Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jualan kenderaan di Malaysia bagi Julai 2018 cecah 68,465 unit – naik 6% berbanding bulan sebelumnya

    Jualan kenderaan di Malaysia bagi Julai 2018 cecah 68,465 unit – naik 6% berbanding bulan sebelumnya

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan angka jualan dan produksi bagi Julai 2018, malahan lonjakan jualan bermula Jun lalu selepas kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan kadar-sifar bagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diteruskan, memberikan keputusan yang memberangsangkan bagi bulan lalu.

    Bagi Julai, jumlah keseluruhan jualan mencecah 68,465 unit, meningkat sebanyak 3,963 unit atau lebih 6% berbanding Jun. Malahan jumlah jualan bagi bulan lalu juga dicatatkan sebagai TIV bulanan kedua tertinggi dalam sejarah industri automotif tempatan, selepas rekod yang dicatatkan pada Disember 2015 iaitu sebanyak 69,371 unit.

    Bukan itu sahaja, jumlah jualan yang dicatatkan pada bulan lalu adalah lebih 41% atau 19,912 unit berbanding Julai 2017. Bagi angka hingga ke tarikh tersebut, jumlah bagi tujuh bulan pertama bagi tahun ini mencecah 358,179 unit, meningkat sebanyak 7.56% – atau 25,173 unit – dari 333,006 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu.

    Untuk Ogos pula, MAA menjangkakan jualan akan kekal atau pun lebih kurang sama dengan rekod pada Julai 2018, dengan pelanggan mahu menempah kenderaan pada saat-saat akhir walau pun berhadapan dengan stok berkurangan akibat lonjakan yang tidak dijangka sejak Jun dan gangguan bekalan yang sedang berlaku.

     
     
  • Pengeluaran Perodua Myvi terganggu akibat masalah bekalan – 3,000 tidak dapat didaftarkan sebelum 1 Sept

    Pengeluaran Perodua Myvi terganggu akibat masalah bekalan – 3,000 tidak dapat didaftarkan sebelum 1 Sept

    Perodua telah memaklumkan pengeluaran model paling larisnya, Myvi baharu, terpaksa diberhentikan buat sementara waktu berikutan gangguan bekalan pada salah satu vendornya. Hal ini sekaligus mengakibatkan kira-kira 3,000 pelanggan tidak dapat mendaftarkan Myvi baharu mereka sebelum akhir bulan Ogos ini.

    “Kami ingin memohon maaf kepada para pelanggan kami yang telah sabar menunggu kenderaan baharu mereka. Kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu ini dan sedang mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memastikan pengeluaran bermula semula secepat mungkin,” ujar Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

    Katanya lagi, keutamaan kini adalah untuk menyerahkan Perodua Myvi baharu kepada kira-kira 3,000 pelanggan yang pada asalnya dijadualkan menerima kenderaan mereka sebelum 1hb September.

    “Kami amat memahami dan prihatin terhadap kekecewaan pelanggan kami yang terlibat. Oleh itu, kami sedang berusaha untuk memberikan pampasan yang sesuai dan akan menghubungi para pelanggan kami menerusi cawangan-cawangan kami di seluruh Malaysia tidak lama lagi,” ujarnya lagi.

    Pengeluaran Perodua Myvi terganggu akibat masalah bekalan – 3,000 tidak dapat didaftarkan sebelum 1 Sept

    Terdapat peningkatan dari segi permintaan terhadap kenderaan sejak kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 Jun lalu, lebih awal daripada pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini.

    Setakat ini, lebih daripada 68,000 Perodua Myvi telah diserahkan kepada pemiliknya daripada lebih 120,000 tempahan yang diterima sejak pelancarannya pada November 2017, menjadikan ia produk terlaris Perodua dari segi jualan untuk sepanjang tahun setakat ini.

    “Kami sedang berusaha keras untuk mengatasi gangguan bekalan ini dan memulakan semula pengeluaran Myvi secepat mungkin. Malah kami juga menyarankan agar para pelanggan segera berhubung dengan penasihat jualan kami yang sah bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai model kami serta anggaran masa penghantaran Myvi mereka,” ujar Zahari lagi sambil mengesahkan pengeluaran dan penghantaran model lain seperti Axia, Bezza dan Alza masih terus berjalan seperti yang dijadualkan.

    Perodua telah menjual kira-kira 140,000 kenderaan antara Januari dan Julai tahun ini, dengan peningkatan hampir 19% berbanding 118,600 yang dijual pada tempoh yang sama sebelumnya.

     
     
  • Syarikat China mahu labur RM41b untuk projek kereta nasional ketiga – beri tumpuan kepada elektrifikasi

    Syarikat China mahu labur RM41b untuk projek kereta nasional ketiga – beri tumpuan kepada elektrifikasi

    Mengenai kereta nasional ketiga yang disuarakan oleh perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jun lalu, dua syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) China dikhabarkan telah menyuarakan hasrat untuk melabur dalam projek ini.

