Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • VIDEO: Hyundai Elantra 2021 1.6L IVT — dari RM159k

    Sejak beberapa kebelakangan ini, sedan segmen C untuk pasaran Malaysia tidak banyak menyaksikan pengenalan model baru yang belum pernah diperkenalkan. Yang ada, ialah versi generasi baru bagi model-model sedia ada. Pemain utamanya tentulah Honda Civic dan juga Toyota Corolla Altis.

    Kini, segmen berkenaan menerima pula penawaran generasi terbaru Hyundai Elantra 2021. Merupakan generasi ketujuh model berkenaan dan dibawa masuk secara CBU dari Korea Selatan, Elantra ditawarkan dalam satu varian sahaja untuk pasaran Malaysia dan dijual pada harga RM158,888 (dengan pengecualian SST hingga 30 Jun 2021 nanti). Ia juga datang dengan jaminan lima-tahun/300,000 km dan servis percuma bagi 50,000 km.

    Hyundai Elantra 2021 ini menggunakan enjin petrol baru Smartstream G1.6 MPi (1.6 liter) NA DVVT dengan Dual Port Injection System yang menghasilkan kuasa sebanyak 123 PS (121 hp) pada 6,300 rpm dan tork 154 Nm pada 4,500 rpm. Enjin ini menggunakan kepala silinder jenis DOHC, bersama sistem pemasa injap boleh ubah berterusan (CVVT), sistem suntikan multi-silinder serta modul pengurusan haba enjin yang baru.

    Elantra juga memiliki dimensi berukuran 4,675 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,430 mm tinggi dengan jarak roda 1,245 mm. Ini menjadikannya 55 mm lebih panjang dan 25 mm lebih lebar berbanding model sebelumnya. Malah jarak rodanya juga bertambah 20 mm. Namun, ia lebih rendah 20 mm. Manakala kapasiti bagi ruang but pula mencecah 474 liter.

    Apa yang menarik dari segi penawaran pada Elantra terbaru ini berbanding pesaingnya? Adakah ia mampu menandingi model-model lain dalam segmen sama? Harganya nampak mahal — walaupun ia model CBU — adakah Elantra berbaloi dan bawa banyak pembaharuan? Semua kami kupas secara ringkas dalam video ini.

    Hyundai Elantra 2021 di Malaysia

     
     
  • Honda N-One K-Climb Concept didedahkan – 658 cc turbo, 6-kelajuan manual, serta kit badan karbon

    Honda N-One K-Climb Concept didedahkan – 658 cc turbo, 6-kelajuan manual, serta kit badan karbon

    Honda telah mendedahkan berberapa model konsep ubahsuainya berdasarkan model produksi pada acara Tokyo Auto Salon 2021, yang hanya diadakan secara maya hujung minggu lalu. Dan antara yang benar-benar menarik perhatian adalah model K-Car Honda N-One K-Climb Concept yang diberikan pengubahsuaian yang sesuai dijadikan jentera lumba Hill-Climb.

    Ia diasaskan dari model dari versi prestasi Honda N-One RS yang baharu sahaja diperkenalkan di Jepun November lalu, menampilkan enjin 658 cc tiga-silinder bersama pengecas turbo, menghasilkan kuasa maksima yang dibenarkan untuk Kei-Car iaitu 64 PS/104 Nm. Tiada ubahsuai untuk lebih kuasa diberikan, cuma diberikan set ekzos lengkap logam tahan karat dari HKS dan masih digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual.

    Namun berat asal Honda N-One RS ini yang hanya ditimbang pada 907 kg diringankan lagi dengan pelbagai komponen dari material gentian karbon, yang terdiri dari bampar hadapan, penutup bonet hadapan dan bampar belakang, manakala overfender pada kesemua ruang roda dan juga spoiler bumbung pula menggunakan bahan plastik ABS.

    Honda N-One K-Climb Concept didedahkan – 658 cc turbo, 6-kelajuan manual, serta kit badan karbon

    Rekaan bampar hadapan N-One Klimb ini sebenarnya diilhamkan dari hot-hatch kompak Honda era 80’an iaitu Honda City Turbo II, yang juga digelar sebagai “City Bulldog”, dan perincian tersebut turut dilekat pada gril. Namun jika dilihat dengan lebih teliti, kedudukan logo ‘H’ Honda pada N-One ini sebenarnya terbalik berbanding rekaan asal pada City Turbo II berkenaan.

    Boleh diagak, rekaan keseluruhan kit badan dari versi konsep ini mungkin akan dijelmakan sebagai kit badan asli Modulo yang akan diproduksi pada masa hadapan.

    Selain dari itu, N-One K-Climb ini juga diberikan set rollcage jenis bolt-on pada bahagian kabin yang mudah untuk dibuka/pasang, serta diberikan set suspensi boleh laras HKS Hipermax Max IV SP serta rim Modulo 15-inci yang balut dengan tayar Yokohama Advan Flava.

     
     
  • Toyota lancarkan program langganan kenderaan Kinto One di M’sia; ansuran tetap dari RM1,678 untuk Yaris

    Toyota lancarkan program langganan kenderaan Kinto One di M’sia; ansuran tetap dari RM1,678 untuk Yaris

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) hari ini dengan rasminya memperkenalkan Kinto One, sebuah program langganan kenderaan terbaru untuk di Malaysia. Melalui cabang perniagaan Toyota Capital Malaysia syarikat itu, walaupun ia merupakan pengenalan sulung di Malaysia, Kinto One sebenarnya sudah beroperasi di banyak negara seluruh dunia sebelum ini, termasuk di Asia, Eropah dan Amerika Utara.

