Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • GAC Trumpchi E9 dilancar di China – enjin PHEV 2.0 turbo, jarak gerak sehingga 1,032 km, dari RM213k

    GAC Trumpchi E9 dilancar di China – enjin PHEV 2.0 turbo, jarak gerak sehingga 1,032 km, dari RM213k

    Pengeluar dari China, GAC Motor telah melancarkan Trumpchi E9 baru, yang merupakan sebuah MPV plug-in hybrid, yang dijual pada harga bermula 329,800 yuan (RM213,426) untuk varian Pro. Dua lagi varian yang lebih tinggi adalah Max, berharga 369,800 yuan (RM239,189) Grandmaster berharga 389,800 yuan (RM252,125).

    E9 mempunyai kaitan yang rapat dengan M8, iaitu sebuah lagi MPV Trumpchi yang dilancarkan September lalu. Tidak seperti M8, E9 bagaimanapun cuma ditawarkan dengan enjin plug-in hybrid petrol empat silinder turbo 2.0 liter berkemampuan 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan tork 330 Nm.

    Enjin ini dipadankan bersama motor elektrik 182 PS (180 hp atau 134 kW) dan tork 300 Nm, serta kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan. Secara keseluruhannya, penggerak ini boleh menghasilkan 373 PS (367 hp atau 274 kW), dan tork 630 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat.

    Sistem PHEV pelbagai mod ini juga datang dengan bateri lithium ion, dengan kapasiti tenaga 25.57 kWh, membenarkan ia bergerak sehingga 136 km dengan hanya menggunakan kuasa elektrik. Apabila disambung kepada sumber AC, baterinya mengambil masa 3.5 jam untuk penuh, sementara apabila menggunakan sumber DC, ia akan mengambil masa hanya 30 minit. GAC juga menyatakan bahawa MPV ini boleh memberi jarak gerak keseluruhan 1,032 km dan penggunaan bahan api 6.05 l/100 km.

    Memandangkan E9 mempunyai persamaan dengan M8, ia juga berkongsi jarak roda yang sama, iaitu 3,070 mm, manakala ukuran bahagian lain adalah panjang antara 5,193 mm kep 5,212 mm, lebar 1,893 mm dan tinggi 1,823 mm.

    Membezakan kedua model ini adalah rekaan, dengan E9 nampak kurang menonjol. Gril hadapan E9 contohnya, menggunakan kemasan jalur melintang yang lebih nipis, dan kemudiannya mempunyai beberapa jalur DRL berbeza panjang di bawah lampu utamanya.

    Profail E9 kelihatan sama seperti M8, tetapi d-pillar diwarnakan hitam untuk menghasilkan rupa bentuk bumbung yang terapung. Lampu yang penuh di sepanjang bahagian belakangnya kelihatan sama, dan sampai di hujung ia menggunakan pencahayaan berbentuk L memanjang ke bawah.

    Masuk ke dalam, papan pemuka E9 sama sahaja seperti M8, dan anda akan menemui banyak skrin. Sebagai permulaan, terdapat panel instrumen digital 12.3 inci di hadapan pemandu, kemudiannya skrin sesentuh 14.6 inci di tengah untuk sistem infotainmen dan satu lagi skrin 12.3 inci bertentangan dengan penumpang hadapan.

    GAC Trumpchi E9 dilancar di China – enjin PHEV 2.0 turbo, jarak gerak sehingga 1,032 km, dari RM213k

    Pergi ke tempat duduk belakang, setiap satu kerusi kapten mendapat skrin sesentuh lima inci, sementara satu lagi skrin 15.6 inci yang melekat di bumbung adalah untuk hiburan penumpang lain. Sekiranya 12 pembesar suara standard tidak mencukupi, pemilik boleh mendapatkan sistem bunyi Yamaha dengan pembesar suara, yang disediakan sebagai pilihan.

    Untuk kelengkapan lain, E9 boleh datang dengan rim 18 inci, cermin gelap, bumbung panoramik, lampu suasana, tempat duduk hadapan dan baris kedua larasan kuasa, pintu but bukaan elektrik, sistem tanpa kunci, pendingin hawa tiga zon, pengesan kualiti udara, balutan kulit serta pengecas tanpa wayar.

    MPV ini juga datang dengan pakej sensor yang boleh mempunyai sehingga 10 kamera, 12 radar ultrasonik dan radar gelombang empat milimeter. Kelengkapan ini kemudiannya dapat memberikan fungsi bantuan pemandu ADiGo Pilot, yang termasuk seperti brek kecemasan autonomous depan dan belakang, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Park Assist dan Around View Monitor.

     
     
  • China atasi Jepun sebagai pengeksport kenderaan baharu paling banyak di dunia; EV main peranan

    China atasi Jepun sebagai pengeksport kenderaan baharu paling banyak di dunia; EV main peranan

    Menurut laporan dari Nikkei Asia, China kini sudahpun mengatasi Jepun sebagai pengimport kenderaan baharu paling banyak di dunia untuk suku pertama 2023. Berdasarkan data dari Persatuan Pengeluar Automobil China (CAAM), eksport kenderaan dari negara berkenaan mencecah 1.07 juta unit pada Januari hingga Mac tahun ini, naik sebanyak 58%.

    Sebagai perbandingan, Persatuan Pengeluar Automobil Jepun (JAMA) pula mendedahkan bahawa Jepun telah mengeksport sebanyak 950,000 unit kenderaan untuk tempoh yang sama, atau naik 6% berbanding tempoh sama tahun lalu. China juga sudahpun diiktiraf sebagai pasaran automotif terbesar di dunia, mengatasi Amerika Syarikat sejak 2009.

    Kerajaan China kini sedang memberikan pelbagai insentif bagi mengembangkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) domestik. Inisiatif ini secara tidak langsung meningkatkan jumlah eksport automotif China untuk kenderaan dengan teknologi elektifikasi.

    China atasi Jepun sebagai pengeksport kenderaan baharu paling banyak di dunia; EV main peranan

    Dalam suku pertama 2023 sahaja, jumlah eksport kenderaan teknologi baharu (NEV) yang termasuk EV meningkat sebanyak 93% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 380,000 unit.

    Belgium, Australia dan Thailand merupakan pengimport terbesar model-model NEV dari China ini. Tesla China merupakan pengeksport NEV terbesar dengan jumlah 90,000 unit, diikuti SAIC Motor dengan 50,000 unit serta BYD dengan 30,000 unit.

    Manakala Rusia merupakan destinasi eksport paling popular untuk kenderaan-kenderaan buatan China pada suku pertama 2023 dengan jumlah 140,000, naik lebih dari tiga kali ganda berbanding setahun lalu.

    Berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022, Toyota, Volkswagen dan pembuat kereta lain menutup kilang masing-masing di Rusia dan keluar dari negara berkenaan, membolehkan pembuat kereta dari China menguasai pasaran di negara tersebut.

