Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Suzuki Swift 2020 facelift diperkenalkan di pasaran Jepun, terima peningkatan luaran secara minima

    Suzuki Swift 2020 facelift diperkenalkan di pasaran Jepun, terima peningkatan luaran secara minima

    Suzuki Swift generasi ke-empat telah pun hadir dengan versi facelift yang diperkenalkan di negara kelahirannya, Jepun. Dengan perubahan rekaan yang minima bagi hatchback segmen-B ini, ternyata model Swift biasa dan Swift Hybrid facelift ini nampak lebih segar. Walau bagaimana pun, peningkatan tersebut tidak melibatkan model Swift Sport.

    Bagi penggayaannya, perubahan yang paling ketara ialah ia dipadankan dengan rekaan gril baharu. Walau pun saiz dan bentuknya masih dikekalkan, namun kemasan plastik pada bahagian tengah dikurangkan dengan jaluran krom yang lebih nipis, dan menampilkan rekaan yang lebih menarik. Lampu utama dan lampu belakangnya masih dikekalkan, namun kini semua varian menerima set roda baharu tapi saiznya masih dikekalkan.

    Selain itu, Suzuki turut menambah lebih banyak pilihan warna, termasuklah pilihan dua-tona seperti Flame Orange Pearl dengan bumbung hutam berkilat dan juga Burning Red Pearl dengan bumbung hitam. Manakala warna Rush Yellow metalik kini didatangkan dengan bumbung perak (dan juga perumah cermin sisi perak), tetapi tiangnya masih kekal hitam.

    Suzuki Swift 2020 facelift diperkenalkan di pasaran Jepun, terima peningkatan luaran secara minima

    Tiada perubahan dilakukan pada bahagia kabin, varian hibrid turut didatangkan dengan kamera pandangan sudut 360 darjah. Penukar gear pula ditawarkan untuk varian yang lebih mahal, sementara model tertinggi Hybrid SZ turut didatangkan dengan sistem keselamatan termasuk brek kecemasan sendiri, pengesan isyarat trafik dan bantuan ketibaan lorong.

    Bahagian mekanikal juga tiada perubahan, di mana semua varian masih dikekalkan dengan unit K12S 1.2 liter injektor-berkembar Dualjet empat-silinder, dengan kuasa 91 PS pada 6,000 rpm dan tork 118 Nm pada 4,400 rpm. Terdapat juga pilihan unit K10C 1.0 liter Boosterjet tiga-silinder turbo (102 PS/150 Nm), tetapi buat masa ini, pasaran Jepun hanya menerima unit K12C sahaja. Turut didatangkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

    Manakala varian hibrid masih menggunakan enjin K12C, tetapi dengan motor elektrik 3.1PS/50 Nm DC yang bertindak sebagai Integrated Starter Generator (ISG). Ia disambungkan ke pek bateri lithium-ion berasingan dan hanya bertindak sewaktu dalam pendikitan, dan akan mengembalikan tenaga apabila pendikitan tidak begitu digunakan. Pacuan semua-roda turut didatangkan pada varian hibrid ini.

    Harga bagi Swift yang dipertingkatkan ini bermula dari 1,535,600 yen (RM62k) bagi varian asas XG dengan manual lima-kelajuan, dan meningkat sehingga 2,140,600 yen (RM87k) untuk varian tertinggi Hybrid SZ.

     
     
  • Perodua Kancil moden dalam imej render — ada gaya?

    Perodua Kancil moden dalam imej <em>render</em> — ada gaya?

    Ogos tahun lalu, usia Perodua Kancil dah masuk 25 tahun. Ia pertama kali masuk ke pasaran tempatan sebagai sebuah pilihan kereta kompak mampu milik pada tahun 1994. Menjelang April 2003, sebanyak 500,000 unit telah keluarkan dalam dua generasi kewujudannya, sebelum ia diganti dengan model Viva.

    Kalau Kancil masih ada, bagaimana agaknya rupa dia sekarang ini? Theophilus Chin ada cadangan untuk itu. Dengan asal-usul Kancil daripada Daihatsu Mira, Theo menghasilkan satu rekaan render terbaru dan membayangkannya sebagai sebuah kereta yang lebih moden – dengan elemen rekaan yang dipinjam daripada model-model terkini daripada Daihatsu sendiri.

    Ia kekal sebagai sebuah kei car, tetapi dengan lekuk dan garis badan yang lebih ringkas. Di belakang, pada tiang C, ia menampilkan rekaan yang lebih melengkung berbanding rekaan bersegi, ada iras daripada model generasi pertama Myvi/Sirion dulu. Bahagian lampu pula dijadika lebih ringkas dan bersih, pada kedudukan yang lebih rendah tak jauh dari bampar. Profil rekaan keseluruhannya juga diringkaskan; dengan garis di bahagian bawah pintunya.

    Perodua Kancil moden dalam imej <em>render</em> — ada gaya?

    Dari segi penampilan yang boleh dilihat dari rekaan ini, jelas ia menonjolkan Kancil sebagai sebuah kereta kompak yang mementingkan perihal kos. Roda yang digunakan di sini pun hanya dari jenis besi dengan penutup plastik. Berat bagi Kancil moden ini juga dibayangkan berada sedikit melebihi 900 kg jika dibandingkan dengan model asal – disumbang oleh penggunaan lapis logam yang lebih tebal serta kelengkapan keselamatan seperti beg udara, ABS dan kawalan kestabilan.

