Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Malaysia buka gudang di Pekan

    mercedes-warehouse-pekan-bernama_bm

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah membuka gudang baharu automotif milik mereka di Pekan, Pahang, yang disifatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai peluang baharu yang bakal memberikan keuntungan kepada penduduk setempat, lapor New Straits Times.

    Gudang bernilai RM32 juta yang dimiliki oleh syarikat Bumiputra berkenaan, merupakan kerjasama antara syarikat tempatan Nilai Mahir dan MBM, yang turut dijangka akan membawa pelaburan asing terus (FDI) ke kawasan tersebut, yang mana dalam jangka masa panjang, akan membawa lebih keuntungan kepada negara dan rakyatnya, kata beliau.

    Bercakap semasa pelancaran gudang itu, Najib berkata fasiliti berkenaan adalah sebahagian usaha untuk meningkatkan penglibatan golongan Bumiputra dalam perniagaan dalam masa yang sama membantu rakyat Malaysia yang lain. “Disini lahirnya usaha dari (perniagaan) Bumiputra menerusi kilang CKD (completely knocked down). Jika kita tidak ada daya saing, Mercedez-Benz tidak akan memindahkannya ke Pekan,” kata Najib, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan.

    Gudang tersebut, yang akan menyimpan komponen kenderaan dan alat ganti, terletak di Taman Perindustrian Automotif Pekan, di mana MBM turut mempunyai kilangnya di situ. Fasiliti berkenaan menerima Dana Fasiliti dari Unit Agenda Peneraju Bumiputra untuk pembangunannya.

     
     
  • Imej render Perodua Bezza Wagon – bergaya!

    bezza-wagon-theo-3_bm

    Minggu lalu, pakar rendering Theophilus Chin hadir dengan imej render bayangan Proton Saga Aeroback yang diinspirasikan dari Skoda Rapid Spaceback. Minggu ini, Theo sekali lagi tampil dengan idea wagon bajet dengan me’wagon’kan sedan pertama Perodua iaitu Bezza.

    Ramai yang mengatakan, bentuk Bezza sebagai sedan agak janggal terutamanya pada bahagian belakang yang nampak terlalu tinggi. Tetapi, perkara sebaliknya berlaku apabila ia diubah sebagai wagon, nampak begitu ‘kena’ pada setiap sudut. Bumbung yang dipanjangkan lengkap dengan roof bar dan juga penambahan tiang-D pada Bezza wagon ini memperbaiki bentuk janggal pada rupa asalnya.

    Untuk pengetahuan, di Indonesia, Toyota Calya dan Daihatsu Sigra – MPV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari platform yang sama dengan Bezza serta Axia – telah pun dilancarkan. Jadi, sekiranya Perodua ingin mengubah platform ini kepada platform yang lebih versatil dari segi praktikaliti, tentunya langkah untuk membuat model ‘rebadge’ Calya/Sigra akan diambil.

    Namun, idea untuk wagon bajet rendah ini tidak harus dipandang rendah oleh pengeluar kereta tempatan, kerana ia pastinya mempunyai pengikut tersendiri sama ada digunakan sebagai kenderaan gaya hidup mahupun dibeli disebabkan praktikalitinya. Contoh yang boleh kita lihat, wagon-wagon bajet rendah keluaran era 80’an dan 90’an seperti Toyota Corolla KE36 wagon, Datsun 120Y VB310 wagon serta AD Resort ‘TV3’ masih lagi digunakan sehingga kini, serta harga terpakainya juga berada pada paras yang agak tinggi berbanding model sedan.

    GALERI: Perodua Bezza dan Axia

     
     
  • Komitmen untuk menggalakkan penggunaan elektrik dijangka akan diberi dalam Bajet 2017 – Menteri

    petronas_chargev-2

    Bajet 2017 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini dijangka memberikan komitmen terhadap penggalakan penggunaan kenderaan elektrik, menurut laporan Bernama.

    Perkara berkenaan diberitahu oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan turut menambah kementeriannya sedang memperhalusi lagi dasar berhubung pewujudan lebih banyak lagi stesen pengecaj sebagai kaedah untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik di negara ini.

    “(Penggunaan kenderaan elektrik) belum dapat diperluaskan lagi kerana sebahagian daripada infrastruktur seperti ‘charging station’ (stesen pengecaj), kita kena promosikan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Yahijau Langkawi 2016.

    Menurut beliau lagi, dasar penggalakan penggunaan kenderaan elektrik ini turut melibatkan beberapa kementerian seperti kewangan, pengangkutan serta perdagangan antarabangsa dan industri. “Penglibatan KeTTHA (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dalam penggalakan ini turut bermatlamat untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida di negara ini,” katanya.

    Menerusi program pengurangan cukai sebelum ini yang dilakukan oleh kerajaaan untuk menggalakkan kenderaan lebih mesra alam dan cekap tenaga, menyaksikan berberapa pengeluar telah pun membawa kenderaan elektrik sepenuhnya dengan versi CBU seperti Nissan Leaf dan Mitsubishi i-Miev.

    Dengan Dasar Automotif Negara yang dibuat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab untuk kenderaan hijau, kerajaan kini memberikan keistimewaan potongan cukai untuk kenderaan hijau yang dibuat secara pemasangan tempatan (CKD), menyaksikan model premium plug-in hybrid seperti Volvo XC90, Mercedes-Benz C350e dan BMW X5 xDrive40e dijual dengan harga yang sangat menarik.

     
     
  • PLUS digesa perhalusi semula cas LJT

    toll plaza plus

    Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) menggesa PLUS Malaysia Berhad (PLUS) agar kadar caj Perjalanan Melebihi Tempoh Yang Ditetapkan (LJT) diperhalusi dengan menitikberatkan soal keselamatan dan rehat yang perlu kepada pemandu,lapor Bernama.

    Menurut Yang Dipertua PKP Samsudin Mohamad Fauzi, PLUS seharusnya lebih prihatin akan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya dengan tidak hanya mewujudkan pelbagai jenis bayaran lagi kerana pengguna sememangnya mempunyai kurang pilihan selain menggunakan lebuh raya PLUS.

