Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • World Car Awards 2018 – senarai calon akhir diumum

    Senarai model-model kereta yang layak ke peringkat akhir bagi World Car Awards 2018 telah diumumkan, dengan pendedahan bagi semua calon akhir enam kategori yang dipertandingkan.

    Sama seperti tahun lalu, enam kategori yang dimaksudkan ialah World Car of the Year, World Luxury Car, World Performance Car, World Green Car, World Car Design of the Year dan World Urban Car. Undian melalui peti rahsia akan dilakukan bulan ini melibatkan barisan seramai 82 orang juri yang terdiri daripada jurnalis automotif antarabangsa. (Tahun lalu hanya melibatkan 75 juri).

    Tiga calon teratas bagi setiap ketegori akan disenarai pendek ketika Geneva Motor Show Mac nanti, dan pemenang akan diumumkan ketika New York International Auto Show penghujung Mac nanti.

    Anugerah tahun lalu menyaksikan Jaguar F-Pace dinobat sebagai World Car of the Year 2017, yang turut membolot anugerah World Car Design of the Year. Kategori World Luxury Car menjadi milik Mercedes-Benz E-Class W213, sementara Porsche 718 Boxster/Cayman diumumkan sebagai pemenang World Performance Car.

    Daripada senarai calon-calon yang ada, banyak model yang mempunyai ciri-ciri untuk muncul sebagai pemenang. Yang mana satu pula pilihan anda untuk setiap kategori?

    World Car of the Year 2018

    World Luxury Car 2018

    World Performance Car 2018

    World Green Car 2018

    World Urban Car 2018

    Design of the Year 2018

    • Citroen C3 Aircross
    • Lexus LC 500
    • Range Rover Velar
    • Renault Alpine A110
    • Volvo XC60
     
     
  • Toyota Yaris GRMN, 86 GR, Prius c GR Sport dan Prius v GR Sport – model lebih sporty dilancarkan di Jepun

    Toyota Yaris GRMN, 86 GR, Prius c GR Sport dan Prius v GR Sport – model lebih sporty dilancarkan di Jepun

    Diumumkan pada September tahun lalu, Toyota Yaris GRMN, 86 GR, Prius c GR Sport dan Prius v GR Sport akhirnya mula dijual di pasaran Jepun. Hampir kesemua model ini telah pun bersedia di semua pengedar Toyota, dengan Yaris GRMN hanya ditawarkan sebanyak 150 unit sahaja, dan tempahannya bakal dibuka mulai 9 April ini menerusi laman web khas dan pengedar GR Garage sahaja.

    Kita mulakan dengan Yaris GRMN, yang dilogokan sebagai Vitz GRMN di Jepun – hot hatch ini dijanakan dengan enjin yang sama di Eropah iaitu 1.8 liter supercharged empat-silinder, dengan hamburan kuasa 212 PS pada 6,800 rpm dan tork 250 Nm pada 4,800 rpm. Hanya ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan, dan ditampilkan peredam, underbody dan strut bracing Sachs, dan Torsen limited-slip differential untuk prestasi yang lebih efektif.

    Apa yang membezakan antara model Jepun dengan yang dijual di Eropah ialah bampar hadapannya yang lebih sporti bersama corong pengambilan udara yang lebih besar, termasuk skirt sisi dan bampar belakag yang lebih menyerlah dengan diffuser yang lebih agresif serta lampu belakang dan tailgate daripada Yaris pra-peningkatan. Malah ia turut menampilkan roda aloi BBS 17-inci, tempat duduk sport, kluster instrumen dengan logo GR, roda stereng yang lebih kecil dan kaliper brek hadapan dengan empat-omboh yang diapit pada cakera.

    Barisan model penuh sport ini turut disertai 86 GR, yang dibangunkan secara edisi terhad dari 86 GRMN. Ia ditampilkan dengan kit aero penuh, roda aloi Rays 17-inci, peredam Sachs, tempat duduk Recaro, kaliper brek hadapan enam-omboh (empat-omboh di belakang) dan Torsen limited slip differential. Walau bagaimana pun, kuasanya masih kekal sama iaitu 205 PS dari enjin 2.0 liter empat-silinder.

    Sementara ini, Prius C dan v GR Sport pula masing-masing hadir dengan pakej penampilan bagi hybrid hatch dan MPV. Kedua-duanya menerima bampar hadapan dan belakang baharu, tempat duduk sport, kluster instrumen berlogo GR, roda stereng yang lebih kecil, suspensi talaan khas dan pendakap tambahan. Prius c turut menerima tombol gear balutan kulit asli dan titik kimpalan tambahan untuk lebih ketegaran.

