Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz GLC43 4Matic Coupé 2020 dilancarkan di Malaysia – CKD, tambah ciri keselamatan, RM499k

    Mercedes-Benz GLC43 4Matic Coupé 2020 dilancarkan di Malaysia – CKD, tambah ciri keselamatan, RM499k

    Baru-baru ini Mercedes-Benz Malaysia telah pun melancarkan satu lagi varian bagi famili Mercedes-Benz GLC Coupe C253 – Mercedes-AMG GLC 43 4Matic Coupé. Tidak seperti model terdahulu, model facelift kali ini adalah unit pemasangan tempatan (CKD) dan harganya juga telah diturunkan susulan pengecualian cukai jualan (SST) sehingga 31 Disember ini.

    Dijual pada harga atas jalan RM498,723 tanpa insurans, SUV AMG ini sebenarnya bukanlah murah pun. Tetapi dengan pengecualian SST itu, harganya lebih jimat lebih RM110,000 berbanding model semasa. Ia turut didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan.

    Kuasanya didatangkan dari enjin yang dirombak semula – unit M276 3.0 liter pengecas turbo-berkembar V6 dengan turbo yang lebih besar, kini mampu menghamburkan output sehingga 390 PS dari 5,000 hingga 6,100 rpm (meningkat 23 PS) dan tork 520 Nm antara 2,500 dan 5,000 rpm. Ia turut dilengkapi kotak gear automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan-kelajuan dan pacuan semua-roda 4Matic, yang membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.9 saat, sama seperti model sebelum ini, walau ada pertambahan kuasa.

    Mercedes-Benz GLC43 4Matic Coupé 2020 dilancarkan di Malaysia – CKD, tambah ciri keselamatan, RM499k

    Menambahkan lagi kemantapan pengendaliannya, model ini turut diberikan suspensi udara AMG Ride Control+, digabungkan dengan Air Body Control multi-chamber spring dan peredam adaptif. Stereng variable-ratio speed-sensitive juga diberikan, serta sistem Dynamic Select dengan mod pemanduan Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.

    Sama seperti GLC standard, model facelift ini juga menampilkan beberapa rekaan baharu yang menarik, termasuklah gril trapezoidal yang lebih besar, lampu utama LED yang dibentuk semula dan lampu belakang LED baharu dengan lampu panduan bersegi. Ia turut diberikan pakej AMG Line, seperti model GLC 300, termasuk ditambah dengan bampar yang direka semula dengan corong pengambilan udara hadapan baharu yang lebih lebar sepenuhnya, dan diffuser belakang dengan plat menegak.

    Selain daripada sentuhan spesifik-AMG, model ini turut diberikan palang gril menegak Panamericana dan kemasan pada dua paip ekzos. Ia juga didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED Multibeam, pakej AMG Night, pemijak sisi seperti aluminium dan roda aloi lima-jejari berkembar 21-inci debgan kemasan dua-tona.

    Mercedes-Benz GLC43 4Matic Coupé 2020 dilancarkan di Malaysia – CKD, tambah ciri keselamatan, RM499k

    Di dalamnya, ia menerima sistem infotainmen MBUX baharu dengan skrin sesentuh tengah 10.25-inci dan paparan instrumen digital 12.3-inci serta sistem kawalan suara “Hey Mercedes”. Roda stereng AMG Performance juga telah direka semula dengan pad sesentuh berkembar untuk mengendalikan kedua-dua skrin berkenaan. Sebagai standard, GLC 43 turut didatangkan dengan kulit tiruan Artico dan upholstery gentian mikro Dinamica dan kemasan hitam-kelabu.

    Ciri lain termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan kawalan penghidup enjin, butang penghidup enjin, kawalan suhu tiga-zon, bumbung suria, 64-warna bagi pencahayaan ambien, tempat duduk hadapan larasa elektronik dengan fungsi haba dan memori, tali pinggang keledar merah designo, ambang sisi iluminasi, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar Qi, sistem kamera 360-darjah, sistem bunyi sekeliling Burmester dan tailgate berkuasa bebas-tangan.

    Bagi aspek keselamatan, GLC 43 dilengkapi dengan pakej Driving Assistant, yang merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan kekal lorong, bantuan lorong berpusat dan pemantauan titik buta.

     
     
  • Perodua D55L – semua apa yang kami tahu setakat ini

    Perodua D55L – semua apa yang kami tahu setakat ini

    Imej bayangan digital Perodua D55L

    SUV segmen-B paling ditunggu-tunggu tahun ini iaitu Proton X50 sudah pun selamat dilancarkan bulan lalu. Ya, model dari Proton ini sebenarnya dihasilkan untuk pasaran lebih tinggi. Bagi mereka yang masih mahukan SUV segmen-B tetapi dalam kelas yang lebih mampu milik, sudah tentu anda tertunggu-tunggu produk dari Perodua yang mula diperkatakan sejak tahun lalu ini bukan?

    Model terbaharu dari Perodua ini masih lagi belum mempunyai nama rasmi, dan ia kini dikenali dengan nama kod D55L. Ketika pembentangan laporan prestasi Perodua untuk 2019 yang dibuat pada awal tahun ini, ia seakan dibayangkan bakal dilancarkan juga tahun ini, namun akibat pandemik Covid-19 yang memaksa negara kita ‘berehat’ seketika dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), CEO dan Presiden Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada Ogos lalu bahawa segala yang mereka rancang perlu ditunda, dan apa perkembangan selanjutnya mungkin hanya diketahui pada tahun 2021.

    Namun apa yang memeranjatkan, pagi ini kami menerima gambar intipan SUV tersebut dengan pelekat penyamaran di seluruh badan dan di uji sekitar Putrajaya – sesuatu yang tidak pernah kita lihat pada model-model Perodua sebelum ini. Ia sudah tentu menjadi satu petanda besar bahawa D55L mungkin akan dilancarkan tidak lama dari sekarang. Jadi, kami sediakan satu artikel khas berkenaan apa yang kami tahu berkenaan D55L, bagi membayangkan apa yang bakal anda dapat dari Perodua selepas ia dilancarkan nanti.

    Perodua D55L – semua apa yang kami tahu setakat ini

    Imej bayangan digital Perodua D55L

    Kenapa semua orang panggil SUV ini sebagai D55L?

    Seperti yang kami sebut tadi, model ini masih belum diberikan nama rasmi. Mengikut tradisi Perodua sebelum ini, setiap projek kereta baharu akan diberikan kod alphanumerik yang tersendiri, contohnya D38L untuk Aruz, D20N untuk Myvi generasi ketiga, D87A untuk Axia dan D63D untuk Bezza.

    Kenapa D55L sering dikaitkan dengan Daihatsu Rocky?

    Ketika pembentangan prestasi 2019 awal tahun ini, Perodua mengesahkan bahawa mereka merancang untuk membangunkan model berasaskan platforn Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Buat masa sekarang, satu-satunya model produksi yang telahpun menggunakan platform tersebut adalah Daihatsu Rocky, dan pada masa yang sama ia turut mempunyai kembar rebadge dikenali sebagai Toyota Raize.

    Jadi berdasarkan apa yang Perodua sebelum ini contohnya SUV Kembara dan Nautica yang diasaskan dari Daihatsu Terios, serta projek lain seperti kembar Daihatsu Terios/Toyota Rush/Perodua Aruz, perkara yang sama sudah tentu akan turut akan diterapkan pada D55L ini.

