Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus kini di Malaysia – sistem Bowers & Wilkins; dari RM414k

    Volvo XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus kini di Malaysia – sistem Bowers & Wilkins; dari RM414k

    Volvo XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus merupakan varian baharu bagi barisan SUV plug-in hybrid di Malaysia, yang menyertai Inscriotion sedia ada. Dijual pada harga atas jalan RM413,888 tanpa insurans, varian baharu ini adalah lebih RM10,000 berbanding Inscription, namun didatangkan dengan elemen yang diberikan sedikit penambahbaikan.

    Elemen terbesar yang ditampilkan ialah dengan kehadiran sistem bunyi premium Bowers & Wilkins bersama 19 pembesar suara dan 12-saluran, 1,400 watt Class D amplifier. Sistem ini tidak ada pada kedua-dua model import sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD) bagi XC90, yang hanya didatangkan dengan sistem bunyi 10-pembesar suara 330 watt – masih kekal standard pada Inscription.

    Selain itu, Inscription Plus juga didatangkan dengan beberapa elemen yang ada pada Inscription, termasuklah kulit upholstery Nappa hitam, tempat duduk Comfort, sistem infotainmen Sensus Connet, panel instrumen Paparan Digital Adaptif 12.3-inci dan kawalan suhu empat-zon. Walau bagaimana pun, kedua-dua varian XC90 tidak lagi didatangkan dengan kamera pandangan-sekeliling, yang sebelum ini ditawarkan pada unit CBU dan CKD.

    Untuk bahagian luarannya, ia turut menampilkan roda aloi 10-jejari 20-inci dan kit lengkat Inscription, termasuk gril perak dan hitam dengan kekemasan krom berkilat di sekelilingnya, side moulding dengan perkataan ‘Inscription’ serta dwi-paip ekzos.

    Bagi prestasinya, ia turut memberikan lonjakan output sehingga 407 hp dan tork 640, hasil padanan penjana kuasa petrol T8 Twin Engin 2.0 liter empat-silinder super- dan turbocharged Drive-E, motot elektrik gandar belakang dan crankshaft-mounted starter generator (CISG) yang diposisikan antara enjin dan transmisi automatik torque convertor lapan-kelajuan.

    Volvo XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus kini di Malaysia – sistem Bowers & Wilkins; dari RM414k

    Klik untuk besarkan

    Sistem bantuan pemanduan dan keselamatannya pula didatangkan dengan tujuh beg udara, Kawalan Kelajuan Adaptif, Keselamatan Bandar dengan Amaran Pelanggaran Hadapan dan Pengesan Pejalan kaki dan Penunggang Basikal dengan Brek Auto Penuh, Amaran Penukaran Lorong, Kawalan Kestabilan Olengan dan Bantuan Menurun Bukit.

    Pendekatan dua varian ini adalah lebih kurang sama seperti yang dilakukan pada S90 CKD, yang turut didatangkan dengan varian Inscription (RM368,888) dan Inscription Plus (RM388,888). Seperti yang dilihat, jurang perbezaan harga berbanding varian XC90 adalah agak besar – di mana varian tertinggi S90 turut menerima sistem bunyi Bowers & Wilkins dan juga Actice Chassis dengan suspensi udara di belakang (XC90 hadir dengan suspensi udara hadapan dan belakang sebagai standard).

     
     
  • Kenderaan dengan cukai jalan Sabah/Sarawak yang ingin digunakan di Semenanjung hanya sah tiga bulan

    Kenderaan dengan cukai jalan Sabah/Sarawak yang ingin digunakan di Semenanjung hanya sah tiga bulan

    Sebelum ini, riuh tentang kenderaan yang berada dan digunakan di Semenanjung tapi menggunakan cukai jalan Sabah/Sarawak (yang kadarnya lebih rendah), dan itu adalah satu kesalahan. Untuk faham lebih lanjut, anda boleh rujuk artikel berkaitan yang kami terbitkan sebelum ini.

    Tetapi, bagaimana pula dengan situasi di mana pemilik kenderaan yang didaftarkan di Sabah/Sarawak (dengan cukai jalan di sana) yang berpindah untuk tinggal dan bekerja di Semenanjung dan membawa bersama kenderaan mereka? Katakanlah, baki cukai jalan yang masih sah ialah dalam tempoh enam bulan lagi, sebelum cukai jalan sedia ada itu luput tarikh atau “mati”. Apa yang perlu dilakukan sebenarnya, agar ia tidak melanggar peraturan?

    Menurut Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib, kenderaan yang didaftarkan di Sabah/Sarawak yang kemudiannya dihantar untuk digunakan di Semenanjung boleh menggunakan cukai jalan sedia ada itu hanya bagi tempoh tiga bulan sahaja.

    “Dengan syarat, mereka perlu sentiasa menyimpan invois atau dokumen penghantaran (shipping document) kenderaan terbabit, dan mempamerkannya jika perlu sepanjang tempoh tiga bulan itu,” jelas beliau.

    “Dalam peraturan sedia ada, cukai jalan kenderaan adalah berdasarkan lokasi di mana ia didaftarkan atau di mana ia disimpan (kegunaan semasa). Jadi, bagi kenderaan dari Sabah/Sarawak yang ingin digunakan di Semenanjung, mereka perlu menggunakan cukai jalan Semenanjung selepas tempoh tiga bulan itu tamat,” tambahnya.