    Harga bagi Yaris GRMN ialah 4,000,000 yen (RM142,600), sementara 86 GR berharga 4,968,000 (RM177,100). Untuk Prius c GR Sport berharga 2,332,800 yen (RM83,200) bagi model pacuan dua-roda dan 2,538,000 yen (RM90,500) bagi pacuan empat-roda. Manakala Prius v GR Sport pula ditawarkan pada harga 3,351,240 yen (RM119,500) untuk 2WD dan 3,556,440 yen (RM126,800) bagi 4WD.

    GALERI: Toyota Yaris GRMN

    GALERI: Toyota 86 GR

    GALERI: Toyota Prius c GR Sport

    GALERI: Toyota Prius v GR Sport

     
     
  • Kia Rio GT didedahkan sebelum Geneva Motor Show

    Kia Rio GT didedahkan sebelum Geneva Motor Show

    Kia telah mendedahkan imej pertama bagi model Rio GT Line baru, yang akan menyertai model-model lain dalam GT Line sedia ada seperti Sportage, Picanto dan Sorento. Kereta hatchback ini akan membuat penampilan sulung pada Geneva Motor Show 2018 nanti, dan akan mula dipasarkan di Eropah selepas itu.

    Kemasan GT Line menjadikan Rio lebih sporty dan garang. Ini termasuk penggunaan bampar dengan rekaan baru dengan lampu kabus LED segi empat yang pernah dilihat pada cee’d GT dan pro_cee’d GT. Gril pula hadir dalam warna krom dan hitam, DRL LED, kemasan krom pada tingkat, spoiler hitam berkilau dan rim aloi 17-inci.

    Kia Rio GT didedahkan sebelum Geneva Motor Show

    Di dalam, kemasan kulit digunakan pada tempat duduk dengan benang kelabu serta stereng yang rata bahagian bawahnya. Papan pemuka pula menerima kesan visual ala gentian karbon, sementara kemasan metalik turut menghiasi bahagian suis pada pintu dan tuil gear.

    Kia Rio GT Line dikuasakan oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder T-GDI petrol dengan janaan 118 hp dan 171 Nm tork. Ia digandingkan dengan transmisi manual enam-kelajuan. Kemudian, pilihan enjin MPI 1.25 liter atau 1.4 liter petrol akan turut ditawarkan, begitu juga dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan Kia.

     
     
  • Perkhidmatan komuter tanpa henti sempena Thaipusam – diskaun Grab ke 16 stesen terpilih

    Perkhidmatan komuter tanpa henti sempena Thaipusam – diskaun Grab ke 16 stesen terpilih

    Sempena dengan sambutan Thaipusam minggu hadapan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyediakan perkhidmatan tren KTM Komuter tanpa henti selama tiga hari dua malam bermula 30 Januari ini.

    Menurut Pengurus Besar Jabatan Operasi KTMB, S. Mahendran perkhidmatan tren 24 jam itu melibatkan 783 perkhidmatan dengan empat laluan tren tambahan iaitu Pelabuhan Klang-Batu Caves; Pelabuhan Klang-KL Sentral-Port Klang; Seremban-Batu Caves-Seremban dan Sentul-Batu Caves-Sentul bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut agama Hindu serta pelancong, ke Batu Caves, laporan Bernama.

    “Sepanjang tempoh tersebut, waktu operasi tren tambahan akan dilanjutkan selepas waktu perkhidmatan sedia ada terakhir, antara jam 10.50 malam hingga 5.30 pagi. Walaupun pada Rabu (31 Jan) dan 1 Feb itu jatuh pada cuti umum iaitu Thaipusam dan Hari Wilayah, waktu perkhidmatan KTM Komuter pada tempoh tersebut mengikut jadual waktu hari bekerja sedia ada dan bukannya jadual hari cuti umum. Ini membolehkan kekerapan perjalanan antara 15 hingga 20 minit mengikut jadual kerja biasa berbanding setengah jam sekali untuk jadual cuti umum,” katanya pada pemberita semalam.

    Katanya lagi, dijangka lebih 500,000 penumpang pada tahun ini, KTMB turut memperkenalkan kaedah bayaran tanpa tunai dan pemberian kad Komuter Link Dewasa secara percuma kepada orang ramai dan kad itu perlu ditambah nilai sekurang-kurangnya RM3.