    Daihatsu Rocky (kiri) Perodua D55L (kanan)

    Gambar intipan yang tular pagi tadi menunjukkan profil badan D55L ini agak sama dengan Rocky. Namun dengan kemampuan unik rekaan dan R&D Perodua yang telah pun dibuktikan menerusi penghasilan badan atas yang tersendiri pada Myvi generasi ketiga dan juga Perodua Bezza, serta bagaimana Perodua menghasilkan papan pemuka yang sedikit berbeza untuk Aruz berbanding Terios/Rush, tidak mustahil D55L akan tampil muka serta bahagian dalaman yang berbeza dari kembar Rocky/Raize.

    Perodua juga sentiasa menghasilkan idea-idea inovasi untuk rekaan yang sesuai digunakan di Malaysia seperti pembaca tol bina dalam, cangkuk beg tangan anti-kecurian, sistem memori larasan pendingin hawa, dan aspek ini mungkin akan membezakan hasil akhir D55L berbanding Daihatsu Rocky.

    D55L adalah “SUV kompak”, bagaimana sebenarnya saiz model ini?

    Jika kita lihat pada Daihatsu Rocky, ia dihasilkan dengan dimensi 3,995 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,620 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,525 mm. Dengan asas yang sama, D55L sepatutnya akan dihasilkan dengan saiz yang lebih kurang sama.

    Agak mudah untuk kita bayangkan jika ia dibandingkan dengan Perodua Kembara – SUV kompak pertama keluaran Perodua berkenaan dihasilkan dengan dimensi 3,890 mm panjang, 1,555 mm lebar, 1715 mm tinggi dan jarak roda 2,420 mm – Rocky jelas sedikit lebih besar dari Kembara.

    Perodua D55L – semua apa yang kami tahu setakat ini

    Klik untuk besarkan

    Namun saiz Rocky ini nampaknya sedikit kecil jika dibandingkan dengan SUV kedua Perodua iaitu Nautica. Model berkenaan dihasilkan dengan dimensi 4,115 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,740 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,580 mm.

    Apa enjin dan kotak gear yang bakal menjana Perodua D55L?

    Pada pasaran Jepun, Rocky hanya dijana oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo dan dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Adakah D55L juga akan menerima gandingan yang sama? Tiada lagi kepastian berhubung perkara ini.

    Namun sekali lagi ketika pembentangan prestasi 2019 awal tahun ini, Perodua turut mendedahkan hala tuju masa hadapan syarikat itu, antaranya bagi memperkenalkan enjin-enjin yang jauh lebih kompak dari apa yang mereka ada sekarang, seiring dengan trend yang sedang meningkat naik di seluruh dunia.

    Menurut Perodua, pembuat-pembuat kereta diperingkat global kini sedang mengecilkan kapasiti enjin mereka bagi memenuhi piawaian pencemaran alam sekitar yang semakin ketat, dalam pada masa sama menggunakan unit pengecas turbo bagi menghasilkan jumlah kuasa yang sama dengan enjin dengan kapasiti lebih besar – ini antara petanda besar bahawa D55L akan menerima enjin yang sama.

    Perodua D55L – semua apa yang kami tahu setakat inicenter>Bahagian dalaman Daihatsu Rocky

    Jika diperhalusi, enjin yang digunakan oleh Rocky diberikan kod 1KR-VET, atau enjin dengan asas sama seperti enjin 1KR-VE tiga silinder 1.0 liter yang berada dalam perut Perodua Axia buat masa sekarang, tetapi dihasilkan dalam versi dengan pengecas turbo.

    Selain dari diperkuat dengan turbo, enjin 1KR-VET tersebut menampilkan teknologi injap bervariasi, DOHC dengan 12-injap, sistem eco-idle, dan hanya dipadankan dengan kotak gear CVT. Di Jepun, selain dari model pacuan roda hadapan, ia turut ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda – jika padanan ini di bawa ke D55L, seperti biasa, kita mungkin tidak akan menerima pilihan AWD tersebut.

    Pada Disember tahun lalu juga, Perodua dilihat melakukan ujian jalan raya terhadap Daihatsu Thor di Malaysia, di mana kei-car yang dilihat di Melaka berkenaan mengenakan penyejuk cecair transmisi yang diletakkan pada bahagian hadapan. Dipercayai, ujian tersebut adalah salah satu ujian untuk enjin turbo ini kerana Thor sememangnya datang dengan enjin 1KR-VET serta kotak gear CVT automatik yang sama dengan Rocky.

    Bila Perodua D55L ini akan dilancarkan? Agak-agak berapa harganya?

    Sudah tentu, D55L tidak akan dilancarkan pada tahun ini. Dengan apa yang sedang dilakukan Perodua ini, kita boleh jangka pelancarannya akan dibuat pada tahun 2021. Perodua masih belum memberikan sebarang bayangan tarikh sebenar pelancarannya, apatah lagi hal-hal berkaitan harga.

    Buat masa sekarang, model paling mampu milik yang dijual oleh Perodua adalah Axia 1.0 E dengan harga RM23,367, manakala model paling mahal pula adalah Perodua Aruz 1.5 AV berharga RM73,226. Dengan saiz serta kelengkapan yang mungkin dipadankan, kita boleh jangka bahawa harga permulaan D55L ini tidak akan lebih tinggi dari Aruz varian paling rendah iaitu RM68,526.

    Selamat untuk dikatakan bahawa D55L mungkin akan dijual pada harga bermula lebih dari RM50,000 untuk varian asas, dan ia mungkin bertindan dengan harga varian tertinggi Perodua Myvi. Adakah ia akan membunuh Myvi secara tidak langsung? Boleh dikatakan tidak, kerana bukan semua orang mahukan sebuah SUV dengan tayar besar dan tinggi dari biasa. Jadi pelanggan yang hanya mahukan sebuah hatchback akan terus memilih Myvi.

    Adakah Perodua D55L ini pesaing terus untuk Proton X50?

    Atas kertas, sudah tentu tidak. Jika dilihat pada saiz sahaja D55L ini adalah SUV segmen-B entry-level yang sangat kecil dengan saiz hampir menyamai model segmen-A. Proton X50 pula adalah SUV segmen-B saiz penuh dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi, serta jarak roda sejauh 2,600 mm.

    Selain dari saiz, unit penjana pada Proton X50 juga jauh dari liga D55L. Begitu juga dengan harga, seperti yang dibincangkan tadi, D55L mungkin akan dijual pada harga bermula lebih dari RM50k, dan tak mungkin lebih mahal dari Aruz 1.5 AV yang berharga RM73k, berbanding X50 dengan varian asas Standard yang dijual pada harga bermula RM79k.

    Foto intipan Perodua D55L yang sedang diuji

    Apa kelengkapan yang dijangka dipadankan pada model produksi Perodua D55L nanti?

    Sekali lagi, kita jadikan Daihatsu Rocky sebagai panduan. Pada pasaran Jepun, varian tertinggi Rocky diberikan lampu hadapan, lampu kabus, lampu nyalaan siang dan lampu belakang yang kesemuanya menggunakan teknologi LED. Ia juga datang dengan rim 17-inci, paparan instrumen TFT tujuh-inci, pendingin hawa automatik, dan juga skrin sesentuh infotainmen bersaiz sembilan-inci.

    Buat masa sekarang, Perodua Myvi sememangnya telah pun diberikan lampu hadapan LED bersama sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin untuk semua varian – takkan D55L ini akan diberikan kelengkapan lebih rendah dari Myvi kan?

