Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MRT: PM lancar jajaran Sg. Buloh-Serdang-Putrajaya – kos pembinaan melibatkan RM32 bilion

    mrt_pm

    Pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan majlis pecah tanah bagi projek Mass Rapid Transit (MRT) bagi jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT SSP). Projek bernilai RM32 bilion iaitu lebih RM9 bilion daripada fasa pertama, bakal memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk apabila laluannya siap sepenuhnya menjelang tahun 2022.

    Turut sama hadir ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar serta Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

    Najib berkata, pelancaran projek ini disifatkan sebagai satu sejarah kepada negara dalam usaha melakukan transformasi besar-besaran kepada pengangkutan awam negara terutama di Lembah Klang, laporan Berita Harian.

    “Pelaksanaan projek seumpama itu akan menambahkan lagi kemudahan prasarana baharu kepada rakyat terutama yang tinggal di sekitar ibu negara dan kawasan sekitarnya, di samping memudah dan menambah keselesaan kepada urusan mereka setiap hari.”

    “Di mana selepas projek MRT fasa pertama (jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang) hampir siap setelah lima tahun dalam proses pembinaannya, dan dijangka mula beroperasi pada akhir tahun ini, fasa kedua pula akan memulakan pembinaannya pada pertengahan tahun depan,” ujar beliau kepada pihak media selepas majlis berlangsung.

    Katanya lagi, projek itu akan membolehkan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijadikan lonjakan kepada bandar bertaraf dunia dan meningkatkan tahap pasaran hartanah di kawasan ini.

    “Ini semua demi kemajuan Malaysia untuk masa akan datang. Apa yang diharapkan ketika ini supaya projek ini dapat disiapkan mengikut jadual, dengan kos pembinaannya juga dikawal sebaik mungkin,” katanya.

    mrt_2ndline

    Jajaran SSP ini adalah sepanjang 52.2 km dengan mempunyai 37 stesen serta melibatkan 13.5 km trek bawah tanah.

    Menurut Pengarah komunikasi strategik MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah, jajaran akan bermula di Sungai Buloh, akan melalui Kepong dan Batu serta melalui kawasan pusat bandar menghala ke Sungai Besi, Serdang, Seri Kembangan dan Cyberjaya sebelum berakhir di Putrajaya Sentral.

    “Ia dijangkan akan menjadi pengangkutaman utama bagi 529,000 penumpang setiap hari apabila beroperasi kelak,” ujarnya dalam satu taklimat khas kepada pihak media.

    Sambungnya lagi, selain depot Sungai Buloh, ia juga akan mempunyai satu lagi depot mini di Serdang untuk menyokong perkhidmatan tren ini ke setiap laluan.

    Selain itu, jajaran SSP juga akan menyediakan 9,200 ruang parkir bagi 15 buah stesennya. Selain itu, jajaran SSP juga akan memiliki 12 pertukaran di antara laluan bagi kemudahan sambungan laluan yang lebih baik.

    Sambungnya lagi, fasa pertama bagi jajaran SSP, iaiatu antara stesen Sungai Buloh dan Kampung Batu, dijangka beroperasi pada Julai 2012, manakala keseluruhan jajaran pula dijadualkan siap sepenuhnya pada Julai 2022.

     
     
  • 2,000 kenderaan disaman kerana langgar peraturan ganjil-gelap yang dikuatkuasakan di Jakarta

    singapore traffic 1-WM

    Kota Jakarta yang tersenarai sebagai antara 10 ibu kota tersibuk di dunia, telah menguatkuasakan sistem ganjil-gelap sejak 30 Ogos lalu. Ia dilaksanakan di semua laluan utama di kota Jakarta bagi mengurangkan kesesakan trafik yang kian meruncing apabila dianggarkan hampir 20 juta kenderaan pelbagai jenis melalui kawasan tersebut.

    Sistem ganjil-genap ialah peraturan membenarkan kenderaan memasuki jalan-jalan utama di kota Jakarta berdasarkan nombor plat terakhir yang dipadankan dengan haribulan sebagai menggantikan sistem minima tiga penumpang (3 dalam 1) di dalam kenderaan yang dilaksanakan sebelum ini, laporan Bernama.

    Walau bagaimana pun, sejak ia diperkenalkan, sebanyak lebih 2,000 kenderaan telah dikenakan saman kerana melanggar peraturan itu. Di mana mereka yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan saman dengan maksima Rp500,000 (kira-kira RM150).

    Memetik kenyataan Ketua Polis Trafik Metro Jaya, Budiyanto yang dilaporkan oleh media tempatan, polis terpaksa mengambil tindakan tegas untuk mengeluarkan saman bagi memastikan sistem ganjil-genap itu dipatuhi.

    Katanya, kebanyakan pemandu yang dikenakan saman itu memberi pelbagai alasan yang subjektif termasuk lupa dan kecemasan.

    Beliau berkata, berdasarkan penelitian, sistem ganjil-genap itu didapati telah mengurangkan kesesakan lalu lintas dan perjalanan kenderaan lebih cepat di kota Jakarta.

    Budiyanto bagaimanapun berkata jumlah mereka yang melanggar peraturan itu semakin berkurangan setelah mendapati ketegasan pihak berkuasa untuk mengawal lalu lintas di semua jalan-jalan utama itu.

     
     
  • Mercedes-AMG GT C Roadster – punya kuasa 557hp, 680Nm tork dan kelengkapan prestasi daripada GT R

    mercedes-amg-gt-c-roadster-23-850x393bm

    Awal minggu ini, Mercedes-Benz ada mengeluarkan video teaser Mercedes-AMG GT Roadster dan kini rupa sebenarnya didedahkan. Seperti yang dijangka, ia adalah GT versi tanpa bumbung tetapi juga mempunyai tambahan varian lain iaitu AMG GT C Roadster yang diperlengkap dengan barangan daripada GT R manakala kuasanya pula berada di antara AMG GT standard dan GT R.