     
     
  • Lexus Klang dibuka secara rasmi – bilik pameran mesra alam pertama jenama berkenaan di Malaysia

    Lexus Klang dibuka secara rasmi – bilik pameran mesra alam pertama jenama berkenaan di Malaysia

    Lexus Malaysia hari ini secara rasmi telah melancarkan satu lagi outlet pengedar baharunya untuk kawasan Lembah Klang iaitu Lexus Klang. Fasiliti yang mula beroperasi bermula 1 Januari lalu ini diuruskan oleh PCM Klang Motor Sdn Bhd, didakwa sebagai bilik pameran mesra alam yang pertama bagi Lexus di Malaysia.

    Bilik pameran dan pengedaran ini terletak di Lot 1137, Jalan Kepayang, 41050 Klang, Selangor. Untuk perkhidmatan servis selepas jualan, pelanggan masih perlu ke pusat servis PCM Klang yang terletak di Sungai Rasah.

    Fasiliti Lexus Klang ini didakwa direka dengan teknologi pembangunan hijau terkini. Ia dilengkapi dengan pelbagai material lestari yang mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding material binaan tradisional. Antara yang anda boleh lihat termasuk perabot-perabot yang diperbuat dari bahan terpakai seperti tong dram dan sebagainya.

    Lexus Klang dibuka secara rasmi – bilik pameran mesra alam pertama jenama berkenaan di Malaysia

    Bilik pameran mewah tersebut juga menampilkan sistem tenaga yang efisien termasuk penggunaan pencahayaan LED dan juga penderia gerakan sebagai suis lampu. Pelbagai pokok-pokok hiasan dalaman turut diletak di dalam bilik pameran ini.

    Menurut Lexus Malaysia, pembukaan bilik pameran mesra alam ini adalah juga sejajar dengan komitmennya untuk mengurangkan jejak karbon dan merupakan sebahagian daripada lembaran baharu syarikat yang turut merangkumi usaha berterusan dalam mencapai neutral karbon menjelang tahun 2050.

    “Kami amat teruja untuk membuka bilik pameran mesra alam pertama Lexus di Klang dan berharap ia akan membuka laluan bagi usaha-usaha kelestarian lain pada masa akan datang. Kami amat berbangga untuk menawarkan pelanggan kami salah satu pengalaman terbaik dan paling sofistikated menerusi bilik pameran yang menggabungkan secara harmoni rasa hormat kami kepada bumi serta usaha yang diambil demi masa depan yang hijau,” kata Presiden Lexus Malaysia, Datuk Ravindran K.

    “Dengan menyepadukan material lestari dan teknologi menjimatkan tenaga dalam rekaan bilik pameran ini, kami mempamerkan komitmen dan keprihatinan syarikat terhadap kesejahteraan alam sekitar serta mengurangkan jejak karbon kami,” tambahnya lagi.

    Selain dari menyediakan khidmat jualan, Lexus Klang turut menawarkan urus niaga secara tukar-beli, bagi memudahkan pelanggan menaik taraf kenderaan jenama Lexus lama mereka kepada model yang lebih baharu.

    GALERI: Gambar rasmi bilik pameran Lexus Klang

     
     
  • Tiga laluan kontra akan dibuka mulai 3 Julai ini bagi atasi isu kesesakan trafik di Kuala Lumpur – Loke

    Tiga laluan kontra akan dibuka mulai 3 Julai ini bagi atasi isu kesesakan trafik di Kuala Lumpur – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan pihaknya telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi melaksanakan laluan kontra yang membabitkan tiga lokasi sebagai langkah segera mengatasi masalah kesesakan jalan raya di ibu negara.

    Bakal dilaksanakan mulai 3 Julai ini, laluan kontra itu melibatkan laluan Tol Plus Sungai Besi ke Persimpangan Besraya iaitu dari arah selatan ke Kuala Lumpur, Jalan Maharajalela ke Taman Connaught dan Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak, laporan Bernama.

    Laluan kontra di Tol Plus Sungai Besi ke Persimpangan Besraya adalah sepanjang 2.4 km manakala pemanjangan laluan kontra dari Jalan Maharajalela ke Taman Connaught melibatkan jarak sepanjang 4 km.

    Tiga laluan kontra akan dibuka mulai 3 Julai ini bagi atasi isu kesesakan trafik di Kuala Lumpur – Loke

    “Pembukaan laluan kontra di kedua-dua laluan itu dibuka kepada semua jenis kenderaan persendirian kecuali motosikal,” katanya.

    Manakala laluan kontra Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak melibatkan jarak 3 km khusus untuk kenderaan pengangkutan awam iaitu bas sahaja. Di mana tiada kenderaan persendirian dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksana jika ada kenderaan lain melaluinya.

    Jelas beliau, pembukaan ketiga-tiga laluan kontra itu bermula 6 pagi hingga 9 pagi bagi waktu pagi manakala pukul 5 hingga 7 petang bagi sesi petang.

    Tiga laluan kontra akan dibuka mulai 3 Julai ini bagi atasi isu kesesakan trafik di Kuala Lumpur – Loke

    “Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menyediakan satu garis panduan untuk memastikan laluan kontra itu dilaksana dengan baik dan selamat. Tiada tempoh tertentu untuk laluan ini (ditutup) kerana kita akan lihat keberkesanannya, ada (laluan kontra) di Jalan Cheras masih dibuka sejak 20 tahun lepas dan sukar ditutup,” katanya.

    Beliau berkata perbincangan termasuk dengan ahli akademik sedang dilaksana bagi mencari punca utama kesesakan jalan raya selain menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Tambahnya, kajian DBKL mendapati terdapat enam juta kenderaan bergerak di ibu negara setiap hari.

    “Penggunaan pengangkutan awam ketika ini hanya satu juta atau 15% sehari berbanding enam juta atau 85% bagi kenderaan,” katanya.

     
     
  • Volvo Car Malaysia masukkan semua model Pure Electric dalam senarai model yang dijual dalam talian

    Volvo Car Malaysia masukkan semua model Pure Electric dalam senarai model yang dijual dalam talian

    Selepas melancarkan platform jualan dalam talian mereka tahun lepas, Volvo Car Malaysia (VCM) kini mengumumkan bahawa mereka ingin mengembangkan lagi usaha untuk menjual kenderaan secara terus kepada pelanggan dengan memasukkan semua model Pure Electric di dalam senarai.

    Dengan itu, sesiapa yang berminat untuk membeli sama ada model C40 atau XC40 Recharge Pure Electric kini boleh melakukan urusan secara terus dengan VCM. Melalui platform dalam talian itu, anda boleh melihat stok yang ada, jangkaan tempoh penghantaran, harga, memilih pengedar dan membuat bayaran secara selamat.

    “Sejak pengenalan platform jualan dalam talian ini, perjalanan pelanggan kami untuk memiliki sebuah Volvo telah bertambah baik secara dramatik melalui ketelusan dan paparan stok yang ada. Bermula hari ini, kami menawarkan semua model Pure Electric dalam platform ini dan akan berusaha untuk memasukkan lebih banyak model Volvo yang lain tidak lama lagi,” kata pengarah urusan VCM, Charles Frump.

