Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Hyundai Creta 2022 dapat lima-bintang, Stargazer 2022 terima empat-bintang dalam ujian ASEAN NCAP

    Hyundai Creta 2022 dapat lima-bintang, Stargazer 2022 terima empat-bintang dalam ujian ASEAN NCAP

    Program Penilaian Kereta Baharu untuk negara Asia Tenggara, atau ASEAN NCAP telah mengeluarkan keputusan bagi SUV Hyundai Creta 2022 dan Hyundai Stargazer 2022, yang kedua-duanya merupakan model 2022 yang diproduksi di Indonesia untuk beberapa pasaran di rantau ASEAN.

    SUV segmen-B Creta merupakan SUV Hyundai yang pertama diuji di bawah protokol ASEAN NCAP 2021-2025, dan disertai oleh Stargazer, yang merupakan MPV Hyundai pertama di bawah protokol yang sama. Kedua-dua model terbabit menjalani ujian di pusat ujian pelanggaran PC3 milik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang terletak di Melaka.

    Dengan jumlah markah terkumpul sebanyak 75.78 mata, Creta diberikan penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP, sementara Stargazer pula menerima empat-bintang dengan jumlah markah 66.48 mata.

    Hyundai Creta 2022 dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP dan ujian intra-urban AEB

    Creta menerima markah yang lebih tinggi berbanding Stargazer bagi kesemua aspek penilaian, dengan 34.762 mara untuk kategori pelindungan penumpang dewasa (AOP), 15.56 mata bagi kategori pelindungan penumpang kanak-kanak (COP), 14.08 mata dalam kategori sistem bantuan keselamatan dan 11.42 mata untuk kategori keselamatan penunggang motosikal.

    Sebagai perbandingan, MPV Stargazer memperoleh 31.21 mata untuk AOP, 14.48 mata bagi COP, 12.04 mata dalam sistem bantuan keselamatan dan 8.75 mata untuk keselamatan penunggang motosikal.

    Ciri kelengkapan untuk kesemua varian bagi Hyundai Creta termasuklah minimum dua beg udara, walau bagaimana pun hampir kebanyakan pasaran antara Asia Tenggara memberikan enam beg udara secara standard. Bagi keselamatan aktif, Creta menerima kawalan kestabilan elektronik, ABS, pengingatan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan, cagak Isofix bagi tempat duduk kanak-kanak dan teknologi pelindungan pejalan kaki secara standard.

    Hyundai Stargazer 2022 dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP dan ujian intra-urban AEB

    Sementara itu, teknologi bantuan keselamatan bagi Creta termasuk AEB City, AEB Inter-Urban, AEB Pedestrian, amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, amaran ketibaan lorong, lampu tinggi automatik dan pengesan titik buta, pengesan kehadiran kanak-kanak, dan bantuan pengelak pelanggaran trafik lintasan belakang (RCCA) untuk pengesan motosikal.

    Bagi Stargazer pula, MPV ini menerima dua beg udara hadapan secara standard, sementara bantuan keselamatan merangkumi ABS, pengingatan pemakaian tali pinggang keledar, cagak Isofix, dan teknologi pelindungan pejalan kaki. Bagi keselamatan aktif pula, Stargazer diberikan kawalan kestabilan elektronik (ESC), amaran ketibaan lorong, amaran pelanggaran hadapan dan bantuan kekal lorong sebagai kelengkapan standard atau pilihan, dengan unit di Thailand menerima ESC secara standard.

    Bagi teknologi bantuan keselamatan, Stargazer menerima AEB City, AEB Inter-Urban, AEB Pedestrian, pengesan titik buta dan lampu tinggi automatik sebagai ciri pilihan untuk semua varian.

     
     
  • Chery Tiggo 8 Pro bakal dilancar di M’sia pada Q2 2023 — SUV flagship 7-seater, CKD, 2.0L turbo dan 7DCT

    Chery Tiggo 8 Pro bakal dilancar di M’sia pada Q2 2023 — SUV flagship 7-seater, CKD, 2.0L turbo dan 7DCT

    Barisan kenderaan terbaru Chery sebelum ini pernah dipertontonkan untuk pasaran Malaysia Oktober lalu, walaupun jenama itu belum lagi diperkenalkan secara rasmi di sini. Jenama ini bakal memasuki pasaran tempatan secara rasmi jangkaannya pada pertengahan tahun hadapan. Namun, persiapan ke arah kehadiran tersebut sedang giat dijalankan.

    Selain Omoda 5 yang menjadi tumpuan, sebuah SUV flagship Tiggo 8 Pro juga adakan dilancarkan. Kini, garis masa bagi pengenalan itu telah pun diberikan, iaitu dalam tempoh suku kedua 2023, dan ia akan terus diperkenalkan dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD).

    Chery Tiggo 8 Pro ialah sebuah SUV tujuh-tempat duduk yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder TGDi dengan janaan 254 hp dan 390 Nm tork, dan dipadankan dengan transmisi 7DCT. Ciri AWD juga khabarnya akan ditawarkan. Hasil janaan enjin 2.0 liter berkenaan juga sebenarnya agak tinggi. Sebagai perbandingan, enjin 2.5 liter turbo Mazda menjana sebanyak 228 hp/420 Nm. Turut dijangkakan adalah versi PHEV bagi SUV ini.

    Chery Tiggo 8 Pro bakal dilancar di M’sia pada Q2 2023 — SUV flagship 7-seater, CKD, 2.0L turbo dan 7DCT

    Di dalam, papan pemuka Tiggo 8 Pro didatangkan dengan material lebih mahal yang digunakan di lebih banyak tempat. Kerusi mungkin yang paling ketara, dengan balutan kulit lebih lembut. Skrin kawalan pendingin juga berbeza antara keduanya — Tiggo 8 Pro dengan skrin berwarna.

    Bagi model PHEV pula, bukaan corong pendinginnya bersambung, dan panel instrumen bersambung dengan skrin infotainmen (lebar penuh 24.6 inci). Konsol tengah juga ada menempatkan panel sentuh bagi fungsi berkaitan hibrid dan pemilih 4WD — unit yang ditunjuk ini adalah dari pemanduan sebelah kiri.

    Dari segi kelengkapan, SUV flagship Chery ini menerima semua yang ada pada SUV yang lebih kecil Tiggo 7, dengan tambahan lainnya. Ini termasuk lampu LED penuh dengan teknologi Matrix, DRL LED, roda 18-inci, sunroof panoramik kuasa elektrik, panel instrumen digital 12.3-inci, skrin infotainmen 10.25-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi Sony dengan lapan pembesar suara, pengecas tanpa wayar, kawalan pendingin dua zon, balutan kulit dua tona warna. Kerusi pemandu turut ada fungsi sokongan lumbar dan memori.

