Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Beetle dan Scirocco mungkin tiada model gantian selepas ini kerana kurangnya permintaan

    Volkswagen Beetle dan Scirocco mungkin tiada model gantian selepas ini kerana kurangnya permintaan

    Sebagai salah satu usaha untuk memulihkan syarikat setelah dirundung skandal Dieselgate, Volkswagen akan menghentikan penghasilan model-model yang kurang mendapat sambutan bagi mengurangkan kos operasi mereka. Perkara ini dilaporkan oleh Autocar dan dua model yang dilihat berpotensi untuk dihentikan adalah Beetle dan Scirocco.

    Ahli lembaga jenama Volkswagen, Arno Antlitz berkata kepada Autocar, “Beetle dan Scirocco mewakili kenderaan dari kelas yang beremosi dan menarik, tetapi [perancangan produk VW] bukan hanya berkisar untuk meneruskan sesebuah model dari generasi ke generasi.” Walau bagaimanapun, untuk Beetle hanya model hardtop dijangka akan dihentikan kerana versi convertible masih lagi mendapat permintaan dan ia satu-satunya model bumbung boleh buka yang masih dikekalkan setelah Golf Cabrio dihentikan pada tahun lalu.

    Volkswagen Beetle dan Scirocco mungkin tiada model gantian selepas ini kerana kurangnya permintaan

    Beetle merupakan antara model VW yang mempamerkan prestasi jualan lembab, hanya dijual sebanyak 25,127 unit untuk kedua-dua versi badan pada tahun 2016. Scirocco pula menununjukkan prestasi yang lebih lemah dengan jumlah hanya separuh dari Beetle iaitu hanya 10,752 unit pada 2016. Sebagai perbandingan, jualan Golf untuk Januari 2017 sahaja lebih banyak dari jumlah jualan gabungan untuk kedua-dua model berkenaan dalam tempoh setahun.

    Walaupun VW dilihat mengorbankan model-model ikonik dengan rekabentuk yang menarik demi untuk meneruskan operasinya, Antlitz menyatakan ini bukan bermakna Volkswagen hanya menawarkan model-model bosan selepas ini. Versi produksi dari siri model konsep elektrik ID dan juga model-model sedia ada seperti sedan mewah Arteon akan terus mengisi tempat yang ditinggalkan Beetle dan Scirocco.

     
     
  • MG XS – SUV kompak dengan rekaan biasa dilihat

    MG XS – SUV kompak dengan rekaan biasa dilihat

    MG telah mendedahkan kenderaan SUV kompak terbaru mereka yang digelar MG XS, dan kita boleh melihat ia menggunakan gaya seperti Mazda CX-5 atau CX-3. Tapi sebenarnya, ada juga lagi konsep rekaan daripada SUV jenama lain pada MG XS.

    MG berkata bahawa model ini, yang dipertontonkan di London Motor Show menampilkan teknologi terkini pada pemanduanm sistem informasi dan hiburan, serta rekaan kenderaan generasi hadapan. Ia juga memberi petunjuk kepada ‘barisan model ikonik MG’ pada masa hadapan.

    MG XS juga dipanggil sebagai ZS di China, dan ia adalah pesaing kepada Nissan Juke dan lebih kecil berbanding MG GS. Dua pilihan enjin dan dua transmisi (AT/MT) disediakan pada kenderaan ini sebaik ia ia tiba di pusat pameran di United Kingdom hujung tahun ini.

    MG XS – SUV kompak dengan rekaan biasa dilihat

    “MG XS akan memberikan suasana baru dalam pasaran SUV kompak. Maksud di sebalik nama ini adalah S untuk SUV dan X untuk ekstra. Ia menampilkan teknologi pemanduan canggih dan rekaan yang inovatif, dan akan menjadi terkenal berdasarkan reputasi serta kemampuannya, selain harga yang mampu milik,” kata ketuga bahagian jualan dan pemasaran MG UK.

    Pembeli di UK sudah boleh menempah awal sesi pandu uji, tetapi spesifikasi, varian serta harganya masih belum diumumkan. Sekurang-kurangnya, model MG GS, yang turut dipasarkan di Thailand mempunyai rekaan yang lebih asli berbanding XS ini.

     
     
  • Penggunaan ‘rear wing’ pada kenderaan – adakah ia dibolehkan atau tidak? Ini apa yang anda perlu tahu

    Penggunaan ‘rear wing’ pada kenderaan – adakah ia dibolehkan atau tidak? Ini apa yang anda perlu tahu

    Tentunya anda pernah melihat kenderaan yang lengkap dengan bahagian sayap belakang (rear wing) atau spoiler besar, seperti yang kebiasaannya dilihat pada jentera-jentera lumba di litar. Contoh paling umum dan mudah ialah seperti yang ada pada jentera F1 – sayap belakang yang besar.

    Apa tujuan penggunaannya? Secara ringkas, sayap belakang ini bertujuan untuk mendapatkan apa yang dipanggil downforce. Ia semacam satu bentuk daya, atau tekanan, yang dihasilkan daripada aliran udara – yang dialih atau dialirkan oleh sayap berkenaan.

    Ini membolehkan kereta yang dipandu mencapai tahap cengkaman tayar dan kestabilan yang lebih baik – dalam bahasa mudah, kereta akan lebih “melekat” ke permukaan jalan. Dengan terhasilnya downforce, kenderaan seperti memperoleh lebih banyak “beban” di atasnya, tanpa perlu mengerah atau memaksa enjin untuk bekerja lebih keras.

