Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Staria dilancarkan di Thailand minggu ini


    Seperti kejayaan yang dikecapi oleh MPV popular, Starex, Staria baharu juga dijangka akan mencipta cetusan yang sama dalam sektor kenderaan komersil dan pengangkutan penumpang. Dengan perkhabaran yang dipaparkan menerusi laman Facebook, Hyundai Thailand telah mengesahkan Staria ini akan dilancarkan di negara berkenaan pada 9 Julai ini.

    Seperti imej yang dipaparkan di atas, kelihatannya Thailand akan menerima versi standard bagi MPV berkenaan, yang dilengkapi dengan kepingan gril yang sama dengan warna badannya dan lampu utama LED reflektor lebih kecil, berbanding gril tembaga yang menyerlah dan lampu pelbagai-projektor yang diberikan pada model Premium.

    Walau bagaimana pun, Staria masih tetap menyerlah berbanding dengan pesaingnya, ini termasuklah dengan rekaan ala kapal angkasa, lampu nyalaan siang LED nipis dan kelengkapan dalaman yang moden serta diberikan teknologi infotainmen dan paparan terkini Hyundai. Versi standard juga menawarkan beberapa konfigurasi tempat duduk dari tiga hingga ke 11 bangku, tetapi model Premium turut diberikan tempat duduk barisan kedua dengan gaya ala-kelas perniagaan.

    Model untuk Thailand ini juga dijangka akan didatangkan dengan versi Smartstream yang dinaiktaraf bagi 2.2 liter R turbodiesel, yang mampu menghamburkan kuasa hingga 177 PS dan tork 431 Nm serta dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan. Namun untuk pasaran negara lain, Staria juga diberikan pilihan enjin 3.5 liter V6 dengan kuasa 272 PS, tetapi mungkin tidak akan ditawarkan bagi rantau ini, di mana kenderaan komersil janaan diesel lebih menguasai pasaran.

    Adakah Malaysia bakal menjadi pasaran seterusnya yang akan dapat Staria? Di sini, ternyata tumpuan yang lebih ketara terhadap barisan kereta penumpang Hyundai termasuk banyak model baharu yang dilancarkan, malahan Palisade juga dikatakan bakal menantikan masa untuk dilancarkan di pasaran tempatan. Malah Starex juga antara model Hyundai yang agak mencatatkan kejayaan dalam jualan di sini, jadi untuk Staria, kena tunggu dan lihat adakah ia turut tersenarai untuk dibawa masuk ke pasaran tempatan.

     
     
  • Ford F-150 Raptor oleh Lego Technic tampil — 1,379 bahagian, enjin V6 dengan omboh bergerak, suspensi

    Ford F-150 Raptor oleh Lego Technic tampil — 1,379 bahagian, enjin V6 dengan omboh bergerak, suspensi

    Ford F-150 Raptor 2021 merupakan model kenderaan terbaru yang akan ditambah kepada barisan Lego Technic yang sebelum ini sudahpun menyertakan model-model lain seperti Bugatti Chiron, Ferrari 488 GTE, McLaren Senna GTR dan banyak lagi. Dijadualkan mula dijual bermula 1 Oktober nanti, set bernombor #42126 akan dijual pada harga USD99.99 (RM416) — satu harga yang masuk akal jika dibandingkan dengan model-model lain Lego.

    Untuk harga yang dibayar itu, ia mengandungi 1,379 bahagian untuk dipasang, dengan produk akhirnya ialah versi skala lebih kecil bagi jentera off-roader tersebut dengan ukuran panjang 42 cm, 18 cm lebar dan 15 cm tinggi. Rupa dan reka bentuknya memang menjadi daya penarik utama, tetapi ia juga hadir dengan elemen kejuruteraan yang turut memberi kelainan.

    Ford F-150 Raptor oleh Lego Technic tampil — 1,379 bahagian, enjin V6 dengan omboh bergerak, suspensi

    Pada Lego Technic F-150 Raptor ini, ada enjin V6 dengan omboh boleh bergerak terletak di bawah bonetnya. Pintu pula, termasuk untuk ruang barangan di belakang, boleh juga dibuka. Tidak ketinggalan komponen suspensi yang berfungsi serta sistem stereng yang membolehkan kenderaan kecil ini “dikendalikan”.

    Ciri yang ada ini menarik untuk dipasang dan dicuba. Namun, set model yang lebih mahal ada menawarkan lebih banyak ciri jika anda mampu menghadam tanda harga yang dikenakan. Sebagai contoh, Lego Technic Land Rover Defender (set #42110) dijual pada harga dua kali ganda lebih mahal, tetapi turut mempunyai aksesori tambahan serta transmisi yang berfungsi dengan tiga differential.

     
     
  • Volvo Cars catat jualan separa tahun pertama paling tinggi dalam sejarah; 380k unit dari Jan-Jun 2021

    Volvo Cars catat jualan separa tahun pertama paling tinggi dalam sejarah; 380k unit dari Jan-Jun 2021

    Volvo Cars telah mencatatkan rekod jualan kereta separa tahun yang paling tinggi dalam sejarah perniagaannya tahun ini – untuk enam bulan pertama 2021, jenama automotif Sweden berkenaan telah berjaya menjual sebanyak 380,757 kereta secara global, menyaksikan peningkatan 41% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Permintaan yang tinggi terhadap kereta-kereta syarikat berkenaan datangnya dari China, Amerika Syarikat dan Eropah. Kesemua tiga pasaran berkenaan mencatatkan pertumbuhan dua-digit untuk kali ini, selepas berhadapan dengan kejatuhan jualan tahun lalu kerana pandemik Covid-19.