    Untuk keselamatan pula, Rocky diberikan sistem-sistem pasif secara standard seperti kawalan kestabilan kenderaan (VSC), traction control, ABS, EBD, BA, enam beg udara serta cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Ia juga hadir dengan sistem keselamatan aktif seperti brek kecemasan automatik (AEB), bantuan dan amaran keluar lorong, pemantau titik buta, lampu tinggi automatik, lampu hadapan adaptif, cruise control adaptif, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan parkir.

    Sebelum ini juga Perodua pernah menyatakan bahawa mereka kini sedang berusaha untuk selari dengan trend global, jadi dengan sistem-sistem pada Rocky berkenaan yang nampaknya sudah boleh diklasifikasikan sebagai sistem pemanduan autonomous Tahap 2, tak mustahil kebanyakkannya akan diserap terus ke D55L.

    Malah buat masa sekarang kebanyakkan model Perodua dari model tinggi seperti Aruz dan Myvi, malah model lebih mampu milik seperti Axia dan Bezza sudah pun menerima pakej bantuan pemanduan Advanced Safety Assist (ASA) Perodua, yang menyenaraikan sistem seperti AEB, sudah tentu D55L juga sekurang-kurangnya akan diberikan sistem yang sama.

    Ada apa-apa lagi?

    Kami sudah pun menulis berberapa artikel berkenaan Perodua D55L ini, jadi di bawah adalah senarai pautan untuk anda baca artikel-artikel berkenaan untuk perincian lebih lanjut:

  • Kami akan secara berterusan mengemaskini artikel ini setiap kali ada informasi berkenaan Perodua D55L ini pada masa akan datang. Jadi untuk anda yang menantikan model SUV terbaharu dari Perodua ini, boleh lah selalu ke halaman ini untuk sebarang informasi terkini.

 

1 comment | Leave a comment?

 
  • Tiada larangan tempat duduk bagi penumpang dari isi rumah yang sama, SOP kekal seperti sebelumnya

    Tiada larangan tempat duduk bagi penumpang dari isi rumah yang sama, SOP kekal seperti sebelumnya

    Kalau-kalau ada yang masih keliru, ini ada sedikit penjelasan tentang SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melibatkan penumpang dalam sesebuah kenderaan. Dalam satu-satu masa, hanya dua orang boleh berada dalam satu kereta, dengan kedua-duanya dari satu isi rumah yang sama. Namun, tidak ada sebarang larangan atau syarat ditetapkan tentang di bahagian mana penumpang itu patut duduk.

    Perkara ini sekali lagi dijelaskan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam taklimat hari ini, mungkin kerana ada ramai yang keliru atau buat-buat tak faham. “Tidak ada sebarang peraturan tentang di mana penumpang harus duduk, dan tidak semestinya mereka duduk di kerusi belakang. Anda boleh duduk di bahagian mana saja dalam kereta. Kalau nak duduk depan, dipersilakan. Anda datang dari isi rumah yang sama, jadi tidak perlulah gunakan pelitup muka di dalam kereta tersebut,” ujarnya.

    Perkara ini bukanlah SOP baru kerana sudah dipraktik dan dimaklumkan sejak sebelum ini lagi. Namun beliau terpaksa memberi penekanan berkaitannya sekali lagi kerana ada video yang tular mendakwa polis mengambil tindakan ke atas seorang pemandu kerana si isteri duduk di sebelahnya ketika dalam kereta. Daripada penjelasan lanjut dari Bukit Aman, pemandu berkenaan sebenarnya disaman kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

    Jadi, terpulang kepada anda sebagai penumpang untuk duduk di bahagian mana dalam kereta yang dipandu oleh individu dari isi rumah yang sama, asalkan hanya ada dua orang sahaja di dalamnya pada satu-satu masa. Melainkan anda menaiki kereta dari perkhidmatan e-hailing, maka perlulah menggunakan pelitup muka. Jelas?

     
     
  • BMW Definition CE 04 skuter elektrik kegunaan urban

    BMW Definition CE 04 skuter elektrik kegunaan urban

    BMW Motorrad telah memperkenalkan skuter elektrik Definition CE 04, yang menjadi sebahagian daripada inisiatif kenderaan masa hadapan NEXTGen jenama itu. Ia dicipta untuk kegunaan jarak pendek di dalam bandar dan menggunakan falsafah komunikasi serta pengangkutan “plugged to life”.

    Penggunaan elektrik pada jentera dua roda bukanlah perkara baru bagi BMW Motorrad kerana pada tahun 2014, mereka pernah memperkenalkan skuter elektrik C Evolution. Melalui model baru ini, mereka mengatakan ia sebagai satu “peralihan kepada ketersediaan untuk pengeluaran dengan rekaan yang hampir tidak berubah.”

    Konsep rekaan Definition CE 04 ternyata unik dan menggunakan bentuk yang panjang serta banyak garisan tajam dan berlapis. Bateri yang memberikan kuasa kepada motor elektrik diletakkan rata dan rendah atas kerangkanya, sekaligus memberikan ruang yang lebih untuk simpanan barang di bawah tempat duduk.

    BMW Definition CE 04 skuter elektrik kegunaan urban

    Ruang ini boleh dibuka dari tepi dan diletakkan dengan lampu supaya pengguna mudah untuk meletakkan helmet atau barangan lain di dalamnya. Bateri yang rendah ini juga menghasilkan titik graviti yang lebih rendah, seterusnya menghasilkan pengendalian yang lebih mudah.

    “Sebuah kenderaan harian yang praktikal untuk ditunggang dari rumah ke pejabat atau berjumpa dengan kawan di waktu petang – ringkasnya sebuah kenderaan yang sesuai untuk kegunaan harian dalam bandar,” kata ketua bahagian rekaan BMW Motorrad, Alexander Buckan. “Kumpulan sasaran urban biasanya bergerak dalam jarak pendek sekitar 12 km sehari. Disebabkan itu, keselesaan jarak jauh kurang penting berbanding ergonomik yang boleh diubah dan akses lebih mudah,” tambah Buckan.

    Pemikiran ini membawa kepada rekaan tempat duduk rata “terapung”, yang membenarkan penunggang naik ke atas Definition CE 04 sama ada dari tepi ataupun belakang. Aspek praktikaliti dan mesra pengguna diambil penting pada Definition CE 04 dan ia dilengkapi dengan sistem sambungan antara kenderaan, penunggang dan telefon pintar.

    Konsep ketersambungan ini dikembangkan lagi kepada pakaian penunggang, di mana BMW turut memperkenalkan jaket yang sesuai digunakan setiap hari. Ia kalis air, fleksibel dan dilengkapi dengan lampu untuk menjadikan penunggang mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain. Warna lampu ini boleh berubah dan ia turut dilengkapi dengan pengecas induktif untuk telefon pintar di dalam poket.

    Ketua bahagian rekaan BMW Motorrad, Edgar Heinrich memberitahu Definition CE 04 adalah pra tonton kukuh bagaimana bentuk kenderaan produksi kontemporari masa hadapan. “Kenderaan elektrik adalan sistem pacuan utama untuk BMW Group dan kami sentiasa bergantung kepada teknologi ini untuk strategi kelestarian kami. Pacuan elektrik juga adalah topik semasa BMW Motorrad, terutamanya dalam persekitaran urban.” tambah Heinrich.

     
     
  • Land Rover Discovery 2021 – enjin dipertingkatkan, barisan kedua tempat duduk diperbaharui

    Land Rover Discovery 2021 – enjin dipertingkatkan, barisan kedua tempat duduk diperbaharui

    Land Rover Discovery 2021 merupakan ahli terkini dalam famili Jaguar Land Rover yang menerima peningkatan kitaran hayat-pertengahan, selepas empat tahun SUV tujuh-tempat duduk generasi kelima itu diperkenalkan. Discovery facelift ini menerima peningkatan luaran yang menggambarkan versi terkini bagi off-roader yang turut digandingkan dengan Electrical Vehicle Architecture (EVA 2.0) ciptaan Land Rover sendiri.

