Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri VKX dan SWH dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Sabah dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WPKL, VKX, telah pun dibuka bidaan mulai hari ini, 26 Mei 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 30 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 31 Mei 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SWH, akan boleh mula dibida pada 2 Jun 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 6 Jun, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 7 Jun 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Hari Bebas Kenderaan PJ pada Ahad ini, 28 Mei – beberapa jalan bakal ditutup secara berperingkat

    Hari Bebas Kenderaan PJ untuk edisi tahun 2023 bakal dilaksanakan pada Ahad ini, 28 Mei, bertempat di Laman MBPJ, Seksyen 52. Untuk menjayakan pelbagai acara yang telah diaturkan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengumumkan beberapa jalan di sekitar PJ akan ditutup.

    Menurut MBPJ, penutupan jalan membabitkan lokasi program iaitu di sepanjang Jalan Yong Shook Lin iaitu bermula dari IJM Land hingga Menara Choy Fook On pada tarikh berkenaan dari jam 6 pagi hingga 12 tengahari.

    Hari Bebas Kenderaan PJ pada Ahad ini, 28 Mei – beberapa jalan bakal ditutup secara berperingkat

    Manakala penutupan sebelah jalan berperingkat turut dilaksanakan bagi menjayakan salah satu programnya iaitu PJ Fun Purple Walk. Acara larian ini akan bermula di Laman MBPJ dan melalui Jalan Selangor-Jalan Sultan-Jalan Penchala-Jalan Templer-Jalan Selangor-Jalan Sultan-Jalan Yong Shook Lin dan tamat di Laman MBPJ. Penutupan jalan terbabit adalah secara berperingkat dari jam 6 pagi hingga 9 pagi.

    Untuk acara Hari Bebas Kenderaan PJ ini, orang ramai berpeluang menyertai pelbagai acara yang dianjurkan, selain bebas untuk berlari, berbasikal dan meluncur di jalan raya yang bebas dari laluan trafik, sepanjang pentupan jalan pada waktu yang ditetapkan.

    Selain PJ Fun Purple Walk, acara lain yang turut dianjurkan termasuklah pertandingan lato-lato, pertandingan memasak, pertandingan mewarna, permainan tradisional, Teater Bangsawan, zumba, jualan barangan terpakai, saringan kesihatan dan banyak lagi.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2.0L diesel 2023 dilancar di M’sia pada 9 Jun ini, boleh didapati mulai 8 Jun; ROI dibuka

    Ford Ranger Raptor 2.0L diesel 2023 dilancar di M’sia pada 9 Jun ini, boleh didapati mulai 8 Jun; ROI dibuka

    Ford Ranger Raptor terkini yang dijual di Malaysia ialah varian 3.0L biturbo V6 petrol, dengan kuasa 397 PS dan tork 591 Nm. Tidak lama lagi, versi diesel pula akan diperkenalkan seperti mana yang diumumkan oleh pengedarnya di sini, Sime Darby Auto Connexion (SDAC), yang mendedahkan jentera ini boleh didapati mulai 8 Jun ini, dan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada 9 Jun 2023.

    Enjin diesel bagi Ranger Raptor dipacukan oleh unit 2.0 liter bi-turbo diesel, yang mampu menghasilkan kuasa hingga 210 PS dan tork 500 Nm. Turut dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan. Angka kuasa ini lebih kurang dengan yang dihasilkan oleh Ranger Raptor generasi sebelumnya.

    Pelancaran Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel akan disempurnakan di MRANTI Open Space berhadapan Pavilion Bukit Jalil, dan 300 tempahan pertama untuk varian ini akan menerima pemasangan sistem perakam dashcam Kenwood dengan kamera hadapan quad-HD dan kamera belakang HD penuh.

    Pelanggan juga bakal menerima diskaun one-off bernilai RM500 untuk Ford Ranger Getaways, yang boleh ditebus sewaktu menerima Ranger Raptor diesel ini.

    Ford Ranger Raptor 2.0L diesel 2023 dilancar di M’sia pada 9 Jun ini, boleh didapati mulai 8 Jun; ROI dibuka

    Ford Ranger Raptor 3.0L V6 2022 di Malaysia

    Suspensi trak pikap ini lebih kurang sama dengan versi 3.0L V6 twin-turbo yang direka semula sepenuhnya, kini dengan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox.

    Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran sehingga 50% berbanding model sebelum ini. Karekter lantunan semula, kadar spring, ketinggian kenderaan dan tetapan injap kini ditala bagi memberikan keseimbangan terbaik antara prestasi atas jalan raya serta off-road.

    Buat masa ini, Ranger Raptor 3.0L V6 ditawarkan pada harga atas jalan RM259,888 tanpa insurans, manakala model tertinggi untuk Ranger biasa, Wildtrak pula berharga RM169,688 tanpa insurans. Dengan kapasiti enjin yang lebih kecik, Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel dijangkakan ditetapkan harga dengan dua varian tersebut. Apa pun kena nantikan pelancarannya awal bulan hadapan.

    GALERI: Ford Ranger Raptor 3.0L V6 Twin-Turbo Ecoboost 4WD 10AT 2022 di Malaysia

     
     
  • KTM 450 SMR 2024 diperkenal – penampilan baharu

    KTM 450 SMR 2024 diperkenal – penampilan baharu

    Baru berada dalam bulan Mei tahun 2023, KTM sudah memperkenalkan versi baru bagi supermoto terkenal mereka, iaitu 450 SMR. Bagi yang suka mengejar teknologi, anda bagaimanapun tidak perlu risau kerana model baru ini hanya diberikan perubahan grafik sahaja.

    Dalam keadaan sebelum ini juga, 450 SMR sudah cukup berkemampuan, dengan KTM memanggilnya sebagai satu tanda aras dalam dunia supermoto, bermula dengan enjin satu silinder SOHC 450 cc 63 hp yang mempunyai berat cuma 27 kg dan dilekapkan kepada casis baru yang diperkenalkan pada model tahun 2023.

    Motosikal khas untuk kegunaan litar ini menggunakan transmisi lima kelajuan, dengan klac slipper SUTER, yang boleh menjadikan roda belakang lebih stabil apabila penukaran gear dibuat sambil membrek kuat. Quickshifter juga datang secara standard.

