Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Volkswagen akan lancar jenama bajet di China

    Volkswagen akan lancar jenama bajet di China

    Tahun hadapan, Volkswagen akan melancarkan satu jenama bajet di China, dengan produk pertamanya adalah sebuah SUV, kata laporan daripada Autocar. Langkah ini disahkan sendiri oleh ahli lembaga Volkswagen yang bertanggungjawab untuk pasaran China, Jochem Heizmann, yang memberitahu Autocar bahawa produk pertama jenama itu akan dibina dengan kerjasama pengeluar kenderaan China, First Automobile Works (FAW), dan akan fokus kepada segmen SUV.

    Beliau juga menambah bahawa jenama yang akan datang ini masih belum mempunyai nama, tetapi tidak akan menggunakan lencana Volkswagen. Pada tahun 2011, pernah dilaporkan bahawa jenama kerjasama Volkswagen dan FAW untuk pasaran China akan dipanggil sebagai Kaili, dengan ia dikatakan bertanggungjawab untuk pembangunan kenderaan elektrik.

    Kenderaan daripada jenama baru ini juga dikata akan dijual di dalam pasaran China, tetapi pengeluarnya mungkin melihat kemungkinan untuk meluaskan pasarannya ke negara lain seperti America Latin, Eropah Timur, Afrika, India dan Baltic. Walaubagaimanapun, jangka masanya tidak diberikan lagi.

    Semasa pembentangan perolehan kewangan 2016 semalam, Volkswagen Group memberitahu bahawa surat tunjuk hasrat telah ditandatangani oleh FAW dan JAC di China. Pada tahun lepas, Volkswagen menjual 4 juta kenderaan di China (termasuk pasaran Hong Kong), dan ini adalah peningkatan sebanyak 12.2% berbanding tahun 2015.

    Sementara itu, pada awal minggu ini, Volkswagen juga telah mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Tata Motors untuk meneroka kerjasama strategik jangka masa panjang di India, dan pembangunan kenderaan akan diketuai oleh cabang Skoda.

     
     
  • GrabCar kini di Ipoh, Kuantan, Seremban dan Kuching

    GrabCar kini di Ipoh, Kuantan, Seremban dan Kuching

    Bermula hari ini, perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian, GrabCar akan meluaskan lagi kawasan liputan perkhidmatannya – kini merangkumi Ipoh, Kuantan, Kuching dan Seremban. Bagi Negeri Sembilan, ia termasuk kawasan-kawasan seperti Nilai dan Port Dickson.

    Ini adalah sebagai komitmen syarikat itu untuk menyediakan penyelesaian pengangkutan yang lebih meluas di Malaysia. “Sejak diperkenalkan di Lembah Klang sebagai tambahan kepada perkhidmatan teksi, perkhidmatan ini mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan. Pada 2016 sahaja, kami telah melebarkan sayap ke Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka dan Kota Kinabalu,” ujar Ketua Grab Malaysia, Sean Goh.

    Sempena dengan pengenalan di lokasi-lokasi baru ini, GrabCar juga memperkenalkan kod promosi HIGRAB5. Bermula hari ini hingga 31 Mac nanti, pelanggan boleh menikmati potongan sebanyak RM5 bagi 10 perjalanan. Selain itu, pelanggan juga boleh memilih untuk membayar menggunakan kad kredit atau tunai.

    Bagi aspek keselamatan, aplikasi berkenaan juga membolehkah pelanggan atau pemandu untuk talian kecemasan 24/7 sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. Butang PDRM yang tersedia juga akan menghubungkan mereka dengan balai polis berdekatan.

    Perlindungan insurans juga disediakan kepada pemandu dan pelanggan, melalui Group Accident Insurance dengan tuntutan sehingga USD10,000. Pemilihan pemandu juga kini lebih ketat, dan perlu menjalani latihan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan. Pelanggan juga boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan GrabShare serta layak untuk mengumpul mata GrabRewards.

     
     
  • GreenTech Malaysia – tentang Tesla dan ChargEV

    GreenTech Malaysia – tentang Tesla dan ChargEV

    Apa jadi dengan usaha untuk memperkembang teknologi kenderaan hijau oleh Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) sejak bermula empat tahun lalu? Untuk menjelaskan perkara berkenaan, syarikat itu mengadakan satu majlis khas bagi memberikan kemaskini terhadap usaha mereka.

    Antara yang turut disentuh ialah National Electric Mobility Blueprint yang mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai pasaran kenderaan EV bagi rantau ini. Walaupun banyak perangkaan yang pertama kali dibentangkan pada 2015 kelihatan seperti sukar untuk dicapai menjelang 2020, projek berkenaan bagaimanapun menampakkan perkembangan positif sejak dua tahun kebelakangan ini.

    Dalam tempoh berkenaan, syarikat itu telah memulakan dengan beberapa pihak berkepentingan serta orang awam untuk mewujudkan kesedaran yang lebih meluas terhadap pemilikan kenderaan elektrik bagi orang awam dan syarikat swasta, melalui dua usaha yang direncanakan.

    Pertama ialah pengenalan rangkaian stesen mengecas sendiri, dikenali ChargEV sejak 2015. Rangkaian itu, dengan usaha sama The New Motion, memberikan peluang kepada orang ramai dan memudahkan lagi pengguna kenderaan elektrik untuk mengecas kenderaan merekan.

    Setakat ini, sebanyak 150 stesen ChargEV sudah beroperasi di seluruh negara dengan sokongan pemilik-pemilik premis yang mempunyai kesedaran yang sama. Tahun ini, jumlah berkenaan disasarkan untuk mencapai angka 300 stesen.

    Syarikat itu turut bekerjasama dengan BMW Malaysia dan Petronas Dagangan. Sebagai contoh, pelanggan yang memiliki model BMW i atau BMW eDrive yang ikut serta di dalam program BMW 360 Electric akan ditawarkan dengan perkhidmatan BMW ChargeNow, dengan kad akses yang membolehkan pelanggan menggunakan kemudahan rangakaian ChargEV pada bila-bila masa sahaja.