    Sebagai bonus, pelanggan yang membuat tempahan sebarang model Pure Electric dari 1 Mei hingga 30 Jun tahun ini akan layak menerima baucar wallbox RM7,000 dan insurans Volvo Car Insurance selama setahun. Anda boleh melayari laman jualan dalam talian VCM melalui pautan ini.

     
     
  • Penutupan jalan pada waktu malam di Lebuhraya Kajang Silk dilaksanakan pada 26-27 Mei 2023

    Penutupan jalan pada waktu malam di Lebuhraya Kajang Silk dilaksanakan pada 26-27 Mei 2023

    Klik untuk besarkan

    Ini ada makluman buat pengguna Lebuhraya Kajang Silk. Prolintas selaku pengendali lebuhraya terbabit telah mengumumkan penutupan jalan sementara di kedua-dua arah ke Kajang dan Putrajaya di Sungai Ramal berhampiran Food Valet dan JB Autoworld pada 26-27 Mei 2023 dari jam 10 malam hingga 6 pagi.

    Ia adalah bagi memberi laluan kepada aktiviti pemasangan struktur jejantas pejalan kaki baharu. Struktur jejantas tersebut akan siap dipasang dalam tempoh seminggu.

    Penutupan jalan pada waktu malam di Lebuhraya Kajang Silk dilaksanakan pada 26-27 Mei 2023

    Klik untuk besarkan

    Sepanjang penutupan jalan itu, pengguna yang menuju ke arah Putrajaya perlu membelok ke kiri selepas stesen minyak Shell bersebelahan N9 Food Court dan menggunakan jalan dalam selari dengan lebuh raya sehingga anda melepasi lokasi penutupan jalan tersebut.

    Bagi yang menuju ke Kajang/Cheras, ia melibatkan lencongan besar menerusi Bangi. Keluar dari susur E18 dan menuju ke Seksyen 9 Bandar Baru Bangi dan terus ke arah padang golf dan Econsave. Kemudian belok ke kiri di Jalan Reko dan kembali semula ke Lebuhraya Kajang Silk.

    Sila teliti laluan alternatif seperti mana yang dipaparkan pada gambarajah di atas, dan amalkan pemanduan selamat. Patuhi isyarat trafik dan papan tanda yang terletak di lokasi berkenaan.

     
     
  • Proton buka pusat 3S baharu di Puncak Jalil

    Proton buka pusat 3S baharu di Puncak Jalil

    Proton bersama rakan pengedarnya, Atiara Johan Group, telah pun melancarkan pusat 3S baharu yang terletak di Puncak Jalil. Dikendalikan oleh anak syarikat Atiara Johan, Jaya Johan Sdn Bhd, pusat 3S baharu itu menerapkan teknologi mesra alam dengan dilengkapi sistem solar.

    Ia juga menempatkan bilik pameran yang luas untuk keselesaan pelanggan yang ingin mendekati model Proton pilihan mereka, memperbaharui insuran serta ruang menunggu untuk pelanggan, ruang hidangan makanan dan minuman. Selain itu, ia turut menyediakan 10 ruang servis yang mampu menampung kapasiti sehingga 60 kereta sehari dan pusat alat ganti untuk memberikan perkhidmatan yang pantas.

    Perkhidmatan perantara untuk menghantar dan mengambil turut disediakan bagi kemudahan pelanggan yang tinggal berdekatan dan ingin pulang ke rumah atau dibawa ke tempat lain semasa menunggu kereta mereka diservis.

    Eric Moo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Atiara Johan, berkata bahawa pusat 3S baharu ini
    terletak dengan strategik berdekatan dengan Bukit Jalil dan Taman Equine, menjadikannya mudah
    bagi pelanggan di kawasan-kawasan ini untuk melawat dan menghantar kereta mereka untuk servis
    dan pembaikan.

    “Kami mengalu-alukan pelanggan jauh dan dekat untuk berkunjung ke premis baharu kami ini. Walaupun ia merupakan pusat 3S, kami juga menyediakan kerja-kerja mengecat badan kenderaan dengan sokongan pusat 4S Atiara Johan Sdn Bhd di Puchong,” ujarnya.

    “Pelanggan juga dijamin akan mendapatkan perkhidmatan menyeluruh yang berkualiti untuk semua keperluan kenderaan anda kerana ia dilengkapi dengan teknologi terkini dan mesin-mesin yang ditingkatkan,” kata Kok Kam Chyuen, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Johan Sdn Bhd.

    Pusat 3S baharu ini terletak di T 59674, Persiaran Puncak Jalil, Taman Puncak Jalil, PJU 6, 43300 Seri Kembangan. Ia merupakan cawangan ketiga Proton bagi Atiara Johan Group yang turut memiliki pusat 1S dan 4S Proton di Puchong.

     
     
  • MBSA umum bayaran parkir di kawasan jajahannya kini boleh dibuat menerusi aplikasi JomParking

    MBSA umum bayaran parkir di kawasan jajahannya kini boleh dibuat menerusi aplikasi JomParking

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan pengguna kini boleh membayar kadar parkir di kawasan jajahannya dengan menggunakan aplikasi JomParking.

    Jika anda pengguna baharu bagi JomParking, ini ada berita baik untuk anda. Sempena dengan kerjasama MBSA, terdapat kod promo untuk pengguna baharu. Muat turut aplikasi ini dari Google Play atau App Store, daftar dan gunakan kod promo JPFREE untuk mendapatkan 100 token percuma.

    Sebelum ini, jiran sebelah Shah Alam, iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya telah mengumumkan kadar bayaran parkir dua jam boleh dibuat menerusi Touch n Go eWallet, selain aplikasi Setel. Terdahulu, ia hanya membenarkan penggunakan aplikasi Smart Selangor Parking dan Flexi Parking sahaja. Selain itu, JomParking juga digunakan sebagai salah satu aplikasi pembayaran parkir di jajahan MBSJ.

     
     
  • Toyota Alphard dan Vellfire 2023 – imej dari brosur rasmi bocor sebelum didedahkan secara rasmi Jun ini

    Toyota Alphard dan Vellfire 2023 – imej dari brosur rasmi bocor sebelum didedahkan secara rasmi Jun ini

    Model generasi baharu untuk MPV ikonik Toyota iaitu kembar Alphard dan Vellfire dilaporkan bakal didedahkan pada bulan Jun ini. Namun laman Car and Drive dari Jepun memberikan laporan yang lebih istimewa – ia disertakan dengan imej bocor model baharu tersebut yang didakwa diambil dari brosur rasmi.

    Berdasarkan imej berkenaan, Alphard masih tampil dengan gril hadapan bersaiz besar. Ia diapit dengan lampu hadapan yang direka dengan jalur LED nyalaan siang bina dalam yang nampak serasi dengan gril berkenaan. Manakala pada bahagian sisi bampar ia diberikan kemasan berbentuk-J yang menempatkan lampu kabus.

    Manakala untuk Vellfire, ia seperti biasa tampil lebih sporty dengan garis-garis lebih tajam. Vellfire menerima gril dengan jalur-jalur krom melintang, manakala lampu nyalaan siangnya pula direka dengan jalur tunggal yang tebal. Perumah lampu kabus pula direka lebih besar sebagai liang udara palsu.

