Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Puspakom Teluk Kumbar, P. Pinang ditutup sementara

    Puspakom Teluk Kumbar, P. Pinang ditutup sementara

    Puspakom Sdn Bhd telah mengumumkan penutupan sementara operasi bagi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Teluk Kumbar, Pulau Pinang mulai semalam, 12 Ogos 2021, bagi melakukan proses disinfeksi dan sanitasi. Ini adalah bagi memastikan keselamatan semua pihak.

    Menurut Puspakom, pembukaan semula cawangan terbabit akan dimaklumkan kelak. “Bagi pelanggan yang telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan tersebut, bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik dalam tempoh 30 hari.

    “Temujanji pemeriksaan boleh dilakukan semula apabila Puspakom Teluk Kumbar beroperasi kembali seperti biasa. Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh ke cawangan berdekatan iaitu Puspakom Mak Mandin (bagi semua kategori kenderaan) atau Puspakom Batu Maung (bagi kenderaan perdagangan ringan dan kenderaan persendirian sahaja),” ujar Puspakom.

    Sambil menambah, pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika menerimanya sepanjang tempoh penutupan cawangan. Orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi Puspakom dari semasa ke semasa.

     
     
  • Dua bas perantara MRT diguna sebagai stesen vaksinasi Covid-19 bergerak untuk komuniti orang asli

    Sama seperti bas Rapid Penang yang kini sedang digunakan sebagai pusat vaksinasi Covid-19 bergerak di Pulau Pinang, dua bas perantara MRT kini melakukan tugas yang sama di Lembah Klang. Bas-bas berkenaan merupakan sebahagian daripada program outreach vaksinasi (VOP) untuk komuniti orang asli di Desa Temuan, berhampiran Damansara Perdana, Petaling Jaya.

    Penggunaan bas-bas tersebut juga merupakan sebahagian usaha kerjasama antara MRT Corp dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) untuk VOP, bagi menyokong VOP Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Hospital Orang Asli Gombak.

    Bas-bas berkenaan digunakan bagi dijadikan empat stesen vaksinansi untuk perempuan, manakala stesen-stesen vaksinasi lain di lokasi utama VOP terletak dalam Dewan Seri Temuan adalah untuk lelaki.

    Pegawai-pegawai perubatan UMMC yang bertugas dalam bas-bas berkenaan dilengkapi dengan meja-meja mudah alih bersama kelengkapan-kelengkapan lain. Manakala tempat duduk belakang bas pula dijadikan tempat menunggu bagi mereka yang sedang beratur.

    Sekitar 200 Orang Asli menerima vaksinasi mereka sejak pagi sehingga lewat petang Rabu lalu. Selain dari komuniti Orang Asli, warga asing yang duduk disekitar kawasan berkenaan turut diberikan suntikan vaksin.

    Kedua-dua bas berkenaan dipandu oleh kakitangan Rapid Bus. Sebelum ini bas-bas tersebut turut digunakan sebagai kenderaan untuk membawa dua lagi komuniti ke UMMC bagi menerima vaksin Covid-19.

    Dengan kapasiti serta penggunaan kenderaan awam ketika pandemik yang sedang berkurangan, ini merupakan antara contoh bagaimana MRT Corp dan Prasarana dapat terus menggunakan aset mereka bagi membantu negara memerangi wabak Covid-19.

     
     
  • JPJ buka kaunter pada hujung minggu mulai 13 Ogos

    Baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai agar memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV) yang telah tamat tempoh, sebelum 30 September 2021. Ini memandangkan tempoh lanjutan pembaharuan bagi LKM dan LMM tidak akan disambung selepas tarikh tersebut.

    Urusan memperbaharui dokumen terbabit boleh dibuat di kaunter JPJ, menerusi dalam talian MyEG atau pun di pejabat Pos. Walau bagaimana pun, untuk proses transaksi JPJ sama ada di kaunternya atau pun pejabat Pos, hanya urusan menerusi temujanji sahaja yang akan dilayan, tiada lagi kunjungan secara walk-in.

    Dan untuk memenuhi permintaan temujanji yang semakin meningkat, JPJ telah mengumumkan untuk semua kaunternya akan juga beroperasi pada hujung minggu, bermula 13 Ogos ini. Waktu operasi pada hujung minggu adalah dari jam 9 pagi hingga 1 tengahari, dan hanya mod pembayaran tanpa tunai sahaja yang dibenarkan.

    Sekadar mengingatkan, hujung minggu untuk negeri Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor adalah hari Jumaat dan Sabtu. Manakala negeri lain pula ialah Sabtu dan Ahad.

    JPJ turut menggesa agar orang ramai kekal mematuhi SOP yang disarankan oleh MKN dan KKM sewaktu berkunjung ke kaunternya (dan juga pada setiap ketika di mana-mana sahaja tempat awam anda berada). Tambahnya, kapasiti staf di kaunter adalah 50% untuk negeri yang masih di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dan 60% bagi negeri yang berada di bawah Fasa 2.

     
     
  • Land Rover Defender generasi baru bakal tiba di M’sia tak lama lagi – versi 90 & 110, enjin petrol 2.0L & 3.0L

    Land Rover Defender generasi baru bakal tiba di M’sia tak lama lagi – versi 90 & 110, enjin petrol 2.0L & 3.0L

    Land Rover Defender generasi baharu yang diperkenalkan buat pertama kali di Frankfurt pada September 2019 bakal tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi, berdasarkan spesifikasinya yang telah pun muncul di laman sesawang rasmi Land Rover Malaysia.