    Penggunaan ‘rear wing’ pada kenderaan – adakah ia dibolehkan atau tidak? Ini apa yang anda perlu tahu

    Kesannya, pada jalan lurus, ia banyak membantu pemanduan dan memberikan kestabilan. Namun, diselekoh adalah tempat di mana downforce ini benar-benar memainkan banyak peranan terhadap pemanduan kenderaan serta cengkaman pada tayar. Apa yang ia lakukan adalah membolehkan pemandu memasuki selekoh lebih laju dengan yakin dan dalam masa yang sama mengurangkan risiko kenderaan hilang kawalan.

    Secara ringkasnya, ia membantu mempertingkat aspek aerodinamik kenderaan – ini fungsi sayap belakang, sekiranya dipasang dengan betul dan diuji hasilnya bagi tujuan perlumbaan. Namun, anda tentu pernah juga melihatnya tidak hanya dilitar; banyak juga kenderaan yang dimodifikasi menggunakan sayap belakang ini, seperti yang dapat kita lihat di jalan raya Malaysia. Adakah ini dibolehkan?

    Menurut Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib, dari segi undang-undang, JPJ tiada masalah dengan kenderaan yang menggunakan sayap belakang ini. “Tetapi, dengan syarat sayap berkenaan tidak terlalu ketara melebihi saiz badan kenderaan yang digunakan itu,” ujarnya.

    Penggunaan ‘rear wing’ pada kenderaan – adakah ia dibolehkan atau tidak? Ini apa yang anda perlu tahu

    Apa ukuran yang digunakan untuk menentukan hal ini? Pemilik kenderaan dibenarkan untuk menggunakan sayap berkenaan dengan ukuran tiga inci di sebelah kanan dan tiga inci di sebelah kiri bagi kelebarannya yang melebihi badan kenderaan. “Bagi ketinggian sayap itu pula, maksimum ukuran yang dibenarkan ialah enam inci dari ketinggian bumbung,” tambah beliau.

    “Mengapa ini dibenarkan? Tujuan penggunaan sayap belakang ini adalah untuk mendapatkan downforce yang boleh membantu pemandu untuk mengendalikan kenderaan dengan lebih baik ketika di selekoh serta turut membantu daya membrek kenderaan. Ia bukannya untuk tujuan kosmetik semata-mata,” jelas beliau.

    Oleh kerana pengubahsuaian itu tidak melibatkan hal-hal kejuruteraan kenderaan, dan sebaliknya memberikan tahap aerodinamik yang lebih baik, maka JPJ tiada apa-apa halangan. Tetapi, itu sekiranya kita mengambil kira sayap belakang yang digunakan itu direka dan dipasang dengan cara yang sepatutnya, untuk mendapatkan fungsi yang dinyatakan.

    Penggunaan ‘rear wing’ pada kenderaan – adakah ia dibolehkan atau tidak? Ini apa yang anda perlu tahu

    “Masalahnya, sepanjang pemerhatian saya sendiri, di Malaysia ini ramai di antara mereka yang menggunakan sayap belakang ini adalah untuk tujuan hiasan semata-mata. Banyak juga yang menggunakan rekaan dan pemasangan sayap belakang yang salah; sayap berkenaan akhirnya menjadi penampan angin dan tidak berfungsi seperti sepatutnya dan merugikan prestasi kenderaan mereka sendiri,” tambah beliau.

    Jadi, jelas bahawa penggunaan sayap belakang pada kenderaan adalah dibolehkan selagi pemilik kenderaan mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selagi anda mematuhinya, tiada masalah. Ikuti juga laporan kami berkaitan maklumbalas dari pihak JPJ sendiri berkaitan isu-isu seperti penggunaan lampu HID, pelekat badan kenderaan dan tayar kangkang.

     
     
  • Malaysia Speed Festival (MSF) MegaLap Time Attack Series 2017 – pusingan pertama di Sepang 20 Mei

    Malaysia Speed Festival (MSF) MegaLap Time Attack Series 2017 – pusingan pertama di Sepang 20 Mei

    Pusingan ketiga Malaysia Speed Festival (MSF) akan berlangsung di Litar Sepang 21 Mei ini, tetapi pada hari sebelumnya akan terdapat satu acara catatan masa terpantas MSF MegaLap Time Attack Series, pusingan pertama. Dalam pusingan ini, anda akan dapat menyaksikan kereta jalanan ubah suai terpantas cuba mencatat masa terbaik dalam satu pusingan flying lap.

    Antara yang akan bersaing adalah Mercedes-Benz A 45 AMG yang disiapkan oleh AHM Technik dan dipandu oleh Alif Hamdan, dan beliau akan cuba mencatat masa di bawah 2 minit 30 saat. “Kami pernah melakukan 2 minit 34 saat dalam satu pusingan semasa perlumbaan MSF pusingan kedua bulan lalu menggunakan tayar street, tetapi dengan menggunakan tayar slick, mengikut data, masa 2 minit 29 saat mungkin boleh dicatat,” kata Alif.

    Walaubagaimanapun, penampilan Mitsubishi Lancer Evolution VI yang diubah suai secara ekstrem milik Alif diberi nama Blue Arrow tidak dapat disaksikan kerana perubahan besar perlu dilakukan selepas ujian terakhir yang dilakukan di Sepang bulan lalu. Kereta ini terkenal setelah mencatat masa kedua terpantas dalam kategori Open semasa World Time Attack Challenge 2012.