    Alphard dan Vellfire generasi baharu diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dari varian GA-K. Ia tampil dengan rekaan tiang-A seperti kembar lebih kecil Noah dan Voxy, dengan panel direka lebih ke hadapan dan diberikan cermin suku sisi hadapan lebih besar bagi memberikan visual dari kabin lebih baik.

    Secara asasnya, bentuk badan Alphard dan Vellfire ini baharu ini menyerupai varian lebih mewahnya iaitu Lexus LM yang sudahpun didedahkan pada April lalu. Pada model generasi sebelumnya, Alphard, Vellfire dan LM bukan sahaja berkongsi kerangka badan, malah diberikan unit rangkaian kuasa yang sama – dijangka konsep yang sama akan diteruskan pada model generasi baharu ini.

    Sedikit perincian lain pada Alphard sudah tersebar dari imej sesi latihan produk sebelum ini. Ia termasuk bahagian lampu belakang yang kini direka lebih nipis bersama grafik LED seiras lampu nyalaan siang hadapan, serta bahagian dalaman dengan skrin infotainmen bersaiz besar pada papan pemuka, skrin sesentuh untuk penumpang belakang, dan juga bumbung panaromik untuk kabin belakang.

    GALERI: Pembentangan produk Toyota Alphard 2023 yang bocor sebelum ini

     
     
  • Toyo Open Country A/T 3 kini di Malaysia — tayar AT untuk SUV, 4×4 dan trak; 14 saiz; harga dari RM500

    Toyo Open Country A/T 3 kini di Malaysia — tayar AT untuk SUV, 4×4 dan trak; 14 saiz; harga dari RM500

    Ketika pengenalan tayar Proxes Sport 2, Toyota Malaysia turut membuat penampilan pertama bagi tayar Toyo Open Country A/T III (OPAT3) untuk pasaran tempatan. OPAT3 ini merupakan tayar semua permukaan untuk SUV, 4×4 dan trak pikap, dan model generasi terbaru ini menampilkan alun sisi yang dipertingkat untuk memberikan cengkaman lebih baik di permukaan mencabar.

    Tayar OPAT3 ini menggantikan model Open Country A/T Plus, dengan aspek utama yang diberikan peningkatan ialah kendalian permukaan kering, dengan manfaat untuk cengkaman off-road. Carta sesawang Toyo juga menunjukkan ada peningkatan kebisingan: perkara yang memang perlu dijangka untuk tayar AT.

    Menurut pengeluar dari Jepun ini, indeks cengkaman OPAT3 di kawasan sentuhannya naik mencecah 41% berbanding model OP Plus yang digantikannya: ini sebuah penambahbaikan yang signifikan. Indeks cengkaman ini dikira daripada corak elemen yang berkesan untuk cengkaman dalam kawasan sentuhan antara tayar dan permukaan.

    Ini semua disumbangkan oleh rekaan corak bunga, yang menerapkan corak kebisingan rendah, cengkaman off-road yang lebih baik dan perlindungan daripada kerosakan akibat penembusan batu. Turut ada ialah blok cengakaman. Jika diteliti corak bunga tayar ini, boleh kelihatan blok dan alun zig zag — ia memperbaiki cengkaman daripada kesan bucunya, serta yang kedua mempertingkat prestasi off-road.

    Tayar AT Toyo terbaru ini, yang dipasang pada kenderaan demo Mitsubishi Triton dan Toyota Hilux GR Sport — turut menampilkan ciri rekaan dinding sisi yang khas untuk lebih ketahanan dan perlindungan daripada kerosakan luaran. Tayar Open Country A/T III ditawarkan dalam 14 saiz, dari 15 hingga 20-inci, dengan harga bermula dari RM500 hingga RM1,200 sebuah.

     
     
  • Hayden Haikal menang perlumbaan kali ketiga Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand

    Hayden Haikal menang perlumbaan kali ketiga Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand

    Pelumba touring car muda negara Hayden Haikal terus menggungguli siri Kejohanan Idemitsu Super Turbo 2023 di Thailand dengan memenangi Race 2 dan tempat keenam dalam Race 1 pada pusingan kedua perlumbaan tersebut yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram pada 19 hingga 21 Mei lalu.

    Hayden yang baru berumur 18-tahun memandu Toyota Vios bernombor #437 pasukan Wing Hin Motorsport jelas mendominasi kategori Junior siri berkenaan- kelas dengan enjin NA berkapasiti sehingga 1,550 cc – dengan memenangi tiga dari empat perlumbaan musim 2023 yang sudah berlangsung setakat ini. Malah Hayden turut menjadi antara pencabar kepada jentera-jentera turbo yang lebih berkuasa dalam kategori lebih tinggi.

    Namun untuk mencapai keputusan cemerlang ini bukan satu tugas mudah buat Hayden. Vios yang dipandunya mengalami kemalangan pada sesi latihan bebas pada hari Jumaat. Tetapi dengan usaha pasukannya yang berjaya memperbaiki kereta berkenaan hanya dalam masa tiga jam, Hayden berjaya mencatatkan masa ketiga terpantas pada sesi kelayakan pada hari yang sama.

    Hayden Haikal menang perlumbaan kali ketiga Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand

    Cabaran getir terus dihadapi oleh Hayden di mana dia berhadapan dengan masalah transmisi apabila perlumbaan sudah masuk ke babak pertengahan, dan ketika itu dia sedang mempertahankan kedudukan pendahulu perlumbaan dalam kategori Junior dan ke-12 secara keseluruhan.

    Dengan hanya gear lima yang berfungsi, Hayden masih dapat menamatkan perlumbaan 12 lap di litar sepanjang 4.554 km itu di tempat ke-6 dalam kategorinya serta ke-21 secara keseluruhan!

    “Saya dapat bersaing dengan baik dengan pendahulu kelas dan saya berjaya menjarakkan diri darinya sehinggalah tiba-tiba kereta yang saya pandu tidak boleh diturunkan gear dari gear 5. Syukur kami dapat menyelesaikan masalah tersebut untuk perlumbaan kedua pada hari Ahad,” kata Hayden.

    Segalanya dicurahkan pada Race 2 hari berikutnya di mana Hayden berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam kelasnya dan ke-8 secara keseluruhan. Nasib menyebelahi Hayden kali ini apabila pemenang perlumbaan kemudiannya dikenakan penalti kerana melanggar peraturan, membolehkan Hayden diisytihar sebagai juara Race 2 dalam kategorinya.

    Siri Idemitsu Super Turbo Championship untuk musim 2023 sudahpun bermula pada Mac lalu, dan musim ini merupakan penyertaan pertama buat Hayden dalam kejohanan tersebut. Dengan menang tiga dari empat perlumbaan, Hayden kini mendahului carta pungutan mata juara keseluruhan dalam kelas Junior.

    Pusingan ketiga dan juga yang terakhir untuk Idemitsu Super Turbo Championship 2023 ini akan berlangsung pada 16 hingga 18 Jun nanti, juga di Litar Antarabangsa Chang.

