Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Toyota Harrier 2020 dengan kit Wald International

    Toyota Harrier 2020 dengan kit Wald International

    Selepas Modellista dan Gazoo Racing, satu lagi syarikat pengubah suai kenderaan terkenal iaitu Wald International juga memperkenalkan kit badan khas untuk Toyota Harrier 2020. Ubah suai yang diketengahkan oleh Wald nampak lebih kemas, bersih dan tidak keterlaluan.

    Gril model standard yang sebahagian besarnya tertutup diganti dengan unit krom bersama jalur melintang oleh Wald sementara bahagian bampar serta lampu kabusnya masih kelihatan sama, cuma ia ditambah dengan lip di bahagian bawah dan menjadikan bampar tersebut nampak lebih labuh.

    Sambungan di bawah ini diteruskan pada bahagian tepi melalui side skirt dan di belakang ia bersambung terus dengan bampar yang kelihatan lebih sibuk dengan empat muncung ekzos berlapis, pemantul cahaya serta kemasan seperti diffuser di tengah.

    Toyota Harrier 2020 dengan kit Wald International

    Harrier 2020 pertama kali didedahkan pada bulan April lalu dan ia diberitahu akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin Dynamic Force baru Toyota iaitu unit empat silinder 2.0L dengan kuasa 171 PS an 207 Nm, serta unit empat silinder 2.5L yang digabungkan dengan motor elektrik 120 PS dan 202 Nm.

    Kedua-dua pilihan enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT, dengan versi Hybrid juga turut didatangkan dengan sistem pacuan semua roda E-Four yang ditambah motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 54 PS dan 121 Nm. Versi Hybrid FWD pula akan mempunyai output sistem 218 PS, sementara versi E-Four dengan output 222 PS.

     
     
  • Audi Q4 Sportback e-tron Concept diperkenalkan esok

    Audi Q4 Sportback e-tron Concept diperkenalkan esok

    Audi telah mengesahkan bahawa model Q4 Sportback e-tron concept bakal diperkenalkan esok. Model baharu yang menggunakan bentuk badan SUV kompak empat-pintu ini pertama kali didedahkan pada Mac tahun lalu.

    Q4 e-tron Concept ini menggunakan penggerak elektrik. Jadi, ia dibina atas platform MEB, dan dijadikan pacuan empat-roda Quattro dengan penggunaan motor elektrik pada setiap gandar. Tiada penyambung mekanikal di antara dua gandar ini, sebaliknya penyampaian kuasa dikawal oleh unit elektrik supaya cengkaman yang optimum dalam pelbagai keadaan dapat dicapai.

    Dalam kebanyakan waktu, Q4 e-tron akan menggunakan pacuan roda belakang, demi menjadikan ia lebih cekap. Motor elektrik yang berada di gandar hadapan hanya akan hidup apabila pemandu mahukan lebih prestasi ataupun terdapat gelinciran yang dikesan oleh unit pengawal elektronik tersebut.

    Audi Q4 Sportback e-tron Concept diperkenalkan esok

    Untuk kuasa, unit motor di belakang mempunyai kadar yang lebih tinggi iaitu 150 kW (204 PS) dan 310 Nm tork, manakala unit di hadapan menghasilkan 75 kW (102 PS) dan 150 Nm tork. Apabila digabungkan, sistem ini mampu menghasilkan 225 kW (306 PS), dan kedua-dua motor tersebut mendapat kuasa daripada bateri 82 kWh (dengan berat 510 kg) yang terletak di bawah lantai.

    Menurut Audi, dengan tetapan ini, Q4 e-tron Concept boleh pergi sehingga 450 km (kitaran WLTP) dan pengecasan pantas DC (melalui penyambung CCS) berada pada kadar 125 kW. Untuk mendapatkan tahap bateri 80%, 30 minit waktu mengecas diperlukan.

    Untuk pecutan, Audi memberitahu kenderaan ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j (dihadkan secara elektronik). Pembahagian berat gandar dikatakan sempurna pada hampir 50:50, dan semua roda disambung dengan penyerap adaptif.

    Bagi imej luarannya, bahagian hadapannya diserlahkan dengan gril Singleframe yang besar tapi tertutup, dan angin sejuk dari luar masuk ke dalam melalui dua bukaan udara yang terdapat di hujung bampar. Lampu hadapan menggunakan unit matrix LED manakala di belakang pula terdapat grafik lampu yang bersambung dari hujung ke hujung.

    Q4 e-tron Concept ini menggunakan rim 22-inci, dan profilnya dijadikan tegap, dengan garis bumbung yang menjunam di belakang. Menurut Audi, rekaan ini berjaya mencatat kadar rintangan angin 0.27 Cd dan disudahi dengan warna “Solar Sky.”

    Istimewanya warna biru ini adalah ia boleh berubah mengikut sudut cahaya, dan dibangunkan khas untuk Q4 e-tron Concept dalam persekitaran yang mesra alam. Satu lagi fungsinya adalah boleh mengurangkan pembinaan haba pada bahagian badan dan juga dalam kenderaan.

    Di dalam kabinnya pula, ia ditampilkan dengan roda stereng haksagon, unit yang sama dengan model Q4 e-tron. Selain itu, ia turut diberikan kokpit maya Audi digital sepenuhnya dan unit utama, konsol tengah ala terapung, dan bentangan papan pemuka yang biasa.

    Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan papan infotainmen 12.3-inci yang dipusingkan sedikit supaya menghadap pemandu dan butang kawalan HVAC diletakkan bawah padanya. Pemilihan gear pula boleh dilakukan melalui butang yang terdapat permukaan hitam berkilat di konsol tengah. Butiran penuh akan didedahkan pada detik pengenalannya.