    GreenTech Malaysia – tentang Tesla dan ChargEV

    Bersama Petronas pula, sebanyak 66 kemudahan ChargEV akan disediakan di stesen-stesen Petronas terpilih di Semenanjung. Pengecas berkenaan merangkumi penggunaan bagi tiga-fasa; unit 32A, 400 volt 22 kW. GreenTech juga menyediakan kemudahan fasa-tunggal bagi pengecas 16A 3.7 kW AC serta unit 32A 7.0 kW AC.

    Usaha utama lain tentunya Program Tesla, yang diumumkan pada 2015 dan dimulakan hujung tahun lalu. Awal 2016, kerajaan meluluskan kemasukan import 100 buah Tesla yang bebas cukai, untuk disewakan kepada badan koperat dalam usaha untuk mempromosikan EV.

    Program berkenaan menawarkan Tesla Model S dalam dua varian, S 70 pacuan belakang dan S 90D pacuan 4WD serta S P90D. Semua kereta ini ditawarkan untuk disewa melalui dua pilihan, bagi tempoh dua tahun hingga empat tahun. Model paling asas S 60 turut dipertimbangkan untuk dibawa masuk.

    “Ketika berurusan dengan pemain industri yang lain dalam usaha ini, kami dapat lihat penerimaan dan sambutan kenderaan elektrik dalam pasaran. Cabaran utama tentunya faktor harga dan peralihan pengguna di Malaysia kepada EV berbanding kenderaan biasa,” ujar CEO GreenTech Malaysia, Ahmad Hadri Haris.

     
     
  • Honda WR-V – ‘SUV Jazz’ dilancar di India minggu ini

    Honda WR-V – ‘SUV Jazz’ dilancar di India minggu ini

    Honda WR-V bakal dilancarkan secara rasminya di India minggu ini, dan laman mikronya telah pun menguar-uarkan perkembangan model baharu yang dibina dengan platform Jazz. Ia dijadualkan akan dilancarkan pada 16 Mac ini iaitu esok. WR-V pertama kali diperkenalkan di Brazil pada tahun lalu, malah dikatakan bakal dilancarkan di negara berkenaan pada bulan ini juga.

    “Winsome Runabout Vehicle” ini memiliki dimensi empat meter panjang, selebar 1.73 m dan setinggi 1.6 meter dengan jarak roda 2.55 m, ditawarkan untuk versatiliti bagi SUV kegunaan urban. Malahan ia juga mempunyai sudut “approach and departure”, masing-masing pada 21º dan 33º.

    Untuk Brazil, WR-V dijanakan oleh enjin 1.5 i-VTEC FlexOne, dengan dipadankan bersama unit Earth Dreams CVT yang lengkap bersama torque converter. Dengan bahan api etanol, enjin ini mampu menghasilkan output sehingga 116 hp pada 6,000 rpm dan tork 150 Nm pada 4,800 rpm. Sekiranya dengan enjin petrol pula, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 115 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,800 rpm.

    Menurut Honda, WR-V dibangunkan berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap keperluan pelanggan di Amerika Selatan, dan hasilnya, rekaan SUV dengan “gaya urban dan tahan lasak” diperlukan.

    SUV ini turut menampilkan roda stereng berkuasa yang dibangunkan khas untuknya, dengan jejari pusingan sehingga 5.3 meter. Ia juga dipadankan dengan roda aloi 16-inci dan tayar yang turut direka khas untuknya, dengan tayar unique195/60 yang dikatakan mampu memberikan keselesaan dan getaran yang lebih rendah.

    Namun untuk pasaran India, spesifikasinya masih belum didedahkan lagi. Mungkin juga ia akan dipadankan enjin yang sama dengan Jazz, iaitu unit petrol 1.2 liter i-VTEC dan diesel 1.5 liter i-DTEC. Hanya transmisi manual yang ditawarkan iaitu lima-kelajuan bagi petrol dan enam-kelajuan untuk diesel. Di sana, WR-V juga akan bersaing dengan Ford EcoSport dan Hyundai i20 Active iaitu di bawah segmen-B.

    GALERI: Honda WR-V spesifikasi Brazil

     
     
  • SPYSHOT: Teksi London baharu elektrik sepenuhnya rekaan Geely sedang jalani ujian musim sejuk

    SPYSHOT: Teksi London baharu elektrik sepenuhnya rekaan Geely sedang jalani ujian musim sejuk

    Selain dari bas dua tingkat, teksi unik di bandar London yang lebih dikenali sebagai London Cab merupakan antara ikon di bandar tersebut. Syarikat pengendali teksi berkenaan – London Taxi Company – telah pun mendapatkan urusniaga untuk membawa teksi-teksi tersebut untuk pasaran luar negara, dan model-model baharu kini sedang giat di bina. Terbaharu, teksi berkenaan dijumpai di Sweden untuk melakukan ujian musim sejuk.

    Teksi baharu ini dibangunkan oleh pembuat automotif dari China, Geely, dan model yang dijumpai ini merupakan versi elektrik sepenuhnya dan dijangka bakal diperkenalkan pada hujung tahun ini sebagai model 2018. Menurut sumber, London Cab EV ini turut akan diberikan opsyen unit penambah jarak seperti sistem pada BMW i3.

    London Cab baharu ini masih lagi mengekalkan reka bentuk asalnya – mempunyai akses kerusi roda, kapasiti bagasi diletakkan pada sebelah pemandu, radius pusingan kecil, dan juga enam-tempat duduk untuk penumpang yang disusun secara berdepan.

    SPYSHOT: Teksi London baharu elektrik sepenuhnya rekaan Geely sedang jalani ujian musim sejuk

    Model TX4 sedia ada akan dibekalkan ke pasaran Australia dan New Zealand dengan perjanjian 10-tahun yang telah dimeterai. Bagi model EV yang sedang dalam pembinaan ini dijangka bakal dikenali sebagai TX5, yang bakal diproduksi bersama TX4 di kilang LTC Ansty, Conventry.