    “Kami akan bersatu semula, dan dengan pengalaman serta pelajaran yang ditimba minggu ini, fokus kami kini adalah mensasarkan kemenangan keseleuruhan kejuaraan,” kata Hayden.

    Di Malaysia, Hayden merupakan bintang muda yang menyerlah dalam siri perlumbaan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing Festival, dan pernah menjadi juara kategori Sporting dan Super Sporting, menewaskan pelumba-pelumba yang jauh lebih berpengalaman.

     
     
  • Toyo Proxes Sport 2 dilancar di Malaysia — tayar UHP generasi kedua, 31 saiz 18″ hingga 20″, dari RM700

    Toyo Proxes Sport 2 dilancar di Malaysia — tayar UHP generasi kedua, 31 saiz 18″ hingga 20″, dari RM700

    Toyo Tires kini telah memperkenalkan tayar Toyo Proxes Sport 2 untuk pasaran Malaysia, sebuah tayar ultra prestasi tinggi (UHP) sebagai lanjutan kepada penawaran Toyo Proxes Sport. Model baru ini dipertingkatkan kemampuan breknya serta prestasinya ketika basah.

    “Proxes Sport 2 dioptimumkan untuk janaan enjin tork tinggi, untuk memberikan kendalian mengujakan untuk semua pemandu lincah. Melalui komitmen kami untuk inovasi dan kecemerlangan, kami yakin siri tayar ini akan menjadi pilihan utama bagi pemandu yang menginginkan tayar ultra prestasi tinggi,” ujar Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia, Tan Song Chye.

    Proxes Sport 2 diberikan penambahbaikan di tiga bahagian — kompaun asymmetric baru, rekaan struktur baru dan rekaan corak bunga baru. Ini menjadikan kemampuannya jarak brek dalam keadaan keringnya ialah 4% lebih pendek berbanding Proxes Sport, sementara jarak brek dalam keadaan basah pula 16% lebih pendek berbanding model lama.

    Kompaun bunga asymmetric yang ada di separuh bahagian dalam tayar ini berbeza berbanding kompaun bahagian paling luar. Menggunakan Teknologi Nano Balance Toyo, sebahagian paling dalam menerima rekaan matrik polimer anjal dan silika penyuraian tinggi, sementara sebahagian luarnya menerima rekaan matriks polimer elastik dan silika terkumpul dengan kawalan penyuraian.

    Idea di sebalik corak kompaun asymmetric itu ialah untuk mempunyai kompaun yang anjal untuk bahagian dalam serta kompaun keras di bahagian luar. Yang di dalam meningkatkan sentuhan dengan permukaan jalan, sementara yang di luar memperkukuhkan bentuk ketika bebanan berat. Dengan ini, kendalian dan membrek dapat ditambah baik.

    Toyo Proxes Sport 2 dilancar di Malaysia — tayar UHP generasi kedua, 31 saiz 18″ hingga 20″, dari RM700

    Kompaun corak asymmetric berkenaan disokong oleh struktur lebih kuat, menampilkan lapisan atas yang lebih keras dan lingkaran keras maksimum. Corak ini juga menerapkan rekaan taper dinamik dengan alun sisi yang memperbaiki prestasi membrek dengan menekan tekanan bucu alun ketika membrek. Ini memberikan sentuhan permukaan dengan agihan sekata dan mempertingkatkan kekerasan blok.

    Toyo Proxes Sport 2 ini datang dalam 31 saiz dari 18-inci hingga 20-inci, merangkumi tayar untuk kereta segmen C hinggalan kelas eksekutif kompak premium, seperti yang ditunjukkan oleh model kenderaan yang digunakan untuk demonstrasi — BMW 3 Series, Mercedes-Benz C-Class dan Lexus IS. Harga pula bermula antara RM700 hingga RM1,300 setiap satu.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada April 2023 turun 41%

    Jualan kenderaan di M’sia pada April 2023 turun 41%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk bulan April 2023, menyaksikan sejumlah 46,583 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli. Ini melibatkan penyusutan sebanyak 41% berbanding bulan Mac 2023 dengan mencatatkan jualan sebanyak 78,849 unit.

    Tidak menghairankan apabila Mac 2023 mencatatkan jumlah tertinggi memandangkan semua syarikat kereta berusaha untuk memenuhi tempahan yang dibuat dalam tempoh pengecualian cukai jualan. MAA turut berkata jumlah jualan bulan lalu turut terdorong dengan cuti Hari Raya serta hari bekerja yang lebih pendek.

    Berbanding bulan yang sama pada tahun lalu, April 2023 mencatatkan jumlah yang lebih rendah sebanyak 19%, manakala April 2022 pula dengan jualan sebanyak 57,606 unit. Walau bagaimana pun, jualan keseluruhan industri setakat ini bagi tahun 2023 adalah sebanyak 239,183 unit berbanding 217,452 unit pada 2022. Untuk bulan Mei 2023, MAA menjangkakan jumlah jualan lebih tinggi berbanding April 2023 disebabkan isu rantaian bekalan yang semakin berkurangan dan tempoh hari bekerja yang lebih panjang.

    Untuk produksi pula, April 2023 menyaksikan sejumlah 41,160 unit kenderaan dipasang, lebih rendah berbanding 76,069 unit yang direkodkan pada Mac 2023. Malahan jumlah produksi pada bulan lalu juga kurang berbanding tempoh yang sama pada April 2022 yang menghasilkan sebanyak 54,734 unit. Bagi jumlah keseluruhan produksi setakat ini, sehingga akhir April 2023, ia merekodkan sejumlah 239,554 unit, lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu sebanyak 208,894 unit.

     
     
  • Siri pendaftaran FF catat kutipan RM34.2 juta, tertinggi sejak JPJeBid dilancarkan – RM950k untuk FF 8

    Siri pendaftaran FF catat kutipan RM34.2 juta, tertinggi sejak JPJeBid dilancarkan – RM950k untuk FF 8

    Siri nombor pendaftaran dari Putrajaya, FF, yang dibuka bidaannya menerusi JPJ eBid baru-baru ini telah berjaya menjana hasil kutipan tertinggi dalam sejarah nombor pendaftaran JPJ dengan jumlah RM34,296,327.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, seramai 34,032 orang telah menyertai bidaan bagi siri tersebut dan seramai 8,348 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.

    “Ini menunjukkan satu sistem atas talian yang telus boleh menjana hasil yang lebih tinggi untuk kerajaan. JPJ akan terus berusaha untuk memperluaskan dan menambahbaik perkhidmatan digital untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” kata Loke menerusi sidang media di Parlimen pagi ini.

    Menurut beliau, nombor pendaftaran FF 8 menerima nilai bidaan tertinggi mencecah RM950,000, diikuti dengan FF 9 bernilai RM911,999. Manakala nombor pendaftaran FF yang turut menerima bidaan tertinggi ialah FF 3 (RM639,000), FF 2 (RM638,000) dan FF 7 (RM633,000).

