Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Corolla berprestasi tinggi versi Gazoo Racing – kemungkinan semakin tinggi, guna janakuasa hibrid

    Toyota Corolla berprestasi tinggi versi Gazoo Racing – kemungkinan semakin tinggi, guna janakuasa hibrid

    Desas-desus bahawa Toyota bakal menghasilkan hot-hatch berdasarkan Corolla Hatchback generasi baharu kini bertiup lebih kencang. Kali ini presiden dan CEO Toyota Eropah Dr Johan van Zyl pula membuka mulut berkenaan hal tersebut dalam laporan AutoExpress ketika berlangsungnya Paris Motor Show 2019.

    Menurut van Zyl, syarikatnya kini sedang mengenalpasti model-model yang berpotensi menerima lencana Gazoo Racing Master of Nürburgring (GRMN) selepas kejayaan menghasilkan hot-hatch kompak Toyota Yaris GRMN.

    “Aspirasi kami adalah untuk menawarkan pilihan yang luas untuk kereta-kereta GR kepada pelanggan bagi membawa keterujaan kepada jenama. Jadi apabila kami bersama dengan barisan produk kami akan melihat setiap daripadanya dan berkata ok mana yang mungkin? Adakah model ini sesuai dengan jenama GR? Bolehkan kami menghasilkan keterujaan dengannya?” kata van Zyl.

    Selain dari SUV RAV4, Toyota hadir dengan Corolla Hatchback pada Paris Motor Show tahun ini bagi mewakili produk-produk terbaharu mereka. Saingan Toyota di Eropah iaitu Skoda membawakan model konsep hot-hatch hibrid Vision RS pada acara tersebut dan van Zyl mengesahkan mereka akan melakukan perkara hampir sama dan Corolla berpotensi untuk projek berkenaan.

    Toyota Corolla berprestasi tinggi versi Gazoo Racing – kemungkinan semakin tinggi, guna janakuasa hibrid

    “Saya rasa apa yang kami cuba sampaikan adalah faktanya kami telah menlancarkan model 2.0 liter hibrid dalam barisan model Corolla. Kami katakannya ia tidak mustahil. Kami boleh jadikannya model hibrid yang lebih menarik dan sporty. Teknologinya sudah ada. Hanya cara kamu talanya sahaja.”

    Apa yang van Zyl katakan ini agak sama seperti apa yang disebut oleh ketua jurutera Corolla Hatchback, Yasushi Ueda. Dalam laporan sebelum ini, Ueda mengatakan Corolla tersebut dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang turut digunakan sebagai asas untuk crossover Toyota C-HR dan Prius generasi baharu. Jadi selain dari mempunyai titik graviti rendah yang memudahkan ia ditala bagi memberikan pemanduan lebih berprestasi tinggi, ia juga tidak mempunyai masalah untuk diberikan unit janakuasa hibrid.

    “Sudah tentu, untuk masa hadapan hot hybrid kedengaran sangat bagus,” kata Ueda. Sekiranya projek ini benar-benar menjadi kenyataan, kereta berkenaan berkemungkinan bakal dipacu dengan sistem pacuan semua roda – kuasa dari enjin petrol pada roda hadapan, sementara motor elektrik akan memacu gandar belakang, menurut laporan dari Drive berkenaan.

    Sejak generasi pertama, Toyota Corolla sering dikaitkan dengan ‘kereta keluarga’, tetapi sebenarnya Corolla sememangnya telah mempunyai varian lebih sportynya sendiri bermula dengan Sprinter KE15 pada tahun 1968, dan yang terakhir pasangan kembar Levin/Sprinter Trueno AE111 pada tahun 2000.

    Jika benar Corolla ini dihasilkan kelak, tak dapat beli pun kita bakal terhibur dengan pertarungan klasik sambungan dari Levin/Trueno BZ-R AE111 Vs. Civic EK9 Type R, dan melihat bagaimana Toyota terjun ke kancah persaingan hot-hatch global yang kini disertai oleh Honda Civic Type R FK8, Volkswagen Golf GTI, Hyundai i30 N dan juga Renault Megane RS.

    Selain dari Gazoo Racing, penala persendirian yang dilantik sebagai salah satu badan perlumbaan dan penala rasmi Toyota sejak era 70’an iaitu Tachi Oiwa Motor Sports atau lebih dikenali sebagai TOM’S turut telah mengumumkan visi mereka bagi menghasilkan Corolla hatchback yang lebih sporty versi mereka sendiri, digelar TOM’S Toyota Corolla Sport.

    GALERI: Toyota Corolla Hatchback generasi baharu pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Ford Mondeo Hybrid wagon tiba di Eropah pada 2019

    Ford Mondeo Hybrid wagon tiba di Eropah pada 2019

    Ford telah mengumumkan bakal memperkenalkan versi wagon bagi Mondeo Hybrid di Eropah pada tahun 2019, yang akan menyertai barisan model sedan sedia ada. Wagon hybrid ini adalah sebahagian daripada facelift bagi Mondeo.

    Menurut pengeluar automotif terbabit, Mondeo Hybrid wagon sesuai untuk pelanggan yang “membawa muatan yang besar tetapi mahu menikmati pacuan daripada penjana kuasa elektrik tanpa sebarang kebimbangan”. Dibangunkan eksklusif untuk pasaran Eropah, model ini bakal ditawarkan dalam beberapa kemasan termasuk Vignale.

    “Untuk kebanyakan pelanggan, praktikaliti yang ditawarkan oleh gaya estate ini adalah sangat diperlukan, jadi kami teruja untuk mengumumkan bahawa pada tahun hadapan, bagi pemandu yang mahu mengurangkan kos penggunaan bahan api petrol -penjana kuasa eletrik dari Mondeo Hybrid baharu ini adalah pilihan yang tepat,” ujar Roelant de Waard, timbalan presiden, Jualan dan Perkhidmatan Pemasaran Ford Eropah.

    “Penjana kuasa elektrifikasi akan terus memainkan peranan penting bagi barisan produk kami di Eropah. Ford telah melabur sebanyak USD11 bilion dan merancang untuk mengeluarkan 16 model kenderaan elektrik sepenuhnya bagi portfolio global yang menjadi sebahagian daripada 40 EV menjelang 2022,” sambungnya lagi.

    Ford Mondeo Hybrid wagon akan mengunakan penjana kuasa hibrid yang sama pada model sedan, dengan 2.0 liter kitaran Atkinson empat-silinder petrol, motor/penjana elektrik dan CVT. Selain bateri lithium-ion 1.4 kWh, dan penyejuk udara yang diletakkan di belakang tempat duduk belakang, dan ia boleh dicas menerusi penjana atau ketika membrek bagi sistem elektrikal 12 V.

    Secara keseluruhan, penjana kuasa ini mampu menyalur output sebanyak 187 PS, dan mendakwa mampu memberikan penjimatan bahan api dari 4.4 l/100 km dan emisi CO2 dari 101 g/km (WLTP) seperti sedan. Sistem lain yang ditampilkan pada Mondeo Hybrid termasuk pemampat pendingin hawa elektrik, water pump, vacuum pump dan juga inverter system controller.

