Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • ETCM panggil balik Nissan Serena S-Hybrid C26 untuk program semula CVT – 4,001 unit terlibat, hanya CBU

    ETCM panggil balik Nissan Serena S-Hybrid C26 untuk program semula CVT – 4,001 unit terlibat, hanya CBU

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dan Tan Chong Ekspres Auto Servis Centre (TCEAS) telah mengumumkan kempen panggilan produk secara sukarela untuk Nissan Serena S-Hybrid C26 generasi ke-empat bertujuan memprogramkan semula unit kawalan CVT kenderaan terbabit.

    Panggilan balik ini melibatkan 4,001 unit Serena S-Hybrid model import-sepenuhnya (CBU) tahun buatan antara September 2012 hingga November 2013. Kos bagi penggantian komponen (termasuk kos buruh) untuk unit Serena CBU yang terlibat tidak akan dikenakan kepada pemilik MPV terbabit.

    ETCM panggil balik Nissan Serena S-Hybrid C26 untuk program semula CVT – 4,001 unit terlibat, hanya CBU

    ETCM turut menambah, kempen ini tidak melibatkan model Serena S-Hybrid C27 generasi kelima yang masih berada di pasaran tempatan, sebaliknya hanya membabitkan model Serena S-Hybrid C26 sahaja.

    Pelanggan yang terlibat dengan kempen ini akan dimaklumkan secara terus oleh TCEAS menerusi surat, SMS atau Whatsapp, dan dinasihati agar segera menghubungi mana-mana cawangan TCEAS berhampiran untuk membuat temujanji. Manakala bagi pelanggan yang ada sebarang pertanyaan mengenai kempen panggil balik ini, bolehlah menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian bebas tol 1800-88-3838.

     
     
  • Toyota Camry Black Edition dilancarkan di Jepun, raikan 40-tahun kemunculan Toyota Celica Camry

    Toyota Camry Black Edition dilancarkan di Jepun, raikan 40-tahun kemunculan Toyota Celica Camry

    Toyota Camry merupakan model yang menggantikan tempat Toyota Corona di pasaran Malaysia. Namun tahukah anda Camry ini sebenarnya berasal dari sebuah model yang dikenali sebagai Celica Camry pada tahun 1980? Ya, ia adalah sebuah model yang diasaskan dari model sport Celica generasi kedua (TA4x), tetapi hadir sebagai sebuah sedan kompak premium empat pintu, berkongsi platform dengan Toyota Carina.

    Sempena meraikan 40 tahun nama Camry dalam pasaran, Toyota telah melancarkan model Camry Black Edition tetapi hanya khas untuk pasaran domestik Jepun (JDM). Model ini diasaskan dari varian tertinggi Camry WS untuk pasaran tersebut, dibezakan dengan perincian-perincian gelap dengan pilihan lima tema luaran.

    Untuk pilihan monotona, Camry Black Edition ini ditawarkan dalam warna badan Black Pearl, Platinum White Pearl Mica dan Emotional Red II. Manakala untuk versi dua-tona, pelanggan ditawarkan pilihan warna badan putih atau merah bagi digandingkan dengan bumbung berwarna Attitude Black Mica.

    Toyota Camry Black Edition dilancarkan di Jepun, raikan 40-tahun kemunculan Toyota Celica Camry

    Model istimewa ini juga hadir standard dengan rim aloi 18-inci berwarna hitam, kemasan bahagian bawah gril hadapan, dan juga lampu hadapan serta belakang yang digelapkan. Untuk kabin pula, pelanggan boleh memilih sama ada mahukan balutan kulit merah atau hitam untuk bahagian seperti tempat duduk, papan pemuka, perehat tangan tengah, dan juga panel pintu. Kedua-dua tempat duduk hadapan hadir dengan fungsi pemanas sebagai ciri standard.

    Tiada perubahan dari segi mekanikal diberikan dimana ia masih dipacu unit janakuasa sama seperti Camry WS. Oleh itu, ia masih menerima unit penjana hibrid elektrik dengan enjin petrol 2.5 liter bersama motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 178 PS dan tork maksima 221 Nm. Pembeli juga boleh memilih sama ada mahukan Camry Black Edition ini dalam versi pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.

    Toyota Camry Black Edition dilancarkan di Jepun, raikan 40-tahun kemunculan Toyota Celica Camry

    Untuk keselamatan pula, sistem yang diberikan adalah standard untuk semua varian dalam barisan model Camry JDM. Ia turut terdiri dari sistem bantuan pemanduan dengan fungsi seperti pemantau titik buta, brek kecemasan untuk lintasan trafik belakang dan juga sistem brek sokongan parkir.

    Pada pasaran Jepun, Toyota Camry Black Edition ini dijual pada harga bermula 4.208 juta yen (RM166,827) untuk versi pacuan hadapan dan 4.406 juta yen (RM174,677) untuk model yang dilengkapi sistem pacuan semua roda.

     
     
  • Kia Stonic 2021 datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas, transmisi iMT, sistem infotainmen dipertingkat

    Kia Stonic 2021 datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas, transmisi iMT, sistem infotainmen dipertingkat

    Kia Stonic diperkenalkan kali pertama pada tahun 2017, dan kini ia diberikan pembaharuan untuk model tahun 2021. Crossover segmen B ini sekarang didatangkan dengan pilihan sistem hibrid ringkas EcoDynamics+ baru, yang memadankan enjin petrol turbo 1.0 liter Smartstream T-GDI bersama sistem hibrid 48 volt dengan bateri lithium ion polymer serta unit starter generator mild hybrid (MHSG).

    Menurut Kia, enjin Smartstream ini masih menghasilkan tahap kuasa sama seperti enjin Kappa sebelumnya, dan ditawarkan dalam dua talaan iaitu 100 PS dan 120 PS. Walaubagaimanapun, jumlah tork telah meningkat sedikit bergantung kepada transmisi, di mana jika enjin 120 PS dipadankan bersama kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan, ia akan memberi 200 Nm tork (16% lebih tinggi).

    Selain transmisi klac berkembar itu, pelanggan juga boleh memilih model yang dipasang dengan transmisi manual pintar iMT yang menggunakan sistem clutch-by-wire. Melalui tetapan ini, klac digerakkan secara elektronik dan disepadukan bersama MHSG untuk membenarkan fungsi seperti mematikan enjin apabila kenderaan meluncur sebelum berhenti.

    Kia Stonic 2021 datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas, transmisi iMT, sistem infotainmen dipertingkat

    Jika tidak mahu sistem hibrid, pelanggan diberikan pilihan dua enjin Smartstream biasa iaitu 1.0 liter T-GDI turbo berkuasa 100 PS (transmisi sama ada manual enam kelajuan atau DCT tujuh kelajuan) ataupun 1.2 liter NA berkuasa 84 PS. Catatan prestasi cuma akan dikeluarkan oleh Kia kemudian.

