Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship

    Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship

    Jadi, hari ini Proton X50 telah pun dipertontonkan dan dibuka untuk tempahan secara rasmi esok, walaupun masih belum lagi dilancarkan. Tetapi, itu sudah cukup untuk membolehkan sebahagian daripada perincian penawarannya juga turut diumumkan.

    Satu perkara yang ramai yang ingin tahu tentulah penawaran spesifikasinya. Dan, itu memang telah didedahkan dengan perincian penuh. Keseluruhannya akan ada empat varian untuk pengguna – 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan 1.5L TGDi Flagship.

    X50 merupakan SUV kedua oleh Proton selepas X70; jika SUV X70 menggunakan asas dari model Geely Boyue, X50 juga mengikut jejak yang sama dengan menggunakan asas daripada model yang lebih kecil, Geely Binyue (juga dikenali dengan nama Coolray di sesetengah pasaran).

    Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship

    Dari segi penampilan, tidak banyak perbezaan antara Binyue dan X50. Bagaimanapun, menurut Proton, sekitar 406 komponen telah menerima peralihan atau rekaan baru, terutamanya yang melibatkan peralihan kedudukan pemanduan dari sebelah kiri ke sebelah kanan. Perbezaan paling ketara, seperti yang ramai sedia maklum, ialah rekaan gril infinite weave yang digunakan; kontras antar hitam dengan bahagian busur panahnya kini dengan warna merah.

    Logo baru “kepala harimau” Proton juga digunakan, dengan saiz yang lebih besar daripada logo lama sebelum ini dan lebih mudah dilihat. Logo yang sama turut ada pada rim. Banyak kelengkapan menarik, dari segi kualiti dan juga teknologi, yang ada pada X50, terutama pada varian Flagship yang anda lihat ini. Lampu misalnya menggunakan jenis LED penuh di depan dan belakang.

    Dari segi saiz, X50 tidak jauh berbeza dari Honda HR-V yang berada dalam segmen yang sama. X50 mempunyai dimensi ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi. Ini bermakna X50 adalah 4 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan 4 mm lebih tinggi berbanding HR-V. Jarak antara rodanya juga 10 mm lebih pendek.

    Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship

    Daripada empat varian yang ditawarkan itu pula, terdapat dua enjin berbeza yang melengkapi model ini. Tiga model paling bawah – Standard, Executive dan Premium – menggunakan unit “1.5T” turbo dengan janaan kuasa 150 PS dan 226 Nm; ini merupakan penawaran yang unik untuk pasaran Malaysia, kerana baru pertama kali digunakan.

    Paling penting dan menarik tentulah varian Flagship. Walaupun dengan kapasiti yang sama, unit 1.5L adalah berbeza – turbocas tiga-silinder petrol yang dibangunkan oleh Volvo dan Geely. Enjin ini menjana sebanyak 177 PS dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Semua varian X50 digandingkan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan. Tak ada versi 4WD untuk SUV kompak ini.

    Sama seperti Binyue, X50 menggunakan platform B-segment Modular Architecture (BMA) oleh Geely, dengan tetapan suspensi MacPherson strut di depan dan torsion beam di belakang. X50 akan dipasang sepenuhnya di kilang Proton Tanjung Malim, dengan ketika ini kadar kandungan tempatannya berada pada tahap 40%. 70 vendor tempatan terlibat di dalam projek ini.

    Untuk mengetahui dengan lebih terperinci perbezaan spesifikasi bagi setiap varian, sila rujuk senarai pecahan di bawah.

      Proton X50 1.5T Standard 2020

      Ciri standard:

    • 1.5 liter turbocas tiga-silinder petrol
    • Sekitar 150 PS dan 226 Nm tork
    • DCT tujuh-kelajuan (klac basah) automatik dengan mod manual
    • Empat beg udara
    • Lampu dan DRL LED
    • Rim aloi 17-inci
    • Kerusi balutan fabrik
    • Corong pendingin hawa belakang
    • Unit infotainmen dengan skrin lapan-inci
    • Kamera undur
    • Proton X50 1.5T Executive 2020

      Tambahan:

    • Enam beg udara
    • Stereng balutan kulit
    • Lampu automatik
    • Lampu kabus depan
    • Kerusi balutan kulit
    • Proton X50 1.5T Premium 2020

      Tambahan:

    • Sistem pemantauan tekanan tayar
    • Rim aloi 18-inci
    • Kerusi kuasa elektrik untuk pemandu
    • Unit infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci
    • Kamera 360-darjah
    • Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

      Tambahan:

    • 1.5 liter turbocas suntikan terus tiga-silinder petrol
    • 177 PS dan 255 Nm tork
    • Advanced Driver Assistance System (ADAS)
    • Warna luaran dua tona (bumbung dan tiang hitam)
    • Bumbung kaca panoramik

    Enam warna diberikan sebagai pilihan, termasuk; Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, Citric Orange dan Passion Red. Tempahan mula dibuka esok, 16 September dengan bayaran RM500. Siri jelajah setiap bandar utama juga akan dilakukan oleh Proton bermula 19 September nanti. Jika berminat, anda boleh mendekati model ini nanti untuk melihat dari dekat.

    GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

    Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

    Gambar rasmi Proton X50

     
     
  • Aston Martin AMR-C01 – simulator lumba RM305k

    Aston Martin AMR-C01 – simulator lumba RM305k

    Aston Martin buat pertama kalinya telah memperkenalkan sebuah simulator mewah AMR-C01 yang dibangunkan bersama dengan syarikat Curv Racing Simulators. Hanya 150 buah akan dijual, pada harga £57,500 (RM305,745) dan penghantaran kepada pelanggan akan bermula hujung tahun ini.

    Untuk rekaan simulator ini – dibangunkan sendiri oleh pasukan pereka Aston Martin di ibu pejabat – ia dibuat dengan mengambil inspirasi daripada kereta Aston Martin sementara bahagian dalamnya pula diberitahu mempunyai posisi tempat duduk seperti hypercar Valkyrie.

