Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Maserati Levante kini berada di pasaran Malaysia – enjin 3.0L V6, 275 hp/600 Nm, harga dari RM889k

    Maserati Levante kini berada di pasaran Malaysia – enjin 3.0L V6, 275 hp/600 Nm, harga dari RM889k

    SUV pertama Maserati, Levante, kini telah pun berada di pasaran Malaysia. Ia hadir dengan rekaan luaran dan dalaman yang cukup menarik dan serba mewah, malahan turut memiliki prestasi yang berkuasa.

    Dijanakan oleh enjin evolusi terkini Maserati, 3.0 liter Turbodiesel 600 V6 common rail, ia menawarkan kuasa sehingga 275 hp pada 4,000 rpm dan tork 600 Nm antara 2,000 rpm hingga 2,600 rpm. Memberikannya keupayaan dengan ledakan dari 0-100 km/j dalam hanya 6.9 saat, juga mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 230 km/j.

    Ia juga dipadankan dengan kotak gear automatik ZF lapan-kelajuan, yang menjanjikan penukaran gear yang lebih pantas dan lancar, bergantung pada mod pemanduan yang dipilih iaitu “Normal”, “I.C.E”, “Sport” dan “Off-Road”. Setiap satu mod ini adalah bersesuaian dengan karakter pintar enjin, transmisi, suspensi dan elemen elektronik yang lain. Penggunaan bahan apinya pula dianggarkan sekitar 7.2 liter bagi setiap 100 km.

    Maserati Levante kini berada di pasaran Malaysia – enjin 3.0L V6, 275 hp/600 Nm, harga dari RM889k

    Levante dibina dengan material yang ringan, dengan pengagihan beratnya antara 50:50 dan juga mempunyai pusat graviti paling rendah dalam kelasnya. Sekali gus memberikannya kestabilan yang cukup mantap bagi SUV mewah seumpamanya.

    Malahan ia turut menampilkan beberapa elemen teknikal yang lebih eksklusif termasuk Suspensi Udara, penyerap hendak kawalan elektronik Skyhook dan sistem Q4 AWD, yang didatangkan secara standard, dan pengkhususan yang lebih tinggi termasuk dalam dua pakej iaitu Sport dan Luxury.

    Bagi penggayaannya, Levante memperagakan rekaan sofistikated yang yang ditampilkan oleh kebanyakan model Maserati yang lain. Ini termasuklah gril radiator yang lebih langsing, lampu utama berbentuk runcing dan garisan melunjur pada sisinya. Ia juga hadir dengan tingkap pintu tanpa bingkai dan tayar bersaiz 255/60 ZR18. Seperti mana kenderaan sport prestasi tinggi yang lain, Levante turut memiliki ciri aerodinamik yang lebih efisien iaitu hanya 0.31, terbaik dalam kelasnya.

    Bagi dalamannya, ia juga hadir dengan pilihan pek Zegna Edition dengan kombinasi kulit Italian bersama material sutera Ermenegildo Zegna. Selain itu, ia turut mengetengahkan imej Human Machine Interface serta beberapa elemen yang menampilkan nilai mewah dan sofistikated termasuk Kawalan kelajuan Adaptif dengan fungsi Stop & Go, paparan skrin sesentuh 8.4-inci dengan kawalan rotary baharu, fungsi AHA, tambahan kepada Maserati Touch Control Plus dengan AM, FM dan DAB digital bersama pilihan sambungan rangkaian.

    Bagi aspek keselamatan, ia turut menampilkan ABS dengan EBD, Amaran Pelanggaran Hadapan, sistem Bantuan Brek, Amaran Ketibaan Lorong dan kamera Pandangan Sekeliling.

    Maserati Levante kini telah pun berada di bilik pameran Naza Italia di Petaling Jaya, ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM888,800 (termasuk cukai tempatan) dan waranti selama tiga-tahun tanpa perbatuan terhad dengan Maserati Premium Service Plus selama tiga-tahun atau 60,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

     
     
  • Williams FW40 – kereta F1 2017 pertama ditunjuk

    Williams FW40 – kereta F1 2017 pertama ditunjuk

    Sesi penampilan rasmi hanya akan berlangsung pada 25 Februari, iaitu dua hari sebelum ujian pra musim di Barcelona, tetapi Williams Martini Racing sekali lagi menjadi yang pertama untuk menunjukkan kenderaan Formula One mereka pada tahun ini. Kereta ini digelar sebagai FW40, sebagai menandakan ulang tahun ke-40 pasukan itu dan ia masih akan menggunakan enjin daripada Mercedes.

    Grafik juga masih sama seperti yang digunakan sejak tahun 2014, tetapi badannya lebih dinamik kerana mengikut peraturan pada tahun 2017, pasukan dibenarkan menggunakan penghadang angin hadapan lebih lebar dan ditarik ke belakang, tayar lebih lebar dan sayap belakang yang lebih lebar dan rendah.

    Bahagian lain yang berubah termasuk badan lebih lebar – daripada 1,300 mm kepada 1,400 mm – serta jarak roda lebih lebar yang seterusnya boleh membawa kepada keseluruhan lebar badan menjadi dua meter seperti yang dibenarkan. Barge board (panel di belakang tayar hadapan) kenderaan ini juga lebih besar manakala penghadang bawah kenderaan pula lebih pendek. Semua perubahan ini adalah untuk menjadikan perlumbaan lebih laju.

    Untuk pemandu, Williams Martini Racing tidak lagi akan menggunakan khidmat Valtteri Bottas kerana beliau sudah masuk ke pasukan Mercedes AMG Petronas menggantikan Nico Rosberg, dan tugas sebagai pemandu utama dijangka digalas oleh Felipe Massa manakala pelumba dari Canada, Lance Stroll mengambil tugas sebagai pemandu kedua.

