Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Santa Fe 2021 dapat N Performance Parts

    Hyundai Santa Fe 2021 dapat N Performance Parts

    Pertama kali diperkenalkan pada Jun, Hyundai Santa Fe 2021 kelihatan tampil dengan gaya yang lebih kacak bergaya, malah ia turut menerima penambahbaikan yang lebih banyak. Kini, SUV bersaiz besar ini turut ditawarkan dengan pilihan N Performance Parts untuk pasaran domestik Korea Selatan.

    Antara elemen yang ditawarkan termasuklah gril baharu dengan kepingan menegak dan bampar unik, di mana kombinasi ini menjadikan wajah model ini nampak lebih agresif. Gril asalnya memiliki paten geometrik dan rekaan untuk model ini pula memang ditampilkan secara lebih bergaya serta menyerlah.

    Bampar N Performance juga juga menyerlahkan seksyen tengah dengan kesan visual di antara dua corong berpetak pada kedua-dua belah bahagian. Serlahan tembaga kelihatan pada kepingan gril, lower border dan juga lip.

    Hyundai Santa Fe 2021 dapat N Performance Parts

    Pada bahagian sisinya pula, kelihatan roda 21-inci dengan penutup tengah N dan juga beberapa kemasan tembaga. Roda dibaluti tayar Michelin Pilot Sport dan kelihatan kaliper brek merah dengan penjenamaan N Performance. Kelihatan juga padanan skirt sisi dan rel bumbung.

    Pada bahagian belakang, ia ditampilkan dengan dua spoiler dan bampar baharu dengan gaya yang lebih agresif bersama padanan diffuser kemasan karbon. Bukan itu sahaja, empat corong ekzos juga jelas kelihatan. Perumah cermin sisi karbon dengan kemasan karbon untuk bonet juga melengkapkan lagi gaya model ini.

    Di dalamnya, dipadankan dengan tempat duduk sport dengan paten quilted, Alcantara bolster dan garisan tengah merah. Tempat duduk belakang pula ditampilkan dengan kemasan CF dan skrin pula diletakkan di belakang tempat duduk hadapan.

    Bercakap mengenai ruang dalamannya, papan pemuka berkembar Santa Fe 2021 kelihatan agak familiar, tetapi dengan kehadiran konsol tengah atas baharu yang kini diposisikan dengan sudut yang sedikit landai. Malah pada “panel terapung’ pada bahagian kawalan juga baharu dan penukar tradisional kini digantikan dengan butang. Buat pertama kalinya, Santa Fe kini didatangkan dengan pemilih Terrain Mode – tombol kawalan untuk mod pemanduan Eco, Sport, Comfort dan Smart, seta sistem pacuan semua-roda HTRAC untuk pemanduan laluan berpasir, bersalji dan berlumpur.

    Seperti yang dinyatakan, SUV ini menawarkan “Integrated Architecture” dengan pilihan plug-in hybrid dan hibrid buat pertama kalinya bagi Santa Fe. Walau pun dianggap hanya menerima “peningkatan pertengahan hayat”, namun ia ditawarkan dengan platform baharu. Pengeluar kereta Korea ini berkata Santa Fe baharu ini akan menjadi model Hyundai pertama di Eropah dan model SUV pertama secara global yang dibangunkan dengan platform kenderaan generasi ketiga serba baharu. Ia memberikan peningkatan yang lebih signifikan dalam segi prestasi, pengendalian dan keselamatan, termasuk menawarkan penjana kuasa elektrifikasi, seperti yang didakwa oleh syarikat ini.

    Platform baharu ini turut meningkatkan pengaliran udara menerusi petak enjin dan membolehkan haba panas dikeluarkan. Malah ia turut meningkatkan kestabilan bahagian bawah kenderaan ini, dengan mempertingkatkan posisi paling bawah dengan kelengkapan yang lebih berat di antara platform. Bukan itu sahaja, steering arm diposisikan lebih rapat ke bahagian tengah roda hadapan, untuk pengendalian yang lebih tegar, selain NVH juga ditambah baik.

    GALERI: Hyundai Santa Fe 2021

    GALERI: Hyundai Santa Fe 2020 di Malaysia

     
     
  • Pergerakan diperketatkan di Sarawak dari 1-14 Ogos

    Pergerakan diperketatkan di Sarawak dari 1-14 Ogos

    Sebagai langkah pencegahan terhadap peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Sarawak, kerajaan akan menghadkan dan memperketatkan larangan pergerakan antara zon hijau dan zon kuning/merah di negeri itu bermula 1 hingga 14 Ogos.

    “Kerajaan negeri Sarawak telah mengambil langkah proaktif dan berjaga-jaga untuk membendung penularan wabak Covid-19 di sana, terutama di sekitar Kuching,” ujar Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri.