    Kilang berkenaan bakal mempunyai kapasiti untuk memproduksi sehingga 36,000 unit kenderaan dalam setahun setelah fasiiti produksi dan R&D baharunya beroperasi – 10 ganda lebih banyak dari fasiliti lama. Sebelum ini, Nissan tidak dapat untuk menyambung tugas model NV200 mereka sebagai teksi London kerana berhadapan dengan masalah undang-undang emisi.

     
     
  • VIDEO: Sorotan pusingan pertama Malaysia Speed Festival (MSF) 2017 – saji aksi pertarungan sengit

    Kami telah pun melaporkan keputusan perlumbaan pusingan pertama Malaysia Speed Festival (MSF) sebelum ini yang dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang pada 26 Februari lalu. Namun, bagi mereka yang tidak berkesempatan menyaksikannya secara langsung, pihak MSF telah menyiarkan video sorotan perlumbaan tersebut di laman Facebook mereka.

    Untuk perlumbaan kali ini, ia disertai 147 buah jentera perlumbaan dalam 12 kategori berbeza, disaksikan oleh sekitar 5,000 peminat. Seperti juga aksi-aksi semasa siri ini dikenali dengan nama Saturday Night Fever (SNF) dahulu, ia masih lagi disajikan dengan babak-babak ‘dogfight’ pelumba-pelumba amatur dan professional yang berlumba dengan jentera-jentera yang diasaskan dari kereta-kereta produksi.

    Setiap pusingan MSF akan dijalankan dengan dua sesi perlumbaan, dengan setiap daripadanya berlangsung dengan lima lap. Pemandu pasukan Mayhem-Fast Autoworks MaxxOil, Keifli Othman mendominasi perlumbaan pusingan pertama Malaysia Speed Festival (MSF) 2017 untuk kategori Race Car Open dengan memenangi kedua-dua perlumbaan kategori tersebut hujung minggu lalu. Ini membolehkan bekas juara Formula Asia tersebut mendahului pungutan mata MSF musim ini di hadapan Faidzil Alang dari Fast Lap.

    Manakala untuk satu lagi kategori yang menjadi tumpuan iaitu Saga Cup Expert, menyaksikan Boy Wong dari pasukan ST Wangan memenangi kedua-dua perlumbaan pada hari tersebut. Dengan ketiadaan Tengku Djan Ley dan pelumba GT Farique Hairuman pada perlumbaan kali ini mungkin sedikit memudahkan tugas Wong. Beliau turut dapat mengekalkan jaraknya dengan jentera-jentera lebih laju dalam kategori Super 1,500 NA pada perlumbaan pertama.

    Malaysia Speed Festival akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk pusingan kedua pada 16 April ini. Seperti juga pusingan sebelum ini, Tiket untuk padok dijual pada harga RM20 sebelum pukul 11 pagi pada hari perlumbaan, dan RM35 selepas waktu tersebut. Untuk maklumat lanjut da keputusan penuh perlumbaan, layari laman sesawang rasmi MSF Racing atau laman Facebook rasmi mereka.

     
     
  • Bagaimana quickshifter pada motosikal berfungsi?

    Bagaimana quickshifter pada motosikal berfungsi?

    Bagi ramai pemilik motosikal, terutama yang menunggang jentera jenis sports, mereka sentiasa mencari cara untuk menjadikan pecutan lebih pantas dan lancar. Antara cara yang cukup popular dan mudah adalah dengan mendapatkan tuil penukar gear jenis quickshifter. Alat ini banyak dijual di pasaran dan pemasangan oleh mekanik profesional tidak akan mengambil masa yang lama.

    Tanpa quickshifter, penunggang perlu melakukan sekurang-kurangnya tiga pergerakan iaitu mengawal pendikit, menarik klac dan menarik tuil untuk memasukkan gear, dan setiap satunya mengambil masa beberapa milisaat. Itu baru keadaan normal, belum lagi mengambil kira pelarasan lain seperti menetapkan kedudukan badan sebelum selekoh, memandang apex atau melakukan ‘blip‘.

    Quickshifter dapat menjimatkan separuh daripada masa itu, dengan penunggang tidak perlu menarik klac (biasanya untuk menaikkan gear sahaja), dan pada quickshifter yang lebih moden, ia boleh digunakan untuk turun gear dan akan melakukan blip secara automatik. Bagi satu pusingan di dalam litar, setiap milisaat bagi setiap selekoh yang dapat dijimatkan akan menyumbang kepada catatan masa yang lebih pantas.

    Jadi, bagaimana quickshifter ini berfungsi? Sudah tentu, paling jelas adalah alat tuil gear itu sendiri dan sebenarnya ia bukan sekadar alat mekanikal, kerana turut mempunyai pengesan elektronik. Apabila anda menarik tuil itu (atau menekan untuk tuil gear jenis lumba) untuk menekan gear, pengesan tersebut akan mengira tekanannya dan input diberikan kepada ECU untuk mengurangkan pemasaan (timing), sekaligus menjadikan penukaran gear lebih lancar. Pelarasan ini jugalah yang menyebabkan bunyi ‘pop’ apabila menukar gear dengan quickshifter.

    Ini adalah konsep quickshifter secara asas, dan ia mungkin boleh jadi berbeza untuk pengeluar dan jenama yang berlainan, di mana ada juga yang menggunakan pengesan di dalam transmisi itu sendiri. Selain pelarasan pemasaan (timing) ada juga quickshifter yang menghantar input untuk mengurangkan penyampaian minyak. Bagi motosikal jenis karburetor, pelarasan dibuat terus kepada ignition coil.