    GALERI: Spyshot Ford Mondeo facelift

     
     
  • Yamaha R125 masuk pasaran Eropah, enjin VVA 125 cc

    Yamaha R125 masuk pasaran Eropah, enjin VVA 125 cc

    Semakin banyak pengeluar mtoosikal jenama terkenal melancarkan model berkapasiti rendah di Eropah, dan terbaru adalah Yamaha, melalui penawaran R125. Seperti yang boleh dilihat, banyak ciri pada model kelihatan sama dengan R15 termasuk kerangka Deltabox, panel depan dan belakang, meter LCD, ekzos serta lengan ayun.

    Walaupun begitu, tidak semuanya adalah sama dan anda boleh melihat ada perbezaan pada panel bahagian tepi serta rekaan rim. Sudah tentu, yang paling utama adalah enjinnya, di mana R125 ini menggunakan unit satu silinder, suntikan bahan api, SOHC, penyejukan cecair 124.7 cc lengkap dengan sistem Variable Vave Actuation (VVA). Transmisi pula adalah unit enam kelajuan.

    Kapasiti enjin ini dipilih supaya R125 dapat menepati keperluan pengguna lesen motosikal A1 di Eropah yang cuma membenarkan pemegangnya menunggang motosikal di bawah 125 cc dengan nisbah kuasa kepada berat motosikal yang tertentu. Kuasa maksimum R125 adalah 13.8 hp (15 PS) pada 9,000 rpm dan 12.4 Nm tork pada 8,000 rpm. Jika dibandingkan dengan R15 yang dipasarkan di Malaysia, bezanya cuma sekitar 5.5 hp dan 2.6 Nm.

    Pada bahagian hadapan, saiz rim serta tayar yang digunakan masih sama seperti R15, iaitu unit 17 inci dengan tayar 100/80, tetapi di belakang, rimnya menggunakan tayar lebih kecil iaitu 130/70 berbanding 140/70 pada R15. Jejari rim itu masih lagi 17 inci. Tangki bahan api pula besar sedikit daripada R15 iaitu 11.5 liter (+0.5 liter).

    Perincian lain pada R25 ini adalah termasuk fork USD 41 mm di hadapan, monoshock di belakang, berat keseluruhan 142 kg, tinggi tempat duduk 825 mm, lengan ayun aluminium, klac assist & slipper, panel meter lengkap dengan penunjuk gear serta lampu tukar gear (shift lamp) dan lampu depan LED.

     
     
  • Mercedes-AMG A45 generasi baharu akan terima lebih 400 hp, drift mode dan transmisi DCT 8-kelajuan

    Mercedes-AMG A45 generasi baharu akan terima lebih 400 hp, drift mode dan transmisi DCT 8-kelajuan

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Mercedes-AMG A45, sebuah hot-hatch yang tidak perlu dipertikaikan lagi tahap ‘gila’nya. Model sedia ada dari generasi W176 walaupun hanya dibekalkan dengan enjin berkapasiti 2.0 liter, namun suapan pengecas turbo standardnya yang sebesar pasu bunga membolehkan kereta berkenaan menjana 381 hp/475 Nm, seterusnya memberikan pecutan dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.2 saat.

    Pada Paris Motor Show 2019 yang sedang berlangsung, model generasi baharu W177 telah diperkenalkan dalam versi berprestasi tinggi, namun ia bukanlah A 45, sebaliknya ialah ‘adik’nya Mercedes-AMG A 35 yang lebih mampu milik dibekalkan dengan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 306 hp/400 Nm. Menurut boss AMG Tobias Moers, A 45 akan generasi baharu akan menyusul selepas ini dengan enjin yang lebih buas serta kelengkapan lain yang lebih maju, lapor CarAdvice.

    “Kesemuanya. 45, 45 generasi seterusnya adalah cerita baharu sepenuhnya. Ia diberikan banyak penambahbaikkan termasuk casis, sistem pacuan empat-roda baharu, yang tidak sama dengan apa yang kamu tahu sekarang,” kata Moers. “Ya, ia klac berkembar lapan-kelajuan, A 35 adalah tujuh-kelajuan, 45 akan menerima lapan-kelajuan,” tegasnya dalam menjelaskan bahawa model generasi baharu itu akan menerima kotak gear klac berkembar DCT lapan-kelajuan berbanding tujuh pada model sebelumnya dan juga A 35 AMG.

    Moers juga turut mengesahkan bahawa kereta berkenaan bakal menerima enjin yang berkuasa lebih 400 hp, menjadi aras baharu dalam kategori hot-hatch produksi.

    Mercedes-AMG A45 generasi baharu akan terima lebih 400 hp, drift mode dan transmisi DCT 8-kelajuan

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Model generasi sedia ada diberikan sistem pacuan semua roda 4Matic yang berasaskan pacuan hadapan, dan dapat mengalirkan tork ke gandar belakang sebanyak 50% jika diperlukan. Tetapi untuk A 45 generasi baharu kelak, tork berkenaan dapat dialirkan dengan lebih banyak kebelakang sehingga membolehkan kereta ini menggelangsar dalam kawalan di selekoh.

    “Casisnya berbanding hari ini…sukar untuk dipercayai. Kami mempunyai pelbagai suspensi dalam kereta tersebut dan ia adalah penambahbaikkan dalam setiap perspektif. Ia lebih selesa, lebih tegar dalam setiap arah, jadi kami laburkan banyak usaha dalam badan kereta tersebut. Banyak yang diperkukuhkan dan ia sangat sesuai. Okay…kamu boleh menggelangsar dengannya.” jelas Moers.

    Teknologi tersebut berkemungkinan adalah sama seperti mod Drift pada Mercedes-AMG E 63, iaitu sistem kawalan komputer yang membolehkan pemandu yang tidak mahir dengan aksi drift turut boleh melakukannya dengan kelebihan tork gergasi yang dihasilkan oleh enjin.

    Apabila ditanya bagaimana A45 baharu ini akan berinteraksi dengan pemandu, Moers menjelaskan bahawa sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang menggantikan sistem COMAND sedia ada akan memainkan peranan yang penting dalam memaparkan informasi dan memberikan pemandu untuk mengawal bacaan prestasi.

    “Kami mempunyai ciri yang benar-benar cool. Lebih kepada emosi. Kami mempunyai skrin yang super sport khas yang secara peribadi saya menyumbangkan banyak usaha dalam merekabentuknya. Anda akan diberikan track pace dan segalanya dalam aplikasi tersebut.”

    Pada model A 35 W177 yang telah diperkenalkan, fungsi istimewa AMG Track Pace pada sistem MBUX tersebut mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta berkenaan dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau. Ia berfungsi menerusi sistem GPS dan telah diberikan pra tetapan untuk litar Nürburgring atau Spa Francochamps.

    Peta paparan boleh dipilih dalam bentuk 2D atau 3D dan dikemaskini secara dalam talian. Ia turut disertakan dengan pengajar maya menerusi sistem fungsi A.I MBUX yang memberikan anda panduan bagi mendapatkan masa lap yang lebih pantas.

    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG A 45 W177

    GALERI: Mercedes-AMG A 35 W177

     
     
  • Valtteri Bottas: pelumba Finland yang suka adrenalin

    Valtteri Bottas: pelumba Finland yang suka adrenalin

    Tahu tak apa perkara yang paling digemari oleh pelumba F1 kelahiran Finland, Valtteri Bottas, tentang Malaysia? Bagi seseorang yang membesar di negara dengan suhu sejuk seperi itu, kehangatan cuaca di sini menjadi satu hal yang sangat-sangat dihargainya – kecuali mungkin udara lembap yang hadir sekali.