     
     
  • Chery Omoda 5 dilancar di M’sia pada Q2 2023 – CKD dari mula, bakal jadi model RHD pertama di pasaran

    Chery Omoda 5 dilancar di M’sia pada Q2 2023 – CKD dari mula, bakal jadi model RHD pertama di pasaran

    Chery Omoda 5 dijangka dilancarkan di pasaran Malaysia pada suku kedua (Q2) tahun hadapan, dan SUV ini akan didatangkan dalam bentuk pemasangan tempatan. Sekaligus menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama unit pacuan sebelah-kanan (RHD) bagi Omoda 5, menurut kenyataan yang disahkan oleh timbalan presiden Chery International, Shawn Xu, yang juga merupakan presiden bagi pasaran ASEAN untuk jenama ini.

    Dipertontonkan di Malaysia pada Oktober lalu, Omoda 5 menjadi antara SUV dari Chery yang bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia, bersama barisan SUV lain termasuk Tiggo 7 Pro and Tiggo 8 Pro.

    Dalam majlis rasmi pertama sekembalinya ke pasaran malaysia, Chery turut mempertontonkan SUV ini selepas pengeluar kereta dari China ini pernah mengumumkan keputusannya untuk melancarkan semula jenama tersebut di sini.

    Chery Omoda 5 dilancar di M’sia pada Q2 2023 – CKD dari mula, bakal jadi model RHD pertama di pasaran

    Pada masa ini, semua kerja kajian dan pembangunan untuk model Chery pacuan sebelah-kanan dilakukan di luar China, dan telah ditetapkan untuk dilaksanakan di Malaysia serta menjadikan negara ini sebagai pusat operasi bagi rantau ASEAN serta pasaran pacuan sebelah-kanan. Pelaksanaan ini turut melibatkan pelan pelaburan awal bernilai RM170 juta, ujar syarikat tersebut kepada paultan.org.

    Berkenaan dengan arah pemasaran ASEAN bagi jenama ini, paultan.org difahamkan bahawa Chery memilih Malaysia sebagai pusat operasi ASEAN berbanding Thailand disebabkan beberapa alasan.

    Pembuat kereta tersebut mendapati penerimaan pasaran bagi jenama yang berasal dari China adalah tinggi berikutan penggabungan Geely-Proton, di samping itu pasaran Malaysia mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi.

    Chery Omoda 5 dilancar di M’sia pada Q2 2023 – CKD dari mula, bakal jadi model RHD pertama di pasaran

    Selain itu, pelbagai insentif kerajaan juga menjadikannya kondusif untuk Chery mengendalikan pangkalan serantaunya di Malaysia, di mana syarikat ini mendapati ia sangat mengalu-alukan pelaburan baharu.

    Chery Omoda 5 merupakan SUV segmen-B yang bakal bersaing dengan Honda HR-V dan Proton X50. Berukuran 4,400 mm panjang dan 1,830 mm lebar menjadikan Omoda 5 ini lebih panjang sebanyak 15 mm dan 40 mm lebih lebar berbanding HR-V. Walau bagaimana pun, Omoda 5 berketinggian 1,585 mm atau kuran 5 mm berbanding HR-V, tetapi dengan jarak roda yang lebih penjang sebanyak 20 mm iaitu 2,630 mm.

    Di China, sebanyak tujuh varian dilancarkan, termasuklah dengan enjin 1,6 liter turbo petrol (194 hp/290 Nm) dengan DCT tujuh-kelajuan dan unit 2WD 1.5 liter turbo petrol yang dipadankan dengan CVT untuk model pembakaran dalaman. Selain itu, versi elektrik sepenuhnya turut ditawarkan, dan ini mungkin bakal diperkenalkan di Malaysia, susulan perancangan Chery untuk mengeluarkan model pemasangan tempatan (CKD) bagi versi plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya.

    GALERI: Chery Omoda 5 dipertonton di Malaysia

     
     
  • Aksesori Suzuki Jimny kini di Malaysia — tiga pakej berbeza, dari RM1.5k tidak termasuk kos pemasangan

    Aksesori Suzuki Jimny kini di Malaysia — tiga pakej berbeza, dari RM1.5k tidak termasuk kos pemasangan

    Suzuki Cars Malaysia, yang dikendalikan oleh Naa Eastern Motors, telah mengumumkan ketersediaan beberapa aksesori untuk model Jimny, yang ditawarkan dalam tiga pakej menarik, bukan hanya sekadar untuk mengubah estetika atau penampilan luarannya sahaja, tetapi juga dengan tujuan penggunaan.

    Yang pertama, Urban Package yang terdiri daripada kemasan bampar depan, kemasan sisi, visor pintu serta pelindung gril baru. Pakej ini dijual pada harga RM5,820 tidak termasuk pemasangan, yang dikenakan tambahan RM180.

    Yang kedua ialah Professional Package pada harga RM1,500 (pemasangan perlu tambahan RM117) yang menukar warna pemegang pintu dan perumah cermin sisi dari warna badan kepada kemasan krom.

    Yang ketiga pula ialah Protection Package yang ditawarkan pada harga RM4,000, yang melibatkan tambahan pelindung lumpur depan dan belakang, serta pelindung logam bagi dua differential yang ada pada Jimny. Upah pemasangan untuk pakej ini juga sama, RM117.

    Suzuki Jimny dijual pada harga semasa RM174,900 atas jalan tidak termasuk insuran. Harga ini RM6,000 lebih mahal berbanding harga ketika pelancarannya iaitu RM168,900, walaupun ketika itu harga yang lebih rendah itu disebabkan oleh rebat 50% bagi cukai SST.

    Jimny diimport sepenuhnya dari Jepun dan ditawarkan dalam empat pilihan warna, termasuk Jungle Green dan Medium Grey yang tidak memerlukan tambahan kos. Jika ingin versi dua warna, Kinetic Yellow dan bumbung Bluish Black Pearl 3, ini melibatkan pertambahan RM2,500. Sementara itu, warna Bluish Black Pearl 3 pula memerlukan tambahan RM1,500.

    Jimny menggunakan enjin K15B 1.5 liter VVT NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 100 hp pada 6,000 rpm dan 130 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini digandingkan pula dengan kotak gear automatik empat-kelajuan dan sistem pacuan empat roda separuh masa dengan low-range transfer box.

     
     
  • Tindakan ‘cop’ parkir salah disisi undang-undang; denda hingga RM2,000 atau penjara enam bulan

    Tindakan ‘cop’ parkir salah disisi undang-undang; denda hingga RM2,000 atau penjara enam bulan

    Masalah parkir memang sering kali menjadi dilema para pemandu waima di kawasan perumahan, premis perniagaan mahu pun pusat membeli-belah. Terutamanya jika di waktu puncak, masalah ini sering kali terjadi, puaslah kita memandu ‘tawaf’ tempat berkenaan untuk mencari petak parkir kosong. Dan hati menjadi lebih sebal bila ada individu yang sengaja berdiri di dalam petak parkir kosong semata-mata hendak ‘cop’ parkir berkenaan.