    “Kami hampa tidak dapat membawanya untuk pusingan kali ini memandangkan kami berharap dapat mencatat rekod pusingan Sepang menggunakan kereta saloon jalanan. Untuk pusingan akhir Disember nanti, kami pasti membawanya!” tambah Alif.

    Malaysia Speed Festival (MSF) MegaLap Time Attack Series 2017 – pusingan pertama di Sepang 20 Mei

    Selain jentera trek bertaraf tinggi, MegaLap Time Attack juga akan melibatkan saingan kenderaan berkuasa lebih rendah, dengan terdapat kategori untuk kapasiti enjin tidak melebihi 1,600 cc (masa pusingan dijangka bawah 2 minit 40 saat), serta kategori kenderaan berenjin bawah 2,000 cc tetapi menggunakan transmisi automatik dan CVT.

    Pada hari itu juga perjumpaan Retro Havoc akan diadakan, bersama jamuan barbeku. Retro Havoc adalah antara perkumpulan kereta kustom dan retro terbesar di Malaysia dan ia akan berlangsung dari tengahari sehingga malam.

    Peserta boleh mendaftar untuk MegaLap Time Attack melalui laman rasmi MSF Racing, manakala tiket untuk penonton pula adalah RM20. Untuk menyertai perkumpulan Retro Havoc dan makan malam barbeku, yuran RM30 dikenakan. Maklumat lanjut boleh didapati di laman MegaLap Time Attack.

     
     
  • Peugeot 308 facelift didedahkan dengan enjin baharu

    Peugeot 308 facelift didedahkan dengan enjin baharu

    Peugeot 308 kini diberikan facelift, dan ia melibatkan sedikit perubahan pada versi hathback serta wagon SW model ini. Jika dibandingkan dengan model 2014 sebelum ini, 308 facelift menggunakan bonet baru, bagi menjadikan ia serasi dengan gril mendatar baru, bersama logo singa di tengah dan nama Peugeot. Bahagian bampar dibentukkan semula menjadi lebih agresif dan rupanya kini menghampiri 308 Sedan yang diperkenalkan di China.

    Pada bahagian dalam pula, i-Cockpit yang digunakan termasuk ciri ‘Mirror Screen‘, yang dapat memaparkan apa yang keluar di telefon anda dan boleh digunakan bersama MirrorLink, Android Auto dan Apple CarPlay. Navigasi 3D baru dengan kawalan suara pada kenderaan ini disambungkan dengan servis pemantauan trafik semasa TomTom. Ciri Visiopark 1 bersama kamera 180 darjah dan fungsi Park Assist pula memberi bantuan mengukur ruang dan menghalakan kenderaan ke dalam petak letak kereta.

    Sistem bantuan pemandu paling maju yang dilihat pada 3008 baru juga kini boleh didapati pada 308 facelift. Ini termasuk Active Safety Brake dan Active Lane Deperture Warning. 308 facelift adalah model pertama PSA Group yang menerima fungsi cruise control bersama ciri brek (pada transmisi automatik), atau fungsi 30 km/j untuk model manual.

    Peugeot 308 facelift didedahkan dengan enjin baharu

    Peugeot juga telah mengambil peluang ini untuk memperkenalkan enjin baru untuk model yang bersaing dengan Volkswagen Golf ini. Pelanggan di Eropah boleh memberi sama ada kenderaan yang dipacu enjin BlueHDi 130 S&S atauBlueHDi 180 S&S yang dipadankan dengan transmisi automati lapan kelajuan.

    Enjin diesel BlueHDi 130 S&S ini muncul buat pertama kali pada 308 facelift, dan kecekapan pembakarannya telah dipertingkat, seperti yang pernah dibuktikan dalam perlumbaan Le Mans 24 Hours. Kelebihan lain yang diperoleh pada enjin ini adalah lebih mesra alam.

    Enjin tiga silinder petrol pula telah dinaik taraf, dengan pengawal emisi pada sumber serta ekzos untuk penggunaan bahan api lebih baik dan pengurangan pencemaran. Pengawal suntikan berketepatan tinggi yang digunakan pula meningkatkan lagi kecekapan pembakaran, dan asap ekzos melalui catalytic converter kemudiannya penapis partikel. Kotak gear enam kelajuan baru dipadankan bersama enjin ini.

     
     
  • TuneD tawar kit naik taraf Saga, Preve dan Persona – harga bermula RM5,000, aerodinamik turut diuji

    TuneD tawar kit naik taraf Saga, Preve dan Persona – harga bermula RM5,000, aerodinamik turut diuji

    Mungkin ramai yang masih belum mengenali TuneD, iaitu satu jenama aksesori kenderaan tempatan yang sebelum ini pernah tampil di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2013, dan menampilkan kerja mereka pada sebuah Preve. Itu hanyalah satu prototaip, tetapi kini, produknya sudah sedia untuk jualan umum.

    Sebagai permulaan, TuneD menyediakan kit badan dan dalaman untuk tiga model Proton iaitu Preve, Saga dan Persona, dalam tiga pakej untuk setiap model iaitu Standard, Executive dan Premium, dengan harga yang bermula pada RM5,000. Harga ini adalah untuk pakej asas yang merangkumi bampar hadapan dan belakang, lampu siang LED, gril, side skirt, antena shark fin dan cat warna merah khas TuneD yang digelar Fierce Red.