    GALERI: Audi Q4 e-tron

     
     
  • Jualan kenderaan bagi tahun 2020 dijangka kekal memberangsangkan, sasaran 565k unit – penganalisis

    Jualan kenderaan bagi tahun 2020 dijangka kekal memberangsangkan, sasaran 565k unit – penganalisis

    Sebelum ini kebanyakan pemain industri automotif tempatan menyuarakan kebimbangan mengenai prestasi jualan yang dicatatkan bagi tahun ini selepas pandemik COVID-19 menular di Malaysia mendorong pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu. Dalam tempoh bulan ketiga 2020, jualan kenderaan direkodkan mengalami penyusutan sebanyak 44%. Manakala untuk bulan April pula, jualan kenderaan jatuh hampir 100%.

    Walau bagaimana pun, selepas PKP makin dilonggarkan, dan sektor perniagaan dibuka kembali, jualan kenderaan dilihat meningkat semula. Buktinya, pada Mei lalu, jualan kenderaan naik sebanyak 16,183%. Ini bermakna, kuasa pembeli sudah kembali.

    Melihat akan prestasi tersebut, AmInvestment Bank menerusi nota penyelidikannya mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) kekal memberangsangkan dengan sasaran 565,000 unit tahun ini. Perkara ini terdorong dengan inisiatif diumumkan kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

    Jualan kenderaan bagi tahun 2020 dijangka kekal memberangsangkan, sasaran 565k unit – penganalisis

    Penganalisis AmInvestment Bank, Jeremie Yap, berkata TIV pada separuh kedua tahun ini bakal disokong prestasi lebih baik bagi semua pengeluar utama berikutan pelaksanaan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi unit pemasangan tempatan (CKD) dan 50% bagi model import (CBU) berkuatkuasa 15 Jun hingga 31 Disember 2020, laporan Berita Harian.

    “Memasuki separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan pemulihan kukuh dalam tempoh enam bulan berikutnya selepas jumlah kes baharu COVID-19 domestik semakin berkurangan dan kebanyakan perniagaan beroperasi semula.

    “Kerajaan juga melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana semua pusat pengedaran, bilik pameran dan cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah boleh mengambil tempahan dan pendaftaran kenderaan baharu,” katanya dalam nota penyelidikan.

    Tambahnya lagi, pengecualian cukai jualan menyaksikan harga kereta turun antara 1.1% hingga 6.5% bagi semua kenderaan, yang dilihat sebagai suntikan yang sangat diperlukan sektor automotif negara sebagaimana yang berlaku ketika tempoh ‘cuti cukai’ Jun hingga Ogos 2018.

    Jualan kenderaan bagi tahun 2020 dijangka kekal memberangsangkan, sasaran 565k unit – penganalisis

    Beliau berkata, pada 2018 cuti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyaksikan harga kereta susut antara tiga hingga lima peratus, sekali gus memacu permintaan ke atas kereta baharu dengan jumlah jualan sebanyak 198,500 unit bagi tempoh Jun hingga Ogos, menokok 42% perbezaan suku ke suku dan meningkat 32% tahun ke tahun.

    “Proton dan Perodua meraih manfaat daripada rangsangan pengecualian cukai jualan berbanding pengeluar lain di mana harga kereta menjadi lebih berpatutan memandangkan semua barisan model keluarannya adalah CKD.

    “Kami sangat yakin Proton dan Perodua akan terus menerajui sektor automotif pada separuh kedua tahun ini bersandarkan faktor harga lebih menarik berbanding pesaingnya.

    “AmInvestment Bank mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas saham DRB-Hicom dengan nilai saksama RM2.49 sesaham dan saham MBM Resources dengan nilai saksama RM4.62 memandangkan kedua-duanya adalah proksi kepada Proton dan Perodua,” katanya.

     
     
  • Proton bangunkan platform baru untuk model akan datang, tak jauh dari model Geely — Azlan Othman

    Proton bangunkan platform baru untuk model akan datang, tak jauh dari model Geely — Azlan Othman

    Ketika ini, Proton menjual dua “jenis” kenderaan. Satu, yang dibangunkan sendiri sebelum ini, seperti Persona, Iriz, Exora dan Saga. Kedua, model rebadge dari Geely, SUV X70. Walaupun antara dua jenis ini memang ada berkongsi sedikit aspek rekaan dan ciri seperti Geely Key User Interface (GKUI), kedua-duanya sangat berbeza. Namun, itu mungkin bukan lagi keadaannya di masa depan nanti.

    Dalam satu temuramah bersama kami hari ini, Ketua Pereka Proton, Azlan Othman, memaklumkan bahawa barisan model akan datang akan lebih terhubung, dengan model binaan sendiri berbesa sama sekali daripada apa yang ada ketika ini. “Akan sampai masa nanti bahawa model-model legasi Proton ini tidak lagi membawa penampilan yang sama seperti hari ini. Nama mungkin dikekalkan, tetapi bukan rupa dan reka bentuk,” jelas beliau.

    Untuk itu, Proton ketika ini sedang membangunkan platform baru yang akan digunakan oleh model-model binaan sendiri kelak. Ini dilakukan dengan kerjasama Geely, walaupun masih belum jelas adakah Proton bakal mendapat akses bagi platfrom segmen B Modular Architecture (BMA) dan Modular Architecture (CMA) yang dimiliki syarikt China itu.

    Proton bangunkan platform baru untuk model akan datang, tak jauh dari model Geely — Azlan Othman

    Model-model baru nanti akan lebih menonjol dan berbeza dari segi rekaan. X70 hari ini menampilkan perubahan estetika yang minimum berbanding Geely Boyue, dan elemen yang sama itu diterapkan kepada model-model lain yang ada bagi versi facelift terbaru ketika ini. Pendekatan ini sebetulnya turut membuka jalan kepada pembangunan produk baru untuk menjana angka jualan dan keuntungan yang lebih baik.

