan diproduksi di kilang Honda Swindon, UK, kilang yang sama memproduksi Civic Type-R sebelum ini dan juga Civic Hatchback generasi terbaharu, bermula pada musim panas 2017.

    honda-civic-type-r-prototype-3-bm

    Model generasi baharu ini akan dimport ke seluruh Eropah dan juga pasaran-pasaran lain termasuk Jepun dan Amerika Syarikat. Bagi pasaran Amerika Syarikat juga, ini merupakan kali pertama Civic Type-R dijual pada pasaran berkenaan secara rasmi.

    Versi prototaip hot-hatch pacuan roda hadapan ini telah pun membuat kemunculan sulungnya pada Paris Motor Show tahun lalu, dan dilihat hampir ke bentuk produksi sebenar. Berbanding Civic Hatchback standard, versi lebih buas ini diberikan bampar baharu, roda lebih besar, angkup brek Brembo, sayap belakang lebih agersif serta tiga tip ekzos yang ditempatkan pada bahagian tengah diffuser belakang.

    Menurut Honda, Type-R dibina bersama Civic Hatchback generasi terbaharu, dengan “kelebihan bersama pada dinamik dan penghalusan pada kedua-dua model.” Ini mungkin termasuk sistem penyerap hentak adaptif yang ditawarkan pada varian tertinggi Civic Hatchback di Eropah. Perincian sepenuhnya Civic Type-R generasi baharu ini akan kami bawakan setelah ia didedahkan dalam masa sebulan dari sekarang.

    GALERI: Honda Civic Type-R Prototype

     
     
  • Ferrari 812 Superfast – enjin baharu 6.5L N/A V12 800 PS, 718 Nm; menjadi model Ferrari paling berkuasa

    Ferrari 812 Superfast – enjin baharu 6.5L N/A V12 800 PS, 718 Nm; menjadi model Ferrari paling berkuasa

    Ferrari telah memilih pentas Geneva International Motor Show 2017 untuk mempamerkan 812 Superfast, yang disifatkan sebagai model Ferrari paling berkuasa dan terpantas dalam sejarahnya. Jentera baharu ini bukan sahaja menampilkan banyak ciri yang inovatif, bahkan mengimbau kembali sejarah kegemilangan yang tercipta oleh Prancing Horse pada 1947, iaitu 70 tahun yang lalu.

    Malah 812 Superfast juga adalah ciptaan era baharu di dalam sejarah 12-silinder Ferrari, seperti mana legasi bagi F12berlinetta dan F12tdf. Ia adalah bagi memberikan pilihan buat pelanggan yang mahukan ledakan kuasa luar biasa serta ekslusiviti, dalam masa yang sama jentera yang mampu dilenjan di jalan raya biasa dan trek perlumbaan.

    Jentera prestasi tinggi ini dikuasakan oleh enjin baharu 6.5 liter natural-aspirated V12 yang menghamburkan kuasa sehingga 800 PS (789 hp) pada takat 8,500 rpm dan tork pula 718 Nm pada 7,000 rpm, dengan capaian yang lebih signifikan sebanyak 80% apabila mencecah 3,500 rpm. Sekali gus mempertingkatkan keupayaan pemanduan dan pacuan walau pun pada tahap rev yang rendah.

    Tahap prestasi itu mampu dicapai dengan adanya sistem suntikan terus 350 bar buat pertama kalinya bagi sebuah enjin prestasi tinggi dan dipadankan dengan geometri boleh-ubah yang diambil dari konsep asal enjin aspirasi F1. Ia juga dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan dengan nisbah gear yang spesifik, digabungkan bersama penukaran gear rendah, sekali gus memberikan respons pendikitan yang lebih tepat.

    Ferrari 812 Superfast – enjin baharu 6.5L N/A V12 800 PS, 718 Nm; menjadi model Ferrari paling berkuasa

    Hasilnya, 812 ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 2.9 saat dan berkeupayaan mencapai kelajuan maksimum sehingga 340 km/j, menjadikannya terlaju dalam barisan model Ferrari yang lain.

    Bagi pengendalian yang lebih memberangsangkan, 812 ini turut digandingkan dengan Side Slip Control (SSC) versi 5.0, memberikannya powersliding yang lebih mudah. Selain itu, ia turut menampilkan Virtual Short Wheelbase (PCV) 2.0, iaitu sistem stereng empat-roda yang pertama kali diperkenalkan menerusi F12tdf. Dan buat pertama kalinya juga, Ferrari memperkenalkan stereng kuasa elektrik menerusi 812, berbanding kotak stereng hidraulik.

    Bagi memberikan imej yang lebih sepadan dengan prestasi kuasanya, 812 dihadirkan dengan bampar hadapan baharu, yang disambungkan pada corong saluran brek aktif, berhampiran gril sarang lebah. Selain itu, ia turut menampilkan lampu utama LED, serta ekstraktor pemanas di sebelahnya.

    Melihat bahagian sisinya pula, ternyata 812 lebih maskulin dengan gerbang roda yang cukup menonjol. Sementara bahagian belakangnya ditampilkan dengan lip spoiler yang turut menyerlahlah lagi gayanya. Malah lampu belakang baharu dengan dua-unit berbanding satu sahaja pada F12, begitu juga dengan bampar baharu yang menampilkkannya lebih agresif. Perubahan lain termasuk membentuk semula penutup enjinnya, nampak lebih bersudut berbanding sebelum ini.

    Ferrari 812 Superfast – enjin baharu 6.5L N/A V12 800 PS, 718 Nm; menjadi model Ferrari paling berkuasa

    Imej baharu ini turut menyalurkan fungsi aerodinamiknya, ini termasuklah dengan seksyen hadapan pelbagai-fungsi yang disambungkan pada kluster aerodinamik termasuk penutup (flap) aktif di bahagian bawah kerangka hadapan, dan di belakang dengan saluran aerodinamik untuk menambahkan lagi downforce.