    KTM 450 SMR 2024 diperkenal – penampilan baharu

    Pada bahagian suspensi, 450 SMR menggunakan padanan fork WP XACT 48 mm dan monoshock WP XACT, dengan kedua-dua boleh dilaras sepenuhnya. Brek menggunakan unit daripada Brembo, dengan cakera 310 mm serta angkup empat piston di hadapan, dan cakera 220 mm dengan angkup dua piston di belakang.

    Kelengkapan lain yang diberikan bersama 450 SMR adalah dua mod kuasa, launch control, traction control, tangki bahan api 7.2 liter, pemegang Neken, rim Alpina bersaiz 16.5 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, penghidup enjin elektrik serta bateri Li-ion.

     
     
  • EON Berhad dilantik jadi pengedar rasmi smart di Malaysia – smart #1 bakal dijual mulai suku ke-4 2023

    EON Berhad dilantik jadi pengedar rasmi smart di Malaysia – smart #1 bakal dijual mulai suku ke-4 2023

    Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) telah melantik cabang pemasaran automotif DRB-HICOM, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sebagai pengedar rasmi smart Malaysia. Menurut PRO-NET, pelantikan EON adalah sebagai sebahagian daripada keluarga smart Malaysia bagi menambah jumlah pengedar elit yang dilantik. Sebelum ini, PRO-NET mementerai perjanjian dengan Hap Seng Smart manakala lima lagi pengedar baharu bakal diumumkan kelak.

    Tambahnya, kerjasama tersebut juga mampu meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama kenderaan elektrik (EV) di kalangan pembeli kereta di Malaysia ke arah memperkenalkan SUV smart #1 pada suku ke-empat tahun 2023.

    Sebagai salah satu pengedar pelbagai jenama terbesar negara yang mewakili jenama automotif terkenal termasuk Proton, Audi, Mitsubishi dan Volkswagen, pelantikan EON mencerminkan komitmen PRO-NET untuk menembusi pasaran EV yang semakin rancak di Malaysia, kata PRO-NET.

    Dalam masa yang sama, perkongsian ini mempamerkan satu lagi pencapaian bersejarah bagi Proton dan kumpulan anak syarikatnya sejak hampir empat dekad lalu, di mana syarikat itu dan EON mempelopori evolusi industri automotif Malaysia apabila EON dilantik sebagai pengedar kereta Proton eksklusif dan yang pertama.

    EON Berhad dilantik jadi pengedar rasmi smart di Malaysia – smart #1 bakal dijual mulai suku ke-4 2023

    “Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan jenama yang kukuh dan dipercayai di dalam industri automotif. PRO-NET yakin dengan pengetahuan dan pegalaman luas EON ditambah dengan capaian pelanggan DRB-HICOM yang sangat luas akan mewujudkan sinergi ideal yang mampu mendorong wawasan smart Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

    “Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan yang mempunyai prestasi cemerlang di dalam industri ini untuk memperkenalkan pelbagai produk, perkhidmatan dan pengalaman jenama premium,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

    “EON komited untuk menyumbang ke arah kejayaan perkongsian baharu ini. Kami diterajui oleh pasukan dinamik yang mempunyai pengalaman yang luas. Ia memberi kelebihan kepada kami untuk mewujudkan sinergi dengan smart Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk smart #1 dalam usaha menghasilkan impak ketara kepada pasaran tempatan,’ kata Akkbar Danial, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM.

    PRO-NET turut percaya kecemerlangan automotif bukan hanya sekadar mencipta kenderaan terbaik
    malah turut menyediakan kemudahan yang mewah dan pegalaman yang unik kepada pelanggan. Pelantikan pengedar baharunya adalah sebahagian daripada strategi smart Malaysia untuk menjadikan jenama auto terbaru-premium, pintar dan elektrik sepenuhnya menjadi teman pemanduan dalam bandar yang ideal kepada para pembeli EV di Malaysia.

    Sebahagian daripada strategi ini ialah memperkenalkan aplikasi pintar yang membolehkan pelanggan memulakan perjalanan digital dan menikmati perkhidmatan dalam talian – daripada mendapatkan maklumat produk sehinggalah kepada membuat pesanan dan pembayaran dengan mudah dan selesa.

    Selain itu, ia juga menyediakan akses mudah kepada peta pengecasan EV dan kemudahan pengecasan DC, yang membolehkan pemilik kereta smart sentiasa memastikan kereta eletrik mereka boleh dicas sepanjang perjalanan bagi menikmati rutin pemanduan harian yang lebih baik.

    Pengedar smart juga dilengkapi dengan sokongan perkhidmatan dan jualan sepenuhnya untuk memberi pelanggan ketenangan fikiran selain menawarkan pengalaman premium dan perkhidmatan tambahan lain termasuk perkhidmatan baik-pulih dan pengecasan pantas serta pusat pengedaran.

    “Pasukan kami telah mencapai kemajuan yang menakjubkan sejak kami mula beroperasi pada tahun lalu, dan dengan kehadiran model terbaharu smart #1 yang mengujakan, kami yakin bahawa kami mampu memberikan sumbangan besar kepada masa depan mobiliti elektrik untuk pasaran Malaysia.

    “Pelantikan pengedar yang bereputasi tinggi adalah salah satu strategi utama kami. PRO-NET akan mengumumkan beberapa lagi pelantikan pengedar baharu smart kelak” tambah Zhang Qiang.

     
     
  • JPJ gesa pemilik kenderaan kemaskini alamat masing-masing supaya mudah untuk dihubungi atau dijejaki

    JPJ gesa pemilik kenderaan kemaskini alamat masing-masing supaya mudah untuk dihubungi atau dijejaki

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggesa agar pemilik kenderaan mengemaskini alamat masing-masing bagi memudahkan pihak berkuasa menghubungi mereka, terutamanya bagi memaklumkan kepada pemilik sekiranya kenderaan mereka disita oleh jabatan terbabit.

    Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, dengan mempunyai alamat yang betul akan membolehkan jabatan mengenal pasti pemilik kenderaan dan menjalankan tindakan sewajarnya bagi kenderaan yang disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan.

    Ini termasuk pelepasan semula kenderaan kepada pemilik apabila kes itu telah diselesaikan, laporan The Star. “Cabaran timbul apabila pemilik gagal menuntut kenderaan mereka atau tidak menerima notis yang diperlukan kerana perubahan alamat,” katanya.

