Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Volvo C40 Recharge P8 AWD sah akan dilancarkan di M’sia tahun ini; CKD di Shah Alam, eksport ke ASEAN

    Volvo C40 Recharge P8 AWD sah akan dilancarkan di M’sia tahun ini; CKD di Shah Alam, eksport ke ASEAN

    Ketika pelancaran SUV elektrik penuh Volvo XC40 Recharge Pure Electric untuk pasaran Malaysia hari ini, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump turut mengumumkan bahawa versi Coupe untuk SUV tersebut iaitu Volvo C40 Recharge turut akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun ini.

    Apa yang menarik, Frump turut menyatakan bahawa model dengan rupa lebih sporty tersebut turut akan dipasang secara tempatan (CKD) di fasiliti mereka di Shah Alam sama seperti XC40 Recharge EV, dan ia akan turut akan dieksport ke pasaran ASEAN.

    Model berkenaan baru sahaja dilancarkan di Thailand awal bulan ini, dan negara berkenaan menerima unit C40 Recharge yang diimport sepenuhnya dari China, dijual pada harga harga 2.75 juta baht (RM353,260). Selepas produksi model ini mula berjalan di Shah Alam kelak, Volvo Thailand turut akan menerima C40 mereka dari Malaysia, dijangka dapat dijual dengan harga lebih rendah.

    Volvo C40 Recharge P8 AWD sah akan dilancarkan di M’sia tahun ini; CKD di Shah Alam, eksport ke ASEAN

    C40 ini turut menggunakan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya P8 AWD sama seperti XC40 Recharge. Ia menampilkan dua motor elektrik untuk setiap gandar bagi memacu roda hadapan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan juga tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan crossover tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima model ini turut dihadkan hanya pada 180 km/j.

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa yang disimpan dalam bateri lithium-ion 78-kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420 km (kitaran ujian WLTP) dengan satu cas penuh. Bateri tersebut boleh dicas semula menerusi penghubung AC Type 2, yang memerlukan masa sekitar tujuh hingga lapan jam untuk dipenuhkan menggunakan palam tiga-fasa 11 kW.

    Ia juga boleh dicas semula menggunakan sistem pengecas pantas DC yang menggunakan penghubung CCS. Sistem tersebut mampu menampung sehingga 150 kW, membolehkan ia dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya sekitar 32 hingga 37 minit.

    Selepas XC40 menerima versi facelift yang baru sahaja didedahkan di Eropah bulan lalu, model tersebut kini berkongsi muka hadapan yang sama dengan C40. Apa yang berbeza, C40 menampilkan garis bumbung yang lebih sporty dan landai kebelakang, bagi disesuaikan dengan imej Coupe yang dibawa. Perbezaan tersebut menjadikan C40 ini 70 mm lebih rendah (1,582 mm) berbanding XC40.

    Rupa garis bumbung yang berbeza juga memerlukan bahagian dari tingkap sisi belakang C40 ini direka semula. Dengan pintu hatch yang lebih landai, C40 diberikan dua spoiler – satu pada bumbung dan satu lagi pada hujung bahagian but. Lampu belakang juga sudah tentu perlu dirombak bagi disesuaikan dengan bentuk baharu ini.

    Perincian lain yang diberikan pada C40 ini dilihat sama seperti XC40 Recharge. Ia termasuk bumbng panaromik, paparan instrumen digital 12.3-inci, upholsteri tekstil, sistem pendingin hawa dua zon, sistem bunyi Harman Kardon dengan 13-pembesar suara, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang dikuasakan oleh OS Android Automotive. Aspek keselamatan termasuk sistem bantuan pemanduan termaju antara kedua-dua model ini turut dilihat seiras.

     
     
  • Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 AWD dilancar di Malaysia – CKD, akan dieksport ke pasaran ASEAN

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 AWD dilancar di Malaysia – CKD, akan dieksport ke pasaran ASEAN

    Seperti yang sudah kita tahu, bermula 2030 nanti Volvo akan menjadi jenama automotif yang hanya akan menjual kereta elektrik sepenuhnya. Sasaran ini bukan hanya untuk Eropah, malah ia benar-benar akan diterapkan untuk semua pengedar Volvo seluruh dunia. Dan sebagai sebahagian dari sejarah untuk masa hadapan ini, Volvo XC40 Recharge merupakan model produksi pertama Volvo yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

    XC40 Recharge diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global pada Oktober 2019. Ia tiba di negara jiran kita iaitu Thailand pada bulan Mac tahun lalu, dan sebulan selepas itu, Volvo Cars Malaysia membuka pendaftaran minat untuk pelanggan di sini, menandakan bahawa ia akan tiba tak lama lagi.

    Walau bagaimanapun, Volvo XC40 Recharge Pure Electric hanya dilancarkan pada pasaran Malaysia hari ini, dengan majlis perasmian yang dihadiri oleh menteri perdagangan antarabangsa dan industri Y.B. Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali. Apa yang menarik, Volvo XC40 Recharge pasaran Malaysia ini dipasang secara tempatan (CKD) di Shah Alam – ini menjadikan Volvo sebagai jenama premium pertama yang memasang kereta elektrik penuh (EV) di Malaysia.

    Menurut Volvo Cars Malaysia (VCM), selain untuk pasaran tempatan, Volvo XC40 Recharge Pure Electric yang dipasang disini akan turut dieksport ke pasaran rantau Asia Tenggara yang lain tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, harga untuk model ini hanya akan diumumkan pada 4 April nanti, manakala tempahannya sudah boleh dibuat hari ini. Ia turut akan dipamerkan di bilik-bilik pameran Volvo pada hari yang sama, manakala pelanggan yang terawal menempah model ini akan menerima SUV elektrik mereka pada penghujung bulan hadapan.

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 AWD dilancar di Malaysia – CKD, akan dieksport ke pasaran ASEAN

    Sebagai rujukan, Volvo Thailand yang menerima XC40 Recharge Pure Electric mereka yang diimport sepenuhnya dari China buat sekarang menjual model berkenaan dengan harga 2,590,000 baht (RM326k) – iaitu lebih 200,000 baht (RM27k) berbanding varian Recharge T5 yang diterima dari Malaysia.

    Sebagai perbandingan, model dengan enjin petrol sepenuhnya yang dijual di Malaysia iaitu XC40 T5 AWD (2.0 liter petrol 252 hp/350 Nm) dijual pada harga RM230,090.32, manakala model plug-in hybrid (PHEV) XC40 Recharge T5 (1.5L tiga-silinder turbo bersama motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 262 PS/425 Nm) dijual pada harga RM242,711.72.

    XC40 dihasilkan dari platform Compact Modular Architecture (CMA) yang sememangnya dibangunkan bagi dijana sama ada dengan enjin konvensional, hybrid dan juga elektrik sepenuhnya (EV). Untuk XC40 Recharge ini, ia menerima unit rangkaian kuasa P8 AWD yang terdiri dari dua motor elektrik – satu pada gandar hadapan dan satu lagi pada gandar belakang, membolehkan ia memacu semua roda dengan bekalan kuasa keseluruhan 402 hp (408 PS atau 300 kW) dan tork maksima 660 Nm.

    Motor-motor berkenaan menerima kuasa elektrik dari bateri lithium iom 78 kWj yang diletakkan dalam lantai. Bateri berkenaan diberikan pelindung keselamatan berupa batang aluminium yang dilekatkan pada struktur badan kenderaan bagi memastikan ia mematuhi piawaian keselamatan yag tinggi, serta bahagian hadapan yang kini tidak lagi mempunyai enjin sebagai zon remuk telah menerima kejuteraan semula bagi memastikan ia lebih kukuh.

    Dengan segala kelengkapan yang berubah tersebut membuatkan model elektrik penuh ini mempunyai berat keseluruhan 2,150 kg atau sekitar 275-440 kg lebih berat berbanding model dengan enjin konvensional, bergantung pada kelengkapan. Namun dengan unit motor berkuasa tinggi, XC40 Recharge masih mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat serta mencatatkan kelajuan maksima yang dihadkan pada 180 km/j.

    Dengan satu cas penuh, XC40 Recharge ini mampu bergerak sejauh 418 km mengikut kitaran WLTP yang lebih ketat. Ia boleh dicas semula dengan pengecas AC 11 kW menerusi penghubung Type 2, yang memerlukan masa selama 7.5 jam untuk penuh. Malah ia juga boleh dicas semula dengan pengecas DC sehingga 150 kW dengan penghubung CCS2 yang kini telah mula disediakan pelbagai pihak, membolehkan ia dicas dari 0 hingga 80% penug dalam masa hanya 40 minit.

    Untuk rupa luaran, XC40 Recharge ini tampil dengan rupa asas yang sama dengan model petrol dan PHEV. Ia hanya dibezakan menerusi gril hadapan yang tertutup sepenuhnya, kerana ia tidak memerlukan liang udara untuk sistem penyejukkan.

    Port pengecas juga diletakkan pada posisi sama seperti lubang pengisi bahan api, berbeza dengan model T5 Recharge PHEV yang diletakkan pada fender hadapan sebelah kiri. Ia juga diberikan lencana Recharge pada tiang-C dan juga pada pintu tailgate belakang.