    Kinto One merupakan sebuah pelan langganan kenderaan yang merangkum seluruhnya, dengan bayaran ansuran bulanan tetap. Ansuran bulanan tetap berkenaan sudah termasuk sekali kos pendaftaran kenderaan, insurans komprehensif tahunan dan cukai jalan, penyelenggaraan berjadual serta penyelenggaraan pencegahan.

    Tempoh langganan disediakan sama ada bagi dua tahun atau tiga tahun dan selepas ia tamat, pelanggan hanya perlu memulangkan kenderaan terbabit kepada Toyota Malaysia dan selebihnya akan diuruskan sewajarnya; melepaskan pengguna daripada sebarang kerisauan atau susut nilai semasa kenderaan, tanpa mereka perlu memikirkan bagaimana cara untuk menjual kenderaan selepas tahun-tahun penggunaannya.

    Kinto One membolehkan pelanggan menikmati nilai terbaik daripada kenderaan mereka pada harga yang sama sepanjang tempoh kontrak, terutama sekali mengambil kira semua kos penyelenggaraan berjadual dan pencegahan yang termasuk sekali. Ini bermakna, pelanggan sama sekali tidak perlu membayar apa-apa selain ansuran bulanan; sama ada untuk minyak enjin dan semua kos buruh yang terlibat, bahkan untuk tayar atau bateri juga, sebagai contoh.

    Toyota lancarkan program langganan kenderaan Kinto One di M’sia; ansuran tetap dari RM1,678 untuk Yaris

    Selain itu, semua servis yang diperlukan itu akan dikendalikan selengkapnya oleh pengedar sah Toyota, mengguna alat ganti tulen dan semua pelanggan Kinto One dilindungi di bawah insurans takaful komprehensif dengan bantuan kecemasan 24-jam.

    Bagi yang berminat, pelan atau program ini boleh didapati secara eksklusif secara dalam talian melalui laman web www.kinto-my.com. Pelanggan boleh meninjau model kenderaan yang ada, memilih pelan langganan yang dirasakan bersesuaian dengan keperluan masing-masing dan seterusnya membuat permohonan—semuanya secara dalam talian. Model semasa yang ditawarkan termasuk Toyota Vios, Yaris, Corolla, Innova, Fortuner dan Camry dengan banyak lagi model lain akan disertakan, termasuk dari Lexus.

    “Kinto One merupakan hasil daripada kerjasama strategik antara Toyota Capital Malaysia dan UMW Toyota Motor dan direka secara khusus untuk memenuhi keperluan gaya hidup generasi baru berkaitan mobiliti. Ia berkenaan peralihan cara pembelian pelanggan daripada pemilikan kenderaan kepada penggunaan kenderaan. Ia juga selari dengan visi “Mobility for All” yang dijuarai oleh Toyota,” jelas Presiden Toyota Capital Malaysia, Thomas Chai.

     
     
  • Mercedes-Benz EQA diperkenalkan pada 20 Jan ini – EQA250 dengan 190 PS; imej kabin pertama didedah

    Mercedes-Benz EQA diperkenalkan pada 20 Jan ini – EQA250 dengan 190 PS; imej kabin pertama didedah

    Pada 20 Januari ini, Mercedes-Benz bakal memperkenalkan ahli terbaharu dalam famili EQ, yang akan menyertai EQC dan EQV dalam barisan kenderaan pacuan semua-elektrik jenama berkenaan. Ini merupakan satu lagi langkah rancangan elektrifikasi syarikat berkenaan, malah EQS, SUV EQS, EQE, SUV EQE dan EQB juga bakal menyusul.

    EQA sebenarnya merupakan adik kepada model GLA H247 yang dilancarkan di Malaysia pada Disember 2020, tapi dengan penjana kuasa elektrik. Menurut Mercedes-Benz, EQA akan ditawarkan dengan varian EQA 250, yang memiliki kuasa hingga 190 PS (188 hp atau 140 kW). Susulan pelancarannya, SUV ini bakal menerima tahap kuasa tertinggi melebihi 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan versi pacuan semua-roda.

    Menambahkan lagi debaran sementara menantikan pengenalannya, Mercedes-Benz turut mengeluarkan teaser bagi model ini yang turut memaparkan sebahagian daripada ruang kabinnya, memiliki sedikit persamaan dengan papan pemuka GLA. Walau bagaimana pun, kenderaan elektrik ini ditampilkan dengan pencahayaan ambien di dalam kabinnya. Selain itu, dijangkakan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) turut menampilkan paparan dan grafik spesifik EQ.

    Walau bagaimana pun, buat setakat ini, tiada imej luaran didedahkan, namun difahamkan ia akan lebih kurang sama dengan model GLA, tetapi rekaannya dirombak sedikit untuk bahagian hadapan dan belakang untuk membezakannya sebagai model EQ. Perincian penuh hanya akan didedahkan apabila EQA membuat penampilan sulungnya dalam masa beberapa hari lagi.

