Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW X1 2022 – SUV U11 dapat varian sDrive20i, xDrive20d; perincian PHEV xDrive25e dan xDrive30e

    BMW X1 2022 – SUV U11 dapat varian sDrive20i, xDrive20d; perincian PHEV xDrive25e dan xDrive30e

    BMW semakin gigih memperkenalkan satu persatu model baharu yang bakal menyertai barisannya di pasaran global. Antaranya SUV kompak terkini X1 U11, yang akan ditawarkan dengan dua varian baharu iaitu sDrive20i dan xDrive20d.

    sDrive20i bakal menyertai sDrive18i dan xDrive23i, di mana kedua-duanya telah pun diperkenalkan pada Jun lalu. Berbanding dengan model sebelum ini X1 sDrive20i F48 yang menampilkan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol, X1 sDrive20i U11 pula dipadankan dengan penjana kuasa 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder dengan output 156 PS (154 hp) dan tork 240 Nm.

    Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic dwi-klac tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan, selain itu ia turut didatangkan dengan sistem mild hybrid 48-voltan yang turut ada pada xDrive23i. Sistem mild hybrid ini menampilkan bateri 20 Ah yang diletakkan di bahagian penyimpanan barang, yang dijanakan oleh motor elektrik disepadukan ke kotak gear dan bertindak sebagai penghidup generator untuk menyokong enjin pembakaran.

    Hasilnya, keseluruhan sistem kuasa yang dapat dijana mencecah 170 PS (168 ho) dan 280 Nm, dengan BMW mendakwa penjimatan bahan api mengikut anggaram WLTP adalah antara 6.6-5.9 liter bagi setiap 100 km. Dibandingkan dengan model semasa X1 sDrive201 F48 yang dijual di sini dengan enjin 2.0 liter mampu memberikan 192 PS (189 hp) dan 280 Nm.

    BMW X1 2022 – SUV U11 dapat varian sDrive20i, xDrive20d; perincian PHEV xDrive25e dan xDrive30e

    Bagi versi diesel, model baharu xDrive20d pula menampilkan enjin turbo diesel dan pacuan semua-roda. Ia turut menawarkan sistem mild hybrid yang sama, walaupun dengan enjin 2.0 liter empat-silinder berkuasa 150 PS (148 hp) dan 360 Nm, ia boleh mencapai kuasa keseluruhan mencecah 163 PS (161 hp) dan 400 Nm.

    Sama seperti sDrive201 dan varian X1 U11 yang lain, ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac secara standard. Bagi aspek prestasi, sDrive20i mengambil masa sekitar 8.3 saat untuk dipecut dari 0-100 km/j, sementara xDrive20d pula mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 8.6 saat, walau pun ia dikatakan mampu menjimatkan bahan api yang lebih baik sekitar 5.4-4.8 liter bagi setiap 100 km.

    BMW turut mendedahkan perincian tambahan untuk dua varian plug-in hybrid (PHEV) bagi X1, yang diberi nama xDrive25e dan xDrive30e. kedua-duanya menampilkan enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder, transmisi dwi-klac, bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai dan motor elektrik pada gandar belakang.

    Berbanding dengan X1 F48 yang hanya ditawarkan dengan varian tunggal xDrive25e, bateri bagi varian PHEV baharu ini mempunyai kapasiti tenaga yang boleh digunakan sekitar 14.2 kWh berbanding 8.8 kWh. Hasilnya, jarak elektrik yang boleh dicapai lebih banyak iaitu sekitar 77-92 km (kitaran WLTP) untuk xDrive25e terkini dan antara 76-88 km untuk xDribe30e. Dibandingkan dengan varian xDrive25e sebelum ini yang boleh capai hingga 57 km.

    BMW X1 2022 – SUV U11 dapat varian sDrive20i, xDrive20d; perincian PHEV xDrive25e dan xDrive30e

    Bagi kuasa yang dihasilkan, enjin yang lebih kecil pada xDrive25e memberikan sehingga 136 PS (134 hp) dan 230 Nm, dengan motor elektrik ia menyumbang 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 247 Nm untuk kuasa keseluruhan mencecah 245 PS (241 hp) dan 477 Nm.

    Untuk enjin 1.5 liter pada xDrive30e pula, ia menghasilkan lebih kuasa pada 150 PS (148 hp) dan 230 Nm, sementara dengan motor elektrik pula 177 PS (174 hp) dan 247 Nm, jadi kuasa keseluruhan dipertingkatkan menjadi 326 PS (322 hp) dan 477 Nm. Tetapi mengejutkan, apabila varian xdrive30e memiliki pecutan yang lebih pantas, hanya 5.6 saat untuk 0-100 km/j berbanding 6.8 saat oleh xDrive25e.

    BMW turut menambah kapasiti pengecasan PHEV, dengan pengecas onboard AC (sambungan Type 2) kini boleh mengendalikan hingga maksimum 7.4 kW berbanding 3.7 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar 2.5 jam, berbanding 3.2 jam sebelum ini. Untuk lebih menjimatkan, BMW mendakwa penggunaan bahan api bagi varian PHEW adalag sekitar 1-0.7 liter untuk setiap 100 km.

    GALERI: BMW X1 xDrive30e U11 2022

     
     
  • Yamaha Grande 2023 diperkenal di Vietnam – skuter hibrid 125 cc dengan brek ABS, sistem Y-Connect

    Yamaha Grande 2023 diperkenal di Vietnam – skuter hibrid 125 cc dengan brek ABS, sistem Y-Connect

    Di Vietnam, Yamaha telah memperkenalkan skuter hibrid Grande 125 baru, yang ditawarkan dalam versi Standard, Special Edition serta Limited, pada harga antara 45.9 juta dong (RM8,927) hingga 51 juta dong (RM9,919). Beza antara tiga versi Grande 125 baru ini cuma pada skema warnanya sahaja.

    Grande 125 ini bukanlah model serba baru di Vietnam, tetapi ia telah diberi beberapa peningkatan dengan antara ciri naik tarafnya adalah termasuk panel instrumen digital penuh, sistem sambungan Y-Connect, pengecas USB, ruang letak barang kecil di bawah tempat kunci serta sedikit perubahan pada panel badan.

    Penggerak skuter ini adalah sama seperti Fazzio yang baru dilancarkan di Indonesia dan Thailand, iaitu enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan udara, 125 cc berkemampuan 8.3 PS pada 6,500 rpm dan tork 10.4 Nm pada 5,000 rpm.

