Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Kona N Line 2021 muncul lagi dalam teaser

    Hyundai Kona N Line 2021 muncul lagi dalam teaser

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) sekali lagi memaparkan imej Kona N Line menerusi laman Facebook, memberikan bayangan ia bakal dilancarkan tidak lama lagi. Bulan lalu, teaser pertama crossover segmen-B ini dipaparkan, ketika model Kona facelift dilancarkan secara maya.

    Perubahan yang dilakukan berbanding Kona standard termasuklah bahagian hadapan baharu yang lebih agresif, dengan corong pengambilan udara yang lebih besar, splitter hadapan dan fin yang terletak di sudut bampar berwarna perak, serta tiga inlet palsu yang diletakkan di atas gril. Gril pula menampilkan bentuk-Y, sementara corong pengambilan udara dengan kemasan honeycomb yang unik.

    Selain itu, ia turut menampilkan skirt sisi yang lebih tajam dan bampar belakang yang dirombak semula dengan diffuser yang lebih besar, dua paip ekzos tersembunyi, corong sudut dan fin palsu yang dikatakan untuk mempertingkatkan aliran udara. Bukan itu sahaja, perubahan luaran juga melibatkan penampilan roda aloi dua-tona 18-inci dengan gaya ala turbin yang unik.

    Untuk bahagian dalamnya pula, N Line juga berbeza dengan model standard, ia diberikan pedal logam, tempat duduk dengan jahitan merah, tombol gear dengan jaluran merah dan logo N pada roda stereng, tombol gear dan tempat duduk. Manakala fabrik hitam, kulit dan suede upholstery ditawarkan secara pilihan, cuma belum dipastikan material mana yang pasaran kita akan peroleh.

    Tiada perubahan mekanikal yang dilakukan, dengan N Line menerima enjin 1.6 liter pengecas turbo dan suntikan terus petrol yang membezakannya dengan model 2.0 liter naturally-aspirated. Untuk model facelift ini juga, turut diberikan penjana kuasa yang dipanggil Smartstream G1.6 T-GDi, turut menerima sistem Continuous Variable Valve Duration (CVVD) baharu.

    Enjin tersebut memberikan tambahan kuasa sebanyak 21 PS, dengan jumlah keseluruhan output mencecah 198 PS pada 6,000 rpm. Manakala tork puncaknya mencecah 265 Nm dari 1,800 hingga 4,500 rpm. Membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat. Transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan juga diberikan sebagai varian tunggal untuk kotak gear bagi enjin ini.

    Mengenai harganya pula, pastinya ia lebih tinggi berbanding model standard. Malah ia juga pasti lebih mahal berbanding varian 1.6 Turbo yang dijual pada harga RM151,888. Bukan itu sahaja, ia juga dijangka bakal ditawarkan dengan beberapa kit tambahan untuk membuatkan harganya lebih berbaloi. Untuk mengetahui perincian penuh, kena tunggu pelancarannya tidak lama lagi.

     
     
  • Proton Pakistan umum penghantaran kereta yang ditempah lambat tiba kerana kilang di M’sia tutup

    Proton Pakistan umum penghantaran kereta yang ditempah lambat tiba kerana kilang di M’sia tutup

    Proton Pakistan yang diuruskan oleh Al-Haj Automotive mengumumkan bahawa penghantaran kereta-kereta yang ditempah oleh pelanggannya akan mengalami kelewatan kerana kilang Proton di Malaysia tutup akibat Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang sedang dilaksanakan serta dilanjutkan sehingga 28 Jun nanti.

    “Kerana sekatan pergerakan yang dilanjutkan, keseluruhan aktiviti perniagaan telah terjejas teruk serta pergerakan barangan dan servis masih kekal dibekukan. Oleh itu, kami jangkakan penghantaran untuk anda turut akan mengalami kelewatan dan kami memohon maaf.

    “Kami menyedari sepenuhnya bahawa pelanggan setia kami menantikan penghantaran mereka dengan bersungguh-sungguh dan kami akan memantau dengan dekat situasi yang tidak menentu ini. Kami minta kesabaran dan sokongan dari anda dalam tempoh ujian ini,” tulis kenyataan yang disiarkan.

    Buat masa sekarang dua model Proton telah dilancarkan di Pakistan iaitu SUV segmen-C Proton X70 yang dijana oleh enjin 1.5L turbo GDI dan juga sedan mampu milik Proton Saga. Kesemua stok kenderaan yang dijual di pasaran tersebut juga adalah diimport sepenuhnya dari Malaysia.

    Walau bagaimanapun Saga dan X70 bakal diproduksi di kilang yang terletak di Karachi bermula suku ketiga tahun ini, menerusi fasiliti yang dibangunkan sendiri oleh Al-Haj Automotif. Menurut Proton, operasi CKD di Pakistan berkenaan kemudian turut akan disertai oleh X50, setelah ia diperkenalkan di pasaran tersebut.

    Kilang baharu di Karachi berkenaan yang telah pun diumumkan pada 2019 sepatutnya sudah mula beroperasi sebelum akhir tahun lalu, dan ia dirancang untuk mampu menghasilkan 25,000 unit kereta setahun, serta dijangka menyediakan sekitar 2,000 peluang pekerjaan terus dalam masa tiga tahun pertama operasinya, bersama lebih 20,000 peluang kerja tidak terus kesan dari kewujudan kilang tersebut.

     
     
  • Acura TLX Type S dipilih sebagai pace car untuk perlumbaan ‘Race to the Clouds’ Pikes Peak Hill Climb

    Acura TLX Type S dipilih sebagai <em>pace car</em> untuk perlumbaan ‘Race to the Clouds’ Pikes Peak Hill Climb

    Sedan sport dari divisi mewah Honda yang baru sahaja dilancarkan, Acura TLX Type S 2021 telah pun dipilih sebagai pace car untuk perlumbaan naik bukit terulung, Pikes Peak Interntional Hill Climb (PPIHC) pada 27 Jun ini.

    Kereta tersebut akan dipandu oleh Ant Anstead, personaliti rancangan TV yang terkenal menerusi program Wheeler Dealers dan Master Mechanic. Ant kini merupakan pengasas bersama Radford Motors, juga dianggotai oleh bekas pemandu F1, Jenson Button yang kini sedang membangunkan kereta sport yang diinspirasikan dari Lotus Type 62.

    Acura TLX Type S dijana oleh enjin V6 3.0 liter turbo yang berkuasa 355 hp serta tork maksima 480 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear 10-kelajuan automatik, manakala kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) bersama sistem torque vectoring.

    Acura TLX Type S dipilih sebagai <em>pace car</em> untuk perlumbaan ‘Race to the Clouds’ Pikes Peak Hill Climb

    Ini membolehkan TLX Type S memecut dari 0-60 bsj (96 km/j) dalam masa sekitar lima saat. Pengendaliannya dibantu oleh sistem suspensi double wishbone di hadapan dan juga mod pemanduan Sport+ yang memberikan respon lebih tajam. Type S ini juga dilengkapi dengan sistem brek Brembo di hadapan.

