Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Vixmo Zero – kereta elektrik dengan teknologi autonomi dari Indonesia, berasaskan Proton Savvy

    Vixmo Zero – kereta elektrik dengan teknologi autonomi dari Indonesia, berasaskan Proton Savvy

    Syarikat teknologi yang berasal dari Indonesia, Vixmo, mendedahkan prototaip teknologi pemanduan autonomi mereka di Periklindo Electric Vehicle Show (PEVS) 2022 menerusi sebuah kereta yang digelar Vixmo Zero. Nampak macam pernah tengok rupa kereta konsep ini kan? Ya, ia diasaskan dari Proton Savvy!

    Bagi membolehkan sistem autonomi mengawal kereta ini, ia tidak lagi menggunakan enjin petrol asal, sebaliknya diubah kepada unit penggerak elektrik sepenuhnya. Oleh itu Vixmo memadankan motor elektrik Motenergy ME1616, menghasilkan 25 kW (33.5 hp) dengan tork puncak 120 Nm yang diletakkan pada ruang enjin asal, bagi memacu roda hadapan. Ini membolehkan Savvy elektrik tersebut mencapai kelajuan maksima 120 km/j.

    Manakala untuk bateri, Vixmo Zero ini dibekalkan dengan sel lithium ion 100.8 V 220 Ah 22 kWj, bagi membolehkan ia menawarkan jarak gerak sejauh 150 km. Dengan pengecas AC Type 1 6.6 kW, bateri berkenaan boleh dicas penuh dalam masa lapan hingga sembilan jam.

    Vixmo Zero – kereta elektrik dengan teknologi autonomi dari Indonesia, berasaskan Proton Savvy

    Oleh kerana tiada lagi enjin yang memutarkan pam hidraulik untuk sistem stereng berkuasa, Vixmo Zero ini menerima rak dan pinan baharu yang menawarkan sistem stereng berkuasa elektrik. Ia juga kini menerima kit brek lebih besar di hadapan dan brek cakera di belakang yang turut memberikan fungsi brek parkir elektronik.

    Rupa asas luaran Vixmo Zero ini masih lagi menampakkan bahawa ia sebuah Proton Savvy. Namun Vixmo memberikan kit penggayaan yang lebih tersendiri menampilkan gril hadapan tanpa liang udara, bampar hadapan dan belakang yang direka semula, skirt sisi lebih labuh, lampu hadapan dengan grafik dalam baharu, malah kesemua fender hatchback kompak ini telah dilebarkan lagi.

    Ia juga hadir dengan set rim 17-inci, dan badan kereta ini direndahkan lagi dengan pemadanan set suspensi boleh laras dengan 12 tahap larasan penyerap hentak.

    Vixmo Zero – kereta elektrik dengan teknologi autonomi dari Indonesia, berasaskan Proton Savvy

    Untuk sistem pemanduan autonomi pula, bahagian atas bumbung Vixmo Zero ini dilengkapi dengan lapan kamera, dua penderia Lidar serta satu unit sistem navigasi satelit global (GNSS). Apa yang menarik, Vixmo telah pun membuka pra-tempahan untuk Vixmo Zero ini pada laman web rasmi mereka. Walau bagaimanapun pra-tempahan yang dibuka itu tidak diserta dengan sistem pemanduan autonomi, dan sekadar sebuah Savvy yang diubah kepada EV serta diberikan kit pengayaan, brek, stereng, roda dan suspensi unik sebagai sebuah Vixmo Zero.

    Ini kerana sistem pemanduan autonomi yang dipadankan tersebut sebenarnya masih belum dilengkapkan kerana pelbagai kekangan masalah, termasuk keadaan jalan dan cahaya di Indonesia serta dana, lapor Moladin.com.

    “Proses labeling objek merupakan yang palin susah. Ini kerana jalan raya di Indonesia ada terlalu banyak objek, tidak seperti di luar negara yang tidak ada troli, keranda mayat, lecak, semua objek ini kita perlu lakukan labeling,” kata jurutera sistem autonomi Vixmo, Januar Kailani kepada portal berita Indonesia berkenaan.

    Januar turut menambah bahawa keadaan cahaya di Indonesia yang berada di garis khatulistiwa juga menimbulkan masalah buat mereka. Ia adalah kerana perbezaan cahaya antara waktu yang sangat ekstrem, contohnya cahaya ketika pukul 12 tengah hari dan empat petang adalah sangat berbeza.

     
     
  • Harga minyak 28 Julai-3 Ogos – RON97 turun 10 sen

    Harga minyak 28 Julai-3 Ogos – RON97 turun 10 sen

    Bagi minggu terakhir Julai dan memasuki minggu pertama Ogos 2022, Kementerian kewangan (MoF) telah mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak 10 sen seliter untuk tempoh 28 Julai hingga 3 Ogos ini. Ini bermakna, ia bakal berharga RM4.55 seliter berbanding RM4.65 pada minggu sebelumnya.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 3 Ogos 2022.

    Walau bagaimana pun, MoF masih mengekalkan harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, iaitu pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 yang turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Kenderaan iring trak tunda potong garis berkembar ada arahan bertugas, sudah beri amaran – Polis

    Kenderaan iring trak tunda potong garis berkembar ada arahan bertugas, sudah beri amaran – Polis

    Semalam tular satu video memaparkan sebuah kereta peronda polis yang mengiringi dua buah trak tunda dengan muatan kereta mewah memotong di garisan berkembar secara merbahaya berlaku di Jalan Gua Musang-Kota Bharu. Bagi menjelaskan insiden berkenaan, hari ini Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun telah tampil dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

    Menurut beliau dalam laporan Kosmo, kenderaan pengiring tersebut mempunyai pergerakan dan arahan yang sah untuk mengiringi ketiga-tiga kenderaan berkenaan, dan kenderaan pengiring tersebut telah memberi amaran atau peringatan secukupnya dengan membunyikan siren dan lampu kecemasan kepada pengguna jalan raya lain.

    “Persoalan orang ramai mengenai video yang tular adalah kereta pengiring itu mengundang bahaya. Sebenarnya, kereta pengiring itu menjalankan tugas mengatur dan mengawal mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 iaitu tugas di jalan awam.

    “Ini bermakna, pengguna jalan raya yang lain perlu memberi kerjasama sama ada memperlahankan kenderaan, memberi laluan kepada kereta pengiring atau berhenti bagi mengelakkan sesuatu berlaku.

    “Kenderaan pengiring ada peraturan tersendiri malah mereka tidak boleh sewenang-wenangnya kerana sedang bertugas. Saya tidak menyalahkan sesiapa, namun mungkin ramai yang masih keliru dengan perkara tersebut,” katanya.

    Muhamad Zaki turut berharap pengguna jalan raya sentiasa memberi kerjasama apabila berdepan dengan kenderaan pengiring polis di jalan raya kerana tugas kenderaan pengiring tidak seperti pengguna jalan raya yang lain.

    Dalam video tular yang dimuat naik oleh akaun Facebook bernama Hamdan Zakaria semalam, dia terpaksa mengelak ke bahu jalan secara tiba-tiba berhadapan dengan konvoi dua buah trak flatbed yang diiringi oleh Honda Civic peronda polis di hadapan yang sedang memotong di kawasan garisan berkembar.

    Turut kelihatan adalah sebuah lagi trak pikap Ford Ranger mengekori konvoi tersebut, dengan lori flatbed hadapan membawa sebuah Bentley Mulsanne, manakala sebuah lagi flatbed di belakang dengan tertera pelekat “Pejabat Sultan Kelantan” di cermin hadapan membawa wagon Mercedes-AMG E63.

     
     
  • GasGas bakal buat kemunculan dalam pasaran M’sia?

    GasGas bakal buat kemunculan dalam pasaran M’sia?