    “Kami melahirkan rasa kerisauan kerana keadaan ini akan menimbulkan situasi kelam-kabut kepada pemandu yang akan mula memandu secara melulu sekiranya pemandu terlebih tidur atau terlebih rehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi mengelakkan caj denda ini sekaligus akan membahayakan dirinya dan juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada agensi berita berkenaan.

    Samsudin juga menyarankan PLUS mencari formula lain yang lebih efektif dalam mencari sasaran mereka yang melakukan pertukaran tiket daripada mengambil jalan mudah menjadikan semua pengguna terbeban. Beliau juga berkata PLUS sebaliknya perlu memberikan rebat kepada pengguna lebuh raya yang sering kali berada dalam kesesakan yang berpunca daripada projek menaik taraf atau pembaikan.

    highway

    “Pernahkah pihak PLUS memikirkan berapa ramai pula pengguna yang mengalami kerugian mahupun daripada sudut masa, penggunaan bahan bakar, penyelenggaraan kenderaan ataupun mereka yang hilang peluang perniagaan atau keuntungan akibat tersangkut dalam kesesakan ini,” katanya.

    PKP menggesa pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) segera mengarahkan PLUS membatalkan denda ini dan tidak menimbangkan alasan PLUS dan berpendirian sekiranya PLUS masih mahu meneruskan caj LJT, pihak PLUS perlu mengeluarkan jadual masa perjalanan waktu yang sepatutnya pengguna boleh sampai ke destinasi.

    “Sekiranya pengguna gagal sampai dalam tempoh tersebut akibat kesesakan di lebuh raya maka pengguna itu juga berhak menuntut rebat atau ganti rugi daripada pihak PLUS,” katanya.

    Sebelum ini perkongsian seorang pengguna lebuh raya telah viral di laman sosial yang mendakwa dia dikenakan bayaran sebanyak RM9.40 untuk perjalanan dari plaza tol Gurun ke plaza tol Pendang, Kedah di mana bayaran sebenar untuk laluan tersebut hanyalah RM3.00. Dia juga mendakwa pihak PLUS mengesyaki ada penipuan yang dilakukan dan cas tambahan akan dikenakan sekiranya pengguna berada di kawasan R&R melebihi satu setengah jam, serta pengurusan lebuh raya berkenaan juga memberikan jawapan yang tidak pasti ketika dia menghubungi talian perkhidmatan pelanggan.

    PLUS menjelaskan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, langkah berkenaan diambil bagi mengatasi kegiatan manipulasi kad transit tol di beberapa laluan yang dikenal pasti di lebuh raya kendalian PLUS.

     
     
  • VIDEO: Hentian pit stop di lampu isyarat

    Ketika menunggu lampu isyarat bertukar dari merah ke warna hijau, biasanya apa yang anda lakukan? Advantage Cars – pengedar kereta mewah dari Republik Czech melakukan demonstrasi membuktikan ada perkara lain lagi dapat dibuat ketika menunggu lampu isyarat selain termenung dan mengelamun, iaitu hentian pit lengkap dengan proses penukaran keempat-empat tayar!

    Video ini dibuat ditengah bandar Prague, iaitu ibu negeri Republik Czech dimana sekumpulan kru pit stop Advantage Cars menunggu dengan kelengkapan mereka di satu lampu isyarat.

    Kereta yang ditunggu berkenaan – sebuah Porsche 911 GT3 RS tiba di lampu isyarat tersebut tepat apabila ianya bertukar merah. Pasukan krew Advantage Cars terus meluru kearah GT3 RS itu dan menukar kesemua empat tayar serta mengelap cermin hadapan.

    Hentian pit berkenaan siap dalam masa kurang dari 45 saat, tepat ketika lampu isyarat bertukar semula ke hijau, dan kereta berkenaan terus bergerak tanpa menggangu langsung kelancaran trafik.

     
     
  • TUNGGANG UJI: SYM Sport Rider 125i – pendatang baharu kapcai 125 cc yang perlu diberi perhatian

    sym-sport-rider-125i-1-bm

    Sewaktu kami mencari-cari “lawan” yang setanding bagi Honda Future 125 Fi ketika menunggang ujinya Julai lalu, tak ada satu pun model yang mampu menjadi pesaingnya secara berdepan – kecualilah kapcai yang dikeluarkan oleh Suzuki, Shogun Axelo 125 Fi.

    Bagaimanapun, itu juga bukanlah sebuah model yang betul-betul baharu ditawarkan dalam pasaran. Jika dilihat kepada penawaran oleh syarikat-syarikat pengeluar motosikal yang ada di Malaysia, entah kenapa, kapcai dengan kapasiti enjin 125 cc bukanlah pilihan yang popular.

    Namun, Ogos lalu, ada sebuah model baharu dalam kelas ini diperkenalkan; SYM Sport Rider 125i. Ia merupakan kapcai pertama yang diperkenalkan oleh SYM yang dilengkapi dengan ciri suntikan minyak (fuel injection, Fi). Menurut pengeluarnya juga, Malaysia turut menjadi pasaran pertama yang memperkenalkan model yang hadir dengan pendekatan rekaan yang mereka gelar sebagai “super extreme” ini.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Minyak Petron Turbo Diesel Euro 5 mula dijual di Malaysia – RM1.85/ liter, 14 stesen seluruh negara

    Dalam senyap, Petron telah mengeluarkan minyak diesel Euro 5 baru mereka yang dinamakan Petron Turbo Diesel Euro 5. Sehingga sekarang, 14 stesen telah mula menjual minyak diesel premium ini – 10 di Lembah Kelang dan empat di Johor. Seperti minyak diesel Euro 5 yang lain, ia mempunyai kandungan sulfur yang rendah – 10 ppm berbanding 500 ppm pada diesel Euro 2M biasa.

    Syarikat itu mendakwa diesel baru ini “mampu meningkatkan pembakaran dan memulihkan kuasa di dalam enjin untuk memberi lebih kuasa, lebih perlindungan dan lebih jarak.” Bersama aditif pelbagai fungsi, Petron memberitahu pilihan diesel baru ini menawarkan “lebih penjimatan pada penyelenggaraan dan bahan api itu sendiri.”

