Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton X70 CBU dipanggil semula kerana masalah kipas radiator – komponen akan ditukar sepenuhnya

    Proton X70 CBU dipanggil semula kerana masalah kipas radiator – komponen akan ditukar sepenuhnya

    Kumpulan produksi awalan Proton X70, iaitu versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China kini dipanggil semula kerana masalah berkaitan dengan komponen kipas radiator, menurut buletin servis yang dihantar kepada jaringan pusat servis rasmi Proton yang telah pun dilihat oleh paultan.org.

    Panggilan semula tersebut dikategorikan sebagai “servis pembaikan”, melibatkan kumpulan X70 CBU yang menerima set kipas penyejuk yang dibekalkan oleh Valeo, dipasang pada unit-unit sebelum nombor casis L6T7742Z8KU043589.

    Aktiviti ini akan melibatkan penukaran sepenuhnya komponen pada unit-unit yang terjejas, dan pusat servis akan menerima makluman menerusi sistem “pop-up” yang akan menghantar pemberitahuan mulai 21 Mei untuk Semenanjung Malaysia, dan mulai 1 Jun untuk Sabah dan Sarawak.

    Unit-unit yang diproduksi selepas nombor casis berkenaan sebelum ini sudah pun menerima kipas penyejuk yang telah ditingkat taraf, dibekalkan oleh LangXin, menurut buletin servis tersebut. Ingin diingatkan sekali lagi, panggilan semula ini hanya melibatkan Proton X70 CBU dengan nombor casis sebelum nombor yang ditulis di atas.

    Model CBU X70 ini dilancarkan pada Disember 2018, kemudian digantikan dengan model-model pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan di Tanjung Malim, diperkenalkan pada Februari 2020 yang menerima peningkatan termasuk kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

     
     
  • Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    “Jika Honda tidak berlumba, maka tiadalah Honda”. Ini bukan kata-kata poyo “idola-idola permotoran”, ini adalah kata-kata dari pengasas Honda sendiri iaitu Soichiro Honda. Mana tidaknya, perlumbaan merupakan antara dorongan utama Soichiro untuk terus berada dalam industri automotif sejak memulakan kariernya sebagai seorang mekanik pada umur 15-tahun.

    Sebab itulah, apa sahaja yang keluar dari kilang Honda, ia seolah-olah dibekalkan sekali dengan “semangat perlumbaan”. Tengok sahajalah, bukan setakat motosikal kecil seperti Honda EX5 yang diubahsuai untuk menjadikan ia lebih laju, malah Honda juga kini memegang rekod dengan menghasilkan mesin rumput paling pantas di dunia menerusi Mean Mower Mk2.

    Nah, seperti yang anda boleh lihat, ini adalah Honda City Hatchback 2022 yang baru sahaja dilancarkan di pasaran tempatan hujung tahun lalu, dan ia kini sudahpun dijelmakan jentera perlumbaan sebenar oleh rakyat Malaysia, dihasilkan oleh pasukan Monsil Lubricant Malaysia Racing Team!

    Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    Menurut pasukan tersebut, City Hatchback dalam varian asas 1.5S ini memang dibeli untuk terus dijadikan kereta lumba – sebaik sahaja ia keluar dari bilik pameran, ia terus di bawa ke bengkel untuk diubahsuai. Proses transformasi dari kereta jalan raya kepada kereta lumba ini mengambil masa sekitar tiga bulan untuk disiapkan.

    Jentera ini dibangunkan dengan sasaran untuk menyertai pelbagai perlumbaan tempatan, terutamanya Malaysia Speed Festival untuk kategori Standard Production serta siri Malaysia Championship Series (MCS) dan perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) dalam kategori SP2.

    Jadi bagi membolehkan City Hatchback ini bertanding dalam MSF Standard Production dan MCS/S1K SP2, kereta ini masih perlu menggunakan enjin dan kotak gear standard dari kilang Honda – ya, ia masih lagi mengharapkan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm bersama kotak gear CVT yang sama dengan kereta jalan raya yang lain tanpa sebarang ubahsuai!

    Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    Menurut Monsil Lubricant Malaysia Racing Team, mereka juga tidak melakukan sebarang talaan semula tehadap pemetaan kotak komputer enjin kerana tidak mahu enjin tersebut terlalu stress dan boleh bertahan lama, terutamanya untuk perlumbaan S1K yang memerlukan ia mengelilingi litar Sepang dengan laju dalam jarak lebih 1,000 km. Namun ia masih diberikan set ekzos custom yang dihasilkan sepenuhnya oleh Schnitzer Exhaust, Seri Kembangan.

    Untuk MCS dan S1K juga memerlukan mereka memastikan segala peralatan perlumbaan dalam kereta ini adalah memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh badan permotoran dunia, FIA. Oleh itu, ia mendapat rollcage penuh yang dihasilkan oleh firma kejuruteraan tempatan, T-Craft Fabrication, manakala kelengkapan lain seperti tempat duduk perlumbaan Recaro, tali pinggang keselamatan Beltenick, roda stereng OMP dan sebagainya adalah asli, bukan tiruan dari Thailand.

    Kesemua karpet dan tempat duduk pada kabin City Hatchback ini juga telah dibuka, namun mengikut undang-undang perlumbaan Standard Production/SP2, papan pemuka asal, konsol gear dan juga panel-panel dalaman pintu perlu dikekalkan.

    Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    Pemain audio juga telah dicabut keluar dan bahagian yang kosong tersebut dipenuhkan semula dengan panel yang menempat meter-meter seperti suhu dan tekanan pelincir, suhu cecair penyejuk dan sebagainya, serta kill switch untuk memutuskan bekalan kuasa elektrik sekiranya berlaku kecemasan.

    Manakala untuk pengendalian, set penyerap hentak dan spring asal juga telah dicabut, dan ia kini menggunakan set suspensi boleh laras perlumbaan dari Traction Pro. Menurut Monsil Lubricant Malaysia Racing Team, set suspensi untuk City Hatchback ini sebenarnya masih boleh ditukar pakai dengan Honda Jazz GK5.

    Set suspensi tersebut direndahkan dengan jarak sekitar satu jari antara fender dengan tayar perlumbaan Hankook RS4 bersaiz 195/50R15 yang dipadankan bersama dengan set rim Rays Volks Racing CE28 berdiameter 15-inci. Camber hadapan pula dilaras pada sudut sekitar -4.8 hingga -5 darjah bagi mendapatkan cengakaman optimum dari tayar ketika mengambil selekoh.

    Untuk brek, set hadapan masih mengekalkan angkup asal dan menerima set cakera dan pad yang lebih boleh bertahan tanpa fade ketika berlumba dalam tempoh yang lama, manakala set brek dram belakang telah ditukar menggunakan set brek cakera yang diambil sekali lagi dari Jazz GK5.

    Bahagian luaran Honda City Hatchback ini juga masih kelihatan hampir standard, dengan beberapa perubahan kecil. Antaranya gril krom asal telah digantikan dengan gril kemasan hitam berkilat ala-City RS dan pemadanan spoiler bawah bampar hadapan yang juga berwarna hitam berkilat.

    Kemasan liang udara pada bampar hadapan masih kekal menggunakan komponen dari City 1.5S, malah warna badan Platinum White yang disembur oleh kilang Honda Malaysia Pegoh juga masih lagi kekal, cuma diberikan grafik perlumbaan yang disediakan oleh BA Stickers Design Studio Johor Bahru.