    Melalui berita yang kami siarkan sebelum ini, anda sudah mengetahui bahawa 1 Ogos ini Husqvarna Malaysia dan KTM Malaysia akan memperkenalkan model baru untuk pasaran Malaysia, dalam satu acara yang akan disiarkan melalui media sosial, dipanggil sebagai “Shift The Paradigm.”

    Daripada teaser yang disiarkan, kami menjangka Husqvarna akan memperkenalkan Norden 901, manakala KTM pula membawa 890 Duke R, dan selain daripada itu, nampaknya akan ada satu lagi jenama yang akan menyertai acara dalam talian ini.

    Petunjuk sebenarnya sudah diberi, melalui salah satu teaser yang mempunyai pecahan tiga jenis motosikal, dan selepas ditolak dengan Norden dan 890 Duke R, yang tinggal adalah motosikal jenis offroad. Selepas membuat pencarian di laman media sosial, dan melalui khabar yang kami terima dalam industri, ia mungkin adalah GasGas- laman Facebook GasGas Malaysia juga sudah menyiarkan teaser acara yang sama seperti KTM Malaysia dan Husqvarna Malaysia.

    GasGas adalah pengeluar motosikal dari Sepanyol yang sudah wujud sejak 1985 dan lebih banyak memberikan fokus kepada pengeluaran motosikal jenis offroad dan enduro. Selepas berhadapan dengan masalah pengurusan dan kewangan, GasGas kemudiannya telah dibeli oleh KTM AG.

    Kini, dalam barisan produknya, GasGas menawarkan pelbagai model offroad dan enduro, dengan enjin empat strok dan dua strok, serta kapasiti dari 50 cc hingga 450 cc, dan model lain untuk kegunaan jalan raya biasa seperti ES700 dan SM700, serta elektrik.

    Jika benar 1 Ogos ini GasGas akan membuat pengumuman ketibaan mereka dalam pasaran, agak menarik untuk kita lihat apakah model yang akan dibawa masuk dan bagaimanakah perletakan harganya jika dibandingkan dengan model KTM dan Husqvarna di dalam negara kita.

     
     
  • Hyundai EV peringkat kamasukan mungkin ganti i10, 11 lagi model elektrik di Eropah menjelang 2030

    Hyundai EV peringkat kamasukan mungkin ganti i10, 11 lagi model elektrik di Eropah menjelang 2030

    Hyundai ketika ini sedang membangunkan kereta elektrik peringkat kemasukan untuk pasaran Eropah, tetapi itu akan mengambil masa sedikit sebelum pengeluaran boleh dilakukan. Ini penjelasan daripada Ketua Pemasaran, Hyundai Motor Europe, Andreas-Christoph Hofmann kepada Automotive News Europe.

    EV peringkat kemasukan yang akan datang dari Hyundai itu akan dijual dalam julat harga sekitar 20,000 euros (RM90,441) bagi model yang mungkin akan menggantikan i10 itu, dan ia juga berada dalam julat harga yang sama dengan beberapa EV kecil daripada Volkswagen Group. Dari pengeluar Jerman itu, model terlibat dibangunkan mengunakan platform kenderaan elektrik MEB Entry, yang turut digunakan untuk model seperti Volkswagen ID. Life.

    Kereta bandar lebih sukar di jual untuk keuntungan kerana tahap harganya yang rendah serta cabaran elektrifikasi yang perlu dihadapi untuk kenderaan kecil, jelas Hoffman. Keseluruhannya, Hyundai merancang untuk memperkenalkan 11 lagi EV di Eropah menjelang 2030.

    Hyundai EV peringkat kamasukan mungkin ganti i10, 11 lagi model elektrik di Eropah menjelang 2030

    Hyundai Ioniq 6 baru saja dilancarkan awal bulan ini, dan unit pertama untuk pelanggan akan tiba di Eropah pada hujung tahun ini. Jualannya pula di Eropah akan dimulakan awal 2023. Ini sebahagian daripada perancangan EV Hyundai yang melibatkan pelaburan 19.4 triliun won (RM65.8 bilion) untuk tujuan elektrifikasi hingga 2030.

    Syarikat itu mensasarkan untuk menjual 1.87 juta kenderaan elektrik sepenuhnya sepanjang tempoh itu dan memperkenalkan 17 model di bawah jenama Hyundai dan Genesis, seperti yang dijelaskan oleh CEO Hyundai Motor, Jaehoon Chang ketika forum Hari Pelabur anjuran syarikat itu awal tahun ini.

     
     
  • Toyota Vios 2023 D92A guna platform DNGA; Perodua turut sertai pembangunan sedan segmen-B ini?

    Toyota Vios 2023 D92A guna platform DNGA; Perodua turut sertai pembangunan sedan segmen-B ini?

    Sama ada Perodua, mahupun Toyota, kedua-duanya tidak pernah ‘membuka mulut’ tentang perkara ini; adakah Toyota benar-benar bekerjasama dengan Perodua untuk menghasilkan Vios generasi baharu yang bakal membuat penampilan sulung globalnya pada bulan hadapan di Thailand? Ini adalah spekulasi kami sendiri, tapi bukan dibuat secara agak-agak, sebaliknya berasaskan pelbagai petunjuk yang sudahpun muncul sebelum ini.

    Toyota membuat pengumuman secara rasmi berkenaan pendedahan Vios generasi keempat tersebut pada minggu ini, yang disertakan sekali dengan satu video berdurasi 15 saat – walaupun agak pendek, video berkenaan cukup untuk memberi gambaran bagaimana rupa muka, profil sisi, lampu belakang, malah bahagian dalaman untuk model terbaharu berkenaan.

    Di Thailand, seperti sebelum ini Vios dikenali dengan nama Yaris Ativ. Ini kerana sedan berkenaan hanya menerima enjin 1.2 liter di pasaran negara itu, bagi membolehkan ia menerima manfaat insentif Kereta Eco Thailand. Manakala untuk pasaran lain, terutamanya di ASEAN di mana Vios merupakan sedan mampu milik yang begitu popular, ia dijangka akan terus menerima enjin dengan kapasiti 1.5 liter.

    Toyota Vios 2023 D92A guna platform DNGA; Perodua turut sertai pembangunan sedan segmen-B ini?

    Garis bumbung model produksi sebenar Toyota Vios D92A (atas) dan profil sisi model konsep Daihatsu DN-F Sedan 2017

    Dalam video berkenaan jelas menunjukkan bahawa Vios generasi baharu ini menerima muka dengan lampu hadapan yang nipis dan tajam bersama jalur LED bina-dalam seakan Toyota Corolla Altis, gril bampar besar berbentuk-heksagon bersama elemen bar tebal yang melintang seakan Toyota Avanza generasi baharu, profil sisi dengan garis bumbung seakan coupe empat pintu atau fastback bersama kabin panjang dan but belakang yang pendek, lampu belakang LED dengan lampu isyarat membelok jenis sequential, serta papan pemuka dengan rekaan minimalis menampilkan skrin berdiri sendiri di tengah dan juga menerima kemasan merah yang banyak.

    Pelbagai laporan sebelum ini menyebut bahawa Toyota Vios 2023 ini dihasilkan berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu platform yang diolah semula oleh Daihatsu berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Dengan kepakaran Daihatsu untuk menghasilkan model-model kompak sebelum ini, platform DNGA berkenaan diberikan pelbagai input untuk menghasilkan model-model lebih kecil, dan ia boleh digunakan bukan sahaja untuk Daihatsu, malah untuk model-model Toyota dan juga Perodua.

    Platform yang sama sebelum ini telah pun digunakan sebagai asas untuk model kembar SUV Perodua Ativa/Toyota Raize/Daihatsu Rocky, dan juga kembar MPV Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza. Jadi tidak hairan mengapa kod projek ‘D92A’ pada Vios ini agak serupa dengan kod-kod projek dari Perodua seperti D27A untuk Alza dan D55L untuk Ativa.