    Itulah yang diluahkan oleh aktres tempatan, Elvina Mohamad, yang berhadapan dengan situasi tersebut baru-baru ini, laporan The Sun. Beliau telah memuat naik klip video pendek menerusi akaun TikTok rasminya baru-baru ini, yang merakamkan aksi seorang wanita berdiri di dalam petak parkir kosong sementara menanti rakannya tiba bagi membolehkan mereka parkir di ruang berkenaan.

    “Kami memandu berpusing-pusing tiga ke empat kali untuk cari parkir, dan wanita tersebut (berdiri) di situ, nak cop parkir untuk kawan dia,” kata Elvina. Wanita yang berdiri di petak parkir tersebut mendakwa telah berdiri di situ lama, tetapi Elvina berkata dia telah lama menunggu untuk parkir di situ selepas kereta lain keluar dari petak parkir tersebut.

    Menerusi video yang dikongsikan, wanita terbabit enggan memperdulikan Elvina dan memberikan bantuan untuk rakannya parkir di situ, sebuah Perodua Bezza berwarna biru, yang turut dibantu oleh seorang individu lain yang dipercayai rakannya.

    Tindakan ‘cop’ parkir salah disisi undang-undang; denda hingga RM2,000 atau penjara enam bulan

    Untuk pengetahuan anda, tindakan ‘mengecop’ petak parkir adalah suatu kesalahan dalam undang-undang trafik. Pada tahun 2018, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah tidak dibenarkan, dan mana-mana individu yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Seksyen 50 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Jika mana-mana orang melainkan dengan kuasa yang sah, berada di atas mana-mana jalan atau di mana-mana tempat letak kereta bagi maksud mendesak mana-mana orang lain berkenaan dengan penjagaan atau pencucian sesuatu kenderaan motor, atau bagi maksud mengarahkan mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor berkenaan dengan meletakkan kereta di atas jalan atau di tempat itu, dia melakukan suatu kesalahan,” tegas PDRM.

    Di bawah Seksyen 119, penalti untuk kesalahan ini adalah denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya selepas disabit kesalahan, denda akan meningkat sehingga RM4,000, atau penjara sehingga 12 bulan.

    @elvinamohamad

    Tak sangka eh masih ada orang buat macam ni, nak COP2 PARKING! Kita ni punya laa 3 4 kali round cari and tunggu parking. Lepas tu senang2 dia je dia berdiri situ nak cop parking untuk kawan dia. Lepas tu menipu cakap dah berdiri lama padahal kami dari awal memang dah tunggu nak park situ lepas kereta lain keluar dr parking. Ikut kan hati je nak maki! Haihhh geramm rasa!

    ? original sound – Elvina Mohamad

     
     
  • Toyota Yaris Cross GR Sport masuk pasaran Australia – 1.5L hibrid 2WD 116 PS, suspensi ditala semula

    Toyota Yaris Cross GR Sport masuk pasaran Australia – 1.5L hibrid 2WD 116 PS, suspensi ditala semula

    Selepas diperkenalkan untuk pasaran Eropah September lalu, Toyota Yaris Cross GR Sport kini memasuki pula pasaran Australia dengan harga bermula AUD$35,840 (RM106,353). Menurut Toyota, model pasaran Australia ini menggunakan spesifikasi varian GXL 2WD sebagai asas dan ditambah dengan elemen penggayaan daripada GR.

    Menggerakkan crossover ini adalah gabungan enjin petrol tiga silinder hibrid 1.5 liter berkuasa 91 PS/120 Nm bersama motor elektrik pada gandar hadapan, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 116 PS.

    Meskipun bahagian enjin tidak ada beza dengan model standard, versi GR Sport ini mendapat talaan suspensi khas untuk memberikan pengendalian lebih baik serta rasa yang lebih tepat. Menurut Toyota, antara yang diubah adalah kadar spring, ketegaran control arm serta bound stopper.

    Bahagian casis turut diperkuat dengan pendakap di bawah lantai serta di bahagian crossmember belakang. Kemudiannya, kedudukan Yaris Cross GR Sport ini direndahkan 10 mm berbanding Yaris Cross biasa.

    Membezakan bahagian luar Yaris Cross GR Sport ini adalah ia dilengkapi dengan rim 18 inci lima cabang, angkup brek warna merah dengan logo GR di hadapan, penutup cermin sisi warna hitam serta lencana GR di beberapa tempat.

    Di bahagian dalam model ini mendapat roda stereng balutan kulit, unit multimedia tujuh inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, navigasi satelit, kamera panoramik, Toyota Connected Services serta pakej keselamatan Toyota Safety Sense.

    GALERI: Toyota Yaris Cross GR Sport pasaran Eropah

     
     
  • Pengendali poin pengecasan EV disaran dapatkan lesen Sistem Pengecasan EV sebelum 31 Mac 2023

    EV charge point operators recommended to get EV charging system licenses before March 31, 2023 – EC

    Pengendali poin pengecasan EV disaran dapatkan lesen Sistem Pengecasan EV sebelum 31 Mac 2023

    Suruhanjaya Tenaga telah mencadangkan pengendali poin pengecasan yang terlibat dalam pembangunan prasarana pengecasan kenderaan elektrik agar mendapatkan lesen agihan tenaga umum yang sah segera bagi pemasangan sistem pengecasan EV sebelum 31 Mac 2023, lapor Bernama.

    Lesen sistem pengecasan kenderaan elektrik perlu didapatkan oleh pengendali poin pengecasan, termasuk sistem pengecasan EV yang sudah pun beroperasi, sebelum penguatkuasaan dijalankan. Dalam satu kenyataan oleh Suruhanjaya Tenaga, lesen berkenaan perlu dimohon untuk memastikan sistem pengecasan supaya semuanya mengikut piawaian dan selamat digunakan di seluruh negara.

    “Keperluan ini adalah selari dengan Seksyen 9(1)(b) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Pindaan 2015) (Akta A1501), yang menyebut bahawa lesen perli dikeluarkan kepada pengendali poin pengecasan yang membekalkan elektrik bagi kegunaan komersial selama 10 tahun, bergantung kepada lokasi pemasangan,” jelas kenyataan tersebut.

    Bagaimanapun, skop pelesenan Suruhanjaya Tenaga hanya merangkumi aspek keselamatan dan teknikal, dan tidak termasuk dasar kawal selia ekonomi, tambahnya.