     
     
  • Honda HR-V 2021 muncul dalam teaser – pengenalan 18 Februari, bumbung kaca lebih besar, varian e:HEV

    Honda HR-V 2021 muncul dalam teaser – pengenalan 18 Februari, bumbung kaca lebih besar, varian e:HEV

    Honda telah memberikan satu kejutan dengan memberitahu mereka akan memperkenalkan HR-V generasi kedua pada 18 Februari ini, untuk menggantikan model sekarang yang sudah berusia lapan tahun. Bersama dengan pengumuman itu, beberapa gambar teaser yang menunjukkan ciri barunya turut disiar.

    Untuk bahagian luar, kita cuma dapat melihat sedikit bahagian belakang, di mana garis badan beralun sebelum ini telah diganti dengan garis yang lebih tajam. Penutup tempat mengisi minyak pula kini berbentuk petak sementara pembuka pintu belakang masih lagi menggunakan rekaan tersembunyi yang sama.

    Pandangan tepi lampu belakang juga boleh dilihat, di mana ia seperti lebih nipis dan logo di tengah seperti menonjol ke luar. Model di dalam gambar ini juga menggunakan bumbung panoramik yang besar, tetapi tiada bahagian hadapan yang boleh dibuka.

    Tidak banyak yang ditunjuk untuk bahagian dalam tetapi kami dapat mengenal pasti papan pemuka yang lebih bersih serta skrin infotainmen jenis sesentuh di tengah. Dalam gambar itu juga menunjukkan paparan skrin Apple CarPlay sambil tangan model memegang telefon bimbit, sekaligus mencadangkan kewujudan ciri sambungan tanpa wayar untuk iPhone.

    Bahagian lain yang boleh dilihat dalam gambar teaser ini adalah pengawal pendingin hawa serta tombol gear seperti Jazz dan City, serta tweeter pada bahagian pintu yang mungkin menunjukkan tambahan jumlah pembesar suara.

    Tiada perincian teknikal yang dikeluarkan tetapi Honda telah mengesahkan HR-V akan datang dengan pilihan sistem hibrid e:HEV seperti Jazz dan City. Pada dua kereta itu, penggerak yang digunakan adalah motor elektrik 108 PS/253 Nm, serta enjin empat silinder 1.5 liter i-VTEC 98 PS/127 Nm.

     
     
  • TOM’S Toyota GR Yaris – talaan bersama Takamoto Katsuta dan LUCK , inspirasi dari jentera Yaris WRC

    TOM’S Toyota GR Yaris – talaan bersama Takamoto Katsuta dan LUCK , inspirasi dari jentera Yaris WRC

    Tahun ini buat pertama kalinya penganjuran Tokyo Auto Salon (TAS) terpaksa dibatalkan, seperti diketahui, ia adalah kerana pandemik Covid-19, dengan kes positif harian sedang meningkat di Jepun. Walau bagaimanapun, acara tersebut masih boleh ‘dikunjungi’ secara maya hujung minggu lalu (tarikh sebenar ia sepatutnya berlangsung), dan banyak penala-penala yang sepatutnya menyertai TAS 2021 membuat siaran langsung memperkenalkan kereta talaan dan produk baharu mereka di Youtube.

    Sekiranya ia berlangsung seperti biasa tahun ini, sudah tentu dewan-dewan di Makuhari Messe akan penuh dengan hot-hatch Toyota yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia sekarang ini iaitu GR Yaris. Dan ini adalah GR Yaris talaan penala ‘otai’ Toyota di Jepun iaitu TOM’S, dan mendapat kerjasama pemandu Kejohanan Rali Dunia (WRC) Jepun yang memandu untuk Toyota Gazoo Racing iaitu Takamoto Katsuta, dan juga satu lagi jenama penala iaitu LUCK.

    Seperti yang anda boleh lihat, kit aero TOM’S GR Yaris yang direka bersama Katsuta ini menampilkan rupa yang jauh lebih agresif dari model asal, walaupun tanpa kit badan lebar seperti yang dihasilkan oleh Pandem untuk GR Yaris HKS dan juga Fat Five Racing. Bentuk bampar asal hot-hatch ini masih kelihatan, tetapi diberikan sirip-sirip udara tambahan pada perumah lampu kabus, sisi bampar dan juga spoiler bawah bampar yang begitu besar, diinpirasikan dari jentera lumba sebenar Yaris WRC.

    Gril atas asal GR Yaris ini turut diubah dengan rekaan gril yang lebih sinonim dengan TOM’S, manakala unit intercooler untuk sistem turbo disebalik gril bawah nampaknya turut ditukar dengan unit yang jauh lebih besar. Udara dari spoiler bawah hadapan seakan dialirkan ke sisi badan untuk terus memberikan downforce menerusi ‘sayap’ di bawah skirt sisi.

    TOM’S Toyota GR Yaris – talaan bersama Takamoto Katsuta dan LUCK , inspirasi dari jentera Yaris WRC

    Bahagian belakang TOM’S GR Yaris ini menampilkan lebih banyak aspek rekaan yang diambil dari Yaris WRC. Anda boleh lihat dua liang udara yang ‘berdiri’ pada setiap sisi bampar tersebut seakan liang udara dari overfender Yaris WRC. Begitu juga pada bahagian bawah bampar di mana ia diberikan diffuser yang direka seakan jentera yang di pandu oleh Katsuta dalam WRC, siap dengan tip ekzos tunggal berbentuk leper di tengah bagi menggantikan dua tip ekzos bulat asal GR Yaris.