    Bahagian wajahnya juga telah diberikan sentuhan terkini termasuk digandingkan dengan lampu nyalaan siang LED baharu dengan unit tunggal, dan bampar hadapannya juga disemak semula dengan seksyen warna badan yang lebih lebar serta ditampilkan dengan corong pengambilan udara sisi baharu. Untuk belakangnya, ia menerima unit lampu baharu dan panel dengan kemasan hitam berkilat.

    Empat enjin ditawarkan untuk Discovery 2021 ini, iaitu dua unit petrol dan dua unit diesel, dengan enam-silinder dari famili enjin Ingenium. Ia bermula dengan unit P300 2.0 liter turbo petrol empat-silinder sebaris dengan 300 PS dan 400 Nm. Satu lagi pilihan unit petrol ialah P360 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris mild-hybrid dengan 360 PS dan tork 500 Nm.

    Manakala pilihan untuk enjin diesel ialah unit 3.0 liter turbodiesel enam-silinder sebaris mild-hybrid dengan dua talaan. Unit D250 mampu menghasilkan kuasa 249 PS dan tork 570 Nm, sementara D300 pula dengan 300 PS dan 650 Nm. Seperti sebelum ini, kesemua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi auto lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    Varian enam-silinder bagi Discovery facelift ini turut menampilkan advanced driveline yang mengeluarkan hos penderia untuk menguruskan pecahan tork antara gandar hadapan dan belakang untuk menyesuaikan dengan keadaan.

    Peredam adaptif memantau pergerakan kenderaan sehingga 500 kali dalam tempoh sesaat, sementara Terrain Response 2 pula boleh digunakan bersama Configurable Terrain Response yang membolehkan pemandu untuk menala parameter seperti throttle mapping, gearbox shift points, larasan stereng dan suspensi.

    Varian dengan kemasan R-Dynamic juga ditawarkan, yang boleh dikenalpasti dengan serlahan luaran dalam warna hitam berkilat dan Shadow Atlas. Sementara bahagian dalaman ditampilkan dengan upholstery kulit dua-tona dan jahitan kontras pada tempat duduk. Kabin juga dilengkapi Seat Fold Technology yang membolehkan bentangan tempat duduk dikonfigurasi menerusi skrin sesentuh sentral.

    Bahagian pemandu juga menerima Interactive Driver Display 12.3-inci yang turut memaparkan pemetaan 3D dalam definisi tinggi, yang membolehkan skrin sesentuh sentral turut mengawal aplikasi lain. Paparan instrumen digital juga boleh dikonfigurasi untuk menunjukkan dail konvensional, navigasi 3D dalam skrin penuh atau gabungan kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, sistem infotainmen Pivi Pro juga telah dipertingkatkan dengan struktur menu yang lebih dipermudahkan, dan turut menempatkan bateri binaan-dalam yang membolehkan navigasi dihidupkan lebih pantas, ujar Land Rover.

    Teknologi dwi-sim dengan dua modem LTE pula membolehkan pengemaskinian yang boleh dimuat turun pada masa yang sama seperti kemas kini Software Over-The-Air (SOTA) dan menurut Land Rover, teknologi SOTA membolehkan pemilik untuk kemas kini sehingga 44 model individual tanpa pergi ke pusat servis.

    Keselesaan untuk barisan kedua-tempat duduk juga telah dipertingkatkan, hasil rekaan semula tempat duduknya yang menambah baik sokongan sisi, dengan kusyen yang lebih panjang dan tebal. Malah semua tempat duduknya juga ditampilkan dengan sokongan belakang yang lebih tegar dan menambahbaik fostur untuk penumpangnya.

    Corong pendingin hawa untuk barisan kedua juga telah dialih dari tiang-B ke konsol tengah, dan penumpang kini mempunyai kawalan aliran udara dan punca bekalan kuasa sendiri. Ruang penyimpanan barang juga mencecah 2,485 liter maksimum, atau 258 liter sekiranya kesemua tujuh-tempat duduk berada dalam keadaan biasa.

    Varian Commercial

    Sebagai SUV terkini Jaguar Land Rover, Discovery 2021 ini juga menerima Activity Key generasi kedua dengan kawalan skrin sesentuh dan jam digital, yang juga boleh mengunci, membuka kunci dan menghidupkan kenderaan.

    Kamera pandangan hadapan pada bahagian luaran Discovery 2021 pula boleh merakam ClearSight Ground View di mana ia membolehkan pemandu melihat keadaan jalan menerusi bonet bagi menambah baik penglihatan ketika merentasi laluan off-road yang curam dan juga halangan yang tidak kelihatan, ujar Land Rover.

    Land Rover Discovery facelift 2021 didatangkan dengan tahap kemasan Discovery, S, SE HSE dan R-Dynamic, serta barisan facelift ini turut menampilkan varian Commercial yang menambah bahagian kargo pada barisan kedua, membuatkan ia hanya ada
    dua tempat duduk sahaja.

    Varian Commercial ini menempatkan ruang kargo berkapasiti 2,024 liter, dengan ciri tambahan termasuk ruang penyimpanan barang di bawah lantai dan mempunyai kapasiti tundaan sehingga 3,500 kg sama seperti barisan Discovery yang lain. Harga bagi Discovery 2021 ini bermula dari GBP53,665 (RM291,364) untuk pasaran United Kingdom.

    Land Rover Discovery Commercial 2021

     
     
  • WMoto V16 dilancarkan untuk pasaran M’sia – RM16k

    WMoto V16 dilancarkan untuk pasaran M’sia – RM16k

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan sebuah lagi model di bawah jenama WMoto iaitu V16. Ini adalah sebuah cruiser berbentuk klasik yang dikuasakan oleh enjin dua silinder V 249 cc suntikan bahan api, bersama padanan kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 8,000 rpm dan 19 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Model ini masih boleh dinaiki oleh dua orang dan ia datang dengan pemegang yang lebar serta banyak kemasan krom termasuk pada dua ekzos, panel tepi enjin, penutup fork serta cermin sisinya. Rim menggunakan saiz 18 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 15 inci dengan tayar 130/90 di belakang.

    Untuk suspensi, bahagian hadapan menggunakan unit fork teleskopik manakala di belakang menggunakan dua penyerap hentak. Brek cakera hadapan menggunakan unit cakera tunggal 320 mm sementara di belakang terdapat brek cakera 280 mm. Tiada sistem ABS pada motosikal ini.

    Walaupun mempunyai bentuk sebuah cruiser, V16 mencatat berat cuma 165 kg dan menyediakan tempat duduk yang berketinggian cuma 700 mm. Lampu hadapannya menggunakan unit LED berserta DRL dan tangki bahan api berkapasiti 14 liter.

    WMoto V16 dijual pada harga RM15,988 tidak termasuk insurans dan didatangkan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km. Ia akan mula berada di wakil pengedar WMoto bermula 12 November ini dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu biru, hitam dan putih.

     
     
  • Honda PCX125 2021 diperkenal di Eropah – panel badan semua baru, ciri-ciri lain turut dipertingkat

    Honda PCX125 2021 diperkenal di Eropah – panel badan semua baru, ciri-ciri lain turut dipertingkat

    Satu lagi model baru tahun 2021 yang diperkenalkan oleh Honda di Eropah adalah PCX125. Walaupun menggunakan enjin yang lebih kecil, mungkin ada peningkatan pada model ini akan digunakan nanti pada PCX150 yang dipasarkan di negara ASEAN termasuklah Malaysia.