    Apabila memulakan pecutan, enjin pembakaran dalaman ini akan dibantu oleh Smart Motor Generator (SMG), untuk tempoh maksimum selama tiga saat dan selain daripada itu, penggunaan bahan api dapat dijadikan lebih cekap dengan adanya sistem start/stop yang membolehkan enjin mati sendiri apabila berhenti dan hidup semula apabila pendikit dipulas.

    Menawarkan ciri unik seperti ruang simpanan bawah tempat duduk 27 liter serta tempat mengisi minyak di bawah bahagian pemegang (handle), Grande 125 juga datang dengan kelengkapan seperti brek cakera hadapan, brek dram belakang, sistem ABS, kunci pintar, rim 12 inci dengan tayar 110/70 (depan dan belakang sama saiz) serta tangki bahan api 4.4 liter.

     
     
  • Diskaun saman trafik pada 4 Okt di Uitm Shah Alam

    Diskaun saman trafik pada 4 Okt di Uitm Shah Alam

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% pada 4 Oktober 2022 (Selasa) pada jam 8 pagi hingga 10 malam sempena dengan Program Idea Bina Negara. Acara yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) dan Padang Kawad, UiTM Shah Alam pada tarikh berkenaan turut menyediakan kaunter khas bagi pembayaran saman trafik yang dikendalikan oleh PDRM.

    Walau bagaimana pun, pengurangan saman trafik ini tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar.

    Selain itu, ia juga membabit kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun (NC), kesalahan yang berstatus perbicaraan di mahkamah, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.

    Turut dimaklumkan bahawa tawaran diskaun saman terbabit hanya terpakai sempena acara terbabit sahaja. Jadi orang ramai yang mempunyai tunggakan saman trafik boleh melunaskan bayaran di tapak karnival tersebut sahaja jika mahu menikmati diskaun berkenaan.

     
     
  • Kazakhstan sertai kalendar MotoGP tahun hadapan

    Kazakhstan sertai kalendar MotoGP tahun hadapan

    Tahun hadapan perlumbaan MotoGP akan diadakan di satu negara baru, iaitu Kazakhstan. Satu perjanjian selama lima tahun telah ditandatangani untuk penganjuran perlumbaan berprestij ini, dan ia akan diadakan di Litar Antarabangsa Sokol, berhampiran Almaty.

    Litar Sokol ini adalah satu litar yang baru siap dibina dan terletak dalam satu kompleks sukan permotoran yang menempatkan pelbagai fasiliti lain. Dengan penyertaan ini, Kazakhstan akan menjadi negara ke-30 dan litar ke-74 yang menganjurkan perlumbaan MotoGP, sejak ia kali pertama diadakan pada tahun 1949.

    Tarikh sebenar perlumbaan Kazakhstan GP masih belum diketahui kerana kalendar penuh musim 2023 masih belum diumumkan. Bagi tahun 2022, terdapat 20 pusingan MotoGP di dalam kalendar dan sekarang berbaki empat lagi pusingan, dengan GP Malaysia akan berlangsung 23 Oktober.

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor plat DEN bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri nombor plat DEN bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor pendaftaran, DEN, bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Kelantan, DEN ini akan mula dibuka bidaan pada 13 Oktober 2022. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 17 Oktober. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 18 Oktober 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • GIVI Rimba Raid 2023 terus bagi cabaran sukar – hanya 99 daripada 223 peserta tamatkan perlumbaan

    GIVI Rimba Raid 2023 terus bagi cabaran sukar – hanya 99 daripada 223 peserta tamatkan perlumbaan

    Selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik, perlumbaan lasak motosikal adventure GIVI Rimba Raid kembali dianjurkan tahun ini di Kuala Tahan, Pahang, menyaksikan pendaftaran 241 pelumba dari 15 negara termasuk Kanada, Amerika Syarikat, Colombia, United Kingdom, Belanda, Itali, Poland, Australia, Jepun, Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia dan sudah tentu, Malaysia sendiri.

    Dibahagikan kepada empat kategori secara teliti, perlumbaan tahun ini sekali lagi menyaksikan cabaran sukar sepanjang 158 km di dalam laluannya, meliputi pelbagai permukaan seperti tanah merah licin, bukit berbatu, pasir sungai serta tujuh rentasan sungai.

    Daripada 241 peserta yang mendaftar, hanya 223 memulakan perlumbaan, dan jumlah yang menamatkan perlumbaan bertambah sedikit menjadi hanya 99 pelumba. Ini membuktikan cabaran dalam acara yang didakwa sebagai perlumbaan offroad motosikal adventure berkapasiti tinggi terbesar di dunia ini bukan untuk calang-calang orang.

    GIVI Rimba Raid 2023 terus bagi cabaran sukar – hanya 99 daripada 223 peserta tamatkan perlumbaan

    Bagi kategori Class C – Enduro Rally, pelumba Malaysia, Zulkarnain Tahir yang menunggang KTM EXC 300 berjaya menjadi pelumba pertama yang menamatkan perlumbaan, dalam masa tiga jam empat minit, diikuti oleh Chaipuek Sangaroon dari Thailand yang menggunakan jentera KTM EXC-F 350 sekitar 10 minit selepas itu dan Kelvin Chia dari Singapura (KTM EXC 300) lima minit selepas itu.

    Dalam kategori ini juga terdapat seorang pelumba wanita dari Malaysia, iaitu Shamira Azahar, yang berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-21 dalam masa empat jam 17 minit. Daripada 38 peserta kategori ini, enam gagal menamatkan perlumbaan.

    Pergi pula kepada kategori Class C – DP Rally, pelumba dari luar mendominasi podium dengan dua yang pertama adalah dari Thailand, iaitu Traiphop Boonthang dan Manop Abdulkaree, kedua-duanya menunggang Honda CRF 250 Rally dan mencatat masa masing-masing dua jam 55 minit dan tiga jam 11 minit.

    GIVI Rimba Raid 2023 terus bagi cabaran sukar – hanya 99 daripada 223 peserta tamatkan perlumbaan

    Tempat ketiga pula dimenangi oleh Mark Dustin Richardson dari Kanada yang menunggang KTM 690 Enduro R, dengan catatan masa tiga jam 20 minit. Daripada 60 peserta dalam kategori ini, hanya 27 sahaja yang berjaya menamatkan perlumbaan.

    Dalam kategori Class B, bukan setakat podium, tapi hampir semua 10 tempat teratas dikuasai oleh pelumba Thailand, dengan hanya terdapat seorang pelumba Malaysia, Chun Hing Wong, yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam, sementara di tempat kesepuluh adalah Kamil Hassan dari Singapura.