    Badan monocoque AMR-C01 dibuat daripada gentian karbon, memberikan kedudukan yang tegap dan kemudiannya dijadikan lengkap dengan kemasan serta kualiti akhir seperti kereta Aston Martin. Bahagian hadapan mempunyai gril Aston Martin Racing. Bagi sistem permainannya, Curv telah menggunakan perisian terkini Assetto Corsa.

    Aston Martin AMR-C01 – simulator lumba RM305k

    “Ini adalah satu cabaran bagi pasukan rekaan. Walaupun simulator ini bukan sebuah kereta, ia masih diinspirasikan daripada kereta lumba kami. Ia mestilah menunjukkan ciri elegan yang sama, mempunyai garis dinamik sama dan seimbang seperti kereta Aston Martin lain dalam dunia lumba,” kata ketua pegawai kreatif Aston Martin, Marek Reichman.

    “Kami telah mencipta sebuah simulator rumah luar biasa yang dapat menawarkan pengguna peluang untuk berlumba dalam dunia virtual secara memuaskan, dari rumah. Sasaran kami adalah untuk membina sebuah simulator yang dapat memberikan kepuasan seperti kereta lumba sebenar,” kata pakar simulator daripada Curv, Darren Turner.

     
     
  • Porsche Taycan 2020 akan diperkenalkan di Malaysia 18 September ini – saksikan secara langsung di sini

    Porsche Taycan 2020 akan diperkenalkan di Malaysia 18 September ini – saksikan secara langsung di sini

    Kereta yang dinobatkan sebagai kereta paling inovatif di dunia, iaitu Porsche Taycan akan membuat penampilan pertama di Malaysia, 18 September, Jumaat ini. Sama seperti majlis pengenalan 911 Speedster dan 718 sebelum ini, anda juga boleh menyaksikan pelancaran digital Taycan melalui pautan ini.

    Kereta elektrik pertama Porsche ini diperkenalkan kepada dunia pertama kali pada Spetember 2019, dan telah memenangi lebih 40 anugerah antarabangsa termasuk World Car of the Year 2020 (untuk kedua-dua World Performance Car dan World Luxury Car), China Green Car of the Year, German Car of the Year dan Game Changer of the Year oleh BBC TopGear Magazine.

    Taycan menggunakan asas penggerak 800 volt berteknologi tinggi dan dipasang dengan transmisi dua kelajuan pada bahagian gandar belakang. Saintis daripada Centre of Automotive Management (CAM) juga memberi pengiktirafan kepada penjanaan semula kuasa tinggi oleh kenderaan ini yang boleh mencecah 265 kW – terbaik dalam segmennya.

    Porsche Taycan 2020 akan diperkenalkan di Malaysia 18 September ini – saksikan secara langsung di sini

    Pada masa ini terdapat tiga versi Taycan yang ditawarkan iaitu untuk permulaan, Taycan 4S yang berkuasa 571 PS dan boleh gerak sehingga 463 km, Taycan Turbo dengan kuasa 680 PS dan 850 Nm tork, dan paling atas, Taycan Turbo S yang mampu menghasilkan 761 PS dan 1,050 Nm tork dalam mod overboost. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan model ini dalam masa cuma 2.8 saat.

    Kedua-dua Taycan Turbo S dan Turbo menggunakan bateri 93.4 kWh (79.2 kWh untuk Taycan 4S), seterusnya memberikan jarak gerak antara 381 hingga 450 km untuk Taycan Turbo, dan 388 hingga 412 km untuk Turbo S. Semua jumlah ini adalah apabila menggunakan kitaran WLTP.

    Untuk mengecas, semua tiga varian boleh menggunakan pengecas pantas DC 270 kW. Selepas dicas 5.5 minit, kereta sudah boleh bergerak sehingga 100 km. Daripada tahap 5%, ia boleh dicas sehingga 80% (untuk bateri Turbo dan Turbo S yang lebih besar) melalui pengecas 270 kW sama akan mengambil masa cuma 22.5 minit. Anda juga boleh menggunakan pengecas AC 11 kW, tetapi ia akan mengambil masa sembilan jam untuk penuh.

     
     
  • Perodua sumbang lebih 7,700 unit pelindung muka ke sekolah rendah sekitar Putrajaya dan Hulu Selangor

    Perodua sumbang lebih 7,700 unit pelindung muka ke sekolah rendah sekitar Putrajaya dan Hulu Selangor

    Perodua kian giat aktif dalam misi kemanuasiaan dan kerja amalnya membantu golongan masyarakat setempat. Terkini, syarikat pengeluar kereta ini telah menyumbang lebih 7,700 pelindung muka kepada 66 sekolah rendah di kawasan Putrajaya dan Hulu Selangor baru-baru ini, untuk kegunaan kakitangan akademik dan sokongan.

    “Setelah menyumbang kira-kira 11,000 pelindung muka kepada sekolah-sekolah menengah di Putrajaya dan Hulu Selangor pada Jun, Perodua kini menyumbang kepada sekolah-sekolah rendah pula di kawasan-kawasan tersebut.

    “Tujuan sumbangan ini adalah untuk perlindungan, kesihatan dan kesejahteraan para murid, guru dan kakitangan sokongan. Selain itu, ia juga sebagai tanda penghargaan kepada kerajaan atas usaha-usaha mereka dalam menangani COVID-19. Malah ini juga sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat sekeliling yang telah menyokong dan menyambut baik kami selama 27 tahun kami bertapak di sini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua sumbang lebih 7,700 unit pelindung muka ke sekolah rendah sekitar Putrajaya dan Hulu Selangor

    Setakat ini, Perodua telah menyerahkan lebih 30,000 pelindung muka secara keseluruhan, antaranya kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Majlis Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah dan klinik-klinik Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan para penjaja pasar pagi dan malam di Hulu Selangor dan Selayang.