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 AWD dilancar di Malaysia – CKD, akan dieksport ke pasaran ASEAN

    Bahagian kabin model EV ini juga masih kelihatan sama seperti model petrol, namun ia diberikan sistem infotainmen Android Automotive OS yang menggantikan sistem Sensus. Dengan sistem ini pengguna dapat menikmati pelbagai servis dan aplikasi Google daripada Play Store dan ia disepadukan sekali dengan platform servis sambungan digital Volvo On Call.

    Dengan bateri yang diletakkan dalam lantai yang turut melibatkan lantai pada but belakang, XC40 Recharge ini menampilkan ruang kargo sebesar 413 liter, berbanding model petrol dan PHEV yang mempunyai ruang but 460 liter. Walau bagaimanapun, model elektrik penuh ini diberikan ruang kargo tambahan sebesar 31 liter pada but hadapan kerana ia tidak mempunyai enjin.

    Antara kelengkapan lain yang dapat dilihat pada XC40 Recharge Pure Electric pasaran Malaysia ini termasuk sistem pendingin hawa automatik dua-zon dengan Clean Zone, kemasan dalaman charcoal black bersama upholstei kulit Nubuck/Nappa, bumbung panaromik, serta sistem bunyi Harman Kardon 13-pembesar suara dengan amplifier 600-watt serta bunyi surround Quantum Logic.

    Untuk keselamatan pula, ia menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan yang komprehensif termasuk cruise control adaptif, bantuan berbaris dengan fungsi gerak dan henti, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan, amaran lintasan trafik belakang, dan amaran jarak hadapan. Ia juga diberikan sistem parkir automatik Park Assist Pilot serta kamera pemantau 360-darjah.

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini diberikan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Sama seperti model-model PHEV Volvo yang lain, model elektrik penuh ini turut diberikan waranti bateri lithium-ion selama lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana sampai dahulu).

    Menurut VCM, dengan keupayaan mereka untuk memasang kereta elektrik penuh menerusi kilang pemasangan tempatan miliknya sendiri, XC40 Recharge Pure Electric ini hanyalah permulaan dan syarikat berkenaan selepas ini akan melancarkan satu model kenderaan elektrik baru di Malaysia pada setiap tahun untuk tempoh lima tahun akan datang.

     
     
  • AD: Beralih kepada Mercedes-Benz S 580 e serendah RM3,888 sebulan dengan Step Up Agility Financing

    AD: Beralih kepada Mercedes-Benz S 580 e serendah RM3,888 sebulan dengan Step Up Agility Financing

    Ada orang berkata, jika ingin tahu bagaimana rupanya masa depan kenderaan, anda hanya perlu masuk ke dalam Mercedes-Benz S-Class. Pelopor sedan mewah ini sering memperkenalkan teknologi baru untuk generasi kenderaan akan datang, lama sebelum pemain industri lain menerapkannya secara lebih meluas.

    Sekarang, penawaran terkini sedan mewah paling laris di dunia berkenaan telah dilancarkan di Malaysia, dan menampilkan pelbagai inovasi terbaru seperti lampu utama Digital Light, Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terbaru dan beg udara depan penumpang belakang.

    Di luar, imejnya hadir dengan gaya sangat elegan, dengan gril besar bersama perincian krom yang ketara dan khusus. Pemegang pintu pula akan tersorong sekiranya tidak digunakan, memberikan visual yang lebih bersih serta kesa aerodinamik yang lebih baik.

    Di dalam pula, kabin dengan rekaan moden dan kemas dibalut dengan kulit Nappa dan kemasan kayu sebenar, melengkapi ciri berteknologi tinggi seperti skrin sentuh 12.8-inci OLED yang ada, paparan hiburan 11.6-inci di belakang serta tablet di tengah. Kerusi belakang juga membolehkan anda untuk menikmati masa berehat bersekali dengan ciri urutan — termasuk bahagian betis. Dan untuk pemandu, ciri seperti Distronic Active Distance Assist dan Active Steering Assist akan memudahkan lagi tugas anda.

    AD: Beralih kepada Mercedes-Benz S 580 e serendah RM3,888 sebulan dengan Step Up Agility Financing

    Semua itu, dan ditambah pula dengan sistem janaan kuasa plug-in hybrid untuk S 580 e akan memberikan sebuah pakej kenderaan yang penuh digitalisasi, keselamatan, kehalusan pembuatan, keselesaan dan elektrifikasi. Semua ini juga boleh menjadi milik anda tanpa perlu terlalu rungsing tentang pembiayaan, kerana Step Up Agility Financing daripada Mercedes-Benz Financing akan membantu anda menikmati puncak kemewahan seperti ini.

    Masa depan memang tidak menentu, tetapi pembiayaan dan bayaran ansuran kenderaan tidak perlu begitu. Manfaat daripada program Step Up Agility Financing ini adalah ia memberikan oilihan kepada anda untuk membayar kurang dalam tempoh awal pemilikan, memberi ruang untuk anda menguruskan kewangan dengan lebih baik berbanding pelan pembiayaan lain. Dalam keadaan tidak menentu seperti sekarang, untuk ada duit lebih adalah sangat berguna, terutama untuk kecemasan.

    Pelan pembayaran inovatif ini menawarkan kepada anda cara pembahagian kadar bayaran semula mengikut peringkat, menambah jumlahnya selepas dua tahun pertama pemilikan kenderaan. Dalam tempoh itu, jumlah ansuran anda boleh jadi serendah RM4,888*, atau lebih rendah lagi dengan RM3,888 bagi tahun pertama* dan RM4,888 bagi tahun kedua*. Ini membolehkan anda menaikkan jumlah ansuran berkenaan selari dengan perkembangan kerjaya anda.

    AD: Beralih kepada Mercedes-Benz S 580 e serendah RM3,888 sebulan dengan Step Up Agility Financing

    Anda juga boleh menentukan bayaran muka untuk mengurangkan lagi jumlah ansuran, serta memilih perlindungan insuran tambahan dan servis penyelenggaraan untuk lebih kelegaan fikiran. Dan kelak jika anda perlu memulangkan kereta tersebut, anda tidak perlu membayar satu sen pun kerana adanya Guaranteed Future Value, yang memastikan Mercedes-Benz akan membeli semula kereta tersebut pada harga yang telah ditetapkan awalnya.

    MobilituPlus juga melindungi anda*** sekiranya kereta anda perlu dihantar untuk servis rutin lebih daripada 48 jam. Sehingga 20 hari dalam setahun, anda layak untuk mendapatkan kereta gantian Mercedes-Benz yang berusia kurang daripada empat tahun, yang boleh diambil dan diserahkan semula di lokasi pilihan anda. Anda akan menikmati liputan di seluruh negara (termasuk Langkawi dan Labuan) dan jaminan serahan dengan kelulusan dalam masa 24 jam. Ini akan memudahkan lagi urusan anda.

    Sebagai tambahan lain, anda juga akan menerima kad Touch ‘n Go bernilai RM888 dengan setiap pembelian Mercedes-Benz S 580 e dengan Step Up Agility Financing untuk pengalaman memandu yang lebih menyenangkan. Tawaran masa terbaik untuk memiliki Mercedes-Benz ini akan berakhir 31 Mac 2022. Jadi lekas! Daftarkan minat anda di sini.

    *Berdasarkan tempoh pinjaman lima-tahun dengan bayaran muka 10-tahun dan jarak perbatuan 10,000 km setahun. Sokongan jualan selanjutnya akan mengurangkan jumlah ansuran. Tertakluk kepada terma dan syarat.
    **Tertakluk kepada caj lebihan jarak perjalanan dan penggunaan yang adil
    ***MobilityPlus hanya melindungi dalam tempoh dua tahun pertama perjanjian. Jika tempohnya hanya setahun, MobilityPlus untuk setahun akan ditawarkan.

     
     
  • TNB & PLUS sediakan bersama rangkaian pengecas pantas DC di Lebuhraya Utara-Selatan, LPT2; 8 lokasi

    TNB & PLUS sediakan bersama rangkaian pengecas pantas DC di Lebuhraya Utara-Selatan, LPT2; 8 lokasi

    Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengumumkan kerjasama dengan PLUS Malaysia (PLUS) dalam menyediakan sejumlah inisiatif kelestarian, merangkumi pembangunan bagi infrastruktur pengecasan pantas kenderaan elektrik (EV) termasuk pemasangan sistem solar photovoltaic di dua bangunan R&R di sepanjang jajaran lebuhraya PLUS.

    Pada Jumaat lalu, kedua-duanya pihak berkenaan telah menandatangani perjanjian sefahaman (MoU) bagi kerjasama inisiatif terbabit, dengan satu keutamaannya ialah pemasangan beberapa stesen pengecasan EV di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) terpilih di Lebuhraya Utara-Selatan, serta di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Sementara itu, sistem solar photovtaic pula akan dipasang di atas bumbung bangunan R&R Ayer Keroh (Arah Utara) dan R&R Tapah (Arah Utara), dengan keseluruhan jumlah bagi kapasitinya adalah melebihi 360 kWp (kilowatt peak).