    Jualan Volvo di Eropah, yang masih merupakan pasaran terbesarnya, meningkat 35.4% kepada 166,822 unit kereta, naik dari 123,191 unit pada separa pertama 2020. Manakala di China, jualan mereka naik 44.9% kepada 95,252 unit kereta (63,741 pada separa pertama 2020). Di Amerika Syarikat pula, peningkatan jualan yang dicatatkan adalah 47.4% kepada 63,754 unit kereta (naik dari 43,255 unit).

    Volvo juga telah berjaya menjual sebanyak 54,929 unit kereta ke pasaran-pasaran lain seluruh dunia, atau peningkatan sebanyak 45.4% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Volvo Cars catat jualan separa tahun pertama paling tinggi dalam sejarah; 380k unit dari Jan-Jun 2021

    Bagi separa pertama 2021 ini, model Volvo yang paling laris adalah SUV kompak XC40, dengan jualan sebanyak 118,121 di seluruh dunia. Angka tersebut adalah hampir sekali ganda berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 68,359 unit. Ia diikuti rapat oleh XC60 dengan jualan 113,500 unit (naik dari 78,761 unit), manakala XC90 pula dijual sebanyak 54,177 unit (naik dari 37,918).

    Menurut Volvo, model-model dengan teknologi elektrifikasi (hibrid dan elektrik sepenuhnya) yang kini diberikan lencana Recharged mewakili jualan sebanyak 24.6% dari jumlah keseluruhan jualan seluruh dunia, atau peningkatan sebanyak 150% berbanding separa pertama 2020.

    Jenama Scandinavia berkenaan turut menyatakan bahawa jualan kereta mereka yang dibuat secara atas talian juga kini telah meningkat sebanyak lima-kali ganda.

     
     
  • PKPD Selangor/KL: Bengkel kenderaan/pusat servis tidak dibenarkan beroperasi; menurut SOP terkini

    PKPD Selangor/KL: Bengkel kenderaan/pusat servis tidak dibenarkan beroperasi;  menurut SOP terkini

    Bermula esok (3 Julai) sehingga 16 Julai 2021, beberapa daerah di Selangor dan lokaliti di Kuala Lumpur terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Semua penduduk di kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing kecuali seorang sahaja wakil isi rumah keluar untuk membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 km dari kediaman

    KEMASKINI: Kerajaan baru sahaja mengeluarkan senarai SOP yang terkini (jam 7 malam menerusi saluran Telegram MKN rasmi) yang menyaksikan beberapa perubahan bagi seksyen perkhidmatan penting. Rombakan terkini itu tidak menyenaraikan “bengkel kenderaan atau pusat servis”, ini bermakna kedua-dua premis berkenaan tidak dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKPD ini. Artikel ini diedit semula sebagai makluman terkini buat semua.

    Sebelum ini, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, yang dilaksanakan di seluruh negara, bengkel kenderaan dan perniagaan alat ganti termasuk kedai tayar dibenarkan untuk beroperasi, dan ia tertakluk dengan terma ‘bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti’.

    PKPD Selangor/KL: Bengkel kenderaan/pusat servis tidak dibenarkan beroperasi;  menurut SOP terkini

    Maka, dengan SOP terkini tersebut, ini bermakna pusat servis dan bengkel kenderaan tidak dibenarkan untuk terus beroperasi (dalam kawasan PKPD), walau pun melibatkan kerja-kerja membaikpulih yang kritikal, selain servis berjadual mahu pun penyelenggaraan am.

    Dalam hal yang berkaitan, syarikat pengeluar kereta dijangka akan mengumumkan lanjutan servis berkala dan tempoh waranti dalam tempoh ini. Sementara itu, bengkel yang berada di kawasan yang tidak terlibat dengan PKPD masih dibenarkan beroperasi, dengan SOP yang ketat.

    Namun demikian, seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, semua bilik pameran di seluruh negara masih tidak dibenarkan beroperasi (cuma dibenarkan untuk tempahan secara dalam talian), begitu juga dengan kilang pengeluaran kenderaan juga dilarang untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP penuh dan sekarang, yang masih berada di Fasa Pertama di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN). Tetapi telah dimaklumkan sebelum ini, pusat mencuci kereta akan dibenarkan untuk kembali beroperasi dalam Fasa Kedua di bawah PPN.

     
     
  • PKPD Selangor/KL: 3 orang dalam satu kenderaan dibenarkan bagi urusan perubatan, vaksinasi – PDRM

    PKPD Selangor/KL: 3 orang dalam satu kenderaan dibenarkan bagi urusan perubatan, vaksinasi – PDRM

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan pergerakan bagi tiga orang dalam satu kenderaan termasuk pemandu kenderaan yang tinggal di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan namun hanya untuk urusan perubatan dan vaksinasi sahaja.

    Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, penduduk di lokaliti PKPD hanya perlu menunjukkan janji temu di aplikasi MySejahtera, laman web, kad janji temu atau mesej pesanan ringkat (SMS) kepada petugas di lokasi sekatan jalan raya (SJR).

    “Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, kebenaran pergerakan akan diberikan secara ‘case to case basis’ atau pertimbangan kes berkenaan. Orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bersama-sama memainkan peranan dalam usaha kerajaan bagi melandaikan lengkuk penularan wabak COVID-19,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Bermula esok (3 Julai) sehingga 16 Julai 2021, beberapa daerah di Selangor dan lokaliti di Kuala Lumpur terlibat dengan pelaksanaan PKPD. “Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh PDRM. Semua penduduk di kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing kecuali seorang sahaja wakil isi rumah keluar untuk membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 km dari kediaman,” ujar Menteri Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri dalam kenyataannya semalam.