    Dalam pakej Executive pula, selain barangan pada pakej Standard tadi, ia turut ditambah dengan lampu LED hiasan, tempat duduk kulit depan dan belakang, trim pintu dan lapik di dalam bahagian but untuk semua model, tetapi bagi Saga, ia ditambah dengan lapik penyerap bunyi di bahagian hud depan.

    Melalui pakej Premium pula, pembeli akan menerima rim TuneD – 16 inci untuk Saga dan Persona, dan 17 inci bagi Preve, bersama tayar, dan untuk Saga, ia ditambah lagi dengan sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin.

    Bagi yang tertanya kenapa harganya sebegitu, produk TuneD sebenarnya dihasilkan dari awal, bermula dari rekaan asal tersendiri sehinggalah ke produk akhir oleh warga tempatan, dan melalui pelbagai proses pembangunan termasuk ujian aerodinamik. Ujian ini walaubagaimanapun dilakukan secara virtual dan bukannya di dalam terowong angin.

    TuneD juga menjamin, produk mereka ini boleh dipasang secara kemas, bermaksud semua tapak skru dan klip asal masih boleh digunakan, tiada jurang pada setiap penjuru dan ia tidak akan mengganggu prestasi kenderaan.

    Kit naik taraf TuneD ini bukan sekadar datang sebagai satu produk, tetapi juga siap dengan servis pemasangan bagi memastikan ekslusivitinya. Mereka juga tidak akan menjualnya bagitu sahaja untuk dibawa pulang dan dipasang sendiri. Apabila pemilik sah membelinya, wakil TuneD akan datang mengambil kereta anda, dan ia akan dipasang sendiri oleh pekerja TuneD sehingga siap, dan ini dijangka mengambil masa sekitar dua minggu termasuk cat keseluruhan badan.

    Kit badan yang digelar sebagai edisi pertama ini hanya akan dikeluarkan sekitar 500 unit sahaja, dan selepas itu, TuneD akan membangunkan rekaan baru, bagi memastikan produk mereka sentiasa segar dalam pasaran.

    Bagi yang tertanya latar belakang TuneD, ia sebenarnya adalah satu jenama tempatan yang disokong oleh sebuah syarikat teknologi dan inovasi (juga tempatan) yang sudah beroperasi lebih 10 tahun. Dalam TuneD sendiri terdapat 150 jurutera pelbagai bidang, dan kebanyakan mereka mendapat latihan terus di Jepun untuk penghasilan kit kenderaan seperti ini dengan betul.

    Tidak cukup dengan itu, TuneD juga menggunakan khidmat penasihat pakar dalam bidang ini, termasuk salah seorang daripadanya adalah bekas presiden Nismo, yang sudah bekerja dengan Nissan lebih 35 tahun iaitu Yuichi Sanada dan pakar NVH (noise, vibration and harshness) juga bekas pekerja Nissan iaitu Koichi Osumi.

    Untuk fasa awal ini, TuneD ingin fokus kepada produk kenderaan Proton terlebih dahulu, diikuti dengan Perodua, dan kemudiannya mungkinlah baru menghasilkan produk untuk kenderaan jenama lain. Selain kit badan dan dalaman, TuneD juga sedang membangunkan pelbagai lagi barangan naik taraf kenderaan termasuk peralatan elektronik seperti meter digital dan sistem hiburan, enjin serta pengendalian.

    GALERI: Persona TuneD

    GALERI: Saga TuneD

    GALERI: Preve TuneD

     
     
  • VIDEO: Tinjauan terhadap VW Polo generasi ke-enam

    Volkswagen sedang bersedia untuk melancarkan Polo terbaru. Setakat ini, sudah lima generasi model berkenaan diperkenalkan, sejak generasi pertamanya pada tahun 1975. Sejak itu, syarikat itu telah menjual sebanyak 14 juta unit hatchback kompak berkenaan, yang selalu dibayangi oleh “abang”nya – Golf.

    Generasi ke-enam Golf “kecil” ini direncana untuk diperkenalkan tahun ini. Pandu uji prototaipnya sudah pun dijalankan di Afrika Selatan, melibatkan beberapa media terpilih. Mungkin dari acara itulah video ringkas ini dirakam.

    Polo terbaru ini dibangun menggunakan platform MQB A0, yang pertama kali digunakan pada model Seat Ibiza. Seperti yang mungkin anda sedar, versi generasi terbaru ini lebih besar berbanding model generasi kelima kini.

    Memiliki 4,053 mm panjang dan 1,751 mm lebar, Polo baru ini 81 mm lebih panjang dan 69 mm lebih lebar dari yang terdahulu. Keluasan ruang kabin tentunya mendapa manfaat daripada perkara ini, dengan pertambahan jarak antara roda sebanyak 94 mm – dari 2,470 mm kepada 2,564 mm. Ketinggian bagaimanapun berkurangan sebanyak 97 mm kepada 1,446 mm.

    Hatchback segmen B dari Volkswagen ini akan menggunakan enji TSI dan TDI, begitu juga dengan barisan enjin dengan piawaian Euro 6. Ketika diumumkan pada Februari lalu, model Seat Ibiza hadir dengan enjin tiga-silinder 1.0 TSI dengan 95 PS atau 115 PS kuasa, dan disertai oleh enjin empat-silinder baru EVO 1.5 TSI dengan 150 PS dalam tahun ini.

