Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo Polestar Engineered – kuasa 415 hp/670 Nm turut akan diberikan pada wagon V60 dan SUV XC60

    Volvo Polestar Engineered – kuasa 415 hp/670 Nm turut akan diberikan pada wagon V60 dan SUV XC60

    Ketika pendedahan sedan S60 tahun lalu, Volvo turut memperkenalkan model Polestar Engineered, iaitu varian paling berkuasa dengan bekalan kuasa 415 hp dan tork maksima 670 Nm. Kini Volvo mengumumkan bahawa varian ini turut akan diberikan pada dua lagi siri 60 iaitu wagon V60 dan SUV XC60.

    Model Polestar Engineered ini diasaskan dari varian T8 Twin Engine, namun enjin 2.0 liter Drive-E yang disuap dengan pengeces turbo dan supercharger serta sistem motor elektrik plug-in hybrid pada gandar belakang berkenaan mendapat talaan semula dari Polestar, membolehkannya ia menjana lebih tenaga berbanding kuasa asal 390 hp/640 Nm.

    Menurut Volvo, unit janakuasa Polestar Engineered versi 2020 kelak bakal ditala semula bagi menghantar tork dengan lebih cepat dan mengoptimakan penggunaan motor elektrik pada gandar belakang.

    Volvo Polestar Engineered – kuasa 415 hp/670 Nm turut akan diberikan pada wagon V60 dan SUV XC60

    Selain dari kuasa yang lebih besar, Polestar Engineered turut menerima peralatan prestasi lain antaranya penyerap hentak dari Öhlins, angkup brek hadapan enam-omboh dari Brembo dan juga set rim aloi forged dari Polestar.

    Volvo hanya menghasilkan 20 unit S60 Polestar Engineered di Amerika tahun lalu, dan kesemuanya habis ditempah menerusi aplikasi langganan Care By Volvo dalam masa hanya 39 minit. Namun untuk versi 2020, lebih banyak unit akan dihasilkan dan ia turut boleh dibeli secara konvensional – termasuk model V60 dan XC60 – bermula musim panas tahun ini.

    GALERI: Volvo S60 Polestar Engineered 2019

    GALERI: Volvo V60 T8 Twin Engine

    GALERI: Volvo XC60 T8 Twin Engine

     
     
  • Shell Malaysia naik taraf stesen jadi mesra alam, jimat

    Shell Malaysia naik taraf stesen jadi mesra alam, jimat

    Shell Malaysia telah memulakan langkah untuk menjadikan stesen-stesen minyaknya lebih mesra alam dengan pengenalan dua buah stesen minyak dan runcit seumpamanya di negara ini. Shell Damansara dan Shell Taman Connought telah dinilai dan menepati standard Indeks Bangunan Hijau (GBI).

    GBI merupakan kaedah penarafan yang diiktiraf oleh industri di negara ini untuk bangunan yang mempromosikan kelestarian di dalam persekitaran pembangunan dengan cara menjimatkan tenaga dan sumber. Dua stesen berkenaan menjadi yang pertama bagi kategori bahan api runcit baru yang mendapatkan standard pensijilan itu. Shell juga menjadi yang pertama di rantau Asia Pasifik menggunakan pendekatan hijau ini bagi perniagaan stesen minyak runcitnya.

    Langkah Shell ini selari dengan visi syarikat itu untuk mengurangkan pembebasan karbon di stesen-stesennya sehingga 50% menjelang 2025. Bagi peringkat awal, sasarannya adalah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan memperbaiki jejak pembebasan karbon dan kesannya ke atas alam.

    Shell Malaysia naik taraf stesen jadi mesra alam, jimat

    Antara elemen bagi indeks pelaksanaan bangunan hijau termasuk pemasangan sistem solar photovoltaic pada bahagian kanpoi di stesen, yang membolehkan penjanaan elektrik pada waktu siang untuk digunakan di sebelah malam – sekali gus menurunkan kos operasi.

    Sebagai contoh, sistem 50 kW yang digunakan di stesen Damansara Jaya membantu mengurangkan perbelanjaan bil elektrik sekitar 20%. Difahamkan, kos bulanan yang perlu ditanggung oleh stesen itu ialah RM11,00, menjadikan peratusan itu mampu memberikan penjimatan yang banyak.

    Stesen “hijau” berkenaan juga turut menggunakan permukaan bumbung dan dinding yang dicat putih untuk menangkis haba solar, sekali gus membantu mengurangkan suhu keseluruhan di dalam bangunan serta mengurangkan beban sistem pendingin hawa. Penambahbaikan ini memberikan penjimatan sebanyak RM22,750 setahun bagi satu stesen.

    Shell Malaysia naik taraf stesen jadi mesra alam, jimat

    Elemen pencahayaan juga diberi kemaskini, dengan peralihan kepada sistem LED yang tidak hanya lebih tahan lama, tetapi turut mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 285 kWh setahun. Tidak lupa juga kepada penjimatan air menggunakan paip khas. Ini mengurangkan penggunaan air sehingga 60% berbanding paip biasa – jimat sehingga 310 kubik meter air setiap tahun.

    Stesen mesra alam ini juga dilengkapi sistem peninjau tenaga, membolehkan pemerhatian terhadap penggunaan elektrik dan air dilakukan dengan data-data berkaitan penjimatan dan unsur mesra alam dipaparkan pada skrin elektronik di pintu masuk kedai.

     
     
  • Nissan Futures 2019 – sasar penembusan pasaran 25% bagi EV dari jualan keseluruhan menjelang 2020

    Nissan Futures 2019 – sasar penembusan pasaran 25% bagi EV dari jualan keseluruhan menjelang 2020

    Ketika acara Nissan Futures 2019 yang berlangsung di Hong Kong baru-baru ini, syarikat itu mengumumkan bahawa mereka mensasarkan untuk menjadikan satu per empat daripada kenderaan yang dijual di Asia dan Oceania terdiri daripada kenderaan dengan teknologi elektrifikasi menjelang 2022, sebagai sebahagian daripada perancangan jangka sederhana Nissan M.O.V.E. Persidangan tahun ini menyambung semula sesi sama yang berlangsung di Singapura tahun lalu, dengan tema “mengubah cara kita jalani kehidupan dan memandu.”