    Valtteri lahir pada 28 Ogos 1989 dan mula menceburi sukan permotoran pada usia seawal enam tahun, dengan menyertai perlumbaan go-kart. Selepas melakar banyak kejayaan, termasuk sebagai juara tujuh tahun bersama pasukan kebangsaan Finland, beliau mula beralih dan naik setakuk lagi untuk berlumba di dalam siri Formula pula.

    Beliau memenangi kedua-dua perlumbaan bagi Formula Renault Eurocup dan Formula Renault Northern European bagi tahun 2008, mengungguli 17 daripada 28 perlumbaan. Selain itu, beliau juga sempat meluangkan masa berlumba di dalam siri Formula 3 sebelum menggalas tanggungjawab sebagai pemandu uji bagi pasukan Williams di dalam Formula 1 pada 2010.

    Kemudian, pada tahun 2013, Valtteri membuat penampilan pertamanya di dalam F1. Antara pencapaiannya sejurus selepas itu ialah menamatkan perlumbaan dikedudukan keempat dan kelima bagi Kejuaraan Pemandu bagi tahun 2014 dan 2015, sebelum meraih kemenangan sulungnya pada 2017 di Socchi (Russia) bersama Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport. Dengan rekod prestasi yang mengkagumkan, beliau kemudiannya berpeluang untuk berlumba bersama rakan sepasukan, Lewis Hamilton, yang dianggap sebagai pemandu terbaik F1 setakat ini.

    Valtteri Bottas: pelumba Finland yang suka adrenalin

    Bagaimana agaknya perasaan untuk berlumba sejak usia muda? Seronok atau tidak sekiranya kita boleh memilih kenderaan apa yang hendak dipandu setiap hari? Dan, jangan tak tahu, pada satu ketika Valtteri mempunyai seekor anjing yang dinamakan sempena Rubens Barrichello! Baru-baru ini kami berpeluang berbual dengan beliau melalui telefon untuk bertanyakan tentang hal-hal ini dengan lebih lanjut. Ikuti petikan perbualan berkenaan.

    PT: Secara ringkasnya, boleh ceritakan perjalanan anda berlumba di dalam F1 setakat ini, bermula dari siri perlumbaan Formula tempatan hinggalah ke peringkat dunia?

    VB: Dulu masa kecil, saya ada sebuah go-kart terpakai yang menjadi go-kart pertama. Saya akan berlatih bersungguh-sungguh, hampir setiap hari tak kira cuaca panas, hujan atau bersalji. Cuma, saya agak bertuah kerana dari usia muda, ibu bapa sering membawa saya ke litar, dan saya fikir itu banyak membantu untuk saya mempertingkatkan kemahiran. Saya sentiasa ingin lebih pantas pada setiap pusingan, jadi saya akan cuba cara berbeza untuk mencapainya.

    Tak lama selepas itu, saya dapat tajaan yang kemudiannya membolehkan saya untuk melangkah lebih jauh dalam kerjaya ini. Tetapi saya wajib meyakinkan mereka untuk terus bersama saya, dan untuk itu saya perlu membuktikannya dengan keputusan yang bagus. Seterusnya, saya naik satu per satu anak tangga ke tahap yang lebih tinggi. Ia tak selalunya mudah, bukan selalu saya jadi juara, tetapi persaingan yang diberikan sangat sengit dan untuk berjaya naik kemudiannya – sehingga ke siri Eropah – itu pengalaman yang sangat mengujakan.

    Valtteri Bottas: pelumba Finland yang suka adrenalin

    PT: Macam mana anda dapat yakinkan keluarga bahawa anda ingin mengejar impian untuk jadi pelumba?

    VB: Sebetulnya saya tak perlu meyakinkan mereka, kerana mereka sendiri dapat melihat betapa seronok dan asyiknya saya bila dapat memandu kereta dan berlumba – dengan semua emosi yang dapat saya rasakan ketika perlumbaan akan terpancar diwajah saya dengan sendirinya.

    Kadang-kadang ayah akan bertanya; “Kamu betul-betul yakin ingin berlumba secara serius?” Saya kemudiannya akan menjawab; “Kamu sedang melawak ke? Ini saja perkara yang ingin saya lakukan.”

    PT: Anda pernah ada seekor anjing yang namanya Barrichello. Boleh cerita sedikit apa kisah di sebaliknya?

    VB: Ya, betul. Keluarga kami pernah memiliki anjing jenis Labrador. Ketika saya dilahirkan, kami ada seekor bernama Rene, nama yang diambil dari Rene Arnoux. Selepas itu ada pula seekor lagi, dan kami berikan nama Ruben, sempena nama Ruben Barrichello!

    PT: Mengapa pilih nombor 77 untuk perlumbaan? Ada apa-apa keistimewaan?

    VB: Tak ada cerita atau sebab tertentu yang istimewa. Kebetulan dulu saya berlumba go-kart dengan nombor 77, dan saya memang sukakan nombor tujuh. Jadi ia kekal begitu sejak dulu.

    PT: Anda telah banyak kali menduduki kedudukan pertama ketika bersama Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport – petak pertama, kemenangan pertama. Apa lagi yang anda ingin capai bersama pasukan ini?

    VB: Lebih banyak kejuaraan. Itu saja.

    Valtteri Bottas: pelumba Finland yang suka adrenalin

    PT: Ada pesanan yang boleh diberikan kepada pelumba-pelumba muda yang turut sama ingin mengejar impian mereka menjadi pelumba?

    VB: Apa yang boleh saya katakan, sekiranya anda mempunyai minat mendalam terhadap sesuatu sukan, teruskan sahaja hasrat itu dan pastikan anda menyukainya. Jika anda suka apa yang anda lakukan, anda akan bekerja keras untuk melakukan yang terbaik. Jangan pernah berhenti meyakini diri sendiri. Seperti dalam F1, sesetengah orang mengatakan bahawa semua yang terlibat di dalamnya merupakan pemandu-pemandu yang bagus, dan sukar untuk menyertai kelompok itu. Tetapi, sejak kecil, saya selalu berfikir bahawa ada 20 pemandu dalam F1; jadi ada banyak ruang untuk terlibat sama dan semua itu tak mustahil. Apa saja boleh dikecapi asalkan anda menginginkannya.

    PT: Apa kereta kegemaran anda sepanjang zaman, dan apa yang ada di dalam garaj persendirian anda ketika ini?

    VB: Kereta kegemaran saya sebenarnya belum wujud sepenuhnya ketika ini; Mercedes-AMG Project One. Dalam garaj, saya hanya memiliki sebuah kereta sahaja sekarang. Saya selalunya hanya akan ada sebuah kereta dalam satu-satu masa, dan sekarang saya memandu Mercedes-AMG GT S.

    Valtteri Bottas akan berlumba bersama pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport bagi musim 2019, dengan kontraknya dijangka dilanjutkan sehingga 2020.

     
     
  • Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

    Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

    Ada beberapa perkembangan terbaru berkaitan projek kereta nasional ketiga, yang pertama kali disuarakan oleh Tun Mahathir sebelum ini. Seperti yang dikongsikan dengan satu sidang media pagi ini, paling utama ialah pengumuman lantikan Malaysian Industry-Government Group For High Technology (MIGHT), sebuah agensi kerajaan yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri, sebagai koordinator utama bagi projek berkenaan.