    PPIHC atau turut terkenal dengan gelaran ‘Race to the Clouds’ ini merupakan perlumbaan paling lama pernah diadakan di Amerika Syarikat, bermula pada tahun 1916. Pelumba perlu mendaki jalan bukit sejauh 20 km untuk menuju ke puncak tertinggi pada bahagian selatan pergunungan Rocky di Colorado dengan mencatatkan masa terpantas untuk memenangi perlumbaan.

    Setiap tahun PPIHC akan menarik ramai pelumba dan kereta lumba dari seluruh dunia, yang datang dari pelbagai latar belakang disiplin perlumbaan. Kesemua pelumba dan kereta mereka perlu menghabiskan 156-selekoh bermula pada ketinggian 9,390 kaki sehingga puncak Pikes Peak dengan ketinggian 14,115 kaki.

    Acura TLX Type S dipilih sebagai <em>pace car</em> untuk perlumbaan ‘Race to the Clouds’ Pikes Peak Hill Climb

    Tidak seperti zaman ‘Monster’ Tajima bersama Suzuki Cultus dan Escudo dahulu yang menampilkan gabungan jalan tar dan batu kerikil, kini keseluruhan laluan sehingga ke puncak sudahpun diturap.

    Tahun lalu, unit prototaip TLX Type S berkenaan sudah pun di bawa ke PPIHC dan turut bertugas sebagai pace car. Acura juga telah menyertai perlumbaan ini sejak tahun 2012, serta mencatatkan berberapa rekod serta menamatkan perlumbaan dalam kedudukan podium. Pada tahun 2020, jurutera R&D Honda, James Robinson telah memecahkan rekodnya sendiri dalam segmen Hybrid dengan masa lebih dari setengah saat menggunakan Acura NSX, mencatatkan masa 10:01.913.

    Acura turut memegang rekod kereta pacuan hadapan terpantas, dibuat oleh seorang lagi jurutera R&D Honda iaitu Nick Robinson (abang kepada James) dengan masa 10:48.094 pada 2018, serta rekod dalam kategori Pikes Peak Open all-wheel drive yang dibuat oleh pelumba Peter Cunningham pada 2019, menggunakan jentera lumba Acura TLX GT.

     
     
  • Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe facelift – sedikit perubahan luaran dan kelengkapan, V8 belum ada

    Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe facelift – sedikit perubahan luaran dan kelengkapan, V8 belum ada

    Tiga tahun selepas Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe diperkenalkan kepada dunia, sekarang ia diberikan facelift sebagai penyegaran semula. Buat masa ini masih tiada pilihan versi PHEV GT 73, dan pelanggan cuma boleh mendapatkan model ini dengan enjin enam silinder sahaja – bersama sedikit peningkatan estetik dan kelengkapan.

    Dalam keadaan standard, GT 43 dan GT 53 sebenarnya nampak sama sahaja seperti sebelum ini, tetapi pelanggan diberikan pilihan untuk menaik taraf kepada muka yang sama seperti model V8 akan datang. Jika membeli pakej tersebut, kereta akan dipasang dengan tambahan kemasan warna hitam serta jalur krom pada bukaan udara bucu bampar, serta bukaan udara tengah yang direka semula dengan sepasang lagi salur udara (hiasan).

    Satu lagi pakej baru adalah AMG Night Package II, yang memberikan jalur gril Panamericana krom gelap serta lencana semua hitam. Anda juga boleh memilih tiga warna baru serta pilihan rim baru yang termasuk rekaan 10 cabang 20 inci dan cabang Y 21 inci. Sekarang juga Night Package dan Carbon Fibre Package sudah boleh digabungkan.

    Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe facelift – sedikit perubahan luaran dan kelengkapan, V8 belum ada

    Di dalam, GT 4-Door facelift ini menerima roda stereng AMG terbaru, dipasang dengan butang kawalan sesentuh, paddle shifter lebih besar serta butang AMG yang kedua-duanya kini berbentuk bulat dan mempunyai paparan lebih terang. Stereng yang berbentuk rata di bahagian bawah ini turut mempunyai pengesan yang boleh mengetahui sama ada tangan pemandu berada pada stereng ataupun tidak, dan boleh mengeluarkan amaran atau menghentikan kereta sekiranya perlu.

    Pilihan warna balutan di dalam kenderaan ini ditambah dengan kulit Exclusive Nappa warna kelabu titanium bersama jahitan kuning dan corak coklat, merah, biru, putih dan kelabu. Pilihan kemasan kayu anthracite juga adalah baru.

    Selain daripada itu, kereta ini masih lagi sama seperti sebelumnya, dengan peningkatan teknikal yang telah dibuat tahun lepas. Melalui peningkatan tersebut, ia ditambah dengan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) berserta paparan khas AMG, dan naik taraf casis yang termasuk pelbagai bushing untuk suspensi serta subframe baru.

    Bagi tahun 2021, penyerap adaptif model ini telah ditala semula dengan injap pengehad tekanan yang lebih tepat – lantunan dan mampatan – dan ia menjadi sebahagian daripada kelengkapan penting untuk suspensi udara AMG Ride Control+. Angkup brek pada model berenjin enam silinder juga boleh didapati dengan warna merah.

    Kedua-dua model GT 43 dan GT 53 dikuasai oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa masing-masing 367 PS/500 Nm dan 435 PS/520 Nm. Enjin ini juga dipasang dengan sistem hibrid ringkas yang dapat menambah lagi 22 PS dan 250 Nm waktu memecut. Transmisi adalah unit automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan kelajuan, dengan pacuan semua roda 4Matic+ secara standard dan pilihan pacuan roda belakang untuk model GT 43.

    Pada satu masa kemudian nanti, model ini akan ditambah dengan pilihan GT 73, iaitu sebuah model plug-in hybrid yang digabungkan bersama enjin V8 4.0 liter twin turbo, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 800 PS dan lebih 1,000 Nm tork.

    Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe facelift – sedikit perubahan luaran dan kelengkapan, V8 belum ada

    Kita juga boleh menjangkakan penawaran model GT 63, tetapi masih belum jelas lagi sama ada ia akan menggunakan enjin V8 yang sama seperti sebelum ini ataupun enjin empat silinder 2.0 liter turbo seperti A 45 dengan sistem PHEV P3.

    Akhir sekali, GT 4-Door Coupe facelift ini ditawarkan dengan kemasan Edition, yang dipasang dengan bahagian hadapan seperti versi V8, dan mendapat cat warna merah, rim cabang Y 21 inci, pantulan lampu AMG, balutan kulit Nappa, kemasan kelabu di dalam, plat tepi pintu berlampu serta lencana AMG Edition di papan pemuka.