    Pengendali poin pengecasan EV disaran dapatkan lesen Sistem Pengecasan EV sebelum 31 Mac 2023

    Pengenali poin pengecasan yang menjalankan pemasangan sistem berkenaan tanpa lesen sah adalah dikira melakukan kesalahan, dan boleh didakwa di bawah Seksyen 37(5) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), menurut kenyataan yang dikeluarkan itu.

    Hab pengecasan Gentari yang dibuka baru-baru ini di Bangi Golf Resort dan di X Park Sunway Serene merupakan tapak pengecasan EV pertama yang menerima lesen Sistem Pengecasan Kenderaan Elektrik (SPKE) daripada Suruhanjaya Tenaga.

    Ketika pembukaan rasminya di Bangi Golf Resort, lokasi berkenaan diserahkan lesen agihan tenaga awam daripada Suruhanjaya Tenaga kepada EV Connection (EVC). Hab pengecasan berkenaan dibangunkan bersama oleh EVC dan Gentari, sebuah anak syarikat Petronas.

     
     
  • BMW R nineT dan R18 100 Years diperkenal – 1,923 unit sahaja untuk pasaran, pelbagai kemasan istimewa

    BMW R nineT dan R18 100 Years diperkenal – 1,923 unit sahaja untuk pasaran, pelbagai kemasan istimewa

    Sebagai menyambut ulang tahunnya yang ke-100, BMW Motorrad telah mengeluarkan dua model istimewa untuk pasaran, iaitu R nineT 100 Years Anniversary dan R18 100 Years Anniversary. Dua model ini masing-masing hanya akan dibuat sebanyak 1,923 unit untuk jualan, dan nombor itu diambil sempena memperingati tahun BMW Motorrad mula mengeluarkan motosikal.

    Enjin boxer-twin ikonik BMW digunakan pada kedua-dua model ini, dengan R nineT mampu menghasilkan 109 hp pada 7,250 rpm dan tork 116 Nm pada 6,000 rpm daripada enjin yang berkapasiti 1,170 cc, sementara R18 pula menggunakan unit 1,802 cc berkemampuan 91 hp pada 4,750 rpm dan tork 158 Nm pada 3,000 rpm.

    Banyak kemasan krom digunakan pada R nineT 100 Years Edition, dan ia digabungkan bersama pakej barangan Option 719 yang termasuk rim spoke hitam 719 Classic. Tangki menggunakan gabungan warna hitam, krom serta jalur pinstripe putih, dengan di tepinya terdapat getah pelapik kaki dan di atas terdapat lencanan “100 Years.”

    Penutup tempat duduk belakang juga mendapat kemasan krom, sementara tempat duduk utama dibalut dengan kulit berwarna hitam/oxblood. Fender hadapan dicat warna hitam, dan turut mendapat jalur pinstripe warna putih. Ia kemudiannya ditambah lagi dengan pakej Option 719 Shadow yang memberikan barangan milled termasuk penutup head, penutup tepi enjin, pemegang tempat duduk serta tempat mengisi minyak enjin.

    Turut diberikan terus pada R nineT 100 Years ini adalah pakej Option 719 Shadow II, iaitu barangan milled untuk tuil serta peletak kaki boleh laras, peletak kaki penumpang, penutup tangki air serta cermin sisi bar end. Melengkapkan senarai barangannya adalah lampu membelok adaptif, serta Comfort Package yang memberikan pemanas tangan, cruise control serta Driving Modes Pro.

    R18 100 Years juga mendapat kemasan yang sama seperti R nineT 100 Years, dengan gabungan warna hitam, krom serta jalur pinstripe putih dan lencana “100 Years.” Konsep warna ini digunakan pada seluruh motosikal termasuk fender hadapan dan belakang, serta panel tepi.

    Kemudiannya ia ditambah dengan tempat duduk Option 719, yang berwarna hitam/oxblood dan mempunyai jahitan timbul bercorak berlian. Bahagian utama enjin diwarnakan hitam Axus Black, sebagai peringatan kepada litar lumba legenda di Berlin, tempat BMW Motorrad pernah mencatat kegemilangan pada zaman dahulu.

    Kemasan krom turut digunakan untuk menyerlahkan motosikal ini, termasuk pada bahagian pemegang, penukar gear, pedal brek, hujung pemegang, cermin sisi, takung minyak brek dan klac, angkup brek, penutup head enjin, penutup enjin utama serta intake manifold.

    Melengkapkan ciri istimewa R18 100 Years ini adalah ekzos Akrapovic dengan hujungnya terdapat penutup yang berbentuk kipas, seperti logo BMW. Barangan standard yang diberi pada motosikal ini adalah termasuk lampu membelok adaptif, pembantu undur, cruise control serta pemanas tangan.

    GALERI: BMW R nineT 100 Years Anniversary Edition

    GALERI: BMW R18 100 Years Anniversary Edition

    GALERI: Beg barangan BMW Motorrad 100 Years Annivesary Edition

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Nov 2022 naik 5.58%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Nov 2022 naik 5.58%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan bagi November 2022, mengumumkan sebanyak 64,404 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli pada bulan lalu. Ia menunjukkan kenaikan sebanyak 3,402 unit berbanding 61,002 unit yang terjual pada Oktober 2022, iaitu meningkat sebanyak 5.58%.

    MAA berkata, jumlah yang konsisten (November termasuk dalam empat bulan berturut-turut mencatatkan jumlah jualan melebihi 60k unit) disebabkan syarikat kereta yang terus memenuhi tempahan yang diterima sebelum 30 Jun 2022, apabila pengecualian cukai jualan berakhir.

    Berbanding bulan yang sama pada 2021, November 2022 turut mencatatkan kenaikan sebanyak 7.3% (atau 4,357 unit) jika dibandingkan dengan 60,047 unit yang dicapai tahun lalu. Setakat ini, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 11 bulan tahun ini, mencatatkan sebanyak 642,306 unit, naik 44.8% (atau 198,670 unit) berbanding 443,636 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Persatuan ini menjangkakan jualan bagi Disember 2022 lebih tinggi berbanding November, dengan syarikat kereta dijangka terus memenuhi tempahan kenderaan yang tertangguh yang dibuat ketika tempoh pengecualian cukai jualan. Walau bagaimana pun, ia juga bergantung pada keupayaan pengeluaran.

     
     
  • Cerun runtuh di LPT2: Laluan KM393.4 (U) Bukit Besi-Ajil terhalang, sila guna jalan alternatif yang disaran

    Cerun runtuh di LPT2: Laluan KM393.4 (U) Bukit Besi-Ajil terhalang, sila guna jalan alternatif yang disaran

    Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT 2), pengendali lebuh raya bagi Lebuhraya LPT2 memaklumkan laluan di KM393.4 (arah utara) di antara Bukit Besi ke Ajil masih terhalang akibat berlakunya cerun runtuh di lokasi berkenaan semalam. Justeru, pemandu dari Kuala Lumpur yang menghala ke Kuala Terengganu dinasihatkan keluar di Plaza Tol Dungun (Mandatori Exit).