    Bagi menyelesaikan isu ini, Mohd Zaki menekankan kepentingan pemilik kenderaan mengemaskini alamat terbaharu mereka. Beliau berkata kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kenderaan yang disita dilelong apabila pemilik gagal menuntutnya.

    Mohd Zaki berkata demikian semalam dalam acara lelongan awam JPJ Kuala Lumpur, di mana sebanyak 96 kenderaan telah dilelong dengan nilai keseluruhan mencecah RM214,690.

     
     
  • Projek litar perlumbaan drag di setiap negeri harus diteruskan, majukan sukan permotoran – Ismail Sabri

    Projek litar perlumbaan drag di setiap negeri harus diteruskan, majukan sukan permotoran – Ismail Sabri

    Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menyarankan agar pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri dapat diteruskan, sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2023 ketika beliau mengetuai pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia sebelum ini.

    Katanya, peruntukan sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan litar perlumbaan drag untuk memberi peluang kepada belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran betul, laporan Bernama.

    Katanya, litar perlumbaan drag itu juga akan menjadi platform terbaik untuk menarik lebih ramai tenaga pengajar profesional untuk melatih belia dan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara.

    Projek litar perlumbaan drag di setiap negeri harus diteruskan, majukan sukan permotoran – Ismail Sabri

    “Kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran ini menjadi satu daripada punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti perlumbaan haram, aktiviti samseng jalanan dan melepak,” katanya.

    Tambahnya, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dicadang supaya melawat litar perlumbaan drag yang telah siap dibina di Terengganu dan Johor bagi memahami tujuan cadangan, aspirasi serta minat golongan muda terhadap sukan permotoran.

    “Di Johor, pembinaan adalah pada kadar minimum seperti litar dan pagar keselamatan sahaja berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk grandstan. Manakala litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap dibina tahun lepas hasil usaha sama agensi swasta, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri juga hanya melibatkan kos RM1.3 juta,” jelasnya lagi.

    Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata cadangan kerajaan terdahulu untuk membina litar perlumbaan drag khas di setiap negeri tidak akan diteruskan kerana akan menanggung kos penyelenggaraan yang sangat tinggi selain perlu diselia oleh pakar terlatih.

     
     
  • Kerangka subsidi bersasar siap 75%, mungkin dibentangkan dalam Bajet 2024 – Ahmad Maslan

    Kerangka subsidi bersasar siap 75%, mungkin dibentangkan dalam Bajet 2024 – Ahmad Maslan

    Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan kerangka pelaksanaan pemberian subsidi bersasar sudah hampir dimuktamadkan dengan perbincangan mengenainya ketika ini sudah 75% selesai.

    Katanya, hasil perbincangan mengenai kerangka itu yang membabitkan pelbagai jawatankuasa kemudian akan dibentangkan di Kabinet sebelum sebarang keputusan lanjut dimuktamadkan, laporan Bernama.

    “Ia masih lagi diperhalusi. Ia (subsidi bersasar) sudah dimulakan iaitu di Tabung Haji kepada mereka yang menunaikan haji baru-baru ini. (Kumpulan) T20, M40 dan B40 ada kadarnya dan T20 langsung tidak diberi (subsidi), elektrik juga sudah mula. Jadi, sudah tiba masanya untuk diesel dan RON95,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan perincian mengenai kerangka itu akan dimaklumkan pada sesi pembentangan Belanjawan 2024 yang dijadualkan pada Oktober ini.

    Menerusi pendekatan itu, kerajaan tidak lagi melihat kepada asas pendapatan isi rumah semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira beberapa faktor dalam menentukan pendapatan boleh belanja.

    Kerangka subsidi bersasar siap 75%, mungkin dibentangkan dalam Bajet 2024 – Ahmad Maslan

    Ahmad Maslan turut mengulas saranan pakar ekonomi agar kerajaan tidak hanya bergantung kepada nilai pendapatan bulanan, sebaliknya turut mengambil kira jumlah tanggungan golongan T20, memaklumkan perkara itu ada dibincangkan di peringkat jawatankuasa khas pelaksanaan inisiatif berkenaan.

    Bagaimanapun, perbincangan mengenai perkara itu dan beberapa aspek lain berkaitan golongan T20 masih berlangsung dan belum ada keputusan yang dimuktamadkan setakat ini, katanya.

    “Kita memang ambil kira golongan T20 peringkat bawah yang akan disesuaikan nilai pendapatan bulanan dengan jumlah tanggungan mereka. Mungkin akan ada pertimbangan khusus bagi golongan ini, tetapi ia tidak terpakai bagi golongan T20 kelas menengah atau atas,” katanya.

    Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kerajaan dijangka akan melaksanakan pemberian subsidi bersasar, termasuk untuk petrol RON95 dan diesel mulai tahun depan.

    Ia akan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat,

     
     
  • BMW i5 dan BMW 5 Series G60 2024 — M60 xDrive sehingga 601 hp; AirConsole permainan dalaman

    BMW i5 dan BMW 5 Series G60 2024 — M60 xDrive sehingga 601 hp; AirConsole permainan dalaman

    BMW 5 Series kini memasuki model generasi kelapannya dengan kod nama G60, dan disertai buat pertama kalinya oleh model elektrik sepenuhnya, BMW i5 G60 sedan selepas kurang tujuh tahun pengenalan BMW 5 Series generasi G30 pada Oktober 2016.

    5 Series G60 juga bertambah saiznya berbanding model G30, dengan ukuran 5,060 mm panjang (+97 mm), 1,900 mm lebar (+32 mm), 1,515 mm tinggi (+36 mm) serta jarak antara roda 2,995 mm (+20 mm).

    Bagi model elektriknya, ia hadir dalam varian RWD i5 eDrive40 dan AWD i5 M60 xDrive dual-motor. Varian eDrive40 dilengkapi motor di gandar belakang yang menghasilkan 340 hp dan sehingga 430 Nm tork dengan Sport Boost atau Launch Control yang diaktifkan. Ini membolehkannya mencapai 0-100 km/j dalam enam saat, dan laju maksimum 193 km/j.

    BMW i5 dan BMW 5 Series G60 2024 — M60 xDrive sehingga 601 hp; AirConsole permainan dalaman

    BMW i5 M60 xDrive yang lebih berkuasa pula memanfaatkan dua motor yang menghasilkan 601 hp dan sehingga 820 Nm tork dengan Sport Boost atau Launch Control yang diaktifkan, membolehkan ia mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, dengan laju maksimum dihadkan kepada 230 km/j.