    Pada bahagian dalam, Stonic 2021 mendapat skrin sesentuh lapan inci secara standard, dan ia boleh memaparkan fungsi infotainmen serta navigasi, bergantung kepada spesifikasi yang dipilih. Sambungan biasa seperti Apple CarPlay, Android Auto serta Bluetootoh boleh digunakan dengan sistem ini.

    Turut diberi adalah sistem telematiks UVO Connect ‘Phase 2’ yang menawarkan servis seperti informasi trafik waktu sebenar, ramalan cuaca, tempat menarik, harga minyak dan tempat letak kereta (lokasi, harga dan petak kosong). Sistem ini juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi khas dan antara fungsi barunya adalah memberikan petunjuk arah kepada pengguna menghala ke destinasi selepas beredar daripada kereta di tempat parkir.

    Kia Stonic 2021 datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas, transmisi iMT, sistem infotainmen dipertingkat

    Pada bahagian keselamatan, Stonic 2021 dilengkapi dengan Forward Collision Avoidance Sssist dengan pengesan kenderaan, pejalan kaki dan penunggang basikal, Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning, Blindspot Collision Warning, Blindspot Collision Avoidance Assist, Intelligent Speed Limit Warning, Smart Cruise Control (SCC), Lane Following Assist (LFA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist serta pengesan jarak hadapan dan belakang.

    Satu lagi ciri keselamatan pada Stonic adalah ia dilengkapi dengan sistem amaran penumpang belakang yang dapat mengelakkan penumpang atau haiwan tertinggal di dalam kereta apabila sudah dikunci. Beg udara ada enam dan tempat duduk juga dilengkapi dengan cagak ISOFIX.

     
     
  • WCE: Status pembinaan setakat 25 Jun capai 66.51%

    WCE: Status pembinaan setakat 25 Jun capai 66.51%

    Menerusi persidangan Dewan Rakyat semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith telah memaklumkan mengenai status kemajuan pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) setakat 25 Jun lalu adalah pada kadar 66.51%.

    Menurut beliau, pembukaan seterusnya bagi WCE yang merentasi Perak dan Selangor akan dilakukan pada pertengahan Ogos tahun depan, membabitkan jajaran Seksyen 11 lebuh raya berkenaan, laporan Berita Harian.

    “Ia mencakupi jajaran dari Persimpangan Bertingkat Beruas ke Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan,” katanya bagi menjawab soalan Teh Kok Lim (DAP-Taiping) mengenai status terkini dan jangkaan tarikh siap WCE.

    Kepada soalan tambahan Kok Lim berhubung langkah kerajaan untuk memastikan WCE siap mengikut tempoh lanjutan ditetapkan, Eddin mengakui projek lebuh raya dengan keseluruhan jajaran sepanjang 233 kilometer itu berdepan kelewatan, susulan beberapa faktor.

    “Kita ambil contoh pembinaan dari Beruas ke Taiping Selatan sepatutnya jika mengikut jadual, siap pada tahap 54%, tetapi perangkaan semasa menunjukkan ia hanya berada pada tahap 33%. Kita jangkakan pakej seksyen ini akan siap pada Ogos 2021.

    “Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memantau untuk memastikan kontraktor mematuhi jadual ditetapkan. Ia termasuk memberi notis amaran supaya perkara sama tidak berulang, namun kita harus mengambil kira faktor semasa dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memberikan tambahan masa sama ada minimum 84 hari atau maksimum 114 hari,” katanya.

     
     
  • Isuzu D-Max Stealth edisi terhad kini di M’sia — 180 unit, pertambahan kelengkapan, harga dari RM125,800

    Isuzu D-Max Stealth edisi terhad kini di M’sia — 180 unit, pertambahan kelengkapan, harga dari RM125,800

    Isuzu Malaysia hari ini memperkenalkan trak pikap edisi terhad Stealth, disasarkan untuk kegunaan dan imej urban. Menggunakan asas penawaran yang sama dengan Isuzu D-Max 1.9 liter 4×4 Premium automatik, Stealth didatangkan hanya dalam dua warna, Stallion Black Metallic atau Silky White Pearl. Ia juga ditawarkan dalam jumlah terhad sebanyak 180 unit sahaja; 105 unit daripadanya dalam warna hitam dan baki 75 unit lagi dalam warna putih.

    Aspek luaran, Stealth menggunakan komponen dan bahagian hitam bagi menggantikan kemasan krom yang ada pada model biasa. Ini termasuk pada gril depan, lampu utama, lampu kabus dan kemasan bampar, landasan bumbung dan bampar belakang.

    Grilnya turut menampilkan garis kemasan warna perak yang halus, menghiasi bahagian depan dan sepadan dengan lanjutan ke bahagian spoiler depan, memberikan wajah depan yang sporty bagi D-Max Stealth ini.

    Isuzu D-Max Stealth edisi terhad kini di M’sia — 180 unit, pertambahan kelengkapan, harga dari RM125,800

    Untuk menambahkan lagi eksklusiviti edisi ini, model berkenaan menerima rim 18-inci aloi dengan lencana Stealth, dengan lencana sama turut ada pada pintu dan juga bahagian belakang untuk membezakannya daripada Isuzu D-Max lain. Pintu ruang barangan di belakang juga datang dengan ciri bukaan ringan untuk memudahkan penggunaan sebagai ciri standard bagi Stealth.

    Ciri tambahan paling menarik diberikan pada versi Stealth ini ialah pemijak sisinya boleh alih dan disimpan dengan rapi. Ini ciri pertama seumpamanya ditawarkan secara standard pada trak pikap. Ketika pintu ditutup, pemijak sisi berkenaan akan tersimpan dengan kemas di bawah badan trak, menjadikan profil sisinya lebih bersih.

    Jika mana-mana pintu dibuka pula, pemijak sisi berkenaan akan terletak pada tempat sepatutnya untuk memudahkan pergerakan penumpang untuk keluar dan masuk. Cahaya automatik di bahagian bawah kenderaan juga akan membantu penglihatan penumpang.

    Isuzu D-Max Stealth edisi terhad kini di M’sia — 180 unit, pertambahan kelengkapan, harga dari RM125,800

    Di dalam, ciri pertama yang akan menarik perhatian ialah tempat duduk dengan tona warna merah dan hitam. Menggabungkan material kulit premium dan juga fabrik, kerusi berkenaan turut diberikan jahitan logo Stealth pada bahagian belakangnya.