    “Untuk pemandu yang keluar dari Plaza Tol Dungun, anda dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Pantai (FT03) untuk menuju ke Kuala Terengganu.

    “Walau bagaimanapun, perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan/Kuala Lumpur menggunakan Lebuhraya LPT2 masih boleh dilalui oleh semua kenderaan seperti biasa,” kata kenyataan yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya pada jam 11.30 pagi tadi.

    Syarikat konsesi berkenaan berkata, pengaktifab ‘mandatory exit’ berkenaan adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan tapak dan juga mengelakkan dari berlakunya kejadian yang tidak diingini kepada pengguna lebuh raya yang melalui laluan tersebut.

    “Sila rancang perjalanan anda dan patuhi arahan pengawal dan papan tanda yang diletakkan di lokasi berkenaan. Pandu cermat dan terima kasih di atas kerjasama anda,” kata LPT2 lagi.

     
     
  • Pastikan lampu brek ketiga anda berfungsi – denda hingga RM2k atau penjara tidak lebih 6 bulan – PDRM

    Pastikan lampu brek ketiga anda berfungsi – denda hingga RM2k atau penjara tidak lebih 6 bulan – PDRM

    Mungkin ada yang merasakan lampu brek ketiga tidaklah sepenting mana, tetapi tahukah anda, sekiranya lampu ini tidak berfungsi, ia boleh membahayakan pengguna jalan raya yang berada di belakang kereta anda.

    Bagi yang kurang peka, lampu brek ketiga adalah lampu merah yang terletak sama ada di bahagian tengah atas atau bawah pada cermin belakang kereta. Ia berfungsi untuk memaklumkan kepada pemandu di belakang bahawa anda memperlahankan kenderaan dan ia sangat penting terutamanya apabila hujan.

    Justeru, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah memberikan pengingatan agar pemilik kenderaan mengambil berat tentang kepentingan lampu brek ketiga.

    “Ketiadaan lampu brek ketiga sering diambil mudah oleh pemilik kenderaan. Sikap tidak bertanggungjawab ini boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya di belakang terutamanya pada waktu malam dan keadaan hujan lebat.

    “Pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan am dan penalti. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan,” kata polis menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu.

    Untuk memeriksa sama ada lampu brek ketiga anda berfungsi atau pun tidak, minta rakan atau ahli keluarga berdiri di belakang kereta anda untuk memerhatikan keadaan lampu berkenaan. Atau pun anda boleh menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan video. Anda perlu masuk ke dalam kereta dan pijak pedal brek, sama ada dalam keadaan kereta bergerak atau pun tidak. Tetapi pastikan ia dilakukan dalam persekitan yang selamat.

    Sekiranya lampu brek ketiga tidak berfungsi, sila tukar unit lampu berkenaan. Bukan setakat untuk mengelak kena saman, tetapi demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Jadilah seorang pemandu yang peka dan berhemah.

     
     
  • 13 laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu ditutup kepada lalu lintas disebabkan bencana banjir – JKR

    13 laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu ditutup kepada lalu lintas disebabkan bencana banjir – JKR

    Portal rasmi Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengumumkan sebanyak 13 jalan, termasuk laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu ditutup kepada lalu lintas selepas dinaiki air antara 0.3m dan 1.5m hari ini.

    Info yang dikemaskini pada jam 9 malam tadi memaklumkan bahawa jalan utama Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Kampung Bukit Yong, Besut, ditutup kepada semua lalu lintas selepas ditenggelami air sedalam 0.3 meter (m) pada jarak laluan kira-kira 300 m.

    Selain itu, jalan Jertih-Keruak turut ditutup kepada semua lalu lintas setelah ditenggelami air sedalam 0.90 m sejauh kira-kira 300 m.

    Laluan lain yang turut ditutup adalah Jalan Kampung Matang/Nibong/Kuala Telemong di Kampung Jerubun, Kuala Berang, selepas ditenggelami air sedalam 0.76 m sejauh 100 m. Turut ditutup adalah Jalan Kampung Kuala Pueh/Tapah/Payang Kayu/Baung/Kuala Ping di Kampung Felcra Bukit Kepah, Kuala Berang, setelah ditenggelami air sedalam 0.76 m sejauh 200 m.

    13 laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu ditutup kepada lalu lintas disebabkan bencana banjir – JKR

    JKR turut memaklumkan empat lagi jalan di daerah Hulu Terengganu yang ditutup kepada semua lalu lintas adalah Jalan Matang/Nibong/Kuala Telemong di Kampung Talor, Jalan Simpang Gaung/Sungai Tong di Kampung Kuala Ping, Jalan Simpang Gaung/Sungai Tong, di Kampung Kepah dan di Jalan Bukit Diman/Tersat di Kampung Pengkalan Ajal selepas masing-masing ditenggelami air antara 200 m dan 350 m pada jarak sejauh 0.76 m dan 1.5 m.

    Tiga jalan lain yang turut ditutup kepada semua lalu lintas adalah Jalan Langkap/Pelong di Kampung Merbau Menyusut dan Jalan Chalok/Bukit Putera/Telaga Papan serta Jalan Pengkalan Merbau/Pelong di Kampung Mak Balah di daerah Setiu, selepas ditenggelami air masing-masing sedalam 0.8 m sejauh antara 100 m hingga 500 m.

    Manakala di daerah Dungun, tiga jalan yang ditutup kepada semua kenderaan adalah di Jalan Tepus/Kuala Jengal berhampiran Riverside Dfarm Resort, Jalan Tepus/Kuala Jengal di Kampung Air Jernih di kawasan Jambatan Besar ke Kampung Minda Talong dan di Jalan Tepus/Kuala Jengal di Kampung Rantau Panjang. Jalan berkenaan telah ditenggelami air antara 0.8 m dan 0.9 m sejauh kira-kira 150 m.

    Justeru, JKR turut menasihati pengguna jalan raya agar merujuk portal berkenaan untuk mendapatkan maklumat mengenai penutupan jalan di daerah yang terlibat dengan bencana banjir.

     
     
  • Honda Malaysia rai penghantaran pertama Civic e:HEV RS 2022 – lebih 180 unit telah dihantar sejak dilancar

    Honda Malaysia rai penghantaran pertama Civic e:HEV RS 2022 – lebih 180 unit telah dihantar sejak dilancar

    Honda Malaysia telah meraikan Chin Kok Fun, penerima pertama Honda Civic e:HEV RS 2022 di negara ini. Dalam majlis yang berlangsung di bilik pameran MH Prestige Auto di Bandar Sri Damansara, selain menerima kunci keretanya, Chin turut dihadiahkan barangan cenderahati dan aksesori Honda bernilai RM4,000 sebagai token penghargaan.