    “Tambang konsesi sebanyak 50 peratus untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar serta kanak-kanak berumur dua tahun hingga enam tahun dan percuma untuk kanak-kanak berumur bawah dua tahun,” katanya.

    Perkhidmatan komuter tanpa henti sempena Thaipusam – diskaun Grab ke 16 stesen terpilih

    Selain itu, bagi mengelakkan kesesakan di Stesen Batu Caves, para pengguna dinasihatkan menaiki perkhidmatan tren shuttle sehingga Stesen Sentul sebelum menaiki bas shuttle yang disediakan secara percuma untuk ke Stesen KL Sentral dan seterusnya menyambung perjalanan menaiki tren untuk destinasi seterusnya.

    “Perkhidmatan tren shuttle bermula jam 1.14 pagi pada 31 Jan hingga 11.35 malam 1 Feb ini di mana perkhidmatan ini adalah tambahan kepada jadual waktu tren sedia ada. Dalam masa yang sama, KTMB juga menyediakan perkhidmatan terus dari/ke stesen Batu Caves dari laluan Pelabuhan Klang dan perkhidmatan tren tambahan tidak disediakan bagi laluan Tanjung Malim-Rawang seperti sebelum ini berikutan kerja projek menaik taraf Infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) sedang dilaksanakan,” sambungnya lagi.

    Justeru, para pengguna dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan merujuk jadual perjalanan tren di laman sesawang www.ktmb.com.my, memastikan baki nilai dalam kad komuter link atau Touch ‘n Go mencukupi dan sentiasa mematuhi arahan dan pengumuman yang diberikan oleh kakitangan bertugas.

    Dalam masa yang sama, Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter Khair Johari Ishak turut memaklumkan KTMB menjalinkan kerjasama strategik dengan GrabCar dan orang ramai diberi diskaun sebanyak RM5 untuk 16 stesen terpilih, seterusnya menggunakan perkhidmatan tren ke Batu Caves.

    Di mana tawaran diskaun ini hanya untuk 1,500 pengguna perkhidmatan GrabCar sama ada pengguna baharu atau sedia ada dan terhad untuk dua kali perjalanan sahaja manakala pembayaran perlu dibuat secara tunai, kad debit/kredit.

     
     
  • Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Lexus Malaysia hari ini mempertontonkan secara rasmi dua model terbaru bagi tahun ini untuk pasaran tempatan. Dua model yang dimaksudkan ialah SUV tujuh-tempat duduk Lexus RX 350L dan kemaskini bagi model NX 300 2018 – kedua-duanya sudah dibuka untuk tempahan pertengahan bulan ini.

    Dijangka akan dilancarkan dalam tempoh terdekat dalam suku pertama tahun ini, Lexus RX 350L merupakan versi SUV tiga-barisan tempat duduk berbanding model sama yang dipasarkan di Malaysia sebelum ini yang hanya hadir dengan dua barisan tempat duduk sahaja.

    Barisan tempat duduk ketiga itu pula bukan sekadar kerusi tambahan dengan ruang yang terhad. Ia boleh menampung penumpang dewasa serta kerusi kanak-kanak, tanpa banyak mengorbankan aspek reka bentuk sedia ada.

    Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Perbezaannya, bahagian belakang model ini ditambah 110 mm untuk mendapat keluasan ruang yang diperlukan bagi tempat duduk barisan ketiga itu. Bagi tempat duduk barisan kedua, ruang kaki dan ruang kepala yang tersedia tidak berubah.

    Dengan spesifikasi umumnya kekal sama seperti model sebelum ini, saiz beg udara bagi RX 350L ini pula lebih besar untuk menampung keperluan penumpang di barisan ketiga. Bagaimanapun, kelengkapan lain untuk keselesaan penumpang di barisan ketiga ditambah, seperti corong pendingin hawa, ruang meletak cawan serta butang mudah untuk melipat dan kerusi untuk tambahan ruang.

    Sementara berat keseluruhannya pula hanya bertambah sebanyak 65 kg. Jarak antara rodanya pula kekal sama 2,790 mm antara kedua-dua model berkenaan. Ruang barangan sekiranya kerusi terakhir dilipatkan juga bertambah bagi model ini.

    Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Sebagai rujukan, model RX dua barisan tempat duduk yang dijual sebelum ini dilengkapi dengan enjin 3,456 cc V6 DVVT-iW. Ia mampu menjana sebanyak 295 hp pada 6,300 rpm sementara tork pula sebanyak 370 Nm dari 4,600 rpm hingga 4,700 rpm. Kedua-dua model ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Merupakan unit CBU dari kilang pemasangan di Kyushu, Jepun, Lexus Malaysia menjelaskan bahawa versi hibrid bagi model ini tidak akan diperkenalkan di Malaysia dalam masa terdekat.