     
     
  • Jualan kereta terpakai tidak terjejas ketika pandemik

    Jualan kereta terpakai tidak terjejas ketika pandemik

    Jualan kenderaan terpakai di Malaysia tidak terjejas akibat pandemik Covid-19, jelas menteri pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong. Ini disebabkan industri mempunyai platform dalam talian, membolehkan mereka untukt terus melayani keperluan pelanggan ketika tempoh PKP, lapor The Star.

    Wee merujuk kepada Sistem Penukaran Hak Milik Sementara dan eSerahan Tukar Milik (eSTM), yang membolehkan pengguna untuk melakukan pemindahan hak milik kenderaan tanpa berkunjung ke JPJ. Dia juga berkata ahli Persatuan Syarikat-syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) juga sangat terbuka untuk memanfaatkan teknologi terbabit.

    “Kerana kesanggupan mereka untuk bergerak seiiring teknologi dan menawarkan khidmat dalam talian, industri automotif masih boleh memenuhi keperluan umum ketika PKP. Usaha mereka untuk ke dalam talian telah menunjukkan kelebihan menguntungkan memandangkan pemindahan hak milik kenderaan menyumbang sehingga RM40 juta setahun,” jelas Wee.

    Jualan kenderaan terpakai tidak terkesan akibat pandemik ini, melainkan ketika tempoh larangan pergerakan paling awal dahulu pada Mac dan April 2020. Ketika kebanyakan sektor perniagaan terkesan akibat pendemik, Presiden FMCCAM, Datuk Khor Chong Boon memaklumkan jualan kenderaan terpakai telah tumbuh sebanyak 20%, dengan 347,000 pemindahan hak milik berlangsung antara Januari dan Mei tahun ini.

    Jualan kereta terpakai tidak terjejas ketika pandemik

    “Tahun lalu, kami mencapai sasaran untuk 601,000 pemindahan hak milik. Ini tidak mungkin berlaku sekiranya tiada sistem berkenaan, memandangkan urusan ini akan memerlukan 1.2 juta kali urusan dan tenaga manusia jika dilakukan di luar talian,” jelas Khor. Ia juga lebih mudah untuk JPJ memandangkan sistem dalam talian ini memproses secara digital pengumpulan yuran (purata RM40 juta setahun). Bagaimanapun, Khor menggesa kerajaan untuk memudahkan lagi proses ini dengan cara membenarkan rakan niaga untuk mencetak salinan sijil pemilikan kenderaan. Ketika ini, hanya pejabat JPJ boleh melakukannya.

    “Bagi dokumen cukai jalan, semua ahli sudah bersedia untuk melabur dan membuka kiosk di semua persatuan peringkat negeri dan bandar automotif utama untuk memudahkan lagi proses ini, tanpa memindahkan beban berkenaan kepada pelanggan. Kami juga menggesa kerajaan untuk membenarkan kami menjalankan pemeriksaan kenderaan dengan cara menubuhkan komiti bertanggungjawab bersama dan menyertakan penglibatan kami di dalam merencanakan dasar berkaitan,” tambah beliau.

    Di bawah sistem berkenaan, hak milik kenderaan boleh dipindahkan kepada pengedar kenderaan terpakai bagi tempoh hingga enam bulan. Kedua-dua pihak (pemilik dan pengedar kereta terpakai) memerlukan MyKad dan cap hari mereka untuk pengesahan. Sekiranya kenderaan tidak terjual dalam masa enam bulan itu, maka hak milik akan terus berada di bawah pengedar kenderaan terpakai.

     
     
  • Pulau Pinang mahu bina litar lumba – lebih tumpu untuk kegunaan pelumba akar umbi di Batu Kawan

    Pulau Pinang mahu bina litar lumba – lebih tumpu untuk kegunaan pelumba akar umbi di Batu Kawan

    Baru-baru ini, kerajaan negeri Kedah telah mengesahkan bahawa sebuah litar lumba bertaraf antarabangsa bakal di bina di Pulau Langkawi. Perjanjian untuk membangunkan fasiliti yang turut menampilkan resort bersepadu, termasuk hartanah kediaman mewah, outlet jualan jenama-jenama mewah, hotel lima-bintang, berberapa pengedar automobil yang lengkap dengan fasiliti 4S, fasiliti simpanan 900 unit kereta, stesen minyak dan restoran-restoran terkemuka dunia telahpun ditandatangani.

    Dan sekarang, negeri jiran Kedah iaitu Pulau Pinang turut mengumumkan bahawa mereka juga berminat untuk membangunkan satu lagi litar lumba. Tapak untuk membina fasiliti tersebut sudahpun dipilih iaitu di Batu Kawan, di atas tanah berkeluasan 2.8 hektar terletak di sebelah timur kompleks stadium negeri, pinggir Sungai Jawi.

    “Kerajaan negeri berhasrat untuk membina litar perlumbaan yang kondusif bagi melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan permotoran. Ia adalah antara projek yang telah disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan ketika Pilihanraya Umum ke-14 dan akan mengubah kawasan berkenaan kepada Bandar Sukan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Penang, Soon Lip Chee dalam laporan The Star.

    Pulau Pinang mahu bina litar lumba – lebih tumpu untuk kegunaan pelumba akar umbi di Batu Kawan

    Katanya lagi kerajaan negeri menerusi Perbadanan Stadium & Kawasan Lapang Pulau Pinang sudah pun membuka permohonan kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk pembinaan fasiliti tersebut pada 17 Mei 2021 dan ditutup pada Selasa lalu, namun tarikh tutup tersebut mungkin akan dipanjangkan lagi.

    Permohonan-permohonan yang dihantar mestilah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), seperti infrastruktur bagi penonton, ruang parkir dan juga pejabat-pejabat pentadbiran.

    “Litar perlumbaan ini akan digunakan untuk acara dan pertandingan pada peringkat nasional dan antarabangsa. Ini akan merangsang pertumbuhan Pulau Pinang,” katanya lagi dan menyatakan bahawa Pulau Pinang mempunyai ramai peminat sukan permotoran yang berbakat tetapi mereka tidak diberikan peluang untuk membangun kerana tidak ada litar lumba sebenar.

    Pulau Pinang mahu bina litar lumba – lebih tumpu untuk kegunaan pelumba akar umbi di Batu Kawan

    “Litar ini akan berfungsi sebagai ruang kekal untuk orang awam berlumba secara sah tanpa membahayakan orang lain di jalan raya awam. Perlumbaan boleh dibuat untuk motosikal dan juga kenderaan bermotor lain, bergantung kepada rekaan litar. Kami berharap untuk menyiapkan projek ini dalam masa tiga tahun. Projek ini akan dibangunkan sepenuhnya dengan dana sektor swasta,” tambahnya lagi.