    Memandangkan pengumuman kerja sama ini tidak didedahkan secara spesifik mengenai rangkaian DC, namun dokumen yang ditandatangani bagi pembangunan yang dicadang itu melibatkan sejumlah lapan stesen pengecasan pantas yang akan diperkenalkan di kedua-dua lebuhraya terbabit, iaitu enam di Lebuhraya Utara-Selatan dan dua di LPT2, melibatkan enam negeri.

    TNB & PLUS sediakan bersama rangkaian pengecas pantas DC di Lebuhraya Utara-Selatan, LPT2; 8 lokasi

    Projek dalam jangka masa lima tahun itu akan dimulakan dengan projek perintis bagi mengena pasti daya maju dan maklum balas yang berkaitan. Ia juga bakal menyaksikan pengecas berlainan yang dipasang dengan tujuan untuk penilaian dan semakan, melibatkan produk daripada
    ABB, Exicom, ChangeCore, Star Charge dan Siemens.

    Lokasi cadangan untuk stesen pengecas an itu adalah:

    • R&R Gurun (Arah Utara dan Arah Selatan, masing-masing dengan pengecas an DC Exicom 120 kW dan DC ABB 120 kW) di Kedah
    • R&R Gunung Semanggol Arah Selatan (DC Charge Core 150 kW) dan R&R Tapah Arah Utara (DC Siemens 180 kW) di Perak
    • R&R Rawang Arah Utara (DC Charge Core 150 kW) di Selangor
    • R&R Ayer Keroh Aroh Arab Utara (DC Star Charge 120 kW) di Melaka

    Pengumumam ini juga tidak menyebut bila projek ini akan mula dilaksanakan dan operasi stesennya bakal bermula. Begitu juga dengan kos pengecasan dan pembayaran, masih belum didedahkan.

    Walau bagaimana pun, ia adalah aplikasi sehenti, menyokong beberapa mod pembayaran (keahlian, kad kredit, Touch ‘n Go dan sebagainya) begitu juga beberapa protokol EVSE, yang akan dipilih sebagai platform pembayaran, dijangka akan dikendalikan oleh TNB.

     
     
  • Honda Malaysia perkenal promosi bulan Mac – diskaun sehingga RM15k, tawaran untuk model 2021 dan 2022

    Honda Malaysia perkenal promosi bulan Mac – diskaun sehingga RM15k, tawaran untuk model 2021 dan 2022

    Promosi demi promosi ditawarkan oleh syarikat pengeluar kereta sempena dengan musim perayaan. Selepas Tahun Baharu Cina, bakal menjelang tiba pula Hari Raya Aidilfitri. Ini turut mendorong Honda Malaysia untuk memperkenalkan promosi jualan bagi bulan Mac 2022. Dengan gabungan promosi “March On! Rebates” dan “Splendid Cash Treats” yang berjumlah sehingga Rm15,000, tertinggi berbanding “angpow” sehingga Rm12,000 yang ditawarkan pada Februari lalu.

    Seperti biasa, diskaun terbesar melibatkan model kereta buatan tahun 2021, bermula dari RM4,000 untuk SUV CR-V. Manakala segmen-B City pula dengan rebat sebanyak RM5,000, iaitu lebih Rm1,000 berbanding bulan lalu. Untuk HR-V dan BR-V pula, masing-masing diberikan diskaun sebanyak RM5,500 dan RM7,000. Sementara itu, diskaun terbesar pula diberikan buat model Accord dengan rebat mencecah Rm15,000, iaitu RM3,000 lebih banyak berbanding promosi Februari lalu.

    Manakala untuk model terpilih yang dikeluarkan pada tahun 2022 pula, rebat terbesar adalah melebihi yang ditawarkan pada bulan lalu (RM1,000 untuk semua model kecuali Accord yang menerima rebat sehingga RM3,000). Untuk promosi Mac, model BR-V, CR-V dan HR-V menerima rebat RM1,000, tetapi City pula diberikan rebat berganda iaitu sehingga RM2,000. Manakala Accord 2022 pula diberikan diskaun sebanyak RM4,000.

    klik untuk besarkan

    Nampak gayanya promosi yang ditawarkan ini tidak meletakkan Civic baharu dalam senarai. Dilancarkan pada Januari lalu, Civic kini didatangkan dengan enjin turbo dan Honda Sensing secara standard untuk semua varian. Sedan segmen-C ini ditawarkan pada harga dari RM125,635 untuk varian E hingga RM144,350 bagi varian baharu RS.

    Inilah masa yang cukup sesuai untuk mendapatkan penjimatan berganda, kerana selain rebat yang diberikan, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) masih lagi ‘bercuti’ hingga 30 Jun 2022. Kesemua model keluaran Honda Malaysia adalah pemasangan tempatan (CKD) dari kilangnya di Melaka, justeru, semuanya layak menerima 100% pengecualian cukai jualan.

     
     
  • Geely Binrui Cool didedah di China – bermula RM53k, 1.5L Turbo empat-silinder, 181 PS, kotak gear DCT

    Geely Binrui Cool didedah di China – bermula RM53k, 1.5L Turbo empat-silinder, 181 PS, kotak gear DCT

    Geely telah pun mendedahkan model Binrui Cool untuk pasaran China, iaitu versi lebih sporty untuk sedan segmen-C, Geely Binrui. Model ini dilaporkan akan dijual di pasaran berkenaan pada suku kedua tahun ini. Seperti nama dan rupanya, Binrui Cool disasarkan untuk pelanggan yang lebih muda, dan bakal dijual dengan harga bermula sekitar 79,800 yuan (RM52,776).

    Berbanding model standard Binrui yang masih mengenakan gril Expanding Cosmos, Binrui Cool ini diberikan muka dengan falsafah rekaan “Racing Storm” baharu. Ia bukan sahaja melibatkan penukaran gril yang lebih nipis, malah diberikan lampu hadapan dengan grafik dalaman menampilkan tiga jalur LED pada bahagian ‘kening’.

    Ia juga menerima bahagian ‘mulut’ yang lebih besar dan bersegi pada bahagian bampar hadapan, serta diberikan spoiler bawah yang agak agresif dan lebar, bersama liang pengambilan udara dengan kemasan merah. Juga dapat diperhatikan, Binrui Cool ini diberikan lencana “F” pada bahagian gril, kerana Binrui Cool adalah model lebih sporty untuk Binrui F Sport (varian paling sporty untuk Binrui biasa), menurut laporan CarNewsChina.

    Di belakang, Binrui Cool menerima lampu belakang yang juga menampilkan grafik tiga jalur berkembar bagi diselarikan dengan rekaan hadapan. Manakala pada bampar, kemasan diffuser juga direka lebih besar dan agresif, menampilkan kemasan seakan gentian karbon serta menyerlah dua tip ekzos berbentuk oval yang besar dalam kemasan krom.

    Geely Binrui Cool didedah di China – bermula RM53k, 1.5L Turbo empat-silinder, 181 PS, kotak gear DCT

    Profil asas bahagian sisi Binrui Cool ini masih lagi nampak sama, tetapi ia kini menerima kemasan-kemasan lebih garang termasuk rim aloi 17-inci berwarna hitam, angkup brek diserlahkan dengan terang, skirt sisi dengan splitter udara serta jalur merah di bawahnya, dan juga spoiler belakang bersaiz besar pada penutup but belakang.

    Dalam kabin, Binrui Cool nampaknya turut diberikan papan pemuka yang berbeza. Jika Binrui standard diberikan papan pemuka yang direka seakan papan pemuka dari Boyue/Proton X70, Binrui Cool ini pula diberikan papan pemuka dengan rekaan lebih bersegi, mendatar dan lebih ringkas.

    Ia menerima paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, dan nampak seperti bersambung dengan skrin sesentuh infotainmen yang terletak di tengah dengan posisi berdiri sendiri. Kabin Binrui Cool ini juga dihasilkan fokus untuk pemandu, dengan kesemua suis kawalan diletakkan agar mudah dicapai oleh pemandu.

    Ia juga diberikan tempat duduk lebih sporty, serta diberikan upholsteri gabungan polyurethane hitam, kulit dan material sued palsu untuk keseluruhan kabin, bersama serlahan benang oren. Logo-logo “F” juga boleh ditemui pada panel pintu dan juga pada tombol penukar gear.

    Geely Binrui Cool didedah di China – bermula RM53k, 1.5L Turbo empat-silinder, 181 PS, kotak gear DCT

    Berbanding Binrui biasa yang hanya dijana oleh enjin 1.4 liter turbo berkuasa 141 PS dan tork maksima 235 Nm, Binrui Cool ini nampaknya diberikan enjin 1.5 liter empat silinder berkuasa 181 PS. Enjin empat silinder baharu ini dilaporkan turut akan digunakan pada varian baharu Geely Binyue (kembar kepada Proton X50) yang djuga akan diperkenalkan tidak lama lagi.