    Toyota Vios 2023 D92A guna platform DNGA; Perodua turut sertai pembangunan sedan segmen-B ini?

    Papan pemuka dan roda stereng Toyota Vios D92A (atas), roda stereng Perodua Myvi facelift 2022 (bawah kiri) dan roda stereng Perodua Ativa (bawah kanan)

    Malah roda stereng yang diberikan pada Vios baharu ini nampaknya sama sahaja dengan roda stereng pada Ativa, Alza dan juga Myvi facelift. Rekaan bumbung pada Vios D92A ini juga adalah sesuatu yang baharu untuk sedan dalam kelas segmen-B. Rekaan bumbung seakan coupe berkenaan sebelum ini sebenarnya telah diperlihatkan pada model konsep Daihatsu DN-F Sedan pada 2017.

    Apa yang menarik, dengan pengenalan Vios D92A ini sebagai versi produksi sebenar DN-F Sedan, maka lengkaplah semua model konsep yang Daihatsu dedahkan pada 2017 menjadi model produksi sebenar di mana SUV konsep DN-Trec dijelmakan sebagai Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa, dan MPV konsep DN-Multisix dijelmakan sebagai Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza.

    Kerja-kerja pembangunan model baharu secara bersama antara Daihatsu dan Perodua bukanlah sesuatu yang baharu – ya, “pembangunan bersama”, bukan rebadge. Ativa dan Alza 2022 adalah antara contoh terbaharu hasil kerjasama berkenaan. Dalam kerja-kerja pembangunan ini, Daihatsu berperanan sebagai ketua projek, dan ia akan disertai oleh jurutera dari Toyota dan juga Perodua.

    Contohnya dalam pembangunan Ativa/Rocky/Raize, projek berkenaan bermula di Jepun dan ia turut disertai oleh pasukan jurutera Perodua dari Malaysia kerana Rocky dan Raize turut dijual di Jepun. Manakala untuk model khas dihasilkan untuk pasaran Asia Tenggara seperti Alza/Xenia/Avanza, fasiliti R&D Perodua di Rawang digunakan kerana ia adalah jauh lebih lengkap berbanding fasiliti Astra Daihatsu Motor di Indonesia.

    Prototaip awalan untuk Perodua Ativa (kiri) dan Perodua Alza generasi kedua (kanan) yang dilihat sedang diuji di Genting Highland pada 2019

    Pada 2019, Perodua pernah dilihat menguji prototaip awalan untuk Alza dan Ativa yang disorokkan disebalik badan “Frankenstein” di Genting Highland. Untuk Ativa, ia menggunakan badan Perodua Axia yang kelihatan lebih panjang seperti wagon, manakala Alza pula menggunakan badan Toyota Avanza dengan muncung lebih panjang, diuji bersama dua MPV segmen-B yang sangat popular di pasaran Indonesia iaitu Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga.

    Ini membuktikan bahawa Perodua terlibat sejak dari peringkat awal pembinaan dua model berkenaan iaitu sebelum ia muncul dalam badan sebenar, dan bukan hanya menukar bampar dan logo selepas ia disiapkan oleh Daihatsu seperti persepsi kebanyakkan orang yang melihat bahawa Perodua masih menghasilkan kereta secara rebadge.

    Dua ujian yang dilihat berkenaan hanyalah ujian awalan, dan seperti diketahui pembangunan model baharu Perodua banyak dibuat di litar ujian mereka di Sungai Choh, Rawang. Litar berkenaan bukan sahaja dilengkapi dengan kawasan lengkung tebing “parabolica” untuk ujian kelajuan tinggi serta pelbagai seksyen yang memberikan simulasi pelbagai keadaan jalan raya tempatan, termasuk simulasi lebuhraya PLUS yang sangat realistik.

    Toyota Vios merupakan model khas yang dibangunkan untuk pasaran ASEAN – ya, Vios turut pernah dijual di Jepun dengan nama Toyota Belta, namun Belta juga sebenarnya diproduksi di Thailand dan kemudian dieksport ke Jepun. Jadi tidak mustahil untuk pembangunan Vios generasi baharu dengan platform DNGA ini, ia turut menggunakan fasiliti R&D Perodua di Rawang.

    Pembabitan Perodua dalam R&D bukan bermula dengan DNGA, malah lebih awal dari itu. Bermula dengan Bezza, Perodua telah mula membangunkan bahagian atas badan mereka sendiri, manakala asasnya masih menggunakan platform sama dengan Axia. Manakala Myvi generasi ketiga, Perodua menghasilkan platform hatchback segmen-B berkenaan di Malaysia yang diubahsuai dari platform Myvi generasi kedua, bersama badan atas yang juga direka sendiri. Malah Daihatsu turut mengambil Myvi generasi ketiga berkenaan untuk direbadge sebagai Daihatsu Sirion untuk dijual pada pasaran Indonesia.

    Manakala dalam aspek pembuatan, Perodua mempunyai jaringan vendor tempatan yang ekstensif. Lihat sahaja Ativa dan Alza – walaupun ia diasaskan dari platform terkini Daihatsu, kedua-dua model berkenaan mempunyai kandungan komponen tempatan mencecah 95%. Perodua turut mempunyai kilang enjin mereka sendiri untuk menghasilkan enjin dari keluarga NR, yang bukan sahaja untuk digunakan pada model-model mereka, malah turut dibekalkan kepada Toyota untuk model Vios dan Yaris sedia ada.

    Malah kilang Perodua di Rawang turut memasang model-model Toyota seperti SUV Toyota Rush sebelum ini, dan juga MPV Toyota Veloz yang bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

    Toyota Vios 2023 D92A guna platform DNGA; Perodua turut sertai pembangunan sedan segmen-B ini?

    Rancangan Perodua untuk menjadi hab R&D rantau ASEAN yang didedahkan pada 2020

    Pada tahun 2020, Perodua sudah pun mengumumkan bahawa ia mahu menjadi hab R&D untuk pasaran ASEAN, bukan sahaja untuk model-model mereka sendiri, malah untuk Daihatsu serta syarikat induknya iaitu Toyota. Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad menyatakan bahawa Perodua mensasarkan untuk membuat rekaan kenderaan bukan hanya untuk Malaysia, malah untuk pasaran Indonesia dan Thailand, dan syarikatnya kini sedang berusaha keras bagi menjadi hab R&D di rantau ini.

    “Dari segi R&D, pada saat ini R&D Perodua, dalam aspek peralatan ujian, pelaburan dan fasiliti, adalah lebih besar dari Indonesia,” kata Datuk Zainal ketika itu.

    Perodua turut mendedahkan grafik hala tuju strategik (ditunjukkan di atas) mereka, menunjukkan Ativa dan empat lagi model akan datang yang diasaskan dari platform DNGA, dan ketika itu Datuk Zainal sudah pun menyatakan bahawa bukan kesemuanya adalah model dengan lencana Perodua.

    “Kesemua empat model baharu ini bukan semestinya model-model Perodua. Apabila kami telah mencapai tahap untuk menjadi hab R&D ASEAN, kami akan menghasilkan model juga untuk Daihatsu,” katanya. Salah satu model berkenaan sudah dikenalpasti sebagai Alza 2022, jadi ada tiga lagi model yang akan dibangunkan menggunakan fasiliti R&D di Rawang berkenaan, dan ia tidak semestinya keluar dengan lencana Perodua. Jadi tak mustahil salah satu daripadanya adalah Vios D92A bukan?

    GALERI: Teaser Toyota Vios 2023

    GALERI: Daihatsu DN F-Sedan Concept di GIIAS 2017

     
     
  • KTM Malaysia siar teaser model baru – 890 Duke R?

    KTM Malaysia siar teaser model baru – 890 Duke R?