    Hadir sama dalam sesi berkenaan ialah Menteri Pembangunan Usahawan, YB Mohd Redzuan Yusof dan juga CEO MIGHT, Datuk Dr Yusoff Sulaiman. Idea umumnya ialah, MIGHT akan berperanan sebagai koordinator, yang antara lain bagi menghubungkan atau menyelaraskan teraju kerjasama dari pelbagai pihak (termasuk agensi-agensi kerajaan sedia ada dan juga pihak swasta) untuk menjayakan misi ini, dan untuk itu, akan menyediakan satu platform atau kitaran sistem bagi tujuan berkenaan.

    Kita tahu, sebelum ini ada agensi-agensi atau kementerian lain yang terlibat secara langsung di dalam sektor automotif negara. Sebagai contoh terdekat, Institut Automotif Malaysia (MAI) dan juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Berkali-kali di dalam sesi berkenaan kedua-dua mereka menyatakan bahawa Malaysia mempunyai kekuatan, kepakaran serta sumber untuk bergerak ke arah membangunkan kereta nasional ketiga. Ini termasuk pemain-pemain industri penting dari sektor yang lain, yang boleh menyumbang kepakaran mereka untuk tujuan berkenaan.

    Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

    Antara yang disebut-sebut ialah SilTerra Malaysia Sdn Bhd, yang berpusat di Taman Teknologi Kulim, yang kini antara lain menghasilkan cip semikonduktor yang digunakan pada produk Apple. Selain itu, sebuah lagi syarikat yang turut disebut ialah Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) yang berpusat di Johor, yang berada di depan dalam penghasilan material komposit.

    Tentulah tidak diragukan keupayaan sektor-sektor berasingan ini dalam lapangan masing-masing. Bahkan yang kita miliki ini boleh saja menjadi yang terbaik di dunia sebagai penyedia komponen-komponen untuk industri yang pelbagai. Dan, seperti yang dicadangkan oleh YB Redzuan, usaha projek kereta nasional ketiga ini dijangka akan membuka ruang untuk memperdayakan lagi penglibatan pembekal-pembekal tempatan di dalam industri berteknologi tinggi seperti itu. Ini sangat jelas dan boleh difahami, dan kita yakin dengan kemampuan Malaysia.

    Tetapi, apa yang kita tahu tentang arah tuju kereta nasional ketiga ini? Kedua-dua wakil ini menjelaskan bahawa ia akan terarah kepada kenderaan dengan sistem tenaga diperbaharui. Dalam bahasa mudah, kita kenalinya sebegai kenderaan yang hadir dengan teknologi elektrifikasi. Boleh jadi hibrid, PHEV, atau boleh jadi juga kenderaan elektrik sepenuhnya.

    Ini masih belum dinyatakan dengan jelas. Tentang platform kenderaan mana yang akan digunakan (ada dinyatakan bahawa ia akan menggunakan platform modular), enjin atau sistem janaan dari mana, teknologi bateri dan sebagainya, semua itu masih menunggu masa untuk ditetapkan dan kemudiannya diumumkan.

    Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

    Ada juga penjelasan bahawa kereta baru itu nanti akan dilengkapi dengan pelbagai ciri termaju. Sistem pemanduan semi-autonomous, atau autonomous sepenuhnya menjadi penanda aras. Semua ini, jika ingin dilaksanakan, memerlukan persediaan lanjut yang lebih kompleks; misalnya penyediaan kemudahan prasarana yang berkaitan dan juga kesediaan pasaran tempatan.

    Isyarat daripada kereta kepada sistem lampu trafik, komunikasi antara kenderaan dengan kenderaan lain, sistem radar dan isyarat dari bangunan kepada kenderaa, sistem radar pada kereta untuk mengecam simbol pada papan tanda dan sebagainya. Semua ini ada disebutkan ketika taklimat berkenaan.

    Cuma, yang menggusarkan ialah berkaitan tempoh waktu yang diperlukan untuk kereta ini mula “roll-out” dan berada di atas jalan (walaupun dalam jumlah yang kecil dan bukan model prototaip), sasaran yang disebutkan ialah pada tahun 2020. Ini bermakna, projek ini hanya mempunyai tempoh dua tahun untuk direalisasikan. Dua tahun sahaja masa diperlukan untuk membangunkan sebuah kereta baru dengan teknologi elektrifikasi maju? Biar betul?

    Tetapi YB Redzuan dan MIGHT sangat optimis dengan tempoh itu. Kami tertanya-tanya bagaimana itu dapat dilakukan. Untuk menghasilkan sebuah kereta dari kosong bukanlah perkara main-main. Apa lagi ia memang disasarkan untuk dijual dalam pasaran, termasuk fokus utama ke pasaran eksport. Kereta dengan teknologi kompleks seperti yang dicanangkan ini rasanya memerlukan masa yang lebih daripada itu untuk dihasilkan.

    Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

    Walaupun kita mungkin mempunyai kepakaran dari banyak sektor industri berasingan yang diperlukan untuk membangunkan sebuah kereta dengan teknologi elektrifikasi, tetapi untuk menjadikannya berhasil dan berfungsi seperti yang sepatutnya memerlukan masa dan bukan dilakukan dengan tergesa-gesa.

    Untuk menjalankan ujian menyeluruh kepenggunaan, kajian pasaran, menyediakan prasarana dan sebagainya. MIGHT juga ada menyebut tentang Cyberjaya yang akan dijadikan “lapangan ujian” untuk kereta ini, tetapi tidak dinyatakan dengan perincian selebihnya.

    Tentang dana yang diperlukan untuk projek berkenaan, ia juga masih belum dinyatakan dengan jelas. Berapa kos diperlukan oleh projek ini masih belum diketahui (kajian tentang ini sudah dimulakan atau belum?). Bagaimanapun, dinyatakan sekali lagi bahawa ia akan menggunakan sepenuhnya pelaburan dari sektor swasta untuk menjayakan rancangan ini. Pelaburan yang bagaimana, juga belum diterangkan.

    Sekadar untuk membayangkan kemungkinan-kemungkinan yang ada, berdasarkan tempoh waktu sesingkat dua tahun yang dinyatakan itu. Apakah pihak-pihak swasta itu nanti akan “melabur” dalam bentuk membekalkan komponen dan kepakaran yang perlu?

    Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

    Sekadar dijadikan contoh, misalkan Toyota, atau mana-mana saja syarikat automotif luar yang mempunyai kepakaran, ingin menawarkan platform kenderaannya untuk projek ini dengan nilai tertentu, adakah itu akan menjadikannya sebagai pihak berkepentingan (stake holder) di dalam projek berkenaan?

    Jika ya, bagaimana kita ingin menggelarkan kereta ini sebagai kereta nasional sedangkan pihak-pihak yang berkepentingan di dalamnya terdiri daripada senarai panjang rakan-rakan kongsi dari luar negara? (Kerana ini cara paling cepat untuk capai sasaran berkenaan). Bukankah kritik yang sama ini dihalakan kepada Proton sehingga terlucutnya “status” syarikat kereta nasional sebaik saja hampir separuh kepentingannya diambil alih oleh Geely?

    Pertanyaan-pertanyaan ini sangat menarik untuk diperhalusi dan sewajarnya mendapat penjelasan yang lebih terperinci. Mungkin sekarang bukan masanya untuk kita tahu lebih lanjut. Apa yang akan berlaku selepas ini? Kenalah tunggu pengumuman seterusnya daripada MIGHT.

