Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tan Chong catat produksi 1 juta unit kenderaan jenama Nissan sepanjang 60 tahun operasinya di M’sia

    Tan Chong catat produksi 1 juta unit  kenderaan jenama Nissan sepanjang 60 tahun operasinya di M’sia

    Selain jenama-jenama automotif nasional, Nissan/Datsun merupakan antara jenama yang mewarnai lanskap automotif negara. Sebelum adanya Proton Iswara, Datsun 120Y B310 mendominasi industri teksi tempatan. Begitu juga dengan kereta yang digunakan pada sekolah memandu, sebelum Perodua Kancil digunakan secara meluas, siri Sunny yang bermula dari B110 120Y, B310 120Y dan juga B11 130Y digunakan untuk pemandu-pemandu Malaysia bagi mendapatkan lesen memandu.

    Seperti yang diketahui, Nissan dibawa ke Malaysia oleh Tan Chong Group yang memulakan operasi mereka pada tahun 1957, meraikan ulangtahun ke-60 mereka tahun ini. Kemudian Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd (TCMA) telah diwujudkn pada tahun 1976 untuk memasang kenderaan jenama Nissan untuk pasaran tempatan. Sehingga bulan lalu, TCMA telah berjaya mencapai pengeluaran kumulatif 1,000,000 unit kenderaan Nissan di Malaysia

    Bagi meraikan kejayaan ini dan juga menyambut ulang tahun ke-60 Tan Chong Group, syarikat tersebut kini menjalankan kempen promosi bagi memberikan peluang kepada pelanggan untuk memandu pulang sebuah Nissan Almera baharu dengan bayaran bulanan serendah RM600 (tertakluk kepada terma dan syarat).

    “Mencapai angka sejuta kenderaan jelas membuktikan prestasi, kreadibiliti dan kebolehpercayaan Nissan dan Tan Chong Group. Ia memberi motivasi dan inspirasi kepada kami untuk meneruskan pertumbuhan dan memberi perkhidmatan lebih baik kepada para pelanggan. Sebahagian daripada Kempen Tawaran Hebat Ulang Tahun ke-60 ini, kami menawarkan model terbaik kami; Nissan Almera 1.5L Automatik, dengan bayaran bulanan serendah RM600.” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan.

    Bagi menambah keterujaan ke atas kempen tersebut, ETCM sekali lagi memulakan Kempen Liga Juara-juara UEFA Nissan untuk tahun ketiga. Kempen itu akan berlangsung sepanjang bulan Mac dan April dan ia memberi peluang kepada pelanggan yang membeli kenderaan Nissan untuk memenangi percutian ditanggung sepenuhnya dan menikmati pengalaman menyaksikan perlawanan Liga Juara-juara UEFA secara langsung di Eropah.

    Orang ramai juga dijemput untuk mengunjungi Karnival Pandu Uji Nissan di bilik pameran terpilih dan siri jelajah Nissan untuk memandu uji model-model Nissan baharu. Tarikh dan lokasi Siri Jelajah Nissan adalah seperti berikut:
    Tan Chong catat produksi 1 juta unit  kenderaan jenama Nissan sepanjang 60 tahun operasinya di M’sia

    Tarikh dan lokasi Karnival Pandu Uji Nissan di bilik-bilik pameran terpilih adalah seperti berikut:
    Tan Chong catat produksi 1 juta unit  kenderaan jenama Nissan sepanjang 60 tahun operasinya di M’sia

     
     
  • Honda City 2017 facelift dilancarkan untuk pasaran Malaysia – hanya 3 varian, harga kekal RM78k-RM92k

    Honda City 2017 facelift dilancarkan untuk pasaran Malaysia – hanya 3 varian, harga kekal RM78k-RM92k

    Selepas sebulan tempahannya dibuka, Honda City 2017 telah pun dilancarkan hari ini. Seperti mana yang pernah dimaklumkan sebelum ini, City 2017 dikurangkan kepada tiga varian sahaja iaitu S, E dan V, berbanding empat varian pada model terdahulu (termasuk S+).

    Honda Malaysia mengumumkan tiada peningkatan harga bagi model City 2017. Ditawarkan dengan harga atas jalan iaitu RM78,300 bagi varian S (yang dipertingkatkan dari varian S+ pada model terdahulu dan harganya dikurangkan sebanyak RM1k), varian E pula RM84,600 dan RM92,000 untuk model spesifikasi tertinggi, V.

    Walau bagaimana pun, terdapat perubahan luaran dan dalaman yang dilakukan bagi menampilkan kesegaran pada City 2017 ini. Untuk bahagian hadapannya, ia menampilkan Solid Wing Face bersama bar krom baharu yang lebih tebal iaitu inspirasi daripada Civic baharu dan nampak menonjol pada gril hadapan ‘sarang lebah’ yang diperkemaskinikan bersama jaluran krom.

    Malah ia turut diapit dengan sepasang lampu utama baharu, menjadikan rupanya seakan Civic versi lebih kecil. Bukan itu sahaja, bampar hadapan turut dikemaskini dengan perumah lampu kabus yang lebih pendek serta gril bawah yang lebih lebar.

    Bagi varian tertinggi V, ia menerima lampu hadapan, lampu nyalaan siang, lampu belakang, lampu kabus dan lampu brek ketiga LED, spoiler pada but belakang dengan gaya ‘ducktail’ serta rekaan roda aloi dua-tona baharu bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar 185/55R16.

    Manakala varian S dan E dipadankan dengan lampu hadapan dan belakang halogen, lampu nyalaan siang LED dan roda aloi juga rekaan dua-tona baharu bersaiz 15-inci yang dibaluti tayar 175/65R15.

    Malah City 2017 ini juga telah diberikan suntikan yang lebih segar bagi bahagian kabinnya. Semua variannya
    ditampilkan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. Bagi varian S dan E, ia menampilkan tempat duduk fabrik yang direka semula (dengan jaluran tengah ala Civic), manakala varian V kekal dengan material kulit.

    Jika model dahulu, hanya varian E dan V sahaja yang menerima kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, meter kombinasi pelbagai-informasi termaju dan kawalan audio pada roda stereng, kini elemen tersebut turut ditampilkan pada varian S. Malah kini varian E turut ditampilkan dengan suis kawalan kelajuan pada stereng dan pedal penukar gear, sama seperti V.