    Bagi model Lexus NX 300 2018, ia merupakan versi yang dikemaskini terhadap model NX 200t yang diperkenalkan sebelum ini. Dengan pengenalan penggayaan terbaru ini, varian ini akan menggantikan penawaran sebelum ini; NX 200t Special Edition dan Luxury tiada lagi selepas ini.

    Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Versi terbaru ini akan ditawaran dalam empat varian – Urban, Premium, F-Sport dan Hybrid. Perubahan paling ketara yang dilakukan ialah pada penampilan keseluruhan bahagian luarannya. Lexus NX 300 2018 menerima rekaan bampar depan dan belakang baru, serta lampu utama projektor dengan tiga LED.

    Selain itu, pembaharuan turut dilakukan dibahagian dalam, dengan penggunaan Touchpad Remote Touch Control dan skrin paparan yang kini lebih besar, 10.3 inci (hanya bagi kemasan F-Sport dan NX 300h) sahaja. Satu lagi ciri terbaru bagi Lexus NX 300 Urban (dan F-Sport) ialah bumbung panoramik. Bagi varian Premium, ia dilengkapi dengan moon roof.

    Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Bagi spesifikasi mekanikal, versi terbaru ini kekal menggunakan unit enjin yang sama seperti NX 200t sebelum ini – enjin 2.0 liter turbo yang menjana 235 hp dan 350 Nm tork. Lain-lain kelengkapan seperi lapan beg udara SRS juga masih dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

    Harga bagi model Lexus RX 350L ialah RM475,000 ketika dibuka untuk tempahan. Bagi Lexus NX 300 2018 pula, mengikut varian, adalah seperti berikut; Urban (RM311,900), Premium (RM329,800), F-Sport (RM387,900) dan Hybrid (RM397,800).

    GALERI: Lexus RX 350L

    GALERI: Lexus NX 300 2018

     
     
  • Rapid KL Monorail gantung sementara operasi tren empat gerabak bagi pemeriksaan keselamatan

    Rapid KL Monorail gantung sementara operasi tren empat gerabak bagi pemeriksaan keselamatan

    Dikatakan berhadapan dengan masalah teknikal sejak semalam, Rapid KL Monorail Line telah membuat pengumuman rasmi bahawa pihaknya telah menggantung sementara operasi tren empat gerabaknya, berkuat kuasa serta-merta.

    Menurut CEO syarikat ini, Mohd Ariffin Idris, pihaknya membuat keputusan tersebut bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dilakukan terhadap tren terbabit.

    Katanya, sepanjang tempoh penggantungan tren empat gerabak itu, Rapid KL akan mengoperasikan perkhidmatan bas di sepanjang jajaran monorel bagi kemudahan pengguna. Di mana setiap perjalanan akan dikenakan tambang sebanyak RM1.

     
     
  • Harga minyak 25-31 Jan – semua dilaporkan turun

    Harga minyak 25-31 Jan – semua dilaporkan turun

    Jika minggu bertarikh 18 hingga 24 Januari menyaksikan harga kedua-dua bahan api petrol iaitu RON95 dan RON97 naik serta bagi diesel pula kekal, lain pula senarionya untuk minggu bertarikh 25 hingga 31 Januari ini. Dikhabarkan harga bagi kesemua bahan api utama dilaporkan turun iaitu masing-masing sebanyak 1 sen.

    Sekaligus menjadikan harga baharu bagi RON95 ialah RM2.29 seliter dan RM2.56 seliter bagi RON97.

    Manakala untuk diesel pula, RM2.31 seliter bagi Euro 2 dan Euro 5 pula RM2.41 seliter.

    Semua harga baru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti sehingga Rabu depan, 31 Januari.

     
     
  • Enjin Mazda SkyActiv-X – nisbah campuran udara bahan api nipis sehingga 29.4:1, 30% lebih ekonomik

    Mazda mendakwa enjin baharu mereka yang akan bakal membuat kemunculan pada penghujung tahun ini – digelar SkyActiv-X – bakal memberikan penjimatan jauh lebih baik dari enjin petrol konvesional biasa, lapor Autocar.