    Disebabkan itu, Proton menumpukan perhatian untuk membangunkan kenderaan dengan cepat dan menepati keperluan pasaran semasa, jadi rekaan jatuh ke tempat kedua dari segi keutamaan sebelum ini. Namun, Azlan menyatakan model-model akan datang akan menerima reka bentuk yang lebih menarik. “Tugas kami ketika ini adalah untuk menghasilkan rekaan yang lain dan luar biasa bagi model-model berkenaan,” ujarnya.

    Membangunkan kereta dari awal adalah sangat penting bagi Proton untuk menjadi pusat pemasangan kereta pemanduan kanan bagi Geely. Syarikat juga komited untuk menghasilkan kereta generasi baru untuk rantau Asia Tenggara, termasuk negara seperti Thailand dan Indonesia. Untuk menampung kos pembangunan platform baru, Proton menawarkan kepada Geely untuk membantu menghasilkan kenderaan yang boleh memasuki segmen pasaran yang baru. Bila boleh kita jangkakan model baru ini akan memasuki pasaran? Azlan bagaimanapun enggan memberikan jangka masa yang jelas; “harapnya dalam masa yang tak terlalu lama,” ujarnya.

     
     
  • Lamborghini bakal tunjuk model baharu pada 8 Julai

    Lamborghini bakal tunjuk model baharu pada 8 Julai

    Lamborghini telah mengumumkan bakal memperkenalkan model baharu pada 8 Julai ini, dengan berkata, ia adalah “lebih awal daripada waktunya.” Walau bagaimana pun, pengeluar kereta Itali tersebut tidak memberikan sebarang perincian mengenai jentera tersebut, tapi kita bolehlah mengagak serba sedikit mengenainya.

    Ini disebabkan beberapa minggu kebelakangan ini, Lamborghini telah menayangkan model SCV12, jentera hypwercar untuk litar yang dijanakan oleh enjin 6.5 liter naturally-aspirated V12 yang didakwa boleh menghasilkan kuasa hingga 830 PS (819 hp). Ia dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan dari Xtrac yang menyalurkan pacuan ke roda belakang.

    Foto model prototaip comouflaged ini menunjukkan SCV12 akan mengadaptasi lampu nyalaan siang LED baharu Lamborghini yang pertama kali dilihat pada Sián FKP 37, yang diberikan gaya terkini. Lamborghini berkata SCV12 akan diperkenalkan pada musim panas tahun ini, iaitu antara Jun hingga Ogos, jadi kita akan dapat menyaksikannya tidak lama lagi.

    Lamborghini bakal tunjuk model baharu pada 8 Julai

    Ada khabar angin mengatakan model Lamborghini baharu ini mungkin versi Spyder bagi Sián. Terdahulu, versi coupe pertama kali diperkenalkan di Frankfurt Motor Show tahun lalu dan ditetapkan sebagai model edisi terhad (hanya 63 unit sahaja yang dibuat) bagi jentera hybrid super sport ini hadir dengan kuasa 819 PS (807 hp).

    Janaan kuasanya hasil e-motor yang dihamburkan oleh supercapacitor yang meledakkan enjin 6.5 liter V12, dipadankan dengan kotak gear ISR (Independent Shifting Rod) dan sistem pacuan semua-roda. Ia membolehkan Sián dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 2.8 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 350 km/j. Apa pun, kita akan mengetahui model terbaharu yang bakal diperkenalkan oleh Lamborghini sedikit masa lagi.

    GALERI: Teaser Lamborghini SCV12

     
     
  • Benelli Leoncino 500 dalam warna baru – harga RM29k

    Benelli Leoncino 500 dalam warna baru – harga RM29k

    Pengedar rasmi motosikal jenama Benelli di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah memperkenalkan tiga warna baru untuk model Leoncino 500 iaitu Matt Red, Matt Green dan Matt Grey. Ia sekarang dijual pada harga RM29,288 tidak termasuk insurans dan diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Selain warna, bahagian lain pada motosikal ini tidak berubah dan masih sama seperti waktu ia pertama kali dilancarkan di Malaysia pada bulan Oktober 2017. Model naked ini dikuasakan oleh enjin dua silinder 499.6 cc bersama gabungan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan 47 hp dan 45 Nm tork.

    Walaupun mempunyai rupa klasik, Leoncino dilengkapi dengan teknologi moden antaranya termasuk lampu utama dan lampu penunjuk arah LED, panel meter digital, fork hadapan USD dan suspensi belakang monoshock boleh laras. Brek hadapan menggunakan cakera 320 mm berkembar dengan angkup empat piston manakala brek belakang menggunakan cakera 260 mm dengan angkup dua piston, dan dilengkapi dengan sistem ABS.

    Berat keseluruhan Leoncino adalah 196 kg, dan ia dilengkapi dengan tangki minyak 12.7 liter. Ukurannya pula adalah 2,160 mm panjang, 875 mm lebar, 1,160 mm tinggi, tinggi tempat duduk 810 mm dan jarak roda 1,460 mm. Pada bahagian rim, unit yang digunakan adalah bersaiz 17 inci dengan tayar Pirelli Angel 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

     
     
  • Toyota hasilkan semula alat ganti untuk 2000GT – bantu pemilik-pemilik restorasi semula kereta mereka

    Toyota hasilkan semula alat ganti untuk 2000GT – bantu pemilik-pemilik restorasi semula kereta mereka

    Selepas menghasilkan semula berberapa alat ganti untuk Toyota Supra A70 (generasi ketiga) dan Supra A80 (generasi keempat), program GR Heritage Parts yang diterajui oleh sayap perlumbaan rasmi Toyota iaitu Toyota Gazoo Racing (TGR) kini mengumumkan mereka turut akan menghasilkan semula komponen untuk Toyota 2000GT pula.