    Honda City 2017 facelift dilancarkan untuk pasaran Malaysia – hanya 3 varian, harga kekal RM78k-RM92k

    Namun terdapat elemen tambahan bagi varian E dan V iaitu kamera undur pelbagai-sudut. Malah varian V turut dilengkapi dengan sentuhan lembut pada panel instrumen dan material kulit yang membaluti roda stereng dan tombol gear. Elemen yang masih kekal untuk kesemua varian termasuklah pendingin hawa automatik dengan Touch Panel bagi varian E dan V, manakala manakala manual untuk S.

    Bagi sistem audio, varian E dan V dilengkapi dengan Paparan Audio 6.8-inci dengan HDMI, dan standard audio untuk S, masing-masing menerima satu port bagi USB, kit telefon bebas-tangan, lapan-pembesar suara bagi V (hanya empat untuk S dan E). Dari segi praktikaliti, tempat duduk belakang City Baharu boleh dilipat pada konfigurasi 60:40 untuk menawarkan kemudahan kepada pemilik dalam apa jua keadaan.

    Manakala Sistem keselamatan dan elektronik lain seperti ABS bersama EBD, Bantuan Brek (BA), Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan juga Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) masih dikekalkan untuk semua varian. Enam-beg udara turut kekal sebagai ciri untuk varian V sahaja (hanya dua untuk varian lain).

    Semua varian City 2017 ini turut menerima penarafan lima-bintang bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan empat-bintang untuk Perlindungan penumpang Kanak-kanak (COP) daripada ASEAN NCAP.

    Tiada perubahan mekanikal ditampilkan di mana City masih dijana enjin 1.5L SOHC i-VTEC empat-silinder berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT. City 2017 ini turut diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dan Honda mendakwa, ia menawarkan penjimatan bahan api luar biasa dengan anggaran 5.7 liter bagi setiap 100 km.

    Honda City 2017 facelift dilancarkan untuk pasaran Malaysia – hanya 3 varian, harga kekal RM78k-RM92k

    Malah tiada perubahan bagi sistem suspensinya, masih kekal dengan topang MacPherson untuk hadapan dan Torsion Beam di belakang. Begitu juga dengan sistem brek dengan cakera Vertilated di hadapan dan dram di belakang.

    Ia juga masih mengekalkan dimensi ukurannya iaitu panjang 4,442 mm, lebar 1,694 mm, tinggi 1,477 mm dengan jarak roda 2,600 mm. Begitu juga dengan kapasiti bagi ruang but iaitu 536 liter sekiranya tempat duduk belakang dalam keadaan normal dan kapasiti ini masih mendahului kelasnya di bawah segmen yang sama.

    Warna yang ditawarkan bagi City 2017 ialah Lunar Silver Metallic, Taffeta White, Dark Ruby Red Pearl, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl. Jaminan untuk City Baharu dikekalkan pada lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000 km boleh dibuat di mana-mana 88 pengedar Honda di seluruh negara.

    Selain itu, Honda Malaysia akan memberi ganjaran kepada para pelanggan Honda, terutama pemilik City Baharu menerusi Promosi 3S di mana mereka boleh menikmati servis percuma (alat ganti & buruh) selama dua tahun (tertakluk pada terma & syarat). Promosi 3S ini juga layak untuk semua kenderaan baharu Honda yang didaftarkan menerusi 88 pengedar sah Honda mulai 1 Mac hingga 30 April 2017.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan perincian lanjut mengenai Honda City 2017, sila layari Carbase.my.

    Honda City 2017 Varian V

    Honda City 2017 Varian E Modulo

    Honda City 2017 Varian S

    Gambar rasmi Honda City 2017

     
     
  • Trak hibrid konsep Volvo guna sistem navigasi untuk pengurusan unit janakuasa – 30% lebih cekap tenaga

    Trak hibrid konsep Volvo guna sistem navigasi untuk pengurusan unit janakuasa – 30% lebih cekap tenaga

    Volvo Trucks telah mempertingkatkan model konsep trak hibrid tugas berat pertama mereka setelah sistem pengurusan unit janakuasa Volvo I-See diberikan input dari sistem navigasi bagi membolehkan pengurusan tenaga dilakukan lebih efisien, untuk mendapatkan kecekapan bahan api dipertingkatkan.

    Sistem navigasi pada trak berkenaan akan mengesan bentuk bumi pada permukaan yang bakal dilalui sehingga lima kilometer di hadapan dan membuat perancangan awalan untuk menentukan mod hibrid yang akan digunakan, sama ada menggunakan enjin diesel sepenuhya, mengecas semula bateri hibrid, menggunakan kuasa elektrik 100%, atau kombinasi enjin dan juga motor elektrik.

    Trak ini dirancang untuk diproduksi pada masa akan datang, manakala untuk versi konsep prototaip ini, ia menggabungkan motor elektrik dengan enjin diesel D13 12.8 liter enam silinder sebaris. Dengan sistem yang dipertingkatkan ini, Volvo mendakwa penggunaan bahan api dan juga emisi CO2 kini sekitar 30% lebih cekap.

    Trak konsep hibrid ini mampu bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan enjin diesel dimatikan pada jarak sehingga 10 km. Sistem baharu ini juga mampu membolehkan trak ini bergerak dengan enjin diesel dimatikan sepenuhnya pada purata satu pertiga dari jarak perjalanan cruising keseluruhan. Menurut Volvo, dengan sistem ini sahaja ia dijangka mampu menjimatkan penggunaan bahan api sekitar 5 hingga 10 peratus.

    Model konsep ini didedahkan buat pertama kali pada tahun lalu. Selain peningkatan pada sistem janakuasa ini, jurutera Volvo turut mengambil kesempatan untuk mempertingkatkan lagi aspek aerodinamik dan juga rintangan golekan pada trak prototaip ini.

    “Berberapa pembangunan ini telah pun diperkenalkan pada trak, dan yang lain akan diperkenalkan pada masa terdekat. Unit janakuasa hibrid ini merupakan sebahagian pengetahuan dan pengalaman yang kami perolehi dari sistem hibrid dan elektrik pada bas Volvo,” kata Åke Othzén, ketua pengurus projek dari Volvo Trucks.

     
     
  • Naik taraf Jalan Kilang, Setapak akan selesai Feb 2018

    Naik taraf Jalan Kilang, Setapak akan selesai Feb 2018

    Kerja-kerja menaik taraf di Jalang Kilang, Setapak yang dimulakan bulan lalu dijangka selesai pada 15 Februari 2018.