    Bagaimana pula jika cukai jalan sedia ada itu mempunyai baki tempoh enam bulan lagi? Dalam tempoh tiga bulan yang diberikan itu, pemilik perlu merujuk kepada JPJ, dan hanya dikehendaki membayar baki cukai jalan bagi tempoh yang terlibat sahaja (dari tempoh pembaharuan cukai jalan yang terakhir).

    Diharap penjelasan ini sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada semua. Sekiranya anda mempunyai sebarang keraguan atau pertanyaan lain tentang hal-hal berkaitan isu pengangkutan jalan raya, kongsikan bersama kami di ruang komen.

     
     
  • VIDEO: Mitsubishi Lancer Evo IX PMQ – kerangka dan panel badan gentian karbon hampir 100%, 800 hp

    Kata pengasas Lotus, Colin Chapman, “tambahkan kuasa akan membuatkan anda laju pada laluan lurus. Kurangkan berat akan membuatkan anda laju di mana-mana.” Ya, Colin Chapman menerapkan konsep ini pada hampir semua kereta sport keluaran Lotus, dan prinsip ini juga digunakan kebanyakkan pembina-pembina kereta lumba diseluruh dunia, termasuk jentera Time Attack Mitsubishi Lancer Evo IV binaan PMQ Australia ini dalam video terbaharu dari saluran Youtube Street FX Motorsport.

    Menurut Mick Sigsworth dari PMQ, kereta ini telah pun dibeli pada tahun 2007 dan diubahsuai untuk digunakan dalam perlumbaan rali pada permukaan tar serta perlumbaan-perlumbaan mendaki bukit (hillclimb time attack) selama tiga tahun. Selepas itu, Evo ini mula digunakan untuk perlumbaan time attack di litar dan beratnya mula sedikit demi sedikit dikurangkan dari sekitar 1,500 kg kepada sekitar 1,300 kg.

    Namun pada tahun 2013, kereta ini menerima pengubahsuaian lebih ekstensif. Hampir keseluruhan panel-panel keluli dan aloi pada badan serta kerangka mula digantikan dengan komponen yang diperbuat dari gentian karbon. Ubahsuai berkenaan membolehkan Evo ini diringankan lagi sehingga mencecah hanya 1000 kg, iaitu sekitar 500 kg lebih ringan dari berat asal.

    VIDEO: Mitsubishi Lancer Evo IX PMQ – kerangka dan panel badan gentian karbon hampir 100%, 800 hp

    Selain diringankan, agihan berat turut diambil kira bagi mendapatkan dinamik pengendalian yang baik. Enjin Evo ini telah dianjakkan lebih kebelakang, dan pelbagai sistem telah dipusatkan pada bahagian kokpit. Dengan itu, nisbah berat kereta ini hampir seimbang antara hadapan dan belakang iaitu pada kadar 51:49.

    Sistem suspensi kereta ini juga telah dirombak sepenuhnya menampilkan sistem lengan berkembar bersama rocker arm pada bahagian hadapan dan belakang. Jika anda boleh lihat pada video tersebut, penyerap hentak dan spring suspensi hadapan telah dianjakkan lebih kebelakang, dan ia dihubungkan pada hab roda menerusi satu sistem rocker arm khas. Ini membolehkan penyerap hentak dengan strok pergerakan yang sangat pendek digunakan (hanya 16 mm!) bagi memberikan lebih kestabilan ketika mengambil selekoh.

    PMQ turut memadankan bar anti-oleng dengan sistem boleh laras yang boleh ditala sendiri oleh pemandu di dalam kokpit dengan tuil yang diletakkan pada bahagian sisi tempat duduk.

    Lancer Evo IX ini masih lagi menggunakan enjin 4G63T asal, namun telah diberikan kit stroker bagi membolehkan kapasiti 2.0 liter asal ditingkatkan kepada 2.2 liter. Secara keseluruhan enjin ini telah dirombak semula, digandingkan dengan sebuah pengecas turbo Garret bersaiz besar yang membolehkan ia menjana lebih dari 800 hp.

    VIDEO: Mitsubishi Lancer Evo IX PMQ – kerangka dan panel badan gentian karbon hampir 100%, 800 hp

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear sequential, manakala penukaran gear dilakukan hanya dengan pedal pada stereng. Menurut PMQ, kawalan pedal penukar gear tersebut dapat dilakukan dengan penggunaan pakej penuh kotak komputer Motec M150. Sistem pacuan semua roda kereta ini juga telah dirombak semula dengan penggunaan LSD-LSD mekanikal, yang membolehkan kuasa tork dengan nisbah 56% dihadapan dan 44% di belakang.

    Larasan penghantaran tork ini membuatkan karekter pengendalian Evo ini hampir kepada kereta pacuan hadapan, namun dibantu dengan traction dari roda belakang. Untuk memperlahankan dan menghentikan kereta ini, sistem brek lengkap dari AP Racing digunakan menampilkan angkup empat-pot pada hadapan dan belakang.

    Kereta ini diberikan set rim 18-inci dengan lebar 10.5-inci pada setiap sudut. Apa yang menarik, setiap rim ini dibalut dengan tayar Giti – ia adalah penjenamaan semula GT-Radial, di mana GT bermaksud Gajah Tunggal dan syarikat ini sebenarnya berasal dari Indonesia.

