Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kawasaki Ninja H2 Carbon 2017 – terhad 120 unit

    ninja-h2-carbon-rf-e1475575347799bm

    Motosikal keluaran Kawasaki yang mencetuskan fenomena iaitu H2 kini mempunyai satu lagi tambahan varian bagi tahun 2017 – H2 Carbon. Model ini adalah edisi terhad sebanyak 120 unit sahaja dan ia menggunakan panel badan atas bahagian hadapan (upper fairing cowl) yang diperbuat daripada gentian karbon polimer diperkuat (CFRP) dan mempunyai kemasan cat seperti H2R, tetapi tidak berkilat (matte).

    Ini seterusnya meletakkan H2 Carbon di antara H2 biasa dan H2R (untuk kegunaan litar sahaja), tetapi masih boleh didaftar untuk kegunaan di atas jalan biasa.

    H2 Carbon juga menerima peningkatan lain yang dilakukan pada kesemua varian H2 bagi pasaran 2017 – paling utama adalah suspensi belakang Ohlins berserta reservoir bagi memberikan pengendalian yang lebih baik. Pada unit penyerap hentakan ini, terdapat 22 tahap pelarasan lantunan dan tekanan, dan ia dipadankan bersama penyambung (linkage) yang direka semula.

    Seterusnya, penunggang juga boleh mengetahui sudut kecondongan semasa mengambil selekoh apabila Kawasaki melengkapkan motosikal berenjin supercas ini dengan ‘bank angle display’. Ia juga mampu menyimpan rekod berapa sudut maksimum yang pernah dicapai.

    Selain itu, Kawasaki H2 2017 turut diperlengkap dengan unit pengira inertia (IMU) daripada Bosch, sama seperti ZX-10R dan sekaligus memberikan ia kebolehan sistem ABS semasa motosikal condong membelok.

    Enjin barisan H2 2017 tidak diusik dan masih sama seperti sebelumnya – 998cc, empat silinder sebaris dengan unit supercas tetapi diberi peningkatan pada bahagian penukar gear, di mana quickshifter padanya dilengkapi dengan ciri auto-blip semasa menurunkan gear. Bahagian ekzos juga diberi sedikit perubahan supaya ia dapat mematuhi tahap Euro 4.

     
     
  • Perodua jalankan kempen promosi hujung tahun ‘Jom Beli’; Myvi jimat sehingga RM4.2k, Alza sehingga RM2k

    perodua-october-promo

    Sepanjang bulan Oktober ini, Perodua turut tidak ketinggalan mengadakan kempen promosi bagi dua modelnya, iaitu Myvi dan Alza. Kempen promosi hujung tahun ‘Jom Beli’ ini melibatkan penjimatan sehingga RM4,200 bagi Myvi, manakala penjimatan sebanyak RM2,000 bagi Alza.

    Namun begitu, ia hanya ditawarkan bagi varian terpilih sahaja, dengan kadar yang berbeza antara satu dengan yang lain. Bagi Perodua Alza, hanya satu varian sahaja yang terlibat, iaitu Alza AT Standard yang membolehkan pembeli menerima penjimatan RM2,000.

    Sementara itu, bagi Myvi, tiga variannya sah bagi tawaran yang dijalankan ini. Kepada pembeli yang memilih Myvi Advance, mereka akan jimat sehingga RM2,200. Myvi SE (MT) pula akan memberikan penjimatan RM3,820 sementara varian yang paling banyak menawarkan penjimatan ialah Myvi SE (AT) dengan RM4,200.

    Promosi ini sah sehingga 31 Oktober 2016.

     
     
  • Renault Megane RS generasi berikutnya kekal dengan pacuan roda hadapan dan kotak gear manual?

    megane-rs-4th-gen-spied-3-1_bm

    Khabar terbaharu berkenaan Renault Megane RS generasi berikutnya yang kami terima, jentera berkenaan bakal diberikan ‘resipi kejayaan’ yang sama seperti model sebelum ini iaitu dengan suapan turbo, digandingkan dengan kotak gear manual memacu roda hadapan. Berita ini sama sekali berlawanan dengan berita sebelum ini yang menyatakan hothatch berkenaan akan diberikan sistem pacuan semua roda.

    Walau bagaimanapun, Megane RS generasi baharu berkenaan menggunakan sistem stereng empat roda 4Control dan ia mungkin ditawarkan sebagai opsyen untuk model berprestasi tinggi ini.

    Penggunaan semula kotak gear manual untuk Megane RS generasi seterusnya ini adalah kerana maklum balas yang diberikan oleh pelanggan Clio RS terkini yang menangguhkan pembelian mereka kerana ketiadaan kotak gear manual. Pembeli Megane RS generasi berikutnya ini bakal diberikan pilihan sama ada untuk menggunakan transmisi manual atau transmisi klac-berkembar automatik.

    Untuk transmisi manual, ia akan hadir dengan ciri ‘rev-match‘ seperti sistem yang dibekalkan pada transmisi manual Nissan Fairlady 370Z, yang membolehkan anda menurunkan gear dengan lancar walaupun tanpa kemahiran ‘heel and toe‘ di mana blip pada pedal pendikit akan dilakukan oleh komputer.

    megane-rs-4th-gen-spied-8_bm

    Dilaporkan juga, jurutera Renaultsport telah pun menjumpai kaedah untuk membuatkan model dengan transmisi manual ini memecut lebih pantas dalam pecutan 0-100 km/j berbanding model transmisi klac berkembar yang turut dibekalkan dengan sistem launch control. Kaedah tersebut dikatakan ada kaitan dengan berat yang lebih ringan pada kotak gear manual berbanding transmisi klac berkembar. Untuk transmisi klac berkembar pula, ia mempunyai kelebihan ketika merekodkan lap terpantas di litar.

    Berat keseluruhan juga menjadi isu kerana bukan sahaja dimensi Megane generasi baharu ini lebih besar dari sebelum ini, ia juga hanya ditawarkan dengan bentuk badan lima-pintu, berbanding model terdahulu yang hanya menampilkan bentuk badan tiga-pintu. Sistem stereng empat roda 4Control juga dikatakan akan menambah berat sebanyak 40 kg, walau bagaimanapun, jurutera Renault mengatakan lebihan berat pada sistem ini akan ditampung dengan kelebihan pengendalian yang diberikan oleh sistem berkenaan.