    Ketiga-tiga pelumba Thailand yang berada di tempat teratas kategori ini menggunakan jentera Yamaha Tenere 700, dan mereka adalah Saphon Somroop (dua jam 51 minit), Suradet Taweelep (dua jam 51 minit) dan Charod Khumchat (tiga jam sembilan minit). Daripada 62 peserta yang mendaftar dalam kategori ini, hanya 26 menghabiskan perlumbaan.

    GIVI Rimba Raid 2023 terus bagi cabaran sukar – hanya 99 daripada 223 peserta tamatkan perlumbaan

    Kategori Class A melibatkan penyertaan paling ramai, iaitu 67 pelumba, walaubagaimanapun hanya 14 sahaja yang berjaya menamatkan perlumbaan. Kesemua tiga pelumba yang mendapat tempat teratas dalam kategori ini menggunakan jentera Honda CRF1000/1100, dengan dua yang pertama adalah dari Thailand dan tempat ketiga pelumba dari Malaysia.

    Pemenang pertama, Piyapoom Thammsat menamatkan perlumbaan dalam masa tiga jam lapan minit, sementara Pisanu Chimma di tempat kedua mencatat masa tiga jam 21 minit. Alan Ng Siong Choon di tempat ketiga tiba di garisan penamat sekitar 45 minit selepas Thammsat.

    Motosikal lain yang memberi cabaran dalam kategori ini adalah seperti KTM Adventure 1290/1190, Yamaha Super Tenere dan BMW R1250/1200 GS, tetapi turut mencuri tumpuan adalah Harley-Davidson Pan America 1250, yang mana dari dua buah yang menyertai perlumbaan ini, satu daripadanya berjaya tamat di tempat keenam dengan catatan masa empat jam 31 minit (pelumba dari Thailand).

     
     
  • Proton X70 MC 2022 dapat kemaskini Atlas OS, Spotify — antaramuka GKUI yang lama tidak boleh dinaik taraf

    Proton X70 MC 2022 dapat kemaskini Atlas OS, Spotify — antaramuka GKUI yang lama tidak boleh dinaik taraf

    Sedikit perkembangan terbaru tentang Proton X70 MC 2022 yang dilancarkan Jun lalu. Model SUV berkenaan dari produksi yang terbaru kini telah dilengkapi dengan head unit Atlas OS. Bagaimanapun, unit sedia ada bagi model sama yang menggunakan antaramuka GKUI tidak boleh dinaik taraf kepada versi terbaru berkenaan.

    Peralihan kepada Atlas OS ini masih sedang dijalankan, dan ia ditawarkan bagi kelompok produksi terkini yang keluar dari kilang Proton. Semua ini turut melibatkan perubahan perkakasan atau hardware, maka disebabkan itu unit GKUI yang terdahulu tidak boleh dinaik taraf kepada Atlas OS.

    Proton X70 MC 2022 dapat kemaskini Atlas OS, Spotify — antaramuka GKUI yang lama tidak boleh dinaik taraf

    Dengan naik taraf ini, pemilik Proton X70 MC 2022 ini juga boleh menggunakan aplikasi Spotify kelak, yang boleh dimuat turun dari Apple Store dalam masa terdekat. Selain perkara berkaitan head unit dan perisiannya ini, ada satu lagi perubahan lain yang sedang dilakukan ialah memperkenalkan cermin pandang belakang tanpa bingkai, yang diberikan hanya untuk varian Premium.

    Semua perubahan atau peningkatan ini sepertinya patut diberikan ketika pengenalan model X70 MC ini tempoh hari. Mengapa itu tidak dilakukan awalnya oleh Proton tidaklah diketahui. Apapun, ia kini akan menemui kelompok pelanggan terbarunya nanti. Selain X70, Iriz dan Persona juga menggunakan Atlas OS dalam versinya yang terkini, dan boleh juga memanfaatkan aplikasi Spotify sebaik ia hadir kelak.

     
     
  • VIDEO: Honda CR-V 2023 pasaran AS diperincikan

    VIDEO: Honda CR-V 2023 pasaran AS diperincikan

    Honda CR-V 2023 telah pun didedahkan kepada dunia Julai lalu, untuk pasaran Amerika Syarikat (AS). Jika anda jenis yang lebih gemar menonton video berbanding membaca, ini dia video perincian yang dikeluarkan Honda Amerika Syarikat.

    Meskipun ini adalah model pasaran AS, kita masih boleh menjadikannya sebagai rujukan untuk model yang bakal tiba di negara kita nanti. SUV ini sudah pun dilihat membuat ujian di Thailand, dengan pelancaran dijangka berlaku tahun hadapan, tetapi untuk Malaysia kita mungkin perlu menunggu lebih lama.

    Untuk saiz, CR-V baru ini berukuran 4,694 mm panjang (+69 mm), 1,864 mm lebar (+10 mm) dan 1,681 mm tinggi (-8 mm), sementara jarak rodanya pula bertambah panjang 40 mm menjadi 2,700 mm.

    Bagi pasaran AS, CR-V baru ini ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbo ataupun hibrid 2.0 liter. Bagi enjin 1.5 liter turbo itu, ia dipadankan bersama transmisi CVT, mampu menghasilkan 190 hp pada 6,000 rpm dan 243 Nm tork pada 1,700 hingga 5,000 rpm, manakala enjin hibrid 2.0 liter itu pula dipadankan bersama transmisi e-CVT serta dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 204 hp dan 335 Nm.

     
     
  • Fasiliti bersepadu kereta lumba dan akademi automotif terbesar di Malaysia bakal dibina menjelang 2025

    Fasiliti bersepadu kereta lumba dan akademi automotif terbesar di Malaysia bakal dibina menjelang 2025

    Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan fasiliti industri bersepadu kereta lumba dan akademi automotif Malaysia akan dibina menjelang 2025. Di mana fasiliti berkenaan akan dilengkapi dengan bilik pameran, pemulihan kereta, perincian kereta, aksesori dan perdagangan kereta, laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ti Lian Ker, fasiliti yang menelan belanja sebanyak RM10 juta yang dilengkapi kemudahan di bawah satu bumbung seluas kira-kira 0.399 hektar itu akan dibina menerusi kerjasama antara Optimal Premium Motors Sdn Bhd (OPM), PrimeX Signature Sdn Bhd dan TOC Automotive College (TOC).

