Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW i3 terima bateri baru 120 Ah – capai jarak 359 km

    BMW i3 terima bateri baru 120 Ah – capai jarak 359 km

    Ketika pertama kali dilancarkan beberapa tahun sebelum ini, model elektrik sepenuhnya BMW i3 dilengkapi dengan bateri berkapasiti 60 Ah dan kandungan tenaga 22 kWh. Ia kemudiannya ditingkatkan kepada bateri 94 Ah dan 33 kWh pada 2016.

    Di dalam penampilan terbarunya kini, bateri yang digunakan sekali lagi diberi peningkatan, melalui unit 120 Ah dan 42.2 kWh. Ini membolehkan i3 kini mencapai jarak perjalanan sejauh 359 km (kitaran NEDC) atau 285-310 km (kitaran WLTP).

    Sementara itu, bagi model BMW i3s, ia mampu mencapai jadak sekitar 330-345 km (NEDC) dan 270-285 km (WLTP). Dalam keadaan pemanduan seharian, kedua-dua model boleh mencapai jarak sekitar 260 km, meningkat 60 km dari yang dulu.

    BMW i3 terima bateri baru 120 Ah – capai jarak 359 km

    Pertambahan kapasiti bateri ini bagaimanapun tidak melibatkan perbezaan saiznya – terdiri daripada lapan modul dengan 12 sel setiap satu. Bateri berkenaan tetap menyalurkan kuasa kepada elektrik motor (168 hp/250 Nm) yang membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat. Bagi model i3s dengan motot elektrik yang lebih berkuasa (181 hp/270 Nm), ia lebih pantas 0.2 saat daripada versi biasa.

    Untuk mengecas, ada beberapa pilihan bagi AC. Jika menggunakan plag di rumah dengan kabel standard (10 A, 240 V), bateri berkenaan boleh dicas sehingga 80% dalam masa 15 jam dengan kapasiti mengecas 2.4 kW.

    Sementara itu, jika menggunakan BMW i Wallbox (16 A, 240 V) dengan kapasiti mengecas 3.7 kW, tempoh mengecas dikurangkan kepada 9.4 jam. Jika dengan i Wallbox yang lebih berkuasa pula (16 A, 380 V) dengan kapasiti mengecas 11 kW, tempohnya menjadi serendah 3.2 jam sahaja.

    BMW i3 terima bateri baru 120 Ah – capai jarak 359 km

    Jika ingin lebih pantas, stesen pengecas DC diperlukan. Dengan kapasiti mengecas 50 kW bateri boleh sampai ke tahap 80% penuh dalam masa hanya 42 minit. Selain itu, i3 juga menerima pilihan kemasan baru bagi bahagian dalamannya – antara Loft dan Suite.

    Selepas ini, BMW akan memperkenalkan pula pakej sport yang terdiri daripada lengkung tayar hitam, suspensi sport dengan penyerap hentak, spring dan penstabil yang khusus, suspensi yang lebih rendah (-10 mm) dan rim aloi 20-inci.

     
     
  • Suzuki Katana generasi baru akhirnya didedahkan

    Suzuki Katana generasi baru akhirnya didedahkan

    Selepas beberapa video teaser sebelum ini, akhirnya Suzuki telah menunjukkan Katana generasi baru kepada orang ramai di pameran INTERMOT 2018. Seperti yang boleh dilihat, rekaan motosikal ini memang mempunyai banyak inspirasi daripada Katana model lama tahun 80-an, tetapi di sebaliknya semua adalah moden.

    Setakat ini, model baru ini cuma dipanggil sebagai Katana dan ia tidak diberitahu bila akan berada di pasaran dan berapakah harganya. Walaupun begitu, informasi teknikalnya telah didedahkan, termasuk enjin yang diambil daripada GSX-R1000 – unit empat silinder sebaris DOHC 999 cc dengan kuasa 150 hp dan transmisi enam kelajuan.

    Kerangka pula diambil daripada model naked GSX-S1000, yang melibatkan kerangka aluminium jenis twin-spar, lengan ayun daripada GSX-R, suspensi USD di hadapan, monoshock di belakang, set brek cakera Brembo berkembar di hadapan dan satu di belakang, serta berat keseluruhan 215 kg.

    Sebagai sebuah model yang membawa nama ikonik, tumpuan lebih banyak diberikan kepada rekaan Katana baru ini, dan untuk memahami di mana garisan badan yang melambangkan pedang tradisional Jepun (Katana) pada motosikal ini, anda boleh melihat video di bawah. Panjang keseluruhan motosikal ini adalah 2,125 mm manakala tinggi tempat duduk pula adalah 825 mm.

    Seperti yang boleh dilihat dalam gambar, Katana baru ini menawarkan posisi tunggangan yang lebih tegak kerana bahagian pemegangnya lebih tinggi berbanding motosikal sports, dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 12 liter, rim 17 inci (tayar 120/70 di depan dan 190/50 di belakang), lampu hadapan jenis LED dan penghadang lumpur tayar belakang yang terletak rendah di bawah.

     
     
  • Mazda sahkan enjin rotary akan muncul semula – sebagai enjin penambah jarak untuk sistem hibrid

    Mazda sahkan enjin rotary akan muncul semula – sebagai enjin penambah jarak untuk sistem hibrid

    Jika sebelum ini hanyalah cakap-cakap dalam industri, kali ini Mazda telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka akan membawa semula enjin wankel rotary dalam pasaran, tetapi sebagai enjin penambah jarak atau range extender. Ini merupakan sebahagian dari strategi dan perhubungan Mazda, yang diasaskan dari visi jangka masa panjang ‘Sustainable Zoom-Zoom 2030’.

    Sebagai enjin penambah jarak, enjin wankel rotary berkenaan tidak akan dihubungkan kepada kotak gear dan juga gandar, tetapi ia hanya akan berfungsi untuk mengecas bateri sistem elektrik, seperti ‘generator pasar malam’. Kereta tersebut akan digerakkan oleh motor elektrik sepenuhnya yang bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan bahan api, malah akan menghasilkan tork yang lebih besar. Sistem yang hampir sama telah pun diproduksi Nissan, namun ia menggunakan enjin omboh konvensional pada Nissan Note e-Power.