    Buat masa sekarang, kawasan sekitar tempat parkir Stadium Batu Kawan sudah pun dibuat sebagai litar sementara bagi menganjurkan perlumbaan seperti Cub Prix dan juga Toyota Gazoo Racing Vios Challenge. Jadi litar yang akan dibangunkan ini mungkin akan menampilkan fungsi yang hampir sama iaitu untuk kegunaan perlumbaan peringkat akar umbi, berbeza dengan litar yang akan dibangunkan di Langkawi yang jauh lebih mewah.

    Jika benar ia dapat direalisasikan, projek litar lumba di Pulau Pinang ini adalah lebih dekat untuk kegunaan rakyat biasa, berbanding fasiliti mewah di Langkawi. Selain dari perlumbaan, litar di Batu Kawan ini boleh menjadi alternatif kepada litar Sepang untuk dijadikan tapak untuk acara pelancaran model-model baharu dan juga untuk latihan pelumba-pelumba tempatan.

     
     
  • Plaza tol Alor Setar dibuka kembali 16 Jun – PLUS

    Plaza tol Alor Setar dibuka kembali 16 Jun – PLUS

    PLUS telah mengumumkan plaza tol Alor Setar (Selatan) akan dibuka kembali mulai 12.01 tengahmalam, 16 Jun 2021. Ini selepas syarikat pengendali Lebuhraya Utara-Selatan berkenaan menerima lampu hijau daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk berbuat demikian.

    Sebelum ini, plaza tol Alor Setar (Selatan) telah ditutup bagi laluan trafik untuk kedua-dua hala sejak 19 Mei lalu, atas arahan PDRM. Arahan penutupan plaza tol berkenaan adalah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 28 mukim di Kota Setar, Kedah. PKPD tersebut dilaksanakan selepas kes COVID-19 dikesan meningkat mendadak di kawasan berkenaan.

    Sepanjang penutupan tersebut, sesiapa yang ingin masuk atau keluar ke/dari Kedah, hanya boleh melalui Plaza Tol Alor Setar (utara) yang masih kekal dibuka.

     
     
  • VIDEO: Ujian pelanggaran antara Geely Binyue (Proton X50) dan Honda HR-V di China, mana lebih selamat?

    Di China, Geely Binyue dan Honda Vezel (juga dipanggil sebagai Binzhi di sana) merupakan antara SUV segmen-B yang paling popular, dengan kedua-duanya mencatatkan jualan enam-angka secara konsisten. Situasi yang sama terjadi hampir serupa di Malaysia kerana di sini Proton X50 (yang diasaskan dari Binyue) dan juga model yang sama dengan Vezel iaitu Honda HR-V adalah dua SUV segmen-B penuh yang paling popular di sini.

    Baru-baru ini, media dari China, Drag Racing telah pun menjalankan eksperimen untuk melihat apa yang akan terjadi sekiranya Binyue dan Vezel bertembung antara satu sama lain. Dalam kebanyakkan ujian pelanggaran, setiap kereta biasanya akan diuji secara bersendirian. Buat masa sekarang, Proton X50 dan juga Honda HR-V sudah pun menerima penarafan lima bintang dalam ujian pelanggaran Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

    Jadi untuk melihat mana satu antara kedua-dua SUV ini yang menampilkan struktur badan yang lebih selamat, Drag Racing menjalankan ujian pertembungan berhadapan secara offset antara Binyue dan Vezel pada kelajuan 64 km/j. Video eksperimen tersebut kemudiannya telah dimuat naik pada laman Youtube oleh akaun AutoWorld.

    Perhatikan bumbung Binyue yang tidak terjejas, berbanding bumbung Vezel yang mula berubah pada bahagian belakang

    Menurut Drag Racing, kedua-dua kereta tersebut bertembung pada kedudukan tepat seperti yang mereka rancangkan, dan kerosakan yang berlaku pada bahagian hadapan Binyue dan Vezel tersebut telah dijangka kerana struktur zon remuk yang dihasilkan untuk menyerap impak pelanggaran sebanyak yang boleh.

    Beg udara untuk kedua-dua SUV ini juga mengembang dalam masa hanya 30 milisaat. Namun untuk tali pinggang keledar, Binyue dilihat ‘mengunci’ patung ujian yang berada di atas tempat duduk dengan lebih pantas iaitu hanya 9 milisaat, berbanding 15 milisaat pada Vezel.

    Drag Racing juga menyatakan bahawa tali pinggang keledar untuk kedua-dua SUV ini menampilkan satu letupan kecil seperti pada beg udara bagi fungsi mengunci penumpang tersebut ketika berlakunya kemalangan. Kesimpulannya, sistem beg udara dan juga tali pinggang keledar untuk Binyue dan Vezel berfungsi dengan baik.

    Tiang-A Binyue (kanan) juga nampak lebih kukuh dan kurang terjejas berbanding Vezel (kiri) yang mula bengkok

    Namun dengan analisa lebih mendalam terhadap struktur badan yang mungkin boleh mendatangkan kecederaan pada pemandu dan penumpang, Drag Racing menyatakan bahawa Binyue menampilkan prestasi yang lebih baik dari Vezel. Ini kerana tiang-A, pintu, bumbung dan bahagian bawah badan Binyue berkenaan tidak remuk teruk.

    Walau bagaimanapun, kedua-dua model Geely dan Honda ini masih mampu memastikan struktur yang melindungi pemandu dan penumpang masih lagi kukuh dan tidak putus atau koyak, untuk memastikan setiap orang yang berada dalam kabin selamat.

    Kita mungkin boleh kaitkan situasi ini sama seperti X50 dan HR-V di Malaysia, namun berberapa perkara perlu anda ambil perhatian bagi membuat pertimbangan yang adil. Pertama, Binyue sebenarnya merupakan model yang lebih baru dari kerana ia muncul pada tahun 2018, berbanding HR-V generasi kedua yang telah pun diperkenalkan pada tahun 2015. Honda telah pun memperkenalkan Vezel/HR-V generasi baharu tahun ini dan sekiranya ia di uji, ia mungkin akan memberikan keputusan yang lebih baik.

    VIDEO: Ujian pelanggaran antara Geely Binyue (Proton X50) dan Honda HR-V di China, mana lebih selamat?

    Kedua, hasil ujian pelanggaran ini adalah menggunakan model-model pasaran domestik China. Ia mungkin mungkin menggunakan komponen dari sumber dan juga proses pemasangan yang tidak sama dengan model pasaran lain di dunia.

    Juga di China, mereka ada program penilaian keselamatan tersendiri iaitu C-NCAP, yang dilihat banyak dipengaruhi oleh standard Euro NCAP. Vezel telah pun menerima penarafan 5 bintang pada 2015, namun keputusan untuk Binyue masih belum diumumkan oleh C-NCAP.