    Selain itu, Akademi Perincian Auto (ADA) juga akan dibangunkan untuk menggalakkan individu meneruskan minat mereka dan memulakan kerjaya melalui kursus pendidikan dalam teknologi automotif, kejuruteraan, pemulihan kereta dan perincian untuk mengembangkan industri automotif.

    “Apa yang OPM, PrimeX dan TOC lakukan bukan sahaja akan membuktikan industri automotif Malaysia sedang berkembang pesat, tetapi pada masa sama membantu golongan muda kita dengan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran mereka dengan pengetahuan yang boleh dibawa ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Sementara itu, Pengasas OPM Simpson Tan berkata kemudahan baharu itu akan menjana lebih 600 pekerjaan merangkumi latihan teknikal sebagai sumbangan untuk membina populasi pekerja mahir yang besar di negara ini.

     
     
  • Toyota Harrier PHEV dilancar di Jepun – bateri 18.1 kWh, 306 PS, pacuan E-Four, jarak gerak EV 93 km

    Toyota Harrier PHEV dilancar di Jepun – bateri 18.1 kWh, 306 PS, pacuan E-Four, jarak gerak EV 93 km

    Toyota telah melancarkan satu varian plug-in hybrid baru untuk Harrier generasi keempat dan akan mula dijual di Jepun 31 Oktober tahun ini. Varian ini menyertai varian petrol dan hibrid sedia ada sekarang yang sudah ditawarkan sejak Jun 2020 di negara itu.

    Penggerak PHEV pada Harrier ini sama seperti yang digunakan pada RAV4 Prime, dan terdiri daripada enjin petrol empat silinder NA 2.5 liter A25A-FXS yang mampu menghasilkan 177 PS (174 hp) pada 6,000 rpm dan tork 219 Nm pada 3,600 rpm.

    Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi CVT serta motor elektrik 5NM yang berkemampuan 182 PS (180 hp atau 134 kW) dan 270 Nm. Kemudiannya terdapat satu lagi motor elektrik 54 PS (54 hp atau 40 kW) dan 121 Nm pada gandar belakang, menjadikan Harrier PHEV ini pacuan empat roda (E-Four).

    Toyota Harrier PHEV dilancar di Jepun – bateri 18.1 kWh, 306 PS, pacuan E-Four, jarak gerak EV 93 km

    Kuasa untuk motor elektrik ini datang daripada bateri lithium ion berkapasiti 18.1 kWh, yang boleh memberikan jarak gerak elektrik sehingga 93 km mengikut ujian yang dipantau kementerian tanah, insfrastruktur, pengangkutan dan pelancongan Jepun (MLIT). Kadar penggunaan bahan api WLTC yang dicatat adalah 20.5 km/l.

    Menurut Toyota, apabila menggunakan input AC 3.2 kW (200 V/16 A), bateri Harrier ini akan mengambil masa lima jam 30 minit untuk penuh. Untuk mod pemanduan, ada tiga disediakan, iaitu EV, Auto EV/HV dan HV. Dalam mod EV, kereta akan menggunakan tenaga bateri sahaja selagi boleh.

    Dalam maklumat awal yang didedahkan, Toyota menyatakan Harrier PHEV ini mencatat berat 1,950 kg, iaitu 300-400 kg lebih berat berbanding varian petrol dan hibrid. Kemudiannya, Harrier PHEV ini hanya ditawarkan dalam gred Z sahaja, sementara varian lain disediakan dalam tiga gred (Z, G dan S).

    Tanda rekaan khas untuk model PHEV ini adalah termasuk gril yang mempunyai corak berlian di tengah, serta lencana khas pada panel badan. Turut disediakan adalah sistem pembekal kuasa luar yang boleh memberikan 1,500 watt (output AC pada 100 volt)

    Selain pengenalan varian PHEV ini, Toyota turut menambah skrin sesentuh sistem infotainmen serta panel instrumen digital baru pada model ini, dan kedua-duanya berukuran 12.3 inci. Pakej Toyota Safety Sense kini telah ditambah elok dengan fungsi baru yang boleh mengesan kenderaan dari hadapan apabila membelok ke kanan di persimpangan serta pejalan kaki yang melintas apabila membelok.

    Harga Harrier yang dipertingkat di Jepun bermula 3.128 juta yen (RM99,853) dan pergi sehingga 6.2 juta yen (RM197,918), iaitu untuk varian PHEV yang terletak di atas sekali.

     
     
  • Honda HR-V 2022 hampir capai 30k tempahan di Malaysia – 7k unit telah dihantar kepada pelanggan

    Honda HR-V 2022 hampir capai 30k tempahan di Malaysia – 7k unit telah dihantar kepada pelanggan

    Sebanyak 7,000 unit Honda HR-V 2022 telah pun dihantar kepada para pelanggan sejak ia dilancarkan pada pertengahan Julai lalu, yang bersamaan dengan jumlah jualan empat bulan yang hanya dicapai dalam tempoh lebih dua bulan, kata CEO Honda Malaysia Hironobu Yoshimura.

    Malahan SUV segmen-B ini juga hampir mencapai 30,000 unit tempahan sehingga 26 September lalu, dan menurut Honda Malaysia, varian asas S menerima tempahan sebanyak 18%, diikuti 15% bagi Turbo E, sejumlah 52% untuk Turbo V dan 12% bagi model spesifikasi penuh RS e:HEV.

    Ketika dilancarkan, harga HR-V 2022 bermula dari RM114,800 untuk S, Turbo E pula berharga RM129,800, diikuti dengan RM134,800 bagi Turbo V dan RS e:HEV pula berharga RM140,800. Kesemuanya adalah harga atas jalan, bersama cukai jualan, tetapi tidak termasuk insurans.

    Honda HR-V 2022 hampir capai 30k tempahan di Malaysia – 7k unit telah dihantar kepada pelanggan

    Varian paling asas S menerima enjin 1.5L petrol yang sama digunakan bagi model City. Ia unit NA DOHC i-VTEC empat-silinder yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Varian E dan V pula menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo dengan janaan 181 PS dan 240 Nm tork antara 1,700 hingga 4,500 rpm. Ini 1 PS kurang daripada Civic FE, dan kedua-dua model NA dan Turbo ini digandingkan dengan CVT.

    Varian RS pula dikhususkan untuk sistem janaan hibrid e:HEV. Motor elektrik i-MMD yang menjadi nadi utama kini 22 PS lebih berkuasa berbanding pada City, dengan 131 PS. Tork maksimum ialah 253 Nm. Enjin NA dengan kitaran Atkinson ini, yang bertindak selaku generator dan boleh memacu kereta ini dalam kelajuan tinggi, menghasilkan 107 PS dan 131 Nm. Angka ini 9 PS/4 Nm lebih tinggi berbanding City.