    Enjin yang beroperasi dengan konsep hampir sama seperti konsep nyalaan mampatan pada enjin diesel tetapi masih lagi menggunakan palam pencucuh (spark plug) untuk mengawal pembakaran tersebut “bakal memberikan 20-30% lebih ekonomikal” dari enjin petrol 2.0 liter konvensional, menurut pengurus unit janakuasa Mazda, Eiji Nakai.

    Nakai juga mendakwa, penghasilan enjin dengan sistem Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI) atau Pencucuh Mampatan Kawalan Percikan ini mampu dihasilkan dengan harga yang sama hampir sama seperti enjin konvensional biasa.

    Ketika mula-mula diumumkan dahulu, difahamkan enjin SkyActiv-X ini akan menggunakan konsep Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI), iaitu konsep enjin petrol yang berfungsi dengan meledakkan pembakaran campuran udara-petrol dengan hanya menggunakan mampatan tinggi, tanpa percikan permulaan dari palam pencucuh.

    Namun setelah didedahkan, sistem SPCCI ini masih agak sama seperti enjin HCCI yang mendapatkan mampatan tinggi bagi memberikan sokongan pembakaran (juga sama seperti enjin diesel), tetapi permulaan pembakaran masih lagi dimulakan dengan unit spark plug yang akan memberikan nyalaan api.

    Bukan sahaja bagi memulakan pembakaran, sistem ini juga secara tidak langsung dapat mengawal pemasaan pembakaran tersebut dan memaksimakan tempoh pencucuhan mampatan, dan juga memastikan peralihan yang lancar antara pencucuhan percikan dan mampatan. Manakala strok yang lebih panjang seperti enjin diesel, ia akan menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi (yang juga hampir menyamai enjin diesel) dan mampu menolak pergerakkan piston lebih kuat bagi menghasilkan tork yang lebih besar.

    Dengan nisbah mampatan yang sangat tinggi, enjin baharu ini mampu menghasilkan nisbah campuran udara-petrol yang sangat lean – menurut Mazda ia mampu mencapai sehingga 29.4:1 (29.4 bahagian udara berbanding 1 bahagian petrol) berbanding enjin petrol konvensional yang mencatatkan nisbah paling optimum pada 14.7:1 – seterusnya meningkatkan kecekapan enjin antara 20% hingga lebih 30% berbanding enjin SkyActiv-G sedia ada dan antara 35% hingga lebih 40% berbanding versi asal dengan kapasiti sama yang muncul pada tahun 2008.

    Eiji Nakai turut menambah, pertukaran antara penggunaan palam pencucuh dan nyalaan mampatan ini ditentukan setelah penderia pada silinder enjin mengesan bila nisbah yang sangat lean berkenaan boleh digunakan dan pengesana tersebut adalah “sangat sukar”.

    Menurut Mazda lagi, teknologi ini sangat efektif sehingga kecekapan bahan api enjin SkyActiv-X berkenaan sama atau lebih baik dari enjin diesel SkyActiv-D. Enjin berkenaan turut akan diberikan suapan supercharger dan ia didakwa menawarkan respon lebih baik serta 10% hingga 30% lebih tork berbanding enjin SkyActiv-G. Mazda mendakwa, enjin SkyActiv-X ini mampu menghasilkan 187 bhp dan tork maksima 194 Nm.

    Mazda telah mengumumkan sebelum ini bahawa enjin SkyActiv-X berkenaan bakal ditawarkan pada pasaran pada penghujung tahun 2018 untuk menjana Mazda 3 generasi baharu, secara tidak langsung ia juga enjin petrol komersial pencucuhan mampatan pertama di dunia. Buat masa sekarang, enjin ini dipadankan pada model konsep Mazda Kai yang membuat kemunculan sulung pada Tokyo Motor Show 2017 baru-baru ini – hatchback berkenaan juga dikatakan dikatakan memberi gambaran kepada Mazda 3 generasi keempat.

    GALERI: Mazda Kai Concept 2017

     
     
  • Vietnam mula pasarkan petrol Euro 4, diesel Euro 5

    Vietnam mula pasarkan petrol Euro 4, diesel Euro 5

    Di Vietnam, ada dua lagi jenis bahan api baru mula dijual sejak masuk tahun 2018, iaitu petrol Euro 4 dan diesel Euro 5 yang diedarkan oleh Vietnam National Petroleum Corporation (Petrolimex). Kedua-duanya akan dijual bersama barisan produk lain yang ada ketika ini, termasuk petrol RON 95 Euro 3 dan diesel Euro 2.