    Dihasilkan oleh salah satu syarikat bersekutu Perodua, pelindung muka tersebut mempunyai bahagian pelindung tahan kabus yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate untuk penglihatan yang optimum. Kusyen span pada bahagian dahi menghalang kemasukan titisan air manakala jalur elastik boleh dilaraskan untuk pemakaian yang selamat dan selesa.

    “Di Hari Malaysia ini, Perodua, sebagai syarikat yang prihatin, bertanggungjawab dan mengutamakan insan, ingin menyeru rakyat Malaysia supaya terus berwaspada dan mematuhi semua garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan, agar kita dapat menewaskan COVID-19 sebagai satu negara,” ujar Dato’ Zainal.

     
     
  • SPYSHOT: BMW M235i xDrive Gran Coupe F44 di M’sia

    SPYSHOT: BMW M235i xDrive Gran Coupe F44 di M’sia

    BMW Malaysia bakal melancarkan model BMW 2 Series Gran Coupé F44 tidak lama lagi, dan varian 218i M Sport berwarna Misano Blue pernah dikesan sedang diangkut di atas treler oleh pembaca paultan.org Athiithan Khan. Dan terbaharu, sekali lagi model ini telah dikesan sedang diangkut dengan treler tapi kali ini melibatkan varian M218i xDrive dengan balutan penyamaran, yang dikesan oleh pembaca alldisc. Malah ia merupakan model spesifikasi tertinggi kerana merupakan satu-satunya varian dalam barisan F44 yang menerima dua corong ekzos trapezoidal dan low profile spoiler di atas but.

    Sebagai varian tertinggi, M235i xDrive menerima pakej M Sport secara standard, merangkumi gril ‘kidney’ BMW, corong pengambilan udara besar, serlahan luaran Cerium Grey dan roda aloi lima-jejari berkembar 18-inci dibaluti tayar Pirelli P Zero UHP.

    Selain itu, ia turut menerima pertambahan ciri lain termasuk kawalan suara Intelligent Personal Assistant dan Digital Key yang membolehkan pemandu membuka pengunci dan menghidupkan enjin menerusi telefon pintar Samsung terpilih.

    SPYSHOT: BMW M235i xDrive Gran Coupe F44 di M’sia

    Pesaing bagi Mercedes-AMG CLA 35 ini dijanakan oleh enjin B48 2.0 liter empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 306 PS dan tork 450 Nm. Pecutan dari titik sifar ke 100 km/j boleh dicapai dalam masa 4.9 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 250 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan sekitar 6.7 hingga 7.1 liter per 100 km.

    Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi kotak gear sport auto lapan-kelajuan dan sistem xDrive AWD yang turut dilengkapi dengan mechanical Torsen limited-slip differential.

    Ciri tambahan lain termasuk strut tower brace, pengukuh di sekitar subframe hadapan dan tunnel tengah, stereng, brek dan suspensi M Sport serta sistem near-actuator wheel slip limitation (ARB) yang membantu mengurangkan understeer kuasa.

    Untuk keselamatan, dijangkakan pakej Driving Assistant akan ditawarkan secara standard, ini termasuklah amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran belakang dan amaran lintasan trafik, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop/go, brek kecemasan sendiri dan mungkin juga dengan sistem Bantuan Parkir.

     
     
  • Honda N-One 2020 ditunjuk di Jepun — gaya baru, Honda Sensing, enjin turbo, enam-kelajuan manual

    Honda N-One 2020 ditunjuk di Jepun — gaya baru, Honda Sensing, enjin turbo, enam-kelajuan manual

    Untuk tahun 2020, Honda N-One dijangka akan diberi banyak peningkatan, dengan pelancarannya untuk pasaran Jepun adalah pada musim luruh tahun ini. Kei-car lima-pintu ini mengambil ilham daripada model klasik N360, dan mula diperkenalkan pada 2012 sebelum diberi kemaskini facelift pada 2017.

    Model barunya masih mengekalkan bentuk dan menampilan comel yang terdahulu, tetapi dengan beberapa kemaskini menggayaan seperti DRL bentuk bulat untuk lampu depan LED-nya. Di belakang, lampunya juga menerima rekaan baru, dengan gelung kanan cahaya baru serta diode persendirian untuk memberikan menampilan yang tersendiri.

    Honda akan menawarkan N-One dalam tiga tingkat kemasan; Original akan menerika palang hitam di atas gril serta bukaan intake bahagian bawah yang direka semula. Versi Premium pula menggunakan rekaan gril hexagonal serta kemasan metalik pada bahagian bawah bampar, dan juga dengan rim antara saiz 14 atau 15-inci – saiz yang lebih besar itu adalah bagi varian Premium Tourer.

    Honda N-One 2020 ditunjuk di Jepun — gaya baru, Honda Sensing, enjin turbo, enam-kelajuan manual

    Versi yang paling sporty ialah RS, yang menggunakan rekaan gril yang sama seperti Premium, tetapi tanpa rekaan melintang di dalamnya. Ia juga menerima rim 15-inci multispoke, komponen dalam warna hitam serta wing belakang. Sama seperti sebelum ini, kereta kompak ini hadir dengan penawaran pelbagai pilihan warna – satu tona atau dua-tona – untuk bahagian luaran, begitu juga dengan pelbagai aksesori lain.

    Di dalam, papan pemuka N-One diberi rekaan serba baru, yang mirip dengan rekaan dalaman pada Jazz terkini. Corong udara bulat untuk pemandu, manakala bukaan bersegi untuk penumpang – mungkin ada sedikit keanehan bagi sesetengah orang. Skrin sentuh utama di tengah, dan di bawahnya terletak tombol kawalan pendingin hawa.

    Brek elektronik dengan fungsi auto brake hold yang menggantikan brek kaki pada model terdahulu. Roda stereng dan kluster instrumen untuk memandu juga diberi rekaan baru, sementara barisan slot USB tersusun di bahagian bawah di tengah.