     
     
  • Perodua ingatkan pelanggan jangan buat bayaran kepada nombor akaun persendirian – elak penipuan

    Perodua ingatkan pelanggan jangan buat bayaran kepada nombor akaun persendirian – elak penipuan

    Perodua telah mengeluarkan satu notis awam, memberi amaran awal kepada pelanggan sedia ada dan juga bakal pelanggan mereka berkenaan terdapat penipu yang menyamar sebagai wakil jualan dan meminta mereka membuat bayaran kepada akaun bank persendirian. Ingat, jangan buat sebegini dan kalau mahu membuat pembayaran, masukkan kepada akaun rasmi syarikat pengedar tersebut sahaja.

    “Kami telah menemui sekurang-kurangnya dua penyamar yang berlagak seperti wakil jualan Perodua, meminta pelanggan membuat bayaran tempahan atau bayaran pendahuluan kepada akaun persendirian. Kami mengambil peluang ini untuk mengingatkan pelanggan supaya hanya membuat pembayaran kepada akaun rasmi syarikat pengedar ataupun di kaunter pusat pameran sahaja,” kata presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Beliau turut menambah bahawa Perodua kini sedang bekerjasama dengan pihak polis berkenaan perkara itu. Di bawah adalah antara cara yang boleh anda buat dan elakkan apabila mahu membeli kenderaan Perodua baru (atau juga untuk kenderaan jenama lain). Selain daripada itu, anda juga mungkin mahu menyimpan tangkap layar perbualan mesej dengan wakil jualan.

    Perodua ingatkan pelanggan jangan buat bayaran kepada nombor akaun persendirian – elak penipuan

     
     
  • Nissan Navara Pro-4X Warrior dilancarkan di Australia – terima talaan suspensi dan kelengkapan lebih lasak

    Nissan Navara Pro-4X Warrior dilancarkan di Australia – terima talaan suspensi dan kelengkapan lebih lasak

    Seperti yang telah diumumkan bulan lalu, Nissan Australia telah pun melancarkan trak pikap istimewa untuk pasaran berkenaan, digelar sebagai Navara Pro-4X Warrior. Ini bukan model edisi isimewa dengan gimik kosmetik semata-mata, kerana ia dilengkapi dengan peralatan prestasi off-road yang serius!

    Model ini dibangunkan bersama firma kejuruteraan Australia, Premcar, yang sebelum ini turut terlibat dalam pembangunan Navara N-Trek Warrior untuk generasi sebelumnya. Model ini menerima pelbagai modifikasi bagi menjadikan ia sebuah jentera off-road yang boleh beraksi di laluan lasak, dan disifatkan “dihasilkan khas untuk Australia serta keadaan di Australia.”

    “Kami bertekad untuk menghasilkan Navara paling lasak di dunia, dan itu yang telah kami capai dengan Warrior baru ini. Ia perlu menjadi kenderaan yang pelanggan akan menikmatinya sama ada atas atau di luar jalan raya, memberikan keselesaan dan kemampuan tidak kira apa juga keadaan, sambil mempertingkatkan ketahanan Navara, dan menambahbaik kelasakannya untuk ke mana sahaja. Hasilnya adalah Warrior yang lebih kuat, lebih selamat dan lebih pintar, tetapi tidak kurang dari segi praktikal dan berkebolehan,” kata Bernie Quinn, pengarah di Premcar Engineering.

    Nissan Navara Pro-4X Warrior dilancarkan di Australia – terima talaan suspensi dan kelengkapan lebih lasak

    Warrior diasaskan dari Navara Pro-4X sedia ada dan masih mengekalkan enjin diesel empat-silinder 2.3 liter turbo berkembar yang menghasilkan 189 PS (187 hp) dan tork maksima 450 Nm. Walau bagaimanapun, enjin berkenaan adalah berbeza dengan Navara Pro-4X pasaran Malaysia yang dijana enjin diesel 2.5 liter empat silinder turbo berkuasa 190 PS (187 hp) dan 450 Nm.

    Walaupun masih mengekalkan enjin asal, model Warrior ini menerima perubahan yang signifikant pada casis. Jarak kelegaan tanah meningkat 40 mm kepada 260 mm, membolehkan sudut approch meningkat kepada 36 darjah dari 32 darjah, serta sudut berlepas meningkat kepada 19.8 darjah dari 19 darjah.

    Bampar hadapan digantikan dengan bull bar warna badan bersepadu dengan bar lampu LED, serta bersedia untuk dipasangkan dengan winch. Ia turut disertakan dengan plat bash berwarna merah, bersama pelindung bawah badan peringkat kedua dengan logam 3 mm yang turut menerima kemasan berwarna merah.

    Nissan Navara Pro-4X Warrior dilancarkan di Australia – terima talaan suspensi dan kelengkapan lebih lasak

    Suspensi model istimewa ini juga telah ditala semula yang bukan sahaja meninggikan lagi badan trak pikap ini, malah ia turut memberikan keselesaan serta pengendalian lebih baik tidak kira pada laluan atas jalan raya atau off-road. Perubahan yang dibuat termasuk menggunakan spring baharu yang memberikan lebih sokongan di hadapan serta kurang olengan badan, manakala penyerap hadapan ditala bagi memberikan serapan kelajuan rendah bagi meningkatkan isolasi jalan raya dan keselesaan.

    Suspensi berkenaan juga diberikan kadar lantunan dan tekanan kelajuan tinggi yang dipertingkatkan – 50% di hadapan dan 100% di belakang – bagi memberikan kawalan roda lebih baik serta mengelakkan hentaman atas dan bawah ketika dikenakan impak yang besar.

    Penyerap hentak belakang pula ditala bagi mendapatkan kawalan kelajuan rendah dengan dikeraskan lagi untuk mengurangkan kesan terapung ketika menunda dan membawa beban pada bed. Kadar serapan lantunan di belakang turut dipertingkat lebih dari 50% bagi meningkatkan kestabilan pengendalian, bersama serapan tekanan turut ditambahbaik.