    Satu lagi daya tarikan yang ada pada 812 ini ialah cat baharu berwarna rosso (merah). Ferrari menggelarkannya Rosso Settanta yang jika diterjemahkan membawa maksud “70 merah” yang menggambarkan ulang tahun ke-70 syarikat ini.

    Di dalamnya pula, 812 agak berlainan berbanding F12, dengan papan pemuka yang disemak semula termasuk tampil dengan corong pendingin hawa dan kekemasan baharu. Ia juga didatangkan dengan roda stereng pelbagai-fungsi dan suis gear, iaitu sebagai elemen yang dipertingkatkan. Sementara skrin yang menghadap penumpang pula adalah lebih kurang sama pada GTC4Lusso.

     
     
  • Honda daftar paten untuk kereta sports enjin di tengah

    Honda daftar paten untuk kereta sports enjin di tengah

    Sebelum ini, Honda pernah mempamerkan sebuah kenderaan konsep yang nampak seperti separuh kereta dan separuh motosikal, dinamakan Project 2&4 Concept. Ramai yang menyangka kenderaan ini tidak mungkin akan memasuki fasa produksi, tetapi baru-baru ini, Honda telah mendaftarkan paten untuk kenderaan sports enjin di tengah, dan kelihatan seperti kenderaan itu.

    Walaupun mempunyai dua tempat duduk (kenderaan konsep Project 2&4 hanya ada satu tempat duduk), lukisan paten itu tetap menggambarkan sebuah kenderaan yang kelihatan seperti go kart yang besar. Menurut Autoblog, paten ini adalah untuk sebuah kenderaan dengan casis cast aluminium backbone, dan dikatakan sangat ringan, kuat dan boleh dikeluarkan secara pantas. Enjin pula terletak di belakang tempat duduk dan memacu gandar belakang.

    Semua bahagian lain yang menjadikannya sebuah kereta seperti tempat duduk, roda stereng, pedal dan panel meter semuanya terletak di tengah casis, dan ia boleh dihasilkan bagi konfigurasi pemanduan sebelah kanan, kiri atau satu tempat duduk sahaja. Laporan yang dikeluarkan juga menyatakan kesediaan kenderaan ini untuk dilengkapi dengan pelindung sekiranya terbalik, seperti yang ditunjukkan pada bahagian 110a, 110b dan 110c rajah 2.

    Kerangka terdedah yang membahagikan kabin kenderaan ini adalah berbentuk petak, dan ia boleh digunakan untuk meletakkan tangki minyak. Untuk menggerakkan kenderaan ini, paten tersebut menunjukkan bahawa selain enjin jenis pembakaran, ia juga boleh menggunakan motor elektrik, dan tempat meletak tangki minyak tadi boleh diganti sebagai tempat bateri.

    Suspensi yang digunakan adalah jenis double wishbone, tetapi paten tersebut membiarkan bahagian itu terbuka untuk jenis yang lain. Perkara sama juga dilakukan bagi tayar, di mana dalam rajah ini ia menggunakan empat tayar, tetapi rangka itu juga boleh menggunakan hanya tiga tayar.

    Project 2&4 Concept mempunyai berat hanya 405 kg, berukuran 3,040 mm dan datang dengan enjin V4 999 cc daripada motosikal MotoGP RC213V. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 215 PS pada 13,000 rpm dan menggunakan transmisi enam kelajuan klac berkembar.

     
     
  • Perincian kuasa hot-hatch Hyundai i30 N didedahkan – pencabar Golf GTi berkuasa 275 hp, dibekalkan E-LSD

    Hyundai-i30-N-Spyshots-03_BM

    Teka-teki berkenaan perincian kuasa yang bakal dimiliki oleh hot hatch Hyundai i30 N terdedah secara tidak sengaja ketika pembentangan yang dibuat oleh Hyundai sendiri, menurut laporan Car Advice.

    Jentera yang bakal memberikan saingan kepada hot-hatch pacuan roda hadapan Eropah seperti Golf GTi dan Ford Focus ST serta bakal diperkenalkan pada lewat tahun ini berkenaan akan ditawarkan dalam dua versi iaitu 250 hp, dan yang paling berkuasa – 275 hp.

    Ketika dilancarkan nanti, i30 N akan dibekalkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan kemudiannya turut ditawarkan dengan transmisi klac berkembar lapan-kelajuan jenis klac basah.Apa yang menarik lagi, i30 N bakal dilengkapkan dengan LSD mekanikal pintar kawalan elektronik digelar E-LSD, pertama seumpamanya dari Hyundai.

    Hyundai-i30-N-Spyshots-05_BM

    Menurut Albert Biermann, ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai (bekas naib presiden kejuruteraan BMW M), i30 N versi dengan kuasa tertinggi bakal diberikan talaan suspensi yang lebih keras.

    Untuk membezakan daripada i30 standard, model N ini diberikan liang kemasukan hadapan, roda aloi serta angkup brek bersaiz lebih besar dan diberikan dua tip ekzos juga bersaiz besar pada setiap sisi belakang. Dijangkakan model produksi versi N ini turut akan dilengkapi dengan sayap belakang yang lebih besar dari model standard.

    Hyundai N juga bakal memproduksi pakej tingkat taraf untuk i30 standard yang terdiri dari elemen kosmetik, tanpa pakej tambahan kuasa – sama seperti konsep pakej AMG Line untuk Mercedes-Benz standard atau pakej M Sport dari BMW.

    GALERI: Spyshot Hyundai i30 N

     
     
  • GrabShare kini di Malaysia, tambang 30% lebih murah

    GrabShare kini di Malaysia, tambang 30% lebih murah

    Dalam perkembangan terbaru, aplikasi perkhidmatan perkongsian kenderaan Grabcar semalam memperkenalkan satu lagi produk baru sebagai lanjutan kepada perkhidmatan sedia ada, dikenali sebagai GrabShare. Pengguna kini boleh milih untuk berkongsi perjalanan Grabcar mereka bersama penumpang lain yang menuju arah destinasi yang sama.