    Disasarkan bakal dilancarkan pada tahun 2020, syarikat berkenaan iaitu GSR Capital dan Envision Energy mencadang untuk melabur sebanyak US$10 bilion (RM41 bilion) untuk projek berkenaan dalam tempoh lima tahun, laporan The Star. Cadangan tersebut dilaporkan telah diserahkan kepada kerajaan dalam lawatan Tun Mahathir ke China baru-baru ini.

    Rangka kerja perancangan itu, termasuklah membina kilang pengeluaran kereta nasional bahary serta hab kereta EV serantau di selatan Perak, di mana sebuah projek bandaraya automotif telah dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

    Cadangan yang dibuat oleh kedua-dua syarikat tersebut, yang akan bekerjasama dengan syarikat Malaysia Concept Fields, turut menggariskan penyertaan Nissan, melalui Envision yang memegang 75% kepentingan dalam unit kenderaan elektrik Nissan, AESC, yang akan dibawa masuk untuk bekerjasama dengan GSR Capital untuk menubuhkan kemudahan pengilangan EV serantau.

    Syarikat China mahu labur RM41b untuk projek kereta nasional ketiga – beri tumpuan kepada elektrifikasi

    Projek ini akan diterajui oleh GSR Capital, yang akan memudahkan FDI kira-kira US$10 bilion ke Malaysia, sementara AESC akan menyediakan teknologi untuk menghasilkan sebuah kereta elektrik. Sepatutnya, pengeluaran bateri EV juga merupakan bahagian penting dari rancangan itu.

    Selain pembuatan, cadangan itu juga menggariskan penubuhan pusat pendidikan – untuk melatih pekerja mahir di dalam negara – dan penciptaan kemudahan R & D. Projek kerjasama ini juga akan menghasilkan 15,000 pekerjaan baharu.

    Skop projek itu, sekiranya berlaku, juga seiring dengan pendirian kerajaan mengenai bagaimana ia dibiayai. Minggu lalu, menteri kewangan Lim Guan Eng menegaskan bahawa projek kereta nasional ketiga ini akan dibiayai oleh sektor swasta dan bukan dengan dana awam.

     
     
  • Ducati akan keluarkan motosikal premium kapasiti rendah dengan kerjasama Hero Motocorp dari India?

    Ducati akan keluarkan motosikal premium kapasiti rendah dengan kerjasama Hero Motocorp dari India?

    Melihat kepada masa hadapan, Ducati nampaknya seperti mahu mendapatkan jualan daripada segmen motosikal premium berkapasiti rendah. Untuk memulakan langkah ke arah itu, mereka perlu mencari rakan kongsi yang mampu mengeluarkan motosikal pada kos lebih rendah dan kini tumpuan diberikan kepada syarikat di India. Perkara ini sudah dilaporkan banyak media di India, termasuklah BikeWale.

    Dalam laporan itu, syarikat yang mempunyai potensi besar untuk menjadi rakan kongsi Ducati adalah Hero Motocorp kerana ia pada masa ini tidak mempunyai kerjasama dengan jenama motosikal antarabangsa lain. Selain daripada itu, Hero Motocorp juga adalah antara pengeluar motosikal yang terbesar di negara itu dan mereka pernah menjadi rakan kongsi Honda seketika dulu.

    Langkah yang akan diambil oleh Ducati ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia sudah pun dilakukan oleh BMW dengan mengambil TVS sebagai rakan kongsi untuk menghasilkan barisan model 310 (G310GS dan G310R) manakala KTM pula mempunyai kerjasama dengan Bajaj untuk model kapasiti rendah mereka.

    Ducati akan keluarkan motosikal premium kapasiti rendah dengan kerjasama Hero Motocorp dari India?

    Memetik lagi ayat daripada laporan BikeWale ini, Ducati berkemungkinan menghasilkan motosikal yang menggunakan enjin 300 cc suntikan bahan api, dengan pembangunan dilakukan oleh Ducati, tetapi pengeluaran dibuat sepenuhnya di India. Antara model awal yang boleh dijangka adalah seperti Scrambler dan Multistrada versi mini.

    Berita selanjutnya berkenaan perkara ini dijangka dikeluarkan secara rasmi semasa pameran INTERMOT atau EICMA tahun ini. Pada masa ini, model paling kecil yang dikeluarkan oleh Ducati adalah Scrambler Sixty2, yang menggunakan enjin 400 cc. Walaupun begitu, ia tidak begitu laris kerana harga yang masih tinggi dan tidak jauh beza dengan model Scrambler 803 cc.