    Untuk pasaran di sana, petrol RON 95 Euro 3 dan Euro 4 masing-masing dijual pada harga 19,280 dong (RM3.32) dan 19,480 dong (RM3.36), sementara bagi RON 92 E5 (biofuel) pula dijual pada harga 18,240 dong (RM3.14); bahan api ini menggantikan RON 92 biasa sejak 15 Disember tahun lalu sebagai usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahan api campuran E5 dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

    Bahan api campuran E5 berkenaan dibekalkan oleh Petrolimex dan PetroVietNam Oil Corporation, seperti dilaporkan oleh VietNamNet. Peraturan baru bagi bahan api di sana adalah disebabkan piawaian Euro 4 bagi kenderaan diesel bermula tahun ini. Di Malaysia, sejak 2014, BHPetrol telah mula memperkenalkan diesel Euro 5, dan diteruskan pula dengan pengenalan petrol RON 97 Euro 4M oleh BHPetrol dan Petronas pada September 2015.

     
     
  • Proton, Lotus batalkan kontrak JV dengan Goldstar

    Proton, Lotus batalkan kontrak JV dengan Goldstar

    Proton Holdings telah membatalkan kontrak usahasama (JV) dengan Goldstar Heavy Industrial dari China untuk membangun dan memasarkan kenderaan Lotus di China, lapor The Edge. Lotus Group International yang juga merupakan pihak terlibat dalam usahasama itu turut mengeluarkan surat pembatalan kepada Goldstar. Pada April 2015, semua terlibat telah menandatangani persetujuan untuk mempercepat pembagunan kenderaan Lotus bagi pasaran tersebut.

    Di dalam penjelasan kepada Bursa Malaysia, DRB-Hicom menyatakan kontrak berkenaan dibatalkan kerana syarikat usahasama itu, Goldstar Lotus Automobile, telah gagal untuk mendapatkan lesen pengilangan di China yang diperlukan. Tarikh akhir untuk mendapatkannya adalah 25 September tahun lalu, yang kemudiannya dilanjutkan ke 31 Disember 2017.

    Bagaimanapun, lesen berkenaan tetap tidak berjaya diperolehi selepas tarikh dilanjutkan, jelas DRB-Hicom. Syarikat itu juga menambah, semua pihak telah bersetuju untuk mempertimbangkan langkah seterusnya berkaitan ekuiti kontrak usahasama itu, berdasarkan undang-undang China.

    Syarikat baru itu ditubuhkan dengan matlamat untuk mengeluar dan menjual kenderaan jenama Lotus, serta enjin, komponen dan alat ganti berserta aksesori dinegara itu.

    Memang, Lotus Cars bukan lagi milik DRB-Hicom. Mei tahun lalu, syarikat itu mengumumkan penjualan sepenuhnya kepentingan dalam Lotus. Pada September 2017, diumumkan bahawa Zhejiang Geely Holding (ZGH) telah melunaskan transaksi pegangan saham majoriti 51% dalam Lotus, sementara 49% lagi dimiliki oleh Etika Automotive dari Malaysia.

     
     
  • PLUS umum laluan kontra di KM36.5 hingga KM35.5 di Lebuhraya Elite berhampiran KLIA pada 25 Jan ini

    PLUS umum laluan kontra di KM36.5 hingga KM35.5 di Lebuhraya Elite berhampiran KLIA pada 25 Jan ini

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi kenyataan medianya telah memaklumkan bahawa satu laluan kontra akan dibuka di KM36.5 hingga KM35.5 di antara Persimpangan Bertingkat KLIA – Nilai Utara, di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) pada 25 Januari iaitu Khamis ini, bermula jam 10 malam sehingga 5 pagi.

    Ini bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan struktur papan tanda gantri dilaksanakan di satu persimpangan bertingkat baharu di lebuh raya terbabit.

    Justeru itu, PLUS menasihatkan semua pemandu yang menggunakan laluan tersebut supaya merancang perjalanan, mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan oleh pihak PLUS.

     
     
  • Honda kekal sebagai jenama bukan nasional no.1 Malaysia – semua model CKD jadi peneraju segmen

    Honda kekal sebagai jenama bukan nasional no.1 Malaysia – semua model CKD jadi peneraju segmen

    Sejurus selepas Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mendedahkan prestasi jualan keseluruhan prestasi jualan industri untuk tahun 2017 semalam, Honda Malaysia turut mengumumkan bahawa jenama berkenaan sekali lagi berada pada kedudukan nombor satu bagi jualan kereta bukan nasional di negara ini buat kali ketiga berturut-turut.