    Sekiranya dibandingkan dengan PCX dalam pasaran sekarang yang kali terakhir diperbaharui pada tahun 2018, PCX125 2021 ini menggunakan semua panel badan baru termasuklah lampu LED hadapan dan belakang (hampir seperti PCX Hybrid tetapi pencahayaannya berbeza) serta pemegang untuk penumpang belakang. Penghadang angin adalah lebih besar sementara tempat duduk pula dibentukkan untuk menjadi lebih selesa. Tingginya cuma 764 mm.

    Ruang simpanan di bawah tempat duduk adalah 2.4 liter lebih besar, dengan kapasiti penuh 30.4 liter, dan ia turut dilengkapi dengan soket pengecas USB. Bagi kunci pintar yang digunakan untuk model ini, selain mengawal butang pemula enjin dan ruang simpanan bawah tempat duduk, ia juga boleh mengawal kunci untuk kotak barangan belakang yang dijual berasingan. Sekiranya pemilik beredar dan kotak itu masih belum dikunci, ia akan terkunci sendiri.

    Di bahagian kokpit, panel instrumen LCD menggunakan paparan baru dan skuter ini juga didatangkan standard dengan sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta idling stop yang menggunakan starter jenis ACG.

    Bagi model PCX125 pasaran Eropah ini, enjin satu silinder Smart Power Plus (eSP+) SOHC padanya telah dipertingkat dengan gerek, lejang serta nisbah mampatan yang berbeza, seterusnya menghasilkan kuasa 12.3 hp pada 8,750 rpm dan 11.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Beberapa bahagian sokongan lain turut diubah termasuklah ekzos untuk memastikan ia mematuhi tahap Euro 5.

    Kerangka model ini juga diubah untuk menjadikannya lebih tegap, dan sekarang mempunyai berat 130 kg. Rim bersaiz sama antara depan dan belakang pada model sebelum ini diubah dengan kini menggunakan saiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang (tayar 110/70 dan 130/70). Suspensi hadapan masih lagi sama tetapi dua penyerap di belakang mempunyai tahap gerak yang lebih panjang iaitu 95 mm. Hanya brek hadapan yang menggunakan sistem cakera dan ia dilengkapi dengan ABS one-channel.

     
     
  • Honda CB1000R 2021 tampil dengan gaya lebih agresif, skrin TFT lima inci, pilihan model Black Edition

    Honda CB1000R 2021 tampil dengan gaya lebih agresif, skrin TFT lima inci, pilihan model Black Edition

    Model Honda CB1000R yang berada dalam pasaran sekarang diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2018, dan kini ia telah diberikan pembaharuan bagi model tahun 2021. Hanya beberapa bahagian yang diubah, untuk menjadikannya lebih segar dan selesa untuk ditunggang.

    Paling utama adalah penampilan, di mana beberapa panel baru digunakan, bersama subframe aluminium baru serta lampu utama LED yang mempunyai lingkaran bulat pada bahagian luar dan dua jalur melintang di tengah. Rekaan rim juga adalah baru.

    Enjin pada model naked ini masih lagi sama iaitu unit empat silinder DOHC 998 cc yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, tetapi sistem suntikan bahan api PGM-FI padanya telah ditala semula untuk menghasilkan kuasa lebih lancar dan menepati tahap Euro 5. Kuasanya adalah 144 hp pada 10,500 rpm dan 104 Nm tork pada 8,250 rpm.

    Kemudiannya, CB1000R 2021 juga diberikan secara standard dengan skrin TFT digital lima inci berwarna penuh, yang selain memaparkan informasi penting, juga boleh disambung kepada telefon pintar dengan sistem Honda Smartphone Voice Control (HSVC). Soket pengecas USB disediakan di bawah tempat duduk.

    Pada bahagian elektronik, motosikal ini datang dengan pilihan empat mod tunggangan iaitu Rain, Standard, Sport dan User. Dalam setiap mod ini, parameter kuasa enjin, engine braking dan Honda Selectable Torque Control (HSTC) akan dilaras pada tahap yang bersesuaian (masing-masing ada tiga tahap) sementara dalam mod User pengguna boleh melaras semuanya pada mana-mana tahap yang dimahukan. HSTC masih boleh ditutup sepenuhnya.

    Suspensi CB1000R menggunakan unit daripada Showa, yang terdiri daripada fork Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) yang boleh dilaras di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban serta lantunan di belakang. Brek menggunakan cakera berkembar 310 mm bersama angkup empat piston di hadapan dan cakera 256 mm serta angkup dua piston di belakang. Ia turut dilengkapi dengan sistem ABS two-channel.

    Honda CB1000R 2021 tampil dengan gaya lebih agresif, skrin TFT lima inci, pilihan model Black Edition

    Kelengkapan lain CB1000R 2021 adalah tangki bahan api 16.2 liter, berat 212 kg, tinggi tempat duduk 830 mm, rim 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 190/55 di belakang, Emergency Stop Signal (ESS) serta penunjuk arah boleh tutup sendiri.

    Selain daripada CB1000R biasa yang ditawarkan dalam tiga warna, Honda turut memperkenalkan edisi istimewa yang dipanggil sebagai Black Edition. Model ini datang dengan hampir semua bahagian berwarna hitam termasuklah ekzos dan rangka, serta quickshifter.

    GALERI: Honda CB1000R 2021

    GALERI: Honda CB1000R Black Edition 2021

     
     
  • JPJ umum bidaan siri nombor pendaftaran PPP cecah RM7.3 juta dalam masa lima hari, atasi rekod SYG

    JPJ umum bidaan siri nombor pendaftaran PPP cecah RM7.3 juta dalam masa lima hari, atasi rekod SYG

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri nombor pendaftaran PPP yang dibuka sejak 5 November lalu, selama lima hari, telah berjaya mengutip hasil yang tertinggi iaitu sebanyak RM7,257,785 (RM7.3 juta). Sekaligus telah mendahului siri SYG yang dibuka sebelum ini dengan perbezaan kutipan sebanyak RM3.7 juta.

    Tuan Zamakhshari Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ memaklumkan, seramai 11,718 pembida telah mengambil bahagian untuk membida siri nombor pendaftaran PPP ini. Di mana seramai 11 pembida tertinggi telah membida siri PPP dan antara siri pembida yang tertinggi ialah PPP1 yang bernilai RM260,000, PPP9 (RM160,000) dan PPP6 (RM140,000).

    “Semua bidaan tersebut dilakukan menerusi sistem JPJeBid. Bagi pembida yang berjaya, mestilah mendaftarkan nombor plat berkenaan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di Pejabat JPJ Negeri atau cawangan.

    “Manakala baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minima. Harga bagi Nombor Bernilai Utama (Golden Number) adalah RM20,000, manakala untuk Nombor Menarik Dua Digit pula bernilai RM3,000.

    JPJ umum bidaan siri nombor pendaftaran PPP cecah RM7.3 juta dalam masa lima hari, atasi rekod SYG

    “Nombor Menarik Tiga Digit pula berharga RM2,500 dan Empat Digit RM2,000. Untuk Nombor Popular dan Nombor Semasa pula, masing-masing bernilai RM500 dan RM300,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini, boleh berurusan di Pejabat JPJ Negeri atau cawangan. Selain itu, orang awam juga disarankan untuk memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi dan seterusnya membeli secara dalam talian.

