Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • PKP 3.0: Toyota tutup bilik pameran, beberapa pusat servis dibuka – lanjutan waranti 30 hari diberikan

    PKP 3.0: Toyota tutup bilik pameran, beberapa pusat servis dibuka – lanjutan waranti 30 hari diberikan

    Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Lockdown Penuh Fasa Pertama mulai 1 hingga 14 Jun 2021, kerajaan turut mengumumkan semua bilik pameran kenderaan tidak dibenarkan untuk beroperasi. Walau bagaimana pun, sekiranya anda berminat untuk membeli kereta keluaran Toyota, jangan gusar, kerana UMW Toyota Motor (UMWT) memaklumkan, anda boleh meneliti dan membuat tempahan mana-mana model yang diminati menerusi bilik pameran dalam talian.

    Malahan, UMWT turut mengesahkan hanya beberapa pusat servis 3S dan 4S sahaja, termasuk fasiliti body and paint yang dibuka sepanjang PKP 3.0 ini. Justeru, bagi pemilik mana-mana model Toyota, sekiranya perlu mendapatkan perkhidmatan selepas jualan, bolehlah menempah slot temujanji untuk menghantar kereta anda, juga menerusi dalam talian. Tiada kunjungan secara ‘walk-in’, hanya yang membuat temujanji sahaja yang akan dilayan.

    Untuk pelanggan yang bakal menghadiri temujanji di mana-mana pusat 3S atau 4S, dikendaki mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Ini termasuklah memakai face mask dan memeriksa suhu badan sebaik tiba di pusat 3S/4S berkenaan. Kenderaan pelanggan akan disanitasi sebanyak dua kali – sebelum ia memasuki ruang pusat servis dan sebelum ia diserahkan semula kepada para pelanggan. Anda boleh menyemak pusat pengedaran berdekatan dengan tempat tinggal anda menerusi PAUTAN INI.

    Selain itu, UMWT turut menawarkan lanjutan waranti selama 30 hari, dan ini tertakluk untuk kenderaan dengan warantinya yang bakal tamat dalam tempoh PKP 3.0 ini. Lanjutan waranti ini dikira dari hari terakhir PKP 3.0, bermakna ia diberikan tambahan 30 hari mulai 14 Jun. Sila KLIK PAUTAN INI untuk mengetahui waktu operasi pusat servis yang terlibat sepanjang tempoh PKP 3.0 ini.

     
     
  • Jualan Proton jatuh 37.1% kepada 9,440 unit pada Mei 2021, eksport catat jumlah tertinggi sejak Mac 2013

    Jualan Proton jatuh 37.1%  kepada 9,440 unit pada Mei 2021, eksport catat jumlah tertinggi sejak Mac 2013

    Selepas tiga bulan berturut-turut mencatatkan peningkatan jualan, bulan Mei nampaknya mencatatkan rekod yang tidak berapa baik buat Proton. Sepanjang bulan lalu, Proton berjaya menjual 9,440 unit kenderaan atau memegang 20.3% peratus bahagian pasaran. Ini bermaksud prestasi mereka pada bulan lalu jatuh 37.1% berbanding April 2021.

    Manakala untuk jumlah kumulatif dari Januari sehingga Mei pula, sebanyak 57,283 unit telah berjaya dijual, atau sekitar 23.5% bahagian pasaran; naik 2.4% berbanding tempoh sama tahun lalu. Angka-angka yang disebutkan ini adalah data yang didedahkan oleh Proton sendiri, dan biasanya syarikat berkenaan mencampurkan sekali jumlah jualan domestik serta eksport dalam pengumuman bulanan yang dibuat.

    Bulan Mei tahun ini bukan sahaja menjejaskan Proton. Dengan masalah seperti bekalan mikrocip global yang terganggu serta ketidaktentuan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana penularan wabak Covid-19, ia telah menjejaskan keseluruhan industri automotif Malaysia dengan kejatuhan TIV sekitar 20%.

    Dari jumlah keseluruhan jualan berkenaan, empat model Proton telah mencatatkan jualan terbaik berbanding pesaing dalam kelasnya. Proton Saga masih sedan segmen-A paling laris di Malaysia dengan jualan sebanyak 3,786 unit.

    Jualan Proton jatuh 37.1%  kepada 9,440 unit pada Mei 2021, eksport catat jumlah tertinggi sejak Mac 2013

    Dua SUV Proton iaitu X50 dan X70 juga menjadi model paling laris dalam kelasnya, dengan jumlah jualan masing-masing 1,899 unit dan 1,523 unit. Ia diikuti oleh Proton Exora sebagai MPV segmen-C paling laris dijual sebanyak 399 unit.

    Proton turut menyatakan bahawa prestasi eksport yang dicatatkan pada bulan lalu adalah yang tertinggi selepas Mac 2013. Untuk Mei 2021, Proton telah mengeksport sebanyak 669 unit kenderaan yang meliputi model Saga, X50 dan X70. Ini membolehkan angka eksport keseluruhan sehingga kini untuk tahun ini hanya 100 unit kurang berbanding keseluruhan eksport 2020.