     
     
  • Pusat 3S Volkswagen Tebrau, JB, dilancarkan

    Pusat 3S Volkswagen Tebrau, JB, dilancarkan

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan WN Motorworld Sdn Bhd telah melancarkan pusat 3S baharu Volkswagen yang terletak di Tebrau, Johor Bahru.

    Dengan pelaburan sebanyak RM1.5 juta bagi membangunkan pusat 3S ini, ia dikendalikan oleh WN Motorworld, dengan menaiktaraf fasiliti dan kini menjadi pusat jualan dan selepas jualan bagi Volkswagen di sekitar Tebrau, Johor Bahru, Kota Tinggi, Pasir Gudang dan kawasan sekitar Kota Iskandar.

    Dengan kawasan seluas 13,123 kaki persegi, Pusat 3S Volkswagen Tebrau ini mampu mempamerkan lapan unit model kenderaan dalam satu masa, serta mempunyai tujuh petak penyelenggaran yang dikenalikan oleh kakitangan selepas jualan yang berpengalaman dan terlatih. Malah pusat ini turut dilengkapi dengan peralatan servis dan diagnostik terkini serta lain-lain kelengkapan selepas jualan yang diluluskan oleh Volkswagen Jerman.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan ruang menunggu untuk para pelanggan termasuk kemudahan sambungan WiFi dan kafe mini.

    “Kami mengiktiraf perhubungan yang utuh di antara para pelanggan kami, dan disebabkan itu kami sangat bekerjasama dengan rakan pengedar kami untuk memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk para pelanggan. Dengan pembukaan Pusat 3S Tebrau ini menunjukkan kekuatan rangkaian bagi para pelanggan di selatan dan menawarkan perkhidmatan yang diperlukan, termasuk perkhidmatan selepas jualan,” ujar Erik Winter, Pengarah Urusan VPCM.

    Pusat 3S Volkswagen Tebrau beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Manakala perkhidmatan selepas jualan pula beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 5.20 petang dan tutup pada cuti umum.

     
     
  • Sistem M-Bike Tambak Johor bermasalah, ribuan penunggang terkandas pagi ini selama hampir dua jam

    Sistem M-Bike Tambak Johor bermasalah, ribuan penunggang terkandas pagi ini selama hampir dua jam

    Ribuan penunggang motosikal pagi ini terkandas di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar akibat masalah yang dihadapi oleh sistem M-Bike mengalami masalah. Kesulitan bermula sejak jam 7 pagi tadi selepas palang pada laluan M-Bike tidak berfungsi, menyebabkan ramai pengguna lewat ke tempat kerja, seperti dilaporkan oleh The Star Online.

    Pembantu Komisioner OCPD Johor Bahru (Selatan), Sulaiman Salleh berkata Jabatan Imigresen hanya berjaya mengenal pasti punca masalah berkenaan pada pukul 8.55 pagi. Setakat ini, sekurang-kurangnya 100,000 motosikal berdaftar dengan sistem M-Bike.

    Sistem berkenaan diperkenalkan tahun lalu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura sehingga 50 %. Ia sama seperti sistem autogate lain yang digunakan di pintu masuk dan keluar seluruh Malaysia.

    Sistem M-Bike menggunakan peranti pengesanan gelombang radio (RFID) yang dilekatkan pada passport pengguna, dan memerlukan mereka untuk meletakkan ibu jari pada pengimbas sebelum palang terbuka untuk dilalui.

     
     
  • Lotus keluarkan Evora Sport 410 khas untuk sambut ulang tahun ke 40 kereta James Bond boleh selam

    Lotus keluarkan Evora Sport 410 khas untuk sambut ulang tahun ke 40 kereta James Bond boleh selam

    Pada tahun 70-an, Lotus ada mengeluarkan sebuah model yang dinamakan sebagai Esprit S1, dan ia menjadi lebih terkenal apabila membintangi filem James Bond The Spy Who Loved Me pada tahun 1977 dengan ciri unik boleh bertukar menjadi kapal selam. Kini selepas 40 tahun, syarikat itu mengeluarkan sebuah model peringatan khas iaitu Evora Sport 410.

    Kereta ini tidaklah boleh menyelam, tetapi mengambil semula konsep rekaan yang ada pada Esprit S1 seperti tona warna, penutup but belakang satu unit gentian karbon dan garis kemasan hitam. Seperti Esprit S1 juga, kenderaan ini mempunyai lencana khas di tepi B-pillar.

    Pada bahagian dalam, Evora Sport 410 mewarisi kemasan panel tartan pada tempat duduk gentian karbon serta panel pintunya, bersama jahitan benang merah pada papan pemuka dan konsol yang dibalut dengan Alcantara.

    Lotus keluarkan Evora Sport 410 khas untuk sambut ulang tahun ke 40 kereta James Bond boleh selam

    Model ini didatangkan dengan enjin 3.5 liter supercharge, mampu menghasilkan sebanyak 410 hp dan 420 Nm tork. Ia juga dijadikan lebih ringan berbanding Evora 400 biasa yang dijual sebelum ini.

    “Ramai yang masih mengingati kesan daripada Lotus Esprit apabila pertama kali ia muncul dalam filem The Spy Who Loved Me, dan kami ingin memberikan penghormatan kepadanya dengan pengeluaran Evora Sport 410. Ia adalah satu model peringatan yang cukup sempurna, tetapi masih banyak berbeza daripada aspek kemampuan dan prestasi,” kata ketua pegawai eksekutif Lotus, Jean-Marc Gales.

     
     
  • JPJ boleh ambil tindakan trafik di kawasan pedalaman

    JPJ boleh ambil tindakan trafik di kawasan pedalaman

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh mengambil tindakan terhadap pengguna yang melanggar peraturan jalan raya di kawasan luar bandar, seperti yang telah digazetkan oleh kerajaan, jelas Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, seperti dilaporkan Bernama.