    Ketika ini, zon kuning dan merah di Sarawak melibatkan Kuching, Serian dan Samarahan, sementara Seri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah, Bintulu dan Limbang semuanya merupakan zon hijau. Mereka yang ingin membuat pergerakan antara zon-zon ini perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis. Pergerakan di dalam zon-zon berkenaan bagaimana pun tidak dihadkan.

    Sarawak juga akan mengurangkan jumlah penerbangan dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan. Ini susulan Kuching yang sekali lagi diisytiharkan sebagai zon merah Sabtu lalu selepas empat lagi kes baru dari kluster Hospital Sentosa dikesan.

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2021 – lukisan render ramalan

    Mitsubishi Outlander 2021 – lukisan render ramalan

    Mitsubishi Outlander generasi ketiga sudah berada dalam pasaran agak lama. Ia pertama kali diperkenalkan pada tahun 2012 waktu Geneva Motor Show dan sehingga kini sudah diberikan dua kali facelift iaitu pada tahun 2015 dan 2018.

    Semua itu walaubagaimanapun bakal berubah apabila Mitsubishi memberitahu pada tahun 2021 mereka akan memperkenalkan Outlander generasi ketiga. Kita sudah boleh melihat gambar risikan model prototaip yang sedang diuji, dan ia seakan mendapat pengaruh daripada model konsep Engelberg Tourer/e-Yi yang pernah ditunjukkan sebelum ini.

    Dengan itu, kami mendapatkan khidmat Theophilus Chin untuk menghasilkan lukisan render kemungkinan rupa Outlander baru ini. Hasilnya adalah sesuatu yang sangat berbeza berbanding model Mitsubishi yang ada sekarang, tetapi masih menerapkan aspek rekaan seperti model konsep yang diberitahu awal tadi, termasuk pada pemegang pintu, bahagian bawah pintu serta bumbung serba hitam.

    Mitsubishi Outlander 2021 – lukisan render ramalan

    Muka hadapan lukisan render ini menunjukkan rekaan Dynamic Shield yang telah berevolusi, sementara lampu pula menggunakan jenis bertingkat yang bahagian atas lebih nipis sementara lampu utama di bahagian bampar. Tetapan seperti ini sudah digunakan oleh Mitsubishi pada beberapa model seperti Triton dan juga kereta kei car seperti eK Wagon dan eK X.

    Bahagian belakang juga menggunakan lampu yang lebih nipis dan ditarik panjang sehingga ke tepi. Menambahkan ciri ranggi, bampar depan dan belakang dipasang dengan diffuser yang tidak kelihatan terlalu menonjol. Bahagian pintu mempunyai beberapa lekuk jelas.

    Kereta konsep e-Yi juga memberi petunjuk awal kepada penggerak plug-in hybrid baru Mitsubishi untuk Outlander, yang terdiri daripada enjin petrol 2.4 liter (model sekarang menggunakan unit 2.0 liter) bersama motor elektrik pada kedua-dua gandar. Motor ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 20 kWh (sebelum ini 12 kWh) dan boleh bergerak menggunakan elektrik sahaja sehingga 70 km dan jarak keseluruhan bersama enjin petrol 700 km.

    GALERI: Spyshot Mitsubishi Outlander 2021

     
     
  • Xiaomi Ninebot C30 skuter elektrik harga bawah RM2k

    Xiaomi Ninebot C30 skuter elektrik harga bawah RM2k

    Di negara kita Xiaomi mungkin lebih terkenal dengan penghasilan gajet sahaja, tetapi syarikat yang berasal dari Beijing ini sebenarnya mempunyai bermacam lagi produk. Selain daripada itu, ia juga mempunyai cabang khas untuk pengangkutan individu seperti skuter elektrik yang dinamakan sebagai Ninebot dan memiliki syarikat Segway di bawahnya.

    Produk terbaru yang dikeluarkan oleh Ninebot adalah C30, sebuah skuter elektrik yang digerakkan motor elektrik 400 W dan mampu menghasilkan tork 40 Nm. Dengan cas penuh, bateri skuter ini cuma boleh membawanya sejauh 35 km, namun bateri tersebut boleh dikeluarkan daripada skuter untuk dicas di dalam rumah atau pejabat.

    Laju maksimum untuk C30 pula cuma 25 km/j dan berat keseluruhannya adalah 55 kg. Melihat kepada spesifikasi ini, jelas ia adalah untuk perjalanan jarak pendek dan harganya juga dijadikan lebih mampu milik iaitu cuma 2,999 yuan di China (RM1,821).

    Ninebot C30 sebenarnya adalah versi permulaan bagi siri skuter elektrik eMoped C dan sekiranya pelanggan mencari pakej yang boleh membawa kepada perjalanan lebih jauh mereka boleh mendapatkan C40, C60 atau C80 yang dilengkapi bateri lebih besar dan boleh memberikan jarak masing-masing sekitar 40 km, 60 km dan 80 km.