    Jounce bumper pada suspensi Warrior ini turut menerima ubahsuai. Ia kini bukan sahaja lebih besar dan lebih tinggi, tetapi juga berhubung dengan rel casis lebih cepat ketika suspensi bergerak turun dan naik. Ini membolehkan ia memberikan kadar lebih progresif mengawal pergerakan roda ketika suspensi bergerak pada kadar paling tinggi.

    Navara Pro-4X Warrior ini turut menerima rim 17-inci baharu yang dibaluti tayar All-Terrain Cooper Discoverer AT3 bersaiz 275/70R17. Dengan set roda yang lebih lebar ini, ia turut diberikan fender flare pada setiap ruang roda menjadikan trek keseluruhannya 30 mm lebih lebar.

    Menurut Nissan, tayar yang lebih lasak berkenaan menawarkan bunga tayar yang lebih dalam, di mana ia sangat berguna dalam laluan off-road dalam masa yang sama tidak menghasilkan bunyi yang kuat di atas jalan raya. Tambahan lain termasuk pakej pelekat badan Warrior, bar tunda yang diubahsuai dan juga sulaman pada perehat kepala tempat duduk.

     
     
  • BMW Motorrad perkenal model 2022 – perubahan warna dan pakej, mekanikal kebanyakan masih sama

    BMW Motorrad perkenal model 2022 – perubahan warna dan pakej, mekanikal kebanyakan masih sama

    BMW Motorrad telah memperkenalkan barisan model tahun 2022 mereka, yang terdiri daripada S1000RR, S10000XR, R1250GS, R1250RT, R1250RS, F900XR, F900R, F850GS, F850GSA, F750GS, RnineT Scrambler, RnineT Urban GS, G310R, G310GS dan R18. Kebanyakan model ini hanya diberi perubahan warna, tetapi masih ada beberapa yang didatangkan dengan peningkatan sistem serta pakej.

    Bermula dengan S1000RR, gaya baru yang diperkenalkan adalah Style Passion yang menggunakan warna kelabu Mineral. Mekanikal tidak diubah, tetapi ia kini datang terus dengan kit M Chassis yang terdiri daripada swinging pivot point dan rear lift.

    Kemudiannya bagi pilihan tambahan, pakej Dynamic datang dengan perisian baru iaitu Riding Modes Pro, DDC, Cruise Control serta pemanas tangan. Pakej Race pula menyediakan rantai M Endurance serta ekzos sama ada jenis sports atau M Titanium manakala pakej M memberikan tempat duduk M Sports, bateri M, GPS Laptrigger, rim sama ada M Carbon atau M Forged serta penutup tangki bahan api warna hitam.

    Satu lagi pakej adalah pek Billet, yang datang dengan tuil brek dan klac M, peletak kaki M, pelindung tuil brek, pelindung enjin serta pelindung tuil klac. Semua pakej ini boleh digabungkan atau diambil secara berasingan.

    Pergi kepada model sports adventure S1000XR, gaya baru yang diperkenalkan adalah Triple Black yang menggunakan warna Black Storm Metallic, Racing Red dan Light White/M Motorsport. Pakej M baru yang disediakan untuk model ini hanya boleh didapati pada versi Light White/M Motorsport.

    Untuk model R1250RT, selain gaya baru, iaitu Triple Black berwarna Black storm Metallic, perisian sistemnya juga dinaik taraf untuk memberi fungsi baru, butang Favourite yang boleh ditetapkan mengikut kegemaran pengguna, serta peningkatan pada operasi dan paparan A-Kombi (tersedia Oktober 2021).

    BMW Motorrad perkenal model 2022 – perubahan warna dan pakej, mekanikal kebanyakan masih sama

    Model R1250RS diperkenalkan dengan gaya baru Style Sport berwarna Light White dengan rangka merah sementara R1250GS pula cuma diberikan pilihan kelengkapan tambahan baru iaitu tapak untuk kotak barangan aluminium.

    Bagi F900R, terdapat dua gaya baru iaitu Exclusive yang menggunakan warna Blue Stone Metallic, dan Sport yang menggunakan gabungan warna Light White, Racing Blue Metallic dan Racing red (versi ini juga datang dengan spoiler enjin. Model adventure F900XR pula diberikan gaya baru Triple Black dengan warna Black Storm Metallic (datang dengan pelindung tangan).

    Tiga model GS pertengahan, iaitu F850GS, F850GS Adventure dan F750GS kini boleh didapati dengan gaya baru Triple Black yang menggunakan warna Black Storm Metallic sementara warna istimewa edisi 40 tahun sudah dikeluarkan daripada pilihan.

    Pergi pula kepada model bentuk klasik RnineT, kedua-dua versi Scrambler dan Urban GS diberikan pilihan tambahan tayar jenis offroad di dalam katalognya dan warna baru Imperial Blue Metallic cuma disediakan untuk Urban GS sahaja.

    Turut tidak ketinggalan dengan penampilan baru ini adalah model paling kecil BMW. G310GS diberikan pilihan gaya Triple Black baru yang menggunakan warna Cosmicblack sementara G310R pula tampak menyerlah dengan gaya Passion baru yang menggunakan warna Kyanite Blue Metallic bersama rim merah.

    GALERI: BMW S1000RR dan S1000XR 2022

    GALERI: BMW F900R dan F900XR 2022

    GALERI: BMW F850GS dan F850GS Adventure 2022

    GALERI: BMW R1250RT dan R1250RS 2022

    GALERI: BMW G310R dan G310GS 2022

    GALERI: BMW RnineT 2022

     
     
  • MINI John Cooper Works Countryman facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI F60 dengan 306 PS, RM375k

    MINI John Cooper Works Countryman facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI F60 dengan 306 PS, RM375k

    Dilancarkan bersama MINI John Cooper Works 3 Door, MINI Malaysia turut memperkenalkan versi JCW bagi Countryman facelift, yang menerima sedikit perubahan luaran dan dalaman.