    Beliau berkata, tanggapan bahawa JPJ tidak boleh mengambil tindakan terhadap pengguna yang melanggar peraturan lalu lintas di jalan-jalan luar bandar adalah salah. “Sebagai contoh, jika sebuah traktor dipandu di dalam kawasan sawah, ia tidak menjadi kesalahan. Tetapi jika ia berada di atas jalan, pemandu berkenaan perlu memiliki lesen kelas F,” ujarnya.

    “Kita tak tahu bila kemalangan akan berlaku, sebab itulah semua pemandu perlu mempunyai lesen sah (bagi kelas-kelas kenderaan sewajarnya),” tambah beliau. Jalan raya yang digazetkan oleh kerajaan adalah merujuk jalan-jalan raya yang diselenggara oleh Jabatan Kerja Raya.

     
     
  • Hyundai i30 Wagon akan tampil di Geneva Motor Show

    Hyundai i30 Wagon akan tampil di Geneva Motor Show

    Enam bulan selepas Hyundai i30 hatchback membuat penampilan pertama di Frankfurt Motor Show tahun lepas, syarikat itu memperkenalkan pula versi wagon yang dinamakan sebagai i30 Wagon. Ia dirancang untuk diperkenalkan semasa Geneva Motor Show Mac ini dan gambar teaser untuknya telah pun dikeluarkan.

    Seperti yang boleh dilihat, badannya dari depan, sehinggalah C-pillar adalah sama sahaja dengan versi hatchback lima pintu, tetapi yang jelas, bahagian belakangnya kini lebih panjang. Lampu belakang juga sedikit berlainan, dan ditambah dengan rel di atas bumbung. Ruang but boleh dijangka lebih besar daripada 395 liter untuk i30 standard dan 528 liter pada i30 hatchback.

    Bahagian lain juga dijangka sama dengan versi hatchback, di mana dalamnya mempunyai barangan seperti skrin sesentuh lapan inci, pengecas Qi tanpa wayar dan bumbung panoramik. Juga dikekalkan adalah sistem keselamatan seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Smart Cruise Control (SCC) dan Lane Keeping Assist System (LKAS).

    Bagitu juga dengan enjin, dan ini termasuk unit baru empat silinder turbo petrol T-GDI berkuasa 140 PS/ 242 Nm, tiga silinder turbo petrol T-GDI 1.0 120 PS/ 170 Nm, `empat silinder petrol N/A 1.4 liter 100 PS/ 134 Nm dan empat silinder turbodiesel 1.6 liter dengan kuasa 95 PS, 110 PS dan 136 PS. Transmisi yang disediakan termasuk automatik klac berkembar tujuh kelajuan dan manual enam kelajuan.

     
     
  • Honda City 2017 kini dalam siri jelajah seluruh negara

    Honda City 2017 kini dalam siri jelajah seluruh negara

    Honda City 2017 facelift buat masa ini masih belum dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Honda Malaysia kini dalam peringkat akhir untuk menetapkan harga jualannya, supaya ia nanti akan memberikan lebih nilai kepada pengguna sebaik diumumkan untuk pelancaran nanti – yang dijangka akan dilakukan tidak lama lagi. Tidak lupa juga, model berkenaan sudah dibuka untuk tempahan awal Februari lalu.

    Minggu lalu, ia telah dipertontonkan kepada media. Namun, bagi orang awam yang ingin melihat model berkenaan dekat lebih dekat sebelum pelancaran rasminya juga boleh berbuat demikian. Honda City 2017 facelift kini sedang bergerak di dalam siri jelajah ke ke beberapa lokasi terpilih seluruh negara.

    Bermula hari ini – dan akan berlangsung sepanjang minggu ini – anda berpeluang melihatkan yang akan dibawa dalam trak bergerak, bertempat di PJ Uptown bermula dari jam 3 petang hingga 5 petang nanti. Kemudian, trak berkenaan akan bergerak pula ke Pasar Malam SS2 dari jam 6 petang hingga 10 malam.

    Pada keesokan harinya pula, Selasa 21 Februari 2017, trak berkenaan akan singgah di Green Town Mall, Ipoh dari jam 12 tengahari hingga 4 petang, sebelum berkunjung pula Yau Tet Shin, juga di Ipoh dari pukul 6 petang hingga 10 malam. Pada Rabu, 22 Februari, trak bergerak berkenaan akan beralih lokasi ke kawasan sekitar Public Bank Seremban dari pukul 12 tengahari hingga 4 petang, sebelum singgah pula di Dataran Pahlawan, Melaka dari pukul 6 petang hingga 10 malam.

    Khamis, 23 Februari pula, siri jelajah trak bergerak Honda City 2017 ini akan berkunjung ke Weltex Parade, Muar dari jam 12 tengahari hingga 4 petang, sebelum berpindah lokasi ke kawasan letak kereta AEON BIG, Batu Pahat, dari pukul 6 petang hingga 10 malam.

    Warga Johor juga tidak ketinggalan; siri jelajah ini akan singgah di Bukit Indah/Perling di Johor Bahru dari pukul 12 tengahari hingga 4 petang pada Jumaat, 24 Februari. Ini diteruskan lagi ke lokasi di Taman Sentosa, juga di Johor Bahru dari 6 petang hingga 10 malam.

    Selain itu, baki dua lagi lokasi pameran di pusat beli-belah turut akan memberi peluang kepada pelanggan mendekati model berkenaan, sepanjang minggu ini. Dari 23 hingga 26 Februari, pasukan jelajah Honda akan turut berada di Gurney Plaza, Pulau Pinang. Sementara itu, dari 25 hingga 26 Februari, satu lagi lokasi pameran ialah di Tesco Tebrau, Johor Bahru, kedua-duanya dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

    Jika anda berhasrat untuk melihat sendiri Honda City 2017 terbaru sebelum ia dilancarkan kelak, luangkan masa dan berkunjunglah ke lokasi-lokasi berkenaan, pengikut masa seperti yang dinyatakan.