    Honda N-One 2020 ditunjuk di Jepun — gaya baru, Honda Sensing, enjin turbo, enam-kelajuan manual

    Dari sudut keselamatan, sistem Honda Sensing akan ditawarkan sebagai standard pada N-One buat kali pertama. Dan ini termasuk beberapa fungsi seperti brek kecemasan autonomous, mengekalkan lorong, kawalan melayar adaptif, false start suppression, pengesan tanda jalan dan lampu tinggi automatik.

    Perincian mekanikal masih belum didedahkan, tetapi N-One RS akan menerima enjin turbocas dan transmisi manual enam-kelajuan. Oleh kerana peraturan kei-car di negara itu, kemungkinan besar model ini akan menggunakan enjin tiga-silinder 660 cc sedia ada, yang menghasilkan 64 PS dan 104 Nm. Versi tanpa turbo enjin yang sama akan menghasilkan 58 PS dan 65 Nm, digandingkan dengan CVT dan sistem pacuan semua roda.

     
     
  • SPYSHOT: Honda HR-V 2021 dijumpai sedang jalani ujian jalan raya di Jepun – ia kini nampak lebih besar

    SPYSHOT: Honda HR-V 2021 dijumpai sedang jalani ujian jalan raya di Jepun – ia kini nampak lebih besar

    Honda HR-V generasi kedua sudah pun berada cukup lama dalam pasaran – muncul di Jepun sebagai Vezel pada akhir 2013, kemudian masuk ke pasaran Malaysia pada awal 2015. Kebiasaannya satu-satu model dari Jepun itu hanya berada dalam pasaran sekitar enam-tahun, dan HR-V jelas sudah berada pada hujung usia produksinya.

    Jadi tidak hairanlah, unit prototaip generasi seterusnya sudah pun dilihat mula diuji di Jepun. Unit prototaip yang dibalut sepenuhnya dengan pelekat penyamaran ini dijumpai Daikoku PA di Metropolitan Expressway, Tokyo – tempat yang terkenal sebagai ‘port lepak’ jika anda sering mengikuti perkembangan budaya ubahsuai Jepun, terutamanya di ‘Wangan Bay Route’.

    Gambar ini dimuat naik oleh pengguna Twitter dengan akaun Date_aHikarin, dan boleh dilihat rupa keseleruhan HR-V generasi baharu ini agak berlainan dari model generasi sedia ada. Pada bahagian hadapan, model baharu ini menerima lampu utama yang lebih nipis, dengan lampu nyalaan siang bina dalam bersama jalur LED yang membentuk kening. Ia juga menerima gril hadapan yang nampak seakan jelas membentuk enam penjuru, dengan elemen bar melintang yang nipis di tengah.

    SPYSHOT: Honda HR-V 2021 dijumpai sedang jalani ujian jalan raya di Jepun – ia kini nampak lebih besar

    Namun, ia masih menerima perincian-perincian identiti HR-V sedia ada seperti liang udara bawah pada bampar hadapan dan juga lekuk pada penutup bonet enjin yang mengalir ke tiang-A. Cermin sisi pula nampaknya kini telah ‘disangkut’ pada bahagian pintu hadapan, dan lampu belakang pula nampak lebih nipis.

    HR-V ini turut dilihat menerima antena sirip yu pada bumbungnya, manakala pembuka pintu belakang masih kekal ‘disorok’ di atas panel pintu belakang seperti model sedia ada. Bahagian belakang HR-V ini juga nampak seakan lebih panjang dari sebelum ini.

    Ada laporan mengatakan bahawa saiz Honda HR-V 2021 ini sememangnya dihasilkan lebih besar dari model sebelumnya. Berdasarkan apa yang lazimnya dibuat oleh Honda terhadap model-model lain, jarak roda HR-V baharu ini mungkin juga lebih panjang bagi memberikan kabin yang lebih besar.

    SPYSHOT: Honda HR-V 2021 dijumpai sedang jalani ujian jalan raya di Jepun – ia kini nampak lebih besar

    Ruang kepala dan kargo di bahagian belakang juga mungkin dihasilkan lebih besar kerana ia tidak lagi menampilkan garis bumbung yang ‘bulat’ di belakang, tetapi lebih rata dengan cermin belakang direka lebih landai dan bersegi.

    Masih lagi belum jelas tentang perincian mekanikal lain, namun boleh dijangka HR-V ini mungkin turut akan diberikan varian yang dijana oleh sistem petrol hybrid terbaharu Honda iaitu Sport Hybrid i-MMD seperti Honda Fit dan juga Honda City RS pasaran Malaysia.

     
     
  • Mercedes-Benz GLB X247 dilancarkan di Malaysia pada 22 Sept – dijangkakan varian GLB35 4Matic

    Mercedes-Benz GLB X247 dilancarkan di Malaysia pada 22 Sept – dijangkakan varian GLB35 4Matic

    Selepas memperkenalkan model GLE Coupe C167 dan GLS X167, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bakal melancarkan model GLB X247 pula. Menerusi entri di Facebook rasminya, model tersebut diumumkan bakal dilancarkan pada 22 September ini menerusi tayangan perdana digital bermula jam 12 tengahari.

    GLB pertama kalinya didedahkan pada Jun tahun lalu dan dibangunkan dengan senibina MFA2 seperti model semasa A-Class, B-Class, CLA dan GLA. Diposisikan di antara GLA dan GLC, GLB menawarkan konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk. Kalau dilihat pada dimensinya, ia memang menampakkannya sebagai model “kompak”.

    Ia mempunyai dimensi 4,634 mm panjang, 1,834 mm lebar dan 1,658 mm (1,662 mm bagi versi tujuh-tempat duduk) tinggi, sementara jarak antara roda pula ialah 2,829 mm panjang – ia 100 mm lebih panjang berbanding B-Class terbaharu. Sebagai perbandingan, GLC pula berukuran 4,656 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,639 mm tinggi dan jarak rodanya 2,873 mm. Sementara GLA pula 4,410 mm panjang, 1,834 mm lebar, 1,161 mm tinggi dan jarak rodanya 2,729 mm.