    AMG GT Roadster dikuasakan oleh enjin 4.0 liter V8 Twin Turbo sama seperti AMG GT, dengan kuasa disampaikan oleh transmisi AMG Speedshift DCT klac berkembar tujuh kelajuan ke roda belakang. Secara standard, AMG GT Roadster menghasilkan 476hp dan 630Nm tork tetapi varian lebih berprestasi, AMG GT C Roadster mampu mengeluarkan 557hp dan 680Nm tork pada kadar rpm 1,900 hingga 5,750.

    Ini sekaligus meletakkan AMG GT C Roadster di tempat kedua paling berkuasa, di bawah AMG GT R yang berkuasa 585hp dan 700Nm tork.

    AMG GT Roadster standard boleh melakukan pecutan 0-100km/j dalam masa 4.0 saat, dengan kelajuan maksimum 302km/j manakala AMG GT C Roadster pula mencatat 3.7 saat dengan kelajuan maksimum 316km/j.

    AMG juga menggunakan DCT yang dinaik taraf pada bahagian perkakasan dan perisian untuk AMG GT C Roadster, di mana gear pertamanya mempunyai nisbah lebih tinggi manakala gear ketujuh dan pemacu akhir mempunyai nisbah lebih rendah. Selain itu, sistem ekzos dengan dua penutup (flap) boleh laras juga adalah standard bagi AMG GT C Roadster.

    mercedes-amg-gt-c-roadster-17-630x319bm

    Tidak cukup dengan itu, AMG GT C Roadster turut diperlengkap dengan barangan seperti GT R antaranya active rear axle steering dan electronically controlled rear axle locking differential. Kereta ini juga menggunakan suspensi sports AMG Ride Control, dengan penyerap adaptif tidak boleh didapati pada model bukan C.

    Bentuk luar AMG GT C juga mengikuti AMG GT R – dengan penghadang angin 57mm lebar di belakang, jarak roda lebih lebar dan roda bersaiz 265/35 R19 di hadapan dan 305/30 R20 di belakang. Bagi AMG GT Roadster standard, ia menggunakan roda bersaiz 255/35 R19 dan 295/35 R19.

    AMG GT C Roadster juga dilengkapi dengan bateri lithium-ion dan kelengkapan eksklusif lain seperti bahagian dalam dengan kulit Nappa, stereng prestasi AMG dibalut kulit Nappa dan gentian mikro Dinamica, serta tambahan mod Race bagi transmisinya (yang sedia ada adalah C, S, S+ dan I).

    Bumbung fabrik bagi AMG GT Roadster boleh dibuka dan ditutup dalam sekitar 11 saat dan boleh digunakan pada kelajuan sehingga 50km/j. Pemilik diberi pilihan tiga warna kain bumbung iaitu hitam, merah dan beige untuk dipadankan dengan 11 warna luaran dan 10 warna dalaman. Fabrik bumbung tiga lapis ini disokong dengan struktur ringan magnesium/besi/aluminium manakala perlindungan tambahan bahagian atas kepala diberi dengan penggunaan cross-member aluminium bersama rollover bar.

    Beberapa kelengkapan lain turut diguna bagi menyokong struktur tanpa bumbung ini termasuk skirting sisi dengan dinding lebih tebal, penyokong papan pemuka serta strut tower brace di antara bumbung dan tangki.

    Penutup ruang barangan belakang menggunakan bahan komposit baharu yang menjadikannya ringan manakala struktur load-bearing pula daripada Sheet Moulding Compound (SMC). Kombinasi bahan ini pertama kali digunakan pada AMG Roadster.

    AMG GT Roadster menggunakan sistem pengurusan angin aktif daripada GT R di mana laluan angin yang terletak pada bahagian hadapan boleh dibuka menggunakan motor elektrik apabila diperlukan.

    Di dalam, tempat duduk AMG Performance boleh dipilih sebagai aksesori tambahan bersama sistem pemanas leher Airscarf (tiga tahap pemanasan) dan pengawal suhu. Sistem bunyi Burmester (dua gred ditawarkan) pula mendapat manfaat daripada sistem Externed Coupled Subwoofer.

     
     
  • Toyota USA panggil balik Prius 2016 kerana masalah kebocoran gas pada beg udara – 7,600 unit terlibat

    prius_13-e1449647794341

    Toyota Motor Amerika Utara telah mengumumkan panggilan balik yang melibatkan 7,600 unit model Prius 2016 di Amerika Syarikat (USA). Ini merupakan panggilan balik pertama di USA yang melibatkan kereta hibrid generasi ke-empat itu.

    Di mana kereta yang terlibat dilengkapi dengan beg udara bagi penumpang hadapan, yang mengandungi gas termampat di dalam inflator. Komponen di dalam beg udara tersebut berkemungkinan tidak dikimpal dan/atau dipasang dengan betul. Maka, terdapat kemungkinan gas tersebut boleh terkeluar se walau pun tanpa isyarat dan boleh mengakibatkan inflator di dalam beg udara tersebut mengelembung secara sendiri.

    Sekiranya terjadi, gas termampat tersebut boleh masuk ke dalam inflator seterusnya menyebabkan pengembungan beg udara yang tidak sekata tanpa arahan (secara sendiri). Ini boleh terjadi apabila kenderaan diletakkan atau tidak digunakan bagi tempoh masa yang lama dalam suhu persekitaran yang tinggi. Sekaligus mengakibatkan risiko kecederaan dan boleh mengakibatkan kemalangan, ujar Toyota. Malah syarikat ini akan menghubungi pemilik Prius 2016 yang terlibat menerusi surat-menyurat mulai November.

    Alasan bagi panggilan balik ini juga adalah sama seperti mana yang dilakukan oleh Lexus Australia bagi model RX, yang diumumkan semalam. Walau bagaimana pun, ia tidak ada kaitan dengan panggilan balik yang melibatkan beg udara Takata.

     
     
  • Jaguar Land Rover tambah barisan enjin – Ingenium petrol dan transmisi automatik Transcend 8-kelajuan

    cenexinfographicsfinal-630x445bm

    Jaguar Land Rover akan menambah barisan enjinnya, yang akan memberi manfaat kepada model semasa serta akan datang kedua-dua jenama. Paling utama adalah enjin empat silinder petrol Ingenium, yang dalam beberapa variasi boleh menawarkan 25 peratus lebih kuasa berbanding enjin yang digantikannya dan penggunaan bahan api lebih menjimatkan sehingga 15 peratus.