    Ini akan menjadikannya lebih berat daripada Axia, walaupun dengan ukuran dimensi yang lebih kecil – Kancil moden ini dibayangkan mempunyai ukuran 3,540 mm panjang dengan 2,420 mm jarak antara roda, 1,641 mm lebar dan 1,489 mm tinggi.

    Sebagai perbandingan, ukuran Axia pula seperti berikut; 3,640 mm panjang dengan 2,455 mm jarak antara roda, 1,620 mm lebar (Kancil ini 21 mm lebih lebar) dan 1,510 mm tinggi. Penggayaannya juga nampak lebih menarik daripada model gantiannya ketika ini, apa lagi kalau bukan Axia. Wajah depannya bagaimanapun masih kekal dengan rupa Kancil sebelum ini.

    Model untuk spesifikasi sekolah memandu juga ada dihasilkan oleh Theo. Ini boleh dikesan dengan penggunaan perumah cermin sisi dan bampar yang tidak diwarnakan ikut warna badan, dan menggunakan tingkap manual. Tak ada stereng kuasa dan sistem kunci sentral. Kalau betul model ini boleh dihasilkan, ada harapan harganya lebih rendah dari RM25,000?

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Volvo S60 T8 Twin Engine R-Design 2020 CKD — harga kekal RM296k, tambah Park Assist

    Oktober tahun lalu, Volvo Malaysia telah perkenalkan secara rasmi model sedan S60 T8 Twin Engine, ketika itu sebagai unit pemasangan CBU dari Amerika Syarikat. Harganya jualan pula ialah RM295,888, tidak termasuk insurans.

    Kini, tujuh bulan selepas itu, versi pemasangan tempatan CKD dari Shah Alam pula diperkenalkan minggu ini. Harganya juga kekal sama. Sebab apa? Bukan biasanya kalau model CKD harga akan turun jadi lebih rendah, kan?

    Menurut Volvo, harganya kekal disebabkan ketika pelancarannya tahun lalu, harga yang diperkenalkan memang harga untuk CKD, dengan jumlah terhad tentunya bagi model CBU untuk peringkat awal berkenaan. Maka, sebab itu harganya tetap sama untuk CKD yang baru diperkenalkan ini.

    Namun, jika diperhatikan dengan teliti, bukan harga saja sama. Senarai spesifikasi juga sangat mirip, dengan hanya ada satu sahaja varian Volvo S60 ini diperkenalkan sejak mula. Enjin misalnya, ia menggunakan dua unit janaan – enjin pembakaran dalaman dan juga motor elektrik.

    TINJAUAN AWAL: Volvo S60 T8 Twin Engine R-Design 2020 CKD — harga kekal RM296k, tambah Park Assist

    Enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder yang disuap dengan pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor penghidup/generator yang bersepadu dengan aci engkol dan juga kotak gear Aisin AW TG-81SD lapan-kelajuan automatik.

    Gandar belakang juga mempunyai pemacunya tersendiri terdiri dari motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan S60 T8 Twin Engine ini adalah 407 hp/640 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Ia juga mencatatkan penggunaan bahan api serendah 2 liter untuk perjalanan 100 km.

    Bagaimanapun, tetap ada pengurangan dan pertambahan ciri dan fungsi sistem yang turut terlibat. Misalnya, untuk model CKD ini, ciri Park Assist Pilot mula ditawarkan. Kelengkapan yang dikurangkan pula?

    Untuk tahu lebih lanjut, tonton video yang kami sediakan ini – video pertama setelah dua bulan berkurung di rumah dan memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini. Kekal selamat, semua.

     
     
  • Ford Ranger FX4 2020 akan dilancarkan di Malaysia 3 Jun ini – siaran langsung di YouTube dan FB Live

    Ford Ranger FX4 2020 akan dilancarkan di Malaysia 3 Jun ini – siaran langsung di YouTube dan FB Live

    Pengedar Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) mengumumkan versi lebih sporty untuk trak pikap Ranger XLT iaitu Ranger FX4 versi kemaskini akan dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia pada 3 Jun ini. Anda boleh tonton siaran langsung majlis berkenaan menerusi YouTube dan juga Facebook Live.

    Seperti model sebelumnya, FX4 yang diasaskan dari Ranger T6 facelift ini akan diberikan penampilan lebih garang dengan pemadanan aksesori dan kemasan-kemasan berwarna gelap. Antaranya termasuk gril hadapan dengan rekaan lebih tersendiri berwarna Ebony Black, serta bampar hadapan dan belakang, penutup cermin sisi dan kesemua pembuka pintu juga diberikan warna hitam.

    Penampilan Ranger istimewa ini disudahkan dengan pelekat badan ‘FX4’ bersama emblem 3D di belakang, manakala rim aloi 18-inci model ini tampil dalam kemasan Ebony Black dan dibaluti tayar 265/60R18.

    Ford Ranger FX4 2020 akan dilancarkan di Malaysia 3 Jun ini – siaran langsung di YouTube dan FB Live

    Pada bahagian dalaman pula, Ranger FX4 ini akan diberikan tempat duduk balutan kulit berwarna hitam dengan cop logo ‘FX4’. Bahagian atas papan pemuka juga akan diberikan panel sentuhan lembut berwarna Ebony Black dan serlahan jahitan benang Race Red pada roda stereng , tombol gear serta karpet kaki.