    “Nissan sedang menjadi pelopor untuk menggerakkan kesedaran ke arah mobiliti dengan teknologi elektrifikasi di Asia dan Oceania. Kami memulakannya dengan membawakan Nissan Leaf terbaru ke lebih banyak pasaran di rantau ini. Pengenalannya di Indonesia dan Filipina merupakan satu langkah penting. Ini membolehkan pelanggan mengalami sendiri kelebihan kenderaan elektrik dan melihat manfaatnya kepada persekitaran,” jelas Naib Presiden Kanan Serantau dan Ketua Asia & Oceania Nissan, Yutaka Sanada.

    Beliau memaklumkan, Nissan Leaf generasi kedua akan tiba di Indonesia dan Filipina pada 2020, menjadikan bilangan negara yang menerima EV itu kepada sembilan buah. Tahun lalu, tujuh negara telah diumumkan – Singapura, Malaysia, Thailand, Hong Kong, Korea Selatan, Australia dan New Zealand

    Turut menjadi tumpuan perancangan jangka sederhana itu ialah pengenalan model e-Power dirantau yang sama. Singapura dijangka menjadi pasaran pertama, melalui model Serena e-Power yang akan dilancarkan tahun ini. Untuk Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) juga menyatakan hasrat untuk membawa model berkenaan ke sini.

    Nissan Futures 2019 – sasar penembusan pasaran 25% bagi EV dari jualan keseluruhan menjelang 2020

    Untuk meluaskan lagi capaian terhadap kenderaan elektrifikasi Nissan di rantau ini, Sanada menjelaskan Nissan sedang mempertimbangkan untuk mula memasang dan mengeluarkan komponen elektrifikasi dari pasaran utama Asia Tenggara. Thailand disebut-sebut dapat menarik perhatian Nissan untuk tujuan berkenaan.

    Bagi konteks Malaysia pula, Leaf perlu dipasang di sini untuk membolehkannya menikmati insentif di bawah skim EEV. Maka, ETCM perlu melabur ke atas kilang pemasangannya di sini ataupun berunding dengan kerajaan agar tanda harga Leaf tidak terlalu tinggi sekiranya ia dibawa masuk sebagai unit CBU.

    Sudah tentu, memperkenalkan kenderaan dengan ciri elektrifikasi menjadi satu hal, sementara penerimaan atau kesediaan sesebuah pasaran ke atas kenderaan jenis itu juga merupakan satu lagi hal yang lain. Ini termasuklah aspek dasar kerajaan, kemudahan dan prasarana mengecas serta kesesuaian untuk kenderaan autonomous digunakan.

    Untuk itu, Nissan melantik Frost & Sullivan untuk menyediakan laporan berdasarkan kajian pasaran syarikat itu, Smart Mobility City Tracker Study dengan tajuk “Mengenalpasti Peluang Mobiliti Pintar Di Sembilan Bandar Utama.” Tujuan laporan itu adalah untuk menilai dan mengenalpasti kesediaan bandar-bandar terpilih untuk menerima penggunaan kenderaan elektrik dan autonomous, dan kesannya ke atas isu-isu seperti pencemaran, urbanisasi dan kesesakan.

    Nissan Futures 2019 – sasar penembusan pasaran 25% bagi EV dari jualan keseluruhan menjelang 2020

    Bandar utama yang terlibat di dalam laporan berkenaan ialah Bangkok, Jakarta, Ho Chi Minh, Manila, Seoul, Hong Kong, Singapura, Sydney, dan Kuala Lumpur. Sembila bandar besar ini kemudiannya akan dikelompokkan berdasarkan produk domestik kasar per kapita (KDNK) dan kadar penggunaan kereta untuk analisis berikutnya; Kelompok A (KDNK tinggi, kadar penembusaan penggunaan kereta yang tinggi, model perkongsian rendah untuk pengangkutan awam) yang terdiri daripada Sydney dan Kuala Lumpur.

    Kelompok B pula (KDNK tinggi, kadar penembusaan penggunaan kereta yang rendah, model perkongsian yang tinggi bagi pengangkutan awam) temasuk Seoul, Hong Kong dan Singapura. Manakala Kelompok C pula (KDNK rendah, kadar penembusaan penggunaan kereta yang rendah) terdiri daripada Jakarta, Bangkok, Ho Chi Minh dan Manila.

    Bagi Kuala Lumpur, dengan laporan itu menunjukkan indeks 3.4, masih dalam fasa menunggu dasar yang lebih menyeluruh terhadap kenderaan elektrik diumumkan dalam Dasar Automotif Nasional yang telah lama tertangguh – terbaru ia dinyatakan akan mengambil kira perihal kenderaan elektrik dan pemanduan autonomous juga. Frost & Sullivan menjangkakan, dengan pengenalan dasar baru itu nanti, kadar penggunaan EV akan meningkat di Malaysia, disokong juga oleh penyediaan prasarana stesen pengecas yang semakin bertambah.

    Singapura sebaliknya mencatatkan indeks Smart City Mobility yang lebih tinggi, pada kadar 7.6 mata. Beberapa bulan kebelakangan ini, republik berkenaan giat menjalankan percubaan bagi kenderaan autonomous, serta menggunakan teknologi elektrifikasi terhadap barisan bas yang ada serta menambah jumlah stesen pengecas sehingga 2,000 buah menjelang 2020.

    Nissan Futures 2019 – sasar penembusan pasaran 25% bagi EV dari jualan keseluruhan menjelang 2020

    Seoul juga menerima tahap yang membanggakan dalam laporan berkenaan. Dengan perancangan untuk menyediakan 1,500 kemudahan mengecas, bandar itu juga berhasrat untuk memulakan capaian 5G juga menyumbang kepada faktor lain, misalnya kepada kenderaan autonomous serta meningkatkan lagi kecekapan pengangkutan awam.

    Hong Kong pula masih belum menyatakan rangka dasar yang jelas berhubung kenderaan autonomous, tetapi mereka akan memperkenalkan bas dengan teknologi elektrifikasi, sementara bagi kenderaan diesel, akan ada pendekatan rawatan bagi menjadikan pengangkutan awamnya lebih mesra alam.

    Bandar dalam Kelompok C pula mempunyai perwatakan yang bercampur, dengan kesesakan lalulintas menjadi ciri utama. Bangkok misalnya, pencemaran dari pengangkutan sangat tinggi dan menyebabkan jerebu di kota berkenaan. Sejak itu, pihak berkuasa mengiktiraf pentingnya EV untuk mengatasi masalah itu dan memberikan insentif kepada pengeluar untuk membina kilang pengluarannya di sana. Nissan menjadi satu daripada pihak yang telah memohon lesen berkenaan.