    Berdasarkan konfigurator untuk Defender ini yang telahpun muncul di laman berkenaan, nampaknya pasaran tempatan bakal menerima model dalam versi badan Defender 90 (tiga-pintu, jarak roda pendek) dan juga Defender 110 (lima-pintu, jarak roda panjang), serta kedua-dua versi ini masing-masing akan ditawarkan dalam varian First Edition.

    Selain dari varian istimewa berkenaan, kedua-dua Defender 90 dan Defender 110 pasaran Malaysia ini akan jual dalam lima varian iaitu model asas, S, SE, HSE dan juga X. Kedua-duanya juga tampil dengan pilihan enjin sama ada 2.0 liter turbo 300 PS atau 3.0 liter enam-silinder bersama sistem hibrid ringkas yang menjana 400 PS.

    Kedua-dua jenis enjin ini boleh dipilih untuk kesemua varian yang ditawarkan, kecuali Defender X dan First Edition yang hanya hadir dengan enjin 3.0 liter. Kesemua versi ini juga ditawarkan dengan kotak gear automatik bersama transfer case pacuan empat roda dua-kelajuan, serta sistem Terrain Respond diberikan secara standard. Buat masa sekarang, pasaran Malaysia belum ditawarkan dengan model yang dijana oleh rangkaian kuasa plug-in hybrid dan juga enjin diesel.

    Land Rover Defender generasi baru bakal tiba di M’sia tak lama lagi – versi 90 & 110, enjin petrol 2.0L & 3.0L

    Untuk model asas, Defender 90 akan hadir standard dengan lampu LED, rim besi Style 5093 18-inci dalam kemasan putih berkilat bersama tayar jenis All-Season, serta tanpa pilihan warna badan dua-tona. Untuk bahagian dalaman, model ini menerima papan pemuka dengan palang ‘cross-car’ dalam kemasan powder coat kelabu, kabin walk-through dan juga cermin pandang belakang malap-sendiri.

    Model asas ini juga diberikan upholsteri fabrik, tempat duduk hadapan larasan separa berkuasa lapan-hala, bersama sistem infotainmen Pivi Pro dengan skrin 10-inci, pek Smartphone, sistem navigasi Connected Navigation Pro, dihubungkan kepada sistem bunyi 180-watt dengan enam-pembesar suara.

    Sistem bantuan pemanduan untuk model asas ini pula terdiri dari kamera sekeliling 3D, bantuan parkir 360-darjah, wade sensing untuk meredah air, cruise control bersama pengehad kelajuan, bantuan kekal lorong, brek kecemasan automatik, pengenal papan tanda trafik dan juga pengehad kelajuan adaptif.

    Versi asas ini juga diberikan ciri-ciri keselamatan pasif seperti enam-beg udara termasuk beg udara tirai dan toraks. Kelengkapan yang diberikan pada model asas Defender 90 dan Defender 110 kedua-duanya adalah sama.

    Model Defender 90 S pula menerima lampu hadapan LED bersama bantuan lampu tinggi automatik, manakala untuk roda ia diberikan rim 19-inci enam jejari Style 6010 dalam kemasan gloss sparkle silver. Untuk bahagian dalaman pula, ia hadir dengan upholsteri kulit berbutir dan juga kemasan tempat duduk tekstil tenunan lasak, bersama tempat duduk hadapan larasan separa berkuasa 12-hala.

    Defender 90 S ini juga diberikan roda stereng dan tombol gear balutan kulit, manakala konsol tengahnya juga diberikan perehat tangan. Untuk sistem infotainmen pula, skrin Pivi Pro 10-inci tersebut ditingkat taraf dengan paparan interaktif. Juga sama seperti model asas, spesifikasi kelengkapan Defender 90 S ini adalah sama dengan Defender 110 S.

    Beralih kepada varian pertengahan Defender SE, ia ditambah dengan lampu hadapan LED Premium bersama lampu nyalaan siang signatur, lampu kabus hadapan, sistem kemasukan tanpa kunci dan juga pembuka pintu dengan warna badan. Roda untuk model ini disertakan dengan rim 20-inci lima-jejari Style 5904 dalam kemasan gloss sparkle silver.

    Bahagian dalaman Defender SE ini dilengkapi dengan cermin pandang belakang ClearSight dan juga kolum stereng larasan elektrik. Ia juga diberikan tempat duduk hadapan larasan elektrik 12-hala dengan memori, perehat kepala larasan manual, serta upholsteri kulit berbutir bersama tekstil tenunan lasak.

    Sistem infotainmen bagi model SE ini masih lagi sama seperti Defender S, tetapi menerima audio dipertingkat menampilkan sistem bunyi 400-watt Meridian bersama 10 pembesar suara dan subwoofer. Sistem bantuan pemanduan pula ditambah dengan bantuan titik buta.

    Varian kedua tertinggi, Defender HSE pula menerima peningkatan kit seperti lampu hadapan LED matrix bersama lampu nyalaan siang signatur serta rim 20-inci lima-jejari berkembar Style 5095 dalam kemasan kelabu gelap berkilat bersama serlahan diamond-turned.

    Bahagian dalaman Defender HSE ini ditingkat taraf dengan upholsteri kulit Windsor, tempat duduk hadapan larasan elektrik 14-hala bersama penyejuk, pemanas dan memori serta perehat kepala manual larasan empat-hala. Sistem bantuan pemanduan pula dipertingkat dengan pek Driver Assist. Bermula dengan model HSE ini juga, Defender 90 diberikan bahagian fabrik pada bumbung, manakala Defender 110 pula menerima bumbung panaromik gelangsar.