    Buat pertama kali juga, jualan tahunan Honda di Malaysia dicatatkan pada angka melebihi 100,000 untuk tempoh satu tahun, dengan rekod jualan 109,511 unit kenderaan terjual sepanjang 2017. Secara tidak langsung, rekod ini menjadikan 2017 sebagai satu lagi tahun yang berjaya buat jenama tersebut.

    Berdasarkan jumlah industri keseluruhan (TIV) tahun lalu, sebanyak 576,635 kenderaan telah dijual, bermaksud dari lima kenderaan baharu yang dijual pada 2017, satu daripadanya adalah dari jenama Honda. Untuk jualan kereta penumpang, Honda berjaya memegang 21.3% bahagian pasaran dalam pasaran tempatan.

    Jumlah jualan tahun ini juga menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan yang telah dijual sejak wujudnya Honda Malaysia Sdn.Bhd (HMSB) pada tahun 2003 sehingga 2017 adalah melebihi 730,000. Berdasarkan graf di bawah, anda boleh lihat bagaimana angka jualan yang meningkat secara signifikant dari tahun ke tahun.

    Klik untuk besarkan

    Walaupun jualan keseluruhan industri automotif di Malaysia tahun lalu dilihat sedikit lembab berbanding tahun sebelumnya, ia tidak menjejaskan prestasi Honda Malaysia, malah syarikat berkenaan dilihat mencapai pertumbuhan 19% dari keseluruhan 91,830 kenderaan yang dijual pada 2016. Ini membolehkan bahagian pasaran jenama ini meningkat 3.2% kepada 19% – juga rekod tertinggi untuk HMSB setakat ini.

    Data untuk setiap segmen juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan untuk Honda Malaysia di mana setiap model CKD jenama ini dicatatkan sebagai peneraju pasaran masing-masing. Sedan segmen-B Honda City menyumbangkan 27% dari angka keseluruhan, diikuti oleh HR-V (16%), BR-V (16%) dan Civic (14%). Versi hibrid Jazz dan City pula menyumbang 2% jualan walaupun baru empat bulan dalam pasaran.

    Secara keseluruhan, Honda Malaysia telah melancarkan enam model baharu sepanjang 2017 iaitu BR-V, City dan Jazz facelift, City dan Jazz Hybrid, CR-V generasi baharu dan hot-hatch Civic Type R. Jualan tahun lalu turut dibantu dengan pasaran di Malaysia Timur yang semakin mendapat sambutan – dengan jualan melebihi 7,500 unit sepanjang 2017 atau meningkat sebanyak 33% dengan BR-V dicatatkan sebagai model paling laris di sana.

    Honda Malaysia turut mempertingkatkan jaringan servis selepas jualan mereka tahun lalu dengan menambah berberapa lagi pusat servis bagi memenuhi jumlah pelanggan yang semakin meningkat. Secara keseluruhan, lebih dari 1,150,000 kenderaan telah diservis tahun lalu, berbanding 1,021,000 pada tahun 2016 – meningkat sebanyak 13%.

     
     
  • PDRM dapat 871 buah motosikal Kawasaki baharu

    PDRM dapat 871 buah motosikal Kawasaki baharu

    Dalam usaha untuk meningkatkan kemampuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terutamanya di kawasan yang banyak jenayah dan sempadan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menambah sebanyak 871 buah motosikal, daripada jenama Kawasaki untuk jabatan tersebut.

    Daripada jumlah tersebut, 200 daripadanya adalah model KLX250 dan selebihnya adalah pelbagai lagi model yang lain. Motosikal ini akan disampaikan secara berperingkat di cawangan polis seluruh negara, dan secara keseluruhannya, telah memakan belanja sebanyak RM28 juta.

    Dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Bukit Kayu Hitam, Kedah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu bahawa penggunaan motosikal ini dapat membantu membanteras jenayah dengan lebih cekap.

    Tambah beliau lagi, yang memberitahu The Sun Daily, PDRM pada masa ini mempunyai kekuatan 4,189 buah motosikal peronda. “Kami juga mendapat maklum balas yang baik kerana motosikal dapat tiba di lokasi dengan lebih pantas, kurang daripada 10 minit. Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan ini, dan menyediakan aset penting untuk kesejahteraan orang ramai,” tambah Fuzi.

     
     
  • VIDEO: Kereta Proton macam tin Milo dan tak selamat?