    Sementara itu, bandar-bandar seperti Manila dan Ho Chi Minh kini dalam usaha mengaplikasikan elektrikasi bagi pengangkutan awam terlebih dahulu. Memandangkan kesesakan dan kepadatan di dua kota berkenaan, langkah untuk memperkenalkan EV untuk kegunaan peribadi akan memburukkan lagi keadaan.

    Satu aspek terpenting yang sempat disampaikan oleh laporan daripada Naib Presiden Kanan Mobiliti Frost & Sullivan, Vivek Vaidya pula ialah peri pentingnya peranan yang dimainkan oleh kerajaan untuk mempromosi EV. Untuk itu, sangat menarik untuk kira perhatikan perkembangan berkaitan EV dan teknologi elektrikfikasi pada kenderaan, serta arah tuju yang akan diambil oleh kerajaan semasa terhadap perkembangan di dalam dunia automotif ini.

     
     
  • Bangkok 2019: Suzuki Swift Sport, inspirasi halo car

    Bangkok 2019: Suzuki Swift Sport, inspirasi halo car

    Ada sesuatu yang menarik dibawa oleh Suzuki dalam Bangkok International Motor Show 2019. Ia bukanlah model yang akan dijual di pasaran Thailand, seperti Jimny baharu berharga RM200k itu. Tapi ia sekadar kereta ‘untuk suka-suka’ atau pun macam ‘halo car’, yang mampu menjadi inspirasi kepada pemilik Swift biasa.

    Dengan signatur kuning SSS ini, terdapat beberapa elemen tambahan untuk menyerlahkan lagi gayanya. Ini termasuklah corong tambahan pada bonet dan wing hadapan. Begitu juga dengan jaluran hitam pada permukaan hud, hujung lampu utama, bawah badannya dan C-pillar. Ia kelihatan seperti lip hadapan dengan gaya CF-standard dan skirt sisi umpama imej “Bumblebee”.

    Elemen standard lain termasuk rim 17-inci, yang dibaluti tayar Toyo Proxes R888. Begitu juga dengan lampu belakang kelabu menggantikan warna merah yang standard. Di dalamnya, Swift Sport solekan khas ini menampilkan kemasan merah, takometer dan jahitan serba hitam untuk kabinnya.

    Diperkenalkan pada September 2017, Swift Sport semasa dijanakan oleh enjin 1.4 liter Boosterjet turbo dengan 138 hp dan 230 Nm dari 2,500 hingga 3,500 rpm. Ia adalah peralihan daripada enjin naturally-aspirated bagi dua generasi sebelum ini, dan turut dipertingkatkan sebanyak 70 Nm berbanding pada NA M16A juga.

    Ledakan motor ini boleh digandingkan dengan manual enam-kelajuan atau auto torque converter enam kelajuan (yang turut digunakan bagi ‘halo car’ ini). Beratnya pula di bawah satu tan… dijamin menyeronokkan.

    Swift dijual di Thailand sebagai kereta eco dengan enjin 1.2 liter Dualjet memberikannya kuasa 83 PS dan 103 Nm. Ia sesuai dengan E20, memberikan penjimatan yang efisien selain memiliki auto start-stop dan dipadankan bersama CVT automatik – tiada pilihan manual diberikan.

    Memandangkan Swift adalah kereta Eco Fasa 2, jadi ia perlu menepati peraturan yang lebih ketat yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu 23 km/l bagi penjimatan bahan api dan 120 g/km untuk pelepasan CO2. Pesaing Toyota Yaris ini dijual dengan empat varian (GA, GL, GLX, GLX-Navi), berharga dari 499,000 baht (RM64,091) hingga 629,000 baht (RM80,788).

    Walau bagaimana pun, tiada peluang untuk Swift standard atau pun edisi khas untuk masuk ke Malaysia semula sebab jenama ini telah pun meninggalkan pasaran kita buat selama-lamanya. Tapi kalau ada permintaan yang tinggi, mungkinkan Suzuki bakal kembali ke Malaysia?

     
     
  • Nissan Sylphy baharu akan didedahkan di Shanghai?

    Nissan Sylphy baharu akan didedahkan di Shanghai?

    Nissan telah mengumumkan bahawa mereka akan mendedahkan sebuah model sedan baharu ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2019 pertengahan bulan ini. Namun jenama berkenaan tidak mendedahkan secara spesifik model yang akan membuat kemunculan sulung tersebut, tetapi menyatakan bahawa ia adalah “model baharu yang menampilkan rekaan terbaharu Nissan dan menawarkan pelbagai teknologi dari Mobiliti Pintar Nissan.”

    Khabar angin yang bertiup kencang mengatakan bahawa model tersebut adalah Nissan Sylphy generasi baharu, di mana awal tahun ini gambarnya telah bocor di internet. Model generasi baharu Sylphy atau sebahagian pasaran dikenali dengan nama Sentra berkenaan menampilkan rupa lebih agresif, diinspirasikan dari Maxima dan Altima/Teana generasi terkini.

    Muka sedan berkenaan menerima gril V-Motion terbaharu, bersama lampu hadapan ‘Boomerang’ tirus dan bampar direka garang dengan ‘perisai’ pada bahagian perumah lampu kabus.

    Nissan Sylphy baharu akan didedahkan di Shanghai?

    Kereta ini juga diberikan rekaan garis bumbung lebih landai di belakang, bersama tiang-C yang diberikan kemasan bagi menampakkan seolah-olah bumbungnya terapung – ciri yang sama pada model-model terkini Nissan seperti Maxima dan Leaf generasi baharu.

    Bahagian belakang turut direka bersegi bagi diserasikan dengan rekaan muka hadapan. Lampu LED belakang dan juga bahagian panel nombor plat direka seakan mewujudkan imej V-Motion. Kemasan diffuser diberikan pada bampar bagi melengkapkan rupa lebih sporty Sylphy generasi baharu ini.

    Menurut laman automotif China, Autohome.cn, Sylphy generasi baharu ini menampilkan dimensi 10 mm lebih panjang (4,641 mm) dan 55 mm lebih lebar (1,815 mm) dari model sedia ada. Jarak rodanya juga 12 mm lebih jauh, tetapi untuk imej lebih sporty, kereta ini dihasilkan 53 mm lebih rendah (1,450 mm) berbanding versi sebelumnya. Ia juga dikhabarkan dijana oleh enjin 1.6 liter empat silinder berkuasa 137 hp (139 PS).