    Manakala model tertinggi yang bukan dari versi edisi terhad, Defender X diberikan bonet hadapan dan juga bumbung berwarna hitam, serlahan-serlahan krom Starlight Satin, angkup brek berwarna oren dan juga mata penunda untuk bahagian belakang. Ia menerima rim 20-inci lima-jejari Style 5098 dalam kemasan kelabu gelap satin.

    Land Rover Defender 110 X

    Kemasan dalaman untuk Defender X ini pula menampilkan lampu kabin premium bersama palang ‘cross-bar’ kemasan powder coat kelabu gelap, upholsteri kulit Windsor bersama tekstil premium steel-cut, serta tempat duduk hadapan larasan elektrik berkuasa 14-hala bersama fungsi penyejuk, pemanas dan memori serta perehat kepala larasan empat-hala.

    Defender X ini juga menerima tingkat taraf sistem infotainmen dengan sistem bunyi surround Meridian 14-pembesar suara dan subwoofer, serta diberikan paparan head-up.

    Seperti yang dinyatakan tadi, Defender 90 X dan Defender 110 X ini hanya hadir dengan enjin 3.0 liter bersama sistem hibrid ringkas menghasilkan 400 PS, dan ia turut dipadankan dengan differential aktif elektronik bersama sistem Terrain Response yang boleh dilaras, serta sistem Terrain Response 2.

    Namun untuk suspensi, kedua-dua versi badan bagi Defender X ini menampilkan sistem berbeza; Defender 90 X diberikan suspensi udara kawalan elektronik bersama sistem adaptive dynamics, manakala Defender 110 X pula hanya menerima sistem spring gegelung biasa sama seperti varian-varian Defender yang lain.

    Land Rover Defender generasi baru bakal tiba di M’sia tak lama lagi – versi 90 & 110, enjin petrol 2.0L & 3.0L

    Varian First Edition bagi Defender 90 dan Defender 110 pula dijangka hanya akan ditawarkan dalam jumlah terhad. Ia diasaskan dari model Defender X dan menerima pelbagai perincian unik. Antaranya lencana “First Edition”, bumbung berwarna putih, rim 20-inci lima jejari Style 5098 dalaman kemasan perak berkilat serta tayar jenis All-Season.

    Pada bahagian dalaman pula, versi istimewa ini diberikan roda stereng balutan kulit dengan sistem pemanas bersama plat logam “First Edition” pada jump seat hadapan. Bagi sistem infotainmen, ia menerima sistem Pivi Pro dengan skrin 10-inci bersama paparan interaktif pemandu, pek Smartphone, sistem Connected Navigation Pro, dan juga sistem bunyi Meridian dengan 10-pembesar suara bersama subwoofer.

    Juga sama seperti Defender X, model First Edition ini hanya hadir dengan pilihan enjin 3.0 liter bersama sistem hibrid ringkas. Namun apa yang berbeza, kedua-dua model Defender 90 dan Defender 110 First Edition akan dipadankan dengan sistem suspensi udara bersama adaptive dynamics.

    Buat masa sekarang, Land Rover Malaysia masih belum mengumumkan sebarang harga dan bila model ini akan dilancarkan secara rasmi. Namun dengan kerangka monocoque baharu yang jauh lebih moden berbanding casis ladder frame sebelum ini, bersama pelbagai teknologi yang jauh lebih moden, boleh dijangka ia bakal dijual pada harga yang lebih mahal.

     
     
  • COO baharu Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo ambil langkah sesuai dengan norma baharu demi pelanggan

    COO baharu Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo ambil langkah sesuai dengan norma baharu demi pelanggan

    Disebabkan Covid-19, cara hidup kita sudah berubah. Kalau dulu bila mahu membeli kereta, kita akan pergi ke pusat pameran dan berhadapan dengan wakil jualan untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kereta tersebut, tetapi kini disebabkan pandemik, ia dianggap berisiko.

    Faham dengan perkara ini, Isuzu Malaysia menyediakan cara yang lebih selamat dan menyeluruh, sesuai dengan norma baharu bagi mereka yang berminat dengan kenderaan mereka. Walaupun sekatan yang dibuat kerajaan semakin dilonggarkan, penguatkuasaan langkah keselamatan tertentu masih lagi perlu untuk mengelakkan penularan dan jangkitan virus ini.

    “Pelancaran model Isuzu D-Max terbaru pada waktu pandemik memaksa satu anjakan paradigma dalam cara kami mempersembahkan model baru kepada pelanggan yang berpotensi. Sekatan tertentu semakin dilonggarkan, tetapi kita perlu berevolusi dan kekal relevan,” kata COO baru bahagian kenderaan komersial ringan Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

    COO baharu Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo ambil langkah sesuai dengan norma baharu demi pelanggan

    Antara langkah yang diambil oleh Isuzu Malaysia adalah mewujudkan pembangunan pusat pengalaman atas talian yang termasuk paparan augmented reality 360 darjah, serta menawarkan prospek “pandangan menyeluruh” rekaan dan ciri-ciri D-Max baru sebelum mereka masuk ke pusat pameran. Turut disediakan dalam laman pickuptruck.isuzu.net.my adalah kira-kira pinjaman serta kos penyelenggaraan, membolehkan prospek mendapat pelbagai maklumat penting sebelum membuat tempahan sesi pandu uji melalui atas talian.