    Harga atas jalan yang ditawarkan adalah RM375,493 tanpa insurans, di mana ia lebih mahal sebanyak RM19,000 berbanding sebelum ini, namun ditawarkan dengan kit ekstra secara standard. Namun jika harganya ditambah dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan juga waranti dua-tahun tanpa had perbatuan, termasuk waranti lima-tahun dan pakej servis, harganya boleh mencecah RM383,463.

    Tiada perubahan di bawah bonetnya, ia masih mengekalkan enjin B48 2.0 liter turbo empat-silinder – sama seperti BMW M135i dan X2 M35i – dengan menghamburkan 306 PS dari 5,000 hingga 6,250 rpm dan tork 450 Nm antara 1,750 dan 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, sistem pacuan semua roda MINI all4 dan juga mechanical locking front differential, membolehkan JCW ini dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 5.1 saat.

    MINI John Cooper Works Countryman facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI F60 dengan 306 PS, RM375k

    Untuk bahagian luaran, ia diberikan sedikit perubahan termasuklah rekaan semula bagi lampu utama LED adaptif (dengan projektor bersegi dan gegelung lampu nyalaan siang), lampu belakang LED Union Jack gelap dan bampar belakang yang lebih bersudut dengan reflektor menegak yang lebih besar.

    Manakala bampar hadapan dengan tiga corong pengambilan masih tidak berubah, begitu juga dengan skirt sisi, paip ekzos berkembar dan spoiler pada tailgate. JCW juga didatangkan dengan bumbung merah, perumah cermin sisi merah, jaluran bonet merah dan roda aloi dua-tona Circuit Spoke 19-inci dengan tayar fun-flat serta cakera brek besar 360 mm untuk hadapan dan 330 mm di belakang.

    Di dalamnya, JCW menerima paparan instrumen digital lima-inci baharu, sama seperti model elektrik Cooper SE 3 Door dan juga bezel hitam berkilat dan butang di atas dan di bawah pada skrin sesentuh tengah 8.8-inci. Sentuhan unik bagi JCW termasuklah tempat duduk upholstery JCW dengan material kulit Carbon Black dan gentian mikro Dinamica, serta roda stereng balutan kulit Nappa tebal serta kemasan pemuka hitam berkilat bersama jaluran selahan merah.

    MINI John Cooper Works Countryman facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI F60 dengan 306 PS, RM375k

    Kit standard yang diberikan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik dwi-zon dengan corong belakang, cermin auto kelam, larasan tempat duduk manual, bantuan parkir, paparan utama, ketersambungan Apple CarPlay, sistem bunyi Harman Kardon 12-pembesar suara, kamera undur, bangku piknik di belakang dan tailgate kuasa bebas-tangan. Dan buat pertama kalinya, JCW turut menerima pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi.

    Sama seperti versi 3 Door, JCW Countryman juga kini didatangkan kelengkapan standard termasuk pakej Bantuan Pemanduan, yang ditambah dengan brek kecemasan sendiri dan juga bantuan kekal lorong baharu. Manakala ciri lain seperti enam beg udara, kawalan kestabilan dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang masih dikekalkan.

     
     
  • Proton X70 Special Edition bakal tampil di Malaysia — luaran dua-tona warna, rim 19-inci baru, 2,000 unit

    Proton X70 Special Edition bakal tampil di Malaysia — luaran dua-tona warna, rim 19-inci baru, 2,000 unit

    Tidak berapa lama dahulu, Proton X70 SE khabarnya akan diperkenalkan di Malaysia. Perincian bagi versi Special Edition berkenaan, yang pertama kali terdedah Mei lalu melalui risalah produk yang terbocor, kini sudah ditunjukkan secara rasmi oleh pengeluarnya.

    Awal sebelum pengenalan model ini, Proton telah menganjurkan peraduan “Proton X70 SE Knowledge Challenge” dalam kalangan pengedarnya, dan pihak kami sendiri terlibat juga sebagai panel juri. Peraduan berkenaan diadakan untuk menyegarkan kembali pengetahuan pengedar dan penasihat jualan terhadap X70 dan SE, agar mereka boleh memberikan layanan dan maklumat kepada pelanggan dengan lebih baik.

    Proton X70 Special Edition bakal tampil di Malaysia — luaran dua-tona warna, rim 19-inci baru, 2,000 unit

    Model edisi khas ini menggunakan asas daripada varian Premium X70, dan dari sudut spesifikasi ia sama sahaja dengan versi X70 Exclusive Edition yang diperkenalkan untuk pasaran Brunei bulan lalu. Tidak seperti versi EE, yang hanya terhad kepada 37 unit sahaja, SE untuk Malaysia akan dikeluarkan sebanyak 2,000 unit.

    Seperti yang dinyatakan terdahulu, SE menerima warna luaran Ocean Blue, dengan cermin sisi, spoiler belakang dan bumbung dalam warna hitam, memberikannya imej dua-tona, mirip dengan X70 Edisi Merdeka yang ditawarkan pada tahun 2019. Selain skim warna terbaru itu, ia juga menampilkan lencana SE di belakang serta rim 19-inci yang rekaannya sama dengan yang ada pada Geely Boyue Pro.

    Proton X70 Special Edition bakal tampil di Malaysia — luaran dua-tona warna, rim 19-inci baru, 2,000 unit

    Di dalam, kemasan dalaman dengan warna lebih gelap digunakan, serta lencana SE pada pelapik kaki. Kerusi balutan kulit Nappa hitam juga baru diperkenalkan untuk model ini, dengan jahitan warna kontras putih dan merah. Stereng pula sama, hadir dengan benang warna kontras merah dan putih.

    Tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan. Ia menggunakan enjin 1.8 liter turbocas empat-silinder yang menawrkan 184 PS (181 hp) dan 300 Nm tork. Ini digandingkan pula dengan transmisi klac berkebar basah tujuh-kelajuan yang mengantar kuasa ke roda depan.