     
     
  • JPJ laksana sistem e-bidding mulai 15 April ini

    JPJ laksana sistem e-bidding mulai 15 April ini

    Mulai 15 April ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian (e-bidding).

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, sistem itu membolehkan pemilik kenderaan membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ dan bertepatan dengan tema Hari Ulang Tahun Penubuhan JPJ ke 73 – ‘Digitalisasi Ke Arah Integriti’, laporan Bernama.

    e-bidding akan bermula dengan siri nombor plat FC… bermakna, nombor itu akan ditender secara dalam talian. Ia juga bukan tertakluk kepada kawasan sekitar negeri berkenaan contohnya di Putrajaya sahaja… ia akan bergerak, dibida oleh rakyat Malaysia di mana-mana menggunakan dalam talian,” katanya.

    Tambahnya lagi, e-bidding memudahkan pengguna mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan tanpa perlu menghantar borang seperti sebelum ini.

    Selain itu, turut dimaklumkan JPJ juga akan memperkenalkan satu lagi projek iaitu sistem pemanduan kenderaan secara elektronik yang menguji kenderaan di dalam bilik kawalan menggunakan pemanduan secara digital.

     
     
  • Toyota Yaris pasaran Amerika – rebadge dari Mazda 2

    Toyota Yaris pasaran Amerika – <em>rebadge</em> dari Mazda 2

    Tahun lalu Toyota Amerika telah memperkenalkan model Yaris Sedan, yang di rebadge dari Mazda 2 Sedan. Dan tahun ini, versi hatchback pula diperkenalkan pada pasaran berkenaan, dan ia turut dihasilkan dari Mazda 2 hatchback.

    Ini bermakna, ada tiga model Toyota Yaris dipasarkan serentak di seluruh dunia, yang mana ketiga-tiganya adalah model tidak ada kaitan antara satu sama lain – Yaris pasaran Eropah yang dihasilkan dari Toyota Vitz dari Jepun, manakala Yaris pasaran ASEAN yang akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi adalah versi hatchback Toyota Vios versi terkini.

    Bagi model pasaran Amerika ini, ia diberikan muka yang sama dengan versi sedannya. Lampu Mazda 2 masih lagi kekal, manakala gril hadapan direka semula menempatkan logo Toyota diapit oleh liang udara seperti ‘misai’, manakala di bawahnya menerima gril lebih besar berbentuk trapezoid dengan lampu kabus diletakkan pada kedua-dua belah sudut bawah.

    Toyota Yaris pasaran Amerika – <em>rebadge</em> dari Mazda 2

    Model tertinggi Yaris hatchback XLE diberikan lampu LED automatik, manakala rim 16-inci yang nampak seperti diambil terus dari Mazda 2 dipadankan pada semua varian.

    Toyota juga tidak bersusah payah untuk mereka semula bahagian kabin Yaris ini, dan boleh dikatakan kesemua rekaan Mazda 2 terus diambil untuk digunakan. Papan pemuka kereta ini menampilkan skrin sesentuh tujuh-inci berdiri sendiri di bahagian tengah, dan dihubungkan kepada suis putar yang diletakkan antara tempat duduk hadapan bagi mengawal sistem infotainmen MZD Connect. Ia turut menerima sokongan Apple Carplay dan Android Auto sebagai ciri standard.

    Toyota Yaris pasaran Amerika – <em>rebadge</em> dari Mazda 2

    Ciri-ciri standard lain yang turut diterapkan pada Yaris ini termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, pemanas tingkap cermin pintu, sistem navigasi (kad SD untuk peta dijual berasingan) dan sistem Low-speed Pre-collision Safety dengan brek kecemasan automatik. Varian tertinggi XLE pula ditambah dengan upholsteri kulit palsu serta penghawa dingin dan pengelap cermin automatik.

    Seperti Mazda 2, Toyota Yaris ini turut dijana enjin 1.5 liter NA SkyActiv-G berkuasa 106 hp dan tork maksima 140 Nm. Enjin ini hanya digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik SkyActiv-Drive, memacu roda hadapan.

    GALERI: Toyota Yaris Sedan pasaran Amerika Syarikat

    GALERI: Toyota Yaris pasaran Eropah

    GALERI: Toyota Yaris pasaran ASEAN

     
     
  • Haval H1 dinaiktaraf – dapat Android HU, aloi baharu

    Haval H1 dinaiktaraf – dapat Android HU, aloi baharu

    Go Automobile Manufacturing (Go Auto) telah mengumumkan SUV Haval H1 telah menerima ciri-ciri yang dinaiktaraf, kini hadir dengan unit utama (HU) skrin sesentuh berdasarkan-Adroid double-din baharu, dan juga roda aloi dwi-tona 16-inci dengan rekaan lima jejari-Y. Di mana ciri terakhir itu untuk varian tertinggi Elite, dan varian lain masih kekal dengan unit pelbagai-jejari seperti sebelum ini. Malah perehat kepala boleh laras juga telah direka semula untuk tempat duduk tengah di belakang, dan ia untuk semua varian.

    Selain daripada itu, tiada perubahan lain. Haval H1 boleh didapati dengan tiga varian, bermula model asas Comfort (RM59,748), Premium (RM65,583) dan Elite (RM72,389). Harga termasuk atas jalan dan waranti tujuh-tahun, perbatuan tanpa terhad.

    Secara mekanikalnya, H1 dijanakan oleh enjin petrol 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder yang mampu memberikan 105 hp dan tork 138 Nm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi manual automatik (AMT) enam-kelajuan.

    Kit standard termasuk lampu utama halogen reflektor, lampu kabus, rel bumbung, roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit, tempat duduk fabrik, dan pengesan undur. Untuk keselamatan pula, semua model didatangkan dengan ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan dan bantuan mula mendaki.

    Manakala model Premium ditambah dengan tempat duduk kulit, navigasi GPS, kamera undur, Battery Alert Sensor (BAS) dan cermin pandang belakang dengan pembaca SmartTAG. Sementara, varian Elite ditambah pula dengan lampu utama halogen dengan lampu posisi LED, lampu nyalaan siang LED, perehat tangan hadapan tengah, perakam video digital dan tingkap dengan filem tinted.

     
     
  • Bangkok 2019 : Nissan Teana facelift pasaran Thai

    Bangkok 2019 : Nissan Teana facelift pasaran Thai

    Pasaran ASEAN masih lagi belum menerima Nissan Teana generasi baharu berdasarkan model Altima 2020 yang muncul di Amerika Syarikat Mac tahun lalu. Namun di Thailand, Teana telah pun diberikan satu lagi facelift pada November 2018, di mana kami dapat saksikan sendiri model tersebut ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show 2019.