    “Jualan kereta bulan Mei menurun atas pelbagai faktor seperti kekurangan bekalan cip dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pertengahan bulan. Walaupun kebanyakan pemain industri mempunyai tempahan yang mencukupi, kebanyakan perlu bergelut untuk memenuhi permintaan pelanggan. Bagi Proton, jualan kami mencukupi untuk kekal di tempat kedua secara keseluruhan dan kami juga menerima sumbangan daripada bahagian eksport yang berjaya mencapai jualan tertinggi dalam tempoh 98 bulan walaupun menghadapi cabaran dari rangkaian penghantaran antarabangsa,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Jualan Proton jatuh 37.1%  kepada 9,440 unit pada Mei 2021, eksport catat jumlah tertinggi sejak Mac 2013

    Proton menyatakan bahawa mereka akan mengambil kesempatan ini untuk mengkaji semula pelan jualan bagi bulan-bulan akan datang selepas kerajaan mengumumkan insentif PENJANA dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, pada masa yang sama akan mengambil langkah bagi memastikan perniagaan mampu berdaya saing pada masa hadapan walaupun menghadapi perubahan di luar kawalan dan faktor lain seperti virus corona.

    “Tahun 2020 membuktikan pada dunia bahawa perniagaan berjalan seperti biasa mampu diganggu tanpa sebarang amaran. Untuk kekal kompetitif dalam persekitaran yang sukar diramalkan, Proton berserta pembekal dan pengedarnya perlu bersifat lebih anjal untuk mengubah haluan dengan kadar segera dan mengambil peluang yang tidak diduga. Dengan itu, kami akan gandakan usaha kami untuk melaksanakan kerangka kerja untuk mematuhi peraturan domestik dan peringkat antarabangsa yang penting untuk pertumbuhan masa hadapan.

    “Kami juga sedang berusaha untuk memuktamadkan pelan pelancaran model bagi sepanjang tahun ini. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada masa ini sudah tentu akan memberi impak kepada tarikh yang dirancang, namun Proton tetap komited untuk memastikan pelancaran akan dijalankan dan terus memberi keterujaan pada pelanggan untuk tahun 2021”, tambah Roslan Abdullah.

     
     
  • PKP 3.0: Tidak semua pusat servis beroperasi, masih tunggu kelulusan — pengeluaran, jualan dihentikan

    PKP 3.0: Tidak semua pusat servis beroperasi, masih tunggu kelulusan — pengeluaran, jualan dihentikan

    Walaupun bengkel kenderaan, pusat servis lepas jualan, perniagaan alat ganti serta kedai tayar dibenarkan beroperasi sepanjang PKP penuh yang sedang berlangsung ketika ini, nampaknya tidak semua pernigaan seperti yang dinyatakan itu dibuka untuk operasi setakat 2 Jun 2021.

    Nampaknya masih banyak syarikat yang sedang meninggu surat kebenaran untuk menyambung operasi. Hari ini, kami dimaklumkan bahawa Perodua Sentral di Seksyen 19, Petaling Jaya masih lagi ditutup, termasuklah bahagian lepas jualannya. Sumber syarikat itu memaklumkan yang mereka akan membuat pengumuman berkaitan hal itu dalam masa terdekat.

    Begitu juga dengan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) yang mengumumkan semalam di laman FB rasminya bahawa semua bengkel Nissan akan ditutup buat sementara waktu, kerana sedang menunggu kelulusan permohonan operasi. Syarikat itu masih belum membuat kemaskini berkaitan pengumuman tersebut, setakat ini.

    Sementara itu, cawangan Honda yang telah mendapatkan kelulusan bagi servis lepas jualan akan meneruskan operasinya. Bagaimanapun, kami dimaklumkan sumber bahawa bukan semua pusat servis Honda beroperasi ketika ini. Honda Malaysia sebelum ini memaklumkan pihaknya akan terus menawarkan servis lepas jualan sepanjang tempoh PKP penuh ini.

    PKP 3.0: Tidak semua pusat servis beroperasi, masih tunggu kelulusan — pengeluaran, jualan dihentikan

    Sama juga kesnya dengan bengkel dan perniagaan alat ganti, menandangkan kelulusan daripada pihak berkuasa — termasuk protokol perjalanan untuk staf — diperlukan untuk membolehkan mereka beroperasi. Dengan penguatkuasaan yang dijangka lebih ketat kini, ramai yang memilih untuk menutup dulu operasi sehinggalah surat kebenaran diperoleh.

    Terdahulu, menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan yang pusat servis kenderaan serta kemudahan badan dan cat dibenarkan beroperasi sepanjang PKP penuh ini, dengan kapasiti pekerja 60%. Semua perniagaan wajib mematuhi SOP ketat dan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

    Jualan kenderaan pula dihentikan sama sekali sepanjang tempoh ini, begitu juga dengan pemeriksaan dan pendaftaran kenderaan, memandangkan kedua-dua Puspakom dan JPJ telah umumkan penutupan operasi mereka sepanjang tempoh sama. Pengeluaran dan pengilangan automotif juga dihentikan, dengan pengeluar seperti Honda dan Toyota menutup kilang mereka sepanjang PKP penuh ini.

     
     
  • PKP 3.0: SOP berkait kapasiti kenderaan persendirian

    PKP 3.0: SOP berkait kapasiti kenderaan persendirian

    Seperti yang kita sudah maklum, sepanjang tempoh PKP penuh dari 1 hingga 14 Jun 2021, SOP yang melibatkan kenderaan persendirian adalah dihadkan kepada kepada dua jenis keperluan sahaja. PDRM dalam satu infografik terbaru mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi had penumpang seperti yang ditetapkan ini.

    Untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat-ubatan, supplement diet atau keperluan asas yang lain, sesebuah kenderaan itu hanya boleh membawa dua orang sahaja dari isi rumah yang sama untuk tujuan berkenaan. Ini ditanpa mengira berapa pun kapasiti penuh yang boleh ditampung oleh kenderaan tersebut.