    Petron Turbo Diesel Euro 5 dijual pada harga lebih 10 sen berbanding diesel Euro 2M biasa – iaitu RM1.85 bagi setiap liter (pada Oktober 2016). 14 stesen Petron yang telah menjual Turbo Diesel Euro 5 adalah:

    lembah Kelang
    1. Petron Subang Indah
    2. Petron Jalan Maarof
    3. Petron Sg. Jati
    4. Petron Damansara Kayu Ara
    5. Petron Grand Saga NB
    6. Petron Batu 8
    7. Petron Seri Kembangan Raya
    8. Petron Sg. Rasah
    9. Petron Jalan Kapar
    10. Petron Bangi Seksyen 10

    Johor
    1. Petron Temenggong Ahmad
    2. Petron Buloh Kasap
    3. Petron Majidee
    4. Petron Pasir Gudang West 2

     
     
  • Michelin Malaysia siar teaser Pilot Sport 4

    pilot-sport-4-tyreplus_bm

    Michelin Malaysia kini telah menyiarkan teaser untuk tayar Pilot Sport 4 di laman Facebook mereka. Tayar berkenaan telahpun berada di premis-premis Tyreplus, tetapi ia masih lagi belum dilancarkan secara rasmi. Tayar ini bakal berhadapan saingan dengan tayar-tayar lain seperti Continental Sport Contact 6 dan Goodyear Eagle F1 Asymmetric 3.

    Pliot Sport 4 telahpun diperkenalkan di pasaran Eropah bermula awal tahun ini, dan menampilkan rekaan bunga tayar ultra-reaktif serta menggunakan kompaun baharu dengan elastomer yang berfungsi bagi mempertingkatkan pengedaran silika pada campuran getah dan memperkuatkan tindakan untuk memastikan cengkaman maksima ketika membrek. Lurah yang lebar dan dalam juga diberikan bagi memastikan tahap buangan air pada tayar tersebut ketika berputar adalah tinggi bagi memberikan cengkaman yang terbaik ketika basah.

    Ciri lain yang diberikan pada tayar baharu ini termasuk teknologi “Respon Dinamik”, di mana lilitan hibrid antara aramid dan nylon memberikan kawalan ketika mengubah haluan lebih baik. Gentian berketumpatan tinggi, tahan regangan dan ringan, yang lima kali lebih tahan berbanding logam, memastikan daya empar pada kelajuan tinggi dapat dikawal dengan sempurna dan permukaan tayar yang bersentuh kekal malar, walaupun pada kelajuan tinggi.

    Semasa pelancarannya nanti, Pilot Sport 4 akan diperkenalkan dengan tiga profil iaitu 35, 40 dan 45. Ia ditawarkan untuk rim bersaiz dari 17- hingga 19-inci, tetapi saiz yang lain sepatutnya boleh diperolehi sekarang (dikhabarkan ia bermula dari 16-inci). Tayar ini diletakkan di bawah Pilot Super Sport, yang telah digantikan dengan Pilot Sport 4 S; turut dikhabarkan akan juga dipasarkan kelak.

     
     
  • MSF Racing Series Saga Cup pusingan Enduro Ahad ini – tampilkan ramai pelumba ternama tempatan

    saga-cup-4-e1476425992390_bm

    Jika di Jepun popular dengan siri one-make race AE86 N2, kita di Malaysia turut mempunyai siri perlumbaan one-make sendiri yang telah lama dilangsungkan dan melahirkan ramai pelumba-pelumba yang kemudiannya menyinar di peringkat dunia. Ia tidak lain dan tidak bukan, siri perlumbaan Proton Saga genarasi pertama.

    Kategori Saga Cup dalam perlumbaan Siri Perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang telah dilangsungkan sejak tahun lalu, dan perlumbaan kategori berkenaan akan berlangsung untuk pusingan ketiga tahun ini, dengan pusingan istimewa Enduro akan di jalankan, menyaksikan sejumlah 39 jentera berentap dalam tempoh lebih dari 35 minit, bermula pukul tiga petang, Ahad ini (16 Oktober).

    Kategori Saga Cup ini sebenarnya diinspirasikan dari perlumbaan Saga sejak era 90’an di Litar Batu Tiga Speedway Shah Alam serta Litar Pasir Gudang Johor Bahru (siri Saga Clubman Race masih dijalankan di Pasir Gudang walaupun selepas BTSC ditutup), menyaksikan ramai bakat tempatan dicungkil dan kemudian menyinar di peringkat antarabangsa seperti bekas pelumba F1 Alex Yoong, serta Prince of Drift – Tengku Djan Ley.

    Undang-undang yang ditetapkan oleh MSF untuk kategori ini juga agak sama dengan perlumbaan terdahulu dimana setiap jentera bertanding perlu menggunakan enjin asal Saga iaitu 4G1X dengan kapasiti di bawah 1,500 cc, kotak gear OEM dengan kelengkapan klac asal (nisbah gear boleh diubah tetapi penggunaan gear straight-cut adalah dilarang), cakera dan angkup brek OEM, serta penggunaan unit karburator asal Saga untuk enjin Megavalve.

    saga-cup-8-e1476426135175_bm

    Undang-undang ini dirangka bukan sahaja untuk mengekalkan Saga Cup sebagai perlumbaan bajet rendah, ia juga akan mengerah kreativiti pasukan untuk menala jentera masing-masing dengan hanya kelengkapan asas serta memaksa pemandu berlumba dengan kemahiran tertinggi untuk memenangi perlumbaan memandangkan kesemua jentera dihadkan dengan spesifikasi yang sama.

    Perlumbaan pada hujung minggu ini turut akan menyaksikan pemandu-pemandu tempatan bertaraf antarabangsa berentap sesama sendiri dengan memandu Proton Saga keluaran 1985 hingga 2007, antaranya Tengku Djan Ley, pelumba GT Farique Hairuman, pemenang tempat kedua dalam World Time Attack 2012 Alif Hamdan serta Juara Formula Asia Keifli Othman.