    Untuk spoiler bumbung pula, ia seakan spoiler Yaris WRC dalam skala lebih kecil (tapi masih bersaiz lebih besar dari spoiler asal GR Yaris), dengan dua lapis sayap dan juga sirip-sirip tambahan pada setiap sisi.

    GR Yaris sememangnya menampilkan banyak panel badan ringan yang sudah siap diberikan dari kilang seperti bonet hadapan dan penutup but belakang aluminium, dan juga bumbung dari material karbon CFRP. TOM’S GR Yaris ini pula menampilkan tambahan sepasang pintu karbon dari LUCK.

    Untuk pengetahuan anda, LUCK juga sudah banyak menghasilkan pelbagai peralatan rali untuk GR Yaris ini hasil kerjasama dengan Katsuta, antaranya seperti pod lampu LED karbon, panel pintu dalaman karbon, perehat kaki pada lantai untuk pemandu dan juruarah juga dari karbon, set rollcage lengkap, dan pelbagai lagi.

    Satu lagi peralatan LUCK yang dipadankan pada TOM’S GR Yaris ini adalah set suspensi boleh laras LUCK El Sport V1 DFK yang bukan sahaja memberikan pengendalian lebih baik, malah dapat merapatkan lagi badan hot-hatch ini ke permukaan jalan.

    TOM’S Toyota GR Yaris – talaan bersama Takamoto Katsuta dan LUCK , inspirasi dari jentera Yaris WRC

    Kit aero yang lebih agresif TOM’S GR Yaris ini dipadankan dengan set rim Rays Engineering G025 berdiameter 18inch, dibaluti tayar Dunlop SP Sport Max. Walaupun set asal brek untuk GR Yaris ini sudah cukup baik menampilkan cakera jenis terapung dan dilarik dengan angkup monoblok empat omboh di hadapan, model talaan TOM’S ini diberikan sistem lebih padu dengan set dari Endless yang dihasilkan untuk perlumbaan rali.

    Tiada perubahan besar diberikan pada bahagian kabin, di mana tempat duduk semi-bucket GR asal digantikan dengan unit bucket penuh perlumbaan Recaro RMS2 600A.

    Walau bagaimanapun, tiada perincian berkenaan sistem mekanikal lain didedahkan untuk TOM’S GR Yaris ini. Dalam keadaan standard, Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, menghasilkan 272 PS/370 Nm dan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

    Ini membolehkan ‘pocket rocket’ ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

    Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa jarang dengar nama Takamoto Katsuta ini berbanding nama tiga pemandu utama Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT) iaitu Sebastien Ogier, Elfyn Evans dan Kalle Rovanpera bukan? Sebenarnya misi Presiden Toyota, Akio Toyoda bukan hanya untuk membawa semula nama syarikatnya itu dalam persaingan WRC. Beliau turut berhasrat untuk membawa semula pusingan WRC Rally Japan (sepatutnya berlangsung tahun lalu, tetapi turut dibatalkan kerana pandemik Covid-19), dan melahirkan seorang pelumba WRC dari Jepun sendiri.

    Jadi, Takamoto Katsuta yang juga anak kepada juara lapan kali Kejohanan Rali Jepun, Norihiko Katsuta, terpilih untuk menggalas impian Akio Toyoda berkenaan selepas prestasi yang ditunjukkan olehnya. Pada tahun 2015 hingga 2016, pembangunan Katsuta yang ketika itu berumur 22 tahun diletakkan di bawah pengawasan terus Tommi Makinen oleh Toyoda untuk berlumba di Eropah.

    Pada tahun 2017, Katsuta mula menyertai musim penuh WRC dalam kategori WRC2 dengan jentera R5 juga bersama Tommi Makinen Racing, dalam masa yang sama juara dunia empat kali berkenaan bertugas sebagai prinsipal pasukan TGR WRT. Peluang pertama Katsuta untuk berlumba dengan jentera Yaris WRC adalah pada tahun 2019 di rali Jerman dan Sepanyol, namun Yaris WRC tersebut masih didaftarkan di bawah pasukan satelit Toyota, Tommi Makinen Racing.

    Tahun lalu Katsuta diberi peluang untuk berlumba dalam lebih banyak pusingan WRC, dan berjaya mengutip 13 mata untuk berada di tempat ke-13 secara keseluruhan. Malah Katsuta turut berjaya membuat kejutan dengan menjuarai Wolf Power Stage di pusingan terakhir WRC musim 2020, ACI Rally Monza bulan lalu.

     
     
  • JPJ bantu PDRM dalam Ops COVID-19 – pastikan orang ramai patuhi SOP PKP, PKPB dan PKPP

    JPJ bantu PDRM dalam Ops COVID-19 – pastikan orang ramai patuhi SOP PKP, PKPB dan PKPP

    Bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuatkuasa sehingga 26 Jan ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops COVID-19.

    Menurut JPJ dalam kenyataannya, ia bukan sahaja memastikan pengguna jalan raya patuh kepada peraturan PKP malah kesalahan lain yang berkait dengan kesalahan jalan raya. Di mana seramai 1,200 anggota JPJ di seluruh negara diatur gerak mulai Sabtu lalu bagi tujuan membantu pihak PDRM di sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP.

    Ops COVID-19 mensasarkan kepatuhan aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat (PAD) 2010, dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 1987.