    Toyota 2000GT merupakan kereta sport flagship jenama automotif Jepun tersebut yang muncul pada tahun 1967, dibangunkan dengan kerjasama Yamaha Motor Co., Ltd. Ia menampilkan pelbagai teknologi terkini pada era berkenaan, menggemparkan dunia automotif seterusnya mengangkat kebolehan jurutera-jurutera negara tersebut seiring dengan negara-negara lain yang lebih maju.

    Kereta sport dua tempat tersebut menampilkan suspensi jenis double wishbone untuk kesemua roda, dan dijana oleh enjin 2.0 liter enam-silinder DOHC menghasilkan 148 hp, memacu roda belakang menerusi kotak gear manual lima-kelajuan. Ia juga tampil dengan ciri terkini lain seperti sistem brek cakera untuk kesemua roda, rim dari material magnesium dibalut dengan tayar radial.

    Reka bentuk kereta ini juga menampilkan elemen yang begitu aerodinamik bersama lampu hadapan yang boleh disorokkan. Gandingan semua ini membolehkan Toyota 2000GT mencapai kelajuan maksima 220 km/j, setanding dengan kereta-kereta sport buatan Eropah zaman tersebut

    Toyota hasilkan semula alat ganti untuk 2000GT – bantu pemilik-pemilik restorasi semula kereta mereka

    Sebelum ia dilancarkan secara rasmi dalam pasaran, 2000GT terlebih dahulu telah mencatatkan rekod dunia dengan mengelilingi litar ujian Yatabe selama 72-jam dengan jarak 15,000 km, serta 13 rekod antarabangsa yang lain. Ia juga turut pernah dijelmakan sebagai kereta untuk watak James Bond dalam filem You Only Live Twice.

    Ada yang berpendapat, walaupun dengan rupa seperti sebuah jentera sport GT dengan enjin di hadapan, 2000GT adalah supercar pertama dari Jepun sebelum wujudnya Honda NSX. Ia juga hanya diproduksi sehingga tahun 1970 dengan jumlah hanya 337 unit.

    Buat permulaan dalam program Heritage Parts ini, berberapa komponen gantian untuk sistem transmisi akan dihasilkan semula untuk dijual kepada pemilik 2000GT sedia ada bagi memudahkan kerja-kerja restorasi mereka. Antara alat ganti berkenaan termasuk set gear, hab synchro, gasket bersama kit pengedap minyak, kit bearing, sesendal, shift fork dan pelbagai lagi.

    Komponen-komponen unit differential belakang juga turut ditawarkan antaranya kit gear akhir dan juga set bol untuk gear gegelang. Usaha bagi menghasilkan semula alat-alat ganti ini sedang dijalankan oleh kilang-kilang Toyota menerusi divisi-divisi tertentu bersama pembekal-pembekal mereka.

    Toyota hasilkan semula alat ganti untuk 2000GT – bantu pemilik-pemilik restorasi semula kereta mereka

    Ia bakal dijual bermula 1 Ogos 2020, dan segala butiran penjualan akan dipaparkan di laman rasmi Toyota Gazoo Racing. Namun komponen-komponen ini hanya akan dijual kepada pemilik-pemilik tulen 2000GT sahaja, dalam jumlah yang terhad. Menurut Toyota, langkah ini diambil untuk mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab yang membeli barang tersebut untuk dijual semula.

    Inisiatif ini diambil oleh TGR bagi memudahkan pemilik-pemilik kereta sport flagship Toyota berkenaan agar ia boleh terus kekal berada di atas jalan raya. Di Jepun, kereta-kereta lama perlu untuk lulus ujian yang dijalankan oleh pihak berkuasa bagi memastikan ia selamat bagi digunakan di atas jalan raya, dan ia menjadi antara sebab mengapa pengeluar-pengeluar hadir dengan program-program sebegini.

    Pada 2017, Mazda telah membuat pengumuman program restorasi kilang bagi model roadster Miata MX-5 generasi pertama, dan unit pertama untuk program tersebut telah siap pada September 2018.

    Manakala Nissan menerusi sayap perlumbaannya, Nismo, mengumumkan program Nismo Heritage Parts pada November 2017 bagi menghasilkan semula alat-alat ganti untuk ‘Godzilla’ Nissan Skyline GT-R R32. Kemudian pada November 2018, program ini dikembangkan lagi untuk Skyline GT-R R33 dan R34, dan paling mengejutkan pada Mac tahun 2019 ia turut memproduksi semula enjin ‘kosong’ RB26DETT yang menjana ketiga-tiga Skyline GT-R berkenaan.

     
     
  • Malaysia, Singapura bakal muktamadkan perbincangan isu projek RTS akhir bulan ini – Azmin

    Malaysia, Singapura bakal muktamadkan perbincangan isu projek RTS akhir bulan ini – Azmin

    Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengesahkan Malaysia dan Singapura bersetuju untuk memuktamadkan perbincangan untuk meneruskan projek Sistem Transit Rapid (RTS), akhir bulan ini.

    Menurut beliau, keputusan itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RTS yang akan diadakan pada 13 Julai ini, laporan Berita Harian.

    “Sebanyak 220 isu berbangkit mengenai RTS sudah berjaya diselesaikan kedua-dua negara setakat ini. Pada 13 Julai ini, Insya-Allah dua lagi isu berbangkit akan diselesaikan dengan projek RTS akan dimuktamadkan pada akhir bulan ini juga,” katanya.