    Sebagai pulangan, tambang yang dikenakan kepada mereka akan diberikan potongan kadar tambang sehingga 30% daripada kebiasaannya. GrabShare sebelum ini dilancarkan di Singapura pada Disember 2016 dan menyaksikan perkhidmatan itu menerima peningkatan sehingga dua juta perjalanan dalam jarak keseluruhan 20 juta km dalam tempoh hanya dua bulan.

    Menurut Grab, perkhidmatan baru ini telah berjaya menarik lebih ramai pengguna terhadap aplikasi yang disediakan terutama di kawasan bandar. Pendapatan bulanan pemandu juga secara puratanya meningkat 10% berbanding sebelumnya. Selain Singapura dan Malaysia, GrabShare kini turut ditawarkan di Filipina.

    Menyedari pengguna di rantau Asia agak keberatan untuk berkongsi perjalanan mereka dengan orang lain yang tidak dikenali, ketua Grab Malaysia, Sean Goh menyifatkan sambutan di Singapura menunjukkan ramai pengguna yang sanggup memberi peluang dan mencubanya terlebih dahulu. Setelah mendapati ianya berkesan dan menjimatkan, pengguna akan terus menggunakannya.

    Dengan memilih perkhidmatan ini di dalam aplikasi Grabcar sedia ada, sistem akan mengenalpasti penumpang lain yang berada satu arah atau berdekatan dengan anda bagi tujuan carpool. Mereka yang menempah hanya boleh membawa seorang lagi penumpang lain, dan hanya dua tempahan dibenarkan dalam satu-satu situasi. Maksudnya, maksimum hanya akan ada empat penumpang dalam satu kereta, dan maksimum hanya akan ada dua hentian sebelum anda tiba ke destinasi anda.

    Direka dan dibangunkan di tiga pusat R&D Grab yang berada di Singapura, Seattle dan Beijing, algoritma padanan GrabShare akan menentukan sistem akan mengambil kira kedudukan pemandu terdekat, masa perjalanan, pertindihan laluan pelanggan dan keadaan trafik sebelum mencadangkannya kepada pemandu.

     
     
  • JPJ lancar Ops Warga Asing 20 hingga 26 Feb ini

    JPJ lancar Ops Warga Asing 20 hingga 26 Feb ini

    Perhatian kepada pemilik kenderaan yang membenarkan kenderaan mereka dipandu oleh warga asing tanpa lesen yang sah, anda perlu segera menghentikan tindakan tersebut kerana JPJ memandang serius perkara ini.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron dalam laporan Bernama, ramai pemandu warga asing gagal mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya negara ini selain tidak mempunyai dokumen memandu yang sah. Oleh itu, JPJ akan mengadakan Op Pemandu Warga Asing dari 20 hingga 26 Feb ini di seluruh negara.

    JPJ mensasarkan operasi ini kepada golongan pelajar dan pekerja warga asing yang memandu kenderaan sendiri, perdagangan dan pengangkutan awam.

    “Berdasarkan kepada operasi sebelum ini, banyak pemandu warga asing didapati tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan dan insurans,” katanya dan menambah JPJ akan mengeluarkan notis saman ke atas pemandu dan pemilik kenderaan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

    Denda yang akan dikenakan tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih RM2000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.

     
     
  • Peugeot 208 GTi 2017 kini di pasaran M’sia – RM144k

    Peugeot 208 GTi 2017 kini di pasaran M’sia – RM144k

    Nasim Sdn Bhd telah pun mengumumkan Peugeot 208 GTi baharu kini telah pun berada di pasaran Malaysia.

    Biar pun berhadapan dengan peningkatan tukaran matawang asing, namun Nasim berjaya mengekalkan harga kompetitif 208 GTi 2017 ini iaitu RM143,888 (harga atas jalan berserta insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 120,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu.

    Seperti yang ditawarkan untuk semua model baharu Peugeot, 208 GTi 2017 ini juga menerima perkhidmatan Bantuan Tepi Jalan Peugeot 24-jam selama tiga-tahun, akses eksklusif ke Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang Skypark dan keahlian Peugeot Previlege.

    208 GTi 2017 ini didatangkan dengan dua pilihan warna menarik iaitu Digital White dan Rogue Red.

    Peugeot 208 GTi 2017 kini di pasaran M’sia – RM144k

    Apa perubahan yang dibawakan oleh 208 GTi 2017? Adakah ia mampu memberikan semangat baharu seperti mana model terdahulu yang buat pertama kalinya diperkenalkan di Malaysia pada Oktober 2013? Pastinya ya, kerana 208 GTi 2017 ini turut membawakan revolusi terkini bagi segmennya, malah mampu menarik perhatian para penggemarnya.

    Untuk penjana kuasanya, enjin 1.6 liter THP turbo empat-silinder masih dikekalkan, tetapi telah ditambahkan dengan jumlah kuasa serta torknya sebanyak 8 hp dan 25 Nm menjadi 208 hp dan 300 Nm, iaitu sama output dengan 30th Anniversary Edition. Malah transmisi manual enam-kelajuan turut dikekalkan. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 6.5 saat iaitu tiga saat lebih pantas berbanding model terdahulu. Manakala kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 230 km/j.

    Peugeot 208 GTi 2017 kini di pasaran M’sia – RM144k

    Bukan itu sahaja, untuk memantapkan lagi pengendalian dan kestabilannya, larasan bagi suspensinya telah dipertingkatkan dengan menggunakan Pseudo McPherson pada bahagian hadapan dan palang torsion di belakang. Membuatkan pengendaliannya lebih tegar, sekali gus memberikan pemanduan yang mampu meledakkan lagi adrenalin. Malah sistem breknya pula menampilkan cakera berdiameter 302 mm untuk hadapan dan 249 mm di belakang, bagi memantapkan lagi kuasa breknya terutama ketika berhadapan dengan situasi pemanduan yang tidak terduga.