    Kedua-dua eDrive40 dan M60 xDrive mendapatkan kuasanya dari pek bateri yang terletak di bawah badan kereta dengan kapasiti boleh guna 81.2 kWh, dengan jarak perjalanan mengikut kitaran WLTP antara 497 km hingga 582 km bagi eDrive40, dan 455 km hingga 516 km bagi M60 xDrive. Kedua-dua varian ini menerima fungsi Max Range yang baru, memperbaiki jarak bateri sehingga 25% melalui penghad kuasa dan nyah-aktif beberapa fungsi keselesaan.

    Combined Charging Unit (CCU) bagi G60E BMW i5 menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW sebagai standard, dan sehingga 22 kW sebagai pilihan. Pengecasan pantas DC pula menyokong sehingga 205 kW DC, membolehkan pengecasan 10-80% dalam masa 30 minit.

    BMW i5 dan BMW 5 Series G60 2024 — M60 xDrive sehingga 601 hp; AirConsole permainan dalaman

    Bagi varian dengan enjin biasa, 5 Series G60 ini menampilkan dua unit mild-hybrid empat-silinder — satu petrol dan satu diesel — dalam tiga varian ketika pelancarannya: 520i sedan dengan 208 hp, dan 520d dengan 197 hp serta varian xDrive AWD-nya.

    Varian enjin biasa yang tidak ditawarkan di Eropah termasuklah 530i dan 530i xDrive G60 yang ada untuk pasaran Amerika Syarikat, yang menggunakan unit 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menjana 255 hp dan 400 Nm tork, sementara varian 540i xDrive memanfaatkan unit 3.0L enam-silinder sebaris turbo dengan output 375 hp dan 520 Nm tork, mampu mencapai 540 Nm sementara dengan bantuan sistem 48-volt mild-hybrid.

    Beberapa perkara masih kekal dengan model ini: agihan beban 50:50 antara gandar depan dan belakang, sementara jejak trek depan dan belakangnya ditambah sedikit. Suspensi M Sport, sistem brek M Sport dan Adaptive Suspension Professional adalah standard untuk M60 xDrive.

    BMW i5 dan BMW 5 Series G60 2024 — M60 xDrive sehingga 601 hp; AirConsole permainan dalaman

    Tataan suspensi bagi i5 dan 5 Series baru ini terdiri daripada jenis double wishbone di depan dan tetapan five-link di belakang. Tayar standard ialah 245/45R19 bagi i5 eDrive40, sementara M60 xDrive menerima 245/45R19 di depan dan 275/40R19 di belakang. Tayar standard bagi 520i, 530d dan 520d xDrive G60 pula ialah 225/55R18. Turut ada pilihan rim 21-inci dengan tayar prestasi.

    Ditawarkan sebagai pilihan juga adalah penyerap hentak kawalan elektronik, Integral Active Steering dan pengurusan dinamik menegak bary, begitu juga dengan Adaptive M Suspension Professional yang terdiri daripada Active Roll Stabilisation dengan Active Roll Comfort.

    Kelengkapan ciri bantuan pemandu bagi model generasi ini diterajui oleh Driving Assistant Professional yang ditawarkan sebagai pilihan, yang terdiri daripada Bantuan Stereng dan Penukaran Lorong dan Jarak, dengan fungsi Stop & Go. Di negara ia dibenarkan seperti AS, Canada dan Jerman, Highway Assistant boleh mengambil alih kendalian dalam lorong sehingga 130 km/j.

    BMW juga mendakwa ciri global pertama bagi G60/G60E 5 Series ini dengan Active Lane Change Assistant, yang mengambil kira pengesahan mata. Dengannya, kenderaan boleh mencadangkan penukaran lorong, yang boleh disahkan oleh pemandu dengan cara melihat ke cermin luar untuk mengesahkan pergerakan tersebut. Dalam keadaan trafik yang mengizinkan, Active Lane Change Assistant boleh menjalankan pergerakan stereng secara automatik.

    Juga stadard bagi barisan 5 Series baru ini ialah ciri Parking Assistant dengan Reverse Assist. Ketika menggunakan ciri pilihan Parking Assist Professional, belokan parkir sehingga 200 meter boleh dikawal dari dalam kenderaan, atau melalui telefon pintar dari luar kenderaan.

    Maklumat di dalam model terbaru ini dipapar melalui dwi-skrin melengkung dan BMW Intelligent Personal Assistant, menampilkan BMW Operating System 8.5 terkini yang akan disediakan juga untuk model-model lain. Ini menawarkan QuickSelect, yang membolehkan fungsi dicapai secara langsung tanpa perlu melalui submenu.

    Capaian keterhubungan di dalam 5 Series G60 kini melibatkan permainan video dalam kenderaan: BMW OS 8.5 membawakan platform AirConsole yang menawarkan permainan video ketika kereta pegun, misalnya ketika penumpang sedang menunggu ketika bateri kenderaan dicas.

    Pelancaran rasmi bagi BMW 5 Series G60 akan diadakan pada Oktober nanti, dengan model elektrik i5 menjadi pemuka utamanya untuk pasaran global. Pasaran tertentu — seperti AS — akan turut menerika varian mild-hybrid dan PHEV, yang terakhir ini mungkin diperkenalkan pada 2024.

    Laman untuk pendaftaran minat juga sudah mula muncul di laman web BMW Malaysia, jadi kepada yang berminat untuk memiliki BMW i5 ini, klik di sini untuk mendaftar. Lakukannya segera, kerana ada ura-ura mengatakan i5 akan tiba di Malaysia dalam masa yang agak awal disebabkan pelepasan cukai EV CBU import.

    Barisan 5 Series G60

    BMW i5 eDrive 40 G60

    BMW i5 M60 xDrive G60

    BMW 5 Series G60 iDrive

     
     
  • Harga minyak 25-31 Mei – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 25-31 Mei – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bagi minggu terakhir bulan Mei iaitu 25 hingga 31 Mei 2023, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu ke-22 tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan

     
     
  • Trademark Toyota Raize Space difail — Ativa 3-baris?

    Trademark Toyota Raize Space difail — Ativa 3-baris?