    Acara dalam talian yang akan dilakukan oleh Husqvarna Malaysia 1 Ogos ini nampaknya juga akan disertai oleh satu lagi jenama yang berada di bawah syarikat sama, iaitu KTM kerana KTM Malaysia juga sudah mula menyiarkan hebahan acara yang sama.

    Dari Husqvarna, kita boleh nampak teaser mereka menunjukkan sebuah model seakan Norden 901, dengan slogan “The North Is Coming“, sementara daripada KTM, gambar teaser yang disiarkan pula datang dengan ayat “Rides in at Shift The Paradigm“, dan “The Super Scalpel.”

    Jika anda mengikuti perkembangan KTM, nama Scalpel ini memang mereka gunakan sebagai gelaran untuk model 790 Duke dan 890 Duke, tetapi dalam teaser ia tertulis “Super Scalpel“, memberi gambaran kepada varian tertinggi bagi Duke siri itu.

    KTM Malaysia siar teaser model baru – 890 Duke R?

    Pada mulanya kami menyangka ia adalah 890 Duke GP, tetapi melihat kepada botol minyak brek di bahagian atas pemegang, bentuknya adalah berlainan. Sebaliknya ia lebih menyerupai unit pada 890 Duke R, dan panel badan serta grafik model ini juga sama seperti gambar teaser yang disiarkan.

    Model 890 Duke R mempunyai asas yang sama dengan 790 Duke, tetapi ia menerima banyak peningkatan termasuk enjin yang lebih berkuasa (masih lagi unit dua silinder selari tetapi menghasilkan 121 hp dan 99 Nm tork), angkup brek Brembo Stylema dengan cakera 320 mm berkembar di hadapan, pam brek Brembo MCS, fork WP 43 mm boleh laras sepenuhnya serta ergonomik yang diubah menjadi lebih agresif.

    Untuk bahagian bawah enjin pula, 890 Duke R menggunakan crankshaft yang boleh berpusing 20% lebih baik berbanding sebelum ini, seterusnya dikatakan mampu membantu memberikan lebih stabiliti waktu kelajuan sekata, rpm tinggi dan mengambil selekoh. Pada bahagian head, camshaft 890 Duke R mempunyai profail yang lebih agresif dan lift yang lebih tinggi.

    Walaupun tidak didatangkan dengan quickshifter (pilihan tambahan), KTM telah mempertingkat kotak gear model ini untuk memberikan penukaran yang lebih pantas dengan jarak pergerakan tuil yang lebih rapat serta spring yang lebih pantas. Untuk memastikan enjin selamat dibelasah, sistem penyejukan turut diperbaiki dengan radiator yang lebih besar.

    Secara keseluruhannya, 890 Duke R mempunyai berat 166 kg (-3 kg berbanding 790 Duke) dan dilengkapi dengan sistem elektronik seperti empat mod tunggangan (Rain, Street, Sport dan Track), Motorcycle Traction Control (MTC), ABS, panel paparan TFT serta lampu LED.

    GALERI: KTM 890 Duke R

     
     
  • Konvoi polis dilihat memotong di garisan berkembar

    Konvoi polis dilihat memotong di garisan berkembar

    Semalam kami melaporkan video tular (yang dirakamkan pada 7 Julai 2022) yang memaparkan kereta peronda polis yang mengiringi trak flatbed yang membawa kereta mewah, telah memotong kereta lain di laluan garisan berkembar. Dan sekali lagi, video yang ditularkan ini pula menunjukkan senario yang hampir sama, dirakamkan oleh pengguna TikTok Meerza Danish, yang turut dimuatnaik semula di Twitter, menunjukkan konvoi kereta polis yang memotong di garisan berkembar.

    Menerusi video bertarikh 16 Julai 2022, Meerza Danish sedang memandu di jalan kuar bandar yang sesak dengan kenderaan lain dari arah bertentangan. Sewaktu melalui selekoh, kelihatan anggota polis yang menunggang motosikal peronda bergerak dari arah bertentangan memotong di garisan berkembar dan meluncur di lorong yang sama dengan kenderaan yang dipandu Meerza.

    Polis bermotosikal itu juga memberi isyarat tangan ke arah Meerza supaya dia memperlahankan kenderaan. Namun Meerza bertindak pantas memperlahankan kenderaannya dan berhenti seketika di bahu jalan bagi memberikan laluan pada konvoi polis terbabit.

    @meerzadanish

    Ni kalau aku tersapu diorang ni dapat cleam ke tak? Nasib lah aku slow

    ? ???????? (?????????) – Ptrp Studio

    Walau pun kali ini tidak melibatkan polis yang sedang mengiringi trak membawa jentera mewah atau pun VIP, cuma konvoi melibatkan kenderaan polis, namun tindakan memotong di garisan berkembar dengan laluan trafik yang dilihat agak sibuk juga boleh mengundang bahaya. Seandainya pemandu dari arah bertentangan memandu agak laju atau mungkin tidak sempat mengelak konvoi terbabit, atau pun mungkin terbabas sampai merisikokan nyawa dia sendiri (dan mungkin termasuk penumpang), apakah tindakan yang bakal diambil oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sendiri sekiranya laporan insiden tersebut dibuat?

    Menurut laman web AskLegal.my, kereta rasmi PDRM adalah tertakluk di bawah kategori “Kenderaan Kerajaan” yang secara ringkasnya merujuk kepada kenderaan yang dibeli oleh kementerian Malaysia untuk kegunaan rasmi. Ini termasuk kereta rasmi Menteri atau kereta royalti termasuklah juga beberapa kenderaan peronda polis yang lain seperti motosikal dan balai polis bergerak, kereta bomba, dan juga ambulans (tapi tidak semua ambulans adalah milik kerajaan).

    Sekiranya, ada kereta milik PDRM yang melanggar kenderaan anda, dan anda membuat laporan polis dan ingin menuntut ganti rugi. Tapi sebenarnya anda tidak boleh menyaman pemandu kereta polis terbabut, sebaliknya tuntutan anda dibuat adalah terhadap Kerajaan Malaysia.

    Konvoi polis dilihat memotong di garisan berkembar

    Tertakluk dalam Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan 1956 yang menyatakan Kerajaan bertanggungjawab ke atas apa-apa perbuatan salah dilakukan atau apa-apa kecuaian atau keingkaran yang dilakukan oleh mana-mana pegawai awam mengikut cara yang sama dan setakat yang sama dengan mana seorang prinsipal, sebagai orang persendirian, boleh dikenakan apa-apa perbuatan yang salah dilakukan, atau apa-apa kecuaian atau keingkaran yang dilakukan oleh ejennya, dan bagi maksud seksyen ini dan tanpa menjejaskan keluasannya, mana-mana pegawai awam yang bertindak atau berupa dengan suci hati untuk bertindak menurut kewajipan yang dikenakan oleh undang-undang hendaklah disifatkan sebagai ejen dan bertindak di bawah arahan Kerajaan.

    Walau bagaimana pun, sekiranya insiden sebegini berlaku, seeloknya anda buat laporan polis dan dapatkan nasihat undang-undang dari pihak peguam yang lebih arif untuk mengambil tindakan selanjutnya. Cuma berkaitan dengan tindakan kereta peronda polis yang bertindak memotong di laluan garisan berkembar sebegini, kita kena tunggu mungkin ada penjelasan lebih terperinci daripada pihak PDRM sendiri.

    Umum mengetahui, garisan berkembar yang dicat di atas permukaan jalan adalah atas alasan keselamatan dan kita semua sedia maklum bahawa memotong di garisan berkembar adalah melanggar undang-undang lalu lintas. Bukan setakat itu, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya meletakkan kenderaan, membuat pusingan U atau melintasi lorong bertentangan di garisan berkembar yang juga merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan saman sebanyak RM300, dan hukuman berat boleh dikenakan sekiranya menjadi punca kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecedaraan atau kematian pengguna jalan raya yang lain.