    Kabin pula diserikan dengan penggunaan pelapik bumbung warna kelabu yang lebih gelap, sementara kemasan permukaan lainnya dalam warna hitam berkilat, selari dengan tema keseluruhan. Tombol kawalan pendingin hawa pula diberikan penyudah warna krom.

    Isuzu D-Max Stealth turut dilengkapi dengan perakam video digital (DVR) depan dan belakang, menjadi yang pertama dalam kelasnya yang di datangkan dengan ciri ini. Ia mampu merakam dalam format definisi tinggi (HD) sepenuhnya bagi kedua-dua kamera, baik di waktu siang atau malam. Sistem berkenaan akan merakam secara automatik ke dalam kad SD 32GB sebaik sahaja enjin dihidupkan.

    Dengan pengesan pergerakan, ia boleh juga merakam ketika kenderaan diparkir sekiranya ada pergerakan dalam sudut 140-darjah, atau ketika ia mengesan impak pada kenderaan. Rakaman berkenaan boleh dimainkan semula pada telefon pemilik melalui sambungan WiFi, dengan aplikasi IROAD yang boleh dimuat turun dari Apple App Store atau Google Play.

    Ciri lain yang akan memudahkan lagi pengguna yang juga pertama kali ditawarkan dalam kelasnya ialah Peninjau Sekeliling (AVM) dengan Panduan Imej 3D. Menggunakan empat kamera di sekeliling kenderaan, sistem membantu pemandu ketika ingin membelokkan kenderaan, kerana ia dengan automatik akan memberikan pilihan paparan dari atas atau 3D sekiranya gear undur dipilih. Pemandu juga boleh mengaktifkan AVM secara manual dengan menekan butang pada papan pemuka untuk memeriksa persekitaran.

    Tambahan lain ialah sensor parkir di depan yang membantu pemandu sekiranya ingin meletakkan kenderaan di tempat sempit. Sensor berkenaan akan diaktifkan secara automatik sebaik sahaja kenderaan mula bergerak dan akan dimatikan pada kelajuan melebihi 25 km/j. Ia kemudiannya akan diaktifkan semula ketika kenderaan mencapai kelajuan 20 km/j. Pemandu bagaimanapun mempunyai pilihan untuk mematikan sistem ini secara manual.

    Isuzu D-Max Stealth edisi terhad kini di M’sia — 180 unit, pertambahan kelengkapan, harga dari RM125,800

    Isuzu D-Max Stealth didatangkan dengan jaminan istimewa tanpa had selama tujuh-tahun dan boleh didapati melalui semua rangkaian pengedar sah Isuzu seluruh negara bermula hari ini dengan harga dari RM125,799.20 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Semenanjung Malaysia, manakala RM128,176.20 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Sabah dan RM128,220.30 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Sarawak.

    Pelanggan-pelanggan terawal yang membeli Isuzu D-Max Stealth (pendaftaran persendirian sahaja) yang mendaftar kenderaan mereka sepanjang Ogos akan menerima sport roll bar atau memilih untuk membeli penutup T-Lid (bernilai RM5,500) hanya pada harga RM2,000 sementara stok masih ada.

     
     
  • Proton Satria Neo S2000 untuk dijual di UK – RM437k, sudah ditingkat taraf dengan enjin Millington 2.5 liter

    Proton Satria Neo S2000 untuk dijual di UK – RM437k, sudah ditingkat taraf dengan enjin Millington 2.5 liter

    Nak beli jentera rali sebenar Proton Satria Neo S2000? Ini peluang anda – Melvyn Evans Motorsport dari UK mengumumkan sebuah kereta berkenaan dibuka untuk dijual, dengan harga £79,500 atau sekitar RM437k! Unit yang dijual berkenaan adalah dari versi tingkat taraf yang menggunakan enjin Millington 2.5 liter bagi menggantikan enjin 2.0 liter asal.

    Kerangka dengan nombor pendaftaran ‘YN09 DOH’ ini merupakan kerangka ke-7 Satria Neo S2000 yang dihasilkan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM). Seperti kerangka-kerangka lain, ia memulakan hayatnya dengan dijana oleh 2.0 liter NA berkuasa 278 hp dan tork maksima 271 Nm, dihasilkan dari enjin Renault yang berasal dari perut Proton Waja 1.8X.

    Kereta ini tidak pernah dipandu oleh Per-Gunnar Andersson dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) atau Alister McRae dan Chris Atkinson dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC). Tetapi ia telah dipandu oleh pemandu British, Guy Wilks dalam Pirelli International Rally 2009.

    Proton Satria Neo S2000 untuk dijual di UK – RM437k, sudah ditingkat taraf dengan enjin Millington 2.5 liter

    Satria Neo S2000 YN09 DOH tersebut kemudiannya dipandu oleh anak kepada Chris Mellors, prinsipal pasukan MEM iaitu Oliver Mellors (pemandu utama MEM yang sekarang mengemudi Proton Iriz R5) dalam berberapa rali peringkat nasional di Britain pada tahun 2014.

    Selepas itu barulah MEM menaiktaraf kerangka ini dengan enjin Millington ‘Diamond Series 2’ bagi menggantikan enjin asal. Enjin baharu tersebut menampilkan kapasiti 500 cc lebih besar dengan sesaran 2.5 liter, juga tanpa pengecas turbo, membolehkan ia menjana sekitar kuasa kuda 329-359 PS dan tork sekitar 332-345 Nm bergantung pada talaan.

    Ia kemudian dijual kepada pasukan persendirian dan berlumba bersama berberapa orang pemandu berbeza sekitar UK dari tahun 2015 hingga 2019.

    Menurut Melvyn Evans Motorsport, kereta tersebut sekarang tampil dengan set talaan untuk rali di atas permukaan tar, menampilkan rim 18-inci dengan tayar berprofil rendah, serta set suspensi dari Reiger untuk berlumba dalam tarmac rally. Perbatuan enjin juga masih rendah selepas kali terakhir enjin Millington tersebut dileraikan dan dibina kembali.

    Dengan spesifikasi tersebut, Proton Satria Neo “Super 2500” ini sudah lagi tidak layak untuk bertanding dalam kejohanan seliaan terus FIA seperti WRC3, ERC mahupun APRC – jika layak sekali pun, ia sudah tidak kompetitif untuk bertanding dengan jentera-jentera R5 dan AP4 terkini yang menampilkan kuasa kuda jauh lebih besar.

    Namun jika anda berada di Eropah, kereta ini masih pilihan yang baik untuk bertanding dalam perlumbaan rali peringkat nasional mahupun perlumbaan hill climb. Jika di bawa ke Malaysia, sekali lagi diingatkan ia tidak lagi boleh berlumba dalam APRC, manakala Kejohanan Rali Malaysia (MRC) pula sudah pun berkubur pada penghujung musim 2018.