    Bagi tujuan untuk keluar dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan, hal-hal perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan pula, hanya tiga orang dibenarkan termasuk pesakit untuk berada di dalam sebuah kereta.

    Semua ini pula tertakluk kepada peraturan pergerakan yang tidak melebihi jarak 10 km radius dari tempat kediaman mereka, atau tertakluk kepada lokasi paling hampir dengan kediaman. Dan jangan lupa, bagi yang ada keperluan untuk ke tempat kerja, surat kebenaran MITI dan dokumen sokongan lain perlu disediakan untuk pemeriksaan.

    Semoga kita dilindungi dan kekal selamat.

     
     
  • Harga minyak 3-9 Jun – RON 97 naik 2 sen seliter

    Harga minyak 3-9 Jun – RON 97 naik 2 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 3 hingga 9 Jun 2021, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan kenaikan harga bagi bahan api petrol RON 97 yang melibatkan sebanyak dua sen seliter. Ini menjadikan harganya kini mencecah RM2.63 seliter setelah dua minggu berturut-turut sebelum ini ia berada pada paras RM2.61 seliter.

    Walau bagaimana pun, petrol RON 95 masih berada pada paras harga siling iaitu RM2.05 seliter, sejak Februari lalu.

    Manakala harga diesel Euro B10/B20 pula kekal pada RM2.15 seliter, begitu juga dengan gred Euro 5 B7 masih berharga RM2.25 seliter.

    Semua harga tersebut efektif mulai 12.01 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan, 9 Jun 2021.

     
     
  • Petron anjur program “PetronMyKasih Jom Derma” – ahli PMiles berpeluang derma poin untuk kebajikan

    Petron anjur program “PetronMyKasih Jom Derma” – ahli PMiles berpeluang derma poin untuk kebajikan

    Petron Malaysia bekerjasama dengan Yayasan MyKasih dalam menganjurkan program amal “PetronMyKasih Jom Derma”, yang memberikan peluang kepada para pemegang kad keahlian Petron Miles (PMiles) untuk menderma poin atau mata ganjaran untuk tujuan kebajikan.

    Program yang bermula sejak 7 Mei lalu bakal berlangsung sehingga 31 Ogos ini, di mana setiap poin PMiles yang didermakan akan ditukarkan dengan tunai yang akan disalurkan ke Yayasan MyKasih. Menerusi yayasan tersebut, keluarga dari golongan B40 boleh membeli barangan keperluan daripada lebih 250 peruncit yang mengambil bahagian termasuk Mydin, Tesco, Giant, Econsave, The Store, Aeon, 99 Speedmart, dan TF Value Mart.

    Setiap 500 poin PMiles akan ditukar menjadi RM5, manakala setiap poin sebanyak 1000 PMiles pula menjadi RM10. Pelanggan juga boleh menderma dalam gandaan RM5 atau RM10 di semua stesen Petron menerusi kaunter jualan.

    “Dengan kerjasama Yayasan MyKasih, kami akan memberikan peluang kepada pelanggan kami untuk membantu menyumbangkan mata ganjaran PMiles mereka untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan, terutamanya pada masa ini di mana penularan wabak banyak memberikan kesulitan kepada keluarga B40.

    “Dengan menggunakan kas PMiles, para pelanggan dapat menyalurkan sumbangan dengan lebih mudah, di mana-mana stesen kami. Setiap pelanggan yang membuat sumbangan akan diberikan resit bagi pengecualian cukai daripada MyKasih,” ujar Choong Kum Choy, Ketua Perniagaan Runcit dan Komersil Petron Malaysia.

     
     
  • BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    BMW i4 akhirnya didedahkan secara penuh, dan ia merupakan model elektrik penuh pertama dalam kelasnya. Gran coupe empat pintu ini akan dipasarkan dalam dua varian sebagai permulaan, iaitu eDrive40 dan eDrive M50. Model M50 adalah kereta elektrik penuh pertama BMW M, dan ia membawa makna tidak lama lagi akan ada juga model elektrik lain daripada BMW M.

    Dimensi i4 adalah 4,785 mm panjang, 1,852 mm lebar, 1,448 mm tinggi dan 2,856 mm untuk jarak roda. Jika dibandingkan dengan 3 Series G20, ia jarak roda kiri dan kanan hadapannya adalah lebih lebar 26 mm, sementara di belakang pula lebih lebar 13 mm. Hasil daripada kedudukan pek bateri yang rendah, pusati graviti i4 juga menjadi 53 mm lebih rendah berbanding model 3 Series tersebut.

    Varian eDrive40 yang anda lihat ini adalah model pacuan roda belakang, di mana kuasanya datang daripada satu motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang. Ia masih lagi menggunakan asas daripada teknologi eDrive generasi kelima, dan menggunakan motor synchronous elektrik (bukan magnetik) yang disepadukan terus dengan kuasa elektronik lain serta transmisi lapan kelajuan.

    BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    Model eDrive40 juga mendapat unit kuasa 250 kW, yang menghasilkan 340 PS dan 430 Nm tork. Ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum yang dihadkan pada 190 km/j. Memandangkan eDrive40 ini cuma mempunyai satu motor elektrik, pembahagian berat antara depan dan belakangnya menjadi 45.1:54.9.

    Melihat kepada jarak gerak, bateri 83.9 kWh (waranti lapan tahun atau 160,000 km) padanya boleh menyediakan jarak sehingga 590 km. Ia boleh dicas dengan pengecas pantas DC 20 kW (sambungan CCS Combo 2), jadi dengan selepas hanya 10 minit mengecas, pengguna boleh bergerak sehingga 164 km.