    Antara kelengkapan lain pada C30 adalah sistem tanpa kunci, sambungan dengan aplikasi, lampu hadapan LED, fork di hadapan dan monoshock di belakang, serta brek ABS dengan tetapan cakera di hadapan dan dram di belakang. Skuter ini tidak memerlukan lesen memandu di China kerana diletakkan dalam kategori basikal elektrik.

     
     
  • Mitsubishi Pajero akan sampai ke penghujung hayat?

    Mitsubishi Pajero akan sampai ke penghujung hayat?

    Nampaknya hayat untuk Mitsubishi Pajero sudah tiba dipenghujungnya. Ada laporan yang menyatakan bahawa syarikat pengeluarnya akan menamatkan operasi anak syarikat yang menguruskan perihal Pajero di Jepun dalam tempoh tiga tahun. Sumber yang dekat dengan perkara itu memaklumkan Reuters bahawa MMC akan membuat keputusan terhadap Pajero Manufacturing dan kilangnya di Gifu dalam mesyuarat lembaga pengarah, hari ini.

    Selain Pajero, kilang di Gifu itu turut mengeluarkan van mini Delica D5 serta SUV Outlander. Kedua-dua model ini mungkin akan dipasang di lokasi lain, jelas sumber berkenaan. Untuk Pajero tiba ke penghujung hayatnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Tahun lalu, syarikat berkenaan telah memperkenalkan penjualan domestik untuk Pajero Final Edition sebanyak 700 unit.

    Walaupun jualan di pasaran lain masih diteruskan, ketiadaan model seterusnya bagi SUV generasi keempat itu – yang berada dalam pasaran sejak 2006 – telah memberi petunjuk kepada pengakhiran ini. Pajero diperkenalkan pada tahun 1982 sebagai kenderaan tiga-pintu dan jarak antara roda yang pendek sebelum versi lima-pintunya tiba setahun kemudian. Generasi kedua Pajero tiba pada 1991 dengan sistem Super Select 4WD.

    Mitsubishi Pajero akan sampai ke penghujung hayat?

    Pada 1999, generasi ketiga Pejero menggunakan binaan badan monocoq dengan ladder frame, mencapai pengurangan berat dan lebih ketahanan, yang kemudiannya diberi kemaskini selanjutnya sehinggalah berada dalam keadaan sekarang tujuh tahun selepas itu.

    Pengeluarnya ada memberi petunjuk kepada Pajero generasi kelima pada 2013 melalui model konsep GC-PHEV, tetapi tiada apa-apa lanjutan daripada itu. Ada khabar angin yang bertiup sebelum ini, menyatakan syarikat akan memperkenalkan Pajero generasi seterusnya pada 2021 atau 2022, tetapi Covid-19 mungkin telah memaksa rancangan itu untuk dibatalkan.

     
     
  • Isu pemandu mabuk/dadah: Penjara maksimum 15 tahun, denda minimum RM50,000-RM100,000

    Isu pemandu mabuk/dadah: Penjara maksimum 15 tahun, denda minimum RM50,000-RM100,000

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah membentangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini. Menurutnya, hukuman penjara bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian dinaikkan kepada tempoh tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda minimum RM50,000 sehingga RM100,000.

    Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara diperuntukkan selama tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM150,000, laporan Bernama.

    Bacaan kali pertama Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 itu dibuat Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut memaklumkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada persidangan dewan kali ini.

    Menurut rang undang-undang itu, bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan pula, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

    Isu pemandu mabuk/dadah: Penjara maksimum 15 tahun, denda minimum RM50,000-RM100,000

    Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

    Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

    Malah mereka yang disabitkan dengan kesalahan juga boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun. Malah kadar denda juga dicadangkan agar dinaikkan iaitu maksimum RM20,000 sekarang kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda RM150,000.

     
     
  • Prasarana sedia ketatkan semula SOP dalam perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya

    Prasarana sedia ketatkan semula SOP dalam perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya

    Memandangkan kebelakangan ini, kes positif COVID-19 meningkat kembali ke dua digit hingga menimbulkan kebimbangan ramai, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersedia memperketat semula prosedur operasi standard (SOP) dalam pengangkutan awam yang dikendalikannya jika diarahkan oleh kerajaan.

    Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata ini termasuk mengurangkan kapasiti penumpang.

    “Kita akan patuhi, tidak jadi masalah,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh pemberita mengenai persediaan Prasarana sekiranya kerajaan kembali mengetatkan SOP seperti yang dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama berikutan peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.