    Untuk bahagian luarannya pula, rekaan gril dan bampar hadapan sama seperti model standard, namun disertakan dengan lampu belakang LED baharu dengan lampu arah “lion claw”. Manakala lampu utama spesifik-GTi dengan indikator LED bentuk-C dan roda aloi dwi-tona “Carbone” 17-inci dikekalkan, sementara kekemasan merah pada gril pula kini didatangkan dalam jaluran ringkas terletak di bahagian bawah gril.

    Walau bagaimana pun, elemen yang ada pada model sebelum ini iaitu bumbung matahari, pengesan parkir hadapan dan parkir automatik telah digugurkan untuk 208 GTi 2017. Manakala tayarnya juga telah ditukar iaitu dari Pilot Exalto 2 ke Pilot Sport 3.

    Menjengah bahagian kabinnya, kekemasan dekorasi merah pada model terdahulu telah digantikan dengan elemen hitam berkilat (piano black). Begitu juga dengan pemegang pintunya menerima jaluran merah yang sama dengan model 30th Anniversary Edition (kini dipanggil 208 GTi oleh Peugeot Sport tetapi tidak akan dipasarkan di sini). Namun bagi model facelift ini, ia telah ditambah dengan elemen mod ECO bersama fungsi start/stop automatik.

    Selain itu, ia menampilkan bentangan rekaan Peugeot i-Cockpit, selain turut disertakan dengan unit utama kluster instrumen, skrin sesentuh berwarna tujuh-inci, tema readline sport merah dan hitam, sistem navigasi, port bagi USB, sambungan Bluetooth dan tempat duduk upholstery balutan kulit Club Nappa dengan kekemasan fabrik Caro Weave.

    Untuk aspek keselamatan pula, 208 GTi 2017 ini dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan, Kawalan Cengkaman, ABS, EBA dan EBFD. Malah ia turut ditawarkan dengan Program Kestabilan Elektronik (ESP) daripada generasi terkini, yang dikatakan mampu mengesan sekiranya kenderaan tergelincir ke tepi dan membantu mengurangkan over steer. Selain itu, ia turut didatangkan dengan enam beg udara, tali pinggang kaledar pra-tekanan hadapan, sistem amaran pemakaian tali pinggang keledar dan juga kolum stereng boleh laras.

     
     
  • Malaysia Speed Festival (MSF) – Proton beri sokongan kepada 8 peserta Program Perlumbaan Pelanggan R3

    Malaysia Speed Festival (MSF) – Proton beri sokongan kepada 8 peserta Program Perlumbaan Pelanggan R3

    Siri Malaysia Speed Festival (MSF) akan memulakan saingan bagi musim keduanya hujung minggu depan, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Pusingan pertama perlumbaan itu, yang sebelum ini pernah dikenali sebagai Saturday Night Fever (SNF) akan berlangsung pada 26 Februari ini.

    Siri perlumbaan tertutup ini menerima sambutan yang positif pada tahun pertama penganjurannya, dengan hampir 300 pemandu mengambil bahagian tahun lalu, melibatkan 149 buah kenderaan. Penganjur menjangkakan momentum dan sambutan bagi tahun 2017 akan kekal sama.

    Terdapat banyak kategori perlumbaan yang dipertandingan dalam MSF; termasuk Special Kei, Super 1,500 NA, Proton 1,800 NA, Street Tuned dan Street Tuned 1,600, Super Street dan 1,600 serta 1,800 Race Car. Turut dipertandingkan ialah kategori Race Car Open, yang menampilkan kereta-kereta yang disediakan secara profesional dan ditala untuk prestasi, yang dipandu oleh pemandu profesional tempatan.

    Kemuncak dalam siri perlumbaan ini ialah kategori Saga Cup, kemunculan semula Kejuaran Proton Saga yang pernah ada pada tahun-tahun 1990an, yang menjadi batu loncatan kepada ramai pemandu perlumbaan di Malaysia. Siri baru kejuaraan ini terbahagi kepada dua kategori – Expert dan Novice.

    Malaysia Speed Festival (MSF) – Proton beri sokongan kepada 8 peserta Program Perlumbaan Pelanggan R3

    Proton R3 turut akan turut serta dalam perlumbaan musim baru ini, memberi sokongan kepada lapan pelanggannya dalam Program Perlumbaan Pelanggan R3, yang akan bertanding di dalam kelas 1600 Race Car serta Saga Cup.

    Program pelanggan berkenaan, yang dimulakan tahun lalu, menawarkan pendedahan perlumbaan dan rali bagi mereka yang berminat, sama ada secara berpasukan atau individu – yang berpeluang mengendalikan jentera-jentera lumba sebenar serta mempelajari disiplin perlumbaan.

    Bagi kategori Saga Cup, ia akan melibatkan kos sekitar RM25,000 untuk R3 untuk mempersiapkan sebuah Saga bagi tujuan perlumbaan. Ini adalah kos tambahan, tidak termasuk kos asas sebuah kereta Saga yang perlu ditanggung sendiri oleh pelanggan. Turut ada sebagai pilihan bagi R3 ialah untuk menyediakan kru serta khidmat logistik, juga dengan kos tambahan yang lain.

    Tiket bagi Pusingan 1 MSF ini berharga RM20 jika dibeli sebelum 11 pagi, 26 Februari. Selepas tempoh berkenaan, harganya ialah RM35. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi MSF Racing atau laman Facebook.

     
     
  • Honda Malaysia bakal lancar dua model baharu tahun ini – CR-V 1.5 VTEC Turbo dan Jazz Sport Hybrid?