    Kelengkapan lain untuk FX4 ini masih kekal sama seperti Ranger XLT, termasuk sistem infotainmen Ford SYNC 3 dengan skrin lapan-inci yang disokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, enam-pembesar suara, paparan pelbagai info dengan skrin berwarna 4.2-inci, tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala, tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik empat-hala serta cermin sisi boleh-lipat elektrik.

    Di Australia, selain dari warna badan Shadow Black, Ranger FX4 ini turut ditawarkan dengan warna lain seperti Arctic White, True Red, Meteor Grey dan Aluminium Silver. Namun untuk pasaran Malaysia, pilihan warna ini hanya akan diumumkan oleh SDAC ketika pelancarannya nanti.

    Ford Ranger FX4 2020 akan dilancarkan di Malaysia 3 Jun ini – siaran langsung di YouTube dan FB Live

    Tiada perubahan sistem mekanikal diberikan, di mana Ranger FX4 akan dijana oleh enjin Puma yang sama seperti XLT iaitu unit 2.2 liter TDCi VGT Turbodiesel berkuasa 160 PS dan tork maksima 385 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik dan juga sistem 4WD bersama locking differential pada gandar belakang yang boleh diaktifkan dengan sistem elektronik.

    SDAC turut mengumumkan 150 pembeli terawal Ford Ranger FX4 ini akan menerima aksesori tambahan bernilai RM5,398 secara percuma. Aksesori tersebut termasuk sports bar berwarna hitam matte (komponen ini merupakan aksesori standard untuk FX4 pasaran lain), filem penapis haba tingkap eksekutif dan juga dashcam bina-dalam dengan kualiti rakaman HD.

    Jika anda mahu menjadi 150 pelanggan terawal ini dengan menempah FX4 sebelum ia dilancarkan, anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi Wakil Jualan Digital Ford di talian +60192041200, pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 9 pagi hingga 4 petang kecuali hati cuti umum. Dari sini, satu saluran WhatsApp khas akan menghubungkan pelanggan kepada jurujual Ford di pengedar yang berhampiran.

     
     
  • SPYSHOT: Nissan Almera 2020 ditemui lagi diuji di KL

    SPYSHOT: Nissan Almera 2020 ditemui lagi diuji di KL

    Sekali lagi, Nissan Almera generasi baharu (dikenali dengan kod casis N18) ditemui sedang di uji di Kuala Lumpur. Kali ini, ia dijumpai dan sempat dirakam dari belakang oleh pembaca kami, Eric Foong di kawasan sekitar Mont Kiara.

    Ini kali ketiga Almera tersebut dikesan berada di Malaysia. Kali pertama adalah pada Oktober tahun lalu di mana empat unit model ini dilihat di bawa oleh sebuah lori pengangkut di KLIA, berhampiran dengan Cargo Village. Manakala kali kedua pula dua unit dikesan sedang diuji di kawasan sekitar Jalan Dutamas Raya pada Disember 2019.

    Dalam sesi kali ini, nampaknya hanya sebuah Almera berkenaan di uji, berbeza dengan sebelumnya dimana ia dilihat diuji dalam dua varian berbeza, berdasarkan berberapa perincian dilihat tidak sama antara satu sama lain. Menerusi imej bahagian belakang yang diberikan pelekat penyamaran ini, ia adalah dari varian lebih rendah memandangkan bampar belakangnya tidak diberikan kemasan seakan diffuser pada bahagian bawah.

    Unit Almera N18 dengan spesifikasi varian asas yang ditemui semalam (kiri) dan unit varian lebih tinggi dijumpai pada Disember tahun lalu (kanan)

    Berdasarkan apa yang telah disahkan oleh pengedar Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) tahun lalu, Almera N18 ini sepatutnya akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada tahun ini. Namun akibat pandemik Covid-19 yang sedang menyerang negara sekarang, tidak dapat dipastikan sama ada rancangan tersebut tergendala atau pun tidak.

    Thailand adalah pasaran kedua yang menerima model generasi baharu ini, dan berbanding pasaran Amerika Syarikat (dikenali juga sebagai Nissan Versa) yang dijana oleh enjin NA 1.6 liter, pasaran di negara jiran berkenaan menerima Almera yang dikuasakan oleh enjin HRA0 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 100 PS dan tork maksima 152 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT X-tronic.

    Ini membolehkan Almera dijual dalam kelas Kereta Eco Thai Fasa 2, sama seperti Honda City GN1 membolehkan ia dijual dengan harga lebih murah menerusi insentif potongan cukai yang diberikan kerajaan negara tersebut. Angka kuasa yang dihasilkan oleh enjin turbo berkapasiti kecil berkenaan sebenarnya hampir sama dengan enjin HR15DE 1.5 liter NA pada Almera generasi terdahulu (102 PS/139 Nm), jadi masih lagi belum pasti enjin mana yang akan ditawarkan di Malaysia.

    Nissan Almera VL Turbo pasaran Thailand

    Sebagai rujukan, varian tertinggi VL untuk pasaran Thailand menerima kelengkapan seperti lampu kabus LED, kluster paparan instrumen dengan skrin tujuh-inci, sistem pendingin hawa automatik serta sistem infotaimen Nissan Connect dengan skrin lapan-inci bersama enam-pembesar suara.

    Untuk sistem keselamatan pula, kesemua varian Almera Thailand didatangkan standard dengan dua-beg udara pada bahagian hadapan, brek ABS bersama sistem EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik (VDC), dan juga bantuan mula mendaki (HSA).