    Menurut Isuzu, bagi sesi pandu uji itu sendiri, kenderaan akan dibawa kepada pelanggan di tempat yang selamat dan mudah. Prosedur untuk servis kenderaan dan penyelenggaraan juga telah dirujuk kembali bagi memastikan tiada kerja yang tertangguh dan semua proses berjalan lancar. Pelanggan digalakkan membuat temu janji dengan wakil berdaftar untuk servis kenderaan.

    “Disebabkan larangan operasi serta aktiviti lojistik tertentu sahaja yang dibenarkan dalam masa beberapa bulan yang lepas, kami perlu menyediakan penghantaran kenderaan yang lebih çekap, selamat dan pantas. Kami harap semua pelanggan dapat bersabar dan mengekalkan pematuhan prosedur yang ditetapkan supaya semuanya berjalan lancar,” tambah Sogo.

    Sogo menggantikan Masayuki Suzuki, yang kini sudah kembali ke Jepun untuk jawatan lain. Beliau bukanlah baru di Malaysia, tetapi sudah berada di sini selama empat tahun sebagai pengurus kanan bahagian kenderaan komersial dan operasi alat ganti Isuzu Malaysia.

    Isuzu D-Max generasi ketiga telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia bulan April lalu dengan terdapat tujuh varian ditawarkan, iaitu 1.9L 4×4 Single Cab (RM88,599), 3.0L 4×4 Single Cab (RM95,538), 1.9L 4×4 MT Standard (RM99,599), 1.9L 4×4 AT Standard (RM106,999), 1.9L 4×4 AT Premium (RM121,549), 3.0L 4×4 AT Premium (RM128,038) dan 3.0L 4×4 AT X-Terrain (RM141,938).

    GALERI: Isuzu D-Max 3.0L 4×4 AT X-Terrain

     
     
  • VIDEO: ASEAN NCAP Proton Persona dan Proton Iriz 2022 — kumpul keseluruhan 84.13 mata untuk 3 ujian

    VIDEO: ASEAN NCAP Proton Persona dan Proton Iriz 2022 — kumpul keseluruhan 84.13 mata untuk 3 ujian

    Sebelum ini, kita sudah sedia maklum yang Proton Persona dan Proton Iriz 2022 yang baru saja dilancarkan di sini telah menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP bagi ujian semula yang dijalankan pada bulan Disember 2020. Dan hari ini, laman Youtube rasmi ASEAN NCAP kongsikan pula visual ujian yang dijalankan itu secara rasmi untuk tontonan umum.

    Secara keseluruhannya, kedua-dua model terbabit mencatatkan mata terkumpul 84.13 mata untuk membolehkannya menerima penarafan tersebut. Ini disumbangkan oleh tiga kategori ujian seperti berikut, dengan mata pencapaian masing-masing; Adult Occupant Protection (AOP) – 44.88 mata; Child Occupant Protection (COP) – 21.90 mata; dan Safety Assist Technologies (SATs) – 17.36 mata.

    Dengan perincian keputusan lengkap yang telah diumumkan, ini sedikit sebanyak memberi petunjuk bahawa dua model facelift berkenaan menampilkan perubahan yang agak ketara, memandangkan kedua-duanya dihantar sekali lagi untuk ujian semula seperti dinyatakan. Kebanyakan pengeluar biasanya akan menggunakan saja keputusan ujian sebelumnya untuk mana-mana model facelift yang sama.

    Proton menghantar kedua-dua model terbaru ini untuk ujian semula, dengan protokol yang sama seperti dilakukan terhadap X70 dan X50 sebelum ini — ini bermakna, keputusan yang diraih oleh model facelift Iriz dan Persona ini menepati ujian dengan protokol tahun 2020 yang diguna pakai bagi penarafan keselamatan tersebut.

    Untuk mengetahui lanjut penambahbaikan dan peningkatan yang telah dilakukan terhadap Proton Iriz 2022 dan juga Proton Persona 2022 ini, ikuti laporan pelancaran yang telah kami sediakan

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class Coupe 2021 facelift dilancar — E300 AMG Line, ciri keselamatan dipertingkat, RM495k

    Mercedes-Benz E-Class Coupe 2021 <em>facelift</em> dilancar — E300 AMG Line, ciri keselamatan dipertingkat, RM495k

    Dua minggu selepas memperkenalkan Mercedes-Benz E-Class W213 facelift, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengumumkan pula ketibaan E-Class C238 facelift. Hanya dalam satu varian sahaja setakat ini, iaitu E 300 AMG Line dan dijual pada harga RM495,071 (termasuk pengecualian SST hingga 31 Disember 2021), menjadikannya kira-kira RM5,000 lebih murah berbanding sebelumnya.

    Perbezaan penampilan paling ketara adalah pada wajah depan. Gril trapezoidal kini diterbalikkan, dengan kemasan kelilingnya warna hitam. Juga merupakan ciri baru ialah lampu utama Multibeam LED (dengan Adaptive Highbeam Assist Plus) dan rim 19-inci AMG lima-jejari untuk lebih keselesaan (model terdahulu menggunakan saiz 20-inci).

    Warna badan yang ditawarkan untuk model ini ialah Polar White, Obsidian Black, Rubellite Red, Graphite Grey, Mojave Silver, Brilliant Blue, High-tech Silver, Emerald Green dan Selenite Grey. Ada juga beberapa warna pilihan lain sebagai alternatif, seperti Designo Diamond White Bright dan Designo Patagonia Red Metallic.