     
     
  • Suzuki Ertiga 2018 dikesan di India sebelum diperkenal

    Suzuki Ertiga 2018 dikesan di India sebelum diperkenal

    Suzuki Ertiga mula diperkenalkan pada 2012, dan tahun lalu ia telah menerima suntikan perubahan terbesar bersama adiknya, Swift hatchback. Dan untuk tahun ini, ia dikhabarkan bakal diperkenalkan dengan model generasi terkini, malah laman web permotoran India, GaadiWaadi, telah menerima foto spyshot MPV baharu ini sebelum ia diperkenalkan secara rasmi, dijangka pada Februari ini di Indian Auto Expo.

    Biar pun unit ujian ini dibaluti penyamaran, namun jelas kelihatan ia merupakan model akan Ertiga yang terlihat menerima rekaan yang lebih moden berbanding model sebelumnya. Malah ia juga dilengkapi dengan lampu belakang LED. Turut kelihatan ialah D-pillar dengan rekaan bumbung teraping, mirip kepada Swift baharu.

    Lukisan digital Suzuki Ertiga generasi seterusnya

    Namun tidak seperti Swift, dengan enjin baharu petrol 1.0 liter turbo tiga-silider dan 1.2 liter twin-injector empat-silinder, Ertiga mungkin akan menerima enjin yang sama seperti sebelum ini. Ini termasuklah enjin 1.4 liter naturally-aspirated (92 PS/130 Nm) yang dipadankan bersama kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan, serta varian hibrid sederhana dengan enjin 1.3 liter turbodiesel (89 hp/200 Nm) dan manual enam-kelajuan.

    Ertiga kini berhadapan dengan persaingan yang sengit, termasuk pesaing dari SUV seperti Honda BR-V, Toyota Rush/Daihatsu Terios dan Mitsubishi Xpander. Serta jangan mengharapkan model baharu ini bakal datang ke Malaysia dengan logo Proton seperti model semasa Proton Ertiga, kerana jangan lupa, pengeluar kereta nasional tersebut telah dimiliki oleh Geely.

    GALERI: Proton Ertiga 1.4L Executive Plus

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2.4 CKD diperkenalkan – RM155k

    Mitsubishi Outlander 2.4 CKD diperkenalkan – RM155k

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan model SUV tujuh-tempat duduk Outlander 2.4 versi pemasangan tempatan (CKD) telah pun diperkenalkan di pasaran tempatan. Sekaligus menyertai Outlander 2.0L CKD yang telah diperkenalkan sejak September lalu.

    Outlander 2.4L ini dijanakan oleh enjin 2.4 liter DOHC MIVEC dengan hamburan kuasa sehingga 167 PS dan tork 222 Nm. Seperti mana model 2.0L, ia turut dipadankan dengan transmisi INVECS-III CVT yang turut dilengkapi dengan pedal penukar gear di belakang roda stereng untuk kawalan pengendalian yang lebih menyeronokkan. Transmisi ini turut menyalurkan kuasa kepada sistem Multi-Select 4WD, yang merangkumi mod 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock – sesuai untuk semua keadaan laluan.

    Bagi menampakkan imej yang lebih bergaya, Outlander 2.4L baharu ini juga dilengkapi dengan lampu utama projektor berkembar LED penuh dan lampu nyalaan siang LED, serta lampu belakang LED. Menyerlahkan lagi gayanya dengan kehadiran rekaan baharu bagi roda aloi dua-tona bersaiz 18-inci bersama spoiler belakang aerodinamik dan bumbung matahari. Tailgate larasan elektronik dengan fungsi ‘anti-pinch’ turut didatangkan bagi kemudahan yang lebih optimum.

    Untuk ruang kabinnya, Outlander 2.4L CKD ini turut dilengkapi dengan elemen baharu termasuk tempat duduk balutan kulit dengan larasan berkuasa bagi tempat duduk pemandu. Selain itu, ia turut menerima cermin pandang belakang auto-pengelaman dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh HD tujuh-inci bersama fungsi Apple CarPlay.

    Malahan skrin juga didatangkan dengan fungsi Air Gesture Control. Lain-lain ciri standard yang ditampilkan termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang push start. Bagi ruang kargonya, ia mampu mencapai sehingga 1,608 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dan ketiga dibaringkan.

    Bagi aspek keselamatannya, Outlander 2.4L CKD ini Auto Hold Assists dan All Round Monitor (dengan pandangan 360-darjah termasuk titik buta) sebagai elemen baharu. Dan turut menyertakan elemen keselamatan seperti model 2.0L CKD iaitu tujuh beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Kawalan Cengkaman & Kestabilan Aktif (ASTC), Bantuan Mula Mendaki, Perakam Video Digital (DVR), filem penebat haba keselamatan, Rest Reminder dan cagak ISOFIX. Bagi ketegaran kerangkanya, ia turut menggunakan binaan Mitsubishi Reinforced Impact Safety Evolution (RISE).

    Ia menawarkan tiga pilihan warna iaitu Ruby Black, Red Metallic, dan warna baharu Solar White Ruby Black. Telah pun mula berada di semua bilik pameran Mitsubishi, Outlander 2.4L CKD ini ditawarkan pada harga atas jalan RM155,000 (termasuk GST, tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti kilang standard selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad dan dua-tahun penyelenggaran percuma. Sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang bulan hadapan, MMM turut menawarkan diskaun sehingga RM4,000 untuk Outlander.