    Model tiga varian tertinggi iaitu EL, V dan VL pula diberikan sistem amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan brek kecemasan automatik pintar (IEB), manakala versi V dan VL ditambah dengan monitor pemantau sekeliling pintar (IAVM) serta pengesan objek bergerak (MOD). Hanya model tertinggi VL diberikan tambahan beg udara sisi dan tirai (enam secara keseluruhan), sistem amaran titik buta (BSW) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

    Buat masa sekarang, antara tiga seteru sedan segmen-B Jepun di Malaysia, Almera merupakan model yang paling mampu milik (model paling asas dijual pada harga di bawah RM70k) jika dibandingkan dengan Toyota Vios dan Honda City. Sekiranya Almera yang lebih kacak ini masuk ke Malaysia kelak, anda rasa adakah ‘permainan’ dalam segmen ini akan berubah?

    GALERI: Spyshot Nissan Almera N18 di Malaysia pada Disember 2019

    GALERI: Nissan Almera VL 2020 di Thai Motor Expo

    GALERI: Foto rasmi Nissan Almera 2020 pasaran Thailand

     
     
  • PKPB: Makin dekat raya, makin ramai yang cuba curi-curi rentas negeri untuk balik kampung – menteri

    PKPB: Makin dekat raya, makin ramai yang cuba curi-curi rentas negeri untuk balik kampung – menteri

    Kes curi-curi untuk cuba pulang ke kampung telah pun mula dikesan oleh pihak polis dalam sekatan-sekatan jalan raya bermula hari Jumaat lalu. Walaupun semua yang dikesan untuk melakukan perkara itu tidak berjaya, jumlah mereka yang masih ‘berusaha’ untuk mencabar undang-undang tersebut nampaknya makin meningkat dari hari ke hari, lapor Berita Harian.

    Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya siang tadi, semalam sebanyak 1,633 kenderaan lagi dikesan cuba untuk merentas negeri untuk pulang beraya di kampung masing, meningkat dari hari-hari sebelumnya.

    “Semalam, polis melaksanakan 149 sekatan jalan raya terutama membabitkan perjalanan rentas negeri dan memeriksa 250,891 kenderaan.

    PKPB: Makin dekat raya, makin ramai yang cuba curi-curi rentas negeri untuk balik kampung – menteri

    “Mulanya saya menjangkakan tidak banyak kenderaan yang cuba merentas negeri, tetapi sangkaan itu meleset kerana sebanyak 1,633 kenderaan dikesan cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung. Jumlah ini mungkin bertambah menjelang hari raya dan semua kenderaan ini diarah berpatah balik oleh polis,” katanya.

    Jumaat lalu, sebanyak 508 kenderaan dikesan melakukan kesalahan tersebut, dan ia meningkat kepada 1,248 kenderaan pada Sabtu serta 1,175 kenderaan pada Ahad. Kesemua mereka telah pun diarah untuk berpatah balik.

    Mungkin ada yang berjaya memperdaya polis dan terlepas dari sekatan jalan raya tersebut, tetapi jangan seronok sangat kerana pihak polis dan askar akan melakukan rondaan dari rumah ke rumah untuk memantau kepatuhan rakyat mematuhi SOP cegah Covid-19 ketika beraya serta mengesan mereka-mereka yang telah merentas negeri tanpa kebenaran.

    PKPB: Makin dekat raya, makin ramai yang cuba curi-curi rentas negeri untuk balik kampung – menteri

    “Polis memiliki rekod butiran individu serta kenderaan mereka yang diberikan permit atau kebenaran untuk melakukan pergerakan antara negeri,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

    Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga gusar dengan tindakan degil sebahagian rakyat Malaysia ini kerana sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan dalam negara adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri, dan 10 daripada kluster-kluster tersebut adalah masih aktif.

    Selepas Perdana Menteri mengumumkan PKPB bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.

     
     
  • SYM Maxsym TL 500 sudah boleh ditempah pada harga RM35,888, masuk pasaran bulan Julai, 40 hp

    SYM Maxsym TL 500 sudah boleh ditempah pada harga RM35,888, masuk pasaran bulan Julai, 40 hp

    Sebelum ini, ketibaan skuter SYM Maxsym TL 500 ke Malaysia sudah dibocorkan oleh pengedarnya yang mengambil tempahan awal pada harga RM35,888. Kini, pengedar rasmi motosikal jenama itu, MForce Bike Holdings Sdn Bhd menunjukkannya secara rasmi atas talian dan harga yang didedahkan oleh pengedar itu juga adalah harga yang sama, tidak termasuk insurans.

    Walaupun harganya sudah dikeluarkan dan tempahan sudah mula diambil, MForce memberitahu skuter ini cuma boleh berada di pasaran dan diserahkan kepada pelanggan bermula awal bulan Julai 2020 kerana kekangan yang dihadapi akibat pandemik Covid 19 termasuk di negara asalnya iaitu Taiwan.

    Skuter ini menggunakan enjin dua silinder 465 cc suntikan bahan api, bersama padanan transmisi CVT dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 40 hp pada 6,750 rpm dan 42.5 Nm tork pada 6,250 rpm. Tidak seperti skuter biasa, TL 500 menggunakan sistem rantai untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

    Kesemua lampu skuter ini menggunakan sistem LED manakala panel instrumen pula menggunakan skrin digital TFT 4.5 inci berwarna penuh. Rim adalah unit 15 inci yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang manakala brek pula kedua-duanya adalah unit cakera 275 mm yang dilengkapi dengan ABS.