    Mercedes-Benz E-Class Coupe 2021 <em>facelift</em> dilancar — E300 AMG Line, ciri keselamatan dipertingkat, RM495k

    Di dalam, stereng lebih kurus dan menarik digunakan (dengan balutan kulit Nappa, kemasan hitam berkilat bahagian dalam jejari) dengan sensor sentuhan, serta paparan 12.3-inci dengan sistem infotainmen MBUX baru (dengan Apple CarPlay dan Android Auto, menggantikan unit COMAND Online). Sama seperti E-Class sedan yang dipertingkat, tiada lagi jam analog di bahagian bawah suis kawalan pendingin hawa.

    Kelengkapan lain termasuk sistem lampu suasana tiga-zon dengan 64 warna LED, sistem audio Burmester, bumbung panoramik gelungsur, pelindung sinar matahari elektrik dan talam pengecas telefon tanpa wayar. Kerusi semuanya balutan kulit, sama seperti papan pemuka. Kemasan kayu asli adalah standard, menggantikan kemasan hitam berkilat dan gentian karbon yang ada sebelum ini.

    Tiada perubahan yang dilakukan terhadap sistem janaan kuasa, dengan masih memanfaatkan unit M264 2.0 liter turbocas empat-silinder. Ia menghasilkan 258 PS pada 5,500 hingga 6,100 rpm dan 370 Nm tork pada 1,800 hingga 4,000 rpm, semuanya dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik 9G-Tronic. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 6.4 saat, dan laju maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

    Mercedes-Benz E-Class Coupe 2021 <em>facelift</em> dilancar — E300 AMG Line, ciri keselamatan dipertingkat, RM495k

    Kelengkapan standardnya termasuk suspensi Agility Control, yang menjadikannya 15 mm lebih rendah berbanding model sedan dan menampilkan penyerap hentak pasif dan terpilih. Turut ada sistem Dynamic Select, yang menawarkan mod pemanduan Comfort, ECO, Sport, Sport+ dan Individual.

    Bagi ciri keselamatan pula, ia dilengkapi dengan pakej Driving Assistance sebagai standard, menawarkan pemanduan semi-autonomous dengan adanya ciri Active Distance Assist Distronic (kawalan melayar adaptif), Active Steering Assist, Active Brake Assist, Evasive Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist dan Pre-Safe Plus.

     
     
  • Geely kini ditangga ke-239 dalam Fortune Global 500, naik 200 anak tangga sejak disenaraikan pasa 2012

    Geely kini ditangga ke-239 dalam Fortune Global 500, naik 200 anak tangga sejak disenaraikan pasa 2012

    Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) kini telah berada selama 10-tahun dalam senarai Fortune Global 500. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan, mereka kini berada pada kedudukan ke-239 pada senarai tersebut untuk edisi tahun ini, dengan kumpulan automotifnya menjana perolehan sejumlah US$47.191 bilion (RM200.1 bilion) tahun lalu.

    Ini bermaksud Geely kini naik empat anak tangga dalam Fortune Global 500 berbanding tahun lalu, serta naik 200 anak tangga sejak masuk ke senarai berkenaan pada tahun 2012. Jenama-jenama di bawah Geely Auto Group mencatatkan jualan melebihi 1.32 juta unit, manakala jenama Geely itu sendiri terus berada pada kelompok teratas jenama-jenama dari China dari jualan untuk tahun keempat berturut-turut, dakwa gergasi automotif China tersebut.

    Salah satu jenama di bawah Geely iaitu Volvo Cars mampu bertahan dalam keadaan yang tidak menentu pada tahun 2020 seperti pengeluar-pengeluar automotif lain, namun ia mampu melonjak semula pada enam bulan terakhir tahun lalu dengan mencatatkan prestasi separa kedua terbaik pernah dicatatkan, menurut Geely lagi.

    Geely kini ditangga ke-239 dalam Fortune Global 500, naik 200 anak tangga sejak disenaraikan pasa 2012

    Walaupun terpaksa berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang berlaku secara global, Geely mendakwa bahawa mereka mampu menghasilkan peningkatan keuntungan pada kadar hampir 10%.

    Pelbagai pembangunan dibuat oleh Geely Holding untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Antaranya memperkenalkan platform Sustainable Experience Architecture (SEA), iaitu platform untuk asas kereta berkuasa elektrik sepenuhnya yang bukan hanya akan digunakan bagi jenama-jenama di bawah Geely, malah ia turut ditawarkan kepada pengeluar-pengeluar lain.

    Malah platfrom berkenaan juga dihasilkan dengan kadar modular yang luas, membolehkan ia menjadi asas kepada kereta elektrik kompak sekecil segmen-A, sehingga saiz sederhana, besar dan premium dan juga model-model lebih sporty. Perincian berkenaan platform SEA ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Geely kini ditangga ke-239 dalam Fortune Global 500, naik 200 anak tangga sejak disenaraikan pasa 2012

    Dengan pegangan sebanyak 9.69% saham pemilik jenama Mercedes-Benz, Daimler AG oleh CEO Zhejiang Geely Holding, Li Shufu pada 2018, kedua-dua syarikat berkenaan juga bakal membangunkan enjin berkuasa bahan api fosil untuk kegunaan rangkaian kuasa hibrid. Kedua-dua syarikat tersebut juga kini sedang bekerjasama untuk menghasilkan kereta kecil bagi kegunaan bandar di bawah jenama smart.