    “Kami gembira kerana telah melancarkan varian baharu ini. Pertama kali Civic memperkenalkan penjana kuasa 2.0L e:HEV dan untuk Honda Malaysia, ini merupakan langkah ke hadapan dalam usaha kami untuk menawarkan teknologi hibrid termaju untuk rakyat Malaysia. Setakat ini, kami telah menghantar lebih 180 unit Civic e:HEV RS dan hari ini kami meraikannya dengan pemilik pertama, Chin Kok Fung,” kata Hironobu Yoshimura, pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia.

    Tambahnya lagi, “Di samping itu, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pelanggan kami yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan mereka kepada jenama Honda. Honda Malaysia sedang melakukan yang terbaik untuk menghantar model baharu tepat pada masanya sambil memastikan kualiti produk dan perkhidmatan kami yang tertinggi. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pelanggan kami atas sokongan, kesabaran dan bertimbang rasa bagi sepanjang tempoh ini.”

    Honda Malaysia rai penghantaran pertama Civic e:HEV RS 2022 – lebih 180 unit telah dihantar sejak dilancar

    Civic e:HEV dilancarkan pada bulan lalu dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM166,500, atau RM15,800 lebih mahal dari Civic RS Turbo yang dijual pada harga RM150,700, menjadikan ia model tertinggi dalam barisan model Civic di Malaysia buat masa sekarang.

    Model RS e:HEV ini menggandingkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 143 PS (139 hp) dan tork maksima 189 Nm, bersama dua buah motor elektrik. Ia berfungsi sama dengan sistem 1.5L i-MMD pada City dan HR-V hibrid, di mana enjin petrol yang dibekalkan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri.

    Civic ini diberikan bateri lithium-ion 72-sel 1.05 kWj yang diletakkan dalam intelligent Power Unit (IPU) dengan berat keseluruhan 37 kg, diletakkan sekali pada ruang enjin, menjadikan bahagian hadapannya 15 kg lebih berat dari model turbo.

    Antara perincian yang diberikan pada model RS e:HEV ini termasuk ruang dalaman berwarna hitam, sistem pendingin hawa dua-zon bersama penghembus untuk kabin belakang, skrin infotainmen Display Audio sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar serta penghidup enjin jarak jauh.

    “Saya sentiasa menjadi peminat jentera yang dipacu prestasi. Apabila Honda memperkenalkan penjana kuasa 2.0L e:HEV, saya cukup teruja dengan teknologi dan prestasi yang ditawarkan. Saya juga tidak sabar untuk merasai pengalaman penuh menyeronokkan dengan teknologi e:HEV ini dan mahu menguji potensi kereta ini,” kata Chin, yang mendaftarkan kenderaan baharunya ini pada akhir November lalu.

    “Tambahan baharu kepada barisan Civic ini pastinya menggambarkan keupayaan Honda untuk menghasilkan model yang inovatif dan canggih. Kami berbesar hati untuk menyampaikan Civic e:HEV RS pertama kepada pelanggan dan kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik daripada jualan hingga selepas jualan,” kata Ng Jit Hua, pengarah MH Prestige Auto.

    “Dengan tambahan baharu dalam barisan Civic ini, pastinya menggambarkan keupayaan Honda untuk menghasilkan model yang inovatif dan canggih. Kami berbesar hati untuk menyampaikan Civic e:HEV RS pertama kepada pelanggan dan kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik dari sudut jualan hingga selepas jualan,” kata Ng Jit Hua, pengarah MH Prestige Auto.

     
     
  • Audi RS6 dan RS7 Performance didedah – V8 biturbo 4.0L 630 PS, turbo lebih besar, laju maksimum 305 km/j

    Audi RS6 dan RS7 Performance didedah – V8 biturbo 4.0L 630 PS, turbo lebih besar, laju maksimum 305 km/j

    Setelah versi biasa diperkenalkan pada 2019, Audi kini melancarkan pula RS6 Avant dan RS7 Sportback versi prestasi di Eropah, dengan kedua-duanya diletakkan pada harga bermula 135,000 euro (RM636k). Di Malaysia, RS6 Avant dan RS7 Sportback versi biasa dijual pada harga masing-masing bermula RM1.08 juta dan RM1.1 juta.

    Enjin V8 bi-turbo TFSI 4.0 liter pada kedua-dua kereta ini sekarang mampu menghasilkan 630 PS dan tork 850 Nm, bersamaan 30 hp dan 50 Nm lebih tinggi berbanding versi biasa. Ini adalah hasil daripada penggunaan pengecas turbo yang lebih besar, seterusnya meningkatkan boost daripada 2.4 bar kepada 2.6 bar. Pecutan 0-100 km/j juga menjadi lebih pantas, iaitu 3.4 saat.

    Kedua-dua kereta ini juga ditambah dengan self-locking centre differential, yang mengagihkan kuasa dengan nisbah 40:60 untuk tayar hadapan dan belakang dalam keadaan biasa. Jika perlu, ia juga boleh menghantar sehingga 70% kuasa kepada roda hadapan, atau sehingga 85% kepada roda belakang. Differential yang lebih kompak dan ringan ini juga menyumbang kepada pengendalian yang lebih tepat dan kurang understeer.

    Lapan kilogram dapat dibuang daripada kedua-dua kereta ini hasil daripada penebat bunyi yang dikurangkan, termasuk pada bahagian ruang enjin, dalaman dan belakang. RS6 Avant mencatat 2,090 kg manakala RS7 Sportback 2,065 kg. Ia juga mendapat rim 21 inci rekaan khas, yang dibalut tayar 275/35.

    Rim lightweight 22 inci disediakan sebagai pilihan tambahan, dan selain lima kilogram lebih ringan, ia juga dapat memberikan fungsi penyejukan tambahan kepada brek hasil daripada rekaannya. Tayar yang diberi bersama rim ini adalah Continental Sport Contact 7.

    Mod Coasting pada kedua-dua kereta ini sekarang hanya boleh diaktifkan secara automatik apabila dalam mod Efficiency, sementara unit pengawal enjin ditala kembali untuk memberikan pecutan yang lebih mengujakan dalam mod Dynamic. Perisian transmisi yang ditala semula juga membawa kepada penukaran gear yang lebih pantas.

    Audi RS6 dan RS7 Performance didedah – V8 biturbo 4.0L 630 PS, turbo lebih besar, laju maksimum 305 km/j

    Pakej RS Dynamic diberikan secara standard kepada kedua-dua model prestasi ini, dan dapat membawanya kepada kelajuan maksimum sehingga 280 km/j, bersama all-wheel steering serta quattro sport differential di gandar belakang.