    Seperti dilaporkan Bernama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, projek berkenaan adalah sebahagian daripada usahanya untuk memperbaiki prasarana sedia ada di situ, selari dengan pembangunan yang sedang berlaku di kawasan sekitar.

    Kerja-kerja itu dijalankan oleh Tetuan Desa Purnama Sdn Bhd, turut bertujuan untuk menyediakan jalan yang lebih selamat dan selesa bagi penduduk di kawasan itu. Pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan dinasihatkan agar berhati-hati dan mematuhi papan tanda trafik untuk mengelak sebarang kesulitan.

     
     
  • Proton sebuah projek ‘gajah putih’, gagal – Nazri Aziz

    Proton sebuah projek ‘gajah putih’, gagal – Nazri Aziz

    Dalam jawapan balas terhadap komen Tun Dr Mahathir berkaitan kebarangkalian pegangan dalam Proton akan dijual kepada syarikat Geely dari China, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan bawaha pengeluar kenderaan nasional itu merupakan “sebuah projek ‘gajah putih’ dan gagal”.

    Dalam sebuah laporan oleh NST, beliau berkata kegagalan itu telah membebankan kerajaan, dan ia tidak boleh lagi menerima sokongan lanjut. “Ia sebuah projek yang gagal. Mereka meminta kerajaan menyediakan dana. Sepanjang tempoh berkenaan, berbilion ringgit telah diperuntukkan. Bagaimana ia boleh menjadi sebuah projek yang berjaya sekiranya setiap tahun mereka akan meminta wang daripada kerajaan,” jelas beliau.

    “Bagi saya, ia sebuah projek ‘gajah putih’. Kita mewarisinya dari Tun Mahathir dan sekiranya ia gagal, beliau akan menyalahkan kita, mengatakan kita telah gagal,” sambung beliau, menyatakan bahawa jualan pegangan dalam Proton akan membantu mengatasi kerugian yang dialami syarikat itu kini.

    “Kita perlu mencari jalan bagaimana untuk menyelamatkannya dan dengan syarikat China memiliki sebahagian pegangan di dalamnya, saya fikir ia sesuatu yang baik. Kita perlu memikul beban yang ditinggalkan dan kini kita tak lagi dapat memberikan bantuan kepada syarikat berkenaan. Satu daripada cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan menjual sebahagian pegangannya. Jadi, kegagalan itu bukan disebabkan oleh kerajaan, tetapi disebabkan ia projek kesayangan beliau,” tambahnya.

    Proton sebelum ini menyatakan mereka akan mengumumkan rakan strategik asing baru menjelang pertengahan tahun ini. Laporan juga ada menyatakan bahawa kumpulan PSA dari Perancis dan Geely dari China sangat berminat dengan peluang berkenaan.

     
     
  • KTMB perlu selesaikan masalah perkhidmatan ETS dan pembelian tiket dalam talian – Perdana Menteri

    KTMB perlu selesaikan masalah perkhidmatan ETS dan pembelian tiket dalam talian – Perdana Menteri

    Memberikan respon terhadap aduan orang ramai di laman Facebook miliknya yang rata-rata tidak puas hati dengan perkhidmatan ETS, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencari jalan penyelesaian segera berhubung aduan tersebut, lapor Bernama.

    Perkara ini dinyatakan pada catatan terbaharu di laman Facebook rasmi beliau dan berkata, antara komen dan maklum balas pengguna adalah mengenai Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) dan sistem pembelian tiket dalam talian.

    “Saya terima banyak komen dan maklum balas ketidakpuasan hati pengguna dengan perkhidmatan KTM Berhad, salah satunya mengenai ETS dan sistem pembelian tiket online (dalam talian) yang sering kali bermasalah, tidak mesra pengguna dan kadang-kadang tidak boleh diakses,” kata Najib dan menambah “Ini bukan perkara sukar untuk diatasi, tidak patut berlaku di zaman teknologi hari ini.”

    Selain itu, Najib turut meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memantau dan melaporkan terus kepada beliau secepat mungkin.

     
     
  • VIDEO: Honda City facelift bersedia dihantar kepada para pelanggan – bakal dilancarkan esok

    Model City facelift bakal dilancarkan esok, dan sebagai menambah debaran di hati para pengemar model sedan segmen-B ini, Honda Malaysia telah menyiarkan video menerusi laman Facebook rasmi mereka dan menyatakan sudah bersedia untuk menghantar City 2017 kepada para pelanggan yang telah menempahnya.

    Dengan menawarkan tiga varian iaitu S, E dan V (varian S+ pada model sebelumnya telah digugurkan), City 2017 ini telah dipertingkatkan di bahagian luaran dan dalamannya. Ini termasuklah menampilkan Solid Wing Face pada bahagian hadapannya bersama bar krom baharu yang lebih tebal iaitu inspirasi daripada Civic baharu dan nampak menonjol pada gril hadapan ‘sarang lebah’ yang diperkemaskinikan bersama jaluran krom.

    Untuk spesifikasi tertinggi, varian V, ia akan menerima lampu utama, lampu belakang, lampu kabus dan lampu brek LED. Dan semua varian City 2017 kini didatangkan dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin. Manakala elemen tambahan bagi varian V iaitu kamera undur pelbagai-sudut.

    Di Thailand, perubahan pada bahagian kabin melibatkan rekaan semula fabrik tempat duduknya serta menampilkan pencahayaan ruang dalaman LED. Untuk model spesifikasi Malaysia, kena tunggu perinciannya didedahkan sepenuhnya esok.

    Bagi aspek keselamatan, semua varian menerima Bantuan Kestabilan Kenderaan, Bantuan Mula Mendaki dan Isyarat Berhenti Kecemasan. Bagi beg udara pula, varian V menerima enam unit dan hanya dua untuk varian lain.

    Tiada perubahan mekanikal ditampilkan di mana City masih dijana enjin 1.5L SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT. City 2017 ini turut diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dan Honda mendakwa, ia menawarkan penjimatan bahan api luar biasa.

    GALERI: Honda City facelift

     
     
  • Jentera perlumbaan sebenar Lexus RC F GT3 bakal membuat penampilan di Geneva Motor Show 2017

    Jentera perlumbaan sebenar Lexus RC F GT3 bakal membuat penampilan di Geneva Motor Show 2017

    Lexus RC F yang di bina untuk pelbagai perlumbaan di seluruh dunia – Lexus RC F GT3 – bakal membuat kemunculan pada Geneva Motor Show 2017 yang bakal berlangsung bulan ini. Jentera berkenaan akan ditampilkan tanpa sebarang livery perlumbaan, dan mendedahkan sebahagian besar badannya yang dibina menggunakan material gentian karbon.