    JPJ bantu PDRM dalam Ops COVID-19 – pastikan orang ramai patuhi SOP PKP, PKPB dan PKPP

    JPJ turut berkata, kolaborasi dengan PDRM ini adalah suatu manifestasi jelas di dalam merealisasikan aspek penguatkuasaan SOP dengan lebih serius di sepanjang tempoh berkuatkuasanya PKP in.

    Malahan tiga strategi akan dilaksanakan JPJ menerusi operasi bersepadu itu iaitu rondaan di jalan utama negeri dan lebuh raya, sekatan jalan raya yang mengkhususkan kenderaan awam serta pemeriksaan dan pemantauan di terminal bas utama.

    Di mana langkah atau pendekatan bersepadu ini wajar dilakukan bagi tujuan mengekang penularan wabak ini yang dilihat semakin meningkat akibat ketidakpatuhan SOP oleh masyarakat tempatan.

    Justeru, JPJ berharap seluruh rakyat di negara ini akan turut memberi kerjasama sepenuhnya di sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP, PKPB dan PKPP supaya penularan wabak itu dapat ditangani secara berkesan.

     
     
  • PKP 2.0: Kilang automotif boleh beroperasi semula

    PKP 2.0: Kilang automotif boleh beroperasi semula

    Dalam tempoh kurang lebih empat hari, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sudah dua kali menukar keputusan berkaitan operasi kilang automotif di kawasan yang dikenakan PKP 2.0. Awalnya dibenarkan (pada 11 Januari 2021), “Senarai Perkhidmatan Perlu” yang dibolehkan untuk beroperasi kemudiannya diubah dengan makluman “Tidak termasuk aktiviti perkilangan automotif” (13 Januari 2021).

    Dan hari ini, keputusan itu sekali lagi diubah dan MITI memberi kebenaran kepada kilang automotif untuk beroperasi, dan mengemaskini sekali lagi senarai berkenaan. Dua kali pusing, dan perkembangan terbaru ini membolehkan segala aktiviti perkilangan automotif dijalankan — tentulah dengan pematuhan SOP ketat yang boleh dipatuhi oleh syarikat.

    Setakat hari ini, 16 Januari 2021, senarai berkenaan sekali lagi dikemaskini dan MITI telah berikan lampu hijau kepada kilang automotif, yang merangkumi pengilangan kenderaan dan komponen, untuk meneruskan operasi mereka sepanjang tempoh PKP 2.0 ini.

    PKP 2.0: Kilang automotif boleh beroperasi semula

    Perkembangan beberapa hari sebelum ini menyaksikan beberapa pihak memberikan respon terhadap perkara ini. Misalnya, Institut Automotif, Robotik dan IoT (MARii) yang menyuarakan sokongan terhadap langkah bagi sektor automotif untuk kembali beroperasi dengan kadar segera walau pun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua (PKP 2.0) ini.

    “Sektor ini telah menyumbang sebanyak RM13.1 bilion menerusi pasaran eksport pada tahun 2019 dan memiliki lebih 700,000 tenaga kerja, turut menunjukkan prestasi yang baik tahun lalu walaunpun berhadapan dengan pandemik Covid-19, yang mengakibatkan banyak gangguan dan penurunan pengeluaran,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARii, Datuk Madani Sahari.

    Jadi, kilang automotif sudah boleh beroperasi selepas ini. Harapnya MITI juga tetap pendirian dan jelas dengan sebarang keputusan yang nak diambil, sebelum buat apa-apa pengumuman selepas ini.

     
     
  • BMW M’sia tayang teaser 4 Series G22, tempahan dibuka untuk 430i Coupe M Sport – dari RM405,680

    BMW Malaysia telah menayangkan teaser bagi model 4 Series G22 menerusi laman media sosialnya. Ia mengesahkan yang model ini bakal dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi dan pra-tempahan menerusi atas talian juga telah dibuka.

    Varian yang bakal dilancarkan itu, 430i Coupe M Sport, ditawarkan pada harga atas jalan RM418,800 tanpa insurans. Walau bagaimana pun, dengan pilihan pakej Innovation, ia ditawarkan pada harga RM454,800.

    430i dijanakan oleh enjin B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan 258 hp dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan, dan coupe ini boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat, dan kelajuan maksimumnya mencecah 250 km/j.

    BMW M’sia tayang teaser 4 Series G22, tempahan dibuka untuk 430i Coupe M Sport – dari RM405,680

    Dengan model M Sport yang ditawarkan, antara ciri luaran menarik yang ditampilkan termasuklah bampar hadapan yang bergaya dengan corong udara yang menonjol, pengambilan udara yang besar dan juga corong bawah yang berbentuk-mangkuk. Gril kidney pula berbingkai krom, bersama butiran di dalamnya dengan sentuhan matte aluminium. Di belakangnya, kelihatan sepasang ekzos krom bulat yang disambungkan ke bampar belakang, dengan elemen ala diffuser, kemasan hitam dan corong sisi yang sama dengan bahagian hadapan.

    Varian 430i yang kita terima menampilkan lampu utama LED, lampu kabus LED dan kemasan
    BMW Individual high-gloss Shadow Line. Selain itu, ia turut diberikan roda aloi ringan M 19-inci (Style 797 M Bicolour) dengan dibaluti tayar 8J dengan 225/40 runflat di hadapan, dan 8.5J bersama 255/35 di belakang. Suspensi M Sport dan brek M Sport juga diberikan, termasuk dengan kaliper biru bersama logo M.