     
     
  • Toyota Australia henti ambil tempahan GR Yaris – permintaan terlalu tinggi, tak dapat tampung bekalan

    Toyota Australia henti ambil tempahan GR Yaris – permintaan terlalu tinggi, tak dapat tampung bekalan

    Disebabkan permintaan yang terlalu tinggi melebihi apa yang boleh dibekalkan, Toyota Australia terpaksa menghentikan dahulu tempahan untuk hot-hatch GR Yaris bermula 1 Julai 2021. Menurut laporan CarAdvice, untuk pelanggan yang menempah kereta berkenaan pada April lalu, mereka hanya akan menerima kereta mereka pada awal tahun hadapan.

    “Bagi menyokong peminat yang bersungguh-sungguh dan penghantaran semua kenderaan yang telah ditempah oleh pelanggan sehingga kini, Toyota Australia telah membuat keputusan untuk menghentikan sementara pengambilan tempahan akan datang bagi GR Yaris bermula 1 Julai, dan pengumuman untuk mengambil semula tempahan kereta yang sangat digemari ini dijangka akan dibuat tidak lama lagi,” kata Toyota Australia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    “GR Yaris merupakan pilihan peminat yang bersemangat dan kami gembira kerana dapat mencetuskan semula pasaran kereta berprestasi. Kereta ini terus melebihi jangkaan dan kami melihat ke hadapan untuk meneruskan momentum kami dengan jenama GR di Australia,” kata Sean Hanley, naib presiden untuk jualan, pemasaran dan operasi franchais Toyota Australia.

    Toyota Australia henti ambil tempahan GR Yaris – permintaan terlalu tinggi, tak dapat tampung bekalan

    Menurut Toyota lagi, sekitar 1,700 unit GR Yaris telah dihantar kepada pelanggan di Australia sejak ia dilancarkan di negara berkenaan pada November 2020, mewakili sekitar 40 hingga 45 peratus jumlah jualan Toyota Yaris dalam tempoh yang sama. Jumlah berkenaan tidak termasuk “lebih 2,200 tempahan GR Yaris dan GR Yaris Rallye” yang diterima sehingga April 2021.

    GR Yaris merupakan model yang dihasilkan Toyota sebagai model ‘homologation special’ bagi membolehkan mereka menghasilkan jentera Kejuaraan Rali Dunia (WRC) yang lebih kompetitif dan menerima sentuhan istimewa lagenda dan juara WRC empat kali, Tommi Makinen.

    Ia dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, menghasilkan 261 PS dan tork maksima 360 Nm (272 PS/370 Nm untuk GR Yaris JDM). Ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (memberikan fungsi heel & toe automatik), bagi memastikan ia dimiliki oleh mereka yang benar-benar suka memandu.

    Toyota Australia henti ambil tempahan GR Yaris – permintaan terlalu tinggi, tak dapat tampung bekalan

    Jentera rali untuk jalan raya ini turut digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four. Dengan Performance Pack pada GR Yaris Rallye, ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

    Ini membolehkan ‘pocket rocket’ ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

    Model ini telahpun dilancarkan di Malaysia pada Disember 2020, tetapi kita hanya menerima sejumlah 127-unit dari 25,000 yang dihasilkan untuk pasaran global – kesemua unit tersebut telahpun habis dijual tidak sampai sebulan. Mujur kami sempat memandu uji GR Yaris ini di Sepang dan anda boleh baca laporannya pada PAUTAN INI.

     
     
  • Pelan Nissan EV36Zero didedahkan — crossover EV terbaru ditunjuk, hab pengeluaran EV di Sunderland, UK

    Pelan Nissan EV36Zero didedahkan — crossover EV terbaru ditunjuk, hab pengeluaran EV di Sunderland, UK

    Nissan telah mengumumkan pelan EV36Zero, yang bertujuan untuk memperkukuh komitmen syarikat itu untuk UK. Pelan yang digariskan adalah cukup penting, dengan melibatkan pembinaan hab kenderaan elektrik flagship dengan pelaburan keseluruhan satu bilion Pound (RM5.7 bilion).

    Tertumpu kepada kilang Sunderland syarikat itu yang sudah beroperasi sejak 1986, fasiliti terbaru itu akan bertanggungjawab mengeluarkan crossover elektrik sepenuhnya serba baru yang belum diberikan nama lagi. Pengeluar Jepun itu juga ada menunjukkan teaser ketika taklimat, dan rekaan yang ditampilkan mirip model Ariya, tetapi dengan garis bumbung lebih dinamik dan belakang lebih rata.

    Tidak banyak perincian yang turut didedahkan setakat ini, namun ada dinyatakan bahawa EV berkenaan direka untuk pasaran global dan akan dibangun menggunakan platfrom Alliance CMF-EV, yang turut digunakan pada Ariya dan Renault Megane E-Tech Electric.

    Pelan Nissan EV36Zero didedahkan — crossover EV terbaru ditunjuk, hab pengeluaran EV di Sunderland, UK

    Syarikat itu mensasarkan kapasiti produksi mencecah 100,000 unit akan dipasangkan dan EV baru yang dikeluarkan di UK itu akan dieksport ke pasaran Eropah lainnya. Memandangkan ia akan menjadi model global, crossover berkenaan turut akan dipasang di lokasi lain, dan akan disahkan kemudian.

    Selain daripada pelan dan crossover baru ini, melibatkan pelaburan 423 juta pound (sekitar RM2.4 bilion), Nissan turut mengesahkan yang Envision AESC akan melabur sebanyak 450 juta pound (sekitar RM2.6 bilion) untuk membina gigafactory pertama UK untuk membekalkan bateri yang akan digunakan oleh EV Nissan. Kemudahan Envision AESC terbaru ini akan terletak di International Advanced Manufacturing Park (IAMP), bersebelahan kilang Nissan.