    Bagi enjin diesel pula, 1.6 TDI hadir dengan janaan 80 PS atau 95 PS. Kotak gear 5MT, 6MT dan DSG7 turut akan ditawarkan sebagai pilihan. Satu lagi model pesaing Polo ini yang akan muncul tahun ini juga ialah Ford Fiesta. Sama-sama kita nantikan.

     
     
  • Malaysia catat pengguna Waze lima tertinggi di dunia

    Malaysia catat pengguna Waze lima tertinggi di dunia

    Malaysia mencatatkan jumlah pengguna aplikasi Waze tertinggi di Asia Tenggara. Bukan itu sahaja; diperingkat global juga kita berada dikelompok lima teratas, seperti dilaporkan The Star.

    Sebagai perbandingan, Kuala Lumpur mempunyai 2.5 juta pengguna Waze yang aktif. Ini mengatasi pengguna yang direkodkan di Jakarta iaitu sebanyak 2 juta, dan Manila dengan hanya 1.5 juta orang. Di Malaysia, pengguna paling ramai terumpu di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

    Dengan kadar penggunaan yang tinggi ini, Waze melalui program Connected Citizens kini mencari rakan kongsi dari pihak kerajaan di sni untuk berkongsi data trafik yang terkumpul supaya pengguna dapat memendekkan masa mereka ketika di atas jalan raya.

    Mereka ketika ini sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor untuk membolehkan pengguna melaporkan aduan jalan berlubang, yang kemudian akan disalurkan kepada majlis penguatkuasaan tempatan untuk tindakan lanjut.

    Malaysia catat pengguna Waze lima tertinggi di dunia

    Menurut Pengurus Kerjasama Strategik Global Waze, Mona Weng, data yang dimaksudkan termasuk penutupan jalan terancang disebabkan acara besar atau pembinaan, serta pengalihan laluan masa nyata di kawasan berlaku kemalangan atau kecemasan.

    Data yang ada pada Waze boleh digunakan sebagai panduan kepada pengguna, memastikan perjalanan yang lebih singkat dan lancar. Beliau berkata, Waze mempunyai lebih daripada 250 rakan kerjasama seluruh dunia dan berharap untuk mendapatkan 10 lagi pihak yang berminat di Asia dalam tempoh beberapa bulan ini.

    Selain itu, Waze juga berhasrat untuk menjalankan ujian di Malaysia, sama seperti yang telah dilakukan di Jakarta di manakenderaan dialihkan laluannya ketika waktu puncak mengikut nombor pendaftaran. Pemerhatian itu mendapatu masa perjalanan menurun sebanyak 19%.

     
     
  • Karnival Toyota GO 2017 – tujuh lokasi sepanjang Mei

    Karnival Toyota GO 2017 – tujuh lokasi sepanjang Mei

    OLYMPUS DIGITAL CAMERA

    Karnival Toyota GO 2017, yang memulakan siri jelajahnya bulan lalu, akan diteruskan sepanjang Mei. Bulan ini, ia akan berada di tujuh lokasi seluruh negara, termasuk tiga lokasi di Sarawak.

    Pengunjung berpeluang untuk mendekati semua model semasa bagi kereta penumpang, SUV, trak pikap serta MPV keluaran Toyota. Ini termasuk sesi pandu uji yang turut disediakan. Acara berkenaan turut akan menjadi pusat sehenti bagi semua pelanggan sedia ada serta pelanggan baru jenama itu.

    Wakil penasihat mereka akan berada di lokasi untuk memberikan maklumat serta pakej pembiayaan bagi pinjaman kenderaan, sementara anak syarikat UMW Toyota Motor, TopMark akan menampilkan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti dari Toyota serta penilaian bagi urusan trade-in kenderaan.

    Karnival Toyota GO 2017 – tujuh lokasi sepanjang Mei

    Pemilik kenderaan Toyota sedia ada pula berpeluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkhidmatan lain yang ada disediakan oleh syarikat. Ini termasuk pakej CarePlus bagi keperluan servis kenderaan, serta perkhidmatan mengecat semula dan baik pulih profesional yang ada ditawarkan oleh Toyota di Malaysia.

    Siri jelajah ini juga menempatkan seksyen khas bagi Kempen Perkhidmatan Istimewa, di mana pemilik boleh membuat pemeriksaan terhadap status beg udara kenderaan mereka. Sekiranya memerlukan penggantian inflator bagi sistem Takata, ia boleh dilakukan di lokasi.

    Siri jelajah ini juga akan mempamerkan perlumbaan one-make akan datang, Toyota Vios Challenge, yang akan bermula Ogos nanti. Di lokasi Semenanjung, jentera lumba Vios berkenaan akan turut dipamerkan. Di lokasi terpilih pula, selebriti yang turut sama di dalam festival Toyota Gazoo Racing (TGR) turut akan membuat penampilan.

     
     
  • Honda beri hadiah rahsia yang disorokkan untuk pembeli Civic generasi ke-10 pasaran Amerika Syarikat

    Honda beri hadiah rahsia yang disorokkan untuk pembeli Civic generasi ke-10 pasaran Amerika Syarikat

    Tanpa diketahui, Honda Amerika telah menghadiah sesuatu yang istimewa kepada pembeli-pembeli model Civic generasi baharu pada pasaran berkenaan – berupa karya seni menampilkan jentera-jentera lagenda warisan sejarah Honda. Menurut laporan Car and Driver, hasil seni berkenaan dicetak di bahagian bawah pelapik ruang storan konsol tengah Civic sedan dan coupe untuk varian EX keatas, terdapat dalam empat versi berbeza.