     
     
  • Mitsubishi Xpander MPV kini di Thailand – CBU diimport dari Indonesia, dua varian, dari RM96k

    Mitsubishi Xpander MPV kini di Thailand – CBU diimport dari Indonesia, dua varian, dari RM96k

    Mitsubishi Xpander MPV kini telah pun mula dijual di Thailand, dengan dua pilihan varian dan merupakan model CBU yang diimport dari Indonesia. Varian GLS Limited ditawarkan pada harga bermula 779,000 baht (RM96,381) sementara spesifikasi tertinggi GT pula berharga 849,000 baht (RM104,921).

    Kit standard yang ditawarkan bagi pesaing Honda BR-V, MPV tujuh-tempat duduk yang bergaya SUV ini termasuk ABS, EBD, BA, ASC, bantuan mula mendaki, dua beg udara, lampu posisi LED, lampu belakang LED, lampu welcome/coming home, stereng boleh laras dan butang audio pada stereng.

    GT turut ditambah dengan elemen seperti lampu kabus hadapan, kekemasan krom pada luaran, skid plate berwarna perak (hitam secara standard), paparan pelbagai-info berwarna 4.2-inci dengan meter kontras tinggi, bantuan pemanduan eco, dan indikator pemarkahan eco, stereng, tombol gear dan pemegang brek tangan balutan kulit, arahan suara dan kawalan kelajuan.

    Mitsubishi Xpander MPV kini di Thailand – CBU diimport dari Indonesia, dua varian, dari RM96k

    Manakala bagi GT pula, elemen tambahan yang didatangkan termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang push start, unit utama 2-DIN DVD dengan skrin sesentuh 6.2-inci, Bluetooth, kamera undur, tempat duduk balutan kulit, dua pembesar suara tambahan (semuanya enam) dan rim dua-tona 16-inci (standard 15-inci).

    Xpader dikuasakan oleh enjin 1.5 liter dengan 105 PS dan tork 141 Nm pada 4,000 rpm. Unit MIVEC DOHC dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan. Di Indonesia, Xpander diposisikan dalam segmen MPV Rendah bersama Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Suzuki Ertiga, Honda Mobilio dan Honda BR-V.

    Tahun lalu, CEO MMC Osamu Masuka berkata Malaysia termasuk dalam pelan pengenalan bagi Xpander 2018, bersama dengan pasaran ASEAN lain termasuk Thailand, Vietnam dan Filipina. Semua negara yang tersenarai telah pun menerima kehadiran Xpander kecuali Malaysia. Jika tiba di negara ini, adakah ia mampu memberikan persaingan sengit buat Honda BR-V?

    GALERI: Mitsubishi Xpander di Indonesia

     
     
  • AES: Kerajaan tidak peroleh sebarang keuntungan, perjanjian berpihak kepada syarikat konsesi – Loke

    AES: Kerajaan tidak peroleh sebarang keuntungan, perjanjian berpihak kepada syarikat konsesi – Loke

    Pada 17 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan semua saman yang belum berbayar yang dikeluarkan di bawah Automated Enforcement System (AES) akan dibatalkan. Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, keputusan kerajaan bagi membatalkan saman AES bernilai RM435 juta itu adalah disebabkan penjanjian berat sebelah antara kerajaan terdahulu dengan dua syarikat konsesi yang mengendalikan sistem itu.

    Memetik laporan Berita Harian, Loke berkata kerajaan juga tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada kutipan saman sebaliknya ia dibayar sepenuhnya kepada dua syarikat konsesi itu iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

    “Semua saman tertunggak itu dibatalkan kerana kerajaan tidak bersetuju penguatkuasaan diswastakan kepada dua syarikat konsesi berkenaan. Ini berikutan kerajaan terdahulu sudah mengurangkan kadar saman AES daripada RM300 kepada RM150, kerajaan terikat untuk menyerahkan sepenuhnya hasil kutipan kepada dua syarikat pengendali sistem itu.

    AES: Kerajaan tidak peroleh sebarang keuntungan, perjanjian berpihak kepada syarikat konsesi – Loke

    “Berdasarkan perjanjian, dua syarikat berkenaan berhak mendapat dua tier bayaran daripada kerajaan iaitu RM16 untuk setiap saman dan tier kedua adalah 50% dari nilai sebenar saman RM300,” ujar Loke.

    Katanya lagi, ada pihak yang mempersoalkan kerajaan hilang sumber pendapatan disebabkan membatalkan saman tertunggak ini. Hakikatnya, kerajaan sendiri tidak mendapat sebarang hasil (daripada pembayaran saman berkenaan) dan ia tidak masuk dalam dana kerajaan kerana sejak 2012 hingga Mei lalu dengan sejumlah RM129 juta sudah dibayar kepada dua syarikat ini.

    Loke turut memaklumkan, AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September ini, selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dengan dua syarikat konsesi iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

     
     
  • Volvo XC40 – tempahan di Malaysia sudah dibuka

    Pelancaran model Volvo XC40 di Malaysia bakal berlangsung tidak lama lagi memandangkan Sisma Auto sudah pun mula mengambil tempahan awal untuk SUV kompak ini. Selain itu, beberapa unit yang sudah didaftar dengan plat ‘V’ baru juga sudah ditemui di negara kita.