     
     
  • Proton Iriz secara rasmi dilancarkan di Indonesia – dua varian 1.3L, harga antara RM58k hingga RM62k

    Proton Iriz secara rasmi dilancarkan di Indonesia – dua varian 1.3L, harga antara RM58k hingga RM62k

    Proton melalui anak syarikat milik penuhnya di Indonesia, PT PROTON Edar Indonesia telah pun melancarkan secara rasmi Proton Iriz di pusat beli-belah FX Sudirman, Senayan Sabtu lalu. Proton Iriz telah dipamerkan di pusat membeli-belah tersebut sejak 16 Februari lalu akan terus dipamerkan sehingga 22 Februari ini

    Ia dirasmikan oleh Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON dengan kehadiran Dato’ Madani Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia, Mohd Khalid Yusof, Pengarah Transformasi dan Ketua Jualan Antarabangsa, PROTON, Naim Abdul Rahman, Penasihat MATRADE di Kedutaan Malaysia di Indonesia dan Yanuarto Widihandono, Setiausaha Agung Institut Otomotif Indonesia.

    Ia ditawarkan dengan dua varian berbeza untuk pasaran Indonesia iaitu 1.3L MT Standard dan 1.3L CVT Standard, masing-masingnya berharga IDR 175, 250,000 (RM58,391.24) dan IDR 185,283,000 (RM61,734.12). Ia dijanakan oleh enjin 1.3 liter VVT dengan kuasa 94 hp pada 5,750 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm, bersama kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT.

    Setelah acara pra-tonton dan pandu uji bersama media diadakan pada 9 Februari lalu di Sentul, Bogor, PEI tertarik untuk memperkenalkan secara rasmi hatchback kompak yang terkini bagi segmen kereta City Car kepada para pengguna di Jakarta dan pada 19 Februari lalu di Makassar, Sulawesi.

    Proton Iriz secara rasmi dilancarkan di Indonesia – dua varian 1.3L, harga antara RM58k hingga RM62k

    Indonesia merupakan negara kedua di luar Malaysia selepas Brunei untuk mengimport kereta bersaiz menarik dengan ciri-ciri keselamatan yang menyeluruh (fun-in-size, big-on-safety) ini. Lebih menarik lagi, kereta ini dilengkapi pelbagai ciri keselamatan yang canggih untuk melengkapkan pemanduan dan pengendalian Proton yang tersendiri.

    Model spesifikasi Indonesia ini lebih seiras dengan yang dipasarkan di sini, didatangkan dengan lampu utama projektor, roda 14-inci, lampu belakang LED, pemegang pintu dan perumah cermin sisi berwarna hitam. Di dalamnya, ia juga dipadankan dengan tempat duduk balutan fabrik dan unit utama dua-DIN bersama sambungan Bluetooth.

    Ia didatangkan dalam tujuh pilihan warna menarik iaitu Cotton White, Midnight Black, Sterling Silver, Atlantic Blue, Graphite Grey, Citrus Green dan Fire Red.

    “Proton Iriz agak lengkap dengan segi ciri-ciri keselamatan. Kedua-dua varian dilengkapi ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif. Malah, Iriz merupakan satu-satunya hatchback kompak pada segmen City Car di bawah IDR350 juta yang dilengkapi Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).”

    Proton Iriz secara rasmi dilancarkan di Indonesia – dua varian 1.3L, harga antara RM58k hingga RM62k

    “Ditambah pula dengan kawalan cengkaman, ABS dengan EBD, bantuan brek, kawalan cerun (HHA) dan sistem peringatan tali pinggang keledar (SBR), ciri-ciri keselamatan sebegini biasanya ditemui dalam kereta mewah jenis premium. Malah ia turut menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP,” ujar Fuuad.

    Tambahnya lagi, Indonesia merupakan pasaran yang penting untuk Proton. Bukan sahaja dapat mengekalkan hubungan teguh G2G sebagai ahli-ahli yang mengasaskan pertubuhan ASEAN, tetapi kita juga berkongsi pelbagai persamaan daripada segi budaya, rakyat, bahasa dan keadaan cuaca.

    Mengenai anak syarikatnya ini, Fuuad berkata, “PEI mempunyai sejumlah 25 rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan di Indonesia. Dari segi perkhidmatan selepas jualan, kami mempunyai 24 cawangan pusat servis di lokasi-lokasi strategik sekitar Pulau Jawa, Kalimantan, Sumatera dan Sulawesi, dan lapan buah cawangan terletak sekitar daerah Jabodatek. Semua keperluan penyelenggaraan kereta disediakan kesemua pusat servis kami.”

     
     
  • Isuzu tayang teaser MU-X 2017 – diperkenal Mac ini

    Isuzu tayang teaser MU-X 2017 – diperkenal Mac ini

    Isuzu telah mula menayangkan teaser untuk SUV MU-X 2017. SUV ini dijangka bakal diperkenalkan pada bulan hadapan di Thailand, dan Isuzu telah mendedahkan sedikit perubahan yang dilakukan menerusi klip video pendek.

    Bahagian luaran menerima sentuhan yang lebih segar termasuk gril dan lampu utama projektor yang direka semula, dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED, rim aloi 18-inci baharu dan lampu belakang LED. Di dalamnya juga turut diberikan sedikit pembaharuan, termasik kekemasan warna kuning cair seperti yang dipaparkan menerusi video.

    Dua varian enjin bakal ditawarkan untuk MU-X ini, iaitu 1.9 liter Ddi Blue Power turbodiesel, seperti mana yang diperkenalkan menerusi SUV ini pada Mac tahun lalu. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 PS pada 3,600 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 hingga 2,600 rpm, bersama dua transimisi iaitu manual enam-kelajuan atau automatik Rev Tronic juga enam-kelajuan.