    Di dalamnya, kabin dengan tema gelap (pastinya dengan Anthracite headliner), dengan penawaran kit standard termasuk kemasan Aluminium Tetragon dengan sentuhan Pearl Chrome, Sensatec (kulit sintetik) yang dikombinasikan bersama fabrik dengan upholstery, roda stereng kulit M, pedal spesifik M dan tempat duduk sport larasan elektrik untuk hadapan (dengan fungsi memori untuk pemandu). Ia juga ditampilkan jaluran spesifik M pada tali pinggang keledar.

    BMW M’sia tayang teaser 4 Series G22, tempahan dibuka untuk 430i Coupe M Sport – dari RM405,680

    Lain-lain kelengkapan termasuklah pencahayaan ambien dengan 11 tema, cermin sisi dengan anti-dazzle untuk sisi pemandu, pengesan hujan dan karpet ‘welcome light’. Turut diberikan ialah pendingin udara automatik tiga-zon, Comfort Access dengan bukaan but tanpa sentuhan, dan paparan instrumen 12.3-inci digital penuh BMW Live Cockpit Professional.

    Bagi infotainmen, 430i M Sport didatang dengan sistem BMW Navigation bersama paparan sentuhan sensitif 10.25-inci dan juga sistem sokongan hard drive termasuk storan untuk fail audio. Selain itu, ia turut diberikan BMW ConnectedDrive, Bluetooth dan pengecas tanpa wayar serta sistem pembesar suara “HiFi” BMW.

    Untuk kit bantuan pemandu, coupe ini didatangkan dengan Bantuan Pemanduan bersama Amaran Ketibaan Lorong, Amaran Menukar Lorong dan amaran pelanggaran hadapan dengan campurtangan brek, amaran trafik lintasan belakang dan pencegahan pelanggaran belakang. Selain itu, ia turut diberikan kawalan kelajuan dengan fungsi brek, kamera undur dan Bantuan Parkir dengan Bantuan Mengundur.

    BMW M’sia tayang teaser 4 Series G22, tempahan dibuka untuk 430i Coupe M Sport – dari RM405,680

    Setakat itu sahaja ciri yang ditawarkan, tetapi jika anda memilih pakej Innovation, kos tambahan sebanyaj RM36,000 dikenakan. Dengan kos tersebut, anda bakal menerima upholstery kulit Vernasca bagi menggantikan kombinasi fabrik, IP dengan Sensatec, BMW Laserlights, bantuan lampu tinggi dan Sistem Bunyi Sekeliling Harman Kardon.

    BMW Malaysia juga memberikan pilihan untuk model baharu mereka, sama ada untuk meningkat taraf sistem bunyi yang lebih berjenama dan material kulit pada pemukaan, atau pun tidak. Jika mahu, anda perlu membayar kos ekstra.

    Harga atas jalan bagi 430i Coupe M Sport ini, tanpa insurans, sebenarnya ialah RM405,680 dan bukannya RM418,800, tetapi kereta ini didatangkan dengan waranti selama dua-tahun (dengan perbatuan tanpa had, tiada servis percuma) secara standard.

    Klik untuk besarkan

    Jika tawaran tersebut tidak memuaskan hati anda, BMW turut menawarkan wearanti lima-tahun dengan pakej servis, pada kos yang tertentu. Dengan tambahan kos RM5,900, anda bakal menerima waranti selama lima tahun (juga dengan perbatuan tanpa had), RM8,800 untuk lima-tahun/100,000 km bagi pakej servis, atau RM14,700 untuk kedua-dua waranti + servis bagi tempoh lima-tahun. Kombinasi waranti + servis pula ditawarkan dengan harga istimewa bernilai RM13,120, iaitu diskaun sebanyak 11%. Ini merupakan langkah baharu yang diambil oleh BMW Malaysia.

    Jadi, harga RM418,800 yang ditawarkan adalah inklusif bagi waranti lima-tahun dan pakej servis, di mana ia adalah pilihan. Dan Pakej Innovation pula berharga RM454,800. Dan kereta ini boleh menjadi harga serendah RM405,680, jika anda sanggup mengambil waranti dua-tahun sahaja.

    Pra-tempahan bagi 430i Coupe M Sport secara dalam talian iaitu menerusi laman web rasmi BMW dikenakan fi sebanyak RM1,000, bermula sekarang hingga 18 Mac ini. Manakala penghantarannya bermula pertengahan 2021, dan semua harga yang dinyatakan adalah termasuk cukai jualan. Walau bagaimana pun pengecualian cukai jualan 2020 yang diumumkan oleh kerajaan telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Jan 2021 – Petrol naik sebanyak lima sen seliter, diesel naik hingga tiga sen seliter

    Harga minyak 16-22 Jan 2021 – Petrol naik sebanyak lima sen seliter, diesel naik hingga tiga sen seliter

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan kenaikan harga bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara bagi minggu bertarikh 16 hingga 22 Januari 2021. Di mana harga bagi petrol naik sebanyak lima sen seliter, manakala diesel pula mengalami kenaikan harga sehingga tiga sen seliter.

    Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 akan menjadi RM2.19 seliter berbanding RM2.14 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.84 seliter, bakal menjadi RM1.89 seliter.

    Bagi diesel pula, gred Euro 2M pula bakal menjadi RM2.05 seliter dan Euro 5 pula berharga RM2.15 seliter. Kesemua harga baharu ini akan efektif mulai 12.01 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 22 Januari 2021.