    Pada 4 Mei lalu, Prasarana mengumumkan semua perkhidmatannya beroperasi mengikut waktu normal daripada pukul 6 pagi sehingga tengah malam selepas ia dikurangkan ekoran pelaksanaan PKP sejak 18 Mac 2020. Ia adalah susulan keputusan Kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat.

    Manakala pada 23 Julai lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pemakaian pelitup muka akan diwajibkan di kawasan sesak seperti pengangkutan awam serta tempat-tempat awam. Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat melihat kepada kadar peningkatan kes yang mula kembali meningkat selain pematuhan rakyat terhadap SOP semakin berkurangan.

    “Kadar pematuhan SOP di kalangan orang ramai semakin menurun termasuk di dalam pengangkutan awam termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial dilihat tidak dipatuhi.

    “SOP di tempat-tempat awam yang bersesak tidak diendahkan oleh segelintir pihak jadi kerajaan membuat keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos di kawasan awam yang sesak,” katanya.

     
     
  • CFMoto 250SR 2020 diperkenal di M’sia — RM15,800

    CFMoto 250SR 2020 diperkenal di M’sia — RM15,800

    Pasaran motosikal 250 cc tempatan kini menerima sebuah lagi model motosikal terbaru; CFMoto 250SR 2020 kini mula dijual dengan harga RM15,800 – belum termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Didatangkan sekali ialah CFMoto 250SR Limited Edition dalam jumlah terhad 30 unit dan dijual pada harga RM17,800.

    Direka sebagai sebuah motosikal pemula bagi mereka yang baru berjinak-jinak dan mahukan sebuah motosikal dengan kos yang efektif, motosikal ini berasal di Zhejiang CFMoto Power Co. di China. Untuk pasara di sini, bersama model-model CFMoto yang lain, 250SR dipasang di Malaysia oleh KTNS Holdings.

    Menggunakan enjin 249.2 cc DOHC silinder tunggal dengan sejukan cecair, 250SR menghasilkan sebanyak 28 PS pada 9,750 rpm dan 22 Nm tork pada 7,500 rpm dengan sistem suntikan EFI Bosch. Ini dilengkapi dengan kotak gear enam-kelajuan.

    CFMoto 250SR 2020 diperkenal di M’sia — RM15,800

    Paparan maklumat pula menggunakan skrin TFT-LCD berwarna penuh. Butang pada skrin berkenaan membolehkah penunggang untuk menukar antara mod tunggangan Sport dan Eco dan turut menawarkan sambungan kepada telefon.

    Suspensi depan menggunakan fork terbalik berdiameter 37 mm, sementara di belakang menggunakan jenis monoshock dengan pra-tetapan beban. Untuk brek, di depan menggunakan cakera berdiameter 292 mm dengan angkup empat-piston, sementara di belakang menggunakan jenis piston tunggal 220 mm dan ABS dua-saluran Continental sebagai ciri standard.

    Motosikal ini akan berada di barisan pengedar sah KTNS di Malaysia bermula Ogos nanti. Lain-lain model CFMoto yang dijual di sini ketika ini ialah seperti CFMoto 250NK, CFMoto 650GT dan CFMoto 400 NK.

     
     
  • Toyota Vios 2020 berwajah baru didedahkan di Filipina

    Toyota Vios 2020 berwajah baru didedahkan di Filipina

    Selepas menayangkan teaser baru-baru ini, Toyota telah pun mendedahkan model facelift bagi Vios dengan memilih Filipina sebagai lokasi pengenalannya. Biar pun ia sekadar facelift biasa dan tidak banyak perubahan yang dilakukan, namun wajahnya diberikan suntikan yang lebih segar.

    Bahagian gril hadapannya telah diperkemaskinikan, malah ia ditampilkan dengan rekaan yang lebih relevan. Biarpun gril bawah baharunya kelihatan sedikit besar, namun bila disambung ke gril atas, membuatkan ia sedikit bergaya. Lebih kurang sama dengan Camry generasi sebelum ini yang diperkenalkan di pasaran Amerika Syarikat.

    Malahan bentangan gril juga seakan beralun ke spoiler hadapan, ditampilkan dengan kemasan hitam berkilat dengan seksyen tengah yang sama dengan warna badan. Toyota juga telah memberikan lampu utama reflektor LED untuk Vios ini, yang dipadankan bersama lampu nyalaan siang berbentuk-L yang menggantikan jaluran LED. Bagi varian tertinggi, ia menerima kemasan lampu kabus LED yang diletakkan di dalam perumah menegak yang nipis dengan tona hitam berkilat.

    Toyota Vios 2020 berwajah baru didedahkan di Filipina

    Selain daripada itu, semuanya masih kekal seperti sebelum ini, termasuk imej bahagian belakang, pilihan roda 14-, 15- dan 16-inci dan juga rekaan dalaman. Manakala pilihan enjin untuk Filipina termasuklah un it 1NR-FE 1.3 liter 98 hp/123 Nm, dan 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i empat-silinder 106 hp/140 Nm. Ia dipadankan sama dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT dengan pedal penukar gear.