    Toyota dan Daihatsu ketika ini mungkin mempunyai sebuah lagi produk yang menggunakan asas DNGA yang sedang diusahakan, dan kali ini berdasarkan SUV segmen A Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa. Sebuah tanda dagang (trademark) baru telah difailkan pada Disember 2022 untuk nama Toyota Raize Space.

    Walaupun tidak diketahui bagaimana rupanya produk yang bakal menggunakan nama Raize Space ini, tidak sukat untuk mengandaikan bahawa ia akan menggunakan asas Raize/Ativa. Dan, dengan kata Space itu pula, ia seperti memberi petunjuk kepada adanya ruang yang lebih luas. Jadi, adakan ini nanti akan jadi MPV segmen A dengan tiga barisan tempat duduk?

    Toyota dan rakan bersekutunya itu kini mempunyai dua produk MPV segmen B yang berbeza. Ada Perodua Alza/Toyota Veloz yang menggunakan platform DNGA, dan Toyota Sienta yang menggunakan platfrom TNGA. Keduanya mempunyai jarak antara roda yang panjang, dengan ukuran 2,750 mm.

    Trademark Toyota Raize Space difail — Ativa 3-baris?

    Ini juga tidaklah terlalu jauh beza saiznya dengan MPV segmen B seperti Mitsubishi Xpander dan Hyundai Stargazer, masing-masing dengan ukuran 2,775 mm dan 2,780 mm bagi jarak antara rodanya.

    Ini perbezaan ukuran antara Ativa dan MPV 3-baris segmen A dan B:

    Trademark Toyota Raize Space difail — Ativa 3-baris?

    Dari jadual ini, dapat dilihat yang Honda berhasil mengeluarkan sebuah kenderaan 3-baris tempat duduk dengan ukuran antara rodanya hanya 2,662 mm melalui BR-V generasi pertama. Nissan pula sempat memperkenalkan MPV panjang kurang daripada 4 meter dan jarak roda 2,450 mm dalam bentuk Datsun GO+.

    Tidak mustahil untuk menghasilkan sebuah MPV tiga-barisan dengan jarak roda di bawah 2,700 mm, tetapi itu memerlukan pertimbangan rekaan dan kejuruteraan yang teliti. Jarak roda yang lebih pendek bermakna keluasan ruang kabin perlu dipertaruhkan.

    Jika ia sebuah kenderaan dengan barisan ketiga yang hanya sesuai untuk kanak-kanak, Raize Space boleh juga menjadi seperti Ativa, tetapi dengan ruang but lebih besar, yang ada kerusi lipat khas sekiranya perlu digunakan. Agaknya produk yang mana satu lebih masuk akal untuk pasaran Malaysia ketika ini?

     
     
  • JPJ eBid: Siri SMK dan JWG bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SMK, bidaan bakal bermula 25 Mei 2023, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 29 Mei. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 30 Mei 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Johor pula, JWG, bidaannya juga bakal dibuka pada tarikh yang sama iaitu 25 Mei 2023 dan akan berakhir jam 10 malam pada 29 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 30 Mei ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Honda kekal dalam F1 – bekalkan enjin untuk Aston Martin bermula 2026; kuasa enjin & motor 50/50

    Honda kekal dalam F1 – bekalkan enjin untuk Aston Martin bermula 2026; kuasa enjin & motor 50/50

    Honda mengumumkan bahawa ia akan terus kekal bersaing dalam perlumbaan Formula 1 – selepas tamat kontrak untuk membekalkan enjin kepada pasukan Red Bull pada penghujung 2025, pengeluar automotif Jepun itu akan mula membekalkan enjin kepada pasukan Aston Martin pula.

    Bermula musim 2026 nanti, pasukan F1 Aston Martin akan digelar sebagai pasukan Aston Martin Aramco Honda. Buat masa sekarang jentera F1 Aston Martin AMR23 berlumba dengan enjin yang dibekalkan oleh Mercedes, manakala Honda pula buat masa ini masih membekalkan enjin kepada pasukan Red Bull bersama pasukan ‘junior’nya, Scuderia AlphaTauri.

    Selepas tamat kontrak bersama Honda, Red Bull sebelum ini sudahpun mengumumkan bahawa ia akan membangunkan sendiri unit rangkaian kuasanya dengan dibantu oleh pengeluar automotif dari Amerika Syarikat iaitu Ford.

    Untuk enjin baharu yang akan dibekalkan kepada Aston Martin kelak, Honda akan membangunkannya berdasarkan undang-undang baharu F1 yang akan diguna bermula musim 2026. Undang-undang berkenaan disasarkan untuk membawa F1 ke arah neutral karbon menjelang 2030.

    Honda kekal dalam F1 – bekalkan enjin untuk Aston Martin bermula 2026; kuasa enjin & motor 50/50

    Dengan undang-undang baharu tersebut, setiap jentera F1 yang bertanding perlu menggunakankan unit rangkaian kuasa hibrid dengan kuasa enjin dan motor elektrik dalam nisbah 50/50, serta menggunakan bahan api 100% mampan.

    Secara spesifiknya, enjin pembakaran dalaman pada jentera F1 2026 nanti perlu dikurangkan kuasanya, manakala kuasa dari motor elektrik pula perlu ditingkatkan sekitar tiga kali ganda berbanding sekarang. Jadi penyedia unit rangkaian kuasa ini perlu menghasilkan kuasa yang lebih besar menerusi sistem pemulihan kuasa, termasuk sistem untuk mengubah kuasa kinetik dalam situasi seperti membrek kepada kuasa elektrik.

    Menurut Honda, unit rangkaian kuasa F1 yang dibina dengan undang-undang baharu ini kelak adalah konsisten dengan halatuju perlumbaan itu kearah neutral karbon. Dengan undang-undang ini memberikan peluang kepada Honda untuk membangunkan teknologi masa hadapan yang sememangnya seiring dengan hala tuju berkenaan, membuatkan Honda percaya ia perlu terus kekal dalam F1.

    “Salah satu sebab utama keputusan kami untuk menyahut cabaran baharu dalam F1 ialah perlumbaan terulung di dunia ini sedang berusaha untuk menjadi siri perlumbaan mampan, yang sejajar dengan hala tuju Honda ke arah neutraliti karbon, dan ia akan menjadi platform yang akan memudahkan pembangunan teknologi elektrifikasi kami,” kata CEO Honda, Toshihiro Mibe.