    Tapi kalau mampu dan nak beli untuk buat koleksi serta sekali-sekala belasah kereta ini di ladang getah dan sawit apa salahnya kan?

     
     
  • Mercedes-Benz Actros 2020 dilancarkan di Malaysia — AEB, kawalan melayar adaptif, skrin sentuh pada lori

    Mercedes-Benz Actros 2020 dilancarkan di Malaysia — AEB, kawalan melayar adaptif, skrin sentuh pada lori

    Pengedar Daimler Trucks, Hap Seng Truck Distribution (HSTD) telah melancarkan Mercedes-Benz Actros terbaru untuk pasaran Malaysia. Prime Mover generasi kelima itu turut menampilkan beberapa pertambahan ciri terbaru yang diwarisi daripada kereta penumpang.

    Barisan untuk pasaran tempatan terdiri daripada varian pacuan 4×2, 6×2 dan 6×4 dan tiga saiz kabin – M-Cab dan L-Cab ClassicSpace dan L-Cab SteamSpace. Di Malaysia, Actros dilengkapi enjin 12.8 liter 0M460 turbodiesel enam-sebaris piawaian Euro 3 dengan ciri suntikan terus melalui sistem unit pam berbanding common-rail moden.

    Ini bermaksud Actros boleh menggunakan biodiesel B20 (dijangka akan diguna bermula Jun 2021 nanti) tanpa modifikasi. Bergantung varian, janaan output ialah 360 PS, 394 PS, 421 PS, 449 PS atau 476 PS, dicapai pada 1,600 rpm. Bagi tork pula, angkanya ialah 1,800 Nm, 1,900 Nm, 2,100 Nm, 2,200 Nm atau 2,300 Nm dicapai pada 1,100 rpm.

    Mercedes-Benz Actros 2020 dilancarkan di Malaysia — AEB, kawalan melayar adaptif, skrin sentuh pada lori

    Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear Powershift 3. Ia bukan gear klac berkembar Ford, sebaliknya manual automatik klac tunggal dengan 12 (atau 16, bagi yang lebih bebanan) gear depan dan empat gear undur. Klac berkembar yang lebih lasak pula dipasangkan pada varian 6×4 untuk prestasi yang mampu membawa beban lebih banyak dalam keadaan start/stop yang teruk.

    Sama seperti Mercedes “normal”, pemilih gear kini diletakkan pada kolum stereng berbanding di konsol tengah. Actros didatangkan dengan mod pemanduan Standard, Economy, Power dan Manual. Dalam mod terkahir itu, driver boleh mengendalikan kedudukan gear dengan cara menekan atau menarik tuilnya.

    Bersama dengan penambahbaikan aerodinamik, perubahan yang dilakukan terhadapnya menyumbang kepada penjimatan penggunaan bahan api sebanyak empat peratus. Satu ciri baru, cermin sisi MirrorCam bagaimanapun belum diperkenalkan di sini kerana masih dalam penilaian peraturan JPJ, namun HSTD berharap akan dapat menyediakannnya dalam masa terdekat.

    Mercedes-Benz Actros 2020 dilancarkan di Malaysia — AEB, kawalan melayar adaptif, skrin sentuh pada lori

    Di belakang, Actros mempunyai dua varian gandar belakang – gandar hypoid dengan tampungan bebanan 68 tan serta gandar planetery dengan had bebanan 120 tan. Angka-angka ini mewakili peningkatan masing-masing lapan dan 20 tan berbanding model lama.

    Bagi sistem hiburan, Actros datang dengan pilihan Multimedia Cockpit, yang diperturun daripada Mercedes-Benz User Experience (MBUX) pada kenderaan penumpang. Ia lengkap dengan paparan 10-inci dan antaramuka skrin sentuh yang sama, serta port USB-C berkembar yang serasi dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Classic Cockpit tradisional datang standard dengan head unit Bluetooth dan dail analog serta paparan berwarna.

    Keselamatan Actros juga menerima peningkatan. Model terpilih hadir dengan kawalan kestabilan dan brek kecemasan autonomous Active Brake Assist 5 sebagai standard, sementara kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong dan pemantau tumpuan pemandu turut ada dalam senarai pilihan.

    Mercedes-Benz Actros 2020 dilancarkan di Malaysia — AEB, kawalan melayar adaptif, skrin sentuh pada lori

    Selebihnya, Actros dipasangkan dengan lampu utama halogen, DRL LED dan lampu belakang LED penuh. Ia juga hadir dengan sistem kunci sentral, butang Push Start, parkir brek elektronik dan suspensi udara bagi tempat duduk pemandu.

    Turut tersedia ialah bahagian tidur (dengan bahagian simpanan yang boleh dicapai dari luar) pada L-Cab ClassicSpace dan L-Cab StreamSpace dengan pilihan untuk dua tempat tidur. Suspensi udara gandar belakang turut dipasangkan bergantung kepada varian.

    Harga bagi Mercedes-Benz Actros baru ini bermula dari RM360,000 hingga RM470,000 bagi kepalanya sahaja (tanpa trailer), bergantung kepada varian dan subsidi yang ditawarkan oleh kerajaan bagi industri terpilih. Lori ini perlu diservis setahun sekali/55,000 km dan jaminan tiga-tahun/450,000 km – lebih lama dari yang diamalkan oleh industri (enam bulan/30,000 km dengan jaminan dua-tahun/200,000 km).

     
     
  • SEMA 2020 menyerah kalah, acara Nov ini dibatalkan

    SEMA 2020 menyerah kalah, acara Nov ini dibatalkan

    Bulan lalu penganjur acara untuk dunia modifikasi terbesar di Amerika Syarikat, SEMA nampak begitu yakin untuk meneruskan acara tersebut untuk tahun ini yang dijadualkan pada November nanti walaupun dunia sedang diserang pandemik Covid-19. Namun dalam kemaskini terbaharu, mereka nampaknya sudahpun berputus asa dan mengumumkan bahawa SEMA 2020 sah dibatalkan.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, penganjur acara berkenaan menyebut bahawa ia dibatalkan “kerana Covid-19 dan kegusaran bahawa fasiliti dan servis acara tidak dapat disediakan.”

    “Ketika pihak penganjur dan rakan-rakan industri berkerja keras bagi mempersembahkan acara SEMA yang terbaik pada November, ketidakpastian yang semakin meningkat telah membuatkan acara ini tidak dapat diteruskan. SEMA menjangkakan keputusan ini akan memberikan penjelasan yang sangat diperlukan untuk kecelaruan ini dan akan membantu peserta pameran, pengunjung dan rakan kongsi membuat perancangan sewajarnya,” tambah kenyataan tersebut.