    Harga yang ditawarkan bermula 671,000 peso (RM58,000) untuk versi asas 1.3 liter manual hingga
    1,056,000 peso (RM91,200) untuk varian tertinggi 1.5 G CVT. Bila agak-agaknya Vios facelift ini akan tiba di Malaysia? Belum diketahui memandangkan model sedia ada pun baru dilancarkan pada tahun lalu. Jadi, kenalah tunggu ya.

     
     
  • Kereta model lama juga jadi sasaran pencuri – polis

    Kereta model lama juga jadi sasaran pencuri – polis

    Kereta model lama juga dianggap sebagai ‘barang panas’ kerana ia juga tidak terlepas dari sasaran pencuri. Menurut Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, model kereta lama buatan tempatan boleh dikatakan sering menjadi ‘pilihan’ penjenayah kerana nilai barang gantian yang terdapat pada kereta itu, selain wujudnya peluang untuk mencuri.

    Tambah beliau, di Cheras terdapat 1.33 juta penduduk dan ada beberapa kawasan yang tidak mempunyai tempat parkir yang teratur sehingga menyebabkan mereka terpaksa meletak kenderaan di luar pagar rumah termasuk di tempat letak kereta pangsapuri dan kondominium yang tidak ada pengawal keselamatan.

    “Ini memberi peluang dan ruang kepada penjenayah untuk mencuri kenderaan ini dengan menggunakan peralatan seperti pembaris dan tidak memerlukan peralatan berteknologi tinggi. Saya mahu masyarakat untuk ubah persepsi mereka mengenai kereta lama tidak akan dicuri kerana kita sudah terima banyak kes,” katanya Bernama.

    Sementara itu Mohamed Mokhsein berkata 132 kes curi kereta dan 264 kes curi motosikal dilaporkan di Cheras dalam tempoh Januari sehingga semalam dengan 27 orang ditahan berbanding 366 kes curi kereta dan 562 kes curi motosikal dilaporkan dalam tempoh sama tahun lepas.

    Merujuk kepada indeks jenayah di daerah Cheras pula, katanya ia menunjukkan penurunan 16.17% iaitu pengurangan 148 kes bermula Januari sehingga Khamis lepas.Beliau berkata dalam tempoh berkenaan, sebanyak 915 kes dicatatkan tahun ini berbanding 767 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

     
     
  • Harga bahan api 25-31 Julai 2020 – semua turun

    Harga bahan api 25-31 Julai 2020 – semua turun

    Jika minggu lalu harga bahan api kekal tanpa apa-apa perubahan, berita baik untuk anda yang merancang balik ke kampung sempena Raya Haji minggu hadapan – Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan bahawa harga runcit bagi kesemua bahan api untuk minggu bertarikh 25 hingga 31 Julai 2020 adalah turun dari 4 hingga 5 sen seliter.

    Bermula tengah malam ini, harga untuk petrol RON 97 akan dijual pada harga RM1.98 seliter, turun sebanyak 4 sen seliter berbanding minggu sebelum ini. Manakala untuk petrol RON 95 pula dijual pada harga RM1.68 sen seliter, juga turun sebanyak 6 sen seliter.

    Untuk diesel pula, harga bagi gred Euro 2M dijual pada harga RM1.82 seliter dan Euro 5 pula RM1.92 seliter – kedua-duanya turun 5 sen seliter. Diulangi, kesemua harga ini efektif mulai tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 31 Julai 2020.

    Menurut kementerian terbabit, harga runcit ketiga-tiga bahan api utama berkenaan adalah berdasarkan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

    Justeru, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • JPJ tunggu ‘lampu hijau’ dari k’jaan untuk kuatkuasa kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan

    JPJ tunggu ‘lampu hijau’ dari k’jaan untuk kuatkuasa kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan

    Sepatutnya, mulai 1 Julai 2020, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah mula mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak atau CRS, dan akan menyaman ibu bapa yang tidak berbuat demikian. Namun Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan bahawa langkah itu akan ditangguhkan terlebih dahulu ke satu tarikh lain yang akan ditentukan kelak.

    Susulan perkara ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan pihaknya hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada MoT untuk menguatkuasakan peraturan terbabit.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid, sehingga kini pihaknya hanya melaksanakan tindakan secara advokasi iaitu memberi nasihat terhadap pengguna jalan raya yang tidak menggunakan kerusi berkenaan.

    Tambahnya lagi, setakat ini, JPJ telah mengeluarkan 1,897 notis peringatan terhadap pengguna jalan raya bermula awal tahun ini sehingga 30 Jun lepas.