    Lima pilihan warna yang ditawarkan iaitu Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Ignite Red Metallic, Meteoroid Grey Metallic dan Crystal Black Pearl. Seperti kesemua model yang ditawarkan oleh Honda Malaysia, HR-V 2022 merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dikeluarkan dari kilang Honda yang yang terletak di Pegoh, Melaka.

     
     
  • Kawasaki siar teaser model ZX baru di Indonesia – dedah kepada dunia 1 Oktober, mungkinkah ZX-4R?

    Kawasaki siar teaser model ZX baru di Indonesia – dedah kepada dunia 1 Oktober, mungkinkah ZX-4R?

    Dalam masa beberapa hari sahaja lagi, Kawasaki akan memperkenalkan sebuah model baru di Indonesia dan video teaser untuknya telah disiar. Tiada sebarang gambar yang menunjukkan bentuk motosikal dalam teaser tersebut, dan ia cuma memaparkan beberapa kenyataan secara bertulis.

    Pertamanya adalah tarikh, iaitu 1 Oktober 2022, dan di bawahnya tertulis “first public showing“, yang apabila diterjemah bermaksud pendedahan pertama kepada orang ramai – boleh jadi ia juga adalah yang pertama secara global.

    Bayangan paling penting adalah “ZX”, yang memberi petunjuk model baru ini adalah dari barisan sportbike bersiri ZX. Sama ada ia ZX-25R, ZX-6R atau ZX-10R, itu masih belum pasti, tetapi ramai media tempatan di sana menjangkakan ia adalah ZX-4R.

    Penawaran ZX-25R oleh Kawasaki di Asia memang menarik – sebuah motosikal sports 250 cc dengan enjin empat silinder, tetapi ia bukan untuk semua pasaran. Bagi Amerika Syarikat dan Eropah, model 400 cc mungkin dirasakan lebih sesuai.

    Dari situ mulalah muncul khabar angin Kawasaki sedang membangunkan motosikal asas sama dengan ZX-25R, tetapi berenjin 400 cc. Bermula dari Young Machine, kemudian kewujudannya seakan sah apabila ada yang menemui pendaftaran paten model tersebut di Amerika Syarikat.

    Untuk mengetahui apa sebenarnya produk yang akan dikeluarkan oleh Kawasaki Indonesia ini, bersama kita tunggu majlis pengenalannya berlangsung. Walaupun diadakan di Indonesia, kita juga boleh menyaksikannya melalui siaran langsung dalam talian.

     
     
  • Projek pengurusan banjir fasa satu di LPT1 bermula 1 Okt ini; lorong kecemasan ditutup hingga Nov 2023

    Projek pengurusan banjir fasa satu di LPT1 bermula 1 Okt ini; lorong kecemasan ditutup hingga Nov 2023

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya KualaLumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) telah mengumumkan projek pengurusan banjir bagi fasa satu di LPT1 bakal dimulakan pada 1 Oktober ini.

    Menurut Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, pihaknya telah mengambil beberapa langkah penting untuk memastikan kelancaran projek, termasuk menjalankan kajian banjir secara terperinci dan komprehensif di sepanjang LPT1. Katanya, ia bagi mengenal pasti komponen tebatan banjir yang akan dilaksanakan demi mengurangkan risiko kejadian banjir daripada berulang.

    “ANIH Berhad sebelum ini telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan termasuk menilai cabaran semasa bagi melengkapkan cadangan rekabentuk dan proses kerja projek itu.

    “Antara kajian utama yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) termasuk semakan dan penilaian data kajian lampau berkaitan isu banjir, termasuk analisis dan penilaian hidrologi, hidraulik serta kajian kesesuaian tanah. Keseluruhan projek pengurusan banjir ini dijangka akan mengambil masa selama dua tahun,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah beliau, projek yang akan membabitkan 11 kawasan kritikal sepanjang LPT1 itu adalah sebahagian komitmen berterusan syarikat dan kerajaan bagi mempertingkatkan tahap keselesaan dan keselamatan para pengguna LPT1 terutama pada musim tengkujuh. Katanya lagi, fasa pertama membabitkan jaringan di Kilometer 124 dan dijangka mengambil masa selama 12 bulan.

    “Sehubungan itu, ANIH Berhad akan menutup laluan kecemasan arah ke Kuala Lumpur di lokasi selama enam bulan bermula dari Oktober ini sehingga April 2023. Laluan kecemasan Kilometer 124 arah ke Kuantan pula akan ditutup bermula dari Mei sehingga November 2023.

    “Selain menutup laluan kecemasan, ANIH Berhad juga akan mengaktifkan laluan kontra di kawasan terbabit bagi memastikan impak lalu lintas berada pada tahap minimum sepanjang tempoh itu,” katanya.

    Justeru, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda keselamatan sepanjang projek pengurusan banjir itu dijalankan.

     
     
  • SUKE: Prolintas kaji semula tanjakan susur keluar ke Jalan Cheras; dua lorong untuk kelancaran trafik

    SUKE: Prolintas kaji semula tanjakan susur keluar ke Jalan Cheras; dua lorong untuk kelancaran trafik

    Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) menerusi anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd ingin berkongsikan maklumat terkini mengenai tanjakan susur keluar dari Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

    Mengikut kenyataan yang dikeluarkan, bahagian operasi SUKE bersama perunding dilantik sedang mengkaji reka bentuk sesuai untuk mengubah tanjakan susur keluar ke Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) berhampiran lampu isyarat ke PGA/Jalan Medan Masria kepada dua lorong.

    “Melihat kepada kapasiti jalan yang agak luas, tanjakan susur keluar itu boleh ditambah baik menjadi dua lorong. Ini akan membantu untuk mengurangkan tempoh masa beratur dan seterusnya berupaya untuk membenarkan lebih banyak kenderaan keluar dari tanjakan itu pada satu-satu masa.

    “Kajian juga dijalankan bersama syarikat konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE) untuk meneliti semula keseluruhan konfigurasi lampu isyarat termasuk berdekatan Maktab PDRM yang juga di bawah kendaliannya,” kata Prolintas.