    Isuzu tayang teaser MU-X 2017 – diperkenal Mac ini

    Pilihan enjin lain ialah 3.0 liter yang menawarkan kuasa sehingga 177 PS pada 3,600 rpm dan tork 380 Nm antara 1,800 hingga 2,800 rpm. Baru-baru ini, Isuzu turut mengumumkan D-Max 2017 untuk Australia juga akan menerima semakan semula bagi versi Euro-5 untuk enjin tersebut.

    Unit 4JJ1-TC Hi-Power, memiliki output yang sama dengan 4JJ1-TCX iaitu 177 PS, tetapi tork dipertingkatkan sebanyak 50 Nm menjadi 430 Nm, kini dari 1,700 rpm hingga 3,500 rpm. Ada laporan menyatakan, ia hanya dibangunkan khas untuk pasaran Australia, namun setakat ini tiada pengesahan mengenainya.

     
     
  • JPJ, SKMM digesa sekat taktik penipuan jualan kenderaan atas talian – terpedaya harga murah

    JPJ, SKMM digesa sekat taktik penipuan jualan kenderaan atas talian – terpedaya harga murah

    Penangan terpengaruh dengan jualan kenderaan yang ditawarkan harga yang murah, ramai pembeli yang terpedaya kerana ada di antara iklan yang dipaparkan menerusi jualan atas talian melibatkan penipuan. Menurut Presiden Persatuan Pengedar Kereta dan Syarikat Kredit Kuala Lumpur-Selangor, Khoo Kah Jin, pihaknya telah menerima banyak aduan mengenai taktik penipuan sebegini sejak tahun lalu.

    Justeru, pihaknya menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menyekat penipuan melalui iklan jualan kenderaan atas talian, laporan Kosmo.

    Katanya, taktik yang digunakan ialah memaparkan gambar kenderaan yang dijual oleh syarikat kenderaan terpakai tetapi menggunakan maklumat iklan palsu. Bukan itu sahaja, harga yang ditawarkan adakalanya lebih rendah sehingga 50% berbanding syarikat kereta terpakai.

    “Mangsa menyedari ditipu apabila pengiklan ini gagal dihubungi selepas wang tempahan dimasukkan ke akaun mereka,” ujarnya pada sidang akhbar di sini semalam.

    Menurutnya lagi, sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima tujuh aduan melibatkan kerugian antara RM500 hingga RM7,500 selepas tertipu dengan iklan di laman web. Kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan berusia terutamanya dari Pantai Timur kerana tertaik dengan tawaran harga kenderana murah.

    “Saya ingin menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati jika melayari iklan jualan kenderaan di Internet. Malah orang ramai disarankan berurusan terus di premis yang berdaftar bagi mengelakkan terpedaya,” ujarnya.

     
     
  • PLUS bakal laksana ETC sepenuhnya mulai 26 Apr ini

    PLUS bakal laksana ETC sepenuhnya mulai 26 Apr ini

    Mulai 26 April ini, semua plaza tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan melaksanakan kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd, Datuk Azman Ismail, pelaksanaan itu turut melibatkan semua transaksi tol di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), laporan Bernama.

    Buat setakat ini, sebanyak 94 plaza tol di lebuh raya kendalian PLUS bermula dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor telah dikendalikan secara elektronik

    “Bermula 12 tengah hari pada tarikh tersebut tiada lagi transaksi secara tunai akan dikendalikan dan pengguna PLUS perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG,” katanya.

    Inisiatif ETC dilaksanakan secara berperingkat sejak 2008 bermula dengan di Bangunan Sultan Iskandar di Johor.

    Azman berkata pelaksanaan ETC dapat mengurangkan kesesakan dan mempercepatkan transaksi di lorong pembayaran khususnya ketika musim perayaan.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengesahkan pelaksanaan ETC tidak akan melibatkan pengurangan kakitangan PLUS, sebaliknya petugas di plaza tol sebelum ini diberi latihan semula di samping dihantar ke bahagian lain.

    Sementara itu, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pelaksanaan ETC sejajar dengan kehendak kerajaan untuk mengurangkan tahap tekanan rakyat dan pencemaran udara di negara ini.

    “Apabila tidak perlu beratur panjang untuk membuat pembayaran pengguna tidak akan merasa tertekan dan ia juga boleh kurangkan pencemaran udara dengan keluarkan asap yang banyak,” katanya.

     
     
  • Lamborghini panggil balik semua Veneno dan 5,900 unit Aventador – sistem bahan api bermasalah

    Lamborghini panggil balik semua Veneno dan 5,900 unit Aventador – sistem bahan api bermasalah

    Pengeluar jentera mewah, Lamborghini, memanggil balik semua kereta sport keluarannya bagi model Veneno, termasuk tiga coupe dan sembilan roadsters, bersama 5,900 unit Aventadors disebabkan masalah kebocoran bahan api ke dalam sistem ekzos yang boleh mencetuskan kebakaran.

    Notis ini dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan Lebuhraya Trafik Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA) baru-baru ini, dan menurut laporan yang disiarkan oleh Bloomberg, isi ini berpunya dari saluran kawalan emisi, yang mungkin boleh rosak dan tidak dapat merawat wap bahan api dengan betul. Maka ini meningkatkan risiko wap berkenaan masuk ke komponen-komponen tertentu dalam sistem ekzos semasa enjin sedang berjalan, yang mampu membawa risiko kebakaran.

    Ia membabitkan semya Aventador dan Veneno yang dihasilkan dari 22 Mei 2011 hingga 5 Disember 2016. Walau bagaimana pun model Aventador S dan edisi terhad Aventador SV tidak terbabit dengan panggilan balik ini.