    JPJ tunggu ‘lampu hijau’ dari k’jaan untuk kuatkuasa kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan

    “Kerusi keselamatan kanak-kanak atau ‘Child Restraint System’ ini termasuk dalam Akta JPJ 1987 dan sepatutnya pelaksanaannya pada Jun tahun ini, namun ia ditangguhkan pada satu tarikh oleh pihak kementerian.

    “Ia tertangguh akibat penularan wabak COVID-19 dan penguatkuasaan CRS ini akan dilakukan apabila JPJ menerima arahan selanjutnya daripada kementerian,” katanya kepada Bernama.

    “Statistik pada 2016 hingga 2018 menunjukkan sebanyak 1,707 kemalangan telah berlaku melibatkan kanak-kanak sepanjang tempoh berkenaan. Kemalangan berkenaan kebanyakan melibatkan kanak-kanak seusia bayi hingga mereka yang berumur 15 tahun (sumber Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman),” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau menasihati masyarakat terutama pengguna jalan raya agar tidak bersikap sambil lewa terhadap isu ini.

    JPJ tunggu ‘lampu hijau’ dari k’jaan untuk kuatkuasa kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan

    “CRS ini penting kepada kanak-kanak memandangkan mereka terutama bayi amat mudah terdedah kepada kecederaan serius kerana mempunyai otot bahagian tengkuk yang lemah berbanding orang dewasa,” katanya.

    Tahun lepas, kerajaan mengumumkan penggunaan CRS di dalam kenderaan persendirian bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak daripada kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan. Langkah baharu itu juga susulan statistik membimbangkan iaitu 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

    Bagaimanapun, tiada saman dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang bersifat mendidik terlebih dahulu.

     
     
  • BMW X1 sDrive 18i kini di Malaysia – RM208,368, enjin tiga-silinder 1.5 liter turbo berkuasa 140 PS/220 Nm

    BMW X1 sDrive 18i kini di Malaysia – RM208,368, enjin tiga-silinder 1.5 liter turbo berkuasa 140 PS/220 Nm

    Serentak dengan pelancaran BMW 1 Series generasi baharu dengan varian tunggal M135i xDrive hari ini, BMW Malaysia turut memperkenalkan alternatif lebih mampu milik versi crossover X1 sDrive20i M Sport F48 yang telah masuk kepasaran tempatan awal tahun ini, iaitu BMW X1 sDrive 18i.

    Berbanding X1 sDrive20i M Sport, varian sDrive 18i ini dijual RM17k lebih murah iaitu pada harga RM208,368.48 dengan pengecualian SST, atau model paling mampu milik dalam barisan model yang ditawarkan oleh BMW Malaysia buat masa sekarang. Jika tamat cuti cukai dari insentif PENJANA ini kelak, ia akan dijual pada harga RM215,800.

    Sudah tentu, model ini menerima unit penjana yang lebih kecil dari sDrive20i M Sport. BMW X1 sDrive 18i ini dilengkapkan dengan enjin B38 1.5 liter tiga-silinder bersama pengecas turbo twin-scroll, menghasilkan 140 PS dan tork maksima 220 Nm.

    BMW X1 sDrive 18i kini di Malaysia – RM208,368, enjin tiga-silinder 1.5 liter turbo berkuasa 140 PS/220 Nm

    Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik Steptronic tujuh-kelajuan dan kuasa hanya dihantar ke roda hadapan. Ini membolehkan SUV tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.6 saat dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 201 km/j. Penggunaan bahan api purata pula dicatatkan pada kadar 6.3 liter setiap 100 km.

    Untuk perincian, model varian lebih rendah ini dipadankan dengan bampar hadapan lebih ringkas bersama kemasan-kemasan plastik dan pelindung sekeliling badan tanpa cat, rel bumbung aluminium kemasan satin, tip ekzos tunggal dan juga rim aloi Style 560 17-inci dengan tayar Bridgestone Turanza T001 225/55R17.

    Selain itu, ia turut diberikan lampu hadapan LED penuh bersama gegelang corona berbentuk-heksagon, lampu kabus LED melintang, lampu belakang LED penuh dengan grafik berbentuk-L serta pintu tailgate berkuasa. Tiga pilihan warna badan masih lagi sama dengan varian sDrive20i iaitu Alpine White, Black Sapphire dan Mineral Grey, namun warna ekslusif untuk M Sport iaitu Misano Blue digantikan dengan Mediterranean Blue pada versi lebih rendah ini.

    BMW X1 sDrive 18i kini di Malaysia – RM208,368, enjin tiga-silinder 1.5 liter turbo berkuasa 140 PS/220 Nm

    Untuk kabin pula, sDrive18i diberikan tempat duduk asas Dakota dengan balutan kulit, roda stereng Sport tiga jejari balutan kulit dan juga kemasan-kemasan piano black. Manakala perincian lain masih lagi serupa dengan versi sDrive20i M Sport.