    Honda Malaysia bakal lancar dua model baharu tahun ini – CR-V 1.5 VTEC Turbo dan Jazz Sport Hybrid?

    Pada Majlis Honda Malaysia bersama media hari ini, syarikat berkenaan turut mendedahkan hala tujuya untuk tahun 2017, yang antaranya mendedahkan bakal melancarkan sekurang-kurangnya dua lagi model baharu selain BR-V dan City.

    Honda masih lagi tidak mendedahkan model-model tersebut, namun menurut naib presiden Honda Malaysia Akbar Danial, dua model berkenaan antaranya adalah model baharu sepenuhnya (Full Model Change) dan juga model yang disegarkan semula. Beliau turut menyebut syarikatnya bakal memperkenalkan model baharu dengan enjin VTEC Turbo dan membawa teknologi Sports Hybrid i-DCD.

    Honda Malaysia bakal lancar dua model baharu tahun ini – CR-V 1.5 VTEC Turbo dan Jazz Sport Hybrid?

    Jadi, boleh dijangka dua model berkenaan adalah SUV segmen-C CR-V generasi terbaharu yang menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan juga Jazz versi Sport Hybrid i-DCD.

    Untuk CR-V, model ini telah didedahkan untuk peringkat global tahun lalu. Untuk varian 1.5 liter VTEC turbo, ia masih menggunakan enjin yang sama pada Civic FC. Tetapi ditala untuk menghasilkan lebih kuasa iaitu 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 NM antara 2,000 hingga 5,000 rpm.

    Bagi Jazz Sport Hybrid i-DCD pula, model ini telah dipamerkan di Malaysia Autoshow tahun lalu dalam bentuk prototaip. Bateri lithium-ion yang terletak di bahagian ruang kargo belakang unit yang dipamerkan tersebut sudahpun diletakkan dengan pelekat-pelakat amaran bukan sahaja dalam bahasa Inggeris dan Thai, malah ia turut hadir dengan amaran berbahasa Melayu.

    Jazz GK Hybrid ini belum lagi dipasarkan di mana-mana negara di ASEAN termasuk Thai. Untuk pasaran Jepun, ia diberikan unit janakuasa yang digelar Sports Hybrid i-DCD berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 110 PS/134 Nm bersama motor elektrik berkuasa 29.5 PS/160 Nm dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion. Kuasa dialirkan ke roda hadapan menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

     
     
  • GALERI: Honda City 2017 diprebiu di Malaysia

    GALERI: Honda City 2017 diprebiu di Malaysia

    Pada awal Januari lalu, Honda City 2017 telah pun dilancarkan di pasaran Thailand. Malahan pada 14 Februari lalu, model facelift ini turut dilancarkan di pasaran India. Walau pun sejak 1 Februari lalu, Honda Malaysia telah membuka tempahan bagi City generasi keempat (GM6) ini namun masih belum mengesahkan bilakah ia bakal dilancarkan secara rasmi.

    Petang ini, Honda Malaysia telah mempertontonkan City facelift ini untuk tatapan pihak media tempatan di Hotel Royale Chulan, Mutiara Damansara. Walau bagaimana pun, Honda Malaysia enggan mendedahkan tarikh pelancaran dan harga rasminya. Walau bagaimana pun, Honda Malaysia memaklumkan, daripada empat varian (Grade S, S+, E dan V) sebelumnya, City 2017 dikurangkan kepada tiga varian sahaja iaitu S, E dan V.

    Jika melihat pada perubahan yang dilakukan buat City facelift, ia dapat dilihat jelas pada sudut hadapannya, dengan menampilkan Solid Wing Face bersama bar krom baharu yang lebih tebal iaitu inspirasi daripada Civic baharu dan nampak menonjol pada gril hadapan ‘sarang lebah’ yang diperkemaskinikan bersama jaluran krom.

    Malah ia turut diapit dengan sepasang lampu utama baharu, menjadikan rupanya seakan Civic versi lebih kecil. Bukan itu sahaja, bampar hadapan turut dikemaskini dengan perumah lampu kabus yang lebih pendek serta gril bawah yang lebih lebar.

    Kelebihan yang ada pada City gred V sebagai varian tertinggi pula, ia bakal menerima lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang jalur LED bina dalam (built-in)serta lampu kabus LED baharu, spoiler pada but belakang ducktail dengan lampu brek ketiga LED bina dalam serta rekaan roda aloi dua-tona baharu.

    Bukan itu sahaja,Honda Malaysia telah mengumumkan, semua varian City facelift, termasuk varian paling rendah turut ditampilkan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. Malah difahamkan, ia juga akan menerima tempat duduk fabrik yang direka semula (dengan jaluran tengah ala Civic), kekemasan berwarna logam gelap dan pencahayaan dalaman/LED map seperti mana model yang dipasarkan di Thailand. Sementara varian V pula elemen tambahan iaitu kamera undur pelbagai-sudut.

    Manakala Sistem keselamatan dan elektronik lain seperti Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan juga Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) masih dikekalkan untuk semua varian. Enam-beg udara turut kekal sebagai ciri untuk varian V sahaja (hanya dua untuk varian lain).

    GALERI: Honda City 2017 diprebiu di Malaysia

    Tiada perubahan mekanikal ditampilkan di mana City masih dijana enjin 1.5L SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT. City 2017 ini turut diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dan Honda mendakwa, ia menawarkan penjimatan bahan api luar biasa.

    Honda Malaysia juga akan menganjurkan siri jelajah bagi City 2017 ini di beberapa pusat membeli-belah iaitu The Curve (Petaling Jaya) pada 18 Feb ini, manakala pada 19 Feb pula di One Utama (Petaling Jaya) dan East Coast Mall (Kuantan) serta Gurney Plaza (Pulau Pinang) pada 23 hingga 26 Feb).