    Mazda percaya enjin pembakaran dalaman (ICE) akan kekal sebagai pilihan majoriti bagi menggerakkan kereta-kereta baharu dalam tahun-tahun mendatang, tetapi dengan teknologi elektrik yang semakin ringan, ia bukan sahaja akan memperhalusi ICE malah turut akan mengurangkan pencemaran karbon dioksida.

    Menerusi ideologi ini, Mazda menjangkakan unit janakuasa yang dilengkapi teknologi elektrik akan dibekalkan pada 95% kereta yang dibuat, manakala 5% lagi adalah kenderaan yang hanya dijana oleh kuasa elektrik dari bateri (BEV). Oleh itu, dua kenderaan yang akan dibekalkan bateri akan dibangunkan, di mana salah satunya adalah model yang dijana hanya menggunakan pek bateri.

    Model yang akan menggabungkan enjin pembakaran dalaman dan juga teknologi elektrik adalah salah satu model yang disebutkan tadi. Mazda memilih enjin rotary sebagai enjin penambah jarak berbanding enjin omboh konvensional adalah kerana ia lebih kecil, lebih ringan dan juga lebih senyap. Menurut Mazda, enjin rotary mempunyai saiz yang lebih kompak namun menghasilkan kuasa yang lebih besar menjadikan ia sebagai solusi yang ideal, serta turut boleh beroperasi dengan gas LPG.

    Seperti namanya, enjin penambah jarak ini bakal memberikan jumlah perjalanan yang lebih jauh walaupun tanpa fasiliti pengecas. BMW i3 adalah contoh model BEV yang ditawarkan sama ada dengan atau tanpa enjin penambah jarak.

    Berdasarkan konsep “penjana-ke-roda” (well-to-wheel), Mazda mensasarkan 90% pengurangan pencemaran karbon dioksida dari tahap pada tahun 2010 menjelang 2050 nanti, dan usaha-usaha dalam teknologi elektrik ini akan memastikan ia akan dapat dicapai.

    Bagi teknologi-teknologi hubungan pula, Mazda “mensasarkan untuk menginspirasikan orang ramai dan memperkayakan masyarakat” dengan memanfaatkan kerjasamanya dengan Toyota untuk pembangunan akan datang. “Trend baharu dan teknologi dalam hubungan, autonomi, perkongsian dan elektrifikasi akan menawarkan kemungkinan baharu bagi menghasilkan kereta yang lebih menarik,” kata wakil pengarah, presiden dan CEO Mazda Akira Marumoto.

    “Dengan menggunakan teknologi baharu berdasarkan falsafah pembangunan berpaksikan manusia kami yang unik, Mazda akan, dalam semangat ‘tidak berhenti untuk mencabar,’ akan terus mengejar keseronokan memandu dan usaha bagi mencipta hubungan emosional dengan pelanggan yang akan bersaing dengan jenama paling kuat di dunia,” tambahnya lagi.

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak mampu siap ikut jadual – pakej pertama dijangka dirasmikan awal 2019

    Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak mampu siap ikut jadual – pakej pertama dijangka dirasmikan awal 2019

    Projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak mampu siap mengikut jadual iaitu dalam tempoh tiga tahun lagi. Menurut Kementerian Kerja Raya, walaupun berlaku sedikit kelewatan di beberapa kawasan dari Telok Melano ke Miri, namun ia diyakini dapat diatasi oleh Rakan Penyampai Projek (PDP), Lebuhraya Borneo Utara (LBU) Sdn Bhd.

    Menurut menterinya, Baru Bian, keyakinan itu berdasarkan tinjauannya yang mendapati pelaksanaan projek itu berjalan lancar termasuk pakej pertama menghubungkan Sematan ke Telok Melano sepanjang 33 Kilometer dijangka siap hujung tahun ini, laporan Berita Harian.

    Projek Sematan-Telok Melano yang kini sudah lebih 80% siap dan dijangka dibuka secara rasmi kepada laluan kenderaan awam pada Januari 2019.

    “Hasil tinjauan sepanjang laluan projek itu, diakui memang ada berlaku sedikit kelewatan dengan dengan bulatan bertingkat di Serian mengalami kelewatan kira-kira 6% manakala di beberapa tempat lain di belakang jadual antara satu hingga 2% sahaja,” katanya.

    Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786 Kilometer dilaksanakan dalam 11 pakej dengan lebih 100 jambatan dibina sepanjang laluan berkenaan.

     
     
  • Pertandingan Servis Selepas Jualan Proton 2018 tamat – 6 peserta menang tunai, lawatan ke Geely di China

    Pertandingan Servis Selepas Jualan Proton 2018 tamat – 6 peserta menang tunai, lawatan ke Geely di China

    Pertandingan Servis Selepas Jualan Proton 2018 melabuhkan tirainya hari ini, dengan diakhiri majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam. Pertandingan ini disertai oleh 189 kakitangan servis selepas jualan Proton dari pengedar bertauliahnya di seluruh negara. Manakala ketika peringkat akhir tamat menyaksikan enam daripada mereka menduduki tangga teratas, menerima sejumlah hadiah bernilai RM50,000 termasuk lawatan ke Ibu Pejabat Geely Holdings di China.

    Pertandingan Servis Selepas Jualan PROTON ini merupakan platform untuk kakitangan selepas jualan mempamerkan kemahiran dan pengetahuan mereka. Sasaran jenama automotif nasional berkenaan menerusi pertandingan ini adalah untuk meningkatkan lagi mutu servis selepas jualannya, bagi diangkat ke tahap yang sama dengan standard global.

    Untuk pusingan pra-kelayakan, peserta diberi tugas membaikpulih enjin, di mana mereka dikehendaki untuk membuka dan memasang semula enjin VVT Proton dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut prosedur yang betul. Manakala pada pertandingan akhir, mereka perlu menyelesaikan tiga tugasan iaitu, rombak rawat enjin Campro serta membaikpulih sistem pengurusan enjin dan sistem elektrikal badan kereta.