    SUKE: Prolintas kaji semula tanjakan susur keluar ke Jalan Cheras; dua lorong untuk kelancaran trafik

    Jelasnya lagi, dua unit papan tanda “Dilarang Belok kanan” akan diletakkan pada 200 meter sebelum simpang ke CKE dan satu lagi di simpang terbabit untuk memberi amaran kepada pengguna agar tidak membelok ke kanan yang boleh memperlahankan kenderaan sehingga mengakibatkan timbunan trafik. Kedua-dua papan tanda berkenaan dijangka siap dipasang minggu ini.

    Prolintas turut berkata, sebahagian daripada jalan susur (dari Gereja St Francis of Assisi, Jalan Cheras ke Jalan Medan Masria) kira-kira sepanjang 400 meter itu telah siap dan baki 200 meter lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada akhir Februari 2023.

    “Semua tindakan yang diambil ini akan memudahkan perjalanan pengguna Lebuhraya SUKE dan melancarkan trafik berhampiran jalan-jalan sambungan di sekitarnya,” katanya lagi.

     
     
  • BMW 530i dan 530e M Sport ditawarkan dengan pakej edisi terhad M Performance Parts – 30 unit sahaja

    BMW 530i dan 530e M Sport ditawarkan dengan pakej edisi terhad M Performance Parts – 30 unit sahaja

    Auto Bavaria kini sedang menawarkan pakej edisi terhad untuk BMW 5 Series G30 LCI, yang memberikan pelbagai kelengkapan M Performance Parts, serta pelbagai lagi hadiah percuma lain.

    Hanya 30 unit kenderaan edisi terhad ini akan ditawarkan kepada pasaran, dan ia termasuk untuk kedua-dua varian 530e M Sport dan 530i M Sport.

    Barangan yang diberi dalam pakej tersebut adalah seperti berikut:

    Gril Kidney BMW M Performance High Gloss Black
    Lencana Rim BMW M 50 Years
    Pelindung Cermin Sisi Gentian Karbon BMW M Performance
    Lencana Bonet Hadapan dan But Belakang BMW M 50 Years
    Kemasan Stereng Gentian Karbon BMW M Performance
    Lampu Pintu LED Projector BMW
    Kemasan Air Duct Hitam BMW
    Pedal Penukar Gear di Stereng BMW M Performance
    Lapik Kaki BMW M Performance
    Perakam Video BMW Advanced Car Eye 2.0
    Samsung Galaxy S22 Ultra
    Cawan Seramik Sttoke
    Penapis Haba Cermin Percuma

    Harga yang ditetapkan untuk BMW 530e M Sport dengan pakej ini adalah RM362,800, sementara untuk BMW 530i M Sport pula adalah RM420,800. Setiap kenderaan yang dijual datang bersama jaminan tanpa had batuan serta pakej penyelenggaraan tambahan percuma selama lima tahun.

    Sebagai perbandingan, 530e biasa dijual pada harga RM358,217, sementara 530i pula RM402,800, dan kedua-duanya dijual bersama pakej jaminan serta penyelenggaraan lima tahun yang sama. Harga yang dinyatakan adalah termasuk SST.

     
     
  • Belanjawan 2023: MITI cadang lebih banyak insentif EV bagi memastikan pemain tempatan lebih kompetitif

    Belanjawan 2023: MITI cadang lebih banyak insentif EV  bagi memastikan pemain tempatan lebih kompetitif

    Ketika pelancararan Program Langganan Perodua Ativa Hybrid hari ini, Setiausaha Agung Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lokman Hakim Ali mendedahkan bahawa kementeriannya mencadangkan lebih banyak insentif kenderaan elektrik penuh (EV) untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober nanti.

    “Izinkan saya mengambil peluang ini untuk berkongsi [sesuatu] dengan anda. Pagi ini, pada mesyuarat pasukan petugas EV, MITI serta pelbagai kementerian, agensi, pemain industri dan persatuan telah bersetuju bahawa kita harus memberi [lebih] penekanan dalam membina infrastruktur yang cekap dan berkualiti untuk stesen pengecasan,” kata Lokman.

    “Kami menyedari keperluan untuk memastikan proses kawal selia cukup memudahkan ke arah memastikan persekitaran yang kondusif untuk industri EV berkembang maju. Malah, MITI sebenarnya telah mengemukakan beberapa cadangan untuk Belanjawan 2023; insentif tertentu untuk memastikan pemain industri tempatan mampu bersaing dalam ekosistem EV,” tambahnya.

    Belanjawan 2023: MITI cadang lebih banyak insentif EV  bagi memastikan pemain tempatan lebih kompetitif

    Ketika pembentangan Belanjawan 2022 tahun lalu, Menteri Kewangan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan bahawa kerajaan memberikan pengecualian sepenuhnya daripada duti import dan eksais terhadap EV bagi merangsang penggunaan teknologi tersebut dalam negara.

    Pengecualian berkenaan bermula dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023 untuk EV yang diimport sepenuhnya (CBU), manakala sehingga 31 Disember 2025 untuk EV pemasangan tempatan (CKD). Malah cukai jalan untuk CBU dan CKD EV juga dikecualikan sehingga 31 Disember 2025.

    Susulan daripada pengumuman berkenaan, dapat dilihat pengeluar-pengeluar kenderaan kini sedang rancak melancarkan pelbagai model EV pada pasaran tempatan bagi mengambil manfaat terhadap insentif tersebut. Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang mewakili syarikat kereta di dalam negara baru-baru ini telah memohon agar insentif berkenaan diteruskan sehingga 10 tahun bagi menggalakkan lagi pertumbuhan pasaran EV tempatan.

     
     
  • Program langganan Perodua Ativa Hybrid dilancarkan — 300 unit Rocky Hybrid CBU, RM500 sebulan/5 tahun

    Program langganan Perodua Ativa Hybrid dilancarkan — 300 unit Rocky Hybrid CBU, RM500 sebulan/5 tahun

    Selepas disahkan sendiri oleh Perodua bulan lalu, syarikat itu kini dengan rasminya melancarkan program langganan Ativa Hybrid di sini. Ia disifatkan sebagai sebuah “kajian kenderaan elektrik” serta “kajian mobiliti dan pasaran servis jangka panjang” melibatkan 300 orang.

    Ada dua perkara yang ingin diperhatikan oleh syarikat itu. Pertama, untuk memahami perilaku pemanduan berkumpulan bagi kenderaan hibrid di lokasi tertentu melibatkan Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Kedua, untuk memahami penerimaan pelanggan terhadap servis langganan lima-tahun; seperti yang ditawarkan oleh Perodua untuk pelanggan korporat di bawah cabang EZ MOBi, yang diperkenalkan sejak Januari 2021.