    Status yang dimuat naik oleh Sisma Auto di Facebook tidak menunjukkan sebarang informasi berkenaan spesifikasi terperinci kenderaan tersebut, jadi kita hanya boleh mengumpul maklumat yang sudah diperoleh setakat ini. Jika mengikutkan gambar model yang ditemui itu, XC40 pasaran Malaysia nampak seperti menggunakan trim R-Design.

    Bahagian rim model ini menggunakan saiz 18 inci dengan rekaan lima cabang terbelah dua, bersama warna dua tona. Lencana di luar kereta juga menunjukkan ke arah penggunaan enjin T5 iaitu unit empat silinder 2.0 liter turbo petrol yang mempunyai kuasa 247 hp dan 350 Nm tork.

    Untuk transmisi, enjin Drive-E ini dipadankan dengan unit automatik Geartronic lapan kelajuan, dan kuasa disampaikan ke semua empat tayar. Sementara itu, model XC40 yang dipasang dengan enjin T4 dan T3 pula boleh didapati dengan sistem pacuan roda hadapan sahaja.

    Unit awal XC40 yang dibawa masuk ke Malaysia berkemungkinan adalah unit yang diimport sepenuhnya (CBU), tapi nanti ia mungkin akan dipasang di Malaysia (CKD). Harga juga masih belum ada, tapi kami menjangkan sekitar RM250k hingga RM300k.

    GALERI: Volvo XC40 T5 di Singapura

     
     
  • Isuzu akan bawa kenderaan yang guna enjin diesel turbo 1.9 Ddi BluePower ke pameran KLIMS tahun ini

    Isuzu akan bawa kenderaan yang guna enjin diesel turbo 1.9 Ddi BluePower ke pameran KLIMS tahun ini

    Pasaran Malaysia baru menerima satu lagi Isuzu D-Max edisi terhad bulan lepas, tapi anda harus ingat, itu bukanlah versi facelift terkini seperti yang sudah dilancarkan di Thailand hujung tahun lepas, dan ia juga masih belum datang dengan enjin turbo diesel 1.9 liter Ddi BluePower, sedangkan Thailand sudah menerimanya sejak November 2015.

    Perkara ini mungkin berubah kerana dalam satu siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS’18 yang akan berlangsung pada bulan November ini), Isuzu memberitahu akan membawa enjin BluePower ini ke pameran tersebut.

    “Kami berbesar hati untuk menunjukkan enjin diesel 1.9 liter BluePower ini di KLIMS’18. Enjin berkapasiti kecil tetapi berkuasa yang baru direka ini adalah satu penyelesaian Isuzu untuk mematuhi standard penjagaan alam sekitar yang ketat sekarang, dengan kuasa yang hebat. Enjin ini juga sangat cekap dalam penggunaan bahan api. Ia adalah satu hasil daripada prinsip inovasi kecekapan bahan api dan ketahanan kami,” kata COO Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

    Isuzu akan bawa kenderaan yang guna enjin diesel turbo 1.9 Ddi BluePower ke pameran KLIMS tahun ini

    Di Thailand, D-Max yang menggunakan enjin 1.9 liter Ddi BluePower ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 150 hp dan tork 350 Nm antara 1,800 hingga 2,600 rpm. Enjin yang menggunakan kod RZ4E-TC ini dipadankan dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik.

    Sementara di Malaysia pula, D-Max ditawarkan dengan enjin 2.5 dan 3.0 liter yang sudah berada dalam pasaran agak lama. Enjin 2.5 liter 4JK1-TCX menghasilkan kuasa 136 PS dan 320 Nm tork antara 1,800 hingga 2,800 rpm. Walaupun kapasiti lebih besar daripada enjin 1.9 Ddi, kuasanya adalah lebih rendah. Enjin 3.0 liter 4JJ1-TCX pula mampu menghasilkan 177 PS dan 380 Nm tork antara 1,800 hingga 2,800 rpm.

    GALERI: Isuzu D-Max X-Series di Malaysia



     
     
  • Op Khas Samseng Jalanan catat 37,282 saman pelbagai kesalahan trafik sejak 1 Ogos lalu – JSPT

    Op Khas Samseng Jalanan catat 37,282 saman pelbagai kesalahan trafik sejak 1 Ogos lalu – JSPT

    Sejak 1 Ogos lalu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengadakan Op Khas Samseng Jalanan dan dalam tiga minggu ini, sebanyak 37,282 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik melibatkan motosikal dan kereta.

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Sharul Othman Mansor, sepanjang operasi itu sebanyak 1,775 kenderaan telah disita melibatkan 1,648 motosikal dan 127 buah kereta, laporan Bernama.