     
     
  • Husqvarna Malaysia siar teaser model model baru yang akan diperkenal 1 Ogos ini – Norden 901?

    Husqvarna Malaysia siar teaser model model baru yang akan diperkenal 1 Ogos ini – Norden 901?

    Sejak beberapa hari lalu, Husqvarna Motorcycles Malaysia telah mula mengeluarkan beberapa gambar teaser untuk sebuah model baru yang akan dilancarkan di dalam talian. Acara pelancaran itu dinamakan dengan konsep “Shift The Paradigm“, dan akan berlangsung pada 1 Ogos ini.

    Setakat ini ada tiga gambar teaser yang boleh kita lihat, dengan yang pertama menunjukkan tiga keadaan tunggangan yang berbeza (offroad, jalan biasa dan litar), kedua menunjukkan bahagian depan dan ketiga menunjukkan bahagian tepi sebelah kiri (berhampiran enjin).

    Menganggap semua gambar ini adalah gambar model sebenar yang akan dilancarkan, ia memang mirip dengan Norden 901, iaitu sebuah model adventure/touring yang diperkenalkan kepada dunia November tahun lepas. Satu lagi petunjuk adalah ayat “The North Is Coming“, yang mana Norden itu sebenarnya kalau diterjemah daripada Bahasa Sweden adalah utara.

    Norden sebenarnya adalah kembar kepada KTM 890 Adventure, tetapi dengan penampilan yang berbeza dan ia dipacu oleh enjin dua silinder selari DOHC 889 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 105 hp pada 8,000 rpm dan 100 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Ia juga datang dengan tiga mod tunggangan dalam keadaan standard, iaitu Street, Rain dan Offroad, sementara satu lagi mod iaitu Explorer yang membolehkan pelarasan sendiri oleh penunggang disediakan sebagai pilihan tambahan. ABS mempunyai mod Offroad dan boleh ditutup sepenuhnya.

    Melihat kepada pasaran luar, cruise control dan quickshifter diberi secara standard pada Norden 901, sementara kelengkapan lain seperti sambungan Bluetooth, pemanas tangan dan tempat duduk, serta sistem pemerhati tekanan angin tayar disediakan sebagai pilihan tambahan. Tempat duduk didatangkan dalam pilihan sama ada tinggi 854 mm atau 874 mm, dan tangki bahan api berkapasiti 19 liter.

    GALERI: Husqvarna Norden 901

     
     
  • JPJ eBid: Nombor plat SK-D bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Nombor plat SK-D bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor pendaftaran, SK-D, bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Sabah, Sk-D ini akan mula dibuka bidaan pada 7 Ogos 2022. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 11 Ogos. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 12 Ogos 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

    Untuk pengetahuan anda, tiada larangan untuk menggunakan plat nombor Sabah dan Sarawak ini di Semenanjung Malaysia. Sesiapa sahaja boleh menggunakannya. No problema!

     
     
  • Nilai jualan semula kereta elektrik lebih baik dari model enjin biasa di Malaysia – Mercedes-Benz Malaysia

    Nilai jualan semula kereta elektrik lebih baik dari model enjin biasa di Malaysia – Mercedes-Benz Malaysia

    Kita sudah tengok bagaimana rakyat Malaysia yang ‘takut’ terhadap teknologi hibrid sebelum ini. Model-model dengan teknologi gabungan enjin petrol dan motor elektrik berkenaan didakwa bakal mendatangkan masalah seiring dengan usianya, terutamanya membabitkan bateri untuk sistem hibrid tersebut, dan ini seterusnya menyebabkan nilai jualan semula (RV) model-model hibrid menjadi lebih rendah berbanding model-model dengan enjin pembakaran dalaman biasa.

    Sejak kerajaan mengumumkan insentif pengecualian duti dan cukai untuk model-model elektrik penuh (EV), nampaknya pasaran untuk model sedemikian dilihat semakin meriah. Sejak dari awal tahun ini, pelbagai model EV dari pelbagai jenama telah dilancarkan pada pasaran tempatan. Malah ada sesetengah jenama, jualan EV mereka dilihat sangat memberangsangkan dengan jumlah tempahan melebihi dari jangkaan awal.

    Tapi bagaimana pula dengan RV untuk model-model EV ini? Adakah pandangan skeptikal yang sama dilabelkan seperti model-model hibrid sebelumnya? Antara yang aktif melancarkan model EV pada pasaran tempatan adalah Mercedes-Benz Malaysia (MBM). Selain dari mengedar kenderaan dengan jenama mewah tersebut di sini, MBM juga ada menawarkan skim pembiayaan pembelian menerusi pakej Agility Financing.

    Untuk menawarkan pakej pembiayaan tersebut, mereka perlu membuat jangkaan berkenaan nilai untuk kereta-kereta tersebut dalam masa tiga dan lima tahun akan datang. Untuk kereta-kereta biasa dengan enjin pembakaran dalaman, proses membuat jangkaan nilai ini agak mudah kerana ia berpandukan model-model sebelumnya.

    Jadi bagaimana pula untuk membuat jangkaan untuk model EV seperti EQA dan EQS yang baru dilancarkan tahun ini kerana mereka belum mempunyai data berkenaan trend nilai bagi model-model sedemikian? Paultan.org mengajukan soalan ini kepada ketua jualan dan pemasaran MBM Micheal Jopp dan juga CEO syarikat tersebut, Sagree Sardien ketika majlis pelancaran EQS/EQB/EQC minggu lalu.

    Apa yang mengejutkan, MBM menyatakan bahawa nilai jualan semula untuk model-model EV adalah lebih tinggi dari model-model dengan enjin pembakaran dalaman biasa.

    Nilai jualan semula kereta elektrik lebih baik dari model enjin biasa di Malaysia – Mercedes-Benz Malaysia

    Micheal Jopp

    “Kami mengambil pendekatan yang sama seperti yang kami buat terhadap model-model enjin pembakaran dalaman, apa yang kami lihat secara global adalah nilai jualan semula untuk EV kadang-kala secara signifikant lebih tinggi berbanding kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman, dan ini turut menjadi pendekatan kami di Malaysia. Penawaran Agility akan menjadi lebih menarik berbanding model pembakaran dalaman yang sama jadi kami sebenarnya menjangkakan nilai sisa yang lebih tinggi,” kata Jopp.

    Beliau juga tidak merasakan bahawa apa yang dihadapi oleh model-model hibrid dan PHEV berkenaan nilai jualan semula adalah sama seperti EV.

    “Pertama sekali, ia berkenaan kenderaan, teknologi. Yang paling penting adalah fungsi penawaran dan permintaan. Pada saat ini kami meramalkan bahawa permintaan akan menjadi lebih tinggi berbanding penawaran untuk EV, di mana ia bersifat global dan mungkin mampan untuk tempoh masa yang lama. Ini akan menyebabkan nilai jualan semula yang lebih tinggi,” katanya.

    Sardien pula menyifatkan jangkaan nilai jualan semula yang tinggi untuk EV oleh MBM adalah kerana jenama berkenaan sangat mempercayai produk-produk mereka.

    Nilai jualan semula kereta elektrik lebih baik dari model enjin biasa di Malaysia – Mercedes-Benz Malaysia

    Sagree Sardien

    “Nilai jualan semula adalah sentiasa berkisar jangkaan dan ramalan. Tetapi sebagai jenama, kami perlu percaya akan EV kami, dan sebab itulah mengapa kami agak yakin dengan nilai jualan semula yang kami letak. Kami cukup berani untuk menyatakan, tengok, kami mahu nilai jualan semula yang tinggi kerana kami yakin bahawa kami mempunyai teknologi yang hebat, kenderaan yang hebat, kami mempunyai permintaan terhadap aset kami.