    Jurutera Renaultsport juga tidak mensasarkan jumlah kuasa yang sangat tinggi untuk model ini di mana mereka lebih menumpukan terhadap aspek “prestasi sebenar”, khasnya pada aspek nisbah kuasa-kepada-berat serta penghantaran tork. Ia akan dijana oleh enjin turbo 2.0 liter, dibina berasaskan enjin turbo F4R pada model sedia ada dan dijangka menghasilkan kuasa standard sekitar 300 hp.

    Renault Megane RS generasi keempat ini dijangka akan membuat penampilan sulung pada Frankfurt Motor Show tahun hadapan. Nampaknya Volkswagen Golf GTI Clubsport bakal menghadapi saingan getir dalam mempertahankan rekod kereta pacuan roda hadapan terpantas di litar Nurburgring kerana bukan sahaja Renault menerusi model baharu ini mensasarkan untuk memecahkan rekod berkenaan, Honda menerusi model Civic Type-R generasi berikutnya dilihat berikrar untuk melakukan perkara yang sama.

    GALERI: Spyshot Renault Megane RS generasi keempat

     
     
  • Nissan Micra 2017 tunjuk semangat dalam segmen B

    1mdh15274-850x567bm

    Salah satu model yang menarik perhatian semasa di Paris Motorshow adalah Nissan Micra 2017. Sebabnya, sebelum ini Nissan Micra (juga dikenali sebagai March) hanya nampak seperti kenderaan biasa tetapi bagi model baharu yang akan mula dijual di Eropah pada tahun 2017 ini, ia mempunyai gaya lebih sporty dan agresif.

    Konsep rekaannya banyak diwarisi daripada model konsep Sway yang dipamerkan semasa Geneva Motor Show tahun lepas, namun sudah tentu beberapa bahagian tertentu disesuaikan untuk kereta produksi.

    Ramai pengkritik yang mengatakan Micra 2017 mempunyai bahagian yang kelihatan seperti kenderaan pesaing seperti Ford Fiesta dan Peugeot 208 tetapi yang nyata, Nissan mempunyai cara untuk meletakkan identiti sendiri seperti gril hadapan V yang sudah menjadi tanda unik Nissan, tiang tengah yang diwarnakan hitam, dan apabila bersambung dengan cermin belakang menimbulkan visual bumbung seperti terapung dan lampu belakang bentuk boomerang.

    Untuk memacu Micra 2017, Nissan menyediakan tiga pilihan enjin iaitu tiga silinder petrol turbo 900cc (90 hp / 140 Nm), tiga silinder NA petrol 1.0 liter (73 hp / 95 Nm) dan empat silinder diesel 1.5 liter (90 hp / 220 Nm). Semua enjin ini dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan secara standard namun kotak gear CVT turut diberikan sebagai pilihan.

    Selain enjin, Nissan Micra 2017 turut mempunyai kelengkapan teknologi baharu lain iaitu Active Ride Control dan Active Trace Control. Dengan adanya sistem ini, keselesaan di dalam kenderaan dapat dipertingkat, understeer dapat dikurangkan dan pengendalian lebih ‘tajam’.

    Untuk aspek keselamatan dan bantuan pemandu pula, Nissan Micra 2017 dilengkapi Lane Departure Prevention, Intelligent Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki, Intelligent Around View Monitor, Traffic Sign Recognition, High Beam Assist dan Blind Spot Warning..

    2017-nissan-march-12-850x446bm

    Daripada laporan media Amerika Syarikat, Micra 2017 tidak akan memasuki pasaran itu kerana Nissan sudah ada model Versa (dikenali sebagai Almera di Malaysia) dan ia mempunyai kos yang sama, tetapi Versa menawarkan lebih ruang dan lebih kuasa. Walaubagaimanapun, Nissan Micra 2017 nampak lebih menarik dan jika dijual pada harga sama seperti Almera di Malaysia, pastinya akan menarik minat orang ramai, seterusnya memberi cabaran kepada Honda Jazz, Peugeot 208, Renault Captur, Ford Fiesta, Chevrolet Sonic dan banyak lagi kereta di dalam segmennya.

    Untuk menjadikan keadaan lebih menarik, seorang pereka dari Hungary, X-Tomi Design telah mereka lukisan komputer bagi Nissan Micra 2017 versi Nismo. Lukisan digital ini dihasilkan berdasarkan rupa asas March 2017 dan identiti Nismo. Macam mana? Cukup menarik?

    Nissan Micra 2017 tunjuk semangat dalam segmen B

     
     
  • Proton akan hasilkan produk yang lebih berkualiti dan lebih kompetitif dengan kerjasama asing – Menteri

    protonsaga_bm_premium_ext-1

    Kerjasama Proton dengan rakan kongi dari luar akan membolehkan pengeluar automotif nasional berkenaan menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan membolehkan ia lebih berdaya saing dalam pasaran, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan dalam laporan oleh Bernama.

    Tambah beliau, kerjasama tersebut akan menyokong pembiayaan penyelidikan dan pembangunan Proton. “Jika kita bekerjasama dengan syarikat besar atau negara besar, kualiti kereta kita akan menjadi kompetitif dengan bantuan jenama antarabangsa lain,” katanya kepada pemberita.

    Bagaimanapun, Ong menambah, keputusan itu terletak kepada Proton yang kini dimiliki DRB-Hicom Bhd dan kerajaan tidak akan campur tangan dalam jualan kepentingannya. Semasa pelancaran Proton Saga 2016 minggu lalu, DRB-Hicom mendedahkan mereka telah menyenarai pendek lima cadangan daripada syarikat asing yang mahu membeli kepentingan di dalam Proton.

    CEO DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, terdapat tiga kategori utama yang akan diambil kira dalam membuat memilih rakan kongsi iaitu strategik, operasi serta budaya dan perjanjian mengenainya dijangka akan dibuat pada suku pertama 2017.

     
     
  • Isuzu MU-X dibina sebagai ‘Monster’ buat pertama kali untuk cabaran 4×4 ‘hardcore’ Borneo Safari 2016

    the-isuzu-mu-x-monster-is-set-for-its-debut-in-borneo-safari-2016_2-2

    Untuk cabaran 4×4 yang diklasifikasikan sebagai hardcoreBorneo Safari International Offroad Challenge – di Sabah edisi-edisi sebelum ini bermula dari tahun 2005, Isuzu sebagai penaja utama (kali ini sudah masuk tahun ke-10 berturut-turut) akan menyediakan kenderaan 4×4 yang diubahsuai digelar ‘Monster’ untuk digunakan oleh Pasukan Media Isuzu bagi menempuh cabaran yang diberikan pihak penganjur.