    Ikuti ulasan pandu uji Outlander 2.4L versi import sepenuhnya (CBU) di sini.

     
     
  • Ford Ranger FX4 putih, Wildtrak kelabu – dari RM122k

    Ford Ranger FX4 putih, Wildtrak kelabu – dari RM122k

    Ford Ranger adalah antara trak pikap yang popular di Malaysia, dan kini, pengedarnya sedia menawarkan dua tambahan warna baru untuk model itu, iaitu Cool White (putih) untuk Ranger 2.2 FX4 pada harga RM121,888 dan Meteor Grey untuk 3.2 Wildtrak pada harga RM141,588. Harga ini adalah termasuk GST, tanpa insurans.

    Sebelum ini, varian paling tinggi 3.2 liter tersebut pernah menerima versi warna Jet Black edisi terhad, sebagai tambahan kepada warna Pride Orange dan Cool White. Meteor Grey ini pula sebenarnya adalah warna asal bagi FX4 semasa ia diperkenalkan.

    Bagi varian 3.2 Wildtrak Meteor Grey ini, ia juga akan menerima grafik Wildtrak sepanjang bahagian belakangnya, manakala FX4 pula mendapat pelekat unik dengan cat hitam berkilat pada gril, cermin sisi dan pemegang pintu. Rel bumbung masih lagi menggunakan warna hitam matte seperti sebelumnya, dan di tepi terdapat pemijak kaki sama seperti Wildtrak.

    Ford Ranger FX4 putih, Wildtrak kelabu – dari RM122k

    Spesifikasi enjin dua model ini masih sama, dengan FX4 2.2 liter masih menggunakan enjin empat silinder 2.2 liter turbodiesel berkuasa 158 hp dan 385 Nm tork, transmisi automatik enam kelajuan dengan pilihan pacuan serta hill descent control. Varian Wildtrak pula menggunakan enjin lima silinder 3.2 liter turbo diesel berkuasa 197 hp dan 470 Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

    Berat yang boleh dibawa oleh Wildtrak 3.2 liter adalah satu tan, manakala pada bahagian kelengkapannya, ia mempunyai sistem informasi dan hiburan SYNC 3 dengan skrin lapan inci dan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Semua model Ranger ini diberi jaminan tiga tahun atau 100,000 km.

     
     
  • Promosi Tahun Baharu Cina 2018 dari Honda Malaysia – ‘ang pow’ bernilai RM888, rebat sehingga RM15,000

    Promosi Tahun Baharu Cina 2018 dari Honda Malaysia – ‘ang pow’ bernilai RM888, rebat sehingga RM15,000

    Tidak sampai dua bulan lagi, masyarakat Tionghua bakal meraikan sambutan Tahun Baharu Cina. Sempena perayaan berkenaan, Honda Malaysia kini telah memulakan kempen promosi ‘888 Deals’ yang memberikan pelbagai tawaran menarik termasuk rebat sehingga RM15,000 dan juga ‘ang pow’ bernilai RM888 dengan setiap pembelian kereta baharu.

    Untuk kempen tahun ini, setiap model Honda terlibat dengan dengan promosi berkenaan, kecuali hot-hatch Honda Civic Type R FK8. Kita mulakan dengan kategori SUV dimana rebat bernilai RM1,112 ditawarkan untuk setiap pembelian Honda CR-V, HR-V dan juga BR-V 2018. Manakala pelanggan yang memilih model tahun 2017, mereka akan diberikan rebat yang lebih tinggi iaitu RM6,000 untuk CR-V, RM4,000 untuk HR-V dan RM5,000 untuk BR-V.

    Untuk sedan pula, mereka yang memilih Honda City akan menerima rebat RM1,112, RM112 untuk Civic dan pelanggan yang memilih Accord pula menerima rebat bernilai RM2,112 – kesemua ini untuk model 2018. Bagi mereka yang membeli model 2017 pula, rebat RM5,000 ditawarkan untuk City, RM4,000 untuk Civic dan RM8,000 untuk Accord.

    Bagi hatchback Jazz pula, pelanggan yang memilih model 2018 akan menerima rebat RM2,112 dan RM6,000 untuk model 2017. Akhir sekali bagi MPV Oddysey, model 2017 akan diberikan rebat sehingga RM15,000.

    Seperti yang dinyatakan tadi, ‘ang pow’ bernilai RM888 akan diberikan untuk setiap pembelian, menjadikan nilai untuk setiap pakej adalah diantara RM1,000 hingga RM15,888. Honda Malaysia juga menawarkan peluang untuk memenangi baucer servis bernilai RM300 bersama set hadiah eksklusif.

     
     
  • Proton beri potongan sehingga RM13,888 untuk kereta, 15% untuk alat ganti tulen sempena Tahun Baru Cina

    Proton beri potongan sehingga RM13,888 untuk kereta, 15% untuk alat ganti tulen sempena Tahun Baru Cina

    Bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina yang akan berlangsung tidak lama lagi, Proton kini menawarkan diskaun untuk semua model yang dibuat pada tahun 2017. Diskaun ini bermula dengan RM2,000 untuk Exora dan pergi sehingga RM13,888 untuk Perdana baru. Pecahan diskaun untuk setiap model ini boleh dilihat dalam gambar di bawah.

    Selain daripada itu, Proton juga kini sedang mengadakan kempen servis selepas jualan istimewa dengan memberi diskaun 15% untuk semua alat ganti tulen yang dijual. Diskaun ini boleh dinikmati di 276 pusat servis berdaftar Proton dari sekarang, hingga 28 Februari 2018.