    Pelumba-pelumba lagenda tanah air turut akan beraksi dalam Saga Cup Enduro kali ini antaranya Juara Merdeka Endurance tiga-kali Tommy Lee, juara kejohanan asal Saga Championship Roland Ooi serta juara Rali Malaysia enam-kali YS Khong. Juara Malaysia Super Series Lai Wee Sing, Boy Wong, Faidzil Alang dan Mark Darwin turut akan menyertai, selain dari juara Saga Cup tahun lalu iaitu Joshua Thiran bersama Adian Yein. Harvinder Singh dari paultan.org juga turut akan berlumba, berpasangan dengan Roland Ooi dalam perlumbaan ini.

    MSF pusingan ketiga ini bukan sahaja mempertandingkan kategori Saga Cup, penonton juga akan disajikan dengan perlumbaan kategori Special Kei, Super 1,500 NA, Proton 1,800 NA, Street Tuned dan Street Tuned 1,600, Super Street dan Open serta 1,600 dan 1,800 Races Car. Tiket padok dijual pada harga RM20 jika penonton membelinya sebelum pukul 11 pagi dan RM35 selepas waktu berkenaan. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi MSF Racing.

     
     
  • Mokhzani letak jawatan sebagai pengerusi SIC

    FC APAC Sepang_012

    Tan Sri Mokhzani Mahathir telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas 13 tahun berada pada kedudukan tersebut.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, beliau meluahkan rasa gembiranya kerana diberi penghormatan untuk menjadi pengerusi SIC sejak tahun 2003.

    “Saya telah melihat pelbagai acara berevolusi daripada perlumbaan amatur hingga ke profesional bertaraf dunia, dan saya berbangga rakyat Malaysia juga mampu berdepan dengan cabaran di dalam melahirkan bakat tempatan yang mampu beraksi di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

    Anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ini menambah, beliau melihat SIC sebagai salah satu pemangkin dalam perubahan budaya Malaysia dan sukan permotoran.

    Tambahnya lagi, “SIC telah melatih banyak bakat di dalam sukan permotoran dua-roda dan empat-roda, malah terus berusaha meneruskan sokongan di dalam bidang ini.”

    Menurut CEO SIC Datuk Razlan Razali pula, adalah suatu penghormatan buat dirinya kerana berpeluang bekerja di bawah kepimpinan Mokhzani.

    “Beliau memberikan wawasan yang tersendiri untuk membentuk kerja kami di dalam membangunkan SIC hingga ke hari ini. Kami amat berterima kasih kepada beliau di atas sumbangannya terhadap SIC, termasuk acara-acara utama yang pernah diadakan di sini serta sumbangannya kepada sukan permotoran,” ujar Razlan.

     
     
  • Volkswagen Golf facelift sedia tampil November ini

    vw-golf-r-facelift-ring-2_bm

    Pembuat kenderaan dari Jerman, Volkswagen menyatakan model Golf facelift sedia untuk membuat penampilan secara rasmi November ini. Meskipun laporan sebelum ini menunjukkan hanya sedikit perubahan pada bahagian luar, kenderaan hatchback popular ini turut dikatakan mendapat perubahan pada bahagian enjin dan transmisi.

    Antaranya adalah enjin hibrid yang didakwa mencatat penggunaan bahan api ‘pemanduan sebenar’ kurang daripada 4.0 l/100 km. Konfigurasi hibrid ini melibatkan padanan enjin tiga silinder 1.0 liter bersama unit supercas elektrik 48 V.

    Model hibrid ini akan menjadi sebahagian daripada usaha Volkswagen memperkenalkan kenderaan mesra alam di Amerika Syarikat selepas skandal Dieselgate membantutkan usaha menggunakan enjin diesel. Setakat ini, Volkswagen mempunyai sebuah lagi kenderaan mesra alam iaitu Golf GTE – hatchback plug-in hybrid yang menggabungkan enjin 1.4 TSI 148 hp dengan motor elektrik 101 hp. Keseluruhannya, kenderaan tersebut mampu menghasilkan 201 hp dan 350 Nm tork.

    Untuk pembaharuan ini, barisan model Golf standard dijangka akan menggantikan model berenjin 1.4 TSI petrol dan 1.6 TDI diesel – dengan unit petrol dan diesel yang baru – kedua-duanya berkapasiti 1.5 liter. Bagi model prestasi, enjin empat silinder 2.0 liter turbo juga akan menerima pembaharuan.

    Galeri: Volkswagen Golf R mk7 facelift di litar Nurburgring

    Volkswagen Golf R mk7 facelift di jalan raya biasa

     
     
  • Uber, Grab perlu ikut peraturan teksi – Nazri

    uber-x-car_BM

    Berikutan perkhidmatannya yang bakal disahkan menerusi undang-undang pengangkutan awam tidak lama lagi, Uber dan Grab perlu mengikut peraturan yang sama seperti mana pemandu teksi konvensional yang lain, menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

    Katanya lagi, memandangkan kabinet bakal memutuskan untuk membenarkan Uber dan Grab terus beroperasi secara sah, maka kedua-dua perkhidmatan tersebut harus diletakkan di bawah polisi yang sama dengan teksi, laporan The Star.

    “Kedua-duanya harus diletakkan di bawah polisi yang sama dengan teksi kerana ia juga sama peranan dengan teksi konvensional. Ini termasuklah pemandunya harus menjalani proses pendaftaran, kenderaan diperiksa oleh Puspakom, memiliki lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) dan perlu ada insurans perlindungan kemalangan,” ujarnya kepada pihak media.

    Sambungnya, ia adalah bagi menjelaskan isu mengenai persaingan antara Uber, Grab dan teki, serta mengambil kira kepuasan pengguna yang senang menggunakan aplikasi ini.

    “Apa saja peratusan atau perubahan yang bakal digunakan kepada pemandu teksi konvensional, ia harus juga diaplikasikan pada UBer dan Grab, memandangkan mereka juga menawarkan perkhidmatan kepada orang awam,” ujar Nazri lagi.

    Beliau turut menambah, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu mengambil langkah untuk mengawal perkhidmatan perkongsian kenderaan ini, dan peraturan mengenainya perlu digubal bagi membenarkan Uber dan Grab boleh beroperasi secara sah di sisi undang-undang.