     
     
  • Huawei letak sasaran bangunkan teknologi kereta autonomous penuh menjelang 2025, lapor Reuters

    Huawei letak sasaran bangunkan teknologi kereta autonomous penuh menjelang 2025, lapor Reuters

    Menurut satu laporan daripada Reuters, Huawei, dalam satu usaha untuk mempelbagaikan lagi perniagannya, meletakkan sasaran untuk membangunkan teknologi kenderaan autonomous penuh menjelang tahun 2025.

    “Sasaran pasukan kami adalah untuk memastikan teknologi kenderaan autonomous penuh dapat dibangunkan, menjelang 2025,” kata eksekutif kanan unit kenderaan pintar Huawei, Wong Jun. April lalu, Huawei telah mendedahkan kenderaan pertama mereka, Seres Huawei Smart Selection SF5 yang dibangunkan dengan kerjasama sebuah syarikat yang berasas dari California, iaitu Seres.

    Menggunakan bentuk sebuah crossover, Huawei SF5 digerakkan motor elektrik asynchronous SEP200 di depan, sementara di belakang pula menggunaan sistem pacuan elektrik all-in-one DriveOne. Bateri yang menggerakkan motor ini pula dicas menggunakan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder yang bertindak sebagai “range extender”.

    Konfigurasi dengan dua motor dan pacuan semua roda ini menyediakan output keseluruhan sebanyak 551 PS (543 hp atau 405 kW) dan 820 Nm tork, yang membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat.

    Huawei bagaimanapun tidak menyediakan perincian penuh berkaitan bateri pada SF5. Bateri ini didakwa mampu menyediakan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 180 km bagi kitaran NEDC, dan sehingga 1,000 km jika mengambil kira enjin sebagai “range extender”. Perincian tentang tempoh mengecas dan bagai mana konfigurasi motor tunggal masih belum dikongsi setakat ini.

    Huawei mula memasang sasaran kepada pembangunan kenderaan elektrik pintar selepas Amerika Syarikat (AS) mengganggu perniagaan telefon pintar mereka dengan mengatakan mengatakan syarikat teknologi China ini merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara (AS). Huawei bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

    GALERI: Huawei Seres SF5

     
     
  • Subaru Forester facelift 2021 diperkenalkan di Jepun – gaya dipertingkatkan; enjin boxer hibrid dan turbo

    Subaru Forester facelift 2021 diperkenalkan di Jepun – gaya dipertingkatkan; enjin boxer hibrid dan turbo

    Subaru telah memberi peningkatan kitaran-pertengahan pertama kepada Forester generasi kelima, selepas lebih tiga tahun SUV tersebut membuat penampilan pertama di peringkat global. Pra-tempahan bagi SUV yang dipertingkatkan ini bakal bermula di Jepun pada Ogos 2021, dan pelanggan boleh memilih empat tahap kemasan – Touring, X-Break, Advance dan Sport.

    Perubahan gaya yang paling utama dapat dilihat pada bahagian hadapan, di mana Forester kini diberikan lampu utama baharu yang lebih tegak dan bersudut. Setiap kluster menampilkan elemen menghala ke gril yang lebih menonjol, dan mempunyai sisipan baharu di antara bentuk haksagon.

    Imej yang menyerlah disumbangkan oleh bampar hadapan yang sedikit menonjol di bawah kluster pencahayaan, sementara seksyen berbentuk empat segi tepat untuk lampu kabus pula menampilkan kepingan baharu di dalamnya – namun varian Sport diberikan rekaan yang tersendiri.

    Corong pengambilan yang lebih rendah turut diberikan sedikit perubahan untuk memberikan kesan visual yang lebih ketara, dengan pelindung bampar kini berlapis pada bahagian atas bingkai yang ditempatkan pada dasar bampar. Untuk bahagian belakang, kelihatannya tidak perubahan, masih sama seperti model pre-facelift, dengan lampu belakang berbentuk-C dan apron bawah masih dikekalkan. Sama juga seperti bahagian luaran, dengan bentangan utama bagi alat kawalan dan kelengkapan lain masih dikekalkan, namun terdapat kemasan baharu dan pilihan upholstery, bergantung pada varian.

    Subaru Forester facelift 2021 diperkenalkan di Jepun – gaya dipertingkatkan; enjin boxer hibrid dan turbo

    Untuk enjin, kesemua varian Touring, X-Break dan Advance dipadankan dengan penjana kuasa Subaru e-Boxer hybrid secara standard. Ia digandingkan dengan unit FB20 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder ‘flat’ dengan sistem Symmetrical All-Wheel Drive, dan komponen hibrid ditampilkan dengan motor elektrik bersama Lineartronic CVT.

    Menerusi risalah spesifikasinya, enjin boxer ini mampu menghasilkan 145 PS (143 hp) pada 6,000 rpm dan tork 188 Nm pada 4,000 rpm, sementara e-motor pula dengan 13.6 PS (13.4 hp) dan 65 Nm. Kuasa e-motor disalurkan menerusi bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga mencecah 4.8 Ah, dan menyumbang pada penggunaan bahan api sama ada 18.6 km/l (standard JC08) atau. 14 km/l (standard WLTC).

    Varian e-Boxer turut menerima penutup gril hadapan aktif dan ciri yang dipanggil e-Active Shift Control, yang menjadi penderia bagi pendikitan dan G force untuk memastikan kelajuan enjin dapat memberikan ‘rasa’ pendikitan yang dipertingkatkan, atau meningkatkan kuasa brek enjin sewaktu menuruni bukit.

    Sementara itu, varian Sport pula menjadi varian tunggal didatangkan dengan enjin 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder ‘flat’. Dengan unit. CB18, ia tidak menerima sebarang bentuk elektrifikasi, masih sama digunakan seperti pada Levorg dengan output mencecah 177 PS (174 hp) dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 300 Nm dari 1,600 hingga 3,600 rpm. Ia turut menggunakan CVT dan AWD yang sama seperti e-Boxer, namun penggunaan bahan api dianggarkan pada kadar 16.5 km/l (standard JC08) atau 13.6 km/l (standard WLTC).

    Subaru Forester facelift 2021 diperkenalkan di Jepun – gaya dipertingkatkan; enjin boxer hibrid dan turbo

    Bagi kelengkapannya, varian Touring dan X-Break didatangkan dengan roda aloi 17-inci, sementara Advance dan Sport digandingkan dengan unit yang lebih besar bersaiz 18-inci. Lain-lain kelengkapan termasuklah X-Mode, lampu utama LED dengan fungsi steering-follow, fabrik atau upholstery kulit, bumbung matahari larasan kuasa.

    Kesemua varian turut diberikan ciri standard dengan Subaru EyeSight, dan pengeluar kereta ini berkata, ia turut menawarkan operasi yang diperluaskan dan larasan kamera stereo yang disemak semula untuk pandangan yang lebih. jelas. Bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ia merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, false start suppression control serta amaran ketibaan lorong.