    Bukan itu sahaja, ia juga akan turut dipamerkan menerusi trak bergerak di beberapa lokasi terpilih iaitu Seberang Jaya dan Icon City (kedua-duanya Pulau Pinang) pada 19 Feb, manakala di Ipoh (Green Town dan Yau Tet Shin) pada 20 Feb. Bagi Petaling Jaya pula, ia akan berada di sekitar bank di S2, PJ Uptown dan Seksyen 17 pada 21 Feb. Pada 22 Feb pula, ia akan berada di Public Bank, Seremban dan Dataran Pahlawan, Melaka. Kemudian bergerak ke Muar (Weltex Parade) dan AEON Big di Batu Pahat pada 23 Feb. Akhir sekali, ia akan berada di Bukit Indah, Perling dan Taman Sentosa, Johor Bahru pada 24 Feb.

     
     
  • Honda Civic, Accord terajui pasaran dalam segmen masing-masing, BR-V berjaya catat 7,000 tempahan

    Honda Civic, Accord terajui pasaran dalam segmen masing-masing, BR-V berjaya catat 7,000 tempahan

    Walaupun suasana pasaran automotif negara perlahan sepanjang 2016, itu tidak menghalang Honda Malaysia daripada mencatatkan perkembangan yang positif, terutama bagi beberapa model utama keluarannya. Sebagai contoh, Civic yang dilancarkan tahun lalu, serta model dari segmen D, Honda Accord versi facelift kini menjadi pendahulu bagi segmen masing-masing dan merupakan antara model yang berjaya menarik perhatian pengguna dan pasaran tempatan.

    Model Civic misalnya mencatatkan sebanyak 68% pegangan pasaran dalam segmen C. Daripada jumlah berkenaan, 63% disumbangkan oleh varian yang dilengkapi enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Civic generasi ke-10 ini juga mencatatkan peningkatan jualan berganda, dengan 165% berbanding jualan Civic terdahulu pada 2015 – semua ini dicapai hanya dalam tempoh enam bulan selepas model berkenaan dilancarkan.

    Bagi Accord pula, ia turut menerajui jualan bagi segmennya, dengan hampir 2,400 unit terjual. Sebuah lagi model yang menyumbang kepada pencapaian menarik Honda setakat ini tentulah BR-V. Sejak dilancarkan awal Januari lalu, kini sudah mencapai angka 7,000 unit tempahan dalam tempoh hanya sebulan. Ini menyamai angkasa yang disasarkan sebelumnya untuk bagi tempoh sembilan bulan.

    Honda Civic, Accord terajui pasaran dalam segmen masing-masing, BR-V berjaya catat 7,000 tempahan

    Pencapaian ini sudah merangkumi sebahagian besar jumlah jualan model berkenaan yang disasarkan untuk tahun ini. Varian V dengan spesifikasi penuh mencatatkan pecahan 83% daripada jumlah itu, sementara baki 17% terdiri daripada varian E.

    Bagi tahun 2017, Honda mensasarkan untuk menjual 100,000 unit kenderaaan, dengan dua lagi model baru bakal dilancarkan tahun ini, selain BR-V dan Honda City facelift yang turut dipertontonkan hari ini.

     
     
  • Honda Malaysia sasar jualan 100,000 unit untuk tahun 2017, selain City, dua lagi model akan dilancarkan

    Honda Malaysia sasar jualan 100,000 unit untuk tahun 2017, selain City, dua lagi model akan dilancarkan

    Dalam satu majlis bersama wakil media di Damansara, selain mempertontonkan City facelift 2017, Honda Malaysia turut berkongsi perancangan lain syarikat untuk tahun 2017. Pertamanya, syarikat itu meletakkan sasaran jualan sebanyak 100,000 unit, iaitu peningkatan sebanyak 8% berbanding tahun lepas.

    Peningkatan jumlah ini dijangka dapat dilaksanakan kerana Honda Malaysia mensasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) juga akan menaik menjadi 600,000 unit. Pada tahun 2016, jumlah keseluruhan jualan dalam industri adalah 580,124 unit.

    Pada tahun 2016, Honda Malaysia telah berjaya menjual sebanyak 91,830 buah kenderaan, dengan model City paling laris, diikuti HR-V dan Jazz. Civic generasi kesepuluh, juga menunjukkan prestasi baik, dengan peningkatan jualan sebanyak 165% berbanding tahun 2015, seterusnya menjadikan model ini pendahulu di dalam segmennya dengan 65% perkongsian pasaran.

    HR-V, yang terletak di dalam segmen SUV kompak menjadi model kedua paling laris bagi Honda Malaysia pada tahun 2016, dengan jualan sebanyak 25,000 unit. Bagi BR-V, selepas pelancarannya awal tahun ini, ia terus menunjukkan peningkatan dengan sebanyak 7,000 tempahan. 83% tempahan ini adalah untuk varian V diikuti 17% lagi untuk varian E.

    Bagi tahun 2017, sasaran jualan yang diletakkan tersebut akan dicapai dengan tambahan pengenalan empat model baru. Satu daripadanya, iaitu BR-V telah pun dilancarkan awal tahun ini, dan ia akan diikuti oleh City dan dua lagi kami menjangkakan adalah CR-V dan Jazz Hybrid.

     
     
  • Shell Helix High Mileage 15W-50 khusus untuk kereta lama dilancarkan di Malaysia – RM148 bagi botol 4L

    Shell Helix High Mileage 15W-50 khusus untuk kereta lama dilancarkan di Malaysia – RM148 bagi botol 4L

    Jika anda menggunakan kereta yang sudah berusia, serta catatan perbatuan bagi enjinnya juga sudah tinggi, Shell Malaysia ada sesuatu untuk ditawarkan kepada anda. Shell Helix High Mileage 15W-50, sebuah produk baru jenama berkenaan, kini dilancarkan untuk pasaran tempatan, hari ini.