    Sistem JPJebid merupakan salah satu usaha JPJ ke arah mendigitalisasikan penyampaian perkhidmatannya. Sehubungan itu, JPJeBid menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat. Pembida boleh mengetahui kedudukan (ranking) secara realtime dan tiada unsur campur tangan manusia.

     
     
  • Ini cara untuk kenali bateri Amaron dari saluran rasmi, dan bagaimana untuk daftarkan jaminan 36-bulannya

    Ini cara untuk kenali bateri Amaron dari saluran rasmi, dan bagaimana untuk daftarkan jaminan 36-bulannya

    Kepentingan bateri dalam kenderaan selalu disalah anggap. Ia juga paling kurang dihargai, dengan ramai pengguna lebih senang menggunakan pilihan yang lebih “mainstream”, yang selalu didakwa lebih murah dan tahan lama.

    Bagi sesetengah orang baru menukar bateri kenderaannya dalam masa terdekat ini pasti pernah mendengar tentang bateri Amaron. Jenama ini mula masuk ke Malaysia sejak 2016, dan oleh kerana popularitinya semakin meningkat, ada pihak yang mengimport sendiri unitnya untuk dijual.

    Pengarah Urusan Tecxus Marketing, Eric Chow menjelaskan walaupun bateri Amaron yang diimport sendiri itu produk yang sah, pelanggan yang membelinya tidak akan menikmati manfaat tempoh jaminan, seperti pelindungan jaminan 36-bulan/60,000 km (bagi model terpilih sahaja). Jadi, bagaimana anda boleh mengenal pasti bateri Amaron tulen yang dijual melalui saluran rasminya di Malaysia?


    Caranya mudah. Setiap bateri Amaron datang dengan nombor siri khas. Anda hanya perlu imbas barcode yang dicetak pada pelekat putih (di bahagian atas bateri) menggunakan aplikasi khas Amaron 36, atau sebagai alternatif, masukkan angka kod berkenaan secara manual. Ambil maklum bahawa nombor siri itu sepatutnya sama dengan embossment yang ada pada penutup bateri.

    Bateri yang dijual menerusi saluran rasmi akan diberi pengesahan melalui proses ini, sementara bateri yang diimport sendiri – walaupun bukan produk tiruan – tidak akan menerima nombor siri untuk pengesahan. Ketika memasukkan nombor siri berkenaan, jangan lupa untuk memuat naik salinan invois sebagai bukti pembelian ke aplikasi berkenaan, diikuti dengan gambar plat pendaftaran dan meter perbatuan kenderaan anda. Ini adalah penting sekiranya ada sebarang tuntutan jaminan di masa hadapan.

    Berkaitan jaminan 36-bulan Amaron pula, ketika ini ia diterima pakai bagi siri model 38B20L, 46B24 dan bateri jenis DIN yang diedarkan oleh Tecxus Marketing. Ia untuk kenderaan dengan enjin petrol sahaja, dan had perbatuan terhad kepada 60,000 km (atau dalam tempoh 36 bulan, yang mana dahulu). Bagi kenderaan diesel, jaminan standard adalah sehingga tempoh sembilan bulan.

    Ini cara untuk kenali bateri Amaron dari saluran rasmi, dan bagaimana untuk daftarkan jaminan 36-bulannya

    Sekiranya bateri berkenaan rosak dalam tempoh 18 bulan tersebut, pelanggan akan mendapat ganti bateri baru secara percuma, tanpa banyak soal. Bagi bulan ke-19 dan seterusnya, pelanggan perlu membayar yuran dengan diskaun bagi bateri yang rosak, dengan tempoh jaminan 36-bulan itu turut diperbaharui secara automatik. Merujuk kepada carta di atas, jumlah diskaun bermula dari 47% dan semakin menurun sepanjang tempoh bulan-bulan mendatang selepas itu.

    Semua bateri Amaron dikilangkan dan diimport dari India dan merupakan pengeluar bateri kenderaan aftermarket utama di sana dari aspek pegangan pasaran. Bateri ini turut direka untuk memenuhi spesifikasi tepat OEM, dengan melibatkan penggunaan aloi kalsium perak untuk konduktiviti yang lebih berkesan, serta ketahanan tinggi terhadap haba dan karat. Maklumat lanjut berkaitan bateri ini boleh dicapai di laman Facebook Amaron.

     
     
  • Lego Ghostbusters ECTO-1 – mula dijual 15 Nov ini

    Lego Ghostbusters ECTO-1 – mula dijual 15 Nov ini

    Jika anda peminat filem dan pengumpul barang-barang Ghostbusters, ini adalah satu lagi barangan rasmi yang perlu berada di rak Detolf anda – Lego telah mengumumkan bahawa kereta skuad pemusnah hantu tersebut iaitu ECTO-1 dalam versi permainan blok bata ini akan mula dijual bermula 15 November nanti.

    Ini bukanlah dari siri Technic, namun perincian yang diberikan pada Lego ECTO-1 ini nampak begitu hampir dengan ECTO-1 sebenar. Set ini didatangkan dengan 2,352 blok/komponen plastik Lego, dan apabila dicantumkan ia akan membentuk ECTO-1 yang berukuran 47 cm panjang, 22.5 cm tinggi dan 16.5 cm lebar.

    ECTO-1 yang dihasilkan kali ini adalah dari versi filem terkini siri filem berkenaan iaitu Ghostbusters Afterlife. Dalam filem berkenaan, penampilan ECTO-1 ini masih hampir sama dengan versi filem pertama Ghostbusters pada tahun 1984, yang dihasilkan berasaskan model Cadillac Miller-Meteor versi ambulans 1959.

    Ia menerima pelbagai perincian unik seperti pintu perangkap, perangkap hantu di belakang, pengesan hantu bergerak, tempat duduk belakang yang boleh dipanjangkan, senjata penangkap hantu ‘Proton Pack’, kenderaan perangkap hantu kawalan jauh dan juga logo Ghostbusters pada pintu hadapan.

    Set ini turut menampilkan komponen baharu Lego iaitu cermin hadapan lengkung bersaiz 6×14 dan juga roda stereng lima-modul. Lego Ghostbusters ECTO-1 ini akan dijual pada harga US$199 (RM820). Mahal? Harga ECTO-1 ini hanyalah separuh dari harga Lego Technic Lamborghini Sián FKP 37 yang diperkenalkan Mei lalu.

     
     
  • Honda X-ADV 2021 – kuasa dipertingkat, lebih canggih

    Honda X-ADV 2021 – kuasa dipertingkat, lebih canggih

    Honda telah memperkenalkan beberapa buah motosikal yang diperbaharui untuk tahun 2021 di pasaran Eropah dan ini termasuklah skuter kembara X-ADV 2021. Perubahan yang diberi bukan setakat pada penampilan, tetapi juga boleh dikira menyeluruh termasuk hingga kerangka.

    Enjin yang digunakan pada model ini masih lagi sama, iaitu unit dua silinder selari SOHC 745 cc, tetapi kuasanya telah ditingkatkan sebanyak 4 hp, menjadi 57.8 hp pada 6,750 rpm dan 69 Nm tork pada 4,750 rpm. Enjin ini juga sekarang sudah melepasi tahap Euro 5 dan boleh dikerah sehingga 7,000 rpm. Antara yang diubah adalah pemasaan injap serta kecekapan kemasukan udara serta ekzos.