    “Pertandingan ini merupakan sebahagian dari usaha berterusan Syarikat untuk meningkatkan kemahiran juruteknik bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan dan juga memberi ganjaran kepada mereka yang menunjukkan prestasi yang cemerlang. Pemenang akan diberikan peluang untuk melawat ke Ibu Pejabat Geely Holdings dan Institut Penyelidikan Geely di China. Lawatan tersebut akan membuka mata juruteknik tempatan kami kerana mereka dapat melihat keupayaan keseluruhan Geely dari segi reka bentuk sehinggalah ke pembinaan sebuah kereta yang lengkap,” kata Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Menurut Dr. Li lagi, Proton kini berada di landasan yang betul untuk menambahbaik persepsi pelanggan terhadap jenama.” Dengan pelancaran Proton X70 pada hujung tahun ini, kami perlu memastikan kakitangan servis selepas jualan kami telah dilatih sebaiknya dan mampu mengendalikan model baharu tersebut serta dapat memenuhi permintaan para pelanggan,” katanya.

    “Kualiti produk dan servis adalah sama penting untuk memastikan keperluan pelanggan dipenuhi, oleh itu kami memerlukan perkhidmatan pelanggan bertaraf tinggi untuk mengekalkan pelanggan sedia ada dan pada masa yang sama menarik minat pelanggan baharu. Kami meningkatkan perkhidmatan menerusi pendekatan holistik untuk memastikan pusat cawangan, pekerja dan produk kami mencapai standard yang ditetapkan,” jelas Dr. Li.

     
     
  • Mercedes-Benz B-Class W247 ditunjuk di Paris Motor Show – pilihan enjin petrol atau diesel, transmisi baru

    Mercedes-Benz B-Class W247 ditunjuk di Paris Motor Show – pilihan enjin petrol atau diesel, transmisi baru

    Mercedes-Benz telah pun menunjukkan B-Class W247 baru semasa Paris Motor Show 2018, dan daripada aspek penggayaan, ia masih tidak lari terlalu jauh daripada model W246 sebelum ini. Walaupun begitu, bumbung model ini adalah lebih rendah, dan bersama dengan muka hadapan yang lebih kecil, ia membantu menjadikannya lebih aerodinamik dengan kadar rintangan angin cuma 0.24 Cd (sebelum ini 0.25).

    Pada bahagian hadapan, lampu utama model ini nampak lebih tajam berbanding model A-Class, tetapi penjurunya pula lebih membulat, dan di tengah terdapat gril heksagon yang direka semula. Bagi model asas, ia datang dengan lampu utama H7, tetapi boleh dinaik taraf dengan lampu jenis LED ataupun Multibeam LED. Sudah tentu, bagi model AMG Line, penampilannya lebih agresif dengan perbezaan pada bampar, lip hadapan dan gril.

    Pergi ke bahagian belakang, lampunya yang terbahagi kepada dua bahagian adalah lebih nipis berbanding W246 dan menampilkan pencahayaan berbentuk C di dalamnya. Penutup but belakang juga lebih berlekuk untuk menonjolkan lagi lampu tersebut, dan tempat nombor plet adalah lebih kemas. Selain daripada itu, terdapat pemantul cahaya pada penjuru bampar dan kemasan hitam berhampiran spoiler.

    Mercedes-Benz B-Class W247 ditunjuk di Paris Motor Show – pilihan enjin petrol atau diesel, transmisi baru

    Masuk pula ke dalam, perubahannya lebih jelas berbanding model sebelum ini. Paling menjadi tumpuan adalah skrin Mercedes-Benz User Experience (MBUX) di tengah papan pemuka, seperti A-Class. Ia menggunakan dua skrin yang memaparkan panel isntrumen dan bersambung dengan skrin yang menunjukkan sistem infotainmen. Pembeli juga boleh memilih kombinasi skrin yang berbeza – dua skrin tujuh inci, satu skrin tujuh inci bersama 10.25 inci, dan paling tinggi, skrin 10.25 inci.

    Kawalan operasi sistem MBUX ini boleh dilakukan sama ada menggunakan skrin sesentuh yang terdapat di tengah, butang kawalan pada stereng, pad sesentuh pada konsol tengah ataupun menggunakan kawalan suara (Hey Mercedes). Turut disediakan sebagai pilihan tambahan adalah paparan head-up display.

    Walaupun sistem MBUX ini diambil terus daripada A-Class, bentuk papan pemuka B-Class ini masih lagi menggunakan rekaan tersendiri. Ia tidak mempunyai kemasan yang bersambung sepanjang papan pemuka tersebut, sebaliknya ia berlekuk dan terasing dengan kemasan di bahagian hadapan penumpang. Selain daripada itu, rekaan corong pendingin hawa, pengawal suhu dan konsol tengah adalah sama seperti A-Class tetapi dalam B-Class ini, kedudukannya 90 mm lebih tinggi.

    Mercedes-Benz B-Class W247 ditunjuk di Paris Motor Show – pilihan enjin petrol atau diesel, transmisi baru

    Mercedes-Benz juga turut menyatakan bahawa aspek praktikaliti MPV kompak ini mendapat manfaat daripada jarak roda yang lebih panjang iaitu 2,729 mm (+30 mm) serta lebar 1,456 mm (+33 mm). Dalam keadaan standard, tempat duduk belakang boleh dilipat 40:20:40 dan apabila dilungsur ke hadapan sebanyak 14 sm dan penyandar dilaras pada keadaan tertentu, kapasiti tempat barang boleh menjadi antara 455 dan 705 liter. Apabila mahukan lebih lagi ruang, tempat duduk belakang boleh dilipat habis untuk memberi 1,540 liter ruang, dan mulai pertengahan tahun 2019, pilihan penyandar penumpang hadapan yang boleh dilipat akan disediakan supaya pengguna boleh memuatkan barang panjang seperti kayak.