    Setakat ini, Lamborghini tidak mengesahkan ada insiden berlaku disebabkan isu ini, namun menggesa semua pemilik jentera terbabit menghantar semula kenderaan masing-masing ke pusat servis bertauliah untuk tindakan segera.

    Veneno adlaah model produksi terhad berasaskan Aventador, dan dipadankan dengan enjin 6.5 liter V12 yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 750 PS dan tork 690 Nm. Ketika pertama kali diperkenalkan, Veneno coupe dijual pada harga 3,120,000 euro (RM14,813,760), sementara roadster pula 3,300,000 euro (RM15,651,570).

     
     
  • Hyundai Accent 2018 buat kemunculan sulung

    Hyundai Accent 2018 buat kemunculan sulung

    Hyundai Accent generasi kelima telah membuat kemunculan sulungnya pada Canadian International Auto Show yang berlangsung di Toronto. Menurut Hyundai, Accent generasi baharu ini menampilkan rekaan yang lebih garang, bahagian dalaman yang lebih sofistikated, unit janakuasa yang lebih efisien, kabin yang lebih senyap, serta dinamik pemanduan yang lebih baik.

    Seperti pada model sebelum ini, Accent direka agak seiras dengan model segmen-C, Elantra, tetapi dengan dengan saiz lebih kecil. Sedan segmen-B ini direka lebih besar dari sebelum ini dengan dimensi 15 mm lebih panjang (4,385 mm) dan 29 mm lebih lebar (1,729 mm), bersama jarak roda 10 mm lebih panjang (2,580 mm). Model ini juga direka dengan kelegaan tanah 10 mm lebih rendah, tetapi ketinggiannya kekal dengan 1,450 mm.

    Accent juga hadir dengan bentuk badan hatchback lima-pintu pada pasaran yang terdapat permintaan. Model lima-pintu baharu tersebut dibina 70 mm lebih panjang dan 29 mm lebih lebar berbanding model hatchback generasi sebelum ini.

    Hyundai Accent 2018 buat kemunculan sulung

    Accent 2018 menggunakan 54.5% “Keluli Berketegaran-Tinggi Lebih Maju”, 41.5% lebih banyak dari model generasi sebelum ini. Ketegaran Kilas casis baharu telah meningkat 32% dengan menggunakan pelekat struktur sepanjang 98.5 meter. Hasilnya, persepsi kualiti, pengasingan bunyi dan dinamik pemanduan telah dipertingkatkan. Menurut Hyundai, AHSS juga telah mempertingkatkan prestasi semasa pelanggaran tanpa menambah berat yang tidak diperlukan.

    Hyundai turut mendakwa keselesaan, pengendalian dan stabiliti telah dipertingkatkan. Sistem stereng berkuasa elektrik MDPS juga telah ditala bagi memperbaiki pengendalian dan keselesaan dengan menaikkan pusat olengan bahagian belakang dan meningkatkan nisbah leveraj pada penyerap hentak belakang.

    Hyundai Accent generasi baharu ini dijana enjin petrol Gamma GDI 1.6 liter berkuasa 132 hp/161 Nm. Berbanding model sebelum ini, lengkok kuasa pada enjin baharu ini telah meningkat 4.6% pada tork bermula 1,500 rpm untuk keupayaan pemanduan yang lebih baik. Secara spesifik pecutan untuk 40-80 km/j dan 80-120 km/j telah meningkat dari model sebelum ini sebanyak 0.2 dan 1.3 saat.

    Hyundai Accent 2018 buat kemunculan sulung

    Kecekapan bahan api telah meningkat sebanyak 7%. Ini dapat dicapai dengan penggunaan komponen enjin seperti gegelang omboh rendah geseran, modul tekanan bahan api bervariasi, dan juga perisian pada modul kawalan enjin yang telah dipertingkat untuk memperbaiki keseluruhan operasi. Return spring pada sistem brek juga telah dipertingkat bagi mengurangkan geseran ketika memandu.

    Enjin baharu tersebut dipadankan dengan dua pilihan transmisi iaitu manual enam-kelajuan atau enam-kelajuan automatik konvensional. Kotak gear automatik automatik pada Accent baharu ini juga telah diberi sentuhan semula bagi meningkatkan kecekapannya, serta dua kg lebih ringan. Versi automatik tersebut turut diberikan dua mod pemanduan iaitu Normal dan Sport.

    Sebagai tambahan kepada casis yang lebih kukuh, Accent menampilkan penambahbaikkan pada bahagian hadapan dan juga bahagian dalaman bendul sisi bagi mempertingkatkan perlindungan pelanggaran. Zon renyuk bahagian hadapan dan beg udara hadapan telah dipertingkatkan, serta pengukuhan telah dibuat untuk memperbaiki prestasi kereta ini ketika kemalangan kecil bertindih. Enam beg udara dan ESC diberikan secara standard, manakala Sistem Brek Kecemasan Automatik turut ditawarkan sebagai opsyen.

    Skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz tujuh-inci dengan Apple CarPlay, Adroid Auto dan kamera undur turut ditawarkan pada pasaran terpilih. Accent versi sedan akan mula menerjah pasaran pada suku ketiga tahun ini, diikuti versi lima-pintu pada suku keempat. Model ini tidak dipasarkan di Malaysia, tetapi abangnya Elantra bakal tiba tidak lama lagi ke pasaran tempatan, dijana enjin turbo berkuasa 204 hp/265 Nm.

     
     
  • Dodge Challenger SRT Demon – 35% lebih pecutan mula berbanding Hellcat, boleh keronyok tayar drag

    Pada bulan April nanti, semasa New York International Auto Show (NYIAS), Dodge akan memperkenalkan Challenger SRT Demon, dan sebelum itu, beberapa siri video teaser dikeluarkan untuk memanaskan keadaan.