    Model ini datang dengan pengecas AC bersepadu 11 kW (sambungan Type 2) dan apabila menggunakannya, bateri akan penuh, dari kosong dalam masa tidak sampai 8.5 jam. Tahap penjanaan semula kuasa brek pula boleh menyediakan sehingga 195 kW.

    BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    Bagi memastikan suhu bateri berada pada tahap yang baik, BMW menggunakan sistem penyejukan dan pemanas bersepadu. Ia mengambil kira pelbagai faktor termasuk suhu sekitar dan sesi pengecasan pantas yang diguna. Sistem ini berjalan secara automatik dengan pam berkecekapan tinggi, dan BMW memberitahu ia dapat membantu meningkatkan kecekapan jarak gerak yang disediakan sehingga 31% apabila memandu dalam trafik bandar.

    Sistem penyerap berhubung dengan angkatan (lift-related) digunakan, di mana menurut BMW, ia menyediakan kualiti serapan linear serta menghindari dongakan melebih apabila melalui bonggol yang besar. Sistem suspensi udara boleh rata sendiri diberikan standard untuk kedua-dua varian, tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada suspensi M adaptif untuk eDrive40 (datang secara standard pada M50).

    Pada aspek penampilan, i4 tidak banyak berbeza berbanding 4 Series G22 kecuali yang pasti, tambahan dua pintunya. Pelanggan juga boleh memilih tambahan lampu LED adaptif dengan BMW LaserLight dan BMW Selective Beam. Dari tepi, anda akan dapat melihat pembuka pintu yang sama rata dengan permukaan.

    BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    Di belakang, walaupun lampunya sama dengan 4 Series, ia mendapat bampar khas dengan diffuser bersepadu. Pilihan rim terdiri daripada saiz 17 inci hingga 20 inci, dan pemilik juga boleh menaik taraf kepada cakera brek M Sport bersaiz 374 mm.

    Bahagian dalam juga kebanyakannya sama seperti 4 Series, dengan perubahan paling jelas adalah panel instrumen 12.3 inci dan skrin infotainmen 14.9 inci yang digabungkan sekali sebagai satu unit, dengan kaca anti pantulan cahaya. Model i4 didatangkan dengan BMW Operating System 8 secara standard, dan beberapa bahagian mendapat kemasan warna biru.

    Kelengkapan standard lain adalah termasuk BMW Live Cockpit Professional, pengawal suhu automatik tiga zon dengan penapis nano, roda stereng balutan kulit, cermin hadapan akustik, lampu suasana dan enam pembesar suara 100 watt. Sistem bunyi ini juga boleh dinaik taraf kepada unit 10 pembesar suara 205 watt, atau sistem Harman Kardon 16 pembesar suara dengan amplifier tujuh saluran 464 watt.

    BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    Bagi model M Sport dan M Performance, bahagian kabinnya datang dengan kemasan hitam berkilat atau salutan aluminium rhombicle anthracite (bahan lain juga ada dalam katalog BMW Individual). Tempat duduk sport diberikan standard dan ia dibalut dengan kombinasi kain serta kulit Sensatec. Ruang but yang disediakan adalah 470 liter, dan apabila kerusi dibaringkan, ia menjadi 1,290 liter.

    Memandangkan i4 adalah sebuah kereta elektrik penuh, ia dipasang dengan sistem perlindungan pejalan kaki akustik, yang boleh mengeluarkan bunyi menggunakan pembesar suara di luar. Bunyi ini aktif apabila bergerak lebih 21 km/j di Eropah atau lebih 31 km/j di Amerika Syarikat. Bunyi khas untuk bahagian dalam juga telah dibangunkan bersama Hans Zimmer dan kerancakannya boleh bertambah apabila memasuki mod Sport.

    Akhir sekali, i4 datang dengan lebih 40 sistem bantuan pemandu, menjadikan ia sebagai kereta semi autonomous Level 2. Ini termasuklah Active Cruise Control dengan fungsi Stop and Go, Speed Limit Assist, Front-Collision Warning dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Rear-Collision Prevention, dan Lane Departure Warning. Pakej Driving Assistant Professional menambah Steering and Lane Control Assistant, yang boleh beroperasi sehingga kelajuan 180 km/h.

     
     
  • Proton S50 dalam imej render iras Geely Emgrand

    Proton S50 dalam imej <em>render</em> iras Geely Emgrand

    Kalau sebelum ini anda pernah tengok hasil rekaan Theophilus Chin yang membayangkan sedan segmen C Proton yang diberi gelaran S50, itu adalah ilham yang diambil dari sentuhan rekaan SUV X50. Kali ini, beliau kembali lagi membayangkan model S50 yang sama, tetapi dengan perhatian dialihkan kepada Geely Emgrand sebagai inspirasi utama.

    Dengan panjang 4,638 mm, lebar 1,820 mm dan tinggi 1,460 mm serta jarak antara roda 2,650 mm, saiz Emgrand ini meletakkan sedan berkenaan antara segmen B dan C, dengan spesifikasi yang lebih menjurus kepada segmen B+, memandangkan Emgrand menggunakan platform BMA yang turut digunakan pada Binyue.

    Wajah depan, terutamanya pada rekaan gril, telah diubah mengikut sentuhan rekaan pada model Proton dengan corak Infinite Weave dengan logo Proton ditempatkan sekali menggantikan logo Geely. Bampar depan yang digunakan pula nampak seiras dengan yang ada pada Geely Emgrand.