    “Perodua Ativa Hybrid akan menjadi kenderaan terbaik untuk kami mendapatkan maklumat unik tentang perilaku pengguna di Malaysia melalui sebuah kumpulan tertutup. Data ini kemudiannya akan digunakan untuk menjangkakan keperluan pelanggan kami ketika menggunakan kenderaan elektrik,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha MITI, Datuk Seri Lokman Hakim Ali dan Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin serta Pengerusi Daihatsu Motor Co, Sunao Matsubayashi.

    Program langganan Perodua Ativa Hybrid dilancarkan — 300 unit Rocky Hybrid CBU, RM500 sebulan/5 tahun

    Zainal berkata, program percumaan ini turut akan membolehkan Perodua untuk menilai tahap penerimaan pelanggan terhadap program langganan jangka panjang sebagai alternatif kepada kaedah jual-beli kenderaan yang biasa.

    “Kami percaya bahawa pemilikan kenderaan masih akan menjadi sumber pendapatan utama kami. Tetapi, ada juga kemungkinan lain yang boleh ditawarkan oleh model perniagaan langganan kenderaan ini yang mungkin akan diterima oleh lebih ramai orang di masa mendatang. Ini apa yang kami maksudkan sebagai ‘langganan’ — sebuah servis yang mana semua urusam melibatkan pemilikan kenderaan — seperti servis perjadual, membayar insurans dan cukai jalan — akan diuruskan semuanya oleh kami. Apa yang perlu dilakukan oleh pelanggan hanyalah membayar langganan untuk menikmati pakej itu,” jelasnya.

    Peserta bagi program ini perlu membayar pendahuluan sebagai komitmen sebanyak RM2,150, diikuti dengan yuran langganan bulanan sebanyak RM500. Jumlah berkenaan sudah termasuk sekali dengan deposit tiga bulan dan yuran langganan untuk bulan pertama (dengan deposit tiga bulan itu akan dipulangkan kepada pelanggan nanti). Penyelenggaraan, insurans dan cukai jalan akan ditanggung oleh Perodua, memandangkan Ativa Hybrid ini didaftarkan di bawah syarikat, bukan di bawah nama pelanggan.

    Program langganan Perodua Ativa Hybrid dilancarkan — 300 unit Rocky Hybrid CBU, RM500 sebulan/5 tahun

    Ia merupakan komitmen lima-tahun dengan had jarak bagi tempoh berkenaan adalah 100,000 km, dengan purata 20,000 km setahun atau 1,666 km sebulan. Di hujung tempoh berkenaan, jumlah keseluruhan yang akan di bayar kepada Perodua adalah RM30,150. Peserta perlu memulangkan kereta terbabit kepada Perodua selepas lima tahun.

    Ini tawaran yang menarik? Memang, RM500 sebulan itu dikira agak rendah, terutamanya jika mengambil kira kos lain yang dinyatakan itu. Baik atau buruk pendekatan seperti ini sebenarnya bergantung kepada bagaimana anda melihat soal pemilikan kenderaan. Semua 300 unit Ativa Hybrid ini telahpun diperuntukkan kepada peserta, dipilih daripada 600 permohonan yang diterima oleh Perodua.

    Seperti dinyatakan, ini bertujuan untuk kajian dan bukanlah program langganan komersial (misalnya seperti yang ditawarkan oleh Renault di sini). Oleh itu, peserta juga perlu bersetuju untuk kenderaan mereka dipasangkan sistem telematik GPS. Ini bagi membolehkan Perodua mengumpulkan data dan corak penggunaan serta tabiat memandu. Pelanggan juga perlu menghantar laporan kepada Perodua.

    Bagi unit yang digunakan pula, ia merupakan unit CBU Daihatsu Rocky Hybrid, tetapi dengan lencana Perodua di depan, belakang dan di stereng. Lencana ini dipasangkan di Jepun, sebelum semua unitnya dihantar ke Malaysia untuk tujuan ini.

    Dilancarkan di Jepun pada November 2021, Rocky e-Smart Hybrid dikuasakan oleh motor elektrik 106 PS/170 Nm yang diganding bersama enjin WA-VEX 1.2 liter kitaran Atkinson tiga-silinder dengan 82 PS/105 Nm. Enjin berkenaan bertindak sebagai generator, dan kereta ini berfungsi sama seperti unit kenderaan elektrik range extender: sama seperti hibrid e:HEV Honda ketika ini.

    Bagi Rocky, Daihatsu mendakwa ia memberikan bacaan 3.6 liter per 100 km mengikut kitaran WLTP. Manakala Perodua pula memaklumkan Ativa Hybrid ini mampu memberikan bacaan 31.3 km/l mengikut ujian Kitaran Pemanduan Malaysia. Dengan harga RON95 ketika ini, perjalanan dari KL ke Pulau Pinang hanya memerlukan RM23 minyak. Patutkah Ativa Hybrid ini dijual secara meluas di Malaysia?

    Perodua Ativa Hybrid

     
     
  • DBKL lancar surau bergerak – tampung 10 jemaah dalam satu masa, bekalan air wuduk 900 liter

    DBKL lancar surau bergerak – tampung 10 jemaah dalam satu masa, bekalan air wuduk 900 liter

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam telahpun melancarkan sebuah surau bergerak yang membolehkan pengunjung program-program luar yang dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan tersebut bersolat dengan selesa. Menurut DBKL, surau bergerak berkenaan dihasilkan sendiri oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal DBKL menggunakan salah sebuah pejabat bergerak miliknya.

    “Pada satu-satu masa, surau bergerak ini boleh memuatkan 10 jemaah lelaki dan wanita sementara 20 jemaah lelaki lagi bagi ruang solat di bahagian luar lori. Kemudahan ini bakal memberi manfaat kepada pengunjung melibatkan program ad hoc seperti maraton dan sambutan Hari Kebangsaan,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah ketika majlis pelancarannya semalam, lapor Harian Metro.

    Menurutnya lagi surau bergerak ini juga boleh diparkir di kawasan tumpuan orang ramai seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang ditutup kepada kenderaan pada setiap Ahad.

    Seperti pejabat-pejabat bergerak DBKL yang lain, surau bergerak ini diasaskan dari lori seberat 10 tan, dan ia dilengkapi dengan penghawa dingin serta tempat wuduk dengan kapasiti tangki air 900 liter yang mampu menampung keperluan 600 jemaah.