    Malahan, pengenalan terhadap perkhidmatan e-hailing dalam industri pelancongan turut dialu-alukan. Ia juga menjadikan Kuala Lumpur setaraf dengan kota metropolitan lain termasuk Jakarta dan Bangkok.

    “Jika kita tidak menggunakan aplikasi ini sewajarnya, pastinya negara kita akan ketinggalan ke belakang,” akhirnya.

     
     
  • Bosch lancar pengelap cermin Clear Advantage baharu – khas untuk iklim tropika, RM65 sepasang

    bosch-clear-advantage-wiper-3-lowres

    Bosch Automotive Aftermarket telah pun melancarkan pengelap bilah rata terbaharunya, Bosch Clear Advantage, yang menawarkan prestasi terbaik untuk kereta-kereta di Asia, dalam apa jua kondisi cuaca.

    Teknologi bilah rata Bosch terdiri daripada pegas besi mono dan perumusan getah eksklusif. Ini membolehkan Pengelap Clear Advantage Bosch menawarkan tekanan mengelap sekata pada keseluruhan bilah pengelap dan cermin utama. Teknologi ini nyata sekali meningkatkan prestasi pengelapan dan memastikan pergerakan yang lebih lancar, bersih dan senyap.

    Direka khas untuk iklim tropika di Asia, Pengelap Clear Advantage Bosch mampu memberikan ketahanan mengelap tiada tandingan. Ia berupaya memberikan tahap prestasi optimum, walaupun selepas 200,000 kitaran.

    Bagi memudahkan pemasangan, Pengelap Clear Advantage Bosch dilengkapi dengan pemadan klip pantas. Lebih penting lagi, pengelap bilah rata Bosch baharu boleh dipadankan pada 96% kenderaan di rantau ASEAN.

    “Kini, teknologi bilah rata menjadi pilihan pengeluar kenderaan dengan 90% kereta baharu di Eropah menggunakannya. Trend teknologi bilah rata telah bermula di Jepun dan kami menjangkakan Asia akan mengikuti trend yang sama dalam tempoh beberapa tahun lagi,” kata Pengurus Negara Bosch Automotive Aftermarket, Malaysia, Pang Yoon Kong.

    Pengelap Clear Advantage Bosch kini boleh didapati pada harga RM65 sepasang di Lazada dan kedai-kedai aksesori kereta utama.

     
     
  • Proton, Perodua alu-alukan pemberian insentif khas kerajaan dalam Bajet 2017 bagi industri automotif

    2015_Perodua_Myvi_facelift_vs_Proton_Iriz_-001_BM

    Terdapat laporan yang disiarkan pada 11 Oktober lalu, Bajet 2017 yang akan dibentangkan tidak lama lagi akan memasukkan perlepasan cukai terhadap pembeli kereta kali pertama. Di mana skim ini adalah untuk generasi muda dalam lingkungan umur tertentu, tetapi tidak terhad kepada pembelian kereta jenama Proton dan Perodua sahaja – kenderaan jenama luar yang dipasang di Malaysia (CKD) juga termasuk dalam skim ini.

    Susulan laporan berkenaan, Perodua juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi insentif khas kepada pembeli kereta nasional pertama dalam Bajet 2017. Menurut Presiden dan CEO Perodua Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, ia dilihat sebagai langkah yang mampu menggalakkan lagi perbelanjaan pengguna.

    “Menerusi insentif berkenaan, mungkin ia boleh dibuat dalam bentuk pengurangan jumlah bayaran muka. Sekaligus mampu memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem automotif, serta industri kewangan dan insurans, memandangkan keadaan ekonomi yang lembap dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

    Malah dalam masa yang masa, Perodua turut mengharapkan bajet 2017 yang bakal dibentangkan pada 21 Oktober ini juga termasuk pelan hala tuju Dasar Automotif Negara yang berterusan dalam meliberalisasi pasaran.

    “Bagaimanapun, ia perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat untuk memastikan vendor tempatan mempunyai masa yang cukup untuk meningkatkan kecekapan dan keupayaan untuk bersaing secara adil. Ini juga untuk memastikan pelaburan peserta automotif tidak tergugat,” katanya.

    Perodua_Bezza_Ext-3

    Beliau berkata Perodua juga berharap kerajaan akan terus menyokong industri automotif tempatan, sama dengan negara-negara maju yang lain seperti Jerman, Korea Selatan, Jepun dan juga Amerika Syarikat, dari segi insentif.

    Katanya, ia adalah bagi menggalakkan aktiviti pembuatan, di samping meningkatkan keupayaan vendor dan pengeluar peralatan tulen. Pada masa yang sama, ia membantu menggalakkan eksport dalam ekosistem automotif. Kerajaan juga perlu mempertimbang untuk melonggarkan dasar perolehan untuk membolehkan Perodua dimasukkan sebagai pilihan bagi pembelian kenderaan pukal kerajaan.

    “Ini akan mewujudkan lebih pilihan dan nilai kepada kerajaan pada masa ia perlu mendapatkan nilai terbaik atas barangan yang dibeli,” kata Aminar.

    Beliau berkata pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) akan memberi kesan positif kepada ekonomi secara keseluruhan, kerana bank-bank akan mengurangkan kadar pinjaman dan merangsang perbelanjaan.

    “Kami menghormati dan menyokong pendirian bank pusat berhubung garis panduan pinjaman, tetapi kami juga percaya bahawa semua institusi kewangan perlu melaksanakannya berdasarkan kes, dan bukannya mempunyai satu peraturan untuk semua,” katanya.

    protonsaga_bm_premium_ext-3

    Bernama turut mendapatkan kenyataan daripada Timbalan CEO Proton Datuk Radzaif Mohamed berhubung perkara yang sama. Katanya, Proton menyambut baik apa sahaja insentif yang akan dibentangkan kerajaan dalam Bajet 2017, ke arah memperkasakan dan mengembangkan industri itu dengan lebih cepat.

    “Kami mengharapkan agar kerajaan mengambil kira status Proton sebagai pengeluar peralatan asli (OEM) sepenuhnya, yang telah banyak membantu melahirkan tenaga kerja mahir tempatan untuk industri automotif. Ia dirasakan amat penting jika kita dapat sesuatu dari aspek insentif dan dapat menggalakkan perkembangan industri. Ia amat dihargai,” katanya.