    Rekaan pertama memaparkan jentera Formula 1 Honda RA106 2006, Honda S800 GT-1 1986 yang telah memenangi perlumbaan endurance, jentera perlumbaan MotoGP RC213 serta pesawat Honda Jet.

    Artwork kedua pula menampilkan jentera Formula Satu McLaren Honda MP4/4 yang dikuasakan oleh enjin Honda RA168-E V6 1.5 liter turbo. Kereta F1 ikonik ini dipandu lagenda Brazil Ayrton Senna dan Alain Prost berkenaan merupakan jentera F1 paling dominan dalam sejarah dengan memenangi semua perlumbaan kecuali satu dan semua pole position kecuali satu pada musim 1988.

    Honda beri hadiah rahsia yang disorokkan untuk pembeli Civic generasi ke-10 pasaran Amerika Syarikat

    Turut tampil pada gambar ini ialah motosikal perlumbaan RC166 dengan enjin enam-silinder empat-lejang DOHC 249 cc penyejuk udara. Motosikal perlumbaan ini ditunggang oleh Mike Hailwood yang memenangi kesemua 10 perlumbaan pada kejohanan dunia 1966, serta mempertahankan kejuaraannya untuk musim 1967 dan juga 1968.

    Siri ketiga hadiah misteri ini pula menampilkan imej motosikal perlumbaan Honda NS500 yang dijana enjin dua-lejang tiga-silinder, yang ditunggang Freddie Spencer ketika dinobatkan sebagai juara dunia 500 GP buat kali pertama pada tahun 1983. Asimo atau Advanced Step in Innovative Mobility iaitu robot yang boleh bergerak seperti manusia rekaan dan dibina sendiri oleh Honda turut tampil di sini.

    Untuk rekaan terakhir pula, ia menampilkan sebuah jentera bukan binaan Honda iaitu Curtiss Special. Kereta berkenaan tampil di sini kerana ia dipandu sendiri oleh pengasas Honda, Soichiro Honda, dan beliau juga bertindak sebagai mekanik pada kejuaraan Japan Motorcar kelima pada tahun 1924, serta turut memenangi perlumbaan tersebut.

    Selain dari Curtiss Special, jentera Formula 1 pertama Honda yang memenangi perlumbaan (GP Mexico 1965) – RA272 – yang dipandu Richie Ginter turut ditampilkan.

    Honda amat berbangga dengan warisan sejarahnya yang membentuk motto syarikat ‘The Power of Dreams’, di mana segalanya bermula dari mimpi dan juga minat yang mendalam pengasasnya dalam dunia automotif dan perlumbaan. Ini bukan pertama kali semua jentera-jentera ini diketengahkan, malah banyak lagi video-video promosi Honda yang menonjolkan warisan sejarah ini.

     
     
  • SPYSHOT: BMW 1 Series hatchback generasi baharu diasaskan dari platform UKL, memacu roda hadapan

    SPYSHOT: BMW 1 Series <em>hatchback</em> generasi baharu diasaskan dari platform UKL, memacu roda hadapan

    BMW 1 Series generasi baharu dilihat sedang diuji diatas jalan raya. Tidak seperti model terdahulu dengan bentangan enjin hadapan pacuan belakang (FR), model baharu ini dibina berasaskan platform UKL pacuan hadapan (FF), sama seperti model 2 Series Active Tourer, 2 Series Gran Tourer, dan juga barisan model-model MINI.

    Dengan penggunaan platform UKL ini, ianya pasti bakal memberikan lebih ruang pada kabin, terutamanya pada bahagian belakang – untuk penumpang dan juga ruang kargo. Untuk unit yang sedang di uji ini, ia mungkin dari varian tertinggi M140i kerana menampilkan dua tip ekzos. M140i juga dijangka diberikan sistem pacuan semua roda xDrive, yang bakal membawanya bersaing dengan Volkswagen Golf R dan juga Ford Focus RS.

    SPYSHOT: BMW 1 Series <em>hatchback</em> generasi baharu diasaskan dari platform UKL, memacu roda hadapan

    Barisan model 1 Series baharu ini mungkin akan menampilkan enjin-enjin tiga- dan empat silinder BMW yang disuap dengan petrol dan juga diesel. Dengan model lain yang menggunakan platform UKL sudah pun diberikan varian plug-in hybrid seperti 225xe Active Tourer dan Mini Countryman, 1 Series baharu ini tidak mustahil bakal ditawarkan dengan pilihan teknologi yang sama. Bukan itu sahaja, malah 1 Series elektrik sepenuhnya juga dijangka bakal ditampilkan.

    Desas-desus yang tersebar mengatakan model generasi baharu ini bakal hadir dengan bentuk badan hatchback lima-pintu sahaja, berbanding model sedia ada yang boleh dipilih dalam versi tiga-pintu. Walau bagaimanapun, model baharu ini bukan 1 Series pertama menggunakan konfigurasi FF, kerana sebelum ini pengeluar dari Jerman berkenaan telahpun melancarkan 1 Series sedan pacuan hadapan yang dibina eksklusif bagi pasaran China.