    B-Class baru ini juga boleh didapati dengan tempat duduk kinetik yang menyediakan kelebihan postur ortopedik kerana ia boleh melaras sudut kusyen tempat duduk dan penyandar secara berterusan. Anda juga akan mendapat lampu suasana 64 warna serta 10 tema warna untuk dipilih mengikut mood, bersama servis Mercedes Me yang termasuk khidmat perkongsian kenderaan, fungsi navigasi maju, telematics dan lain-lain.

    Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemandu, B-Class kini datang dengan pakej Driving Assistance yang termasuk Active Distance Assist Distronic. Active Brake Assist diberikan secara standard, manakala sistem lain yang ditawarkan adalah seperti Active Emergency Stop Assist dan Active Lane Change Assist.

    Mercedes-Benz B-Class W247 ditunjuk di Paris Motor Show – pilihan enjin petrol atau diesel, transmisi baru

    Di bawah bonet B-Class ini terdapat pilihan enjin sama ada petrol ataupun diesel yang mematuhi peraturan Euro 6d-TEMP. Bagi enjin petrol, ia adalah unit empat silinder turbo 1.33 liter M282 yang digunakan pada varian B 180 dan B 200.

    Pada B 180 kuasanya ditala kepada 134 hp (136 PS) dan 200 Nm, manakala untuk B 200 ia mampu menghasilkan 161 hp (163 PS) dan 250 Nm tork. Kedua-duanya menggunakan transmisi automatik klac berkembar 7G-DCT tujuh kelajuan bersama penapis kotoran.

    Bagi enjin diesel, ia digunakan pada beberapa varian bermula dengan B 180 d, iaitu unit OM608 empat siinder turbo 1.5 liter sama seperti pada A-Class, dengan kuasa 114 hp (116 PS) dan 260 Nm tork. Pada varian B 200 d dan B 220 d pula, ia menggunakan enjin diesel 2.0 liter OM654q dengan kuasa masing-masing 148 hp (150 PS)/320 Nm, dan 188 hp (190 PS)/400 Nm tork.

    Mercedes-Benz B-Class W247 ditunjuk di Paris Motor Show – pilihan enjin petrol atau diesel, transmisi baru

    Untuk transmisi, B 180 d menggunakan unit yang sama seperti varian enjin petrol manakala B 200 d dan B 220 d menggunakan transmisi automatik klac berkembar 8G-DCT lapan kelajuan baru. Beberapa lagi pilihan enjin lain akan diperkenalkan pda masa hadapan, termasuk yang mempunyai sistem pacuan semua roda 4Matic.

    Selain daripada enjin, Mercedes-Benz juga menawarkan beberapa pilihan tetapan casis untuk B-Class baru ini. Pada bahagian hadapan semuanya menggunakan tetapan McPherson dan wishbone aluminium diperkuat, tetapi di belakang, model asas akan menggunakan torsion beam manakala model yang lebih tinggi akan menggunakan gandar sambungan four-link. Turut ditawarkan adalah suspensi lebih rendah untuk keselesaan dan suspensi dengan pelarasan serapan aktif adaptif yang dikawal menggunakan sistem Dynamic Select.

    B-Class baru ini akan mula dijual di Eropah pada 3 Disember ini, dan penyerahan kepada pelanggan dijangka bermula pada bulan Februari 2019. Apabila memasuki pasaran nanti, ia akan bersaing dengan BMW 2 Series Active Tourer, yang telah diberikan facelift awal tahun ini.

     
     
  • Porsche sahkan 911 Speedster Concept bakal diproduksi pada 2019 – hanya 1,948 unit dihasilkan

    Porsche sahkan 911 Speedster Concept bakal diproduksi pada 2019 – hanya 1,948 unit dihasilkan

    Porsche sudah mengesahkan 911 Speedster Concept bakal memasuki produksi pada separuh pertama 2019. Walau bagaimana pun, hanya 1,948 unit jentera dua-tempat duduk dengan bumbung yang boleh dibuka ini, yanga kan dihasilkan.

    Kenapa 1,948 unit sahaja? Menurut Porsche, angka berkenaan mengingatkannya kepada prototaip Porsche 356 ‘No.1’ yang menerima pensijilan jalan raya pada 8 Jun 1948, di mana ia merupakan model pertama yang menggunakan nama ‘Porsche’ dan ia kekal sehingga beberapa dekad akan datang.

    Pengumuman ini dibuat dalam Paris Motor Show yang membuka tirainya, malahan Porsche turut mendedahkan versi yang disemak semula dari model konsep yang diperkenalkan pada Jun lepas. Untuk kali ini, jentera dengan kemasan warna Guards Red seperti mana model 911 Speedster 1988 (siri G), di samping roda 21-inci dengan rekaan yang lebih menyerlah.

    Selain itu, kedua-dua cermin sisi berbentuk-Talbot dan juga penutup tangki minyak yang ditempatkan di tengah bonet – hadir dengan kemasan krom hitam dan platinum, sementara lampu nyalaan siang pula dilapisi warna merah untuk menyesuaikannya dengan warna luaran. Bagi dalamannya pula, upholstery kulit Aniline coklat cair bagi versi ‘Heritage’ pada model konsep telah digantikan dengan kulit hitam bersama kemasan merah.

    Porsche sahkan 911 Speedster Concept bakal diproduksi pada 2019 – hanya 1,948 unit dihasilkan

    Hanya beberapa unit sahaja akan ditawarkan dengan Heritage Design Package baharu, aksesori eksklusif oleh Porsche Exclusive yang membolehkan mereka mempersonafikasikan 911 Speedster mengikut spesifikasi pilihan masing-masing.

    Di sebalik semakan ini, 911 Speedster Concept ini dihasilkan menggunakan casis 911 GT3. Malahan ia turut ditampilkan dengan enjin 4.0 liter enam-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 500 hp pada 9,000 rpm, dan dipadankan dengan transmisi manual enam-kelakuan dan sistem ekzos titanium.

    Kemasan fizikal termasuklah gentian karbon pada wing, penutup bonet hadapan dan belakang, bingkai tingkap yang lebih pendek, panel atas yang lebih rendah dan juga tingkap sisi yang lebih kecil. Mengikut tema Speedsterm penutup double-bubble ditampilkan pada belakang tempat duduk, dan jika hujan, bumbung tonneau cover boleh ditutup dengan pantas.