    Walau bagaimana pun perincian penuh bagi model pasaran Malaysia hanya akan didedahkan pada hari pelancarannya. Namun, kami menjangkakan varian AMG GLB 35 4Matic yang akan ditawarkan, seperti mana spyshot yang pernah dirakamkan di Lebuhraya NKVE baru-baru ini.

    AMG GLB 35 4Matic yang merupakan versi paling berkuasa menggunakan enjin 2.0 liter pengecas empat-silinder petrol dengan janaan 306 PS dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Sistem pacuan AMG Performance 4Matic AWD juga dihadirkan sekali. Tetapi, tidak seperti model AMG 35 yang lain, GLB 35 ini menggunakan transmisi AMG Speedshift DCT lapan-kelajuan dan bukannya versi tujuh-kelajuan.

    Dari sudut prestasi, AMG GLB 35 memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, sebelum tiba kepada kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Purata penggunaan minyak ialah sekitar 7.5 liter bagi 100 km mengikut peraturan NEDC.

    Selain itu, bagi varian bukan-AMG, model GLB 200 pula digandingkan dengan enjin 1.33 liter M282 pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan sehingga 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan dari Getrag. Ia membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.1 saat serta kelajuan maksimum 207 km/j. Penggunaan petrol didakwa sekitar 6.0 ke 6.1 liter bagi 100 km.

    Varian pertengahan pula ialah GLB 250 yang menggunakan enjin 2.0 liter M260 dengan janaan 224 hp pada 5,800 rpm dan 350 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Dengan transmisi baru Mercedes 8G-DCT lapan-kelajuan, ia boleh mencecah 100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 236 km/j. Penggunaan minyak pula pada kadar 7.2 hingga 7.4 liter bagi setiap 100 km.

    Dari sudut rekaan, SUV ini tampil dalam rekaan bersegi, dengan garis bahu di tepi menjadikannya tampak lebar dan tegap. Lampu pula menggunakan jenis LED di belakang. Sebagai pilihan, ia turut ditawarkan dengan pilihan lampu utama Multibeam LED, serta lampu kabus LED.

    Di dalam pula, rekaannya juga lebih sibuk dan menonjol – banyak juga kemasan plastik yang kelihatan seperti aluminium digunakan. Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga melengkapi model ini. Untuk tempat duduk baris ketiga, ia boleh direbahkan dengan menggunakan satu sentuhan sahaja untuk memudahkan penumpang masuk ke ruang berkenaan. Selain ruang cawan, setiap penumpang mempunyai slot USB sendiri.

    GALERI: Mercedes-AMG GLB 35 4Matic X247 di Frankfurt

    GALERI: Mercedes-Benz GLB 200 X247 di Frankfurt

     
     
  • PACE 2020 anjuran paultan.org kembali tahun ini di Pusat Konvensyen Setia City, 7 dan 8 November

    PACE 2020 anjuran paultan.org kembali tahun ini di Pusat Konvensyen Setia City, 7 dan 8 November

    Ekspo jualan kenderaan premium anjuran paultan.org, iaitu Premium Auto Car Expo (PACE) akan kembali tahun ini. Ia sekali lagi akan dianjurkan di Pusat Konvensyen Setia City, dari 7 November hingga 8 November 2020 dan menyediakan pelbagai tawaran menarik untuk anda.

    Empat jenama baru akan menyertai pameran ini iaitu Hyundai, Ford, Honda Motorcycles dan Triumph Motorcycles, sementara Lexus juga akan kembali di PACE tahun ini. Jenama lain yang terus akan berada di pameran ini adalah termasuk BMW, Harley-Davidson, Jaguar, Land Rover, Mercedes-Benz, MINI, Volkswagen dan Volvo.

    Waktu di PACE, anda akan dapat menikmati pelbagai promosi hujung tahun bukan sahaja untuk kereta baru, tetapi juga yang terpakai, daripada jenama yang terlibat. Maklumat lanjut berkenaan promosi ini akan diumumkan apabila acara semakin hampir.

    Sebagai permulaan, 200 pelanggan pertama yang menempah kereta baru di PACE 2020 akan menerima baucar terkumpul RM2,000* daripada penaja kami – RM500 daripada Kuzia Glanz (coating), RM500 daripada V-Kool (penapis haba cermin), RM500 daripada Recaro Kids (tempat duduk kanak-kanak) dan RM500 daripada Ogawa (barangan gaya hidup). Bagi 70 pembeli kenderaan terpakai yang pertama pula, mereka akan menerima baucar terkumpul RM1,000* untuk barangan Recaro Kids dan Kuzia Glanz.

    PACE 2020 anjuran paultan.org kembali tahun ini di Pusat Konvensyen Setia City, 7 dan 8 November

    Bukan setakat itu, pelbagai lagi hadiah menarik juga disediakan. Pelanggan yang telah disahkan dapat menyertai cabutan bertuah yang menyediakan 10 hadiah setiap hari daripada Samsung berupa telefon Galaxy Z Flip yang bernilai RM5,588 setiap satu*. Satu lagi pemenang akan menerima hadiah utama percutian untuk dua orang berjumlah RM15,000*!

    Memandangkan kita sekarang masih lagi berhadapan dengan pandemik global, kami akan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan anda selamat. Pengunjung perlu memakai pelitup muka sepanjang masa dan suhu badan akan diambil untuk memastikan ia tidak melebihi 37.4ºC. Anda juga perlu mengimbas kod QR MySejahtera dan mengisi butiran untuk memudahkan pengesanan.

    Sebagai tambahan, kami juga akan mengenakan had cuma 1,500 orang di dalam kawasan pameran pada satu-satu masa. Keputusan untuk melaksanakan jumlah yang lebih rendah berbanding 2,500 orang yang ditetapkan sebagai peraturan sekarang adalah bagi memastikan keselamatan pengunjung dan juga pekerja. Apabila berada di dalam, anda perlu mematuhi penjarakan sosial satu meter.