    Honda kekal dalam F1 – bekalkan enjin untuk Aston Martin bermula 2026; kuasa enjin & motor 50/50

    Honda F1 with Scuderia Toro Rosso

    “Honda adalah sebuah syarikat yang mempunyai sejarah berkembang dengan menyahut cabaran dan memenangi perlumbaan bertaraf dunia. Dengan peraturan baharu 2026, faktor utama untuk menang ialah motor elektrik yang kompak, ringan dan berkuasa tinggi dengan bateri berprestasi tinggi yang mampu mengendalikan output kuasa besar dan pantas, bersama teknologi pengurusan tenaga.

    “Kami percaya bahawa teknologi dan pengetahuan yang diperoleh daripada cabaran baharu ini berpotensi digunakan secara langsung pada kenderaan elektrik produksi besar-besaran kami pada masa hadapan, seperti model sports elektrik flagship, dan teknologi elektrifikasi dalam pelbagai bidang, termasuk eVTOL yang sedang dalam penyelidikan. dan pembangunan,” tambah Mibe.

    eVTOL yang dimaksudkan oleh Mibe adalah vertical take-off and landing vehicles, atau kenderaan yang boleh berlepas serta mendarat secara menegak, atau dengan kata mudah ada yang menggelarnya sebagai “kereta terbang”. Dan satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian dari apa yang disebut Mibe ini adalah “model sports elektrik flagship” yang akan dibangukan oleh Honda menggunakan teknologi baharu dari F1.

    Bila menyatakan tentang menggunakan teknologi perlumbaan untuk kereta jalanraya, Honda bukan bergurau – tengok sahaja teknologi enjin VTEC dan juga sistem suspensi double wishbone yang dibangunkan oleh Honda untuk model produksi jalan raya biasa, jelas menerapkan rekaan dari kereta-kereta lumbanya.

     
     
  • Kerajaan sedang muktamadkan pekeliling stesen pengecas EV, bakal dibentang Jun ini – Menteri KPKT

    Kerajaan sedang muktamadkan pekeliling stesen pengecas EV, bakal dibentang Jun ini – Menteri KPKT

    Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming mengesahkan pihaknya sedang memuktamadkan pekeliling berkaitan Prosedur Permohonan dan Kelulusan Pemajuan Stesen Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV).

    Katanya, pekeliling itu dirangka bagi menerangkan dua aspek utama iaitu tatacara dan prosedur permohonan kelulusan pemasangan serta garis panduan perancangan penyediaan stesen pengecasan EV di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT). Kemudian ia akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) yang dijangka diadakan pada Jun depan, laporan Berita Harian

    “Tatacara permohonan membabitkan proses memudah cara pemasangan stesen pengecasan EV dari segi prosedur permohonan dan tempoh kelulusan PBT. Garis panduan perancangan turut menggariskan keperluan minimum penyediaan tempat letak kenderaan bagi stesen pengecasan EV bagi semua jenis pembangunan sedia ada dan baharu, termasuk di perumahan berbilang tingkat atau berkepadatan tinggi.

    Kerajaan sedang muktamadkan pekeliling stesen pengecas EV, bakal dibentang Jun ini – Menteri KPKT

    “Pekeliling ini seterusnya akan diterima pakai agensi pelaksana di peringkat Persekutuan, negeri, PBT dan pemain industri, sekali gus menggalakkan penggunaan EV serta merancakkan usaha pengurangan karbon,” katanya dalam jawapan bertulis bagi soalan yang dikemukakan oleh Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai perancangan mewajibkan pemasangan alat pengecas di kediaman bertingkat atau berkepadatan tinggi.

    Sebagai maklumbalas mengenai jawapan tersebut, Chean Chung berharap aspek keselamatan dan risiko kebakaran wajar disesuaikan dengan keperluan teknologi semasa.

    Katanya, aspek berkenaan perlu dipertimbangkan memandangkan kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikatakan sukar diterima bagi alat atau stesen pengecasan di dalam bangunan, terutama di tempat letak kenderaan bawah tanah.

    “Saya juga meminta KPKT segera menyelaraskan garis panduan atau tatacara pihak JBPM supaya proses adaptasi iklim sebagai agenda utama negara tidak diperlahankan. Saya mengalu-alukan pekeliling EV yang bakal diluluskan pada Jun depan. Ini penting bagi memacu pertumbuhan dan pemilikan EV, selain membantu menyahkarbonkan ekonomi negara,” katanya.

     
     
  • Kymco KRV 200 masuk pasaran Eropah – enjin 175 cc 17 hp, tork 15.6 Nm, casis sporty seperti skuter maxi

    Kymco KRV 200 masuk pasaran Eropah – enjin 175 cc 17 hp, tork 15.6 Nm, casis sporty seperti skuter maxi

    Kymco telah memperkenalkan sebuah model baru untuk pasaran Eropah, iaitu KRV 200, dengan ia dikatakan menjadi satu permulaan bagi produk generasi baru jenama itu yang dipanggil sebagai Power Transmission Module (PTM). Akronim ini juga dikatakan membawa gambaran inovasi teknologi yang ada pada KRV 200, di mana ia adalah skuter dengan saiz lebih kecil pertama yang menggunakannya selain skuter maxi.

    Antara keistimewaan yang dibawa oleh KRV 200 adalah enjin dan keseluruhan transmisi CVT dipasang pada kerangka, dan tidak bergerak seperti skuter biasa. Kemudiannya, ia membawa karekter sporty dengan di hadapan terdapat fork 33 mm dan di belakang terdapat monoshock yang bersambung kepada lengan ayun. Tetapan ini juga membawa kepada pembahagian berat 50/50 antara bahagian hadapan dan belakang skuter.

    Menggerakkan KRV 200 adalah enjin satu silinder empat strok 175 cc dengan sistem suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa sehingga 17 hp pada 8,000 rpm dan tork 15.6 Nm pada 6,250 rpm. Untuk mendapatkan tunggangan yang lebih selamat, pengguna boleh mengaktifkan sistem kawalan cengkaman dengan menekan butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang skuter ini menggunakan sistem cakera, dengan masing-masing bersaiz 270 mm dan 234 mm, dan ia didatangkan terus dengan sistem ABS dual-channel secara standard. Menghubungkan skuter kepada jalan adalah rim 13 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada skuter ini adalah termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh menempatkan helmet fullface, lampu LED, panel meter LCD, berat keseluruhan 143 kg, tangki bahan api 7.4 liter dan dua soket pengecas USB.