    SEMA 2020 menyerah kalah, acara Nov ini dibatalkan

    SEMA 2020 sepatutnya akan berlangsung di Las Vegas pada 3 hingga 6 November 2020 nanti. Menurut penganjurnya, sebanyak 1,800 syarikat yang akan menyertai SEMA 2020 bagi memenuhi ruang pameran di Las Vegas Convention Center (LVCC).

    Dalam perancangan yang diumumkan sebelumnya, penganjur menyatakan bahawa mereka akan membuat pelbagai langkah keselamatan dan pencegahan untuk acara tahun ini. Mereka turut menjalinkan kerjasama dengan pihak hotel, LVCC dan juga pihak berkuasa bandar dan negeri Nevada bagi “memastikan standard keselamatan yang tinggi dan juga pematuhan arahan dari kerajaan.”

    Antara langkah tersebut termasuk penggunaan topeng atau pelindung muka, kekerapan membasuh tangan dan juga penjarakan fizikal. Mereka juga akan menyediakan laluan dan masuk khas bagi mengawal dan memeriksa pengunjung menggunakan kamera suhu tak-invasif. Aliran perjalanan dalam satu hala dan juga stesen cecair pembasmi kuman setiap 60 meter turut diwujudkan.

    Penganjur juga akan membuat sanitasi pada kawasan yang kerap dilalui setiap jam pada bahagian-bahagian seperti lantai, pintu, lif dan juga tangga bergerak, serta bangunan berkenaan akan disanitasi setiap malam.

    Bagi yang masih belum mengetahui, acara tahunan SEMA adalah acara dengan konsep dan prestij yang hampir sama dengan Tokyo Auto Salon (gambar yang kami gunakan ini adalah dari TAS), dan menjadi tumpuan syarikat penala dan juga peminat modifikasi kenderaan dari seluruh dunia setiap tahun. Penganjur menyatakan bahawa walaupun ia dibatalkan tahun ini, SEMA tetap akan berlangsung semula untuk tahun hadapan.

    “Acara SEMA komited untuk meneruskan perniagaan dalam pasara peralatan khas automotif, dan menyediakan pengeluar dan pembeli dengan peluang terbaik untuk berhubung, promosi produk baharu dan meneroka trend baharu. Kami menghargai semangat, kerja keras dan innovasi yang diberikan oleh industri dalam acara ini setiap tahun. Ketika kami kecewa dengan keadaan yang menghalang kami untuk menganjurkan acara ini pada November, kami memandang kehadapan untuk menyatukan semua orang pada 2021 dalam satu lagi acara yang hebat,” kata presiden dan CEO SEMA, Chris Kersting.

    Buat masa sekarang, Amerika Syarikat merekodkan 4.9 juta kes positif Covid-19, dengan angka kematian melebihi 160,000 orang. Nevada, di mana terletaknya Las Vegas ini telah mencatatkan 52,919 kes dengan 891 kematian.

     
     
  • Jaguar Land Rover bangunkan perisian untuk elakkan penumpang mabuk dalam kereta autonomous

    Jaguar Land Rover bangunkan perisian untuk elakkan penumpang mabuk dalam kereta autonomous

    Jaguar Land Rover (JLR) sekarang ini sedang membangunkan perisian khas kereta autonomous, yang bertujuan mengelakkan penumpang daripada mabuk semasa bergerak – lapor Autocar. Perisian ini dapat mengesan keadaan semasa penumpang dan data yang diterima digunakan untuk melaras pecutan, brek serta kedudukan dalam lorong yang sesuai, seterusnya dapat mengurangkan ‘mabuk kereta’ sehingga 60%.

    Perisian ini telah diuji secara virtual melalui simulasi yang diterima daripada kereta autonomous Jaguar Land Rover, sementara atas jalan sebenar, ia telah diuji sejauh 32,000 km. Menurut Autocar, perisian ini akan dimasukkan ke dalam sistem bantuan pemandu kenderaan produksi syarikat itu tetapi Jaguar Land Rover sendiri masih belum memberi sebarang kenyataan berkenaannya.

    “Mobiliti terus berubah dengan pantas, dan kami akan menguatkan lagi kemampuan kereta panduan sendiri demi mencapai sasaran sifar kemalangan dan sifar kesesakan. Penyelesaian masalah mabuk kereta dalam kereta tanpa pemandu adalah kunci utama untuk membuka potensi besar teknologi ini untuk penumpang, yang kemudiannya boleh menggunakan waktu dalam kenderaan untuk membaca, bekerja atau berehat, kata ketua pegawai kesihatan JLR, Dr Steve Iley.

    Jaguar Land Rover bangunkan perisian untuk elakkan penumpang mabuk dalam kereta autonomous

    Langkah ke arah pengalaman pemanduan autonomous mesra penumpang ini adalah sebahagian daripada inisiatif Destination Zero JLR yang memberikan fokus kepada pemanduan yang lebih selamat dan lebih mesra alam. Sebuah kereta konsep yang dinamakan sebagai Project Vector juga telah didedah baru-baru ini sebagai sebahagian daripada inisiatif ini.

    Bateri serta penggerak model ini dapat disepadukan pada lantainya yang rata sekaligus memberikan lebih ruang dan fleksibiliti kepada pengguna di atasnya. Pelbagai tetapan kedudukan boleh dibuat dan ia juga boleh digunakan untuk tujuan komersial.

     
     
  • Perodua Myvi, Axia dan Bezza duduki 3 tangga teratas jualan kenderaan 2020 – 42% perkongsian pasaran

    Perodua Myvi, Axia dan Bezza duduki 3 tangga teratas jualan kenderaan 2020 – 42% perkongsian pasaran

    Nampak gayanya usaha Proton yang berazam mahu merampas kedudukan nombor 1 Perodua harus dilipat ganda lagi kerana Perodua masih ke hadapan dengan rekod jualan yang lebih memberangsangkan.

    Jika Proton mencatatkan jualan sebanyak 13,216 unit untuk bulan Julai, Perodua pula telah mendaftarkan sejumlah 23,203 unit pada bulan yang sama. Malah jumlah tersebut mengatasi Jun sebagai bulan jualan tertinggi setakat tahun ini sebanyak 9.2%, dan meningkatkan jumlah jualannya setakat tahun ini (YTD) kepada 97,373 unit.

    Perodua turut menganggarkan penguasaan pasaran Julai dan YTD masing-masing sebanyak 40% dan 42%. Di mana model Myvi, Axia dan Bezza, telah menduduki tiga tempat teratas dari segi jualan YTD di Malaysia dengan masing-masing sebanyak 29,313, 28,107 dan 25,416 unit dijual.