     
     
  • Ujian memandu bertulis boleh dilakukan secara dalam talian mulai 2019, bayaran turun menjadi RM20 – Loke

    Ujian memandu bertulis boleh dilakukan secara dalam talian mulai 2019, bayaran turun menjadi RM20 – Loke

    Mulai Januari 2019, mana-mana rakyat Malaysia yang mengambil ujian memandu, boleh menduduki ujian bertulis secara dalam talian di mana-mana institut memandu di seluruh negara, laporan Malaymai.l

    Umum Menteri Pengangkutan Anthony Loke lagi, yuran untuk ujian berkenaan juga akan dikurangkan sebanyak RM7, menjadi RM20 berbanding RM27 pada masa ini.

    “Kami tidak mahu orang berfikir perkhidmatan ini dimonopoli oleh mana-mana syarikat tertentu dan telah membuka peluang ini kepada mana-mana institut memandu yang bertaraf tiga bintang ke atas dan yang memenuhi kriteria tertentu. Ia merupakan perkhidmatan paling asas di mana soalan standard dibekalkan oleh JPJ, dan kadarnya diturunkan sebanyak RM7 berbanding RM27 buat masa ini,” ujar Loke.

    Ujian memandu bertulis boleh dilakukan secara dalam talian mulai 2019, bayaran turun menjadi RM20 – Loke

    Buat masa ini, ujian bertulis berkenaan hanya boleh diambil di mana-mana 103 pusat ujian dan dikendalikan oleh tiga syarikat berakreditasi iaitu MyEG, KOMMS, dan MySpeed. Antara kriteria bagi institut memandu yang berkelayakan untuk mengadakan ujian secara bertulis ini ialah memiliki bilik peperiksaan dengan tingkap lut sinar, CCTV, bilik server dan komputer.

    Loke turut berkata, JPJ kini sedang menilai lebih 200 pusat yang berkelayakan untuk mengadakan ujian berkenaan. Buat masa ini, terdapat 103 pusat ujian dan 150 institut memandu yang bertaraf tiga bintang dan keatas.

    “Kerajaan mungkin akan menggabungkan ujian bertulis untuk calon yang mengambil lesen memandu yang berada di bawah kategori D, dan motosikal di bawah kategori B2. Buat masa ini ujian bertulis untuk pengambilan lesen bagi kedua-dua kategori berkenaan diasingkan. Walau bagaimana pun, keputusannya masih belum dimuktamadkan, tetapi ada kemungkinan ia akan dilaksanakan,” ujarnya lagi.

     
     
  • Indian FTR 1200 guna badan flat tracker, enjin 1,200 cc

    Indian FTR 1200 guna badan <em>flat tracker</em>, enjin 1,200 cc

    Sementara masih banyak pengeluar yang menunggu sehingga hari pembukaan rasmi pameran INTERMOT di Jerman untuk menunjukkan motosikal terbaru mereka, Indian telah mengambil langkah lebih awal untuk memperkenalkan FTR 1200 dan FTR 1200 S. Ini adalah model yang mengambil inspirasi daripada model flat tracker terkenal mereka iaitu FTR 750.

    Walaubagaimanapun, ia datang dengan enjin baru yang lebih besar iaitu unit V-twin 1,203 cc dengan empat injap bagi setiap silinder, menghasilkan kuasa sebanyak 120 hp pada 8,250 rpm dan 115 Nm tork pada 6,000 rpm. Nisbah mampatan enjin ini adalah 12.5:1 dan ia menggunakan sistem suntikan bahan api dengan throttle body Mikuni, ditala supaya dapat memberikan tindak balas yang baik pada kadar rpm rendah.

    Bagi memastikan kuasa dapat disampaikan dengan baik ke tayar belakang, motosikal ini menggunakan kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper serta sistem pacuan rantai. Tinggi tempat duduk adalah 805 mm manakala untuk suspensi, terdapat fork USD di hadapan dan monoshock di belakang. Kedua-duanya juga boleh dilaras (bergantung kepada spesifikasi).

    Brek yang digunakan untuk motosikal ini adalah daripada Brembo, dengan set berkembar angkup M4.32 serta cakera 320 mm di hadapan, dan angkup tunggal serta cakera 265 mm di belakang. Rim pula bersaiz 19 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan tangki bahan api berkapasiti 13 liter.

    Untuk memastikan berat serta kekuatan yang optimum, Indian telah menggunakan kerangka jenis Trellis pada FTR 1200, sementara sub-frame belakang pula dibuat daripada aluminium. Kebanyakan tapak dan komponen lain pada motosikal ini juga menggunakan aluminium, menghasilkan berat keseluruhan 221 kg.

    Walaupun nampak seperti motosikal lumba, FTR 1200 masih mempunyai kelengkapan moden seperti sistem brek ABS two-channel, semua lampu jenis LED serta cruise control. Pemilik yang memilih FTR 1200 dengan suspensi boleh laras sepenuhnya juga akan menerima kawalan cengkaman tiga mod serta panel instrumen TFT-LCD.

    Bagi model FTR 1200 standard, ia cuma ditawarkan dalam satu warna iaitu Thunder Black, tetapi bagi FTR 1200 S, ia didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Indian Motorcycle Red/Steel Grey, Titanium Metallic/Thunder Black Pearl dan Race Replica. Model ini akan berada di wakil pengedar Indian menjelang pertengahan tahun 2019.

     
     
  • Tram kendalian autonomous ganti LRT di P. Pinang?

    Tram kendalian autonomous ganti LRT di P. Pinang?

    Kerajaan negeri Pulau Pinang mendedahkan bahawa mereka akan mempertimbangkan pembinaan sistem Autonomous Rail Rapid Transit (ART) bagi sebagai alternatif kepada perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) di negeri itu. The Star melaporkan, kerajaan negeri itu telah diberi taklimat oleh pembina sistem berkenaan, China Railway Construction Corporation (CRCC) Zhuzhou Institute.