    Untuk mengetahui lokasi setiap pusat servis ini, anda boleh menggunakan aplikasi MyProton Official, dan anda boleh memuat naik aplikasi tersebut di sini untuk pengguna iPhone, dan sini untuk pengguna sistem Android. Ketahui lebih lanjut berkenaan setiap model Proton di CarBase.my.

     
     
  • SPYSHOT: SUV Geely Boyue sedang diuji oleh Proton

    SPYSHOT: SUV Geely Boyue sedang diuji oleh Proton

    Geely Boyue kini telah dilihat sedang diuji di Malaysia. Gambar terbaru ini, yang dirakam oleh seorang pembaca, Mamu Penang, dilihat di Putrajaya dan juga Lebuhraya Elite. SUV berkenaan, tanpa sebarang samaran melainkan pelekat hitam yang ditampal pada lencananya, dengan trade plate “B” yang biasanya digunakan oleh Proton.

    Memang sudah diketahui, bahawa SUV pertama Proton nanti akan didasarkan kepada Geely Boyue seperti yang diumumkan sebelum ini. Tapi, apa yang ambil masa lama untuk diperkenalkan? Ini kerana, Boyue pemanduan sebelah kanan belum pernah ada, jadi Proton perlu melakukan perkara itu untuk pasaran tempatan. Ia juga akan melibatkan kandungan tempatan.

    SPYSHOT: SUV Geely Boyue sedang diuji oleh Proton

    Boyue merupakan SUV dalam segmen C, jika dilihat dari saiznya. Dengan lima-tempat duduk, ia ditawarkan dengan pelbagai pilihan enjin; yang paling berkuasa ialah 1.8 liter yang menjana 181 hp/285 Nm, empat-silinder, turbocaj yang digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Di China juga, ia hadir dengan sistem pacuan roda depan atau AWD.

    Terdapat pelbagai juga pilihan kelengkapan bagi model ini untuk pasaran China. Ia termasuk kluster instrumen digital tujuh-inci, bumbung panoramik, kamera 360-darjah dan sistem infotainmen lapan-inci dengan WiFi, Apple CarPlay dan kawalan suara. Ia juga lengkap dengan ciri keselamatan terkini seperti autonomous emergency braking dan adaptive cruise control.

    Penampilang sulung Geely Boyue di Malaysia 2017

     
     
  • SUV Volvo XC40 tiba ke M’sia suku ketiga 2018?

    SUV Volvo XC40 tiba ke M’sia suku ketiga 2018?

    SUV Volvo XC60 generasi baharu hampir pasti akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat, namun apa yang lebih menarik, adik bongsu dalam barisan SUV Volvo generasi baharu -XC40- juga kini telah muncul dalam laman web rasmi Volvo Cars Malaysia (VCM). Walau bagaimanapun, apa yang dipaparkan pada laman berkenaan adalah lebih kepada prebiu, dan apa yang ditunjukkan mungkin tidak sama dengan spesifikasi sebenar untuk pasaran Malaysia kelak.

    Jika dilihat dari trend yang ditunjukkan oleh VCM kebelakangan ini, mereka telah memendekkan jarak tempoh dari pengenalan global dengan pelancaran pada pasaran tempatan dan memperkenalkan model-model baharu setiap tahun. Produksi global untuk model XC40 ini telahpun bermula di Ghent, Belgium pada November lalu, manakala penghantaran kepada pelanggan terawal dijangka hanya akan bermula pada suku pertama tahun ini.

    Jadi jika diambil pengenalan XC90 dan S90 sebagai contoh -kedua-duanya mengambil masa sekitar 9-10 bulan untuk diperkenalkan di Malaysia setelah membuat penampilan sulung untuk peringkat global-, boleh dijangka XC40 mungkin akan sampai ke pasaran tempatan sekitar suku ketiga tahun ini. Namun masih lagi terlalu awal untuk mengagak harganya, serta sama ada ia akan dihasilkan secara pemasangan tempatan atau tidak.

    SUV Volvo XC40 tiba ke M’sia suku ketiga 2018?

    Setakat ini, model-model yang dijual di Malaysia dipasang di kilang Swedish Motor Assemblies yang terletak di Shah Alam – bukan sahaja kilang Volvo pertama diluar Sweden yang mampu memasang kenderaan dengan unit janakuasa plug-in hybrid T8 Twin Engine, malah turut membekalkan kenderaan ke pasaran-pasaran lain untuk rantau ASEAN.

    Oleh itu, sudah pasti kilang tersebut boleh memasang mana-mana kenderaan dengan platform Scalable Product Architecture (SPA) seperti XC90 dan S90, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia boleh memproduksi kenderaan yang menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) seperti XC40 atau tidak.

    Volvo XC40 ditawarkan dengan janaan petrol dan diesel – kedua-duanya berkapasiti 2.0 liter dengan empat silinder. Versi petrol akan menerima enjin T5 Drive-E berkuasa 247 hp/350 Nm, manakala model diesel pula diberikan enjin D4 turbodiesel berkuasa 190 hp/400 Nm. Kedua-dua pilihan enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik Geartronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda (pilihan pacuan dua roda hadapan menyusul kemudian).