    Perodua Myvi, Axia dan Bezza duduki 3 tangga teratas jualan kenderaan 2020 – 42% perkongsian pasaran

    “Perodua Myvi, kenderaan terlaris di Malaysia setiap tahun sejak 2006, baru-baru ini telah dinaiktaraf dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 terkini. Ia kekal menjadi antara kenderaan dengan ciri keselamatan canggih yang paling mampu milik di negara ini.

    “Sejak kembali beroperasi selepas penutupan selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan kami telah membangkit kembali dengan cepat, didorong pengecualian cukai jualan oleh pihak kerajaan yang akan berlangsung sehingga akhir tahun.

    “Sekiranya perkembangan ini berterusan, jumlah jualan yang menggalakkan ini akan membolehkan kami membantu eko-sistem pembekal dan pengedar automotif pada masa yang sukar ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua Myvi, Axia dan Bezza duduki 3 tangga teratas jualan kenderaan 2020 – 42% perkongsian pasaran

    Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) pula menganggarkan bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) sekurang-kurangnya 500,000 unit diperlukan tahun ini untuk memastikan kelangsungan eko-sistem automotif.

    Semua model semasa Perodua mempunyai kandungan komponen tempatan lebih 90% dan disebabkan skala ekonominya, alat ganti servis ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mudah didapati, memberikan para pelanggannya ketenangan minda yang menyeluruh.

    Dato’ Zainal menambah bahawa Perodua mengamalkan konsep Simple, Slim and Compact dalam semua operasinya, merangkumi interaksi dengan semua pihak berkepentingan, di samping sentiasa mengutamakan insan.

     
     
  • Jalan susur masuk Ebor-Shah Alam di persimpangan bertingkat Shah Alam ditutup hingga 9 Ogos – PLUS

    Jalan susur masuk Ebor-Shah Alam di persimpangan bertingkat Shah Alam ditutup hingga 9 Ogos – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan jalan susur masuk Ebor ke Shah Alam di KM0 (Arah Utara) di Lebuhraya Utara- Selatan Hubungan Tengah (ELITE) ditutup kepada semua kenderaan dari 5 hingga 9 Ogos 2020, mulai jam 10 malam hingga 5 pagi.

    Penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaran turapan jalan dapat dilaksanakan dengan selamat di sepanjang laluan tersebut.

    Sehubungan itu, pelanggan lebuh raya dari arah Ebor/ELITE yang ingin menuju ke Shah Alam/Bukit Jelutong, dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif dengan keluar dari lebuh raya menggunakan Plaza Tol Setia Alam.

    Orang ramai boleh memasuki semula ke lebuh raya selepas membuat pusingan-U di Plaza Tol Setia Alam untuk meneruskan perjalanan ke Shah Alam/Bukit Jelutong dengan lebih lancar dalam tempoh tersebut.

    PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut supaya merancang perjalanan serta mematuhi semua papantanda dan arahan yang disediakan oleh pihak PLUS.

     
     
  • 35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

    35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

    Bulan Julai lalu, Proton meraikan ulang tahun ke-35 kereta pertama yang dikeluarkannya, Proton Saga. Sejak itu, ia telah menempuh perjalanan yang panjang, sejak Dr. Mahathir menyuarakan idea untuk mewujudkan sebuah pengeluar kenderaan nasional pada tahun 1970an. Pengenalan sedan mampu milik, Saga, pada 9 Julai 1985 menjadi penanda aras yang bermakna.

    Dalam dekad-dekad seterusnya, Proton beralih daripada sekadar melakukan rebadge model-model Mitsubishi kepada menghasilkan rekaan dan kejuruteraan sendiri. Peralihan yang berlaku bagaimanapun banyak cabarannya, kerena Proton kerap bergelut dengan matlamatnya terutama ketika melibatkan pertukaran pihak pengurusan. Apa pun, bahagian rekaan sentiasa menjadi kekuatan tersendiri syarikat.

    Azlan Othman mungkin orang yang memiliki sudut pandang terbaik tentang hal ini. Beliau menyertai Proton sebaik sahaja tamat pengajian pada 1997; sebuah tahun yang mencabar dan bersejarah – antaranya, menara berkembar Petronas mula beroperasi, dan Asia Tenggara sedang berada di awal tempoh krisis ekonomi yang teruk.

    Ketika itu, Proton sedang dalam persiapan akhir untuk memperkenalkan model-model “prestasi” – Satria GTi dan Perdana V6, dan sudah memulakan kerja-kerja rekaan dan pembangunan Waja yang menjadi kereta pertama direka oleh syarikat itu sendiri. Seperti juga perkembangan umum waktu itu, Proton sedang memasuki era digital dan sedang membina kepakaran di dalam rekaan berasaskan komputer dan perisian kejuruteraan seperti Catia dan Alias.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • MINI Cooper SE 2020 dilancarkan di Malaysia pada 26 Ogos – pendaftaran minat untuk EV ini kini dibuka

    MINI Cooper SE 2020 dilancarkan di Malaysia pada 26 Ogos – pendaftaran minat untuk EV ini kini dibuka

    Pada Jun lalu, MINI Malaysia telah menguar-uarkan ketibaan jentera semua-elektrik MINI Cooper SE (atau lebih dikenali sebagai MINI Electric di beberapa pasaran) dan kini tarikh pelancaran rasminya untuk negara ini telah diketahui iaitu pada 26 Ogos 2020. Informasi ini telah pun dimaklumkan menerusi laman web rasmi syarikat ini.

    Diperkenalkan pada Julai 2019, MINI Cooper SE dipadankan dengan motor elektrik yang digunakan
    sama seperti BMW i3s dan mampu menghasilkan kuasa 181 hp (135 kW) dan tork maksimum 270 Nm. Walau bagaimanapun, MINI Cooper SE ini menggunakan pacuan roda hadapan dan bukannya roda belakang seperti i3s. Bagi pecutan 0-100 km/j, ia boleh dicapai dalam masa 7.3 saat, dan kelajuan maksimum pula mencecah 150 km/j.

    Motor elektrik yang digunakan mendapat kuasa daripada bateri voltan tinggi yang diperbuat daripada lithium ion dan dibahagikan kepada 12 modul. Ia diletakkan pada lantai kenderaan dalam bentuk T dan mempunyai kapasiti 32.6 kWh (i3 menggunakan bateri 33.2 kWh).

    MINI Cooper SE 2020 dilancarkan di Malaysia pada 26 Ogos – pendaftaran minat untuk EV ini kini dibuka

    Sama seperti i3s, Cooper SE ini datang bersama pengecas AC 11 kW dengan penyambung Type 2, yang membenarkan pilihan beberapa tempat mengecas termasuk soket dan kabel single phase biasa di rumah. Selain daripada itu, pemilik juga boleh menggunakan MINI Electric Wallbox di rumah yang mempunyai kapasiti 22 kW atau kabel three phase untuk disambungkan kepada stesen pengecasan pantas awam.