    Kereta ini keluar berlumba buat kali pertama menerusi MSF SuperTurismo pusingan kedua untuk musim 2022 yang berlangsung pada hujung minggu lalu. Kerana sedikit kesilapan yang dibuat ketika pit stop, pasukan Monsil Lubricant Malaysia menghabiskan perlumbaan tersebut di kedudukan keenam – keputusan yang agak baik untuk sebuah kereta lumba yang baru sahaja ‘keluar dari kotak’.

    Malah Honda City Hatchback dengan enjin standard dan kotak gear CVT tersebut berjaya mencatatkan masa lap terpantas 2 minit 55.936 saat di litar Sepang ketika perlumbaan itu – pasukan berkenaan turut yakin mampu menghasilkan masa satu saat lebih pantas dalam perlumbaan akan datang.

    Penulis turut sempat bertanya kepada Monsil Lubricant Malaysia Racing Team, kenapa tak guna sahaja jentera-jentera yang telah terbukti tahan dan pantas untuk kategori Super Production dan SP2 ini seperti Suzuki Swift dan Honda Jazz GK5?

    Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    Jawapan yang diberi adalah: “Kami tak mahu jadi follower, City Hatchback ini masih baru dalam pasaran, jadi ini peluang kami untuk menjadi yang pertama. Lagi pun kereta ini memang akan menjadi perhatian ketika ia berlumba.”

    Nak tengok macam mana jentera ini beraksi? Pastikan anda hadir ke litar Sepang untuk pusingan ketiga MSF SuperTurismo 2022 kerana Monsil Lubricant Malaysia Racing Team telah mengesahkan bahawa mereka akan berlumba dalam pusingan seterusnya!

    GALERI: Gambar rasmi dari Monsil Lubricant Malaysia Racing Team ketika pembangunan jentera lumba City Hatchback

     
     
  • Honda Hornet serba baru – lukisan konsep didedah

    Honda Hornet serba baru – lukisan konsep didedah

    Honda Hornet, satu model yang sudah dikenali sejak tahun 1998 dan ditawarkan kepada pasaran hingga 2013 nampaknya bakal kembali apabila pengeluar Jepun itu mendedahkan lukisan awal untuk model konsep Hornet generasi baru.

    Lukisan ini dihasilkan dengan kerjasama antara pusat R&D Honda di Itali dan Jepun, sementara perekanya adalah Giovanni Dovis yang berusia 28 tahun. Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab menghasilkan garis-garis badan pada ADV350 baru.

    Banyak garis-garis tajam pada Hornet Concept ini, namun bentuk lampu serta tangkinya seakan mengingatkan kita kepada model Duke daripada KTM. Bahagian belakang juga tajam seperti motosikal sports, manakala pemegang pula berada pada kedudukan sederhana.

    “Lukisan ini menunjukkan bagaimana konsep rekaan Hornet menjanjikan kelincahan, dinamik dan serba ringan melalui bentuk yang kurus, bahagian ekor runcing dan garis-garis yang sangat tajam. Ia menghasilkan satu rupa kompak berkadaran, serta mempunyai tanda ketegangan dan sifat agresif dari depan sampai ke belakang, menggariskan tujuan sport sebenar Hornet,” kata Dovis.

     
     
  • Pemandu Grab tutup aplikasi ketika tempoh trafik tinggi, punca perkhidmatan e-hailing berkurangan

    Pemandu Grab tutup aplikasi ketika tempoh trafik tinggi, punca perkhidmatan e-hailing berkurangan

    Peningkatan trafik di Lembah Klang bukan sahaja memberikan tekanan buat pengguna jalan raya, malah bagi mereka yang menggunakan pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan e-hailing. Biar pun kekurangan pemandu dan permintaan yang meningkat dengan ketara telah mendorong kadar tambang naik, tetapi nampaknya sebilangan besar pemandu e-hailing tidak teruja untuk memandu biar pun mampu memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

    Difahamkan ramai pemandu Grab memilih untuk menutup aplikasi e-hailing dalam tempoh trafik yang tinggi, kerana tidak sanggup berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, laporan Malay Mail. Ia berdasarkan kenyataan dari presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA), Arif Asyraf Ali berkaitan isu tersebut, yang sebelum ini turut dilaporkan oleh The Malaysian Insight (TMI).

    Bercakap pada TMI, dia berkata, sejumlah 30% hingga 40% pemandu memilih untuk tidak respons terhadap permintaan pelanggan dalam tempoh waktu tertentu, terutamanya pada waktu puncak kerana tidak mahu terkandas dalam kesesakan lalu lintas melebihi sejam. “Kesesakan trafik kini kian memuncak, malah tidak mengira waktu,” jelasnya.

    Sambungnya, disebabkan kekurangan pemandu, maka pemandu yang sedia ada sangat terhad malah ada yang terpaksa berbelanja lebih untuk mengisi minyak disebabkan jarak yang lebih jauh untuk mengambil/menghantar penumpang, selain tersekat dalam kesesakan trafik.

    “Kekurangan pemandu dianggarkan lebih kurang 30%, jadi jumlah pemandu yang aktif menyusut dari 70,000 ke 80,000 orang, kini tinggal 50,000 hingga 60,000 pemandu sahaja,” ujar Arif memberitahu TMI.

     
     
  • WMoto SX2-300 tiba di Malaysia – 300 cc, RM18,888

    WMoto SX2-300 tiba di Malaysia – 300 cc, RM18,888

    MForce bike Holdings melancarkan satu lagi model WMoto baru untuk pasaran Malaysia, iaitu SX2-300. Ia ditawarkan pada harga RM18,888, tidak termasuk insurans dan pendaftaran, dan disediakan dalam tiga pilihan warna iaitu merah, hitam dan putih.

    Dipanggil sebagai sebuah “model scrambler“, SX2-300 membawa bentuk lebih kepada sebuah jentera enduro/dual purpose, dengan masih dilengkapi lampu, cermin sisi dan tempat nombor plet, sekaligus boleh dibawa atas jalan biasa. Model ini juga telah dibekalkan kepada angkatan tentera negara untuk kegunaan di lapangan.

    SX2-300 dipacu oleh enjin satu silinder penyejukan cecair 292.4 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 28 hp pada 9,000 rpm dan 25 Nm tork pada 6,500 rpm. Ia cuma datang dengan pemula enjin elektrik dan radiator terbahagi kepada dua di setiap sisi.

    Brek menggunakan sistem cakera di depan dan belakang, dan ia turut dilengkapi dengan ABS, yang boleh ditutup secara mudah dengan menekan butang khas yang terdapat di bahagian kiri pemegang. Di depan terdapat fork upside down sementara di belakang terdapat monoshock yang disambung kepada linkage di bawah.

    Berkenaan rim, SX2-300 menggunakan saiz 19 inci di hadapan, dan 17 inci di belakang, dibalut tayar 90/90 di hadapan dan 110/90 di belakang. Tinggi temapt duduk adalah 900 mm manakala tangki bahan api berkapasiti 11 liter dan berat keseluruhan adalah 151 kg.

    Di hadapan penunggang terdapat skrin LCD ringkas untuk menunjukkan segala maklumat, dan turut diberikan secara standard adalah penghadang tangan. Setiap pembelian SX2-300 diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Proton X70 MC 2022 dilancarkan 9 Jun ini – X70 baharu dapat roda SE, 1.5L turbo 3-silinder dari X50?