    Itulah dia quickshifter secara ringkas. Sudah semakin banyak motosikal yang dilengkapi dengan alat ini seperti BMW S1000RR, HP4, Aprilia RSV4, Tuono, serta beberapa model Ducati dan MV Agusta, manakala model-model lain boleh mendapatkannya melalui jenama aksesori terkenal seperti Power Commander, Bazzaz dan pelbagai lagi. Ada kalanya, kepuasan menggunakan quickshifter ini bukan sekadar datang daripada kepantasan penukaran gear itu sahaja, malah juga bunyinya.

     
     
  • Laluan sehala dilaksanakan di Pekan Brinchang, Cameron Highlands selama sebulan mulai 17 Mac ini

    Laluan sehala dilaksanakan di Pekan Brinchang, Cameron Highlands selama sebulan mulai 17 Mac ini

    Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Hasadid A.Hamid telah mengumumkan laluan sehala di dua lokasi utama di Pekan Brinchang, Cameron Highlands akan dilaksanakan selama sebulan mulai 17 Mac sehingga 16 April ini,

    Menurutnya lagi, ia adalah peringkat percubaan dan membabitkan laluan bermula dari Kilometer 64 hadapan Hotel Iris menuju ke Pekan Brinchang dan Kilometer 65 berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands menuju ke Tanah Rata, laporan Bernama.

    Laluan peringkat percubaan ini dilaksanakan untuk menentukan keberkesanan aliran trafik yang lebih baik. Ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim cuti. Sekiranya laluan di peringkat percubaan ini berkesan, ia akan diteruskan mulai 17 April sampai bila-bila, menurut Hasadid.

    “Jika sebaliknya, polis bersama jabatan kerajaan yang berkenaan akan mencari kaedah lain, misalnya memperbanyakkan lot parkir,” ujarnya yang turut meminta pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan agar lalu lintas berjalan lancar.

    “Pengguna perlu mematuhi papan tanda lalu lintas, tidak melakukan halangan lalu lintas (parkir di kawasan larangan) dan mematuhi arahan pegawai penguat kuasa yang bertugas di lapangan,” katanya.

     
     
  • SPYSHOT: G30 BMW 5 Series didaftar di Malaysia

    SPYSHOT: G30 BMW 5 Series didaftar di Malaysia

    Model G30 BMW 5 Series nampak gayanya makin ligat diuji di atas jalan raya di Malaysia, menandakan ia menghampiri tarikh pelancarannya yang dijangka pada 29 Mac ini. Foto ini dirakamkan oleh seorang pembaca, Fairul Adilla dan model yang diuji ini kelihatan telah dipasang plat nombor pendaftaran “V”.

    Setakat ini, apa yang kami tahu, 530i akan menjadi sebahagian daripada pelancaran tempatan, tetapi permulaannya ia akan diimport sepenuhnya (CBU), sebelum memulakan pemasangan tempatan (CKD) tidak lama lagi. Model 530i dijangka merupakan varian tinggi, dan bakal ditawarkan dengan pakej M Sport dan roda aloi M double-spoke 664M 19-inci.Kelihatan juga lampu utama LED adaptif, yang turut ditawarkan secara standard bagi model semasa F10 5 Series.

    Di Thailand, ia juga telah dipasarkan dengan dua varian iaitu 530i M Sport dan 520d Luxury. Kedua-duanya adalah unit import sepenuhnya (CBU), dan ia bakal diproduksi dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD) tidak lama lagi.

    SPYSHOT: G30 BMW 5 Series didaftar di Malaysia

    530i dijanakan enjin B48 2.0 liter turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan output 252 hp pada 5,200 rpm dan tork 350 Nm dari 1,450 hingga 4,800 rpm. Turut ditawarkan enjin yang sama bagi 520i dengan 180 hp/290 Nm, begitu juga dengan 520d yang masih menggunakan enjin 2.0 liter turbodiesel (190 hp/400 Nm) seperti sebelum ini. Ia dipadankan dengan kotak gear ZF automatik lapan-kelajuan untuk semua model.

    Ia turut dilengkapi dengan banyak teknologi baharu, termasuklah skrin sesentuh 10.25-inci baharu, kawalan gerakan dan kawalan parkir, serta pemanduan semi-sendiri seperti kawalan kelajuan aktif dan bantuan kekal lorong.

    Selain itu, ia turut menampilkan bumbung kaca panorama, kamera pandangan 360 darjah, pedal penukar gear, sistem bunyi sekeliling Harman Kardon dan pengecas tanpa wayar bagi telefon bimbit. Walau bagaimana pun, tidak diketahui spesifikasi untuk pasaran Malaysia.

    GALERI: G39 BMW 5 Series

     
     
  • SPYSHOT: Trak pikap Mercedes-Benz dijumpai lagi

    SPYSHOT: Trak pikap Mercedes-Benz dijumpai lagi

    Selepas diperkenalkan sebagai model konsep tahun lalu, hanya pada bulan lalu versi prototaip trak pikap Mercedes-Benz dilihat sedang membuat ujian jalan raya. Kali ini jurugambar pengintip kami sekali lagi terserempak dengan trak pikap yang bakal menerjah pasaran lewat tahun ini dan berjaya merakamkan gambar yang lebih jelas.

    Pada gambar kali ini, dapat dilihat dengan jelas ia diberikan lampu hadapan projektor LED bersama lampu nyalaan siang LED bina dalam seperti kereta-kereta penumpang Merc yang lain. Lampu berkenaan juga dilihat direka lebih besar berbanding model konsep yang direka tirus. Lampu-lampu berkenaan bakal mengapit gril hadapan yang lebih besar dan dijangka bakal menempat logo bintang Mercedes-Benz yang juga bersaiz besar.

    Bampar hadapan trak pikap ini dilihat mengenakan rekaan yang lebih ‘dalam’ berbanding Nissan Navara NP300, iaitu trak pikap yang menjadi asas pembinaannya. Bahagian sisi kabin X-Class ini masih kelhatan seiras dengan Navara, namun ‘otot’ pada ruang roda X-Class direka bulat berbanding Navara yang direka lebih bersegi. Secara keseluruhan juga, X-Class direka lebih ringkas dengan menghilangkan garis badan bahagian atas Navara yang bermula dari fender hadapan hingga bahagian permulaan pintu hadapan.