    Berbanding model jalan raya biasa, RC F GT3 menampilkan kit aero yang jauh lebih agresif termasuk spoiler dan splitter pada bahagian hadapan, kit badan lebih lebar, serta sayap dan diffuser belakang bersaiz gergasi.

    Di Amerika, RC F GT3 bakal berlumba dalam kelas GTD pada siri perlumbaan Kejuaraan WeatherTech SportsCar di bawah seliaan pasukan 3GT Racing. Di Jepun pula, dua buah jentera ini bakal berlumba dalam kelas GT300 pada Kejuaraan Super GT, dikendalikan oleh pasukan LM Corsa. Manakala di Eropah, ia akan berlumba pada siri perlumbaan GT3 bersama dua pasukan berbeza iaitu Farnbacher Racing dan Emil Frey Racing.

    Jentera perlumbaan sebenar Lexus RC F GT3 bakal membuat penampilan di Geneva Motor Show 2017

    Pembinaan jentera ini diasaskan dari model standard RC F, dijana enjin 5.4 liter V8 berkuasa lebih dari 500 hp (versi biasa dijana oleh enjin 5.0 liter V8 berkuasa 467 hp/527 Nm). Kuasa dihantar ke gandar belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan sequential. Ia juga dibina lebih ringan dengan berat keseluruhan 1,300 kg, berbanding model standard dengan berat 1,795 kg.

    Selain dari maklumat ini, tiada lagi perincian lain yang didedahkan oleh Lexus. Lexus RC F GT bakal muncul ke pentas di Geneva bersama model baharu LS 500h yang turut membuat kemunculan sulungnya pada peringkat global.

     
     
  • Pusat Latihan Mercedes-Benz Malaysia dilancar – buka peluang anak muda tempatan timba ilmu automotif

    Pusat Latihan Mercedes-Benz Malaysia dilancar – buka peluang anak muda tempatan timba ilmu automotif

    Selain melancarkan wisma yang turut menempatkan ibu pejabat baharunya, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut merasmikan Pusat Latihan Mercedes-Benz baharu yang terletak di bangunan yang sama, di Bandar Kinrara, Puchong.

    Dalam majlis pelancaran pusat latihan tersebut, Pengarah Latihan Global, Joerg Himmelmann, turut menyerahkan seunit Mercedes-Maybach S500 kepada Timbalan Presiden Selepas Jualan MBM, Heinrich Schromm. Kenderaan tersebut akan digunakan untuk latihan teknikal kepada para pelatih di pusat terbabit.

    Mampu mengendalikan lebih 2,000 latihan setahun, pusat latihan ini turut membangun dan membekalkan tenaga terlatih, juruteknik berkemahiran, kakitangan jualan, penasihat penyelenggara dan lain-lain cabang pekerjaan yang diperlukan dalam industri automotif terutamanya rangkaian pengedaran Mercedes-Benz sendiri.

    Dengan keluasan 65,000 kaki persegi, ia turut menempatkan fasiliti termasuk bengkel operasi sepenuhnya di mana para pelatih boleh berlatih menggunakan simulasi umpama situasi sebenar, bilik latihan yang dibangunkan dan lengkap dengan peralatan terkini yang menepati standard yang ditetapkan oleh Daimler AG Global Training.

    Ini termasuklah Bilik Hibrid Voltan Tinggi, di mana para pelatih boleh mempelajari mengendalikan sistem hibrid untuk kenderaan Mercedes-Benz, bilik casis, bilik penjana kuasa dan banyak lagi.

    Selain itu, ia turut menempatkan Bilik Simulasi Elektrikal Kenderaan AMA yang menempatkan bod elektrik yang diperbuat oleh para pelatih, setiap satunya mewakili pelaburan bernilai RM100,000. Salah satu bod elektrikal yang dipamerkan ialah W205 C-Class yang menggunakan sistem elektrik, yang pertama di Asia Tenggara.

    Menurut MBM, pusat latihan ini terbuka untuk anak muda tempatan dan juga Rantau Asia berusia antara 17 hingga 22 tahun. Bagi anak muda tempatan yang ingin memohon tempat di pusat latihan ini, haruslah memiliki kelulusan sekurang-kurangnya empat kredit di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Kursus pengajian akan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya bagi melatih mereka berada dalam lapangan pekerjaan yang sebenar. Pengajian akan berlangsung selama tiga tahun dengan pencapaian umpama tahap diploma. Program latihan ini turut menerima akreditasi oleh Global Training, Stuttgart serta City & Guilds dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK – Tahap 3).

    Lepasan pelatih di sini boleh bekerja di dalam industri automotif dalam cabang jualan, penyelenggaran dan sebagainya. Sekiranya pelatih menerima pembiayaan latihan sepenuhnya daripada MBM sendiri, dia akan bekerja terus dengan mana-mana cawangan pengedar atau pusat servis bertauliah MBM di seluruh negara. Untuk tahun 2017, MBM merancang untuk menambah jumlah kemasukan pelatih dari 28 ke 60 orang.

     
     
  • Volkswagen bakal perkenal model SUV kompak hujung tahun 2018 – saingan Renault Captur, Toyota C-HR

    Volkswagen bakal perkenal model SUV kompak hujung tahun 2018 – saingan Renault Captur, Toyota C-HR

    Segmen kenderaan SUV kompak, atau sebahagiannya turut dikenali dengan nama crossover, nampak begitu meriah diperingkat antarabangsa, serta pasaran tempatan bagi tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Segmen dan model-model yang maksudkan ialah seperti Honda HR-V, Mazda CX-3, Renault Captur dan yang terkini, Toyota C-HR.

    Namun, di dalam kerancakan pengeluar-pengeluar utama global ‘menghantar’ wakil untuk bersaing dan merebut pasaran baru itu, Volkswagen nampaknya menjadi antara nama besar yang belum masuk gelanggang dan mempertaruhkan mana-mana model dalam kategori yang sama.

    Hal ini bagaimanapun bakal berubah; Autocar melaporkan kumpulan syarikat pengeluar kenderaan terbesar dunia itu akan memperkenalkan sebuah model SUV kompak/kecil menjelang penghujung tahun 2018 nanti. Sama seperti pesaing lain, model berkenaan dibangunkan menggunakan platform model kenderaan kecil segmen B, Polo. Jika di Eropah, ia akan menjadi seteru kepada Renault Captur, Peugeot 2008 dan Opel/Vauxhall Mokka.