    Lain-lain sistem bantuan yang diberikan secara pilihan termasuklah bantuan stereng pra-pelanggaran kecemasan, pengesan kenderaan belakang, lampu utama adaptif, cermin pandang-belakang pintar dan pemantuan pemanduan.

     
     
  • Kerajaan sediakan tambahan RM4.22b untuk subsidi bahan api tahun ini ekoran harga minyak global naik

    Kerajaan sediakan tambahan RM4.22b untuk subsidi bahan api tahun ini ekoran harga minyak global naik

    Kerajaan berkata pertambahan sebanyak RM4.22 bilion dijangka akan dibelanjakan tahun ini untuk subsidi bahan api disebabkan peningkatan. harga minyak global. Di mana jumlah terbabit akan dibelanjakan bagi mengekalkan harga siling yang ditetapkan untuk petrol RON 95 dan diesel, gas petroleum cecair (LPG) serta minyak masak, menurut laporan The Malay Mail yang memetik kenyataan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

    Buat masa ini, RON 95 telah ditetapkan pada paras RM2.05 seliter, sementara diesel pula RM2.15 seliter, di mana kedua-duanya telah mencapai harga siling sejak 10 Februari tahun ini. Untuk LPG, ia berharga RM1.90 per kg sejak Jun 2015, sementara untuk minyak masak pula (RM2.50 per 1 kg) kekal dari tahun 1997.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Tengku Zafrul berkata, kerajaan komited untuk mengekalkan harga siling. “Kerajaan bersedia menanggung kenaikan perbelanjaan subsidi ini untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan, terutama peniaga kecil, ”katanya

    Kerajaan sediakan tambahan RM4.22b untuk subsidi bahan api tahun ini ekoran harga minyak global naik

    “Sejumlah RM3.78 bilion telah diperuntukan untuk tahun 2021 tetapi berdasarkan harga pasaran global semasa, kerajaan menjangkakan subsidi tambahan meningkat sehingga RM8 bilion, di mana adalah lebih tinggi sebanyak RM4.22 bilion berbanding peruntukan asal,” tambahnya.

    Pada 2019, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6.32 bilion untuk subsidi, tetapi ia menyusut kepada RM2.16 bilion pada tahun lalu. Pengurangan peruntukan tersebut disebabkan harga minyak mentah dunia yang turun disebabkan “perang minyak” di antara negara pengeluar, dengan pernah menyaksikan harga bagi satu tong jatuh di bawah US$20 pada April tahun lalu.

    Untuk bulan tersebut, harga di stesen minyak bagi RON 95 jatuh pada paras RM1.25 seliter dan RM1.46 seliter untuk disesel, malahan kekurangan bahan api tersebut pada tahun lalu juga menjadi penyebab pengurangan subsidi.

     
     
  • Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

    Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

    Sejak dilancarkan pada tahun 2014, Lexus NX telah menjadi pilihan alternatif untuk bersaing dengan model SUV mewah seperti Audi Q5 dan BMW X3. Kini, model yang lebih kecil daripada RX, tetapi lebih besar daripada NX ini telah diperbaharui sepenuhnya, dengan pengenalan model generasi kedua.

    Ia dibina atas platform baru, Toyota New Global Architecture (TNGA) versi GA-K, yang menjadikan badannya sedikit lebih besar, dengan ukuran 4,660 mm panjang (+20 mm), 1,865 mm lebar (+20 mm) dan jarak roda 2,690 mm (+30 mm). Jika anda nampak NX baru ini lebih tegap, ia juga adalah kerana jarak antara roda kiri dan kanan lebih lebar, dan datang terus dengan rim standard 20 inci.

    Menurut Lexus, pereka NX baru kali ini mendekati konsep “bucu yang lebih lembut serta bentuk lebih organik”. Ia boleh dilihat dari luar, di mana NX baru ini tidak banyak bucu atau bentuk tajam seperti model sebelumnya.

    Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

    Tiada satu pun bahagian yang sama seperti model generasi pertama, dan antara yang boleh dilihat jelas adalah lampu hadapannya tidak lagi menggunakan elemen berasingan untuk unit utama dan DRL, lampu belakang menggunakan pencahayaan berbentuk L, kemasan gril baru, bukaan udara lebih besar pada bucu bampar serta tulisan LEXUS penuh di but belakang, tanpa logo L seperti sebelum ini.

    Untuk enjin, perubahan paling utama adalah penawaran versi plug-in hybrid – pertama bagi Lexus – dan ia menyertai pilihan lain iaitu hibrid, 2.4L Turbo dan 2.5L NA. Sistem pacuan juga ada pilihan FWD dan AWD/e-Four.

    Model versi PHEV dipanggil sebagai NX 450h+, di mana ia menggunakan gabungan enjin empat silinder 2.5 liter bersama motor elektrik di hadapan dan belakang yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 18.1 kWh. Pada RAV4 Prime, yang menggunakan penggerak sama, ia boleh menghasilkan kuasa keseluruhan 302 hp, dengan jarak gerak elektrik penuh 75 km.

    Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

    Apabila menggunakan kapasiti mengecas maksimum, iaitu 240V, NX PHEV boleh dicas penuh dalam masa 2.5 jam, dengan menggunakan pengecas 6.6 kW (pilihan tambahan). Jika menggunakan pengecas standard, ia akan mengambil masa 4.5 jam.

    Versi hibrid biasa pula dipanggil sebagai NX 350h. Versi ini menggunakan enjin petrol A25A-FXS yang sama, iaitu 2.5L HEV, dengan pilihan AWD e-Four yang menggunakan motor di belakang (ada juga pilihan FWD). Sistem e-Four ini mempunyai pengagihan kuasa hadapan dan belakang boleh ubah dari 100:0 hinggalah 20:80. Kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 239 hp – 20% lebih tinggi berbanding sebelum ini.

    Pergi pula kepada enjin pembakaran dalaman biasa, tanpa bantuan elektrik, paling menarik adalah NX 350, yang menggunakan unit 2.4 liter turbo dengan kuasa anggaran 275 hp/430 Nm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Direct Shift, untuk menghantar kuasa kepada semua roda melalui sistem AWD yang dikawal secara elektronik.

    Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

    Akhir sekali, NX 250, yang menggunakan enjin NA 2.5L A25A-FKS bersama padanan kotak gear automatik lapan kelajuan Direct Shift dan kuasa maksimum 204 hp/247 Nm. Ini adalah enjin yang sama seperti Toyota RAV4 serta Lexus ES 250 yang berada dalam pasaran Malaysia sekarang, dan pada NX baru, ia didatangkan bersama pilihan pacuan AWD atau FWD.