    Enjin berkenaan masih dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7-DCT, bagi memacu roda hadapan. Geely Binrui dihasilkan dari platform B-Segment Modular Architecture (BMA) yang dibangunkan oleh Geely bersama Volvo. Ia turut menjadi asas kepada SUV segmen-B Geely Binyue/Proton X50, serta sedan segmen-B Geely Emgrand.

    Platform yang sama turut akan digunakan oleh Proton untuk membangunkan sedan baharunya bagi menggantikan Proton Preve, bakal digandingkan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik yang akan menggantikan enjin 1.6 liter turbo CFE.

     
     
  • Golongan belia paling ramai maut dalam kemalangan jalan raya – lebih 14,000 kes antara 2019-2021- PM

    Golongan belia paling ramai maut dalam kemalangan jalan raya – lebih 14,000 kes antara 2019-2021- PM

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata golongan belia mencatatkan kematian yang tertinggi dalam kemalangan jalan raya di negara ini.

    Di mana ia mencatatkan rekod sebanyak 14,308 kes kematian antara 2019 hingga 2021, iaitu hampir separuh daripada keseluruhan kes kematian akibat nahas jalan raya dalam tempoh tiga tahun, laporan Berita Harian.

    Tambah beliau, secara purata, sejumlah 4,769 nyawa dilaporkan telah terkorban di jalan raya setiap tahun dalam tempoh berkenaan.

    “Dalam tempoh sama, golongan belia mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu secara purata 7,077 kes, mencecah hampir 50% daripada kadar jumlah kematian akibat nahas jalan raya.

    “Statistik ini menunjukkan golongan muda terdedah kepada risiko lebih tinggi ketika berada di jalan raya dan ini adalah cabaran utama pihak penguat kuasa untuk membendungnya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Kompleks Rakan Muda Bera, Pahang, semalam.

     

     
     
  • BMW kini pemilik sepenuhnya jenama Alpina

    BMW kini pemilik sepenuhnya jenama Alpina

    BMW Group mengumumkan bahawa mereka kini memiliki jenama Alpina setelah membeli syarikat pemilik jenama berkenaan iaitu Burkard Bovensiepen GmbH und Co. Alpina sebelum ini sememangnya terkenal sebagai penala bebas yang sentiasa menghasilkan model-model talaan penuh serta berlumba dengan menggunakan asas model-model dari BMW, sejak 1965.

    Menurut BMW, dengan adanya jenama Alpina di bawahnya, ia akan “membawa kepelbagaian yang lebih luas kepada rangkaian kereta mewahnya sendiri,” serta menjamin masa hadapan jangka masa panjang jenama Alpina dan syarikatnya.

    Menerusi perjanjian korporat jangka masa panjang antara BMW dan Alpina yang sebelum ini yang telah pun dipanjangkan untuk lima tahun lagi pada penghujung 2020, masih akan tamat pada 31 Disember 2025. Kedua-dua syarikat bersetuju untuk tidak mendedahkan apa-apa perincian keawangan.

    “Industri automotif kini berada di tengah-tengah transformasi yang meluas ke arah mobiliti mampan. Atas sebab itu, model perniagaan sedia ada perlu dinilai semula secara berkala. Selama lebih 50 tahun, firma Buchloe telah mendemonstrasikan bagaimana untuk membawakan kereta berprestij berkualiti tinggi melalui perhatian yang teliti terhadap perincian. Kumpulan BMW juga didorong oleh keghairahan yang sama terhadap kereta yang dibayangkan imaginasi. Itulah sebabnya kami kini memulakan lembaran baharu dalam perkongsian jangka masa panjang kami,” kata Pieter Nota, ahli lembaga BMW yang bertanggungjawab untuk pelanggan, jenama dan jualan.

    BMW kini pemilik sepenuhnya jenama Alpina

    “Dengan memiliki tanda dagangan akan membolehkan kami membentuk perjalanan jangka panjang jenama ini yang penuh dengan tradisi. Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan jenama Alpina kepada keluarga BMW,” tambahnya.

    BMW menyatakan bahawa transformasi terhadap elektromobiliti dan peningkatan regulasi di seluruh dunia, secara khususnya perundangan emisi, validasi perisian dan keperluan untuk sistem bantuan pemanduan dan pemantuan pemandu, telah menyebabkan syarikat-syarikat pengeluar kecil terpaksa berhadapan dengan risiko yang semakin tinggi. Oleh itu, pihak pengurusan Alpina mengatasi masalah ini dengan “rombakan semula strategik yang akan menjamin kelangsungan jangka masa panjang” operasinya.

    “Kami mengenalpasti cabaran yang dihadapi oleh industri automotif awal dan kini kami menetapkan laluan yang betul kepada Alpina dan syarikat keluarga kami, iaitu Bovensiepen. Ini adalah titik permulaan untuk satu episod baharu,” kata Andreas Bovensiepen, pengarah urusan bersama Alpina.

    “Jenama Alpina dan syarikat kami kedua-duanya adalah sangat diingini. Jadi kami membuat keputusan yang waras untuk tidak menjual Alpina kepada sembarangan pengeluar, kerana BMW dan Alpina telah bekerjasama dan mempercayai antara satu sama lain untuk tempoh berdekad-dekad. Sebab itu mengapa ini adalah keputusan yang betul secara strategik bagi jenama Alpina untuk diuruskan oleh BMW Group pada masa akan datang,” jelasnya lagi.

    Dengan termaktubnya perjanjian baharu ini, kerjasama antara BMW dan Alpina masih akan diteruskan tetapi dalam bentuk yang berbeza. Alpina masih akan terus menggunakan kepakaran mereka dalam pembangunan, pembuatan dan menjual model-model BMW Alpina mengikut perjanjian yang masih berjalan sehingga akhir 2025.

    Alpina bukan penala seperti kebanyakkan penala lain, kerana ia diklasifikasikan sebagai pengeluar. Ini kerana setiap model-model Alpina akan dipra-pasang di kilang BMW terlebih dahulu, dan kemudian dihantar ke fasiliti Alpina yang terletak berhampiran Buchloe dan kemudian menerima modifikasi yang ekstensif, termasuk pada bahagian enjin dan transmisi, casis, aerodinamik dan bahagian dalaman, sebelum dijual sebagai sebuah model “BMW Alpina”.

    Perniagaan servis, komponen dan aksesori bagi model-model BMW Alpina sedia ada akan diteruskan di lokasi Buchloe dalam masa yang panjang. Tiada sebarang perubahan terhadap pengurusan selepas jualan sedia ada. Sebagai sebahagian dari kerjasama strategik kedua-dua syarikat, akan ada pengembangan yang akan dibuat pada perniagaan pembangunan servis sedia untuk BMW diluar Buchloe. Namun perniagaan minuman keras Alpina tidak termasuk dalam perjanjian baharu dengan BMW ini.

     
     
  • BMW X4 2022 facelift di Malaysia — galeri penuh bagi varian tunggal xDrive30i M Sport, harga dari RM387k

    BMW X4 2022 facelift di Malaysia — galeri penuh bagi varian tunggal xDrive30i M Sport, harga dari RM387k

    Diperkenalkan bersekali bersama BMW X3 facelift bulan lalu, BMW Malaysia turut mengumumkan BMW X4 2022 facelift. BMW membawakan X3 dan X4 LCI ini ke sini dalam masa agak singkat, memandangkan kedua-duanya diumumkan di peringkat global pada Jun 2021. X4 G02 ini merupakan unit pemasangan tempatan, dan ditawarkan dalam satu varian tunggal xDrive30i M Sport dengan harga RM387,274.

    Harga ini adalah atas jalan tidak termasuk insurans, dan termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan disertakan dengan BMW Service dan Repair Inclusive. Ia juga termasuk pengecualian cukai SST, 100% bagi model CKD.

    X4 xDrive30i M Sport dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder dengan janaan 252 hp dan 350 Nm tork dari 1,450 hingga 4,800 rpm. Ia disertai juga dengan sistem pacuan semua roda melalui kotak gear automatik lapan-kelajuan ZF. Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa 6.3 saat dan laju maksimum 240 km/j.

    BMW X4 2022 facelift di Malaysia — galeri penuh bagi varian tunggal xDrive30i M Sport, harga dari RM387k

    Mudah untuk membezakan model facelift ini dengan yang sebelumnya, yang pertama kali ditunjukkan awal 2018. Ia menerima “kidney grille” yang sedikit lebih besar dengan bingkai tunggal. Sebuah palang hitam ditengahnya bertindak sebagai pemisah, dengan perincian mesh di dalamnya.

    Apron depannya pula mempunyai bukaan udara melintang dan bukaan bawah yang direka semula. Lampu utamanya (adaptif LED) juga baru — kini dengan 10 mm lebih mendatar berbanding sebelumnya. Di belakang, perubahan paling ketara adalah separuh ke bawah, dengan kit M Sport X4 ini mempunyai apron lebih lebar dengan perincian hitam. Mungcung ekzosnya juga lebih besar. Rim yang digunakan pula bersaiz 20-inci jenis Style 699 M dengan tayar run flat. Tidak lupa juga ada pakej brek M Sport.