    Volkswagen bakal perkenal model SUV kompak hujung tahun 2018 – saingan Renault Captur, Toyota C-HR

    Menurut laporan majalah itu lagi, model SUV baru itu nanti akan mengambil inspirasi daripada model konsep T-Cross Breeze yang dipamerkan di Geneva tahun lalu. Laporan itu juga menyebut, model berkenaan akan dibangunkan bersekali degan Polo generasi bari di Sepanyol. Tambahan terbaru kepada Tiguan dan Touareg itu nanti akan berkongsi enjin yang sama dengan Polo – tiga pilihan mungkin ditawarkan, dengan janaan kuasa dari 74 hp hingga 200 hp.

    Turut dijangka akan ditawarkan ialah enjin petrol dengan sistem hibrid. Ia akan menggunakan motor elektrik berkuasa 15 kW dengan padanan transmisi DSG tujuh-kelajuan, yang turut hadir dengan ciri pemanduan elektrik sepenuhnya. Apa pun, semua ini hanya akan dapat disahkan dengan terperinci sebaik sahaja Volkswagen memperkenalkannya nanti.

    Volkswagen T-Cross Breeze Concept

     
     
  • LLM minta semua syarikat konsesi lebuhraya memeriksa papan iklan demi keselamatan pengguna

    LLM minta semua syarikat konsesi lebuhraya memeriksa papan iklan demi keselamatan pengguna

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah meminta semua syarikat konsesi lebuhraya agar memeriksa papan iklan yang dipasang di tepi lebuh raya mereka bagi memastikan strukturnya kukuh.

    “Pemantauan berkala adalah penting bagi menjamin struktur papan iklan mengikut spesifikasi yang dibenarkan serta bahan yang digunakan adalah selamat. Justeru, langkah itu perlu bagi mengelak papan iklan daripada tumbang dan menimpa pengguna jalan raya,” ujar Datuk Dr Noor Azmi Ghazali selaku Pengerusi LLM, kepada pihak pemberita, seperti yang dilaporkan Bernama.

    Kenyataan ini dikeluarkan bagi mengulas mengenai kejadian dua papan iklan roboh akibat dipukul ribut di Kilometer 177.9, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) antara Alor Pongsu dengan Bandar Baharu di Kedah pada Ahad lalu.

    Noor Azmi berkata standard papan iklan perlu diperiksa supaya ia mematuhi kelulusan yang dibenarkan bagi mengelak pemasangan papan iklan yang tidak sesuai serta berbahaya kepada pengguna lebuh raya.

    Sambungnya lagi, setiap syarikat iklan hendaklah mematuhi syarat pemasangan papan iklan di semua lebuh raya dan papan iklan yang tidak mendapat kelulusan tidak akan dibenarkan. Malah, LLM akan melakukan pemantauan dan pihaknya bakal mengambil tindakan terhadap syarikat konsesi yang tidak mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.

     
     
  • Isuzu MU-X facelift dilancarkan di Thailand – enam pilihan varian semuanya, harga bermula dari RM140k

    Isuzu MU-X facelift dilancarkan di Thailand – enam pilihan varian semuanya, harga bermula dari RM140k

    Bulan lepas, teaser bagi Isuzu MU-X facelift sudah mula dipertontonkan, khabarnya akan dilancarkan untuk pasaran Thailand terlebih dahulu. Ternyata penggemarnya tidak perlu menunggu lama; model berkenaan kini sudah diperkenalkan secara rasmi, sempena ulang tahun ke-60 operasi syarikat itu di Thailand.

    Sebanyak enam varian ditawarkan sebagai pilihan, dengan harga berada sekitar 1.099 juta Baht (RM139,639) hingga 1.474 juta Baht (RM187,287). Bagaimanapun, perubahan yang dilakukan ke atas versi terbaru ini tidak terlalu ketara jika dibandingkan dengan model yang digantikannya.

    Antara penambah baikan yang dibuat adalah melibatkan penggunaan lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED, bampar depan yang direka semula, rim aloi 18 inci jejari berkembar dengan tayar bersaiz 255/60 R18 serta lampu belakang yang juga dari jenis LED.

    Isuzu MU-X facelift dilancarkan di Thailand – enam pilihan varian semuanya, harga bermula dari RM140k

    Ruang dalaman pula hampir sama dengan model sebelumnya, cuma kini datang dengan kemasan dwi-tona dalam warna hitam dan beige, dengan warna beige menjadi lebih dominan termasuk pada kerusi dan perehat lengan ditengah. Selain itu, kemasan kayu juga menghiasi sebahagiand daripada papan pemukanya, serta pada panel pintu. Sistem infotainmen Kenwood yang sebelumnya bersaiz 7 inci telah digugurkan, dan kini diganti dengan skrin sentuh 8 inci dengan sambungan kepada telefon pintar.

    Bagi enjin, ia kekal sama dengan model sebelumnya yang dipasarkan di sana. Dua varian enjin ditawarkan; enjin RZ4E-TC 1.9 liter Ddi Blue Power turbodiesel, yang menghasilkan kuasa sehingga 150 PS pada 3,600 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 hingga 2,600 rpm, bersama dua pilihan transimisi iaitu manual enam-kelajuan atau automatik Rev Tronic, juga enam-kelajuan.

    Selain itu, enjin 4JJ1-TCX 3.0 liter empat-silinder diesel yang menawarkan kuasa sehingga 177 PS pada 3,600 rpm dan tork 380 Nm antara 1,800 hingga 2,800 rpm turut ditawarkan. Sistem pacuan 4WD bagaimanapun adalah eksklusif kepada model varian tertinggi dengan enjin 3.0 liter sahaja.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia lancar ibu pejabat baharu

    Mercedes-Benz Malaysia lancar ibu pejabat baharu

    Pagi ini, Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM) telah melancarkan ibu pejabat baharunya, Wisma Mercedes-Benz Malaysia, yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong. Kemudahan baharu ini dibina khas untuk menambah pelaburan bagi menyokong aspirasi hab EEV negara. Malahan jenama ini turut mahu meneruskan janji kepada para pelanggan untuk memberikan “Kenderaan Terbaik” dan Pengalaman Terbaik bagi Pelanggan.”