    SPYSHOT: Trak pikap Mercedes-Benz dijumpai lagi

    Pada bahagian belakang pula, lengkuk pada pintu ruang kargo Merc ini juga kelhatan seiras dengan Navara. Perbezaan dlihat pada bahagian sisi ruang kargo dimana X-Class direka landai, manakala Navara direka tegak dan rata.

    Walaupun berkongsi platform, X-Class bakal menggunakan enjin diesel dari Mercedes sendiri. Varian tertinggi trak pikap Merc ini bakal dijana enjin diesel V6 3.0 liter. Masih belum disahkan angka kuasa kudanya, namun pada versi kereta penumpang, enjin berkenaan mampu menjana 258 hp dan tork maksima 620 Nm.

    Manakala untuk varian lebih rendah, X-Class bakal diberikan enjin diesel empat-silinder, tetapi masih belum dapat dipastikan adakah ia akan menggunakan enjin dari Merc sendiri atau dari pengeluar lain. Bagi transmisi pula, X-Class bakal diberikan kotak gear tujuh- atau sembilan-kelajuan automatik Mercedes-Benz sendiri, digabungkan dengan sistem pacuan empat roda 4Matic. X-Class juga didakwa mampu membawa beban sehingga 1.1 tan dengan kapasiti menunda 3.5 liter.

     
     
  • Airbus Pop.Up – konsep kereta terbang unik, boleh jadi kenyataan dalam masa 7 ke 10 tahun akan datang

    Airbus Pop.Up – konsep kereta terbang unik, boleh jadi kenyataan dalam masa 7 ke 10 tahun akan datang

    Sesuatu yang unik muncul semasa Geneva Motor Show – sebuah kereta kecil dua tempat duduk, tetapi bila dilihat bahagian atasnya, mempunyai sambungan empat bilah seperti quadcopter. Ini adalah kereta konsep hasil kerjasama pengeluar kapal terbang, Airbus dan syarikat automotif Italdesign, yang dinamakan sebagai Pop.Up.

    Istimewanya kereta yang dikuasakan oleh elektrik ini, ia boleh digunakan sama ada di atas jalan biasa, mahupun terbang untuk kebebasan. Jangan risau, jika anda ingin memandunya di atas jalan biasa, bahagian kipas itu tidak perlu dibawa kerana ia boleh dicabut dan hanya akan datang bila diperlukan.

    Airbus Pop.Up – konsep kereta terbang unik, boleh jadi kenyataan dalam masa 7 ke 10 tahun akan datang

    Bermaksud, apabila anda ingin terbang, setelah membuat tempahan melalui aplikasi, bahagian kipas itu akan datang sendiri kepada kereta, bersambung, dan membawa anda terbang. Sebaik tiba di sesuatu destinasi, jika anda bercadang untuk memandu atas jalan biasa, kipas tersebut akan ditanggalkan dan terbang balik ke pusat kawalannya.

    Walaupun masih adalah sebuah kenderaan konsep, Airbus memberitahu bahawa Pop.Up berada di landasan yang betul untuk diperkenalkan kepada pasaran dalam masa 7 ke 10 tahun lagi. Selain kereta itu sendiri, mereka juga perlu berhadapan dengan pelbagai peraturan untuk operasi kenderaan udara di kawasan urban.

     
     
  • McLaren BP23 akan jadi ‘antara jentera yang terpantas’

    McLaren BP23 akan jadi ‘antara jentera yang terpantas’

    Pengeluar kenderaan British, McLaren sebelum ini mendedahkan syarikat itu akan menghasilkan sebuah supercar baru dengan rekaan tiga tempat duduk yang mengambil inspirasi daripada model F1 era 1990an. Diberi kod nama BP23, jentera itu disifatkan akan menjadi antara yang terpantas dan berkuasa pernah dihasilkan oleh syarikat itu, ujar CEO-nya, Mike Flewitt.

    Perincian tentang sistem pacuan masih belum didedahkan. Namun, dijangkakan ia akan menggunakan pacuan hibrid dengan padanan enjin M840T 4.0 liter, V8 twin turbo yang digunakan pada model 720S yang baru dilancarkan sebelum ini.

    Walaupun ada kebarangkalian persamaan dengan sistem hibrid yang digunakan pada model P1 dan P1 GTR, janaan kuasa BP23 dijangka akan berada di antara barisan model dari Ultimate Series dan model-model Super Series generasi baru (yang diwakili antaranya oleh model 720S dengan kuasa 720 PS/770 Nm). Dari petunjuk ini, output bagi model berkenaan mungkin 800 PS.

    Dengan janaan kuasa yang besar seperti itu, BP23 tidak disasarkan untuk menjadi sebuah jentera lumba semata-mata. Kemampuan touring masih menjadi keutamaan – mungkin menghampiri model 570GT bagi aspek ini – tetapi mengekalkan prestasi sebuah supercar. Bagi teras binaannya, BP23 disifatkan bakal menggunakan struktur gentian karbon Monocage II yang dihasilkan oleh McLaren sendiri.

    McLaren F1

     
     
  • Toyota i-TRIL muncul – 3 tempat duduk, berat 600 kg

    Toyota i-TRIL muncul – 3 tempat duduk, berat 600 kg

    Selepas model i-ROAD, Toyota kini memperkenalkan sebuah lagi penggerak peribadi, iaitu i-TRIL di Geneva Motor Show. Ia adalah gambaran Toyota terhadap kenderaan bandar tahun 2030, yang juga boleh menjadi pengganti alternatif kepada kenderaan hatchback segmen A dan B yang biasa.

    Kereta ini direka dengan melihat kepada bandar bersaiz kecil hingga sederhana (SMESTO), dengan jumlah pemanduan gerak-henti yang tinggi, dan memerlukan sebuah kereta yang kecil, lincah dan mesra alam. Pelanggan sasarannya adalah ibu tunggal beranak dua yang berumur antara 30 hingga 50 tahun, dengan gaya hidup aktif.