    Berbeza dengan cabaran-cabaran sebelum ini di mana Monster dibina berasaskan trak pikap D-Max, buat pertama kali Isuzu turut menyediakan SUV tujuh-tempat duduk MU-X yang dijelmakan sebagai Monster bagi mengharungi cabaran Borneo Safari edisi ke-26 yang diadakan bermula 30 Oktober hingga 6 November tahun ini.

    Tiga lagi Monster D-MAX akan menyertai MU-X berkenaan dalam cabaran 4×4 yang bakal berlangsung di sekitar kaki Gunung Kinabalu dan akan merentasi daerah-daerah sekitar Ranau dan Kota Marudu. Laluan berkenaan adalah termasuk 40 km laluan hardore yang terdiri daripada laluan pembalakan yang telah ditinggalkan serta beberapa lintasan sungai.

    Bagi memastikan MU-X mampu untuk melepasi semua halangan pada Borneo Safari 2016, berberapa ubahsuai dilakukan pihak Isuzu termasuk roda dengan offset yang lebih terkeluar dari badan, tayar untuk permukaan ekstrim, bampar hadapan keluli untuk perlindungan dan sudut approach yang lebih baik, kelengkapan winching, unit snorkel bagi membolehkan ia menyelam semasa menyeberangi sungai tanpa masalah serta pelindung logam untuk bampar belakang.

    the-isuzu-mu-x-monster-is-set-for-its-debut-in-borneo-safari-2016-2

    Monster MU-X masih lagi dijana oleh enjin 4JK1-TCX empat-silinder diesel 2.5 liter VGS Turbo Intercooler tanpa apa-apa ubahsuai berkuasa 136 PS dan tork 320Nm bermula 1,800 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lima-kelajuan dengan sequential shift.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah Faez A Nordin mengucapkan terima kasih kepada Isuzu kerana menjadi Penaja Berlian untuk Borneo Safari 2016. “Kami berterima kasih kepada pihak Isuzu kerana telah memberikan sokongan kepada acara untuk tahun ke-10 berturut-turut. Sokongan tidak berbelah bahagi mereka terhadap acara ini merupakan antara sebab utama mengapa kami dapat mengembangkan acara berkenaan sehingga ke tahap ini. Kami mempunyai 400 kenderaan yang mengambil bahagian tahun ini, iaitu penyertaan tertinggi yang dicatatkan dalam sejarah Borneo Safari. Dan angka ini bertambah setiap tahun!” kata beliau.

    Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn Bhd Hajime Machimura pula menzahirkan keyakinannya terhadap kebolehan Isuzu MU-X untuk melepasi segala permukaan di laluan dan cuaca mencabar sepanjang Borneo Safari 2016. “Walaupun ianya merupakan SUV gaya hidup, Isuzu MU-X berkongsi DNA yang teguh sama seperti trak pikap Isuzu D-Max kami, yang mana ia terus membuktikan kebolehannya dalam setiap edisi Borneo Safari sejak ia menyertainya buat pertama kali pada 2005. Ia semestinya sudah ditetapkan untuk memberikan lebih lagi,” kata beliau.

     
     
  • VIDEO: Ford tunjuk kepentingan pelekat ‘camouflage’

    Industri automotif adalah sangat kompetitif dan apabila membangunkan sesebuah model baharu, pengeluar tidak mahu orang ramai serta paling penting, saingannya melihat produk mereka. Walaubagaimanapun, ini adalah agak sukar kerana kereta baharu yang belum dilancarkan tersebut masih perlu untuk diuji dalam suasana sebenar.

    Ditambah pula hampir semua orang memiliki telefon pintar yang boleh mengambil gambar, rahsia mereka sukar disimpan. Bahagian dalam mungkin sukar dilihat oleh orang awam tetapi, rekaan luar juga memainkan peranan penting untuk membezakan kelebihan sesebuah produk.

    Penyelesaian standard adalah mengenakan pelekat samar atau ‘camouflage’ pada kenderaan tersebut apabila ia melakukan ujian di jalan biasa. Pelekat ini mempunyai rekaan yang mengelirukan dan tujuannya adalah menyembunyikan garisan-garisan badan dan rekaan luar kenderaan tersebut.

    Ford Europe telah mengeluarkan video pendek ini tentang bagaimana mereka menghasilkan rekaan pelekat camouflage terbaharu yang akan digunakan pada kenderaan ujian syarikat itu, serta kelebihannya.

     
     
  • Toyota – Daihatsu wujudkan syarikat dalaman untuk bina kenderaan kompak bagi pasaran penting baharu

    toyota-and-daihatsu-logo

    Toyota Motor Corporation dan subsidiari penuhnya Daihatsu Motor Co., Ltd merancang untuk mewujudkan sebuah syarikat dalaman baharu yang akan bertanggungjawab keatas kereta kompak untuk pasaran baharu yang penting, dari perancangan produk hingga ke proses penyediaan produksi.

    Ini merupakan hasil persefahaman yang dicapai oleh kedua-dua syarikat berkenaan peranan masing-masing dalam memperkasakan operasi kenderaan kompak mereka di pasaran baharu yang penting, bagi membantu mereka mencapai matlamat bersama untuk mencapai pertumbuhan yang mampan.

    Syarikat dalaman berkenaan akan beroperasi pada Januari 2017 dengan objektif utamanya untuk membangunkan kenderaan kompak yang kompetitif berdasarkan pendekatan Daihatsu yang memproduksi produk mampu milik dan berkualiti tinggi untuk pasaran baharu penting, di mana potensi untuk pertumbuhan dalam pasaran tersebut di lihat tinggi tetapi saingan kini dilihat lebih sengit.

    Dalam syarikat baharu berkenaan, Daihatsu berperanan untuk melakukan pembangunan bersepadu, perolehan dan penyediaan pengeluaran bagi kenderaan kompak untuk pasaran tersebut berdasarkan platform baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Toyota pula akan memberikan sokongan terhadap usaha ini dengan membekalkan pengetahuan dan pelbagai sumber.

    Kedua-dua syarikat berkenaan akan berkongsi produk dan rancangan perniagaan yang sama serta meletakkan pengkalan pengeluaran sedia ada masing-masing untuk digunakan secara efektif bagi kedua-dua pihak.