     
     
  • Triumph Street Scrambler 2019 – lebih kelengkapan

    Triumph Street Scrambler 2019 – lebih kelengkapan

    Selain model Street Twin, Triumph juga ada membawa model baru Street Scrambler 2019 ke pameran INTERMOT di Jerman. Memandangkan dua model ini menggunakan asas yang sama, peningkatan yang diberi juga adalah sama, bermula pada bahagian enjin, yang kini berkuasa 65 PS (naik 10 PS/18%), tork 80 Nm dan had kitaran tertinggi enjin telah dinaikkan sebanyak 500 rpm.

    Kemudiannya pada bahagian elektronik, Street Scrambler juga kini dilengkapi dengan dua pilihan mod tunggangan (Road dan Rain), brek ABS, sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup, soket pengecas USB, lampu belakang LED, immobiliser dan klac jenis Torque Assist.

    Pengendalian Street Scrambler juga dijadikan lebih baik dengan penggunaan katrij fork hadapan berspesifikasi tinggi dengan jarak gerak 120 mm serta angkup brek Brembo baru. Ini melengkapi ciri lain Street Scrambler seperti pemegang yang lebar, tempat letak kaki lebih ke hadapan, rim lidi 19 inci di hadapan serta tayar Metzeler Tourance yang diberikan secara standard.

    Untuk penampilan, model tahun 2019 ini dilengkapi dengan panel tepi yang diletakkan dengan logo lebih kontemporari, panel instrumen gaya baru, tempat duduk berorientasikan jelajah dengan gabungan fabrik dan kulit tahan lasak serta jarak antara fork yang lebih lebar. Pilihan warna yang disediakan pula adalah Fusion White, Cranberry Red dan Khaki Green.

    Selain pilihan aksesori yang pelbagai dalam katalog Triumph, pembeli juga boleh mendapatkan kit khas Urban Tracker yang akan menjadikan motosikal ini lebih lengkap bersama beg barangan di tepi, ekzos Vance & Hines, penutup tempat mengisi minyak hitam aluminium CNC, jeriji di depan lampu, pelindung bawah enjin dan beberapa lagi aksesori lain.

     
     
  • Yamaha Tracer 700GT diperkenal, lebih berkemampuan

    Yamaha Tracer 700GT diperkenal, lebih berkemampuan

    Di pasaran Eropah, Yamaha ada menjual Tracer 700, dan kini untuk tahun 2019, Tracer 700GT pula diperkenalkan. Ia adalah sebuah model yang lebih berkemampuan, dengan penghadang angin lebih tinggi di hadapan, tempat duduk ergonomik serta kotak barangan yang boleh memuatkan 20 liter setiap sisi.

    Enjin untuk model ini masih adalah sama, seperti juga model MT-07 yang dipasarkan di negara kita, iaitu unit dua silinder selari crossplane 689 cc bersama kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 74.8 PS pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Kelebihan lain yang ada pada model Tracer 700GT ini adalah tangki bahan api 17 liter (14 liter pada MT-07), lengan ayun lebih panjang yang menjadikan jarak rodanya 1,450 mm (1,400 mm bagi MT-07) serta suspensi belakang dengan jarak gerak 142 mm (pada MT-07 cuma 130 mm). Warna yang ditawarkan untuk Tracer 700GT adalah Phantom Blue, Tech Black dan Nimbus Grey.

    Sementara itu, semasa pameran INTERMOT yang sedang berlangsung juga, Yamaha juga telah menunjukkan versi baru Tracer 900, tetapi perubahan yang diberi cuma pada grafik dan pilihan warna. Ia kini boleh didapati dalam warna Nimbus Grey dengan kontras jalur merah, sementara warna Tech Black yang ditawarkan sebelum ini masih lagi berada dalam pilihan.

    Bagi model Tracer 900GT, ia boleh didapati dengan tambahan pilihan satu lagi warna iaitu Phantom Blue, dan model ini mempunyai kelengkapan yang lebih premium seperti fork berwarna emas, kotak barangan di tepi, penghadang angin lebih tinggi serta panel instrumen TFT-LCD.

     
     
  • MINI, Rolls-Royce henti produksi di UK kerana Brexit

    MINI, Rolls-Royce henti produksi di UK kerana Brexit

    Walau pun BMW Group berkata mereka tidak akan menutup kilang-kilangnya di United Kingdom atas sebab Brexit, namun fasiliti tersebut masih menghadapi gangguan sementara selepas 29 Mac 2019, iaitu tarikh UK bakal dijadual bakal meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

    Fasiliti tersebut melibatkan kilang MINI di Oxford, yang menggantung operasi selama empat minggu, sementara fasiliti Rolls-Royce di Goodwood pula digantung selama dua minggu. Langkah ini diambil disebabkan ketidakstabilan Brexit dan mahu meminimakan gangguan rantaian bekalan ketika UK keluar dari EU.

    Dalam kenyataan rasminya, Rolls-Royce berkata, “kami percaya adalah sukar dan agak terganggu disebabkan Brexit, tapi sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, apa yang diperlukan ialah merancang untuk menghasilkan sesuatu yang paling mencabar. Keputusan kami dibuat demi kepentingan perniagaan, tenaga kerja dan pelanggan kami pada masa yang sesuai, berdasarkan maklumat terbaik yang diperoleh.”

    BMW turut berkata yang senada dengan Rolls-Royce, “sebagai organisasi yang bertanggungjawab, kami telah menjadualkan tempoh penyelenggaraan tahunan pada tahun hadapan di MINI Plant Oxford bermula 1 April, apabila UK keluar dari EU, untuk meminima risiko gangguan rantaian bekalan sementara tersebut.”

    Sambungnya lagi, “Walau pun kami percaya ia merupakan senario terburuk, jadi kami harus merancang untuk menghadapinya. Apa pun kami tetap komited terhadap operasi kami di Britain, yang merupakan satu-satunya negara di dunia di mana kami mengeluarkan ketiga-tiga jenama automotif kami.”

     
     
  • VinFast LUX A2.0 sedan dan LUX SA2.0 SUV – jenama Vietnam berasaskan model BMW muncul di Paris

    VinFast LUX A2.0 sedan dan LUX SA2.0 SUV – jenama Vietnam berasaskan model BMW muncul di Paris

    Akhirnya dua buah model keluaran jenama automotif Vietnam –VinFast– membuat kemunculan sulung pertama ketika berlangsungnya Paris Motor Show. Pendedahan berkenaan turut mengumumkan nama rasmi untuk kedua-dua model iaitu VinFast LUX A2.0 untuk sedan dan Vinfast LUX SA2.0 bagi versi SUV. Majlis tersebut turut menampilkan lagenda bola sepak England David Beckham, manakala penghantaran kepada pelanggan-pelanggan akan bermula Jun 2019 dan eksportnya akan bermula pada 2020.

    Menurut VinFast, nama LUX berkenaan merujuk kepada “premium dan kualiti sofistikated” kereta-kereta tersebut, dan ‘A’ pula adalah untuk Ambition (cita-cita) yang mewakili “kualiti produk dengan standard kualiti sangat tinggi” di mana VinFast mensasarkan untuk menjadi peneraju jenama autmotif di Asia Tenggara, dan berkembang untuk menjadi jenama automotif global. Manakala ‘S’ pada LUX SA2.0 pula bermaksud SUV.