    Pada bahagian transmisi, nisbah gear untuk unit klac berkembar (DT) enam kelajuan padanya telah diubah untuk menjadikan pecutan awal lebih pantas (gear 1, 2 dan 3 lebih pendek) dan meningkatkan kecekapan bahan api serta kebolehgunaan gear pada kelajuan lebih tinggi (gear 4, 5 dan 6 lebih panjang). Selain penukaran gear automatik, transmisi ini juga mempunyai mod manual dengan kawalan naik dan turun gear menggunakan butang.

    Honda X-ADV 2021 – kuasa dipertingkat, lebih canggih

    Untuk kawalan kuasa, X-ADV 2021 menggunakan sistem ride by wire dan penunggang disediakan dengan lima mod iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel dan User. Dalam empat mod yang pertama, tahap penyampaian kuasa, engine braking, Honda Selectable Traction Control (HSTC) dan ABS dilaras pada tahap tertentu sementara dalam mod User, penunggang boleh melaras semua ciri ini pada tahap yang mereka mahukan. HSTC mempunyai tiga tahap dan ia juga boleh ditutup terus.

    Bentuk asas model ini masih lagi menggunakan konsep sama tetapi hampir kesemua panel badan adalah baru untuk menjadikannya lebih agresif, termasuklah lampu hadapan LED yang dilengkapi dengan DRL LED. Bentuk tempat duduk turut diubah supaya penunggang dapat menjejak tanah dengan lebih mudah dan tingginya sekarang adalah 820 mm. Penghadang angin baru di hadapan boleh dilaras lima tahap secara manual.

    Di hadapan pemandu kini terdapat panel digital TFT 5.0 inci berwarna untuk memaparkan segala informasi penting. Ia juga boleh disambungkan kepada telefon pintar serta headset (tidak disertakan) melalui Honda Smartphone Voice Control System dan membolehkan kawalan panggilan, emel, muzik dan navigasi.

    Di sebalik panel badan X-ADV 2021 ini terdapat kerangka besi rekaan baru yang menjadikan beratnya lebih ringan satu kilogram dan membantu penggunaan ruang – kapasiti ruang simpanan bawah tempat duduk meningkat menjadi 22 liter dan boleh memuatkan helmet full face. Di bahagian ini juga soket 12V telah diganti dengan soket USB.

    Antara kemudahan yang disediakan oleh skuter ini adalah seperti sistem kunci pintar, Emergency Stop Signal (ESS), tangki bahan api 13.2 liter, lampu penunjuk arah boleh tutup sendiri, tongkat tengah, penghadang tangan serta ruang simpanan kecil di bawah pemegang.

    Pada bahagian roda, ia dilengkapi dengan rim spoke 17 inci, tayar 120/70, brek cakera berkembar 296 mm, angkup empat piston serta fork USD 41 mm di hadapan manakala di belakang terdapat rim 15 inci, tayar 160/60, brek cakera 240 mm, angkup satu piston serta monoshock.

     
     
  • Mitsubishi Triton Adventure X kini dalam warna Oren

    Mitsubishi Triton Adventure X kini dalam warna Oren

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan bahawa trak pikap Triton varian tertinggi Adventure X kini boleh dipilih dalam warna Sun flare Orange Pearl, iaitu warna yang sama seperti Triton Athelete pasaran Thailand yang diperkenalkan tahun lalu.

    Warna baharu ini merupakan satu lagi alternatif untuk pelanggan selain dua warna badan sedia ada iaitu Jet Black Mica dan White Diamond. Selain warna badan baharu ini, MMM turut menyatakan bahawa Triton Adventure X kini turut menerima jalur grafik baharu pada bahagian profil sisi.

    Tiada perubahan untuk perincian lain di mana Mitusbishi Triton Adventure X kekal hadir standard dengan lampu hadapan projektor bi-LED bersama lampu nyalaan siang LED, Flying Sports Bar pada bed belakang dan juga rim aloi dua tona berdiameter 18 inci yang dibalut dengan tayar 265/60R18.

    Mitsubishi Triton Adventure X kini dalam warna Oren

    Perincian lain yang turut diberikan secara standard termasuk perakam video digital, pemantau pandangan keliling (ARM), sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 7-inci sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kuilt bersama larasan kuasa untuk pemandu, pedal penukar gear di stereng dan pengelap cermin automatik.

    Untuk keselamatan, Triton Adventure X hadir dengan sistem bantuan pemanduan termasuk sistem Forward Collision Mitigation (brek kecemasan autonomous untuk kenderaan dan pejalan kaki), Blind Spot Warning dengan Lane Change Alert, Rear Cross Traffic Alert, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (depan dan belakang), Auto High Beam, amaran tali pinggang pemandu hadapan serta penderia parkir depan dan belakang. Ia turut menerima sistem asas lain seperti brek ABS, EBD, BA, Stability Control, Traction Control dan tujuh beg udara.

    Tiada perubahan pada unit penjana di mana Triton Adventure X masih digerakkan dengan enjin 2.4 liter MIVEC VGT Turbodiesel berkuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II, bersama mod Off-Road dengan empat tetapan iaitu Gravel, Mud, Sand dan Rock.

    Mitsubishi Triton Adventure X masih dijual pada harga yang sama iaitu RM137,900 di Semananjung Malaysia. Angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran. Tiada pengecualian cukai jualan untuk insentif PENJANA 2020 kerana trak pikap dikelaskan sebagai kenderaan komersil. Ia turut hadir dengan waranti selama lima tahun atau 200,000 km, yang mana sampai dahulu.

    MMM turut mengumumkan bahawa pegangan pasaran bagi Triton sekarang naik dari 15.2% pada 2019 (April hingga Oktober kepada 20% untuk tempoh sama 2020. Menurut syarikat tersebut lagi, tahun fiskal mereka adalah dari April 2020 hingga Mac 2021.

    Jenama tersebut turut menambah bahawa walaupun pasaran segmen trak pikap jatuh 12.4%, namun jualan untuk Triton naik sebanyak 14.8% (berdasarkan tahun kewangan MMM sehingga kini, dalam perbandingan tahun ke tahun). Triton juga masih menjadi trak pikap nombor 1 di Melaka, Pulau Pinang dan Kedah, menurut MMM lagi.

    GALERI: Mitsubishi Triton Adventure X 2019

     
     
  • SPYSHOT: Penampilan pertama SUV Perodua D55L!

    SPYSHOT: Penampilan pertama SUV Perodua D55L!

    Pandemik Covid-19 kita ketahui telah memberi kesan meluas kepada semua orang. Bagi sektor automotif misalnya, paling tidak, banyak perancangan bagi pengenalan model baru menjadi caca-marba. Banyak yang dirancang terpaksa diubah atau dibatalkan.

    Bagaimanapun, menuju penghujung 2020, beberapa model kenderaan segmen massa sudah diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Ambil contoh segmen B bagi sedan; kini Honda City 2020 dan Nissan Almera 2020 juga telah diperkenalkan, walaupun aktiviti pandu uji medianya masih tertangguh. Tidak lupa dengan segmen B SUV melalui Proton X50, yang juga baru dilancar secara rasmi dan diumumkan harganya minggu lalu.

    Namun, ada satu lagi model SUV segmen B yang sepatutnya kita jangkakan, tetapi masih belum ada ura-ura mengenainya. Apa lagi kalau bukan model SUV Perodua D55L. Apa jadi dengan perancangan model ini? Bertenang, kerana seperti yang ramai tahu, Perodua lebih gemar buat kerja diam-diam.