    “Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan mengubah kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Sebanyak 626 tangkapan dilakukan bersabit kesalahan di bawah 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sepanjang operasi berkenaan Kuala Lumpur merekodkan tangkapan tertinggi sebanyak 335 diikuti Pulau Pinang dengan 115 tangkapan.

    Beliau berkata tangkapan yang dilakukan mengikut pecahan umur melibatkan 228 berumur 18 tahun ke atas dan 194 bawah 18 tahun.

     
     
  • Proton akan masuk ke pasaran China bersama Geely – tumpuan kepada model baru, teknologi elektrifikasi

    Proton akan masuk ke pasaran China bersama Geely – tumpuan kepada model baru, teknologi elektrifikasi

    Proton hari ini telah menandatangani perjanjian peringkat awal dengan Geely sebagai langkah permulaan bagi tujuan untuk memasang dan memasarkan kenderaan Proton di negara China. Kedua-dua pihak akan mempunyai pegangan yang setara di dalam syarikat usaha sama baru yang akan diumumkan kelak bagi tujuan ini.

    Ia akan melibatkan model baru yang akan dibangunkan bersama dengan Geely selepas ini, dengan tumpuan yang akan turut diberikan terhadap teknologi elektrifikasi kenderaan – Geely ketika ini sudah pun memiliki teknologi yang dimaksudkan, dan telah pun memasarkan beberapa model seperti Borui PHEV/MHEV untuk pasaran China.

    Antara yang turut terkandung di dalam persefahaman awal perjanjian ini ialah Geely akan bertanggungjawab untuk menyediakan platform, aspek kejuruteraan seperti enjin dan sistem janaan (drivetrain) bagi model-model terbabit, manakala Proton pula akan menggalas tugas menghasilkan reka bentuk luaran secara menyeluruh bagi kereta-kereta terlibat.

    Difahamkan, model-model itu nanti akan dijual di pasaran China menggunakan logo Proton. Selain itu, turut akan dipertimbangkan ialah penggunaan platform kenderaan sedia ada oleh Proton yang dirasakan sesuai di dalam membangunkan model untuk China.

    Proton akan masuk ke pasaran China bersama Geely – tumpuan kepada model baru, teknologi elektrifikasi

    Perkara ini diumumkan di dalam satu majlis yang di ibu pejabat Geely di Hongzhou, China, yang antara lain turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad; Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group, Li Shufu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

    Perkembangan terbaru ini juga menunjukkan komitmen Geely untuk meneroka lebih jauh kerjasama dengan Proton bagi membantu memperkukuhkan dan memperluaskan lagi pasaran eksport pengeluar kenderaan nasional itu. Untuk rekod, Proton sebelum ini pernah mencuba untuk menembusi pasaran China melalui usaha sama antaranya dengan Youngman dan Goldstar – ketika itu melibatkan model Persona lama – tetapi tidak berhasil untuk pergi lebih jauh.

    Bersama Geely sebagai rakan strategik yang turut merupakan pemegang kepentingan di dalam Proton, situasinya berbeza ketika ini. “Bersama Geely, laluan Proton untuk memasuki pasaran China lebih luas. Antara peranan Geely adalah untuk mendapatkan lesen pengilangan dan kelulusan dari segi undang-undang China bagi usaha sama ini. Geely juga akan mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk menempatkan kemudahan pengilangan itu nanti,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

    Syed Faisal turut menambah, vendor-vendor sedia ada Proton yang berdaya saing serta berkualiti turut akan dipertimbangkan sebagai pembekal kepada syarikat usaha sama itu nanti. Ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk membuka ruang dan peluang kepada vendor-vendor tempatan untuk terlibat sama di dalam kitaran ekonomi pasaran di China.

    Proton akan masuk ke pasaran China bersama Geely – tumpuan kepada model baru, teknologi elektrifikasi

    “Sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, kami telah mengambil keputusan untuk mempergiat kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak, terutama dari sudut tenaga baru, pembangunan senireka dan platform produk serta pelaburan terhadap komponen teras di Malaysia. Ini akan membantu kedua-dua negara untuk melangkah lebih jauh di dalam suasana industri automotif yang semakin mencabar kini,” jelas Li Shufu.

    Memberi pandangannya tentang Proton-Geely, Tun Mahathir berharap agar usahasama itu dapat meningkatkan kemampuan dan pengetahuan kejuruteraan Proton. “Saya perlu akui, banyak peningkatan kualiti serta perkembangan teknologi yang telah ditunjukkan oleh Geely melalui model-model terbaru yang dihasilkan,” jelas Tun M yang pernah berkunjung ke ibupejabat Geely yang sama empat tahun lalu.

    Mengulas tentang pengalamannya memandu model Boyue yang bakal menjadi model pertama dari kerjasama kedua-dua syarikat ini untuk pasaran Malaysia, Tun memaklumkan; “SUV yang saya suka pandu di Malaysia sebelum ini ialah Volkswagen Tiguan. Bila saya pandu model Boyue, saya fikir kualiti keseluruhan kereta buatan China ini telah banyak peningkatan. Saya boleh kata dari segi kualiti dan kesenangan untuk dipandu, Boyue dapat berikan pengelaman yang setara,” jelas beliau.