    Ia termasuk sistem pendingin hawa dua-zon automatik, paparan instrumen dengan meter analog bersama paparan Black Panel 5.7-inci, sistem infotainmen BMW Operating System 6.0 dengan skrin sesentuh 8.8-inci, sistem bunyi 100-watt dengan enam pembesar suara, dan juga lampu suasana gentian optik dengan enam pilihan warna. Kabin belakang pula diberikan liang pendingin hawa dengan dua port mengecas USB-C.

    Bagi ciri keselamatan pula, model sDrive18i ini diberikan pakej bantuan pemanduan BMW Driving Assistant terdiri dari amaran pelanggaran hadapan dengan bantuan brek automatik (AEB), cruise control dengan fungsi membrek, amaran keluar lorong, bantuan lampu tinggi, dan juga informasi had laju. Ia turut diberikan sistem differential lock elektronik dan juga Performance Control, bersama servis BMW ConnectedDrive bersama Teleservis dan Panggilan Kecemasan Pintar.

     
     
  • BMW 1 Series F40 dilancarkan di M’sia – hanya varian paling berkuasa M135i xDrive, 306 PS/450 Nm, RM356k

    BMW 1 Series F40 dilancarkan di M’sia – hanya varian paling berkuasa M135i xDrive, 306 PS/450 Nm, RM356k

    Selepas lebih kurang setahun muncul diperingkat global, model generasi baharu BMW 1 Series kini secara rasmi masuk kepasaran Malaysia. Walau bagaimanapun, model dengan kod F40 ini hadir ke pasaran tempatan hanya dengan satu varian iaitu M135i xDrive iaitu model yang akan berhadapan terus dengan Mercedes-AMG A 35 dan Volkswagen Golf R, dijual pada harga RM355,646, dengan pengecualian SST. Jika tamat cuti cukai dari insentif PENJANA ini kelak, ia akan dijual pada harga RM368,800.

    Seperti yang telah diketahui umum, model ini diasaskan dari platform baharu sepenuhnya, dikenali dengan nama FAAR (Frontantriebsarchitektur). Tidak seperti model generasi sebelum ini yang menggunakan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang (FR), platform ini menampilkan enjin yang diletakkan melintang bagi memacu roda hadapan, atau pacuan semua roda sekiranya diberikan sambung pacuan ke gandar belakang, sama seperti Mercedes-Benz A-Class.

    Varian M135i xDrive yang di terima pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter produksi paling berkuasa pernah dihasilkan oleh BMW buat masa sekarang iaitu unit B48 dengan pengecas turbo twin-scroll menghasilkan 306 PS dan tork maksima 450 Nm.

    BMW 1 Series F40 dilancarkan di M’sia – hanya varian paling berkuasa M135i xDrive, 306 PS/450 Nm, RM356k

    Ia digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik Steptronic Sport, dan dengan lencana xDrive sudah tentu ia turut datang standard dengan sistem pacuan semua roda. Gandingan ini membolehkan BMW M135i xDrive memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    1 Series generasi baharu ini tampil dengan sistem suspensi multilink pada bahagian belakang. Model paling berkuasa ini turut menerima suspensi M Sport yang lebih rendah 10 mm dari versi standard, bersama penyerap hentak adaptif, membolehkan talaan dipilih pemandu dalam lima mod iaitu Eco Pro, Normal, Sport, atau Sport+. Ia turut hadir dengan teknologi actuator contiguous wheel slip limitation (ARB) dan juga sistem Torque Vectoring BMW Performance Control.

    Varian paling sporty ini juga dilengkapi dengan pakej brek M Sport, LSD jenis torsen pada kotak gear dan juga sistem Active Sound Design yang akan menghasilkan bunyi enjin yang lebih menarik.

    BMW 1 Series F40 dilancarkan di M’sia – hanya varian paling berkuasa M135i xDrive, 306 PS/450 Nm, RM356k

    Berbanding model generasi F20 sebelum ini, F40 adalah lima mm lebih pendek dengan panjang keseluruhan 4,319 mm dengan jarak roda juga 20 mm lebih pendek dengan 2,670 mm. Walau bagaimanapun, F40 adalah 34 mm lebih lebar (1,799 mm) dan 13 mm lebih tinggi (1,434 mm) dari model pacuan roda belakang sebelumnya.

    Dengan kedudukan enjin dialihkan melintang membolehkan bonet hadapan direka lebih pendek serta membolehkan kabinnya direka lebih luas. Model ini menawarkan ruang lutut 33 mm lebih luas bersama luang lega kepala 19 mm lebih besar pada bahagian belakang. Ruang siku juga 42 mm lebih besar di hadapan, dan 13 mm lebih luas untuk penumpang belakang.