    Pada masa hadapan, beberapa pilihan enjin lain akan ditawarkan termasuk hibrid dan elektrik. Antara kemungkinannya adalah enjin plug-in hybrid T5 Twin Engine (petrol turbo tiga silinder 1.5 liter dengan motor elektrik) yang pernah ditunjukkan di Sweden dua tahun lalu. Jika unit janakuasa ini turut dipasang di Malaysia, ini bermaksud model tersebut mampu dijual dengan harga yang lebih kompetitif disini, mengambil kesempatan insentif potongan cukai yang ditawarkan oleh kerajaan terhadap kereta-kereta hibrid CKD.

    GALERI: Volvo XC40

     
     
  • Kia Picanto 2018 bakal dilancarkan pada 10 Januari ini

    Kia Picanto 2018 bakal dilancarkan pada 10 Januari ini

    Naza Kia Malaysia telah mengesahkan Kia Picanto serba baharu bakal dilancarkan pada 10 Januari ini iaitu hari Rabu hadapan. Merupakan pelancaran model kenderaan baharu untuk tahun 2018, kenderaan hatch segmen-A ini hadir dengan rekaan terkini yang lebih futuristik dan dianggap lebih versatil di dalam kelasnya, turut menawarkan pelbagai elemen keselamatan yang dipertingkatkan serta prestasi yang lebih menguja.

    Picanto baharu ini juga menggunakan Advanced High Strength Steel (AHSS) untuk kerangkanya bagi ketegaran yang lebih jitu berbanding model terdahulu. Sebelum ini, menerusi laman web rasmi Naza Kia Malaysia telah menyiarkan beberapa elemen yang dipadankan bagi hatch ini. Ini termasuklah enam beg udara, ABS, kawalan kestabilan dan bantuan mula-mendaki. Namun ini bukanlah kejutan, kerana model TA sedia ada juga telah menampilkan elemen tersebut secara standard.

    Malah ia juga mengekalkan lampu utama projektor dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan kemasukan tanpa kunci, yang kesemuanya juga telah ditampilkan pada model terdahulu. Apa yang baharu ialah sistem infotainmen dengan skrin sesentuh ala ‘terapung’ yang lebih besar iaitu bersaiz tujuh-inci, dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta kamera undur bersama garisan panduan dinamik.

    Bukan itu sahaja, Picanto generasi kedua ini juga menawarkan kapasiti bagi ruang kargo yang lebih luas dan efisin, jika tempat duduk belakang dilipatkan (dengan nisbah 60:40), ia boleh mencapai sehingga 1,010 liter.

    Kia Picanto 2018 bakal dilancarkan pada 10 Januari ini

    Walau bagaimana pun, perincian penuh termasuk harga dan penjana kuasa yang bakal ditawarkan masih belum didedahkan. Namun dijangka Picanto serba baharu ini tetap menggunakan enjin yang sama iaitu 1.25 liter empat-silinder seperti sebelum ini, dengan kuasa 87 PS pada 6,000 rpm dan tork 122 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan. Versi manual lima-kelajuan juga ditawarkan pada model terdahulu, namun disebabkan ia kurang mendapat sambutan maka kemungkinan kali ini ia tidak akan ditawarkan untuk pasaran tempatan.

    Hatch ini juga akan mula berada di bilik pameran Kia terpilih di Semenanjung Malaysia pada 10 Januari ini. Namun untuk pasaran Malaysia Timur, ia hanya akan berada di bilik pameran seawal-awalnya bulan hadapan.

    Dalam masa yang sama, buat masa ini, Naza Kia Malaysia belum memaklumkan sama ada varian Picanto GT-Line yang pernah dipamerkan di Malaysia sebanyak dua kali pada tahun lalu, bakal dibawa masuk ke pasaran kita mahu pun tidak. Sama-samalah kita nantikan pelancarannya..

    GALERI: Kia Picanto GT-Line generasi baharu dipamerkan di MAEPS, Serdang

    GALERI: Kia Picanto GT-Line generasi baharu dipamerkan di Red Cube Johor Bahru

     
     
  • Ducati Panigale V4 tiba di Malaysia April ini? Pengedar sudah mula buka tempahan, jangka harga dari RM134k

    Ducati Panigale V4 tiba di Malaysia April ini? Pengedar sudah mula buka tempahan, jangka harga dari RM134k

    Semasa pameran EICMA tahun lalu, Ducati telah menunjukkan buat pertama kali model sports Panigale V4, yang seperti dapat dilihat pada namanya, menggunakan enjin V4 seperti motosikal lumba Ducati dalam MotoGP. Ini sememangnya adalah perubahan besar kerana sebelum ini, model sports Ducati sentiasa terkenal dengan enjin V-twin.

    Berita baik untuk mereka yang menunggu model ini di Malaysia, sumber kami memberitahu, Panigale V4 berkemungkinan membuat penampilan pertama di Malaysia April ini. Harga jangkaan awalnya juga telah dikeluarkan oleh pengedar di Pulau Pinang, iaitu sekitar RM133,900 untuk model V4 standard, RM173,900 untuk V4 S dan RM359,900 untuk V4 Speciale. Harga sebenar pula hanya akan diketahui apabila ia dilancarkan secara rasmi oleh Ducati Malaysia nanti.

    Asas ketiga-tiga varian ini adalah sama iaitu menggunakan enjin Desmosedici V4, dengan kapasiti 1,103 cc. Walaupun datang dari dunia perlumbaan, enjin ini masih dapat dihasilkan dengan selang servis 12,000 km (7,500 batu) dan pemeriksaan injap 24,000 km (15,000 batu).