    Bangunan setinggi enam tingkat ini turut menerima pengiktirafan sebagai bangunan industri hijau pertama di Subang Jaya dan telah dianugerahkan Pensijilan Emas bagi LEED (Leadership in Energy and Environmental Design).

    Mercedes-Benz Malaysia lancar ibu pejabat baharu

    Berkeluasan 118,000 kaki persegi, dan dengan pelaburan sebanyak RM74 juta, selain ibu pejabat MBM, wisma ini turut menempatkan Mercedes-Benz Services Malaysia, Daimler TSS GmbH dan Pusat Latihan Mercedes-Benz Malaysia.

    “Malaysia merupakan pasaran penting bagi jenama Mercedes-Benz. Tujuan membina kemudahan baharu ini akan membolehkan kami terus konsisten dalam memberikan perkhidmatan, kepakaran dan kebolehpercayaan yang tinggi bagi memenuhi kehendak pelanggan kami, yang mengharapkan standard tertinggi.

    “Seperti mana motto perniagaan kami, ‘The Best or Nothing’, kami mahu berikan yang terbaik dalam setiap aspek perniagaan kami,” ujar Dr Claus Weidner, Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia.

     
     
  • Alpine A110 didedahkan – jelmaan semula kereta sport ikonik Perancis, 300 hp, berat hanya sekitar 1,000 kg

    Alpine A110 didedahkan – jelmaan semula kereta sport ikonik Perancis, 300 hp, berat hanya sekitar 1,000 kg

    Setelah model konsepnya dipertontonkan dan prototaipnya dilihat sedang diuji, kereta sport berenjin tengah generasi baharu dari jenama ikonik Perancis, Alpine, kini didedahkan. Model yang diberi nama A110 ini merupakan model jelmaan semula Alpine A110 klasik, yang mana rekabentuk keseluruhannya juga diinspirasikan dari model lagenda tersebut.

    Dengan konfigurasi enjin tengah pacuan roda belakang, Alpine A110 generasi baharu ini memberikan tentangan terus terhadap Porsche Cayman. Walau bagaimanapun, dengan binaan penuh aluminium yang digunakan, Alpine A110 mempunyai berat keseluruhan hanya sekitar 1,000 kg, 300 kg lebih ringan dari Cayman.

    Tiada lagi spesifikasi rasmi lengkap diumumkan, namun A110 dijangka bakal dijana enjin empat silinder turbo berkuasa sehingga 300 hp, lebih berkuasa dari angka 250 hp yang disebut-sebut sebelum ini. Enjin berkenaan berkemungkinan mengambil unit 1.6 liter turbo empat-silinder dari Renault Clio RS, dan mungkin juga enjin 2.0 liter baharu yang bakal diberikan pada Megane RS generasi seterusnya.

    Alpine A110 didedahkan – jelmaan semula kereta sport ikonik Perancis, 300 hp, berat hanya sekitar 1,000 kg

    Seperti yang dijangka, kereta baharu ini mengekalkan rekaan yang ada pada model konsep Alpine Vision Concept, termasuk lampu hadapan dan juga lampu kabus yang ‘ditanam’ pada bampar, bersama jalur LED untuk lampu nyalaan siang disekelilingnya. Rekaan lantai yang rata dan penggunaan diffuser belakang membantu aerodinamik kereta sport ini tanpa memerlukan spoiler belakang.

    Pada bahagian dalaman, A110 diberikan sepasang tempat duduk yang hanya seberat 13.1 kg, seterusnya dapat mengekalkan keringanan jentera ini.

    Perincian lebih lanjut bakal didedahkan di Geneva Motor Show bulan ini, setelah ia membuat kemunculan buat julung kali. Untuk permulaan, A110 akan ditawarkan dengan ‘Premiere Edition, dijual pada harga bermula €55,000 (RM258,714) di Perancis. Menurut laman sesawang rasmi Alpine, kesemua model edisi permulaan tersebut telah pun habis ditempah.

     
     
  • KTMB pantau landasan keretapi guna kamera khas

    KTMB pantau landasan keretapi guna kamera khas

    Mengikut arus kemodenan dan teknologi semasa, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah memilih menggunakan kamera khas untuk memantau penyelenggaraan landasan keretapi, selain mempertingkatkan perkhidmatan sedia ada.

    Menurut Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir Nawawi Ahmad penggunaan sistem berteknologi tinggi pemantauan dan selenggara atau dikenali sebagai ‘Catenary Eye System’ iaitu sejenis kamera khas yang diletak di atas kenderaan penyelenggaraan boleh membantu segera KTMB mengenal pasti landasan yang bermasalah, Bernama

    Beliau berkata teknologi dari Jepun itu bernilai RM24.7 juta telah mula digunakan oleh KTMB sejak Januari lalu mampu memeriksa landasan keretapi dari Gemas sehingga Padang Besar dalam jangka masa yang singkat.

    “Dengan teknologi ini, dalam tempoh sejam kita boleh memeriksa landasan sejauh 60 hingga 80 kilometer (km) berbanding hanya satu atau dua kilometer secara manual dalam satu malam. KTMB juga merancang untuk menambah enam lagi unit daripada Catenary Eye System bagi meningkatkan penyelenggaraan dan operasi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang melintasi landasan sejauh kira-kira 1,000 km,” katanya kepada pemberita di majlis penerimaan sistem itu.

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi yang turut berada di majlis yang sama berkata, kerajaan akan membantu KTMB mempertingkatkan perkhidmatannya kepada rakyat melalui penggunaan teknologi serta peralatan yang lebih moden dan canggih.

    Beliau berkata contohnya pengunaan sistem teknologi kamera itu yang buat pertama kalinya digunakan di negara ini dapat mengurangkan tempoh dan kos penyelenggaraan perkhidmatan keretapi.

    Catenary Eye System adalah projek di bawah Program Kolabrasi Industri (ICP) atau program offset dengan kerjasama Meidensha-Meiden Malaysia Joint Venture Sdn Bhd (MMJV) yang diuruskan oleh Agensi Depositori Teknologi (TDA).

    TDA merupakan entiti di bawah Kementerian Kewangan yang diberi mandat untuk mengawal selia program ICP, termasuk memastikan garis panduan pelaksanaanya dipatuhi oleh setiap syarikat.