    Bagi nombor pendaftaran FF 199, ia menerima 34 bidaan iaitu tertinggi dalam bidaan FF, disusuli dengan FF 51 dengan 32 bidaan. Manakala FF 155, FF 555 dan FF 1688 masing-masing dengan 29 pembida.

     
     
  • Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan diesel berdasarkan sistem PADU – Salahuddin Ayub

    Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan diesel berdasarkan sistem PADU – Salahuddin Ayub

    Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini akan digunakan untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pangkalan data bersepadu itu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat, laporan Harian Metro.

    “Kabinet sudah bincang isu subsidi bersasar RON95 dan diesel yang akan dilaksanakan tahun depan. Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sudah dimaklumkan, segera teliti semua data daripada pelbagai agensi kerajaan supaya dapat disepadukan dengan sistem PADU yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

    “Ia bagi selaras semua data pelbagai agensi kerajaan yang ada. Apabila kita kuat kuasakan subsidi bersasar ini, kita akan pastikan ia benar-benar tepat sasarannya, tiada ketirisan. Itu yang kita harapkan,” katanya.

    Pada Khamis lalu, beliau telah mengesahkan bahawa kerajaan dijangka melaksanakan pemberian subsidi bersasar untuk bahan api petrol RON95 dan diesel mulai awal tahun hadapan

    Katanya, keputusan itu dicapai menerusi perbincangan pada MTEN pada Rabu lalu, dan ia akan dimulakan secara berperingkat dimulakan dengan bahan api diesel terlebih dahulu.

     
     
  • KPDN tegaskan sebarang kontrak ‘sambung bayar’ untuk pembelian kenderaan adalah tidak sah

    KPDN tegaskan sebarang kontrak ‘sambung bayar’ untuk pembelian kenderaan adalah tidak sah

    Kaedah pemilikan kenderaan secara ‘sambung bayar‘ sudah lama digunakan dalam masyarakat dan membawa pelbagai insiden yang menyebabkan ramai pihak teraniaya, sama ada pada pihak pemilik asal atau pembeli.

    Justeru, Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam sekali lagi menegaskan bahawa sebarang kontrak yang ditandatangani bagi tujuan sambung bayar kenderaan adalah tidak sah.

    Menurutnya dalam laporan Sinar Harian, di bawah perjanjian sewa beli yang dimeterai antara pemunya dengan penyewa, terdapat satu syarat di mana penyewa tidak boleh menjual kenderaan tersebut tanpa kebenaran pemunya dan ia merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Sewa Beli 1967 iaitu memfraud pemunya.

    Ingin diingatkan di sini pemunya adalah bermaksud bank atau institusi kewangan yang memberikan pembiayaan kenderaan, manakala penyewa pula adalah pelanggan yang membeli kenderaan tersebut menerusi pembiayaan dari pihak bank.

    KPDN tegaskan sebarang kontrak ‘sambung bayar’ untuk pembelian kenderaan adalah tidak sah

    Azman menjelaskan walau bagaimanapun penyerahan hak-hak di bawah perjanjian sewa beli adalah dibenarkan di bawah Seksyen 12 Akta Sewa Beli 1967 dengan kebenaran pemunya.

    “Sekiranya penyewa berniat untuk menyerahkan haknya ke atas kenderaan di bawah perjanjian sewa beli, penyewa terbabit hendaklah merujuk dan memaklumkan niatnya kepada pihak pemunya (institusi kewangan) bagi mendapatkan kebenaran serta kelulusan pemunya.

    “Seterusnya jika pemunya bersetuju, perjanjian sewa beli di atas nama penyewa tidak akan ditamatkan tetapi dokumen ‘assignment’ disediakan oleh bank untuk ditandatangani oleh penyewa asal, bank dan penyambung bayar dengan mengekalkan hak serta liabiliti penyewa asal sepanjang tempoh assignment berkuat kuasa dengan syarat penyambung bayar tiada dalam senarai hitam institusi kewangan,” katanya.

    Beliau kemudiannya menerangkan bahawa istilah ‘sambung bayar’ yang sering digunakan sekarang disifatkan sebagai penyerahan hak milik kenderaan dan kepentingan penyewa kepada mana-mana orang tanpa kebenaran serta kelulusan pemunya (institusi kewangan) di dalam satu perjanjian sewa beli yang masih berkuat kuasa.

    KPDN tegaskan sebarang kontrak ‘sambung bayar’ untuk pembelian kenderaan adalah tidak sah

    Menurutnya lagi, pada kebiasaannya aktiviti sambung bayar ini berlaku di luar pengetahuan pemunya (institusi kewangan) di mana penyewa akan membuat rundingan secara terus bersama pihak penyambung bayar akan niatnya untuk ‘menjual’ kenderaan yang masih tertakluk di bawah suatu perjanjian sewa beli.

    “Penyambung bayar pula hanya perlu menyediakan bayaran pendahuluan yang kecil dan menyambung bayaran ansuran bulanan kepada pemunya bagi pihak penyewa.

    “Kebiasaannya, persetujuan antara penyewa dengan pihak penyambung bayar akan dimeterai melalui suatu kontrak bertulis atau berjabat tangan sahaja,” jelasnya.

    Azman menyatakan antara sebab berlakunya aktiviti sambung bayar adalah penyewa tidak mampu untuk membayar ansuran bulanan, penyambung bayar dalam senarai hitam institusi kewangan, penyambung bayar tidak perlu menyediakan wang pendahuluan yang banyak selain proses pembelian kenderaan yang mudah.

    KPDN tegaskan sebarang kontrak ‘sambung bayar’ untuk pembelian kenderaan adalah tidak sah

    Beliau menjelaskan pembelian kereta sambung bayar ini bukan sahaja menyukarkan institusi kewangan untuk mengesan kenderaan jika pihak penyambung bayar gagal membayar ansuran bulanan kenderaan, malah penyewa juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

    “Selain itu, penyewa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Akta Sewa beli 1967 dan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

    “Ini juga berkemungkinan mengakibatkan berlaku penipuan sekiranya pihak penyambung bayar gagal membuat bayaran ansuran kepada institusi kewangan seperti yang telah dipersetujui dan boleh menyebabkan nama penyewa disenarai hitamkan,” katanya.

    Azman turut menyatakan penyewa juga mungkin akan menerima saman di atas kesalahan-kesalahan yang tidak dilakukan dan boleh disabitkan dengan aktiviti jenayah yang dilakukan oleh pihak penyambung bayar.

     
     
  • JPJ eBid: Siri ANA kini dibuka untuk dibida

    JPJ eBid: Siri ANA kini dibuka untuk dibida

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia sudah pun boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Perak, ANA, telah pun dibuka bidaan sejak 20 Mei 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 24 Mei ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 25 Mei 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Jualan Daihatsu Rocky/Toyota Raize dihentikan di Jepun; kesalahan ketika ujian keselamatan dikesan

    Jualan Daihatsu Rocky/Toyota Raize dihentikan di Jepun; kesalahan ketika ujian keselamatan dikesan

    Susulan kes salah laku Daihatsu dalam ujian keselamatan terhadap model-model berasaskan platform DNGA sebelum ini melibatkan model-model termasuk Toyota Vios, Perodua Axia dan Toyota Yaris Cross, pakar penghasilan kereta kompak Jepun yang bernaung di bawah Toyota tersebut menjalankan siasatan dalaman lanjut berkenaan proses perolehan pensijilan R95 itu.