    Di dalam, papan pemukanya menerima rekaan baru yang lebih menarik dengan kelengkapan Live Cockpit Professional melibatkan paparn 12.3-inci, BMW Intelligent Personal Assistant dengan servis BMW Connected. BMW Operating System 7 juga melengkapi model ini.

    BMW X4 2022 facelift di Malaysia — galeri penuh bagi varian tunggal xDrive30i M Sport, harga dari RM387k

    Ciri dalam BMW Intelligent Personal Assistant juga ada pertambahan, dengan kini membenarkan pengguna membuka tingkap serta melaraskan sistem pendingin menggunakan suara. Satu lagi ciri baru adalah sistem tunjuk arah BMW Maps, yang kini lebih tepat dengan kemaskini lalulintas yang lebih menyeluruh.

    X4 LCI di Malaysia turut menyertakan Driving Assistant, yang menawarkan ciri seperti amaran penukaran lorong dan amaran perlanggaran hadapan dengan AEB. X4 pertama yang diperkenalkan di sini tidak mempunyai ciri AEB ini. Ini disertai juga oleh bantuan parkir, bantuan mengundur dan head-up display. Juga ada sistem bunyi Harman Kardon 464W dengan 16-pembesar suara.

    Pilihan warna luaran termasuk Alpine White, Phytonic Blue, Carbon Black dan the Piemont Red (gambar). Ruang dalaman menggunakan kulit Vernasca hitam dengan jahitan kontras, tetapi bagi warna luaran Alpine White dan Carbon Black, pembeli boleh memilih kulit Tacora Red.

    BMW X4 xDrive30i M Sport 2022

     
     
  • BMW X3 facelift 2022 di Malaysia – galeri penuh LCI G01 bagi versi xDrive30i M Sport, berharga RM329k

    BMW X3 facelift 2022 di Malaysia – galeri penuh LCI G01 bagi versi xDrive30i M Sport, berharga RM329k

    BMW X3 G01 mula berada di pasaran Malaysia sejak bulan lalu, namun tika itu kami hanya dibekalkan foto global. Baru kini kami dapat merakamkan galeri penuh SUV ini bagi model spesifikasi tempatan.

    SUV eksekutif kompak ini ditawarkan dengan dua varian petrol, dengan kedua-duanya adalah versi M Sport. Varian sDrive20i ditawarkan pada harga atas jalan RM289, 096 tanpa insurans, naik sebanyak RM18, 000 berbanding model terdahulu. Manakala varian xDrive30i pula dijual pada harga RM329, 289. Varian xDrive30e plug-in hybrid turut ditawarkan.

    Harga ini termasuk dengan rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2022, turut didatangkan dengan waranti standard dua-tahun, tanpa had perbatuan. Namun jika pembeli mahu mendapatkan waranti Lima-tahun dan pakej servis, ada pertambahan harga Iaitu masing-masing menjadi  RM307,946 dan RM348,139.

    Kesemua model menerima enjin yang sama Iaitu unit B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder. Namun ada perbezaan kuasa yang dihasilkan – varian sDrive20i mampu menghasilkan 184 PS dan tork 300Nm, xDrive30i pula melonjak ke 252 PS dari 5,200 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm antara 1,450 dan 4,800 rpm.

    BMW X3 facelift 2022 di Malaysia – galeri penuh LCI G01 bagi versi xDrive30i M Sport, berharga RM329k

    Ia turut menampilkan kotak gear automatic lapan-kelajuan ZF (xDrive30i turut menerima versi Sport) dan pedal penukar gear. Hanya model spesifikasi tertinggi xDrive adalah pacuan semua-roda. Bagi angka prestasinya, pecutan dari 0-100km/j boleh dicapai dalam 6.3 saat dan kelajuan maksimum cecah 240 km/j. Penggunaan bahan api bagi xDrive30i adalah antara 7.6 dan 8.5 liter bagi setiap 100 km.

    Juga dipertontonkan sebagai iX3 yang disemak semula, model facelift ini diberikan lampu utama trapezoidal yang nipis (dengan lampu nyalaan siang haksagon pada unit adaptif LED), gril besar dan lampu belakang tiga-dimensi gaya ala-penyepit. Bagi pakej M Sport, ia ditanbah dengan enam poin pengambilan udara tengah, corong sudut berbentuk-L, dan bampar belakang bersama kemasan ala diffuser dengan corong paip ekzos trapezoidal.

    Perbezaan ciri antara xDrive301 dengan sDrive20i ialah rodanya. Di mana varian rendah menerima unit aloi Style 887 M dua-tona 19-inci. Manakala varian tertinggi diberikan roda aloi Style 787 M 20-inci dengan tayar run-flat Pirelli P Zero. Ia turut diberikan brek M Sport yang besar dengan kaliper biru terang.

    BMW X3 facelift 2022 di Malaysia – galeri penuh LCI G01 bagi versi xDrive30i M Sport, berharga RM329k

    Perubahan yang ketara kelihatan pada bahagian dalamnya, dengan papan pemuka bersudut seperti mana yang diberikan pada 3 Series G20, termasuk suis kawalan ergonomik. Ia turut diberikan skrin sesentuh tengah freestanding yang lebih besar berbanding sebelum ini – paparan 10.25 inci kini berikan pada unit asas sDrive20i, dipadankan dengan kluster instrumen analog dan paparan pelbagai-info 5.7 inci serta BMW Live Cockpit Plus.

    Larasan Professional pada xDrive301 dipertingkatkan dengan paparan instrument dan infotainment 12.3 inci berkembar. Ia turut disepadukan dengan BMW Operating System 7, dengan widget yang lebih besar. Turut diberikan sistem bunyi Harman Kardon 16-pembesar suara dengan 464 watt, Manakala sDrive20i menerima sistem HiFi dengan 12 pembesar suara.

    Selain itu, ciri tambahan M Sport merangkumi roda stereng, tempat duduk sport, pedal aloi dan headlining hitam M Sport. XDrive301 turun diberikan kemasan brushed aluminium (berbanding aluminium gelap dengan paten rhombic pada sDrive20i) dan balutan papan pemuka kulit tiruan Sensatec, dan kulit upholstery Vernasca diberikan secara standard.

    Lain-lain ciri yang mirip antara keduagdua varian termasuklah suspensi M Sport pasif, kemasukan tanpa kunci, buang penghidup enjin, kawalan suhu automatic tiga-zon, tempat duduk hadapan Larasan kuasa dengan bahagian pemandu diberikan fungsi memori dan kawalan kelajuan pasif, bantuan parkir, kamera undur dan tailgate larasan kuasa bebas tangan.

    Bagi aspek keselamatan, X3 didatangkan ciri standard termasuk Pakej Bantuan Pemandu, yang merangkumi brek kecemasan sendiri, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang dengan penghindar pelanggaran. Enam beg udara, kawalan kestabilan dan cagak ISOFIX belakang diberikan seperti biasa.

    X3 didatangkan dengan empat pilihan warna termasuk solid Alphine White dan metallic Brooklyn Grey, Phytonic Blue serta Carbon Black. Spesifikasi standard termasuk dalaman dengan rona hitam, walau pun pelanggan boleh memilih Mocha Brown dengan Alphine White dan Carbon Black tanpa caj tambahan. Layari CarBase.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kelengkapan dan spesifikasi penuh X3.

     
     
  • Yamaha 135LC Fi V8 2022 vs Y15ZR dan Y16ZR – di manakah kelebihan dan kekurangan setiap model?

    Yamaha 135LC Fi V8 2022 vs Y15ZR dan Y16ZR – di manakah kelebihan dan kekurangan setiap model?

    Pelancaran Yamaha 135LC Fi beberapa hari lepas mungkin menimbulkan pertimbangan semula bagi mereka yang bercadang untuk membeli sebuah kapcai baru. Ini kerana harga RM7,798 yang ditetapkan menjadikan ia semakin hampir kepada Y15ZR yang berharga RM8,168. Sebelum ini masalah itu mungkin tidak timbul kerana 135LC karburetor jelas lebih murah iaitu RM6,868. Semua harga yang kami nyatakan ini adalah harga yang dikeluarkan oleh pengeluar dan tidak termasuk insurans serta cukai jalan.

    Jadi, demi memberi sedikit bantuan kepada anda untuk membuat pilihan, di sini kami sertakan perbandingan berdasarkan spesifikasi dua motosikal ini, dan disertakan sekali dengan Y16ZR yang juga boleh dianggap sebagai satu lagi ‘kapcai panas’ daripada Yamaha. Walaubagaimanapun, jelas sekali Y16ZR mempunyai harga yang jauh lebih tinggi berbanding 135LC Fi dan juga Y15ZR, iaitu RM10,888.

    Jadi, dengan harga yang dinyatakan, di manakah letaknya kelebihan dan kekurangan semua model ini?

    Pertamanya mari kita lihat kepada 135LC Fi. Peningkatan harga hampir RM1,000 (berbanding 135LC lama) yang dibuat adalah disebabkan beberapa ciri baru termasuk enjin suntikan bahan api, lampu LED, panel meter digital LCD serta brek cakera belakang. Kalau anda ada mempertimbangkan untuk pergi terus kepada Y15ZR yang harganya cuma lebih RM370, semua ciri ini juga ada pada moped 150 cc tersebut.