     
     
  • JPJ ingatkan etika berpakaian ketika berurusan – jangan pakai seluar dan skirt pendek, selipar dsb

    JPJ ingatkan etika berpakaian ketika berurusan – jangan pakai seluar dan skirt pendek, selipar dsb

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai yang berurusan di premis-premisnya agar sentiasa mengikut etika kod pakaian yang telah ditetapkan. Dalam satu hantaran menerusi laman Facebook rasminya semalam, JPJ turut menyenaraikan serta memberikan illustrasi panduan berkenaan kod etika pakaian yang perlu dipatuhi oleh pelanggan.

    “Pelanggan hendaklah berpakaian sopan dan bersesuaian, selaras dengan prinsip Rukun Negara yang kelima; kesopanan dan kesusilaan,” tulis JPJ dalam poster hantaran berkenaan.

    Lima contoh pakaian yang tidak sesuai turut ditunjukkan dalam poster berkenaan, termasuk seluar/jeans koyak, seluar pendek untuk lelaki, skirt atau seluar pendek diparas atas lutut untuk wanita, selipar dan juga baju tanpa lengan.

    JPJ ingatkan etika berpakaian ketika berurusan – jangan pakai seluar dan skirt pendek, selipar dsb

    Pejabat-pejabat JPJ masih beroperasi di kawasan-kawasan yang telah diwartakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dibuka bermula 9 pagi hingga 4 petang (rehat tengah hari 1 hingga 2 petang), namun ia terhad hanya untuk urusan memperbaharui cukai jalan bagi kenderaan komersial serta lesen memandu komersil dan vokasional (GDL dan PSV), termasuk untuk teksi dan e-hailing.

    Anda turut boleh ke JPJ untuk membuat sijil pemilikan kenderaan (VOC) dan juga untuk mendapatkan ID untuk mengakses sistem MySikap. Semua servis termasuk termasuk melibatkan orang perseorangan masih boleh dibuat menggunakan platform atas talian berkenaan.

    Untuk kawasan yang masih berada dalam tempoh PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), tiada perubahan untuk operasi dan waktu berkerja.

     
     
  • Dacia Bigster Concept tampil — SUV segmen C gagah

    Dacia Bigster Concept tampil — SUV segmen C gagah

    Mungkin jarang-jarang dengar jenama yang satu ini, tetapi Dacia telah mula menunjukkan rekaan Bigster Concept terbaru, yang merupakan sebuah SUV segmen C. Ia akan dibina menggunakan platform modular CMF-B oleh Renault-Nissan (Dacia merupakan anak syarikat Renault). Rekaan terbaru ini mencadangkan bahawa pengeluar dari Romania itu sedang menuju ke arah kenderaan elektrifikasi.

    Bigster mempunyai ukuran panjang sekitar 4.6 meter, menjadikan saiznya mirip X-Trail dan 300 mm lebih panjang daripada model segmen B Duster. Ia tampil gagah dan ranggi – disumbangkan oleh imej lengkuk tayar yang besar, bampar depan dan belakang yang besar serta warna hijau yang digunakan.

    Keunikan lainnya boleh dilihat pada rekaan lampu utama bentuk Y, dengan kemasan LED pada gril yang mungkin tidak akan dibawa untuk versi produksi. Selebihnya ia memanfaatkan kemasan dalam warna gelap secara keseluruhannya.

    Dacia Bigster Concept tampil — SUV segmen C gagah

    Dari segi penampilan, SUV in nampak memikat, dengan keseimbangan bentuk dan gagah. Pengarah rekaan Dacia, Alejandro Mesonero-Romanos menyebut; “Dacia Bigster Concept ini melambangkan evolusi jenama kami. Semuanya ada makna, dan ditampilkan dengan elemen cool dan semangat waja.”

    Bigster Concept ini dijangka akan memasuki pasaran pada 2025, dan merupakan sebahagian daripada perancangan lima-tahun Renault Group untuk kembali memulihkan keadaan syarikat. dengan platform CMF-B, kedua-dua Dacia dan Lada (jenama Rusia milik Renault) boleh berkongsi alatan dengan cara mengurangkan penggunaan platform daripada empat yang berbeza kepada hanya satu. Jenis rekaan badan kenderaan keluaran kedua-dua jenama itu juga akan dikurangkan daripada 18 kepada 11 untuk penjimatan kos.

     
     
  • Geely KX11 ditunjuk – SUV tujuh tempat duduk baru akan dilancar hujung tahun ini, guna platform CMA

    Geely KX11 ditunjuk – SUV tujuh tempat duduk baru akan dilancar hujung tahun ini, guna platform CMA

    Ini adalah gambar rasmi pertama tanpa penyamaran yang dikeluarkan untuk Geely KX11, iaitu model ketiga syarikat itu yang menggunakan platform CMA selepas Xingyue dan Xingrui. Ia menggunakan bentuk SUV tujuh tempat duduk, dan akan diberikan nama sebenar apabila dilancarkan hujung tahun ini. Pengeluarannya diberitahu bermula suku ketiga 2021.

    Meskipun dimensi sebenar masih belum didedahkan, KX11 dilihat mempunyai saiz yang agak besar. Ada laporan sebelum ini yang mengatakan ia bakal diletakkan hampir dengan Haoyue dalam barisan model syarikat itu, dan mempunyai ukuran sama iaitu 4.8 meter panjang dan jarak roda 2.8 meter.