    Enjin Ingenium petrol baharu ini (enjin Ingenium diesel sudah dilancarkan tahun lepas) digambarkan sebagai enjin paling maju pernah dihasilkan oleh syarikat ini dan ia menggunakan teknologi seperti electrohydraulic valvetrain, manifold ekzos bersepadu dan pengecas turbo twin-scroll dengan bebola seramik (ceramic ball bearings).

    Untuk lebih fleksibel dan serba boleh, enjin ini menggunakan kapasiti 500cc bagi setiap silinder dan boleh digunakan secara meluas termasuk untuk model sedan sports serta SUV mewah. Pengeluarannya sudah bermula di United Kingdom.

    Sebagai tambahan kepada barisan enjin baharu ini, Jaguar Land Rover juga sedang melakukan projek penyelidikan transmisi yang memakan belanja £30 juta yang dinamakan sebagai Transcend.

    Ia adalah transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan yang menggabungkan nisbah gear kadar rendah serta teknologi penggerak hibrid. Beratnya pula kurang 20kg berbanding transmisi automatik lapan kelajuan dalam kelas sama dan ia akan digunakan untuk kenderaan pacuan roda belakang dan pacuan semua roda (AWD).

    Dengan Transcend juga, kecekapan kenderaan masa hadapan Jaguar Land Rover akan meningkat manakala kemampuan sistem pacuan semua roda (AWD) mereka juga akan lebih berkembang kerana kotak gear tersebut mempunyai nisbah lebih meluas iaitu 20 dan ini adalah lebih dua kali ganda daripada kotak gear automatik lapan kelajuan biasa.

     
     
  • Prasarana perlu tubuhkan badan berkecuali bagi menyiasat gangguan perkhidmatan LRT – 4PAM

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Persatuan Pengguna Kenderaan Awam Malaysia (4PAM) mencadangkan agar Prasarana menubuhkan badan berkecuali yang terdiri daripada pihak-pihak yang berkepentingan untuk menyiasat gangguan perkhidmatan LRT yang berlaku baru-baru ini.

    Memetik laporan Bernama, Presidennya, Ajit Johl berkata hal itu sangat penting dilakukan untuk mendapatkan semula keyakinan orang awam berikutan kejadian yang berulang di laluan LRT Kelaja Jaya pada 7 dan 9 September lalu.

    “Badan berkenaan perlu dikekalkan. Isu-isu lain seperti kenaikan tambang, kemudahan dan tahap perkhidmatan turut boleh dinilai semula untuk memuaskan jangkaan pengguna,” ujar beliau. Ajit juga berharap agar Prasarana dapat memastikan langkah-langkah keselamatan diambil berikutan kejadian pengguna terpaksa berjalan di atas landasan dan itu sangat merbahaya.

    “Mereka perlu mempunyai satu pelan pemindahan penumpang yang lebih teratur jika kejadian ini berulang. Mujur tak ada yang cedera tempoh hari,” tambah beliau.

    Pada 7 September, gangguan pada sistem komunikasi menyebabkan penangguhan tren LRT antara Ampang Park dan Dang Wangi pada waktu puncak di sebelah pagi. Perkhidmatan hanya disambung semula pada pukul 1.15 tengah hari. Pada 9 September pula, tren berhenti tiba-tiba di antara stesen Datuk Keramat dan Damai pada 9.10 pagi, menyebabkan penumpang terperangkan 20 minit sebelum pintu dibuka dari luar dan penumpang diminta untuk turut dan berjalan di atas landasan.

     
     
  • Proton Persona cecah 7,000 unit tempahan setakat ini

    Proton_Persona_Executive_Ext-10

    Proton Persona yang dilancarkan pada Ogos lalu kini mencatatkan jumlah tempahan 7,000 unit setakat ini, memetik laporan Bernama. Mula diperkenalkan pada 2007, Proton Persona terbaharu adalah dari generasi kedua model berkenaan yang dikeluarkan.

    “Kami gembira dengan jumlah berkenaan dan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan antara 3,000 dan 4,000 unit sebulan. Sasaran itu dinyatakan sebelum ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Faisal Albar pada Majlis Penghargaan bagi Pemenang Pingat Olimpik Malaysia semalam.

    Proton tahun ini sudah memperkenalkan dua model baharu, iaitu Perdana dan Persona. Dua lagi model sedang menanti untuk dilancarkan bagi melengkapkan pengenalan empat model baharu keseluruhannya; Proton Saga pada hujung bulan ini manakala Proton Ertiga MPV pada Oktober nanti.

    Proton Persona 2016 1.6 Executive CVT

     
     
  • Mohon bantuan PM haramkan Uber, GrabCar – KPSTM

    Malaysia-Taxi-03

    Ekoran kemelut di antara pemandu teksi dengan Uber dan GrabCar yang masih tiada penyelesaiannya, Kesepakatan Persatuan Teksi Se Malaysia (KPTSM) memohon perhatian dan bantuan Perdana Menteri dengan alasan pendapatan mereka kian terjejas.

    KPSTM memohon Perdana Menteri agar mengharamkan perkhidmatan Uber dan GrabCar serta mendakwa pihak bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya Pengangkutan Awam darat (SPAD), tidak tegas menangani isu berkenaan dan segala tuntutan mereka selama ini dipandang sepi, laporan Berita Harian.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Pemandu Teksi Lembah Klang (PTLK), Zailani Isa Usuludin, yang bernaung di bawah KPTSM, lebih 77,000 pemandu teksi dan kereta sewa seluruh negara sepakat untuk merangka memorandum bagi mengenengahkan masalah yang dihadapi kepada Datuk Seri Najib Razak.

    “Kami tidak pernah membantah atau menolak kemajuan teknologi, tetapi dalam perkara ini, ternyata pemilik aplikasi Uber dan GrabCar telah menyalahgunakannya dengan menyediakan kemudahan itu kepada kenderaan persendirian dan pemandu tidak bertauliah,” ujar Zailani.