    Dalam majlis yang sama, DBKL turut melancarkan kenderaan baharu untuk kegunaan Skuad Penyelamat DBKL iaitu Rapid Response Vehicle (RRV) yang dilengkapi peralatan kecemasan seperti mesin pemotong besi, gergaji dan pakaian anti lebah.

    RRV ini akan digunakan untuk memberi bantuan kecemasan bencana alam apabila terdapat pokok tumbang atau objek yang menghalang laluan awam selain menangani masalah gangguan binatang liar dan berbisa seperti ular, lebah dan tebuan.

    “DBKL sudah ada persefahaman antara agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sekiranya melibatkan ancaman haiwan berbisa dan tidak melibatkan nyawa, Skuad Penyelamat DBKL akan memberi bantuan segera,” kata Mahadi lagi.

     
     
  • Program teksi EV TeksiKu – MG5 pertama digunakan

    Program teksi EV TeksiKu – MG5 pertama digunakan

    Mysuri Biz Technologies bakal memperkenalkan program teksi yang digelar TeksiKu yang akan menggunakan sejumlah 1,000 unit kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara. Bakal memulakan operasinya pada November ini, syarikat ini memilih MG sebagai model pertama EV yang bakal digunakan di bawah program ini, iaitu dengan MG5 sebagai pilihan berbanding MG ZS.

    Perkara ini didedahkan sendiri oleh CEO Mysuri Biz Technologies Mohd Noor Ghazali, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro. “MG5 bakal menjadi model pertama yang akan diperkenalkan, diikuti dengan BYD e6 dan MG ZS pada fasa seterusnya,” katanya. Sebanyak 700 unit MG5 akan dibawa masuk untuk tujuan tersebut. Sebelum ini, EV berasaskan wagon tersebut turut digunakan oleh SMRT di Singapura.

    Beliau juga mengeluarkan beberapa perincian tambahan mengenai program yang telah dirancangkan sejak tahun 2020. Antaranya, sekitar 100 unit MG5 EV akan digunakan di Langkawi, di mana ia akan digunakan sepanjang berlangsungnya Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang bakal berlangsung pada Mei tahun hadapan. Beliau berkata objektifnya adalah untuk mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik dan untuk menarik lebih ramai pengguna EV ke pulau itu.

    Sementara pengecasan sokongan infrastruktur dalam domain awam akan disediakan oleh TNB, Mysuri juga akan melaksanakan rangkaian pengecas untuk pemandu teksi mengecas semula kenderaan mereka. Selain beberapa pusat pengecasan utama, pengecas juga akan dipasang di lokasi utama seperti lapangan terbang.

    Mohd Noor turut berkata, sekitar 80% daripada stesen pengecasan ini akan menggunakan unit AC 22 kWh, selebihnya pula dengan pengecas pantas DC 60 kWh. Selain di Lembah Klang, unit pengecasan yang dikendalikan oleh Mysuri akan dipasang di beberapa bandar utama seperti di Johor Bahru dan Pulau Pinang, dan ia boleh diakses pengguna menerusi aplikasi MyCaj.

    Mengenai pembiayaan pembelian teksi EV, ia akan diuruskan oleh Koperasi Jurupandu Teksiku Bhd. Individu yang berminat pula digalakkan menjadi anggota Koperasi untuk skim Teksiku EV. Ia meliputi kos pendaftaran RM20 serta melanggan syer minimum RM250 dan ke atas.

    Kadar sewa bagi teksi EV ini adalah sekitar RM80 sehari atau RM2,400 sebulan, di mana ia lebih tinggi berbanding teksi biasa (RM37 sehari atau RM1,110 sebulan). Walau bagaimana pun kos pengecasan teksi EV lebih murah iaitu sekitar RM300 sebulan, berbanding penggunaan bahan api yang mencecah RM1,500 sebulan atau RM50 sehari, dan RM300 diperlukan untuk kos penyelenggaran bagi teksi janaan petrol.

     
     
  • SPYSHOT: Yamaha Sirius Fi sedang diuji di Malaysia – HLYM sedang cari calon untuk ganti Lagenda 115Z?

    SPYSHOT: Yamaha Sirius Fi sedang diuji di Malaysia – HLYM sedang cari calon untuk ganti Lagenda 115Z?

    Motosikal serba hitam yang anda lihat dalam gambar ini mungkin boleh jadi model seterusnya yang akan diperkenalkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM). Ia kelihatan sama seperti Sirius Fi yang dijual di Vietnam, dan ditemui oleh pembaca kami, Aswad Ali di Lebuh Raya Utara Selatan, keluar dari Sungai Buloh (lokasi kilang HLYM).

    Di Vietnam, Sirius Fi disediakan sebagai antara model paling murah dengan harga bermula 21 juta dong (RM4,069), hinggalah 23.8 juta dong (RM4,611). Versi paling asas menggunakan brek hadapan dan belakang jenis dram serta rim spoked, sementara versi lebih tinggi menggunakan brek cakera di hadapan serta rim aluminium (tiada ABS atau CBS).

    Model yang ditemui di Malaysia ini adalah versi lebih tinggi, dengan dilihat terdapat brek cakera di hadapan dan menggunakan rim aluminium. Berbeza dengan model Vietnam yang mempunyai fender belakang lebih bersih serta lampu penunjuk arah bersepadu dalam satu unit pada lampu belakng, model yang ditemui di Malaysia ini pula menggunakan lampu penunjuk arah di fender dan ini juga seakan memberi petunjuk ia sudah bersedia untuk homologasi di negara kita.

    SPYSHOT: Yamaha Sirius Fi sedang diuji di Malaysia – HLYM sedang cari calon untuk ganti Lagenda 115Z?

    Enjin Sirius Fi sebenarnya sama sahaja seperti Lagenda 115Z yang dijual di negara kita, iaitu unit satu silinder SOHC suntikan bahan api 113.7 cc berkuasa 8.7 PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm, dipadankan bersama transmisi empat kelajuan tanpa tuil klac tangan.

    Kelengkapan pada Sirius Fi adalah ringkas sahaja, dan ini termasuk lampu jenis halogen serta meter jenis analog (masih ada memaparkan kedudukan gear, laju serta tahap minyak). Walaubagaimanapun, satu keistimewaannya, ia boleh memuatkan sebuah helmet di bawah tempat duduk.

    Jika betul HLYM mahu membawa model ini sebagai pengganti Lagenda 115Z yang sudah terlalu lama di pasaran, adakah anda bersetuju? Tidakkan anda rasa rekaannya terlalu hambar untuk pengguna kita?

    GALERI: Yamaha Sirius Fi 2022 pasaran Vietnam