    Ducati Panigale V4 tiba di Malaysia April ini? Pengedar sudah mula buka tempahan, jangka harga dari RM134k

    Walaubagaimanapun, model V4 S mempunyai sedikit kelebihan, di mana ia dilengkapi dengan antaranya suspensi Ohlins berserta sistem sistem Smart EC 2.0, rim aluminium diperkuat dan bateri lithium-ion, manakala V4 S Speciale dikeluarkan dalam unit terhad 1,500 unit, dan ia serba lengkap dengan barangan prestasi seperti ekzos Akrapovic titanium, rim magnesium Marchesini, tempat duduk Alcantara dan pelbagai kemasan gentian karbon. Kuasa model ini juga lebih, iaitu 226 hp, berbanding 214 hp bagi model standard dan V4 S.

    Bukan setakat menggunakan enjin baru, Panigale V4 ini juga datang dengan pelbagai kelengkapan elektronik, bermula dengan pilihan tiga mod menunggang iaitu Race, Sport dan Street. Ciri lain adalah termasuk ABS Cornering Bosch EVO (untuk tayar depan sahaja), Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift up/down EVO (DQS EVO), Engine Brake Control EVO (EBC EVO) dan Ducati Electronic Suspension EVO (DES EVO).

     
     
  • Peugeot 308TCR – jentera perlumbaan Touring Car sebenar, 350 hp/420 Nm, harga bermula RM526k

    Peugeot 308TCR – jentera perlumbaan Touring Car sebenar, 350 hp/420 Nm, harga bermula RM526k

    Peugeot Sport secara rasmi telah mendedahkan Peugeot 308TCR, jentara perlumbaan Touring Car sebenar yang diasaskan dari model jalanan Peugeot 308 GTi. Jentera ini dijual kepada mana-mana pasukan atau individu yang mahu berlumba dalam mana-mana kejuaraan Touring Car dalam kategori TCR di bawah seliaan FIA.

    Antara siri kejuaraan berkenaan termasuk VLN (di Jerman), CER (di Sepanyol), CITE (di Itali), BGDC (di Belgium), perlumbaan-perlumbaan Endurance seperti siri 24Jam dan juga kategori TCR dalam siri FIA World Touring Car Cup (WTCR) sendiri.

    Jentera ini dijana enjin THP yang mendapat sentuhan semula pada sistem kemasukan, turbo dan juga ekzos yang membolehkannya menjana 350 hp serta tork 420 Nm bermula 3,000 rpm. Ia juga dibina dengan potensi untuk berlumba pada jarak 5,000 km atau hampir sekali ganda jarak yang digunakan dalam seluruh musim WTCR.

    Enjin empat silinder tersebut juga digandingkan bersama kotak gear perlumbaan sequential enam-kelajuan (diambil dari 308 Racing Cup dan diperkuatkan lagi) bersama penukar gear pada stereng.

    Peugeot 308TCR – jentera perlumbaan Touring Car sebenar, 350 hp/420 Nm, harga bermula RM526k

    Menurut Peugeot Sport, 308TCR ini mempunyai kelebihan ketika masuk ke selekoh dan juga pengendalian bahagian belakang yang sempurna hasil dari bentangan suspensi yang spesifik serta jarak trek roda yang lebih lebar, bar anti-oleng boleh laras pada bahagian hadapan dan belakang, dan juga suspensi ball-joint pada setiap sudut.

    Seperti juga kereta lumba lain, suspensi yang dibekalkan pada jentera ini boleh dilaras sepenuhnya – tinggi/rendah, lebar trek roda, sudut camber – bagi disesuaikan untuk pebagai litar dan pemandu.

    Peugeot 308TCR dilengkapi dengan cakera brek berliang bersaiz 378×34 mm digandingkan dengan angkup enam-pot pada bahagian hadapan. Manakala dibelakang pula, ia diberikan cakera bersaiz 270×12 mm bersama angkup dua-pot. Pendikit, klac dan brek dikawal oleh pemandu dengan set pedal box baharu.

    Secara keseluruhan, badan jentera TCR ini direka semula oleh Peugeot Sport bersama pereka bentuk dari Centre De Style Peugeot. Kebanyakkan kerja-kerja pembangunan tersebut dihasilkan menggunakan CFD, dan ia memberikan kesan aerodinamik yang optimal bersama imej yang lebih atletik.

    Rekaan hadapan kereta lumba ini membolehkan udara dialirkan secara sempurna kearah radiator dan interccoler bagi mengoptimakan prestasi dan ketahanan, manakala unit splitter pula mampu untuk menghasilkan downforce maksima, dakwa Peugeot Sport. Manakala pada bahagian belakang pula, downforce turut dijana menerusi diffuser bersaiz besar. Kereta ini turut dipadankan dengan rim bersaiz 18-inci rekaan khas.

    Walaupun jentera 308 Racing Cup yang telah diperkenalkan sebelum ini sudahpun memenuhi syarat untuk berlumba dalam kategori TCR (dan masih lagi dijual), Peugeot Sport menyatakan 308TCR ini adalah sebuah jentera yang dibina dengan falsafah yang berbeza. Untuk 308 TCR, ia “disasarkan sebagai sebuah jentera yang mampu menyerlahkan prestasi mutlak”.