    Proton akan masuk ke pasaran China bersama Geely – tumpuan kepada model baru, teknologi elektrifikasi

    Bagi Proton, sekiranya mampu untuk menembusi pasaran China dalam peratusan yang kecil sahaja pun sudah memadai, sebagai permulaan untuk meningkatkan kadar pengeluar dan memperluas pasaran eksport. Untuk rekod, pasaran kenderaan penumpang di China dalam tempoh 10 tahun terakhir ini berkembang dengan sangat pesat.

    Sebagai contoh, pada 2008 sejumlah 6.76 juta kenderaan penumpang terjual di China. Namun, pada 2017 pula, jumlah berkenaan meningkat kepada 24 juta kenderaan. Geely pula menjadi antara pelopor dalam pasaran berkenaan (di China terdapat sekitar 300 syarikat pengeluar kenderaan), dengan menjadi syarikat persendirian (yang tiada kaitan dengan pemilikan kerajaan) pertama di China yang berjaya menjual sebanyak 1 juta unit kenderaan tahun lalu.

    Geely berhasil menjual lebih daripda 1.24 juta kenderaan pada 2017, dengan perkongsian pasaran 5.06%. Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, Geely menjual secara purata 125,000 unit kenderaan sebulan. Model SUV Boyue pula (yang akan dijual sebagai SUV pertama Proton di Malaysia nanti) mencatatkan jualan melebihi 20,000 unit sebulan di China sepanjang tahun ini.

     
     
  • Nissan Terra tiba di Thailand, enjin diesel 2.3L biturbo

    Nissan Terra tiba di Thailand, enjin diesel 2.3L biturbo

    Selepas membuat penampilan di pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) baru-baru ini, Nissan Terra kini dilancarkan pula di Thailand, seterusnya menjadikan negara itu sebagai pasaran ketiga yang menerima SUV ladder-frame tersebut selepas Indonesia dan Filipina.

    Terra sudah boleh ditempah bermula hari ini di negara tersebut dan ia adalah sebuah SUV yang mempunyai tujuh tempat duduk dan menggunakan asas daripada pikap trak Navara NP300 ini. Perkara ini boleh dilihat jelas daripada rupa luar serta bahagian dalam yang sama antara keduanya. Ketibaannya di Thailand boleh dikatakan lambat sedikit berbanding pesaing seperti Toyota Fortuner, Mitsubishi Pajero Sport, Ford Everest dan Isuzu MU-X.

    Bezanya untuk pasaran Thailand ini, Terra yang dilancar menggunakan enjin diesel 2.3 liter twin turbo berkuasa 190 PS/ 450 Nm tork, dan bukannya enjin petrol NA 2.5 liter QR25 seperti pasaran China atau enjin diesel turbo 2.5 liter YD25 untuk pasaran Indonesia dan Filipina. Transmisi pula masih sama iaitu automatik tujuh kelajuan daripada Navara.

    Terra di Thailand ditawarkan dalam varian V 2WD, VL 2WD dan VL 4WD. Kelengkapan standard yang diberikan adalah termasuk lampu utama dan lampu siang LED, lampu kabus, rim aloi dua tona 18 inci, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal pendingin hawa automatik dua zon dengan corong di belakang, tempat duduk pemandu larasan kuasa dan tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat dengan satu sentuhan sahaja.

    Selain daripada itu, kenderaan ini juga dilengkapi dengan limited-slip differential, cermin hadapan akustik, tempat duduk balutan kulit, skrin paparan lima inci, sistem navigasi Kenwood 2-DIN dengan skrin sesentuh tujuh inci, enam pembesar suara, kamera undur dan cermin pandang belakang digital.

    Untuk sistem keselamatan, semua varian mendapat enam beg udara, ABS, EBD, BA, Stability Control, Hill-Start Assist dan cagak ISOFIX di tempat duduk baris kedua. Varian VL kemudiannya ditambah dengan kamera 360 darjah dengan pengesan objek bergerak MOD, Lane Departure Warning dan Blind Spot Monitoring. Harganya pula adalah 1,316,000 baht (RM162,500) untuk V 2WD, 1,349,000 baht (RM166,600) untuk VL 2WD dan 1,427,000 baht (RM176,200) untuk VL 4WD.