    Katanya lagi, satu memorandum akan diserahkan kepada Perdana Menteri pada 26 September ini. Antara kandungan memorandum itu termasuk penolakan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) kerana program yang diperkenalkan SPAD itu didakwa tidak memberi sebarang manfaat kepada industri teksi negara.

    “Selagi perkhidmatan Uber dan GrabCar terus beroperasi, kami merasakan program TITP yang dicadangkan tidak mampu menaiktaraf perkhidmatan teksi, malah ia akan membebankan kami,” ujar Zailani lagi sambil menegaskan transformasi yang akan dilaksanakan itu dilihat tidak telus dan lebih kepada agenda pihak SPAD untuk menghalalkan operasi Uber dan GrabCar di negara ini.

    Malahan KPTSM turut berpendapat isi kandungan inisiatif transformasi yang dicadangkan turut menjadikan industri teksi bercelaru dan menimbulkan ketidakseimbangan dalam sektor pengangkutan awam.

     
     
  • Lexus Australia panggil balik model RX kerana masalah beg udara hadapan bahagian penumpang

    hr_15rx_23-e1458784465131-630x311bm

    Lexus Australia mengumumkan panggilan balik (recall) yang melibatkan 113 unit SUV Lexus RX yang dikeluarkan antara November 2015 dan Februari 2016. Ini termasuk model RX200t, RX350 dan RX450h, kerana permasalahan yang memberi kesan kepada beg udara hadapan bahagian penumpang.

    Syarikat itu menjelaskan bahawa kenderaan yang terlibat dilengkapi dengan inflator beg udara jenis hibrid, yang menggunakan kombinasi gas mampat dan pendorong (propellant) untuk mengembungkan beg udara, dan terdapat kemungkinan ada inflator yang tidak dikimpal dengan betul atau tersalah pasang semasa di kilang.

    Sekiranya terjadi, gas termampat tersebut boleh masuk ke dalam inflator seterusnya menyebabkan pengembungan beg udara yang tidak sekata tanpa arahan (secara sendiri). Ini boleh terjadi apabila kenderaan diletakkan atau tidak digunakan bagi tempoh masa yang lama dalam suhu persekitaran yang tinggi.

    2016-lexus-rx-350-f-sport-16-e1443168009602-630x300bm

    Dalam keadaan tertentu, beg udara yang kembung dengan cara ini boleh meningkatan risiko kecederaan dan kemungkinan terlibat dalam kecelakaan. Setakat ini masih belum ada kes yang dilaporkan disebabkan masalah ini.

    Lexus Australia akan menghubungi pemilik kenderaan yang terlibat dan wakil pengedar Lexus akan menukar beg udara hadapan bahagian penumpang kenderaan tersebut.

    Kami telah menghubungi Lexus Malaysia untuk bertanyakan status kenderaan model RX di Malaysia dan maklumat terkini akan diberitahu apabila diperolehi nanti. Panggilan balik ini tidak ada kaitan dengan panggilan balik berkenaan beg udara Takata sebelum ini yang melibatkan jutaan kenderaan di seluruh dunia.

    Galeri: Lexus RX 200t F Sport

     
     
  • Kecualikan pemandu-pemandu kenderaan rasmi kerajaan daripada sistem demerit Kejara – Cuepacs

    AES_Camera

    Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) menyarankan kepada kerajaan agar pemandu-pemandu kenderaan rasmi kerajaan dikecualikan daripada sistem mata demerit Kejara yang akan dilaksanakan hujung tahun ini, memetik laporan The Sun.

    Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata pengecualian itu bertujuan untuk membolehkan pemandu-pemandu berkenaan menjalankan tugas mereka dan untuk memastikan agensi-agensi kerajaan tidak mengalami kekurangan pemandu disebabkan penggantungan yang bakal dikenakan oleh sistem berkenaan.

    Sebagai contoh, antara yang perlu dikecualikan ialah polis yang mengejar penjenayah, pemandu-pemandu yang membawa menteri serta ambulans dengan pesakit. “Adalah tidak adil untuk menyaman mereka kerana sedang menjalankan tugas yang mengejar masa,” jelas beliau.

    2016-kejara-demerit-points-system-score-1-1

    Orang awam yang berada di dalam situasi kecemasan juga perlu dikecualikan. “Sistem berkenaan perlu dilaksanakan secara adil bagi pemandu kenderaan rasmi kerajaan dan juga orang awam,” tambah beliau. Menurutnya, di dalam sistem semasa, pemandu kenderaan rasmi tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan bagi kesalahan trafik.

    Dengan sistem Kejara, mereka yang mengumpul 15 mata demerit akan digantung lesen, dan lesen akan dibatalkan sekiranya pemandu itu melakukan lebih banyak kesalahan dan mengumpul 15 mata demerit lagi selepas digantung tiga kali.

    Azih menyatakan perkara itu dibangkitkan selepas Cuepacs menerima banyak rungutan daripada ahli-ahlinya yang risau akan pelaksanaan sistem berkenaan kelak. Setakat ini, terdapat 50,000 pemandu kenderaan rasmi kerajaan daripada hampir 700 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan diseluruh negara.

     
     
  • Proton rai atlet negara atas kejayaan di Olimpik Rio – Perdana 2.4, Suprima S, Persona 1.6 sebagai ganjaran

    proton-malaysian-olympic-medallists-1

    Petang ini, Proton telah menunaikan janji untuk memberikan ganjaran kepada atlet negara yang berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil. Majlis penyerahan ganjaran ini telah diadakan di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam.

    Majlis telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, diiringi Chef-de-Mission kontinjen Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid. Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan DRB- HICOM dan Pengerusi PROTON, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

    Sebelum ini, Proton menjanjikan Proton Perdana 2.0 untuk atlet yang berjaya memenangi pingat emas, namun ketika majlis berlangsung, pengeluar kereta nasional ini membuat kejutan dengan menyerah Perdana 2.4 kepada Datuk Lee Chong Wei yang berjaya memenangi pingat perak dalam acara perseorangan badminton.

    proton-malaysian-olympic-medallists-2

    Proton berpendapat, Chong Wei layak menerima ganjaran itu kerana beliau dianggap sebagai atlet paling berjaya dalam sejarah dengan pungutan tiga pingat perak. Pencapaian pingat perak yang pertama telah diperolehi dari Sukan Olimpik Beijing 2008 diikuti dengan pingat perak kedua dari Sukan Olimpik London 2012 dan pingat perak ketiga dari Sukan Olimpik Rio 2016 baru-baru ini.