    Memandangkan ia mempunyai tiga tempat duduk, i-TRIL lebih lebar berbanding i-ROAD yang mempunyai dua tempat duduk (satu di depan dan satu di belakang), dengan ukuran panjang 2,830 mm, tinggi 1,460 mm, jarak tayar hadapan 1,200 mm dan jarak tayar belakang 600 mm. Sama seperti i-ROAD, kereta ini condong untuk mengambil selekoh dan gandar belakangnya terasing daripada badan utama supaya dapat kekal sama dengan permukaan jalan.

    Toyota i-TRIL muncul – 3 tempat duduk, berat 600 kg

    Sudut condong kenderaan ini terhad kepada 10 darjah, dan menurut Toyota, ini meningkatkan stabiliti, cengkaman dan kepuasan memandu, dengan kurang risiko mabuk kenderaan. Sudut stereng pula adalah 25 darjah, seterusnya memberikan i-TRIL jarak membelk habis hanya empat meter, sama seperti iQ. Kuasa untuk kenderaan ini datang daripada motor elektrik yang diletakkan di belakang, dan mempunyai berat keseluruhan 600 kg. Toyota mensasarkan jarak pergerakannya untuk mencecah 200 km.

    Tiada pedal kaki pada kenderaan ini – sebaliknya, pecutan dan brek dapat dikawal dengan menggunakan sistem ride-by-wire. Sebagai sebuah kenderaan masa hadapan, ia juga boleh bergerak sendiri, dengan bahagian kiri dan kanan papan pemuka akan menyala mengikut arah selekoh yang akan diambil.

    Toyota i-TRIL muncul – 3 tempat duduk, berat 600 kg

    Pada bahagian depan, i-TRIL boleh dikenali dengan grafik lampu hadapan beralir, dan fender hadapan yang terasing itu menyimpan fungsi condong sewaktu selekohnya. Pada bahagian tepi, peralihan daripada cermin lutsinar menaikkan lagi bentuk dinamiknya, manakala bahagian belakang pula menampilkan lampu bersaiz penuh.

    Untuk masuk ke bahagian dalam, pengguna perlu melalui pintu yang dibuka ke atas, bersama sebahagian daripada lantainya. Tempat duduk pemandu utama di hadapan boleh berpusing 20 darjah ke kiri dan kanan untuk memudahkan pergerakan keluar masuk dan ia dibalut dengan Alcantara dan bentuk seperti pelindung. Lantai pula dibuat daripada kayu dan semua bahan lain boleh dikitar semula.

     
     
  • VW terokai kerjasama dengan Tata di India, menerusi Skoda – mahu menghasilkan produk lebih kompetitif

    VW terokai kerjasama dengan Tata di India, menerusi Skoda – mahu menghasilkan produk lebih kompetitif

    Volkswagen Group dan Tata Motors telah menandatangani memorandum sefahaman bagi menerokai kerjasama strategik jangka masa panjang di India. VW berkata, matlamat kerjasama antara dua pengeluar kereta ini bagi membangunkan komponen kenderaan, dan juga mungkin kenderaan konsep. Divisi Volkswagen, Skoda, akan mengetuai projek tersebut.

    Menurut VW lagi, langkah pertama adalah untuk menyemak semula pasaran spesifik termasuk kepakaran dalam pembangunan tempatan. Dalam jangka masa yang panjang, VW turut berharap dapat mengembangkan lagi portfolio produknya dalam pasaran yang pantas berkembang di India.

    “Sasaran kami menerusi perkongsian strategik bersama Tata Motors ini adalah meletakkan asas dalam kerjasama ini dan membolehkan kami menawarkan penyelesaian mobiliti yang beriorientasikan pelanggan dalam pasaran automotif yang pesat membangun ini. Dengan menawarkan produk yang bersesuaian, ia mampu mencapai pertumbuhan yang menguntungkan dan lebih mampan. Disebabkan itu secara sistematiknya, kami menjalankan strategi pertumbuhan serantau ini,” ujar CEO VW Matthias Muller.

    VW terokai kerjasama dengan Tata di India, menerusi Skoda – mahu menghasilkan produk lebih kompetitif

    “Kami percaya dengan kredibiliti kedua-dua syarikat, dengan kerjasama ini, ia mampu berkongsi kekuatan antara satu sama lain bagi membangunkan penyelesaian inovatif pintar ini untuk India dan pasaran luar negara. Malahan ia turut mendorong Tata Motors untuk menerokai teknologi baharu yang dicipta, memberikan penjimatan platform yang lebih tinggi dan menawarkan penyelesaian dengan aspirasi para pelanggan kami,” ujar Gunter Butschek, Pengarah Urusan dan CEO Tata Motors.

    Segala perincian bagi kerjasama ini akan dihuraikan lebih lanjut pada masa yang akan datang. Sehingga kini, kedua-dua belah pihak telah sepakat untuk tidak mendedahkan sebarang informasi.

     
     
  • PANDU UJI: Honda Civic 1.8S – boleh tahan!

    PANDU UJI: Honda Civic 1.8S – boleh tahan!

    Sejak mula diperkenalkan di Malaysia tahun lalu, Honda Civic generasi kesepuluh tidak perlu menunggu lama untuk menawan pasaran tempatan. Berdasarkan rekod, pasaran sedan segmen-C di Malaysia untuk tahun 2016 diungguli oleh Civic dengan mencatatkan 68% dalam bahagian pasaran – bermaksud sedan segmen-C dari jenama lain berkongsi 32% bahagian pasaran tempatan tahun lalu, dominasi secara total oleh Civic.

    Bukan itu sahaja, malah Civic FC ini juga jelas lebih berjaya dari generasi FB sebelum ini di mana ia mencatatkan peningkatan 165% berbanding rekod jualan tahun 2015, dicapai hanya selepas enam bulan dilancarkan. Satu perkara lagi yang menarik perhatian, dari keseluruhan Civic yang dijual, dua varian tertinggi yang menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dijual dengan jumlah yang lebih tinggi iaitu 63%, dan selebihnya adalah varian paling rendah 1.8S.