    Malaysia, Singapura bakal muktamadkan perbincangan isu projek RTS akhir bulan ini – Azmin

    Azmin turut menambah, projek RTS penting untuk memberikan kemudahan kepada rakyat Johor yang terpaksa menyeberangi ke Singapura untuk bekerja, selain menyelesaikan masalah kesesakan Tambak Johor sejak sekian lama.

    “Menteri Besar Johor memaklumkan kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura akan menerima manfaat besar hasil persetujuan kedua-dua negara untuk menamatkan isu berhubung RTS ini, sekali gus pembinaannya dimulakan,” katanya.

    Projek RTS merangkumi landasan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bharu dan Woodlands di Singapura dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang setiap jam.

     
     
  • Mazda 3 Turbo 2021 – spesifikasi disahkan, 227 hp/420 Nm dari enjin 2.5L 4-silinder, enam-kelajuan auto, AWD

    Mazda 3 Turbo 2021 – spesifikasi disahkan, 227 hp/420 Nm dari enjin 2.5L 4-silinder, enam-kelajuan auto, AWD

    Sebelum pendedahan rasmi sulungnya pada 8 Julai ini di Amerika Syarikat, berberapa spesifikasi penting untuk Mazda 3 Turbo nampaknya telah dinyatakan menerusi satu video yang disiarkan oleh Mazda Mexico.

    Unit janakuasa untuk model tersebut kini bukan lagi teka-teki dan ia telah disahkan akan digerakkan oleh enjin petrol SkyActiv-G 2.5 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 227 hp dan tork maksima 420 Nm. Enjin tersebut akan digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional enam-kelajuan SkyActiv-Drive, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda dengan sistem AWD.

    Konfigurasi janaan kuasa tersebut nampak seiras dengan apa yang ditawarkan pada SUV-SUV Mazda seperti CX-9 dan CX-5 – kedua-dua model dengan unit janakuasa berkenaan sudahpun berada di Malaysia. Bagaimana prestasinya bila disumbatkan pada hatchback yang lebih ringan? Angka-angka seperti masa pecutan 0-100 km/j dan juga kelajuan maksima dijangka akan didedahkan ketika pendedahan sepenuhnya nanti.

    Untuk pasaran Mexico, Mazda 3 Turbo hadir dengan perincian seperti rim aloi 18-inci, tujuh beg-udara, sistem infotainmen MZD Connect dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, lampu hadapan LED automatik, bumbung suria elektrik, pemantau titik buta, cermin sisi elektrokromik, sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, upholsteri kulit dan pedal penukar gear.

    Mazda 3 Turbo 2021 – spesifikasi disahkan, 227 hp/420 Nm dari enjin 2.5L 4-silinder, enam-kelajuan auto, AWD

    Model dengan enjin paling berkuasa ini ditawarkan dalam dua varian di Mexico iaitu S Grand Touring di jual pada harga 489,000 peso (RM94,060), manakala versi tertinggi Signature dijual pada harga 529,900 peso (RM101,742). Sebelum model turbo ini diperkenalkan, pasaran berkenaan sudahpun menerima versi yang dijana oleh enjin NA 2.5 liter berkuasa 186 hp/252 Nm dalam dua varian iaitu i Sport dan i Grand Touring.

    Bagi memudahkan anda membayangkan tahap premium model Turbo ini, model i Sport yang hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dijual pada harga 379,900 pesp (RM72,886), manakala versi Grand Touring yang hanya diberikan kotak gear automatik pula dijual pada harga 429,000 peso (RM82,279).

    Buat masa sekarang, model tertinggi pada pasaran Malaysia adalah hatchback 2.0 High Plus, dijana oleh enjin NA 2.0 liter SkyActiv-G berkuasa 162 hp/213 Nm, dijual pada harga RM154,679 setelah menerima pengecualian SST. Sekiranya Mazda Malaysia mahu membawa masuk varian yang lebih mahal, enjin mana yang anda lebih suka, versi SkyActiv-X dengan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI) atau versi turbo paling berkuasa ini?

     
     
  • GALERI: Mazda CX-8 2.2D AWD High — dari RM206k

    GALERI: Mazda CX-8 2.2D AWD High — dari RM206k

    Mazda CX-8 merupakan satu daripada SUV tiga-barisan tempat duduk yang ditawarkan oleh Bermaz untuk pasaran Malaysia ketika ini, selain CX-9. Dilancarkan November tahun lalu, CX-8 datang dalam lapan varian, dengan spesifikasi paling tinggi pada model 2.2D AWD High yang anda lihat ini.

    Tanpa SST ketika ini, varian berkenaan dijual pada harga RM206,265.60 atas jalan tanpa insurans, termasuk jaminan lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaraan percuma. Ini menjadikannya RM7,657.20 lebih murah berbanding harga dengan SST sebelum ini, iaitu RM213,922.80. Berbanding CX-9 pula, ia lebih murah sebanyak RM76,254.80.

    Model 2.2D AWD High ini dikuasakan oleh enjin SkyActiv-D 2.2 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan sehingga 188 hp pada 4,500 rpm dan 450 Nm tork pada 2,000 rpm. Ini digandingkan bersama kotak gear SkyActiv-Drive enam-kelajuan automatik dengan kuasa disalurkan kepada semua roda melalui sistem semua roda. Ini satu-satunya varian diesel dan sistem pacuan semua roda. Selebihnya semua varian menggunakan enjin petrol SkyActiv-G 2.5 liter empat-silinder.