    Manakala enam lagi atlet negara yang juga memenangi pingat perak di Olimpik Rio iaitu penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong, pasangan beregu campuran badminton negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying serta pasangan beregu lelaki badminton negara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, masing-masing menerima Suprima S 1.6 Turbo Premium.

    Sementara itu, Azizulhasni Awang yang berjaya meraih pingat gangsa dalam acara berbasikal pula menerima seunit Persona 1.6 Premium.

    “Demi menghargai pengorbanan para atlet ini, kami amat berbesar hati untuk menghadiahkan kereta-kereta nasional kepada atlet-atlet kita untuk meraikan kemenangan mereka pada pencapaian mereka di tahap yang tertinggi,” kata Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM dan Pengerusi Proton.

    Katanya lagi, “Kami berharap agar dengan rekod pencapaian yang telah dicatatkan di Sukan Olimpik Rio 2016 baru-baru ini, akan menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menghasilkan pencapaian yang lebih membanggakan.”

     
     
  • Honda Jazz Spotlight Edition akan buat penampilan di Paris Motorshow – sesuai untuk penggemar fesyen

    Honda Jazz Spotlight BM

    Selain Honda Civic Hatchback yang akan membuat penampilan sulungnya di Paris Motor Show, Honda juga akan mempertontonkan Honda Jazz Spotlight Edition dengan rekaan bergaya khusus untuk memuaskan penggemar fesyen Eropah.

    Honda Jazz Spotlight Edition merupakan kesinambungan kepada Jazz Keenlight Concept yang dipertonton buat pertama kalinya semasa Geneva Motor Show awal tahun ini dan ia melihatkan penggunaan gril hadapan, cermin sisi serta rim aloi 15 inci berwarna gangsa, pelekat di bahagian sisi kenderaan, serta rekaan pintu ruang simpanan belakang, stereng dan konsol tengah baharu.

    Selain itu, Jazz Spotlight Edition juga akan menggunakan kemasan khas pada bahagian pemijak sisi pintu, karpet, tempat duduk serta kulit pintu.

    Honda Jazz Spotlight Edition dikuasakan oleh enjin 1.3 liter i-VTEC petrol yang dipadankan dengan sama ada transmisi manual atau automatik dan berkemampuan 100hp.

    Butiran lanjut berkenaan kenderaan ini akan diketahui setelah Paris Motor Show bermula awal bulan hadapan.

     
     
  • SPYSHOT: Volkswagen Golf R Mk7 ‘facelift’ muncul

    vw-golf-r-facelift-001-850x396

    Volkswagen Golf Mk7 facelift dijangka akan menerima perubahan penampilan tahun ini, sebelum pengenalan generasi berikutnya, Mk8 kelak. Yang kelihatan ini ialah unit yang sedang diuji di Eropah; Golf R dalam bentuk wagon.

    Berdasarkan perkembangan model-model Golf sebelum ini, kemungkinan besar versi facelift ini tidak akan melibatkan perubahan yang terlalu ketara. Ia bagaimanapun akan tampil dengan beberapa perubahan visual; antaranya perubahan pada reka bentuk lampu utama dan bampar hadapan, seperti yang dapat diperhatikan di sini.

    Jika imej yang pernah muncul sebelum ini adalah sahih, maka Golf dengan penampilan yang lebih segar selepas ini akan dilengkapi dengan lampu utama C-shape dan panel liang masukan udara yang lebih rendah dan lebar.

    vw-golf-r-facelift-019-850x449

    Di bahagian belakang, empat corong atau paip ekzos yang kelihatan memberi petunjuk bahawa ia dari varian R, walaupun unit yang diuji ini menggunakan rim besi biasa. Bampar balakang serta panel diffuser walaupun berbeza dengan Golf R hatchback, ia sama seperti yang digunakan pada Golf varian R.

    Bagi sistem janaan kuasa, dijangka ia akan menggunakan enjin yang sama yang ada ditawarkan sebelum ini. Panel instrumen digital akan disertakan, dengan kawalan gerakan dan sistem infotainmen yang dipertingkatkan dengan skrin yang lebih besar. Dijangka Golf biasa dan varian R serta GTI, ia akan melibatkan pembaharuan yang sama.

     
     
  • Lagi insiden bayi maut akibat lemas di dalam kereta – elakkan kecuaian, jadilah masyarakat yang prihatin

    Baby boy in car seat

    Semalam satu lagi insiden yang mengakibatkan kematian seorang bayi perempuan berusia 12 bulan selepas ditinggalkan lebih lima jam dalam kereta milik bapanya. Kejadian ini berlaku di Kulai, Johor dan menurut laporan polis yang dibuat bapa bayi itu pada 9.30 pagi, isterinya meletakkan anak mereka di bahagian tempat duduk belakang kereta untuk dihantar ke rumah pengasuh yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, lelaki terbabit tidak menyedari bayinya berada di tempat duduk belakang kenderaan miliknya, dan terus ke tempat kerja. Pada jam 3 petang, dia menerima panggilan daripada pengasuh anaknya yang bertanyakan mengenai bayi berkenaan yang tidak dihantar ke rumah pengasuh seperti kebiasaannya. Lelaki terbabit terus bergegas ke keretanya dan mendapati anaknya sudah meninggal dunia, laporan Harian Metro.

    Menurut Razak, kes ini diklasifikasikan sebagai pengabaian kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian tang disiasat mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Ini bukanlah kejadian pertama berlaku di negara kita. Pada 6 Januari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan terperangkap di dalam sebuah kereta milik ibunya selepas kenderaan itu terkunci dari dalam di sebuah taska di Bertam Indah, Pulau Pinang.