    Dengan statistik ini, tidak hairan mengapa model 1.5 TC lebih mudah untuk ditemui diatas jalan raya berbanding model 1.8S. Tetapi jika dilihat dari segi jarak harga, Honda Civic 1.8S jauh lebih murah dari model lebih premium, iaitu dijual pada harga atas jalan dengan insuran RM113,800, berbanding model pertengahan 1.5TC berharga RM127,800 (lebih RM14k lebih mahal) dan RM135,800 untuk 1.5TC-Premium (RM22k lebih mahal).

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • Honda City 2017 cecah 2k unit tempahan dalam 10 hari

    Honda City 2017 cecah 2k unit tempahan dalam 10 hari

    Baru sahaja dilancarkan pada 2 Mac lalu, Honda City 2017 telah mencatatkan tempahan sebanyak dua ribu unit (setakat ini). Secara tidak langsung telah meneruskan momentum jualan bagi Honda dan Honda Malaysia sendiri berkeyakinan ia mampu mencecah 100,000 unit tahun ini.

    Menurut Honda Malaysia lagi, varian V menjadi pilihan yang paling popular dan setakat ini menguasai 44% daripada tempahan, diikuti dengan varian E sebanyak 38%. Manakala varian S yang menggantikan model S+ pada model sebelum ini, merangkumi 18% tempahan secara keseluruhan. Malah warna yag paling banyak menjadi pilihan ialah Lunar Silver Metallic.

    “Kami sangat berbesar hati dengan penerimaan rakyat Malaysia terhadap satu lagi model baharu dari Honda Malaysia. Malah kami akan terus menunaikan janji kami untuk memberikan produk yang berkualiti dengan nilai yang terbaik untuk para pelanggan. Dalam masa yang sama, kami juga akan menyemak semula kapasiti kilang pengeluaran di Melaka bagi memenuhi jangkaan masa penghantaran,” ujar Pengurus Besar dan CEO Honda Malaysia, Katsuto Hayashi.

    Honda Malaysia juga akan memastikan semua pelanggan menerima City baharu ini tepat pada masanya dan buat masa ini masih terdapat stok untuk semua tempahan.

    Honda City 2017 cecah 2k unit tempahan dalam 10 hari

    City 2017 ini turut menerima suntikan imej yang lebih bergaya dengan kehadiran beberapa elemen baharu termasuk lampu utama, lampu nyalaan siang, lampu kabus hadapan dan lampu belakang LED serta Ducktail spoiler bersama lampu brek LED dan roda aloi dua-tona untuk varian V.

    Manakala varian S dan E dipadankan dengan lampu hadapan dan belakang halogen, lampu nyalaan siang LED dan roda aloi juga rekaan dua-tona baharu bersaiz 15-inci yang dibaluti tayar 175/65R15.

    Manakala Sistem keselamatan dan elektronik lain seperti ABS bersama EBD, Bantuan Brek (BA), Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan juga Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) masih dikekalkan untuk semua varian. Enam-beg udara turut kekal sebagai ciri untuk varian V sahaja (hanya dua untuk varian lain).

    Semua varian City 2017 ini turut menerima penarafan lima-bintang bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan empat-bintang untuk Perlindungan penumpang Kanak-kanak (COP) daripada ASEAN NCAP.

    Honda City 2017 cecah 2k unit tempahan dalam 10 hari

    Tiada perubahan mekanikal ditampilkan di mana City masih dijana enjin 1.5L SOHC i-VTEC empat-silinder berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT. City 2017 ini turut diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dan Honda mendakwa, ia menawarkan penjimatan bahan api luar biasa dengan anggaran 5.7 liter bagi setiap 100 km.

    Dalam masa yang sama, Honda Malaysia juga menganjurkan dua kempen sebagai penghargaan buat para pelanggan iaitu kempen “Masa Yang Terbaik Untuk Dapatkan Perlindungan Terbaik” yang menawarkan lapisan filem keselamatan, Ecotint RayBarries Splendour pada harga RM850, yang berlangsung sehingga 29 Mac ini.

    Selain itu, peraduan “Mencari Harta Karun Digital” juga dianjurkan, terbuka untuk semua rakyat Malaysia dari 16 sehingga 22 Mac 2017 ini, yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. Untuk mengambil bahagian, para pelanggan boleh berkunjung ke mana-mana bilik pameran Honda di seluruh negara untuk mengambil swafoto dengan kepingan jigsaw puzzle sebagai jawapan, dan hantarkan jawapan tersebut ke laman Facebook Honda Malaysia.

    Aktiviti ini adalah sebagai sebahagian penghargaan buat para pelanggan menerusi 3S semasa atau Promosi Terbaik dengan dua tahun servis percuma (alat ganti & buruh) atau rebat tunai (tertakluk pada terma & syarat). Promosi 3S ini bermula 1 Mac hingga 30 April 2017.

    Honda City 2017 Varian V

    Honda City 2017 Varian E Modulo

    Honda City 2017 Varian S

     
     
  • SsangYong XAVL Concept – off-road, 7-tempat duduk

    SsangYong XAVL Concept – off-road, 7-tempat duduk

    Bila ada pertunjukan automotif (motor show), selalunya SsyangYong akan memperkenalkan model konsep baharu. Untuk kali ini, pakar 4×4 Korea ini telah memperkenalkan SsangYong XAVL Concept bagi Geneva Mtor Show 2017. Model konsep SUV bersaiz besar ini tampil dengan “visi baharu bagi SUV jenama ini untuk masa hadapan.”