     
     
  • JPJ kuatkuasakan pemasangan pelekat pemantul cahaya belakang kenderaan perdagangan serta merta

    JPJ kuatkuasakan pemasangan pelekat pemantul cahaya belakang kenderaan perdagangan serta merta

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan semua kenderaan perdagangan berat dengan muatan (BDM) 3,500 kilogram (kg) dan ke atas wajib memasang pelekat pemantul cahaya MS 828:2011 pada bahagian belakang.

    Menurut kenyataan terbabit, penguatkuasaan pemasangan pelekat pemantul cahaya itu pada bahagian sisi kiri dan kanan kenderaan perdagangan berat dengan muatan (BDM) 3,500 kilogram (kg) dan ke atas ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak, laporan Bernama.

    Di mana keperluan pemasangan itu dinyatakan dalam Garis Panduan Pemasangan Reflektor MS 828:2011 Pada Kenderaan Perdagangan.

    Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bahawa setiap kenderaan perdagangan dengan BDM 3,500 kg dan ke atas wajib memasang pelekat pemantul cahaya MS 828:2011 pada sisi kiri dan kanan serta bahagian belakang kenderaan bermula 1 Januari lalu.

    Menurut JPJ, kerajaan telah beberapa kali menangguhkan penguatkuasaan pemasangan pelekat pemantul cahaya itu sejak 2003.

    “Faktor keselamatan perlu diberikan keutamaan dan tidak boleh dikompromi. Kita harap penguatkuasaan sepenuhnya akan dapat direalisasikan kelak,” kata JPJ.

    Dalam pada itu, JPJ turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang memperoleh pensijilan MS 828:2011 daripada SIRIM untuk menjual pelekat pemantul cahaya bagi tujuan penguatkuasaan itu.

    Pada masa ini, hanya dua syarikat sahaja yang memperoleh pensijilan MS 828:2011 daripada SIRIM iaitu syarikat Orafol Reflective Solutions (Malaysia) Sdn Bhd dan 3M Malaysia Sdn Bhd

    Namun, penjualan pelekat pemantul cahaya oleh 3M Malaysia Sdn Bhd ditangguhkan sementara sehingga mendapat pengesahan semula daripada SIRIM.

     
     
  • Volkswagen Tiguan diprebiu buat pertama kali di Malaysia – 1.4 liter TSI, DSG 6-kelajuan, dari RM149k

    Volkswagen Tiguan diprebiu buat pertama kali di Malaysia – 1.4 liter TSI, DSG 6-kelajuan, dari RM149k

    Setelah video dan imejnya dirakam semasa diuji, hari ini Volkswagen mendedahkan secara rasmi buat pertama kali Volkswagen Tiguan generasi baharu di bilik pameran Sri Hartamas untuk diprebiu oleh media permotoran di Malaysia. Serentak dengan itu, SUV ini turut dipamerkan kepada umum di pusat membeli belah 1 Utama. Tiada tarikh pelancaran rasmi diumumkan, tetapi ia dijangka tidak lama lagi.

    Tiguan serba baharu muncul pada peringkat global buat pertama kali di Frankfurt semasa IAA 2015 dan dibina berasaskan platform modular MQB Volkswagen, asas yang sama digunakan pada Golf Mk7. Dimensi model baharu ini lebih besar berbanding Tiguan sebelum ini, iaitu 60 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan jarak roda 77 mm lebih panjang.

    Penampilannya kini lebih ‘tajam’ dan dibina 33 mm lebih rendah berbanding model sebelumnya. Ruang but juga direka 145 liter lebih besar, menjadi 615 liter, atau 1,655 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Walaupun saiz SUV ini kini bertambah, beratnya masih dapat dikurangkan sebanyak 50 kg dengan penggunaan pelbagai teknologi baharu.

    Volkswagen Tiguan diprebiu buat pertama kali di Malaysia – 1.4 liter TSI, DSG 6-kelajuan, dari RM149k

    Untuk pasaran Malaysia, Tiguan ditawarkan dengan dua varian berbeza iaitu Comfortline dan Highline. Kedua-dua varian ini dijana oleh enjin TSI 1.4 liter berkuasa 150 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 rpm hingga 3,500 rpm. Kuasa dialirkan kepada transmisi klac berkembar jenis basah enam-kelajuan automatik DSG, memacu roda hadapan. Padanan ini memberikan penggunaan bahan api 6.7 L/100 km, membolehkan Tiguan mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

    Kedua-dua varian menerima lampu dan pengelap cermin automatik, lampu belakang LED, pedal penukar gear serta unit infotaimen dengan skrin sesentuh lapan-inci dihubungkan kepada lapan pembesar suara. Apa yang menarik, tempat duduk penumpang hadapan boleh dibaringka sehingga rata kehadapan, membolehkan kabin diisi dengan muatan yang benar panjang.

    Varian Comfortline menerima rim ‘Montana’ 17-inci, penderia parkir hadapan dan belakang, upholsteri fabrik ‘Rhombus’, rel bumbung berwarna hitam dan paparan pelbagai informasi berwarna.

    Untuk varian Highline pula, ia diberikan banyak kelengkapan sama seperti Passat baharu. Antaranya lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang LED, sistem penghawa dingin tiga-zon (kawalan berasingan pada kabin belakang), paparan instrumen digital 12.3-inci Active Info Display, Bantuan Parkir, upholsteri balutan kulit, rel bumbung berwarna perak, serta sistem infotaimen dan navigasi Discover dengan skrin sesentuh 8-inci.

    Ia turut dipadankan dengan rim ‘Kingston’ 18-inci, serta bukaan pintu tailgate belakang dengan bantuan elektrik, di mana sudut bukaannya juga boleh dilaras. Untuk keselamatan, Tiguan dilengkapi enam-beg udara, Driver Alert System, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), ABS bersama bantuan brek dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

    Tiguan dipasang secara CKD di kilang Pekan, Pahang dan bakal dijual pada harga anggaran RM149,000 untuk varian Comfortline, manakala varian tertinggi Highline bakal dijual pada harga 169,000. Setiap pembelian turut disertakan sekali dengan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. SUV ini juga ditawarkan dalam lima warna berbeza iaitu Deep Black, Pure White, Atlantic Blue, Indium Grey dan Tungsten Silver. Khas untuk pembeli terawal, Volkswagen Passengger Car Malaysia (VPCM) turut menawarkan potongan harga sebanyak RM7,000.

    GALERI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI Highline

    GALERI: Volkswagen Tiguan di 1 Utama

     
     
  • Mitsubishi Eclipse Cross – ASX dalam jelmaan coupe?