    Dua hari selepas kejadian tersebut, ada lagi seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun mengalami insiden yang sama dan kejadian tersebut berlaku di Batu Gajah, Melaka.

    Pada 21 Ogos 2014, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas ditinggalkan oleh bapanya di dalam kenderaan secara tidak sengaja selama lebih lapan jam, kejadian ini berlaku di Kuala Nerang, Kedah.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • SPYSHOT: SUV baharu Nissan dari asas yang sama dengan Navara NP300 makin menghampiri produksi?

    nissan-suv-3-850x479

    Penampilan SUV baharu Nissan yang menggunakan platform yang sama dengan trak pikap Navarra muncul lagi. Ia disifatkan bakal menjadi versi terakhir sebelum dikeluarkan sebagai produk akhir nanti. SUV berasaskan Navara NP300 ini sebelum ini sudah pernah dilihat sedang diuji.

    Walaupun dengan samaran yang ketara, nampak jelas bahawa SUV berkenaan akan menerapkan reka bentuk yang sama sekali berlainan berbanding versi trak pikapnya. Bahagian depan nampak lebih tirus, dengan lampu utama yang bertambah lebar yang digandingkan dengan gril V-Motion, menjadikan wajah depannya lebih mirip kepada barisan SUV Nisssan seperti X-Trail dan Pathfinder.

    nissan-suv-8-850x531

    Garis bumbung dan badannya dilanjutkan hingga ke belakang untuk menjadi sebuah SUV yang lebih aerodinamik. Lampu belakang dengan bentuk L pula seperti menghampiri pendekatan reka bentuk yang sama seperti yang pernah dilihat pada Toyota Fortuner.

    Berkemungkinan besar SUV baharu ini akan menggunakan kelengkapan mekanikal yang sama dengan Navara – trak pikap berkenaan menggunakan suspensi multi-link bahagian belakang yang kerap digunakan pada SUV yang menggunakan platform trak pikap – barisan enjinnya juga dijangka akan menggunakan ‘jantung’ yang sama. Ini termasuk enjin diesel 2.3 liter turbo berkembar, 2.5 liter turbodiesel serta 2.5 liter biasa janaan petrol.

     
     
  • Peugeot perkenal 3008 DKR untuk sahut cabaran Rali Dakar 2017 – enjin 3.0 liter V6 Turbodiesel dikekalkan

    fd_160707_new_peugeot_3008_dkr_0001-850x390bm

    Bagi mempertahankan gelaran juara yang diraih pada perlumbaan Rali Dakar musim sebelumnya, Peugeot memperkenalkan kenderaan baharu 3008 DKR bagi menggantikan 2008 DKR untuk musim 2017.

    Selain Stephane Peterhansel yang membawa Peugeot sebagai juara buat kali pertama sejak tahun 1990 dan Cyril Despres, Peugeot juga bakal menggunakan khidmat pemandu hebat lain termasuk Sebastien Loeb dan Carlos Sainz (Sr) untuk perlumbaan Rali Dakar musim 2017.

    “3008 baharu ini menggambarkan langkah seterusnya. Matlamat kami dengan kereta ini adalah untuk mengambil bahagian yang lemah pada kereta sedia ada dan jadikan ia lebih kuat, sambil melabur lebih kepada kekuatan yang ada untuk meningkatkannya lagi,” kata Pengarah Pasukan Peugeot Sport, Bruno Famin.

    Dimensi serta ciri yang ada pada 3008 DKR dipengaruhi oleh peraturan yang ditetapkan untuk perlumbaan ini, tetapi identitinya masih lagi dikekalkan.

    “Kenderaan Dakar terbaharu kami ini adalah pernyataan paling ekstrim bagi kenderaan SUV Peugeot terkini. Ia membawa identiti kenderaan jalanan biasa tetapi dimasukkan ke dalam konteks rali,” kata Pereka Luaran Peugeot, Sébastien Criquet.

    Perincian teknikal bagi 3008 DKR masih lagi kabur tetapi Peugeot Sport memberitahu ia adalah evolusi daripada 2008 DKR sebelum ini. Enjin 3.0 liter V6 Turbodiesel yang digunakan pada 2008 DKR dibawa kepada 3008 DKR dan diberikan peningkatan.

    Kemampuan pemanduan dan tork lebih tinggi pada rpm rendah adalah agenda utama, meskipun penggunaan salur udara 38mm telah menurunkan kuasanya menjadi 330hp, tork 800Nm yang ada akan diperbaiki.

    Peugeot juga melengkapkan pendingin hawa pada 3008 DKR bagi membantu prestasi ahli pasukan yang ada kalanya berada dalam kenderaan sehingga 12 jam sehari.

    Peugeot akan mengekalkan tetapan pacuan dua roda belakang seperti 2008 DKR dan yakin kerana telah menjadi yang pertama dapat memenangi perlumbaan dengan tetapan sebegitu sejak 15 tahun yang lalu.

     
     
  • Toyota C-HR tiba di Australia pada suku pertama 2017

    toyota_chr_bm_6

    Toyota Australia telah mengesahkan Toyota C-HR akan mula dipasarkan di negara itu pada suku pertama tahun 2017. Ia akan ditawarkan dengan dua gred premium iaitu Active dan Koba, yang diilhamkan daripada nama ketua jurutera global C-HR, Hiroyuki Koba.

    Malah untuk pasaran Australia, terdapat lapan warna luaran pilihan akan ditawarkan, termasuk warna baharu radiant green.

    Ia juga dijanakan oleh enjin 1.2 liter turbo berkuasa 116 PS dan tork maksima 185 Nm serta digandingkan dengan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau CVT automatik, serta pilihan pacuan hadapan atau pacuan semua roda (AWD).

    Toyota C-HR ini dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) terbaharu, model kedua dikeluarkan berasaskan platform tersebut selepas Prius serba baharu. Dinamik pemanduan dikatakan adalah sama seperti ketepatan dan kawalan yang ada pada hatchback segmen-C moden kerana platform yang dibina dengan pusat graviti yang rendah, membolehkan C-HR meredah selekoh dengan kelajuan tinggi dan kawalan badan yang cemerlang.