    Daihatsu dijangka akan mengetuai syarikat dalaman baharu ini, yang akan menghubungkan kawasan antara Daihatsu dan Toyota. Oleh itu, syarikat dalaman baharu ini akan diletakkan berasingan dari pihak yang dipanggil sebagai “syarikat” dari sistem produk yang dibina sendiri oleh Toyota – diperkenalkan untuk inovasi dalam proses kerja mereka pada April 2016.

    Semasa menerangkan faedah untuk Toyota dalam inisiatif ini, Timbalan Presiden Eksekutif Toyota Shigeki Terashi berkata, “Dengan kewujudan syarikat dalaman ini, Toyota mahu untuk belajar asas-asas Daihatsu yang kompetitif dan mengubah cara kami berkerja.”

    Presiden Daihatsu Masanori Mitsui pula memberikan komen, “Kami akan memperkembangkan lagi pengetahuan yang kami perolehi sebelum ini dalam memproduksi kenderaan mini dan sebagai penggerak dalam Kumpulan Toyota, bukan sahaja untuk kenderaan mini, malah untuk kenderaan kompak bagi pasaran baharu yang penting. Untuk Daihatsu, inisiatif ini melambangkan peluang yang penting bagi pertumbuhan yang sangat besar dan mampan. Selain itu, kedua-dua syarikat hari ini telah mengesahkan Daihatsu akan terus mengetuai pembangunan untuk jenama Daihatsu.”

    Toyota dan Daihatsu akan menggunakan seluruh kekuatan yang telah mereka perolehi sebelum ini dan akan mengimplemantasi strategi “pemilihan dan konsentrasi” untuk memantapkan pembuatan kereta yang lebih baik secara global.

     
     
  • Tork T6X motosikal elektrik India pertama – 26 Nm tork

    t6x-12-min

    Pengeluar motosikal dari India, Tork Motorcycles telah mengeluarkan model terbaharu mereka dan ia adalah sebuah motosikal elektrik sepenuhnya yang mampu menghasilkan 26 Nm tork. Ia adalah motosikal elektrik produksi pertama yang dikeluarkan oleh Tork Motorcycles dan juga dari India sendiri.

    Membawa nama Tork T6X, motosikal ini boleh bergerak sehingga 100 km dengan sekali cas penuh dan bateri lithium-ion yang digunakan boleh dicas sehingga tahap 80 peratus dalam masa satu jam sahaja.

    Menjadikannya lebih pintar, Tork T6X dilengkapi dengan sistem TIROS yang membolehkan penunggang menukar mod penyampaian kuasa sama ada sport ataupun santai. Turut dipasang pada Tork T6X adalah skrin sesentuh 4.3 inci yang memaparkan pelbagai informasi termasuk navigasi, ruang yang mencukupi di bawah tangki untuk menyimpan helmet, brek ABS dan sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi khas.

    Tork T6X mempunyai berat 130 kg dan akan mula dijual di Pune, Bangalore dan Delhi terlebih dahulu, pada harga Rs 1.25 lakh (RM9,296). Tork juga telah menyediakan enam tempat mengecas di Pune dan meletakkan sasaran menjadikannya 100 menjelang Disember 2016.

     
     
  • Perodua umum taja Nabil Jeffri, bintang muda sukan perlumbaan negara – sasar layak sertai F1 pada 2018

    nabil-jeffri-arden-sepang2016-bm-0248

    Perodua mengumumkan penajaan bagi bintang lumba muda negara yang semakin meningkat naik, Muhammad Nabil Jan Al Jeffri atau lebih dikenali sebagai Nabil Jeffri yang ketika ini bersaing di dalam perlumbaan Siri GP2 2016. Siri berkenaan merupakan batu loncatan bagi kebanyakan pelumba sebelum layak bersaing di dalam Formula One.

    Nabil, 22, memulakan “perjalanannya” melalui sukan go-kart apabila muncul juara di dalam Kejuaraan Kart Terbuka Asean 2004 pada usia 10 tahun sebelum pada 2009 pula mengungguli Malaysian Rotax Max Junior. Beliau kemudiannya menyertai Formula BMW Pacific pada 2010, berlumba untuk Eurasia Motorsport.

    Pada 1 September 2010, Nabil menjalani ujian aerodinamik bagi pasukan Lotus Racing Formula One, memandu Lotus T127 di lapangan udara Muzium Perang Imperial Duxford. Beliau menjadi pemandu ujian termuda dalam sejarah F1. Dengan pencapaian membanggakan itu, Nabil dinobat sebagai Ikon Belia Negara 2010. Beliau juga menjadi warga Malaysia pertama yang terpilih mengikuti FIA Institute Young Drive Excellence Academy.

    Dengan prestasi meyakinkan hampir 14 tahun penglibatannya di dalam program pembangunan sukan permotoran, Nabil mensasarkan untuk berlumba di dalam Formula One pada 2018. “Kami melihat ada persamaan antara Nabil dan Perodua; kedua-duanya bermula dari bawah dan berusaha untuk sampai ke peringkat global dengan cara yang tersendiri,” ujar Pengarah Urusan, Perodua Sales Sdn Bhd, Dr. Zahari Husin.

     
     
  • Toyota Vios 2016 kini dilancarkan – Dual VVT-i, CVT, EEV, VSC semua varian, dari RM76,500-RM96,400

    toyota_vios_trd_ext-4

    Setelah tiga tahun dalam pasaran, kini Toyota Vios generasi ketiga versi dipertingkat kini dilancarkan secara rasmi hari ini. Rupa luaran dan dalaman model versi kemaskini ini kelihatan hampir serupa dengan model sebelum ini tetapi sedan segmen-B ini kini diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan dilengkapi pelbagai ciri utama terkini yang dipertingkat bagi membolehkan ia setanding dan lebih kompetitif berbanding saingannya dalam kelas yang sama seperti Honda City, Nissan Almera, serta Proton Persona 2016.

    Harga untuk model baharu ini dilihat sedikit murah berbanding model sebelumnya. Varian asas 1.5J manual dijual pada harga RM76,500 dan RM79,500 untuk 1.5J automatik. Sama seperti sebelum ini, varian lebih tinggi hanya ditawarkan dengan transmisi automatik dengan varian 1.5E dijual pada harga RM83,900, 1.5G berharga RM89,800 dan varian tertinggi TRD Sportivo berharga RM96,400. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk insuran serta perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

    Secara keseluruhan, Vios baharu ini adalah RM1,480 dan RM3,680 lebih murah dari sebelum ini, walaupun awal tahun ini UMW Toyota telah mengumumkan kenaikan harga bagi semua modelnya. Varian baharu juga telah ditambah dalam barisan model iaitu 1.5 GX yang diletakkan di bawah varian G, dijual pada harga RM92,800.