    Proton X70 MC 2022 dilancarkan 9 Jun ini – X70 baharu dapat roda SE, 1.5L turbo 3-silinder dari X50?

    Proton telah pun memulakan kempen pengenalan bagi model X70 MC 2022, dengan mengesahkan SUV ini bakal dilancarkan pada 9 Jun 2022 iaitu Khamis ini. Menurut Proton, X70 MC diberikan perubahan kecil, namun lebih anggun dan menyerlah, dengan rekaan yang bakal “meningkatkan lagi pengalaman pemanduan anda”.

    Imej teaser ini memaparkan roda 19-inci yang sama seperti yang digunakan pada X70 SE 2021, yang ditawarkan dengan hanya 2,000 unit sahaja. Ia menampilkan rekaan pelbagai-jejari yang kini diberikan untuk barisan yang dipertingkatkan, mungkin untuk varian Premium. Untuk pengetahuan anda, rekaan roda yang bergaya ini pertama kali diperkenalkan pada Geely Boyue Pro pada 2019.

    Sebelum anda teruja yang kita bakal mendapat SUV dengan rupa Boyue Pro dengan rekaan roda yang penuh bergaya ini, harus diingatkan sekali lagi, X70 yang bakal dilancarkan Khamis ini hanyalah melibatkan perubahan kecil. Jadi ia lebih kurang sama dengan model sedia ada X70, yang tidak banyak berubah sejak dilancarkan buat pertama kalinya pada 2018 (tetapi logonya diubah untuk versi 2020).

    Proton X70 MC 2022 dilancarkan 9 Jun ini – X70 baharu dapat roda SE, 1.5L turbo 3-silinder dari X50?

    Sebelum ini, video pendek yang dikongsikan menerusi kumpulan Proton X70 Owner Club Malaysia Facebook telah menunjukkan roda SE ini pada X70 dalam rona Jet Grey, Space Grey dan Snow White, di mana ia tidak diberikan untuk barisan X70 SE 2021 yang hanya ditawarkan dalam warna Ocean Blue dan Ruby Red.

    Jadi, selain daripada roda, mungkin peningkatan yang diberikan buat Proton X70 MC 2022 ini tidak banyak berbezanya berbanding model sedia ada. Mungkin ada sedikit pertambahan ciri untuk memantapkan lagi gaya penampilannya termasuk kemasan diffuser hitam berkilat di sekeliling corong ekzos. Selain itu, mungkin juga ia diberikan kemasan pada gril dan bampar hadapan.

    Selain peningkatan gayanya, ada perkhabaran menyatakan mungkin terdapat peningkatan yang dilakukan untuk bahagian mekanikalnya, iaitu ia bakal dipadankan dengan 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder yang sama dengan X50, yang telah diberikan buat model pasaran eksport termasuk Pakistan dan Nepal sejak akhir 2020.

    Proton X70 MC 2022 dilancarkan 9 Jun ini – X70 baharu dapat roda SE, 1.5L turbo 3-silinder dari X50?

    Proton X70 SE 2021

    Namun tidak dipastikan adakah semua model di bawah barisan X70 MC 2022 ini akan menerima enjin itu, atau masih mengekalkan penjana kuasa 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder untuk varian spesifik. Sebagai perbandingan, enjin 1.5 TGDi menghasilkan 177 PS dan tork 255 Nm, sementara 1.8 TGDi pula dengan 184 PS dan 300 Nm. kedua-dua enjin bakal dipadankan dengan transmisi yang sama iaitu dwi-klac basah 7DCT.

    Satu lagim kemungkinan ciri yang bakal dikembalikan ialah pilihan AWD, yang telah digugurkan dari barisan X70 CKD pada awal 2020. Ia mungkin dipadankan dengan pilihan enjin 1.5 liter, sama seperti pada model pasaran eksport yang disebutkan di atas.

    Jadi, adakah anda teruja menantikan Proton X70 MC 2022? Tinggal dua hari lagi ia akan dilancarkan dan kami akan kongsikan perincian penuh mengenainya. Harganya pula mungkin tidak jauh beza dengan model sedia ada iaitu antara RM90k hingga RM116k dengan pengecualian cukai jualan.

     
     
  • Polestar 2 BST edition 270 2023 didedah – EV dengan 476 PS, 680 Nm, peredam Öhlins; terhad 270 unit

    Polestar 2 BST edition 270 2023 didedah – EV dengan 476 PS, 680 Nm, peredam Öhlins;  terhad 270 unit

    Polestar 2 BST edition 270 merupakan model edisi terhad baharu yang diperkenalkan bagi mengembangkan lagi barisan kenderaan elektrik (EV) pengeluar tersebut yang ditala berdasarkan produk Polestar Engineered. Hanya 270 unit sahaja yang bakal dikeluarkan, eksklusif bagi pasaran Eropah, Amerika Utara dan China dari pertengahan 2022, dan penghantarannya dijangka bermula pada suku ke-empat tahun ini.

    BST edition 270 diinspirasikan oleh Polestar 2 yang membuat penampilan khas dalam acara Goodwood Festival of Speed tahun lalu, dan dirujuk sebagai ‘Beast’ oleh CEO Polestar Thomas Ingenlath, yang dipendekkan kemudiannya menjadi ‘BST’ pada nama model ini.

    “Kami memperoleh reaksi yang terbaik untuk Polestar 2 yang dimodifikasi yang dipamerkan dalam
    Goodwood Festival of Speed tahun lalu, justeru kami mengambil keputusan untuk menghasilkan versi berkenaan dalam bentuk produksi,” kata Ingenlath.

    Polestar 2 BST edition 270 2023 didedah – EV dengan 476 PS, 680 Nm, peredam Öhlins;  terhad 270 unit

    Berasaskan varian sedia ada Long Range Dual Motor, BSY edition 270 ini didatangkan secara standard dengan perisian prestasi pilihan yang dipertingkatkan yang memberikan lonjakan kuasa hingga 476 PS (469 hp atau 350 kW) dan tork 680 Nm berbanding output standard 408 PS (402 hp atau 300 kW) dam 660 Nm. Penambahan output berkenaan juga memberikan respons yang lebih baik dan motor elektrik kekal memberikan kuasa dari bateri lithium-ion 78-kWh.

    Modifikasi casis pula melibatkan ketinggian pengendalian yang lebih rendah (-25 mm) dan juga peredam boleh laras dengan dua-hala Öhlins, palang topang hadapan dan gegelung yang memberikan 20% lebih ketegaran. EV ini turut diberikan roda aloi hitam pekat 21-inci dengan rekaan yang lebih kurang sama dengan Polestar 1, dibaluti tayar Pirelli P Zero (profil 245/35) dan dipadankan bersama brek Brembo dengan kaliper keemasan Swedish – warna yang sama digunakan pada elemen peredam, penutup injap dan tali pinggang keledar.

    Polestar berkata model baharu ini turut didatangkan dengan ruang dalaman berwarna Charcoal WeaveTech dan turut diberikan warna pilihan sama ada Thunder atau Snow. Jika Polestar 2 standard diberikan warna hitam pada bampar dan skirt sisi, namun untuk model edisi terhad ini, bahagian tersebut sama dengan warna badannya, termasuk juga lapisan gerbang rodanya. Walau bagaimana pun sebagai pilihan, pelanggan boleh memilih jaluran badan hitam pekat serta balutan satin Battleship Gray untuk keseluruhan badannya.