    “Dan dengan gabungan yang betul terhadap penawaran dan permintaan seperti yang disebut oleh Micheal akan semestinya memberikan kami nilai jualan semula yang optimum. Sudah tentu, ujian akan dibuat di mana-mana pasaran, tetapi petunjuk awal sudah pun memperlihatkan pasaran kami di Eropah menunjukkan nilai jualan semula adalah stabil jika tidak lebih baik (dari model enjin pembakaran dalaman),” katanya.

    Apa pun yang disebut oleh Mercedes-Benz ini, kita masih perlu lihat pada masa hadapan. Ini kerana kadang kala persepsi pelanggan di Malaysia ini mungkin unik dan tidak sama dengan pasaran lain. Buat masa sekarang, dengan insentif pengecualian cukai yang ditawarkan oleh kerajaan menyebabkan model-model EV ini dijual dengan harga yang hampir sama, dan ada yang lebih murah berbanding versi dengan enjin pembakaran dalaman.

    Contohnya, sedan mewah Mercedes-Benz EQS dijual pada harga bermula RM698,888, berbanding ‘saudaranya’ yang dijana oleh unit penggerak plug-in hibrid Mercedes-Benz S-Class yang dijual pada harga bermula RM708,888.

     
     
  • Laluan kontra di bandaraya KL diperluaskan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik – DBKL

    Laluan kontra di bandaraya KL diperluaskan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik – DBKL

    Bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang kian meruncing di Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha untuk memperbanyakkan pelaksanaan laluan kontra atau tidal flow di beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar.

    Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, antara jalan yang dikenal pasti adalah Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur, Jalan Cheras, Jalan Istana serta kawasan Bulatan Pahang.

    “Kita akan lihat lebih terperinci berkenaan pelaksanaan tidal flow di laluan Lebuhraya Seremban-KL bagi membantu penyuraian trafik masuk dan keluar dari pusat bandar ketika waktu puncak.

    Tidal flow sedia ada di Jalan Cheras sepanjang 4 km dipanjangkan kepada 8 km iaitu sehingga ke Jalan Maharajalela,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Laluan kontra di bandaraya KL diperluaskan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik – DBKL

    Jelas beliau, inisiatif itu antara penyelesaian jangka sederhana yang diputuskan dalam jawatankuasa khas bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota. Selain itu, DBKL juga telah mengenal pasti 13 lokasi jalan utama titik panas (hotspot) kesesakan di ibu negara antaranya Jalan Kuching, Jalan Yew, Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan penambahan lorong di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) berhampiran kawasan Bandar Tasik Selatan berkuat kuasa serta-merta sebagai kaedah dan tindakan penyuraian kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

    “Sekarang terdapat dua lorong susulan, terdapat kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan, jadi kami putuskan untuk menjadikan ia tiga lorong secara kekal sekali gus menaik taraf keadaan jalan di ibu kota,” katanya.

     
     
  • Perodua Alza 2022 – harga tanpa cukai SST terdedah

    Perodua Alza 2022 – harga tanpa cukai SST terdedah

    Perodua Alza 2022 dilancarkan pada 20 Julai lalu, tetapi dengan tempahannya telah pun dibuka sejak 23 Jun, 30,000 pembeli dapat menerima MPV ini dengan harga tanpa cukai jualan, yang diberi oleh kerajaan untuk semua kenderaan baru yang ditempah sebelum 30 Jun dan didaftarkan sebelum 31 Mac tahun depan.

    Alza 2022 ditawarkan dalam tiga varian, dengan harga yang diumumkan sewaktu pelancaran adalah RM62,500 untuk 1.5L X, RM68,000 untuk 1.5L H dan RM75,500 untuk varian paling tinggi 1.5L AV. Semua harga ini adalah tidak termasuk insurans, dan dikira sekali dengan cukai jualan kerana diumumkan selepas 30 Jun.

    Sekarang, melalui satu dokumen yang kami saksikan sendiri, kami sudah tahu berapa pengecualian cukai yang diberi untuk Alza 2022. Di dalamnya tertulis pengecualian SST untuk Alza X adalah RM790, Alza H RM920 dan Alza AV RM1,170.

    Daripada situ, kita boleh tahu pelanggan yang membuat tempahan awal bagi MPV ini, sebelum 30 Jun membayarnya dengan harga RM61,710 untuk varian X, RM67,080 untuk H dan RM74,330 untuk AV. Meskipun jumlah ini nampak seperti tidak terlalu banyak, ia tetap sesuatu bagi sesetengah orang. Dalam dokumen itu juga tertulis bahawa pengecualian cukai tersebut diberi melalui “diskaun Penjana”, dan jumlah tersebut ditolak daripada harga atas jalan (OTR) yang tersenarai dalam sistem tempahan mereka.

    Selain daripada itu, kami juga dapat melihat dalam dokumen itu bahawa dua kriteria utama perlu diambil kira untuk mendapatkan pengecualian cukai ini, iaitu tiada perubahan pada tempahan (perlu dibuat oleh pelanggan yang sama) dan tiada perubahan varian.

    Ini bermakna, sekiranya perincian peribadi anda tidak betul, atau anda membuat keputusan untuk menukar kepada varian lain, pengecualian SST itu akan terbatal. Selain daripada itu, jika permohonan pinjaman anda tidak lulus dan anda mahu menukar kepada nama individu lain, pengecualian cukai itu juga tidak akan diberi.

     
     
  • VIDEO: Polis iringi trak bawa kereta mewah dikesan memotong secara bahaya di laluan garisan berkembar

    VIDEO: Polis iringi trak bawa kereta mewah dikesan memotong secara bahaya di laluan garisan berkembar

    Bila tengok video yang tular hasil rakaman pengguna Facebook Hamdan Zakaria, seriau juga dibuatnya. Bayangkan bila kita tengah memandu dengan tenang, di laluan begini, tiba-tiba ada kereta peronda polis muncul secara ‘face-to-face’ sebegini, diikuti dengan trak flatbed yang membawa kereta, mahu tak ‘menakutkan’.

    Menerusi rakaman ini, kelihatan sebuah kereta peronda Polis DoRaja Malaysia (PDRM) jenis Honda Civic yang memotong di garisan berkembar dan melalui lorong bertentangan, dengan lampu strobe dinyalakan. Kemudian ia diikuti oleh konvoi dua buah trak flatbed dan sebuah Ford Ranger putih di belakangnya, yang turut menggunakan lorong yang sama dengan kereta perakam.

    Kelihatan juga menerusi video berkenaan, trak flatbed tersebut masing-masing membawa jentera mewah Bentley Mulsanne dan Mercedes-AMG E63 station wagon.

    Ketika itu, tertera kelajuan kereta yang dipandu oleh saudara Hamdan bergerak dalam kelajuan lebih kurang 93 km/j. Dalam keadaan ‘yang tiba-tiba itu’, si perakam juga sempat memperlahankan kelajuan keretanya dan bergerak ke tepi (mujurlah ada ruang bertanah) untuk memberikan laluan kepada konvoi terbabit.

    Jika diteliti video ini, kereta mewah yang diangkut oleh trak flatbed kedua, tertera pelekat “Pejabat Sultan Kelantan” pada bahagian atas cermin hadapannya. Walau pun mungkin juga tidak semestinya konvoi berkenaan ditugaskan atas arahan keluarga diraja negeri tersebut. Hanya polis berkenaan sahaja yang tahu alasannya mengapa bertindak sedemikian.

    Apa pun, semua sedia maklum bahawa garisan berkembar yang dicat di atas permukaan jalan adalah atas alasan keselamatan dan kita semua sedia maklum bahawa memotong di garisan berkembar adalah melanggar undang-undang lalu lintas.