    Kelengkapan suspensi masih lagi sama seperti sebelum ini, tetapi telah ditala semula untuk menadi lebih tegap dan memberikan respon stereng lebih responsif. Seperti biasa, pek F Sport datang secara standard dengan Adaptive Variable Suspension (AVS)

    Lexus juga buat pertama kalinya telah memperkenalkan variable steering rack gear melalui NX baru, kecuali versi PHEV. Ia dikatakan dapat meningkatkan stabiliti pada kelajuan tinggi, serta maklum balas membelok lebih cepat, sebagai tambahan kepada kawalan kelajuan rendah yang lebih mudah.

    Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

    Pelbagai barangan telah ditukar dan ditambah untuk menjadikan kabin NX baru lebih senyap, sementara pada versi 2.4L Turbo pula terdapat Active Noise Control/Engine Sound Enhancement untuk menghasilkan bunyi lebih sporty.

    Jika perubahan rekaan luar dikatakan lebih lembut, bahagian dalam pula melibatkan perubahan yang lebih radikal. Lexus menggunakan konsep tazuna, dan mahu memberikan hubungan yang lebih baik antara pemandu dan kereta.

    Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh sebesar 14.0 inci (enam inci lebih besar daripada sebelum ini dan ada juga versi 9.8 inci) dan tiada lagi pad sesentuh Remote Touch Controller untuk mengawal sistem infotainmen di konsol tengah.

    Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

    Di hadapan pemandu terdapat paparan head-up display (HUD) 10 inci, yang boleh dikawal menggunakan pad sesentuh Touch Tracer Operation di stereng. HUD ini menawarkan tiga mod untuk pilihan pemandu dan setiap satunya mempunyai paparan serta informasi yang berlainan. Perubahan lain yang diberi adalah seperti sistem kawalan infotainmen, roda stereng, tombol gear serta lampu suasana 64 warna.

    Bagi kemasan dan tema warna dalam, pilihan yang disediakan adalah pelbagai, tetapi Lexus mahu mengetengahkan balutan kulit putih/hitam dengan benang oren yang dipanggil sebagai “Black & Rich Cream”. Ada juga pilihan kemasan “3D Cutting Black” yang menampilkan corak geometrik unik.

    Satu lagi bahagian yang diambil penting oleh Lexus adalah sistem bunyi Lexus Premium Sound System yang disediakan pada NX baru terdiri daripada 10 pembesar suara serta kotak subwoofer kapasiti tinggi, tetapi pelanggan juga boleh menaik taraf kepada Mark Levinson Premium Surround Sound System yang mempunyai 17 pembesar suara dan juga subwoofer.

    Sekarang, pakej Lexus Safety System+ pada NX telah dipertingkat dengan jarak pengesan lebih luas dan ia termasuklah untuk sistem Pre-Crash Safety, Radar Cruise Control (dengan fungsi All-Speed Follow), Lane Departure Alert, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist dan Proactive Driving Assist.

    Fungsi PCS, atau Autonomous Emergency Braking (AEB) pada NX baru juga telah dipertingkat, dengan antaranya dapat mengelak perlanggaran di simpang, ada kereta mendekati waktu membelok ke kanan dan sekiranya ada pejalan kaki atau penunggang basikal waktu mahu membelok.

    Turut dipertingkat adalah prestasi mengesan selekoh waktu menggunakan cruise control. Kini ia dapat memperlahankan kenderaan lebih awal mengikut saiz selekoh dan menurut Lexus, fungsi kawalan kelajuannya kini lebih menyerupai seperti tindak balas pemandu biasa.

    GALERI: Lexus NX 2022

     
     
  • 100,000 unit Proton “connected” setakat Mei 2021; 80% pengguna aktif, 1.5 juta “Hi Proton” sebulan

    100,000 unit Proton “connected” setakat Mei 2021; 80% pengguna aktif, 1.5 juta “Hi Proton” sebulan

    Ketika ini terdapat 100,000 kenderaan Proton telah terhubung (connected) setakat Mei 2021. Perkara ini disampaikan oleh usaha sama teknologi dan produk keterhubungan kenderaan ACO Tech dalam satu kenyataan oleh Pegawai Ekeskutifnya, Li Pu. Dimeterai pada Jun 2019, usaha sama antara Proton, Altel Communication dan ECarX telah membawa kepada penubuhan ACO Tech pada September 2019 untuk menampung keperluan teknologi kenderaan terhubung bagi pasaran Malaysia dan juga rantau ini.

    Selari denga tanda aras tersebut, firma berkenaan telah mengeluarkan infografik ringkas yang memaparkan pemerhatian terhadap pengguna serta corak penggunaan teknologi keterhubungan dalam kenderaan. Di Malaysia, pengguna lelaki-wanita agak ketara, iaitu 62:38, dengan kira-kira 80.3% daripada 100,000 orang merupakan pengguna aktif. Keseluruhannya sebanyak 1.5 juta arahan suara “Hi Proton” telah diterima oleh sistem berkenaan setiap bulan.

    Pemain muzik dikesan menyumbang sebanyak 43 minit sehari secara purata bagi penggunanya, dan fungsi ini juga merupakan yang paling sering arah menggunakan suara melalui sistem berkenaan; arahan suara tiga tertinggi termasuk “open radio” dan “open sunroof”.

    Fungsi-fungsi on-demand ini menggunakan banyak data; ACO Tech mendapati keseluruhannya 557 GB data telah digunakan setiap hari, dengan lima pengguna data paling tinggi dalam sistm berkenaan didapati menggunakan 18.5 GB, 10.1 GB, 8.7 GB, 7.8 GB dan 6.4 GB setiap bulan.

    100,000 unit Proton “connected” setakat Mei 2021; 80% pengguna aktif, 1.5 juta “Hi Proton” sebulan

    Dari sudut kadar penggunaan menurut model kenderaan, X70 mendahului kedudukan dengan 66%, diikuti oleh Persona dengan 18%. Tempat ketiga ialah Exora dengan 8%, dan diikuti Iriz pada 6%, dan X50 dengan 2%, menurut ACO Tech. ACO Tech telah menumpukan sumber kajian dan pembangunannya untuk melancarkan kemaskini perisian secara over-the-air (OTA), ada lapan kesemuanya mewakili model kenderaan yang berbeza sejak Februari 2020. Setakat ini, firma berkenaan sedang membangunkan versi tempatan bago perisian yang akan membawakan lebih 300 kemaskini kepada versi sedia ada.

    Ini akan menjadi satu lagi langkah ke arah mencapai gaya hidup keterhubungan dalam kenderaan yang mempromosi pemanduan selamat, menyediakan kemudahan serta memberikan capaian kepada kandungan tempatan yang berguna, jelas CEO ACO Tech berkenaan.

    Kerjasama antara Proton dan ECarX — yang menjadi dua daripada tiga rakan kongsi terlibat — bermula dengan usaha sama dalam mencipta Global Key User Interface (GKUI) bagi X70 pada 2018, yang kemudiannya menyaksikan ACO Tech memainkan peranan penting untuk menerapkan aspek tempatan bagi sisten infotainmen berkenaan.