    Model ini diberikan sentuhan perubahan yang agak ringan. Ia menerima gril hadapan V-Motion baharu bersama sepasang lampu hadapan LED berbentuk Boomerang, lengkap dengan lampu nyalaan siang. Ia juga hadir dengan set rim 18-inci dua-tona baharu untuk model-model tertinggi, namun tiada sebarang perubahan dilihat pada bahagian belakang.

    Begitu juga pada bahagian kabin, hampir tiada perubahan disaksikan selain fungsi memori larasan diberikan pada tempat duduk hadapan untuk semua model, kecuali varian asas 2.0XE. Unit janakuasa juga sama di mana model 2.0 liter diberikan enjin MR20DE empat-silinder petrol NA berkuasa 136 PS/190 Nm, manakala versi 2.5 liter petrol pula menerima enjin QR25DE empat-silinder NA berkuasa 173 PS/234 Nm.

    Bangkok 2019 : Nissan Teana facelift pasaran Thai

    Kedua-dua enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT automatic Xtronic Nissan, memacu roda hadapan. Untuk model 2.0XL, 2.0XL Navi dan 2.5XV Navi, Teana dibekalkan dengan ciri keselamatan seperti amaran keluar laluan, pemantau titik buta, monitor paparan sekeliling 360-darjah dengan pengesan objek bergerak. Manakala semua model diberikan enam-beg udara, kawalan kestabilan serta brek ABS lengkap dengan EBD dan BA.

    Di Thailand, Nissan Teana facelift ini dijual pada harga bermula 1.336 juta baht (RM171,710) untuk model asas 2.0XE, 1.426 juta baht (RM183,278) untuk 2.0XL dan 1.476 juta baht (RM189,661) untuk 2.0XL Navi yang hadir dengan skrin tujuh-inci dan sistem navigasi. Model tertinggi 2.5XV Navi pula dijual pada harga 1.674 juta baht (RM215,163).

    Teana juga berhadapan dengan lawan yang agak sukar pada pasaran tersebut iaitu Toyota Camry dan Honda Accord, kerana kedua-dua model ini adalah versi generasi baharu sepenuhnya.

     
     
  • Sistem AES sumbang penurunan kesalahan pemandu sebanyak 13%, pematuhan had laju naik 95% – Menteri

    Sistem AES sumbang penurunan kesalahan pemandu sebanyak 13%, pematuhan had laju naik 95% – Menteri

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan, mengikut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) telah berjaya menyumbang kepada penurunan kesalahan pemandu daripada 24% kepada 13%. Bukan itu sahaja, ia juga telah meningkatkan jumlah pematuhan peraturan had laju dari 63% sebelum pemasangan kepada 95% selepas pemasangan di lokasi berkenaan.

    Sementara itu, jumlah notis saman yang dikeluarkan dari September 2018 hingga Disember tahun sama adalah sebanyak 84,165 notis, manakala bagi tempoh Januari 2019, sebanyak 22,981 notis saman dikeluarkan, katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) dalam Dewan Rakyat, semalam.

    Dalam hal lain, beliau turut berkata, kementeriannya kini di peringkat kajian bagi menyelaraskan bidang tugas agensi penguatkuasaan undang-undang jalan raya, laporan Berita Harian.

    Sistem AES sumbang penurunan kesalahan pemandu sebanyak 13%, pematuhan had laju naik 95% – Menteri

    “Langkah itu bagi membolehkan rakyat memahami bidang tugas penguatkuasaan agensi berkenaan. Cadangan penyelarasan agensi penguatkuasaan undang-undang jalan raya bertujuan mengelak penguatkuasaan yang bercelaru supaya rakyat tahu agensi mana yang menjalankan penguatkuasaan.

    “Kita berharap cadangan ini dapat dilaksanakan… kalau dilaksanakan nanti, saya harap Kubang Kerian dan pembangkang memberi sokongan penuh kepada cadangan ini,” katanya ketika menjawab soalan dikemukan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat menyelaras tugas agensi penguatkuasaan jalan raya supaya tidak berlaku tugas yang bertindan antara agensi terbabit.

     
     
  • Hyundai Venue 2020 terdedah – guna enjin 1.0L turbo?

    Hyundai Venue 2020 terdedah – guna enjin 1.0L turbo?

    Minggu lalu Hyundai telah memberitahu mereka akan menunjukkan sebuah model baru dipanggil sebagai Venue pada 17 April nanti di New York Auto Show. Bersama berita itu, mereka dedahkan satu gambar bahagian belakang, yang menunjukkan logo serta nama model tersebut.

    Namun, sebelum hari pendedahan rasmi itu tiba, gambar crossover kecil Hyundai tersebut telah pun tersebar dan set yang kami terima ini datang dari India. Melalui gambar ini, Venue dilihat menggunakan gril baru Hyundai dengan jalur krom seperti jalinan, lampu DRL LED nipis, lampu utama jenis projector serta lampu kabus di penjuru bampar.

    Daripada set gambar ini juga kita boleh melihat bahagian lain Venue yang termasuk rim aloi dua tona (mungkin 16 atau 17 inci), tayar yang tebal dan kemasan plastik hitam di keliling lengkuk roda. Bahagian belakangnya pula seperti mengingatkan kita kepada Volkswagen Polo generasi kelima dengan bentuk pintu but seperti itu, lampu yang petak dan logo besar di tengah.

    Anda juga akan dapat melihat lencana SX yang menggambarkan varian tinggi dan juga Turbo. Kita masih belum tahu apa enjin yang akan dimasukkan pada Venue ini, tetapi unit tiga silinder 1.0 liter petrol yang sudah dimiliki oleh Hyundai mungkin adalah calon yang sesuai. Pada model i20, enjin ini menghasilkan 100 PS dan 171 Nm tork, dan varian yang lebih berkuasa mampu mengeluarkan 120 PS dan 171 Nm tork.

    Pergi ke bahagian dalam pula, gambar ini menunjukkan Venue mempunyai skrin infotainmen yang seperti terapung di tengah papan pemuka, butang kawalan sistem multimedia di bawahnya, stereng dengan butang pengawal dan panel instrumen analog biasa dengan paparan info digital kecil di tengahnya.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: BMW 330i M Sport G20 – RM329k

    BMW 3 Series G20 2019 telahpun dilancarkan untuk pasaran tempatan. Awal ini, cuma ada satu varian sahaja diperkenalkan, BMW 330i M Sport. Unit CBU sepenuhnya dari Jerman, model ini dijual untuk pasaran Malaysia pada harga RM328,800.