    Proton S50 dalam imej <em>render</em> iras Geely Emgrand

    Dalam satu video yang mengiringi rekaan ini, lencana S50 telah dihasilkan menggunakan bentuk huruf Volvo S60, yang turut digunakan pada plat bilik pameran serta untuk logo pada but. Selari dengan pendekatan perkongsian badannya, penggayaan bahagian belakang Emgrand dibawa untuk rekaan S50 ini. Lencana S50 serta nama Proton diletakkan di tengah antara lampunya, tempat yang sama penjenamaan model Geely tersebut diletakkan. Turut dipinjam terus daripada Emgrand ialah rekaan rim S50 yang dilihat ini.

    Beliau juga ada menunjukkan rekaan rendering bagi bahagian ruang dalaman sedan Proton ini, dengan menampilkan peralihan dari pemanduan sebelah kiri kepada sebelah kanan. Manakala paparan kandungan infotainmen juga sudah diterapkan dengan unsur tempatan — lihat nama “Petaling Jaya” ditulis pada paparan cuaca dan lokasinya.

    Macam mana? Adakan imej render dari Geely Emgrand ini lebih menarik untuk diterapkan kepada sedan Proton S50 nanti?

     
     
  • PKP 3.0: Tiada urusan JPJ di pejabat pos seluruh M’sia

    PKP 3.0: Tiada urusan JPJ di pejabat pos seluruh M’sia

    Dengan semua agensi pengangkutan darat di bawah Kementerian Pengangkutan ditutup untuk PKP penuh yang bermula semalan hingga 14 Jun ini, jangan lupa semua urusan berkaitan JPJ di pejabat pos juga akan digantung buat sementara waktu. Pejabat Pos bagaimanapun akan terus dibuka sebagai salah satu perkhidmatan penting sepanjang PKP ini, tetapi sebarang transaksi JPJ tidak boleh dilakukan.

    Tapi jangan kalut, kerana JPJ telah mengumumkan kelonggaran bagi semua perkara seperti lesen memandu, cukai jalan atau lesen PSV/GDL yang tamat tempoh antara 1 Jun hingga 31 Julai nanti. Semua dokumen ini boleh diperbaharui nanti, bermula 1 Ogos hingga 30 September tahun ini. Sama seperti PKP sebelum ini, semua kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan perlu mempunyai insurans yang sah. Cetak salinan insurans anda dan simpan dalam kereta sekiranya perlu.

    Ingat, tak perlu perbaharui lesen atau cukai jalan sepanjang PKP penuh ini, walaupun insurans perlu ada. Saling mengingati, dan kekal selamat!

     
     
  • PKP 3.0: Pergerakan kenderaan di seluruh negara turun 70% pada hari pertama ‘lockdown’ – Menteri

    PKP 3.0: Pergerakan kenderaan di seluruh negara turun 70%  pada hari pertama ‘lockdown’ – Menteri

    Semalam merupakan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Lockdown penuh Fasa Pertama yang dilaksanakan selama dua minggu. Untuk hari pertama ini, mengikut pemantauan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pergerakan kenderaan di jalan raya di selurun negara secara purata menurun sehingga 70%.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menerima laporan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata, perkara ini membuktikan ramai rakyat memahami matlamat kerajaan mengurangkan pergerakan dalam negara ketika ini.

    “Laporan yang saya dapat daripada Ketua Trafik Bukit Aman, pergerakan di jalan raya agak berkurangan, ada kawasan sehingga 90% tetapi secara keseluruhannya purata pergerakan kenderaan menurun antara 70 hingga 80%, kurang daripada kebiasaannya.

    PKP 3.0: Pergerakan kenderaan di seluruh negara turun 70%  pada hari pertama ‘lockdown’ – Menteri

    “Alhamdulillah ini adalah laporan yang baik dan kita minta ia berterusan supaya dapat kita membantu membengkokkan dan akhirnya melatarkan COVID-19,” katanya menerusi Berita Harian.

    Beliau turut menjelaskan dakwaan beberapa beberapa selebriti ataupun individu terkenal berhubung dengan kesesakan trafik yang dikatakan masih berlaku walaupun penguatkuasaan bermula hari ini.

    Katanya, kesesakan yang berlaku di SJR kerana polis perlu memastikan pengguna jalanraya semua mengikut kaedah yang diluluskan.

    “Walaupun terdapat sedikit kekecohan mengenai kelulusan untuk mereka bergerak, ia tidak menyulitkan kerana polis memahami perkara ini. Kita ambil maklum dan mereka akan mendapat surat yang baharu,” katanya.

     
     
  • Triumph Speed Twin 2021 diperbaharui – enjin Euro 5, lebih kuasa dan tork, angkup brek Brembo Monobloc

    Triumph Speed Twin 2021 diperbaharui – enjin Euro 5, lebih kuasa dan tork, angkup brek Brembo Monobloc

    Model yang terletak sebagai antara yang tertinggi dalam kelas klasik moden Triumph iaitu Street Twin diberikan beberapa pembaharuan bagi tahun 2021. Ini termasuklah enjin, yang kini menepati tahap emisi Euro 5, lebih responsif, lebih kuasa dan lebih tork.

    Secara keseluruhannya, enjin dua silinder selari SOHC 1,200 cc penyejukan cecair tersebut mampu menghasilkan kuasa 98.6 hp pada 7,250 rpm – 3 hp lebih tinggi berbanding sebelum ini – dan tork 112 Nm pada 4,250 rpm – lebih cepat berbanding 4,950 rpm sebelum ini.