    PACE 2020 anjuran paultan.org kembali tahun ini di Pusat Konvensyen Setia City, 7 dan 8 November

    Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan warga emas melebihi 60 tahun juga tidak dibenarkan masuk. Akhir sekali, kami akan menyediakan cecair pembasmi kuman di kawasan acara, dan pengunjung digalakkan untuk membawa pembersih mereka sendiri dan membasuh tangan secara kerap.

    Tahun lepas, 399 buah kenderaan berjaya dijual di PACE, dan secara keseluruhannya ia berjumlah RM91.5 juta. Jumlah ini terdiri daripada 272 kenderaan baru, 87 kenderaan terpakai dan 40 motosikal kuasa tinggi. Dengan peraturan penjarakan sosial sekarang memang agak sukar untuk mencapai semula jumlah itu, tetapi kami tetap akan cuba.

    Anda boleh klik di sini untuk maklumat lanjut PACE, dan seperti yang diberitahu sebelum ini, promosi menarik lain daripada peserta akan kami beritahu apabila acara semakin hampir nanti. Sudah rasa teruja? Jumpa anda di sana nanti!

    *Untuk kenderaan Volkswagen Passenger Cars Malaysia, sah untuk semua model kecuali Polo, Vento dan Jetta. Untuk Ford Malaysia, sah bagi Ranger Raptor dan Ranger WildTrak sahaja. Tidak sah untuk motosikal BMW Motorrad, Harley-Davidson dan Triumph.

     
     
  • PLUS-JPJ buka Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya pertama seumpamanya di lebuhraya

    PLUS-JPJ buka Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya pertama seumpamanya di lebuhraya

    Sekali lagi PLUS Malaysia Bhd (PLUS) telah berkolaborasi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membuka sebuah Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (Unit Penguatkuasaaan Lebuh raya) JPJ yang pertama seumpamanya di lebuhraya kendaliannya. Ia adalah salah satu daripada langkah meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuh raya, pusat kawalan ini yang terletak di bangunan penyeliaan Plaza Tol (Lama) Jelapang di KM268 di Lebuhraya Utara-Selatan.

    Majlis perasmiannya telah disempurnakan secara bersama oleh Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Sri Shaharuddin Khalid dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, disaksikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi Hassan serta pegawai-pegawai kanan JPJ.

    Zakaria berkata, “PLUS sentiasa mencari pelbagai pendekatan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di semua lebuh raya kendalian kami agar pelanggan dapat terus menikmati perkhidmatan lebuh raya yang selamat dan selesa.

    “Justeru, selain daripada memberi fokus terhadap aspek kejuruteraan lebuh raya dan pendidikan menerusi program-program advokasi keselamatan jalan raya, kami turut melihat kepada aspek penguatkuasaan undang-undang dengan kerjasama JPJ dan agensi penguatkuasa yang lain.”

    PLUS-JPJ buka Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya pertama seumpamanya di lebuhraya

    Beliau turut berkata, kehadiran anggota JPJ yang mengadakan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya PLUS amat penting terutamanya dalam menangani isu-isu berkenaan kenderaan berat seperti penggunaan tayar botak, membawa muatan berlebihan dan tidak stabil dan lain-lain adalah amat kritikal.

    “Umum mengetahui bahawa kebanyakan isu halangan atau objek yang berpunca daripada kenderaan berat seperti serpihan tayar, kayu, besi dan lain-lain mendatangkan bahaya kepada pelanggan-pelanggan kami. Kehadiran Rakan Keselamatan Jalan Raya PLUS seperti pasukan penguatkuasa JPJ di lebuh raya memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap tahap keselamatan di lebuhraya PLUS,” tambah Zakaria.

    Dato’ Sri Shaharuddin pula berkata, “Inisiatif yang telah dijalankan oleh PLUS membuktikan peranannya sebagai ‘Rakan Negara’ yang baik dalam membantu JPJ untuk meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya. PLUS telah menyediakan empat pejabat untuk Unit Penguatkuasaan Lebuhraya iaitu di R&R Pagoh, Johor, R&R Dengkil di Selangor, R&R Gunung Semanggol dan terbaharu Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya, Ipoh di Perak”.

    Dalam majlis tersebut, PLUS dan JPJ turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalankan inisiatif dan memperkukuh kerjasama strategik melibatkan operasi dan pelaksanaan penguatkuasaan bagi meningkatkan aspek keselamatan di lebuh raya PLUS.

    PLUS-JPJ buka Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya pertama seumpamanya di lebuhraya

    Sejak tahun 2017, PLUS dan JPJ serta agensi penguatkuasa yang lain telah melaksanakan lebih kurang 165 Ops Halangan. Statistik ini membuktikan komitmen kedua-dua pihak serta agensi penguatkuasa yang lain untuk menangani isu halangan di lebuhraya dan membantu pelanggan menikmati perjalanan yang selamat di lebuh raya.

    “Selain itu, langkah mewujudkan sebuah Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR) JPJ di lokasi yang strategik iaitu berada di tengah-tengah jajaran Lebuhraya Utara-Selatan memberi akses yang lebih mudah bagi memberi bantuan awal dan kecemasan apabila berlaku sebarang insiden di lebuh raya,” ujar Zakaria lagi.

    Pusat ini yang telah mula beroperasi sejak 1 Julai lalu mengawal selia segala akitiviti Unit Penguatkuasaan Lebuhraya (UPLR) yang melibatkan 4 Zon penguatkuasaan utama.

    Sebelum ini, PLUS dan JPJ juga telah membuka tiga Stesen Penguatkuasa Lebuhraya JPJ di R&R PLUS iaitu di Dengkil (Arah Selatan), Gunung Semanggol (Arah Selatan) dan Pagoh (Arah Selatan) secara berperingkat sejak 2018.