    Diadun menggunakan synthetic multi-fuel technology yang dirumus khas bersama teknologi Flexi Molecule, minyak pelincir terbaru ini menawarkan perlindungan dan melancarkan pergerakan bagi enjin kenderaan yang sudah mencapai atau melebihi jarak 100,000 km.

    Pelincir ini memberikan perlidungan daripada kehausan komponen sehingga 40% lebih baik, bertujuan memanjangkan lagi jangka hayat enjin. Ia turut disertakan dengan teknologi Active Cleansing yang membantu membersihkan enjin kenderaan.

    Kelebihannya? Ia disifatkan mampu memberikan prestasi yang lebih lancar dan mengelakkan enapan dalam enjin yang boleh menyebabkan kerosakan. Berdasarkan ujian yang dijalankan, pelincir ini membantu menyingkirkan bahan enam cemar sehingga 34% pada penukaran minyak yang pertama.

    Berapa harganya? Bagi satu botol empat liter, ia dijual pada harga runcit bermula RM148 (Semenanjung) dan RM150 (Sabah & Sarawak). Bagaimanapun, pelincir ini turut dijual dalam pek satu liter pada harga RM40 sebotol.

    Sempena pelancarannya, pengguna yang menukar minyak pelincir dan menggunakan Shell Helix High Mileage 15W-50 di bengkel-bengkel yang mengambil bahagian berpeluang menikmati potongan harga RM25 bagi setiap botol 4 liter yang dibeli. Promosi ini sah dari 15 Mac hingga 15 Mei 2017.

    “Statistik menunjukkan terdapat kira-kira 11 juta kereta di atas jalan di Malaysia, dan hampir separuh daripada jumlah berkenaan adalah kenderaan yang berusia 10 tahun atau lebih.

    “Shell Helix High Mileage ini memang dirumus khas untuk menangani masalah yang biasa dialami oleh kereta yang mempunyai jarak perbatuan yang tinggi, seperti kekotoran enjin, prestasi enjin yang berkurangan dan kebocoran minyak dari bahagian gasket serta komponen lain yang telah haus,” jelas Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Shairan Huzaini Husain.

     
     
  • Jalan alternatif perlu dibina di Cameron Highlands bagi atasi masalah kesesakan trafik – Tengku Abdullah

    Jalan alternatif perlu dibina di Cameron Highlands bagi atasi masalah kesesakan trafik – Tengku Abdullah

    Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, meminta kerajaan pusat untuk membina jalan alternatif menghubungkan Habu dengan Tringkap di Cameron Highlands secepat mungkin.

    Menurut baginda, pembinaan jalan alternatif sepanjang 20 kilometer itu diharap dapat mengurangkan kesesakan di sekitar Tanah Rata dan Brinchang. Bernama

    “Minta jasa baik Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Menteri Besar (Datuk Seri Adnan Yaakob) mempercepatkan projek ini,” titah baginda hari ini.

    Namun dalam masa yang sama, Tengku Abdullah berharap pembinaan laluan alternatif itu dibuat tanpa perlu menarah bukit di kawasan itu.

     
     
  • Mazda MX-5 RF sudah berada di Malaysia – 2.0 L, pilihan transmisi manual , dijangka cecah RM250k

    Mazda MX-5 RF sudah berada di Malaysia – 2.0 L, pilihan transmisi manual , dijangka cecah RM250k

    Satu lagi kejutan daripada Mazda- model MX-5 RF kini sudah berada di Malaysia dan ia sudah boleh dilihat di pusat pameran syarikat itu di Glenmarie, Shah Alam. Ketibaan model dengan bumbung jenis fastback dan boleh ditarik ke belakang ini sudah diumumkan sejak bulan Ogos tahun lalu dan kini ia menjadi kenyataan.

    Beza antara MX-5 RF dengan MX-5 soft top adalah ia menggunakan bumbung besi yang boleh dilipat, dan dimasukkan ke bahagian belakang secara automatik dalam masa hanya beberapa saat dengan menekan butang di bawah tombol pengawal pendingin hawa. Bermakna pengguna tidak perlu melakukannya secara manual dan ia boleh digunakan pada kelajuan sehingga 10 km/j.

    Untuk menggunakan rekaan bumbung baru ini, MX-5 RF dinaik taraf dengan tiang belakang dan bahagian tengah baru, serta cermin belakang yang lebih tegak di hadapan dan condong di belakang, menghasilkan rupa sebuah fastback. Bahagian lain kenderaan ini sama sahaja dengan versi soft top, termasuk ruang simpanan 130 liter.

    Model yang boleh dilihat tiba di Malaysia ini berbeza dengan model yang dipertontonkan di New York, di mana ia menggunakan warna Soul Red dan bukannya Machine Grey. Apa pun, ia tetap menarik.

    Di bawah hudnya terdapat enjin SkyActiv-G empat silinder 2.0 liter N/A petrol yang berkuasa 158 hp dan 200 Nm, sama seperti versi soft top. Walaubagaimanapun, selain transmisi automatik, enjin ini turut ditawarkan dengan transmisi manual enam kelajuan SkyActiv-MT, sebagai tambahan.

    Senarai kelengkapan juga sama, dengan lampu utama LED adaptif, lampu siang LED, rim 17 inci, sistem pemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, pendingin hawa automatik, cruise control, sistem hiburan dan informasi MZD Connect, skrin sesentuh tujuh inci dan sistem bunyi Bose sembilan pembesar suara. Semua ini datang secara terus.

    Kami diberitahu oleh wakil Bermaz bawa MX-5 RF versi automatik akan dijual pada harga tidak rasmi RM250,000 (versi manual sepatutnya akan jadi lebih murah), dan pelancaran rasmi dijangka berlaku pada bulan April atau Mei. Sebagai perbandingan, versi soft top dijual pada harga RM219,999. Apapun, tempahan untuk kedua-dua jenis transmisi pada MX-5 RF sudah dibuka. Anda juga boleh mendapatkan tawaran istimewa Mazda MX-5 di CarBase.my.