    Ini juga telah melibatkan sentuhan atau “perisa” tempatan untuk memenuhi kecenderungan dan tatalaku pemanduan orang tempatan di sini. Di luar Malaysia, sentuhan tempatan bagi sistem GKUI ini turut diterapkan untuk pasaran Thailand, yang mana versi di sana telah dibangunkan sebagai persediaan untuk mengeksport X50 dan X70 ke sana.

     
     
  • Nissan akan hentikan model sedan Skyline, Fuga dan Cima di Jepun untuk tumpu bangunkan SUV dan EV

    Nissan akan hentikan model sedan Skyline, Fuga dan Cima di Jepun untuk tumpu bangunkan SUV dan EV

    Nissan bakal menamatkan riwayat tiga sedan terakhirnya di Jepun iaitu Skyline, Cima dan Fuga kerana populariti kereta empat pintu berkenaan telah menurun, dan pengguna semakin berminat dengan model-model SUV, lapor Nikkei Asia.

    Menurut satu sumber yang rapat dengan perkara ini kepada portal berita tersebut, pembekal-pembekal komponen utama Nissan telah pun diberitahu berkenaan rancangan itu pada Jumaat lalu. Namun Nissan sendiri masih enggan memberikan sebarang komen terhadap perkara ini.

    Tahun lalu produksi sedan lebih kecil iaitu Nissan Sylphy telahpun ditamatkan di Jepun. Manakala tiga lagi model sedan terakhir yang masih dijual berkenaan adalah untuk segmen lebih premium di negara matahari terbit tersebut. Dengan mengurangkan penawaran menerusi penamatan model-model sedan ini akan membolehkan Nissan melabur untuk membangunkan lebih banyak model-model SUV serta elektrik sepenuhnya (EV).

    Buat masa sekarang, Skyline, Cima dan Fuga diproduksi di kilang Nissan Tochigi. Kilang tersebut juga turut dirancang untuk memproduksi SUV EV Nissan Ariya pada tahun ini, dan fasiliti berkenaan berkemungkinan akan hanya menghasilkan model-model elektrik selepas ini.

    Nissan akan hentikan model sedan Skyline, Fuga dan Cima di Jepun untuk tumpu bangunkan SUV dan EV

    Seperti yang ramai tahu, sedan Skyline telah pun diperkenalkan pada tahun 1957 yang ketika itu dihasilkan oleh Prince Motor Company. Nama Skyline mula menjadi bualan apabila ia dihasilkan dalam versi GT-R menerusi model generasi ketiga pada tahun 1969. Model coupe dua pintu Skyline GT-R hanya diperkenalkan pada tahun 1970.

    Selepas dari model R34, Nissan telah memisahkan Skyline dan GT-R bagi membolehkan R35 GT-R tampil sebagai kereta sport sebenar, berbanding sebuah model yang diasaskan dari sebuah sedan keluarga seperti model-model sebelumnya. Strategi ini membuatkan nama Skyline itu sendiri agak tenggelam kerana model-model V35, V36 dan V37 dijual di luar Jepun dengan jenama mewah mereka iaitu Infiniti.

    Model terakhir sedan Nissan Skyline V37 (atau dikenali dengan nama Infiniti Q50 di Malaysia) telah tampil dalam versi facelift di Jepun pada 2019. Selain dari teknologi pemanduan sendiri ProPILOT 2.0. Skyline 2019 tersebut juga telah tampil dengan muka seakan GT-R R35.

    Selain dari model coupe dan sedan, Skyline juga dihasilkan dalam bentuk SUV yang dipanggil Nissan Skyline Crossover bermula dari generasi V36 pada pasaran Jepun. Model yang sama dijuga telah dijual di luar negaran dengan nama Infiniti QX50. Jadi walaupun pengeluaran sedan bakal ditamatkan, nama Skyline dijangka masih akan digunakan untuk model-model SUV dan elektrik Nissan kerana ia mempunyai pengikutnya tersendiri.

    Nissan akan hentikan model sedan Skyline, Fuga dan Cima di Jepun untuk tumpu bangunkan SUV dan EV

    Nikkei turut mendedahkan bahawa data dari firma penyelidikan MarkLines menunjukkan empat model sedan Nissan hanya berjaya dijual sebanyak 5,800 unit di Jepun pada tahun 2020, atau hanya 1% dari jumlah keseluruhan jualan mereka. Ia jelas menunjukkan penurunan yang mendadak kerana Skyline sahaja berjaya dijual sejumlah 660,000 unit dalam masa empat tahun pada era 1970’an.

    Walau bagaimanapun, jualan sedan Nissan masih lagi baik di luar Jepun dengan sekitar 950,000 unit kereta empat pintu jenama Nissan terjual di pasaran-pasaran utama pada 2020. Tetapi angka berkenaan juga sebenarnya menunjukkan penurunan ketara kerana pda 2016 Nissan berjaya menjual sebanyak 1.7 juta sedan. Buat masa sekarang, sedan masih popular untuk pasaran seperti China dan berberapa negara lain.

    Langkah Nissan untuk menghentikan pembangunan model-model sedan di Jepun ini merupakan sebahagian dari rancangan yang telah diumumkan pada Mei 2020 bagi mengurangkan sekitar lima model dalam barisan model mereka menjelang tahun fiskal yang berakhir pada Mac 2024.

    GALERI: Nissan Skyline GT V37 Hybrid facelift di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • MotoGP Austria akan terima penonton kapasiti penuh

    MotoGP Austria akan terima penonton kapasiti penuh

    Sejak pandemik Covid-19 melanda, peminat sukan permotoran di seluruh dunia terpaksa menerima untuk menonton perlumbaan kegemaran mereka di dalam skrin sahaja, dan tidak boleh pergi ke tapak acara sebenar. Namun sekarang, keadaan sudah bertambah baik.

    Untuk MotoGP, kita boleh saksikan, perlumbaan di Catalunya sudah mula menerima penonton, tapi di dalam jumlah yang terhad. Kini, satu lagi negara mengumumkan acara sukan sudah boleh menerima penonton dalam kapasiti penuh, iaitu Austria.

    Berikutan itu, Dorna Sports sebagai penganjur MotoGP juga membuat pengumuman bahawa dua pusingan yang akan berlangsung di Austria, iaitu Styrian GP pada 8 Ogos dan Austrian GP pada 15 Ogos akan dibuka kepada penonton seperti biasa, dengan syarat mereka sudah divaksin, diuji negatif atau pulih daripada Covid-19.

    Walaubagaimanapun, Dorna memberitahu, bahagian paddock akan dikawal sebagai satu gelembung selamat Covid-19 secara beasingan, yang bermakna kemasukan ke bahagian pit dan bahagian VIP adalah terhad, dan langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka akan terus dibuat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025