    Geely turut memperkenalkan jenama baharunya iaitu Zeekr, yang hanya menghasilkan kereta premium berkuasa elektrik sepenuhnya selain satu lagi jenama EV lebih arus perdana yang telah diperkenalkan pada 2019, Geometry. Baru-baru ini juga Geely bersama Volvo Cars telah menubuhkan satu lagi syarikat yang digelar Aurobay, khas untuk membangunkan unit rangkaian kuasa.

    Jenama automotif Malaysia, Proton juga sebahagian dari divisi automotif Zhejiang Geely Holding. Buat masa sekarang, Proton turut telah mencatatkan peningkatan jualan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, dengan jualan sebanyak 56,352 unit atau kenaikan 52% berbanding tempoh sama tahun lalu.

     
     
  • Penutupan jalan, lencongan di Jln Sultan Azlan Shah ke Lebuhraya Sultan Iskandar hingga 11 April 2022

    Penutupan jalan, lencongan di Jln Sultan Azlan Shah ke Lebuhraya Sultan Iskandar hingga 11 April 2022

    Klik untuk besarkan imej

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan penutupan jalan dan lencongan trafik dilaksanakan di persimpangan lampu isyarat dari Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru) mulai hari ini (12 Ogos 2021) hingga 11 April 2022.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penutupan itu bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf persimpangan bertingkat di Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Ismail, Jalan Ipoh dan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur.

    Oleh yang demikian, kenderaan dari Jalan Sultan Azlan Shah (arah ke Sentul) menghala Lebuhraya Sultan Iskandar akan dilencongkan ke Jalan Rahmat dan juga Jalan Sentul-Jalan Sentul Manis-Jalan Tun Razak untuk ke Lebuhraya Sultan Iskandar.

    Manakala kenderaan dari Jalan Sultan Azlan Shah (arah ke pusat bandar raya) pula akan dilencongkan ke kiri Jalan Tun Razak dan membuat pusingan U sebelum Bulatan Pahang melalui Jalan Pahang-Jalan Tun Razak untuk ke Lebuhraya Sultan Iskandar.

    Dalam masa yang sama, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi isyarat papan tanda sementara sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan

     
     
  • Toyota Rush GR Sport dilancarkan di Indonesia, gantikan TRD Sportivo – kit badan baharu, start/stop

    Toyota Rush GR Sport dilancarkan di Indonesia, gantikan TRD Sportivo – kit badan baharu, <em>start/stop </em>

    Satu lagi model Toyota yang menerima versi penjenamaan baharu, GR Sport, di Indonesia bagi menggantikan TRD Sportivo ialah Rush. SUV tujuh-tempat duduk yang juga kembar pada Perodua Aruz ini diberikan kit badan baharu, sesuai dengan penjenamaan semulanya, bersama beberapa pertambahan kit sebagai peningkatan produk.

    Rekaan semula spoiler hadapan menampilkan skid plate kelabu gelap, bersama lapisan warna badan di sekeliling lampu kabus. Terdapat moulding sisi jenama-GR dan skid plate belakang dengan dwi-tona. Tiada perubahan dalaman diberikan, tetapi ia turut menampilkan cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik dan juga unit utama infotaimen 2-DIN yang dirombak semula bersama skrin sesentuh tujuh-inci.

    Kesemua model turut didatangkan dengan automatic engine start/stop, yang telah ditawarkan untuk model pasaran Malaysia dan juga Perodua Aruz. Walau bagaimana pun, model pasaran Indonesia belum menerima ciri keselamatan aktif seperti mana yang kita sudah peroleh, termasuk brek kecemasan sendiri.

    Toyota Rush GR Sport dilancarkan di Indonesia, gantikan TRD Sportivo – kit badan baharu, <em>start/stop </em>

    Bahagian mekanikal juga tiada perubahan, Rush ini masih dikekalkan dengan enjin yang sama iaitu unit 2NR-VE 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 136 Nm pada 4,200 rpm. Pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

    Harga yang ditawarkan bermula 245.5 juta rupiah (RM72,300) untuk 1.5 G M/T dan 255.2 juta rupiah (RM75,200) bagi varian A/T, dan meningkat sehingga masing-masing 256.6 juta rupiah (RM75,600) dan 266.2 juta rupiah (RM78,400) bagi model GR Sport.

     
     
  • Toyota Supra 2020-2021 dan beberapa model BMW dipanggil semula di AS kerana masalah perisian

    Toyota Supra 2020-2021 dan beberapa model BMW dipanggil semula di AS kerana masalah perisian

    BMW Amerika Utara telah mengeluarkan notis panggilan semula untuk model-model BMW tertentu dan juga Toyota Supra yang diasaskan dari BMW Z4 kerana masalah yang berpotensi menyebabkan kehilangan sistem bantuan brek. Notis berkenaan telah diterbitkan dalam kemaskini terbaharu oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat (NHTSA).

    NTHSA meringkaskan bahawa masalah ini berpunca dari perisian sistem pengurusan enjin, yang mungkin akan menyebabkan kehilangan sistem bantuan brek ketika enjin dihidupkan, tetapi sistem brek mekanikal masih beroperasi sepenuhnya walaupun bantuan elektronik berkenaan tidak berfungsi.

    Masalah ini mungkin secara tidak langsung akan menyebabkan jarak membrek menjadi lebih jauh dari sepatutnya dan meningkat risiko untuk berlaku kemalangan, menurut notis untuk Toyota yang dikeluarkan oleh BMW berkenaan. Sebagai sebahagian dari panggilan semula, Toyota Motor North America telah menghentikan seketika tempahan dan jualan Supra, termasuk yang telah berada dalam inventori pengedar.