    Antara bahagian yang diubah dalam enjin tersebut adalah crankshaft dan alternator, yang menjadikan putarannya lebih ringan 17% dan membolehkan had rpm dijadikan lebih tinggi 500 rpm. Ia kemudiannya dipadankan bersama piston mampatan tinggi, profail cam baru dan lubang udara yang diubah. Servis menyeluruh (major) pertama motosikal ini sekarang boleh dilakukan pada 16,000 km.

    Bahagian pengendalian juga dinaik taraf, dengan fork USD 43 mm Marzocchi yang digunakan sekarang adalah spesifikasi lebih tinggi berbanding unit 41 mm sebelum ini, tetapi ia bagaimanapun masih tidak boleh dilaras. Di belakang, terdapat dua penyerap hentak yang boleh dilaras untuk pra beban.

    Bahagian brek tidak ketinggalan. Street Twin 2021 mendapat cakera berkembar 320 mm bersama angkup Brembo M50 Monobloc empat piston di hadapan sementara di belakang menggunakan cakera 220 mm dan angkup dua piston. Sistem ABS diberikan secara standard.

    Bagi mod tunggangan, kini penunggang diberikan tiga pilihan iaitu Road, Rain dan Sport, dan penukarannya boleh dilakukan sambil bergerak. Sistem kawalan cengkaman boleh ditutup sekiranya mahu. Bentuk asas motosikal ini masih tidak berubah tetapi ergonomiknya diperbaiki tempat letak kaki yang lebih rendah dan sedikit ke hadapan. Berat keseluhan Street Twin 2021 adalah 216 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 14.5 liter.

     
     
  • Nissan Almera Sportech diperkenal di Thai – tampil kit lebih sporty rekaan Autech, RM2.6k lebih mahal

    Nissan Almera Sportech diperkenal di Thai – tampil kit lebih sporty rekaan Autech, RM2.6k lebih mahal

    Sportech merupakan satu varian yang telah sekian lama diperkenalkan oleh Nissan Thailand untuk model yang kelihatan lebih sporty dalam barisan satu-satu model mereka. Dan terbaharu, varian Sportech ini telah pun ditampilkan pada Nissan Almera generasi kedua.

    Nissan Almera Sportech ini ditawarkan untuk model V dan dan varian tertinggi VL dengan harga 20,000 baht (RM2,647) lebih mahal dari. Jadi Nissan Almera Sportech V dan Almera Sportech VL ini masing-masing djual pada harga 629,000 baht (RM83,265) dan 659,000 baht (RM87,238).

    Kit badan untuk Sportech ini sebenarnya direka oleh divisi aksesori Nissan di Jepun iaitu Autech. Tidak seperti kit badan biasa yang selalunya dihasilkan sebagai tambahan pada kompenen sedia ada, kit Sportech ini jauh lebih istimewa kerana bampar hadapan dan belakangnya perlu ditukar terus dan tidak sama seperti bampar standard.

    Bampar hadapan baharu ini menampilkan perumah lampu kabus lebih besar yang nampak seperti liang udara sisi. Bahagian bawah bampar hadapan tersebut turut diberikan kemasan berwarna perak yang nampak seperti spoiler, manakala kemasan sekeliling gril pula tampil dalam kemasan krom gelap.

    Nissan Almera Sportech diperkenal di Thai – tampil kit lebih sporty rekaan Autech, RM2.6k lebih mahal

    Bampar belakang juga menampilkan perubahan rekaan yang signifikant di mana kemasan hitam dibawah dihasilkan dengan lebih besar, bersama ‘spoiler’ bawah berwarna perak yang kelihatan agak tebal menggantikan rekaan asal yang seakan diffuser. Ia dilengkapkan dengan pemadanan spoiler but dalam kemasan warna badan. Kalau anda perasan, kit Sportech ini juga sebenarnya tidak disertakan kan dengan skirt sisi yang lebih labuh.

    Model istimewa ini juga menampilkan cermin sisi dalam kemasan perak, rim aloi 15-inci dengan rekaan lebih unik serta lencana Sportech pada penutup but belakang. Ia ditawarkan dalam lima warna badan iaitu Black Star, Storm White (pearl), Radiant Red, Monarch Orange dan Gun Metallic grey.

    Tiada perubahan untuk unit rangkaian kuasa mahupun unsur prestasi yang lain. Nissan Almera Sportech N18 terus menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo yang menghasilkan 100 PS/152 Nm, digandingkan dengan kotak gear Xtronic CVT automatik bersama D-Step Logic yang memberikan rasa tukaran gear seperti transmisi auto konvensional.

     
     
  • Lakaran rasmi Mitsubishi Starion 4WD 355 hp yang tak jadi diproduksi dan dijual tersiar selepas 37 tahun

    Lakaran rasmi Mitsubishi Starion 4WD 355 hp yang tak jadi diproduksi dan dijual tersiar selepas 37 tahun

    Era Group B dalam Kejohanan Rali Dunia pada awal 80’an boleh dikatakan sebagai era kemuncak siri kejuaraan berkenaan. Namun kerana enjin yang terlalu berkuasa serta teknologi keselamatan yang tidak seiring, Group B terpaksa diharamkan selepas kemalangan maut membabitkan pemandu Finland Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto yang menyaksikan Lancia Delta S4 berkuasa 490 PS yang dipandunya terhumban ke dalam gaung dan terbakar pada rali Tour de Corse 1986.