    Model baharu ini dijana oleh enjin empat silinder 2NRFE 1.5 liter Dual VVT-i menggantikan enjin 1NZ-FE VVT-i sebelum ini. Berbeza dari 1NZ-FE yang dilengkapi sistem VVT-i hanya pada injap kemasukan, enjin 2NR-FE berkenaan dilengkapi sistem pemasaan injap bervariasi pada injap kemasukan dan injap ekzos. Selain itu, pembakaran pada kebuk kini lebih sempurna di mana bahagian tepi (squish) ruang pembakaran omboh kini direka tirus dan pembakaran dicucuh menggunakan palam pencucuh jenis iridium.

    toyota_vios_trd_ext-26

    Geseran dalam enjin juga dikurangkan dengan penggunaan pelbagai ciri baharu, antaranya lengan jumpelang yang dilengkapi galas pengguling (roller rocker arm), pemancut minyak pelincir omboh yang dipertingkat serta bahagian sisi omboh (piston skirt) yang disalut dengan resin. Penutup kepala enjin baharu ini juga direka agar dapat menebat lebih banyak bunyi dari enjin bagi mendapatkan aspek NVH yang lebih baik.

    Enjin 2NR-FE ini sebenarnya mempunyai kuasa kurang daripada enjin 1NR-FE iaitu 107 PS pada takat 6,000 rpm (-2 PS) dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm (-1 Nm). Walau bagaimanapun, dengan teknologi baharu yang dipadankan dan kotak gear empat kelajuan automatik telah digantikan dengan kotak gear CVT disertakan mod tujuh-kelajuan maya, membolehkan ia mencapai penjimatan bahan api 18% lebih baik berbanding model sebelum ini. Tiada perubahan pada kotak gear lima-kelajuan manual untuk model 1.5J.

    Ciri sampingan lain kebanyakkan adalah sama seperti model sedia ada. Bahagian luaran varian 1.5J didatangkan standard dengan lampu hadapan reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, visor pintu, roda aloi 15-inci dan juga lampu kabus belakang. Bahagian dalaman, varian asas ini turut dilengkapi sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pemain utama audio 2-DIN dengan hubungan Bluetooth, empat pembesar suara dan lampu pada ruang kaki.

    Varian E turut akan menerima lampu kabus hadapan, cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat membelok, tempat duduk belakang boleh-lipat dengan nisbah 60:40 serta perehat tangan belakang dengan pemegang cawan. Ciri baharu untuk model 2016 adalah sistem infotaimen DVD-AVX dengan skrin sesentuh 6.8-inci bersama kamera undur.

    Varian 1.5G pula menerima lampu hadapan projektor, cermin hadapan akustik, gril hadapan dan kemasan nombor pendaftaran belakang bersalut krom, upholsteri kulit berwarna hitam, paparan pelbagai info, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit serta enam pembesar suara.

    Untuk varian baharu 1.5GX pula, ia dilengkapi dengan kit badan baharu, lampu hadapan projektor ‘smoked‘, gril hadapan krom gelap, roda aloi dua-ton, serta balutan kulit gabungan warna hitam dan perang pada tempat duduk.

    Model TRD Sportivo pula menerima kit badan dan roda aloi baharu – berbeza yang terdapat pada model GX. Filem Penapis Haba dan Keselamatan Premium Toyota juga didatangkan standard untuk model ini (opsyenal untuk varian lain). Pada bahagian dalaman, TRD Sportivo menerima kemasan hitam, tempat duduk kulit hitam dengan jahitan benang merah serta grafik pada kluster instrumen yang lebih sporty.

    Vios 2016 turut menerima peningkatan dari segi sistem keselamatan di mana kesemua varian kini dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) disamping sistem ABS dengan EBD dan BA serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada bahagian belakang. Walau bagaimanapun, semua varian masih kekal dengan dua beg udara.


    Varian baharu 1.5GX

    Pelbagai ciri opsyen juga ditawarkan untuk Vios, sama seperti sebelumnya termasuk sistem DVD-AVX dengan kamera bagi varian J (RM3,169), sistem navigasi DVD-AVN dengan skrin sesentuh kapasitif tujuh-inci (RM2,109) dan naik taraf kepada sistem DVD-AVN untuk model yang dilengkapi dengan DVD-AVX (RM2,014).

    Opsyen lain yang ditawarkan termasuk kit aero GX (RM2,332) dan pilihan sama ada Filem Penapis Haba Toyota Essential (RM1,166) atau Filem Penapis Haba dan Keselamatan Premium Toyota (RM2,109) untuk cermin pada varian J dan E. Perakam Video Digital juga ditawarkan dengan harga tambahan RM636.

    Tiga warna tambahan disediakan untuk dipilih dalam brosur Vios 2016 iaitu Crimson Spark Red Metallic, Super White II dan White Pearl CS (hanya ditawarkan untuk TRD Sportivo), bersama warna sedia ada iaitu Silver Metallic, Medium Silver Metalic dan Attitude Black Mica.

    Untuk makluman, Vios 2016 ini dilancarkan serentak dengan sesi uji pandu media dan ulasan berkenaan prestasi Vios versi dipertingkat ini akan kami bawakan dalam masa terdekat. Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan lebih maklumat berkenaan pembelian, anda boleh lawati laman Carbase.my.

    GALERI: Toyota Vios TRD Sportivo 2016

    GALERI: Toyota Vios GX 2016

     
     
  • VIDEO: Proton Saga 2016 – NVH rendah, lebih senyap

    Selepas pelancarannya minggu lalu, Proton kini mengeluarkan pula video model Saga 2016 ketika ia menjalani kerja-kerja pembangunan bagi NVH (noise, vibration dan harshness). Video ini memaparkan bagaimana usaha untuk mendapatkan suasana kabin yang lebih senyap dan selesa dilakukan; untuk menampan bunyi sama ada dari luar mahupun yang terhasil secara mekanikal.