     
     
  • FIM MiniGP Malaysia 2022 berlangsung Ahad ini di SIC

    FIM MiniGP Malaysia 2022 berlangsung Ahad ini di SIC

    Hari Ahad hujung minggu ini, 5 Jun, FIM MiniGP Malaysia 2022 akan berlangsung di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang. Ia adalah satu siri perlumbaan yang kini sudah memasuki musim yang ketiga, dan dijadikan sebagai tapak pengenalan bagi pelumba muda berusia lapan hingga 14 tahun sebelum mereka dapat menyertai kelas perlumbaan yang lebih tinggi seperti Asian Talent Cup, European Talent Cup dan FIM CEV.

    Dua kategori akan dipertandingkan dalam siri perlumbaan ini, iaitu SIC OhVale Junior Championship dan FIM MiniGP Malaysia. Kategori Junior adalah untuk pelumba berusia lapan hingga 11 tahun, menggunakan jentera MiniGP 110 cc, manakala kategori MiniGP pula adalah untuk mereka yang berusia 11 hingga 14 tahun, menggunakan jentera MiniGP 160 cc.

    Semasa majlis pelancaran di Putrajaya semalam, ketua pegawai eksekutif Sepang International Circuit, Azhan Shafriman Hanif berkata bahawa FIM MiniGP Malaysia telah menghasilkan pelumba muda berbakat seperti Hakim Danish, Farres Putra, Emir Idzhar dan Farish Hafiy, yang mana semuanya adalah pemenang kejuaraan dalam kategori mereka. Tahun ini juga menyaksikan buat pertama kalinya seorang pelumba perempuan dipilih untuk kategori Junior, iaitu Fatihah Balqis.

     
     
  • Dua individu meninggal dunia selepas dilanggar lori ketika menukar tayar Proton Preve di tepi jalan

    Dua individu meninggal dunia selepas dilanggar lori ketika menukar tayar Proton Preve di tepi jalan

    Dua individu telah terbunuh semalam apabila mereka dilanggar oleh sebuah lori ketika sedang menukar tayar kereta di tepi jalan berhampiran Bukit Rotan di KM11.5 Jalan Kuala Selangor menuju ke Kuala Lumpur.

    Insiden yang berlaku sekitar pukul 4.40 petang semalam ini dirakam oleh video dashcam seorang pengguna jalan raya yang lain, dan kini tular di laman-laman sosial. Dalam laporan Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati kereta Proton Preve yang dinaiki penyelia Kementerian Kesihatan di Seremban, Negeri Sembilan yang berusia 55 tahun sebelum itu dipercayai pancit.

    Dia kemudiannya dibantu oleh seorang lelaki berusia 40 tahun yang datang ke lokasi kejadian dengan memandu Proton Wira. Malangnya tidak lama kemudian, sebuah lori dari arah Kuala Selangor dipercayai gagal mengelak lalu melanggar kedua-dua lelaki itu. Kejadian itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi sama. Ramli turut menjelaskan bahawa kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau turut menyatakan bahawa lokasi kemalangan merupakan jalan lurus dua lorong dan keadaan cuaca baik serta jalan rata. Berdasarkan video kejadian tersebut, lori berkenaan mungkin melanggar kedua-dua mangsa kerana mereka berada pada kawasan titik buta.

    Malang memang tidak berbau, malah kejadian sebegini bukan pertama kali berlaku. Jadi sekiranya anda berhadapan dalam situasi yang sama, mungkin beberapa langkah pencegahan boleh dibuat.

    Jangan terlalu yakin bahawa semua pemandu jalan raya peka dengan keadaan sekeliling dan nampak anda sedang menukar tayar di tepi jalan. Seeloknya, letakkan penanda – kalau boleh pastikan segitiga pemantul cahaya keselamatan sentiasa dibawa dalam kereta – sekitar 200 meter dari tempat kereta anda berhenti bagi memberikan amaran awal kepada pengguna jalan raya yang lain.

    Juga pastikan kereta anda berada sejauh yang boleh dari jalan raya, terutamanya jika tayar yang bocor berada pada sebelah luar menghadap jalan. Jika anda turut membawa penumpang lain dalam kereta, pastikan mereka tidak berada dalam atau berdekatan dengan kereta. Mungkin salah seorang dari mereka boleh bertugas untuk memberikan amaran kepada pemandu lain dan mengawal trafik.

    Menukar tayar juga kadang-kala mengambil masa yang agak lama. Jadi sekiranya tayar tersebut mengalami kebocoran kecil, anda mungkin boleh menggunakan kit pembaikan tayar yang berasaskan bahan kedap/busa sebagai langkah pantas sementara, dan kemudian terus ke kedai tayar berhampiran bagi menukar tayar berkenaan.

    Dan sekiranya kereta anda masih mempunyai perlindungan bantuan tepi jalan sama ada dari pengeluar mahupun pihak insuran, ada baiknya anda menghubungi mereka dan jauhkan diri anda dari jalan raya sementara menunggu bantuan tersebut sampai.

     
     
  • Volvo XC40 Recharge Pure Electric 2022 habis terjual di M’sia — pelanggan akan terima model facelift 2023

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric 2022 habis terjual di M’sia — pelanggan akan terima model facelift 2023

    Awal minggu ini, Volvo Car Malaysia (VCM) mengumumkan yang model XC40 Recharge Pure Electric menerima permintaan yang sangat menggalakkan, dengan lebih 400 tempahan diterima sejak pelancarannya pada Mac tahun ini. Dan kini model bagi tahun 2022 yang diperuntukan untuk pasaran tempatan telah pun habis semuanya.

    Nampaknya permintaan bagi XC40 sifar emisi ini tidak hanya berhenti di situ; kami difahamkan ada emel daripada VCM kepada pelanggan yang masih ingin menunggu bagi mendapatkan XC40 Recharge Pure Electric itu dipenuhi, disebabkan oleh masalah bekalan yang sedang melanda keseluruhan industri automotif ketika ini.

    “Disebabkan kekangan bekalan ini, pengedar sah Volvo Cars telah menjual habis semua unit Volvo XC40 Recharge Pure Electric model tahun 2022 setakat ini. Untuk memastikan pelanggan mendapatkan kereta Volvo mereka segera, kami kini memberi keutamaan kepada tempahan model tahun 2022 yang tidak dapat dipenuhi ketika ini. Untuk itu, pelanggan akan menerima unit model tahun 2023 untuk Volvo XC40 Recharge Pure Electric, yang merupakan versi lebih baru dan facelift berbanding versi yang ditempat,” jelas e-mel berkenaan.

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric 2022 habis terjual di M’sia — pelanggan akan terima model facelift 2023

    Ia juga akan melibatkan perbezaan harga antara model tahun 2022 dan 2023. “Memandangkan kenderaan yang akan anda terima nanti merupakan model facelift dengan teknologi dan ciri terkini daripada Volvo, maka harganya juga berbeza. Pengedar sah Volvo Cars akan menghubungi anda untuk perincian lanjut,” jelas emel berkenaan lagi.

    Setakat hujung bulan lalu, VCM memaklumkan telah menapatkan permintaan tempahan dalam talian bagi XC40 Recharge Pure Electric model tahun 2022. Versi facelift 2023 pula, dengan nama jolokan P8, masih kekal dengan angka janaan kuasa yang sama pada 408 PS dan 660 Nm tork dari tetapan dua-motornya. Ia mampu memberikan jarak sehingga 418 km dari bateri 78 kWh.