    Nama-nama ini dihasilkan dengan pendek, mudah untuk dibaca, senang untuk diingat serta sesuai untuk kebanyakkan bahasa di dunia. Selepas LUX, VinFast turut akan memperkenalkan model-model dengan nama lain yang mewakili kelas mereka dalam pasaran kenderaan.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kedua-dua model baharu berkenaan dihasilkan dari platform BMW. Untuk sedan LUX A2.0, ia diasaskan dari BMW 5 Series generasi F10, dan ia direka dengan sentuhan Pininfarina – menampilkan stance yang dinamik serta menggabungkan permukaan badan yang beralun. Secara keseluruhan, kereta ini dibina dengan dimensi 4,973 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,464 mm tinggi dan jarak roda 2,968 mm.

    VinFast LUX A2.0 sedan dan LUX SA2.0 SUV – jenama Vietnam berasaskan model BMW muncul di Paris

    Seperti BMW, sedan ini diberikan bonet hadapan yang panjang bagi memberikan sentuhan sporty, manakala mukanya pula dilengkapkan dengan lampu nyalaan siang LED tirus. Sekali pandang, gril utama kereta ini seolah-olah memaparkan abjad ‘VF’ atau VinFast, manakala pada bahagian tengah diberikan logo ‘V’ bersaiz kecil, dan ia seakan bersambung dengan garis pada bonet hadapan.

    Rekaan muka tersebut turut diterapkan pada bahagian belakang di mana sedan tersebut menerima unit lampu yang tirus, dan berhubung antara kedua-dua sisi merentangi penutup bonet belakang, dan logo ‘V’ diletakkan pada bahagian tengah. Liang udara turut diberikan pada bampar belakang yang kelihatan seperti bersambung dengan reflektor, manakala pada bahagian bawah diberikan dua tip ekzos bersegi.

    Bagi model SUV LUX SA2.0 pula, ia dibina menggunakan platform BMW X5 F15. Walau bagaimanapun, ia dihasilkan dengan dimensi 4,940 mm panjang, 1,960 lebar, 1,773 mm tinggi dan juga jarak roda 2,933 mm – jelas lebih besar dari X5.

    LUX SA2.0 turut menerima muka yang seiras dengan versi sedan, menampilkan rekaan lampu dan gril yang sama. Walau bagaimanapun, model lebih lasak ini diberikan kemasan hitam matte pada lampu utama, lampu kabus dan liang udara bagi “menaikkan deria yang kukuh dan berstruktur”, menurut VinFast.

    VinFast LUX A2.0 sedan dan LUX SA2.0 SUV – jenama Vietnam berasaskan model BMW muncul di Paris

    Walaupun model ini menerima rupa yang begitu sporty dengan menampilkan cermin hadapan dan belakang yang kecil, ia sebenarnya adalah SUV dengan tiga baris tempat duduk, membolehkan ia memuatkan tujuh-penumpang dan bukan model dengan hanya lima-tempat duduk. Kemasan pada tiang-D SUV ini juga memberikan imej yang lebih lincah, dan tidak menampakkan ia terlalu besar.

    Bahagian belakang SUV ini juga masih menerapkan rekaan sama, dengan lampu tirus, bersama grafik blok LED didalamnya. Ciri lain yang turut ditampilkan pada bahagian ini adalah kemasan hitam matte pada bahagian bawah bampar, diffuser berwarna perak dan juga tip ekzos heksagon.

    Masuk ke kabin pula, pemandu akan menerima roda stereng tiga jejari balutan kulit, pedal penukar gear dan juga paparan meter analog bersama paparan pelbagai info digital tujuh-inci pada bahagian tengah, Di pusat papan pemuka pula diletakkan skrin infotaimen bersaiz 10.4 seperti tablet.

    Skrin tersebut menampilkan sistem yang baharu direka, dan turut memaparkan status sistem penghawa dingin, sub-menu untuk telefon, audio dan sistem navigasi serta gestur gelangsar untuk shortcut sama seperti telefon pintar.

    Selain dari lampu suasana LED dalam ruang dalaman kereta-kereta tersebut, VinFast juga menggunakan bahan-bahan asli untuk kemasan bahagian berkenaan. Menurut jenama berkenaan, sekiranya anda lihat satu-satu panel itu seperti aluminium, ia adalah aluminum, dan jika anda lihat ia seperti kayu, ia adalah kayu. Kesemua material berkenaan hanya dibekalkan oleh satu syarikat iaitu Faurecia bagi memastikan aspek konsisten dan kualiti.

    Angka ‘2.0’ pada kedua-dua model ini adalah merujuk kepada kapasti enjinnya. Model-model tersebut menerima enjin petrol BMW N20 2.0 liter empat-silinder yang disuap oleh pengecas turbo twin-scroll bersama sistem injap bervariasi. Enjin berkenaan dihasilkan dengan dua talaan iaitu versi berkuasa 176 PS pada takat 4,500 rpm hingga 6,000 rpm/tork maksima 300 Nm bermula 1,750 hingga 4,000 rpm dan juga versi 231 PS pada takat 5,000 hingga 6,000 rpm/tork maksima 350 Nm bermula 1,750 hingga 4,500 rpm.

    Model LUX A2.0 sedan ditawarkan dengan kedua-dua versi enjin tersebut, manakala model SUV LUX A2.0 hanya diberikan enjin berkuasa 231 PS. Kedua-duanya jenis enjin tersebut digandingkan dengan hanya satu jenis kotak iaitu lapan-kelajuan automatik dari ZF, yang menampilkan perubahan pada bell housing dan crankcase. Model sedan hanya dipacu roda belakang, manakala model SUV diberi pilihan sistem pacuan semua roda yang diaktifkan dengan torque tranfer case dari BorgWarner.

    Kesemua sistem mekanikal tersebut membolehkan sedan berkuasa 176 PS memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat, manakala model berkuasa 231 PS memecut dalam jarak sama dengan masa 7.1 saat. SUV versi pacuan belakang pula dapat mencapai pecutan tersebut dalam masa 8.9 saat, berbanding model AWD yang lebih berat dengan masa 9.1 saat. Kereta-kereta keluaran VinFast ini memenuhi standard emisi Euro 5 walaupun pasaran Vietnam hanya menetapkan standard pada tahap Euro 4.

    Enjin BMW yang menjana kereta-kereta Vietnam ini sebenarnya telah diolah semula oleh AVL iaitu firma kejuruteraan dari Australia dengan menerapkan teknologi digelar AVL-Drive. Talaan yang diberikan adalah kearah kereta-kereta Eropah, memberikan respon yang lancar dan berkuasa tanpa perlu menurunkan gear untuk memecut.

    Untuk platform pula, 400 jurutera dari Magna Steyr iaitu konsultan kejuruteraan dari Austria ditugaskan bagi membangunkan sistem kenderaan baharu, termasuk sistem-sistem komputer baharu dari Bosch. Kerangka berkenaan dihasilkan menerusi penggunaan logam berketegaran sangat tinggi yang dicetak-panas. 300 prototaip telah diuji semasa pembangunan kereta ini di Vietnam dan di Eropah.

    Kedua-dua kereta juga direka dengan struktur monocoque ultra-tegar. Setiap struktur telah hasilkan bagi mempunyai frekuensi semula jadi yang tinggi, bagi memberikan rintangan terhadap getaran dan direka untuk menangani daya membengkok dan torsi. Hasilnya, ia memberikan lebih kawalan terhadap dinamik kenderaan dan VinFast mendakwa ia akan menawarkan kualiti pemanduan dan diperhalusi pada tahap kereta Eropah.