    Kereta ini menggunakan enjin 2.0 liter TwinPower yang menjana sebanyak 258 hp dengan tork maksimum 400 Nm dari 1,550 rpm hingga 4,400 rpm. Ini digandingkan dengan sistem transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j pula dicapai dalam masa 5.8 saat, dengan kelajuan maksimumnya sehingga 250 km/j.

    Pakej M Sport yang melengkapi model ini terdiri daripada bodykit dengan penampilan lebih sporty, begitu juga dengan stereng khusus serta sistem suspensinya. Turut tersedia ialah Intelligent Personal Assistant, sistem kawalan suara yang lebih maju.

    Dari segi keselamatan, ia hadir dengan beg udara dan kawalan kestabilan sebagai ciri standard. Tetapi, tak ada ciri maju seperti AEB ataupun sistem kamera 360-darjah. Nak tahu apa lagi pembaharuan yang dilakukan terhadap BMW 3 Series G20 terbaru ini, tonton video yang disediakan ini.

     
     
  • Mari berkenalan dengan Hadri & Toyota AE86 Sprinter Trueno yang akan ke Nürburgring ikut jalan darat!

    Mari berkenalan dengan Hadri & Toyota AE86 Sprinter Trueno yang akan ke Nürburgring ikut jalan darat!

    Mula bercampur dengan komuniti yang berminat dengan kereta lama pada usia remaja, mendedahkan saya dengan pelbagai ‘jenis’ pemilik kereta sebegini dengan pegangan masing-masing. Tak dinafikan, mereka yang benar-benar perfectionist mempunyai kereta yang paling sempurna pada pandangan mata, tetapi kadang-kadang mereka ini terlalu ‘kedekut’ untuk memandu kereta berkenaan kerana bimbang dengan pelbagai perkara.

    Bagi saya sendiri pula yang sukakan kereta lama kerana karekter yang ada pada kereta tersebut, terutama ‘rasa mekanikal’ yang begitu membuatkan saya rasa bersemangat untuk memandu, menyebabkan saya memilih kereta sebegini sebagai pengangkutan harian. Maklumlah, untuk membeli sebuah kereta moden dengan karekter sedemikian buat masa sekarang bukanlah sesuatu yang murah.

    Jadi, dari Honda Civic generasi kedua kemudian ke Datsun 120Y B310 dan akhirnya kini saya memandu sebuah Volvo 240, kesemua kereta-kereta ini saya kekalkan kondisinya agar sebaik sahaja kunci diputar, ia boleh dipandu sama ada ke Johor Bahru, Bukit Kayu Hitam, mahupun ke Rantau Panjang, sama seperti kereta-kereta yang masih berbau kedai – tidak perlu kata-kata semangat seperti “geran simpan sendiri” atau “hobi kami hebat” bagi menyedapkan hati sendiri, kerana kepuasan itu memang datang setiap kali memandu dan bukan kerana terikut-ikut dengan trend kereta lama dilihat agak hip 7-8 tahun kebelakangan ini.

    Mari berkenalan dengan Hadri & Toyota AE86 Sprinter Trueno yang akan ke Nürburgring ikut jalan darat!

    Jadi bila saya bertemu dengan Engku Mohamed Hadri ketika majlis sidang media Retro Havoc 2019 tempoh hari, dan mendengar rancangannya untuk ke litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife yang terletak di Jerman melalui jalan darat menerusi ekspedisi yang digelar Retro Havoc World Motorsport Tour, saya amat teruja.

    Dari gaya beliau bercerita, saya faham benar perasaan dan tujuannya untuk melakukan ‘kerja gila’ seperti ini. Menurut Hadri, memandu dan mengembara adalah aktiviti kegemarannya sejak dari kecil lagi, dan dengan latar belakang pernah menjadi seorang mekanik dan juga pelumba, sudah tentu ekspedisi ini adalah impian hidupnya.

    Retro Havoc World Motorsport Tour bukan semata-mata kembara dari Malaysia ke Jerman, sebenarnya dalam perjalanan Hadri akan singgah ke 12 litar perlumbaan seluruh dunia antaranya Litar Antarabangsa Buriram Thailand, Litar Silverstone di UK dan Litar Spa Francorchamps di Belgium, selain turut singgah ke acara-acara lain seperti Goodwood Festival of Speed juga di UK.

    Mari berkenalan dengan Hadri & Toyota AE86 Sprinter Trueno yang akan ke Nürburgring ikut jalan darat!

    Secara keseluruhan, 24 negara perlu ditempuhi dalam perjalanan sejauh lebih dari 32,000 kilometer. Dalam ekspedisi ini, Hadri akan ditemani oleh tiga orang yang lain dalam pasukannya bersama sebuah van Toyota Hiace untuk membawa segala kelengkapan lain. Menurutnya lagi, perjalanan yang dijadualkan bermula tahun hadapan ini akan ditamatkan dalam masa satu tahun.

    Sebenarnya selain dari mengembara, Hadri turut mempunyai tujuan lain dalam ekspedisi ini. Pertama, tentulah untuk mempromosikan jenama Retro Havoc itu sendiri dan secara tidak langsung mempromosikan Malaysia dan budaya automotif kita kepada ‘mat-mat kereta’ seluruh dunia bahawa kita juga mempunyai pengikut-pengikut budaya automotif yang begitu kuat.

    Kedua, Hadri juga akan mewujudkan satu jaringan hubungan antara kumpulan automotif di seluruh dunia, dengan berjumpa sendiri kumpulan-kumpulan berkenaan sepanjang perjalanan ini. Hadri turut menyatakan sudah ada kumpulan yang telah bersedia untuk menyambutnya di negara masing-masing setelah video pengumuman projek ini disiarkan di Youtube yang diterbitkan oleh saluran Tokyo Tuner.

    Selain dari semangat, sudah tentu pengembaraan ini memerlukan kos yang cukup tinggi. Setakat ini, Hadri masih belum menerima tajaan besar dari mana-mana pihak. Katanya, dia tidak akan mengemukakan permohonan tajaan dengan tangan kosong, dan sekiranya tiada pihak yang mahu menaja, projek ini tetap akan diteruskan dengan pembiayaan sendiri.