    Cumanya, apabila anda berjimat RM370 dengan memilih 135LC Fi, anda juga akan kekurangan pada aspek kapasiti enjin (-15 cc), transmisi (kurang satu kelajuan kerana 135LC Fi cuma empat kelajuan) dan sudah tentu, kuasa (-2.7 hp dan -1.6 Nm). Selain daripada itu, anda juga tidak akan mendapat butang kill switch dan pass light, serta pemijak kaki boleh lipat (menjadi pilihan mereka yang suka mengambil selekoh kerana dirasakan lebih selamat) pada 135LC Fi.

    Di sini anda sudah boleh melihat pelbagai kelebihan Y15ZR. Walaubagaimanapun, ada perkara yang boleh memadamkan hasrat untuk orang memilih moped 150 cc ini berbanding 135LC Fi. Pertamanya adalah tuil klac tangan. 135LC Fi walaupun cuma mempunyai empat kelajuan, hadir dengan klac jenis automatik, yang bermakna penunggang tidak perlu menarik klac tangan untuk memasukkan gear (tuilnya memang tak ada). Ini dirasakan lebih mudah bagi sesetengah orang, dalam keadaan tertentu seperti dalam kesesakan trafik atau memegang sesuatu dengan tangan kiri.

    Yamaha 135LC Fi V8 2022 vs Y15ZR dan Y16ZR – di manakah kelebihan dan kekurangan setiap model?

    Kemudiannya, 135LC Fi juga datang dengan tayar serta rim yang lebih kecil, iaitu bersaiz 70/90 R17 di hadapan dan 80/90 R17 di belakang, berbanding 90/80 R17 di hadapan dan 120/70 R17 di belakang untuk Y15ZR. Satu masa dulu, penggunaan tayar besar memang menjadi trend, tapi sekarang, lebih ramai yang gemarkan tayar lebih kecil dan kita boleh melihat ramai yang melakukannya pada Y15ZR. Satu lagi perkara, rekaan rim seperti Y125ZR pada 135LC Fi memang menjadi pujaan ramai.

    Kelengkapan lain seperti suspensi, brek dan sistem bahan api pada 135LC Fi dan Y15ZR adalah sama sahaja, tetapi kekurangan lain Y15ZR adalah tangki bahan api 4.2 liternya adalah lebih kecil berbanding 135LC Fi (4.6 liter) sementara berat juga adalah lebih bagi Y15ZR, iaitu 115 kg, berbanding 109 kg bagi 135LC Fi.

    Sekarang kita pergi pula kepada Y16ZR. Harganya yang lebih mahal, iaitu lebih RM2,720 berbanding Y15ZR dan lebih RM3,090 berbanding 135LC Fi adalah disebabkan beberapa kelebihan. Pertamanya, adalah enjin, di mana selain kapasitinya lebih tinggi, iaitu 155 cc, ia juga datang dengan sistem Variable Valve Actuation (VVA) yang menjadikannya lebih berprestasi.

    Kuasanya juga sudah tentu lebih tinggi, iaitu lebih 2.5 hp dan 0.6 Nm berbanding Y15ZR, dan lebih 5.2 hp dan 2.2 Nm berbanding 135LC Fi. Enjin pada ketiga-tiga model ini menggunakan sistem penyejukan cecair, SOHC serta sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), tetapi Y16ZR ditambah lagi satu gear pada transmisi (berserta kelebihan klac jenis slip & assist), menjadikannya enam kelajuan.

    Y16ZR juga mempunyai pelbagai lagi kelebihan lain seperti sistem kunci pintar, pass light, soket kuasa 12V, angkup brek hadapan dua piston serta tangki bahan api lebih besar (5.4 liter). Dari aspek mana pun kita memandang kepada Y16ZR ini, ia memang mempunyai kelebihan berbanding 135LC Fi dan Y15ZR, kecuali jika ada yang berminat dengan saiz tayar yang lebih kecil.

    Jadi, itulah dia perbandingan antara tiga moped terkenal Yamaha, yang mana mungkin boleh membuatkan bakal pembeli lebih jelas tentang perbezaannya. Apa pun, masing-masing mempunyai minat, keutamaan serta kemampuan yang tersendiri dalam memilih model yang akan dibeli, jadi, fikirkanlah mengikut kesesuaian sendiri dan bukannya mengikut orang. Nanti juga kami akan buat perbandingan dengan beberapa model jenama lain seperti Suzuki Raider R150 Fi serta Honda RS-X.

    GALERI: Yamaha 135LC Fi


    GALERI: Yamaha Y15ZR V2

    GALERI: Yamaha Y16ZR


     
     
  • Acura Integra 2023 didedah – bermula RM126k, 1.5L VTEC Turbo, 200 hp/260 Nm, 6-kelajuan manual & CVT

    Acura Integra 2023 didedah – bermula RM126k, 1.5L VTEC Turbo, 200 hp/260 Nm, 6-kelajuan manual & CVT

    Hanya selepas sekitar enam bulan Acura mengumumkan bahawa mereka akan menghidupkan semula nama Integra, kini model produksi sebenar Integra 2023 secara rasminya telah pun didedahkan. Seperti yang anda boleh lihat, model produksi Integra ini tampil dengan rupa yang sama seperti versi prototaipnya yang diperkenalkan pada Disember lalu.

    Seperti yang diketahui, Integra generasi baharu ini masih dibina berasaskan falsafah penghasilannya bagi model-model generasi sebelum ini iaitu diasaskan dari platform yang sama dengan Civic. Untuk model 2023 ini, sudah tentu ia merupakan kembar kepada Civic generasi ke-11 sedia ada.

    Oleh itu, ia turut dijana oleh enjin yang sama iaitu unit 1.5 liter empat silinder VTEC Turbo. Angka kuasa yang dihasilkan oleh enjin berkenaan juga dilihat sama seperti talaan yang diberikan pada Civic Si pasaran Amerika Syarikat iaitu 200 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 260 Nm bermula 1,800 hingga 5,000 rpm.

    Enjin ini juga dibekalkan dengan sistem ekzos jenis gegelung baharu, membolehkan ia “menghasilkan bunyi ekzos yang beremosi bagi memberikan pengalaman pemanduan Integra yang lebih intim”, dakwa Acura.

    Acura Integra 2023 didedah – bermula RM126k, 1.5L VTEC Turbo, 200 hp/260 Nm, 6-kelajuan manual & CVT

    Berbanding Civic Si yang hanya dihasilkan dengan kotak gear manual, Acura Integra 2023 ini pula menampilkan transmisi CVT automatik secara standard. Menurut Acura, kotak gear CVT pada Integra ini telah ditala secara spesifik untuk enjin turbo berkuasa tinggi berkenaan, dan ia memberikan input pendikit yang cepat serta diberikan program Step Shift yang memberikan tukaran gear maya ketika memecut.

    Pemandu turut diberikan pedal penukar gear pada roda stereng secara standard bagi membolehkan mereka memilih gear seakan gear manual pada kotak gear CVT tersebut.

    Namun bagi mereka yang mahukan tukaran gear sebenar, Acura turut menawarkan kotak gear enam-kelajuan manual untuk Integra 2023. Melihat pada spesifikasi, kotak gear manual ini nampaknya diambil terus dari Civic Si kerana ia bukan sahaja diberikan nisbah gear rapat, tuil gear jenis short-shift dan juga sistem rev-match yang membolehkan anda menurunkan gear secara agersif tanpa kemahiran heel & toe, malah ia turut diberikan LSD jenis helical bagi membolehkan kedua-dua tayar hadapan ‘mengigit’ permukaan jalan ketika mengambil selekoh.

    Acura Integra 2023 ini juga dibekalkan dengan Integrated Dynamics System (IDS) yang menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Normal dan Sport. Pilihan setiap mod berkenaan akan menala semula respon pendikit,pemetaan untuk transmisi (bagi model CVT), rasa terhadap stereng dan juga warna pada paparan instrumen.

    Acura Integra 2023 didedah – bermula RM126k, 1.5L VTEC Turbo, 200 hp/260 Nm, 6-kelajuan manual & CVT

    Bagi pembeli yang memilih model A-Spec bersama Technology Package, ia juga akan dibekalkan dengan larasan bunyi dalam kabin, serta satu lagi mod pemanduan iaitu “Individual”. Dengan mod ini, pemandu boleh membuat sendiri kombinasi larasan IDS mengikut selera masing-masing.

    Model A-Spec dengan Technology Package ini juga dibekalkan dengan suspensi jenis adapatif menerusi Adaptive Damper System (ADS). Dengan suspensi ini, karekter penyerap hentak turut akan berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih.

    Acura Integra 2023 ini hadir hanya dalam satu bentuk badan iaitu liftback lima-pintu. Walaupun generasi-generasi Integra sebelum ini lebih popular muncul dengan badan tiga-pintu, Integra sememangnya ada dihasilkan dalam versi liftback lima-pintu sejak generasi pertama. Malah Integra liftback lima-pintu juga sebenarnya adalah model pertama dengan logo Acura dilancarkan di Amerika Syarikat pada tahun 1986.