     
     
  • Audi e-tron S, e-tron S Sportback diperkenal – versi prestasi dengan tiga motor elektrik, 503 PS, 937 Nm

    Audi e-tron S, e-tron S Sportback diperkenal – versi prestasi dengan tiga motor elektrik, 503 PS, 937 Nm

    Memandangkan Audi e-tron dan e-tron Sportback sudah didedahkan kepada umum, sekarang pengeluar dari Jerman itu memperkenalkan pula varian S, yang merupakan varian prestasi untuk kedua-duanya. Tidak seperti varian sebelum ini yang menggunakan dua motor elektrik, e-tron S dan e-tron S Sportback pula menggunakan tiga motor elektrik.

    Melalui tetapan ini, setiap roda belakang dipacu oleh motor masing-masing manakala satu lagi motor elektrik digunakan untuk dua roda hadapan. Secara keseluruhannya, ia boleh menghasilkan kuasa 503 PS (496 hp atau 370 kW) dan tork 937 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dan mencecah kelajuan maksimum 210 km/j.

    Bagi meningkatkan kecekapan, hanya motor elektrik di belakang yang bergerak waktu berada dalam mod pemanduan biasa. Walaupun begitu, apabila lebih lagi prestasi diperlukan, atau terdapat roda yang hilang cengkaman, barulah motor elektrik hadapan akan berfungsi untuk memberi pacuan semua roda. Sistem Torque Vectoring elektrik memastikan pembahagian kuasa yang sepatutnya.

    Audi e-tron S, e-tron S Sportback diperkenal – versi prestasi dengan tiga motor elektrik, 503 PS, 937 Nm

    Walaupun terdapat sistem ini, pemandu masih boleh menikmati keseronokan kerana mod Sport untuk ESC dan mod pemanduan Dynamic akan membenarkan drift yang terkawal. Selain penggerak yang dinaik taraf, varian S ini juga mendapat suspensi udara adaptif yang ditala khas dan tujuh pilihan tetapan. Rim 20 inci diberikan standard, tapi boleh dinaik taraf kepada unit 21 atau 22 inci. Brek menggunakan cakera 400 mm dengan angkup enam piston.

    Sistem brek kenderaan ini turut bekerjasama dengan sistem penjanaan semula kuasa melalui motor elektriknya dan terdapat sistem khas yang menentukan sama ada kereta akan perlahan menggunakan salah satu sistem atau kedua-duanya. Apabila menggunakan motor elektrik untuk memperlahankan kenderaan, terdapat tiga tahap penjanaan semula kuasa dengan yang paling agresif boleh memperlahankan sehingga 0.3 g.

    Semua tenaga yang diperoleh disampaikan kepada bateri 95 kWh yang terletak di bawah tempat duduk penumpang, dan terdiri daripada 36 modul yang setiap satunya mempunyai 12 sel. Audi memberitahu jarak gerak e-tron S adalah 364 km manakala e-tron S Sportback boleh mencapai 370 mengikut kitaran WLTP.

    Bateri pada kereta ini boleh dicas menggunakan sambungan Type 2, dan model S ini datang dengan pengecas dalam kenderaan yang boleh menyokong sistem pengecasan AC sehingga 11 kW. Jadi, pengecas domestik dan pengecas awam boleh digunakan. Untuk lebih cepat, pengecas pantas DC sehingga 150 kW boleh dilakukan melalui soket CCS di mana dari kosong, ia boleh mencapai tahap 80% dalam masa cuma setengah jam.

    Melihat kepada penampilan, anda boleh mengenali model S ini dengan badan yang lebih lebar kerana lengkuk rodanya ditambah lagi. Ia kemudiannya dilengkapkan dengan kemasan perak di hadapan dan belakang. Bahagian dalam tidak banyak berubah, dan hanya diberi lencana S serta kemasan gentian karbon di beberapa bahagian.

    Begitu juga dengan kelengkapan teknologi lain, termasuk kokpit virtual, sistem infotainmen MMi Touch MIB-3, dua skrin di konsol tengah serta pelbagai pilihan lain seperti head-up display dan sistem sambungan. Kedua-dua model S ini akan dijual di Eropah dengan harga 91,435 euro (RM449,628) bagi e-tron S dan 93,628 euro (RM460,412) untuk e-tron S Sportback.

    GALERI: Audi e-tron S

    GALERI: Audi e-tron S Sportback

     
     
  • Jalan Kuala Selangor-Sg Buloh ditutup hingga 30 Sept untuk kerja tambah baik jalan – MMC-Gamuda

    Jalan Kuala Selangor-Sg Buloh ditutup hingga 30 Sept untuk kerja tambah baik jalan – MMC-Gamuda

    MMC-Gamuda telah memaklumkan Jalan Kuala Selangor (Km48) ke arah Sungai Buloh telah ditutup sepenuhnya hingga 30 Sept ini. Ia bertujuan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menambah baik jalan termasuk membina dinding penghadang.

    Untuk itu, pengguna dari Damansara Damai ke Sungai Buloh akan dilencongkan ke kanan dan meneruskan perjalanan di Jalan Kuala Selangor (arah Kepong) sebelum membuat pusingan U untuk kembali ke Jalan Kuala Selangor (arah Sungai Buloh).

    Manakala pengguna yang datang dari Prima Damansara ke Sungai Buloh/Plaza Tol Sungai Buloh pula akan dilencongkan ke kanan untuk membuat pusingan U di bawah jejambat dan meneruskan perjalanan di Jalan Kuala Selangor (Arah Kepong), selepas itu akan membuat satu lagi pusingan U sebelum kembali ke Jalan Kuala Selangor (Arah Sungai Buloh).

    Bagi pengguna dari Jalan Kuala Selangor (Arah Sungai Buloh dari Jalan Kuala Selangor (Arah Sungai Buloh) menghala ke Plaza Tol Sungai Buloh akan dilencongkan ke kiri.

    Dalam masa yang sama, pengguna juga dinasihati agar mematuhi arahan papan tanda lalu lintas dan pengawal bendera yang bertugas ketika penutupan jalan dilaksanakan.