    Ruang kargo dibina dengan kapasiti 380 liter, 20 liter lebih besar dari sebelum ini, dan memberikan 1,200 liter secara keseluruhan sekiranya tempat duduk belakang direbahkan. Ruang ini juga direka 67 mm lebih lebar, dan pintu tailgate belakang diberikan fungsi bantuan kuasa elektrik bagi memudahkan pengguna.

    Untuk perincian, bahagian luaran BMW M135i xDrive ini diberikan serlahan-serlahan kemasan Cerium Grey, gril kidney dengan elemen mesh, rim aloi ringan Style 557 M dengan tayar Bridgestone Potenza S005 235/35R19, lampu hadapan LED adaptif bersama gegelang corona berbentuk-heksagon, lampu belakang LED penuh, pakej M Aerodynamic, spoiler belakang M dan juga tip ekzos berkembar dalam kemasan Cerium Grey.

    Pada bahagian dalaman pula, pelanggan diberikan dua pilihan kemasan upholsteri kulit, sama ada hitam sepenuhnya atau Magma Red dua-tona bersama serlahan kelabu dan hitam. Perincian unik M Performance juga diberi sekali seperti pelapik bumbung antrasit dan juga tali pinggang keledar M.

    Sistem BMW Live Cockpit Professional dan BMW Operating System 7.0 hadir sebagai ciri standard, menampilkan dua paparan 10.25-inci; satu untuk paparan instrumen dan satu lagi skrin sesentuh untuk sistem infotainmen yang turut boleh dioperasikan dengan kawalan BMW iDrive Controller.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem bunyi Harmann Kardon 464-watt bersama 16-pembesar suara, sistem kunci digital BMW dengan hanya menggunakan telefon pintar, sokongan Apple CarPlay, tingkat taraf Remote Software, dan juga fungsi BMW Intelligent Personal Assistant.

    Manakala untuk keselamatan pula, model ini diberikan pakej sistem bantuan pemanduan BMW Driving Assist secara standard dengan ciri seperti cruise control dengan fungsi membrek, amaran keluar lorong, amaran tukar lorong, amaran pelanggaran hadapan dengan bantuan membrek (AEB), amaran lintasan trafik belakang, pengelak pelanggaran belakang, parkir automatik dan juga kamera undur.

    Setakat ini, BMW Malaysia belum lagi ada perancangan untuk memperkenalkan varian lebih rendah 118i untuk pasaran tempatan. Jadi sekarang bagaimana? Anda pilih BMW M135i ini, Mercedes-AMG A 35, VW Golf R, atau hot-hatch pacuan hadapan dengan kuasa 310 PS Honda Civic Type R FK8?

     
     
  • PANDU UJI: Lexus UX 200 Luxury — prestasi, selesa seimbang sebagai sebuah SUV kompak urban bergaya

    PANDU UJI: Lexus UX 200 Luxury — prestasi, selesa seimbang sebagai sebuah SUV kompak urban bergaya

    Agak menarik untuk melihat penawaran Lexus UX; ia berada dalam segmen yang bukanlah baru, tetapi tidak pernah diwakili oleh Lexus sebelum ini – SUV kompak premium. Untuk pasaran global, UX mula ditunjukkan kepada umum pada tahun 2018. Dan, kurang lebih dua tahun selepas itu, ia diperkenalkan pula di Malaysia, secara rasminya pada Mac 2020. Sebelum itu, tempahannya mula dibuka pada bulan Februari 2020.

    Melihat corak penawaran dari pemain-pemain global sejak beberapa tahun kebelakangan ini, setiap segmen kenderaan yang ada bagi kenderaan-kendaraan bukan premium, pasti ada penawaran yang setara untuk segmen premiumnya. Corak seperti ini dapat kita perhatikan pada praktik kebanyakan jenama-jenama utama pengeluar di dunia.

    Bayangkan model-model bukan premium seperti Mazda CX-3, Honda HR-V, Subaru XV dan Toyota C-HR. Semua ini contoh penawaran dalam segmen yang sama, SUV kompak – atau biasa kita panggil crossover – yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin mendapat perhatian dan sambutan menggalakkan. Orang mungkin sudah bosan dengan sedan, dan jika SUV sebenar terlampau besar dan kurang menarik di mata mereka, maka kenderaan dalam segmen SUV kompak ini adalah jawapan yang paling hampir.

    Ini ditambah pula dengan peralihan penerimaan terhadap SUV sebagai sebuah kendaraan urban praktikal yang mengatasi kecenderungan permintaan terhadap kereta sedan. Maka SUV kompak hadir sebagai alternatif yang lebih masuk akal; tidak terlalu besar atau tinggi, dan lebih mudah dikendalikan untuk kegunaan dalam bandar.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025