     
     
  • Volkswagen Touareg 2023 facelift dalam teaser terbaru — lancar 24 Mei, lampu IQ.Light, lampu logo belakang

    Volkswagen Touareg 2023 facelift dalam teaser terbaru — lancar 24 Mei, lampu IQ.Light, lampu logo belakang

    Di peringkat global, Volkswagen sedang mempersiapkan pengenalan model SUV Touareg 2023 secara rasmi. Pertama kali ditunjuk pada Februari lalu, pengeluar Jerman itu sekali lagi mengeluarkan teaser bagi model facelift generasi ketiga itu. Dalam video pendek berkenaan, ia mempamerkan perubahan yang dilakukan terhadap SUV tersebut, dengan tumpuan kepada lampu.

    Touareg terbaru ini datang dengan lampu utama IQ.Light HD matrix oleh Volkswagen sendiri, yang terdiri daripada 38,400 unit mikro LED. Klusternya juga datang dengan DRL LED bentuk L dan dihubungkan ke bahagian jalur nipis di depan.

    Bahagian belakang, lampunya menerima sedikit perubahan rekaan dan kini menampilkan jalur lampu melintang, serta logo dengan pencahayaan pertama di Eropah untuk model Volkswagen. Sebelum ini, ciri logo seperti itu hanya ditawarkan di pasaran China dan Amerika Syarikat.

    Volkswagen Touareg 2023 facelift dalam teaser terbaru — lancar 24 Mei, lampu IQ.Light, lampu logo belakang

    Perubahan visual lain termasuklah gril dan bampar depan baru, dengan rekaan bukaan udara lebih menonjol, sementara di belakang turut diberikan sedikit pembaharuan. Ruang dalaman pula tidak banyak berubah, dan menurut Volkswagen turut melibatkan ciri bantuan suara yang lebih baik serta perehat lengan serta panel konsol yang lebih lembut berdasarkan maklum balas pelanggan.

    Lain-lain peningkatan, SUV ini turut diberikan sesor beban bumbung yang baru yang boleh mengesan kotak di bumbung dan menyesuaikan kawalan kestabilan elektronik. Gear gelung logan standard dan pilihan gear dalam dua kebuk suspensi udaranya juga turut diberikan tetapan baru untuk mencapai julat yang lebih luas bagi keselesaan dan prestasi.

    Varian yang akan tetap ditawarkan pula termasuklah Touareg R eHybrid, yang di dalam penawaran semasanya menampilkan enjin 3.0 liter turbocas V6, sebuah motor elektrik, bateri lithium-ion 14.1 kWh dan transmisi automatik Tiptronic lapan-kelajuan. Sistem berkenaan memberikan output keseluruhan 462 PS dan 700 Nm tork.

     
     
  • Kerajaan tiada rancangan mansuhkan tol – menteri

    Kerajaan tiada rancangan mansuhkan tol – menteri

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan buat masa sekarang kerajaan masih tiada rancangan untuk mengambil alih konsesi lebuhraya dari pihak swasta bagi menghapuskan bayaran tol, lapor MalayMail.

    Nanta memberikan kenyataan tersebut dalam satu jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Padang Besar Rushdan Rusmi berkenaan apa strategi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menghapuskan bayaran tol di lebuhraya.

    Menurut menteri tersebut langkah untuk mengambil alih syarikat konsesi tol ini tidak dapat dibuat kerana ia akan melibatkan implikasi kewangan yang besar terhadap kerajaan. Namun beliau turut menyatakan kerajaan akan mempertimbangkan semula cadangan itu selepas keadaan kewangan dan fiskal negara membenarkan.

    “Untuk makluman ahli yang dihormati, kerajaan komited dan fokus dalam agendanya menangani kos sara hidup yang meningkat dan mengurangkan beban kepada rakyat.

    “Walaubagaimanapun, pada masa ini, kerajaan tidak merancang mengambil alih konsesi lebuh raya yang sedang beroperasi memandangkan implikasinya terhadap kewangan adalah besar,” katanya.

    Dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) tahun lalu, Pakatan Harapan (PH) masih lagi menyebut berkenaan bayaran tol yang mahu dimansuhkan. Ia dimasukkan dalam bahagian berkaitan peningkatan kos sara hidup, dan “menilai semula konsesi lebuhraya” menjadi salah satu tunjang utamanya.

    “Pentadbiran Pakatan Harapan menunjukkan komitmen untuk menilai semula perjanjian konsesi semua lebuhraya dan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik, yang akan membawa kepada pengurangan kadar tol sehingga 18% bagi Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2). PH juga akan terus berusaha untuk mengurangkan tol PLUS dengan matlamat akhir untuk memansuhkan bayaran tol dan mengembalikan PLUS sebagai pemilikan awam,” tulis manifesto berkenaan.

    Baru-baru ini juga ada khabar menyatakan bahawa konsesi syarikat lebuhraya akan dilanjutkan sehingga 30 tahun bagi memastikan kadar bayaran tol kekal dan tidak akan dinaikkan.

     
     
  • PLUS umum penutupan lorong antara KM263.75-KM262.75 arah utara berhampiran Terowong Menora

    PLUS umum penutupan lorong antara KM263.75-KM262.75 arah utara berhampiran Terowong Menora

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan lorong kiri dan tengah sepanjang 1.6 kilometer (menghala ke Terowong Menora) di antara KM263.75 hingga KM262.15 (arah utara) bagi laluan Ipoh-Kuala Kangsar di Lebuhraya Utara-Selatan yang sedang dilaksanakan hingga jam 5 petang ini.

    Penutupan lorong berkenaan adalah bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan Papan Tanda Elektronik (Variable Message Signs).

    “Sepanjang tempoh tersebut, laluan kontra akan diaktifkan sekiranya perlu bergantung kepada keperluan semasa untuk membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan terbabit.

    “Justeru, pengguna lebuh raya yang menghala ke utara/Kuala Kangsar/Pulau Pinang dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini sepanjang tempoh tersebut,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.