     
     
  • SPYSHOT: Mitsubishi XM versi produksi di Indonesia

    SPYSHOT: Mitsubishi XM versi produksi di Indonesia

    Mitsubishi XM dikhabarkan telah sah bakal diproduksikan tidak lama lagi, dan dijangka akan dilancarkan pada tahun ini juga. Ia dikatakan memiliki ketangkasan umpama sebuah SUV dengan kepelbagaian penggunaan sebuah MPV. Berkemungkinan besar ia bakal menjadi cerminan kepada penawaran MPV peringkat rendah yang sangat popular di Indonesia, antaranya melalui model-model seperti Toyota Avanza (dan juga Daihatsu Xenia), Suzuki Ertiga dan Honda Mobilio.

    Bagi model konsep tersebut, ia ditampilkan dengan reka bentuk bahagian depan Dynamic Shield baharu, bersama lampu utama tirus yang dipadankan dengan rekaan gril hitam yang besar. Bahagian lengkungan tayarnya yang timbul, serta garis sisi badan yang ketara nampak mirip sebuah SUV. Namun, reka bentuk di bahagian atas, dengan D-pillar yang tidak ketara, memberikannya imej sebuah MPV.

    Spyshot ini dipaparkan di laman web di Indonesia, dikesan sedang diuji di Bandung. Difahamkan, model produksi XM (atau mungkin akan menerima nama yang lain), tidak akan tampil dramatik seperti model konsep. Mitsubishi menjanjikan sedikit perbezaan daripada segi penggayaannya bagi model produksi, berbanding dengan model konsep yang dipertontonkan pada tahun lalu di GIIAS 2016.

    Ia mungkin akan ditampilkan dengan lampu utama yang lebih langsing dan bampar yang kurang persegi. Walau bagaimana pun, bahagian hadapan dan garisan sisinya mungkin akan dikekalkan, tetapi tidak begitu menonjol berbanding yang diserlah menerusi model konsep.

    SPYSHOT: Mitsubishi XM versi produksi di Indonesia

    Sejak kebelakangan ini, Mitsubishi ternyata berusaha keras untuk memantapkan lagi rekaannya (lihat sahaja pada Pajero Sport terbaharu), dan memungkinkan XM ini mampu menggegar pasaran di bawah segmennya dengan imej yang lebih berketerampilan.

    XM ini akan diproduksi di kilang baharu MMC di Bekasi, yang telah mula memproduksi Pajero Sport. Kilang bernilai US$565 juta ini telah pun dilancarkan minggu lalu oleh Presiden Indonesia Joko Widodo, dengan dihadiri oleh pengerusi baharu MMC Carlos Ghosn dan CEO Osamu Masuko.

    GALERI: Mitsubishi XM di Concept IIMS 2017

    GALERI: Foto rasmi Mitsubishi XM Concept

     
     
  • Furion M1 – Motosikal konsep dengan enjin wankel rotary bersama sistem hibrid motor elektrik

    Furion M1 – Motosikal konsep dengan enjin wankel rotary bersama sistem hibrid motor elektrik

    Enjin Wankel Rotary – jika disebut pastinya imej kereta-kereta sport siri RX keluaran Mazda akan terlintas di kepala. Namun, enjin jenis ini sebenarnya juga pernah digunakan pada motosikal. Suzuki misalnya, pernah menghasilkan motosikal rotary yang diproduksi secara besar-besaran pada pertengahan era 70’an dahulu dengan mdel RE5. Begitu juga dengan Norton yang pernah menghasilkan model Commander dan F1 dijana enjin wankel dengan dua rotor.

    Terbaharu, Furion iaitu syarikat pembina motosikal dari Perancis sedang membangunkan motosikal dengan enjin rotary digelar M1. Bukan sahaja enjin rotary yang menarik perhatian, malah M1 juga bakal menerima sistem hibrid yang akan menggabungkan penggunaan motor elektrik.

    Seperti yang diketahui, enjin rotary terkenal kebolehannya menghasilkan kuasa yang besar dengan hanya memerlukan kapasiti yang kecil. Tetapi dengan undang-undang emisi yang ketat pada masa sekarang (punca utama matinya generasi kereta sport rotary Mazda untuk masa hadapan) dan juga enjin omboh konvensional yang kini mampu menghasilkan sekitar 120 hp dengan hanya 600 cc, menyebabkan enjin rotary tidak relevan untuk diketengahkan lagi.

    Jadi, sesuatu perlu dilakukan Furion untuk menjadikan motosikal konsep ini berjaya. Enjin Wankel dua rotor dengan kapasiti keseluruhan 654 cc (327 cc x 2) pada M1 ini mampu menjana 125 hp pada takat 9,000 rpm dan tork maksima 105 Nm pada takat 6,000 rpm. Enjin berkenaan digabungkan bersama motor elektrik berkuasa 55 hp/100 Nm yang disuap oleh bateri lithium-sulfur, menjadikan kuasa keseluruhan dihasilkan ialah 180 hp/205 Nm.

    Furion turut mendakwa motosikal ini ditimbang hanya dengan berat basah 209 kg. Enjin rotary berkenaan diletakkan pada kerangka trellis, dan apa yang menarik, ia ditempatkan pada kedudukan rendah bahagian separuh hadapan casis tersebut.

    Pada bahagian hadapan, M1 diberikan ‘fork terbalik’ berdiameter 43 mm, dan boleh dilaras sepenuhnya. Manakala pada bahagian pula, ia diberikan suspensi monoshock dengan kedudukan mendatar, serta talaan preload dan rebound yang boleh dilaras. Motosikal ini diberikan tangki bahan api berkapasiti 16-liter, dan tempat duduk diletakkan pada ketinggian 810 mm.