    Kenderaan produksi pertama yang datang secara standard dengan tayar drag Nitto NT05R ini dikatakan mempunyai kuasa lebih tinggi berbanding model Hellcat yang menggunakan enjin HEMI V8 6.2 liter supercaj berkuasa 707 hp dan 880 Nm.

    Dijadikan pula 90 kg lebih ringan, Challenger SRT Demon dikatakan sangat berkuasa sehinggakan apabila memecut, ia boleh menyebabkan tayar selebar 320 mm padanya akan terkeronyok, seperti dalam video terbaru ini.

    Antara perubahan lain yang dilakukan pada Challenger SRT Demon adalah penggunaan stall speed torque converter yang lebih tinggi pada transmisi automatiknya dan gandar belakang 3.09. Jika dibandingkan dengan Hellcat, penggandaan pertukaran tork dan penggandaan tork gandar belakang meningkat sehingga 18%. Tetapan ini juga membolehkan Challenger SRT Demon menanggung kuasa pecutan mula 35% lebih tinggi.

     
     
  • PANDU UJI: Kia Rio 2017 versi Australia – suntikan imej lebih menawan, prestasi kekal sederhana

    PANDU UJI: Kia Rio 2017 versi Australia – suntikan imej lebih menawan, prestasi kekal sederhana

    Tahun ini, Naza Kia Malaysia melangkah lebih agresif dengan membawa masuk lebih banyak model baharu ke pasaran tempatan. Selepas memperkenalkan MPV Kia Grand Carnival, giliran sedan Optima dan Rio hatchback pula bakal dilancarkan sebelum kalendar 2017 berpamitan.

    Selain Optima, Rio hatchback pastinya yang ditunggu-tunggu oleh oleh penggemarnya di sini. Terdahulu, model generasi ketiga yang dilancarkan pada Januari 2013, kemudian menerima beberapa kali penambahbaikan menerusi model facelift.

    Terkini, Rio 2017 muncul di peringkat global, dengan peningkatan yang lebih signifikan, walau pun tiada perubahan daripada sudut mekanikalnya. Cuti Tahun Baharu Cina yang lalu, Naza Kia Malaysia sempat menerbangkan kami ke Melbourne, Australia, untuk memandu uji model versi negara tersebut.

    Malah menurut Kia Motors Corporation (KMC), Rio 2017 yang bakal tiba di Malaysia adalah lebih kurang sama dengan versi Australia. Termasuk penjana kuasa yang ditawarkan. Secara tidak langsung, sesi pandu uji ini mampu memberikan gambaran awal mengenai Rio 2017 yang bakal tiba ke nagara kita tidak lama lagi.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • HSR KL-Singapura – Shinkansen akan masuk bidaan

    HSR KL-Singapura – Shinkansen akan masuk bidaan

    Selepas China, Korea Selatan dan beberapa lagi negara Eropah, kini Jepun pula ingin turut serta membida bagi projek keretapi kelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura. Menurut laporan The Sun, Jepun sudah bersedia untuk masuk mencadangkan teknologi keretapi kelajuan tinggi terbaik negara itu atau lebih dikenali sebagai Shinkansen.

    Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyakawa memberitahu,”kami senang hati untuk turut melatih pakar serta melakukan pertukaran teknologi untuk sistem sama seperti yang digunakan pada Shinkansen, untuk Malaysia dan Singapura. Kami sedia untuk memberikan data, cadangan dan pilihan terbaik untuk projek ini.”

    Beliau juga menyatakan sistem Shinkansen adalah terbukti dalam aspek operasi dan keselamatan. “Terdapat pelbagai kelebihan pada Shinkansen, antaranya, sejak beroperasi sepanjang 50 tahun, tiada sebarang insiden kematian yang berlaku. Servis Shinkansen boleh dipercayai dan cukup cekap, memandangkan purata kelewatannya hanya satu minit setiap tahun,” kata Miyakawa.

    HSR KL-Singapura – Shinkansen akan masuk bidaan

    Disember lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian untuk melaksanakan projek HSR. Pembinaannya dijangka bermula pada tahun 2018, dan akan lengkap menjelang tahun 2025. Pada tahun seterusnya, ia dijangka mula beroperasi.

    Secara keseluruhannya, ia akan melibatkan laluan sepanjang 350 km (335 km di dalam Malaysia dan 15 km di Singapura), dan di antaranya akan terdapat lapan hentian iaitu Singapura, Iskandar Puteri, Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Seremban, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Satu jambatan merentasi Selat Johor dengan ketinggian 25 meter akan menyambungkan laluan antara dua negara ini.

    Setiap keretapi dijangka mempunyai 10 gerabak, dengan kapasiti yang boleh mencecah 100 orang penumpang bagi setiap gerabak. Laju purata pula dijangka sekitar 300 km/j dan menjadikan masa pergerakan antara Kuala Lumpur dan Singapura hanya 90 minit.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan bulan Januari 2017 turun 31%

    MAA: Jualan kenderaan bulan Januari 2017 turun 31%

    Nampaknya, industri automotif di Malaysia bermula agak perlahan bagi 2017. Jualan kenderaan bagi bulan Januari lalu mencatatkan penurunan sebanyak 31% atau pun bersamaan dengan 20,155 unit jika dibandingkan dengan juala pada bulan Disember 2016.

    Jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu, ia bagaimana pun mencatatkan peningkatan minimal; naik 0.2% atau bersamaan 78 unit. MAA menyatakan beberapa faktor yang menyumbang kepada situasi perlahan berkenaan.

    Antaranya, musim cuti perayaan Tahun Baru Cina yang menyaksikan hari bekerja yang lebih pendek sepanjang Januari serta bencana banjir yang melanda Pantai Timur yang kini sedang beransur-ansur pulih. Prestasi jualan bagi Februari 2017 juga dijangka akan turut perlahan.