    Selalu kita dengar ada orang yang akan cakap panel badan kereta keluaran tempatan lembut, dan terus buat andaian bahawa kereta berkenaan tak selamat. Macam mana mereka boleh sampai kepada kesimpulan mudah seperti ini?

    Mudah saja. Dengan jari “sakti”, mereka akan mengetuk-ngetuk sedikit badan kereta itu dan mendakwa ia mudah kemek. Tanpa sebarang pemahaman lanjut, maka terus akan ada kesimpulan seperti itu. Dan, lebih parah, ramai pula yang terpedaya dan percayakan pandangan itu.

    Sebetulnya, bahagian yang manakan yang lebih penting untuk memberi perlindungan kepada pemandu dan penumpang sekiranya kenderaan terlibat dalam kemalangan? Adakah lapisan nipis panel badannya atau sebaliknya struktur kerangka yang digunakan pada sesebuah kenderaan, seperti yang dapat dilihat pada Proton Persona 2016? Ada tak mana-mana kereta penumpang dalam dunia ini yang bahagian luarannya tak kemek kalau bertembung dalam kemalangan?

    Untuk meleraikan salah faham ini – kerana mungkin saja ramai lagi yang menganggap perkara ini betul – kami sediakan satu video ringkas untuk kita menambah pengetahuan tentang hal-hal berkaitan kekukuhan sesebuah kenderaan. Semoga ada manfaatnya.

    Keratan rentas Proton Persona 2016

     
     
  • Pusat servis, bengkel wajib ada lesen khas – KPDNKK

    Pusat servis, bengkel wajib ada lesen khas – KPDNKK

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bakal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor di Dewan Rakyat, Mac depan iaitu bagi mewajibkan pengusaha pusat servis dan bengkel kenderaan bermotor memiliki lesen khas mengendalikan perniagaan itu.

    Menurut menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, undang-undang berkenaan bertujuan memberi keselesaan dan menjaga kepentingan pengguna tanpa meminggirkan hak penggiat industri itu.

    Katanya lagi, penguatkuasaannya diyakini dapat memastikan industri itu berkembang maju seiring pembangunan pesat teknologi masa kini sekali gus menjaga hak dan kepentingan pengguna.

    “Bengkel perlu ada mekanik bertauliah yang mencukupi bagi mendapatkan lesen mengikut kategori perkhidmatan mereka. Ada bengkel yang memberikan perkhidmatan penuh, ada yang servis atau mengetuk dan mengecat sahaja. Kategori ini akan ditentukan nanti,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut menambah, dengan penguat kuasaan undang-undang juga industri berkenaan dijangka lebih berkembang pesat sejajar dengan teknologi masa kini yang sering berubah.

    “Lesen khas itu hanya dikeluarkan jika menepati syarat kelayakan termasuk memiliki mekanik bertauliah. Selain lesen perniagaan sedia ada, lesen khas juga akan dikeluarkan. Kita umpamakan mekanik seperti doktor, lesen dikeluarkan mengikut kepakaran tertentu dan menjadi kesalahan jika memberi sesuatu perkhidmatan tanpa lesen yang sah,” katanya.

    Pusat servis, bengkel wajib ada lesen khas – KPDNKK

    RUU Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor dibuat berikutan aduan pengguna yang diterima KPDNKK berhubung perkhidmatan pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor.

    Tambahnya lagi, undang-undang ini juga antara lain bagi menentukan pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor beroperasi mengikut kategori dan kepakaran tertentu.

    “Tiga kategori ditetapkan iaitu pembaikan enjin, perkhidmatan penyelenggaraan dan aksesori seperti tayar manakala kategori lain akan putuskan dalam masa terdekat. Undang-undang ini perlu fleksibel dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa sejajar dengan teknologi dalam bidang automobil yang sentiasa berubah. Contohnya, jika dulu kenderaan motor kurang menggunakan sistem berasaskan elektronik, kini semakin banyak kenderaan menggunakannya,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya memahami mengenai perubahan dan tiada niat mahu menutup periuk nasi atau menyulitkan mereka.

    “Kita akan beri tempoh. Bagi yang sudah mempunyai perniagaan, tetapi ada mekanik atau pekerja tiada sijil kemahiran mereka perlu menghadiri kursus tertentu,” katanya.

    Justeru, pihak yang gagal mematuhinya tindakan akan dikenakan. Setakat ini, pihaknya belum memutuskan bentuk hukuman dan kini masih di peringkat perbincangan. Setakat ini, ada kira-kira 30,000 pengusaha bengkel kenderaan di seluruh negara.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024