     
     
  • Kem. pengangkutan ambil maklum isu alat ganti Proton X50 & X70, hak pelanggan untuk servis diluar

    Kem. pengangkutan ambil maklum isu alat ganti Proton X50 & X70, hak pelanggan untuk servis diluar

    Persatuan Peniaga Alat Ganti Kejuruteraan Dan Kenderaan Selangor Dan Wilayah Persekutuan (EMPTA) telah bertemu dengan kementerian pengangkutan bagi menyuarakan beberapa isu yang dihadapi oleh lebih 1,100 syarikat yang bernaung di bawah persatuan tersebut. Salah satu perkara yang di bawa adalah perbincangan berkenaan komponen alat ganti dan servis yang berkaitan dengan Proton X50 dan X70.

    Menurut menteri pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, EMPTA menyuarakan kebimbangan terhadap penjual dan pemilik kedai alat ganti yang tidak dapat membekalkan alat ganti dan perkhidmatan untuk membaiki model Proton X50 dan X70 kerana model-model tersebut masih perlu diselenggara oleh jaringan pusat servis bertauliah Proton bagi memastikan ia terus dilindungi oleh waranti.

    Namun disebabkan masalah pembekalan alat ganti di pusat 3S dan 4S Proton sendiri dilihat tidak mencukupi, ia telah menyebabkan masalah kelewatan pembaikan dan juga penyelenggaraan dikalangan pemilik kedua-dua model SUV tersebut.

    Mac lalu Proton telah mengumumkan bahawa mereka kini sedang mengatasi masalah kekurangan alat ganti untuk servis berkala dan juga pembaikan kemalangan, yang kini menyebabkan ramai pelanggannya tidak berpuas hati. Syarikat tersebut menyatakan bahawa mereka mensasarkan bagi mempunyai stok yang mencukupi untuk alat ganti utama menjelang penghujung Jun ini.

    “Kami akan turut melihat sama ada ini melanggar mana-mana peraturan persaingan atau mengurangkan hak pembaikan bagi pemilik model ini,” kata Wee dalam hantaran yang dibuat menerusi akaun Facebook rasminya.

    Kem. pengangkutan ambil maklum isu alat ganti Proton X50 & X70, hak pelanggan untuk servis diluar

    Isu berkenaan hak untuk menyelenggara kenderaan baharu di premis selain dari pusat servis rasmi ini bukan perkara baharu. Pada Oktober tahun lalu, perkara ini telah ditinjau oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan diterbitkan dalam Market Review Under Competition Act 2010 for Selected Transportation Sectors terbaru.

    Suruhanjaya itu menyatakan ia mengesan masalah berkaitan persaingan, serta kerisauan pasaran atau masalah kawal selia berkaitan tuntutan waranti kenderaan. Ia memaklumkan, sekatan yang dikenakan oleh pengeluar kenderaan itu boleh mengelak atau menghadkan persaingan dalam industri baik pulih dan servis kenderaan, mengurangkan pilihan pengguna serta mengelakkan pusat 3S/4S rasmi bersaing dengan bengkel-bengkel bebas.

    Situasinya jadi lebih teruk ketika melibatkan baik pulih kemalangan. Disebabkan sekaran waranti, pembaik pulih persendirian berdepan dengan halangan yang membolehkan mereka untuk melakukan baik pulih kenderaan baru yang masih di bawah waranti, menjadikan satu-satunya pilihan yang ada hanyalah dalam rangkaian pengeluar sahaja.

    Dalam kes di mana pemilik memilih menghantar kereta baru mereka ke bengkel persendirian, ada berlaku situasi pelanggan diminta untuk menandatangani surat pelepasan. Dalam surat ini, dinyatakan bahawa pemilik kenderaan sedar bahawa mereka sedang mendapatkan servis dari bengkel persendirian, dan keseluruhan waranti kenderaan akan terbatal disebabkan itu.

    MyCC berkata, ini akan memberi tekanan kepada pemilik kenderaan untuk hanya mendapatkan servis dari bengkel dalam rangkaian rasmi sahaja.

     
     
  • Isle of Man TT 2022 – Mark Purslow maut selepas kemalangan waktu sesi catatan masa Supersport

    Isle of Man TT 2022 – Mark Purslow maut selepas kemalangan waktu sesi catatan masa Supersport

    Selepas dua tahun ditangguhkan kerana pandemik, Isle of Man TT kini dianjurkan semula bermula 29 Mei lalu. Walaubagaimanapun, permulaan perlumbaan yang kerap dipanggil sebagai antara yang paling berbahaya di dunia itu sudah pun meragut satu nyawa.

    Mark Purslow, 29 tahun, dari Wales, United Kingdom meninggal dunia apabila mengalami kemalangan di batu keempat daripada keseluruhan 60.6 km (37.7 batu) litar penuh Mountain Course sewaktu sesi catatan masa untuk kategori Supersport, menggunakan jentera Yamaha R6.

    Purslow bukanlah betul-betul baru dalam siri perlumbaan Isle of Man TT kerana sudah pernah berlumba di litar tersebut pada tahun 2015, 2016, 2017, 2018 dan 2019 dalam kategori berbeza termasuk Lightweight Race, Classic TT dan Junior Classic TT.

    Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, penganjur menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga, orang tersayang serta rakan-rakan Purslow, dan menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang sangat bersemangat sebagai pelumba persendirian, dengan menyediakan jentera sendiri bersama sokongan rakan dan keluarga.

    Walaupun dengan tragedi ini, perlumbaan masih akan diteruskan sehingga 10 Jun. Sejak dimulakan pada tahun 1907, Isle of Man TT sudah meragut banyak nyawa dan Purslow adalah yang ke-259 dalam Mountain Course.

     
     
  • MSF Supermoto 2022 saksikan penyertaan berganda, pertarungan hebat dalam semua kategori perlumbaan

    MSF Supermoto 2022 saksikan penyertaan berganda, pertarungan hebat dalam semua kategori perlumbaan

    Selepas kejayaan musim pertama, MSF Supermoto kini diteruskan lagi untuk musim kedua, dengan pusingan pertama telah pun berlangsung di Litar Tangkak, Johor Bahru hujung Mei lalu. Menariknya untuk kali ini, jumlah penyertaan berganda hampir separuh dengan keseluruhannya melibatkan hampir 50 pelumba.

    Saingan untuk MSF Supermoto 2022 dibahagikan kepada empat kategori iaitu Super Rookie, Advanced, All-Stars Pro, dan satu yang baru, SM Evo. Kategori baru ini diperkenalkan atas sebab penyertaan yang luar biasa, dan membahagikan peserta rookie yang lebih berpengalaman dengan yang betul-betul baru.

    Dalam kategori Super Rookie, Hervin daripada pasukan KMTR Ravenol MY yang merupakan juara kategori sama musim lalu nampaknya berhadapan saingan yang sukar kerana cuma dapat menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, di belakang Marcus Lee dari Singapura, sementara juara keseluruhan dinobatkan kepada Muhamat Hairy daripada pasukan NK Racing yang memenangi perlumbaan pertama dan juga kedua.

    MSF Supermoto 2022 saksikan penyertaan berganda, pertarungan hebat dalam semua kategori perlumbaan

    Kategori SM Evo pula menyaksikan perlumbaan didominasi oleh Kieran Ng daripada pasukan Weebiker Tom’s Racing Team, yang memenangi kesemua perlumbaan Super Rocco sebanyak lima pusingan, Race 1 dan juga Race 2. Di belakang beliau, persaingan adalah lebih sengit, dengan keputusan yang bercampur antara Race 1 dan Race 2.