    Oleh itu, buat masa sekarang Hadri melakukan pelbagai usaha bagi membuktikan dia benar-benar bersedia dan mampu bertahan untuk perjalanan ini, antaranya adalah sesi ujian yang dilakukan di litar Sepang hujung minggu lalu, sehari selepas berlangsungnya Retro Havoc 2019 di Kompleks BRT Sunway.

    Pemandu rasmi Toyota Gazoo Racing yang berlumba di Kejohanan Super GT, Akira Iida turut dijemput untuk menguji kereta ini, bukan sahaja untuk mendapatkan maklum balas, malah pengesahan dari pelumba professional itu juga sangat penting bagi Hadri untuk mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak selepas ini.

    Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno milik Hadri ini mungkin tidak mempunyai penampilan yang sempurna. Dengan warna badan ‘Panda’ persis jentera Project D Takumi Fujiwara, ia tidaklah berkondisi seperti sebuah ‘show car‘ dengan berberapa ‘battle scar‘ pada badannnya. Tetapi disebaliknya, sistem mekanikal kereta ini berada dalam keadaan yang sangat sihat, dengan aura ia mampu bergerak ke mana sahaja asalkan mempunyai permukaan jalan.

    Enjin 1.6 liter Twin Cam 16V 4A-GE ini dibiarkan standard bagi memastikan tahap reliabilitinya. Bukan sahaja sistem ekzosnya masih lengkap dengan catalytic converter asal dan juga sistem kemasukan Toyota Variable Induction System (T-VIS) masih berada di tempatnya, buat pertama kali juga saya menyaksikan depan mata sebuah AE86 yang masih mempunyai kotak angin bagi menempatkan penuras udara asal!

    Hadri telah melakukan ujian dyno ke atas enjin ini dan ia terbukti masih menghasilkan kuasa yang sepatutnya iaitu lebih dari 90 whp pada roda belakang atau 120 hp pada roda tenaga mengikut spesifikasi asal. Namun sedikit pengubahsuaian pada sistem-sistem sokongan telah dibuat bagi meningkatkan lagi ketahanan enjin tersebut, antaranya sistem penyejuk minyak pelincir, radiator aluminium lebih tebal dari SARD serta hos-hos laluan cecair penyejuk lebih tahan lasak dari Forged Racing, serta wayar-wayar bumi tambahan lebih tebal untuk memastikan bekalan kuasa elektrik dari alternator sentiasa berada pada tahap terbaik.

    Mari berkenalan dengan Hadri & Toyota AE86 Sprinter Trueno yang akan ke Nürburgring ikut jalan darat!

    Sistem suspensi asal kereta ini telah digantikan dengan set penyerap hentak dan spring boleh laras. Talaan yang diberikan bukan untuk pemanduan di litar semata-mata, tetapi ia dibuat seimbang untuk pemanduan jalan raya, kerana dengan suspensi yang terlalu keras untuk perjalanan jauh pastinya akan membuatkan pemandu letih dengan lebih cepat.

    Bagi memastikan kuasa dari enjin dapat digunakan sepenuhnya, Hadri tidak menggunakan set rim bersaiz besar, sebaliknya menggayakan rim dengan diameter hanya 15-inci. Set rim Black Racing dipilih oleh Hadri bagi melengkapkan rupa Panda Trueno miliknya ini, bersama tayar semi-slick Hankook Ventus TD bersaiz 195/55R15 – tetapi tayar ini akan diganti dengan tayar lebih sesuai dengan jalan raya ketika ekspedisi, dan untuk litar Hadri mungkin akan menggunakan Yokohama Advan Neova selepas ini.

    Dengan rim bersaiz kecil ini sebenarnya ada satu lagi masalah – agak sukar untuk mendapatkan sistem brek yang lebih berkuasa bagi dimuatkan pada diameter yang agak terhad. Namun perkara ini dapat diselesaikan setelah Hadri berjaya mendapatkan angkup brek hadapan lengkap dengan cakera AP Racing dari siri klasik yang memang di reka khas untuk kereta-kereta seperti AE86 ini.

    Bahagian kabin AE86 ini juga mendapat sentuhan minimal di mana roda stereng asal digantikan dengan roda stereng OMP deep dish bersama bosskit lebih panjang, manakala tempat duduk pemandu ditukar dengan tempat duduk bucket penuh perlumbaan Corbeau Sprint.

    Walaupun hadir dalam bentuk sebuah kereta sport, AE86 Sprinter Trueno ini masih lagi sebuah Corolla. Dari segi rekaan kerangka, model ini sebenarnya adalah hampir seiras dengan Corolla satu generasi di belakangnya iaitu KE70, sebab itulah banyak komponen antara dua model ini boleh ditukar antara satu sama lain.

    Dengan faktor ini, jika diikut logik, memang tiada masalah untuk AE86 ini untuk tiba ke Nürburgring melalui jalan darat. Bukan sahaja rekaannya ringkas memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikkan dilakukan, komponen-komponen Toyota pada era ini juga sudah terbukti sangat lasak dan tahan lama – lihat sahaja berapa banyak lagi KE70 yang masih cemerlang melingkar di atas jalan raya, malah model-model lebih lama dari itu seperti KE30 dan KE20 dengan enjin siri K masih lagi boleh cruising di lebuh raya pada kelajuan 110 km/j tanpa masalah.

    Tambahan pula, kereta ini juga bukanlah kereta hujung minggu buat Hadri, sebaliknya ia adalah pengangkutan utama yang dipandu setiap hari. Menurut Hadri, proses overhaul bagi menyegarkan kembali semua komponen dalaman enjin ini hanya akan dilakukan hampir dengan hari bermulanya pengembaraan ini nanti.

    Dalam sesi ujian hari ini, Akira Iida telah memberikan maklum balas positif terhadap kereta berkenaan. Menurutnya, suspensi telah ditala dengan baik, begitu juga prestasi yang diberikan pada sistem brek. Cuma suhu minyak pelincir sedikit tinggi dari biasa – Hadri sengaja memilih sesi ujian dari pukul 11 pagi hingga 1 petang yang sememangnya sangat terik di Sepang, semata-mata untuk menguji perkara ini.

    Hadri nyata gembira dengan sesi ujian tersebut. Sesi pada hari berkenaan juga turut di sokong oleh pengasas Retro Havoc sendiri, Alie Kuoppa yang turut membawa bersama delegasi Jepun seperti Daijiro Inada (pengasas majalah Option), Shoji Inoue (pengasas Star Road), Ron Celestine (Speedhunters) dan Ichiraku Toshiya (1048 Japan). Sama-sama kita doa kan apa yang dirancang oleh anak muda Malaysia ini berjaya, dan tunjukkan pada dunia komuniti sukan permotoran di negara kita ini bukan biasa-biasa!