    Dalam perkembangan terbaru, Perodua D55L dengan pelekat samaran penuh telah dilihat oleh seorang pembaca kami, Abu Al Farouq, di luar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya. Walaupun D55L ingin berselindung di sebalik pelekat samaran berkenaan, namun trailer yang mengangkutnya pula tidak segan-segan terpampang nama Perodua – walaupun untuk model Aruz – semacam sengaja ingin menarik perhatian dan memberitahu bahawa model samaran berkenaan ialah dari Perodua.

    SPYSHOT: Penampilan pertama SUV Perodua D55L!

    Tak dapat dipastikan apa yang model berkenaan akan lakukan di sana, mungkin pemeriksaan, atau mungkin juga sekadar sebuah “stunt” untuk menarik perhatian orang ramai agar kembali “mengingati” SUV Perodua yang masih belum diperkenalkan itu. Adakah D55L semakin dekat untuk siap sepenuhnya dan dilancarkan?

    Ogos lalu, CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengesahkan, dalam perancangan asal syarikat itu sebelum ini pun, D55L tidak akan dilancarkan pada tahun ini. Ia bukan ditunda kerana pandemik dan kesan PKPB yang sedang kita jalani ketika ini, sebaliknya memang tidak direncanakan untuk diperkenal kepada umum tahun ini, walaupun Perodua memang berupaya melancarkan sebuah model baru setiap tahun. Dan, untuk tahun 2020, belum ada model baru yang diperkenalkan.

    “Saya tak boleh kata bila, tetapi dalam perancangan asal kami ia tidak akan dilancarkan pada tahun ini. Walau bagaimanapun, kerana kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, kami perlu merangka semula jadual, dan ketika ini kami belum lagi membuat keputusan bila mahu melancarkannnya ,” jelas beliau sebelum ini.

    Beliau juga secara berkias sebelum ini telah mengesahkan bahawa model baru selepas ini akan menggunakan platform DNGA – ini platform yang sama digunakan pada kembar Perodua D55L, Daihatsu Rocky untuk pasaran Jepun. Apa yang didedahkan oleh Perodua sebelum ini mungkin petunjuk bahawa D55L, bukan sahaja berkongsi platform dengan Daihatsu Rocky, malah hampir pasti akan diberikan enjin 1KR-VET 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 98 PS/140 Nm bersama transmisi CVT automatik serupa dengan kembar JDM-nya itu.

    Jadi, sekali lagi, adakah Perodua D55L kini semakin hampir dan telah bersedia untuk diperkenalkan di pasaran Malaysia?

     
     
  • Mitsubishi Eclipse Cross facelift – versi pasaran Australia diperincikan, ruang kargo lebih besar

    Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> – versi pasaran Australia diperincikan, ruang kargo lebih besar

    Mitsubishi Eclipse Cross facelift akan mula dijual pada pasaran Australia dan New Zealand bermula 1 Disember ini, sebelum masuk ke pasaran Jepun dan Amerika Syarikat selepas itu. Oleh itu, perincian dan juga foto lebih banyak kini telah pun disiarkan untuk pasaran pertama yang akan menerima crossover segmen-B ini berbanding pendedahan sulungnya bulan lalu.

    Selepas dijual selama tiga tahun, Eclipse Cross menerima perubahan yang agak menyeluruh pada bahagian luaran, serta diberikan pelbagai tingkat taraf kelengkapan dan juga pilihan unit penjana plug-in hybrid (PHEV) selain dari enjin petrol yang dibawa dari model sebelum ini.

    Walaupun masih menerapkan rekaan Dynamic Shield Mitsubishi dengan elemen ‘X’ diberikan pada muka, model facelift ini sebenarnya telah diberikan perubahan wajah yang signifikant. Lampu hadapan utama telah dialihkan pada bampar, manakala lampu tirus yang tajam pada bahagian atas yang selari dengan gril berkenaan sebenarnya adalah lampu nyalaan siang LED – sama seperti konsep rekaan pada Mitsubishi Xpander.

    Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> – versi pasaran Australia diperincikan, ruang kargo lebih besar

    Gril yang diberikan juga dihasilkan berdasarkan model-model konsep terbaharu Mitsubishi seperti Engelberg Tourer dan e-Evolution. Kemasan skid plate pada bawah bampar juga diperkemaskan dengan rekaan tiga bahagian yang nampak lebih lasak dan menonjol.

    Perubahan lebih besar dapat dilihat pada bahagian belakang. Tiada lagi lampu belakang yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate SUV ini, dan ia digantikan dengan lampu berbentuk-L (juga seakan Xpander) tanpa cermin belakang yang terbahagi. Bahagian bawah bampar juga menerima kemasan skid plate yang direka semula sama seperti di hadapan, tanpa kemasan berwarna perak.

    Satu lagi yang perlu anda tahu, rekaan semula pada bahagian luaran ini bukan bersifat kosmetik semata-mata. Juntaian hadapan dan belakangnya kini lebih panjang menjadikan panjang keseluruhannya kini turut bertambah. Malah rombakan yang dibuat pada sebelah belakang membolehkan kapasiti kargonya naik 18% menjadi 405 liter – untuk memudahkan anda membayangkan saiz but ini, Proton X50 hanya mempunyai kapasiti 330 liter.

    Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> – versi pasaran Australia diperincikan, ruang kargo lebih besar

    Dalam kabin, rekaan keseluruhan papan pemuka masih lagi nampak sama, dan ia masih hadir dengan paparan head-up berwarna. Namun skrin infotainmen tujuh-inci sebelum ini digantikan dengan skrin berdiri sendiri lebih besar bersaiz lapan-inci, dan turut menampilkan dua butang fizikal.

    Bukan saiz sahaja semakin besar, skrin tersebut kini menampilkan antaramuka baharu bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta dilengkapkan dengan sistem navigasi TomTom yang menggunakan sistem kod geo what3words bagi memudahkan pengguna menaip dan mencari destinasi yang dimahukan.

    Model facelift ini tidak lagi diberikan sistem audio dari Rockford Fosgate, tetapi telah digantikan dengan sistem 510 watt dengan lapan pembesar suara. Pad sesentuh pada model sebelumnya tidak lagi diberikan pada Eclipse Cross facelift ini, yang bukan sahaja memberikan rupa yang lebih ringkas, malah kawalan juga menjadi lebih mudah dengan sentuhan terus pada skrin sesentuh berkenaan.

    Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> – versi pasaran Australia diperincikan, ruang kargo lebih besar

    Untuk keselamatan, Mitsubishi Eclipse Cross hadir dengan sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari brek kecemasan automatik, cruise control adpatif, amaran keluar laluan, pemantau titik buta dan juga lampu tinggi automatik. Ia turut menerima penarafan lima-bintang dalam ujian keselamatan pelanggaran ANCAP.

    Bagi versi petrol sepenuhnya, Eclipse Cross masih dijana oleh enjin 1.5 liter turbo empat-silinder berkuasa 153 hp dan tork maksima 249 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dengan pacuan semua roda menerusi sistem Super All Wheel Control (S-AWC) Mitsubishi.

    Walau bagaimanapun, Mitsubishi masih belum menyiarkan spesifikasi teknikal untuk model Eclipse Cross PHEV. Namun laporan sebelum ini menyebut bahawa ia dijana oleh sistem yang sama seperti Outlander PHEV.

     
     
  •  
     
     

    Latest Fuel Prices

    PETROL
    RON 95 RM2.05 (0.00)
    RON 97 RM3.13 (-0.04)
    RON 100 RM5.00
    VPR RM6.00
    DIESEL
    EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
    EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
    Last Updated Aug 14, 2025