    Akhirnya, apabila dikira secara keseluruhan, Steven Tang daripada WeeBiker Tom’s Racing berada di tempat kedua dan Muhd Ervin Ekhsan yang baru berumur 16 tahun, daripada TM Racing Singapore mendapat tempat ketiga.

    Kategori Advanced pula melihatkan pertarungan sengit antara tiga pelumba teratas musim lepas. Walaubagaimanapun, kesemua perlumbaan yang dijalankan dibolot oleh Azizul Khairi daripada pasukan NK Racing sementara Afiff Izzudin dan Emy Nordin masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

    Daniel Haiqal yang berlumba di bawah pasukan KMTR Ravenol MY dalam kategori All-Stars Pro nampaknya tidak akan berhadapan jalan mudah musim ini kerana terdapat saingan daripada Ian Dublin (WeeBiker Tom’s Racing) yang di dalam resume beliau juga tertulis pernah menjadi pelumba jemputan dalam British Superbike Championship. Banyak aksi hebat dapat dilihat dalam perlumbaan kategori paling tinggi ini, namun akhirnya secara keseluruhan ia masih dimenangi oleh Daniel.

    Pusingan kedua bagi MSF Supermoto 2022 akan berlangsung 24 Julai ini di Litar UniMAP, Perlis, dan ini adalah kali pertama siri perlumbaan supermoto tersebut akan diadakan di sana. Jika tidak dapat hadir, anda juga masih boleh menyaksikan perlumbaan ini melalui siaran langsung di dalam Facebook.

     
     
  • Projek lebuh raya baharu perlu dibiayai sepenuhnya oleh pihak konsesi, tiada bantuan k’jaan – menteri

    Projek lebuh raya baharu perlu dibiayai sepenuhnya oleh pihak konsesi, tiada bantuan k’jaan – menteri

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan projek pembinaan membabitkan tiga lebuh raya baharu di Lembah Klang akan dilaksanakan tanpa membabitkan bantuan kerajaan, sama seperti projek terdahulu.

    Katanya, krisis ekonomi yang mencabar ketika ini menyukarkan kerajaan untuk memberikan dana kepada pemegang konsesi, laporan Bernama.

    “Kaedah yang kita laksanakan untuk lebuh raya baharu, jika dibandingkan dengan keadaan lepas, sudah tidak sama. Untuk semua lebuh raya baru, tidak ada lagi bantuan kewangan dari kerajaan.

    “Dulu, pengambilan tanah ditanggung sebahagiannya oleh kerajaan. Sekarang ini, tidak ada lagi ‘soft loan’, semua akan dibiayai oleh syarikat konsesi yang berminat untuk projek pembinaan ini,” katanya.

    Pada bulan lalu, Fadillah mengesahkan, tiga projek lebuh raya baharu di Lembah Klang mendapat kelulusan berprinsip iaitu projek Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD LINK), Putrajaya-Bangi Expressway (PBE) dan Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL-NODE).

    Jelasnya, projek berkenaan bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi penduduk ibu kota.

    Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat konsesi termasuk Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).

     
     
  • Peugeot 408 2022 muncul dalam teaser – guna bentuk crossover fastback, pengenalan rasmi hujung Jun ini

    Peugeot 408 2022 muncul dalam teaser – guna bentuk crossover fastback, pengenalan rasmi hujung Jun ini

    Peugeot telah menyiarkan teaser rasmi pertama untuk 408 serba baru, yang hanya akan didedah secara penuh hujung bulan ini. Menurut pengeluar dari Perancis itu, 408 akan menjadi “sebuah model serba baru dalam barisan produk Lion Brand” dan dikatakan sebagai “Peugeot spesies baru.”

    Gambar yang disediakan ini tidak menunjukkan banyak bahagian kenderan tersebut, kecuali gril hadapannya, yang mempunyai corak jalur seperti 308 dan 3008, tetapi dengan bentuk menegak. Turut boleh dilihat adalah sedikit bahagian lampu LED, yang mungkin akan dijadikan agresif seperti Peugeot sekarang, bersama logo dan tulisan 408 yang baru.

    Walaubagaimanapun, dalam siaran akhbar yang dikeluarkan, Peugeot memberitahu bahawa 408 “menggabungkan kod karekter SUV dengan bentuk fastback yang dinamik.” Ini adalah sesuatu yang besar kerana dua generasi 408 sebelum ini adalah berbentuk sedan.

    Spyshot yang dilihat sebelum ini juga mengesahkan bentuk crossover fastback tersebut, dengan antara ciri penting adalah kedudukan yang tinggi serta bumbung yang menjunam di belakang. Perincian lain masih lagi kabur tetapi 408 berkemungkinan dibina atas platform EMP2 dan akan ditawarkan dalam versi plug-in hybrid, petrol atau mungkin juga elektrik.

     
     
  • MBSJ tangguh implementasi had parkir dua-jam di beberapa lokasi sibuk di Subang Jaya dan Puchong

    MBSJ tangguh implementasi had parkir dua-jam di beberapa lokasi sibuk di Subang Jaya dan Puchong

    Majlis Bandaraya Subang Jaya telah membuat keputusan untuk menangguhkan implementasi had parkir dua-jam di Jalan USJ 10, Jalan SS15 di Subang Jaya dan Jalan Bandar Puteri serta Jalan Kenari di Puchong yang sepatutnya bermula pada 1 Jun lalu.

    Dalam kenyataan rasminya, Pengarah Komunikasi Strategik dan Korporat MBSJ, Muhammad Azli Miswan berkata penangguhan ini dilakukan memandangkan kerajaan negeri Selangor masih belum meluluskan dan mewartakan pindaan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBSJ 2022.

    Katanya, jika zon parkir dua-jam itu dapat direalisasikan dalam waktu yang terdekat ini, ia dapat membantu mengurangkan kesesakan di kawasan hot zone dan masalah double parking. Pihak majlis bandaraya ini telah menyediakan 1,922 petak parkir daripada 10,027 petak parkir di kawasan yang dimohon untuk diwartakan itu.

    MBSJ tangguh implementasi had parkir dua-jam di beberapa lokasi sibuk di Subang Jaya dan Puchong

    “MBSJ juga melaksanakan urusan penyediaan infrastruktur termasuk mengecat petak, pemasangan papan tanda penyelarasan aplikasi parkir pintar,” tambah Azli.

    Sebelum ini, Datuk Bandar Subang Jaya, Johary Anuar berkata, MBSJ merancang untuk melaksanakan pendekatan tersebut bermula 1 Jun 2022 dan kawasan komersial yang berpotensi dalam bidang kuasa majlis, termasuk USJ 9 dan 10 (Taipan), SS19, Bandar Puteri Puchong dan Bandar Sunway.

    Dalam perkembangan lain, sistem parkir awam MBSJ juga telah beralih sepenuhnya kepada bayaran secara dalam talian mulai 1 April lalu. Ini bermakna, penggunaan kupon gores dan bayaran di mesin yang telah berakhir pada 31 Mac, dan digantikan e-kupon dan aplikasi mudah alih. Aplikasi ketika ini, seperti Smart Selangor Parking, Flexi Parking, Jom Parking serta e-wallet Boost dan Touch ‘n Go akan terus diterima.