    Kemaskini: Hadri sudah mengesahkan bahawa dia akan memulakan ekspedisi ini bermula 19 Ogos 2019!

     
     
  • Proton catat jualan 6,145 unit pada bulan Mac 2019 – 2,979 adalah X70, rekod baru dalam sejarah Malaysia

    Proton catat jualan 6,145 unit pada bulan Mac 2019 – 2,979 adalah X70, rekod baru dalam sejarah Malaysia

    Suku pertama tahun 2019 (Q1 2019) telah berakhir dengan menyaksikan Proton mencatat jualan sebanyak 6,145 buah kenderaan pada bulan Mac sahaja, dan ini bersamaan dengan 11% perkongsian pasaran, dan peningkatan 2.6% berbanding bulan sama tahun 2018. Jumlah ini juga melebihi catatan 5,283 unit yang dicapai pada bulan Februari 2019 dan 4,783 pada bulan Januari 2019.

    Kemudiannya, Proton juga mencatatkan peningkatan 46.1% dalam pendaftaran kenderaan pada bulan Mac, yang dikatakan oleh mereka sebagai sama dengan kadar pertumbuhan empat kali ganda lebih tinggi berbanding industri sendiri secara keseluruhan. Untuk tiga bulan pertama 2019, jumlah terkumpul adalah 43.5% atau lebih enam kali ganda daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) iaitu 6.7%. Catatan jualan ini juga meletakkan Proton di hadapan berbanding pesaingnya.

    Ketua pegawai eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata: “Jumlah jualan yang dicatat oleh Proton pada 2019 adalah hasil terus daripada kerja keras yang dilakukan oleh semua bahagian dalam syarikat. Ia dapat dicapai dengan peningkatan jumlah pusat khidmat 3S/4S, kualiti produk, memberi semula fokus kepada layanan pelanggan dan pelbagai penambahbaikan lain. Dengan hujung tahun nanti model yang diperbaharui akan diperkenal, Proton yakin pelaburan dalam perniagaan ini akan terus menaikkan jumlah jualan.”

    Daripada jumlah keseluruhan yang didaftar pada bulan Mac ini, 2,979 unit adalah model X70, dan ia sekaligus mencatat rekod baru sebagai jumlah pendaftaran paling tinggi yang pernah dicapai oleh sebuah SUV dalam masa satu bulan di Malaysia. Ia juga menjadi SUV paling popular dalam tiga bulan pertama tahun 2019, dengan 25,000 tempahan telah diterima sehingga kini.

    “Dengan jumlah penghantaran X70 yang semakin meningkat, kami harap dapat mengurangkan masa menunggu untuk pelanggan. Dalam masa sama, kami bekerja tekun untuk memastikan setiap unit yang diserah adalah sempurna memandangkan kami mempunyai sasaran untuk SUV ini menjadi kenderaan dengan penilaian tertinggi dalam kajian kualiti di Malaysia tahun 2019,” tambah Dr Li.

    Untuk rangkaian pengedar pula, Proton sekarang mempunyai 75 pusat khidmat 3S/4S di seluruh negara, dan mereka mendakwa ini adalah jumlah paling tinggi bagi pusat sebegitu apabila dibandingkan dengan jenama automotif yang lain.

     
     
  • Toyota Yaris 2019 kini sudah muncul di laman web rasmi di Malaysia – harga dijangka bermula dari RM72k

    Toyota Yaris 2019 kini sudah muncul di laman web rasmi di Malaysia – harga dijangka bermula dari RM72k

    Toyota tetap mahu menerjah pasaran segmen-B di Malaysia – kurang daripada dua bulan selepas Vios sedan dilancarkan, versi hatchback, Yaris, pula akan mengambil giliran. Terkini, ia telah muncul di laman web rasmi UMW Toyota Motor. Nampak gayanya pelancarannya memang tidak lama lagi.

    Antara informasi yang tersenarai termasuklah harga jangkaannya, yang bermula pada RM71,888 untuk varian asas 1.5J, meningkat sehingga RM77,888 untuk 1.5E dan RM84,888 untuk varian tertinggi 1.5G. Harga ini antara RM2,400 ke RM5,300 lebih murah berbanding Vios, yang ditawarkan dari RM77,200 hingga RM87,300.

    Tidak seperti model terdahulu (model pasaran ASEAN adalah berdasarkan Vios, bukan model pasaran Eropah generasi ketiga), mempunyai sedikit perubahan luaran, dan Yaris baharu ni boleh dikatakan membawa banyak elemen seperti Vios. Perubahan yang paling ketara pula melibatkan bahagian belakangnya, di mana kelihatan C-pillar berwarna hitam dan lampu belakang yang lebih tajam.


    Klik untuk besarkan

    Di bahagian dalamnya, Yaris menerima konsol tengah yang sama seperti gaya Lexus NX dan jahitan tiruan pada papan pemuka. Berdasarkan sedikit spesifikasi yang diberikan, ia turut dilengkapi dengan lampu utama follow-me-home, kluster instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-info 4.3-inci, cermin pandang belakang auto-kelam, pendingin hawa auto, kamera 360-darjah dan unit utama DVD-AVX dengan screen mirroring.

    Dengan semua ciri ini boleh dijumpai dalam Vios, termasuk juga dengan enjin dan transmisi – 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i dengan 107 PS dan tork 140 Nm, dipadankan bersama CVT dengan tujuh nisbah maya. Kit keselamatan pula termasuk tujuh beg udara, bantuan mula mendaki, pemantauan titik buta dengan kepekaan lintasan trafik belakang, juga sama seperti Vios.

    Juga seperti Vios, Yaris ini dipasang di kilang baharu UMW Toyota yang terletak di Bukit Raja, Klang, Terdapat lima warna pilihan (termasuk warna baharu Citrus Mica Mettalic yang anda boleh lihat di sini) dan juga bodykit piihan dengan tona kontras hitam dan merah, pada harga RM2,450 untuk 1.5J dan RM2,800 untuk 1.5E dan 1.5G. Anda boleh KLIK DI SINI UNTUK PENDAFTARAN MINAT.

    GALERI: Toyota Yaris spesifikasi Indonesia

    GALERI: Toyota Yaris spesifikasi Thailand

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025