    Secara ringkas, Proton Saga 2016 hanya ditawarkan dengan enjin 1.3 liter VVT dengan kuasa 94 hp pada 5,750 rpm dan tork sebanyak 120 Nm pada 4,000 rpm. Harganya pula bermula dari RM36,800 bagi varian Standard Manual manakala RM39,800 bagi Standard CVT. Varian Executive CVT pula dijual pada harga RM42,800 dan yang terakhir, barian Premium CVT pada harga RM45,800.

    Tonton juga video ringkas kami tentang lapan perkara menarik yang perlu anda tahu berkaitan Proton Saga 2016 ini. Untuk maklumat spesifikasi yang lebih terperinci bagi setiap varian, layari juga laman Carbase.my.

    GALERI: Proton Saga 1.3L Premium CVT 2016

     
     
  • Toyota anjur peraduan beli Hilux dapat Sienta; terbuka bagi pendaftaran persendirian – hingga 31 Disember

    2016-toyota-hilux-2-8g-bm-25

    Bermula sekarang dan akan berakhir 31 Disember nanti, UMW Toyota Motor Sdn Bhd menganjurkan peraduan “Toyota Hilux Buy & Win”. Peraduan ini terbuka kepada semua pembeli persendirian yang ingin mendapatkan Toyota Hilux dan dalam masa yang sama berpeluang memenangi hadiah utamanya; sebuah Toyota Sienta 1.5V.

    Apa yang perlu dilakukan oleh pelanggan ialah membeli model Hilux dalam tempoh berkenaan dan mereka akan layak secara automatik untuk menyertai peraduan ini. Selain Sienta yang bernilai RM99,900 menjadi hadiah utama peraduan ini, tiga lagi pelanggan turut berpeluang memenangi hadiah saguhati berupa percutian ke Tokyo dengan semua perbelanjaan ditanggung untuk lima hari empat malam bagi dua orang.

    Sebagai tambahan pula, setiap pelanggan yang memandu uji model Hilux turut akan layak menerima cenderamata Toyota secara percuma (bergantung kepada stok, selagi masih ada). Selain daripada itu, Toyota turut menawarkan rebat tunai sebanyak RM4,000 kepada mereka yang membeli model Hilux, hanya dalam tempoh terhad.

    leaflet-hilux-buy-win-bm

    Promosi ini ditawarkan disemua bilik pameran pengedar sah dan cawangan Toyota seluruh negara, tetapi hanya bagi pembeli yang mendaftarkan kenderaan mereka untuk kegunaan persendirian sahaja. Toyota Hilux terkini dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Mei lalu dan ditawarkan dalam dua pilihan enjin diesel; 2.8 liter atau 2.4 liter, dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik.

    Bagi satu-satunya varian single cab iaitu 2.4 4×4 manual, ia ditawarkan pada harga RM89,900. Manakala bagi varian double cab iaitu bermula 2.4 4×2 manual, berharga RN91,900, diikuti dengan 2.4 Standard 4×4 manual pada RM99,900. Varian 2.4G 4×4 manual berharga RM109,900, manakala 2.4G 4×4 automatik pula RM121,900. Bagi varian spesifikasi tertinggi iaitu 2.8G 4×4 automatik, ia ditawarkan pada harga RM133,900. Semua harga adalah harga atas jalan dengan insurans.

     
     
  • Nombor pendaftaran “GT” kini ditawarkan di Malaysia

    screen-shot-2016-10-01-at-10-01-08-pm

    Nampaknya tahun ini rakyat Malaysia diberikan pelbagai pilihan nombor pendaftaran yang menarik. Selepas nombor pendaftaran Putrajaya ditukar dengan abjad permulaan “F” , Kuala Lumpur ditukar dengan abjad “V”, serta nombor pendaftaran istimewa “VIP” yang ditawarkan sempena Tahun Melawat Pahang, kini satu lagi plat pendaftaran istimewa dengan abjad “GT” ditawarkan oleh Kelab Ekslporasi 7 Benua Malaysia (KE7B).

    KE7B merupakan badan yang sama sebelum ini menawarkan nombor pendaftaran G1M (Gagasan 1 Malaysia) yang dijual bagi mendapatkan dana untuk eksplorasi ke Gunung Everest.

    Seperti biasa, nombor pendaftaran istimewa ini ditawarkan sebanyak 9,999 nombor untuk dipilih, dengan harga rizab minima untuk nombor biasa bermula dari RM1,000 hingga RM200,000 untuk “GT1”. Tender untuk nombor pendaftaran istimewa baharu ini telah pun dibuka pada 1 Oktober lalu.

    Jika anda berjaya dalam tender berkenaan, anda perlu mendaftarkan nombor pendaftaran berkenaan ke kenderaan anda sebelum berakhirnya 2017 di Pejabat JPJ Cawangan Wangsa Maju. KE7B menyatakan, hasil kutipan jualan nombor pendaftaran ini akan digunakan untuk terus menampung kos operasi mereka.

    Nombor pendaftaran baharu istimewa ini pastinya akan menarik minat ramai pemilik kereta berprestasi tinggi dengan lencana GT seperti Mustang GT, GT-R, Continental GT dan banyak lagi.

    Setakat ini, nombor pendaftaran “PATRIOT 1” merupakan nombor pendaftaran istimewa paling mahal pernah dijual di Malaysia dengan harga RM1.308 juta dibeli oleh individu yang tidak mahu dikenali. Manakala untuk nombor pendaftaran biasa yang paling mahal pula ialah nombor “F1” yang dibeli oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj,dengan harga RM836,660, berbanding nombor “W1N” berharga RM748,000 yang turut menjadi milik baginda.

     
     
  • Jelajah Mitsubishi Triton Extra Hardcore beri peluang kepada orang ramai alami kelasakan kenderaan 4×4

    mitsubishi-triton-extra-hardcore-setia-alam-3

    Masih lagi berlangsung sehingga esok (2 Oktober 2016) di tapak letak kenderaan Pusat Konvensyen Setia Alam, kempen jelajah Mitsubishi Triton Extra Hardcore memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai kemampuan kenderaan 4×4 Mitsubishi dari tempat duduk penumpang.

    Satu trak khas diletakkan di tapak acara dan padanya terdapat halangan seperti tanjak memuncak, jalan bertangga, curam sisi dan tanjak tidak rata. Setelah mendaftar secara percuma, peserta akan dibawa menaiki kenderaan termasuk Triton dan Pajero Sport untuk melalui laluan mencabar ini.