     
     
  • Kenderaan berat dilarang guna jalan utama khususnya di pusat bandar pada waktu puncak pagi, petang – JPJ

    Kenderaan berat dilarang guna jalan utama khususnya di pusat bandar pada waktu puncak pagi, petang – JPJ

    Ekoran isu kesesakan lalu lintas yang kian meruncing, khususnya di Lembah Klang sejak kebelakangan ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ingin memberikan peringatan buat semua syarikat pengendali dan pemandu kenderaan barangan yang melibatkan kenderaan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 7,500 kg ke atas supaya tidak menggunakan jalan raya di bandar utama pada waktu puncak pagi dan petang.

    Menurut pemantauan JPJ, terdapat banyak pergerakan kenderaan berat memasuki laluan waktu terhad ke pusat bandar pada waktu puncak pagi dan petang, sekaligus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan menjejaskan kelancaran aliran trafik di Lembah Klang.

    “Larangan ini diwartakan sekatan sekitar sekurang-kurangnya 5 km dari pusat bandar, bermula di pintu masuk pusat bandar dengan meletakkan satu papan tanda khusus di mana dicatat waktu yang tidak dibenarkan masuk iaitu mulai jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi. Manakala pada waktu petang pula dari jam 4.30 petang hingga 7.30 malam,” ujar kenyataan yang dikeluarkan itu.

    Kenderaan berat dilarang guna jalan utama khususnya di pusat bandar pada waktu puncak pagi, petang – JPJ

    Senarai jalan terbabit di sekitar Lembah Klang adalah seperti berikut:

      Larangan pada waktu puncak pagi dan petang:

    • Semua jalan di dalam pusat bandar KL
    • Jalan Kuching, KL – Dari Taman Wahyu, Jalan Ipoh hingga ke pusat bandar KL
    • Jalan Genting Klang – Dari Kolej TAR hingga ke pusat bandar KL
    • Jalan Cheras – Dari Taman Midah hingga ke pusat bandar KL
    • Lebuhraya PLUS – Dari R&R Rawang menghala ke KL
    • Lebuhraya PLUS – Dari Plaza Tol Bukit Raja, Klang menghala KL
    • Jalan Tun Razak
    • Jalan Istana
    • Jalan Segambut
    • Jalan Sentul
    • Larangan pada waktu puncak petang:

    • Jalan Kepong
    • Jalan Ipoh – Dari Bulatan Kepong hingga Jalan Batu Caves
    • Lebuhraya Karak
    • Jalan Gombak – Dari Jalan Kampung Bandar Dalam hingga sempadan KL
    • Jalan Genting Klang
    • Jalan Cheras – Dari Jalan Pudu hingga Jalan Tenteram
    • Jalan Sungai Besi – Dari Jalan Kuchai Lama hingga Lebuhraya KL-Seremban
    • Jalan Kelang Lama – Dari Lebuhraya Persekutuan hingga Jalan Kuchai Lama

    Kenderaan berat dilarang guna jalan utama khususnya di pusat bandar pada waktu puncak pagi, petang – JPJ

    Menurut JPJ, penguatkuasaan larangan kenderaan berat ini telah lama sedia ada. Tapi sejak fasa endemik, berlaku pertambahan kenderaan ini, dan apabila pemantauan dilakukan, ternyata ramai pemandu kenderaan berat mengingkari larangan tersebut.

    “Penguatkuasaan bagi kesalahan sekatan larangan ini adalah berdasarkan peraturan di bawah Subseksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (Akta 333) oleh pegawai pengangkutan jalan, pegawai polis atau warden trafik. Sekiranya ingkar, tindakan kompaun boleh dikenakan dengan tidak melebihi RM300 atau boleh didakwa di mahkamah yang mana denda yang boleh dikenakan tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000,” sambung JPJ lagi.

     
     
  • Daihatsu Sirion facelift 2022 dilancar di Indonesia – bermula RM69k, 1.3L, D-CVT, tiada sebarang ADAS

    Daihatsu Sirion facelift 2022 dilancar di Indonesia – bermula RM69k, 1.3L, D-CVT, tiada sebarang ADAS

    Selepas Perodua Myvi facelift 2022 diperkenalkan di Malaysia November tahun lalu, kini ia sudahpun tiba ke pasaran Indonesia – seperti sebelum ini, ia dijual dengan lencana Daihatsu sebagai Daihatsu Sirion facelift 2022 di sana. Ya, ia adalah sebuah model rebadge dari Perodua Myvi, dan diimport sepenuhnya dari kilang Perodua di Rawang.

    Sirion facelift ini dijual dalam dua pilihan varian di republik berkenaan bermula dengan model X CVT berharga Rp 227,600,000 (RM69k) dan juga varian R CVT dijual pada harga Rp 236,800,000 (RM72k). Jadi berbeza dari model sebelum ini yang ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik 4AT dan manual lima-kelajuan, versi kemaskini ini nampaknya hanya hadir dengan pilihan transmisi CVT automatik untuk kedua-dua varian.

    Untuk enjin, masih kedua-dua varian hanya diberikan unit 1NR-VE 1.3 liter berkuasa 94 hp/121 Nm, tanpa pilihan enjin 1.5L yang lebih berkuasa seperti Myvi. Kotak gear baharu untuk Sirion ini juga sama dengan Myvi facelift iaitu transmisi D-CVT.

    Daihatsu Sirion facelift 2022 dilancar di Indonesia – bermula RM69k, 1.3L, D-CVT, tiada sebarang ADAS

    Kedua-dua varian ini juga dilihat tampil dengan spesifikasi yang sama, dibezakan hanya dengan kit penggayaan luaran. Varian X CVT tampil dengan rim 15-inci yang sama dengan 1.5L di Malaysia, manakala varian R CVT pula datang dengan kit badan seiras Myvi AV di Malaysia.

    Penyegaran rupa luaran untuk Sirion facelift 2022 ini juga sama dengan Myvi facelift 2022 dengan bampar hadapan dan belakang baharu, lampu hadapan LED baharu dan juga cermin sisi auto-lipat. Model R CVT juga tampil dengan spoiler bumbung baharu, namun kedua-dua varian datang tanpa lampu nyalaan siang LED seperti Myvi.

    Manakala untuk bahagian dalaman, Sirion turut menerima tingkat taraf hampir sama dengan Myvi seperti panel meter gaya optitron dengan skrin MID TFT 4.2-inci, roda stereng baharu yang seiras dengan roda stereng Perodua Ativa/Daihatsu Rocky, dua pemegang cawan untuk kabin belakang, pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk semua penumpang, skrin infotainmen baharu dengan fungsi hubungan kepada telefon pintar serta pelbagai lagi.

    Sirion pasaran Indonesia ini masih belum ditawarkan dengan upholsteri kulit, namun ia kini baru sahaja menerima sistem start-stop enjin automatik Eco-Idle seperti Myvi. Tetapi ada satu perincian diberi pada Sirion yang tidak ada pada Myvi, iaitu sistem penyegar udara (air purifier). Suis untuk sistem berkenaan diletakkan pada tempat sama pada suis lampu automatik Myvi, di mana sistem tersebut juga tidak ada pada Sirion.

    Walaupun dijual pada harga lebih tinggi, Sirion facelift 2022 pasaran Indonesia ini juga tidak didatangkan dengan sebarang sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS). Di Malaysia, Myvi menerima pelbagai fungsi dari pakej sistem ASA dan PSDA seperti sistem Amaran Pra Pelanggaran (PCW) dan Brek Pra-pelanggaran (PCB atau AEB) untuk varian asas, manakala varian lebih tinggi diberikan sistem lebih canggih termasuk cruise control adaptif dan juga Pengelak Keluar Lorong (LDP).