    SYM juga mendakwa skuter ini boleh memberikan prestasi pengendalian yang lebih baik kerana ia mempunyai pembahagian berat 50:50, fork USD 41 mm dan monoshock yang terletak di bahagian kiri, siap dengan tabung gas. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 223 kg dan ia dilengkapi dengan tangki bahan api 12.5 liter serta penghadang angin yang boleh dilaras.

     
     
  • SYM VF3i 185 LE – kuasa ditambah, brek ABS, RM9.3k

    SYM VF3i 185 LE – kuasa ditambah, brek ABS, RM9.3k

    Selain skuter SYM Maxsym TL 500, MForce Bike Holdings Sdn Bhd juga telah melancarkan VF3i 185 LE melalui pembentangan atas talian hari ini. Harga jualannya adalah RM9,338 tidak termasuk insurans, sekaligus menjadikannya sekitar RM1k lebih mahal berbanding model VF3i biasa yang dijual sebelum ini.

    Sebagai sebuah model yang dipanggil sebagai versi Limited Edition, VF3i 185 LE ini datang dengan panel badan yang kebanyakannya berwarna hitam matte dan diserikan dengan jalur pelekat warna hijau terang. Rim juga berwarna hijau, sementara penghadang angin kecil di atas perumah lampu diberikan terus secara standard.

    Pembaharuan pada model LE ini tidak terhenti setakat pada penampilan kerana enjinnya turut dipertingkat. Ia masih lagi menggunakan unit satu silinder 183 cc SOHC penyejukan cecair seperti sebelum ini, tetapi bahagian head dan throttle body (30 mm) dipertingkat untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 19.7 hp pada 9,000 rpm dan 17.4 Nm tork pada 7,500 rpm (sebelum ini 17.7 hp dan 16.67 Nm).

    Selain daripada itu, VF3i 185 LE turut dipasang dengan brek jenis ABS dan MForce mendakwa ia adalah kapcai pertama di Malaysia yang mempunyai ciri brek keselamatan tersebut. Bahagian lain yang dipertingkat adalah termasuk lampu belakang LED, panel meter serta tuil brek dan klac aluminium yang boleh dilaras.

    Bahagian lain kebanyakannya adalah sama seperti VF3i sebelum ini, termasuk rim 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, tangki bahan api tujuh liter, berat 124 kg, kotak gear enam kelajuan, brek cakera tunggal 250 mm di hadapan dan 200 mm di belakang, serta penarafan Euro 3.

    SYM VF3i 185 LE didatangkan bersama jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).

     
     
  • Perodua kembali beroperasi di seluruh negara

    Perodua kembali beroperasi di seluruh negara

    Selepas ditutup selama dua bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, kini Perodua telah pun kembali beroperasi sepenuhnya di semua 182 pusat jualan, 202 pusat servis dan 68 pusat Badan & Cat (B&P) di seluruh negara

    “Hari ini, kami mengumumkan bahawa kami telah selesai melaksanakan langkah-langkah penjagaan yang diperlukan di semua pusat jualan, servis dan B&P kami di seluruh negara bagi memastikan para pelanggan yang dihargai serta pekerja kami dilindungi secukupnya di dalam situasi COVID-19 kini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Pengeluaran di Sungai Choh telah bermula sebahagiannya dari 11 Mei dan kini berjalan sepenuhnya. Selain itu, cawangan-cawangan Perodua telah memulakan operasi secara berperingkat dari 12 Mei dan syarikat tersebut telah bekerja keras untuk memastikan semua langkah keselamatan dan kesihatan dilaksanakan dengan betul dan menyeluruh.

    Pelanggan yang ingin menyelenggara kenderaan mereka adalah diminta untuk mendapatkan slot janji temu terlebih dahulu dengan pusat servis pilihan mereka – walk-in tidak akan diterima buat masa ini untuk mengelakkan kesesakan.

    Semua pelawat mestilah menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis, mendaftarkan maklumat diri mereka dan mematuhi penanda jarak sosial di dalam premis setiap masa. Pembersih tangan telah ditempatkan di lokasi-lokasi penting, manakala pembersihan secara berkala turut dibuat ke atas premis tersebut.

    “Perlindungan ini adalah sebahagian daripada komitmen kami terhadap kesihatan dan keselamatan bersama. Kami amat berharap anda dapat bekerjasama dengan kami untuk menjadikan Pengalaman Perodua anda berjalan dengan lebih baik,” kata Dato’ Zainal.

     
     
  • PKPB: Polis mula kompaun individu langgar SOP

    PKPB: Polis mula kompaun individu langgar SOP

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan mulai semalam, sudah tiada lagi nasihat dan amaran, sebaliknya polis mula mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melanggar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    Menurut beliau, polis akan mengambil tindakan lebih tegas selepas ini jika orang ramai masih berdegil melanggar peraturan PKPB, termasuk menghadapkan mereka ke mahkamah.

    “Bermula semalam, polis mula mengeluarkan kompaun. Setakat ini, mungkin belum ada yang dihadapkan ke mahkamah, tapi selepas ini akan ada jika didapati melanggar SOP PKPB. Jangan ada anggapan polis akan biar saja pelanggaran ini tanpa tindakan undang-undang.