    Crossover ini berukuran 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm (1,5,65 mm pada model petrol) tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Oleh itu, dimensi C-HR adalah 56 mm lebih panjang, 23 mm lebih lebar, 55 mm lebih rendah dan jarak roda 30 mm lebih panjang berbanding pesaing terdekatnya iaitu Honda HR-V. Berbanding satu lagi pesaingnya iaitu Mazda CX-3, C-HR adalah 75 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan dengan jarak roda yang 70 mm lebih panjang.

    toyota_chr_bm_2

    Malah ia turut menawarkan elemen yang lebih menarik dan mampu menjadi daya penarik buat pembelinya.
    Rekaan luaran yang sporty dan terkini pastinya menjadi daya penarik bagi C-HR ini. Ini termasuklah dengan gril atas hadapan yang lebih langsing, menjalari dari bahagian lambang Toyota, dengan kluster lampu utama yang lebih berketerampilan.

    Gerbang rodanya juga lebih mantap bagi menambahkan ketegaran kerangka crossover ini. Imej ala-coupe juga terserlah dengan penampilan pemegang pintu belakang yang disambungkan antara C-pillar dan melunjurkan ke garisan bumbung menghala ke spoiler yang lebih aerodinamik.

    Malahan rekaan kabin juga menarik perhatian. Ia berbentuk coupe yang tinggi pada CH-R ini mensasarkan “kualiti deria terbaik dalam kelasnya” dan bakal memberikan “gaya moden yang menghairahkan” yang akan ditawarkan pada barisan dan segmen Toyota.

    Ia turut dilengkapi dengan skrin sesentuh besar bersaiz 6.1 inci (dengan jam trademark Toyota diletakkan bersebelahan) yang muncul dari bahagian tengah papan pemuka dan dihalakan ke arah pemandu. Konsol tengah juga direka dengan konsep simetrikal.

    Rekaan pada suis-suis kawalan memberikan bayangan motif batu permata yang turut diterapkan pada bentuk badan keseluruhan SUV ini. Tema batu permata berkenaan turut diterapkan pada kemasan pintu, balutan bumbung, serta jarum pada meter instrumen.

    toyota_chr_interior_bm_

    Malahan elemen dekorasinya diperincikan dengan kekemasan berkualiti tinggi berwarna hitam pekat dan trim perak sutera serta iluminasi biru cerah pada instrumen dan butang kawalan. CH-R spesifikasi Asutralia juga bakal menerima papan pemuka dengan kemasan kelabu, berbanding biru bagi pasaran Eropah.

    Bagi aspek keselamatannya, ia turut dilengkapi dengan sistem pra-pelanggaran Toyota Safety Sense dilengkapi dengan sistem brek automatik, kawalan kelajuan adaptif dan amaran keluar laluan dengan kawalan stereng, lampu tinggi automatik, dan kamera undur.

    Terdapat elemen tambahan bagi Koba iaitu varian spesifikadi tertinggi, termasuklah tempat duduk dengan pemanas, sistem kunci automatik, dan roda aloi 18-inci.

    Menurut Pengarah Eksekutif Jualan dan Pemasaran Toyota Australia, Tony Cramb, C-HR ini adalah kenderaan untuk mereka yang inginkan sesuatu yang istimewa, dengan gabungan dinamik yang lebih berinovatif dan tarikan emosi yang SUV tradisional lain tidak tawarkan.

    “Malahan C-HR ini memberikan pengertian yang berbeza bagi SUV dengan menekankan abjad ‘S’ sebagai ‘sport’ dan ‘style’. Ia kenderaan empat pintu dan hatch, tetapi ia bukanlah hatchback. Malahan ia menampilkan ruang dalaman yang lebih besar dan mampu memuatkan lima penumpang, serta memiliki posisi pemanduan yang tinggi,” ujar Cramb lagi.

    Walau bagaimana pun, Toyota Australia masih belum mendedahkan lagi harga C-HR bagi pasaran negaranya. Berbanding di United Kingdom, Toyota di sana telah mengesahkan harga C-HR adalah lebih mahal berbanding pesaingnya.

    Di UK, tiga varian iaitu Icon, Excel dan Dynamid akan ditawarkan dengan 1.2L turbo berharga dari £20,995 (RM114,140) untuk Icon FWD 6MT hingga £27,995 (RM152,196) untuk Dynamid AWD CVT. Malah ia merupakan C-HR yang paling mahal, bersama hibrid bagi pilihan Dynamic.

     
     
  • VIDEO: Gymkhana NINE mula disiarkan – aksi berani dengan keretapi, helikopter dan kamera 360 darjah

    Sampai ke tahap ini, siri video Gymkhana oleh Ken Block dengan tajaan Ford pasti sudah dikenali ramai. Kini, siri terbaharu sudah dikeluarkan di laman perkongsian video dan ia mempunyai kejutannya yang tersendiri.

    Aksi pemanduan Ken Block dalam video ini mungkin sama sahaja seperti sebelumnya tetapi ia dijadikan menarik dengan penambahan kemunculan kenderaan lain seperti keretapi, helikopter dan dua kereta Ford iaitu Ford Focus RS RX sebagai watak utama dan selingan Ford F-150 Raptor.

    Selain itu, pengeluar video ini, Hoonigan Media juga akan mengeluarkan satu lagi video Gymkhana NINE ini, tetapi dengan ciri kamera 360 darjah, seterusnya memberikan pengalaman tontonan yang berbeza.

    Anda saksikan sendiri video ini dan lihat adakah siri Gymkhana oleh Ken Block ini masih mengujakan atau memerlukan lebih ‘rencah’ untuk hiburan.

     
     
  • TEKS1M – Struktur diperkemas, kadar tambang akan diturunkan; tidak lagi dalam warna emas dan putih

    innova-teks1m-03

    Bermula bulan hadapan, tambang bagi Teksi 1Malaysia (TEKS1M) akan diturunkan. Itu disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah yang menyatakan kadar tambang berkenaan akan disesuai dan diselaraskan mengikut kadar perkhidmatan teksi bajet semasa.