    Menurut Furion, M1 mampu ditunggang pada jarak 400 km dengan satu isian penuh tangki, yang dilihat agak jauh jika dibandingkan dengan motosikal sport biasa. Buat masa sekarang, Furion M1 masih lagi hanya wujud pada skrin, syarikat berkenaan masih mencari pelabur untuk merealisasikan projek ini.

    M1 direka oleh pereka Marc Evenisse bersama juara Supermoto empat-kali Adrien Charerye. Menurut Evanisse, Furion M1 merupakan “kombinasi motif asli dengan unsur utama bunyi luar biasa, dihasilkan dari dua rotor di dalam enjinnya.”

     
     
  • Mitsubishi Lancer Edisi Terhad 2017 bakal terjah USA

    Mitsubishi Lancer Edisi Terhad 2017 bakal terjah USA

    Sebelum ini ada ura-ura yang menyatakan Mitsubishi akan menamatkan pengeluaran model sedan Lancer selepas menyertai persepakatan Renault-Nissan. Di mana ia dijangka akan memberi laluan kepada penghasilan produk baharu yang lebih menarik melalui perkongsian platform.

    Walau bagaimana pun, ia seperti tidak dimuktamadkan secara tetap apabila Mitsubishi Amerika Utara telah memperkenalkan model edisi terhad bagi Lancer 2017 bagi pasaran negara berkenaan. Mungkin pihak di sana merasakan Lancer masih mampu menarik perhatian peminat automotif dan kekal relevan untuk terus berada di pasaran.

    Seperti yang dilaporkan oleh Carscoops.com, Lancer Edisi Terhad ini dibina berasaskan varian ES, telah menerima kekemasan luaran baharu berwarna hitam termasuk pada roda bersaiz 16-inci, gril hadapan atas, hiasan pada fender dan cermin pintu. Malahan ia turut menampilkan bumbung suria bagi menambahkan lagi imej agresifnya.

    Di dalamnya, ia dipadankan dengan fabrik hitam bersama jahitan merah pada roda stereng, tombol gear, tuil brek, perehat tangan dan kekemasan pintu. Selain itu, ia turut menampilkan pedal aluminium, headliner dan pillar berwarna hitam, kekemasan hitam berkilat dan Sistem Paparan Audio bersaiz 6.5-inci bersama sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Walau bagaimana pun, ia masih mengekalkan enjin yang sama iaitu 2.0 liter DOHC MIVEC dengan hamburan kuasa 148 hp pada takat 6,000 rpm dan tork 145 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan atau CVT.

    Lancer Edisi Terhad 2017 ini bakal memasuki pasaran Amerika Utara pada bulan ini dengan harga bermula $19,795 (RM85,662.86) yang akan ditawarkan sehingga hujung tahun ini.

     
     
  • Khemah Autohome MINI Countryman – muat 2 orang

    Khemah Autohome MINI Countryman – muat 2 orang

    Khemah khas Autohome AirTop untuk MINI Countryman baru sahaja dilancarkan. Syarikat pengeluarnya, yang berpusat di Itali membangunkan khemah untuk kereta ini dengan kerjasama MINI sendiri dan ia boleh diletakkan dengan sempurna di atas bumbung MINI Countryman F60, muat untuk dua orang.

    Bumbung khemah ini ditawarkan dalam warna sama ada hitam atau putih, dan ini boleh dipilih supaya kontras dengan bumbung dan cermin sisi Countryman. Apabila ditutup, khemah ini nampak seperti kotak barangan atas bumbung biasa, dan ia mempunyai penutup gentian kaca dan berbentuk aerodinamik supaya tidak bising dan dapat menembusi angin dengan lebih baik.

    Panjang kesuluruhan khemah bumbung ini adalah 2.10 meter, ketinggian 1.30 meter dan ia boleh dipasang kepada rel bumbung standard yang ada ada Countryman baru, tanpa sebarang peralatan dan beberapa langkah mudah. Untuk membuka khemah ini, anda hanya perlu membuka soket keselamatan – dua di hadapan dan satu di belakang. Struktur khemah ini kemudiannya akan naik secara sendiri hasil tolakan daripada spring gas.

    Khemah Autohome MINI Countryman – muat 2 orang

    Tinggi bumbung bahagian dalam khemah ini adalah 94 sentimeter, dengan penutup yang stabil manakala bahagian dinding luar dibuat daripada fabrik kualiti tinggi. Khemah ini bukan sahaja kalis hujan, malah juga menyediakan kitaran pengudaraan yang baik serta kedap haba dan bunyi, menurut pembuatnya.

    Pada bahagian dalam, terdapat tilam berketumpatan tinggi, siap dengan lapik kapas, dua pintu dan dua tingkap dengan zip. Pada bahagian tingkap serta bahagian lain yang terbuka, terdapat jaring nyamuk dan lampu LED yang dikuasakan oleh bateri. Turut disediakan adalah tangga aluminium untuk naik ke khemah ini.

    Countryman generasi kedua telah dilancarkan di Malaysia bulan lepas, dan ditawarkan dalam dua varian – Cooper berkuasa 136 hp/ 220 Nm dan Cooper S 192 hp/ 280 Nm. Semasa majlis pelancaran tersebut, khemah Autohome ini turut dipamerkan, bermakna MINI Malaysia sepatutnya boleh membantu anda jika mahu mendapatkannya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025