    “Saya harap semua orang akan patuh pada setiap peraturan dan SOP yang dikeluarkan kerajaan. Jangan ambil kesempatan daripada tindakan awal polis yang hanya beri nasihat dan amaran,”katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Semalam, seramai 142 individu ditahan polis semalam atas kesalahan melanggar SOP dan daripada jumlah itu, 15 individu dikompaun. Selain tempat tumpuan ramai termasuk pasaraya, pasukan Operasi Pematuhan PKPB juga turut memeriksa 26,558 kenderaan persendirian dan 2,945 kenderaan awam

    “Semua pihak diingatkan supaya mengikuti SOP dan peraturan yang ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19,” katanya.

     
     
  • PKPB Raya: PDRM, ATM akan ronda rumah ke rumah

    PKPB Raya: PDRM, ATM akan ronda rumah ke rumah

    Dalam sidang media hariannya di Putrajaya sebentar tadi, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, walaupun ramai yang menganggap tidak mungkin pihak Polis dan Tentera akan mengawal setiap rumah, kedua-dua pihak berkuasa berkenaan sebenarnya akan membuat semakan di sesebuah kediaman jika didapati terdapat jumlah kenderaan yang banyak di luar rumah tersebut.

    “Saya dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa pihak polis akan meronda di setiap kawasan dan jika didapati banyak kenderaan di luar rumah, mereka akan menyemak kediaman tersebut,” katanya dan menambah ia bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi pada hari perayaan.

    PKPB Raya: PDRM, ATM akan ronda rumah ke rumah

    Beliau menegaskan bahawa PDRM dan ATM telah bersetuju untuk mengerahkan anggotanya pada hari pertama perayaan dan hari-hari seterusnya bagi memastikan SOP terus dipatuhi. “Justeru, semua pihak diingatkan mengikuti SOP dan peraturan yang telah ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19 ini,” katanya.

    Dalam perkembangan yang sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan dalam pemeriksaan tersebut polis turut akan memeriksa dan mengesan kenderaan yang tidak mempunyai permit pergerakan rentas negeri.

    “Polis memiliki rekod butiran individu serta kenderaan mereka yang diberikan permit atau kebenaran untuk melakukan pergerakan antara negeri,” katanya.

    PKPB Raya: PDRM, ATM akan ronda rumah ke rumah

    Walaupun sudah banyak kali dinyatakan bahawa perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung untuk beraya tidak dibenarkan, dari Jumaat sehingga semalam, pihak polis telah menahan banyak kenderaan yang cuba untuk melakukan kesalahan tersebut; 508 pada Jumaat, 1,248 pada Sabtu, 1,175 pada Ahad dan 1,633 semalam. Kesemua mereka telah pun diarah untuk berpatah balik.

    Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga gusar dengan tindakan degil sebahagian rakyat Malaysia ini kerana sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan dalam negara adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri, dan 10 daripada kluster-kluster tersebut adalah masih aktif.

    Selepas Perdana Menteri mengumumkan PKPB bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.

     
     
  • GALERI: Hyundai Santa Fe 2020 – RM2k lebih mahal, kini dilengkapi liang pendingin hawa baris ketiga

    GALERI: Hyundai Santa Fe 2020 – RM2k lebih mahal, kini dilengkapi liang pendingin hawa baris ketiga

    Selepas setahun dilancarkan, SUV tujuh-tempat duduk Hyundai Santa Fe kini dikemaskini untuk pasaran Malaysia. Model tersebut kini dijual RM2,000 lebih mahal, diberikan tambahan ciri liang penghawa dingin khas untuk penumpang baris ketiga. Walau bagaimanapun, kenaikan harga ini hanya akan berkuatkuasa selepas 31 Jun dan anda yang menempahnya sekarang akan menerima Santa Fe spesifikasi baharu ini dengan harga promosi.

    Ia kekal dijual dalam dua jenis enjin iaitu petrol dan diesel, di mana kedua-duanya hadir dalam varian Executive dan Premium. Oleh ini model petrol Santa Fe Executive dijual pada harga RM169,888 dan Premium pula berharga RM189,888. Manakala Executive diesel dijual pada harga RM191,888 dan Premium diesel berharga RM211,888.

    Jadi selepas 31 Jun nanti, RM2,000 perlu ditambah untuk setiap harga yang dinyatakan di atas. Harga berkenaan juga adalah harga atas jalan tanpa insuran termasuk perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, dan juga servis percuma selama tiga-tahun/50,000 km.

    GALERI: Hyundai Santa Fe 2020 – RM2k lebih mahal, kini dilengkapi liang pendingin hawa baris ketiga

    Untuk versi petrol, ia dijana enjin petrol Theta II 2.4 liter empat silinder NA, mampu menghasilkan kuasa 172 PS dan tork maksima 225 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan biasa serta hanya memacu roda hadapan.

    Manakala bagi versi diesel, ia hadir dengan enjin turbodiesel R 2.2 CRDi menjana 193 PS dan tork maksima 440 Nm, digandingkan bersama dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan automatik konvensional baharu yang dibangunkan sendiri oleh Hyundai. Versi dengan tork lebih tinggi ini juga hanya hadir dengan pilihan pacuan semua roda Hyundai HTRAC.

    Senarai kelengkapan varian Executive dan Premium bagi kedua-dua versi enjin adalah sama. Varian Executive hadir standard dengan lampu hadapan projektor halogen, lampu kabus dan lampu belakang jenis mentol, rim 18-inci dengan tayar 235/60R18, balutan kulit hitam, tempat duduk penumpang larasan manual dan paparan meter analog dengan skrin pelbagai info TFT LCD 3.5-inci.