    Apabila menggunakan dua sistem pengecasan ini (Wallbox dan stesen awam), bateri Cooper SE boleh sampai ke tahap 80% dalam masa dua jam setengah dan 100% dalam masa tiga jam setengah. Apabila sudah penuh, ia boleh bergerak antara 235 hingga 270 km berdasarkan ujian kitaran WLTP. Jika mahukan pengecasan yang lebih pantas, pemilik perlu menggunakan sistem DC dengan sambungan CCS Combo 2, di mana dengan kapasiti pengecasan 50 kW, tahap 80% boleh dicapai dalam masa 35 minit sahaja.

    Untuk imejnya pula, Cooper SE mempunyai bentuk yang sama dengan Cooper 3 Door biasa, tetapi beberapa bahagian dijadikan unik. Ini termasuk gril hadapan dengan bukaan udara lebih kecil dan diserikan dengan jalur kuning serta logo MINI Electric, dan kemasan kuning pada beberapa bahagian lain termasuk cermin sisi dan tempat mengecas.

    MINI Cooper SE 2020 dilancarkan di Malaysia pada 26 Ogos – pendaftaran minat untuk EV ini kini dibuka

    Bahagian dalam juga mempunyai bentuk yang sama, tetapi dengan beberapa perbezaan kecil termasuk panel instrumen digital 5.5 inci di belakang roda stereng yang boleh memaparkan pelbagai informasi seperti tahap bateri, mod pemanduan, infotainmen, jarak pacuan dan lain-lain. Paparan panel ini juga boleh berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih.

    Selain itu, kemasan kuning turut digunakan termasuk pada stereng, tombol gear, butang pemula enjin dan kawalan sistem infotainmen. Apabila memilih pakej Interior Style MINI Electric, ia akan dilengkapi pula dengan jahitan benang kuning serta alas kaki yang mempunyai logo MINI Electric.

    Kita akan dapat tahu lebih terperinci mengenai kelengkapan standard dan harganya apabila model ini dilancarkan kelak. Kalau ikut pasaran di negara jiran, Thailand, ia dijual pada harga 2.29 juta baht (RM304,422). Murah sedikit berbanding BMW i3s yang turut dijual di sana dan berharga 3.7 juta baht (RM491,976).

    Di negara kita pula, model i3s buat masa ini berharga RM268,823.96 sehingga hujung 2020 susulan pengecualian SST, jadi adakah Cooper SE akan lebih murah berbanding BMW EV? Tunggu dan lihat.

    GALERI: MINI Cooper SE F56

     
     
  • Mazda 3 Turbo 2021 pasaran Amerika Syarikat dijual 46% lebih mahal berbanding model asas 2.0L NA FWD

    Mazda 3 Turbo 2021 pasaran Amerika Syarikat dijual 46% lebih mahal berbanding model asas 2.0L NA FWD

    Selepas perinciannya didedahkan bulan lalu, kini Mazda Amerika mengumumkan pula harga untuk Mazda 3 kemaskini 2021, termasuk untuk model yang paling berkuasa dijana enjin petrol turbo empat-silinder 2.5 liter SkyActiv-G, ditawarkan dalam kedua-dua bentuk badan sedan dan hatchback.

    Model paling asas Mazda 3 2.0 FWD dijual pada harga USD20,500 (RM86,243). Manakala untuk versi Turbo AWD dalam bentuk badan sedan, ia dijual pada harga USD29,900 (RM125,789), USD9,400 (RM39,546) atau 46% lebih mahal dari versi standard tadi. Untuk Mazda 3 hatchback Turbo pula, ia dijual pada harga USD1,000 (RM4,207) lebih mahal dari sedan.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Mazda 3 Turbo 2021 pasaran Amerika Syarikat ini dijana oleh enjin petrol empat silinder 2.5 liter SkyActiv-G yang sama pada Mazda 6, CX-5 dan juga CX-9. Ia menghasilkan 250 hp dan tork maksima 434 Nm jika pemiliknya menggunakan petrol premium oktana 93 (lebih kurang sama dengan RON 98 di Eropah dan Asia) di negara berkenaan. Enjin tersebut tidak mempunyai masalah untuk beroperasi dengan petrol biasa oktana 87 (RON 95 di Eropah dan Asia), namun ia hanya menghasilkan 227 hp/420 Nm.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik SkyActiv-Drive dan kuasa diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda. Namun, Mazda masih belum mengumumkan sebarang angka prestasi dengan pemadanan unit janakuasa yang lebih bertenaga ini.

    Mazda 3 Turbo 2021 pasaran Amerika Syarikat dijual 46% lebih mahal berbanding model asas 2.0L NA FWD

    Walaupun model turbo ini dibekalkan dengan kuasa yang lebih besar dari versi NA mahupun SkyActiv-X, ia masih belum dianggap sebagai model prestasi hardcore atau fokus untuk kegunaan prestasi tinggi seperti MazdaSpeed 3 (MPS) yang dihasilkan pada dua generasi Mazda 3 terawal.

    Model turbo pasaran Amerika Syarikat ini ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu Mazda 3 2.5 Turbo, dan ia hadir standard dengan kelengkapan seperti sistem infotainmen MZD Connect dilengkapi skrin 8.8-inci, sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan head-up, upholsteri kulit, pakej bantuan pemanduan Mazda i-Activsense dan pelbagai lagi.

    Versi hatchback dan sedan turbo tersebut juga diberikan rim aloi 18-inci kemasan hitam, cermin sisi hitam berkilat, lencana-lencana “Turbo” serta lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED. Model sedan turut diberikan gril hadapan kemasan hitam berkilat dan juga kemasan pada bawah bampar hadapan.

    Pelanggan turut ditawarkan dengan perincian opsyen Premium Plus Package dengan bayaran tambahan USD1,075 (RM4,522) yang menampilkan kelengkapan kosmetik tambahan terdiri dari lip spoiler untuk penutup but belakang bagi model sedan manakala hatchback pula menerima spoiler bumbung dan spoiler bawah bampar hadapan berwarna hitam berkilat.

    Mazda 3 Turbo 2021 pasaran Amerika Syarikat dijual 46% lebih mahal berbanding model asas 2.0L NA FWD

    Selain itu pilihan rim aloi forged 18-inci dari BBS dalam kemasan hitam berkilat juga boleh dipilih oleh pembeli dengan tambahan harga USD918.95 (RM3,866) sebuah. Tipikal sebuah Mazda, pembeli juga boleh memilih warna-warna premium juga dengan tambahan harga seperti Snowflake White Pearl Mica (USD395 atau RM1,662), Machine Grey Metallic (USD495 atau RM2,083) dan Soul Red Crystal (USD595 atau RM2,504).