     
     
  • Ineos bakal hasilkan SUV off-road diinsprasikan dari Land Rover Defender – guna casis tradisional

    Ineos bakal hasilkan SUV off-road diinsprasikan dari Land Rover Defender – guna casis tradisional

    Ineos, syarikat kimia dari Britain mengumumkan mereka akan menghasilkan SUV off-road lasak sebenar, diinsprasikan dari Land Rover Defender klasik yang sudah pun dihentikan pengeluarannya tahun lalu setelah diproduksi selama 68 tahun, lapor Autocar.

    Menurut pengarah Ineos, Tom Crotty, jentera lasak yang bakal dihasilkan nanti akan mengekalkan ciri Defender klasik, tanpa teknologi tinggi dan tidak menggunakan casis monocoque, sebaliknya mengekalkan casis tradisional. Ia berkemungkinan besar bakal dijana enjin diesel, manakala opsyen hibrid dan elektrik sepenuhnya turut akan diteroka dan mungkin akan ditawarkan kemudian.

    “Ia sangat berkualiti dan sangat boleh diharap” jelas Crotty dan menambah “kami sedang melihat barisan opsyen untuk unit janakuasa. Teknologi hibrid mungkin akan ditampilkan, terutamanya kerana ia akan membantu pengurusan emisi, tetapi kami mahukan ia mengekalkan nilai off-roadnya. Elektrik sepenuhnya juga mungkin, kami melihat kepada semua perkara dan belum memuktamadkan apa-apa lagi. Saya akan terkejut sekiranya opsyen diesel tidak termasuk.”

    SUV “4×4 tradisional, tanpa kompromi” ini bakal diperkenalkan menjelang tahun 2020, dan bakal dipasarkan keseluruh dunia dengan harga sekitar £25,000 (RM139k).

    Ineos turut mengumumkan projek ini terus ke Jaguar Land Rover dan mengesahkan tiada konflik yang bakal berlaku antara kedua-dua syarikat. Crotty mendakwa, pihak JLR memberikan respon “neutral” terhadap perkara ini.

    Bagi Land Rover sendiri, mereka bakal hadir dengan Defender generasi baharu tahun hadapan, dan dijangka bakal menerjah pasaran pada 2019 dengan lima bentuk badan berbeza.

     
     
  • SPYSHOT: BMW i8 Spyder ditemui waktu jalani ujian

    SPYSHOT: BMW i8 Spyder ditemui waktu jalani ujian

    Pada tahun 2012, BMW i8 Spyder muncul sebagai sebuah kenderaan konsep dan kini, model plug-in hybrid enjin di tengah dengan badan tanpa bumbung ini ditemui sedang diuji. Bagi model produksi, ia dijangka menggunakan pakej kuasa sama seperti versi coupe yang akan diperbaharui (facelift) tidak lama lagi, dengan motor elektriknya mungkin dinaik taraf dan mempunyai lebih kuasa berbanding 131 hp dan 250 Nm yang disediakan pada model sekarang.

    Enjin tiga silinder 1.5 liter turbo petrol yang digabungkan bersama motor elektrik ini juga dijangka akan menerima pembaharuan, bersama lebih kuasa, dijangka menghampiri 420 hp seperti yang dilaporkan oleh Autocar. Transmisi automatik enam kelajuan pada i8 juga mungkin sepatutnya akan dinaik taraf.

    Untuk pek bateri, naik taraf yang dijangka adalah untuk menjadikannya seperti i8 yang digunakan sebagai kenderaan keselamatan Formula E, iaitu bateri 10 kWh yang lebih besar, berbanding 7.1 kWh sekarang. Naik taraf ini akan diberi kepada i8 coupe facelift dan Spyder.

    Sama juga dengan perubahan pada bahagian casis, di mana jika melihat kepada model yang digunakan sebagai kenderaan keselamatan Formula E, ia mempunyai upper wishbone dan tapak yang diubah suai, spring dan penyerap berbeza dan lebih rendah 15 mm. Semua ini dijangka diambil untuk kegunaan i8 coupe facelift dan Spyder.

    Menurut ketua pegawai eksekutif BMW, i8 Spyder akan diperkenalkan pada tahun 2018 dan ini bermakna, i8 coupe facelift akan muncul sedikit lebih awal daripada waktu tersebut, yang mana boleh jadi pada penghujung tahun 2017.

    BMW i8 Protonic Frozen Yellow Edition

     
     
  • 20 syarikat bas bermasalah dikenal pasti oleh SPAD

    20 syarikat bas bermasalah dikenal pasti oleh SPAD

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengenal pasti 20 syarikat pengusaha bas yang bermasalah dan bakal diberikan amaran, lapor Sinar Harian.

    Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Jabatan Penguat Kuasa Spad, Datuk Che Hasni Che Ahmad dan menjelaskan usaha berkenaan diambil bagi memastikan pencegahan kesalahan jalan raya berulang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Kesemua syarikat tersebut dikenal pasti melalui rekod yang diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti statistik kesalahan had laju dan menggunakan telefon bimbit.

    “Selain pengusaha syarikat terlibat dipanggil untuk nasihat dan amaran, SPAD juga melakukan operasi penyamaran menjadi penumpang dengan menaiki bas-bas yang dikenal pasti itu,” katanya pada operasi bersepadu Spad di Plaza Tol Skudai Arah Selatan tempoh hari.

    Operasi bersepadu bermula jam 2 petang itu turut dijalankan bersama PLUS, JPJ, PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Dalam operasi itu, sebanyak dua kes hasil daripada operasi penyamaran dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 masing-masing atas kesalahan memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026