    Pelan asalnya adalah untuk mengeluarkan sembilan GWh, dengan potensi pelaburan masa depan 1.8 bilion pound (sekitar RM10.3 bilion) menjadikan jumlah itu kepada 25 GWh atau mungkin 35 GWh. Kilang ini akan membantu meningkatkan tahap kecekapan kos bateri EV yang dibuat di UK, termasuk melalui sel bateri Gen5 yang menyediakan 30% lebih ketumpatan bateri untuk jarak yang lebih baik.

    Pelan Nissan EV36Zero didedahkan — crossover EV terbaru ditunjuk, hab pengeluaran EV di Sunderland, UK

    Pelan EV36Zero turut merangkumi penggunaan tenaga diperbaharui untuk pengeluaran kenderaan dan bateri yang terlibat. Untuk ini, Majlis Bandaraya Sunderland mendahului projek yang mensasarkan penyediaan 100% “Microgrid” elektrik boleh diperbaharui yang akan menjimatkan 55,000 tan karbon setahun.

    Ini akan disertakan bersama “ladang” solar dan angin Nissan sedia ada, dengan perancangan asal mencadangkan mungkin ada sekitar 10 “ladang” seumpamanya yang menjana 132 MW tenaga. Projek berkenaan dijangka menelan pelaburan 80 juta pound (sekitar around RM459 juta) dan akan memperlihatkan kemampuan sistem simpanan bateri 1 MW menggunakan bateri Nissan EV dan AESC hayat-kedua.

     
     
  • Ini gambar sebenar Honda BR-V generasi baru? Imej paten untuk versi produksi N7X Concept tertiris

    Ini gambar sebenar Honda BR-V generasi baru? Imej paten untuk versi produksi N7X Concept tertiris

    Mei lalu, Honda Indonesia telah mendedahkan N7X Concept, iaitu prebiu kepada model SUV tujuh tempat duduk yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. N7X atau “New 7-Seater eXcitement” ini direka oleh Honda R&D Asia Pacific, dan ia dikatakan adalah model produksi bagi model yang akan menggantikan Honda BR-V yang telahpun berada dalam pasaran sejak 2015.

    Honda telah memberikan bayangan bahawa N7X bakal didedahkan dalam bentuk produksi sebenar pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini yang dijadualkan akan berlangsung pada Ogos nanti. Tapi nampaknya ini mungkin akan sedikit merencatkan ‘kejutan’ yang akan Honda buat nanti – imej paten untuk model produksi tersebut telah pun dijumpai dalam pangkalan data Direktorat Jenderal Kekayaan Intelektual (DJKI), iaitu pihak yang bertanggungjawab terhadap perlindungan harta intelek di Indonesia.

    Imej berkenaan memaparkan versi produksi N7X tersebut adalah sama sepenuhnya dengan model konsep yang didedahkan tempoh hari. Tetapi ia tidaklah menghairankan kerana sudah menjadi trend untuk Honda kebelakangan ini yang mendedahkan model-model ‘prototaip’ yang menampilkan rupa sama seperti model produksi sebenar seperti Honda e (Prototype) dan Civic (Prototype) generasi ke-11.

    Ini gambar sebenar Honda BR-V generasi baru? Imej paten untuk versi produksi N7X Concept tertiris

    Kesemua perincian-perincian utama kelihatan pada model produksi sebenar ini termasuk gril hadapan yang terdiri jalu-jalur dan bar krom, diapit oleh lampu hadapan yang tajam bersama jalur LED lampu nyalaan siang bina dalam berbentuk-L, mirip Honda Odyssey terkini.

    Perbezaan yang dapat kami lihat hanyalah jalur LED pada perumah lampu kabus yang tidak lagi disertakan pada model produksi sebenar ini. Walau bagaimanapun, set imej ini tidak disertakan dengan imej-imej bahagian dalaman. Namun seperti juga sebelum ini, kami percaya tidak akan ada perubahan besar antara versi prototaip dan juga model produksi sebenar nanti.

    Apa pun, semua perincian sebenar berkenaan model ini perlu kita tunggu sehingga ia didedahkan secara rasmi Ogos nanti. Ini kerana ada laporan sebelum ini yang menyatakan bahawa N7X bukanlah versi baharu untuk BR-V atau model asasnya dalam bentuk MPV sebenar iaitu Honda Mobilio.

    Ini gambar sebenar Honda BR-V generasi baru? Imej paten untuk versi produksi N7X Concept tertiris

    “Honda N7X Concept tidak menunjukkan secara spesifik terhadap model-model sedia ada. Tetapi N7X adalah gambaran bagaimana model tujuh-tempat duduk perlu dihasilkan,” kata Yusak Billy, pengarah jualan dan pemasaran Honda Prospect Motor’s (HPM) ketika itu.

    Turut dinyatakan, model prototaip tersebut menggabungkan keselesaan dan ruang sebuah MPV kelas permulaan dengan ketahanan serta rupa yang tinggi sebuah SUV kelas permulaan. Tiada dimensi didedahkan, tetapi difahamkan bahawa N7X ini adalah lebih panjang, lebih lebar dan lebih tinggi dari Mobilio dan BR-V sedia ada.

    Walau bagaimanapun, jurnalis Indonesia, Indra Fathan mendakwa bahawa model produksi N7X ini kelak akan terus digelar BR-V berdasarkan apa yang dia jumpa di Sistem Administrasi Manunggal Satu Atap (Samsat), iaitu sistem yang menyelia caj cukai kenderaan tahunan di negara berkenaan.