    Seperti dilaporkan oleh The Sun, ketika ini, kadar tambang TEKS1M bermula dari RM4, dengan 30 sen bagi setiap 200 meter berikutnya. Manakala bagi teksi bajet pula tambang bermula dari RM3 dengan 25 sen bagi setiap 200 meter berikutnya. “TEKS1M sedia ada akan mempunyai pilihan untuk kekal dengan struktur tambang seperti sebelumnya hingga tamat tempoh hayat kenderaan yang digunakan,” ujar beliau.

    Tambang berdasarkan masa bagi teksi bajet ialah 25 sen bagi setiap 36 saat sementara bagi TEKSIM pula ialah 30 sen bagi setiap 36 saat. Bermula bulan depan juga, teksi bajet baharu akan dijenamakan sebagai TEKS1M dengan warna utama merah dan putih.

    Ini adalah sebahagian daripada langkah penjenamaan semula dan penyelarasan TEKS1M dengan teksi bajet biasa di bawah Pelan Transformasi Industri Teksi (TITP). TEKS1M juga tidak akan lagi menggunakan warna emas dan putih. Bagaimanapun, teksi bajet sedia ada tidak akan terlibat di dalam penjenamaan semula ini dan kekal dengan warna sedia ada – kuning, putih, merah atau hijau. Penjenamaan semula itu hanyalah untuk teksi-teksi baharu sahaja.

    Teksi bajet semasa hanya akan melalui penjenamaan semula berkenaan apabila permit yang digunakan tamat tempoh. Pemandu yang menggunakan Proton Iswara juga perlu bertukar kepada kenderaan dengan minimum penarafan tiga bintang Asean NCAP.

    Di bawah peruntukan dana berjumlah RM150 juta oleh kerajaan untuk pemandu teksi, pemilik teksi baharu diberikan lesen operasi individu oleh SPAD akan dibenarkan untuk membeli model baharu selain keluaran Proton. Dijangkakan sejumlah 25,000 lesen operasi individu akan dikeluarkan kepada pemandu teksi dengan rekod yang baik dalam tempoh lima tahun akan datang. 2,000 lesen individu baharu juga akan dikeluarkan menjelang hujung tahun ini.

    Selain itu, sistem kadar tambang mengikut zon seperti yang diamalkan kini oleh teksi-teksi di terminal dan lapangan terbang akan dihapuskan secara berperingkat.

     
     
  • Prasarana perlu laksanakan SOP terperinci demi meningkatkan perkhidmatan LRT – Perdana Menteri

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Ekoran dua insiden dalam tempoh terdekat berlaku pada minggu lalu yang melibatkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), ia turut menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Menerusi perbincangan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz dan Suruhanjaya Pengangkutan Awan Darat (SPAD), beliau telah dimaklumkan bahawa siasatan awal Prasarana mendapati bekalan elektrik terputus mengakibatkan gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada 7 dan 9 September lepas.

    Beliau berkata, beberapa langkah segera diambil untuk mengatasi gangguan perkhidmatan tersebut termasuk menaik taraf serta merta 15 pencawang tenaga elektrik sepanjang laluan berkenaan, laporan Bernama.

    “Penaiktarafan pencawang elektrik itu akan memastikan jangka hayat sistem elektrik dapat dipanjangkan bagi menampung keperluan semasa yang kian meningkat serta mengambil kira keperluan pada masa hadapan. Langkah ini dijangka mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan untuk diselesaikan sepenuhnya,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Sambungnya lagi, SPAD harus menekankan keperluan Prasarana melaksanakan penilaian terperinci keseluruhan sedia ada memandangkan LRT Kelana Jaya sudah pun beroperasi hampir 20 tahun.

    “Penilaian itu akan mengenal pasti risiko yang ada serta langkah yang perlu diambil bagi mengatasi risiko berkenaan selain menyediakan perancangan sistem gantian bagi sistem-sistem kritikal yang semakin hampir kepada penghujung jangka hayat penggunaannya.

    “Saya telah mengarahkan supaya Penilai Teknikal Bebas dilantik oleh Prasarana untuk menjalankan penilaian ini dengan kerjasama SPAD bagi pematuhan semua syarat dan peaturan sedia ada,” kata beliau.

    Najib berkata Prasarana turut diarahkan supaya menjalankan penilaian semula keseluruhan operasi mereka bagi memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk memastikan kapasiti mencukupi bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

    Beliau turut memaklumkan, Prasarana juga akan memperkenalkan secara berperingkat gerabak-gerabak kereta api baharu bagi laluan Kelana Jaya menjelang November ini. Ia berupaya membekalkan kapasiti serta kekerapan tambahan, sekali gus mengurangkan kesesakan pada waktu puncak pada hari bekerja.

    “Ini antara langkah-langkah segera yang telah saya arahkan untuk dilaksanakan oleh Prasarana dan SPAD bagi mengatasi masalah dihadapi pengguna-pengguna LRT sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utaman rakyat,” kata perdana menteri.

    Najib berkata kerajaan, dan beliau sendiri secara peribadi, menganggap gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya sebanyak dua kali pada minggu lepas sebagai perkara yang amat serius.

    Sehubungan itu, beliau mengarahkan Prasarana dan SPAD untuk menyiarkan butiran dan hasil siasatan insiden itu sebaik sahaja siasatan selesai.

    Insiden yang berlaku pada 7 September lalu melibatkan ribuan pengguna yang terkandas di beberapa stesen laluan LRT Kelana Jaya akibat masalah berkaitan sistem isyarat dan komunikasi yang menyebabkan kelewatan perjalanan tren di antara stesen Ampang Park dan Dang Wangi.

    Dan satu lagi berlaku pada 9 September, di mana perkhidmatan LRT bagi laluan Setiawangsa-KLCC terganggu semasa waktu puncak pada 9 pagi apabila sebuah tren dari Datuk Keramat menuju ke Jelatek tiba-tiba terhenti di atas trek di antara Stesen Datuk Keramat dan Damai menyebabkan penumpang terperangkap di dalam tren selama 20 minit. Penumpang tren berkenaan kemudian terpaksa berjalan di atas trek menuju ke Stesen Damai dengan mengambil masa hampir 10 minit.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026