    Malahan, beliau berkata, pihak Proton mengharapkan insentif dari aspek penyelidikan agar syarikat ini mampu lebih berkembang dari sudut pengetahuan.

     
     
  • SPYSHOT – SUV Hyundai mahu cabar Nissan Juke

    hyundai-b-segment-suv-3-e1476413112326-850x478-bm

    Hyundai memang ada SUV segmen B bernama Creta di China dan India, tetapi rekaannya dianggap terlalu lembut dan biasa bagi pasaran seperti Amerika Syarikat. Jadi, pasaran itu akan mendapat SUV berlainan yang direka lebih ganas untuk mencabar model seperti Nissan Juke dan Mazda CX-3. SUV Hyundai yang dimaksudkan ini ditemui oleh jurugambar Eropah kami di atas jalan.

    Walaupun ditutup rapi, kenderaan yang masih belum dinamakan ini dilihat mempunyai rekaan yang dinamik, dan seperti Juke dan Jeep Cherokee, ia mempunyai lampu hadapan yang terbahagi dua – lampu penunjuk arah dan lampu siang LED di atas dan lampu utama di bahagian bawah. Gril ‘cascading‘ yang digunakan pertama kali pada model i30 juga digunakan pada bahagian tengah SUV Hyundai ini.

    hyundai-b-segment-suv-8-850x567-bm

    Profil sisinya juga lebih melengkung dan gagah berbanding Creta, manakala cermin belakang yang lebih menjunam pula menunjukkan sedikit praktikaliti akan terkorban demi mendapatkan gaya yang menarik. Lampu LED dan light guide juga boleh dilihat digunakan pada bahagian belakang, bersama garisan skid plate biasa sebuah SUV.

    SUV Hyundai ini seharusnya dibina pada platform sama seperti Creta – yang mana juga diasaskan daripada model i20 – dan menggunakan enjin seperti model i30. Ini termasuklah enjin empat silinder petrol turbo 1.4 liter T-GDI dan diesel turbo 1.6 liter CRD-i, yang dipadankan sama ada dengan kotak gear manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

     
     
  • Kerajaan labur RM15j beli bas BRT-Laluan Sunway

    BRT bus

    Kumpulan Prasarana, menerusi Presiden dan CEO Datuk Azmi Abdul Aziz telah mengeluarkan kenyataan, kerajaan telah melabur sejumlah RM15 juta untuk membeli 15 bas elektrik kendalian bateri mesra alam dari China bagi Bas Rapid Transit-Laluan Sunway (BRT-Sunway).

    Katanya, bas-bas itu berharga RM1 juta setiap satu, dibeli dari BYD Company Limited, pengeluar kereta dan bateri boleh dicas semula, yang berpusat di Shenzhen, China, laporan Bernama.

    Menurutnya lagi, buat masa ini, bas-bas elektrik tersebut menggunakan bateri konvensional untuk penyimpanan tenaga dan pihaknya sedang cuba untuk meneroka teknologi terkini untuk menggantikannya dan mengurangkan kos penyelenggaraan sistem itu.

    “Kami akan terus berusaha untuk mendapatkan inovasi terkini dalam teknologi mesra alam ini, untuk menyokong agenda kerajaan meningkatkan teknologi hijau dan meningkatkan gaya hidup rakyat,” katanya kepada pihak media semalam.

    Sistem BRT-Laluan Sunway mula beroperasi pada 1 Jun 2015 dan meliputi laluan sejauh 5.4 kilometer menggunakan 15 buah bas mesra alam.

    Ia mempunyai tujuh stesen termasuk sebuah stesen dengan kemudahan “Park n Ride.” Tujuh stesen itu ialah Stesen Sunway – Setia Jaya, Mentari, Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dan USJ7 sebagai stesen terakhir.

    Bas elektrik ini mampu bergerak selaju 80 km/j dan berkeupayaan membawa kapasiti 67 orang penumpang dalam satu masa.

     
     
  • Yamaha YZF-R6 2017 didedahkan lebih awal daripada EICMA – guna pelbagai sistem elektronik berkomputer

    2017-yamaha-yzf-r6-action-5-850x522-bm

    Yamaha akhirnya mendedahkan kepada umum supersports kelas pertengahannya yang ditunggu ramai – YZF-R6 2017 – lebih awal daripada pameran EICMA yang dijangka sebagai tapak kemunculannya November nanti. Walaubagaimanapun, ia setakat ini hanya spesifikasi dan gambar rasmi sahaja.

    R6 2017 direka semula sepenuhnya untuk tahun 2017, dengan gaya rekaan daripada model perdana Yamaha, YZF-R1 dan R1M. Aerodinamik adalah perkara penting yang diberi perhatian dan melalui penggunaan fairing serta skrin hadapan baru, daya seret angin dapat dikurangkan sehingga 8 peratus. Lampu penunjuk arah LED yang dijadikan bersepadu pada cermin sisi juga menyumbang ke aspek yang sama.

    Enjin yang digunakan pada R6 adalah unit empat silinder sebaris 599 cc yang di dalamnya terdapat piston diperkuat, injap kemasukan dan ekzos titanium, serta penutup head dan case magnesium. Ini adalah sebahagian langkah untuk mengurangkan berat motosikal dan disumbangkan lagi oleh tabung ekzos titanium serta kerangka dan lengan ayun aluminium.

    Pada bahagian belakang, kerangka tempat duduk juga menggunakan magnesium manakala tangki minyak pula dibina dari aluminium – 1.2 kg lebih ringan berbanding tangki besi.

    2017-yamaha-yzf-r6-static-3-850x593-bm

    Rangkaian penuh sistem elektronik turut digunakan pada R6 2017, melibatkan Yamaha Chip Controlled Intake (YCC-I), tetapan dua penyuntik dan ride-by-wire Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T). Daripada ini, penunggang dapat menikmati enam tetapan menunggang dan Traction Control yang boleh ditutup. Quickshifter (untuk menaikkan gear sahaja) dan klac slipper juga didatangkan standard untuk R6 2017.