    Siasatan itu kemudiannya telah menemui bahawa ada lagi salah laku dalam ujian telah dilakukan membabitkan kembar Toyota Raize Hybrid dan Daihatsu Rocky Hybrid. Kedua-dua model berkenaan didapati menjalani ujian UN R135 yang tidak sempurna.

    Bagi ujian ini, kenderaan berkenaan perlu diuji dalam pelanggaran sisi dengan tiang pada kedua-dua sisi. Apa yang terjadi dalam ujian kali ini adalah Daihatsu hanya membuat ujian pelanggaran tersebut pada sebelah sisi penumpang. Ujian untuk sebelah sisi pemandu pula tidak dibuat, sebaliknya ia hanya menggunakan data dari keputusan pelanggaran bahagian penumpang untuk mendapatkan kelulusan ujian itu.

    Jualan Daihatsu Rocky/Toyota Raize dihentikan di Jepun; kesalahan ketika ujian keselamatan dikesan

    Sejumlah 78,440 kenderaan melibatkan 22,329 unit Rocky Hybrid dan 56,111 unit Raize Hybrid terlibat dalam insiden ini. Buat masa sekarang, jualan kedua-dua model berkenaan dihentikan sementara waktu di Jepun, dan langkah seterusnya yang akan diambil masih sedang dibincangkan.

    Seperti yang disebut di atas, insiden kali ini hanya melibatkan model yang menerima unit rangkaian kuasa hybrid yang tidak dijual pada pasaran ASEAN. Namun pada September tahun lalu, Perodua ada menawarkan 300 unit Ativa Hybrid yang sebenarnya merupakan Rocky Hybrid JDM yang di bawa dari Jepun untuk satu program langganan khas untuk pelanggan terpilih.

    Buat masa sekarang Perodua masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan status Ativa Hybrid berkenaan.

     
     
  • Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

    Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

    Proton S50 hasil bayangan digital Theophlius Chin

    Ketika Proton memperkenalkan X70 pada akhir 2018, ramai yang mengatakan bahawa Proton kini hanya ‘menukar logo’ kereta jenama China untuk dijual di Malaysia. Namun hakikatnya, X70 telah pun menerima kejuruteraan tempatan untuk menukar posisi pemanduan sebelah kiri (LHD) ke sebelah kanan (RHD) kerana Geely tidak pernah menghasilkan model RHD.

    Kerja-kerja tersebut bukan hanya melibatkan penukaran kedudukan komponen, malah sebenarnya Proton pula menghasilkan rekaan semula pada bahagian tertentu pada kerangka badan dan juga komponen, dan kemudian ujian keselamatan pelanggaran juga perlu dibuat semula.

    Untuk X50 pula, jurutera Proton turut melakukan proses yang sama, disamping menala semula pengendalian SUV segmen-B berkenaan menggunakan pengetahuannya yang dipelajari ketika bersama dengan Lotus, agar model tersebut lebih sesuai digunakan pada permukaan jalan di Malaysia.

    Proton juga memadankan enjin 1.5 liter Turbo tanpa sistem suntikan bahan api terus yang lebih mampu milik pada varian-varian lebih rendah untuk X50, di mana enjin berkenaan tidak pernah lagi digunakan oleh mana-mana model yang ditawarkan oleh Geely di pasaran lain.

    Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

    Proton S50 hasil bayangan digital Theophlius Chin

    Dan baru-baru ini, Proton telah memperkenalkan SUV segmen-D X90 dengan sistem hibrid ringkas. Menerusi model ini, Proton nampaknya memberikan sentuhan yang lebih banyak bagi disesuaikan untuk pasaran tempatan. Berbanding asas X90 iaitu Geely Houyue pasaran China yang hanya diberikan sistem suspensi belakang ringkas jenis torsion beam, Proton memadankan sistem suspensi jenis multilink yang lebih jitu untuk modelnya.

    Sistem berkenaan bukan hanya terus diambil dari Geely Okvango pasaran Filipina, sebaliknya ia diolah dan ditala semula oleh Proton. Hasilnya, ia bukan sahaja memberikan pengendalian yang lebih jitu, malah X90 juga dapat memberikan keselesaan yang lebih baik.

    Malah X90 juga hadir dengan tempat duduk kapten pada baris kedua pada varian Flagship – perincian ini belum pernah diberikan pada Houyue dan Okavango pada mana-mana pasaran lain dalam dunia.

    Untuk model seterusnya yang akan dilancar oleh Proton menjelang akhir tahun ini iaitu sedan yang dijangka akan diberi nama Proton S50, ia berkemungkinan akan menerima lebih banyak sentuhan dari Proton berbanding model asasnya yang dijual di China dan Filipina iaitu Geely Emgrand.

    Geely Emgrand pasaran China

    Emgrand merupakan sedan yang diasaskan dari platform BMA, iaitu platform sama digunakan pada model seperti Proton X50/Geely Binyue dan Lynk & Co 06. Ia adalah sedan yang dihasilkan untuk berhadapan dengan model-model segmen-B seperti Toyota Vios dan juga Honda City.

    Di China dan Filipina, Emgrand dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder tanpa pengecas turbo, digandingkan dengan kotak gear CVT – perincian setara yang membolehkan ia bertanding dengan model seperti Vios dan City.

    Namun Emgrand mempunyai kelebihan dari segi saiz – ia dihasilkan dengan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm, iaitu saiz yang hampir masuk ke kelas segmen-C. Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar.

    Kerangka asas Emgrand ini juga didakwa mendapat sentuhan talaan jurutera Geely bukan sahaja di China, malah di Eropah bagi mendapat prestasi NVH pada tahap premium. Geely menyatakan bahawa bunyi yang dihasilkan di dalam kabin ketika kelajuan pepura enjin hanya pada tahap 37 desibel, manakala kadar geseran udara yang rendah pada tahap 0.27 juga menghasilkan bunyi yang senyap ketika kereta ini bergerak.

    Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

    Dengan kelebihan ini, Proton nampaknya mahu S50 bertanding terus dalam kelas segmen-C untuk berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla disini. Perkara ini telah disebut oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu.

    Dr. Li mengesahkan S50 merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang. Jadi ia bukanlah sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona yang kini masih lagi dijual, tetapi sedan segmen-C yang akan menggantikan tempat Proton Preve.

    Preve sudah tidak dijual selepas versi kemaskini terakhir diperkenalkan pada 2018. Malah sama ada ia kebetulan atau tidak, jarak roda 2,650 mm pada Emgrand adalah sama sepenuhnya dengan Preve.