    “308 Racing Cup sudahpun layak untuk TCR, tetapi dengan pembangunan yang begitu cepat pada kejohanan berdasarkan undang-undang TCR tersebut memberikan inspirasi kepada kami untuk terus memburu prestasi bagi menyokong cita-cita pelanggan kami, sehingga ke tahap paling tinggi. Bagi memenuhi permintaan yang dimahukan pelanggan, kami menggunakan pengalaman dan kepakaran bagi menghasilkan jentera yang kompetitif, boleh diharap dan sentiasa seornok untuk dipandu,” kata pengarah Peugeot Sport, Bruno Famin.

    Jika anda berminat untuk membeli kereta lumba ini, anda perlu membayar 109,000 euro tidak termasuk cukai. Tempahannya kini sudahpun dibuka dan pelanggan terawal akan menerima kereta mereka pada April ini.

     
     
  • Toyota Vios dipertingkat untuk 2018 – rekaan bodykit baru, dibuka untuk tempahan, harga dari RM74,980

    Toyota Vios dipertingkat untuk 2018 – rekaan bodykit baru, dibuka untuk tempahan, harga dari RM74,980

    UMW Toyota Motor mengumumkan tempahan bagi model Vios 2018 terbaru telah dibuka bermula hari ini. Toyota Vios 2018 tampil dengan pelbagai naik taraf dan peningkatan dari segenap aspek luaran dan dalaman berbanding versi sedia ada.

    Dari segi penampilan, bodykit yang digunakan kini adalah rekaan serba baru. Bagi versi TRD Sportivo pula, walaupun menggunakan bodykit seperti yang sebelumnya, kemasan garis merah ditambah bagi menyuntik elemen baru padanya.

    Lagi perbezaan bagi versi TRD ialah cermin sisi, antena dan spoiler belakang kini dalam warna hitam. Pelekat baru juga menghiasi bahagian sisinya, serta kemasan tambahan warna merah yang diberikan pada bahagian penutup ruang tengah pada rim.

    Selain penampilan luaran yang diberi pembaharuan, Vios 2018 ini juga dilengkapi dengan pelbagai aksesori tambahan terbaru, seperti sensor parkir (standard bagi varian TRD, GX dan G), shark fin antenna dan plat pintu dengan pencahayaan kini diperkenalkan.

    Sistem hiburan DVD-AVX dengan ciri dipertingkat juga ditawarkan – berserta dengan paparan kamera undur – sebagai ciri standard bagi semua varian kecuali Vios J (MT) dan J (AT). Ciri lain yang ada sebelum ini seperti Panoramic View Monitor dan perakam video digital masih dikekalkan.

    Sama seperti sebelumnya, enam varian ditawarkan dengan harga masing-masing seperti berikut: Vios 1.5J (MT) – RM74,980; Vios 1.5J (AT) – RM77,980; Vios 1.5E (AT) – RM81,980; Vios 1.5G (AT) – RM87,980; Vios 1.5GX (AT) – RM90,980 dan Vios 1.5TRD (AT) – RM93,980. Semua harga yang dinyatakan ini tidak termasuk insurans. Vios merupakan kenderaan EEV di Malaysia.

    Bagi jaminan, sama seperti model-model baru Toyota yang lain, Vios didatangkan dengan tempoh jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Jika kenderaan terbabit dijual semula dalam tempoh lima tahun pertama ini, pelindungan turut akan diberikan kepada pemilik keduanya, memberikan nilai tambah kepada kenderaan.

     
     
  • Volvo XC60 2018 – harga dari RM330k hingga RM380k?

    Beberapa minggu yang lalu, laman Facebook Sisma Auto telah menguar-uarkan Volvo XC60 2018 serba baharu bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Terkini, terdapat perkhabaran yang mengatakan bahawa SUV mewah berkenaan dijangka akan ditawarkan dengan harga antara RM330k hingga RM380k.

    Jika khabar mengenai harga tersebut sahih, maka sebenarnya ia sedikit mahal berbanding model semasa XC60, yang berharga RM266,888 atas-jalan tanpa insurans untuk T5, dan RM298,888 bagi T6 (kedua-duanya harga bersatus-EEV). Selain enjin Drive-E, XC60 baharu ini juga dilengkapi dengan penjana kuasa T8 Twin Engine plug-in hybrid,walau pun belum dipastikan adakah ia akan ditawarkan kepada para pelanggan.

    Juga tidak dipastikan pakej kekemasan yang bakal dipadankan dengan penawaran penjana kuasanya. Pada November lalu, XC60 generasi kedua ini telah dikesan sedang diuji di Glenmarie, dengan pakej kemasan R-Design, termasuk apron bawah yang lebih menyerlah, penutup cermin sisi berlainan warna, serta bampar belakang berbeza yang menampilkan serlahan elemen hitam disekeliling perumah hujung ekzos. Penampilan XC60 R-Design ini juga turut menyerlahkan rim aloi 19-inci lima jejari berkembar dengan kemasan matte black diamond cut.

    Buat masa ini, tidak dinyatakan adakan XC60 didatangkan dengan unit import sepenuhnya (CBU) atau pemasangan tempatan (CKD). Kami menjangkakan ia mungkin bakal mengikut jejak langkah S90 dan XC90, iaitu beberapa unit pertama adalah CBU, dan diikuti dengan CKD bagi produksi seterusnya.

    GALERI: Volvo XC60 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025