    Bukan setakat memotong di garisan berkembar, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya meletakkan kenderaan, membuat pusingan U atau melintasi lorong bertentangan di garisan berkembar juga adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan saman sebanyak RM300, dan hukuman berat boleh dikenakan sekiranya menjadi punca kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecedaraan atau kematian pengguna jalan raya yang lain.

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

    Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

    Hype berkenaan Proton Satria GTI rasanya tidak perlulah kami gembar-gemburkan lagi. Model ini merupakan model yang sangat ikonik buat Proton – ia bukan sahaja masih sangat cantik walaupun sudah berusia lebih dari 20-tahun, masih sangat seronok dipandu kerana memberikan prestasi dan pengendalian yang begitu jitu dan raw, malah setiap kali melihat Satria GTI ini juga pasti akan menaikkan semangat patriotik yang begitu tinggi kerana ia dihasilkan oleh jenama automotif nasional kita sendiri, dan pernah menerima pujian dari pihak luar.

    Sebelum ini kami pernah memaparkan sebuah Satria GTI yang begitu cantik yang direstorasi oleh Dream Street Restoration (DSR), kami juga telah membawa anda ke Karrus Classic di mana mereka mempunyai sejumlah stok Satria GTI yang banyak untuk dijual kepada pelanggan. Dan siapa sangka, kali ini kami berpeluang pula untuk duduk semeja dengan ‘Bapa Pembangunan’ Proton Satria GTI itu sendiri, iaitu YM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, CEO Proton yang menyandang jawatan berkenaan bermula April 1997 sehingga September 2005.

    Pertemuan antara paultan.org dan Tengku Mahaleel ini diaturkan oleh Karrus Classic, dan ia berlangsung di bilik pameran Karrus Classic sendiri yang terletak di Glenmerie, Shah Alam baru-baru ini. Dalam kesempatan itu, kami sempat bertanya pelbagai persoalan berkenaan pembangunan Satria GTI terus kepada Tengku Mahaleel, dan apa yang keluar dari mulut ikon industri automotif tempatan ini mungkin anda tidak pernah tahu sebelum ini.

    Satria GTI antara produk terawal Proton setelah syarikat tersebut memiliki pembuat kereta sport dari British iaitu Lotus pada Oktober 1996 – ketika itu Proton masih diterajui oleh Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad, manakala Tengku Mahaleel menyandang jawatan sebagai naib presiden untuk strategi dan operasi Proton. Jadi pembangunannya adalah sangat berkait rapat dengan Lotus.

    Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

    Menurut Tengku Mahaleel, Satria GTI dihasilkan adalah sebagai pemangkin untuk menaikkan nama Proton sebelum beberapa produk yang bakal diperkenalkan, menampilkan teknologi mereka sendiri yang dibangunkan bersama Lotus. Malah projek pembangunan Satria GTI ini sebenarnya langsung tidak diketahui oleh pihak Mitsubishi Motors, dan hanya menjadi rahsia antara Tengku Mahaleel dan juga Julian Thompson.

    “Projek ini hanya melibatkan antara Julian dan saya. Setiap keputusan dibuat sama ada saya atau beliau, bersama jurutera dinamik kenderaan,” kata Tengku Mahaleel.

    “Julian Thompson merupakan ketua pereka Lotus, dia juga yang bertangjawab memantau rekaan Waja. Waja masih sangat-sangat berjaya. Ia satu lagi cerita kejayaan, maksud saya lihatlah rekaannya, ia masih relevan sehingga sekarang.

    “Hanya sedikit tambahan yang kami buat selepas keputusan dimuktamadkan. Jadi di Lotus, Julian adalah ketua. Jadi semua idea adalah dari beliau. Kami sangat rapat… . Anda tahulah dalam satu-satu organisasi, jika ada terlalu ramai pembuat keputusan, projek berkenaan akan sama ada hilang arah tuju atau menjadi lambat. Ini merupakan kerja penting yang perlu segera kami lakukan. Kami perlukan produk untuk mengangkat jenama, kerana Waja bakal tiba, dan pelbagai lagi produk bakal dilancarkan,” jelas Tengku Mahaleel.

    Beliau turut menjelaskan bahawa proses pembangunan Satria GTI tidak memerlukan masa yang lama. Ini kerana walaupun Mitsubishi sendiri tidak menghasilkan Colt Mirage (model asas bagi Proton Satria dari Mitsubishi) dengan enjin 1.8 DOHC liter 4G93P yang ada pada perut Satria GTI, platform berkenaan sememangnya sudah direka untuk menerima enjin dari keluarga 4G9X. Malah sebelum itu Proton Wira 1.8 Limited yang merupakan kembar sedan kepada Satria telah pun diperkenalkan dengan enjin 1.8L DOHC yang sama.

    “Ini merupakan tugas yang mudah…. Ia menggunakan enjin dari model Mitsubishi yang lain dari platform yang sama, jadi ia sangat mudah. Jika saya mahu gunakan enjin dari Volkswagen, ia akan mengambil masa yang lama kerana rekaan enjin, asas, getaran dan sebagainya tidak sama. Jadi ia merupakan strategi pants dan kami mahukannya untuk GTI,” kata Tengku Mahaleel.

    Beliau juga menyatakan bahawa kerangka Satria GTI ini telah menerima kejuruteraan semula oleh salah seorang jurutera casis perlumbaan Lotus ketika itu, sementara rekaannya pula dibuat oleh Julian Thompson sendiri.

    “Kerana kereta (Satria) ini sudah pun siap dibina, ia mengambil masa hanya sekitar 30% sahaja – untuk menghasilkan sebuah kereta, anda memerlukan masa bekerja selama 1.3 juta jam. Untuk model (GTI) ini ia hanya mengambil masa sekitar 100,000-200,000 jam bekerja untuk ujian dan semuanya. Jadi ia sangat cepat kerana ia berevolusi dari produk kejuruteraan sedia ada,” jelasnya.

    Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

    Prototaip Proton Putra WRC yang masih di simpan di Proton R3, Shah Alam

    Kami turut bertanya kepada Tengku Mahaleel, ketika itu Proton mempunyai dua model yang agak sporty iaitu Satria dan juga versi coupe dua pintu iaitu Putra – mengapa Proton memilih Satria untuk menerima lencana GTI dan bukannya Putra? Tengku Mahaleel menjelaskan bahawa ketika itu Proton telah pun membuat rancangan berbeza untuk Satria dan Putra, di mana Putra yang lebih sporty sebenarnya disasarkan akan dihasilkan dalam versi lebih berprestasi tinggi.

    “Seperti yang saya katakan, kami bukan mahu menghasilkan model sport (untuk Satria), dan kami mahu menghasilkan model untuk orang muda, di mana jika dia mempunyai keluarga yang kecil dengan hanya seorang anak, dia boleh bawa dengan Satria. Manakala satu lagi (Putra) adalah lebih sporty. Jadi ini sebabnya kami turut mempunyai projek Putra dengan Prodrive, tetapi ia juga telah dihentikan.”

    “Satria adalah, saya boleh katakan dari segi prestasi ia bukan yang paling kuat, tetap yang ini (Putra) akan dibuat khas hanya untuk kelajuan. Satria lebih kepada pengendalian, ia sama seperti Lotus, untuk berseronok….itu adalah perancangannya. Jumlahnya (Putra) dihasilkan tidak banyak kerana untuk membangunkan kereta sport menjadi kereta keluarga agak sukar, tetapi untuk membangunkan ini (Satria) untuk menjadi kereta keluarga lebih mudah,” jelas Tengku Mahaleel.

    Ya, projek Putra dengan Prodrive yang dinyatakan berkenaan adalah projek kereta lumba untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang dihasilkan bersama firma kejuteraan British tersebut, di mana unit prototaip jentera berkenaan masih di simpan di fasiliti Proton R3 di Shah Alam. Jadi Tengku Mahaleel membayangkan, sekiranya Putra benar-benar ke WRC, Proton mungkin akan menghasilkan model produksi jalan raya Putra yang lebih berkuasa!

    Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

    Perancangan berkenaan variasi Satria yang pernah didedahkan oleh Tengku Mahaleel sebelum ini

    Kami juga difahamkan, bermula dengan Satria GTI ini, Proton sebenarnya sudah merancang pelbagai varian lain untuk Satria kerana menyedari potensi sasaran pasarannya, ini termasuk penghasilan model generasi kedua Satria iaitu Satria Neo.

    “Pada akhirnya, anda lihat pada pasaran. Di mana pasaran anda yang berpotensi untuk berkembang. Pasaran yang berpotensi untuk berkembang bukan pada golongan yang lebih berusia. Anda semua orang muda. Jadi untuk membolehkan orang muda membeli produk ini, kami akan mengembangkan kepada produk lain apabila saya memperkenalkannya semula. Ini adalah rancangan keseluruhannya.

    “Sebab itulah ia direka sedemikian, untuk menarik minat orang muda. Dan untuk orang lebih berusia seperti saya, saya kira saya berada dalam kelompok lebih tua tetapi personaliti saya sangat muda. Jadi saya suka kereta ini, saya akan beli.

    “Jadi anda ada kombinasi muda dan tua tetapi kumpulan ini akan bertahan sehingga 20-30 tahun. Jadi saya ada pasaran ini. Oleh itu saya hasilkan, saya rasa ada lebih lima produk Satria, yang tidak pernah dilancarkan. Neo adalah kerja saya, bukan CEO selepas saya, ia mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan. Jadi sekiranya dia (Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin) lancarkan pada 2006, Satria Neo dibangunkan sebelum itu.

    “Jadi inilah perancangan keseluruhan. GTI, Cabriolet, MPV dan Neo biasa. Itulah perancangannya. Keseluruhan asas Satria adalah itu, rekaannya tidak boleh diubah kepada sesuatu yang lain tidak kira bila-bila masa. Ia akan berevolusi seperti [BMW] 3 Series. Ini telah dipersetujui bersama Julian Thompson,” jelas Tengku Mahaleel.

    Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

    Dalam perjumpaan ini, Tengku Mahaleel turut berkongsi sedikit cerita berkenaan pengambilalihan Lotus oleh Proton yang mungkin anda tidak pernah tahu sebelum ini. Menurut beliau, Proton sudahpun mengetahui bahawa ia perlu berpisah dengan Mitsubishi menjelang 2005 sejak tahun 1996 lagi, dan sebab itulah keputusan untuk membeli Lotus dibuat.

    Beliau menyatakan ketika itu Proton mempunyai kemahiran yang sangat sedikit dalam pembangunan dinamik kenderaan dan juga rekaan enjin. Proton juga tidak terlibat secara terus dengan perlumbaan kerana ketika itu kerana ia dibuat oleh pengedarnya iaitu EON dengan bantuan Mitsubishi Ralliart. Ya, pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) telah melahirkan bakat-bakat tempatan dalam sukan permotoran, namun ia tidak dapat digunakan dalam R&D.

    “Kita bermula pada tahun 1983, dan 1985 produksi bermula, dari tahun 85 hingga 2000 apa yang kita belajar dari Mitsubishi? Adakah kita tahu membuat rekaan enjin? Jawapannya sifar. Apa lagi? Perkara paling penting pada sesebuah kereta adalah casis dan enjin. Kita tak tahu macam mana nak buat,” kata Tengku Mahaleel.

    “Jadi [Tun Dr.] Mahathir minta kami buat, bila saya kembali [ke syarikat], saya beritahu mereka ada berita baik dan berita buruk. Berita baik kita akan bergerak bebas. Dan berita tak baik anda perlu buat kereta sendiri dan lancarkan menjelang tahun 2000. Semua senyap,” tambah Tengku Mahaleel.

    Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

    Menurutnya lagi, ketika itu beliau sudahpun merancang untuk membeli syarikat asing bagi membantu Proton untuk membangunkan kereta sendiri, tetapi ia belum diwar-warkan lagi. Dan sasaran pertama Proton untuk membeli syarikat asing bukannya Lotus, sebaliknya Porsche.

    “Lotus bukan sasaran pertama kami. Kejuruteraan Porsche adalah lebih hebat dari kejuruteraan Lotus. Selepas itu kami membeli MV Agusta untuk melebarkan penawaran produk dari empar roda kepada dua roda. Itu adalah perancangan keseluruhan untuk peringkat global,” jelasnya.

    Porsche bukan sahaja sebuah syarikat yang menghasilkan kereta sport dengan jenama mereka sendiri, malah ia juga menawarkan khidmat kejuruteraan. Sebagai contoh bagaimana mereka membantu Mercedes-Benz untuk menghasilkan 500E berasaskan model W124, dan juga Audi untuk ‘Super wagon’ Audi RS2. Porsche turut pernah membangunkan kereta sport untuk Volkswagen, tetapi ia dibatalkan dan Porsche menjual sendiri model berkenaan dengan lencana Porsche 924.

    Walau bagaimanapun, perancangan untuk membeli Porsche gagal kerana jenama Jerman berkenaan menyatakan bahawa mereka bukan untuk dijual ketika itu (Porsche akhirnya telah bernaung di bawah Volkswagen Group sehingga kini). Dan selepas itu tumpuan dialihkan pula ke Lotus.

    Khidmat kejuruteraan yang sama sebenarnya turut ditawarkan oleh Lotus. Jenama British berkenaan bukan sahaja memberikan talaan ‘ride & handling’ untuk banyak jenama automotif lain, malah pernah menghasilkan model talaan penuh yang melibatkan prestasi enjin seperti Ford Lotus Cortina (berasaskan Ford Cortina Mk1) dan Vauxhall Lotus Carlton/Opel Lotus Omega (berasaskan Vauxhall Carlton/Opel Omega).

    Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

    Tengku Mahaleel menyatakan selepas memiliki Lotus, ramai kakitangan Proton dari Malaysia mula dihantar ke United Kingdom untuk belajar dengan Lotus, sehingga pada satu-satu masa seramai 20 hingga 30 orang staf Proton berada di sana untuk belajar berkenaan pembangunan enjin, pembinaan badan, rekaan, pembuatan dan sebagainya.

    “Jadi cara untuk saya membangunkan, saya mahu orang-orang kita mempunyai ilmu pengetahuan, bagi menyiapkan projek ini dan hantar mereka ke England. Jadi sebab itu ada yang dihantar ke sana selama 2 hingga 3 tahun. Mereka belajar bersama dengan ini. Selepas itu mereka balik mereka boleh buat,” kata Tengku Mahaleel.

    Usaha yang dibuat oleh Tengku Mahaleel berkenaan berjaya kerana pada tahun 2000 Proton telahpun melancarkan Proton Waja, membolehkan Malaysia menjadi negara ke-11 dalam dunia yang mampu menghasilkan kereta sendiri dari mula. Apa yang lebih manis, kejayaan tersebut dicapai lima tahun lebih awal kerana sasaran asal untuk Proton menghasilkan kereta sendiri sepenuhnya adalah pada tahun 2005.

    “Kami dipandu oleh dokumen Pelan Induk Perindustrian, anda perlu baca itu. Satu-satunya syarikat di Malaysia yang mencapainya lebih awal dari sasaran adalah Proton. Kami capai lima tahun lebih awal dengan sasaran awal untuk menghasilkan kereta sendiri pada 2005. Kami mengindustrikan Malaysia dan sekarang kita menjadi pusat rekaan. Kami capainya pada 2000 dengan Waja, [enjin] Campro, casis semuanya siap. Tiada syarikat lain yang mencapainya. Tiada,” tegas Tengku Mahaleel.

    GALERI: Proton Satria GTI di Karrus Classic

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025