    RS Dynamic Package Plus pula disediakan sebagai pilihan tambahan, di mana ia dapat meningkatkan kelajuan maksimum menjadi 305 km/j dan datang bersama sistem brek seramik RS dengan cakera 440 mm di hadapan dan 370 mm di belakang. Brek seramik ini adalah 34 kg lebih ringan berbanding unit besi biasa.

    Selain pilihan 16 warna berbeza, bahagian luar dua model ini juga dapat dibezakan dengan bahagian yang berwarna kelabu seperti rel bumbung, diffuser belakang, splitter hadapan, penutup cermin sisi serta tepi pintu. Logo Audi dan lencana boleh dipilih sama ada dalam warna krom atau hitam.

    GALERI: Audi RS6 Avant Performance

    GALERI: Audi RS7 Sportback Performance

     
     
  • Kunjungilah Porsche Centre Johor Bahru pada 17-18 Disember untuk hari terbuka ‘Porsche Pre-Owned Car’

    Kunjungilah Porsche Centre Johor Bahru pada 17-18 Disember untuk hari terbuka ‘Porsche Pre-Owned Car’

    Kenderaan Porsche adalah unik dan tersendiri. Bak kata pepatah,”Tiada Porsche yang lama, hanya pemilik barunya sahaja. Apabila memandu kenderaan ‘Porsche Pre-Owned’, sensasinya sama seperti ketika ia mula-mula keluar dari kilang dahulu. Untuk memiliki kenderaan Porsche seakan-akan menunaikan impian, dengan pertalian emosi terpaut sepanjang zaman.

    Dengan setiap kenderaan ‘Porsche Pre-Owned’, pemeriksaan 110-poin bertauliah, mengikut garis panduan global Porsche akan dijalankan. Nikmati ketenangan pemilikan yang lebih dijamin apabila mengetahui bahawa semua kenderaan Porsche Approved diselenggara menggunakan alat ganti tulen, dan datang dengan jaminan 24-bulan dan ‘Porsche Roadside Assistance’.

    Ingin mencari kenderaan Porsche Approved impian anda? Datanglah mengunjungi Porsche Centre Johor Bahru untuk hari terbuka ‘Porsche Pre-Owned Car’ yang berlangsung dari 17 – 18 Disember 2022 ini.

    Dari kereta sports dua pintu ikonik 718 Cayman hinggalah model empat pintu bergaya Panamera dan disertai juga oleh SUV popular seperti Cayenne dan Macan, terdapat banyak pilihan untuk ditinjau. Anda pastinya akan menemui sesuatu yang menarik perhatian jika meluangkan masa hujung minggu nanti di Porsche Centre Johor Bahru.

    Kunjungilah Porsche Centre Johor Bahru pada 17-18 Disember untuk hari terbuka ‘Porsche Pre-Owned Car’

    Selain itu, program penilaian kenderaan juga turut disediakan melalui temujanji sekiranya anda berminat untuk ‘trade-in’ Porsche semasa anda.

    Sertai dunia Porsche dengan mendaftar minat anda untuk hari terbuka ‘Porsche Pre-Owned Car’ di Porsche Centre Johor Bahru, pada 17 dan 18 Disember ini, dari 10 pagi hingga 5 petang.

     
     
  • Proton hantar kumpulan pertama ke Geely untuk latihan EV; termasuk R&D, jualan dan selepas jualan

    Proton hantar kumpulan pertama ke Geely untuk latihan EV; termasuk R&D, jualan dan selepas jualan

    Proton hari ini mengumumkan bahawa kumpulan pertama kakitangannya telah dihantar ke Hangzhou, China bagi mempelajari berkenaan kenderaan tenaga baharu (NEV) termasuk kenderaan yang menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya (EV).

    Kumpulan pertama yang terdiri dari 16-orang staf Proton yang merupakan pekerja industri berpengalaman serta jurutera muda yang lulus dari Program Bakat Muda Syarikat berkenaan akan ditempatkan di Institut Penyelidikan Geely di Ningbo selama enam-bulan. Mereka bakal dilatih dalam pelbagai bidang yang melibatkan pembangunan, penyepaduan, pembuatan, dan jualan serta perkhidmatan untuk kenderaan generasi baharu yang bakal diperkenalkan secara beransur-ansur oleh Proton selepas ini.

    Menurut Proton, selepas ini lebih ramai kakitangannya akan dihantar ke China memandangkan syarikat tersebut memerlukan pengetahuan teknikal daripada Geely untuk membangunkan rangkaian NEVnya sendiri.

    “Apabila Proton dan Geely mula bekerjasama pada tahun 2017, salah satu matlamat perkongsian itu adalah untuk Proton mempercepatkan jadual pembangunan modelnya dengan menggabungkan teknologi yang sedia ada daripada Geely. Matlamat itu berjaya dicapai dan kini, kami memanfaatkan pengalaman global kumpulan dalam NEV untuk memberi rangsangan kepada jadual masa pembangunan model kami sendiri,” kata CEO Proton, Li Chunrong.

    Proton hantar kumpulan pertama ke Geely untuk latihan EV; termasuk R&D, jualan dan selepas jualan

    “Perancangan awal kami adalah memulakan program ini lebih awal tetapi ia telah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. Walau bagaimanapun, dengan kelonggaran terhadap sekatan perjalanan baru-baru ini, Proton kini boleh meraih manfaat sebagai salah satu jenama automotif kolektif yang paling pelbagai dan berfikiran ke hadapan,” tambahnya lagi.

    Menurut Proton, kakitangan yang dihantar ke China ini bukan hanya menjalankan latihan, malah mereka akan membantu jenama EV smart di bawah Geely untuk menentukan spesifikasi akhir smart #1 yang akan masuk ke pasaran Malaysia pada suku keempat 2023. Ini kerana corak penggunaan dan tingkah laku pengguna berbeza dari negara ke negara, jadi maklum balas daripada kakitangan Proton adalah penting untuk memastikan ia memenuhi keperluan pembeli Malaysia.

    Seperti yang telah diketahui sebelum ini, smart akan kembali ke pasaran tempatan bukan lagi dengan pengedar-pengedar Mercedes-Benz, tetapi menerusi Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET), iaitu anak syarikat Proton. Proton juga turut akan mengedarkan smart pada pasaran Thailand menerusi kerjasama tersebut.

    Proton turut menyatakan bahawa program latihan ini turut bakal memberikan manfaat untuk masa hadapan kerana pasukan kakitangannya selepas ini boleh terlibat lebih awal dalam pembangunan satu-satu model bagi memperhalusi spesifikasi yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Proton memberitahu bahawa kebanyakkan kakitangan yang dihantar ke China kali ini adalah terdiri dari mereka yang pertama kali terlibat dalam program sedemikian. Setiap dari mereka diberi peluang untuk bercakap dengan pengurusan kanan Proton mengenai jangkaan dan matlamat mereka untuk program latihan tersebut sebelum berlepas pada 10 Disember lalu.