    GALERI: Nissan Terra di GIIAS 2018

     
     
  • Semua saman AES tidak berbayar dibatalkan – Loke

    Semua saman AES tidak berbayar dibatalkan – Loke

    Pihak kerajaan telah mengumumkan bahawa semua saman yang dikeluarkan di bawah Automated Enforcement System (AES) akan dibatalkan, seterusnya membenarkan semua pemandu yang bersalah terlepas. Perkara ini dilaporkan oleh The Star, dengan memetik kata-kata daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Langkah ini diambil berikutan keputusan Kabinet untuk mengambil alih sepenuhnya operasi AES di dalam negara ini bermula 1 September, daripada dua syarikat persendirian yang mengendalikannya sebelum ini. Menurut Loke, sehingga bulan Mei, terdapat 3.1 juta saman yang masih tidak berbayar dan jumlah keseluruhannya boleh menjadi RM430 juta.

    “Pembatalan ini hanya akan berlaku sekali sahaja. Selepas ini tidak akan ada lagi sebarang tawaran atau diskaun seperti ini,” kata Loke semasa satu sidang media di Putrajaya hari ini.

    Sejak Ogos tahun lalu, terdapat 21 kamera AES yang beroperasi di seluruh negara, dan ia dilaporkan akan ditambah sebanyak 50 unit lagi sebelum tahun 2017 tamat. Kemudiannya untuk tahun ini, 100 lagi kamera dikata akan dipasang di beberapa tempat strategik.

     
     
  • RapidKL mohon maaf isu perlanggaran bas di Ampang

    RapidKL mohon maaf isu perlanggaran bas di Ampang

    Pengendali RapidKL iaitu Prasarana Malaysia Berhad telah mengeluarkan satu kenyataan maaf terbuka berkenaan insiden yang berlaku jam 8 malam semalam di Ampang. Dalam kejadian itu, sebuah bas RapidKL telah merempuh lebih 20 buah kenderaan lain sewaktu dalam kesesakan trafik dan perkara ini direkod dalam video yang tersebar dalam internet.

    Ketua operasi RapidKL, Shamsul Rizal Mohd Yusof memberitahu pasukannya masih dalam proses menyiasat insiden tersebut. Beliau menambah, kejadian tersebut berlaku semasa bas berkenaan sedang beroperasi untuk laluan 221 dari Datuk Keramat ke Ampang Point. Setakat ini tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan.

    “Kapten bas (pemandu) berkenaan telah berkhidmat selama dua tahun dan setakat ini mempunyai rekod yang baik. Penyebab kepada kemalangan ini masih lagi tidak diketahui, tetapi kami meminta maaf kepada orang ramai kerana menyebabkan insiden ini,” jelas Shamsul waktu sidang akhbar di Cheras. Beliau turut memberitahu pemandu bas itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Ampang.

    “Kami akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk membantu penyiasatan,” kata Shamsul, dan beliau meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian ini. Apabila ditanya berapa ramai yang berada dalam bas ketika itu, Shamsul berkata, jumlahnya masih belum diketahui.

    “Kami masih belum menerima informasi tepat, sama ada terdapat penumpang dalam bas tersebut. Kami perlu memeriksa kenderaan, tetapi setakat ini kami masih belum diberikan kebenaran untuk berbuat begitu,” tambah Shamsul. Beliau memberitahu lagi, sekiranya ada sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi hotline RapidKL (03-78852585).

     
     
  • Kereta nasional ketiga akan dapat manfaat daripada kemasukan awal dalam industri EV – bekas MD Proton

    Kereta nasional ketiga akan dapat manfaat daripada kemasukan awal dalam industri EV – bekas MD Proton

    Debat berkenaan projek kereta nasional ketiga semakin panas, dan seorang lagi individu yang sudah lama dalam industri telah memberikan kenyataan. Dalam satu laporan oleh Bernama, bekas pengerusi dan pengarah urusan Proton, Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh memberitahu kereta nasional elektrik ini akan mendapat mendapat kelebihan kerana masuk dalam industri awal.

    “Syarikat pengeluar lain mempunyai kereta elektrik (EV) dan hibrid mereka, tetapi tiada satu pun, kecuali Tesla yang dapat mengatakan mereka mempunyai kelebihan berbanding yang lain. Jadi, kelebihan bersaing untuk semua syarikat bagi kenderaan elektrik adalah hampir sama,” kata Nadzmi.

    Tambah beliau, antara masalah utama yang dihadapi syarikat kereta untuk mengeluarkan kenderaan elektrik dalam skala yang besar adalah rintangan daripada bukan sahaja vendor dan pembekal alat ganti, malah juga kerana banyak pelaburan yang telah dibuat untuk enjin diesel dan petrol.

    “Kita adalah negara pengeluar kereta, tetapi kita tidak melabur begitu banyak untuk teknologi konvensional lama. Pada pandangan saya, jika kita memperkenalkan teknologi baru untuk industri, orang ramai dapat menyokongnya dan tidak akan ada banyak tentangan,” kata Nadzmi.