    Ketua Menteri P. Pinang, Chow Kon Yeow menjelaskan; “ART masih agak baru. CRCC membentangkan sistem berkenaan kepada kami menggunakan taklimat yang sama ketika Penang Forum. Tidak adil untuk kami memberi maklum balas ketika ini kerana ia masih baru kepada kami, tetapi kami tidak menolaknya mentah-mentah.”

    Chow menambah, dalam video yang ditunjukkan kepadanya, tram berkenaan beroperasi pada lebuhraya yang mempunyai lapan hingga 10 lorong, menjadikan pelaksanaannya tidak praktikal. “Pulau Pinang tidak mempunyai ruang jalan sebanyak itu,” ujarnya. ART tidak menggunakan landasan tren, sebaliknya hanya memerlukan lorong khas untuk bas.

    Tram kendalian autonomous ganti LRT di P. Pinang?

    “Ia menggunakan roda getah, dan dipandu melalui sistem sensor yang dipasang sepanjang jalan yang khusus atau boleh dikongsikan dengan pengangkutan lain. Sekiranya ia sistem yang khusus, banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan, misalnya jika ia menghampiri simpang, sistem lampu isyarat mesti diprogramkan untuk beri keutamaan kepada ART,” tambahnya.

    Sistem ART pertama kali ditunjukkan oleh CRCC pada Jun 2017, dan ia disifatkan sebagai menggunakan ciri silang antara tren, tram dan bas. Ia mempunyai tiga gerabak dengan 30 meter panjang keseluruhan dan menggunakan roda getah. Dengan kelajuan sehingga 70 km/j dan kapasiti penumpang 500 orang, tren berkenaan dikuasakan oleh elektrik dan boleh bergerak sejauh 40 km dengan satu cas penuh.

    Selepas diperkenalkan, sistem ART ini menjalani tempoh percubaan operasinya di Zhuzhou, China. Fasa pertamanya melibatkan empat platform dan merangkumi jarak 3 km. Jarak keseluruhan laluan percubaan ini ialah 12 km, akan dibangunkan dalam dua fasa – fasa seterusnya melibatkan 9 km.

    Tram kendalian autonomous ganti LRT di P. Pinang?

    Tren percubaan itu juga dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti kamera 360-darjah dan tinjuan radar disekelilingnya. Turut ada ialah kelengkapan isyarat komunikasi, pusat kawalan dan sistem keutamaan lampu isyarat. Sistem ART akan diberikan keutamaan di lampu isyarat, dengan cara ia akan menghantar arahan kepada sistem lampu isyarak berkenaan dalam jarak 100 meter sebelum tiba. Lampu isyarat seterusnya akan memastikan ART melepasinya dengan selamat dan cepat.

    Dan, memandangkan ini tren elektrik, terminal utamanya dilengkapi dengan teknologi pengecas pantas – jarak 25 km dengan hanya cas 10 minit. Menurut CRCC, banyak pihak-pihak yang berminat telah datang melawat, termasuk wakil dari 20 bandar-bandar utama di Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, New Zealand, Brazil dan lain-lain.

     
     
  • Proton X70 bakal dilancarkan pada November ini

    Proton X70 bakal dilancarkan pada November ini

    Pelancaran rasmi Proton X70 dijangka akan berlangsung pada bulan November ini, apabila acara pra-tonton yang sedang dikendalikan untuk SUV ini selesai, dengan sesi terakhirnya bakal diadakan pada 4 November ini. Ini didedahkan menerusi media sosial yang dikeluarkan oleh Proton sendiri berikutan tontonan khas SUV terbabit kepada menteri perdagangan dan perindustrian Darell Leiking di trek ujian Pusat Kecemerlangan Proton,Shah Alam, hujung minggu lalu.

    Ia tersasar sedikit daripada masa jangkaannya, pada Jun lalu, CEO Proton Li Chunrong berkata, SUV yang diasaskan daripada model facelift Geely Boyue, dijangka akan dilancarkan ke pasaran pada hujung September atau awal Oktober. Ia melibatkan unit CBU yang diimport dari China sebelum model CKD dijangka mula diproduksi pada tahun hadapan.

    Prebiu X70 akan berlangsung sehingga 4 November ini di beberapa lokasi di seluruh Malaysia, termasuk Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kuantan, Ipoh dan Kota Kinabalu.

    Menurut CEO Proton Edar Abdul Rashid Musa, rancangan adalah untu mencapai sasaran sebanyak 6,000 pembeli berpotensi menerusi sesi prebiu ini. “Sementara mereka ini hanya sebahagian kecil daripada pembeli berpotensi yang kami sasarkan, pra-tonton ini turut memberi peluang kepada mereka untuk melihat model X70 ini agar mereka dapat membuat keputusan,” ujar Rashid pada bulan lalu.

    Perincian mengenai X70 didedahkan pada bulan lepas, dan SUV ini menampilkan enjin 1.8 liter TGDi pengecas turbo empat-silinder petrol (181 hp/285 Nm) yang dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dengam pacuan roda-hadapan dan semua-roda ditawarkan. Pelanggan juga ditawarkan dengan empat pilihan varian, dan tempahan untuk SUV ini telah pun dibuka sejak 8 September lalu.

     
     
  • Skoda Kodiaq RS – SUV 7-tempat duduk paling pantas di Nurburgring, 2.0L diesel twin turbo, 240 PS/500Nm

    Skoda Kodiaq RS – SUV 7-tempat duduk paling pantas di Nurburgring, 2.0L diesel twin turbo, 240 PS/500Nm

    Tak ramai di Malaysia kenal jenama Skoda, namun sebenarnya pembuat automotif dari Republik Czech berkenaan mempunyai warisan sejarah sukan permotoran yang agak terkenal khususnya dalam disiplin rali. Untuk model jalan raya biasa, Skoda turut mempunyai lencana ‘RS’ yang diberikan pada versi berprestasi tinggi, dan terbaharu, ia diberikan pada model SUV iaitu Skoda Kodiaq RS yang diperkenalkan di Paris Motor Show 2018.