    Mitsubishi Eclipse Cross – ASX dalam jelmaan coupe?

    Selepas beberapa siri spyshot dan teaser yang bocor sebelum ini, Mitsubishi Eclipse Cross akhirnya didedahkan. Meminjam nama model dua pintu ikonik terdahulu, nama itu kini digunakan semula ke atas sebuah kenderaan crossover, yang boleh juga disifatkan sebagai ASX dalam versi coupe yang lebih sporty.

    Dengan dimensi berukuran 4,405 mm panjang, 1,805 mm lebar dan 1,685 mm tinggi, kenderaan baru ini juga 110 mm lebih panjang, 35 mm lebih lebar dan 60 mm lebih tinggi berbanding ASX – jarak antara rodanya bagaimanapun kekal sama, 2,670 mm.

    Walaupun ia tidak terlalu mendekati reka bentuk pada model konsep XR-PHEV yang menjadi asas kepada pembinaan model ini, Eclipse Cross tetap membawa banyak sentuhan lain yang hampir sama daripada model konsep berkenaan. Bahagian depan hadir dengan gril Dynamic Shield yang sinonim dengan jenama Mitsubishi, yang turut diapit oleh rekaan lampu utama dan kluster lampu kabus yang besar.

    Mitsubishi Eclipse Cross – ASX dalam jelmaan coupe?

    Dari sisi, profilnya tamppil lebih agresif dengan sentuhan rekaan tajam yang secara keseluruhannya memberikan model ini penampilan yang sangat dinamik. Garis badannya memanjang ke bahagian lampu belakang, dengan bahagian fender yang membuatkannya nampak lebar dan tegap.

    Di bahagian belakang, lampu LED merentangi antara kedua-dua sisi – dengan gaya yang hampir sama seperti pada Honda CR-Z dahulu. Warna merah yang dilihat ini pula merupakan warna baru dari Mitsubishi, menampilkan lapisan merah dan separa lutsinar yang dikenakan ke atas lapisan asasnya; Mitsubishi menyebutnya kemasan akhir yang sarat dengan ketelitian.

    Masuk ke ruang kabin, antara yang paling ketara kelihatan ialah rekaan ruang berkenaan yang mirip ruang kabin pada Lexus NX. Konsol tengahnya dengan kemasan warna perak, serta Touchpad Controller yang hampir sama pada model Lexus berkenaan. Ciri Smartphone Link Display pula dilengkapi dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kuasanya pula datang dari enjin petrol 1.5 liter suntikan terus turbo baru dengan padanan CVT (dan Sport Mode) bersama lapan nisbah maya. Turut ditawarkan ialah enjin 2.2 liter turbodiesel yang digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan. Maklumat lain berkenaannya masih belum didedahkan.

    Eclipse Cross juga dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda kawalan elektronik, serta sistem kawalan bersepadu Super All-Wheel Control (S-AWC) lengkap dengan ciri Active Yaw Control (AYC) pengaktifan brek.

     
     
  • Honda Wave Alpha terima perubahan – dua varian ditawarkan, warna baru dan harga bermula RM4,535

    Honda Wave Alpha terima perubahan – dua varian ditawarkan, warna baru dan harga bermula RM4,535

    Bagi model tahun 2017, Boon Siew Honda kini memperkenalkan Wave Alpha yang menerima peningkatan minor untuk pasaran tempatan. Terdapat dua varian yang ditawarkan bagi model ini; versi brek dram dan spoked wheels yang dijual pada harga RM4,535.74 dan juga versi brek cakera dengan cast wheels yang dijual pada harga RM4,927.74 – harga sudah termasuk GST.

    Apa perubahan terbaru yang diberikan kepada kapcai ini? Satu daripadanya ialah warna baru, Pearl Nightfall Blue yang melengkapi dua pilihan sedia ada sebelum ini – Pearl Magellanic Black dan Vivacity Red. Selain itu, palang pemegang bahagian belakang juga diberi rekaan baru.

    Model berkenaan juga kini diiktiraf sebagai kenderaan EEV, dengan versi terbaru Honda Wave Alpha ini didakwa mampu memberikan penggunaan minyak yang lebih baik berbanding sebelumnya. Kapasiti tangki petrolnya ialah 3.7 liter.

    Honda Wave Alpha terima perubahan – dua varian ditawarkan, warna baru dan harga bermula RM4,535

    Disifatkan pengeluarnya sebagai pendahulu pasaran bagi pasaran kapcai dengan kapasiti enjin kecil, model ini dilengkapi dengan enjin 109.1 cc silinder tunggal dengan sejukan udara dan kuasa disalurkan melalui kotak gear empat-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan ialah 8.3 hp pada 7,500 rpm dengan tork 8.59 Nm pada 5,500 rpm.

    Ruang barangan yang ada dibahagian bawa tempat duduknya walaupun terhad, boleh memuatkan barangan bersaiz kecil yang dibawa. Ia didatangkan dengan kedua-dua ciri penghidup elektrik dan kickstarter, berat Wave Alpha ialah 93 kg dan sudah boleh didapati di semua bilik pameran Honda Impian dan pengedar sah mereka.

     
     
  • Harga bahan api bagi Mac 2017 – diesel naik 5 sen seliter, petrol RON 95 dan RON 97 pula kekal

    Harga bahan api bagi Mac 2017 – diesel naik 5 sen seliter, petrol RON 95 dan RON 97 pula kekal

    Selepas menyaksikan kenaikan harga bahan api Februari 2017 lalu, perkembangan bagi bulan Mac mungkin sedikit melegakan. Tiada kenaikan harga petrol; RON 95 akan kekal dijual pada harga RM2.30 seliter, manakala RON 97 juga kekal pada harga RM2.60 seliter.

    Bagaimanapun, sedikit berbeza halnya dengan bahan api diesel; harga pada bulan Mac akan naik 5 sen. Ia akan dijual pada harga RM2.20 seliter, sementara diesel Euro 5 pula pada harga RM2.30 seliter – harga yang sama dengan petrol RON 95.

    Februari 2017 mencatatkan kenaikan harga bahan api yang agak ketara, sebanyak 20 sen bagi petrol, manakala diesel naik 10 sen. September 2016 mencatatkan harga runcit terendah dalam masa terdekat dengan pelaksanaan sistem harga apungan, dengan RON 95 dijual pada harga RM1.70 seliter, sementara RON 97 pada RM2.05.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026