    Untuk suspensi pula, kedua-dua model menampilkan sistem double wishbone di hadapan, bersama lengan bawah dua-paksi, shock tower aluminium dan juga spring gegelung. Di bahagian belakang, sistem multilink dengn lima hubungan diberikan bersama rod track dan juga bar anti-oleng berbentuk tiub.

    Bagi keselamatan pula, model-model berkenaan menampilkan sel penumpang yang kuat dan teguh, memberikan perlindungan yang baik ketika perlanggaran berlaku. Enam beg udara didatangkan secara standard (dua hadapan, sisi dan tirai) untuk semua model, bersama sistem Active Rollover Mitigation.

    VinFast LUX A2.0 dan LUX SA2.0 akan diproduksi di kilang jenama berkenaan yang terletak di Haiphong, Utara Vietnam dengan keluasan 335-hektar. Ia merupakan antara projek industri terbesar Vietnam, dan ia juga didakwa sebagai antara kompleks produksi paling canggih di dunia.

    Selain dari dua model mewah ini, Vinfast turut akan menghasilkan kereta bandar berasaskan Chevrolet Spark, kereta elektrik sepenuhnya dibangunkan oleh EDAG, dan juga bas elektrik dengan sokongan dari Siemens. Kesemua ini akan muncul pada tahun 2020 kelak.

    GALERI: VinFast LUX A2.0

    GALERI: VinFast LUX SA2.0

     
     
  • KTM 1290 Super Duke R dan GT diberi pembaharuan

    KTM 1290 Super Duke R dan GT diberi pembaharuan

    Model 1290 Super Duke GT dan Super Duke R telah diperbaharui oleh KTM untuk tahun 2019. Bermula dengan model sports tourer GT, anda boleh melihat grafiknya telah diubah, selain mempunyai penghadang angin baru yang lebih aerodinamik dan boleh dilaras dalam beberapa kedudukan menggunakan satu tangan dengan lebih mudah.

    Pembaharuan yang lebih utama pada model ini sebenarnya adalah pada bahagian panel instrumen, di mana ia kini menggunakan unit skrin TFT berwarna penuh bersaiz 6.5 inci yang mempunyai paparan eksklusif serta masih mudah dilihat walaupun bawah cahaya terik matahari. Ia juga boleh disambung dengan aplikasi KTM MY RIDE untuk sistem navigasi dan aplikasi lain.

    Enjin model ini masih lagi sama iaitu unit dua silinder V 75 darjah 1,301 cc LC8, tetapi dinaik taraf dengan kebuk resonator, injap kemasukan serta pemetaan yang baru, sekaligus mampu menghasilkan kuasa sebanyak 175 hp dan 141 Nm tork. Prestasi model ini dikatakan lebih lancar pada rpm rendah, dan turut dilengkapi dengan Quickshifter+, membuatkan penukaran naik dan turun gear lebih mudah tanpa menggunakan klac.

    Pergi kepada model 1290 Super Duke R pula, pembaharuan yang diberikan untuk tahun 2019 ini lebih ringkas, iaitu cuma pada penampilannya sahaja, dan kini ditawarkan dalam pilihan dua warna iaitu hitam dan putih. Sebabnya, model ini sudah cukup berpotensi dan mempunyai barangan yang hampir lengkap bagi sebuah model naked sports.

    Enjin yang digunakan sama seperti 1290 Super Duke GT, tetapi kuasanya adalah lebih, menjadi 177 hp dan ia turut dilengkapi pelbagai ciri lain seperti brek Brembo, Motorcycle Stability Control yang termasuk cornering ABS, suspensi WP boleh laras, Quickshifter+, panel instrumen TFT dan pelbagai lagi.

     
     
  • Beberapa jalan di sekitar Klang, Shah Alam ditutup pada 7 Okt ini untuk acara Shah Alam Enduride 2018

    Beberapa jalan di sekitar Klang, Shah Alam ditutup pada 7 Okt ini untuk acara Shah Alam Enduride 2018

    Sempena dengan ulangtahun ke-18 bandaraya Shah Alam pada hujung minggu ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan beberapa jalan di sekitar Klang, dan Shah Alam yang akan ditutup pada 7 Oktober ini. Ia adalah bagi menjayakan penganjuran perlumbaan basikal iaitu Shah Alam Enduride 2018.

    Bermula dari jam 7 pagi hingga 1.30 tengahari pada tarikh berkenaan, jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan tersebut ialah Pekan Meru, Jalan Paip, Jalan Iskandar, Pekan Kapar, Jalan Kuala Selangor ke Teluk Intan, Pekan Bistari Jaya, Batu Arang, Jalan Kuala Selangor, Puncak Alam, Jalan Moktar Dahari dan Setia Alam.

    Justeru, pengguna jalan raya yang bakal melalui jalan-jalan berkenaan dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dan mematuhi arahan penguatkuasa yang bertugas mengawal lalu lintas.

     
     
  • Honda City kekal No.1 dalam segmen-B di Malaysia – catat jualan sebanyak 300,000 unit sejak tahun 2001

    Honda City kekal No.1 dalam segmen-B di Malaysia – catat jualan sebanyak 300,000 unit sejak tahun 2001

    Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) telah mengumumkan model City telah mencatatkan kejayaan yang tersendiri dengan kekal menduduki tangga pertama bagi segmen-B di Malaysia. Malah sejak model generasi keduanya dilancarkan di Malaysia pada tahun 2001, hingga kini City telah mencatatkan jualan sebanyak 300,000 unit!

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh HMSB, City generasi kedua yang dilancarkan 17 tahun yang lalu mencatatkan jualan lebih 61,000 unit, sementara model generasi ketiga pula dengan lebih 85,000. Bagi model generasi ke-empat yang dilancarkan pada 2014, ia mencatatkan jualan melebihi 155,300 unit. Manakala model yang dinaiktaraf yang dilancarkan pada Mac 2017 pula, sehingga Ogos 2018, sebanyak 48,900 unit jualan telah dicatatkan.

    Antara Januari hingga Ogos 2018, City telah menyumbang sebanyak 30% daripada keseluruhan jualan untuk Honda Malaysia, dengan perkongsian pasaran sebanyak 51% bagi segmen-B. Dalam tempoh yang sama, ia turut mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 16% berbanding 2017. Sekaligus mengekalkan kedudukan Honda Malaysia di tangga pertama dalam segmen bukan-nasional dan tangga kedua dalam keseluruhan TIV hingga tempoh tersebut.

    Honda City kekal No.1 dalam segmen-B di Malaysia – catat jualan sebanyak 300,000 unit sejak tahun 2001

    Mengikut pecahan bagi setiap varian pula, antara Januari hingga Ogos tahun ini, varian E mencatatkan jualan sebanyak 44%, sementara varian V pula 33%. Dengan jualan dari bahagian sentral mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 49%, diikuti dengan selatan (20%) dan utara (19%).

    “Kami sangat gembira dengan pencapaian City dalam mencapai jualan melebihi 300,000 unit ini dalam tempoh 17 tahun sejak ia diperkenalkan di Malaysia. Malah City generasi ke-empat adalah model terlaris bagi Honda Malaysia dan juga mendahului segmen-B di negara ini. Terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan kepercayaan mereka terhadap jenama kami, dan menjadikan City sebagai pilihan mereka,” ujar Pengarah Urusan dan CEO HMSB, Toichi Ishiyama.