    GALERI: Mazda CX-8 2.2D AWD High — dari RM206k

    Kelengkapan standard termasuk rim 19-inci aloi dengan tayar bersaiz 225/55, lampu utama LED, lampu kabus, sistem pintar tanpa kunci, lapan sensor parkir, paparan kluster instrumen 4.6-inci, head-up display pada cermin utama, kawalan pendingin hawa tiga zon dengan corong di barisan kedua, sistem i-Stop dan G-Vectoring Control (GVC).

    Varian ini, bersama dengan varian 2.5G 2WD High dan 2.5G 2WD Mid Plus turut menampilkan enam konfigurasi tempat duduk (2-2-2), dengan barisan kedua terdiri daripada dua kerusi berasingan serta konsol tengah boleh laras (kecuali 2.5G 2WD Mid Plus). Semua kerusi dibalut dengan kulit Nappa Deep Red; yang didepan lengkap dengan larasan elektronik 10-hala dengan fungsi memori bagi pemandu, manakala enam-hala bagi penumpang.

    Sistem MZD Connect disambung pada paparan skrin sentih tujuh-inci, dengan pelbagai pemain media menerusi enam pembesar suara, sistem tunjuk ara serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Bagi aspek keselamatan pula, ia lengkap dengan ciri seperti Dynamic Stability Control (DSC), ABS, EBD, Emergency Brake Assist (EBA), kawalan cengkaman, Hill Launch Assist (HLA), amaran tali keledar bagi semua barisan dan Isofix di barisan kedua.

     
     
  • Auto Bavaria lancar pusat 4S baharu di Tebrau – BMW, BMW Motorrad, MINI, dan BMW Premium Selection

    Auto Bavaria lancar pusat 4S baharu di Tebrau – BMW, BMW Motorrad, MINI, dan BMW Premium Selection

    BMW Group Malaysia dan rakan pengedarnya Auto Bavaria telah melancarkan pusat 4S baharu di Tebrau, Johor, untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggannya mulai 15 Julai 2020. Fasiliti baharu ini, atau lebih dikenali sebagai Auto Bavaria Tebrau, mengendalikan jenama termasuk BMW, BMW Motorrad, MINI dan BMW Premium Selection.

    “BMW Group Malaysia berbangga dengan rangkaian pengedar kami di seluruh negara. Auto Bavaria yang telah bersama kami selama lebih 30 tahun berpengalaman dalam industri auto otif premium,
    telah mencapai pertumbuhan yang luar biasa dalam tiga dekad yang lalu kerana mereka secara konsisten berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan di seluruh Malaysia,” kata Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

    Pusat pengedaran baharu ini terletak di bangunan berkeluasan 63,000 kaki persegi, yang mampu mempamerkan 10 unit kenderaan BMW dan BMW Motorrad, enam kenderaan MINI serta lapan kenderaan dari portfolio BMW Premium Selection. Antara kemudahan yang disediakan di premis ini termasuklah ruang lounge, Isetta Bar dan juga bahagian BMW Lifestyle.

    “Perjalanan baharu mendahului kami di wilayah selatan untuk memberikan pengalaman pemilikan premium kepada lebih banyak bagi pelanggan di sini. Kami terus berpegang teguh pada janji kami untuk memberikan bukan hanya yang terbaik dalam aspek layanan pelanggan, tetapi untuk melebihi harapan dalam memberikan apa yang selalu diharapkan oleh BMW – Sheer Driving Pleasure,” ujar Andy Tian, pengedar utama Auto Bavaria Tebrau.

    Auto Bavaria Tebrau ini berlokasi di 3B, Jalan Persiaran Tebrau, Taman Desa Tebrau, 81100 Johor Bahru.

     
     
  • Bagaimana Proton Saga mendapat namanya?

    Bagaimana Proton Saga mendapat namanya?

    Tarikh 9 Julai 1985 merupakan tarikh keramat di mana ia adalah hari pertama kereta dari jenama automotif nasional kita iaitu Proton Saga keluar dari barisan produksi di kilangnya yang terletak di Shah Alam. Selain dari mengumumkan model istimewa Saga Anniversary Edition yang bakal dilancarkan pada 9 Julai ini, laman Facebook rasmi Proton turut mendedahkan cerita bagaimana Proton Saga mendapat namanya.

    Menurut Proton, usaha untuk mencari nama sesuai bagi model pertama mereka itu sudahpun bermula pada tahun 1984 lagi dengan mengumumkan ‘Pertandingan Menamakan Kereta Nasional’ kepada orang awam. Pertandingan tersebut nyata mendapat sambutan yang sangat menggalakkan setelah menerima lebih dari 100,000 penyertaan.

    Akhirnya, Proton memilih Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang sebagai pemenang pertandingan tersebut dengan nama ‘Saga’. Nama berkenaan dipilih oleh hakim bukan sahaja kerana ia mudah disebut, malah Sarjan Ismail turut menerangkan bahawa ia adalah akronim kepada Safety (Keselamatan) Achievement (Pencapaian) Greatness (Keunggulan) dan Ability (Kebolehan).

    Bagaimana Sarjan Ismail boleh terfikir akronim dan nama ‘Saga’ ini secara keseluruhan? Menurutnya, idea berkenaan muncul ketika dia dan rakan-rakannya bermain permainan ‘Scrabble’ dan ternampak empat perkataan tersebut.

    Bagaimana Proton Saga mendapat namanya?

    Bukan sahaja nama berkenaan berasal dari akronim yang sangat bermakna, malah ‘Saga’ turut mempunyai maksud yang begitu baik – dalam bahasa melayu ia adalah nama biji keras berwarna merah dari pokok Saga (abrus precatorius) yang banyak terdapat di Malaysia, manakala dalam bahasa inggeris pula Saga bermaksud hikayat yang mengandungi kisah kesaktian dan kegagahan wira yang luar biasa.