    Toyota Supra 2020-2021 dan beberapa model BMW dipanggil semula di AS kerana masalah perisian

    Menurut dokumen keselamatan panggilan semula berkenaan, masalah tersebut akan muncul terutamanya apabila butang penghidup enjin ditekan dua kali secara laju, atau pedal brek hanya ditekan sedikit ketika enjin dihidupkan menggunakan butang berkenaan.

    Bagi mengelakkan keadaan ini dari berlaku, Toyota menasihatkan pemandu untuk menekan butang tersebut hanya sekali, dalam masa yang sama menekan habis pedal brek sehingga enjin hidup sepenuhnya. Tiada nasihat untuk tekan butang penghidup enjin berkenaan sampai tiga kali seperti yang ditularkan oleh ‘pakar-pakar’ di Malaysia ya!

    Sejumlah 50,024 unit kenderaan berpotensi mengalami masalah berkenaan, di mana 13,014 unit daripadanya adalah Toyota Supra yang dikilangkan antara Februari 2019 dan Jun 2021, menurut laporan Road and Track. Selain Supra, model-model lain yang terlibat adalah BMW M340i, M340i xDrive, 540i, 540i xDrive dan X3 M40i model tahun 2020, X4 M40i dan 745Le xDrive 2020-2021 serta Z4 M40i 2019-2021.

    Surat-surat pemberitahuan dijangka akan dihantar kepada pemilik yang terjejas bermula 1 Oktober 2020, menurut agensi tersebut. Pengedar-pengedar bertauliah akan mengemaskini perisian sistem pengurusan enjin berkenaan bagi menyelesaikan masalah ini.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia terus hulur bantuan Covid-19 — kenderaan, wang dan kelengkapan untuk CAC

    Mitsubishi Malaysia terus hulur bantuan Covid-19 — kenderaan, wang dan kelengkapan untuk CAC

    Dalam keadaan memerlukan era pandemik Covid-19 ketika ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) ingin terus memainkan peranannya untuk memberi bantuan dan sokongan kepada yang memerlukan. Melalui usaha terbaru, Syarikat itu telah meminjamkan tiga buah kenderaan Mitsubishi dan mendermakan RM20,000 kepada Mercy Malaysia untuk membeli 400 unit sut Tyvek untuk kegunaan barisan depan.

    Sut berkenaan diedarkan ke tiga pusat penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor — Stadium Melawati, Stadium Jugra dan Klinik Kesihatan Gombak Setia. MMM juga membeli barangan keperluan di pusat CAC Hulu Langat dinyatakan itu bernilai RM43,000.

    Sebuah trak pikap Triton dan dua buah SUV Outlander tujuh tempat duduk akan menyediakan pengangkutan bagi petugas barisan depan untuk bergerak ke pusat vaksin. Sementara sumbangan kewangan pula akan meringankan beban petugas kesihatan untuk menjalankan saringan, pengesanan kontak serta pengasingan mereka yang dijangkiti dan penjagaan berkaitan lain.

    Usaha lain MMM termasuk menyumbang barangan penting lain yang diperlukan di CAC seperti khemah, meja dan kerusi, unit pendingin hawa mudah alih, penghadang barisan dan wayar tahan lasak. CAC yang dibantu oleh MMM ini mampu menampung 400 pesakit Covid sehari.

    “Walaupun perniagaan teras kami adalah mengeluarkan kereta, kami tetap komited untuk menjalankan peranan bagi memastikan negara ini dan pelanggan kami kekal selamat. Peningkatan mendadak kes dan kesan pandemik Covid-19 ketika ini telah memberikan kesan dan tekanan yang besar buat petugas barisan depan negara ini, terutama sekali petugas kesihatan,” ujar CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    “Kami akan terus berkomunikasi dengan NGO utama dan institusi awam lain untuk mengetahui cara atau bantuan bagaimana yang boleh dilakukan oleh Mitsubishi. Pandemik ini adalah masa sukar yang terpaksa kita hadapi, dan kita perlu untuk saling memberi bantuan dan sokongan sesama sendiri, lebih daripada sebelum ini,” tambah beliau.

     
     
  • GPX Drone 150 versi empat injap dilancar di Thailand – SYM Jet X yang dinaik taraf, enjin lebih lancar, jimat

    GPX Drone 150 versi empat injap dilancar di Thailand – SYM Jet X yang dinaik taraf, enjin lebih lancar, jimat

    Pada bulan November tahun lepas, pengeluar motosikal dari Thailand, GPX Racing telah melancarkan sebuah skuter yang dipanggil sebagai GPX Drone. Ini sebenarnya adalah sebuah model yang dijenamakan semula daripada SYM Jet X. Pasaran Malaysia juga sudah menerima SYM Jet X ini Mei lalu, dengan harga jualan yang bermula RM8.9k.

    Kini, dengan hanya baru beberapa bulan diperkenalkan, GPX sudah melancarkan pula Drone 4V, iaitu versi dipertingkat yang mana enjin suntikan bahan api 149.6 cc padanya kini menggunakan empat injap (sebelum ini dua injap).

    Peningkatan kuasa selepas menggunakan tetapan empat injap ini tidak dinyatakan, tetapi ia diberitahu dapat memberikan pecutan 28% lebih baik, operasi lebih lancar serta penggunaan bahan api 16% lebih baik. Enjin dua injap pada SYM Jet X pasaran Malaysia mampu menghasilkan 12.3 hp pada 8,000 rpm dan 12 Nm pada 6,000 rpm.