    Bagi membuktikan ia benar-benar sebuah SUV yang laju, Skoda Kodiaq RS ini telah di bawa ke litar Nurburgring Nordschleife bagi mencatatkan rekod. Dipandu oleh ‘Queen of the Ring’ Sabine Schmitz yang juga hanya satu-satunya wanita yang pernah memenangi perlumbaan 24-jam di litar berkenaan, Kodiaq RS berjaya mencatatkan masa lap terpantas 9 minit 29.84 saat.

    Rekod tersebut jika dibandingkan dengan SUV Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio (7 minit 51.7 saat) sememangnya agak ketinggalan, namun Kodiaq RS kini sah dinobatkan sebagai SUV tujuh-tempat duduk paling pantas di litar ‘The Green Hell’ itu.

    SUV ini dijana oleh enjin diesel 2.0 liter dengan dua pengecas turbo, membolehkan ia menghasilkan kuasa 240 PS dengan tork maksima 500 Nm yang boleh dicapai bermula 1,750 hingga 2,500 rpm, menjadikan ia sebagai enjin diesel produksi paling berkuasa pernah dihasilkan Skoda.

    Skoda Kodiaq RS – SUV 7-tempat duduk paling pantas di Nurburgring, 2.0L diesel twin turbo, 240 PS/500Nm

    Digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan, SUV ini mampu untuk memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 7 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 220 km/j. Kotak gear ini turut mempunyai fungsi coasting yang akan memutuskan kuasa dari enjin ke transmisi, membolehkan ia berlayar dengan lebih jimat bahan api dalam mod Eco.

    Buat pertama kali juga Skoda telah memperkenalkan Dynamic Sound Boost (DSB) pada model ini, yang menurut mereka ia memberikan “pengalaman berkarekteristik dan akustik emotif” pada bahagian dalam dan luar kabin. Fungsi tersebut menghasilkan bunyi yang spesifik, yang mengambil kira bunyi semula jadi dari sistem ekzos dan juga profil bunyi enjin yang diperhalusi, menurut Skoda. DSB ini berfungsi bersama Driving Mode Select yang memberikan pilihan profil Comfort, Normal, Sport dan Eco.

    Bagi sistem pacuan semua roda pula, ia dilengkapkan dengan klac pelbagai lapisan elektronik dan juga electronic differential lock yang sentiasa membuat kiraan bagi menghantar tork yang sepatutnya pada setiap roda. Sistem ini mampu untuk untuk menghantar tork sehingga 85% ke roda tertentu secara individu sekiranya diperlukan.

    Untuk pengendlian, SUV ini diberikan sistem Kawalan Casis Dinamik (DCC) yang akan melaras spring dan penyerap hentak bagi disesuaikan dengan permukaan jalan dan juga gaya pemanduan. Enam talaan berbeza telah ditetapkan iaitu Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual dan Snow. Ia turut menerima sistem stereng progresif yang akan mengadapatasi nisbah stereng bagi disesuaikan dengan kelajuan semasa, dan mengurangkan daya stereng pada kelajuan rendah/parkir.

    Bagi membezakan model lebih buas ini berbanding versi standard, model RS berkenaan diberikan bampar hadapan dan belakang istimewa, bersama kemasan hitam berkilat pada gril, penutup cermin sisi, kerangka tingkap, dan juga rel bumbung. Bampar belakang diberikan dengan reflektor panjang, dan turut menempatkan dua tip ekzos yang menonjol. Rim “Xtreme” bersaiz 20-inci menghiasi keempat-empat sudut, manakala logo vRS (v bermaksud victory) diletakkan pada hadapan dan belakang.

    Kabin SUV ini diserikan dengan tempat duduk sport bersama panel pintu yang balut Alcantara bersama motif gentian-karbon, dan juga serlahan jahitan merah, elemen rekaan berlian bersilang serta sulaman logo vRS pada perehat badan. Logo yang sama turut diletakkan pada roda stereng dan tombol gear, manakala panel instrumen Virtual Cockpit diberikan latar belakang karbon. Kemasan-kemasan gentian karbon juga boleh ditemui pada papan pemuka.

    Ciri-ciri standard lain yang turut dibekalkan pada SUV ini adalah logo Kodiaq pada bendul pintu, pakej LED untuk lampu suasana, pelapik bumbung berwarna hitam dan juga pelapik-pelapik pedal dari material logam tahan karat. Skoda Kodiaq RS ini turut boleh dipilih dalam versi lima tempat duduk yang menyediakan ruang but dengan kapasiti 600 liter.


     
     
  • Audi SQ2 ditunjuk awal sebelum penampilan di Paris

    Audi SQ2 ditunjuk awal sebelum penampilan di Paris

    Sekarang ini bukan lagi rahsia bahawa Audi sedang membangunkan satu versi yang lebih sporty bagi crossover kompak Q2, dipanggil sebagai SQ2 kerana ia telah banyak kali ditemui sedang diuji. Sekarang, pengeluar dari Jerman itu telah mengeluarkan sendiri satu gambar rasmi sebelum model tersebut ditampilkan buat kali pertama di Paris Motor Show.

    Secara mekanikalnya, SQ2 banyak berkongsi ciri dengan Volkswagen Golf R dan Audi S3, di mana penggeraknya adalah enjin petrol empat silinder 2.0 liter dengan kuasa sebanyak 296 hp dan 400 Nm.

    Ia kemudiannya dipadankan bersama kotak gear automatik Stronic DSG tujuh kelajuan serta sistem pacuan semua roda Quattro, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 4.8 saat, dan ini adlaah lebih laju daripada Porsche Cayman 718 asas (5.1 saat). Laju maksimum yang boleh dicapai pula adalah 250 km/j.

    Jika mahu membandingkannya dengan pencabar terdekat, BMW X2 M35i yang mempunyai enjin berkuasa 302 hp mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat manakala Mercedes-Benz GLA AMG dengan 375 hp pula memerlukan masa 4.4 saat. Untuk memastikan kenderaan sesuai dengan kuasa, Audi telah meletakkan brek cakera 340 mm di hadapan dan 310 mm di belakang SQ2 ini, bersama suspensi yang lebih rendah dan keras.