    Staf Sarjan Ismail Jaafar menerima sebuah Proton Saga sebagai hadiah kemenangannya itu setelah model berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 1 September 1985. Walau bagaimanapun, menurut laporan dari Astro Awani, Saga tersebut terpaksa dijual oleh Sarjan Ismail bagi menampung perbelanjaan pengajian anak-anak serta membayar balik pinjaman perumahan.

    Di mana Sarjan Ismail sekarang? Beliau sebenarnya sudahpun meninggal dunia pada 12 Januari 2018 ketika berusia 71 tahun. Sarjan Ismail sempat mengerjakan ibadah haji bersama isterinya pada tahun 2017 dan menghembuskan nafas terakhir dirumahnya sendiri yang terletak di Sungai Petani, Kedah dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Raudahtus Solihin Amanjaya. Sebelum meninggal dunia, allahyarham disahkan menghidap sakit jantung, sakit buah pinggang dan juga diabetis.

    Menurut balu Sarjan Ismail, Sariah Abdul Rahman, sebelum meninggal dunia juga Sarjan Ismail pernah berhasrat untuk menjejak semula Proton Saga yang diterimanya tersebut kerana amat menyayanginya. Malah anak bongsu mereka, Siti Sarismahaniza (meninggal dunia pada 2016) juga telah membelikan sebuah Proton Gen 2 dengan nombor plat yang sama kira-kira tujuh tahun sebelum itu untuk ayahnya.

    GALERI: Proton Saga Megavalve

    GALERI: Proton Saga FLX

    GALERI: Proton Saga 1.3L Premium AT 2019

     
     
  • Teaser Proton Saga Anniversary Edition disiar – pertandingan pilih slogan diumum, dilancar 9 Julai ini?

    <em>Teaser</em> Proton Saga Anniversary Edition disiar – pertandingan pilih slogan diumum, dilancar 9 Julai ini?

    Sedar tak sedar, sudah lebih 35 tahun Proton beroperasi di Malaysia, dan secara tidak langsung model pertama jenama automotif nasional ini iaitu Proton Saga juga bakal menyambut ulangtahun yang ke-35 pada 9 Julai ini. Bagi meraikan peristiwa bersejarah berkenaan, Proton telah mengumumkan satu model istimewa yang akan dilancarkan tidak lama lagi iaitu Saga Anniversary Edition.

    Dalam teaser yang disiarkan menampilkan muka Saga yang hanya diserlahkan pada bahagian lampu utama, gril infinite weave dan juga lampu nyalaan siang LED tersebut, Proton turut mengumumkan satu pertandingan memilih slogan untuk model istimewa berkenaan.

    Untuk menyertai pertandingan tersebut, anda perlu mengisi segala butiran pada PAUTAN INI, dan memilih antara tiga slogan iaitu “Saga, driving Malaysians”, “Saga, ilhamku, kebanggaanku”, atau “Raikan, Saga”. Menurut Proton, baucher beli-belah secara atas talian dalam aplikasi Shopee bernilai RM3,350 akan menanti para pemenang pertandingan ini.

    <em>Teaser</em> Proton Saga Anniversary Edition disiar – pertandingan pilih slogan diumum, dilancar 9 Julai ini?

    Macam mana rupa Proton Saga Anniversary Edition ini nanti? Belum ada gambar rasmi didedahkan oleh Proton, namun menerusi satu gambar bocor yang nampak seperti diambil ketika pembentangan kepada pengedar, Saga tersebut akan hadir dengan warna badan hitam serta serlahan-serlahan merah dan kuning.

    Gambar tersebut turut menyatakan bahawa Saga ini akan dilancarkan pada 9 Julai ini, iaitu pada tarikh yang sangat hampir dengan ‘Hari Jadi’ Proton Saga yang ke-35 tahun. Jadi jika mahu lebih perincian berkenaan model istimewa ini, pastikan anda terus bersama paultan.org.

    GALERI: Proton Saga Megavalve

    GALERI: Proton Saga FLX

    GALERI: Proton Saga 1.3L Premium AT 2019

     
     
  • Perodua Myvi dilancar di Brunei – hanya enjin 1.3L, ada varian S-Edition lebih sporty seperti Myvi GT

    Perodua Myvi dilancar di Brunei – hanya enjin 1.3L, ada varian S-Edition lebih sporty seperti Myvi GT

    Pengedar kenderaan Perodua di Brunei, GHK Motors telah melancarkan Myvi generasi ketiga untuk pasaran negara itu dan ia ditawarkan dengan pilihan satu enjin sahaja iaitu unit 1.3L Dual VVT-i bersama gabungan transmisi automatik empat kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 94 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada 4,000 rpm.

    Apa yang lebih menarik dalam pelancaran ini adalah penawaran satu varian istimewa dipanggil S-Edition yang dilihat mempunyai kit badan lebih sporty dan mirip seperti Myvi GT yang pernah dipamerkan sebagai model konsep sewaktu KLIMS 2018.

    Bampar hadapan Myvi S-Edition di Brunei ini mempunyai bukaan udara lebih besar di bahagian bawah sementara bentuk bukaan di bahagian tepi pula lebih tajam. Gril juga adalah berbeza dengan mempunyai jaring honeycomb dan tidak menggunakan kemasan krom seperti varian biasa.

    Pergi pula ke belakang, penampilannya nampak lebih agresif dengan tambahan diffuser di bahagian bawah bampar (diwarnakan perak) sementara di atas penutup butnya terdapat spoiler yang besar. Penampilan keseluruhan dilengkapkan dengan side skirt serta rim 14 inci dua tona.