    Model BR-V sedia ada menggunakan kod nama DG1 (enjin petrol) dan DG2 (enjin diesel), tetapi pada pengkalan data Samsat menyenaraikan satu kod nama baru iaitu DG3. Lima varian turut disenaraikan iaitu 1.5 S MT, 1.5 E MT, 1.5 E CVT, 1.5 Prestige CVT dan 1.5 Prestige HS CVT.

    Ini turut membayangkan bahawa model tertinggi BR-V genenasi baharu tersebut kelak turut akan ditawarkan dengan sistem Honda Sensing (HS). Pada model prototaip N7X, ia jelas disertakan dengan kamera Honda LaneWatch, iaitu kamera pemantau titik buta yang menjadi salah satu ciri dari Honda Sensing.

    GALERI: Honda N7X Concept

     
     
  • Tempat letak kereta di bahu jalan sekitar KL percuma mulai 2 Julai hingga 31 Ogos 2021 – Menteri WP

    Tempat letak kereta di bahu jalan sekitar KL percuma mulai 2 Julai hingga 31 Ogos 2021 – Menteri WP

    Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter petang tadi mengumumkan pemandu kenderaan akan dikecualikan daripada membayar parkir di tempat letak kereta di bahu jalan sekitar ibu kota mulai mulai esok (2 Julai) sehingga 31 Ogos 2021.

    Menurut beliau, ini merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan untuk meringankan beban warga kota.

    “Saya bersetuju mulai esok sehingga 31 Ogos, semua tempat letak kereta bahu jalan dalam kawasan bandar raya Kuala Lumpur adalah percuma. Pengguna tidak perlu bayar apa-apa dan diharap penjimatan itu dapat digunakan untuk membeli barang keperluan keluarga,” katanya menerusi ciapan tersebut.

    Walau bagaimana pun, beberapa lokaliti di sekitar Kuala Lumpur bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 3 hingga 16 Julai 2021. Jadi, jika tiada sebarang urusan kecemasan, atau pun benar-benar mustahak, sila terus berada di rumah masing-masing. Dan terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan penularan COVID-19.

     
     
  • PKPD dilaksana di S’gor, KL mulai 3-16 Julai; seorang wakil isi rumah dibenar keluar beli barang keperluan

    PKPD dilaksana di S’gor, KL mulai 3-16 Julai; seorang wakil isi rumah dibenar keluar beli barang keperluan

    Hari ini, dilaporkan kes positif COVID-19 mencecah 6,988 kes, jurang yang terlalu jauh berbanding 1 Julai 2020 di mana hanya 1 kes positif sahaja yang diumumkan. Rakyat sudah mendesak untuk kerajaan bertindak lebih agresif bagi mengurangkan, dan melandaikan statistik kes COVID-19. Malahan, hari ini, Selangor masih kekal menjadi ‘juara carta’ dengan catatan kes tertinggi iaitu 2,885 kes dan diikuti dengan Kuala Lumpur (988 kes).

    Justeru, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) di beberapa mukim di Selangor dan lokaliti di KL selama 14 hari iaitu 3 hingga 16 Julai 2021.

    “Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Semua penduduk di kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing kecuali seorang sahaja wakil isi rumah keluar untuk membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 km dari kediaman,” ujar Menteri Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri, dalam sidang akhbar harian petang tadi.

    PKPD dilaksana di S’gor, KL mulai 3-16 Julai; seorang wakil isi rumah dibenar keluar beli barang keperluan

    Untuk Kuala Lumpur, lokaliti yang terlibat adalah seperti berikut:

    • PPR Sri Semarak
    • PPR Batu Muda
    • Flat Seksyen 2, Wangsa Maju
    • Flat Seksyen 1, Wangsa Maju
    • Kampung Padang Balang
    • Taman Koperasi Polis (Phase 1 & 2)
    • Flat Sri Sabah
    • Kampung Puah
    • PPR Kampung Baru Air Panas
    • Flat Desa Pandan (including Baiduri & Delima)
    • Kampung Batu Muda
    • PPR Kerinchi
    • Bandar Baru Sentul
    • Taman Ikan Emas

    Manakala daerah di Selangor yang terbabit dengan PKPD adalah:

    Daerah Petaling

    • Petaling
    • Damansara
    • Sg Buloh
    • Bukit Raja

    Daerah Hulu Langat

    • Hulu Langat
    • Ampang
    • Cheras
    • Kajang
    • Semenyih
    • Beranang

    Daerah Sepang

    • Dengkil
    • Labu
    • Sepang

    Daerah Gombak

    • Batu
    • Rawang
    • Setapak
    • Hulu Kelang
    • Kuang

    Daerah Kuala Langat

    • Tanjung 12 (1)
    • Tanjung 12 (2)
    • Teluk Panglima Garang
    • Morib
    • Bandar
    • Jugra
    • Batu

    Daerah Klang

    • Kapar
    • Klang

    Daerah Kuala Selangor

    • Ijok
    • Bestari Jaya
    • Jeram

    Daerah Hulu Selangor

    • Serendah
    • Rasa
    • Ulu Yam
    • Batang Kali

    Tambah Ismail, “Tiada sebarang pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas jam 8 malam kecuali kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran PDRM.”

    Jelasnya lagi, hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian dibenar beroperasi dan pekerja selain perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD. Walau bagaimana pun, restoran, gerai makan, penjaja tepi jalan dibenar beroperasi 8 pagi hingga 8 malam dengan pembelian makanan secara bawa pulang (take away), pandu lalu atau penghantaran sahaja dibenarkan.

    Untuk itu, kami seru semua yang berada di Malaysia, tidak kiralah sama ada anda rakyat marhaen, ahli politik mahu pun golongan kayangan, tolonglah terus mematuhi SOP, jangan pentingkan diri sendiri dan bersamalah kita memutuskan rantaian COVID-19 ini. Waima kita sudah jenuh atau bosan ‘terkurung sebegini’, tetapi demi keselamatan bersama, marilah ‘kita terus jaga kita’.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025