     
     
  • SYM VF3i 185 LE — produksi ditambah 5,000 unit lagi

    SYM VF3i 185 LE — produksi ditambah 5,000 unit lagi

    Pada bulan Mei lalu, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. selaku pengedar motosikal jenama SYM di Malaysia memperkenalkan model SYM VF3i 185 LE. Model berkenaan dijual pada harga RM9,338 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Menurut pengedarnya, perancangan asal bagi kapcai berkenaan adalah untuk mengeluarkannya dalam jumlah terhad 5,000 unit sahaja. Namun, disebabkan permintaan yang menggalakkan, MForce mengambil keputusan untuk menambah jumlah produksi model tersebut kepada 10,000 unit sehingga Disember 2020.

    SYM VF3i 185 LE merupakan model kapcai pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci(ABS) dan juga beberapa naik taraf pada bahagian enjin untuk penunggangan yang optimum dan keselamatan yang maksima. Berbanding VF3i biasa, pembaharuan pada model LE ini tidak terhenti setakat pada penampilan sahaja kerana enjinnya turut dipertingkat.

    SYM VF3i 185 LE — produksi ditambah 5,000 unit lagi

    Ia masih lagi menggunakan unit satu silinder 183 cc SOHC penyejukan cecair, tetapi bahagian head dan throttle body (30 mm) dipertingkat untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 19.7 hp pada 9,000 rpm dan 17.4 Nm tork pada 7,500 rpm (sebelum ini 17.7 hp dan 16.67 Nm).

    Pemilik VF3i 185 LE juga dapat menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan juga perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.

     
     
  • Nissan rancang eksport Livina baharu keluar dari Indonesia ke pasaran lain di Asia, termasuk Jepun

    Nissan rancang eksport Livina baharu keluar dari Indonesia ke pasaran lain di Asia, termasuk Jepun

    Tahun ini Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sah akan melancarkan sedan segmen-B Nissan Almera generasi baharu, dan akan diikuti oleh Nissan Sylphy B18 serta Nissan Kicks e-Power. Namun pemilik-pemilik Grand Livina sedia ada pasti tertanya-tanya, adakah model generasi baharu Livina akan turut di bawa ke Malaysia?

    Untuk pengetahuan anda, buat masa sekarang model Livina tersebut hanya dijual secara eksklusif di pasaran Indonesia, bermakna ia memang tidak dijual negara lain. Dan disebabkan Nissan telah menutup kilang-kilang produksinya di Indonesia, Livina merupakan satu-satunya model Nissan yang dipasang secara tempatan di negara tersebut, kerana ia adalah model rebadge dari Mitsubishi Xpander, dan dipasang di kilang Mitsubishi Cikarang, Jawa Barat.

    Namun menurut portal Gabungan Industri Kenderaan Bermotor Indonesia (GAIKINDO), Nissan Motor Indonesia (NMI) kini sedang berhasrat untuk mengeksport MPV tujuh-tempat duduk segmen-B tersebut keluar dari negara berkenaan untuk dijual di pasaran-pasaran lain di Asia termasuk ke Jepun.

    “Memang sayang sekali Nissan perlu menghentikan produksi di kilang kami (yang telah tutup) di Indonesia. Namun, bersama Pakatan (Renault-Nissan-Mitsubishi), kami akan terus memproduksi Nissan Livina,” kata Isau Sekiguchi, Presiden PT Nissan Motor Indonesia kepada akhbar Republika.

    Nissan rancang eksport Livina baharu keluar dari Indonesia ke pasaran lain di Asia, termasuk Jepun

    “Kami telah berbincang dengan rakan kongsi kami, Mitsubishi, tentang potensi untuk mengeksport Livina ke berberapa negara Asia lainnya,” katanya lagi.

    Sekiguchi menjelaskan bahawa jika Nissan boleh mengeksport kereta yang diproduksi di Indonesia, ia secara langsung akan menjadi sumbangan kepada industri automotif tempatan Indonesia. Perkara ini pun telah dibincangkan dan disambut baik oleh kerajaan Indonesia.

    Nissan Livina generasi baharu ini telah pun diperkenalkan di Indonesia pada Februari tahun lalu. Secara asasnya, ia adalah Mitsubishi Xpander namun muka signatur Dynamic Shield Mitsubishi digantikan dengan muka V-Motion Nissan. Dari segi mekanikal juga sama di mana ia dijana oleh 1.5L empat silinder NA berkuasa 104 PS/141 Nm, digandingkan dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

    GALERI: Nissan Livina generasi baharu di GIIAS 2019

     
     
  • Yamaha MT-15 bakal masuk pasaran November ini

    Yamaha MT-15 bakal masuk pasaran November ini

    Semasa majlis pelancaran MT-25, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut memberikan satu kejutan dengan memperkenalkan satu lagi model MT yang lebih kecil iaitu MT-15. Walaubagaimanapun, ia sekadar satu pra tonton awal dan harganya masih belum didedahkan. Ia diberitahu akan dilancar secara rasmi pada bulan November tahun ini.

    Jika melihat kepada pasaran negara lain, harga MT-15 diletakkan lebih rendah berbanding R15, dan jika begitulah juga yang akan terjadi pada pasaran Malaysia, MT-15 sepatutnya dijual pada harga bawah RM12k.

    Enjin yang digunakan pada MT-15 adalah sama seperti yang digunakan pada R15, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm. Penukaran gear juga dijadikan lebih lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper.

    Pada bahagian depan, MT-15 menggunakan fork jenis USD manakala di belakang pula adalah monoshock. Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera manakala rim pula adalah 17 inci dengan tayar saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Perincian lain MT-15 adalah termasuk tangki 10.4 liter, meter digital, berat 133 kg serta lampu depan dan belakang LED.

    Sebagai pengguna, apa pendapat anda dengan dua model MT yang baru tiba di Malaysia ini? Yang manakah lebih menarik dan berapa agaknya harga yang berpatutan untuk MT-15?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025