    Dengan asas badan yang sama, boleh dilihat Integra menampilkan bentuk tiang-A, garis bumbung dan cermin tingkap sisi yang hampir sama dengan Civic sedan. Bagi menghasilkan rupa sebuah model liftback, but belakang pada Integra ini tidak sama dengan Civic Hatchback, tetapi ia lebih seperti Civic sedan yang diberikan pintu hatch. Bayang sisi badan, garis bumbung dan bentuk but belakang Integra ini turut membolehkan ia digelar sebagai Coupe lima-pintu.

    Acura Integra 2023 didedah – bermula RM126k, 1.5L VTEC Turbo, 200 hp/260 Nm, 6-kelajuan manual & CVT

    Rekaan bonet hadapan yang tidak bersambung dengan lampu dan gril juga adalah sama seperti Civic, namun ia diberikan muka yang lebih dengan gaya signatur terkini Acura iaitu lampu hadapan LED JewelEye bersama lampu jalur lampu nyalaan siang “Chicane” bina dalam, dan juga gril Diamond Pentagon tanpa kerangka.

    Lampu belakang turut dihasilkan dengan konsep yang sama seperti bahagian hadapan. Manakala bampar belakang pula tampil ringkas dengan hanya reflektor melintang pada setiap sisi, bersama ruang plat pendaftaran di tengah, serta kemasan diffuser berwarna hitam berkilat yang turut menyerlahkan sepasang tip ekzos berbentuk oval.

    Bagi memberikan ‘aura’ dari model-model terdahulu, perkataan ‘INTEGRA’ turut diukir pada bampar – di bawah lampu kiri hadapan dan kanan belakang – sama seperti model-model Integra generasi sebelum ini, atau secara spesifiknya pertama kali tampil pada model generasi ketiga.

    Integra 2023 ini ditawarkan dengan rim aloi 17-inci secara standard, namun Acura turut menawarkan pilihan tingkat taraf untuk rim 18- dan 19-inci. Pembeli yang memilih pakej pengayaan A-Spec pula akan menerima penampilan lebih garang dengan perincian seperti kemasan hitam berkilat pada keliling tingkap sisi serta muka hadapan dan belakang, lip spoiler pada but belakang, rim aloi Shark Gray 18-inci bersama tayar prestasi 235/40R18 serta lencana A-Spec pada fender hadapan dan penutup but belakang.

    Manakala dalam kabin, Integra nampaknya masih berkongsi banyak perincian yang sama dengan Civic, namun diberikan beberapa ciri yang lebih unik. Liang penghembus penghawa dingin pada Integra ini tidak merentangi sepenuhnya papan pemuka seperti Civic, dan elemen sarang lebah pada liang tersebut diganti dengan elemen rekaan seperti batu permata.

    Juga terdapat perapi tambahan diletakkan pada papan pemuka bahagian penumpang yang bersambung pada konsol tengah, bagi mengasingkan ruang kepada pemandu, mewujudkan papan pemuka yang nampak lebih fokus kepada pemandu. Tombol gear juga menampilkan rekaan yang sedikit berbeza untuk Integra ini berbanding Civic.

    Integra datang dengan Precision Cockpit secara standard, dan ia menampilkan paparan instrumen digital 10.2-inci untuk pemandu, skrin sesentuh tujuh-inci untuk sistem infotainmen yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, dan sistem bunyi dengan lapan pembesar suara.

    Manakala untuk pembeli yang memilih Technology Package, mereka akan menerima tingkat taraf skrin infotainmen lebih besar bersaiz sembilan-inci, sistem bunyi 3D ELS Studio dengan 16-pembesar suara, Android Auto dan Apple Carplay hubungan tanpa wayar, sokongan Alexa, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga paparan head-up 5.3-inci.

    Perincian-perincian lain yng turut diberikan termasuk sistem lampu suasana, tempat duduk hadapan larasan elektrik, upholsteri kulit, sistem telematik AcuraLink, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, serta bumbung suria berkuasa.

    Untuk keselamatan, Acura Integra ini didatangkan standard dengan sistem bantuan pemanduan AcuraWatch, yang menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, Pengenal Tanda Traik (TSR), cruise control adaptif (ACC) dan sistem bantuan kekal lorong (LKAS). Khas untuk model yang menggunakan kotak gear CVT, ia juga menerima sistem Traffic Jam Assist (TJA).

    Acura Integra 2023 ini akan dijual di pasaran Amerika Syarikat dengan harga bermula sekitar USD30,000 (RM125,760). Tempahannya kini dibuka, dan pelanggan terawal yang menempah bakal menerima kereta mereka bermula musim bunga nanti. Ia bakal diproduksi di fasiliti di Marysville, Ohio, iaitu barisan produksi yang sama menghasilkan Acura TLX, dan ia juga merupakan Integra pertama yang dihasilkan di AS.



     
     
  • Hyundai Santa Fe 2.2D Executive Plus SE 2022 kini di Malaysia — rim 19-inci, sunroof, dari RM207,888

    Hyundai Santa Fe 2.2D Executive Plus SE 2022 kini di Malaysia — rim 19-inci, sunroof, dari RM207,888

    Ketika model generasi keempat Hyundai Santa Fe diperkenalkan di Malaysia, varian dieselnya ditawarkan dalam varian Executive dan Premium. Kini, barisan penawarannya dikembangkan lagi dengan pilihan tambahan — Executive SE dan Executive Plus SE (gambar).

    Dijual pada harga RM207,888 atas jalan tidak termasuk insuran dan termasuk pengecualian SST (50% memandangkan Santa Fe ini model CBU), Executive Plus SE dan Executive SE (RM188,888) disasarkan untuk mereka yang tidak memerlukan ciri pacuan semua roda. Jika inginkan ciri berkenaan, pilihan yang tersedia adalah Executive (RM190,888) dan Premium (RM209,888).

    Semua varian diesel bagi Santa Fe dikuasakan oleh enjin sama iaitu 2.2 liter R CRDi empat-silinder turbodiesel yang menjana sebanyak 193 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Transmisi automatik lapan-kelajuan juga standard — dengan Executive SE dan Executive Plus SE adalah pacuan roda depan.

    Hyundai Santa Fe 2.2D Executive Plus SE 2022 kini di Malaysia — rim 19-inci, sunroof, dari RM207,888

    Executive Plus SE mempertemukan kelengkapan yang ada pada Executive dan Premium, dengan antaranya termasuk lampu utama projektor automatik, lampu kabus depan bulb, cermin sisi larasan kuasa dengan lampu isyarat, sistem tanpa kunci, skrin sentuh tujuh-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, kawalan pendingin dwi-zon dengan ionizer, kamera undur dan kawalan melayar.

    Kelengkapan keselamatan pula kekal sama dengan Executive, terdiri daripada enam beg udara, ESC, ABS, kawalan brek menuruni bukit, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan kenderaan. Ciri seperti penggera penumpang belakang, peninjau titik buta dan bantuan penghindar perlanggaran lintasan trafik masih khusus untuk Premium sahaja.

    Sementara itu, kelengkapan yang dikongsi dengan Premium pula termasuk rim 19-inci (dengan tayar 235/55), kerusi balutan kulit Nappa, kemasan kulit untuk papan pemuka, paparan kluster instrumen Supervision TFT LCD tujuh-inci dan pintu ruang karga larasan kuasa.

    Hyundai Santa Fe 2.2D Executive Plus SE 2022 kini di Malaysia — rim 19-inci, sunroof, dari RM207,888

    Bagaimanapun, Executive Plus SE tetap hadir dengan keunikan tersendiri yang tidak dikongsi dengan varian lain, termasuk lampu belakang gabungan LED, kerusi pemandu larasan 10-hala, paddle shifter dan bumbung panoramik.

    Untuk Executive SE pula, ia menggunakan rim 18 inci (dengan tayar 235/60), kerusi penumpang depan manual, kemasan dalaman fabrik dan paparan multi-info TFT LCD 3.5-inci. Ia bagaimanapun berkongsi ciri kerusi pemandu larasan kuasa 10-hala, bumbung panoramik dan paddle shifter dengan Executive PLUS SE.

    Ketika ini, terdapat enam varian Santa Fe ditawarkan, dengan empat daripadanya adalah diesel, dan varian petrol hanya dua iaitu Executive dan Premium.

     
     
  • Mercedes-Benz EQA250 AMG Line 2022 dilancar di Malaysia — 190 PS, 429 km jarak; harga dari RM278k

    Mercedes-Benz EQA250 AMG Line 2022 dilancar di Malaysia — 190 PS, 429 km jarak; harga dari RM278k

    Penawaran kenderaan elektrik Mercedes-Benz Malaysia bermula hari ini dengan pengenalan model EQA H243, yang merupakan versi elektrik sepenuhnya model SUV GLA H247. Datang dalam penampilan EQA 250 AMG Line, model baru ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Jerman dan dijual pada harga RM278,201.25 atas jalan tidak termasuk insurans.