    Versi Premium pula diberikan ciri-ciri seperti lampu hadapan Bi-LED dengan fungsi Dynamic Bending Light, lampu kabus dan lampu belakang LED, rim 19-inci dengan tayar 235/55R19, pilihan upholsteri sama ada hitam atau Burgundy, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa lapan-hala, kemasan kulit pada papan pemuka, dan juga papan instrumen digital Supervision TFT LCD 7-inci.

    Model tertinggi ini juga dilengkapi dengan pintu tailgate belakang bantuan kuasa, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan pengelap cermin hadapan automatik

    Walau bagaimanapun, kesemua varian hadir standard dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kedudukan LED, tempat duduk pemandu larasan berkuasa 10-hala, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, sistem infotaimen dengan skrin terapung 7-inci sokongan Apple Carplay dan Android Auto, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, penghawa dingin dua-zon automatik dan auto cruise.

    Untuk sistem keselamatan pula, semua versi Santa Fe dilengkapi enam-beg udara, ESC, ABS bersama Kawalan Brek Menuruni Bukit dan Bantuan Mula Mendaki, Traction Control dan Kawalan Pengurusan Kestabilan (VCM). Versi Premium pula ditambah dengan ciri Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan juga Rear Occupant Alert (ROA) yang berfungsi untuk mengingatkan pemandu bahawa ada penumpang di bahagian belakang seterusnya mengelakkan kejadian kanak-kanak tertinggal di dalam kereta.

    Hyundai Sante Fe 2.2 CRDi Premium 2020

     
     
  • GALERI: Land Rover Discovery Sport 2020 di Malaysia

    GALERI: Land Rover Discovery Sport 2020 di Malaysia

    Land Rover Discovery Sport generasi kedua telah pun berada di pasaran Malaysia. Buat masa ini hanya ada satu varian sahaja yang ditawarkan iaitu R Dynamic, dengan pilihan konfigurasi lima- dan tujuh-tempat duduk.

    Seperti Evoque baharu, Discovery Sport baharu ini juga dibangunkan dengan platform terkini Land Rover iaitu Premium Transverse Architecture (PTA), yang juga boleh digunakan untuk penjana kuasa elektrifikasi. Ia turut menawarkan 13% peningkatan dalam ketegaran struktur, walau bagaimana pun masih menerapkan hasil luaran yang cukup terperinci.

    Perubahan yang ditampilkan termasuklah dengan kehadiran lampu utama LED signitur baharu dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-U, gril hadapan, bampar, lampu belakang dan corong ekzos baharu serta lapisan plastik yang sama dengan warna badan. Model ini turut dipadankan dengan roda 20-inci yang dibaluti tayar prestasi tinggi Pirelli Scorpion Zero 235/50.

    GALERI: Land Rover Discovery Sport 2020 di Malaysia

    Bahagian kabin juga diberi sentuhan yang lebih segar, termasuk dilengkapi papan pemuka dengan imej lebih moden, tuil gear elektronik jenis-pistol (menggantikan unit lama rotary dial), sistem infotainmen Touch Pro 10.25-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan ANdroid Auto, Paparan Pemandu Interaktif digital 12.3-inci dan ClearSight Ground View, serta paparan Generation 2.

    Untuk prestasi, Discovery Sport buat masa ini ditawarkan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol, dengan hamburan kuasa 200 PS dan tork 320 Nm. Dipadankan bersama transmisi automatik secara standard, yang bekerjasama dengan sistem Terrain Response 2.

    Sistem terkini ini turut menawarkan mod Auto baharu yang disesuaikan dengan tatapan kenderaan bagi semua bentuk laluan, dan didatangkan dengan mod pemanduan Comfort, Sand, Grass-Gravel-Snow dan Mud & Ruts. Turut didatangkan dengan fungsi Driveline Disconnect yang boleh menukar mod pemanduan Discovery Sport ke pacuan roda-belakang ketika sedang dipacu. Ia mampu mengurangkan geseran, walau bagaimana pun Land Rover berkata sistem AWD boleh berfungsi semula dalam kurang 500 milli-saat.

    GALERI: Land Rover Discovery Sport 2020 di Malaysia

    Untuk aspek keselamatan, SUV ini didatangkan dengan tujuh beg udara dan bantuan parkir hadapan/belakang, kamera pandangan sekeliling 360-darjah dengan fungsi Wade Sensing, Kawalan Kelajuan Adaptif dengan bantuan stereng, Bantuan Kekal Lorong, Brek Kecemasan Sendiri dan Pemantauan Keadaan Pemandu.

    Harga bagi model lima-tempat duduk ialah RM379,800, sementara versi 5+2 pula ditawarkan pada RM409,800. Setiap pembelian didatangkan dengan program Land Rover Care, termasuk waranti lima-tahun/150,000 km, penyelenggaraan lima-tahun/65,000 km dan juga bantuan tepi jalan selama tiga-tahun.

     
     
  • Toyota Venza 2021 – Harrier baru untuk pasaran AS

    Toyota Venza 2021 – Harrier baru untuk pasaran AS

    Toyota Venza 2021 ini baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran Amerika Syarikat. Jika anda nampak ia seperti pernah dilihat, ini adalah kerana ia sebenarnya adalah Harrier generasi keempat (diperkenalkan buat pertama kali bulan lalu), tetapi dengan lencana berbeza untuk pasaran itu.