    Lebih mengujakan, sesi ‘taxi ride’ bersama atlet sukan permotoran Malaysia, Leona Chin dan juara rali, Kenneth Koh juga dibuka untuk semua dan dalam sesi itu, pemandu profesional ini akan membuat aksi menggelungsur (drift) menggunakan Triton dipertingkat yang baru sahaja diperkenalkan kepada pasaran awal bulan lalu. Kenderaan ini menggunakan enjin MIVEC 2.4 liter VGT turbo diesel berkuasa 181 PS.

    Setelah tamat di Setia Alam ini, jelajah Mitsubishi Triton Extra Hardcore akan singgah pula di Juru Auto City, Pulau Pinang pada 8 dan 9 Oktober, seterusnya di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 15 dan 16 Oktober 2016. Acara ini berlangsung dari jam 10 pagi hingga jam 8 malam manakala sesi ‘taxi ride’ bersama Leona dan Kenneth pula berakhir jam 7 malam.

     
     
  • Harga bahan api bagi Oktober 2016 – petrol RON95 dan RON97 naik 10 sen, diesel naik 5 sen

    Petronas-Primax-97-Euro-4M-002-BM

    Selepas harga bahan api RON95 dan RON97 diumumkan turun sebanyak 5 sen pada bulan lalu, berkuatkuasa 12:01 tengah malam ini, terdapat perubahan pada harganya.

    Bagi bulan Oktober 2016, kedua-dua bahan api tersebut mengalami kenaikan masing-masing sebanyak 10 sen, iaitu RM1.80 seliter bagi RON95 dan RM2.15 seliter untuk RON 97.

    Malah harga bagi diesel juga mengalami kenaikan sebanyak 5 sen, iaitu RM1.75 seliter, berbanding bulan lalu RM1.70 seliter iaitu dua bulan berturut-turut tiada perubahan. Manakala diesel Euro5 juga naik 5 sen iaitu RM1.85 seliter, berbanding RM1.80 seliter pada bulan lalu.

    Pada September 2016, RON95 berharga RM1.70 seliter, RM2.05 bagi RON97 dan RM1.70 untuk diesel.

     
     
  • VIDEO: Mercedes-Maybach 900 dipersiap secara khas

    Mercedes-Maybach yang ditampilkan dalam video ini adalah versi khas yang diubahsuai daripada Mercedes-Maybach S600. Asalnya, enjin 6.0 liter V12 pada kenderaan ini mempunyai kuasa 523 hp – yang mana sebenarnya sudah cukup memuaskan tetapi dipertingkat sehingga kapasitinya menjadi 6.3 liter dan berkuasa 888 hp.

    Antara kelengkapan pada bahagian enjin yang diberi naik taraf adalah custom billet crankshaft, piston diperkuat, rod penyambung diimbang secara tepat, pengecas turbo lebih besar, manifold baharu dan pembalut kalis haba warna emas.

    Bukan setakat pada enjin sahaja, luar dan dalam kenderaan ini turut dipertingkat dengan kemasan yang lebih menggambarkan prestasi serta kemewahan seperti kemasan gentian karbon, kulit Alcantara serta sistem bunyi yang mempunyai kualiti seperti di dalam panggung wayang.

    Sudah tentu, bagi kenderaan yang dijual pada harga €508,000 (RM2.7 juta) di Jerman ini, ia memerlukan peralatan khas untuk memastikan kekemasannya dan dalam video ini anda akan dapat melihat bagaimana SGS Engineering melaksanakan tugas tersebut.

     
     
  • Audi RS3 LMS – Jentera versi perlumbaan sebenar dibina untuk kategori TCR, 2.0 liter TFSI, 330 hp

    audi-rs3-lms-tcr-racecar-05_bm

    Selain dari RS3 sedan versi jalanan, Audi turut memperkenalkan RS3 sedan yang dibina khas untuk tujuan perlumbaan. Audi Sport customer racing telah mendedahkan Audi RS3 LMS yang bakal digunakan di litar-litar lumba pada tahun 2017.

    “Audi telah aktif dalam sukan permotoran pada peringkat tertinggi untuk berberapa generasi. Dengan Audi R8 LMS, Audi Sport Customer Racing, dalam masa yang singkat, mampu untuk membina program sukan bermotor untuk pelanggan bersama komitmen pasukan rasmi dalam WEC dan DTM. R8 LMS telah menjadi pendahulu pasaran dalam segmennya sejak itu. Kami mempunyai rancangan yang sama untuk RS3 LMS, yang menawarkan pelanggan dengan peluang menarik untuk memulakan perlumbaan bersama Audi yang mengujakan,” kata Stephan Winkelmann, Pengarah Urusan di Audi Sport.

    Audi RS3 LMS dibina untuk perlumbaan kategori TCR, yang sebenarnya masih lagi baharu. Untuk tambahan kepada siri TCR antarabangsa, dengan berberapa perlumbaan diadakan sebagai perlumbaan sokongan Formula 1, kini lebih banyak siri perlumbaan touring car nasional TCR diadakan. Perlumbaan-perlumbaan endurance seperti Nurburgring 24 Jam juga kini mempunyai kategori TCR.

    audi-rs3-lms-tcr-racecar-08_bm

    “Pasaran TCR kini mempunyai potensi yang lebih besar berbanding kategori GT3. Pada 2016, sebanyak 10 siri TCR dengan perlumbaan di 18 negara, dan lebih banyak lagi siri akan ditambah. Dengan RS3 versi TCR kami juga turut sampai ke negara yang tiada siri GT3 diadakan,” kata Chris Reinke, ketua Audi Sport customer racing.

    “Kos untuk perlumbaan TCR sangat rendah. Dalam aspek sokongan dan pembekalan komponen, mereka akan mendapat kelebihan atas pengalaman yang kami kumpulkan dengan Audi R8 LMS sejak 2009, di mana pelanggan GT3 kami berpuas hati,” tambah beliau.

    Untuk memenuhi peraturan kategori perlumbaan, jentera perlumbaan sebenar RS3 LMS ini dijana oleh enjin perlumbaan 2.0 liter TFSI berkuasa 330 hp, berbanding versi jalan rayanya yang dijana enjin 2.5 liter lima silinder TFSI berkuasa 400 hp. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat, sedikit perlahan dari RS3 versi jalan raya yang mampu mencatatkan masa hanya 4 saat. RS3 LMS mencatatkan kelajuan maksima 240 km/h.