     
     
  • Toyota Innova Zenix 2023 sudah dilihat berada di Malaysia, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Toyota Innova Zenix 2023 sudah dilihat berada di Malaysia, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Untuk anda yang sedang menunggu kehadiran Toyota Innova Zenix 2023, ini ada berita baik – MPV tiga baris duduk itu kini sudahpun dilihat di Malaysia, menandakan tarikh pelancarannya semakin hampir! Gambar yang dimuat naik oleh laman facebook RiderAth ini menunjukkan beberapa unit Innova Zenix sedang dibawa di atas lori pengangkut, mungkin menuju ke bilik-bilik pameran Toyota?

    Innova Zenix membuat kemunculan sulung globalnya di Indonesia pada November 2022. Model gantian untuk Innova generasi terdahulu itu kini tidak lagi berkongsi casis Ladder Frame IMV dengan trak pikap Toyota Hilux, sebaliknya ia kini jauh lebih canggih dengan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dalam varian GA-C.

    Jadi dapat dibayangkan bahawa Innova ini kelak memberikan pengendalian dan juga keselesaan yang jauh lebih baik dari sebelumnya. Ia juga kini menampilkan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan, berbanding pacuan belakang pada model sebelum ini. Rekaan ini sudah tentu akan memberikan ruang dalaman dengan lantai yang lebih rata dan lebih ruang.

    Toyota Innova Zenix 2023 sudah dilihat berada di Malaysia, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Walaupun diasaskan dari platform baharu, Innova Zenix masih dihasilkan dengan saiz yang hampir sama seperti model generasi sebelum ini. Ia menampilkan dimensi panjang 4,755 mm, lebar 1,850 mm dan jarak roda 2,850 mm. Ukuran ini menunjukan bahawa model baharu ini adalah 20 mm lebih panjang dan 20 mm lebih lebar, manakala jarak rodanya pula adalah lebih jauh berbanding Proton X90.

    Dengan platform baharu ini juga, Innova tidak lagi menampilkan bentuk pelik seperti model terdahulu. Namun Toyota masih memberikan imej seakan SUV kepada MPV ini. Malah ia juga masih direka agak tinggi dengan jarak kelegaan tanah 185 mm, serta mengekalkan sudut approach dan departure sama seperti Innova terdahulu.

    Di Indonesia Innova Zenix ini hadir dalam versi petrol penuh dan juga hibrid. Bagi model petrol, ia menerima enjin M20A-FKS 2.0 liter empat-silinder berkuasa 174 PS dan tork maksima 205 Nm – jauh lebih berkuasa dari enjin 1TR-FE 2.0L model sebelum ini yang menjana 139/183 Nm.

    Toyota Innova Zenix 2023 sudah dilihat berada di Malaysia, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Manakala model hibrid pula menggandingkan enjin Dynamic Force 2.0 liter berkuasa 152 PS dan tork maksima 187 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 113 PS dan tork maksima 205 Nm – menghasilkan kuasa 186 PS secara keseluruhan. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri logam-nikel hidrida (Ni-MH) yang diletak di bawah kedua-dua tempat duduk hadapan.

    Kedua-dua versi unit rangkaian kuasa ini menerima kotak gear CVT (e-CVT untuk hibrid) bagi memacu roda hadapan. Ia dijual pada harga bermula 419 juta rupiah (RM128,658) untuk varian asas petrol G, sehingga 601.15 juta rupiah (RM184,589) untuk model hibrid spesifikasi tertinggi Q yang turut dilengkapi tempat duduk kapten pada baris kedua.

    Bagi pasaran Malaysia kelak, kita berkemungkinan besar turut akan menerima varian hibrid kerana sebelum ini UMWT Toyota telah mengumumkan bahawa satu lagi model HEV selepas Corolla Cross Hybrid akan dilancarkan tidak lama lagi.

    Jadi Innova Zenix ini mungkin akan memberikan cabaran yang sengit kepada SUV tiga baris tempat duduk Proton X90 yang baru dilancarkan awal bulan ini.

    Proton X90 dijana oleh enjin 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus bersama sistem hibrid ringkas 48V, menghasilkan kuasa maksima 177 PS/255 Nm. Ia dijual pada harga bermula RM124k untuk varian asas Standard sehingga RM153k untuk varian Flagship yang turut menampilkan tempat duduk kapten pada baris kedua.

    Jadi yang mana anda rasa lebih menarik dan lebih berbaloi? Toyota Innova Zenix atau Proton X90?

     
     
  • RFID ada kekurangan daripada sudut teknikal; kerajaan sedang memperhalusi sistem MLFF – KKR

    RFID ada kekurangan daripada sudut teknikal; kerajaan sedang memperhalusi sistem MLFF – KKR

    Kementerian Kerja Raya (KKR) mengakui terdapat kekurangan daripada sudut teknikal berkaitan pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di lebuh raya yang digunakan sekarang sehingga berlakunya kesesakan di plaza tol.

    Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sudah meminta syarikat pengendali lebuh raya untuk membuat pelarasan lebih kerap di lorong-lorong RFID agar kecekapan dapat dipertingkatkan.

    Tambahnya, selain itu, hebahan kesedaran kepada pengguna juga dibuat supaya mereka mempunyai baki yang mencukupi semasa melalui plaza tol, laporan Bernama.

    “Saya juga ingin menyarankan supaya pengguna lebuh raya lebih peka dan bersedia untuk menyemak baki e-wallet sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan tiada gangguan semasa melakukan transaksi bayaran tol,” katanya sewaktu Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    RFID ada kekurangan daripada sudut teknikal; kerajaan sedang memperhalusi sistem MLFF – KKR

    Kenyataan ini adalah bagi menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkaitan mengapa sistem RFID masih mengalami masalah sehingga berlaku kesesakan di plaza tol dan apa rancangan kerajaan bagi mengatasi masalah itu.

    Jelas Abdul Rahman lagi, mod pilihan pembayaran kepada pengguna juga akan dipelbagaikan selaras dengan hasrat kerajaan melaksanakan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada 2025.

    Buat masa ini, katanya, kerajaan sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan sistem MLFF ini bagi memberikan keselesaan yang terbaik kepada pengguna lebuh raya dengan menyediakan lebih daripada satu kaedah pembayaran kadar tol.

    “Ini tidak langsung akan membantu pengguna mengatasi isu kekurangan baki sewaktu melalui gantri tol, seterusnya melancarkan pergerakan pengguna lebuh raya,” katanya.