    Pada suspensi, bahagian hadapan melihatkan penggunaan fork terbalik (USD) KYB 43 mm yang boleh dilaras sepenuhnya,menggantikan unit 41 mm pada model sebelumnya dan batang spindle 25 mm bagi meningkatkan ketegarannya. Pada bahagian belakang pula, penyerap KYB yang boleh dilaras sepenuhnya akan menjalankan tugas.

    Untuk brek, Yamaha memilih kelengkapan paling atas, sama seperti R1 untuk dipasangkan pada R6 2017 iaitu angkup aluminium empat piston dan cakera 320 mm.

    Yamaha menyesuaikan motosikal ini dengan posisi lumba, di mana bahagian hadapan tempat duduk dikecilkan 20 mm supaya penunggang dapat merapatkan lutut pada tangki dan bersembunyi di dalam lekuk tangki. Seterusnya apabila badan juga rapat mengikut bentuk motosikal, mereka akan dapat mencapai aerodinamik lebih bagus.

    Turut diambil daripada R1 adalah paparan rpm analog dan panel LCD yang memberi paparan kelajuan secara digital bersama pelbagai lagi informasi termasuk status traction control dan ABS.

    Masih belum ada tanda harga untuk Yamaha YZF-R6 2017 dan pastinya, dengan pelbagai teknologi ini, ia tidak akan datang dengan murah. Dikatakan, motosikal ini akan mula dipasarkan April 2017 dan orang ramai boleh memilih dua pilihan warna – Race Blu dan Tech Black.

     
     
  • Honda CR-V 2017 diperkenalkan – enjin baharu 1.5L turbo 190 hp, dalaman lebih premium, lebih praktikal

    2017 Honda CR-V

    Honda CR-V 2017 telah pun diperkenalkan di Amerika Syarikat, menampilkan imej baharu yang lebih berketerampilan, malah memiliki ruang dalaman yang lebih premium, luas dan versatil. SUV Honda generasi kelima ini telah diberi rekaan dan kejuruteraan semula, dijangka akan memulakan jualan di USA akhir tahun ini.

    “Honda CR-V baharu ini telah diolah rekaannya, memberikan lebih prestasi, ruang dan premium bersama penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan serta lebih bernilai berbanding sebelum ini,” ujar Jeff Conrad, Timbalan Presiden Kanan dan Pengurus Besar jabatan Honda.

    Apa yang menarik tentang CR-V 2017 ini? Lihat imej yang ditampilkan, gayanya lebih berani dan ranggi. Kini ditampilkan dengan gril krom yang lebih besar pada bahagian hadapan (dengan Automatic Shutter Grille System pertama dari Honda), bersambung pada lampu utama LED sepenuhnya, serta mengetengahkan gaya Solid Wing Face ciptaan Honda sendiri.

    2017 Honda CR-V

    D-pillar CR-V yang melunjur ke atas masih dikekalkan untuk generasi ini, serta turut mengetengahkan lampu belakang melintang. Walau bagaimana pun, gayanya yang telah diolah menampakkannya lebih agresif. Bar krom ditambah di belakang, disertakan dengan corong ekzos berkembar dengan lingkaran perak. Selain itu, buat pertama kalinya juga, ia menampilkan Pintu Belakang Bukaan Berkuasa Bebas Tangan (Hands-Free Access Power Tailgate).

    Di bawah hudnya, ia dipadankan dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo, buat pertama kalinya diadaptasikan buat CR-V. Unit suntikan-terus DOHC ini menerima olahan kuasa dari Civic FC, mampu menghamburkan kuasa sehingga 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 NM antara 2,000 hingga 5,000 rpm. CR-V turbo ini turut menampilkan elemen termasuk sistem Remote Engine Start yang juga ada pada Civic.

    Turut ditawarkan di USA ialah enjin 2.4 liter suntikan-terus i-VTEC, dengan kuasa 184 hp pada 6,400 rpm dan tork 244 Nm pada 3,900 rpm. Walau bagaimana pun, motor naturally-aspirated ini hanya untuk model spesifikasi asas sahaja. Namun demikian, kedua-dua pilihan enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT bersama Honda G-Shift control logic.

    Honda berkata, CR-V baharu ini, dengan pengecas turbo, turut ditawarkan penjimatan bahan api paling efisien yang sama kelas dengan SUV kompak. Ia didorong dengan kerangkan aerodinamik, serta padanan CVT, yang didakwa mampu menawarkan “prestasi yang lebih responsif”.

    Pada bahagian dalamnya, CR-V 2017 didakwa memiliki kekemasan yang lebih diperinci, dengan elemen premium dan lebih utiliti. Dengan jarak roda 2,660 mm vs 2,620 mm, kini SUV baharu ini mampu memberikan lebihan ruang yang luas, bersama ruang dalaman “paling tinggi dalam kelasnya dan ruang kaki tempat duduk belakang yang terbaik dalam kelasnya”.

    Faktor premium turut ditonjolkan dengan penggunaan material yang dipertingkatkan, termasuk panel instrumen dengan skrin berwarna. Selain itu, sistem audio dengan paparan skrin sentuh 7.0-inci berasaskan Android baharu turut ditampilkan, bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga menampilkan penghawa dingin dwi-zon, pencahayaan ambien LED, brek parkir elektronik dan port bagi USB di belakang sebagai beberapa elemen tambahan.

    Untuk pasaran US, aa turut menerima kit keselamatan terhadapan Honda Sensing dan bantuan pemanduan. Teknologi ini kini ditawarkan untuk semua tetapi bagi model asas (yang menerima enam beg udara dan kawalan kestabilan elektronik secara standard), dan Honda mensasarkan 75% CR-V yang dijual di Amerika akan dilengkapi dengan elemen itu.

    Selain itu, Honda Sensing termasuklah Pengurangan Brek Perlanggaran (CMBS) dengan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan keupayaan mengesan pejalan kaki, Road Departure Mitigation (RDM) dengan Amaran Ketibaan Laluan (LDW), Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC) dengan kelajuan rendah dan Bantuan kekal Lorong (LKAS). Informasi Titik Buta (BSI), Pemantaua Lintasan Trafik Belakang (CTM) dan Lampu Tinggi Auto (HSS) turut ditampilkan.