    Kelengkapan lain yang dilengkapi pada jentera perlumbaan ini termasuk tangki minyak keselamatan yang diluluskan FIA, roll cage, tempat duduk perlumbaan, jaring keselamatan FIA pada kedua-dua belah tempat duduk, dan rescue hatch pada bumbung seperti yang terdapat pada Audi R8 LMS.

    Audi Sport customer racing akan mula menghantar RS3 LMS kepada pelanggan pertamanya Disember ini, sebelum siri perlumbaan besar TCR untuk tahun 2017 bermula. Ia dijual pada harga 129,000 euro (RM599,312) termasuk VAT untuk versi TCR dengan kotak gear perlumbaan enam-kelajuan sequential dan 99,000 euro (RM459,906) untuk versi clubsport.

     
     
  • SsangYong LIV-2 Concept – penyambung generasi Rexton, versi produksi akan diperkenal pada 2017

    ssangyong-liv-2-concept-01-850x486bm

    SsangYong LIV-2 Concept yang dipertonton semasa Paris Motor Show ini mungkin nampak seperti sebuah kereta konsep tetapi sebenarnya sudah hampir bersedia untuk produksi – buang sahaja lampu pameran dan tayar itu, dan bayangkan semua bahagian dalamnya berwarna hitam, ia seperti sudah siap.

    LIV-2 yang membawa maksud Limitless Interface Vehicle-2 adalah sebuah SUV premium bersaiz besar dan merupakan evolusi daripada LIV-1 Concept yang pernah dipertonton semasa Seoul Motor Show tahun 2013. Membawa tema ‘Dignified Motion’ dan falsafah pembangunan ‘Robust, Specialty, Premium’, LIV-2 tampil gagah dan maskulin.

    SsangYong memberitahu kereta produksi akan diperkenalkan pada tahun 2017 dan ia akan menjadi ‘model strategik utama’ untuk syarikat itu, seterusnya memacu pertumbuhan pada masa hadapan. Kenderaan yang menggunakan pacuan 4×4 ini akan menggunakan struktur body-on-frame dan dilengkapi dengan enjin 2.2 liter Euro 6 buatan SsangYong sendiri yang mempunyai tork 420 Nm dari 1,500 rpm hingga 2,500 rpm.

    Enjin ini menggunakan VGT elektronik dan melakukan pengiraan untuk mengurangkan geseran seperti pam minyak boleh ubah dan pek piston ring ketegangan rendah. Pusingan semula gas ekzos pada tekanan rendah dapat mengurangkan pengeluaran NOx semasa di rpm dan beban tork tinggi. Ia akan dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh kelajuan daripada Mercedes-Benz. Turut akan ditawarkan adalah enjin 2.0 liter GDi petrol turbo.

    Konsep rekaan di bahagian kabin adalah seperti ruang rehat eksekutif kontemporari dalam limosin yang dipandu orang lain, dengan banyak ruang untuk bekerja atau beristirehat, dan teknologi komunikasi yang maju. Dua tempat duduk berasingan di belakang dipisahkan dengan konsol tengah. Tempat duduk itu mempunyai fungsi mengurut dan terdapat lampu suasana yang boleh dilaras di bahagian atas. Bagi versi produksi, mungkin tempat duduk yang lebih biasa akan digunakan.

    Sistem komunikasi bersepadu dalam SsangYong LIV-2 Concept datang dengan tiga skrin paparan – 9.2 inci di tengah, dan 10.1 inci di setiap penyandar kepala hadapan. Ia juga dilengkapi dengan WiFi, sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan kualiti hiburan premium. Semuanya boleh dikawal dari konsol tengah di tempat duduk barisan kedua. Masuk ke produksi nanti, mungkinkah model ini akan menggunakan nama Rexton?

     
     
  • Shell lancar edisi terhad Koleksi Kanister Warisan sempena sambutan ulangtahun ke-125 di Malaysia

    image002

    Berita baik untuk pengumpul cenderamata dari Shell, sempena sambutan ulangtahun ke-125 Shell di Malaysia, syarikat petroleum berkenaan telah melancarkan Koleksi Kanister Warisan Shell edisi terhad. Koleksi kanister dengan rekaan menyerupai bentuk-bentuk stesen dan pam minyak Shell dari era 1920 hingga era 1980 berkenaan sudahpun boleh didapati di stesen servis Shell seluruh negara bermula 18 September hingga 31 Oktober 2016.

    “Shell telah memperkasakan Malaysia, serta perjalanan rakyat Malaysia di jalan raya yang tidak terkira. Kami telah menempuh perjalanan yang jauh dan rekaan stesen serta pam kami perlu berubah seiring dengan masa. Kami mahu memberikan pelanggan kami peluang untuk membawa balik sebahagian kecil dari sejarah kami menerusi koleksi edisi terhad ini. Kami harap rekaan berkenaan mampu membangkitkan semula nostalgia, dan memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus maju dalam masa akan datang,” kata Ben Mahmud, Ketua Pemasaran Runcit , Shell Malaysia Trading Sdn Bhd.

    Kanister ini hadir dengan dua saiz iaitu mini dan besar. Pelanggan yang berbelanja dengan jumlah minimum RM40 untuk mana-mana bahan api Shell layak untuk membeli kanister besar pada harga RM12.90 sebuah, yang turut hadir bersama magnet peti sejuk. Untuk pelanggan yang membeli mana-mana barangan di kedai Shell Select bernilai sekurang-kurangnya RM6 atau mana-mana promosi Shell Select, layak untuk membeli kanister mini pada harga RM7.90 sebuah. Rekaan baharu akan diperkenalkan setiap minggu, dan boleh didapati di semua stesen Shell seluruh negara sehingga kehabisan stok.

    Tambahan kepada set kanister berkenaan, kanister dengan rekaan Lori Tangki Minyak Shell Edisi Terhad dan Kit Penjagaan Kereta Helix dengan rekaan kanister seperti minyak enjin Shell vintaj turut diperkenalkan. Pelanggan layak untuk membeli Lori Tangki Minyak Shell dengan harga RM12.90 setelah membeli mana-mana bahan api Shell dengan jumlah minimum RM40. Pelanggan perlu membeli minyak pelincir Shell Helix HX5 3L/4L untuk melayakkan mereka membeli Kit Penjagaan Kereta pada harga RM12.90 sebuah. Manakala dengan pembelian minyak pelincir premium Shell Helix Ultra atau HX7 (4L), pelanggan akan menerima kit berkenaan dengan percuma, sehingga kehabisan stok.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026