    Dari aspek penggayaan, SQ2 ini mendapat gril baru yang mempunyai jalur melintang, bukaan udara yang berfungsi di bampar hadapan, lampu utama LED, rim 18 atau 19 inci, dan angkup brek boleh dipilih dengan warna hitam atau merah. Berdasarkan spyshot, bampar belakang turut mendapat sedikit perubahan dan ia mempunyai empat muncung ekzos.

    Untuk bahagian dalam, Audi memberitahu, virtual cockpit kenderaan ini akan mendapat sentuhan unik model S dan akan ada banyak penjenamaan S yang digunakan di beberapa bahagian. Tempat duduk gabungan fabrik dan kulit didatangkan secara standard, dan pembeli boleh menukarnya kepada Alcantara sekiranya mahu. Tempahan untuk SQ2 akan dibuka sebelum tahun ini berakhir, dengan penyerahan akan dilakukan awal tahun hadapan.

    GALERI: Spyshot Audi SQ2

     
     
  • BMW 3 Series G20 didedah menerusi imej konfigurasi

    BMW 3 Series G20 didedah menerusi imej konfigurasi

    BMW 3 Series G20 sudah bersedia untuk diperkenalkan di Paris Motor Show hujung minggu ini, tapi sebelum ini imej konfigurasinya telah didedahkan.

    Imej tersebut telah dimuatnaik menerusi forum Bimmerpost, dan mendedahkan sedan eksekutif kompak generasi ke-tujuh dalam beberapa sudut, kemasan dan warna, termasuk bagi 330i dan M304i serta kemasan Sport Line dan pakej M Sport dengan brek M Sport. Turut didedahkan ialah empat warna luaran – Dravit Grey, Tansanit Blue II, Citrin Black II dan Vermont Bronze.

    Pernah didedahkan menerusi spyshot dan teaser rekaan luaran termasuk gril kidney berkembar besar, dwi ekzos (bulat untuk 330i, trapezoidal pada M340i), lip spoiler kecil dan grafik berbentuk-L untuk elemen pencahayaan. Nampak ada sedikit perubahan pada bahagian penggayaan bagi kereta baharu ini – walau bagaimana pun ia tidak dapat disahkan melainkan pengeluarnya sendiri yang mendedahkanny.

    Ruang dalaman juga telah didedahkan sepenuhnya dengan roda stereng M dan kluster instrumen digital 12.3-inci telah ditampilkan, bersama paparan tengan 10.25-inci dan bentangan baharu bagi corong kawalan suhu dan butang kawalan lain.

    Menariknya, set imej bagi beberapa pilihan dalaman ini menggambarkan varian yang dilengkapi Sport Automatik tidak ditampilkan tuil gear – begitu juga transmission switchgear, jadi ia mungkin dikekalkan sebegini atau pun ada configurator glitch.

    Menggunakan platform Cluster Architecture (CLAR) yang menyaksikan kereta ini lebih ringan berbanding model sebelumnya, dan bagi penjana kuasa, M304i dipadankan bersama enjin B58 petrol 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder, manakala 330i pula dengan 2.0 liter turbo empat-silinder dengan sedikit penambahan kuasa dan tork serta penjimatan bahan api yang lebih efisien. Perincian penuh mengenainya akan diketahui apabila ia dipertontonkan secara rasmi minggu ini.

     
     
  • Jualan Proton turun kepada 4,524 unit bagi September

    Jualan Proton turun kepada 4,524 unit bagi September

    Selepas mencapai rekod jualan sebanyak 9,501 unit bagi bulan Ogos, pencapaian jualan bulan September bagi Proton menurun kepada 4,524 unit. Pengenalan SST selepas tempoh cuti cukai selama tiga bulan sebelum itu menjadi antara sebab utama penurunan ini.

    Walaupun jualannya berkurang, Proton mendedahkan anggaran pegangan pasaran (peratusan dari jumlah keseluruhan industri) telah meningkat kepada 15%. Syarikat itu juga memaklumkan, jualan bagi tempoh sama berbanding tahun lalu naik 1%, sementara pegangan pasaran meningkat sebanyak 4% dari 2017.

    “Kami meramalkan kesusutan TIV bagi bulan September disebabkan pelaksanaan GST sifar pada tiga bulan sebelum ini yang telah mewujudkan peningkatan jualan yang luar biasa dalam pasaran. Selepas pengenalan semula SST, pembeli kembali kepada corak pembelian kebiasaannya tetapi terdapat pembetulan dalam jangka masa pendek.

    “Proton membuat keputusan untuk meminimakan impak dengan menyerap SST dan keputusan itu telah memanfaatkan kami berikutan keseluruhan jumlah jualan bertambah ke peringkat yang lebih tinggi setakat ini,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Jualan Proton turun kepada 4,524 unit bagi September

    Pelanggan Proton boleh menikmati tawaran harga tanpa SST untuk semua kereta Proton kerana Syarikat memutuskan untuk melanjutkan tempoh penyerapan SST bagi semua kereta bagi tempoh sebulan lagi. Terdapat juga tambahan promosi iaitu rebat untuk model terpilih.

    “Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan SST. Disebabkan itu, semua harga kenderaan Proton menjadi lebih rendah. Syarikat juga telah memutuskan untuk melanjutkan tawaran harga tanpa SST bagi tempoh sebulan lagi kerana kami ingin menawarkan penjimatan kepada pelanggan.

    “Di samping itu, kami juga mahu menarik pembeli berpotensi dengan tawaran rebat sehingga RM3,000 untuk model terpilih. Pada akhirnya, matlamat kami adalah mengekalkan tahap jualan yang konsisten. Kami juga akan menambah model Proton X70 ke rangkaian kami pada penghujung 2018,” tambah Abdul Rashid.

    Dalam perkembangan lain, Proton turut mengumumkan akan menyerahkan sejumlah RM220,370 kepada Tabung Harapan Malaysia, sebagai tambahan kepada RM61,730 yang diserahkan sebelum ini – menjadikan jumlah keseluruhan RM282,100. “Proton sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk menyumbang RM10 daripada setiap kereta yang terjual kepada Tabung Harapan bermula sejak Jun lalu hingga penghujung 2018,” ujar Rashid lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025