    “Proton melabur dalam pemerolehan pengetahuan untuk kakitangan kami kerana kami percaya ia adalah cara terbaik untuk Syarikat bergerak ke hadapan. Pengalaman dan latihan yang mereka perolehi bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Syarikat tetapi secara tidak langsung, ia juga akan membantu meningkatkan tahap kemahiran industri automotif Malaysia apabila lebih ramai kakitangan dihantar untuk latihan. Ini adalah salah satu sebab Proton ditubuhkan, dan Syarikat berbangga kerana dapat memenuhi matlamat itu,” tambah Dr. Li.

     
     
  • GALERI: BYD Atto 3 Extended Range di M’sia, RM168k

    GALERI: BYD Atto 3 Extended Range di M’sia, RM168k

    BYD Atto 3 dilancarkan untuk pasaran Malaysia minggu lalu, dalam dua varian: Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).

    Varian SR dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800. Harga bagi EV ini dikecualikan daripada duti, dan merupakan harga atas jalan tidak termasuk insuran. Di sini, kami sediakan galeri terperinci bagi varian Extended Range yang lebih tinggi itu.

    Kedua varian berkenaan menggunakan bateri Blade EV oleh BYD sendiri, yang disambung kepada sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 204 PS/310 Nm. Atto 3 boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW, mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi itu, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa hanya 45 minit.

    BYD Atto 3 mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar berbanding Proton X50. Dengan 4,455 mm panjang dan 1,875 mm lebar, EV BYD ini 125 mm lebih panjang daripada X50, dan 75 mm lebih lebar. Jarak antara rodanya pula ialah 2,720 mm, 120 mm lebih panjang berbanding X50. Ruang butnya pula ialah 440L, 110L lebih besar daripada X50.

    Ia juga hadir dengan tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, sistem pengesan tekanan tayar, ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan autonomous (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Lihat dengan lebih terperinci varian Extended Range ini melalui galeri di bawah.

     
     
  • Cerun runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands: Orang ramai diminta guna laluan alternatif – JKR

    Cerun runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands: Orang ramai diminta guna laluan alternatif – JKR

    Awal pagi ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai tragedi tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands. Dilaporkan, kejadian tersebut telah berlaku di tepi jalan berhampiran Father Organic Farm dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut. Setakat jam 1.30 tengahari ini, dilaporkan seramai 16 mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian berkenaan.

    Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, menerusi perkongsian di Facebook rasminya, sehingga jam 12 tengahari tadi, misi mencari mangsa yang masih hilang diteruskan dan berdasarkan rekod pengusaha tiga tapak kem memaklumkan terdapat 94 individu berdaftar, di mana 61 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini.

    Berikutan kejadian ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan laluan yang terlibat iaitu Jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup bagi kelancaran misi menyelamat dan juga atas faktor keselamatan semua pihak.

    Menurut JKR, untuk ke Genting Highlands, pengguna jalan raya yang datang dari arah Batang Kali boleh menggunakan Jalan Ulu Yam menghala ke Batu Caves dan seterusnya Gombak dan memasuki Lebuhraya Karak dan menuju ke pusat peranginan tersebut.

    Dalam masa yang sama, semua pengguna jalan raya diminta lebih berhati-hati dalam pemanduan sekiranya melalui laluan yang berisiko dan sila patuhi isyarat papan tanda yang diletakkan.

     
     
  • Yamaha Augur 155 dilancar di Taiwan – skuter canggih dengan lampu membelok, skrin TFT 4.3 inci, TC, ABS

    Yamaha Augur 155 dilancar di Taiwan – skuter canggih dengan lampu membelok, skrin TFT 4.3 inci, TC, ABS

    Yamaha telah melancarkan sebuah skuter baru di Taiwan, dipanggil sebagai Augur. Ia adalah sebuah skuter saiz sederhana, seperti NMax dan NVX, tetapi dengan rekaan futuristik serta kelengkapan yang canggih.

    Kesemua lampu skuter ini menggunakan unit LED, dengan bahagian hadapannya terdapat pencahayaan DRL unik berbentuk garis cabang tiga dan di tengahnya terdapat lampu utama. Menariknya lampu utama tersebut, ia dilengkapi dengan fungsi Y-LLA, iaitu menyala ke arah tepi apabila membelok.

    Kemudiannya, satu lagi fungsi tambahan lampu tersebut adalah penunggang boleh menukar warnanya, daripada putih kepada kuning menggunakan butang yang terdapat di bahagian pemegang. Fungsi ini berguna apabila jalan berkabus atau hujan.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder, suntikan bahan api, 155 cc VVA, tetapi jumlah kuasanya tidak didedahkan. Enjin ini boleh dihidupkan dengan menggunakan kunci pintar dan dilengkapi dengan sistem start/stop dengan Smart Motor Generator.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang skuter ini menggunakan tetapan cakera, dan datang lengkap bersama ABS. Menambah lagi ciri keselamatannya adalah sistem kawalan cengkaman untuk tayar belakang. Rim adalah bersaiz 13 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

    Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, dan dua penyerap hentak biasa di belakang, sementara tangki bahan api pula berkapasiti 6.1 liter. Di bahagian kokpit terdapat panel TFT 4.3 inci berwarna penuh, yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui bluetooth untuk tambahan informasi.

     
     
  • JPJ kutip hasil sebanyak RM4.6 bilion setakat 11 Dis 2022, RM12 juta sehari di seluruh negara – KP

    JPJ kutip hasil sebanyak RM4.6 bilion setakat 11 Dis 2022, RM12 juta sehari di seluruh negara – KP

    Untuk tempoh Januari sehingga 11 Disember 2022, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip hasil mencecah RM4.6 bilion, melebihi sasaran awal berjumlah RM4.12 bilion.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, kutipan berkenaan direkodkan menerusi pembayaran di 15 kaunter stesen ibu pejabat JPJ, 66 pejabat cawangan selain 22 cawangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta Kaunter Bergerak JPJ dan Kios Layan Diri JPJ, laporan Bernama.

    “Jika dilihat daripada hasil itu kira-kira RM12 juta dikutip setiap hari di seluruh negara dan bagi hasil tertinggi kutipan menerusi Lesen Kenderaan Motor (LKM) iaitu RM2.63 bilion berdasarkan rekod sehingga Oktober lepas.

    “Ia diikuti kutipan hasil untuk lesen memandu sebanyak RM483 juta, JPJ e-Bid (RM421 juta), bayaran pendaftaran kenderaan (RM134 juta) dan bayaran menyelesaikan tanpa perbicaraan (RM119 juta),” katanya kepada pihak pemberita di Melaka semalam.