    Kelengkapan lain yang diberikan pada Myvi pasaran Brunei ini adalah termasuk sistem tanpa kunci, lampu jenis LED, tempat duduk fabrik, empat beg udara, pengesan undur, ABS dengan EBD, Vehicle Stability Control, Traction Control dan pemain audio seperti varian Premium X di Malaysia. Harga Myvi di Brunei bermula pada 17,246 dollar (RM53,045) untuk varian G-Grade dan ia didatangkan dengan jaminan tiga tahun atau 100,000 km.

    Jadi, apa pendapat anda dengan Myvi pasaran Brunei ini, terutamanya versi S-Edition itu? Adakah cukup menarik? Walaupun penampilan agresifnya menyerupai Myvi GT, masih terdapat kemungkinan itu adalah kit yang dihasilkan oleh pengedar di sana dan kit badan yang akan digunakan di Malaysia boleh jadi berbeza.

     
     
  • Honda WR-V facelift 2020 dilancar di India – ciri dan gaya dipertingkat; enjin petrol dan diesel; dari RM49k

    Honda WR-V facelift 2020 dilancar di India – ciri dan gaya dipertingkat; enjin petrol dan diesel; dari RM49k

    Honda WR-V facelift 2020 telah pun dilancarkan secara rasmi di India, beberapa bulan selepas “SUV” berasaskan Jazz generasi ketiga ini muncul di laman web dan media sosial Honda India. Pada mulanya, ia dijadualkan diperkenalkan pada April lalu, namun perancangan tersebut tertunda ekoran pandemik COVID-19 yang turut menjejaskan kilang syarikat tersebut di Tapukara, Rajasthan, di mana WR-V dihasilkan.

    Semakan di bahagian luaran melibatkan hujung hadapan baharu dengan penampilkan gril krom Solid Wing yang lebih menyerlah diposisikan di atas kepingan melintang yang sebelum ini ditampilkan dengan honeycomb. WR-X turut menerima lampu utama, lampu kabus dan lampu signitur baharu bagi lampu belakang yang direka semula dengan gaya lebih sporty, di mana unit LED diberikan bagi varian tertinggi VX, berbanding model asas SV masih dengan unit halogen.

    Kedua-dua varian juga didatangkan dengan rekaan baharu bagi roda standard bersaiz 16-inci, namun varian VX ditampilkan dengan ciri tambahan seperti bumbung matahari larasan elektrik, indikator pada cermin sisi dan bilah pengelap cermin belakang. Seperti sebelum ini, WR-V masih tampil dengan lapisan sisi badan, plat skid hadapan dan belakang serta rel bumbung bagi memberikan imej yang lebih bergaya.

    Bagi bahagian kabinnya pula, WR-V menerima paten yang dipertingkatkan untuk tempat duduk upholstery fabrik dan juga sistem infotainmen juga dinaiktaraf dengan skrin sesentuh tujuh-inci yang menawarkan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay, navigasi dengan sokongan trafik secara langsung, kawalan jauh infrared dan beberapa pilihan pemain media.

    Honda WR-V facelift 2020 dilancar di India – ciri dan gaya dipertingkat; enjin petrol dan diesel; dari RM49k

    Ciri berkenaan adalah standard untuk kedua-dua varian SV dan VX, bersama dengan empat pembesar suara (VX dapat dua tweeter tambahan), kamera undur pelbagai-pandangan, penderia parkir belakang, tempat duduk larasan manual, paparan pelbagai info, kawalan roda stereng dan pendingin hawa automatik zon-tunggal. Walau bagaimana pun VX menerima ciri tambahan lain termasuk kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, cermin sisi larasan berkuasa, roda stereng balutan kulit, lampu map hadapan dan perehat tangan tengah.

    Honda India turut menawarkan enam kemasan luar bagi WR-V, termasuklah Premium Amber Metallic, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Golden Brown Metallic, Radiant Red Metallic dan Platinum White Pearl.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian menerima dua beg udara di hadapan, ABS dengan EBD, peringatan pemakaian tali pinggang keledar hadapan, kepekaan kelajuan tinggi, perehat kepala pengurangan-impak dan sistem override brake (dapat dikesan oleh penderia apabila pedal pendikit dan pedal brek ditekan pada masa yang sama).

    Honda WR-V facelift 2020 dilancar di India – ciri dan gaya dipertingkat; enjin petrol dan diesel; dari RM49k

    Berkenaan penjana kuasanya, ia didatangkan dengan enjin 1.2 liter naturally-aspirated empat-silinder SOHC i-VTEC petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 90 PS pada 6,000 rpm dan tork 110 Nm pada 4,800 rpm. Ia dianggarkan menggunakan bahan api sekitar 16.5 km/l dan dipadankan bersama transmisi manual lima-kelajuan.

    Sebagai alternatif, enjin diesel turut ditawarkan iaitu unit 1.5 liter empat-silinder i-DTEC turbodiesel dengan kuasa 100 PS pada 3,600 rpm dan tork 200 Nm pada 1,750 rpm, dengan penggunaan bahan api sekitar 23.7 km/l. Ia turut menampilkan kotak gear manual enam-kelajuan. Kedua-dua enjin melepasi standard emisi terkini India, BS6.

    Varian SV dengan enjin petrol ditawarkan pada harga 849,900 rupees (RM48,731), sementara unit diesel pula berharga 979,900 rupees (RM56,181). Manakala VX dengan i-VTEC pula berharga
    969,900 rupees (RM55,608) dan varian paling mahal VX janaan i-DTEC pula ditawarkan pada harga
    1,099,900 rupees (RM63,076).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024