    “Saya berasa gembira memperkenalkan model konsep ini yang menggambarkan generasi masa akan datang bagi kenderaan buatan SsangYong. XAVL merupakan gambaran lanjut bagi model konsep XAV yang pernah kami pamerkan di Frankfurt Motor Show pada 2015. Model konsep ini memberikan gambaran mengenai warisan dan inspirasi rekaan dari model klasik dan ikonik Korando pada tahun 1990s,” ujar CEO SsangYong Johng-sik Choi.

    XAVL membawa maksud “eXciting Authentic Vehicle Long” – didatangkan dalam varian tujuh-tempat duduk individual (bentangan 2-3-2) dan disasarkan sebagai SUV saiz-sederhana yang turut menggabungkan keupayaan off-road dengan praktikaliti sebagai MPV. Tempat duduk barisan kedua dan ketiganya juga boleh dilipat dna dipisahkan.

    Enjinnya ditawarkan dengan pilihan petrol 1.5 liter pengecas turbo dan diesel 1.6 liter, bersama transmisi manual dan automatik enam-kelajuan. Ia juga tampil dengan kit keselamatan aktif termasuk AEB dan RCTA, namun SsangYong XAVL turut meletakkan beg udara di tengah antara tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, di samping beg udara luaran bagi pejalan kaki. Tetapi tidak dipastikan bagaimana ia akan berfungsi bagi model produksi.

    Model konsep asal XAV adalah lima-tempat duduk, jadi model produksi bagi XAV mungkin didatangkan dengan dua variasi, seperti mana model Tivoli dan Tivoli XLV. Memiliki kepanjangan 4,630 mm, XAVL adalah 440 mm lebih panjang berbanding model konsep XAV, dan jarak rodannya pula 175 mm lebih panjang menjadi 2,775 mm.

    XAVL turut menampilkan rekaan yang lebih moden berbanding tema retro bagi XAV-Adventure, dengan profil yang lebih langsing, permukaan yang lebih diperkemaskinikan, unit lampu utama dan lampu belakang yang tampak futuristik. Di bahagian dalamnya, kelihatan banyak sumber yang memberikan inspirasi. Seperti tombol gear seperti Jaguar, dan paparan ‘freestanding’ umpama BMW.

     
     
  • Tujuh pasukan dari Malaysia galas saingan dalam Shell Eco-marathon Asia 2017 – dalam dua kategori

    Tujuh pasukan dari Malaysia galas saingan dalam Shell Eco-marathon Asia 2017 – dalam dua kategori

    Bagi perlumbaan Shell Eco-marathon Asia 2017 (SEM) yang akan berlangsung 16 hingga 19 Mac ini, tujuh pasukan dari lima universiti tempatan akan menggalas cabaran diperingkat Asia. Universiti-universiti yang terlibat ialah Universiti Monash, Universiti Multimedia, Universiti Malaysa, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

    Saingan kali ini bakal menyaksikan 120 pelajar antaranya dari pasukan-pasukan dari Asia, Timur Tengah dan Australia yang akan berkampung di Singapura bagi acara berkenaan. Daripada tujuh pasukan Malaysia yang ikut serta, dua daripadanya akan bersaing di dalam kategori Urban Concept manakala lima lagi pasukan di dalam kategori Prototype. Secara keseluruhannya, pasukan-pasukan dari Malaysia ini akan dicabar oleh peserta dari 20 negara lain.

    Tujuh pasukan dari Malaysia galas saingan dalam Shell Eco-marathon Asia 2017 – dalam dua kategori

    SEM merupakan platform utama bagi golongan belia untuk membangun dan mempamerkan bakat mereka di dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan tenaga. Ia juga menjadi wadah bagi golongan muda rantau ini untuk menemukan cara baru untuk menyatakan idea mereka melalui pendekatan perniagaan kreatif, pemasaran dan komunikasi.

    Menurut Pengarah Teknikal SEM Asia, Colin Chin pula; “Acara ini memberikan ruang kepada bakat muda dari pelbagai negara untuk mereka cipta, membangunkan jentera cekap tenaga menggunakan pelbagai jenis tenaga seperti hidrogen, GTL dan bateri elektrik.” SEM Asia pertama kali diadakan pada tahun 2010 dengan Malaysia menjadi tuan rumah.

     
     
  • Projek landasan ECRL mula dibina Julai ini – waktu perjalanan KL-Kelantan lebih kurang empat jam

    Projek landasan ECRL mula dibina Julai ini – waktu perjalanan KL-Kelantan lebih kurang empat jam

    Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 km, iaitu projek di bawah Pelan Malaysia Ke-11 dijangka memulakan kerja pembinaannya pada Julai ini, jika tiada sebarang bantahan besar selepas tempoh tiga bulan butirannya dipamerkan kepada umum.

    Projek mega ini melibatkan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM55 bilion, merangkumi laluan sepanjang 600.3 kilometer bagi fasa pertama melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Laluan ECRL bermula di terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak akan berakhir di Wakaf Bharu, Kelantan, dengan 23 stesen perhentian di antaranya.

    Projek landasan ECRL mula dibina Julai ini – waktu perjalanan KL-Kelantan lebih kurang empat jam

    Pelan laluan asal ECRL

    Laluan ECRL bermula di terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak akan berakhir di Wakaf Bharu, Kelantan, dengan 23 stesen perhentian di antaranya. Kemudian fasa kedua akan dilaksanakan dan menghubungkannya sehingga ke Pelabuhan Klang. Kelajuan tren akan mencecah 160 kilometer sejam dan ia akan membawa penumpang serta kargo, menurut kenyataan yang dikeluarkan Maybank Investment Banking (Maybank IB), seperti mana yang disiarkan oleh Berita Harian.

    Menurut kenyataan tersebut itu lagi, kos keseluruhan projek turut melibatkan kos pembiayaan, selain kos pembinaan dan tanah. Bagi melaksanakan projek ini, satu pinjaman mudah bernilai AS$13 bilion berjaya diperoleh daripada Export-Import Bank of China.

    Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan laluan ECRL bermula di ITT Gombak akan berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat berbanding sebelum ini di Wakaf Bharu, Kelantan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026