    Sepanjang Januari lalu, sejumlah 40,294 unit kenderaan penumpang terjual. Sementara itu, 4,373 unit kenderaan pedagangan turut menyumbang kepada angka keseluruhan 44,667 unit yang berjaya dijual. Jika dibandingkan dengan bulan Januari 2016, pecahannya adalah seperti berikut; jualan sebanyak 39,942 unit bagi kenderaan penumpang dan 4,647 unit kenderaan perdagangan dicatatkan.

    Jumlah kenderan yang dikeluarkan sepanjang bulan lalu pula sedikit tinggi daripada angka yang dijual. 42,767 unit kenderaan penumpang dikeluarkan, berserta 2,765 unit bagi kenderaan perdagangan – menyumbang kepada angka keseluruhan 45,532 unit.

     
     
  • SPYSHOT: Volvo S90 T6 AWD R-Design ditemui di M’sia – versi dengan pakej prestasi berkuasa 320 hp

    SPYSHOT: Volvo S90 T6 AWD R-Design ditemui di M’sia – versi dengan pakej prestasi berkuasa 320 hp

    Sekali lagi, Volvo S90 ditemui atas jalan di Malaysia dan kali ini, gambar model yang akan memberi saingan kepada Mercedes-Benz E-Class dan BMW 5 Series ini dapat ditangkap oleh pembaca paultan.org, Wong Dee Lern di Lebuh Raya Persekutuan.

    Kereta berwarna biru yang ditemui ini adalah berbeza dengan unit yang dilihat pada bulan Ogos tahun lalu, kerana ia adalah lengkap dengan pakej R-Design (juga ditawarkan pada model wagon V90), dengan bampar (depan dan belakang) dan muncung ekzos baru, kemasan hitam, lampu kabus pada spoiler, cermin sisi dengan kemasan brushed aluminium dan gril yang unik.

    Turut termasuk dalam pakej ini adalah rim diamond-cut lima cabang berwarna hitam mati dan kelihatan seperti mempunyai saiz 19 inci. Warna biru yang digunakan itu dinamakan sebagai Bursting Blue Metallic. Selain penampilan, R-Design Package juga datang dengan peningkatan casis seperti spring dan penyerap yang lebih keras, serta kedudukan yang lebih rendah (suspensi jenis udara juga disediakan untuk pasaran tertentu).

    SPYSHOT: Volvo S90 T6 AWD R-Design ditemui di M’sia – versi dengan pakej prestasi berkuasa 320 hp

    Pada bahagian dalam, peningkatan yang diberikan sepatutnya termasuk kemasan berwarna perak, pedal dan alas kaki baru, pakej lampu, tempat duduk lebih sporty dan roda stereng R-Design.

    Unit yang ditemui ini juga mempunyai lencana T6 pada penutup butnya, menandakan ia menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter Supercharge Turbo yang berkemampuan 320 hp dan 400 Nm tork. Kuasa ini disampaikan kepada semua empat tayar melalui transmisi automatik lapan kelajuan Geartronic.

    Tarikh perasmiannya masih lagi belum diketahui, tetapi pengarah urusan Volvo Car Malaysia, Lennart Stegland ada memberitahu bahawa model sedan eksekutif ini akan tiba pada tahun 2017. Beberapa unit awal akan diimport sepenuhnya manakala unit seterusnya akan dipasang di Malaysia (CKD), iaitu di kilang syarikat itu di Shah Alam, yang juga memasang model XC90 T8 Twin Engine.

    Selain T6 AWD yang dinyatakan tadi, enjin lain yang berkemungkinan diguna pada S90 adalah termasuk T8 Twin Engine. Varian yang akan ditawarkan pula masih belum diketahui dan di pasaran lain, S90 mempunyai varian Kinetic, Momentum dan Inscription. Pengedar tempatan juga ada memberi petanda bahawa V90 akan menyertai S90 dalam pilihan spesifikasi yang hampir sama.

    GALERI: Pakej Volvo R-Design untuk S90 dan V90

     
     
  • Suzuki keluarkan notis panggilan semula terhadap model Cappucino tahun 1996, libatkan hanya satu unit

    Suzuki keluarkan notis panggilan semula terhadap model Cappucino tahun 1996, libatkan hanya satu unit

    Suzuki telah mengeluarkan satu notis panggilan semula rasmi terhadap model kei-roadster Cappucino keluaran tahun 1996 menerusi Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Jepun, yang hanya melibatkan sebuah kenderaan, menurut laporan Jalopnik.

    Apa yang lebih menarik, pemilik unit Cappucino yang telah berusia 21 tahun berkenaan bakal menerima sebuah enjin baharu yang bakal digantikan, tanpa sebarang caj.

    Enjin tersebut perlu diganti hanya kerana pihak Suzuki baru menyedari bahawa blok enjin berkenaan tidak dicapkan dengan nombor pengenalan “K6A” sewaktu proses produksi, yang mungkin akan menyukarkan pemilik menerima sijil pemeriksaan sekiranya dibawa ke pusat pemeriksaan negara berkenaan.

    Suzuki keluarkan notis panggilan semula terhadap model Cappucino tahun 1996, libatkan hanya satu unit

    Walaupun dilihat agak melecehkan, pemilik Cappucino berkenaan sebenarnya agak bertuah kerana keretanya yang kini berusia 21 tahun bakal menerima enjin baharu secara percuma. Suzuki juga tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan sebuah enjin baharu kerana enjin tersebut masih lagi diproduksi untuk digunakan pada model Jimny dan juga membekalkannya kepada Caterham untuk model Caterham 7.

    Cappucino merupakan salah satu model unik yang dihasilkan oleh Suzuki kerana ianya merupakan roadster sebenar dengan enjin depan pacuan belakang (FR) tetapi dibina berdasarkan undang-undang Kei-car Jepun. Roadster comel yang hanya mempunyai berat 725 kg ini dijana oleh enjin tiga silinder DOHC turbo 657 cc, menghasilkan 63 hp.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026