    Dijual pada harga atas jalan (tanpa insurans) antara RM77,403 hingga RM84,205, City 2017 dijanakan oleh enjin 1.5L SOHC i-VTEC empat-silinder berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT. City 2017 ini turut diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dan Honda mendakwa, ia menawarkan penjimatan bahan api luar biasa dengan anggaran 5.7 liter bagi setiap 100 km.

    Ia turut disertai varian hibrid yang dijanakan oleh sistem Sports Hybrid i-DCD yang menggabungkan enjin petrol 1.5 liter i-VTEC DOHC kitaran Atkinson berkuasa 110 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 134 Nm, serta motor elektrik berkuasa 30 PS/160 Nm. Gabungan kedua-dua unit berkenaan menjadikan kuasa akhir City Hybrid ini pada 137 PS dan tork maksima 170 Nm.

    GALERI: Honda City Sport Hybrid i-DCD

    Honda City 2017 Varian V

    Honda City 2017 Varian E Modulo

     
     
  • Skoda Vision RS – 245 hp, pacuan EV capai 70 km

    Skoda Vision RS – 245 hp, pacuan EV capai 70 km

    Skoda Vision RS telah ditampilkan di Paris Motor Show, di mana Skoda turut memperkenalkan SUV Kodiaq RS baharu. Seperti yang pernah dikhabarkan sebelum ini, Skoda Vision RS dilengkapi penjana kuasa plug-in hybrid dengan unit petrol 1.5 liter TSI turbo yang mampu menghasilkan kuasa 150 hp, dipadankan dengan motor elektrik bersama 102 hp untuk memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 245 hp. Ia turut dipadankan dengan kotak gear DSG enam-kelajuan.

    Ia memberikan model konsep Vision RS ini dengan pecutan 0-100 km/j hanya 7.1 saat dengan 80-120 km/j dalam 8.9 saat, kelajuan maksimum mencecah 210 km/j, menurut Skoda. Bagi elektrifikasi, Vision RS ini mampu mencapai jarak pacuan sehingga 70 km dengan tenaga bateri semata-mata, dan mengikut enjin pembakaran dalaman pula, emisi CO2 dianggarkan 33 g/km.

    Model konsep ini turut didatangkan dengan bateri lithium-ion yang berkapasiti 13 kWh, dan boleh dicas menggunakan kabel dalam 2.5 jam menerusi stesen pengecasan, ujar Skoda. Vision RS ini juga boleh dicas menggunakan soket kuasa di rumah, begitu juga pemulihan tenaga sewaktu pemanduan. Walau bagaimana pun, Skoda belum mendedahkan perincian mengenai protokol pengecasan atau pun sambungan yang boleh digunakan.

    Skoda Vision RS – 245 hp, pacuan EV capai 70 km

    Vision RS menerima tiga mod pemanduan – Normal, EV dan Sport. Normal mendorong kereta mengoptimakan pacuan petrol dan elekrik, manakala mod EV pula memacu kereta menggunakan tenaga elektrik, sementara mod Sport menggunakan semua output yang ada yang diperlukan oleh pemandu.

    Model konsep ini ditampilkan dengan warna Xirallic crystal dengan efek biru, sementara komponen organik pula diwarnakan bagi merefleksikan haba untuk mengurangkan suhu dalaman, ujar Skoda. Sementara bahagian luaran juga memiliki visual yang kontras termasuk elemen gentian karbon hitam, pada bahagian gril radiator, spoiler hadapan dan belakang, cermin luaran, ambang sisi, corong udara dan juga diffuser belakang.

    Ia turut dilengkapi dengan roda aloi 20-inci, yang mampu mengoptimakan daya seretan dan menampilkan logo Skoda. Perincian gentian karbon juga ditampilkan pada roda.

    Di dalamnya, Skoda Vision RS menerima gabungan material kemasan yang bersifat mesra alam sekitar. Bahagian seksyen atas bagi tempat duduk balutan Alcantara ditampilkan tekstil karbon yang diperbuat daripada 100% polister kitar semula, sementara alas lantai pula menggunakan tekstil Pinatex, di mana gentian ini diekstrak daripada daun pokok nenas, ujar Skoda.

    Konsol tengah pula dilingkari dengan gentian karbon, sementara kemasan dekorasi pula diperbuat daripada kaca kristal yang disifatkan “memiliki iluminasi yang unik”, senada dengan skrin sesentuh sistem infotaimen. Penarik pintu pula ditambahkan gaya ala perlumbaan, sementara kemasan pintu menampilkan gentian karbon.

    Selain itu, ia turut menampilkan roda stereng yang kelihatan sporty, sementara pad tengah pula memaparkan tema segitiga kecil yang merentangi segenap ruang dalaman Vision RS ini. Menurut Skoda, rekaan ini adalah “DNA bagi Skoda untuk model masa hadapan mereka”, ini bermakna model konsep ini menjadi teaser bagi estetika akan datang untuk jenama ini.

     
     
  • Ducati Scrambler dipertingkat untuk model tahun 2019

    Ducati Scrambler dipertingkat untuk model tahun 2019

    Selain menunjukkan model asas Scrambler Icon yang telah dipertingkat untuk tahun 2019, Ducati juga memperkenalkan tiga variasi model Scrambler iaitu Full Throttle, Cafe Racer dan Desert Sled yang juga mempunyai pembaharuan tersendiri.

    Secara asasnya, enjin yang digunakan pada semua model ini masih lagi sama iaitu unit v-twin 803 cc yang menghasilkan kuasa 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 5,750 rpm, tetapi bahagian crankcase kini diwarnakan hitam. Selain daripada itu, model Scrambler ini juga menerima unit baru lampu hadapan LED dengan DRL serta lampu penunjuk arah LED yang boleh tutup sendiri, sementara klac pula lebih ringan.

    Sistem brek dengan cornering ABS two-channel juga kini datang secara standard bagi semua model Scrambler, tetapi varian Desert Sled diberikan dengan mod off-road. Suis kawalan yang berada pada bahagian pemegang kini direka supaya lebih ergonomik, dan penunggang boleh menggunakannya dengan lebih mudah untuk melaras tetapan.

    Bagi model Full Throttle, penampilannya kini diubah dengan grafik hitam kuning dua tona, bersama jalur putih serta penutup tempat duduk belakang yang berbentuk seperti motosikal lumba. Rekaan pada Scrambler Full Throttle baru ini banyak mendapat inspirasi daripada motosikal lumba flat track dan dapat dilihat pada bahagian tempat duduk, pemegang yang lebih rendah serta ekzos Termignoni yang boleh digunakan atas jalan biasa.

    Scrambler Cafe Racer 2019 pula didatangkan dengan rim 17 inci yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso III, dan datang sekali dengan silinder master brake radial seperti motosikal prestasi moden yang lain. Warna gabungan biru pada kerangka dan Silver Ice Matt pada panel badan motosikal ini adalah mendapat inspirasi daripada jentera tahun 60-an, terutamanya 125GP Desmo.

    Melihat kepada model Scrambler yang paling berkemampuan untuk meredah jalan offroad pula, iaitu Desert Sled, ia diperbaharui dengan tempat duduk lebih tinggi (860 mm) serta kerangka yang diwarnakan merah. Lengan ayun model ini juga adalah spesifik cuma untuknya dan diperbuat daripada aluminium.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025