    Harga ini sudah termasuk pengecualian cukai import dan duti eksais, serta pengecualian 50% SST hingga 30 Jun nanti. Disebabkan insentif ini, EQA hanya RM7,036.41 lebih mahal berbanding GLA 250 AMG Line CKD. Termasuk sekali adalah jaminan empat-tahun tanpa had perbatuan dan jaminan bateri EV selama lapan-tahun atau 160,000 km, yang mana dahulu.

    EQA 250 menggunakan motor elektrik tunggal yang memacu roda depan melalui kotak gear satu kelajuan. Dengan janaan 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan 375 Nm tork, ini membolehkan kenderaan dengan berat 2,040 kg ini memecut 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat dengan kelajuan maksimum 160 km/j.

    Mercedes-Benz EQA250 AMG Line 2022 dilancar di Malaysia — 190 PS, 429 km jarak; harga dari RM278k

    Motor elektrik tersebut dikuasakan oleh bateri lithium-ion 420-volt sejukan cecair dengan kapasiti 66.5 kWh, yang boleh dicas penuh dalam masa lima jam 45 minit menggunakan pengecas dalaman 11 kW AC (sambungan Type 2). Atau, pengecas pantas DC boleh mengecas hingga 100 kW dan sambungan CCS2 akan membolehkan bateri mencapai 10%-80% penuh dalam masa hanya 32 minit. Bateri cas penuh akan memberikan jarak perjalanan 429 km mengikut kitaran WLTP.

    1,000 pelanggan terawal yang membeli EQA akan menerima langganan setahun secara percuma JomCharge, yang membolehkan mereka menikmati pengecasan tanpa had dengan potongan 50% di semua stesen pengecas JomCharge.

    Selain itu, terdapat 13 pengecas pantas DC akan dipasangkan di lokasi pengedar strategik tahun ini, yang mana pelanggan EQ boleh menggunakannya tanpa sebarang kos sehingga penghujung 2023. Anda juga boleh memanfaatkan pengecas awam yang lain yang disediakan oleh syarikat lain di Malaysia, walaupun cuma kabel AC Type 2 disediakan untuk tujuan ini.

    Mercedes-Benz EQA250 AMG Line 2022 dilancar di Malaysia — 190 PS, 429 km jarak; harga dari RM278k

    Walaupu EQA berkongsi Mercedes-Benz’s Modular Front Architecture (MFA2) kedua dengan GLA, platform berkenaan telah diberikan kejurutraan semula untuk menyesuaikannya dengan sistem janaan elektrik. Misalnya, baterinya terdiri daripada lima modul yang terletak di bawah ruang penumpang di tengah kenderaan.

    Ini menjadikan lantai pada ruang penumpang belakang itu lebih tinggi berbanding GLA, serta kapasiti but berkurang sebanyak 100 liter menjadikannya 340 liter sahaja. Selain itu juga, motor elektriknya terletak di posisi yang sama kebiasaan enjin biasa pada GLA, jadi tiada ruang kosong di bawah hud depannya.

    Dari segi penggayaan, EQA berkongsi bentuk asas yang sama dengan GLA, tetapi perbezaan utamanya adalah wajah depan yang menampilkan lampu utama lebih tirus yang “mengalir” ke gril tertutupnya, yang hadir dalam penyudah hitam berkilat dan logo Mercedes-Benz.

    Mercedes-Benz EQA250 AMG Line 2022 dilancar di Malaysia — 190 PS, 429 km jarak; harga dari RM278k

    Lampu utama standard LED High Performance (dengan Bantuan Lampu Tinggi Adaptif) juga datang dengan perincian biru yang menunjukkannya sebagai model EQ, serta DRL bersepadu dihubungkan dengan jalur tunggal di atas grilnya. Di belakang, lampunya juga menggunakan iras empat segi yang sama dengan GLA biasa.

    EQA di sini datang dengan pakej AMG Line, yang terdiri daripada bampar depan lebih sporty dengan apron bawah lebih lebar, dengan bukaan udara di bucu. Bampar belakang juga menerima perincian yang sama seperti bampar depan, dengan sirip diffuser lebih menonjol.

    Ruang dalaman juga tidak jauh berbeza berbanding GLA. Ini termasuklah sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan paparan berkembar bagi instrumen dan infotainmen 10.25-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay serta servis Mercedes me connect dan telematik.

    Mercedes-Benz EQA250 AMG Line 2022 dilancar di Malaysia — 190 PS, 429 km jarak; harga dari RM278k

    Lain-lain ciri dalaman termasuklah kerusi sport, dengan bahagian depan larasan kuasa, berliang dan ada fungsi memori; kawalan pendingin dwi-zon Thermotronic (dengan corong belakang); sistem lampu suasana; head-up display, stereng balutan kulit Nappa; pelantar pengecas tanpa wayar dan lain-lain.

    Ciri keselamatannya menarik; ia tidak hanya mempunyai sistem keselamatan aktif yang ada pada GLA, EQA turut hadir dengan Driving Assistance Package, Active Distance Assist Distronic (kawalan melayar aktif dengan ikutan kelajuan rendah dan penghidup semula), Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Active Blind Spot Assist, Parking Assist Parktronic dan Urban Guard.

    Bagi keselamatan orang di luar kenderaan, ada janaan bunyi Acoustic Ambient Protection agar kehadiran kereta ini disedari, aktif hingga kelajuan 20 km/j untuk makluman pejalan kaki dan pengayuh basikal.

     
     
  • Yamaha 135LC Fi V8 2022 dibangunkan oleh Jepun hanya untuk Malaysia – kenapa, apa yang istimewa?

    Yamaha 135LC Fi V8 2022 dibangunkan oleh Jepun hanya untuk Malaysia – kenapa, apa yang istimewa?

    Negara kita jarang menerima model yang betul-betul dibangunkan khas. Biasanya, apa yang masuk ke dalam negara kita adalah model yang sudah dilancarkan di beberapa negara jiran terlebih dahulu, atau dipilih daripada senarai model sedia ada.

    Tetapi bagi Yamaha 135LC Fi, ia adalah berbeza. Model ini dibuat khas untuk Malaysia dan setakat ini masih tiada dijual di negara lain. Menurut pengarah urusan Hong Leong Industries Bhd, Datuk Dr Jim Khor, perkara ini berlaku di atas beberapa sebab.

    “Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Yamaha Motor Co Ltd untuk Asia, di Indonesia, Thailand dan Vietnam, penguasaan pasaran motosikal berkapasiti rendah adalah terdiri daripada sekitar 55 peratus untuk moped (motosikal bergear) dan 45 peratus untuk skuter. Malaysia pula berbeza, di mana 70 hingga 80 peratus adalah untuk moped sementara selebihnya barulah skuter. Orang Malaysia nampaknya masih ramai yang memilih moped berbanding skuter.”

    Kemudiannya apabila merujuk kepada 135LC Fi ini, Jim memberitahu, ia adalah model yang sesuai kerana walaupun sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2006, ia masih digemari ramai dan jumlah jualannya masih tinggi, meskipun sudah ada model yang terletak di atasnya, iaitu Y15ZR.

    Menariknya lagi, idea untuk memperkenalkan 135LC Fi ini datang daripada pengurusan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sendiri, dan permintaan itu dihantar kepada ibu pejabat Yamaha di Jepun. Setelah melihat data-data yang diberi oleh HLYM (termasuk berkenaan penjualan 135LC selama belasan tahun di Malaysia), Yamaha Motor Co Ltd Japan bersetuju untuk membangunkan model 135LC baru, khas untuk Malaysia.

    Bermakna, walaupun idea dan input itu daripada HLYM, rekaannya masih dibangunkan di Jepun, dan selepas itu barulah ia dihantar ke Malaysia untuk proses pengeluaran. Jadi, kami rasa, jurutera Jepun juga seakan bersetuju dengan cita rasa rakyat Malaysia seperti yang ditunjukkan melalui campuran bahagian-bahagian pada 135LC Fi, ini seperti rim Y125ZR, lampu Y15ZR, meter Y16ZR serta brek cakera belakang.

    Yamaha 135LC Fi V8 2022 dibangunkan oleh Jepun hanya untuk Malaysia – kenapa, apa yang istimewa?

    Apabila ditanya kepada pengurus besar pemasaran dan META HLYM, Tim Hoo sama ada 135 LC Fi ini akan dijual di negara lain atau tidak, beliau menjawab setakat ini masih belum ada perancangan lagi. Walaubagaimanapun, jika ada permintaan, contohnya daripada Vietnam atau Indonesia, mereka mungkin akan mempertimbangkannya.

    Satu lagi, kenapa 135LC Fi masih tidak menggunakan klac tangan? Daripada jawapan yang kami dapat, keputusan ini diambil kerana statistik HLYM menunjukkan sepanjang 135LC dikeluarkan, walaupun dengan adanya versi klac tangan sebelum ini, masih ramai yang memilih versi tanpa klac, sehingga 70 peratus.

    GALERI: Yamaha 135LC Fi Special Edition


    GALERI: Yamaha 135LC Fi Special Edition

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024