    Pada aspek rekaan, KX11 mempunyai pengaruh daripada sedan Xingrui, yang ditunjukkan secara awal melalui Preface. Jalur menegak digunakan pada bahagian gril di tengah sementara lampu pula mempunyai tiga jalur DRL yang terpisah atas dan bawah pada setiap penjuru.

    Geely KX11 ditunjuk – SUV tujuh tempat duduk baru akan dilancar hujung tahun ini, guna platform CMA

    Kemasan bahagian bawah bampar bersambung dari tengah hingga ke tepi dan kebanyakan bahagiannya kelihatan seperti tertutup. Di tengah bampar itu pula terdapat skid plate hiasan. SUV ini juga kelihatan tegap dengan lengkuk roda yang lebar manakala jalur badan pula dapat dilihat dengan jelas bersambung dari fender sehingga ke belakang.

    Disebabkan KX11 menggunakan platform CMA, kita boleh menjangka ia akan ditawarkan dengan pilihan unit tiga silinder dan empat silinder turbo, hibrid serta plug-in hybrid. Teknologi lain pada kenderaan ini juga bakal menjadikan ia lebih canggih berbanding Haoyue.

     
     
  • Moto Guzzi V85 TT dipertingkat – mod tunggangan, warna, rim serta varian baru, tork enjin diperbaiki

    Moto Guzzi V85 TT dipertingkat – mod tunggangan, warna, rim serta varian baru, tork enjin diperbaiki

    Moto Guzzi telah memberi peningkatan kepada model V85 TT, bermula dengan tiga pilihan warna baru iaitu Nero Etna, Giallo Mojave dan Rosso Uluru. Selain daripada itu, penunggang juga disediakan dengan dua lagi pilihan mod tunggangan serta varian baru.

    Pada bahagian enjin, unit v-twin penyejukan udara pada model ini sekarang datang dengan lebih tork pada tahap rpm rendah dan pertengahan, hasil daripada pembaikan yang dibuat pada bahagian rocker arm, pushrod serta sistem pengurusan enjin. Kapasiti serta kuasa maksimum enjin itu bagaimanapun masih lagi sama, iaitu 853 cc, menghasilkan 80 PS pada 7,750 rpm dan 80 Nm tork pada 5,000 rpm. Transmisi adalah enam kelajuan.

    Untuk mod tunggangan, pilihan Street Rain dan Offroad yang ditawarkan sebelum ini ditambah dengan Sport dan Custom sekaligus memberikan lebih kebebasan kepada penunggang untuk melarasnya. Panel instrumen menggunakan unit TFT-LCD sementara fungsi sambungan multimedia Moto Guzzi MIA disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Rim spoked yang digunakan pada V85 TT kini tidak lagi menggunakan tiub dan mencatat berat 1.5 kg lebih ringan. Satu varian baru yang diperkenalkan adalah Travel, di mana ia mendapat beberapa aksesori tambahan untuk perjalanan yang lebih selesa.

    Ini termasuklah penghadang angin hadapan lebih tinggi, kotak barangan tepi daripada siri Urban Moto Guzzi, lampu LED tambahan, pemanas tangan serta modul sambungan multimedia Moto Guzzi MIA. Di Malaysia, V85 TT 2020 semasa dilancarkan sebelum ini dijual pada harga RM79,888 untuk versi biasa dan RM81,888 untuk V85 TT Special.

     
     
  • GR Myvi kini jadi nyata dengan kit rekaan JW Bodykit

    GR Myvi kini jadi nyata dengan kit rekaan JW Bodykit

    Selepas Toyota GR Yaris dilancarkan di Malaysia bulan lalu, keluar pelbagai versi imej digital bagaimana sekiranya berberapa model Perodua mendapat sentuhan Toyota Gazoo Racing yang dihasilkan oleh pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin. Ia dibuat kerana di Jepun, sayap perlumbaan Toyota berkenaan turut menghasilkan model talaan berasaskan Daihatsu Copen, iaitu Copen GR Sport.

    Ada antara anda berminat dengan rekaan GR Myvi berdasarkan imej digital yang dibuat oleh Theo berkenaan? Nah, GR Myvi nampaknya akan muncul di alam nyata, tapi bukan dihasilkan oleh Perodua atau Gazoo Racing, sebaliknya inisiatif dari pembuat kit badan tempatan, JW Bodykit.

    Imej digital GR Myvi dihasilkan Theophilus Chin

    Berdasarkan gambar yang disiarkan di laman Facebook rasmi syarikat berkenaan, mereka telah menghasilkan bampar hadapan “GR Myvi” tersebut dari material gentian kaca. Namun masih tidak jelas adakah ia hanya menampilkan bampar hadapan atau akan menjual kit lengkap terdiri dari skirt sisi, bampar belakang dan spoiler bumbung sama seperti rekaan yang dibuat oleh Theo.

    Harga untuk komponen tersebut juga tidak didedahkan, namun mereka menyatakan ia sudah boleh ditempah dan ia akan mula diedarkan kepada pelanggan pada akhir bulan ini. Jadi untuk pemilik-pemilik Myvi yang berminat, apa lagi, jangan lengah nak jadikan kereta anda sebagai antara GR Myvi terawal di Malaysia!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025