    Kereta nasional ketiga akan dapat manfaat daripada kemasukan awal dalam industri EV – bekas MD Proton

    Beliau yang kini merupakan pengerusi Nadicorp mengaku terdapat beberapa rintangan daripada pembekal dan pemberi khidmat selepas jualan, kerana EV tidak memerlukan banyak penyelenggaraan dan gantian komponen. Walaupun begitu, beliau menambah syarikat yang terlibat boleh menyesuaikan diri kerana perubahan dari kereta konvensional kepada kereta elektrik tidak akan berlaku sekelip mata.

    Walaupun Malaysia masih belum mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan EV pada masa ini, Nadzmi memberitahu tidak mustahil negara dapat membangunkan industri ini, dan menunjukkan kepada sektor perladangan sebagai contoh Malaysia mampu menyesuaikan diri.

    “Cuba lihat kepada industri perladangan seperti getah dan kelapa sawit yang sebelum ini bukanlah berasal dari Malaysia sendiri. Tapi sekarang, kita adalah antara pengeksport terbesar bagi komoditi ini. Bagi saya, jika anda mahu masuk ke sesuatu industri, anda perlulah mempunyai semangat dan sentiasa bersedia,” kata Nadzmi.

    Kereta nasional ketiga akan dapat manfaat daripada kemasukan awal dalam industri EV – bekas MD Proton

    Selain daripada itu, Nadzmi juga menggesa usahawan, syarikat swasta dan syarikat senarai awam untuk mengetuai pembangunan industri EV, dan bukannya kerajaan yang beliau katakan sepatutnya menjalankan tugas memberi sokongan. “Anda perlukan usahawan untuk datang dan melakukannya sementara kerajaan boleh mengambil sedikit ekuiti atau memberikan geran untuk membangunkan industri ini sebelum ia boleh berdiri sendiri,” kata Nadzmi.

    Idea untuk mewujudkan kereta nasional ketiga ini telah dinyatakan oleh Perdana Menteri ketika satu persidangan di Jepun Jun lalu, selepas Proton dikatakan kini tidak lagi sebuah jenama kereta nasional Malaysia. Namun ia mendapat reaksi yang kurang positif dari pelbagai pihak seperti pemain industri dan juga ahli politik dari blok kerajaan. Tetapi projek berkenaan nampaknya akan teruskan apabila Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof menyatakan bahawa projek tersebut akan muncul menjelang tahun 2020.

    Ketika Perdana Menteri berkunjung ke Jepun sekali lagi awal bulan ini, beliau mendedahkan bahawa projek tersebut bakal menerima bantuan teknikal dari pembuat-pembuat kereta Jepun termasuk Nissan, Toyota dan Daihatsu – walaupun Daihatsu telah diketahui telah beroperasi di Malaysia bersama Perodua, dan ia sememangnya di bawah syarikat induknya iaitu Toyota.

     
     
  • Infiniti Prototype 10 – EV konsep satu tempat duduk

    Infiniti Prototype 10 – EV konsep satu tempat duduk

    Kereta pameran Infiniti yang dibawa ke Pebble Beach Concours d’Elegance tahun lepas adalah sesuatu yang tidak dijangka – ia sebuah kereta elektrik yang diimaginasikan semula daripada kereta lumba tahun 1940-an, dipanggil sebagai Prototype 9. Tahun ini, pengeluar itu akan membawa satu lagi kereta elektrik satu tempat duduk iaitu Prototype 10.

    Kereta konsep tersebut ditunjukkan awal melalui lukisan yang didedahkan ini, dan ia digambarkan sebagai sebuah speedster elektrik berani yang dapat memberi ruang kepada keinginan jenama itu untuk memberikan kepuasan memandu serta prestasi mengujakan daripada penggerak elektrik.

    Semasa membangunkan Prototype 10, Infiniti memberitahu mereka telah cuba mengimaginasikan semula speester klasik dengan rekaan yang menarik dan berpandangan ke hadapan. Model konsep ini dikatakan bakal menjadi evolusi semulajadi untuk konsep rekaan yang digunakan bagi Infiniti Q Inspiration, dan memberi petunjuk kepada gaya rekaan jenama itu untuk masa hadapan.

    “Infiniti Prototype 10 membawa bentuk dan rekaan antara yang paling berkuasa sepanjang zaman, di mana kuasa diraikan melalui kereta lumba satu tempat duduk berkuasa tinggi. Konsep baru kami menunjukkan masa hadapan menggunakan elektrik, dan ia dicerminkan melalui bentuk dan perinciannya,” kata pengarah eksekutif rekaan Infiniti, Karim Habib.

    Untuk penggeraknya, tiada sebarang informasi diberikan, tetapi kalau melihat kepada Prototype 9, ia dikuasakan oleh pek bateri lithium-ion 30 kWh dan boleh digunakan di dalam trek secara agresif untuk 20 minit (kuasa elektrik sahaja). Motor 120 kW (161 hp) dan 320 Nm yang digunakan membolehkan kenderaan ini memecut 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat sebelum mencapai laju maksimum 170 km/j.

    GALERI: Infiniti Prototype 9

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025