    Jika pembeli memilih semua opsyen yang ditawarkan, Mazda 3 Turbo hatchback berkenaan dijual dengan harga keseluruhan USD39,095.80 (RM164,534.67), atau lebih mahal dari model asas Honda Civic Type R yang dijual dengan harga bermula USD36,955 (RM155,543) pada pasaran Amerika Syarikat.

    Buat masa sekarang, model tertinggi pada pasaran Malaysia adalah hatchback 2.0 High Plus, dijana oleh enjin NA 2.0 liter SkyActiv-G berkuasa 162 hp/213 Nm, dijual pada harga RM154,679 setelah menerima pengecualian SST. Jadi, anda bolehlah agak-agak sendiri berapa anggaran harganya jika model Turbo ini di bawa ke Malaysia. Amacam? Ada yang berminat?

     
     
  • Menteri Pembangunan Usahawan tak tahu status dana RM20 juta untuk kereta nasional ketiga era k’jaan PH

    Menteri Pembangunan Usahawan tak tahu status dana RM20 juta untuk kereta nasional ketiga era k’jaan PH

    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini memberitahu beliau tidak mengetahui apa sebenarnya status dana RM20 juta yang sebelum ini diperuntukkan untuk projek kereta nasional ketiga, lapor Malay Mail.

    Beliau menjelaskan perkara ini di Parlimen hari ini ketika menjawab pertanyaan lisan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, lanjutan dari persoalan dari Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli yang bertanyakan pihak kerajaan berhubung perkembangan industri kereta terbang, sama ada ia masih diteruskan atau sebaliknya di bawah kementeriannya.

    “Saya tidak boleh beritahu perkara yang luar pengetahuan saya, apa terjadi kepada dana itu juga, oleh kerana sudah disumbangkan.

    “Saya cukup yakin kementerian yang mengundang kewangan ini menggunapakai dan memantau pembangunannya dan saya tidak boleh menjawab apa yang saya tidak tahu,” katanya ketika di Parlimen tadi.

    Menteri Pembangunan Usahawan tak tahu status dana RM20 juta untuk kereta nasional ketiga era k’jaan PH

    Pada November tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi kementerian yang sama menafikan dana RM20 juta berkenaan diberikan kepada Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) untuk projek super drone atau lebih popular disebut sebagai “kereta terbang” yang dibangunkan oleh Aerodyne Group. Tetapi menjelaskan bahawa dana tersebut adalah untuk kerja-kerja R&D bagi projek kereta nasional baharu (NNCP) yang diterajui oleh DreamEdge.

    Bulan lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan projek kereta nasional baharu tersebut akan diteruskan walaupun kerajaan sudah bertukar dan beliau meminta Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Daihatsu untuk memberi taklimat serta membentangkan kertas kerja kepada kerajaan mengenai kaedah kedua syarikat automotif itu dapat membantu membangunkan projek tersebut.

    “Ini adalah demi keperluan untuk mengembangkan sektor automotif negara. Saya juga mencadangkan kepada pengurusan (Dreamedge) untuk memberikan taklimat mengenai kemajuan kereta nasional ketiga.

    “Ini kerana kita sudah mengenal pasti platform dan pelaksanaannya. Perkara ini perlu diperjelaskan,” katanya selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, Perodua Suppliers Association (P2SA) dan Perodua Dealers Association (PDA).

    Menteri Pembangunan Usahawan tak tahu status dana RM20 juta untuk kereta nasional ketiga era k’jaan PH

    Menurut Azmin lagi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada Februari lalu turut akan diteruskan kerana ia adalah agenda dan rangka kerja untuk industri automotif masa hadapan.

    Projek NNCP ini disuarakan oleh Tun Dr Mahathir pada Jun 2018, dan selepas berberapa perbincangan dan penilaian, Ogos tahun lalu DreamEdge telah diumumkan untuk menerajui projek ini.

    Menerusi apa yang dikongsikan oleh CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, ketika pengumuman awalan pada Ogos tahun lalu, syarikatnya setakat ini merancang untuk mengeluarkan sebuah kereta sedan hibrid segmen B besar sebagai model pertama. Teknologi utama yang terlibat di dalam projek ini pula dimaklumkan akan diperoleh atau disokong oleh Daihatsu Jepun. Walau bagaimanapun, teknologi spesifik yang bakal digunakan berkenaan masih belum diperincikan.

    Namun dalam laporan dari Affin Hwang Investment Bank pada Disember 2019, kereta ini akan dijana sama ada dengan enjin pembakaran dalaman konvensional atau unit penjana hibrid petrol elektrik, dan dijangka akan diberikan pelbagai teknologi terkini seperti sistem-sistem terhubung serta teknologi bantuan pemanduan. DreamEdge tidak mempunyai kilang sendiri, tetapi ia akan dihasilkan secara kontrak, dengan khabar menyatakan bahawa ia akan dibina oleh subsidiari Daihatsu iaitu Perodua.

    Menteri Pembangunan Usahawan tak tahu status dana RM20 juta untuk kereta nasional ketiga era k’jaan PH

    Konsep rekaan dan pembangunan projek ini akan diterajui oleh DreamEdge, bersama rakan teknologinya iaitu Daihatsu – yang telah mengesahkan pembabitannya pada Oktober lalu – yang akan membangunkan unit janakuasa serta membekalkan platform. Walau bagaimanapun, DreamEdge telah menegaskan dalam mesyuarat dengan Affin Hwang berkenaan kereta tersebut bukan satu lagi model rebadge Daihatsu.

    Menurut laporan dari Affin Hwang lagi, garis masa pendedahan kereta ini juga telah dirombak semula – prototaip penuh kereta ini akan didedahkan pada pertengahan tahun 2020, manakala produksi penuh akan berjalan pada separuh pertama 2022 – lebih lewat setahun dari yang dijangka. DreamEdge turut mensasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 3,000 unit kereta ini pada tahun pertama produksinya nanti.

    Ketika majlis pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 bulan lalu, DreamEdge telah pun meletakkan teaser prototaip kereta berkenaan untuk tatapan orang ramai – diletakkan dalam kotak gelap dan hanya mendedahkan bahagian lampu hadapan dan belakang.

    DreamEdge menyifatkan kereta ini sebagai “akan memberikan keseronokan memandu, mesra keluarga, penggunaan bahan api yang sangat jimat dan bernilai untuk wang,” dan ” menerima rekaan moden dan furistik, lengkap dengan fungsi terhubung terkini dan juga sistem bantuan pemanduan terkini,” serta “akan dihasilkan dan meningkatkan kebolehan R&D tempatan, meningkatkan kebolehan jurutera tempatan dan mewujudkan bakat yang berkemahiran tinggi.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025