    Perincian lain termasuk kelengkapan skuter ini masih sama seperti sebelumnya, dan versi empat injap ini ditawarkan pada harga bermula 68,900 baht (RM8,800) di Thailand, dalam pilihan lima warna iaitu hitam, merah, putih, biru matte dan oren.

    Kelengkapan lain yang ada pada GPX Drone (dan juga SYM Jet X) adalah tangki bahan api 7.5 liter, sistem kunci pintar bersama penggera, semua lampu jenis LED, pengecas USB, panel meter LCD digital penuh, rim 14 inci, brek cakera depan dan belakang, fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang.

     
     
  • Puspakom benarkan kunjungan pelanggan berstatus ‘low risk’ di MySejahtera; tiada lagi ‘check in’ manual

    Puspakom benarkan kunjungan pelanggan berstatus ‘low risk’ di MySejahtera; tiada lagi ‘check in’ manual

    Puspakom telah mendapat ada segelintir pelanggannya yang tidak mendaftar masuk (check in) menerusi aplikasi MySejahtera sewaktu berkunjung ke cawangannya, dan ada yang menulis informasi palsu dalam buku log. Sekaligus membuatkan pengesanan kontak sekiranya berlaku kes Covid-19 agak di premis berkenaan agak sukar untuk dilakukan.

    Susulan perkara tersebut, Puspakom mengambil keputusan untuk hanya membenarkan pelanggan yang mendaftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera dan diklasifikasikan sebagai ‘low risk'(risiko rendah) untuk memasuki mana-mana cawangan. Ini bermakna tiada lagi penggunaan buku log secara manual akan disediakan.

    Dalam masa yang sama, Puspakom turut mengumumkan pembukaan semula beberapa cawangan yang sebelum ini ditutup untuk kerja-kerja disinfeksi dan sanitasi pada awal bulan ini. Puspakom Sungai Petani di Kedah telah pun mula beroperasi sejak 9 Ogos lalu, manakala Puspakom Johor Bahru dan Taman Daya di Johor kembali dibuka semalam. Manakala Puspakom Cheras pula kembali beroperasi pada hari ini. Waktu operasi adalah dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

    Puspakom benarkan kunjungan pelanggan berstatus ‘low risk’ di MySejahtera; tiada lagi ‘check in’ manual

    Seperti yang dimaklumkan beberapa hari lalu, tempoh lanjutan dokumen dan transaksi JPJ bakal berakhir pada 30 September ini, ini termasuklah cukai jalan dan lesen memandu, laporan Puspakom (B2, PG11A, PG13B dan B5 untuk tukar hak milik) dan pemeriksaan berjadual. Justeru, September ini adalah bulan terakhir untuk anda menempah slot temujanji dan urusan berkaitan Puspakom yang telah pun dibuka minggu ini.

    “Para pelanggan dinasihatkan agar tidak melakukan urusan di saat akhir, untuk mengelakkan tempahan slot temujanji penuh. Sila aturkan temujanji anda lebih awal pada bulan ini, terutamanya untuk pemeriksaan kenderaan yang tamat tempoh pada Jun dan Julai,” ujar Puspakom.

    Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi segala SOP yang ditetapkan dan jangan lupa untuk check in di aplikasi MySejahtera setiap kali memasuki mana-mana premis. Pastikan aplikasi MySejahtera sentiasa boleh berfungsi dan anda juga disarankan membawa power bank untuk mengecas telefon anda apabila diperlukan.

     
     
  • Lamborghini siar lagi teaser untuk Countach baru

    Lamborghini siar lagi <em>teaser</em> untuk Countach baru

    Selepas Lamborghini mengumumkan bahawa mereka akan menghasilkan model kelahiran semula Lamborghini Countach tempoh hari, jenama supercar Itali berkenaan kini menyiarkan berberapa imej teaser di laman Instagram rasminya, menunjukkan berberapa perincian model berkenaan.

    Salah satu imej tersebut memaparkan bahagian muncung Countach tersebut yang diberikan emblem dan kemasan hitam berliang di belakangnya. Kemasan berkenaan sebenarnya adalah mirip kepada Countach LP500, iaitu model konsep asal Countach yang muncul buat pertama kali pada tahun 1971.

    Ia juga nampaknya turut menerima liang pengambilan udara bersama splitter yang besar pada bahagian bawah hadapan, seakan model-model produksi Countach seperti model LP400 4. Satu lagi perincian ikonik yang dibawa dari model klasik kepada Countach baharu ini adalah sepasang liang pengambilan udara yang terletak betul-betul di belakang kabin, bersama penutup pengisi bahan api berwarna hitam.

    Set imej kali ini juga disertakan dengan gambar pada bahagian penutup ruang enjin. Dengan plak ‘V12’ bersama susunan firing order untuk enjin 12 silinder berkenaan mengesahkan Countach baharu ini masih akan dijana bentangan enjin yang sama seperti Countach asli.

    Menurut laporan sebelum ini, model kelahiran semula berkenaan akan diberi nama Countach LPI800-4, dan ia menerima rangkaian kuasa enjin V12 bersama sistem hibrid elektrik yang menjana sejumlah 800 PS, bersama sistem pacuan semua roda.

    Walau bagaimanapun Lamborghini masih belum mengumumkan bila Countach baharu ini akan didedahkan sepenuhnya, dan menyatakan “teruskan bersama kami untuk meneroka Lamborghini Countach baharu”. Tetapi ada khabar mengatakan model tersebut mungkin akan di bawa ke Pebble Beach Concours d’Elegance 2021 yang berlangsung hujung minggu ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024