    Manakala untuk Daihatsu Sirion facelift 2022 pasaran Indonesia ini, sistem keselamatan yang diberikan hanyalah merangkumi empat beg-udara, cagak tempat duduk Isofix, serta sistem ABS, EBD dan VSC. Tingkat taraf yang diberikan pada model kemaskini ini hanyalah sistem bantuan mula mendaki (HSA).

    Lima warna badan ditawarkan untuk Daihatsu Sirion facelift 2022 pasaran Indonesia ini iaitu Lava Red Metallic, Electric Blue Metallic, Granite Grey Metallic, Icy White Solid dan Glittering Silver Metallic – warna hero Cranberry Red Myvi tidak ditawarkan pada Sirion ini.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC X254 2023 diperkenal – semua varian dapat bantuan tenaga elektrik, petrol dan diesel

    Mercedes-Benz GLC X254 2023 diperkenal – semua varian dapat bantuan tenaga elektrik, petrol dan diesel

    Tiga tahun selepas GLC X253 facelift memasuki pasaran, Mercedes-Benz kini memperkenalkan generasi baru bagi model tersebut, iaitu GLC X254 2023. Sebagai permulaan, enam varian ditawarkan dan kesemuanya menerima bantuan tenaga elektrik, dengan tiga daripadanya adalah hibrid ringkas dan tiga lagi plug-in hybrid (PHEV).

    Bagi varian hibrid ringkas, ia menggunakan sistem 48 volt dan dipadankan dengan enjin 2.0L petrol pada GLC 200 4Matic dan GLC200 4Matic, sementara GLC 220d 4Matic dipadankan bersama enjin diesel turbo 2.0L. Bergantung kepada varian, kuasa yang dihasilkan adalah antara 204 hp hingga 258 hp, dan 320 Nm hingga 440 Nm.

    Versi PHEV pula menggunakan motor elektrik 136 hp/440 Nm, dan dipadankan bersama enjin petrol 2.0L turbo pada GLC 300e 4Matic dan GLC 400e 4Matic, sementara untuk GLC 300de 4Matic, ia dipadankan bersama enjin diesel turbo 2.0L. Kuasa bagi varian PHEV ini adalah antara 313 hp hingga 335 hp dan 550 Nm hingga 750 Nm. Kesemua varian GLC baru ini menggunakan transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic dan pacuan semua roda.

    Mercedes-Benz GLC X254 2023 diperkenal – semua varian dapat bantuan tenaga elektrik, petrol dan diesel

    Berkenaan saiz, ada bahagian yang bertambah, dan ada yang berkurang, dengan panjang kini menjadi 4,716 mm (+60 mm), lebar 1,890 mm (tidak berubah), tinggi 1,640 mm (-4 mm) dan jarak roda 2,888 mm (+15 mm). Ruang dalam tidak banyak berubah, tetapi ruang barangan belakang kini menjadi 620 liter (+70 liter) apabila tempat duduk tegak dan 1,640 liter apabila tempat duduk dilipat.

    Di sebalik badannya, GLC X254 ini mendapat tetapan four-link baru di hadapan, dan multi-link di belakang. Pemilik juga boleh menambah pakej Engineering, yang memberikan suspensi udara Airmatic dan rear-wheel steering. Varian PHEV menggunakan suspensi udara di belakang dan didatangkan dengan pengawal aras secara standard.

    Di dalam, GLC baru ini menggunakan rekaan hampir sama dengan C-Class W206, dengan panel instrumen LCD resolusi tinggi 12.3 inci di hadapan pemandu dan skrin sesentuh infotainmen 11.9 inci menegak di tengah. Sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terkini pada SUV ini membolehkan pemilik menambah ciri MBUX Augmented Reality, yang datang dengan kamera hadapan dan boleh memaparkan keadaan sekitar kereta pada skrin.

    Meskipun datang secara standard dengan lampu hadapan LED High Performance, pemilik boleh menaik taraf kepada Digital Light yang mempunyai fungsi pemancar yang bukan sahaja dapat menerangkan lagi jalan, tetapi juga memancarkan garis petunjuk, simbol dan animasi di hadapan.

    Kelengkapan lain yang boleh didapati pada GLC baru ini adalah seperti pakej Parking dengan kamera 360 darjah dan paparan “bonet lutsinar”, Active Parking Assist, skrin head-up display berwarna, Driving Assistance, Active Distance Assist dan Active Steering Assist.

    GALERI: Mercedes-Benz GLC 200 2023

    Mercedes-Benz GLC 300e 2023

     
     
  • Caj kesesakan wajar dilaksana tapi kerajaan perlu pastikan pengangkutan awam mencukupi – FOMCA

    Caj kesesakan wajar dilaksana tapi kerajaan perlu pastikan pengangkutan awam mencukupi – FOMCA

    Beberapa hari ini, isu mengenai pengenalan kadar harga jalan atau caj kesesakan kembali hangat diperkatakan. Perkara ini turut dibincangkan oleh ahli akademi dan juga beberapa persatuan bukan kerajaan (NGO), rata-ratanya memiliki pendapat yang tersendiri termasuk keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam turut dipersoalkan.

    Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) turut meluahkan pendapat mengenai isu ini. Menurut timbalan presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, caj kesesakan wajar dilaksanakan namun kerajaan perlu memastikan perkhidmatan pengangkutan awam mencukupi. Katanya, perkhidmatan tersebut juga harus diyakini agar pengguna tiada alasan untuk menggunakan kenderaan sendiri ke pusat bandar sehingga menyebabkan kesesakan.

    “Caj berkenaan mampu mengawal kesesakan dan ia sudah dilaksanakan oleh negara jiran iaitu Singapura bagi mengurangkan kesesakan, terutama pada waktu puncak. Bagaimanapun, sebelum berbuat demikian, kerajaan wajar memastikan Transit Aliran Massa (MRT) 3 yang siap kelak dapat memudahkan orang ramai untuk berurusan di pusat bandar.

    Caj kesesakan wajar dilaksana tapi kerajaan perlu pastikan pengangkutan awam mencukupi – FOMCA

    “Penyediaan kemudahan bas perantara yang baik di mana pengguna dapat sampai ke destinasi yang ingin dituju dan kemudahan meletakkan kereta di pinggir bandar juga dapat membantu pengguna. Jika semua kemudahan sudah mencukupi, saya rasa caj atau bayaran memang wajar dilaksanakan kerana tiada sebab mengapa orang ramai tidak boleh menggunakan pengangkutan awam untuk masuk ke pusat bandar,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tambah beliau, individu yang memilih untuk membawa kenderaan sendiri ke pusat bandar kerana ia adalah untuk kemudahan dan keselesaan diri sendiri. Di mana golongan itu mampu dan sanggup membayar caj yang ditawarkan demi kepentingan mereka.

    “Kerajaan membelanjakan berjuta ringgit untuk membina pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan rakyat, tetapi jika tiada yang menggunakannya, ia satu kerugian. Kalau kerajaan boleh melakukan simulasi apabila MRT3 beroperasi kelak dan terbukti pengangkutan awam ini dapat sampai ke destinasi yang memudahkan perjalanan pengguna tanpa ada kesukaran, saya rasa memang tiada masalah,” katanya.