    Seperti juga Group A, undang-undang Group B ini juga memerlukan pengeluar menghasilkan model ‘homologation special’ untuk dijual di bilik pameran, yang menampilkan rupa yang sama serta menggunakan asas enjin dan sistem pacuan sama seperti jentera WRC sebenar yang bertanding.

    Namun untuk Group B yang menampilkan teknologi yang lebih canggih ini, FIA mensyaratkan pengeluar untuk menghasilkan hanya 200 unit model produksi jalan raya tersebut, berbanding 5,000 unit (kemudian dikurangkan kepada 2,500 unit) untuk Group A. Maka lahirlah model-model produksi ‘homologation special’ seperti Ford RS200 dan juga Lancia 037.

    Lakaran rasmi Mitsubishi Starion 4WD 355 hp yang tak jadi diproduksi dan dijual tersiar selepas 37 tahun

    Oleh kerana ia dilangsungkan dalam tempoh yang agak singkat (1982-1986) dan pengharamannya dibuat secara tiba-tiba, ada berberapa pengeluar yang sudahpun menghasilkan prototaip jentera rali Group B mereka tetapi tidak sempat untuk berlumba – antaranya adalah Mitsubishi.

    Mitsubishi sebelum itu telah pun menyertai WRC dalam kategori Group 4 menerusi Lancer EX 2000 Turbo, dan selepas itu mereka berhajat untuk ke kategori lebih tinggi iaitu Group B menerusi kereta sport Mitsubishi Starion. Jika untuk model biasa, Starion dihasilkan dalam versi pacuan roda belakang serta muka dengan lampu hadapan ‘pop-up’, jentera prototaip Group B yang dihasilkan oleh Ralliart UK menampilkan sistem 4WD, badan yang lebih lebar serta lampu hadapan kekal berbentuk bulat.

    Model-model prototaip untuk jentera rali sebenar tersebut bukan lagi rahsia kerana ia telahpun membuat banyak penampilan dikhalayak ramai. Namun yang belum terdedah adalah bagaimana rupa Starion 4WD berkenaan dalam versi produksi yang ditetapkan perlu dihasilkan sebanyak 200 unit untuk dijual kepada orang awam.

    Lakaran rasmi Mitsubishi Starion 4WD 355 hp yang tak jadi diproduksi dan dijual tersiar selepas 37 tahun

    Gambar Starion 4WD yang anda lihat di atas adalah gambar lakaran rasmi sebenar yang dihasilkan oleh Mitsubishi yang baru sahaja tersiar hanya selepas 37-tahun! Menurut laporan Auto Express, lakaran ini merupakan sebahagian dari dokumentasi yang telah dihantar ke Mitsubishi UK pada tahun 1984.

    Projek Ralliart UK untuk menghasilkan Starion 4WD ini diketuai oleh bekas pelumbanya, Andrew Cowen dengan input dari bekas juruteknik Audi, Alan Wilkinson. Jika ia benar-benar diproduksi, Starion 4WD ini akan dijana oleh enjin 4G63 “Sirius Dash” 2.0 liter SOHC Turbo sama seperti Lancer EX 2000 Turbo. Manakala untuk 20 unit model ‘evolution’ yang boleh digunakan untuk perlumbaan seperti yang dibenarkan oleh FIA, ia turut menggunakan asas enjin sama tetapi kapasitinya ditingkatkan kepada 2,140 cc.

    Enjin tersebut dijangka bakal menghasilkan 350 bhp (355 hp), manakala badannya akan dibina dengan banyak panel dari material gentian karbon dan kevlar, bagi membolehkan berat keseluruhannya mencapai hanya sekitar 1,000 kg. Rekaan muka hadapan yang diubah oleh Ralliart UK ini membolehkan juntaian hadapannya dipendekkan yang bukan sahaja memberikan agihan berat yang lebih baik, malah ia juga membolehkan unit radiator lebih besar diletakkan di hadapan.

    Lakaran rasmi Mitsubishi Starion 4WD 355 hp yang tak jadi diproduksi dan dijual tersiar selepas 37 tahun

    Dalam surat yang disertakan sekali dengan lakaran tersebut, Mitsubishi turut dikatakan merancang untuk meletakkan plat nombor siri produksi istimewa untuk setiap Starion 4WD yang bakal dijual, serta dirancang untuk didedahkan di British Motor Show 1984.

    Rancangan tersebut pada awalnya selari dengan pembangunan jentera protaip Group B sebenar yang membuat penampilan pertamanya di Mille Pistes Rally di Selatan Perancis pada musim panas tahun yang sama, menyaksikan ia menamatkan perlumbaan tersebut ditempat ke-6 dengan dipandu oleh pemandu ujian Mitsubishi, Lasse Lampi.

    Jentera prototaip berkenaan turut berlumba di rali peringkat nasional di UK iaitu RAC Rally 1984, namun projek tersebut tertangguh serta proses homologasi dijangka hanya akan dapat disempurnakan pada 1986. Dan seperti yang disebutkan tadi, Group B telah diharamkan secara mengejut pada tahun yang sama, menyebabkan Starion 4WD ini bukan sahaja tidak sempat untuk berlumba dalam WRC, malah model produksinya juga tidak sempat untuk diperkenalkan dalam pasaran.

    Unit prototaip jentera rali Mitsubishi Starion 4WD Group B

    Walau bagaimanapun, segala usaha yang dibuat oleh Ralliart ini bukanlah satu perkara yang sia-sia. Semua pengetahuan yang telah dikutip ketika membangunkan Starion 4WD seperti enjin dan transimisi telah dibawa untuk untuk membangunkan jentera Group A mereka selepas itu iaitu Mitsubishi Galant VR-4.