    Dibina atas platform TNGA-K yang baru, Venza dijangka mendapat markah tinggi dalam ujian keselamatan NHTSA, sementara ukurannya pula adalah 4,740 mm panjang, 1,855 mm lebar, 1,660 mm tinggi dan jarak roda 2,690 mm. Ini sekaligus menjadikannya lebih besar berbanding Harrier sebelum ini.

    Untuk memegang roda SUV ini, bahagian hadapan menggunakan penyerap biasa manakala di belakang menggunakan tetapan multi-link. Rim aloi 18 inci diberikan secara standard manakala varian XLE dan Limited yang lebih tinggi pula mendapat unit 19 inci “super chrome” seperti dalam gambar.

    Toyota Venza 2021 – Harrier baru untuk pasaran AS

    Jika di Jepun, Harrier baru boleh didapati dengan enjin 2.0L NA ataupun hibrid 2.5L (tiada lagi versi 2.0L turbo), tetapi untuk Verza ini, ia dijangka hadir cuma dengan versi hibrid sahaja. Unit Toyota Hybrid System terbaru ini menggunakan enjin empat silinder 2.5L DOHC yang digabungkan bersama motor elektrik di depan dan belakang, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 219 hp. Melalui motor elektrik di belakang, ia dapat menyediakan sistem pacuan semua roda.

    Enjin petrol yang digunakan pada model ini mempunyai dua sistem VVT iaitu VVT-iE untuk bahagian intake camshaft (menggunakan motor elektrik) manakala di bahagian exhaust camshaft pula ia menggunakan VVT-i biasa. Sistem penyejukan menggunakan pam air dan termostat elektrik. Selain mod EV untuk pemanduan elektrik sepenuhnya, model hibrid yang menggunakan bateri lithium ion ini juga mempunyai mod Normal, Eco dan Sport.

    Venza juga dilengkapi dengan Predictive Efficient Drive (PED), iaitu teknologi yang menggunakan sistem navigasi untuk menganalisa tabiat memandu serta menghafal keadaan jalan dan trafik untuk membantu pengecasan bateri hibrid menjadi lebih optima.

    Toyota Venza 2021 – Harrier baru untuk pasaran AS

    Antara kelengkapan lain pada Venza adalah termasuk skrin sesentuh 12.3 inci untuk infotainmen, sembilan pembesar suara JBL, cermin pandang belakang digital, head-up display berwarna 10 inci, bumbung panoramik, tempat duduk berliang serta cermin hadapan akustik.

    Pada bahagian keselamatan, terdapat pakej Toyota Safety Sense 2.0 yang termasuk Pre-Collision System dengan Daytime/Low-Light Vehicle and Pedestrian Detection, Daytime Bicycle Detection (PCS), Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert dengan Steering Assist (LDA w/SA), Automatic High Beams (AHB), Lane Tracing Assist (LTA) dan Road Sign Assist (RSA).

     
     
  • GALERI: MINI Countryman Blackheath Edition – kemasan serba gelap, terhad 48 unit, 192 hp, RM254k

    GALERI: MINI Countryman Blackheath Edition – kemasan serba gelap, terhad 48 unit, 192 hp, RM254k

    Model MINI kebanyakannya datang dalam warna yang terang dan ranggi, tetapi melalui versi Countryman Blackheath Edition ini, anda akan mendapat sebaliknya. Ditawarkan dalam jumlah terhad 48 unit sahaja, ia dijual pada harga RM253,888 tidak termasuk insurans, bersama jaminan empat tahun tanpa had batuan, servis berkala percuma empat tahun atau 60,000 km dan bantuan tepi jalan lima tahun.

    Menggunakan varian Countryman Cooper S sebagai asas, ia dikuasakan oleh enjin petrol 2.0 liter TwinPower Turbo yang digabungkan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 192 hp dan 280 Nm tork kepada roda hadapan. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 7.5 saat, sebelum mencapai laju maksimum 225 km/j.

    Pada bahagian luar Countryman Blackheath Edition ini, antara barangan yang boleh dilihat berbeza berbanding Countryman Cooper S biasa adalah jalur Brushed Aluminium (perak matte) atas bonet, serta kemasan Piano Black pada keliling lampu hadapan dan belakang, gril hadapan, pemegang pintu serta lencananya.

    Ada juga beberapa kelengkapan lain diambil daripada varian Countryman John Cooper Works, termasuk kit badan John Cooper Works Aerodynamic serta rim Circuit Spoke 19 inci. Bahagian dalam juga dipasang dengan kemasan warna gelap, termasuk tempat duduk yang dibalut kulit Carbon Black Cross Punch dan lapik bumbung anthracite.

    Tidak semua benda di dalam adalah serba gelap kerana anda masih mendapat lampu suasana 12 warna yang boleh ditukar menggunakan butang pada papan pemuka manakala sistem audio pula menggunakan unit Harman Kardon 360 watt dengan 12 pembesar suara. Ia juga boleh disambung dengan Apple CarPlay dan digunakan untuk kawalan suara.

    Ciri keselamatan yang disediakan pada Countryman Blackheath Edition adalah termasuk pengawal stabiliti, kawalan cengkaman, lampu brek dinamik, ABS, EBD, kawalan kunci differential elektronik, kamera belakang, tayar run-flat, penunjuk tekanan angin tayar dan cagak ISOFIX.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025