    Untuk membolehkan S50 bertanding sebagai sebuah sedan segmen-C sebenar, ia dijangka tidak akan menggunakan enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT seperti Emgrand, sebaliknya bakal dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

    Proton sebelum ini sudah pun menyatakan dengan jelas pembangunan untuk enjin 1.6 liter Campro Turbo yang digunakan oleh Preve sebelum ini sudahpun ditamatkan, dan enjin utama yang akan digunakan pada model-model serba baharunya selepas ini adalah enjin 1.5L Turbo yang dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut.

    Enjin berkenaan kini sudahpun dipasang sendiri oleh Proton di kilangnya di Tanjong Malim dengan tingkat taraf pelaburan mencecah RM1.8 bilion. Bukan itu sahaja, malah 70% dari komponen enjin berkenaan kini dibuat oleh vendor-vendor Proton dalam Malaysia, dan Proton menyatakan bahawa ia mampu untuk memasang 180,000 unit enjin tersebut setahun.

    Walau bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada S50 akan menerima enjin 1.5L Turbo yang menerima sistem suntikan bahan api konvensional (PFI) berkuasa 150 PS/226 Nm seperti X50 varian Premiun dan ke, bawah ataupun dalam versi dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 177 PS/255 Nm.

    Ini kerana sebelum ini Proton ada menyatakan bahawa enjin 1.5L Turbo PFI yang belum lagi digunakan pada mana-mana model Geely tersebut akan digunakan dalam barisan model baharunya selepas ini, khususnya model-model yang akan dibangunkan secara tempatan dalam tempoh masa sehingga 2025.

    Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

    Dalam gambar intipan terbaharu yang dimuatnaik oleh laman facebook The Ajerul baru-baru ini, Proton S50 nampaknya bakal dilengkapi satu lagi sistem yang lebih canggih berbanding Emgrand iaitu sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Ia disahkan kerana pada unit sedan prototaip yang dilihat sudahpun dipadankan dengan gril signatur Infinite Weave Proton tersebut turut dipadankan dengan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan. Trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan juga dilihat mempunyai lubang empat segi, yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter.

    Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong.

    Dari segi suspensi, tidak mustahil juga S50 akan menerima sistem multilink untuk bahagian belakang berbanding hanya torsion beam pada Emgrand. Masih lagi belum ada petunjuk yang menyokong kemungkinan ini, namun disebabkan beberapa faktor seperti enjin yang lebih berkuasa mungkin akan menjadi faktor untuk Proton memilih sistem suspensi lebih baik tersebut.

    Malah Proton Preve juga sebelum ini sudahpun menggunakan sistem multilink, tidak mustahil penggantinya ini akan menggunakan sistem yang sama. Lagipun pada X90 Proton telah membuktikan ia tidak ragu-ragu untuk memilih multilink berbanding torsion beam, mungkin pilihan yang sama akan dibuat pada S50 ini kan?

    Pasti ramai yang tertunggu-tunggu pelancaran S50 ini kan? Mana tidaknya, selepas tiga buah SUV, ini adalah sedan serba baharu pertama yang akan diperkenalkan Proton, yang memang terkenal menghasilkan sedan-sedan yang bagus seperti model generasi pertamanya Proton Saga, dan model-model lain seperti Waja dan Preve.

    S50 ini mungkin akan menjadi sedan paling sempurna untuk Proton kelak dengan platform termaju, enjin dan transmisi yang padu bersama talaan pengendalian Proton, tanpa masalah seperti yang dihadapi Preve seperti kotak gear CVT dan penggunaan bahan api yang tidak efisien dan sebagainya.

    Buat masa sekarang Honda Civic mungkin berada selesa di hadapan sebagai sedan segmen-C paling laris di Malaysia. Namun selepas pengenalan S50 ini kelak, kedudukan itu mungkin tergugat kerana Proton mungkin dapat menjual sedan segmen-C ini dalam julat harga seperti sedan segmen-B iaitu sekitar RM70k hingga RM90k.

     
     
  • Ora Good Cat EV di Malaysia – warna pilihan Pistachio Green kini ditawarkan; 400 Pro dari RM139,800

    Ora Good Cat EV di Malaysia – warna pilihan Pistachio Green kini ditawarkan; 400 Pro dari RM139,800

    Dilancarkan di Maalaysia pada November lalu, kini Great Wall Motors Ora Good Cat turut ditawarkan dengan pilihan warna baharu Pistachio Green seperti unit yang dipamerkan di Sunway Velocity Mall di Kuala Lumpur.

    Ia menyertai barisan warna pilihan lain termasuk Coral Blue, Sun Black, Mars Red, Hamilton White, Verdant Green dan Em Beige. Harga untuk Ora Good Cats adalah bermula dari RM139,800 untuk varian asas 400 Pro dan model spesifikasi penuh 500 Ultra pula berharga RM169,800. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Untuk bahagian dalamnya, ia turut diberikan skema dua-tona seperti warna light cream ini yang digandingkan dengan sentuhan hijau, bersama serlahn jingga secara kontras. Malahan ia turut menambah motif tapak kaki kucing pada bahagian hadapan perehat tangan yang kelihatan sungguh comel.

    Untuk bahagian atas tempat duduk pula diserlahkan dengan seksyen berpetak hijau, juga seperti pada panel pintu. Selain itu, spesifikasinya masih sama seperti sebelum ini termasuk roda stereng pelbagai fungsi, dua port USB untuk penumpang hadapan dan corong USB untuk penumpang belakang, dan port USB untuk perakam video digital.

    Varian 400 Pro dilengkapi oleh bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate (LFP) yang mampu memberikan jarak perjalanan 400 km, dan mengambil masa sekitar lapan jam untuk dicas penuh dari pengecas AC 6.6 kW menerusi sambungan Type 2.

    Manakala varian 500 Ultra pula menggunakan bateri dengan kapasiti 63.1 kWh dengan jarak perjalanan 500 km. Jarak yang dinyatakan ini adalah mengikut kitaran ujian NEDC. Ia mengambil lebih kurang 10 jam jika dicas menggunakan pengecas AC. Jika menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan dengan tahap 0-80% boleh diselesaikan sekitar 40 minit.

    Kedua-dua varian juga menampilkan motor elektrik yang dipasang di hadapan dengan kuasa 143 PS/210 Nm, membolehkan Ora Good Cat ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 152 km/j.

    Ora Good Cat juga diberikan paparan pelbagai-informasi dengan unit infotainmen skrin sesentuh 10.25-inci, yang turut menyokong penggunaan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Untuk aspek keselamatan, kenderaan elektrik comel ini diberikan kawalan kelajuan adaptif, bantuan kelajuan pintar, AEB, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan kelajuan rendah, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong dan bantuan pemusatan lorong. Walau bagaimana pun, 500 Ultra menerima ciri tambahan termasuk Wisdom Dodge System, kekal lorong kecemasan, bantuan tukar lorong dan pengesan titik buta, amaran pelanggaran belakang, amaran trafik lintasan belakang dan brek trafik lintasan belakang.

    Ora Good Cat di Malaysia turut diberikan pengecas rumah percuma, waranti umum lima-tahun/150,000 km dan waranti bateri lapan-tahun/180,000 km, serta lima tahun kos labur percuma bagi penyelenggaran berjadual.