    Galant VR-4 merupakan jentera pertama Mitsubishi yang berjaya memenangi perlumbaan dalam WRC. Dan evolusi teknologi dari Galant VR-4 juga berkembang ke jentera paling berjaya mereka selepas itu iaitu Lancer Evolution yang membolehkan Tommi Makinen bergelar juara dunia sebanyak empat-kali berturut-turut!

     
     
  • Data jualan kenderaan bagi April 2021 mengikut jenama – Perodua catat penurunan sebanyak 16.5%,

    Data jualan kenderaan bagi April 2021 mengikut jenama – Perodua catat penurunan sebanyak 16.5%,

    Selepas Mac mencatatkan jumlah jualan yang memberangsangkan pada Mac 2021, namun tidak pula April mengikut jejak langkahnya. Di mana untuk April 2021, hanya sekitar 58,912 unit kenderaan yang dihantar kepada pelanggan menunjukkan penyusutan sebanyak 9.34% dari 63,978 unit jualan yang dilaporkan pada Mac.

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, penyusutan angka tersebut berpunca daripada beberapa faktor, termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak, serta kekurangan bekalan cip komputer untuk pembuatan kenderaan yang turut memberikan kesan terhadap jualan beberapa pengeluar kenderaan.

    Pendahulu pasaran, Perodua, ternyata kurang bertuah pada April kerana jualannya menyusut ke 20,399 unit daripada 24,431 unit yang dicatatkan pada Mac, sekaligus menunjukkan 16.5% penurunan. Manakala Proton pula turun sedikit iaitu kurang 97 unit atau 0.66% berbanding Mac, dengan catatan rekod jualan sebanyak 14,673 unit untuk April.

    Data jualan kenderaan bagi April 2021 mengikut jenama – Perodua catat penurunan sebanyak 16.5%,

    Walau bagaimana pun, masih ada jenama yang menunjukkan peningkatan jualan bagi April, iaitu Toyota yang berjaya mencatatkan sebanyak 9,136 unit atau lebih 1,000 unit (+12.3%) berbanding yang direkodkan pada Mac (8,136 unit). Honda pula tidak begitu bernasib baik kerana jualannya menyusut sebanyak 3,536 unit (atau 39.6%) iaitu hanya menjual sekitar 5,389 unit untuk April, berbanding 8,925 unit pada Mac.

    Manakala tiga lagi jenama Jepun yang bernasib baik apabila berjaya menunjukkan peningkatan jualan untuk bulan yang sama – Mitsubishi (+10.9%), Mazda (+31.6%) dan Nissan (+24.9%). Satu lagi jenama yang turut mencatatkan jualan yang memberangsangkan ialah Subaru, di mana angka jualannya melonjak hampir 160%. Namun untuk Isuzu dan Ford pula, kurang bernasib baik kerana jualannya susut dengan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak -39.1% dan -15.7%.

    Bagi segmen premium, antara jenama yang menunjukkan peningkatan jualan ialah Volvo (+30%), Lexus (+50%) dan Porsche (169.4%) bagi jualan pada bulan berkenaan. BMW Group Malaysia juga telah megumumkan angka bagi suku pertamanya, dan dilaporkan BMW telah mencatatkan jualan sebanyak 1,931 unit, manakala 214 unit bagi MINI untuk tempohb tersebut. Manakala Mercedes-Benz masih tidak berkongsi angka jualan mereka buat setakat ini, walau pun sebelum ini MAA pernah berkata, syarikat berkenaan patut berkongsikan data jualan mereka.

    Data jualan kenderaan bagi April 2021 mengikut jenama – Perodua catat penurunan sebanyak 16.5%,

     
     
  • PKP 3.0: Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di tempat awam – MKN

    PKP 3.0: Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di tempat awam – MKN

    Ini ada satu makluman penting buat ibu bapa yang mempunyai anak berusia 12 tahun dan kebawah. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ‘Lockdown’ penuh Fasa pertama, semua kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan untuk berada di mana-mana tempat atau fasiliti awam. Walau bagaimana pun, terdapat alasan pengecualian yang boleh diterima iaitu urusan kecemasan, rawatan kesihatan, pendidikan atau senaman, ujar Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Menurut laman web MKN, di bawah prosedur operasi standard kesihatan umum, telah dinyatakan bahawa semua kanak-kanak berusia demikian adalah dilarang untuk berada di tempat awam, kecuali dengan alasan pengecualian tersebut, laporan The Star.

    Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebanyak 82,341 kes jangkitan COVID-19 di negara ini adalah melibatkan bayi dan kanak-kanak. Jelasnya, sebanyak 19,851 kes melibatkan kanak-kanak di bawah umur empat tahun, 8,237 kes (lima ke enam tahun), 26,851 kes (tujuh ke 12 tahun) dan 27,402 kes (13 hingga 17 tahun) dan mereka ini adalah pesakit COVID-19 dalam kategori 1,2 dan 3.

    Dr Adham turut menasihati ibu bapa atau penjaga supaya lebih bertanggungjawab dalam melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti, dan ini termasuklah tidak membawa mereka ke kawasan yang sesak.

    Beliau turut menambah, walau pun tiada dalam peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang membenarkan pemberitahuan kompaun dikeluarkan kepada ibu bapa yang membawa anak-anak ke tempat yang sesak, kertas siasatan tetap boleh dibuka.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024