    Honda turut mensasarkan penarafan keselamatan perlanggaran akan menerima markah tertinggi, termasuk lima-bintang daripada NHTSA dan IIHS Top Safety Pick+. Model yang dipasarkan bagi Amerika Utara akan diproduski di East Liberty, Ohio; Alliston, Ontario, Kanada; dan untuk pertama kalinya di Greensburg, Indiana.

     
     
  • SPYSHOT: Hyundai Ioniq hibrid di Malaysia – CKD?

    hyundai-ioniq-hybrid-spotted-in-malaysia-2-850x446-bm

    Terima kasih kepada pembaca paultan.org, Satish Chandramohan, Hyundai Ioniq hibrid sekali lagi dijumpai atas jalan raya di Malaysia dan bukannya setakat menjadi hiasan di kawasan pameran.

    ioniq adalah sebuah kenderaan hibrid dari Hyundai yang berada setara dengan Toyota Prius dan ia datang dalam tiga model – Hibrid, Plug-in-hybrid dan Elektrik. Sementara model hibrid dan elektrik sepenuhnya sudah dipertonton secara rasmi, Ioniq PHEV pula hanya akan muncul pada tahun 2017.

    Untuk Ioniq Hibrid (seperti dalam gambar), penggeraknya terdiri daripada enjin empat silinder Kappa GDI 1.6 liter petrol yang berkuasa 105 PS dan 147 Nm tork, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar enam kelajuan dan kuasa elektrik tambahan pula datang daripada motor elektrik 43 PS dengan 170 Nm tork.

    Bateri polimer Lithium-ion berkapasiti 1.56 kWh yang digunakan untuk menggerakkan motor elektrik pada kenderaan ini terletak di bawah tempat duduk belakang dan keseluruhan kuasa yang boleh dikeluarkan adalah berjumlah 141 PS dan 265 Nm tork. Hyundai berjaya mencapai tahap kecekapan haba sebanyak 40 peratus – hampir sama dengan Prius.

    Hyundai Ioniq hibrid di Malaysia dilihat mengenakan lencana ‘K’ dan ia mungkin menandakan kenderaan ini akan dipasang di dalam Malaysia oleh Hyundai-Sime Darby Motors, yang mempunyai kilang di Kulim, Kedah. Adakah anda berminat untuk mendapatkan kenderaan hibrid ini dengan harga istimewa klasifikasi EEV apabila ia dipasarkan di Malaysia nanti?

    Galeri: Hyundai Ioniq hibrid dipamerkan semasa My Auto Fest 2016

     
     
  • Pemilik setia Proton Saga 1.3S ’85 menang Saga 2016

    proton-search-winner-1

    Apa perasaan anda sekiranya kereta baharu yang dibeli lebih 30 tahun lalu, masih dirai pengeluarnya hari ini? Inilah yang dilakukan Proton untuk menghargai pemilik setia kereta jenamanya menerusi pertandingan Proton Search 2016 yang bermula pada bulan Mac hingga 8 Jun 2016 lalu.

    Dalam tempoh 13 minggu berkenaan, sebanyak 866 penyertaan diterima dari pemilik Proton pelbagai model dari awal penubuhan jenama berkenaan hingga model tahun 2012. Hari ini, Proton mengumumkan 11 finalis termasuk seorang pemenang hadiah utama – yang kesemuanya pemilik Proton Saga generasi pertama keluaran tahun 1985 hingga 1986.

    Pemenang untuk pertandingan ini dipilih bukan diukur hanya dengan keadaan kereta dan tempoh pemilikannya. Pihak juri turut mengambil kira berkenaan aspek teknikal serta cerita dan kenangan yang menyentuh perasaan disebalik kereta berkenaan menerusi karangan mahupun video pendek yang dihantar oleh peserta.

    proton-search-winner-7

    Hadiah utama yang merupakan Proton Saga 1.3L CVT Premium dibawa pulang oleh Encik Mohd Isa bin Ibrahim Shah, seorang pesara RISDA yang kini berumur 85 tahun. Encik Isa sering melakukan kerja-kerja amal bersama orang asli di kawasan pendalaman. Sehingga ke hari ini Proton Saga 1.3S keluaran tahun 1985 dengan enjin Orion asal miliknya berkenaan masih lagi menjadi peneman setia bersama isterinya setiap kali berkunjung ke penempatan orang asli.

    Walaupun sudah berusia lebih 31 tahun, Proton Saga berwarna biru milik Encik Isa ini masih lagi mengekalkan warna asalnya yang berkilau, dengan kadar kerosakan dan karat pada badan yang sangat minima. Enjinnya masih gagah untuk meredah kawasan pedalaman dengan meter perbatuan menunjukkan angka melebihi 500,000 km.

    Selain dari kereta baharu tersebut, Encik Isa turut menerima perkhidmatan membaik pulih Saga 1985 beliau bernilai RM5,000. Sepuluh lagi finalis lain turut menerima pakej baik pulih kereta masing-masing dengan nilai yang sama berserta wang tunai RM1,000 setiap seorang sebagai hadiah sagu hati.

    Menurut Proton, pertandingan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Pelanggan Diutamakan’ dalam menyediakan perkhidmatan dan pengalaman yang lebih baik kepada pemilik Proton. Peraduan ini juga dilihat sebagai satu cara untuk pengeluar automotif nasional itu menunjukkan komitmennya bagi membina dan mengekalkan hubungan dengan pelanggan serta memberi ganjaran kepada pelanggan yang setia.

    “Kami amat terharu dengan penyertaan yang sangat menggalakkan dari para pelanggan setia kami. Ianya juga sesuatu yang sangat menggembirakan kami apabila mendapati banyak lagi Proton Saga tahun 1985 yang masih dipandu di atas jalan raya. Ini jelas menunjukkan yang kereta Proton benar-benar kukuh dan telah banyak memainkan peranan dalam memperkayakan kehidupan seharian pemilik-pemilik ini dengan pelbagai kenangan dan detik-detik yang tidak boleh dilupakan bersama kereta-kereta mereka,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    GALERI: Proton Saga 1.3S 1985 milik Encik Mohd Isa bin Ibrahim Shah – Pemenang Proton Search 2016

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026